Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik |
- Kesal dituduh sombong
- Cicak ekor tiga minum kopi
- Kisah di sebalik perjalanan Rasullulah
- Mon negeri warga emas
- Bukan penutup hidung biasa
- Harapan baharu Teluk Havana
- Lari masuk panggung
- Mahu popular cara sendiri
- Farid Kamil Berehat Seminggu Akibat Jatuh Motosikal
- Hilangnya sebutir bintang
- Mamat Khalid penyelamat Bro, Nampak Motor Gua?
- Akua Ekstrem 5 tawar Myvi
- Taman Tema Air Dinasour KSL Resort dibuka hari ini
- Api sambar kereta sedang dikimpal
- Pemuda Perancis miliki tangan bionik
- Kucing seludup telefon bimbit ke dalam penjara
- Hikmah menulis wasiat sendiri
- Sudan gergasi gula Afrika
- Kari kepala kambing resipi tradisi
- Mandian melembap kulit
- Sajian ketam pencetus selera
- Alat tulis corak safari
Posted: 05 Jun 2013 02:49 PM PDT
APABILA drama bersiri Adam dan Hawa menjadi fenomena setelah mendapat sambutan luar biasa daripada penonton, ia turut memberi impak kepada beberapa pelakon utamanya. Antaranya pelakon Dazrin Kamarudin yang kini sudah mula mendapat perhatian ramai. Paras rupa yang kacak menjadi satu lagi bonus untuk Dazrin melebarkan karier lakonannya. Bagaimanapun, adat bergelar anak seni semakin meningkat popular maka semakin banyak juga gosip dan cabarannya. Perkara itu turut berlaku ke atas pelakon kelahiran Melaka itu apabila dikatakan sudah mula bersikap sombong. Dazrin yang ditemui semasa majlis ulang tahun pertama saluran Astro Mustika HD di kompleks beli-belah AEON Bukit Tinggi, Klang, Selangor baru-baru ini mengakui dia juga ada terdengar dakwaan yang dilemparkan terhadap dirinya itu. "Memang ada yang menuduh saya seorang yang sombong, tetapi saya anggap tuduhan tersebut tidak berasas kerana dibuat oleh pihak yang tidak mengenali saya secara rapat. "Sudah tentu tidak adil kalau mereka membuat tuduhan yang melulu tanpa mengenali diri saya terlebih dahulu. Kalau sudah mula kenal dan rapat, barulah orang akan tahu sikap sebenar saya," ujar pelakon berusia 25 tahun itu. Mendedahkan dirinya sebagai seorang yang mudah mesra dan suka membuat lawak, Dazrin tidak menolak kemungkinan raut wajahnya yang adakalanya kelihatan serius telah menimbulkan salah faham segelintir pihak. Dazrin mengakui, terbit sedikit perasaan kesal terhadap cerita negatif itu yang sedikit sebanyak menjejaskan kredibilitinya. Disebabkan itu, dia seboleh-bolehnya mahu mengelak daripada terbabit dalam sebarang kisah kontroversi. "Sepanjang tiga tahun berkecimpung dalam dunia lakonan, sudah tentu saya tidak mahu dikenali sebagai seorang pelakon yang popular kerana kontroversi. "Lebih mengecewakan apabila cerita sebegini timbul ketika saya sudah dikenali ramai. Jadi saya berharap dakwaan terhadap diri saya itu akan berlalu begitu sahaja," ujarnya.
Menceritakan tentang karier lakonannya pula, Dazrin mengakui gembira apabila semakin banyak tawaran berlakon yang diperoleh selepas drama bersiri Adam dan Hawa. Ujarnya, sudah ada penerbit dan pengarah yang memberikan kepercayaan buat dirinya untuk memegang watak utama sama ada dalam drama bersiri atau telemovie. "Saya bersyukur dengan tawaran berlakon yang tidak putus-putus ini. Ia merupakan satu perkembangan yang positif dan membuatkan saya mahu bekerja dengan lebih keras lagi. "Namun begitu, dengan pencapaian yang diraih ini, ia tidak bermakna saya sudah boleh berpuas hati kerana masih banyak lagi yang perlu dipelajari dalam bidang lakonan," ujarnya yang turut popular menerusi drama Jodoh. Masih baik Selesai menjawab isu bersikap sombong, Dazrin kemudian ditebak pula dengan satu lagi kontroversi baharu. Dia dituduh sebagai individu yang mementingkan diri sendiri semasa bergandingan dengan seorang lelaki pelakon muda, Hairul Azreen dalam rancangan realiti Fear Factor Selebriti Malaysia. Walaupun berhasil muncul sebagai juara dan berjaya memenangi hadiah wang tunai RM200,000, tetapi hubungan kedua-dua pelakon itu dikatakan mulai renggang selepas rancangan berkenaan berakhir. Ketika diminta mengulas mengenai perkara tersebut, Dazrin meluahkan rasa hairannya. Ini kerana tiada sebarang masalah yang timbul antara mereka berdua, bahkan hubungan kedua-duanya masih lagi baik. "Sudah tentu saya agak pelik apabila ada yang mengatakan saya dan Hairul bermasam muka, sedangkan kami selalu lepak bersama-sama. Cuma, sejak kebelakangan ini kami jarang berjumpa kerana masing-masing sibuk. "Apabila saya bertanyakan tentang cerita ini kepada Hairul, dia pun agak terkejut kerana sepanjang bergandingan bersama dalam rancangan Fear Factor Selebriti Malaysia, hubungan kami sangat rapat seperti adik-beradik. Bahkan, itulah antara faktor kejayaan kami muncul juara," jelasnya. Bagaimanapun, Dazrin menjelaskan persepsi yang mengatakan dia mementingkan diri sendiri timbul dalam kalangan penonton yang menjadi pengikut setia rancangan realiti tersebut.
"Perlu diingat bahawa apa yang penonton saksikan itu sebenarnya tidak menggambarkan keseluruhan keadaan yang berlaku semasa pertandingan berlangsung memandangkan ia membabitkan banyak suntingan. "Mungkin ada sebahagian babak yang dipaparkan itu menunjukkan saya seolah-olah membuat lawak kepada Hairul, tetapi ia disalah anggap pula oleh segelintir penonton," jelasnya. Kongsi kejayaan Mengenai hadiah wang kemenangan sebanyak RM200,000 yang diraih setelah bergelar juara Fear Factor Selebriti Malaysia, Dazrin memberitahu dia sudah mempunyai perancangannya sendiri. Salah satu perancangan terdekatnya adalah untuk menganjurkan sebuah majlis kenduri kesyukuran yang disertai anak-anak yatim. "Dengan wang yang diperoleh itu sebahagiannya akan saya gunakan untuk berkongsi kejayaan yang diraih dengan golongan kurang bernasib baik seperti anak yatim. "Cuma, sekarang ini saya masih lagi sedang mencari lokasi yang sesuai. Kalau mengikut perancangan mungkin saya akan adakannya ketika majlis berbuka puasa nanti," ujarnya. Ketika ditanya sama ada ia akan dilakukan bersama pasangannya dalam rancangan tersebut, Dazrin menyatakan ia merupakan anjurannya sendiri. Ini kerana Hairul akan menggunakan wang yang dimenangi itu untuk membawa ibu bapanya mengerjakan ibadah haji. | |||
Posted: 05 Jun 2013 02:44 PM PDT Zali Bahaman, 56, berkata, dia menemui cicak itu di ruang tamu rumahnya ketika sedang menonton televisyen. Menurutnya, keunikan pada haiwan itu disedarinya ketika ingin membuang cicak berkenaan. "Apabila diamati cicak ini memiliki lebih daripada satu ekor bukan seperti kebiasaan telah membantutkan hasrat untuk membuang haiwan berkenaan. "Saya meletakkannya diletakkan di dalam sebuah balang plastik kerana dia belum menemui bekas yang sesuai," katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam. Zali berkata, seumur hidupnya, dia belum pernah melihat cicak yang memiliki tiga ekor seperti itu. Katanya, sejak haiwan berkenaan berada di bawah jagaan keluarganya, cicak berkenaan kelihatan normal seperti biasa dan keluarganya tidak mengalami sebarang kejadian pelik. "Cuma cicak ini sering mengeluarkan bunyian lebih nyaring pada waktu malam terutamanya jika ia terlihat cicak lain. "Atas nasihat seorang rakan, saya memberinya makan lalat dan air kopi manis. Memang pelik, namun itulah kesukaan haiwan berkenaan terutama minuman yang manis," katanya. Zali berkata, keunikan yang jarang ditemui itu telah mendorongnya untuk terus membela haiwan berkenaan. "Saya ada cerita tentang penemuan tersebut kepada rakan-rakan dan sejak itu rumah sering menjadi tumpuan ramai orang. "Mereka terlalu teruja untuk melihat keunikan ini meskipun ada seorang peniaga Cina menawarkan RM300 untuk membeli cicak ini," katanya. Beliau berkata, dia tidak bercadang untuk menjualnya walaupun ada pihak yang ingin menawarkan harga yang lumayan. "Cicak ini tidak akan dijual, namun kepada orang ramai yang ingin melihatnya sendiri bolehlah berkunjung ke rumah," katanya. | |||
Kisah di sebalik perjalanan Rasullulah Posted: 05 Jun 2013 02:39 PM PDT
ISRAK MIKRAJ merupakan salah satu daripada hari kebesaran Islam selain Maulidur Rasul, Nisfu Syaaban dan Nuzul Quran yang diraikan saban tahun. Ia dianggap peristiwa agung yang dialami Nabi Muhammad SAW sekali gus menzahirkan kekuasaan Allah yang meliputi tiap-tiap sesuatu tanpa sebarang batasan. Ayat di atas merupakan firman Allah yang diturunkan bagi menolak kaum musyrikin yang mendustakan peristiwa Israk tatkala Nabi Muhammad SAW mengkhabarkannya kepada mereka mengenai perjalanannya dari Masjidilharam ke Masjid al-Aqsa. Sementara Mikraj pula merangkumi perjalanan Rasulullah SAW yang naik ke langit dengan menunggang buraq sehingga sampai ke Sidratul Muntaha. Peristiwa penting Menurut pendakwah bebas, Ustaz Muhammad Abdullah al-Amin, ada tiga perkara penting yang perlu diketahui dalam peristiwa Israk Mikraj ini. Pertama tentang pengajaran yang boleh diambil melalui ajaran Nabi SAW tentang konsep kehidupan yang dilihat. "Contohnya, Baginda melihat seorang perempuan tua hodoh yang diibarat sebagai dunia yang sudah terlalu tua. Kemudian, pengajaran bagaimana Nabi dikejar oleh golongan jin Ifrit dan malaikat Jibril mengajar doa yang perlu dibaca untuk berlindung daripadanya. "Selain itu, apabila Nabi sampai di Masjid al-Aqsa, Baginda dihidangkan dengan dua pilihan minuman iaitu arak dan susu. Akhirnya Nabi memilih susu. "Begitu juga dengan solat yang disyariatkan semula kepada Rasulullah sedangkan ibadat solat ada dalam syariat nabi-nabi terdahulu. Semua itu merupakan pengajaran dan falsafah hidup yang Nabi ajarkan kepada seluruh umatnya," terang Muhammad ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini. Perkara kedua, ujar beliau, ialah ketika Nabi dibawa melawat syurga dan neraka. Ia adalah satu bentuk peringatan tentang nasib orang yang berbuat dosa dan mereka yang taat. Tambahnya, perkara ketiga pula ialah peristiwa Israk Mikraj yang membuktikan kebenaran Islam itu sendiri sekali gus menunjukkan bahawa Allah itu Maha Berkuasa melakukan apa sahaja hatta perkara yang disifatkan manusia sebagai mustahil. Sering berulang-alik ke bumi Palestin untuk membawa rombongan dari Malaysia dalam program Kembara Universiti Kehidupan Al-Aqsa, Muhammad memberitahu, kesan peninggalan daripada peristiwa Israk Mikraj memang berada dalam lingkungan kawasan Masjid al-Aqsa. "Antaranya ialah tempat tambatan buraq (haiq buraq), batu tergantung as-Sakhra dan kubah arwah iaitu tempat Nabi SAW solat dengan para nabi terdahulu. "Semua lokasi ini masih dipelihara dan dijaga dengan baik. Cuma, ia menjadi perebutan antara orang Islam dan Yahudi yang mendakwa di situ terletaknya Temple of Solomon. Tetapi hakikatnya, Masjid al-Aqsa ialah milik umat Islam yang dipenuhi pelbagai sejarah," tegas Muhammad. Bumi anbiya Sejak tahun 2009, Muhammad sudah membawa ratusan rakyat Malaysia mengunjungi bumi para anbiya itu. Setiap peserta yang mengikuti program tersebut akan dibawa ke tempat-tempat istimewa tersebut bagi menunjukkan kesan peninggalannya. "Selain bersolat di Masjid al-Aqsa, peserta turut diberi penerangan khusus mengenai setiap lokasi yang dilawati kerana setiap jengkal bumi Palestin ini dipenuhi sejarah," ujar beliau yang bertuah kerana mengetahui sejarah Palestin daripada Imam I Masjid al-Aqsa, Sheikh Yusoff Abu Sunainah yang menjadi imam selama 27 tahun di sana. Sheikh Yusoff juga tidak keberatan memberi surat bertulis tangan yang melantik Muhammad sebagai Duta Perjalanan al-Aqsa sebagai tanda penghargaan kepada beliau. Sementara itu, Zulkifli Zainudin, 49, yang baru pulang dari Palestin hujung Mei lalu, mengakui perasaannya seperti tidak percaya kerana berpeluang menjejaki bumi Baitulmuqaddis. "Alhamdulillah, saya bersyukur dan terharu kerana dapat menunaikan solat di dalam Masjid al-Aqsa, salah satu daripada tiga masjid yang disunatkan oleh Rasulullah untuk menziarahinya. "Di sana, selain beribadat di masjid, program kami tertumpu pada ziarah dan tabarruk di makam-makam para Nabi dan auliya. "Kawasan sekitar peninggalan sejarah termasuk dalam peristiwa Israk Mikraj masih terjaga, namun kemampuan pihak berwajib agak terhad disebabkan kekangan sumber kewangan," kata beliau yang berkunjung ke Palestin bersama agensi pelancongan Sofa Travel di bawah bimbingan Datuk Sheikh Muhammad Fuad Kamaluddin, Pengerusi Akidah Majlis Agama Islam Negeri Sembilan. Ujar Zulkifli lagi, melalui program ziarah tersebut, ia mampu meningkatkan lagi keyakinan dan keimanan seseorang terhadap kekuasaan Allah SWT. Ziarah musafir "Israk dan Mikraj adalah satu peristiwa yang berkait rapat dengan tauhid dan kepercayaan kita sebagai umat Islam. Justeru, dengan menjejaki semula kesan dan tapak peninggalan dalam peristiwa tersebut, kita dapat menambahkan rasa kasih dan cinta kepada Rasulullah SAW yang telah diangkat darjatnya ke peringkat tertinggi daripada sekalian makhluk-Nya," ungkap Zulkifli. Dalam pada itu, angkasawan negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha, 41, turut menyeru umat Islam yang berkemampuan agar melakukan ziarah bermusafir ke bumi Palestin. Beliau yang berada di sana pada Mei lalu mengakui rasa seronok dan dapat memahami apa yang berlaku dalam peristiwa Israk Mikraj dengan lebih mendalam. "Sebelum ini, kita sering dimomokkan dengan berita kekacauan dan huru-hara yang berlaku di Palestin sehingga umat Islam di seluruh dunia dilarang menziarahi Masjid al-Aqsa atas faktor keselamatan. "Memang benar ada kawalan ketat daripada tentera Israel, tetapi masih ada ruang untuk kita beribadat di sana. Yakinlah bahawa Allah akan menjaga kita jika niat kita adalah untuk beribadah di sana," kata Sheikh Muszaphar yang pergi ke Palestin bersama rombongan Program Angkasawan Malaysia kendaliannya. Beliau turut membawa isterinya, Dr. Halina Mohd. Yunos, 32, serta dua anaknya, Sophea Isabella, 2, dan Sophea Natasya, empat bulan. | |||
Posted: 05 Jun 2013 02:36 PM PDT KEKANGAN ekonomi menyebabkan hampir semua generasi muda di Mon, sebuah negeri di tenggara Myanmar terpaksa berhijrah mencari rezeki di luar negara. Ia menyebabkan hanya golongan tua menjadi penghuni Mon sehingga ia sinonim dengan panggilan Tanah Warga Emas. Ia merupakan sebuah negeri yang mempunyai pelbagai konflik dan masalah ekonomi. Dengan penubuhan kerajaan baharu, harapan pembangunan sedikit sebanyak mula berputik di Mon. Penduduk tempatan di Ywarthit memberitahu, isi rumah Mon kehilangan hampir 70 peratus golongan muda hinggakan yang tinggal kini hanyalah kanan-kanak dan orang tua. Kebanyakan remaja meninggalkan negeri itu selepas mereka tamat persekolahan. Mereka menyeberangi sempadan Thailand untuk mencari pekerjaan di kilang-kilang atau sebagai pembantu rumah di Thailand. "Hanya golongan ibu, datuk dan nenek menetap Mon yang menjaga anak dan cucu mereka tinggal di sini," ujar Nyein Tin. Kemiskinan Nyein Tin mempunyai lima orang anak tetapi kesemuanya bekerja di Thailand. Menurutnya, dia hanya bergantung kepada wang yang dikirim oleh anak-anaknya itu untuk menjaga lima orang cucu. "Bagaimana saya hendak meneruskan hidup sekiranya mereka tidak mengirimkan wang?" soalnya yang kini berusia 60 tahun. Kajian HelpAge International baru- baru ini mendapati, kira-kira satu perempat daripada isi rumah di Mon dihuni oleh datuk, nenek dan cucu. Kerajaan separa awam yang telah mengambil tampuk pemerintahan pada awal 2011 kemudian mengadakan gencatan senjata dengan puak pemberontak dari Mon dan negeri jiran, Karen tahun lalu. Ketika berada di bawah pemerintahan majlis itu, Myanmar merupakan salah sebuah negara termiskin di rantau Asia. Justeru, tarikan kewangan di negara asing merupakan salah satu faktor menarik golongan belia bekerja di luar negara. Menurut aktivis hak asasi pendatang asing, Andy Hall, Thailand kini mempunyai hampir 1.7 juta pekerja yang berdaftar dari Myanmar manakala lebih sejuta lagi dikatakan tidak berdaftar. Pendapatan lebih tinggi Thailand memerlukan pekerja bergaji rendah untuk meningkatkan sektor pembinaan, pemprosesan makanan dan industri perikanan. Namun, menurut Hall, pendatang asing dari Myanmar terdedah kepada penderaan dan diskriminasi. "Mereka mahu pulang ke tanah air tetapi perbezaan pendapatan yang tinggi membuatkan mereka terpaksa melupakan hasrat itu," ujarnya yang membuat anggaran keseluruhan pekerja asing yang mengirim wang kepada keluarga di Myanmar adalah berjumlah AS$300 juta (RM915 juta) hingga AS$2 bilion (RM6.1 bilion) setahun. Tambahnya lagi, mereka dapat menikmati pendapatan sebanyak AS$200 (RM610) sebulan atau lebih di Thailand. Terguris hati Kyaw Thu Ya dan isterinya, Hay Mar bekerja di kilang memproses udang di Mahachai, Thailand. Di kilang itulah dua pekerja asing yang berasal dari Mawlamyine, ibu negeri Mon iaitu berkenalan. Kawasan kilang tersebut merupakan tempat tinggal dan sumber mencari rezeki bagi ribuan warga Myanmar. "Hati saya terguris apabila melihat negara sendiri tidak seperti negara lain. Saya amat rindukan keluarga di kampung," keluh Thu Ya. Jelasnya lagi, keluarganya di Myanmar merupakan petani miskin yang menjalankan kerja-kerja pertanian di sawah padi. Thu Ya dan isterinya tinggal di bilik sempit bersama rakan-rakan senegaranya kerana tiada pilihan lain. "Di sini, kami mempunyai pekerjaan. Prasarana seperti jalan raya dan elektrik amat baik. Di Mon, kami tidak mampu membeli televisyen atau komputer. Ia merupakan satu perubahan besar," katanya. Dalam kunjungan aktivis demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi ke Thailand tahun lalu, beliau berharap pekerja asing di Mahachai pulang ke tanah air. Menurut sebuah akhbar tempatan, Than Lwin Times, kebanyakan golongan belia bekerja sebagai buruh di Mon hanya mendapat bayaran AS$3 (RM9) sehari. "Jumlah itu tidak cukup untuk kehidupan mereka dan itu merupakan faktor utama mereka ke luar negara. Disebabkan itulah, Mon itu hanya dihuni oleh warga emas," ujarnya. | |||
Posted: 05 Jun 2013 02:35 PM PDT
MUHD. AZHARI HUJLI menghidap sakit jantung berlubang sejak dilahirkan. Disebabkan itu, Muhd. Azhari yang berusia tujuh tahun terpaksa menjalani pembedahan laser untuk merawat penyakitnya. Menurut ibunya, Aznita Arbain, 43, anak bongsu daripada tiga adik-beradik itu terpaksa menjalani pembedahan selain bergantung kepada ubat-ubatan. Begitupun, akui Aznita, rawatan tersebut bukanlah membebaskan Muhd. Azhari 100 peratus daripada penyakit tersebut kerana Muhd. Azhari perlu mematuhi beberapa pantang larang bagi mengelakkan dia jatuh sakit. Salah satu daripada pantang larang itu ialah dia tidak boleh terdedah kepada habuk. "Habuk akan menyebabkan anak saya demam, selesema dan muntah. Jadi, saya tidak punya pilihan lain daripada memastikan pada kebanyakan masa Muhd. Azhari mengenakan penutup hidung bagi menapis habuk masuk ke saluran pernafasannya," luah Aznita ketika ditemui di Ampang, Selangor baru-baru ini. Namun, akui Aznita, pemakaian penutup hidung konvensional yang besar pada kebanyakan masa menyebabkan anaknya itu kurang selesa. "Biasalah kanak-kanak, bila mengenakan penutup hidung biasa itu mereka malu sebab kelihatan janggal. Jadi, akhirnya mereka enggan memakainya," ujarnya. Namun, sejak sebulan lalu selepas diperkenalkan oleh seorang rakan mengenai penutup hidung yang dikenali sebagai Nosk, Aznita sudah boleh tersenyum lega. Penutup hidung Nosk yang diimport dari Korea Selatan itu sememangnya mudah dipakai, malah saiznya yang kecil menyebabkan orang ramai tidak dapat melihatnya. "Sejak sebulan Muhd. Azhari memakainya, dia tidak lagi menghidap selesema. Jadi, dia akan memakai penutup hidung itu apabila keluar dari rumah sahaja," ujarnya lagi. Pingat emas Aznita mengakui pihak Institut Jantung Negara (IJN) juga mengesyorkan pemakaian penutup hidung tersebut. Dihasilkan oleh syarikat Samjoung dari Korea, inovasi tersebut menerima pingat emas sempena majlis Ciptaan Idea Pintar pada tahun 2009 di Thailand apabila ia diiktiraf sebagai penutup hidung yang terkecil di dunia.
Sebelum ini, syarikat itu menceburi perusahaan pengeluaran pakaian, namun mengambil inisiatif untuk menjadi sebuah syarikat kreatif, sekali gus berjaya mengeluarkan produk mesra alam, Nosk. Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Joung berkata, pihaknya telah menjalankan kajian selama enam tahun sebelum mula memasarkan Nosk. Kajian berkenaan merangkumi pembuatan, reka bentuk, kesan kepada pengguna dan bahan yang digunakan untuk menghasilkan produk berkenaan. "Selain pengeluaran Nosk, kami bercadang membangunkan produk-produk dasar laut untuk memberikan kepuasan dan keselesaan kepada pengguna," ujarnya. Selain Muhd. Azhari, seorang suri rumah, Nitawati Okili Latif, 40, turut menggunakan penutup hidung itu. "Saya memakainya apabila melakukan kerja-kerja rumah dan membeli-belah. Saya berasa selesa sepanjang masa memakainya berbanding penutup hidung bersaiz besar yang menyebabkan muka berpeluh dengan mudah. "Lagipun, apabila kita memakai penutup hidung yang besar, menyebabkan orang ramai menganggap kita mempunyai penyakit kronik," katanya sambil berseloroh. Seorang penjual Nosk, Nora Ana Othman, 33, berkata, beliau telah mempamerkan produk itu pada pameran Windows to World yang diadakan di KL Sentral, Kuala Lumpur baru-baru ini. Ramai pengunjung menunjukkan minat untuk membeli produk itu kerana saiznya yang lebih kecil. Malah, ada segelintir pengunjung yang berasa pelik dengan produk terbaharu tersebut. "Apabila dimaklumkan ia merupakan salah satu jenis penutup hidung, ramai yang ingin tahu lebih lanjut mengenai cara-cara penggunaan produk itu," katanya. Penggunaan Menyentuh mengenai penggunaan penutup hidung itu, beliau memberitahu, pengguna hanya perlu memasukkan bahagian seumpama penapis lembut ke dalam kedua-dua belah lubang hidung. Biarpun, pada mulanya berasa janggal, namun lama-kelamaan pemakainya akan berasa selesa. "Ia dibekalkan dalam dua unit berserta satu bekas simpanan yang kecil dan boleh dipakai sehingga lapan jam sebelum dibasuh," jelasnya sambil memberitahu ia boleh dibasuh dengan menggunakan air bersih atau sabun. Bagaimanapun, had maksimum membasuh penapis itu ialah lapan hingga 16 kali, namun ia bergantung kepada keadaan. Melihat kepada saiz, Nora berkata, individu yang memakai penutup itu juga mudah makan dan minum. "Jika menggunakan penutup hidung besar, seseorang itu kesukaran untuk berkomunikasi selain terpaksa menghidu bau busuk mulut yang terperangkap dalam penutup hidung yang besar," jelasnya. Bagi pengedar sah Nosk di Malaysia, Mohd. Zaini Yunus berkata, penutup hidung itu sesuai digunakan untuk golongan yang mengalami alahan pernafasan, pelancong, pekerja kilang, pengguna kenderaan dan pekerja binaan. Menurutnya, Nosk juga sesuai digunakan oleh jemaah haji dan umrah kerana keadaan cuaca serta suasana berdebu di lokasi ibadah itu yang tidak dapat dijangkakan. Selain itu, ia juga mengelakkan para jemaah dikenakan dam kerana menutup muka ketika berihram. Secara meluas Mengikut rekod sejak bulan Februari hingga Oktober tahun lalu, seramai 30,000 jemaah haji dan umrah telah menggunakan penapis hidung itu. "Lagipun, kami memperkenalkan Nosk secara meluas setelah mendapat maklum balas yang menyatakan jemaah haji dan umrah sering kali mengalami batuk dan selesema," katanya. Kebanyakan jemaah haji dan umrah enggan memakai penutup hidung dan muka kerana berasa tidak selesa berikutan saiz topeng yang lebar dan besar. Ekoran ketidakselesaan itu, segelintir jemaah lebih gemar meletakkan penutup hidung di bawah dagu dan menggunakannya jika perlu sahaja. "Oleh itu, sejak mengetahui Korea mengeksport produk terbaharu tersebut, kami memohon menjadi pengedar," katanya. Di samping itu, ia diperbuat daripada gred plastik C-Flex yang membolehkan seseorang individu itu bernafas secara semula jadi manakala penapis yang terletak di setiap unit hidung pula diperbuat daripada selulosa poliester. Produk itu mempunyai ukuran diameter 1.4 sentimeter (sm) dan panjang 2.5 sm, sekali gus menjadikannya antara penutup hidung terkecil di dunia. Sehubungan itu, alat berkenaan mempunyai keupayaan menapis 100 peratus bendasing sekecil satu mikron dan 80 peratus bagi bendasing sekecil 0.2 mikron daripada disedut melalui hidung. Harga sepasang penutup hidung mini Nosk ialah RM19.95 di Semenanjung manakala RM21.95 di Sabah dan Sarawak. | |||
Posted: 05 Jun 2013 02:32 PM PDT KEHADIRAN burung undan yang banyak serta pelbagai spesies ikan di Pelabuhan Havana, Cuba bagaikan memberi satu perkhabaran gembira buat pencinta alam negara itu. "Ia hilang sejak sekian lama tetapi selepas pihak berkuasa mengambil langkah menjalankan kerja-kerja pembersihan di lautan, haiwan-haiwan tersebut kembali semula terutamanya burung undan," kata seorang nelayan, Eduardo Lozano, 56. Berdasarkan kehadiran semakin banyak burung undan serta hidupan marin di Teluk Havana, pakar-pakar maritim di Cuba mengakui pencemaran laut yang berlaku sejak 10 tahun lalu berjaya dikurangkan sehingga 60 peratus. Kebersihan laut itu menyebabkan ikan, burung undan dan spesies hidupan marin yang lain kembali semula di teluk berkenaan. Menurut akhbar Trabajadores Cuba, program pembersihan itu dijalankan pada tahun 1998 membabitkan kumpulan kerja yang dikenali sebagai GTE-BH. Tenaga pekerja berkenaan mengesan 100 punca yang menyebabkan pencemaran di teluk itu antaranya pembuangan sampah secara domestik, tumpahan minyak, sisa kilang, kumbahan dan banyak lagi. Akhbar sama juga melaporkan, pada tahun lalu pembuangan sampah sarap menurun sebanyak 30 peratus berbanding tahun 2011. "Pada hari ini, menyeberangi Teluk Havana dengan menaiki feri ke Regla yang terletak di selatan teluk sememangnya menyeronokkan berbanding beberapa tahun lalu kerana terpaksa menahan bau busuk," kata akhbar berkenaan. Sementara itu, seorang pemancing, Manuel George, 45, berkata, suatu ketika dahulu dia tidak pernah terlintas untuk memancing di Teluk Havana. "Sebelum ini, Teluk Havana bagaikan tiada hidupan kerana dicemari petroleum dan juga najis dari sungai-sungai berdekatan," ujarnya. Kesemua sisa pencemaran akan melalui Teluk Havana menyebabkan teluk berkenaan dikenali sebagai kubu El Morro dan La Cabana. Destinasi pelancongan Namun, akuinya, hari ini ia sudah sedikit berubah. "Airnya sudah tidak segelap dahulu dan kami sudah berani memancing di Teluk Havana. Kami biasanya tidak pulang dengan tangan kosong malah membawa tangkapan pelbagai jenis ikan," katanya. Namun, Manuel masih berharap pihak berkuasa lebih tegas dalam hal penguatkuasaan kerana masih terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab membuang sisa buangan ke teluk berkenaan. Dalam pada itu, salah satu lagi usaha kerajaan Cuba sebagai dalam mengindahkan dan memulihara Teluk Cuba, pelabuhan yang terletak di Havana akan dipindahkan ke lokasi baharu di barat Havana. Projek tersebut dibiayai oleh Odebrecht, konglomerat Brazil dalam bidang pembinaan, petroleum dan bahan kimia. Bagaimanapun, pembinaan pelabuhan terbaharu itu bertujuan untuk membersihkan pelabuhan tersebut daripada kapal-kapal tangki yang usang. Masih banyak kapal yang dibiarkan begitu sahaja tanpa ada sebarang usaha untuk membersihkannya. Kerja-kerja pembersihan itu dilakukan kerana pelabuhan lama berkenaan akan dijadikan sebagai destinasi pelancongan. Jadi, pengunjung boleh mengunjungi tapak bersejarah itu tidak lama lagi. Selain pelabuhan, kerja-kerja pemulihan juga dilakukan terhadap bangunan lama Jabatan Kastam. Kerja-kerja pengubahsuaian dan pembersihan sedang giat dijalankan bahkan, projek zon pejalan kaki juga akan dijalankan tidak lama lagi. Laluan pejalan kaki itu dibina untuk memudahkan pengunjung dan pelancong memasuki bangunan lama itu. | |||
Posted: 05 Jun 2013 02:29 PM PDT
LAYAR perak pada minggu ini menyaksikan sebuah filem arahan Ahmad Idham yang penuh aksi. Mengangkat isu pemerdagangan manusia, Lari dibarisi pelakon hebat seperti Aaron Aziz, Dira Abu Zahar, Erry Putra, Erin Malek dan Hazama Azmi. Sementara itu, bagi anda yang gemarkan filem komedi seram, jangan lupa menonton filem Thailand, Pee Mak. Ia menceritakan tentang seorang lelaki yang tidak dapat menerima hakikat kematian isterinya dalam sebuah peperangan. Pee Mak menampilkan barisan pelakon terkenal antaranya Mario Maurer, Davika Hoorne, Nattapong Chadpong, Wiwat Kongrasri, Kantapat Seeda dan Pongsatorn Jongwilak. Sebuah lagi filem pecah panggung minggu ini ialah After Earth arahan M. Night Shyamalan. Kolaborasi Will Smith dan anaknya Jaden Smith sudah tentunya dinantikan ramai. Ikuti pengembaraan After Earth yang menceritakan mengenai kehidupan dua beranak yang terkandas di Bumi yang sebelum ini ditinggalkan manusia. Lari Tarikh tayangan: 6 Jun 2013 Genre: Aksi Durasi: 1 jam 22 minit Pengarah: Ahmad Idham Pelakon: Aaron Aziz, Dira Abu Zahar, Erin Malek dan Hazama Azmi Sinopsis: Filem arahan Ahmad Idham ini mengisahkan perjalanan hidup seorang pemuda bernama Khalif lakonan Aaron Aziz yang mengharungi liku-liku kehidupan selepas kematian bapanya. Dia juga mempunyai seorang adik perempuan yang terpisah sejak tujuh tahun lalu. Dalam masa yang sama, Khalif juga bercinta dengan Maya lakonan Dira Abu Zahar. Namun, dia terpaksa melupakan hasrat untuk menyunting gadis itu akibat tentangan daripada keluarga Maya. Adik Khalif rupa-rupanya hilang akibat menjadi mangsa sindiket perdagangan wanita. Mampukah Khalif membebaskan adik dan juga menyatukan cinta hatinya dengan Maya? Lari ada jawapannya. Pee Mak Tarikh tayangan: 6 Jun 2013 Genre: Komedi dan seram Durasi: 1 jam 51 minit Pengarah: Banjong Pisanthanakun Pelakon: Mario Maurer, Davika Hoorne, Nattapong Chadpong, Wiwat Kongrasri, Kantapat Seeda dan Pongsatorn Jongwilak. Sinopsis: Filem Pee Mak berkisar tentang seorang lelaki, Mak, yang terpaksa meninggalkan isterinya kerana perlu pergi berperang. Mak turut ditemani empat rakannya dalam peperangan itu. Tidak lama selepas pemergian Mak, isterinya meninggal dunia ketika mahu melahirkan anak sulung mereka. Anak tersebut juga meninggal dunia. Mak pulang ke kampung dengan teruja apabila tamatnya perang untuk bertemu dengan isteri kesayangan. Namun, kepulangan Mak disambut berita duka. Bukan sahaja Mak kematian isteri dan anaknya, bahkan kedua-duanya dikatakan menjadi hantu. After Earth Tarikh tayangan: 6 Jun 2013 Genre: Sains fiksyen Durasi: 1 jam 35 minit Pengarah: M. Night Shyamalan Pelakon: Jaden Smith, Will Smith, Isabelle Fuhrman, Sophie Okonedo dan Zoe Kravitz. Sinopsis: After Earth mengisahkan mengenai Kitai Raige (Jaden Smith) dan ayahnya, Cypher (Will Smith) yang terkandas di Bumi 1,000 tahun selepas bencana di planet itu. Kapal angkasa mereka terhempas ke Bumi sehingga mengorbankan penumpang lain. Kitai mencari bantuan dengan mengembara merentasi kawasan yang belum diterokai akibat kecederaan parah Cypher. Namun, Kitai tidak mengetahui selepas 1,000 tahun manusia meninggalkan Bumi, planet itu kini dihuni pelbagai spesies flora dan fauna berbahaya. | |||
Posted: 04 Jun 2013 06:48 PM PDT
CANTIK berbusana merah cili, kedua-dua beradik Emma Maembong dan Chacha Maembong ditemui ketika pertunjukan fesyen Amazing Red Kurung, Kebaya & Hijab di The Weld, Kuala Lumpur baru-baru ini. Emma menyarung busana merah rekaan Nazleen Noor manakala adiknya, Chacha memperagakan sepasang dress rekaan Hazwani Osman. Diusik soalan nakal berkenaan jodoh serta simbolik warna merah sebagai padanan warna cinta dan romantis, Emma sekadar tertawa disaksikan Chacha. "Saya memang suka warna merah sebab nampak garang. Orang selalu nampak saya wanita lemah lembut, sekali-sekala pakaian merah boleh memberi keyakinan pada diri. Ya, warna merah juga serasi dengan elemen cinta dan romantis," luncur katanya. Sesekali ditanya adakah warna merah akan menjadi pilihan sempena hari bahagia suatu masa nanti, jawab Emma tersipu-sipu: "Mungkin juga." Tidak dapat lari daripada kisah kontroversi cinta yang mengaitkan Emma dan juara Maharaja Lawak, Zizan Razak, terbaharu status BBM (BlackBerry Messenger) dan Whatsapp kedua-dua artis itu menjadi pokok bicara. Mengulas mengenai perkara itu kata Emma, dia memohon agar peminat tidak membuat spekulasi awal sebelum mendengar kenyataan daripadanya. "Simbol di status BBM atau Whatsapp adalah perkara peribadi bagi saya. Jadi ia tiada kena mengena dengan sesiapa pun. Harap semua pihak faham dan memberikan ruang kepada diri saya sendiri," simpul Emma ringkas. Ruangan pojok sebuah akhbar minggu lalu mengeluarkan kisah terbaharu Emma dan Zizan yang sering bertukar-tukar status di BBM dan Whatsapp merujuk kepada diri masing-masing. Emma menulis perkataan MRR diikuti lambang hati, sementara Zizan menulis CFR menggunakan format sama seperti Emma. Ramai menafsirkan MRR adalah merujuk kepada nama Mohd. Razizan Razak manakala CFR pula Che Fatimah Rohani iaitu nama sebenar mereka. Saling menasihati Larut dalam perbualan mengenai lakonan, Emma, 21, memberitahu kesibukannya berlakon dan menghadiri acara membuatkan masanya bersama keluarga terbatas. Hal itu diakui adiknya Chacha atau nama sebenarnya Siti Aisyah Ismail yang kadangkala tidak sempat berjumpa dengan kakaknya, Emma walaupun tinggal serumah bersama ayah mereka, Ismail Embong. "Kadangkala apabila saya keluar rumah, Emma belum bangun dan begitulah sebaliknya. Hari minggu pun belum tentu dapat meluangkan masa bersama-sama ahli keluarga lain. "Tapi apabila berpeluang, kami akan berkongsi masalah bersama. Emma bukan sahaja berperanan sebagai seorang kakak bahkan kawan baik dan bak seorang emak bagi saya. Dia sentiasa menasihati setiap perkara saya lakukan. "Dia bimbang saya tersalah langkah dan enggan saya menerima tempias yang negatif seperti dia pernah lalui sebelum ini," jelas Chacha, 17. Dalam kesibukan itu, perlahan-lahan kerjaya mereka dalam bidang seni mula mendapat restu ayah mereka yang juga pelukis tersohor negara, Ismail Embong. "Mula-mula dulu memang ayah selalu marah apabila kami pulang lewat malam. Dia tidak faham kenapa agaknya anak-anaknya selalu balik lambat, padahal kami sibuk dengan penggambaran. "Sekarang apabila dia sendiri menyaksikan lakonan kami di televisyen dan ramai yang memberikan reaksi positif, ayah sudah boleh menerima kami seorang pelakon. Kadang-kadang kalau kami balik lambat dia yang akan memasak untuk kami," kongsi Emma mencelah. Persaingan Selain berkongsi masalah, pasangan adik-beradik itu juga sering berlatih berlakon bersama-sama bagi meningkatkan mutu penghayatan watak. "Kalau bergaduh, kami akan bergaduh betul-betul! Emma akan jadi teman saya berlatih atau paling tidak pun saya akan ajak sekali kakak kami, Yaya untuk membantu saya terutamanya menjayakan watak sedih," kata bintang drama Kisah cinta Cornetto Uda & Dara itu. Tidak gusar untuk dibanding-bandingkan kualiti lakonan antara kedua-dua beradik itu, baik Emma ataupun Chacha, masing-masing ada kelebihan tersendiri. "Kami ada kelebihan masing-masing dan saya tidak cemburu pun dengan populariti Emma yang semakin memuncak, walaupun saya terlebih dahulu memulakan langkah dalam bidang lakonan. "Malah saya gembira dengan kejayaannya hari ini. Saya percaya pada rezeki masing-masing. Teringin juga suatu hari nanti kami digandingkan berlakon bersama," ujar Chacha yang enggan dikaburi dengan cinta buat masa sekarang. Pengalaman selaman skuba Emma KETIKA bersua, Emma memberitahu kulit mukanya mengelupas gara-gara berkampung selama seminggu di Pulau Tioman, Pahang, untuk menyertai cabaran selaman skuba bersama pasukan Remaja Ekstrem. Berkobar-kobar berkongsi pengalaman pertamanya menyelam dalam laut sedalam 18 meter, kata Emma keindahan menikmati panorama dan kehidupan dasar laut tidak ternilai indahnya. "Mula-mula saya takut untuk melakukan aktiviti yang dianggap ekstrem bagi sesetengah orang itu dan perasaan cuak itu bertambah kerana ini baru kali pertama. "Tapi sekali sudah lompat masuk ke dalam air, rasa macam tidak puas. Mahu menyelam lagi ke dalam dan sedar-sedar sudah hampir sampai ke dasar. "Seronok sebenarnya dapat belajar bahasa badan dan isyarat yang penyelam gunakan. Selama ini asyik tengok televisyen saja, tapi kali ini diberikan peluang untuk merasai sendiri pengalaman ini," ujarnya teruja. Bagaimanapun Emma mengakui pada mulanya dia hampir berputus asa sepanjang peringkat latihan awal sebelum praktikal di tengah-tengah laut, namun katanya selagi tidak mencuba dia tidak tahu sejauh manakah kemampuannya. Ditanya apakah aktiviti ekstrem lain yang ingin dilakukan selepas ini, jawabnya dia takutkan ketinggian, tapi pada masa sama mahu mencuba melakukan aktiviti seperti terjun lelabah (bungee jumping). | |||
Farid Kamil Berehat Seminggu Akibat Jatuh Motosikal Posted: 04 Jun 2013 06:46 PM PDT Jurucakap pihak pengurusan Metrowealth berkata, pelakon tersebut sudah dibenarkan pulang dan berehat di rumah pada Isnin lalu. "Alhamdulillah kecederaan yang dialami tidak teruk dan selepas pembedahan kecil semalam (Isnin) dia dibenarkan pulang ke rumah untuk berehat. "Kecederaan bahu kiri itu disebabkan kesan luka lama ketika melakukan aksi lagak ngeri dalam filem Anak Jantan tahun lalu," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Selasa. Tambahnya, Farid turut diberi rehat selama seminggu daripada sebarang penggambaran sementara laporan mengatakan bahunya patah adalah tidak benar. "Farid kini sedang sibuk dengan drama Jodoh Itu Milik Kita terbitan Astro dan dia terpaksa rehat selama seminggu atas nasihat doktor. "Insya-Allah dia akan pulih sepenuhnya beberapa hari lagi kerana kemalangan itu tidak terlalu teruk," katanya. Pelakon Lagenda Budak Setan itu dilaporkan terjatuh ketika sedang menunggang motosikal mini Kawasaki KSR 10 di sebuah litar di Subang Jaya di sini. Dia mendapat rawatan di Hospital Sungai Buloh sehari selepas kejadian kerana mengalami sakit pada bahu kiri. | |||
Posted: 04 Jun 2013 06:41 PM PDT
PEMERGIAN pelawak veteran Allahyarham S. Shamsudin semalam benar-benar mengejutkan ramai pihak. Mana tidaknya, malam sebelum Allahyarham meninggal dunia, ramai rakyat Malaysia yang tertawa sakan kerana filem lakonannya Bujang Lapok disiarkan di televisyen. Biarlah seribu kali diulang tayang filem yang sama, lawaknya tetap menggeletek hati. Lakonannya dalam filem tersebut bersama dua lagi sahabat seangkatan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Datuk Aziz Sattar benar-benar hidup. Begitu juga dengan filem-filem lakonannya yang lain antaranya Seniman Bujang Lapok, Pendekar Bujang Lapok, Ali Baba Bujang Lapok, Tiga Abdul, Nujum Pak Belalang dan Nasib Si Labu Labi, semuanya kekal malar segar sehingga ke hari ini. Kini, semuanya tinggal kenangan. Pemergiannya meninggalkan kesan di hati setiap peminat yang tidak jemu menonton filem lakonannya. Menurut rakan baiknya, Aziz Sattar atau Pak Aziz, Allahyarham yang mesra disapa dengan nama panggilan Sudin seorang yang cukup merendah diri dan disenangi ramai. "Kami bertiga agak rapat ketika sama-sama berlakon di studio Jalan Ampas, Singapura. Ini kerana pada waktu itu pelakon semuanya diberikan rumah yang berdekatan antara satu sama lain. "Jadi, habis kerja kami sering menghabiskan masa bersama-sama. Saya masih rindu untuk kembali ke zaman P. Ramlee mengarah dan berlakon filem bersama saya dan Sudin. "Waktu itu sungguh seronok. Tidak sangka gandingan kami bertiga menjadi dan cukup serasi. Sudin suka membuat lawak secara spontan yang tidak ada dalam skrip. Itu adalah kelebihannya," kata Aziz Satar mengenang kembali zaman kegemilangan lakon Allahyarham. Apabila disoal tentang pemergian rakan baiknya itu, suara Pak Aziz di hujung corong kedengaran sebak. "Saya sungguh terkejut mendapat berita pemergiannya pada pagi ini (semalam). Agak ralat kerana tidak dapat bertemu dengannya sebelum Sudin meninggal dunia. "Kali terakhir saya bertemu dengannya pada awal tahun ini. Itu pun Sudin sudah uzur kerana penyakit paru-paru yang dihidapinya. "Sekarang ini tinggal saya seorang sahaja, selepas dua sahabat baik saya, Sudin dan P. Ramlee meninggal dunia. Kenangan bekerja bersama ketika muda tidak akan saya lupakan buat selamanya. Mereka merupakan bintang yang sebenar," tuturnya yang segera ke Lapangan Terbang Antarabangsa Subang, Selangor untuk ke Singapura sebaik mendapat berita menyedihkan itu. S. Shamsudin atau nama sebenarnya Sahamsudin Dali dilahirkan di Pasir Panjang, Singapura. Sebelum bergelar seorang pelawak terkenal, Allahyarham bekerja sebagai buruh untuk membantu keluarga. Namun, tuah menyebelahinya ketika Allahyarham melawat studio Jalan Ampas untuk melihat sendiri pembikinan sebuah filem. Allahyarham telah diberi peluang untuk menjadi pelakon tambahan dalam filem Chempaka yang diarahkan oleh B. S. Rajhans. Seterusnya Allahyarham mendapat kerja sebagai tukang kayu di set studio filem dan pada masa yang sama bekerja sebagai pelakon tambahan. Berlakon dan melakukan kerja produksi merupakan sesuatu yang normal waktu itu untuk menambah pendapatan. Filem pertama yang memerlukannya melontarkan banyak dialog adalah filem Aloha. Disebabkan bakat lakonan yang ada dalam dirinya, kemudian Allahyarham telah diambil sebagai pelakon tetap bagi filem Melayu bersama Aziz Sattar. Bintangnya semakin bersinar apabila Allahyarham bergandingan bersama P. Ramlee dan Aziz Sattar. Mereka bertiga merupakan bintang terkenal era 50-an dan awal 60-an. Allahyarham bertemu jodoh dengan Puteh Esmoon pada tahun 1954 dan dikurniakan tujuh orang anak. Salah seorang anaknya Ariff Shamsudin juga merupakan seorang pelawak di Singapura. Selepas melalui zaman kegemilangan dan hidup dalam keadaan harmoni bersama keluarganya, pada usia 84 tahun Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya di National University Hospital, Singapura pada 10.43 pagi akibat sakit tua dan paru-paru berair. Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Lim Chu Kang, Singapura pada pukul 10 pagi hari ini. | |||
Mamat Khalid penyelamat Bro, Nampak Motor Gua? Posted: 04 Jun 2013 06:40 PM PDT BRO, NAMPAK MOTOR GUA? menambah sebuah lagi filem yang mengetengahkan elemen permotoran dalam arkib industri perfileman Malaysia pada tahun ini. Sama dengan beberapa filem keluaran terdahulu Metrowealth antaranya Adnan Sempit, Wawa Semput dan Aji Noh Motor, filem terbaharu Bro, Nampak Motor Gua? memberikan kelainan dengan menampilkan beberapa babak daripada filem-filem terdahulu terbitan syarikat itu. Bagaimanapun, harus diakui bahawa pengarah popular Mamat Khalid yang turut membintangi filem itu telah menyelamatkan Bro, Nampak Motor Gua? daripada terus tenggelam dan mendatar. Lawak bersahaja Mamat mengembalikan tawa penonton yang hampir layu dibuai lawak-lawak hambar beberapa pelakon lain. Biarpun Mamat bukan merupakan penggerak utama filem itu, keberkesanan karakter dan dialog yang nampak tidak dibuat-buat memberikan jaminan dan keyakinan kepada penonton untuk tidak berganjak dari tempat duduk. Mamat menjayakan watak Tan Sri Bakhtiar Karthubi iaitu seorang jutawan yang mempunyai misi untuk menyelamatkan dunia. Filem Bro, Nampak Motor Gua? mengisahkan Epol yang mencari motornya yang hilang dilarikan oleh dua orang penyamun. Sepanjang pencarian Epol bersama rakannya Helmi, pelbagai dugaan mereka tempuhi. Satu insiden telah menemukan Epol dengan Azura iaitu peguam kepada Tan Sri Bakhtiar Karthubi yang ketika itu ditugaskan untuk menghantar dokumen penting kepada bank, namun telah diragut oleh mat rempit. Tiru Hollywood Menurut pengarah filem Bro, Nampak Motor Gua?, Razif Rasyid, cabaran utama selain mengarahkan pelakon yang juga pengarah berbakat besar seperti Mamat Khalid, aspek keselamatan sepanjang penggambaran sentiasa diambil berat. "Hampir setiap hari sepanjang penggambaran membabitkan lagak ngeri dan aksi, insiden-insiden pelik tidak dapat dielakkan daripada berlaku. "Senang untuk mengarahkan pelakon-pelakon dalam filem ini, tapi susah untuk menjaga mereka sebenarnya. Saya perlu menjaga karakter Along supaya tidak serupa dengan watak Bobby dalam Adnan Sempit dan disebabkan itu saya mengubah penampilannya sedikit," katanya. Razif yang ditemui ketika majlis tayangan perdana filem Bro, Nampak Motor Gua? di TGV Sunway Pyramid, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini juga bersedia sekiranya filem arahannya dibandingkan dengan filem Hollywood, Dude Where's My Car. Dude Where's My Car mengisahkan dua sahabat baik, Jesse (Ashton Kutcher) dan Chester (Seann William Scott), yang telah terlupa lokasi akhir kereta mereka selepas pulang berparti. Katanya, kebanyakan filem tempatan ada mengambil acuan daripada karya-karya luar negara namun diolah mengikut kesesuaian penonton tempatan. "Saya mengkaji filem Dude Where's My Car dan 'diMelayukan' mengikut budaya masyarakat kita. Semua orang meniru karya-karya sebelum ini, cuma cara mengolah itu berbeza-beza. "Saya bersedia berdepan dengan kritikan tapi bukan kutukan. Lagi banyak orang bercakap, bermakna lagi banyak orang menonton filem ini," ujarnya mengenai filem itu yang telah ditayangkan di pawagam bermula 30 Mei lalu. | |||
Posted: 04 Jun 2013 06:39 PM PDT PELUANG memenangi sebuah kereta Myvi menjadi taruhan program yang membawa unsur pertandingan dalam air, Akua Ekstrem, yang kini dilanjutkan ke musim keenam. Sebelum kemunculan Akua Ekstrem 6 yang bakal disiarkan nanti, Akua Ekstrem 5 kini ditayangkan sejak 18 Mei lalu pada setiap hari Sabtu dan Ahad, pukul 5.30 petang, di TV2 saluran RTM. Pengarah Produksi Triomedia Sdn. Bhd., Au Yuk Sing berkata, program berkenaan mendapat sambutan yang cukup menggalakkan sepanjang ia diterbitkan. "Pelbagai gaya dan aksi dapat disaksikan dan pastinya ia mencuit hati peminat-peminat aktiviti sukan lasak ini. Pengisian slot menarik sebelum peserta melangkah ke petak halangan pertama tentunya membuatkan penonton tidak kering gusi melihat aksi dan keletah para peserta," ujarnya. Tambahnya: "Di sinilah memerlukan para peserta bersikap sporting dan ceria ketika diberi tugasan. Acara memanaskan badan ini cukup menarik kerana ia dilakukan secara spontan dan bersahaja. "Dengan format yang telah disediakan, mungkin halangan-halangan dalam permainan ini agak mudah dilakukan setakat ini." Sehubungan itu, bagi memberikan lebih impak dan cabaran dalam menguji minda para peserta, format Akua Ekstrem 6 telah diubah suai. "Pertandingan tidak lagi dilakukan dalam pasukan tetapi secara individu. Bagi peserta lelaki, mereka hanya diberi masa selama 180 saat manakala peserta perempuan pula 200 saat untuk menyudahkan kesemua tujuh halangan dengan diberikan peluang tiga kali percubaan," jelas Yuk Sing. Ujarnya: "Apa yang lebih menarik, seramai 15 orang peserta akan berentap bagi setiap episod pertandingan secara individu. "Bagaimanapun, hanya 12 orang peserta yang akan dipilih berdasarkan kepantasan masa untuk melayakkan diri mara ke peringkat akhir iaitu episod ke 26." Menurutnya, tawaran hadiah kereta Myvi pasti membuatkan para peserta teruja untuk memenangi hadiah tersebut. Peserta yang ingin menyertai pertandingan itu perlu membayar yuran pendaftaran sebanyak RM50 seorang untuk setiap sesi. Antara kriteria diperlukan ialah peserta mestilah berumur 17 tahun ke atas wanita atau lelaki, mempunyai kesihatan fizikal dan mental yang baik, tidak fobia air, seorang yang ceria dan sporting. Bagi menyertai Akua Ekstem 6, sila layari laman sesawang www.facebook.com/akuaekstrem.tv/marketing@triomedia.com atau hubungi 03-2871 8948. | |||
Taman Tema Air Dinasour KSL Resort dibuka hari ini Posted: 04 Jun 2013 06:35 PM PDT JOHOR BAHRU - Taman Tema Air Dinasour KSL Resort, tarikan keriangan terbaharu di negeri ini, akan mula dibuka kepada orang ramai hari ini. Taman tema berharga RM20 juta yang dibina di aras tujuh bangunan KSL Resort itu menampilkan keunikan tersendiri dengan kehadiran lima replika dinasour dengan saiz sebenar yang boleh digerakkan menggunakan sensor, selain dilengkapi sistem audio bunyi yang dihasilkan haiwan prasejarah terbabit. Pengurus KSL Resort, Mahadi Mathana berkata, kira-kira 400 pengunjung dijangka hadir hadir pada hari pertama pembukaan taman tema itu. "Ini merupakan Taman Tema Air Dinasour pertama di Malaysia dan saya pasti pengunjung akan merasai keriangan yang sebenar," katanya kepada pemberita di sini semalam. Jelas Mahadi, selain replika dinasour, taman tema yang berkeluasan 4,330 meter persegi itu juga menampilkan beberapa tarikan lain antaranya air terjun setinggi lima meter, dua luncur air berkelajuan tinggi, jambatan kayu serta pelampung air pelbagai jenis dan saiz. Selain itu, menurutnya, taman tema air itu juga selamat untuk kanak-kanak memandangkan kedalaman air hanya 0.23 meter. "Bagi mereka yang berminat, tiket masuk ke taman ini hanyalah RM50 bagi dewasa dan RM30 untuk kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun," ujarnya. | |||
Api sambar kereta sedang dikimpal Posted: 04 Jun 2013 06:33 PM PDT SHAH ALAM - Sederet tiga buah rumah papan dan sebuah kereta Honda Prelude musnah dijilat api dalam kebakaran di Jalan Berangan 2, Padang Jawa di sini semalam. Dalam kejadian kira-kira pukul 1.50 petang itu, seorang mangsa hampir 20 peratus melecur di badan dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dekat sini untuk rawatan. Kejadian dipercayai berpunca daripada kerja-kerja kimpalan yang sedang dilakukan oleh salah seorang penghuni rumah ke atas kereta Honda Prelude milik rakannya di depan rumah. Malangnya, kenderaan tersebut tiba-tiba terbakar dan api menyambar dinding rumahnya sebelum merebak ke rumah jiran sebelah. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 15, Mohd. Khairi Daud berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 1.55 petang sebelum dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Anggerik dan Shah Alam bersama 10 anggota bergegas ke lokasi. "Setiba di lokasi lapan minit kemudian, ketiga-tiga rumah itu sudah terbakar dan usaha memadamkan kebakaran daripada merebak ke rumah-rumah lain yang terletak berdekatan dijalankan. "Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya dalam tempoh lima minit dan tiada kehilangan nyawa dilaporkan, namun nilai kerugian masih dalam siasatan," katanya di sini semalam. Mohd. Khairi memberitahu, ketika kejadian, kira-kira sembilan daripada 15 penghuni berada di dalam ketiga-tiga rumah terbabit, namun mereka sempat menyelamatkan diri. Katanya, kesemua penghuni dikatakan menyewa kediaman berkenaan. | |||
Pemuda Perancis miliki tangan bionik Posted: 04 Jun 2013 06:30 PM PDT PARIS - Seorang pemuda berusia 22 tahun, Florian Lopes menggunakan tangan kiri bionik yang berharga 42,000 euro (RM170,089). Dia merupakan pesakit Perancis yang pertama menerima tangan bionik itu. Lopes memakai tangan bionik itu selepas dia kehilangan tiga batang jari semasa menggunakan sebuah mesin pengisar pada tahun 2011. Selepas tangan bionik itu dipasang, Lopes kini boleh memegang garpu atau membuka penutup balang. "Saya kini boleh memotong daging atau menuang air ke dalam gelas seperti dahulu," kata pemuda tersebut. Kos pemasangan tangan bionik tersebut dibayar oleh majikan Lopes. Lopes kelihatan seperti memakai sarung tangan sehingga ke paras sikunya semasa dia menggunakan tangan bionik itu. Tangan bionik itu dikeluarkan oleh syarikat Touch Bionics Scots. Lopes belajar menggunakan tangan tersebut di sebuah pusat pemulihan di Coubert, tenggara Paris. | |||
Kucing seludup telefon bimbit ke dalam penjara Posted: 04 Jun 2013 06:27 PM PDT SYKTYVKAR, Rusia - Seekor kucing telah ditangkap oleh beberapa wardar kerana haiwan itu digunakan untuk menyeludup beberapa buah telefon bimbit dan alat pengecaj ke dalam sebuah penjara dekat sini. Beberapa wardar yang meronda di penjara itu menemui seekor kucing yang memanjat sebuah pagar dan terdapat beberapa barang pada badannya. Selepas mendekati haiwan itu, wardar-wardar tersebut mendapati ia membawa beberapa buah telefon bimbit dan alat pengecas. Beberapa buah telefon bimbit dan alat pengecas itu didapati diikat pada perut haiwan tersebut. Menurut pihak Perkhidmatan Penjara Persekutuan Republik Komi kelmarin, kejadian tersebut berlaku pada Jumaat lalu. Penjara itu terletak 1,000 kilometer dari timur laut Moscow. | |||
Posted: 04 Jun 2013 06:25 PM PDT
SEJAK ibunya meninggal dunia lima tahun lalu, Masyitah Mohamed, 54, masih buntu memikirkan urusan hal tanah pusaka milik ibunya. Meskipun hal tersebut sudah diketengahkan kepada adik-beradiknya untuk mencari penyelesaian, Masyitah pula dituduh yang tamakkan harta. Hakikatnya, beliau mahu meringankan beban yang ditanggung arwah ibu. Lebih malang, isu tersebut menyebabkan dia dan adik-beradiknya tidak bertegur sapa. "Sejak itu saya tidak lagi membangkitkan isu tanah tersebut. Mereka sukar dibawa berunding. Saya sedar bahawa masalah akan menjadi semakin rumit jika seorang demi seorang daripada kami meninggal dunia," katanya yang mempunyai lapan beradik. Masyitah mungkin merupakan salah seorang daripada ribuan masyarakat Islam yang berdepan dengan masalah tersebut. Hakikat ini diakui sendiri oleh Md. Ghazali Ibrahim, 41, yang berpengalaman menyiapkan lebih 5,000 surat wasiat secara sukarela sebelum ini. Menurut adik kepada bekas penyanyi utama kumpulan nasyid Rabbani, arwah Ustaz Asri Ibrahim itu, orang- orang dahulu mereka lebih gemar berwasiat dengan mulut sahaja tanpa dokumen yang akhirnya menimbulkan masalah. Sebab itulah, kata Md. Ghazali, apabila berlaku kematian, adik-beradik perlu duduk berbincang dan dokumenkan apa yang pernah disuarakan oleh ibu bapa. "Buat surat persetujuan sebelum ke pejabat pusaka dan mahkamah. Orang kita tidak faham, apabila sebut sahaja faraid, ia jadi wajib. "Memang faraid wajib jika menemui jalan buntu. Kita perlu juga ingat wasiat si ayah ketika masih hidup, sepakatlah adik-beradik," saran beliau ketika ditemui di Bangunan Tabung Haji, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Tuntutan membuat wasiat ini, ujar panel program kuliah Solat di TV AlHijrah itu turut termaktub dalam al-Quran, surah al-Baqarah ayat 180 hingga 182, "Diwajibkan ke atas kamu membuat wasiat apabila datang tanda-tanda kematian." Hampir sedekad berkecimpung dalam bidang faraid, wasiat dan pusaka, bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Hishamuddin Sungai Bertih, Klang, Selangor itu kemudiannya mengambil keputusan membukukan pengalaman beliau dalam hal ehwal faraid dan wasiat. Beliau membukukan pengalamannya itu selepas hampir dua tahun berkecimpung dalam bidang tersebut. Sebelum itu, beliau aktif mengadakan ceramah ke seluruh Malaysia, bersiaran di radio dan televisyen.
Rujukan orang ramai Alasan beliau mudah dan ada logiknya. "Lazimnya, orang mudah terlupa jika sekadar mendengar ceramah, jadi apabila dibukukan, mereka bukan sahaja boleh simpan buat rujukan, malah boleh dihadiahkan kepada rakan-rakan," kata Md. Ghazali yang tampil dengan buku pertamanya iaitu Kenapa Mesti Merancang Pusaka yang diterbitkan pada tahun 2006 dan 2007. Selepas tamat pembelajaran di peringkat menengah, Md. Ghazali melanjutkan pengajian dalam bidang al-Quran dan Tahfiz di Karachi, Pakistan. Beliau kemudiannya menyambung pengajian Bahasa Arab di Kaherah, Mesir. Ketika meneruskan pengajiannya di Baghdad, Iraq selama enam tahun untuk ijazah syariah pengajian Islam, Md. Ghazali berkesempatan bertalaqi dengan beberapa ulama di Baghdad. Hari ini, banyak syarikat yang menawarkan perkhidmatan menulis wasiat pada harga antara RM300 sehingga RM5,000. Namun, Md. Ghazali menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati kerana ada pelanggan yang tidak pernah melihat surat-surat wasiat yang dibuat oleh syarikat-syarikat berkenaan. "Buku Nota Wasiat hasil tulisan saya boleh dijadikan rujukan orang ramai jika ingin menulis wasiat sendiri. "Sebenarnya semua orang boleh tulis wasiat tetapi mereka tidak tahu gaya bahasanya. Jadi, di dalam buku tersebut ada disertakan contoh surat-surat wasiat dan hibah," kata bapa kepada enam anak itu yang turut menulis beberapa buku lain. Antaranya termasuklah Bahagi Biar Adil, Urus Harta Sebelum Mati dan RM42 Bilion Pusaka Belum Dituntut? dengan pengisian santai serta mudah difahami. Apabila membuat wasiat, seseorang itu perlu mendokumentasikan aset seperti membuat senarai harta, hutang dan sebagainya selain melampirkan salinan buku bank atau geran yang diperlukan sebagai rujukan kepada waris. Anak kelahiran Kampung Bukit Naga, Klang, Selangor itu menjelaskan, waris yang tidak tahu menguruskan harta pusaka selepas kematian kedua-dua ibu bapa antara punca utama mengapa pusaka jadi bertimbun-timbun sehingga hari ini. Dianggarkan, pusaka yang tidak dituntut berjumlah RM42 bilion. Menurut Md. Ghazali yang juga moderator program Dikir Zikir di TV AlHijrah, penyediaan sesebuah wasiat itu perlu betul, jika tidak ia boleh dicabar dan tidak boleh dilaksanakan. Misalnya, sesuatu wasiat itu tidak boleh melarang waris daripada mengambil harta. Apabila wasiat tidak betul, ia boleh menimbulkan perselisihan. Beliau menegaskan, setiap umat Islam wajib memandang serius isu wasiat. "Wasiat yang tidak ditunaikan boleh memberi kesan kepada si mati (merana) dan waris pula menanggung dosa," jelasnya sambil memberitahu kesedaran wasiat dalam kalangan orang Islam sangat rendah berbanding bukan Islam. Ia berlaku kerana tidak faham dan kurang ilmu. Pentingnya dokumen Md. Ghazali yang banyak membuat lawatan ke Jordan, Syria dan Palestin mengakui bahawa ramai masyarakat Islam masih kabur lagi tentang wasiat, hibah dan harta sepencarian. "Wasiat tidak wajib tetapi kalau kita nak beri lebih kepada isteri, perlulah buat dokumen atau deklarasi harta sepencarian kerana kita tidak boleh wasiatkan separuh daripada harta kepada isteri melalui wasiat kerana ia tidak boleh melebihi satu per tiga. "Wasiat juga tidak boleh diberikan kepada waris kerana anak-anak ada bahagian dalam faraid. Ia perlu diberikan kepada orang lain, anak tiri, anak angkat dan sebagainya," kata graduan yang berkelulusan Ijazah Syariah dari Universiti Saddam For Islamic Studies, Baghdad, Iraq itu. Jika seseorang mahu memberikan harta kepada anak-anak, contohnya rumah, mereka boleh hibahkan harta tersebut dengan membuat dokumen persetujuan hibah. Bagi memudahkan orang ramai, Md. Ghazali turut menawarkan perkhidmatan menyediakan wasiat. Syarikat yang dinamakan Wasiyyah.com Sdn. Bhd. itu beroperasi di Shah Alam. Beliau menyeru orang ramai supaya tidak menangguhkan isu pembahagian harta pusaka bagi mengelakkan masalah pada kemudian hari. "Jika tiada masalah pusaka, buatlah sesuatu untuk waris kita. Rancang pusaka, buat wasiat atau hibah kerana mungkin esok lusa kita meninggal dunia," ujarnya. | |||
Posted: 04 Jun 2013 06:24 PM PDT RAMAI pekerja kelihatan tergesa-gesa membungkus gula putih halus yang sentiasa keluar dari beberapa corong di sebuah kilang besar. Masing-masing tidak menang tangan kerana kesemua bungkusan itu perlu dimuatkan ke dalam tiga lori besar yang sudah menunggu di luar kilang itu. Pengurusan Kenana, syarikat gula terkenal di Sudan, berharap kilang itu akan lebih sibuk pada tahun hadapan kerana mereka merancang untuk meningkatkan lagi pengeluaran bagi mengeksport gula ke negara-negara lain. Sudan telah kehilangan status pengeluaran petroleum pada tahun 2011, jadi negara itu kini mencari sumber baharu bagi meningkatkan hasil pendapatan negara. "Terdapat banyak tanah sesuai untuk penanaman tebu kerana terdapat air," kata Ketua Unit Perniagaan Kenana, El Zein Mohammed Doush. Bagaimanapun, usaha meningkatkan pengeluaran gula juga bersifat politik. Gula merupakan bahan makanan yang paling penting di dunia. Jadi, disebabkan itu, harga gula di Afrika merupakan isu sensitif malah ia boleh mencetuskan revolusi. Bukan itu sahaja, kenaikan harga secara mendadak juga menyebabkan protes jalanan sehingga membawa kejatuhan bekas Presiden Sudan, Jaafar Numeiri pada tahun 1985. Kini, Presiden Sudan Omar Hassan al-Bashir juga tidak terkecuali berhadapan dengan protes secara kecil-kecilan disebabkan kenaikan harga makanan. Ia diburukkan lagi dengan kadar inflasi tahunan mencecah sehingga 41.4 peratus pada bulan April lalu. Begitupun, pengkritik berkata, angka sebenar adalah lebih tinggi. Bagi menangani perkara itu, kerajaan Sudan menerima suntikan modal daripada Arab Saudi dan Kuwait. Suntikan itu membolehkan Kenana meningkatkan pengeluaran lebih dua kali ganda menjelang tahun 2015. Tampung permintaan Langkah tersebut dilihat dapat menampung permintaan domestik sebanyak 1.2 juta tan metrik. Lagipun, pada masa ini, penanam tebu di negara itu mampu menghasilkan 600,000 hingga 700,000 tan metrik setiap tahun. Menyedari hakikat itu, pihak Kenana menjangka pengeluaran gula boleh mencecah 900,000 hingga sejuta tan metrik pada tahun hadapan. Sudan merupakan salah satu pengeluar gula terbesar di benua Afrika selepas Mesir dan Afrika Selatan. Oleh itu, Sudan berharap negara tersebut mampu bersaing dengan pengeluar gula dunia seperti Brazil menjelang tahun 2020. Negara-negara Afrika berazam menghasilkan sehingga 10 juta tan metrik gula pada tahun 2020. "Kenana merancang membuka dua buah kilang lagi, manakala pihak kerajaan telah menjual empat buah kilang kerana memerlukan pemodenan," kata Doush. Menerusi perbincangan dengan pelabur dari negara-negara Teluk Arab, Kenana dibenarkan mengeksport separuh daripada pengeluaran gula ke negara-negara jiran seperti Eropah. Bagi mempelbagaikan produk, Kenana merancang untuk mengeluarkan kira-kira 200 juta liter bahan bakar bio pada tahun 2015. "Sebanyak 91 peratus bahan api, etanol diimport ke Kesatuan Eropah, Perancis, Belanda," ujar Ketua Unit Perniagaan Etanol, Ahmed Rabih. Seorang Pakar Ekonomi dari Universiti Oxford, Harry Verhoeven berkata, Kenana telah mencatatkan keuntungan yang besar dan memiliki teknologi canggih untuk mengeluarkan gula. Namun, negara itu masih berada jauh untuk menjadi pengeluar gula terbesar seperti Brazil dan Turki. "Kita tahu Kenana menerima berbilion ringgit dalam bentuk subsidi, tetapi itu tidak bermakna Sudan boleh menjadi pengeluar gula terbesar di dunia," ujarnya. Pengeluaran gula Menurut Verhoeven, kerajaan telah menjejaskan kecekapan sektor gula dengan mengawal firma gula utama, menghindari persaingan dan memanjakan mereka dengan subsidi. Sementara itu, para penganalisis ekonomi berpendapat, nilai pasaran boleh terganggu apabila kerajaan Sudan menjanjikan harga gula yang dua kali ganda berbanding harga pengeluaran sekali gus meningkatkan kemungkinan berlaku rasuah. Pengkritik juga berkata, industri gula membuat keuntungan besar tetapi masyarakat tempatan masih miskin. Kenana memiliki rumah tetamu yang mewah dan mengambil pekerja yang tidak mempunyai kemahiran. Rata-rata pekerja itu tinggal di rumah batu-bata dan jalan menghala kawasan rumah mereka tidak berturap, bahkan sering kali mengalami kekurangan air. Lebih teruk, ahli keluarga mereka terpaksa mengambil air dari tasik yang berhampiran dengan kilang gula itu. | |||
Kari kepala kambing resipi tradisi Posted: 04 Jun 2013 06:22 PM PDT
PERNAH dengar atau mencuba masakan kari kepala kambing. Mungkin ada yang tidak lalu makan sebaik mendengarnya. Namun, bagi sesetengah orang ia adalah hidangan istimewa yang amat menyelerakan dan satu masa dahulu sangat terkenal di perkampungan tradisional Melayu. Contohnya di Rembau dan Jelebu, Negeri Sembilan, masih terdapat adat kenduri-kendara yang mengamalkan hidangan kari kepala kambing. Di kedua-dua daerah itu, yang mengamalkan adat Perpatih, masih ada yang akan menghidangkan masakan itu terlebih dahulu untuk dijamah oleh Buapak (ketua) atau Tok Empat sebelum ia dihidangkan kepada saudara-mara terdekat dan tetamu lain. Baru-baru ini, Pengurus Felda Sungai Lui, Ahmad Said Hassan, 55, telah menyambut kelahiran cucu sulungnya dengan kenduri doa selamat berserta akikah dan tahlil secara gotong-royong di Felda berkenaan. Teknik yang teliti Proses penyediaan mudah iaitu selepas disembelih dan dibersih, kepala kambing dikumpul dan dipanggang hingga hangus sebelum tanduknya dibuang dan kesan hangus dikikis hingga bersih. Jangan sesekali gunakan parang atau kapak untuk membelah kepala kambing sebaliknya, ia memerlukan kemahiran dan teknik tertentu bagi mengelakkan otak kambing daripada hancur. "Gunakan pisau tajam untuk membuat hirisan bermula dari rahang hingga ke leher kambing, ngangakan mulut kambing dan tarik dua rahang ke arah berbeza secara perlahan-lahan hingga kepala terbelah dua," kata Ahmad Said. Membelah bahagian tengkorak juga memerlukan ketelitian dan kesabaran yang tinggi. "Ketuk tengkorak perlahan-lahan menggunakan hujung tajam mata pisau ala-ala tukang yang membuat ukiran kayu. Ini untuk memastikan ia retak secara lurus dan bentuk otak dapat dikekalkan dalam dua bahagian. "Gigi dan telinga kambing ditanggal dan dibuang, manakala bahagian lidah pula dikeluarkan kerana ia paling enak digoreng menggunakan tepung rangup Goreng Pisang Crispy Cap Masjid," jelasnya lagi. Beliau memilih tepung serbaguna keluaran Felda itu yang bukan sahaja sesuai diadun menjadi jemput-jemput, malah untuk menggoreng ayam, udang, sukun dan tempe selain dijamin halal serta bersih. Sementara itu, ambil tali perut kambing, yang dibersihkan menggunakan air kapur, dan lilit kepala kambing tadi dengan berhati-hati bagi mengekalkan kedudukan otak dalam tengkoraknya. Istimewa dari Sungai Lui Jika mengikut resipi Sungai Lui, kepala kambing yang telah dililit perlu direbus dalam air kelapa sehingga kulit menjadi sangat lembut sebelum dimasak menggunakan serbuk kari kambing. "Lagipun bahagian kari kepala kambing yang paling sedap ialah otak dan kulitnya," tambah bapa kepada enam anak yang telah berkhidmat 35 tahun di Felda Negeri Sembilan. Cara masakan kari kepala kambing berbeza bergantung kepada tempat. Di Negeri Sembilan, masakan itu hanya mengandungi kepala kambing dan kentang semata-mata yang enak dimakan bersama sambal belacan serta pajeri terung. Di Kedah, ia biasanya dimasak bersama umbut pisang manakala di kawasan Pantai Timur kepala kambing biasanya dicampur bersama daging kambing dan mumbang iaitu tempurung kelapa muda yang lembut untuk dimasak ala gulai kawah. Kari yang sudah dimasak Melihatkan gulai kari itu masih mengekalkan bentuk kepala kambing, tidak hairan kalau ada yang tidak sanggup memakannya, tetapi bagi Ahmad Said tiada apa yang perlu dirisaukan kerana kambing itu disembelih sempurna. "Lagipun sebagai akikah, seluruh tubuh haiwan itu dari kepala hingga ekor dimanfaatkan sepenuhnya dan hanya dijamu kepada orang Islam," jelasnya sambil menambah bahagian kaki dan tulang kambing pula enak dimasak sup. Untuk catatan, akikah bagi seorang bayi adalah dua ekor kambing bagi anak lelaki dan seekor kambing bagi anak perempuan. Namun, bagi orang yang berkemampuan lebih afdal jika melakukan akikah dengan tujuh ekor kambing atau seekor lembu atau unta bagi seorang anak. Kepala kambing Jordan Berbeza pula hidangan masakan kepala kambing di negara-negara Arab. Hidangan masakan kepala kambing yang disaji sebagai sup mahupun sandwic adalah paling popular dan menjadi tumpuan khususnya pelajar Malaysia di ibu kota Jordan, kata Pengurus Agensi Pelancongan HZ Travel & Tour Sdn. Bhd., Muhamad Hazimin Sulaiman. "Rasanya sesiapa yang pernah belajar atau tinggal di sana pasti pernah menikmati keenakan sup kepala kambing yang dimakan bersama nasi di sebuah restoran popular, Restoran Kaherah, yang terletak di Balad Amman," jelasnya. Bagaimanapun, jika ke Balad Amman, beliau lebih gemar mengunjungi kawasan Souq Khadr Balad bagi menikmati sup kepala kambing di Restoran Anwar Quds serta sandwic kepala kambing yang terkenal di Cafe Hanani. "Di kawasan Shariq Sagaf Sil pula, ada sebuah restoran popular bernama Abu Musa hanya menyediakan masakan dengan membakar atau merebus bahagian otak, hati, testis, limpa dan kepala kambing untuk dimakan dengan roti," tambah beliau. Berbeza dengan cara di Jordan yang menghidangkan kepala kambing lengkap dengan tulangnya kepada pelanggan, peniaga makanan di Syria meracik dan mengasingkan isi kepala kambing dari tulangnya sebelum dihidang. "Jika ke Syria pula, hidangan kepala kambing paling enak dimasak dalam nasi mandy Yaman," kata Muhamad Hazimin. | |||
Posted: 04 Jun 2013 06:21 PM PDT LAZIMNYA, mandian menggunakan sabun berfungsi untuk menghindar diri daripada kekotoran, bau peluh serta memberikan kesegaran yang berpanjangan. Namun, ramai yang tidak sedar mandian berkali-kali menggunakan sabun juga boleh memberi impak kepada kulit kerana kandungan dalam sabun tertentu menyebabkan kulit mudah kering. Ia menghilangkan kelembapan semula jadi kulit dan merosakkan kandungan protein dan lipid di lapisan luar kulit semasa pembersihan. Oleh itu, kesedaran dalam mengurangkan kerosakan kulit semasa membersihkan badan amat penting dalam mengekalkan kecantikan kulit. Dalam satu ujian perbandingan dengan susu, didapati kulit yang dibersihkan dengan Nutrium Moisture Dove baharu menunjukkan kadar kelembapan, penyerapan dan kelembutan yang jauh lebih tinggi berbanding kulit yang dibersihkan dengan susu. Jika selama ini kita percaya kandungan susu membantu melembutkan kulit, kini penemuan Nutrium Moisture Dove membuktikan ia lebih hebat. Ia menggabungkan manfaat pembersihan teknologi DEFI (Directly Esterified Fatty Isethionate) yang ditemui dalam sabun kecantikan Dove. Teknologi itu membantu melembapkan dan menjaga kecantikan kulit dalam jangka masa panjang. Kombinasi ramuan unik diserap ke dalam kulit untuk menambah kembali kandungan lipid yang hilang semasa mandi. "Masalah kulit kering yang disebabkan pembersihan dapat dilihat melalui keadaan kulit yang kering, gatal, mengelupas dan terasa ketat," kata Perunding Dermatologis, Hospital Pantai, Kuala Lumpur, Dr. Nazirin Ariffin tentang penjagaan kulit. Pengurus Aturan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D), Penjagaan Kediaman dan Diri serta Ketua Tapak R&D Unilever (M) Sdn. Bhd., John Goh pula memberitahu, sesetengah mandian badan juga mempunyai ramuan melembapkan kulit, tetapi ia larut dalam air dan akan hilang apabila dibilas. Sabun mandian seperti itu tidak menangani masalah kehilangan kandungan lipid semasa mandi. "Dengan pengenalan Nutrium Moisture, kehilangan kelembapan kulit ketika mandi kini tidak menjadi satu kebimbangan," kata John. Teknologi Nutrium Moisture Dove boleh diperoleh dalam varian mandian Beauty Nourishing, Gentle Exfoliating, Sensitive Skin, Fresh Touch, Energize dan Revive pada harga RM22.90 bagi botol satu liter dan RM5.90 untuk varian 200 mililiter. | |||
Posted: 04 Jun 2013 06:19 PM PDT
KUNJUNGAN ke restoran Mee Ketam KL untuk menjamu selera dengan sajian makanan laut yang segar pasti tidak mengecewakan. Setiap hidangan yang dimeriahkan dengan ketam dan udang galah menjadi taruhan pasangan kembar, Ubaidah dan Usamah Makmum yang juga pemilik restoran tersebut. Semuanya bermula daripada minat mereka terhadap menu kedua-dua makanan laut itu. Pemiliknya, Ubaidah, 29, berkata, keistimewaan hidangan yang disajikan terletak pada resipi kuah kari lazat yang menepati selera pelanggan sama ada mereka mahu menikmatinya bersama nasi atau mi. Resipi yang digunakan pula merupakan ramuan unik diwarisi sejak turun-temurun oleh keluarganya dari Pulau Pinang. "Selera pelanggan menjadi keutamaan restoran Mee Ketam KL dan kami tidak berkompromi dengan rasa pada setiap hidangan. "Semuanya diadun secukup rasa agar pelanggan berpuas hati dengan menu yang disediakan. Pada masa sama ia ditawarkan pada harga amat berpatutan," katanya ketika ditemui di premisnya di Keramat, Kuala Lumpur baru-baru ini. Antara menu yang menanti pengunjung ialah mi kari ketam bunga atau ketam nipah, mihun sup ketam, mi kari udang galah dan ketam masak cili atau lada hitam. Menariknya, saiz ketam yang diinginkan juga boleh ditentukan oleh pelanggan dan harga setiap hidangan berbeza mengikut saiz. Menurut Ubaidah, hidangan yang paling mendapat sambutan ialah mi kari ketam nipah disebabkan rasanya yang enak dan berkhasiat tinggi. Pelanggan mula memenuhi restoran tersebut pada waktu makan tengah hari iaitu pukul 1 tengah hari dan makan malam sekitar pukul 8.30 malam. "Udang yang dijual pula mengikut gred iaitu A, B, C dan A+ manakala harga yang dikenakan bergantung pada saiz dan berat udang galah," kata Ubaidah yang sudah tiga tahun berniaga. Memandangkan permintaan yang diterima sangat menggalakkan, Ubaidah memesan kira-kira 1,000 kilogram ketam seminggu bagi kedua-dua cawangan restoran milik mereka. | |||
Posted: 04 Jun 2013 06:19 PM PDT GANAS, liar dan garang merupakan tema di sebalik koleksi baharu jenama alat tulis Stabilo iaitu Be Wild!. Pilihan fesyen terkini itu telah direka untuk mereka yang mencintai alam semula jadi dan keseronokan mengembara. Mengambil inspirasi daripada hidupan liar safari, koleksi tersebut menyerlahkan corak kuda belang yang berjalur-jalur, harimau bintang yang bertompok-tompok, zirafah yang tinggi lampai, serta corak harimau. Melalui produk terbaharu itu, para pelajar pasti tambah bersemangat ketika mengulang kaji bersama teman-teman. Koleksi edisi terhad Stabilo Be Wild! mempunyai alat tulis untuk setiap keperluan melalui beberapa item terkini iaitu Stabilo Move, Stabilo Swing Cool dan Stabilo Bionic. Stabilo Bionic direka cipta buat mereka yang suka menikmati hidupan liar. Pen mata bola itu cukup sempurna untuk penulis yang banyak berkarya kerana ia dilengkapi dengan sistem dakwat cecair. Ia menampilkan corak harimau yang berbelang-belang dan boleh didapati dalam tiga warna dan reka bentuk. Pen mata bola Stabilo Move dengan bentuk ergonomik direka untuk keselesaan genggaman tangan pengguna. Ia boleh dipasang dengan aksesori yang bergaya seperti bulu burung, juraian atau manik. Boleh didapati dalam tiga reka bentuk hidupan liar dengan gabungan warna yang menarik, koleksi Move bermotifkan kuda belang, zirafah, dan corak harimau bintang untuk menyerlahkan ciri-ciri safari dalam diri pengguna. Rangkaian pen penyerlah Stabilo Swing Cool menonjolkan ciri-ciri eksklusif. Kanak-kanak sekolah, pelajar dan golongan muda menjadi golongan tumpuan kerana mereka menggemari pen penyerlah yang baharu ini. Menonjolkan enam jenis yang berlainan dengan cetakan corak haiwan yang bergaya, pen penyerlah ini dicipta dengan bentuk rata bagi menjimatkan ruang. Ia turut dilengkapi klip saku yang praktikal agar mudah dibawa ke mana-mana. Dengan teknologi antikering, ia memastikan dakwat tidak kering walaupun tidak bertutup selama empat jam. Koleksi edisi terhad Stabilo Be Wild! boleh didapati di semua kedai alat tulis utama. Layari www.stabilo.com.my bagi mendapatkan maklumat lanjut. |
You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |