LIGA BOLASEPAK MALAYSIA |
Posted: 27 Jun 2013 06:06 PM PDT Sumber: Sinar Harian DUA pemain terbaik pasukan Johor Darul Takzim (DT) pada musim ini akan menerima ganjaran berbentuk kereta utiliti sukan (SUV) Audi Q7. Ini diumumkan sendiri oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam satu kenyataan media hari ini. Tunku Ismail berkata, ganjaran tersebut adalah tambahan kepada bonus lumayan yang akan diberikan kepada kedua-dua pasukan Johor sekiranya JDT memenangi Piala FA menentang Kelantan pada final, Sabtu ini. "Semua inisiatif ini dilakukan sebagai menunjukkan penghargaan terhadap segala usaha dan komitmen yang ditunjukkan pasukan dan para pemain," katanya. Mengulas mengenai perlawanan final di Stadium Nasional Bukit Jalil nanti, Tunku Ismail menyeru kedua-dua penyokong pasukan itu agar sentiasa menjaga disiplin dan tingkah laku mereka ketika di stadium. "Saya berharap para penyokong yang datang di Stadium nanti patuh kepada arahan pegawai-pegawai keselamatan yang bertugas dan elakkan daripada mencetuskan sebarang kekecohan dan provokasi. "Saya berharap juga penyokong dari kedua-dua pasukan menunjukkan semangat kesukanan dan persaudaraan," katanya. Tunku Ismail juga memberitahu satu perjumpaan ramah mesra di antara penyokong JDT dan Kelantan akan diadakan di kawasan rehat Seremban, Lebuh Raya Utara-Selatan sebelum mereka meneruskan perjalanan ke Bukit Jalil pada hari perlawanan. |
Hamidin sah Setiausaha Agung baru FAM Posted: 27 Jun 2013 06:03 PM PDT Sumber: Harian Metro Kuala Lumpur: Selepas timbul pelbagai spekulasi berhubung calon pengganti jawatan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), semalam Presiden, Sultan Ahmad Shah mengumumkan Datuk Hamidin Mohd Amin secara rasmi dilantik mengisi jawatan itu. Tugas Hamidin yang mengambil jawatan itu daripada Datuk Azzuddin Ahmad kerana mengalas tugas baru dalam Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF), akan bermula Isnin ini. Sultan Ahmad Shah yang mengumumkan perlantikan itu dalam satu sidang media khas di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang berkata, keputusan itu dilakukan selepas berfikir panjang dan mengambil kira Hamidin sebagai calon paling sesuai. "Saya sudah fikir panjang dan membuat keputusan Hamidin menggantikan tugas Azzuddin dan saya percaya kemampuan beliau berdasarkan hubungan baiknya dengan media. "Justeru, Hamidin perlu melepaskan semua jawatan disandangnya iaitu Naib Presiden FAM, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM serta jawatan dalam Persatuan Bolasepak Selangor (FAS)," katanya. Jawatan Setiausaha Agung FAM itu kosong selepas Azzuddin menerima tugas sebagai Setiausaha Agung AFF bermula 1 Julai ini bagi menggantikan bekas Setiausaha Agung badan induk itu, Datuk Seri Paul Mony Samuel yang bersara awal akibat masalah kesihatan. Dalam sidang media khas itu juga, beliau yang juga Presiden AFF mengumumkan pentadbiran AFF dengan pengurusan pengurusan FAM akan berpusat di Putrajaya selepas FAM mendapat kelulusan daripada kerajaan untuk membina bangunan di atas tanah seluas lapan ekar. Katanya, tanah untuk mendirikan bangunan itu sudah dikenal pasti dan hanya menunggu masa untuk dibangunkan, bagaimanapun beliau perlu berbincang secara lebih terperinci dengan ahli gabungan FAM dan AFF terlebih dulu sebelum perancangan lanjut dilakukan. |
You are subscribed to email updates from LIGA BOLASEPAK MALAYSIA To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |