LIGA BOLASEPAK MALAYSIA |
Shakir warnai cabaran Kelantan Posted: 11 Nov 2013 07:29 PM PST Sumber: Harian Metro Seremban: Selepas dua musim bersama Negeri Sembilan, penyerang Ahmad Shakir Md Ali membuat keputusan untuk berubah angin dengan menyertai naib juara Piala Malaysia 2013, Kelantan bagi saingan Liga M musim depan. Pemain kelahiran Kedah yang akan menjangkau usia 25 tahun pada 9 Januari ini berkata, dia memilih menyertai The Red Warriors (TRW) bagi meningkatkan pengalaman sebagai pemain profesional dan bukan semata-mata kerana tawaran gaji lebih tinggi. "Keputusan ini tiada kaitan dengan tawaran gaji tinggi biarpun ada sedikit peningkatan tawaran diterima berbanding ketika bersama Negeri Sembilan. Saya hanya mahu melebarkan pengalaman dan karier saya sahaja. "Begitupun banyak pengalaman yang saya peroleh selama dua musim bersama Negeri Sembilan di bawah bimbingan Mohd Azraai Khor Abdullah dikuti pengendali dari Portugal, Divaldo Alves dan seterusnya jurulatih sementara, Ridzuan Abu Shah. "Tidak mungkin saya berada pada tahap sekarang tanpa bimbingan dan sokongan mereka," katanya. Ahmad Shakir pernah dinobat penjaring terbanyak Liga Super dengan 10 gol pada musim 2012 namun bagi musim 2013, dia kerap berada dalam barisan pemain simpanan berikutan kurang cergas susulan kecederaan pangkal paha yang dialami. Malah dia juga gagal membantu skuad Hoben Jang Hoben apabila berada di tangga tercorot Liga Super sekali gus tersingkir ke saingan Liga Perdana musim depan. Bekas pemain kebangsaan itu melahirkan penghargaan kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) dan pengurusan pasukan kerana memberinya peluang beraksi bersama skuad itu biarpun pada tahun ini gagal membantu meraih prestasi terbaik. Ahmad Shakir yang menandatangani kontrak dua tahun bersama TRW akan melaporkan diri 1 Disember ini dan melahirkan keazaman memberikan sumbangan terbaik kepada Kelantan. |
Posted: 11 Nov 2013 05:40 PM PST Sumber: Kosmo "MOHD. Safee (Sali) wajar berhijrah menyertai mana-mana kelab di luar negara jika masih sayangkan kariernya sebagai pemain bola sepak." Demikian jelas Zakaria Ab. Rahim mengenai hala tuju penyerang sensasi Harimau Malaya itu yang masih belum membuat keputusan berhubung masa depannya sebaik kontraknya sebagai pemain pinjaman bersama Johor Darul Takzim (Johor DT) bakal tamat penghujung bulan ini. Zakaria berkata, mana-mana pemain negara termasuk Safee sewajarnya merebut peluang beraksi di negara luar biarpun menerima tawaran lumayan daripada mana-mana pasukan tempatan. "Duit boleh cari, namun pengalaman dan ilmu tiada nilainya dan tidak akan datang bergolek di depan mata. "Jika ada tawaran bagus termasuk kelab dari Thailand, mengapa tidak? Saya percaya Safee wajar merebut peluang ini," katanya kepada Kosmo! semalam. Polemik berhubung masa depan Safee, 29, mula tercetus apabila Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor, Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim memberikan peluang kepada penyerang itu sama ada mahu kekal bersama Johor DT atau pun tidak selepas menyertai pasukan itu secara pinjaman awal musim ini. Pegawai media Arema Indonesia (dahulunya dikenali sebagai Pelita Jaya), Sudarmaji baru-baru ini juga secara terbuka mengakui mereka tidak lagi memerlukan khidmat Safee sebaik kontraknya bersama kelab itu tamat pada Februari tahun depan. Buat masa ini, Safee dikatakan berada dalam radar naib juara Liga Perdana Thailand iaitu Suphanburi FC, selain cuba dilamar satu lagi kelab Indonesia - Persib Bandung. Mengulas lanjut, Zakaria juga menasihatkan Safee supaya bersedia berdepan sebarang kemungkinan termasuk nilai kontrak yang lebih rendah gara-gara prestasi kurang memberangsangkan sepanjang bersama Johor DT musim ini. "Mungkin sukar buat mana-mana kelab mengemukakan tawaran yang lebih baik seperti mana Pelita Jaya (Arema Indonesia), namun itu bukan isu utama kerana ia mampu meningkatkan karier Safee selain kebajikannya juga terjaga. "Ia telah dibuktikan sebelum ini apabila Safee berjaya muncul penjaring ketiga terbanyak Liga Super Indonesia bersama Pelita Jaya pada musim 2012," katanya. Justeru, Zakaria mengakui bersedia menguruskan semula karier Safee jika penyerang itu bersetuju untuk berhijrah ke luar negara selepas ini. "Ke Botswana pun saya boleh jaga. Bukan sahaja Safee, malah mana-mana pemain yang mahu meningkatkan karier (dengan menyertai kelab luar negara) juga saya boleh bantu," jelas Zakaria. Kecemerlangan Safee membantu Harimau Malaya mendakap trofi Piala Suzuki AFF 2010 mula membuka mata banyak kelab luar sebelum dilamar Arema Indonesia pada 2011, selain ditawarkan kontrak lanjutan bernilai RM2 juta untuk kekal bersama kelab itu setahun kemudian. Ketika ini, Safee berada di bumi Bahrain bersama Harimau Malaya menjelang aksi Kumpulan D kempen kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Nasional, Manama Jumaat ini. |
Sarbinee kembali bersama Penyu Posted: 11 Nov 2013 05:14 PM PST Sumber: Harian Metro Kuala Terengganu: Selepas semusim bersama Selangor, bekas penjaga gol utama Terengganu Mohd Sarbinee Allawee Ramli membuat keputusan kembali ke pangkuan negeri kelahirannya bagi mengharungi Liga M musim depan. Ketika bersama The Red Giants, bekas penjaga gol skuad kebangsaan itu banyak memanaskan bangku simpanan ekoran Norazlan Razali kerap diturunkan untuk mengawal benteng terakhir skuad terbabit. Ketika ditanya alasan kembali menyarung skuad Penyu, pemain berusia 27 tahun itu berkata dia sebenarnya belum puas membantu pasukan kelahirannya dan penghijrahan musim ini juga bagi mencari pengalaman. Menurutnya, dia berharap kepulangannya ke pangkuan skuad Penyu dapat membantu memperkuatkan pasukan dan akan berusaha memberikan permainan terbaik jika diberikan peluang mengawal benteng terakhir pasukan. "Misi saya adalah untuk membantu Terengganu merangkul kejayaan musim depan dan berharap kehadiran saya mendapat sokongan rakan sepasukan dalam usaha menjulang satu piala musim depan," katanya. Mohd Sarbinee yang berasal dari Kampung Pulau Duyong berkata, dia juga berterima kasih kepada pengurusan baru Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) yang masih memberi kepercayaan kepadanya menyarung jersi pasukan itu. Seorang lagi muka baru pasukan itu, bekas pertahanan Selangor PKNS, Mohd Nor Hakim Hassan berkata, dia juga teruja apabila dapat menyarung jersi negeri kelahiran. "Saya sebenarnya sudah lama berhasrat menyarung jersi Terengganu tetapi tidak berpeluang dan kali ini saya bertuah diberi peluang oleh PBSNT," katanya. Timbalan Presiden PBSNT, Marzuki Sulong mengesahkan Mohd Sarbinee menyarung jersi Terengganu dan memperkuatkan benteng pasukan musim depan. "Selain Sarbinee, kita mengekalkan penjaga gawang utama musim ini, Mohd Sharmiza Yusof dan menyerapkan penjaga gol skuad Piala Presiden Terengganu, Mohammad Izzudin Muhd Hussin," katanya. |
You are subscribed to email updates from LIGA BOLASEPAK MALAYSIA To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |