Ahad, 16 Jun 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Rezeki Eja melimpah selepas berhijab

Posted: 14 Jun 2013 07:16 PM PDT

EJA bersama butik Cosry bakal berkolaborasi menghasilkan koleksi hijab sempena kedatangan bulan Ramadan.


SELEPAS mengambil keputusan untuk berhijab sejak beberapa bulan lepas, aktres Eja atau nama sebenarnya Siti Shahrizah memberitahu, dia kini sedang melalui satu fasa kehidupan yang cukup tenang dan bahagia.
Mengakui juga selepas berhijab ia bukan tanda aras hidupnya telah sempurna, Eja yang ditemui sewaktu mengikuti rombongan Anugerah Skrin 2011 & 2012 ke Korea Selatan baru-baru ini mengatakan dia kini dalam proses memperbaiki kelemahan dirinya.
"Alhamdulillah, secara perlahan-lahan Tuhan memberi saya petunjuk sehingga akhirnya saya berhijab.
"Apabila saya telah menutup aurat seumpama ini, ia bukan bermakna saya sudah menjadi seorang manusia yang sempurna, sebaliknya saya bersyukur kerana Tuhan telah memberi saya peluang untuk berubah," ujarnya yang mahu lebih kerap menghadiri majlis usrah sambil memanjat kesyukuran.
Dedah Eja, pada saat dirinya mengambil keputusan untuk terus berhijab sebaik sahaja pulang daripada menunaikan umrah sekitar Mei lalu, dia telah mempersiapkan diri dengan risiko untuk hilang atau kurang mendapat tawaran berlakon.
Bagaimanapun, sebaliknya yang berlaku. Tuhan telah mencurahkan dirinya dengan rezeki yang melimpah-ruah, satu hal yang tidak dijangka oleh wanita tinggi lampai ini.
Menurut Eja: "Pada saat saya telah bersedia dengan kebarangkalian untuk tidak menerima tawaran berlakon kerana penampilan baharu ini, pada saat itu, tawaran terus datang tanpa henti.
"Antara bukti rezeki saya tidak ditarik Tuhan kerana saya berhijab ialah kontrak saya untuk berlakon dalam filem Manisnya Cinta dan sebagai duta produk kecantikan Cosry yang ditandatangani sebelum saya berhijab masih diteruskan.
"Saya kemudian menerima beberapa tawaran lain termasuk dua telefilem sempena sambutan Aidilfitri ini. Alhamdulillah."
EJA bersama Umie Aida sempat bergambar di hadapan Muzium Rakyat di Seoul pada kunjungan ke Korea Selatan anjuran TV3 baru-baru ini.


Tegas Eja, biar banyak tawaran berlakon yang bakal hadir kepadanya kelak, dia tetap tidak akan menanggalkan hijab.
Luahnya, sepanjang 17 tahun menjadi anak seni, khalayak telah melihat penampilan dan rambutnya, kini dia tidak mahu memperlihatkan semua penampilan silamnya lagi.
"Cukuplah 17 tahun khalayak telah melihat rambut saya. Dengan faktor usia yang sudah mencecah 41 tahun, saya kira semua sudah perlu diperlahankan," katanya yang menyebut, suaminya tidak pernah memaksa dia berhijab, sebaliknya bergurau dengan mengatakan dirinya bakal masuk syurga sebaik sahaja Eja mengambil keputusan berhijab.
Ditebak bagaimana pula dengan trademark bulu mata palsu dan solekan tebal sewaktu berlakon, adakah khalayak tidak akan melihat penampilannya di layar kaca seumpama itu lagi, Eja hanya ketawa.
Dia kemudian memberitahu, jika skrip penceritaan memerlukan dirinya memakai bulu mata palsu atau bersolek tebal, ia akan dilakukan. Sebagai seorang pelakon, jelas Eja, permintaan tersebut masih akan ditunaikan.
Sementara itu, Eja turut berkata, dia bersama Cosry kini dalam perbincangan untuk melancarkan koleksi hijab sempena bulan Ramadan ini.
Eja bagaimanapun dengan rendah hati memberitahu, sebagai seorang wanita yang baharu memakai hijab, dia tidak mahu koleksi tersebut sekadar menjadi satu trend.
"Insya-Allah, saya dan Cosry akan menghasilkan koleksi hijab dengan jenama Eja by Cosry sempena kehadiran bulan Ramadan ini.
"Koleksi itu kelak, saya mahu pastikan ia tidak sekadar menjadi satu trend, sebaliknya saya mahu menghasilkan koleksi hijab yang mengikut syariat Islam.
"Saya mahu wanita Muslim yang berpakaian mengikut syariat Islam tidak ketinggalan dalam berfesyen dan bergaya sopan," jelasnya.

Black hampir putus tunang

Posted: 14 Jun 2013 07:15 PM PDT


BLACK bakal mengadakan sidang akhbar pada 3 Julai ini bagi mengumumkan tarikh perkahwinannya.


TIADA khabar berita sejak bergelar tunangan orang, Black Mentor sebenarnya mempunyai alasan kenapa dia kurang mendapat publisiti sejak kebelakangan ini.
Mendapatkan penjelasannya, Black atau nama sebenarnya Hanifah Md. Hanafiah berkata, dia tidak pernah lari daripada media. Cuma terdapat beberapa urusan yang membuatkan dia agak sibuk.
Tambahnya, dia tidak mahu terlalu menonjol kerana dugaan bertunang amat berat untuk dipikul lebih-lebih lagi bagi seorang selebriti seperti dirinya.
Black yang ditemui semasa rakaman Rockestra Raya untuk saluran TV9 bersama Amy Search dan Azlan The Typewriter di Plaza Alam Sentral, Shah Alam, baru-baru ini sempat bercerita.
Ujarnya, dia hampir putus tunang ekoran perbuatan individu yang tidak bertanggungjawab.
Ikuti temu bual Kosmo! bersama Black bagi mengetahui cerita dugaan bergelar tunangan kepada gadis yang dikenali sebagai Cira Khairi itu.
Kosmo!: Black, sejak anda bertunang pada 26 Januari lalu, susah betul mahu mendapatkan perkembangan terbaharu anda. Kenapakah anda seperti mahu melarikan diri daripada wartawan?
BLACK: Sebenarnya saya bukan lari daripada sesiapa. Selepas bertunang, saya ada banyak jemputan show yang perlu dihadiri sehingga tidak menang tangan.
Lebih-lebih lagi pada masa itu saya sering mengikuti kempen-kempen sempena Pilihan Raya Umum ke-13 tempoh hari. Malah, saya juga sibuk menguruskan persiapan perkahwinan. Alhamdulillah, kini persiapan perkahwinan sudah hampir 70 peratus siap.
Sudah mahu kahwin rupa-rupanya. Bilakah akan berlangsung hari bahagia Black tersebut?
Itu saya tak boleh beritahu lagi. Saya akan buat sidang akhbar pada 3 Julai ini bagi mengumumkan tarikh perkahwinan saya itu.
Di manakah lokasi dan masa pengumuman itu akan dibuat, saya akan beritahu kelak. Apa yang pasti, pernikahan itu akan berlangsung pada tahun ini juga.
Sejak bertunang, apakah cabaran paling besar yang perlu anda hadapi?
Saya akui dugaan bertunang amat berat. Tiga hari sebelum PRU-13 berlangsung, saya mengalami kemalangan di Behrang, Perak bersama abang. Kereta BMW saya terbalik dan berpusing. Syukurlah tidak ada kecederaan serius.
Selain itu, saya dan tunang terkena buatan orang. Kami sebenarnya hampir putus tunang. Sebulan selepas bertunang, kami bergaduh hampir setiap hari. Pantang bercakap atau berjumpa, asyik panas sahaja. Tetapi syukurlah, setelah menjalani rawatan alternatif semuanya kembali pulih.
Adakah anda mengetahui siapakah dalang di sebalik perbuatan tidak bermoral itu?
Tidak. Kami tidak mengenali individu tersebut. Saya pun pelik mengapa perkara ini terjadi. Mungkin ini dugaan yang perlu dihadapi sejak berdarah manis. Saya pun tidak tahu kenapa perkara itu boleh terjadi kerana kami tidak pernah bermusuh dengan sesiapa. Tetapi tak apalah sebab semuanya sudah selesai.
Memandangkan tarikh pernikahan anda bakal tiba tidak lama lagi, apakah persediaan yang dibuat untuk bergelar seorang suami?
Saya sudah bersedia dan mula melengkapkan diri. Saya akan mengambil kursus perkahwinan pada bulan depan. Bila saya lihat semula, perjalanan saya untuk bergelar suami ini cantik dan sudah tersusun. Saya serahkan segalanya kepada Yang Maha Esa.
Black, kenapa anda terlalu merahsiakan gadis yang bertakhta di hati sehingga sekarang ramai yang masih menantikan kemunculan bakal isteri anda itu?
Saya kalau boleh tak nak dia terlibat dalam industri ini kerana saya tidak mahu mencampuradukkan hal peribadi dengan kerja. Kalau boleh nak bersanding pun biar saya seorang di atas pelamin itu (ketawa).
Tengoklah, saya tidak tonjolkan dia pun masih ada orang yang dengki dan tidak puas hati. Tunggulah pada majlis persandingan nanti.
Bercerita mengenai kerjaya pula, apakah perkembangan terbaru anda?
Insya-Allah saya akan muncul dengan dua buah single baharu yang berjudul Puisi Sang Dewi dan Takkan Terpisah yang masing-masing dijadikan runut bunyi untuk filem Lemak Kampung Santan dan drama untuk siaran Astro. Semoga rezeki saya semakin melimpah.

Penyanyi Dealova ada peminat sendiri

Posted: 14 Jun 2013 07:13 PM PDT




DEALOVA mengangkat nama Once Makel dalam industri muzik dan telah memuafakatkan dua negara Indonesia dan Malaysia.
Populariti lagu itu menjangkau personaliti Once yang hanya diketahui umum sebagai vokalis band Dewa 19 ketika itu.
Bagaimanapun, Once, 43, mengambil keputusan untuk keluar daripada band yang dianggotai Ahmad Dhani, Andra Yudha, Agung Yudha dan Yuke Sempurna itu pada tahun 2010.
Mengorak langkah sebagai penyanyi solo dan menerima sedikit bahang populariti di negara jiran antaranya Malaysia dan Singapura, Once akui dirinya gentar.
"Agak sukar untuk bergerak secara solo dalam industri muzik yang pantas berkembang. Namun, sebenarnya lebih mudah bergerak solo daripada berkumpulan kerana banyak kepala banyak ragam.
"Susah untuk atur waktu dan penuhi selera masing-masing," kata Once yang ditemui ketika majlis pelancaran album pertama dan single keduanya, I Still Love You di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Jemu
Cukup lama bersama Dewa 19, kata Once , dia merasakan khidmatnya selama lebih 10 tahun sudah memadai untuk dirinya menimba pengalaman secara bersendirian pula.
"Sudah cukup masanya untuk saya bersama Dewa 19 dan saya pun sudah semakin aktif membuat karya untuk diri sendiri ketika bersama Dewa 19.
"Lagipun ramai teman saya yang lebih pintar membikin lagu dalam Dewa 19 dan dalam masa sama mereka mempunyai projek sendiri seperti Andra and The BackBone dan Triad.
"Saya terfikir kenapa tidak saya mengambil jalan yang sama dan saya rasa bahawa tindakan ini adalah wajar. Jadi saya keluar daripada Dewa 19 dan mencipta lagu untuk diri sendiri pula," jelas pemilik nama sebenar Elfonda Mekel itu.
Once menggantikan vokalis asal Dewa 19 iaitu Ari Lasso yang telah dibuang daripada kumpulan itu ekoran terbabit dengan penyalahgunaan dadah pada tahun 2000.
Once sebelum itu merakamkan runut bunyi filem Kuldesak bersama Ahmad Dhani pada tahun 1998. Atas faktor keserasian, Once menerima pelawaan bergabung bersama Dewa 19.

PELANTUN lagu Dealova ini bercita-cita merakam lagu duet bersama Siti Nurhaliza dan Amy Search.


Tiga tahun
Tiga tahun tempoh masa diambil Once untuk menyiapkan album pertamanya yang mengandungi 10 buah lagu. Ujar Once, dia harus meneliti banyak aspek sebelum sembarangan mengeluarkan produk.
"Kesibukan saya menguruskan kerjaya bersendirian menyebabkan album ini mengambil masa terlalu lama untuk dikeluarkan.
"Tapi kemungkinan besar hujung tahun ini saya akan mengeluarkan sebuah lagi album solo. Dalam album itu, saya menggubah enam buah lagu dengan lima buah lagu sudah siap dirakam," kata Once yang bercita-cita mahu mengadakan konsert solo selepas album keduanya.
Album Once menggunakan namanya sendiri sebagai judul iaitu Once. Single pertamanya, Hilang Naluri terlebih dahulu berjaya mencuri hati peminat pada tahun lalu sebelum I Still Love You yang mula ke udara hujung tahun lalu.
Ditanya kebarangkalian untuk berkolaborasi dengan kumpulan Dewa 19 yang kini bertukar nama Mahadewa, jawab Once, dia tidak menolak sekiranya diberikan peluang.
"Belum tahu lagi masa akan datang tapi mungkin akan ada kolaborasi selepas ini. Bagaimanapun, hubungan saya dan Ahmad Dhani masih baik dan saya teringin untuk bekerja dengan beliau atau Andra," tambahnya.
Dalam pada itu, Once menyifatkan aliran muziknya berbeza dengan Dewa 19 dan sama sekali tidak berharap untuk menerjah populariti sehebat band legenda itu.
"Saya mencipta muzik menggunakan keyboard dan gitar sahaja selain mendapatkan pertolongan komposer yang saya kenali dan saya puas.
"Saya tidak pernah sekali pun berharap untuk menjadi gah seperti Dewa 19. Ini satu proses kreatif dan sifat saya santai-santai sahaja," kata penyanyi kelahiran Sulawesi, Indonesia itu.
Minat anak
Menyifatkan diri dan keluarga seperti orang kebanyakan yang tiada istimewanya, jelas Once, sisi peribadinya tiada sensasi.
"Saya biasa-biasa sahaja, keluarga saya pun jarang mendapat liputan media hiburan.
"Sekarang anak saya, Manuel yang berusia enam tahun sudah pandai bermain dram dan piano. Saya menghantar dia ke kelas piano enam bulan lalu untuk mengasah kemahiran tapi nyata sekali dia lebih cepat belajar apabila bersama saya.
"Kini, Manuel sudah pandai memainkan 12 buah lagu terutama lagu band rock British, Queen.
"Boleh juga kalau dia mahu ikut jejak langkah saya sebagai penyanyi cuma saya tidak ingin dia terbeban. Dia boleh memilih bidang lain dan saya mahu mendorong dia menjadi jurutera," singkap Once.
Penyanyi itu berkahwin dengan Rietmadhanty Angelica Tauchid pada 20 Disember 2005.

108 selebriti Woot! Woot!

Posted: 14 Jun 2013 07:11 PM PDT


PROGRAM Woot! Woot melibatkan artis popular sebagai peserta.


SEBELUM ini kebanyakan rancangan hiburan berbentuk permainan membabitkan golongan marhain sebagai peserta. Bagaimanapun, rancangan terbaharu terbitan TV3 iaitu Woot! Woot! menampilkan sedikit kelainan.
Ini kerana peserta yang terlibat merupakan barisan selebriti popular tempatan.
Menariknya, seramai 108 selebriti popular telah diundang untuk menyertai rancangan gameshow yang menguji ketahanan mental dan fizikal peserta.
Penerbitnya, Mohd. Jamira Ramli berkata, Woot! Woot! merupakan sebuah gameshow yang diinspirasikan daripada gabungan dua rancangan yang pernah diterbitkan TV3 iaitu Pop Kuiz dan Ewah Ewah.
"Biasanya dalam rancangan gameshow yang diterbitkan sebelum ini rakaman akan dilakukan di studio, tetapi kini kami mahu mencuba pendekatan yang baru apabila membuat penggambaran di luar studio dengan memilih Nur Laman Bestari di Ulu Yam, Selangor sebagai lokasi.
"Dalam setiap episod, enam selebriti akan digandingkan sebelum dibahagikan kepada tiga kumpulan.
"Semua peserta perlu bersaing menerusi beberapa permainan yang menarik," ujarnya pada majlis pelancaran program itu di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Antara selebriti popular yang terlibat ialah Dira Abu Zahar, Ezlynn, Chacha Maembong, Almy Nadia, Black, Shah Iskandar, Zain Saidin, Elfaeza Ul Haq, Noorkhiriah dan Izzue Islam.
Menurut Jamira, antara cabaran yang terpaksa ditempuhi oleh peserta termasuklah permainan Teka-Teka, Puzzle Terbang, Guni Puzzle, Apung-Apung Puzzle, Duyung Lagu, Peta Artis dan Renang AJL.
Ujarnya, setiap kumpulan akan mengharungi tiga segmen permainan yang berbeza dan kumpulan yang mendapat markah tertinggi layak ke pusingan bonus.
"Kumpulan yang berjaya ke pusingan bonus perlu mengharungi satu lagi permainan. Sekiranya berjaya kumpulan tersebut akan memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM3,000.
"Kemudian, kumpulan yang muncul juara dalam setiap episod berpeluang layak ke pusingan separuh akhir. Selepas itu, tiga peserta yang menang akan bersaing di peringkat akhir untuk merebut hadiah wang tunai RM10,000," ujarnya.
Jelasnya, Woot! Woot! yang mula ditayangkan di TV3 sejak 11 Jun lalu setiap hari Selasa pukul 10 pagi itu akan disiarkan sebanyak 26 episod. Ia melibatkan 13 episod untuk musim pertama dan 13 episod lagi bagi musim kedua.
"Dalam episod pertama sehingga kelapan akan ditayangkan pusingan awal, manakala episod sembilan sehingga ke-12 pula tayangan untuk peringkat separuh akhir dan episod ke-13 merupakan saingan peringkat akhir," jelasnya.

Empat kru mara ke final Showdown 2013

Posted: 14 Jun 2013 07:10 PM PDT



SHOWDOWN 2013 kini menuju peringat final. Semua grup dalam setiap kategori berjuang untuk memastikan mereka merangkul gelaran juara.



PENTAS Showdown 2013 semakin hangat. Pencarian kru tarian terhebat untuk Kategori Terbuka sudah semakin hampir ke penghujung.
Bertempat di Dewan A, Menara Matrade, Kuala Lumpur, peringkat separuh akhir untuk Kategori Terbuka telah diadakan dan menyaksikan lapan kru beraksi di pentas battle bagi merebut tempat ke pentas akhir Showdown 2013.
Sesi battle menyaksikan 'pertempuran' hebat lapan kru tetapi akhirnya hanya empat kru berjaya ke final. Mereka ialah Inversion, Keynectix, Le'z dan 5=1.
Sesi battle untuk Kategori Terbuka ini diadili oleh juri-juri profesional iaitu Jose Ruiz atau lebih dikenali dengan nama Bboy Full Deck, Junior Boogaloo dari Amerika Syarikat dan Joe Flizzow.
"Kini kami telah menemui empat kru yang bakal ke pertempuran akhir Showdown. Pentas akhir ini akan menyaksikan aksi hebat kru-kru yang merebut tempat sebagai juara," ujar Pengurus Besar Kumpulan 8TV dan ntv7, Airin Zainul.
Pentas akhir Showdown 2013 akan berlangsung pada 6 Julai ini. Ia disiarkan secara langsung dari Stadium Negara pukul 8.30 malam eksklusif di saluran 8TV.
Terdahulu, menerusi Kategori Junior, hanya tiga kru berjaya ke pentas akhir iaitu Stay Cool, Fresh Unity Crew dan Walawei.
Untuk Kategori All Star pula, kru yang bakal bergelar juara bakal membawa pulang wang tunai berjumlah RM75,000 selain perbelanjaan ke pertandingan tarian peringkat antarabangsa bernilai RM125,000. Naib juara pula bakal memenangi hadiah wang tunai RM30,000.
Showdown 2013 bersiaran pada setiap hari Sabtu dan Ahad pukul 10.30 malam dan 10 malam di 8TV. Program ini juga boleh ditonton di www.8tv.com.my dan www.tonton.com.my atau ikuti menerusi www.facebook.com/8TVfb; , www.twitter.com/8tv, www.youtube.com/8tvaddicts dan Instagram di @8tv.

Bujang Bakong 500kg kecundang

Posted: 14 Jun 2013 07:08 PM PDT


PENDUDUK kampung melihat bangkai buaya yang dipercayai membaham seorang pekerja balak di Sungai Karap, Bakong, Miri semalam.


BAKONG - Bujang Bakong, seekor buaya sepanjang lima meter dan seberat 500 kilogram (kg) yang dipercayai membaham seorang pekerja balak yang sedang membuang air besar di Sungai Karap, Bakong, Miri, Sarawak bulan lalu berjaya ditangkap di sini semalam.
Reptilia yang diburu sejak tiga minggu lalu itu berjaya ditewaskan dengan menggunakan umpan daging babi yang dijampi pawang buaya di tebing sungai tersebut pada pukul 6 pagi.
Ketua Polis Daerah Marudi, Deputi Superitendan Tamin Emperang berkata, Bujang Bakong ditangkap kira-kira satu kilometer dari lokasi mangsa, Irwanshah Radin, 26, dibaham pada 25 Mei lalu.
Menurutnya, kira-kira 10 orang termasuk anggota polis dan Jabatan Hutan Sarawak terpaksa menarik buaya tersebut dengan menggunakan tali sebelum diangkat dengan jentolak ke darat.

Artis popular serikan Konsert Harta Intelek malam ini

Posted: 14 Jun 2013 07:06 PM PDT






MELAKA- Orang ramai berpeluang menyaksikan persembahan artis popular menerusi konsert Harta Intelek yang akan diadakan di padang Dataran Pahlawan di sini malam ini.
Pegawai Perhubungan Awam Perbadanan Harta Intelek (MyIPO), Nor Soleha Mohd. Yusof berkata, antara artis yang akan membuat persembahan sempena sambutan Hari Harta Intelek Negara 2013 ialah Najwa Latif, Black Mentor, Mas Idayu, Datuk M. Daud Kilau dan Fazli Zainal.
"Selain persembahan mantap lima penyanyi popular tersebut, dua pelawak terkenal iaitu Nabil dan Angah turut akan memeriahkan konsert anjuran MyIPO itu," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Jual tiket raya selepas tambang baharu diumum

Posted: 14 Jun 2013 07:05 PM PDT




KUALA LUMPUR - Majoriti ahli Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA) tidak akan melakukan jualan awal tiket-tiket bas ekspres untuk musim Hari Raya Aidilfitri nanti sehinggalah Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengumumkan hasil kajian berhubung cadangan kenaikan tambang sebanyak 30 peratus.
Presiden PMBOA, Datuk Mohamad Ashfar Ali berkata, keputusan untuk tidak mengadakan jualan tiket awal pada bulan Julai dan Ogos itu dicapai oleh majoriti ahlinya kerana mereka bimbang menanggung risiko kerugian.
"Kami pasti akan rugi sekiranya SPAD mengumumkan bahawa kerajaan membenarkan kenaikan 30 peratus itu setelah jualan tiket awal dilakukan.
"Justeru, cara paling baik untuk mengelakkan ahli-ahli kami menanggung kerugian adalah dengan menangguhkan jualan tiket awal berkenaan," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Angkara hina Sultan Johor

Posted: 14 Jun 2013 07:04 PM PDT

AHMAD diarah bela diri selepas didapati bersalah hina Sultan Johor di Mahkamah Sesyen Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU – Seorang eksekutif di sebuah syarikat pembinaan diarah membela diri oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan menghina Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail Sultan Iskandar dengan kata-kata kesat melalui laman sosial Facebook (FB) pada Oktober tahun lalu.
Hakim Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan tersebut selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Ahmad Abd. Jalil, 28.
Ahmad yang bekerja di RD Resources Sdn. Bhd. dan beralamat di Nombor 3, Jalan Wangsa Delima 11, Seksyen 5, Kuala Lumpur didakwa telah menggunakan perkhidmatan aplikasi FB di alamat Internet Protokol (IP) 175.139.168.216 melalui akaun http://www.facebook.com/ibrahim.osman.313371.
Tertuduh yang menggunakan nama profil Zul Yahya dalam akaun Facebook secara sedar telah memulakan penghantaran komen yang jelik terhadap Sultan Ibrahim.

Wanita bersumpah tipu majikan

Posted: 14 Jun 2013 07:01 PM PDT


MAI SHAHIRA dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Shah Alam semalam.


SHAH ALAM - Seorang bekas eksekutif akaun wanita sebuah syarikat logistik semalam mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas 489 pertuduhan pecah amanah membabitkan cek bernilai RM647,445.37 milik bekas majikannya.
Mai Shahira Ishak, 36, turut bersumpah melakukan jenayah itu.
"Saya sumpah ini adalah kes pertama dan terakhir saya... saya juga menghidap penyakit asma," katanya sambil menangis.
Tertuduh yang berasal dari Klang, Selangor membuat pengakuan itu di depan Hakim Aslam Zainuddin.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Lorong Batu Nilam 1A, Bandar Bukit Tinggi, Klang antara 31 Disember 2011 dan 30 Januari lalu. Dia didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 14 tahun, sebatan serta boleh didenda jika bersalah.
Mengikut pertuduhan, Mai Shahira melakukan pecah amanah dengan membuat pembayaran menggunakan 489 keping cek bernilai RM647,445 kepada Maidina Othman Trading milik Saidina Azzuanira Saidina Othman yang diketahui oleh tertuduh tiada hubungan perniagaan dengan majikannya, UTI Worldwide (M) Sdn. Bhd.

Nyonya & The Gang papar wanita bangsawan kesunyian

Posted: 14 Jun 2013 06:59 PM PDT



GAYA Mardiana Alwi (kiri) dan Amy Mastura semasa pementasan teater Nyonya & The Gang di Istana Budaya, Kuala Lumpur malam tadi.



KUALA LUMPUR - Teater Nyonya & The Gang memulakan pementasan pertama di Istana Budaya malam tadi dan berjaya memukau lebih 500 penonton yang hadir.
Menurut Penerbit teater tersebut, Siti Rohayah Atan, kejayaan pementasan malam pertama itu diharapkan dapat diulangi pada pementasan seterusnya hingga 20 Jun ini.
"Alhamdulillah persembahan berjalan lancar walaupun persediaan dijalankan dalam tempoh yang singkat. Jualan tiket masih diteruskan dan semoga lebih ramai penyokong hadir menyaksikan teater ini pada malam-malam seterusnya," katanya ketika ditemui di Istana Budaya, Kuala Lumpur di sini.
Teater itu yang mengangkat tema kekeluargaan, wanita dan gaya hidup sihat dibintangi oleh Amy Mastura, Misha Omar, Fara Fauzana, Mardiana Alwi dan Kiah Propa.
Teater Nyonya & The Gang menceritakan kehidupan seorang bangsawan Nyonya yang kesunyian kerana suaminya yang menderita sakit tetapi diperdaya oleh seorang lelaki bernama Tuan.
Dalam masa sama, Nyonya didatangi oleh tiga orang cucu saudara yang mahukan hartanya.
Pementasan teater itu mendapat kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara serta Jatimas Sdn. Bhd. manakala Kosmo! bertindak sebagai akhbar rasmi.
Tiket-tiket untuk menyaksikan teater itu masih dijual pada harga RM35, RM55, RM85, RM105 dan RM155 di kaunter tiket Istana Budaya.

Anuar, Hanimzah muncul juara

Posted: 14 Jun 2013 06:58 PM PDT



ANUAR memperdengarkan bacaan al-Quran selepas diumumkan sebagai johan qari pada Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali ke-56 di Kota Bharu malam tadi.



KOTA BHARU – Qari dari Perak, Anuar Hasin dan Qariah dari Pahang, Hanimzah Jalaluddin diumumkan sebagai johan Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan kali ke-56 di sini malam tadi.
Anuar, 29, yang juga Juara Akademi al-Quran musim ke-2 mendahului senarai markah apabila memperoleh 92.33 peratus manakala Hanimzah, 31, memperoleh markah 88.34 peratus.
Masing-masing menerima kereta Proton Preve, wang tunai RM15,000, piala iringan, cenderamata serta sijil penyertaan.
Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berkenaan menyampaikan hadiah kepada pemenang.
Naib johan qari pula dimenangi oleh seorang guru, Amirahman Abas dengan markah 89.67 peratus manakala naib johan qariah merupakan seorang pensyarah dari Johor, Nor Azrah Ayub dengan markah 86 peratus.
Masing-masing menerima wang tunai RM10,000 berserta piala iringan, cenderamata dan sijil penyertaan.

Ribut terbangkan bumbung

Posted: 14 Jun 2013 06:57 PM PDT



BUMBUNG dan siling rumah di Flat Hamna, Sungai Dua, George Town tercabut diterbangkan ribut di Pulau Pinang petang kelmarin.



GEORGE TOWN – Bumbung dan siling tercabut manakala kipas angin terpelanting keluar.
Itu yang berlaku di 13 buah rumah yang terletak di tingkat atas Blok C Flat Hamna, Sungai Dua di sini ekoran ribut dan hujan yang melanda Pulau Pinang petang kelmarin.
Keadaan tersebut menyebabkan kesemua penghuni lari bertempiaran bagi menyelamatkan diri daripada dihempap bumbung mahupun siling yang runtuh ke lantai rumah flat empat tingkat itu.
Tinjauan Kosmo! semalam mendapati hampir keseluruhan bumbung blok berkenaan diterbangkan ke rumah jiran di blok bersebelahan.
Penduduk berkata, suasana menjadi kelam-kabut sebaik sahaja bekalan elektrik terputus manakala air hujan memenuhi ruang rumah.
Seorang penduduk, Hayati Ridzwan, 50, memberitahu, kejadian itu berlaku pada pukul 7.45 malam iaitu selepas azan Maghrib berkumandang.
"Semasa kejadian, saya tinggal keseorangan. Mulut saya tidak henti-henti berdoa agar dilindungi daripada musibah.
"Angin kuat menerbangkan bumbung dan siling di ruang tamu, dapur dan bilik tidur," katanya.

Lima tan gading gajah dimusnahkan

Posted: 14 Jun 2013 06:56 PM PDT



BEBERAPA orang sukarelawan menyusun gading gajah yang akan dimusnahkan oleh pihak berkuasa Filipina di Taman Ninoy Aquino dan Pusat Hidupan Liar di Quezon City, Metro Manila semalam.



MANILA - Kerajaan Filipina akan memusnahkan kira-kira lima tan gading gajah yang dirampas dengan anggaran nilai $10 juta (RM31.1 juta) dalam menyokong usaha global menamatkan perdagangan haram hidupan liar, kata seorang pegawai kanan kerajaan semalam.
Setiausaha Alam Sekitar Filipina, Ramon Paje berkata, gading yang dirampas itu akan dihancurkan dengan jentera penggelek jalan.
Ia kemudian akan dibakar di hadapan pakar luar negara serta penyokong antiperdagangan gading pada 21 Jun di Taman Ninoy Aquino dan Pusat Hidupan Liar di Quezon City, Metro Manila.
"Keputusan kami memusnahkan gading tersebut yang memasuki negara ini secara haram adalah untuk menunjukkan kepada seluruh dunia bahawa Filipina tidak akan bertolak ansur dengan perdagangan haram hidupan liar," kata Paje.
Pada tahun 1989, satu konvensyen Geneva mengenai Perdagangan Antarabangsa Spesies Flora dan Fauna yang terancam (CITES) mengharamkan pembelian dan penjualan gading untuk memerangi perdagangan haram besar-besaran yang menyebabkan populasi gajah di seluruh Afrika pada 1970-an dan 1980-an turun secara dramatik.

Myanmar benar konvoi PBB memasuki Kachin

Posted: 14 Jun 2013 06:54 PM PDT



KANAK-KANAK di negeri Kachin, Myanmar ini akan menerima faedah daripada penghantaran makanan dan barangan keperluan daripada konvoi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).



YANGON - Sebanyak 10 buah lori konvoi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dibenarkan menghantar makanan dan barangan keperluan rumah untuk kali pertama dalam tempoh hampir setahun ke kawasan di luar kawalan pemerintah di utara Myanmar.
Pejabat Kemanusiaan PBB menyatakan semalam bahawa konvoi itu menghantar makanan, nutrien khas kanak-kanak, barangan keperluan rumah, kit kebersihan dan tablet pembersih air kepada sejumlah 5,100 daripada 100,000 orang yang menjadi pelarian ekoran pertempuran antara tentera Myanmar dengan pemberontak di negeri Kachin.
Rantau berkenaan bersempadan dengan China.
Jurucakap Hal Ehwal Kemanusiaan Pejabat PBB di Geneva, Jens Laerke berkata, ini adalah kali pertama pemerintah Myanmar membenarkan konvoi PBB memasuki negeri Kachin sejak Julai 2012.
Menurutnya, sejak Jun 2011 pertempuran antara pihak tentera dengan Pertubuhan Pembebasan Kachin telah memaksa sekitar 100,000 orang menjadi pelarian dengan 60,000 daripada mereka hidup tanpa bantuan pemerintah.
Myanmar berdepan pemberontakan sejak negara tersebut mencapai kemerdekaan pada 1948.
Beberapa etnik minoriti di Kachin mengangkat senjata kerana menuntut pemerintahan autonomi daripada pemerintah.

Fosil ikan purba ada otot perut

Posted: 14 Jun 2013 06:53 PM PDT



SEORANG ahli sains memegang bahagian otot perut ikan Gogo yang berusia 380 juta tahun.



SYDNEY - Sekumpulan pakar paleontologi telah membuat satu penemuan evolusi mengejutkan bahawa ikan purba Australia mungkin mempunyai otot perut.
Sebelum ini, penemuan itu hanya dipercayai berlaku dalam kalangan haiwan darat sahaja.
Para penyelidik telah melakukan pemetaan ke atas fosil otot perut haiwan vertebrata yang pernah dilihat di dalam ikan Gogo yang dianggarkan berusia 380 juta tahun.
Para penyelidik turut berusaha untuk mengetahui kedudukan sebenar otot tersebut serta orientasi kedudukan gentian otot berkenaan.
Fosil ikan itu dijumpai di wilayah Kimberley, Barat Australia. Kawasan tersebut dikelilingi oleh bongkah batu kapur dan terkenal dengan keistimewaan pengawetan luar biasanya.
Profesor Bersekutu Universiti Curtin, Kate Trinajstic berkata, pasukan penyelidiknya telah dikejutkan dengan penemuan bahawa fosil ikan purba mempunyai otot perut.

Anak muda Kyoto penerus tradisi kraf

Posted: 14 Jun 2013 06:51 PM PDT




GURU bahasa Jepun Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Intan Zaharah, Dungun, Terengganu, Mohd. 'Adlan Mohd. Shariffuddin, 32, dan tiga orang pelajarnya sanggup turun ke Kuala Lumpur semata-mata mahu mengikuti kelas membuat pengaut tauhu daripada dawai.
Setiap kali Yayasan Jepun Kuala Lumpur (JFKL) mengadakan acara, pasti Mohd. 'Adlan beserta pelajarnya mendapat keizinan ke ibu negara. Kunjungan tersebut merupakan kali ketiga.
Dalam pembelajaran bahasa Jepun, pelajar-pelajar turut didedahkan dengan aspek budaya. Sehubungan itu, Mohd. 'Adlan percaya aktiviti-aktiviti seperti ini dapat memberi pendedahan kepada pelajar-pelajarnya.
"Kebanyakan acara silang budaya seperti ini dihadiri oleh individu dari Jepun sendiri, secara tidak langsung pelajar boleh belajar bertutur dengan mereka," katanya ketika ditemui di Muzium Tekstil Negara.
Pengajar kelas menganyam dawai itu, Toru Tsuji, 32, lahir dalam keluarga yang menguasai seni kraf anyaman dawai dengan tangan dikenali kyo-kanaami.
"Alatan yang digunakan merupakan barangan lama, sangat asas dan pernah digunakan oleh ibu saya," ringkas kata Toru sambil diikuti hilai tawa.
Dia menyertai perniagaan keluarga itu pada tahun 2003 sebelum membuka butik Kanaami-Tsuji empat tahun kemudian di Kodaiji, Kyoto, Jepun. Toru juga pernah menyertai pameran perdagangan Maison et Objet (2009) di Paris, Perancis.
Pada hari itu, teknik yang diajar oleh Toru ialah membuat pengaut tauhu. Ia dikenali sebagai kiku-dashi (corak bunga kekwa) dan kikko-ami (corak cengkerang kura-kura).
Selain Mohd. 'Adlan dan tiga pelajarnya, bengkel menganyam dawai itu turut disertai lapan orang yang lain, jadi seorang penterjemah tetap diperlukan Toru untuk menerangkan cara-cara seni itu.

SETIAP produk anyaman dawai adalah adikarya dan mendapat sentuhan manusia 100 peratus.


Buatan tangan
Setiap produk sama ada pengaut tauhu atau penapis teh dihasilkan 100 peratus menggunakan tangan. Individu yang membuat kraf wajib menyiapkannya.
Justeru, produk akhir kyo-kanaami mempunyai sifat eksklusif dan terhad kerana kesukaran menganyam membentuk corak berkala dan bersegi.
Terdapat lebih 3,600 buah keluarga yang mempunyai kemahiran tersendiri dan berbeza antara satu sama lain di Kyoto.
Ia diperturun daripada satu generasi ke generasi berikutnya sebagai satu khazanah keluarga yang dipelihara. Perkara tersebut tidak pelik kerana Kyoto pernah menjadi ibu negara selama lebih 1,000 tahun.
Keluarga Tsuji merupakan salah satu daripada tukang kraf di situ dan bapa Toru, Kenichi Tsuji pernah mendapat anugerah daripada bandar Kyoto atas usahanya mempromosi seni kraf.
Kini, giliran Toru memastikan seni keluarganya mendapat perhatian dunia. Selain mengadakan pameran, dia turut membuat bengkel seperti yang dihadiri Mohd. 'Adlan di Taiwan.
Kurator Pameran Rekaan Buatan Tangan Jepun Dari Kyoto, Noriko Kawakami berkata, terdapat generasi baharu tukang kraf di Kyoto sekarang yang mampu menghasilkan hasil karya yang lebih kontemporari.
"Mereka sukar untuk dipanggil tukang kraf atau pereka, tetapi generasi baharu ini menggunakan teknik-teknik lama dalam mereka sesuatu produk dan hasilnya boleh dilihat sehingga ke Eropah," kata Norika pada seminar yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Generasi muda ini berusaha mereka bentuk sesuatu yang baharu yang menepati standard pasaran antarabangsa seperti pakaian gaun, bahan perabot, sarung iPad ataupun pencabut gabus.

MASATAKA dengan tekstil Nishijin ketika ditemui pada pameran yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini.


Rekaan baharu
Mereka membentuk sebuah ikatan dikenali sebagai projek Go On yang terdiri daripada enam orang generasi baharu daripada keluarga yang berbeza.
Dikenali sebagai Japan Handmade, ia menawarkan pendekatan yang menarik dengan meneroka rekaan-rekaan baharu.
Walau bagaimanapun, produk-produk baharu ini masih mengekalkan rasa, nilai dan elemen-elemen Jepun.
Mereka ialah Toru, Totsuyuki Kosuga yang berasal daripada keluarga kraf buluh, Shuji Nakagawa (melentur kayu), Takahiro Yagi (bekas teh tin), Tusuke Matsubayashi (seramik) dan Masataka Hosoo (tekstil Nishijin).
Selain Toru yang turun ke Kuala Lumpur untuk mengadakan bengkel menganyam dawai, seorang lagi ahli projek Go On, Masataka hadir sempena pameran kali ini sekali gus mengadakan sesi ceramah mengenai seni produknya.
Keluarga Hosoo menguasai seni menenun tekstil tiga dimensi yang dikenali sebagai Nishijin.
Kimono
Kain broked itu digunakan sebagai obi (bengkung) dalam pemakaian kimono wanita. Syarikat tekstil Hosoo ditubuhkan pada tahun 1688, tetapi sejarahnya boleh dikesan sejak abad keenam lagi.
Nishijin dihasilkan dengan gabungan dua jenis bahan yang ditenun bersama menjadi lembaran kain tiga dimensi iaitu washi (kertas tradisional Jepun diperbuat daripada beras) dan benang sutera.
Jalur-jalur kertas washi ditenun bersama dengan fabrik sutera membentuk kain tiga dimensi yang terkenal itu. Teknik itu telah digunakan pada hampir 300 tahun lalu.
SENI membentuk tin ini merupakan salah satu daripada cabang projek Go On.


Menurut Masataka, 35, dua perkara penting ketika mereka fabrik adalah pada bahagian benang jaluran menegak dan mendatar pada mesin tenun Jacquard.
Sebanyak 9,000 utas benang pada bahagian menegak ditenun pada jaluran mendatar. Tenunan dibuat berdasarkan corak dahulu sebelum diikuti fabrik.
"Hosoo mula memasuki pasaran antarabangsa pada tahun 2006 dengan menyertai pameran Maison et Objet di Paris, Perancis," kata Masataka.
Maison et Objet merupakan pameran perdagangan Perancis terbesar untuk rekaan dalaman yang diadakan dua tahun sekali dan merupakan tiga acara terpenting di Eropah.
Produk yang dipamerkan merupakan sebuah sofa yang menggunakan kain obi sebagai sarung, namun ia tidak berjalan dengan baik, ujarnya lagi.
Tahun berikutnya, Hosoo memperkenalkan sarung kusyen yang pelbagai reka bentuk corak dengan mengekalkan keaslian teknik tradisional.
"Masalah yang dihadapi oleh Hosoo ialah kelebaran kain yang terhad iaitu 32 sentimeter (sm) sehingga kami berjaya menghasilkan sebuah mesin baharu yang dapat menenun kain dengan lebar 150sm," terang Masataka.
Dengan kelebaran kain yang lebih luas, pelbagai produk boleh direka sama ada pakaian ataupun kertas dinding dan tidak terhad pada produk kecil sahaja.
Kini, kain Nishijin mendapat perhatian dan digunakan oleh jenama-jenama antarabangsa serta eksklusif seperti Christian Dior dan Chanel.
Butik-butik jenama tersebut yang direka oleh arkitek Peter Marino menggunakan kain tersebut sebagai kertas dinding di 66 buah kedai jenama terbabit di seluruh dunia seperti di butik Dior di Hong Kong, Beijing dan Osaka.
Kain tersebut turut digunakan oleh pereka fesyen Jepun, Mihara Yasuhiro untuk koleksi pakaian lelaki musim panas/sejuk 2012.

Warga Prague bertukar jadi zombi

Posted: 14 Jun 2013 06:50 PM PDT



ZOMBI Walk juga popular di negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Jepun dan negara-negara Amerika Selatan.



PRAGUE di Republik Czech sememangnya terkenal dengan warisan sejarahnya. Selain itu, bandar raya tersebut tersohor sebagai pusat politik, kebudayaan dan ekonomi terpenting di Eropah suatu ketika dahulu.
Bagaimanapun, pelancong kini mempunyai satu sebab lain untuk berkunjung ke kota yang dihuni lebih 1.3 juta orang itu.
Dikenali sebagai Zombi Walk, acara yang dimulakan sejak tahun 2008 itu ternyata unik kerana ratusan penduduk akan berkumpul dan berarak di seluruh Prague dengan memakai kostum seperti hantu zombi.
Berbekalkan kostum dan solekan menggerunkan, peserta akan berjalan, menjerit dan menggayakan bermacam-macam aksi zombi seperti yang sering dilihat dalam filem-filem seram mayat berjalan itu.
"Ia merupakan acara unik dan menghiburkan. Bayangkan semua penduduk bandar ini bertukar menjadi zombi secara tiba-tiba," kata penganjur perarakan itu, Jaroslav Spinka.
Tambah Spinka, pada tahun ini, kesemua peserta berarak dari Dataran Old Town sehingga ke Jambatan Charles yang mengambil masa selama hampir dua jam.
"Selain penduduk tempatan ada juga pelancong asing yang berminat menyertainya. Apa yang pasti, perarakan ini merupakan tarikan terbaharu yang mewarnai kalendar pelancongan negara ini," katanya.
Zombi Walk tidak sekadar popular di Republik Czech, malah di beberapa negara lain seperti Amerika Syarikat (AS), United Kingdom, Kanada, Jepun, Argentina dan Mexico.
Perarakan itu dikatakan bermula pada tahun 2000 di Milwaukee, Wisconsin, AS sebagai satu persembahan lawak jenaka yang dilakukan sekumpulan pemuda ketika Konvensyen Permainan Gencon.
Idea itu kemudian dikembangkan untuk mempromosikan filem-filem seram sebelum tersebar ke seluruh dunia sebagai satu persembahan seni yang mempunyai peminatnya yang tersendiri.
Selain untuk acara hiburan, perarakan itu turut dijadikan acara kebajikan bagi mengumpulkan dana dan kempen-kempen kesedaran mengenai isu-isu tempatan dan global.
Pada November 2012, perarakan yang diadakan di Twin Cities (Minneapolis-Saint Paul, AS) berjaya mengumpulkan 8,027 peserta sekali gus diiktiraf sebagai Zombi Walk yang terbesar di dunia oleh Guinness Book of Records.

Menagih kasih di pusat perlindungan

Posted: 14 Jun 2013 05:49 PM PDT




BAYI berusia setahun itu berbaring di atas tilam sambil leka bermain beberapa alat permainan di tangannya.
Sebaik sahaja melihat kelibat manusia memasuki bilik tidurnya yang agak gelap dan kusam itu, dia tiba-tiba berhenti bermain.
Matanya yang jernih terus mengamati wajah asing di hadapannya. Tanggannya mengawang ke udara sambil mulutnya bising bercakap sesuatu seolah-olah meminta untuk dibelai.
Sekali imbas, Tam Anh, kelihatan sempurna seperti bayi-bayi lain yang ditempatkan di Bo De Pagoda, salah sebuah pusat perlindungan anak-anak yatim dan Orang Kelainan Upaya (OKU) yang wujud di bandar raya Hanoi.
Bagaimanapun, dia yang ditinggalkan oleh keluarganya di luar pagar pusat jagaan itu ketika berusia enam hari disahkan mengalami kecacatan otak sejak lahir.
Tam Anh, merupakan salah seorang daripada ribuan OKU yang bergelar anak yatim pada usia muda di Vietnam, negara yang mempunyai kadar kecacatan kanak-kanak tertinggi di dunia
Biarpun Perang Vietnam sudah berakhir berdekad-dekad lalu, namun kesan penggunaan senjata kimia dikenali sebagai Agent Orange yang digunakan tentera Amerika Syarikat ketika itu masih dirasai sebahagian besar rakyatnya sehingga kini.
Memburukkan keadaan, kelemahan sistem pengurusan kesihatan di negara yang dihuni lebih 89 juta itu menyebabkan peratusan kanak-kanak yang dilahirkan sebagai OKU terus meningkat saban tahun.
Ketika ini, Bo De Pagoda menempatkan puluhan kanak-kanak OKU yang dikendalikan lebih 34 sukarelawan sepenuh masa. Mereka terdiri daripada remaja yang menghidap sindrom Down sehingga kepada bayi berusia dua bulan yang mengalami masalah penglihatan.
"Sebahagian besar mereka dijumpai selepas ditinggalkan sama ada di luar pagar pusat perlindungan ini atau di hospital-hospital berdekatan.
"Selain itu, ada juga antara kanak-kanak ini yang dihantar sendiri oleh keluarga mereka kerana faktor kemiskinan," kata Nguyen Thi Thanh Hue, seorang sukarelawan di situ.
Pihak berkuasa Hanoi menganggarkan kira-kira tiga juta penduduk di negara itu terdedah kepada radiasi dioksin Agent Orange. Sejuta daripadanya kini menderita akibat masalah kesihatan termasuk lebih 150,000 kanak-kanak yang dilahirkan sebagai OKU.
Nasib lebih baik
Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dikeluarkan di Danang, sebuah bandar yang mempunyai peratusan tertinggi kadar kanser dan kecacatan selepas kelahiran di negara itu, kanak-kanak OKU merupakan golongan yang sering dipinggirkan oleh masyarakat dunia.
Golongan itu bukan sahaja dibuli, malah berdepan dengan pelbagai diskriminasi masyarakat sekali gus menjejaskan hak asasi mereka sebagai seorang manusia.
Pengarah Eksekutif Tabung Darurat Kanak-Kanak Antarabangsa Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Anthony Lake berkata, terdapat lebih 20,000 kanak-kanak ditempatkan di pusat-pusat perlindungan di negara itu.

GOLONGAN Orang Kelainan Upaya sering terpinggir dalam kelompok masyarakat di Vietnam.


Daripada jumlah itu, katanya, separuh daripadanya merupakan golongan OKU.
"Biarpun nasib mereka lebih terbela di pusat-pusat perlindungan ini namun mereka tidak mendapat pendidikan dan rangsangan yang sewajarnya untuk membantu perkembangan otak.
"Jika ia berterusan, mereka sukar berdikari dan menjalani kehidupan dalam masyarakat," katanya.
Nasib kanak-kanak OKU yang ditempatkan di pusat-pusat perlindungan mungkin lebih baik berbanding rakan-rakan mereka di luar sana yang terpaksa berjuang bersendirian demi meneruskan kelangsungan hidup, lebih-lebih lagi di sebuah negara komunis yang masih belum membangun sepenuhnya seperti Vietnam.
Salah seorangnya Linh Chi, remaja perempuan yang kudung kedua-dua belah kaki dan tangannya sejak dilahirkan.
Menurut ibunya, Trinh Ngoc Thuy, kecacatan yang dialami oleh anaknya itu berpunca daripada datuknya yang merupakan salah seorang mangsa perang yang terdedah kepada kesan radiasi itu satu ketika dahulu.
Disebabkan keadaan dirinya, Linh Chi sering menjadi bahan ejekan masyarakat sekeliling termasuk dibuli rakan-rakan di sekolah.
"Sampai sekarang saya masih tertanya-tanya mengapa fizikal saya berbeza daripada orang lain? Mengapa saya tidak mempunyai kaki dan tangan dan sampai bila saya harus jadi begini?" katanya yang menetap di wilayah Yen Bai, utara Vietnam.
Tiada pembelaan
Lebih malang, biarpun mempunyai anak berstatus OKU, namun keluarga itu tidak mendapat pembelaan sepenuhnya daripada pihak berkuasa negaranya.
Dengan pendapatan ibu bapanya kira-kira empat juta dong (RM594) sebulan, tidak hairanlah Linh Chi masih samar-samar tentang masa depannya.
Lake berkata, terdapat sesetengah ibu bapa yang beranggapan penjagaan kanak-kanak OKU memberi tekanan dan membebankan mereka.
Laporan yang dikeluarkan PBB berpendapat penyelesaian kepada permasalahan itu ialah melalui perubahan sikap terhadap golongan OKU dan sokongan keluarga untuk membolehkan mereka terus berdikari dalam masyarakat.

KESAN radiasi masih dirasai warga Vietnam biarpun peperangan telah berakhir sejak berdekad-dekad lalu.


Menurut laporan itu lagi, pengasingan kanak-kanak OKU di pusat-pusat jagaan seperti yang berlaku pada hari ini akan menyebabkan mereka sukar menjalani kehidupan pada masa hadapan.
"Sama ada dilahirkan normal atau sebagai OKU, mereka seharusnya menerima layanan sama rata dan tidak wajar dipinggirkan," jelasnya.
Ketika ini, pihak UNICEF berusaha melaksanakan beberapa projek perintis di Danang. Antaranya, menyediakan pusat penjagaan harian kanak-kanak OKU.
Umumnya, kerajaan Vietnam komited untuk menjayakannya termasuk membantu golongan OKU di negara itu yang dianggarkan mencecah 6.7 juta orang mengikut semua peringkat usia.
Kos penjagaan
Tambah Lake, negara itu telah mendatangani Konvensyen PBB mengenai Hak-Hak Asasi OKU biarpun tidak mengesahkannya dan kini berusaha menyalurkan peruntukan dalam bentuk wang ringgit kepada keluarga yang mempunyai anak-anak OKU mulai tahun hadapan.
Ketika ini, setiap keluarga perlu menanggung kos penjagaan anak-anak mereka di pusat-pusat berkenaan seperti Nguyen Phuong Anh, yang disahkan menghidap osteogenesis Imperfecta atau penyakit tulang rapuh sekali gus memaksanya bergantung kepada kerusi roda untuk bergerak.
Ibunya sanggup berhenti kerja semata-mata mahu menjaganya dan kini menjadi 'kaki' bagi membolehkan remaja berusia 16 tahun itu bersekolah dan menjalani kehidupan yang serba aktif seperti manusia normal.
"Ia masih sukar kerana sekolah biasa tidak mempunyai kemudahan untuk golongan OKU seperti saya yang bergantung sepenuhnya kepada kerusi roda untuk bergerak.
"Ia merupakan realiti di Vietnam dan saya berharap situasi ini berubah satu hari nanti," katanya.
Phuong Anh yang muncul sebagai salah seorang peserta dalam pertandingan realiti televisyen Got Talent versi Vietnam memberitahu, dia berharap untuk menggunakan statusnya sebagai selebriti satu hari nanti bagi mengubah sikap dan persepsi masyarakat di negaranya terhadap golongan itu.
"Apa yang paling penting, kami mahu mendapat layanan yang sama rata seperti manusia yang normal," katanya.

Sosok badan penentu populariti

Posted: 14 Jun 2013 05:48 PM PDT




BINTANG tersohor Bollywood, Datuk Shah Rukh Khan pernah menyuarakan pandangan mengenai penggunaan steroid dalam kalangan selebriti di India yang telah mencetuskan kontroversi beberapa ketika dulu.
"Pemilik fizikal yang semula jadi dalam industri ini (hiburan) milik aku! Inilah bentuk badan yang asli tanpa steroid, tanpa sebarang produk tiruan," tegasnya cukup lantang kedengaran.
Melihat perkembangan industri hiburan terutama bidang lakonan hari ini, obsesi artis lelaki untuk membina badan demi mendapatkan bentuk yang diidamkan sangat jelas terbukti.
Mungkin hanya melaburkan kurang 10 peratus daripada pendapatan bulanan, mereka dapat memperoleh sosok tubuh yang berotot, ideal dan menggiurkan.
Menyentuh mengenai dunia bina badan bagi golongan artis, pelakon Norman Hakim mempunyai pandangan tersendiri.
Menurutnya, selain dapat memastikan kualiti kesihatan yang seimbang, bina badan juga membentuk struktur badan yang dianggap satu aset penting.
"Saya begitu obses dengan bina badan sejak empat tahun lalu, daripada sekadar ikut mood sekarang ia sudah menjadi sebahagian daripada gaya hidup.
"Selepas Subuh lebih kurang dari pukul 6 hingga 8 pagi, bersenam di gimnasium merupakan acara wajib saya dan paling tidak pun selang sehari.
"Bina badan untuk kesihatan dan disebabkan aktiviti ini saya berhenti merokok tiga tahun lepas. Selain itu, rutin sebegini meningkatkan stamina selain menjadi satu instrumen fizikal dalam bidang lakonan.
"Mana tidaknya, kita akan nampak cantik dan kemas apabila mengenakan sebarang pakaian di badan," ujarnya yang biasa ke gimnasium secara purata empat kali seminggu.
Rutin senaman
Tidak menjadi alasan bagi Norman, 37, yang jadual kerjanya boleh mencecah jumlah 18 jam sehari untuk tiada masa ke gimnasium bagi membina badan.
Bagi suami kepada aktres jelita Memey Suhaiza itu, peruntukan durasi sejam sehari untuk aktiviti asas berpeluh sudah memadai.
"Biasanya, saya menghabiskan masa 50 minit untuk aktiviti senaman kardiovaskular dan baki lagi sejam 10 minit untuk angkat beban.
"Bahagian sasaran asasnya dada, belakang, otot bisep dan otot trisep," katanya
Norman sekadar mengambil makanan tambahan asas seperti pembakar lemak dan sumber asas protein atau karbohidrat bergantung pada corak pemakanannya.
"Saya beruntung sebenarnya kerana isteri saya, Memey bijak memasak makanan yang sesuai dengan keadaan biologi badan saya sekali gus dapat menjimatkan pelaburan saya. Tiada makanan bergoreng atau berminyak.
"Paling penting, corak pemakanan saya iaitu makan sedikit tapi kerap. Mungkin dalam tempoh dua jam sekali.
"Makanan dalam kuantiti banyak akan menyebabkan pembentukan lemak dalam badan kerana ia tidak sempat diproses menjadi tenaga," katanya yang pernah mengupah seorang jurulatih tiga tahun lalu.

HEFNY membabitkan diri dengan bina badan untuk kepuasan diri sendiri.


Pemikat
Ditanya adakah golongan aktor membina badan atas tujuan memikat, Norman menyangkal dakwaan itu. Katanya dari sudut psikologi, individu sekeliling terutama peminat akan menyukai seseorang yang positif.
"Apabila kita sihat dan cerdas, secara automatik kita akan jadi positif dan orang suka pandang. Aura positif itu sebenarnya yang memikat peminat untuk jadikan kita sebagai role model," katanya.
Sementara itu, Norman mengakui seseorang pelakon masa kini perlu mempunyai tubuh yang menarik untuk popular.
"Tubuh merupakan aset dan menjadi satu instrumen untuk digayakan dalam industri hiburan. Bagi saya, tubuh merupakan pesona bintang yang sebelum ini banyak ditekankan peranannya di Hollywood dan Bollywood.
"Sekarang memang perlu dimanfaatkan dan aktiviti bina badan perlukan inisiatif, malah ia tidak merugikan pun. Apabila sudah meletakkan komitmen, masa tidak menjadi alasan lagi.
Gimnasium 'underground'
Sementara itu, ulas penyanyi Sabhi Saddi yang telah mengamalkan aktiviti bina badan di gimnasium sejak tahun 2004 lagi, dia memilih untuk tidak berbelanja dalam jumlah yang tinggi semata-mata untuk memiliki tubuh yang diidamkan.
"Saya lebih selesa berkunjung ke gimnasium 'underground'. Gimnasium ini bukan yang terkenal atau banyak dikunjungi oleh selebriti. Cuma bayar RM6 untuk sekali masuk, bayangkan berapa banyak wang saya dapat berjimat.
"Lagipun, saya tidak suka berada di lokasi yang terlalu ramai orang. Nak bersenam pun tidak selesa.
"Saya tidak mengambil sebarang makanan tambahan seperti protein shake kerana mahu badan saya berkembang secara semula jadi. Secara tidak langsung, saya sudah menjimatkan kos," kata penyanyi kelahiran Sabah yang ke gimnasium enam kali seminggu.
Sabhi menjelaskan, dia akan memfokuskan satu demi satu sasaran anggota badan pada setiap sesi di gimnasium.
"Hari pertama, saya akan fokuskan bahagian dada dan hari-hari berikutnya anggota badan yang lain. Kekerapan itu untuk memastikan otot badan saya tidak terkejut dan stabil sepanjang masa.
"Penyanyi pun perlu ada badan yang menarik. Mungkin ia salah satu faktor pelaris tapi tidak mustahil juga ada wanita yang tidak terlalu gemarkan lelaki yang memiliki badan berotot," ujarnya yang mengaku obses dengan bina badan.

ADI PUTRA


Sosok badan tegap tidak dinafikan menjadi faktor penyumbang dan penambah nilai kepada aset penampilan. Hal itu diakui oleh pengacara dan aktor yang sedang meningkat naik, Hefny Sahad.
"Penting atau tidak memiliki badan yang tegap dilihat dari sudut trend mengikut peredaran zaman. Sekarang semua selebriti tidak kira dalam atau luar negara perlu kelihatan menarik, walaupun bukan terlalu berotot.
"Tak kira watak jahat atau hero, bentuk badan memberikan impak kepada keberkesanan lakonan.
"Ia penting untuk individu yang berada dalam industri seni. Selain itu, ia dapat menambahkan tahap kesihatan kita," ujarnya yang telah mula melakukan bina badan sebelum menyertai program On Air dua tahun lalu.
Kawal makan
Bina badan tidak semestinya untuk memiliki badan yang kekar tetapi kata Hefny, sudah memadai untuk memberikan kepuasan apabila melihat diri sendiri di hadapan cermin.
"Saya bersungguh-sungguh ke gimnasium kerana melihat badan seorang pelakon Hollywood, Cam Gigandet yang memiliki badan ideal - tidak terlalu kurus tapi maskulin.
"Rutin saya adalah tiga kali seminggu ke gimnasium untuk melakukan senaman melibatkan bahagian dada, belakang, otot bisep dan otot trisep pada hari pertama.
"Hari keduanya saya akan fokuskan bahagian bahu dan kaki, kemudiannya akan berselang-seli melakukan rutin hari sebelumnya
"Dari segi pemakanan, saya lebihkan makanan berprotein tinggi seperti daging dan ayam, manakala makanan tambahan cuma protein shake, minyak ikan dan multivitamin," ujarnya yang kini sedang giat bersenam menjelang malam kemuncak Anugerah Blokbuster hari Sabtu nanti.

Selebriti luar negara bina badan

Posted: 14 Jun 2013 05:47 PM PDT


CHOI SIWON mengambil masa selama empat tahun untuk mendapatkan tubuh yang sasa ini.


DUNIA bina badan menjadi minat lelaki sejak dulu lagi dan tidak menjadi kesalahan jika gaya itu memberikan tempias kepada dunia hiburan.
Selebriti antarabangsa terlebih dahulu mengamalkan teknik bina badan sebagai aset untuk melariskan kerjaya di samping mengekalkan populariti.
Namun, ada antara selebriti yang disaksikan di layar perak atau layar kaca pada hari ini asalnya tidak bertubuh sasa, sebaliknya mereka mengambil inisiatif membina otot sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam industri lakonan.
Aktor Hollywood seperti Gerard Butler, Will Smith, Christian Bale, Jason Statham dan Edward Norton merupakan aktor yang berjaya mendapatkan sosok badan yang diidamkan.
Para pelakon Bollywood tersohor seperti Hrithik Roshan, John Abraham, Salman Khan, Aamir Khan dan Ajay Devgan juga mengamalkan perkara yang sama.
Tidak terkecuali ialah kebanyakan selebriti Korea Selatan seperti Choi Siwon, Tae Yang, Kim Hyung Jong, Daesung, Kim Jae Joong, Lee Gi Kwang dan Seul Long.
1. Christian Bale
Christian ialah antara pelakon Hollywood yang memanipulasi bentuk badan demi karakter lakonannya. Pernah beberapa kali berat badannya berbeza mengikut karakter yang dilakonkan menerusi filem berlainan, antaranya The Machinist, 55 kilogram (kg), Rescue Dawn (61kg), Batman Begins (86kg) dan The Dark Knight Rises (90kg). Rahsia Bale ialah makanan berprotein tinggi dan latihan di gimnasium.
2. Gerard Butler
Aktor yang popular menerusi filem 300 dengan ketinggian 187 sentimeter ini perlu mendapatkan sosok badan yang sesuai untuk menjayakan karakter Raja Leonidas yang perkasa menerusi produksi tersebut. Latihan tanpa henti seperti pull up, dead lift, push up dan clean and jerk akhirnya membentuk otot dan tubuh yang lebih kekar.
3. Will Smith
Mula membina badan demi menjayakan karakter seorang peninju menerusi filem Ali. Usaha Will membuahkan hasil apabila dia meraih pencalonan Oscar berdasarkan watak itu. Will mengamalkan latihan intensif selama enam jam sehari untuk memperoleh sosok umpama bekas juara tinju dunia, Muhammad Ali.

HRITHIK ROSHAN


4. Hrithik Roshan
Siapa yang mampu menandingi aktor bertubuh sasa Bollywood, Hrithik Roshan? Dia antara aktor yang menderita masalah tulang belakang sehingga dinasihati supaya berhenti menari atau mengangkat beban berat. Bagaimanapun, dia satu-satunya pelakon Bollywood yang memiliki sosok maskulin tetapi dalam masa yang sama boleh menari dengan cemerlang.
5. Salman Khan
Hakikatnya, Salman merupakan aktor pertama Bollywood yang menayangkan tubuhnya menerusi beberapa buah filem sekitar tahun 1990-an lagi. Bintang itu sebenarnya menjadi contoh kepada pelakon-pelakon baharu seperti John Abraham, Dino Morea dan Varun Dawan. Begitupun, bentuk badan Salman kian susut barangkali sejajar dengan pertambahan usianya.
6. Choi Siwon
Choi Siwon mengambil masa selama empat tahun untuk mendapatkan badan seperti yang dilihat hari ini. Anggota kumpulan Super Junior itu pada mulanya sangat kurus sehingga menyukarkan dirinya mencari pakaian yang sesuai. Selepas bersenam, berat badannya pernah mencapai 85kg dan dinasihatkan agar mengawal pemakanannya.

Inovasi jentera enduro BMW

Posted: 14 Jun 2013 05:45 PM PDT



TEMPOH lima bulan pertama tahun ini menyaksikan BMW Group Malaysia memulakan strategi mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran motosikal premium tempatan.
Langkah itu dibuat dengan memperkenalkan barisan jentera berprestasi tinggi dalam beberapa segmen seperti Enduro, Touring dan High Performance.
Pengeluar kenderaan premium itu juga membawa masuk tiga varian motosikal edisi khas bagi memperingati ulang tahun ke-90 penubuhan BMW Motorrad di Jerman.
Barisan model baharu yang dilancarkan di Malaysia ialah BMW HP4, F 700 GS, F 800 GS, F 800 GT, R 1200 GSA, R 1200 RT dan R 1200 R.
Momentum itu diteruskan dengan satu lagi pelancaran produk enduro untuk peminat tempatan. Model yang dimaksudkan ialah R 1200 GS edisi 2013.
Sambutan terhadap produk BMW Motorrad nampaknya positif. Jualan bagi suku pertama tahun ini sudah mencecah 148 buah motosikal.
Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Dr. Gerhard Pils berkata, catatan itu merupakan peningkatan sebanyak 17 peratus jika dibandingkan dengan tempoh sama tahun sebelumnya.
"Ini merupakan petanda kukuh bahawa pelanggan menyokong rangkaian motosikal premium yang ditawarkan," katanya pada majlis pelancaran R 1200 GS di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Mengubah Tradisi
Rangkaian motosikal BMW GS memiliki populariti tersendiri dalam dunia tunggangan kembara lasak dan jarak jauh.
Lebih 30 tahun sudah berlalu, motosikal dwikegunaan itu terus diberi nafas baharu melalui kejuruteraan semula agar ia kekal relevan mengikut keadaan semasa.
Bagi edisi 2013, transformasi yang dilakukan pada jentera R 1200 GS melibatkan teknologi kejuruteraan dengan inovasi terkini. Objektif itu sudah pasti mahu meningkatkan kepuasan tunggangan pemiliknya.
Inovasi pertama melibatkan penggunaan sistem penyejukan udara dan air glikol. Model sebelumnya mengguna pakai sistem penyejukan minyak dan udara.
Penukaran bendalir itu bertujuan memastikan kandungan sedia ada berupaya menyerap lepasan haba dengan lebih baik dan efisien.
Cecair glikol memiliki kelebihan mencapai setiap ruang dalaman bahagian enjin dengan lebih baik berbanding pengunaan minyak.
Operasi pelepasan haba itu dibantu menerusi pemasangan dua unit radiator dengan bantuan kipas. Kipas akan dihidupkan secara automatik apabila diperlukan. Set radiator dipasang pada bahagian kiri dan kanan enjin.

SISTEM ekzos keluli tahan karat dengan pengesan oksigen bantu mengurangkan pembebasan emisi karbon.


R 1200 GS terbaharu mengubah tradisi binaan produk enduro BMW Motorrad. Buat julung-julung kalinya, kotak gear dan sistem klac diintegrasikan di dalam ruang perumah enjin.
Teknik kejuruteraan itu membantu mengurangkan penggunaan bendalir pelincir transmisi tambahan dan meningkatkan kestabilan jentera ketika tunggangan.
Rangkaian kuasa R 1200 GS berupaya menjana kuasa maksimum 125hp pada 7,700rpm. Kuasa kilas tertinggi adalah 125Nm @ 6,000rpm. Jentera itu berupaya memecut melepasi paras 200 kilometer sejam (km/j).
Motosikal yang dipertontonkan sewaktu Pameran Antarabangsa Intermot 2012 di Jerman itu nyata kelihatan agresif dan lasak.
Wajah hadapan yang menggunakan reraut tajam bukan hanya solekan kosmetik. Ia menggalas tugas meningkatkan faktor aerodinamik ketika tunggangan.
Mode tunggangan
Keselesaan tunggangan disokong dengan adanya penghadang angin yang boleh selaras secara manual. Semua maklumat semasa tunggangan dipamerkan menerusi instrumen meter analog dan digital.
Penunggang boleh memilih mode tunggangan yang disediakan mengikut keadaan muka bumi. Sebanyak lima mode tunggangan disediakan iaitu Rain, Road, Dynamic, Enduro dan Enduro Pro.
Penukaran pemetaan enjin dibuat menerusi butang kawalan yang ditempatkan pada bahagian hendal. Susun atur semua butang kawalan pada hendal mudah dicapai dan dikendalikan.
Setiap tetapan mode yang dipilih akan mengubah maklum balas pendikit minyak, kawalan dan tahap redaman sistem suspensi separa aktif.
Pelana jentera bahagian hadapan boleh diselaras dengan adanya dua tahap ketinggian. Tujuannya adalah untuk meningkatkan keselesaan sewaktu tunggangan jarak jauh.
Aspek keselamatan jentera telah ditingkatkan dengan pemasangan saiz brek cakera lebih besar, angkup hadapan jenis Brembo Monobloc dan sistem brek antikunci (ABS).

LEGASI siri BMW GS terus menerima pembaharuan terkini daripada BMW Motorrad.


Perubahan turut membabitkan saiz rim dan tayar agar keseronokan tunggangan dapat dinikmati sepenuhnya. Perkara itu membolehkan tayar mendapat sentuhan lebih luas di atas jalan sekali gus meningkatkan keupayaan mengambil selekoh dengan lebih baik.
Pertama , lebar rim hadapan ditingkatkan kepada tiga inci. Saiz tayar yang digunakan adalah 120/70 R19. Tindakan sama dibuat pada rim belakang dengan tahap kelebaran mencecah 4.5 inci. Padanan saiz tayar adalah 170/60 R17.
BMW Group Malaysia menawarkan dua varian R 1200 GS edisi 2013 iaitu Dynamic dan Touring untuk pelanggan tempatan.
Perbezaannya melibatkan komponen lampu utama. Varian Dynamic dipasang dengan set lampu utama LED sepenuhnya. Sementara varian Touring dilengkapi lampu jenis halogen.
Ditawarkan dengan empat pilihan warna iaitu merah, biru, putih dan kelabu, BMW R 1200 GS kini boleh didapati menerusi semua pengedar BMW Motorrad di seluruh negara.
Harga bagi varian Dynamic ialah RM128,800 seunit. Untuk varian Touring, ia ditawarkan pada harga RM125,000 sebuah. Harga itu adalah di atas jalan tanpa insurans.
Jika mahu menikmati keseimbangan antara kepuasan tunggangan dan aktiviti kembara, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa inilah antara jentera yang harus diberi pertimbangan.

Porsche 911 SE 50 tahun!

Posted: 14 Jun 2013 05:44 PM PDT


REVOLUSI rekaan Porsche 911 menjadikannya sebuah model sports yang semakin matang.


SELAMA lima dekad, model 911 merupakan jantung hati Porsche. Hanya beberapa kereta sahaja di dunia yang mempunyai tradisi dan kesinambungan seperti Porsche 911.
Model tersebut telah menjadi inspirasi kepada ramai penggemar kereta sejak pertama kali diperkenalkan (901) pada acara IAA International Automotive Show, Frankfurt, Jerman pada September 1963.
Hari ini, 911 ialah sebuah model yang menjadi penanda aras untuk pesaing lain. 911 turut dijadikan sebagai rujukan untuk semua model Porsche. Setiap model tersebut membawa falsafah 911.
Prinsip Perlumbaan
Sehingga kini, lebih 820,000 Porsche 911 telah dibina yang menjadikannya kereta sport paling berjaya di dunia. Bagi ketujuh-tujuh generasinya, para jurutera di Zuffenhausen dan Weissach memperbaharuinya berkali-kali sebagai simbol kuasa inovatif Porsche.
Kelebihan 911 terletak pada adunan sifat kontradiksi seperti sporty dengan praktikaliti harian, tradisi dengan inovasi, eksklusif dengan penerimaan sosial dan rekaan dengan kebolehgunaan.
Sebagai tambahan kepada ciri-cirinya yang klasik dan unik, Porsche 911 selalu dipuji melalui teknologinya yang maju. Banyak idea dan teknologi diperkenalkan pada model 911 dilahirkan daripada trek perlumbaan. 911 sememangnya dibangun berdasarkan kepada prinsip perlumbaan sejak dari awal lagi. Perlumbaan sememangnya menjadi medan ujian paling penting untuk model itu.
Sejak dari mula, 'habitat' 911 adalah di litar dan lokasi rali di serata dunia, berbekalkan reputasi sebagai sebuah kereta yang pantas dan boleh menang. Faktanya, dua pertiga daripada 30,000 kemenangan yang diperoleh Porsche disumbangkan oleh 911.
Pada bulan September depan di International Motor Show (IAA) di Frankfurt, Porsche akan menyambut ulang tahun 911 yang ke-50 dengan memperkenalkan model edisi istimewa (SE) 50 Years Edition - separuh abad sejak model ikonik itu diperkenalkan di Jerman.
Menariknya, model SE itu hanya akan dihadkan kepada 1,963 unit iaitu mengikut tahun 911 dilahirkan. Seperti coupé pertama, model 911 50 Years Edition didatangkan dengan enjin flat-six pacuan roda belakang. Prestasi yang efisyen, suspensi sports active dan gayaan badan yang eksklusif menambah lagi penampilan kontemporari 911.
Memetik laporan agensi berita Newspress, model SE diasaskan daripada model 911 Carrera S, tetapi dilitupi badan yang lebih lebar iaitu 44 mm pada arca roda belakang yang sebenarnya untuk model pacuan semua roda (AWD) Carrera 4.
Keunikan luaran 911 SE diilhamkan daripada 50 tahun kejayaan model itu. Sebagai contoh, Porsche Active Suspension Management (PASM) ditala semula supaya berpadanan dengan peningkatan lebar jarak roda yang memberi lebih dinamik sewaktu mengambil selekoh.

TEMPAT duduk yang menawarkan keselesaan sepanjang masa.


Enjin Flat-Six
Model itu turut dipasangkan dengan sistem ekzos baharu bagi meningkatkan lagi tarikan emosi pada pemandu. Dikuasakan oleh enjin 3.8 liter flat-six berkuasa 400hp, Porsche 911 50 Years Edition mampu memecut dari sifar hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam tempoh hanya 4.5 saat dan 4.3 saat bagi model PDK dengan kelajuan maksimum 299km/j dan 298km/j (PDK).
Memberi indikasi jelas lokasi enjin flat-six yang berada di belakang ialah jaluran krom pada sirip gril bonet enjin. Aksesori tersebut diteruskan pada ruang suapan udara depan dan di antara lampu belakang.
Paling menonjol untuk model SE ialah rim 'old school' lima jejari yang diinspirasikan daripada rim dikenali sebagai Fuchs. Ia merupakan rim lagenda yang pertama kali digunakan pada model 911 tahun 1966.
Rim bersaiz 20 inci itu diwarnakan dengan warna hitam kusam dan kilatan mesin. Selain peralatan khas, pakej standard 911 Carrera S terdiri daripada Porsche Torque Vectoring (PTV) dengan limited slip differential belakang, skrin sentuh berwarna 4.6 inci Porsche Management bersama navigasi satelit, kawalan suhu automatik, lampu utama Bi-Xenon dan audio antara muka yang mempunyai sambungan MP3 dengan jaminan selama tiga tahun.
Pada bahagian dalam pula, gayaannya banyak meniru kembali reka bentuk 911 asal. Misalnya, label hijau pada instrumen dengan jarum berwarna putih dan penutup berwarna perak di atas meter. Satu lagi ciri istimewa ialah panel tengah pada kerusi kulit yang direka dengan corak fabrik yang mengingatkan semula pada rekaan Pepita tartan daripada model 1960-an.
Balutan kulit pula boleh dipilih sama ada berwarna kelabu (Agate Grey) atau hitam. Kerusinya boleh dilaras dengan 14 arah. Jika itu tidak memadai, terdapat pilihan kerusi Sport Seats Plus dengan 18 arah larasan.
Porsche 911 50 Years Edition sudah boleh ditempah di Porsche Centre di United Kingdom dan Ireland sahaja. Harganya? Bermula daripada GBP 92,257 atau sekitar RM453,000 sahaja!

Nilai Honda CR-X EF8

Posted: 14 Jun 2013 05:42 PM PDT


CR-X menawarkan kualiti pemanduan yang mengujakan.


SAYA masih teringat kata-kata manis seorang jurujual kereta tempatan kepada ayah bahawa membeli kereta adalah satu pelaburan. Jangan percaya. Membeli kereta bukan macam beli rumah yang harganya naik setiap tahun.
Kereta hari ini bayar RM50,000 keluar sahaja bilik pameran terus jatuh harga hampir RM10,000. Bagi saya, beli kereta kita menang memakai sahaja, kalau hendak harapkan keuntungan, memang tidak ada.
Tetapi kadang-kadang, nasib boleh menyebelahi kita. Kereta yang dahulunya dibeli pada harga RM20,000 boleh jadi RM50,000. Contoh terbaik ialah Toyota AE86. Kereta itu dilancarkan ketika saya masih bersekolah rendah. Kalau tidak silap, harga jualannya lebih kurang RM50,000.
Mendahului zaman
Kalau hendak diikutkan, harga tersebut memang mahal kerana kereta zaman itu, harga puratanya cuma RM20,000. Tetapi selepas hampir 30 tahun, kereta tersebut masih dijual pada harga yang sama. Malah ada kalanya, lagi mahal!
Jika anda peminat Honda, jangan risau. Ada juga permata yang bakal menjadi klasik satu masa nanti (ataupun sebenarnya sudah bermula). Mungkin ramai antara kita yang tidak mampu membeli Honda NSX, kereta yang saya yakin menjadi bahan koleksi satu masa nanti.
Jika anda sekarang ada menyimpan Honda CR-X generasi kedua (siri EF), elok simpan baik-baik. Sebab? Saya agak rajin melihat laman web menjual kereta. Saya dapati harga CR-X model itu makin hari makin naik, terutama kalau dalam geran mengesahkan bahawa ia daripada model EF8.
EF8 ialah model yang menggunakan enjin B16A. Hakikat itulah yang membuatkannya amat bernilai. Pada anda yang fikir kereta itu masih baru, tahukah bahawa Honda siri EF sudah menyambut ulang tahun ke-25?
Saya tidak salahkan siapa-siapa kalau ada yang rasa kereta itu masih baru. Masakan tidak, reka bentuknya mendahului zaman. Malah teknologi yang digunakannya masih dianggap hebat hingga ke hari ini.
Jadi memang bertuah pemiliknya, Aidil sebab memiliki sebuah CR-X EF8 yang asli. Kereta yang didaftarkan pada tahun 1991 itu sejujurnya nampak macam baru sampai di Pelabuhan Kelang, cantik dan bersih.
Model EF8 didatangkan dengan enjin B16A dari kilang. Tetapi Aidil sudah menggantikannya dengan enjin B16B, enjin Civic EK9 Type-R.

RUANG kabin CR-X ini menerima ubah suai minimum.


Alat ganti prestasi
Enjin B16B memang secara kasarnya nampak sama dengan enjin B16A yang diganti. Namun, jurutera Honda telah membikin enjin itu dan melonjakkan kuasanya kepada 180hp berbanding 160hp pada enjin B16A biasa.
Enjin itu boleh dikatakan sebagai memiliki paling banyak alat ganti prestasi. Walaupun blok dan kepala silindernya tidak diusik, bahagian inlet kemasukannya sudah diganti dengan inlet Skunk2 bersama throttle body daripada Super 90.
Penapis udara asal pun telah diganti dengan penapis udara daripada Mugen yang disambung ke throttle body menggunakan paip keluli tahan karat buatan custom.
Sistem pendawaian enjin pula disorokkan daripada penglihatan. Proses itu dipanggil 'wire tuck'. Sebab itulah anda tidak nampak wayar-wayar yang berserabut, semuanya sudah disorok dengan jayanya.
Hos-hos radiator dan hos vakum diganti dengan hos silikon daripada Samco. Ini termasuklah radiator asal yang diganti dengan radiator aluminium. ECU enjin dinaik taraf dengan cip daripada Skunk2, sebelum dilaras menggunakan sistem ECU piggyback jenama A'PEXi V-AFC.
Tidak lengkap ubah suai enjin VTEC kalau sistem ekzos tidak diganti. Untuk projek CR-X, Aidil menggunakan sistem manifold ekzos 4-1, paip ekzos saluran terus buatan custom dan diakhiri dengan peredam bunyi J's Racing.
Kotak gear B16B yang disalin sekali ke kereta itu nampaknya sudah berubah sifat. Klac asal diganti dengan klac Ogura Super Single bersama flywheel yang diringankan. Nisbah gear pun sudah ditukar dengan set nisbah gear pendek M's Factory yang menggunakan nisbah akhir 3.4.
Dari segi pengendalian pula, CR-X diubahsuai dengan penyerap hentak boleh laras Tein Flex dan lower arm belakang Skunk2 pada bahagian belakang. Tayar-tayar Dunlop Sport bersaiz 195/50 membaluti rim-rim Volk Racing TE37 berdiameter 15 inci yang banyak membantu CR-X terus melekat di atas jalan raya.
Kalau tengok bab penampilan, CR-X memang bersih dan kemas, tanda restorasi yang sempurna. Pada bahagian luaran, ia mengekalkan ciri-ciri standard kilang tanpa sebarang modifikasi.
Bahagian dalamannya pun boleh dikatakan tidak banyak berubah. Cuma ada penambahan beberapa aksesori yang membuatkan kereta itu lebih istimewa.
Aksesori jenis bolt-on melibatkan stereng Momo, tombol gear Skunk2 dan pedal pendikit Mugen. Satu set meter jenama Defi juga dipasang pada papan pemuka yang memberi bacaan tekanan pelincir, suhu air dan suhu pelincir.
Nasihat saya kepada pemilik-pemilik CR-X EF8 asal, simpan kereta itu baik-baik. Jangan nak berlumba lagi. Modifikasi pun jangan lebih-lebih. Nilai kereta anda ada potensi jadi macam AE86.

Mabul kembali gamit pelancong

Posted: 14 Jun 2013 05:39 PM PDT



KIRA-KIRA empat bulan lalu, Pulau Mabul yang terletak di daerah Semporna iaitu bersebelahan Lahad Datu turut merasai bahang pencerobohan pengganas Sulu di Sabah.
Walaupun terkenal sebagai syurga untuk penyelam skuba, pulau yang terletak berdekatan dengan Pulau Sipadan itu kurang menerima kehadiran pelancong sepanjang insiden itu.
Situasi tegang di perairan itu menimbulkan perasaan takut kepada pelancong dari dalam mahupun luar negara untuk meneruskan rancangan percutian mereka di Pulau Mabul.
Kini, suasana pulau itu kembali kepada keadaan asal dengan penduduk pulau yang terdiri daripada masyarakat Bajau Suluk dan Bajau Laut bebas melakukan aktiviti harian mereka.
Selain itu, pertambahan jumlah pelancong jelas kelihatan terutamanya di kawasan perairan dan resort-resort yang menyediakan perkhidmatan aktiviti skuba.
Seorang pelancong dari Manchester, England, Melissa Smith, 25, memberitahu, kunjungannya kali pertama ke Pulau Mabul itu ternyata memberi gambaran bahawa Malaysia mempunyai destinasi skuba terbaik di dunia.
Dia yang merupakan seorang pengembara sepenuh masa dan telah menjelajah banyak negara Asia dan Amerika Selatan, berpendapat Pulau Mabul antara kawasan pelancongan yang aman.
"Sepanjang lima hari berada di sini, saya berpeluang melihat persekitaran pulau. Aktiviti penduduk pulau ini memberi gambaran bahawa mereka hidup damai dan harmoni.
"Walaupun masyarakat Bajau di sini hidup serba kekurangan, mereka gembira melakukan aktiviti harian terutamanya sewaktu pergi ke laut untuk menangkap ikan," ujarnya yang sempat melakukan selaman skuba di Eel Garden dan House Reef.

TERDAPAT kira-kira 20 buah resort dan homestay untuk kemudahan penginapan para pelancong di pulau yang terkenal sebagai destinasi selaman skuba itu.


Pakej bajet
Di pulau itu, terdapat kira-kira 20 buah resort dan homestay untuk penginapan pelancong. Antaranya, Sipadan Mabul Resort, Borneo Divers dan Escuba Jonkey.
Sphere Divers Lodge merupakan antara penginapan yang menjadi tumpuan pelancong yang mahu melakukan aktiviti skuba.
Pemiliknya yang berketurunan Kadazan, Stanley Sie, 50, memberitahu, Sphere Divers Lodge mempunyai tujuh bilik tidur yang dilengkapi dengan kemudahan asas seperti katil dan kipas.
"Ketika hari ketiga pencerobohan tentera Sulu di Lahad Datu, saya telah membatalkan semua tempahan pelancong yang mahu menginap dan melakukan aktiviti skuba kerana khuatir terhadap tahap keselamatan. Kini, keadaan telah pulih dan saya kembali menerima tempahan daripada pelancong.
"Pakej yang ditawarkan kepada pelancong meliputi penginapan dan makanan. Setiap pakej dicaj sebanyak RM80 semalam. Ia merupakan pakej bajet untuk pelancong sepanjang berada di pulau ini," ujarnya.
Bagi aktiviti skuba pula, homestay itu mempunyai pelbagai kemudahan untuk disewa kepada penyelam. Stanley juga akan membawa pelancong ke kawasan perairan di sekitar Pulau Mabul dan Kapalai. Setiap sesi skuba mengambil masa selama 45 minit.
Kini, Sphere Divers Lodge sedang mengadakan promosi di laman web. Kumpulan yang datang seramai empat orang ditawarkan penginapan secara percuma kepada salah seorang daripada mereka.
Melihat pemandangan malam di Pulau Mabul sememangnya pengalaman yang mesti dinikmati oleh pelancong. Melalui celahan deretan rumah masyarakat Bajau Suluk, mereka berpeluang melihat penduduk menjalankan aktiviti perniagaan seperti menjual ikan bakar dan makanan.
Paling unik, kelihatan minyak masak, sabun pencuci pakaian dan sayur-sayuran dibungkus di dalam plastik kecil untuk dijual. Harga sebungkus minyak masak pula ialah 20 sen.
Menurut seorang penduduk, peniaga menjual keperluan asas dengan cara tersebut bagi mengelakkan pembaziran. Kaedah itu merupakan cara orang Filipina berniaga di negara asal mereka.
Seorang lagi pelancong dari London, Amy Dupres, 24, berkata, keindahan Pulau Mabul terletak pada kejernihan air laut yang sukar didapati di tempat lain.
"Saya ke sini untuk melakukan aktiviti skuba tetapi saya seronok melihat nelayan keluar menangkap ikan. Mereka ramah menegur pelancong," ujarnya.

PENDUDUK tempatan menjual barangan keperluan asas seperti minyak masak, sabun pencuci pakaian dan sayur-sayuran di dalam paket dengan harga serendah 20 sen sebungkus.


Bebas sampah sarap
Sementara itu, Ketua Kampung Pulau Mabul, Mohd. Yusof Jalal, 55, memberitahu, walaupun penduduk pulau itu terdiri daripada dua suku yang berbeza iaitu Bajau Laut dan Bajau Suluk, mereka hidup tanpa sebarang perbalahan.
Menurutnya, masyarakat Bajau Suluk terdiri daripada peniaga yang menjual hasil laut, manakala Bajau Laut bekerja sebagai nelayan.
Tarikan lain bagi pelancong ke Pulau Mabul adalah untuk mendekati dan melihat perkampungan kedua-dua masyarakat itu.
Ketika ditanya mengenai tahap keselamatan pulau itu selepas kes pencerobohan tentera Sulu di Lahad Datu, Mohd. Yusof berharap pelancong tidak khuatir lagi tentang perkara tersebut.
"Di pulau ini, Pasukan Gerakan Am (PGA) sentiasa mengawal kawasan perairan bagi mengelakkan pencerobohan berulang.
"Dianggarkan ada kira-kira 20 anggota polis di pulau ini yang ditugaskan untuk menjaga keamanan," ujarnya.
Menjadi lumrah penduduk di pulau, mereka tidak mempunyai sistem pembuangan sampah yang teratur sehingga mengakibatkan kawasan kampung dipenuhi dengan sampah sarap.
Namun, Mohd. Yusof amat menitikberatkan aspek kebersihan di pulau yang dihuni kira-kira 3,000 penduduk itu.
Sekiranya pelancong berjalan-jalan di sekitar pulau, mereka pasti melihat kawasan gerai-gerai dan rumah-rumah di atas air bersih daripada sebarang sampah.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines