Isnin, 24 Jun 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Pierre Andre Sah Bergelar Suami

Posted: 23 Jun 2013 02:51 AM PDT

Pierre Andre (kiri) bersama isteri, Siti Nur Hidayah Hashim.
SELAYANG: Dengan sekali lafaz pelakon Pierre Andre, 28, sah begelar suami kepada Siti Nur Hidayah Hashim, 26, dalam majlis pernikahan yang diadakan di Masjid Al-Ikhlas Taman Melati Selayang di sini pada Ahad.
Pierre atau nama sebenarnya Mohd Pierre Andre Nazrul Andre dan Hidayah dinikahkan oleh Imam masjid tersebut Mohamad Zuhdi Razali kira-kira pukul 2.10 petang.
Pihak lelaki membawa tujuh dulang hantaran berupa tepak sirih, sepasang kasut, seutas jam tangan dan beg jenama Guess, wang hantaran, telekung, set minyak wangi, telefon bimbit I-Phone 5 dan set barang kemas jenama Habib Jewels.
Sementara itu, pihak perempuan membalas dengan sembilan dulang hantaran terdiri daripada buku, sepasang kasut jenama New Ballance, coklat, seutas jam tangan Alexandre Christie, set kamera, set minyak wangi, barangan elektronik PSVita Wifi, sebentuk cincin dan sirih junjung Pengantin perempuan menerima RM300 sebagai mas kahwin dan RM20,000 sebagai wang hantaran.
Majlis pernikahan kedua-dua mempelai dihadiri kira-kira 300 orang jemputan yang terdiri daripada kaum keluarga rapat pengantin dan wakil media.
Pierre menyarungkan cincin ke jari manis isterinya pada upacara membatalkan air sembahyang selepas selesai akad nikah.
Sebelum ini pasangan yang menyulami cinta selama lapan bulan itu telah mengikat tali pertunangan pada 9 Februari lalu di kediaman Hidayah di Pasir Gudang, Johor Bahru.

Stacy Pilih Sukan Futsal Untuk Turunkan Berat Badan

Posted: 23 Jun 2013 02:49 AM PDT

Stacy.
PETALING JAYA: Penyanyi Stacy mengakui gemarkan sukan yang popular dikalangan golongan lelaki iaitu futsal sebagai salah satu cara untuk dia mengurangkan berat badannya.
Stacy berkata, dia gemarkan aktiviti lasak seperti sukan futsal dan selain itu dia juga gemar bermain badminton sekiranya mempunyai waktu terluang.
"Sebelum ini berat saya 53 kilogram dan ramai yang menegur bentuk badan saya semakin berisi dan berazam untuk kuruskan badan.
"Selain bersukan saya juga mengatur cara pemakanan supaya proses penurunan berat badan itu dapat dilakukan dengan cepat," jelasnya.
Stacy mengakui sebelum ini dia kurang menjaga berat badannya kerana selain sibuk dengan kerjaya seninya dia juga banyak memberikan tumpuan kepada anak angkatnya, Bella Valentina.
Selain itu jelasnya, kekurangan menjalani latihan tarian juga menyumbang kepada peningkatan berat badannya sejak akhir-akhir ini.
Dalam pada itu, Stacy berkata, dia tidak mempunyai masa untuk bercinta kerana dia kini memberikan tumpuan penuh kepada anak dan kerjaya nyanyiannya.
"Saya tiada masa bercinta kerana Bella adalah perkara pertama yang perlu diberi perhatian dan hubungan kami sangat rapat dan jarang berenggang untuk masa yang lama," katanya.
Dalam perkembangan lain, Stacy berkata, dia baru sahaja selesai merakamkan sebuah lagu dengan kumpulan Smash dari Indonesia dan lagu berjudul Hello itu bakal dimuatkan dalam album terbaharu mereka.

Pertembungan Tiga Heroin Dalam 'Dewi Lasak'

Posted: 23 Jun 2013 02:48 AM PDT


Pengarah Pierre bersama dua peneraju utama, Bella Dally dan Atikah Suhaime.
PETALING JAYA: Siri terbaharu slot Aksi iaitu Dewi Lasak menyaksikan pertembungan tiga heroin iaitu Intan Ladyana, Bella Dally dan Atikah Suhaime yang tampil dengan elemen lasak dan romantik.
Diarahkan oleh Pierre Andre, Dewi Lasak mengisahkan tentang tiga adik-beradik iaitu Seri (Intan), Dewi (Bella) dan Qistina (Atikah) yang dibesarkan oleh bapa tunggal mereka, Jiman (Lokman Ghani).
Meskipun tiga beradik ini dibesarkan bersama-sama sejak kecil namun personaliti mereka amat berbeza dengan penampilan mereka.
Drama terbitan MIG Production itu turut membariskan pelakon seperti Azwan Kombos (Faiz), Bil Azali (Izani Badarudin), Niezam Zaidi (Akil Rahmad), Amran Ismail (Joshua Azmi), Lokman Ghani (Jiman), Along Ezendy (Tony) dan ramai lagi.
Ia bakal bersiaran bermula 26 Jun ini, setiap hari Rabu pukul 9.00 malam menerusi slot Aksi di TV3.
Seri merupakan kakak sulung dan bekerja sebagai wartawan jenayah. Seri mempunyai raut wajah yang jelita tetapi dia seorang yang tegas dan amat sensitif dengan isu wanita.
Dewi adik kedua yang mempunyai sifat tomboy, sememangnya tidak suka berdandan. Walaupun sikapnya agak lasak, namun Dewi seorang yang setia dan dia sedang menjalinkan hubungan cinta dengan Izani.
Qistina pula adik bongsu yang manja dan masih lagi menuntut pengajian di sebuah kolej. Qistina pernah menjadi mangsa ragut dan sejak itu dia telah mendaftar diri di sebuah kelas karate untuk menggilap keupayaan bertarungnya.

Gandingan baru! Sharnaaz Ahmad, Daphne Iking

Posted: 23 Jun 2013 02:44 AM PDT


Sharnaaz Ahamad dan Daphne Iking
Sharnaaz Ahamad dan Daphne Iking
SEBUT sahaja nama Sharnaaz Ahamad, pasti ramai memikirkan soal peribadinya yang sebelum ini menjadi perhatian ramai. Namun, di sebalik kisah-kisah kontroversi itu, aktor ini berjaya membuktikan kemunculannya dalam industri bukanlah semata-mata untuk mencari publisiti murahan, tetapi kerana bakat lakonannya.

Kehebatannya dalam menghayati setiap watak yang dilakonkan menerusi drama mahupun filem sememangnya tidak perlu dipertikaikan lagi. Ini terbukti apabila setiap lakonannya mampu memberi kesan dan impak yang kuat terhadap penontonnya.

Berlainan pula dengan selebriti cantik, Daphne Iking yang sebelum ini terkenal dengan bidang pengacaraan menyifatkan karier lakonan bukanlah keutamaan buat dirinya.

Walaupun begitu, ia bukanlah penghalang buat dirinya untuk mencuba bidang lakonan sebagai cabaran buat dirinya untuk menimba pengalaman dalam lakonan.

Buat kali pertamanya, kedua-dua pelakon ini digandingkan bersama dalam menjayakan sebuah filem aksi terbaru terbitan Loyal Studios Sdn Bhd berjudul Sindiket.

Filem taruhan sutradara Bade Hj Azmi ini mengisahkan isu memperdagangkan manusia yang berlaku di Sabah. Inspektor Rudy dari Unit Khas D7 dipertanggungjawabkan untuk menghalang kes tersebut yang dipercayai dilakukan oleh penjenayah yang dikenali sebagai Gang Sulu.

Berkesempatan mengikuti lawatan ke set penggambaran Sindiket yang dijalankan di sekitar Kota Kinabalu, Sabah, Zass sempat menemu ramah pelakon dan pengarah mengenai pengalaman mereka menjayakan filem ini.

Sharnaaz ambil risiko

Berlakon dalam filem aksi pastinya memberi cabaran hebat buat semua pelakon terutamanya bagi mereka yang jarang menerima tawaran seperti ini. Bagi Sharnaaz, walaupun menyedari untuk melakukan aksi-aksi lagak ngeri bakal mengundang pelbagai risiko, namun demi kepuasannya sebagai seorang pelakon dia sanggup untuk menjayakannya.

"Saya memegang watak sebagai Inspektor Rudy dan boleh dikatakan banyak juga aksi yang perlu dilakukan untuk watak ini.

"Tapi atas faktor keselamatan, Abang Bade tidak benarkan saya buat babak aksi itu dan serahkannya kepada pelakon 'stunt'," katanya.

Menurut Sharnaaz, tidak sukar untuknya menghayati watak kerana dunia polis tidak asing bagi dirinya.

"Bukan sahaja kawan, tapi bapa saudara saya juga adalah seorang polis D7 jadi itu bukan cabaran besar buat saya.

"Sebelum ini juga saya pernah membawa watak sebagai seorang anggota polis marin dan pengalaman itu sedikit sebanyak dapat membantu saya untuk hidupkan watak ini dengan baik," jelasnya.

Tambah Sharnaaz lagi, Sindiket adalah kerjasama pertamanya bersama pengarah Bade Hj Azmi.

"Bagi saya, dia adalah seorang yang 'perfectionist' jadi sebagai pelakon saya harus lakukan yang terbaik supaya semua pihak berpuas hati dengan hasilnya," katanya.

Dalam perkembangan lain, Sharnaaz baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama siri Cinta Ramadan di Singapura minggu lalu.

Berbeza dunia sebenar

Menerusi filem ini, Daphne turut dipertanggungjawabkan memegang watak sebagai Inspektor Sabrina yang merupakan rakan sepasukan Inspektor Rudy dalam menyelesaikan kes memperdagangkan manusia.

Walaupun akui tawaran lakonan kali ini memberi cabaran hebat buat dirinya, namun demi kepercayaan pengarah dan penerbit yang memilihnya untuk terlibat sama dalam filem ini membuatkan Daphne bersemangat untuk melakukannya.

"Memegang watak sebagai seorang polis secara automatik membuatkan karakter saya berbeza berbanding dunia sebenar," katanya.

"Mujurlah ayah saya juga merupakan seorang anggota polis. Banyak perkara saya rujuk padanya termasuklah dari segi pemakaian dan isu memperdagangkan manusia yang berlaku di sini," katanya.

Menyentuh mengenai gandingannya bersama Sharnaaz, pengacara kelahiran Sabah ini mengakui sangat kagum dengan bakat yang dimiliki aktor itu.

"Dia bijak menyesuaikan diri dengan karakter. Saya pula masih lagi belajar dan memang rasa gugup melihat kehebatannya," katanya.

Nora Danish: 'Suami aku ustaz'

Posted: 23 Jun 2013 02:43 AM PDT


Nora Danish: 'Suami aku ustaz'
Sebahagian peminat yang tidak melepaskan peluang untuk bersama-sama di atas pentas bersama Nora Danish.
TENTU ramai peminat pelakon jelita bersuara comel ini yang tidak sabar menantikan pengumumannya tentang siapakah jejaka yang akhirnya berjaya mencuri hatinya.

Namun dia hanya berselamba memberitahu, 'Suami Aku Ustaz' dan hanya akan menemui para peminatnya tahun depan.

Kejutan tersebut didedahkannya kepada Sinar Harian ketika ditemui selepas pelancaran krim mandian ulung Fruitale FairWhite UV serta Pencarian Gadis Transformasi Bintang Fruitale di sini, semalam.

Rupanya itulah hasil buah tangan terbaru Nora Danish Mohd Hanif, pelakon yang berasal dari Terengganu ini yang disifatkan sebagai hadiah kepada para peminat yang setia menanti setiap perkembangan dirinya.

"Filem ini diadaptasi dari novel dengan judul serupa dan sekali lagi  menggandingkan saya dengan Adi Putra selepas filem 'Aku Terima Nikahnya' berjaya menambat hati peminat," katanya.

Menurutnya, penggambaran untuk filem ini dijalankan sepenuhnya di beberapa lokasi di Melaka.

Filem 'Suami Aku Ustaz' mengisahkan mengenai seorang remaja berusia 17 tahun yang dipaksa berkahwin dengan seorang ustaz, lakonan Adi Putra.

Sambil melabelkan filem itu sebagai sebuah filem romantik komedi, Nora Danish berkata, cabaran paling besar adalah menghayati watak seorang remaja yang masih menuntut di tingkatan lima.

"Untuk benar-benar menghidupkan watak berkenaan, saya terpaksa berperangai dan bertingkah laku seperti seorang remaja.

"Selain menjadi remaja, watak ini juga seorang yang kasar. Ada adegan di mana saya perlu pandu bot sendirian di tengah laut, sesuatu yang tidak pernah saya terfikirkan," katanya.

Walaupun telah selesai penggambaran untuk filem 'Suami Aku Ustaz', jadual Nora Danish masih ketat dengan penggambaran Teleraya sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama RTM dan Astro.

Selain itu, katanya, dia akan turut menjalani penggambaran filem terbaru yang diterbitkan Metrowealth (MIG) sebagai watak utama.

Bagaimanapun, ketika mengimbau kembali pembabitannya dalam bidang lakonan, Nora Danish berkata, dia ingin ditawarkan peluang membawa watak yang lebih mencabar.

"Selama ini saya banyak membawa watak wanita malang yang sudah jatuh ditimpa tangga. Saya ingin membawa watak yang lebih mencabar," katanya.

Mengenai pelantikannya sebagai duta produk Fruitale, Nora Danish berkata, dia berbesar hati dilamar sebagai duta produk berkenaan.

"Memandangkan saya sendiri menggunakan produk ini dan tahu keberkesanannya, saya tidak ragu-ragu untuk menjadi jurucakap produk," katanya.

GD pukau peminat Malaysia

Posted: 23 Jun 2013 02:42 AM PDT


GD
Konsert solo pertama GD di Malaysia ini bernilai RM4.5 juta.
GD
GD turut menunjukkan kemahiran menarinya.
GD
Peminat sudah mula memenuhi pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil sejak sehari sebelum konsert berlangsung.
GD
Sebahagian peminat yang membanjiri konsert solo pertama GD di Malaysia, malam tadi.
GD
GD tampil dengan replika kereta pada persembahan pembukaan.
PENYANYI terkenal Korea Selatan, G-Dragon (GD) berjaya memukau ribuan peminatnya di Malaysia malam tadi dengan persembahan yang penuh bertenaga dan warna-warni.

Konsert solo pertamanya di Malaysia, G-Dragon 2013 1st World Tour : One Of A Kind In Malaysia itu menelan belanja RM 4.5 juta dan diadakan secara terbuka hanya di negara ini sahaja.

Bagaikan histeria, kemunculan GD pada persembahan pembukaan dengan single terbarunya, Gone Grazy di atas replika kereta disambut dengan jeritan daripada hampir 10,000 peminatnya.

GD atau nama sebenarnya, Kwon Ji Young terus menghiburkan penonton dengan lagunya yang berbisa seperti Heartbreaker, Crayon, One Of A Kind, dan Missing You.

Susunan pentas yang bertingkat sungguh menarik kerana ia memberi kelainan kepada konsert ini berbanding konsert-konsert lain.

Bantuan paparan visual dan warna-warni pencahayaan di sekitar pentas pula menambah kemeriahan persembahan GD.

Pada siri jelajah di Malaysia, GD membawa salah seorang ahli kumpulan BigBang, Taeyang sebagai artis jemputan.

Kemunculan Taeyang dengan persalinan serba putih disambut dengan jeritan peminat-peminat.

Taeyang menyampaikan dua buah lagu sambil menunjukkan kemahiran tariannya iaitu Where You At dan Breaking Down.

Sebelum menyampaikan lagu kedua, Taeyang memuji penonton yang hadir.

"Orang Malaysia 'hot' seperti cuacanya juga," katanya.

Kemudian, GD mengambil alih semula pentas dengan menyanyikan lagu This Love nyanyian kumpulan Maroon 5 yang sudah digubah dari segi lirik dan susunan muzik.

GD yang juga anggota kumpulan BigBang menyampaikan 18 buah lagu dalam tempoh dua jam setengah termasuk sebuah lagu ciptaannya yang dinyanyikan BigBang, Bad Boy.

Konsert itu menggunakan khidmat koreografer terkenal, Travis Payne dan Stacey Walker.

Sebelum menutup tirai persembahannya di Stadium Nasional Bukit Jalil, GD sempat berinteraksi dengan para peminatnya.

"Terima kasih kerana hadir pada malam ini. Terima kasih kerana menyokong saya.

"Saya tak akan lupakan malam ini. Jadi, tolong jangan lupakan saya," ucapnya yang kemudian disambut dengan jeritan para penonton.

Menurut GD, album solo keduanya selepas Heartbreaker bakal dilancarkan Ogos ini.

GD bakal ke Singapura untuk menamatkan siri jelajah konsert solonya itu.

Teruja lihat pisang bercabang

Posted: 23 Jun 2013 02:35 AM PDT


Teruja lihat pisang bercabang
Ros menunjukkan pokok pisang bercabang di batang di kediamannya.
RANTAU PANJANG – Seorang surirumah teruja dan kagum melihat pokok pisang yang ditanamnya sejak sebulan lalu, bercabang di batang kerana itu pokok pertama yang dilihat dalam keadaan sedemikian.

Menurutnya, keunikan itu hanya disedarinya minggu lalu ketika melihat tanaman yang ditanam di sekitar halaman rumahnya.

Wanita dikenali Ros, 50, itu berkata, dia kagum dengan keunikan pokok tersebut dan menganggap itu sebagai salah satu rahsia keagungan tuhan yang sukar untuk ditafsirkan.

Katanya, benih pokok pisang itu diambilnya dari rumah saudaranya di Kuala Terengganu.

"Saya tidak menyangka pokok pisang ini bercabang, memandangkan induknya sama seperti pokok lain yang saya temui sebelum ini.

"Saya akan terus menjaga pokok ini sehingga besar dan mahu melihat perkembangan selanjutnya sama ada mengeluarkan buah atau tidak," katanya kepada Sinar Harian.

Gred pelakon ikut bakat

Posted: 23 Jun 2013 02:29 AM PDT


AIRIS YASMIN (kiri) dan Diana Johor menganggap mereka ialah aktres kelas pertengahan.


DUA wajah ini sering dilihat menerusi televisyen terutamanya dalam kalangan penonton setia drama bersiri. Namun, baru-baru ini mereka berpeluang meneroka layar lebar melalui filem Tokak arahan pelakon veteran Sabree Fadzil. Mula ditayangkan sejak 20 Jun lalu, filem ini membariskan pelakon seperti Airis Yasmin, Diana Johor, Faiz Raja Lawak, Julia Ziegler, Abon, Kazar dan Lana Nordin.
Filem seram komedi terbitan Mar Energetic Industri Sdn. Bhd. ini berkisar tentang jelmaan makhluk halus yang mahu menghisap darah gadis untuk memulihkan wajahnya agar dapat menjadi manusia biasa.
Selain ruang mempromosikan filem yang dirakam dua tahun lalu, kedua-dua aktres ini juga diajukan topik menggred pelakon dalam industri lakonan tempatan.
Kelas yang hadir secara 'halus' ini dapat dilihat melalui pembayaran tenaga, tawaran karakter dan kelompok yang disertai. Sedar dengan situasi pengelasan yang sememangnya wujud dalam industri lakonan tempatan, dua pelakon ini memberikan buah fikir mereka.
Boleh ceritakan pengalaman berlakon dalam filem Tokak?
AIRIS YASMIN (AY): Saya membawakan watak Azian, pekerja hotel yang mempunyai hubungan sulit dengan pengurus hotel. Saya merupakan mangsa keenam Tokak yang sempat diselamatkan.
DIANA JOHOR (DJ): Sebenarnya kita sudah menjalani penggambaran dua tahun lepas. Saya hampir terlupa dengan nama watak yang dipegang. Cerita ini mengisahkan percutian sekumpulan remaja ke sebuah hotel tetapi seekor jembalang bernama Tokak mengambil mereka seorang demi seorang.
Apa yang membuatkan kalian terpanggil untuk berlakon filem ini?
DJ: Saya sebenarnya sudah lama tidak berlakon. Balik dari Australia, berkahwin dan kemudian membuka rumah produksi bersama kembar saya. Jadi, bila pihak pengurusan mencadangkan untuk mencuba filem ini, saya tidak kisah.
Mungkin kerana sudah lama saya tidak turun padang. Lagipun saya tidak pernah berlakon filem hantu dan ini merupakan pengalaman yang baik. Saya berpengalaman di tarik ke dalam laut pada waktu tengah malam, bayangkan air yang sejuk dan ombak besar.
AY: Sama seperti pelakon lain, saya menjalani uji bakat. Apabila dapat buat filem, saya agak teruja. Bila sudah membaca skrip, saya rasakan filem ini boleh dihayati dan ada mesej. Saya berikan yang terbaik untuk filem ini.
Apa pandangan kalian bila pelakon dikelaskan mengikut gred?
AY: Mungkin ada pro dan kontranya. Tetapi kelebihan akan banyak kepada artis yang popular yang naik secara apa sahajalah. Maksudnya bakat atau gosip liar. Ia akan menjadi kekurangan kepada artis atau pelakon yang tidak mendapat tempat. Untuk artis yang diberi gred A, bayaran yang diterima memang berbaloi. Bagi saya sendiri, saya selesa di tempat sekarang. Saya melihat ada sesetengah rumah produksi yang menganggap apa yang pelakon itu persembahkan setimpal dengan bayaran.
Ada juga yang jenis mengambil kesempatan dengan melihat pelakon secara sebelah mata. Ada yang jenis mahu berjimat dan bersikap tidak adil. Bagi pelakon yang ada kerja sampingan yang lain, mungkin mereka tidak kisah tetapi buat pelakon yang menjadikan lakonan sebagai periuk nasi, mereka perlu mengikut gred bayaran.
DJ: Sebagai penerbit, saya sedar dengan gred ini kerana bila mahu ambil pelakon akan ada harga yang berbeza. Tetapi apa yang saya lihat di Malaysia, gred ini bukan hanya berlaku kerana seseorang itu pandai berlakon. Tidak semestinya pandai berlakon, tetapi mereka jatuh dalam artis kelas A. Maksudnya di sini, ada yang disebabkan kontroversi dan paras rupa, tetapi ia tidak sepatutnya berlaku kerana bakat adalah lebih penting.
Adakah ini sihat untuk industri lakonan tempatan?
AY: Tidak sihat kerana golongan yang tertindas akan terus ditindas. Yang diberi ruang akan menguntungkan mereka. Saya risau pada mereka yang ditekan dan tidak mendapat peluang yang sepatutnya.
DJ: Kurang sihat sebab nanti kalau kita mahu bawa produk kita ke luar negara, ia akan dinilai melalui lakonan dan bukannya faktor lain. Lagipun faktor kecantikan akan menjadi subjektif bagi orang berlainan.
Bagaimana kalian melihat kewujudan kalian dalam kelompok pelakon sedia ada?
AY: Saya secara umumnya selesa dengan keadaan semasa. Untuk artis baharu, mereka mungkin mengambil beberapa tawaran yang tidak terkejar. Saya jenis fokus dan berprofil rendah. Ada tawaran saya buat. Jika tawaran tersebut tidak sesuai, saya tidak akan paksa diri.
Rasanya, saya berada di pertengahan kerana saya bukanlah jenis yang terdesak mahu popular atau glamor. Rezeki sentiasa ada walaupun tidak dikenali dalam kalangan kelompok komersial.
Saya mungkin tidak banyak filem atau dapat tawaran jadi heroin. Lagipun faktor usia membuatkan saya lebih mendapat watak sampingan kerana ruangnya di situ. Saya bekerja dalam lingkungan saya.
DJ: Saya sendiri tidak tahu di mana kelompok saya. Saya ini jenis sekejap ada sekejap tidak ada dalam industri. Saya akui ini bukanlah kerja sepenuh masa saya kerana sebelum ini saya sibuk belajar di Australia tetapi terus membuka rumah produksi sebaik pulang ke tanah air.
Saya bukan pelakon kelas A kerana lakonan saya tidak hebat mana pun. Nak kata kaku pun tidak juga, jadi mungkin di tengah-tengah. Saya tidak boleh menilai sebaliknya penonton.
Apa pandangan kalian terhadap pengarah atau penerbit yang cenderung mengambil wajah-wajah yang sama?
AY: Kelebihan untuk wajah-wajah yang sama ini mungkin kerana keselesaan kerja dan disebabkan mereka tahu tanggungjawab masing-masing. Jadi, perjalanan kerja akan lancar kerana sudah ada hubungan kimia yang baik. Keburukannya pula akan ada golongan yang terpinggir dan bakat yang tidak dilihat oleh pengarah dan penerbit.
DJ: Itu tidak menjadi masalah. Ada pihak tertentu lebih suka mengambil orang yang sama kerana mereka senang bekerja. Mungkin orang yang mereka biasa bekerja tidak buat hal dan tahu apa yang diperlukan dalam drama atau filem mereka.
Diana sebagai produser, cenderung kepada budaya ini?
DJ: Tidak, kerana saya mengambil pelakon mengikut kesesuaian cerita.
Airis, sudahkah berjumpa peringkat selesa yang dikatakan itu?
AY: Saya tidak ada pengarah atau penerbit tertentu yang saya terikat. Sejauh ini saya bekerja dengan pelbagai pengarah dan produser.
Inisiatif kalian untuk dilihat di depan mata pengarah dan penerbit?
AY: Saya tidak harapkan gosip yang liar atau murahan. Saya berpendapat untuk pelakon yang berada pada tahap dan usia seperti saya, mereka tidak gemar dikenali kerana gosip.
Saya sudah berkeluarga dan punya anak jadi perlu jaga ruang itu. Apa yang saya harapkan ialah mendapat naskhah yang bagus dan dapat bekerjasama dengan produksi atau tim yang bagus.
DJ: Saya akan pastikan lakonan saya mantap dan buat sehabis baik mengikut kehendak pengarah.

Hiburan alternatif IM Asyraf

Posted: 23 Jun 2013 02:29 AM PDT


TIDAK mahu dikenali sebagai penyanyi. Namun Asyraf berasa cukup bahagia jika dia dikenali sebagai penceramah yang boleh menyanyi.


MENDAPAT gelaran Imam Muda hasil kejayaan yang disandang dalam program realiti Imam Muda musim pertama, Muhammad Asyraf Mohd. Ridzuan sudah terlalu intim dengan dunia hiburan.
Dilabel sebagai lelaki muda terhormat dengan gelaran Imam Muda (IM) Asyraf, sudah tiga tahun dia mendapat layanan selebriti daripada pelbagai pihak.
Justeru, apabila IM Asyraf menghasilkan album nasyid, dia benar-benar berstatus selebriti. Khidmatnya berkembang, selain menjadi imam dan penceramah bebas, IM Asyraf kini bergelar penyanyi.
"Secara tak langsung kelahiran kami (bekas peserta Imam Muda) memang dari awal lagi diperlihatkan seperti selebriti. Jadi, ia bukan satu perkara yang luar biasa bagi saya. Saya sendiri sudah tidak janggal dengan dunia selebriti, orang sekeliling juga sudah faham.
"Apabila saya menyanyi, itu juga bukan benda baharu sebab sebelum ini ramai juga ustaz lain yang menyanyi. Ruang yang ada itu saya ambil tapi asalnya, saya sendiri tidak mahu menjadi penyanyi, lama saya berfikir sebelum setuju dengan pembikinan album itu.
"Saya bimbang tentang tanggapan. Kalau boleh, saya tidak mahu digelar penyanyi, cukuplah jika saya hanya dikenali sebagai Imam Muda atau penceramah yang boleh menyanyi," katanya usai majlis pelancaran album sulung, Rahmatan Lil 'Alamin pada Selasa lalu.
Memikirkan penghasilan album satu perkara baharu buat dirinya, Asyraf juga tidak sekadar mengikut arus. Jauh sekali hendak mengikuti jejak Hafiz Hamidun yang berjaya memecahkan jualan album sehingga ratusan ribu keping menerusi album Zikir Terapi.
"Saya fikir, alang-alang buat album, buatlah betul-betul. Hafiz seorang yang berani dengan konsep album zikirnya, saya pula tak mahu sebuah album yang terlalu tradisional atau terlalu pop.
"Tapi unsur pop itu ada menerusi sentuhan gitar AG Coco dalam lagu Rahmatan Lil 'Alamin," ujar Asyraf yang turut menyanyikan semula lagu yang pernah dinyanyikan oleh Hadad Alwi berjudul Ummi.
Lagu Ummi ditujukan khas buat isterinya, Nurhusna Yusoff yang juga ibu kepada anak lelakinya, Muhammad Aisy Raihan, 19 bulan.
Seorang penceramah bebas, tinggi ilmu agama dan dalam masa yang sama memiliki produk berupa sebuah album nyanyian, Asyraf yang dikenali sebagai Ustaz Twitter itu sedar bidang yang diceburinya kini jauh berbeza dengan dunia ceramahnya.
"Untuk berceramah dengan baik, penceramah itu harus ada rujukan dan selalu mencari ilmu. Seorang penyanyi hebat harus memiliki vokal yang hebat dari situ dia boleh menyanyikan apa sahaja lagu.
"Vokal saya pula janganlah dibandingkan dengan Munif Ahmad daripada kumpulan Hijaz atau arwah Asri Ibrahim. Saya cuma mahu berkongsi aura positif yang dimuatkan dalam album itu.
"Supaya fokus saya tidak lari daripada kerja saya ketika ini, saya juga tidak menganggap penghasilan album itu sebagai salah satu cara berdakwah sebaliknya ia sebagai satu hiburan alternatif kepada penggemar lagu-lagu ketuhanan atau muzik Islamik," katanya yang tidak malu untuk mempromosi album nyanyiannya di laman sosial mahupun ketika mengendalikan ceramah bebas.
Diterbitkan oleh Arteffects Sdn. Bhd. dengan kerjasama Neo Record dan Warner Music, album yang mengandungi sembilan buah lagu termasuklah Rahmatan Lil 'Alamin, Ummi, Habibatan Kalimatan, Innalillah, Yahdi Man Yasha dan Sohib Al-Ghuraba itu akan berada di pasaran bermula pada 24 Jun ini.

Saya tidak malu bercinta - Raja Azmi

Posted: 23 Jun 2013 02:27 AM PDT


EDDIE, pemain bes kumpulan CRK kini kekasih baharu Raja Azmi.


CINTA dan air mata akan selama-lamanya menjadi teman setia buat semua wanita. Begitu juga dengan penerbit wanita sensasi yang sangat dikenali ramai, Raja Azmi Raja Sulaiman.
Biarlah bermacam-macam dugaan, berhujan api kejian serta rentetan kontroversi yang pernah jatuh ke mukanya, wanita berumur 54 tahun itu tetap berpegang kepada prinsip hidup mesti diteruskan.
Dia juga tidak pernah malu membuka kisah hidup untuk tatapan umum. Terbaharu, Raja Azmi mengaku dia bercinta lagi. Patah tumbuh hilang berganti, selepas putus cinta dengan seorang lelaki muda sekitar Januari 2013, pengarah filem ...Dalam Botol itu kemudian membuat pengumuman untuk mengakhiri zaman jandanya.
Lelaki pilihannya itu ialah Eddie, pemain gitar yang pernah menyertai kumpulan CRK sekitar tahun 1990-an dulu.
Pada usia 54 tahun dan bersulam hidup yang sarat dengan kontroversi ditangkap basah, bermalam di lokap dan bercerai dengan bekas pemain badminton, Jailani Sidek, itu semua tidak pernah menghalang mata Eddie untuk jatuh cinta dan melihat Raja Azmi sebagai wanita terpilih untuk menjadi suri di dalam hatinya.
"Masa mula-mula kenal saya pun risau juga. Banyak yang dibaca melalui media tetapi sepanjang saya mengenali dirinya, dia seorang yang ceria dan banyak mendatangkan inspirasi kepada saya.
"Ingat sekadar untuk berkawan tetapi dalam usia saya pun sudah 45 tahun, kami lebih banyak bercakap tentang perkara yang serius. Masing-masing juga mempunyai anak-anak.
"Selama ini, sejak isteri saya meninggal, sayalah ibu dan bapa kepada anak-anak tetapi sejak dia muncul, situasi menjadi agak berlainan. Anak-anak saya senang dengan sikapnya.
"Apa yang anak-anak selesa, itulah yang paling penting untuk saya," ungkap Eddie tentang Raja Azmi yang bakal disunting sebagai tunangannya pada 15 Julai nanti.
Eddie atau nama sebenarnya Mohd. Eddie Ghazali merupakan duda selepas isterinya meninggal dunia. Dia mempunyai dua orang anak lelaki, Mohd. Daniel, 21, dan Mohd. Effy Ashley, 19.
Kembali ke alam percintaan dan berkongsi kisah cinta untuk tatapan khalayak, Raja Azmi tidak berniat untuk menunjuk-nunjuk.
"Saya sedar mungkin ramai yang akan memandang sinis dalam hal ini. Mungkin ada yang berkata, sudah tua-tua pun masih bercinta-cinta.
"Saya cuma mahu katakan, sejak berpisah dengan Jailani, hidup saya sunyi tanpa cinta dan sentiasa berdoa agar dipertemukan dengan lelaki yang menyintai saya dan memimpin saya di dunia dan akhirat.
"Cinta juga tidak mengenal usia dan saya tidak akan pernah berhenti mencari cinta, cinta kepada Tuhan, anak-anak dan keluarga.
"Semoga cinta ini dan jodoh saya dengan Eddie nanti akan dirahmati Ilahi," jelas Raja Azmi yang merancang mengadakan majlis pertunangannya mengikut adat biarpun masing-masing sudah berusia dan mempunyai anak.
Katanya: "Walaupun sudah tua, kami tetap nak buat majlis pertunangan. Apa-apa pun kena ikut adat, adat juga tak mengenal usia. Lagipun saya masih mempunyai ibu dan wali.
"Majlis pada 15 Julai nanti akan berlangsung secara sederhana selepas kedua-dua buah keluarga bertemu dan berbuka puasa bersama-sama di rumah saya."
Raja Azmi dan Eddie merancang untuk berkahwin sekitar September. Menurut ibu kepada tiga cahaya mata serta dua orang cucu itu, dia merancang melangsungkan perkahwinan selepas pembikinan filem terbaharunya Anak Ikan selesai dilakukan.
Ditanya tentang tempoh membahagiakan yang sedang dilalui kini, Raja Azmi tertawa: "Saya jatuh cinta pandang pertama."
Eddie menambah: "Sejarah perkahwinan terdahulu bukan persoalan buat kami, rasanya seperti kembali muda."

Konsep peta visual Bombay

Posted: 23 Jun 2013 02:24 AM PDT



KONSERT Opera Hidup grup Wings merupakan tapak mula Bombay mengaplikasikan konsep peta visual.



DALAM lapangan pementasan, Bombay atau nama sebenarnya Zambre Shaari cukup dekat sebagai penganjur konsert yang sering tampil dengan idea dan konsep yang bagus.
Pada tahun ini, Bombay melalui syarikat kendaliannya, Bombay Worldwide Events tampil dengan sebuah konsert yang ditunggu-tunggu ramai peminat hiburan.
Konsert Sang Pencinta yang mempertaruhkan Datuk M. Nasir sebagai penghibur bakal bersulam dengan konsep yang disebut visual mapping atau peta visual.
Jelas Bombay, peta visual tersebut menggunakan teknologi video dalam konsert berkenaan yang dijadualkan berlangsung selama tiga hari mulai 28 Jun ini di Istana Budaya, Kuala Lumpur.
BOMBAY atau Zambre Shaari mula bergiat dengan dunia konsert sejak zaman Battle of the Band.


"Konsep ini saya telah cuba untuk konsert Rockestra Opera Hidup Wings di Istana Budaya dua tahun dahulu.
"Tidak terlalu sofistikated tetapi kita perlu mencuba teknologi baharu yang akan mempamerkan sesuatu yang lebih terperinci," jelas taukeh konsert ini.
Apabila ditanya tentang keperluan konsep sebegini dalam adunan Sang Pencinta kelak, Bombay menjelaskan bahawa ia akan memperhebatkan persembahan M. Nasir kelak.
"Konsep peta visual ini akan memberi kelebihan kepada pentas, lebih menyeluruh dan akan berkaitan dengan jalan cerita konsert tersebut. Secara visual, ia akan kelihatan lebih jelas dan terperinci," jelas Bombay yang turut bekerjasama dengan pihak Red On Black dan Belbis untuk konsert tersebut.
"M. Nasir memang unik dari segi penciptaan lagu-lagunya. Ini yang membuahkan cabaran dalam melahirkan kelainan dalam konsert Sang Pencinta kelak. Ketekunan dan penelitian perlu diberi penekanan kerana kita mahu sampaikan maksud lagu-lagunya yang mendalam," ujarnya yang sudah membuat persediaan selama empat bulan sebelum konsert tersebut berlangsung.
Buat Bombay, M. Nasir boleh memberikan input kepada sesiapa sahaja dan merupakan seniman yang mempunyai ruang yang besar dalam berkarya.
"Dia merupakan seniman yang memberikan satu cabaran yang lebih kepada sesiapa sahaja yang bekerja dengannya. Kelebihannya ialah dari segi penciptaan lagu-lagunya," jelas Bombay.
Bombay mula terlibat dengan dunia konsert sejak zaman Battle of the Band lagi. Dia juga berkesempatan bekerjasama dengan Allahyarham Jalil Ngah dalam produksi belakang tabir konsert.
"Saya suka bekerjasama dengan M. Nasir kerana boleh berkongsi idea dan konsep. Lagu-lagunya yang ke arah kemelayuan akan membuatkan konsep persembahan dan pementasan jadi lebih luas untuk diteroka. Impaknya juga besar kerana dia membawa jiwa nusantara," jelas Bombay yang melihat M. Nasir cukup teruja dengan konsert kali ini.

Debaran drama pertama Shuhaimi Lua

Posted: 23 Jun 2013 02:23 AM PDT



BARISAN pelakon dan kru yang terlibat dalam menjayakan penggambaran 16 episod drama Iman Nabila di Batu Caves, Selangor baru-baru ini.



SETELAH berjaya meyakinkan syarikat televisyen tempatan menerusi naskhah Perempuan Tanpa Rahim dan Adik Kami, pengarah Shuhaimi Lua Abdullah kini mengorak langkah lebih laju dalam dunia pengarahan.
Buat pertama kalinya, sutradara baru itu diberi peluang oleh syarikat Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd. untuk mengarahkan sebuah drama bersiri berjudul Iman Nabila yang mula ditayangkan sejak 10 Jun lalu di slot Azalea, TV3.
Shuhaimi yang ditemui ketika proses penggambaran drama di Batu Caves, Selangor baru-baru ini berasa teruja apabila buat pertama kalinya diberi peluang mencuba untuk mengarahkan sebuah naskhah bersiri.
"Pastinya ia peluang keemasan buat saya dalam dunia pengarahan. Apatah lagi drama ini akan menjadi perhatian penonton kerana diselitkan dalam slot yang jumlah penontonnya ramai di saluran tersebut. Perasaan saya bercampur baur antara teruja dan berdebar-debar," katanya.
Iman Nabila yang ditayangkan pada setiap hari Isnin sehingga Khamis pada pukul 4 petang itu mengisahkan mengenai konflik yang berlaku dalam sebuah keluarga.
Iman lakonan Shahz Jaszle dan Nabila yang dilakonkan Elfaeza Ul Haq merupakan anak-anak yang menjadi mangsa konflik keluarga apabila mereka bertukar tangan kepada orang lain ketika kecil. Apabila dewasa, kedua-duanya bertemu tanpa dirancang menyebabkan timbulnya pelbagai konflik dan persoalan.
Selain dua teraju utama tersebut, Iman Nabila turut dibarisi pelakon seperti Kuza, Siti Elizad, Mahmud Ali Basha, Wan Shades, Fazlina Datuk Ahmad Daud dan Aida Khalida.
Berganding dengan barisan pelakon yang namanya amat dikenali para peminat drama tempatan, sedikit sebanyak memberi tekanan buat Shuhaimi untuk mengarahkan naskhah nukilan penulis skrip, Sharifah Abd. Rahim itu biarpun dia sudah berpengalaman dalam dunia pengarahan.
"Saya tidak berasa kekok walaupun baru kali pertama mengarah drama bersiri. Pengalaman bekerja sebagai salah seorang kru untuk beberapa drama sebelum ini juga banyak membantu saya.
"Cuma ada perasaan sedikit risau pada kali ini kerana barisan pelakonnya bukannya calang-calang orang. Lagipun, ini kali pertama saya bekerja bersama-sama dengan hampir keseluruhan pelakon drama bersiri itu.
"Pelakon-pelakon senior seperti Aida Khalida banyak membantu saya dengan menyumbangkan ideanya. Saya menerima teguran dengan hati terbuka biarpun duduk di kerusi pengarah," katanya yang pernah mencipta sensasi menerusi filem pendek, Chukang pada tahun 2010.
Bekerja bersama pelakon yang terkait dengan sensasi, sedikit sebanyak mendedahkan Shuhaimi kepada risiko. Bahkan banyak pihak yang sering menebak soalan kepadanya sama ada Shahz yang merupakan teraju utama drama bersiri itu telah membawa masalah kepadanya.
Walaupun terdapat kebimbangan apabila terdengar cakap-cakap mengenai pelakon itu, Shuhaimi masih mampu menghela nafas lega apabila Shahz lebih menekankan sifat profesional ketika bekerja.
"Memang sebelum ini saya dengar pelbagai cerita tentang Shahz termasuklah kes lewat datang ke set dan beberapa kontroversi lain, tetapi sepanjang penggambaran berlangsung, saya tidak mempunyai masalah dengannya.
"Bahkan, dia menepati masa, jauh berbeza daripada apa yang saya dengar sebelum ini," kata Shuhaimi.

Buat maksiat dalam pesta buih

Posted: 23 Jun 2013 02:22 AM PDT

SEBAHAGIAN daripada pengunjung sebuah pub yang ditahan selepas pihak berkuasa
menyerbu pesta liar mandi buih di Jalan Yap Kwan Seng semalam.


KUALA LUMPUR - Sepasukan anggota penguat kuasa yang melakukan serbuan hanya mampu menepuk dahi apabila mendapati 47 remaja Melayu begitu asyik melakukan aksi sumbang sambil mandi buih ketika menghadiri satu pesta liar di sebuah pub di Jalan Yap Kwan Seng di sini kelmarin.
Lebih memeranjatkan apabila tiga daripada mereka merupakan pelajar perempuan tingkatan lima yang didapati turut terkinja-kinja dengan seluruh badan dilitupi buih. Baju yang dipakai lencun hingga menampakkan susuk tubuh mereka.
Serbuan pukul 12.30 tengah malam itu dilakukan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dengan dibantu anggota polis daripada Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Kuala Lumpur dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Daripada jumlah itu, 38 merupakan lelaki manakala bakinya perempuan berusia antara 17 hingga 30 tahun.
Difahamkan, pelanggan dikehendaki membayar RM40 untuk menyertai parti liar tersebut.
Parti itu sering dianjurkan di premis berkenaan tetapi ia tidak khusus pada hujung minggu sahaja. Penganjur akan mengadakan parti berkenaan pada hari-hari tertentu mengikut permintaan pelanggan tetap.
Dalam serbuan itu, pihak berkuasa turut menahan dua pemilik premis berusia dalam lingkungan 30-an yang dipercayai penganjur parti mengikut Seksyen 35 Akta Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan kerana menggalakkan maksiat.
Tinjauan mendapati, ketika diserbu, kesemua pelanggan tersebut sedang asyik menari mengikut alunan muzik rancak sambil tubuh mereka diselaputi buih serta memakai pakaian seksi seperti bikini.

Kapsul masa bekas pelajar MRSM

Posted: 23 Jun 2013 02:18 AM PDT



BEBERAPA pelajar menunjukkan kapsul masa yang dikeluarkan selepas ditanam sejak 15 tahun lalu di Balik Pulau semalam.



BALIK PULAU - Kaset lagu 90-an, foto lama, lukisan, nota luahan perasaan, pensel 2B dan surat cinta adalah antara barang kenangan dalam 'kapsul masa' yang terpateri kukuh di dinding bangunan ruang legar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Balik Pulau di sini sejak 15 tahun lepas.
Walaupun tampak biasa, ia menggamit memori penuh nostalgia buat 270 orang alumni MRSM sesi 1998/1999 yang datang dari seluruhpelosok tanah air untuk berkumpul dan menyaksikan pembukaan kapsul itu semalam.
Acara pembukaan kapsul itu disempurnakan bekas Pengetua MRSM Balik Pulau dari tahun 1996-2004, Faruk Senan Abdullah dan isi kandungan kapsul itu akan diletakkan di dalam akuarium untuk tontonan ramai.
Pengerusi penganjur, Amir Redza Mohd. Tajudin berkata, kapsul itu diwujudkan untuk mengabadikan kenangan pelajar tingkatan empat dan lima serta tenaga pengajar pada waktu itu termasuk dua guru Bahasa Inggeris dari United Kingdom dan Ireland, Clare Magill dan Joanne Parsons yang mengajar di maktab itu selama enam bulan.
"Saya masih ingat pada masa itu saya tulis cita-cita saya untuk menjadi juruterbang. Saya tidak menyesal kerana tidak menggapai impian itu kerana ketika itu kami tulis apa sahaja yang terlintas di fikiran," katanya yang merupakan ahli perniagaan.
Beliau berkata, program yang diadakan serentak dengan sambutan Hari Guru itu bertujuan mengukuhkan lagi ikatan persahabatan antara warga maktab yang telah terjalin sejak sekian lama.
Amir Redza yang kini berusia 31 tahun berharap kehadiran alumni yang telah berjaya dalam bidang masing-masing dapat menyuntik inspirasi kepada junior mereka agar lebih tekun berusaha serta menghargai detik alam persekolahan yang dilalui.

Floria Putrajaya jana ekonomi negara

Posted: 23 Jun 2013 02:16 AM PDT


PARA pengunjung melihat pelbagai spesies bunga yang dipamerkan pada Floria Putrajaya di Pesisiran Tasik, Presint 2, Putrajaya.


PUTRAJAYA - Festival Bunga dan Taman Putrajaya (Floria Putrajaya 2013) bakal menyumbang kepada peningkatan potensi industri bunga-bungaan, landskap dan pelancongan di negara ini.
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, festival yang diadakan buat kali keenam itu akan mewujudkan pelbagai peluang perniagaan dan perkhidmatan.
Katanya, antara bidang tersebut ialah bekalan bahan tanaman bunga dan hiasan, perunding landskap, penyelenggaraan landskap dan hiasan bunga.
"Festival itu merupakan satu-satunya acara bunga dan taman yang menyediakan pakej pameran bunga dan pelbagai acara serta aktiviti yang lengkap di Malaysia.
"Ia akan memacu perkembangan industri-industri berkaitan sebagai satu alternatif pelaburan yang menguntungkan negara serta rakyat," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Floria Putrajaya 2013 di Pesisiran Tasik, Presint 2 di sini semalam.
Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan merasmikan festival itu serta meluangkan masa melawat tapak pameran yang menempatkan lebih 5,000 pokok bunga orkid pelbagai spesies.
Turut hadir Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Aseh Che Mat.
Menurut Tengku Adnan, pihak penganjur menyediakan lebih 200 program dan aktiviti untuk pengunjung sepanjang festival sembilan hari yang bertemakan 'Bunga Orkid Khazanah Tropika' itu.

Thailand beli helikopter buatan Amerika Syarikat Syarikat

Posted: 23 Jun 2013 02:14 AM PDT



HELIKOPTER Lakota biasanya digunakan untuk misi kecemasan dan mengawal sempadan.


WASHINGTON - Pentagon kelmarin menyatakan Amerika Syarikat (AS) merancang untuk menjual enam unit helikopter tentera Lakota bernilai AS$77 juta (RM246 juta) kepada Thailand.
Agensi Kerjasama Keselamatan Pertahanan yang mengendalikan penjualan senjata AS di luar negara memberitahu Kongres AS bahawa kerajaan Thailand ada meminta untuk membeli helikopter UH-72A terbabit.
Helikopter Lakota biasanya digunakan oleh pihak berkuasa AS untuk misi kecemasan dan mengawal sempadan.
Penjualan itu dilihat boleh membuka jalan kepada perjanjian lebih besar. Firma-firma pertahanan AS kini mengalih fokus mereka ke rantau Asia Pasifik berikutan perbelanjaan ketenteraan negara Asia kian meningkat.
"Thailand merupakan sekutu pertahanan pertahanan yang penting buat AS," kata jurucakap Pentagon, Leftenan Kolonel Catherine Wilkinson yang mengesahkan penjualan tersebut.
Perjanjian perniagaan itu hadir selepas bekas Setiausaha Pertahanan AS, Leon Panetta menandatangani satu kenyataan bersama dengan rakan sejawatannya di Thailand. Syarikat aeroangkasa EADS North America dinamakan sebagai kontraktor utama perjanjian tersebut.

Berenang pakai rambut palsu

Posted: 23 Jun 2013 02:12 AM PDT


TEKSTUR dan warna rambut perlu dirujuk terlebih dahulu agar sesuai dengan pelanggan sebelum ditempah di sebuah kilang di Korea Selatan.


LELAKI yang bertubuh kurus itu bersungguh-sungguh mendapatkan saiz dan bentuk kepala seorang pelanggannya untuk menghasilkan acuan rambut.
Sebagai seorang pengusaha pusat tempahan khas rambut palsu, lelaki itu, Mohd. Nur Firdaus, 40-an mahu menghasilkan rambut yang kelihatan asli untuk pelanggannya.
Menurutnya, rambut yang dihasilkannya itu berbeza berbanding yang terdapat di pasaran.
Mohd. Nur berkata, kebanyakan rambut palsu di pasaran mempunyai hasil kerja yang kelihatan kasar.
"Namun, khidmat yang saya tawarkan ini adalah membuat rambut palsu tempahan khas dengan mengikut imej pelanggan.
"Rambut itu nampak benar-benar semula jadi apabila ia digayakan," katanya kepada Jurnal.
Kebanyakan pelanggannya bukan hanya mahu kelihatan cantik semata-mata.
Sebaliknya, teknik itu merupakan salah satu kaedah kosmetik untuk mengatasi masalah botak dan rambut gugur.
Sebahagian daripada pelangganya itu adalah golongan lelaki yang mempunyai masalah botak di tengah kepala.
Ada juga pelanggannya yang mempunyai masalah rambut jarang sehingga kulit kepala kelihatan selain botak akibat penyakit.
Khidmatnya lebih menjurus kepada meningkatkan keyakinan diri pelanggannya yang mempunyai masalah tersebut.
"Mereka datang dengan perasaan rendah diri. Setelah pulang dengan rambut baharu, mereka semakin yakin pada diri sendiri. Pada kebiasaannya, para pelanggan yang datang adalah mereka yang mengalami botak di bahagian tengah kepala, rerambut nipis, rambut gugur akibat rawatan kemoterapi atau alopesia (bahagian tertentu kepala yang tidak ditumbuhi rambut)," ujarnya yang memulakan perniagaan itu sejak tahun 2006.
Meskipun pada suatu ketika dahulu teknik kosmetik tersebut lebih popular dalam kalangan mereka yang telah berusia namun, sejak dua tahun kebelakangan ini Firdaus mula menerima pelanggan yang lebih muda.
"Dahulu hanya pelanggan yang telah berusia yang datang membuat tempahan. Bagaimanapun, kini semakin ramai remaja berusia 19 tahun ke atas yang datang dengan masalah yang sama. Ia sebenarnya menunjukkan perkembangan yang tidak sihat kerana mereka semakin terdedah dengan masalah rambut.
"Kebanyakannya memberi alasan bahawa telah banyak kali melakukan rawatan kimia ke atas rambut dan meluruskan rambut. Jika boleh, elakkan daripada menggunakan bahan kimia pada rambut agar ia tidak menipis sebelum tua," nasihat Firdaus kepada golongan muda.
Rambut yang dihasilkan oleh Firdaus di pusat rambut palsu Hairsetup Enterprise yang beroperasi di Pandan Indah, Kuala Lumpur itu dijahit dengan lebih teliti berbanding yang terdapat di pasaran.
Firdaus akan memastikan kesemua aspek termasuk ukuran dan jenis rambut palsu yang digunakan adalah hampir sama dengan rambut asal pelanggannya.
KEBANYAKAN lelaki yang mempunyai masalah botak di bahagian tengah kepala menempah rambut palsu daripada Firdaus.


Buatan Korea
Tujuan penelitian itu dibuat adalah untuk memastikan orang ramai tidak sedar pelanggannya itu sebenarnya memakai rambut palsu.
"Saya perlu menghasilkan rambut baharu di bahagian tertentu sahaja kerana sebahagian daripada rambut asal pelanggan masih ada. Ia merupakan kerja yang agak rumit kerana hasilnya perlu kelihatan sekata apabila rambut tersebut dipakai oleh pelanggan," katanya.
Bagaimanapun, Firdaus tidak menjahit sendiri rambut tersebut. Sebaliknya, dia menghantar maklumat tentang rambut yang hendak dipakai oleh pelanggannya ke sebuah kilang rambut di Seoul, Korea Selatan.
"Setelah ukuran rambut diambil termasuk ketebalan dan warna yang diperlukan, sampel rambut dan maklumat pelanggan tersebut akan dihantar ke kilang pembuatan rambut di Korea Selatan. Dalam tempoh kira-kira 48 hari, rambut pelanggan akan siap dan sedia untuk dipakai.
"Pihak pembuat akan menghantar rambut yang mempunyai tekstur dan warna sama dengan pelanggan tanpa didandan terlebih dahulu," katanya.
Menurutnya, pihak pembekal akan menyiapkan rambut yang panjangnya kira-kira 15 sentimeter untuk disesuaikan dengan wajah pelanggannya.
Firdaus meyakinkan pelanggannya bahawa rambut tersebut kelihatan hampir sama dengan rambut asli.
Jenis kain renda berwarna coklat yang digunakan dalam pembuatan rambut itu membezakannya daripada rambut palsu yang dijual di pasaran.
Struktur tersebut yang berperanan seperti kulit kepala kelihatan begitu nipis dan menjadi penyokong kepada helaian rambut yang dijahitnya.
Lubang pada keseluruhan kain renda itu menyalurkan udara kepada si pemakai. Apabila berpeluh, ia mudah diserap dan tidak memberi sebarang masalah kepada kulit kepala pengguna.
Menurut Firdaus, terdapat tiga cara untuk memasang rambut palsu tersebut pada bahagian kepala yang tidak berambut atau berambut jarang iaitu menerusi teknik menampal, menggantung dan memintal.
"Teknik yang paling berkesan dan praktikal adalah menampal dengan menggunakan pelekat dua muka khas. Ia selamat digunakan dan tidak mudah tertanggal. Pelekat itu begitu kuat sehinggakan pelanggan boleh berenang atau tidur sambil memakai rambut palsu. Ia mampu bertahan sehingga seminggu, tetapi adalah dinasihatkan agar rambut itu ditanggal pada setiap hari.
"Selain itu, teknik memintal yang selalunya mengambil masa kira-kira 30 minit untuk dipasang turut mendapat permintaan daripada pelanggan. Melekatkan rambut palsu dengan menggunakan klip juga boleh digunakan.
Harga
"Namun, ia kurang praktikal berbanding teknik lain. Ia hanya sesuai untuk mereka yang mempunyai rambut yang tebal agar klip plastik tersebut tidak kelihatan menonjol.
"Strukturnya yang keras juga boleh memberi kecederaan jika si pemakai melakukan aktiviti lasak," ujarnya.
Meskipun terdapat dua jenis tekstur rambut yang digunakan iaitu rambut sebenar dan rambut sintetik, Firdaus menasihati para pelanggannya agar menggunakan rambut sebenar supaya ia kelihatan lebih semula jadi.
"Untuk membezakan rambut asli dengan yang palsu, apabila ditiup angin, rambut sebenar akan berterbangan mengurai berbanding rambut sintetik yang kelihatan kejur.
"Rambut asli itu selalunya diperoleh daripada para peniaga rambut di China, Mongolia dan Vietnam. Kebanyakan rambut untuk pelanggan saya adalah dari Vietnam kerana rupanya lebih menyamai rambut orang Malaysia.
"Jika ramai yang beranggapan bahawa rambut tersebut diperoleh daripada orang mati, sebenarnya ia adalah tanggapan yang silap," jelasnya.
Firdaus berkata, kebanyakan golongan remaja menyara hidup dengan menjual rambut mereka di luar negara.
Dia berkata, rambut palsunya tidak mudah rosak apabila terkena air ataupun disapu gel rambut. Ia juga perlu dicuci dengan menggunakan syampu khas tiga kali seminggu.
Harga bagi setiap set rambut palsu adalah antara RM1,900 hingga RM2,600 bergantung kepada saiz untuk menutup sebahagian kepala yang botak.
Para pelanggan perlu membayar sebanyak RM3,600 jika mahu menggunakan rambut yang menutup keseluruhan kepala.

Silat batin lindungi diri

Posted: 23 Jun 2013 02:11 AM PDT


NAZARI menunjukkan salah satu jurus dalam silat kebatinan yang digunakan untuk tujuan perubatan.


DALAM suasana kelam pada malam itu yang hanya diterangi cahaya bulan mengambang, sekumpulan pengamal seni silat kebatinan Gerak Halilintar giat menjalani latihan.
Dengusan kasar yang kedengaran dalam kalangan pengamal silat yang berpakaian hitam semasa melakukan latihan itu bukanlah perkara asing buat mereka.
Para pengamal silat itu mengamalkan zikir yang dipercayai boleh mengeluarkan tenaga dalaman untuk dijadikan 'pagar' bagi melindungi tubuh daripada sebarang ancaman musuh.
"Silat Gerak Halilintar itu merupakan gabungan 18 ilmu tauliah dari 18 perguruan berbeza yang dipelajari sebelum ini," ujar pengasas silat kebatinan tersebut, Mohmad Nazari Mat Saad.
Lelaki tersebut banyak mendapat tunjuk ajar daripada seorang guru dari Terengganu yang dikenali sebagai Guru Murad.
Beliau turut mengupas tentang perbezaan silat fizikal dengan silat kebatinan.
"Silat fizikal menggunakan tenaga luaran untuk menepis, mempertahankan serta melindungi diri daripada ancaman musuh.
"Sebaliknya bagi silat kebatinan, tenaga yang digunakan ialah tenaga dalaman yang dikeluarkan dengan sekali hembusan nafas sahaja.
"Namun, ia sudah mencukupi untuk menghumban si penyerang jauh dari mangsa yang diserang.
"Ia juga dapat melindungi si pengamal daripada mendapat kecelakaan yang tidak disangka-sangka.
"Misalnya, jika berlaku kemalangan ngeri yang pada kebiasaanya si mangsa akan luka parah atau meninggal dunia.
"Bagaimanapun, menerusi amalan kebatinan itu, si mangsa mungkin tidak akan mengalami kecederaan langsung.
"Dengan erti kata mudah, dengan izin Allah, si pengamal mungkin dapat mengelak daripada sebarang musibah, terutamanya dalam keadaan kecemasan," dakwa Mohmad Nazari.
Ketika diajukan soalan mengenai amalan tertentu yang boleh melindungi pengamal, lelaki tersebut memberitahu surah Al-Fatihah perlu dibaca sebanyak tiga kali selain berdoa bagi meminta keselamatan diri dan harta benda daripada Allah.
"Niatkanlah perkara yang kita mahukan seperti keselamatan diri, perjalanan ke tempat kerja, keselamatan rumah, harta benda dan lain-lain lagi.
"Apa yang penting ialah yakin kepada Allah dan jangan sesekali tinggalkan amalan zikrullah,"kata Mohmad Nazari.

SELEPAS ilmu silat kebatinan dipindahkan, ia dapat menjadikan tubuh penulis (kanan) kebal buat sementara waktu.


Pantang
Bagaimanapun, cara terbaik untuk mengusasai silat kebatinan, katanya, adalah dengan mempelajari dahulu silat fizikal.
"Silat fizikal menuntut pengamalnya supaya rajin berlatih untuk memastikan buah pukulan dan pergerakan mereka lebih padu serta mantap.
"Bagi pengamal silat kebatinan pula, mereka perlu beramal dan tidak boleh melanggar syariat Islam.
"Ilmu batin ialah ilmu hati yang membawa pengamalnya mendekati Allah.
"Ia juga menuntut pengamalnya untuk membersihkan diri, menyucikan roh dan akhlak, menguasai nafsu, menjauhi maksiat serta memerangi perkara yang boleh merosakkan hati.
"Tiada pantang larang dalam mendalami ilmu itu. Apa yang dilarang oleh agama itulah yang tidak boleh dilakukan oleh pengamal silat kebatinan," kata Mohmad Nazari ketika ditemui di Seremban, Negeri Sembilan baru-baru ini.
"Ramai orang yang memperkatakan adalah salah untuk mempelajari silat kebatinan atau ilmu tenaga dalaman lebih-lebih lagi jika seseorang itu boleh menguasai pelbagai teknik silat dalam masa yang singkat.
"Saya tidak menafikan ada pengamal silat kebatinan yang menyalahgunakan amalan itu sehingga dia boleh mengancam dan menggugat keselamatan orang lain.

Roh perisik
"Namun, tidak semua ilmu silat kebatinan itu salah atau sesat.
"Bukan semuanya menggunakan khidmat khadam atau jin.
"Sebaliknya, kebanyakan perguruan silat mewajibkan pelajarnya untuk bersolat dan sentiasa berzikir untuk mengabdikan diri kepada Allah selain menjalankan tanggungjawab kepada keluarga, bangsa serta negara.
"Sebagai orang Islam, jika tidak mempelajari silat pun, kita masih wajib menunaikan solat dan sentiasa meminta pertolongan daripada Allah.
"Namun, ada juga segelintir pelajar yang belajar separuh jalan dengan mencari cara mudah untuk menguasai ilmu persilatan kebatinan. Merekalah yang memburukkan persilatan itu.
"Sebagai ahli bela diri kebatinan, mereka perlu menjaga tingkah laku dan menghindari perkara yang dilarang syariat," tambahnya.
Menurutnya, menghindari perkara yang dilarang syariat Islam amat penting kerana melakukan dosa kecil dan dosa besar sama ada sengaja ataupun kebetulan boleh merosakkan imej perguruan yang telah diikuti mereka.
Mohmad Nazari berkata, silat kebatinan juga boleh digunakan untuk merisik.
Dengan menggunakan roh sebagai ejen risikan, para pengamal boleh mengetahui dan mendapatkan maklumat, rahsia ataupun strategi terutamanya daripada musuh-musuh Islam.
"Bunyinya mungkin pelik apabila saya katakan roh boleh menjadi perisik, namun itulah hakikat rahsia ketuhanan yang ada pada umat Islam tetapi tidak digunakan sepenuhnya," katanya.
"Bagi yang dikurniakan Allah dengan kelebihan itu, mereka boleh berada di mana-mana tempat dalam sekelip mata.
"Sebelum tidur, niatkan dalam hati untuk pergi ke mana dan mohonlah kepada Allah supaya menghantar roh mereka ke mana tempat sahaja tanpa menggunakan sebarang kenderaan.
"Kelajuan dan kepantasan roh kita cukup hebat malah ia merupakan senjata teknologi yang Allah perturunkan kepada umat Islam," ceritanya.

Pangkin kampung di kafe Arab

Posted: 23 Jun 2013 02:10 AM PDT


REKAAN Kafe Mukha agak ringkas tetapi sarat dengan elemen tradisional dan antik yang menarik.


ADA aura tersendiri yang cuba ditonjolkan oleh pemilik Kafe Mukha, Sayid Abdul Rahman Sayid Hussin Al Junid yang terletak di Lorong Rahim Kajai 13, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur.
Kunjungan kru Jurnal di kafe itu pada Khamis minggu lalu disambut dengan beberapa elemen kejutan.
Pertamanya, cara pemakaian Sayid Abdul Rahman sendiri yang memakai kopiah berwarna biru, kemeja putih selain kain pelekat.
"Biasanya, pakaian kerja lebih kepada pakaian korporat yang lengkap bertali leher, cuma pada hari ini tiada urusan kerja menyebabkan saya berpakaian sebegini.
"Namun, ia bukan menggambarkan konsep kafe yang santai dan serba ringkas ini," ujar Sayid Abdul Rahman sebagai membuka bicara.
Konsep santai yang dipertuturkan lelaki yang turut mengusahakan agensi pengiklanan itu ternyata benar.
Kafenya yang baru beroperasi dua tahun itu tampak berbeza.
Sebaik sahaja melangkah masuk ke bahagian luar, pandangan mata akan terarah ke sebuah set pangkin yang dialas dengan tikar plastik.
Kata lelaki yang berkahwin pada umur 20 tahun itu, pangkin itu berfungsi untuk memudahkan pelanggan bersantai bersama-sama keluarga atau rakan-rakan.
"Sebenarnya, konsep sebegini sudah popular di restoran lain kerana pelanggan dapat duduk bersila selain bersandar dengan selesa selepas kenyang menikmati makanan.
"Sama seperti pangkin di kampung, tiada penggunaan meja kecil atau kerusi namun, sudah mencukupi sekadar duduk menikmati makanan sambil dihembus angin yang mendamaikan.
Simen
PANGKIN yang dialas dengan tikar plastik pasti menjadi rebutan pelanggan kafe untuk bersantai.


"Ia cukup sesuai untuk berehat setelah hampir seharian bekerja," ujarnya.
Selain dekorasi yang agak pelik itu, pengunjung pasti dapat menikmati makanan yang dipesan dengan tenang sambil mendengar alunan lagu-lagu sentimental dan rancak yang memenuhi seisi restoran.
Lantai kafe milik lelaki berketurunan Arab Yemen itu bersifat tradisional apabila dia mengekalkan lepaan simen tanpa dicat atau dipasang marmar.
"Sebenarnya, kami mengekalkan lantai bersimen kerana ia mampu mengimbau suasana kediaman pada zaman dahulu.
"Malah, dinding bata merah yang ada di beberapa sudut restoran sengaja tidak diplaster bagi mewujudkan persekitaran semula jadi," ujarnya.
Sedang kami rancak berbual, penulis menyedari kehadiran sebuah sofa lama yang sudah berlubang dan koyak.
"Jangan terkejut kerana kebanyakan kerusi dan meja di kafe ini ialah barangan terpakai yang telah dibuang oleh pemiliknya.
"Namun, fizikal kesemua barangan itu masih elok dan boleh digunakan lagi," jelas Sayid Abdul Rahman.
Uniknya, set sofa di kafe yang ditutup pada setiap Isnin itu hadir dengan variasi warna seperti hijau, coklat dan biru sekali gus memberikan sudut pandang yang berbeza.
Bukan itu sahaja, kerusi yang digunakan pula tidak seragam.
"Pelanggan juga mempunyai cita rasa masing-masing tentang kerusi dan meja yang menjadi kegemaran mereka," terangnya.
Walaupun teruja dengan konsep santai, lelaki itu tidak sekali-kali meminggirkan rekaan kontemporari.
Bagi memenuhi jiwa kontemporari itu, Kafe Mukha menyediakan set sofa mewah ala kolonial.
Sebaik sahaja melangkah masuk ke bahagian dalaman kafe, anda akan melalui transisi dua alam yang berbeza iaitu ala tradisional dan moden.

BAHAGIAN luar Kafe Mukha yang santai dan selesa.


Antik
Malah, terdapat beberapa poster dalam bahasa Arab yang menceritakan mengenai daerah Mokha yang terletak Yemen.
Mokha ialah sebuah bandar pelabuhan yang juga pengeluar minuman kopi terbaik di negara itu.
Selain berfungsi sebagai kedai makan, Mukha juga kerap mengadakan jualan amal untuk membantu umat Islam yang hidup dalam kemiskinan di Kemboja, Bangladesh dan Vietnam.
"Pada kebiasaannya, program itu dijalankan sebulan sekali. Caranya ialah pelanggan dapat menikmati tiga menu makanan yang disediakan pada harga RM10.
"Sebanyak 50 peratus daripada hasil jualan akan didermakan kepada badan kebajikan yang terpilih," katanya.
Ukiran kayu penghadang di bahagian dapur kafe itu jelas menonjolkan ciri-ciri Asia Barat dengan motif alam semula jadi.
Sebuah almari antik yang disulami lampu klasik yang memberikan pencahayaan suram berjaya mencetuskan suasana romantik. Ia sesuai bagi mereka yang sedang bermadu kasih.
Barangan antik seperti beg, cawan, teko dan piring tembaga yang disusun kemas di atas meja tidak mencacatkan pemandangan.
Soal makanan pastinya menjadi kegemaran sesiapa sahaja.
Justeru, menu yang disediakan di kafe tersebut boleh dipuji terutamanya roti yang dicecah bersama bebola daging yang lazat.
Menikmati kopi Arab yang dicampur dengan halia juga sudah cukup untuk menyegarkan tubuh yang lesu pada waktu petang.

Kedai penggemar barangan terpakai

Posted: 23 Jun 2013 02:10 AM PDT


MOHD. ISRAQ (dua dari kanan) memperoleh idea untuk membuka perniagaannya selepas menonton program American Pickers.


SELEPAS menonton program televisyen, American Pickers di saluran National Geographic, Mohd. Israq Yacob mendapat idea untuk membuka kedai menjual perabot terpakai.
Program televisyen itu mengisahkan perjalanan dua orang pembeli barang terpakai di Amerika Syarikat.
Kedai SEC2NDHAND SHOP yang terletak di Jalan Gombak, Kuala Lumpur itu bukan sahaja menjual perabot tetapi juga barang elektronik, sukan dan pelbagai kelengkapan pejabat.
Pelbagai barang koleksi turut dijual di kedai tersebut.
Menurut Mohd. Israq, dalam program televisyen itu, dua orang pembeli tersebut membeli barang-barang antik dan koleksi yang mahu dibuang.
"Mereka membeli apa sahaja yang boleh membawa keuntungan.
"Dari situlah, bermula idea membuka kedai itu. Saya juga merupakan penggemar barangan terpakai.
"Sebelum membuka kedai barangan terpakai itu, saya sememangnya gemar membeli barangan di laman web mudah.my dan boleh dikatakan pada setiap hari, saya akan membuka laman web tersebut untuk melihat iklan-iklan terbaharu yang dimuat naik oleh para pengiklan.
"Idea perniagaan itu juga timbul selepas saya mengunjungi kedai barangan terpakai dan selepas mendapati golongan Bumiputera jarang menceburi perniagaan tersebut.
"Jadi, tidak ada salahnya saya mencuba sesuatu yang baharu dan setakat ini, sambutan yang diterima sangat menggalakkan walaupun kami baru sahaja beroperasi dua bulan," ujarnya yang mengusahakan kedai barangan terpakai itu bersama isterinya, Ellie Syahhidah Abd. Rahman, 33.
Harga murah
Menurut bapa kepada empat orang anak itu, pada mulanya, dia hanya menjual barangan terpakai menerusi internet selama sebulan sebelum membuat keputusan untuk membuka kedai.
"Sebelum membuka kedai itu, saya terlebih dahulu mengumpul dan membeli barangan terpakai yang diperoleh daripada pelanggan-pelanggan di sekitar Lembah Klang dengan mengiklannya di laman web mudah.my.
"Saya juga memuat naik di Facebook gambar barangan terpakai yang dibeli dari semasa ke semasa bagi memberi pilihan kepada para pelanggan.
"Melihat sambutan yang menggalakkan daripada peminat barangan terpakai itulah, menyebabkan saya membuka kedai bagi memudahkan para pelanggan melihat sendiri barangan yang terdapat di kedai kami itu.
"Kami turut membeli barangan terpakai yang masih elok dan berkualiti pada harga yang berpatutan. Para pelanggan masih boleh membuat rundingan berhubung dengan harga," jelasnya yang turut memberitahu golongan sasarannya ialah para pelanggan daripada kelas pertengahan.
Lelaki berusia 32 tahun itu memperoleh barangan terpakai seperti perabot daripada warganegara asing yang mahu berpindah ke negara asal mereka, pemilik rumah yang mahu berpindah dengan segera dan pemilik yang mahu membeli barangan baharu.
"Apa sahaja barangan terpakai yang diperoleh melalui pelanggan akan dibersihkan terlebih dahulu sebelum dijual semula.
"Ada juga pelanggan yang agak terkejut kerana tidak menyangka barangan terpakai yang dibeli masih kelihatan baharu.
"Pada kebiasaannya, kami akan meletakkan harga sebanyak 50 peratus lebih murah berbanding harga asal barangan tersebut," tambahnya.
Mohd. Israq berkata, semasa membeli daripada pelanggan, beliau akan menetapkan harga berdasarkan keadaan barangan tersebut yang dibawa kepadanya.

PELBAGAI barangan terpakai seperti perabot, barangan koleksi, barangan elektronik dan alat kelengkapan pejabat boleh diperoleh pada harga murah di SEC2NDHAND SHOP ini.


Promosi
"Barangan yang paling laris setakat ini sudah tentulah perabot.
"Kami turut menyediakan perkhidmatan pengangkutan dengan kadar bayaran sebanyak RM60 di sekitar Lembah Klang," katanya.
Mohd. Israq berkata, pihaknya turut menyediakan perkhidmatan pengangkutan kepada para pelanggan yang mahu menjual barangan mereka tanpa dikenakan sebarang caj.
Bagaimanapun katanya, para pelanggan perlu menghantar sendiri kepadanya barang bersaiz besar seperti perabot dan kecil ke kedainya itu.
"Pelanggan yang mahu menjual barangan terpakai perlu berhubung dengan kami terlebih dahulu bagi memudahkan kami melihat keadaan barangan yang mahu dijual untuk tujuan penetapan harga.
"Setakat ini, kami hanya berurusan dengan pelanggan di sekitar Lembah Klang sahaja.
"Kami merancang untuk mengembangkan perniagaan ini ke luar Lembah Klang.
"Pihak kami juga mahu membuka cawangan lain.
"Selain itu, kami turut menjalankan promosi dari semasa ke semasa.
"Antara promosi itu ialah pemberian dua tiket dewasa ke Taman Tema Legoland, Johor Bahru bagi pembelian barangan sebanyak RM500 ke atas dan baucar sebanyak RM100 untuk pembelian barangan melebihi RM1,000," berkata beliau.

Tempat pelik di seluruh dunia

Posted: 23 Jun 2013 02:09 AM PDT



SETENIL de las Bodegas, Sepanyol dihuni kira-kira 3,000 orang penduduk yang tinggal di bawah bongkah batu.



MASYARAKAT di seluruh dunia ada yang memilih untuk tinggal di beberapa tempat unik, aneh dan ekstrem, misalnya bandar di dasar gunung berapi.
Setenil de las Bodegas, Sepanyol juga salah satu lokasi unik itu.
Ironinya, bandar tersebut kelihatan seperti bandar yang telah dilanggar oleh meteor besar.
Tanggapan itu boleh dibuat kerana kira-kira 3,000 orang di Setenil de las Bodegas tinggal di bawah bongkah batu.
Luas bandar itu ialah 82 kilometer persegi dan terletak di wilayah Cadiz, timur laut Sepanyol.
Bandar itu dibina sepanjang jurang yang terbentuk akibat hakisan air Sungai Trejo Rio.
Namun, bukan sekadar Setenil de las Bodegas menjadi bandar yang eksentrik di dunia.
Antaranya ialah Mezhgorye yang merupakan sebuah kota tertutup di Rusia yang terletak di Gunung Yamantaw didirikan pada tahun 1979 pada ketinggian 1,640 meter.
Bandar itu pernah didakwa Amerika Syarikat sebagai lokasi pembuatan senjata nuklear sehingga ia diawasi oleh satelit pada tahun 1990.
Namun, bekas negara komunis itu mendakwa Mezhgorye sebuah bandar khusus untuk aktiviti perlombongan.
Dahulunya, ia dikenali dengan nama pelik iaitu Ufa-105 dan Belorefsk-16.
Selain itu, negara yang dipimpin oleh Presidennya, Vladimir Putin itu mempunyai laluan keretapi bawah tanah iaitu Moscow Metro-2.
Moscow Metro-2 merupakan sistem pengangkutan bawah tanah terbesar di dunia yang dibina semasa era pemerintahan pemimpin komunis terkenal, Joseph Stalin.
Kewujudan kota itu dirahsiakan kerana untuk memasukinya boleh menyebabkan seseorang ditahan pihak polis.
Namun, peneroka terowong bawah tanah yang dikenali dengan panggilan Eugin itu telah beberapa kali menceroboh tempat itu.
Katanya, tempat itu merupakan kawasan laluan kereta api bawah tanah yang mungkin digunakan untuk mengangkut trak dan kereta kebal tentera pada era Perang Dunia Kedua.
"Namun, lokasi itu kini turut digunakan oleh atlet sukan ekstrem lelaki atau perempuan untuk menguji tahap kecergasan mereka.
"Laluan kereta api itu tidak lagi digunakan sekarang," ujarnya.
Ironinya, Taman Tema Disneyland dikenali sebagai hab hiburan untuk kanak-kanak mahupun dewasa turut mempunyai sebuah kelab khas iaitu Club 33.
KUIL Ise Grand Shine dirobohkan dan dibina semula setiap 20 tahun.


Larangan wanita
Kelab itu cukup eksklusif sehingga ahli-ahlinya dikenakan yuran tahunan sehingga mencecah RM40,000.
Tidak semua orang boleh diterima untuk menjadi ahli walaupun si pemohon mempunyai banyak wang kerana proses permohonannya sebelum diluluskan boleh mengambil masa sehingga 10 tahun. Bayaran yuran keahliannya pula melebihi RM100,000.
"Saya menggemari kelab itu walaupun terpaksa menunggu sehingga 10 tahun sebelum diterima menjadi ahli," kata seorang ahli Club 33 yang bernama Michael.
Selain itu, identiti berapa orang ahli kelab tersebut juga tidak didedahkan.
Kira-kira 800 individu yang masih dalam senarai menunggu untuk menjadi ahli kelab tersebut.
Selebriti Hollywood yang dikatakan menjadi ahli kelab itu ialah Tom Hanks, Michael Jackson, Christina Aguilera dan Elton John.
Lain pula di Kelab White's yang terdapat di London, England.
Mula dibina pada tahun 1963 oleh Francesco Bianco, kelab itu diasaskan untuk pencinta minuman coklat panas.
Namun, ia kemudian menjadi tempat eksklusif dan terkenal dengan permainan judinya yang aneh, seperti ahlinya yang bertaruh sebanyak RM9,000 hanya untuk meneka titisan pertama air hujan.
Mereka yang ingin mendaftar keahlian hanya akan diterima sekiranya dipersetujui oleh dua anggota yang lain.
Malah, kelab itu tidak menerima wanita untuk menjadi ahli.
Negara yang mendapat jolokan Negara Matahari Terbit Jepun pula mempunyai sebuah kuil Ise Grand Shrine yang berusia beratus-ratus tahun.
Kuil itu juga didakwa menyimpan beberapa dokumen sulit mengenai negara itu. Ia dirobohkan setiap 20 tahun sekali sebelum dibina semula.
Tempat itu merupakan kawasan larangan untuk orang awam kecuali mereka yang pernah menjadi pemimpin atau maharaja Jepun.

Cara pelajar tahfiz meraikan Syaaban

Posted: 23 Jun 2013 02:06 AM PDT




LAZIMNYA pada malam Nisfu Syaaban pada tahun-tahun sebelum ini, Muhammad Amir Zakwan Mahayudin hanya mengikut bapanya menunaikan solat Maghrib di masjid berdekatan rumahnya.
Begitupun, akui remaja yang berusia 14 tahun itu, dia mula menyedari makna sebenar hari istimewa berkenaan selepas memasuki Akademi Darul Huffaz yang terletak di Taman Putra Kajang, Kajang, Selangor.
"Dulu, saya hanya menunaikan solat sunat tetapi selepas menyertai akademi ini, malam Nisfu Syaaban yang menandakan kedatangan bulan Ramadan semakin hampir, diraikan dengan pelbagai amalan," katanya ketika ditemui di akademi tahfiz berkenaan.
Muhammad Amir yang memakai jubah dan kopiah putih berkongsi pengalamannya menghidupkan malam Nisfu Syaaban pada tahun lalu.
Menurutnya, ia merupakan satu pengalaman yang sukar dilupakan kerana kesemua pelajar Akademi Darul Huffaz melakukan qiamullail, berpuasa, menghafal al-Quran dan banyak lagi.
Malam
Bagaimanapun, pada mulanya, dia mengakui agak sukar untuk melakukan aktiviti-aktiviti tersebut secara serentak apatah lagi terpaksa memendekkan waktu tidur untuk qiamullail.
"Ketika itu, agak sukar untuk membuka mata tetapi disebabkan penglibatan guru-guru dan rakan-rakan yang ramai, ia menyemarakkan lagi suasana pada malam itu," jelasnya.
Nisfu Syaaban merupakan hari ke-15 bulan Syaaban. Pada tahun ini, Nisfu Syaaban jatuh pada hari Isnin ini. Ia dianggap sebagai bulan pemisah kerana ia memisahkan antara bulan Rejab dan Ramadan.
Jika Rejab dianggap sebagai bulan ujian dan Ramadan sebagai bulan latihan, maka Syaaban adalah bulan persediaan serta persiapan melakukan kebaikan sebanyak mungkin termasuk memerangi nafsu.
Justeru, umat Islam disarankan meningkatkan amal ibadah kerana kemuliaan Syaaban bukan sekadar memberi rahmat dan pengampunan malah ganjaran pahala berganda kepada mereka yang benar-benar menghidupkan bulan itu.
Menurut ulama, antara amalan yang digalakkan dalam bulan Syaaban ialah puasa sunat, bertaubat dan istighfar, zikir, berselawat, banyakkan berdoa dan bersedekah.

AKADEMI Darul Huffaz di Kajang menekankan pembelajaran agama tanpa mengabaikan subjek akademik.


Dalam pada itu, bermacam-macam aktiviti disusun di Akademi Darul Huffaz sepanjang 15 Syaaban. Bagi Muhammad Amir, dia tidak melepaskan peluang meningkatkan hafalannya.
Pada kebiasaan, dia akan menghafal tiga baris ayat al-Quran sehari, namun hafalannya semakin meningkat menjelang 15 Syabaan.
"Walaupun agak penat, ia aktiviti yang menyeronokkan kerana boleh diraikan secara ramai-ramai.
"Lagipun, kami di Akademi Darul Huffaz tidak mensia-siakan ketibaan 15 Syaaban kerana ia hadir sekali dalam setahun," tuturnya.
Selain Muhammad Amir, Muhammad Umar Aziz Norazha, 14, turut merasai kemeriahan 15 Syabaan di akademi yang sama.
Anak jati Selangor itu sebelum ini menuntut di sekolah menengah biasa. Sekitar setahun yang lalu, ibu bapanya menghantar Muhammad Amir ke akademi tersebut.
Walaupun sekolah tersebut menekankan aspek keagamaan tetapi modul pembelajaran di Akademi Darul Huffaz tetap sama dengan sekolah menengah yang lain.
Di sini, pelajar didedahkan dengan pembelajaran akademik seperti mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sejarah dan Sains.
Apa yang membezakan sekolah itu daripada sekolah biasa ialah subjek hafalan al-Quran dan tempoh pembelajaran subjek-subjek lain disingkatkan daripada satu jam kepada setengah jam sahaja.
Menyedari kelainan sekolah itu, ibu bapanya membuat keputusan untuk menghantar Muhammad Amir ke sekolah swasta berkenaan.
Biarpun terpaksa menyesuaikan diri ke alam persekolahan yang baharu, anak ketiga daripada lima adik-beradik itu tidak mempunyai sebarang masalah.
Bahkan, remaja yang telah berjaya menghafal tiga juzuk al-Quran itu mengakui banyak kelebihan belajar di sekolah agama kerana selain dapat menguasai al-Quran, dia berpeluang memantapkan tulisan jawi.
Ilmu agama
Berbicara mengenai kelebihan menuntut di sekolah agama, Muhammad Umar berkata, dia dapat menimba banyak ilmu agama.
SELAIN berpuasa, pelajar akan mengikuti pembelajaran seperti biasa.


"Memang sekolah biasa ada belajar subjek Agama cuma ia tidak mendalam," pintasnya.
Menyentuh mengenai bulan Syaaban, sebelum ini dia mengetahui amalan-amalan yang perlu dilakukan terutama pada 15 Syaaban cuma ia tidak dipraktikkan di sekolah mahupun rumah.
"Apabila menyertai akademi ini, barulah saya memahami erti 15 Syaaban," katanya.
Sementara itu, pengasas akademi itu, Sheikh Lokman Shazly Al-Hafiz Al-Maulawi Zaharin Chulan Biodata, 42, berkata, pihaknya menyusun pelbagai program sebelum 15 Syaaban.
Beliau berkata, kesemua pelajar akan bermalam di akademi itu sempena sambutan Nisfu Syaaban.
"Malam Nisfu Syaaban sangat penting apatah lagi ia hari penutupan 'akaun' (buku catatan amalan) sepanjang tahun lalu, jadi seelok-eloknya kita melakukan aktiviti yang diredai Allah," katanya.
Menyentuh aktiviti yang dijalankan, beliau menjelaskan, kesemua pelajar di situ akan melakukan qiamullail, menghafal al-Quran secara beramai-ramai, tahlil, berpuasa dan membaca surah Yasin.
Menurutnya, kehadiran pelajar yang ramai menyemarakkan lagi suasana 15 Syaaban. Pada kebiasaan, selain berpuasa sunat, pelajar akan mengikuti pembelajaran seperti biasa.
Selepas berbuka puasa, mereka akan bersolat dan menghafal al-Quran beramai-ramai.
Akademi Darul Huffaz ditubuhkan pada November 2007 dan mempunyai lebih 500 pelajar.
Penubuhan akademi itu bertujuan melahirkan hafiz-hafiz al-Quran dalam kalangan profesional.
Bagi seorang kakitangan swasta yang hanya mahu dikenali sebagai Syed, dia tidak pernah ketinggalan meraikan 15 Syaaban di masjid.
Bagaimanapun, Syed mengakui tidak ramai yang datang untuk menunaikan solat sunat Syaaban kecuali ahli masjid yang sudah biasa menunaikan solat jemaah di masjid.
"Mungkin ramai yang tidak mengetahui keistimewaan 15 Syaaban berikutan tiada publisiti meluas mengenai hari berkenaan," ujarnya.

Kiev berpesta api

Posted: 23 Jun 2013 02:05 AM PDT



DUA peserta melakukan persembahan bertenaga yang penuh warna-warni.


PEPATAH ada menyatakan jangan bermain api nanti membakar diri. Bagaimanapun, lain pula ceritanya di Kiev, Ukraine apabila api dijadikan sebagai salah satu elemen bagi menghasilkan persembahan yang unik dan mendebarkan.
Dikenali sebagai Fiesta Api Antarabangsa Kiev, festival yang dimulakan pada tahun 2007 itu pantas meraih populariti bukan sahaja di Ukraine tetapi di seluruh dunia.
Saban tahun, ribuan pelancong berkumpul di bandar raya itu untuk menyaksikan persembahan ahli akrobatik, ahli silap mata, pemuzik jalanan, penari dan pelempar api terbaik dunia.

API dijadikan sebagai satu elemen persembahan yang unik dan mendebarkan di Kiev, Ukraine.


Pada tahun ini, festival itu berlangsung selama dua hari bermula dari 14 hingga 15 Jun lalu.
Ia disertai kira-kira 500 penghibur tempatan dan luar negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Switzerland, Perancis, Hungary dan Jerman.
"Acara ini merupakan tarikan pelancongan terbaharu di Kiev. Saban tahun, mereka berkumpul untuk menyaksikan persembahan bercahaya dan berwarna-warni oleh barisan penghibur terkenal bertaraf dunia," kata jurucakap penganjur festival berkenaan.
Katanya, bagi mencipta kelainan, festival tahun ini diberikan tema yang berbeza.
"Selain menyaksikan penyertaan yang lebih ramai, peserta atau kumpulan yang menang juga berpeluang membuat persembahan pentas yang disiarkan secara langsung di saluran televisyen Rusanovsky.

FESTIVAL ini disertai oleh ahli akrobatik, penari malah ahli silap mata.


"Di samping itu, bagi yang ingin berjinak-jinak dalam persembahan api ini, mereka boleh menyertai kelas yang dikendalikan jurulatih-jurulatih profesional," ujar kenyataan itu lagi.
Apa yang pasti, jika merancang ke Ukraine, jangan lupa untuk memasukkan Fiesta Api Antarabangsa Kiev dalam kalendar pelancongan anda. Pengalaman menyaksikan acara terbesar dan terhebat ini pasti sukar dilupakan.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines