Khamis, 20 Jun 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Terubuk Lingga tarikan Batang Lupar di kaca mata dunia

Posted: 18 Jun 2013 05:42 PM PDT


PESTA BENAK yang mempamerkan keunikan arus kuat di Batang Lupar diiktiraf antara lima acara paling popular dalam kalendar pelancongan Sarawak.


BATANG LUPAR pernah menggemparkan negara dengan kisah buaya legenda Bujang Senang. Bagaimanapun, selepas buaya berukuran 5.46 meter panjang dengan lilitan perut 2.12 meter itu didakwa mati ditembak pada 12 Mei 1992 di anak Sungai Batang Lingga di Batang Lupar, arus sungai yang tenang itu masih berkocak setiap kali tiba masanya.
Setiap bulan hari ketiga dan ke-18 kalendar Lunar Cina, tebing Batang Lupar menjadi tempat penduduk tempatan dan pelancong berhimpun untuk menyaksikan fenomena alam yang dikenali sebagai benak.
Fenomena alam yang mempamerkan keunikan arus kuat di Batang Lupar itu telah diangkat sebagai Pesta Benak. Hari ini, acara itu diiktiraf antara lima acara paling popular dalam kalendar pelancongan Sarawak.
Benak merupakan ombak sungai yang terhasil ketika air laut pasang dan menyebabkan pertembungan arus antara air laut dan sungai. Keadaan itu menyebabkan air sungai mengalir ke arah yang bertentangan iaitu ke bahagian hulu.
Dengan kelajuan 20 hingga 30 kilometer (km) sejam, benak yang bermula di lokasi pertamanya di Pulau Seduku, Batang Lupar itu boleh mencecah ketinggian sehingga enam meter.
Dari Pulau Seduku, benak akan berterusan sehingga 30km ke Engkelili iaitu kira-kira 70km dari Laut China Selatan.
Pengalaman menyaksikan benak pernah diabadikan oleh novelis Inggeris, Somerset Maugham dalam buku bertajuk, Borneo's Stories. Novel itu mengisahkan tragedi yang hampir meragut nyawa Maugham ketika perahu yang dinaikinya dirempuh benak pada tahun 1949.
Batang Lupar merupakan salah sebuah sungai di Sarawak. Batang dalam bahasa Iban bermakna sungai. Sungai Batang Lupar ini mengalir sejauh 200 km ke Teluk Datu di Laut China Selatan dari Bukit Kapuas.
Penggerak ekonomi
Batang Lupar merupakan sebuah kawasan Parlimen yang terletak kira-kira 170km ke timur Kuching.
Menceritakan lanjut mengenai Batang Lupar, seorang penduduk Pulau Suku, Lingga, Arip Abong, 38, memberitahu, Parlimen Batang Lupar terdiri daripada tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Menurut Arip, tiga DUN itu ialah Sebuyau, Lingga dan Beting Maro.
Ia juga mempunyai tiga batang sungai utama iaitu Sungai Batang Sadong, Sungai Batang Saribas dan juga Sungai Batang Lupar.
IKAN terubuk Lingga dapat permintaan tinggi daripada pelancong luar negara.


Keluasan kawasan Batang Lupar adalah 2,024km persegi meliputi Kawasan Sebuyau seluas 582km persegi, Lingga (970 km persegi) dan Beting Maro (472km persegi).
"Penggerak utama ekonomi di kawasan Batang Lupar ialah sektor pertanian dan nelayan.
"Pendekatan yang agresif mampu meningkatkan pendapatan golongan nelayan, petani dan penternak di kawasan ini yang mempunyai keluasan melebihi negeri Perlis dan Melaka," katanya kepada Kosmo!.
Arip memberitahu, salah satu projek kerajaan yang berjaya dilaksanakan di Batang Lupar ialah projek agropolitan Pulau Seduku.
Sejak sekurun lalu, penduduk di Pulau Seduku yang terletak dekat muara Batang Lupar hanya bergantung hidup dengan hasil laut dan sungai selain menjadi pekebun kecil untuk menampung kehidupan harian.
Menurut Arip, usaha kerajaan memindahkan penduduk di pulau itu ke tanah besar merupakan inisiatif terbaik untuk mengatasi masalah bekalan elektrik dan air bersih.
"Dengan bantuan kerajaan negeri bersama kerajaan pusat, hasrat penduduk Pulau Seduku untuk membina kehidupan baharu yang lebih selesa kini menjadi kenyataan. Ini kerana mereka akan berpindah ke Penempatan Baharu Rakyat (PBR) Seduku," ujarnya.
Selain itu, Batang Lupar juga merupakan salah satu kawasan yang akan dijadikan sebagai jelapang padi baharu seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2013.
Jelapang padi di Batang Lupar juga telah disenaraikan sebagai Projek Penggerak Ekonomi (EPP) 11 dan akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat mengikut Fasa 1 dan Fasa 2.
Terubuk tempatan
Fasa Satu akan merangkumi kawasan seperti Bijat, Stumbin dan Entulang yang berkeluasan 2,817 hektar membabitkan kira-kira 5,000 petani, manakala Fasa Dua pula melibatkan kawasan seperti Lingga dan Banting.
Arip memberitahu, kawasan Batang Lupar khususnya di Lingga cukup terkenal dengan spesies ikan terubuk tempatan.
"Ikan terubuk Lingga mendapat permintaan yang tinggi terutamanya daripada pelancong kerana rasanya yang enak sekali gus menjadi faktor penarik kehadiran pelancong ke Pekan Lingga.
"Terubuk tempatan di pekan Lingga mampu sehingga RM40 hingga RM60 bagi sekilogram atau lebih," kata Arip sambil menambah Lingga bakal menjadi pengeluar ikan terubuk terbesar di negeri ini.
Sebuah Pusat Penyelidikan Ikan Terubuk yang pertama di Sarawak sedang dibina di Pekan Lingga. Pekan kecil Lingga yang terletak di pinggir Batang Lupar mempunyai keluasan 945km persegi dan terletak 50km dari Bandar Sri Aman.

Gadai emas kerana tekanan kos sara hidup

Posted: 18 Jun 2013 05:40 PM PDT



SELAIN emas, perkembangan industri pajak gadai menyebabkan beberapa jenis kedai pajak gadai lain diperkenalkan di Singapura contohnya berlian dan jam antik.



SURI RUMAH warga Singapura Siti Khadijah Abdul Rahman mempunyai beberapa barangan kemas yang bernilai ribuan dolar, namun peningkatan kos sara hidup menyebabkan dia tidak mempunyai pilihan lain kecuali menggadaikannya.
Terbeban dengan perbelanjaan isi rumah termasuk persekolahan kedua-dua anak remajanya, pajak gadai merupakan alternatif terbaik dalam meredakan beban kewangan wanita berusia 49 tahun itu.
Suaminya, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan mempunyai pendapatan sekitar S$1,500 (RM3,737) sebulan.
"Sekiranya berdepan masalah kewangan lebih baik meminjam di pajak gadai daripada kawan-kawan atau saudara-mara," kata Siti Khadijah.
"Jika mempunyai wang, saya akan menebus semula barang-barang kemas berkenaan."
Dia merupakan salah seorang daripada ribuan rakyat di negara itu yang terpaksa meminjam melalui skim pajak gadai ekoran kenaikan kos sara hidup di negara itu.
Laporan Unit Perisikan Ekonomi baru-baru ini turut menyatakan Singapura kini berada di tangga keenam sebagai negara yang mempunyai kos sara hidup tertinggi di dunia.
Pendapatan isi rumah
Menurut data dikeluarkan pendaftar industri, jumlah pinjaman pada tahun ini meningkat sebanyak 43 peratus, berbanding S$7.1 bilion (RM17.4 bilion) pada 2012.
Berdasarkan populasinya, Singapura melahirkan ramai jutawan tetapi pendapatan isi rumah yang melebihi S$65,000 (RM160,000) di negara itu pada 2012 mewujudkan jurang besar antara golongan kaya dan miskin.
Tiga buah rangkaian perniagaan pajak gadai terbesar di negara itu yang merangkumi hampir 200 cawangan kini menjadi tumpuan peminjam yang menggunakan barangan peribadi mereka sebagai cagaran untuk mendapatkan pinjaman jangka pendek.
"Kamu lihatlah di sekeliling, tidak hairanlah mengapa Singapura antara negara yang mempunyai kos sara hidup tertinggi di dunia," kata Derek Da Cunha, seorang pemerhati sosio politik tempatan.
"Berbanding sebelum ini, perkhidmatan pajak gadai menjadi semakin penting termasuk dalam kalangan profesional untuk mendapat pinjaman jangka pendek bagi menampung keperluan mereka."
Menurut perangkaan jabatan statistik, keluarga seperti Siti Khadijah yang mempunyai pendapatan isi rumah di bawah 10 peratus terpaksa berhadapan dengan penurunan 1.2 peratus dalam pendapatan per kapita mereka mengikut kadar inflasi pada tahun lalu.
Kos penjagaan perubatan juga meningkat sebanyak 3.9 peratus pada 2012 mengikut data yang dikeluarkan kerajaan.
Persatuan pengguna berkata purata harga bagi semangkuk mi berserta bebola ikan, kini 20 peratus lebih tinggi berbanding tahun lalu iaitu S$3 (RM7.50).

MONEY MAX merupakan salah sebuah rangkaian syarikat pajak gadai popular di Singapura.


Harga bahan-bahan asas seperti beras, daging, sayur-sayuran dan produk tenusu juga meningkat mendadak.
Sementara itu, flat-flat awam di kawasan tertentu juga meningkat kepada lebih S$1 juta (RM2.5 juta), manakala pemilik kenderaan juga terbeban dengan cukai tinggi dan sistem kuota kenderaan yang dilaksanakan.
Barangan kemas yang digadai akan dinilai oleh pakar-pakar emas dengan peminjam lazimnya akan dikenakan kadar satu peratus pada bulan pertama dan 1.5 peratus pada bulan berikutnya.
Barangan itu mesti ditebus dalam tempoh enam bulan atau ia tidak boleh ditebus kembali kecuali peminjam memperbaharui perjanjian mereka dengan pajak gadai.
Seorang peminjam yang enggan dikenali berkata, pajak gadai merupakan alternatif terbaik untuk mendapatkan pinjaman jangka pendek berbanding bank yang memerlukan kertas kerja dan tidak semestinya mendapat kelulusan segera.
"Bagi generasi lama, jika kamu menyimpan barangan kemas, lebih baik meminjam daripada pajak gadai," kata pekerja kilang itu yang memperbaharui pinjamannya dengan kedai pajak gadai berhampiran rumahnya setiap enam bulan sekali.
Rangkaian pajak gadai Valuemax dan pesaingnya MoneyMax juga semakin meningkat sekali gus menyaksikan kedua-duanya terpaksa bersaing sengit dengan Maxi-Cash yang menawarkan pinjaman awam sebanyak S$16.8 juta (RM40.6 juta) walaupun dalam keadaan pasaran yang lemah.
Premis-premis pajak gadai juga telah berubah wajah tanpa jeriji besi yang lazim dilihat sebelum ini di samping pemakaian uniform pekerja yang memberi imej seolah-olah sebuah cawangan bank komersial.
Perubahan itu menyaksikan premis pajak gadai turut dikunjungi golongan muda dan mewah yang kini menjadi faktor utama dalam mempopularkan kembali industri ini selain publisiti meluas dalam kalangan selebriti tempatan.
Kedai pajak berlian
Di samping emas, terdapat juga premis pajak gadai bagi berlian, barangan antik dan jam tangan antik.
Pihak berkuasa di negara itu memberitahu, peningkatan mendadak industri tersebut kini sedang dipantau termasuk kemungkinan kewujudan pinjaman mudah untuk kaki judi di negara yang mempunyai pasaran perjudian ketiga terbesar di dunia di belakang Macau dan Las Vegas.
April lalu, Kementerian Undang-Undang telah diminta untuk mendapatkan maklum balas orang ramai berhubung cadangan pindaan kepada undang-undang pajak gadai untuk mengukuhkan tadbir urus industri itu.
Bagi Da Cunha, beliau tidak percaya kerajaan akan mengambil sebarang langkah-langkah drastik bagi mengawal industri itu.
"Premis pajak gadai sememangnya sudah tertanam dalam jiwa masyarakat Singapura. Perkhidmatan yang ditawarkan jauh lebih baik daripada jika mereka meminjam daripada peminjam haram tanpa lesen," katanya.

Seni Mod terserlah di Mods Cafe

Posted: 18 Jun 2013 05:39 PM PDT

VAN lama model Volkswagen menjadi tempat barista menyediakan kopi.


JIKA anda bersiar-siar melihat keunikan bangunan lama di Jalan Tokong, berdekatan Jalan Jonker di Melaka pasti pandangan mata anda tertancap pada sebuah kafe yang sangat unik hiasan dalamannya.
Kafe tersebut menjual pelbagai minuman yang terdiri daripada kopi dan kek buatan sendiri pada harga antara RM7 hingga RM15 segelas.
Sebaik sahaja kaki melangkah masuk, pengunjung pasti tergamam melihat sebuah van model lama Volkswagen yang menjadi titik tarikan di Mods Cafe.
Van itu digunakan sebagai tempat barista membancuh kopi selain dijadikan tempat juruwang.
Sama seperti namanya, hiasan dalamannya menggunakan seni budaya yang berasal dari London, England yang bermula sekitar tahun 1950-an hingga 1960-an.
NIKMATI secawan kopi sambil menghayati dekorasi unik di Mods Cafe.


"Saya memang meminati aliran Mod dan lokasinya di Banda Hilir amat sesuai dengan suasana yang tenang dan relaks," kata pemilik Mods Cafe yang hanya mahu dikenali sebagai A-bert Khow.
Nama panggilan Mod diambil daripada singkatan Modernist (Modernis) yang mempunyai signifikan elemen fesyen, muzik dan motor skuter.
Simbol budaya Mod yang menggunakan lambang Tentera Udara Diraja British turut menjadi logo Mods Cafe. Bukan setakat lambang, gaya retro jelas kelihatan pada keseluruhan hiasan dalaman.
Dalam subbudaya ini, motor skuter seperti Vespa dan miniatur kenderaan tersebut kelihatan di rak-rak di dalam bangunan itu.
Peralatan makanan seperti bekas air gula juga menggunakan botol lama dengan mengekalkan logo syarikat lama.

PENGGUNAAN miniatur Vespa menaikkan lagi aura tahun 50-an di Mods Cafe.


Muzik Mod juga jelas terserlah menerusi irama muzik yang berkumandang selain bola kaca yang digantung di tengah-tengah kafe.
Menurut Khow, penyerapan subbudaya Mod berakar umbi daripada budaya kedai kopi Beatnik yang menjadi tumpuan pelajar sekolah seni pada waktu itu.
Kebanyakan pelajar tersebut terdiri daripada mereka yang menjadi pengikut radikal aliran Bohemian di London.
Walau apa pun polemik yang ditimbulkan, Mods Cafe yang terletak di Jalan Tokong itu merupakan tempat yang sesuai untuk pencinta seni menyelami seni Mod sambil menikmati secawan kopi yang menyegarkan.

Kari kepala ikan Pak Lah

Posted: 18 Jun 2013 05:38 PM PDT

SEBANYAK 50 jenis makanan disediakan di Pak Lah Cafe bagi memenuhi permintaan pelanggan yang ramai terutama para pelajar dan kakitangan UTM.


KARI kepala ikan memang enak lebih-lebih lagi jika dimasak dengan ikan segar. Lazimnya, jika bercerita dengan rakan-rakan tentang keenakan menikmati hidangan itu di sesebuah restoran tertentu, mereka juga berkeinginan untuk menikmati hidangan tersebut.
Bagi mereka yang berkunjung atau melawat anak-anak yang belajar di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor apa kata anda singgah ke Pak Lah Cafe untuk menikmati hidangan kari kepala ikan.
Kafe yang terletak di Scholars Inn U9 Kolej Perdana itu menawarkan hidangan kari kepala ikan yang dijual pada harga antara RM8 hingga RM20 bagi satu hidangan.
Pemilik kafe berkenaan, Abdullah Che Awang atau lebih mesra dengan panggilan Pak Lah, 65, memberitahu, beliau hanya menggunakan ikan segar seperti jenahak, merah, ebek, kaci dan siakap dengan ramuan rempah istimewa. Bahkan, Pak Lah juga tidak menggunakan santan untuk memasak kari.
Menurut beliau, kari kepala ikan di kafenya dimasak dengan sentuhan orang utara dan mamak.
"Saya mula menyediakan hidangan kari kepala ikan ini sejak berniaga di UTM pada tahun 1997. Sambutan daripada para pelanggan sangat menggalakkan," katanya ketika ditemui baru-baru ini. Secara purata, Pak Lah menyediakan 10 kepala ikan setiap hari.
HARGA sepotong kari kepala ikan bergantung kepada saiz dan jenis ikan iaitu antara RM8 hingga RM20.


Tumpuan ramai
Permintaan kari kepala ikan ini biasanya meningkat pada hujung minggu kerana ramai orang luar datang ke UTM.
Bukan sahaja terkenal dengan keenakan kari kepala ikan, pengunjung yang datang ke Pak Lah Kafe juga sering memesan hidangan nasi beriani Johor.
Pak Lah memberitahu, nasi beriani kambing yang dijual di kafenya menggunakan beras Moghul atau Kashmir.
Nasi beriani itu ditawarkan setiap hari pada harga RM6 sepinggan. Dianggarkan sebanyak 10 hingga 15 kilogram beras digunakan setiap hari khas untuk menyediakan permintaan nasi beriani.
Pak Lah Cafe menghidangkan sebanyak 50 jenis lauk setiap hari merangkumi hidangan tempatan, Barat dan Asia Barat. Kafe tersebut bukan sahaja menjadi tumpuan para pelajar UTM dan penduduk tempatan malah para tetamu yang menginap di Scholars Inn. Scholars Inn merupakan sebuah hotel butik yang diusahakan oleh UTM.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines