Selasa, 25 Jun 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Awi Rafael Enggan Komen Panjang Isu Putus Cinta

Posted: 24 Jun 2013 06:14 AM PDT

Hubungan cinta Awi dan Hanez kini tinggal kenangan.
PETALING JAYA: Penyanyi Awi Rafael mengambil pendirian untuk 'tutup mulut' dan enggan mengulas panjang berhubung isu putus cinta dengan pelakon Hanez Suraya.
Awi atau nama sebenarnya Muhammad Nabawi Gunawan, 27, menerusi laman Twitter sebaliknya berkata, dia hanya akan bercerita tentang perpisahan itu menerusi lagu-lagu yang bakal diciptanya sahaja.
"Sebagai tanda hormat kepada Hanez, kerana dia adalah wanita, saya tiada komen untuk dikongsikan. Biarlah saya bercerita menerusi lagu-lagu saya," katanya.
Hanez menerusi Berita Harian Ahad berkata, dia dan penyanyi kelahiran Singapura itu sudah pun berpisah selepas sekian lama bermasalah.
Malah pelbagai usaha telah dilakukan namun hubungan mereka masih gagal diselamatkan.
Pasangan itu menjalinkan hubungan cinta lebih daripada setahun dan menyifatkan kegagalan hubungan itu bermula apabila Awi terlalu mengejar cita-cita untuk mengukuhkan kerjaya nyanyiannya sehinggakan Hanez terpaksa menarik diri daripada perhubungan itu.
Awi menjelaskan isu perpisahannya dengan Hanez menerusi Twitter miliknya.
Bagaimanapun, dalam status Twitter Awi, dia turut mendoakan bekas kekasihnya itu mendapat kebahagiaan dan rahmat bersempena dengan bulan Ramadan yang bakal tiba tidak lama lagi.
"Saya sentiasa doakan untuk Hanez. Semoga bulan Ramadan yang akan datang ini membawa ketenangan dan rahmat pada kamu sekeluarga. Amin dan Goodbye," ujarnya.
Dalam pada itu Awi turut menyatakan fokusnya kini hanya menjaga ibunya dan menumpukan sepenuh perhatian terhadap karier seninya.
"Fokus saya sekarang adalah kepada ibu yang semakin tua dan kembara seni yang masih jauh.
"Doakan Awi InsyaAllah. Terima kasih kerana menyokong," tuturnya.

Yuna nafi Lelaki ditujukan buat Qi

Posted: 24 Jun 2013 06:13 AM PDT

YUNA mengakui dia dan Julian kini masih di peringkat mengenali hati budi masing-masing.


KETIKA ini lagu berjudul Lelaki nyanyian dan hasil ciptaan oleh penyanyi Yunalis Zarai atau Yuna semakin kerap berkumandang di stesen-stesen radio tempatan serta menjadi siulan ramai.
Di sebalik populariti yang diraih lagu berkenaan, sebenarnya timbul sedikit persoalan.
Ini kerana apabila menghayati setiap lirik yang dihasilkan olehnya seolah- olah seperti dituju kepada seseorang.
Bagaimanapun, Yuna menerusi sidang video Skype bersempena konsert sulungnya di Istana Budaya menjelaskan bahawa Lelaki lebih bersifat umum dan langsung tidak ditujukan kepada bekas kekasihnya, Qi Razali.
"Kalau ada yang menyangka lagu Lelaki saya tujukan kepada Qi, ternyata ia tidak benar sama sekali. Ini kerana ia sudah dihasilkan sejak lebih setahun yang lalu.
"Ketika saya mencipta lagu berkenaan, kami masih lagi menjalinkan hubungan percintaan, malah Qi turut serta menemani saya ketika ia dirakamkan di studio," ujarnya yang kini melebarkan kariernya dengan berpangkalan di Los Angeles, Amerika Syarikat.
Biarpun lagu itu dilihat seolah-olah seperti memarahi lelaki, Yuna menyatakan bahawa ia disampaikan dalam bentuk yang lebih humor dan dia gembira apabila ia semakin diminati ramai.
Pada masa yang sama, Yuna turut diminta mengulas mengenai hubungannya dengan jejaka Inggeris bernama Julian Schratter memandangkan gambar mesra mereka berdua sering dimuat naik di laman Instagram. Dia bagaimanapun enggan mengulas panjang mengenainya.
Menurutnya, ketika ini dia mahu memberi tumpuan kepada kerjaya nyanyiannya di Amerika Syarikat terlebih dahulu dan kurang selesa apabila kisah peribadinya menjadi terlalu sensasi.
"Kalau diminta komen saya mengenai hubungan dengan Julian, rasanya jawapan yang diberikan ini pastinya agak klise. Namun begitu, saya akui kami masih lagi dalam proses mengenali hati budi masing-masing.
"Jadi, saya minta maaf kerana tidak dapat bercerita lanjut kerana ia cukup peribadi untuk dikongsi. Lagipun saya mengambil pengajaran terhadap kegagalan dalam percintaan yang dialami sebelum ini," ujarnya.

SUASANA pada sidang video menerusi Skype antara Yuna di Amerika Syarikat bersama media Malaysia yang berlangsung di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.


Berkenaan dengan kerjayanya di Amerika Syarikat pula, Yuna memberitahu, ketika ini dia sedang dalam proses menghasilkan album keduanya di negara tersebut yang dijangka berada di pasaran pada bulan Oktober depan.
"Proses penerbitan album baharu ini masih lagi berjalan dan sebanyak 20 buah lagu telah saya pilih. Namun, hanya 10 lagu yang disenarai pendek untuk dimuatkan dalam album berkenaan," jelasnya.
Ujar Yuna, biarpun jadual nyanyiannya sekarang terlalu padat memandangkan dia akan mengadakan konsert di Istana Budaya pada bulan September depan, dia yakin albumnya itu dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.
Konsert sulung
Ketika sedang berusaha mengembangkan karier nyanyiannya di negara yang digelar Uncle Sam itu, Yuna bakal mengadakan konsert sulungnya di Istana Budaya pada 6 hingga 8 September depan.
Jelas Yuna, dia menganggap konsert berkenaan sebagai suatu penghormatan buat dirinya apabila dapat menjayakan persembahan di sebuah tempat yang cukup berprestij serta diiringi oleh Orkestra Seni Kebangsaan (OSK).
"Sudah tujuh tahun saya terbabit dalam bidang nyanyian, pastinya mengadakan persembahan di Istana Budaya merupakan suatu impian yang sudah lama terpendam.
"Saya berterima kasih kepada pihak Istana Budaya dengan peluang yang telah diberikan ini. Saya berharap agar akan ada lebih ramai lagi penyanyi muda seperti saya dapat beraksi di pentas ini pada masa akan datang," ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani berkata, hasrat untuk membawa Yuna sudah lama dirancang dan kini ia baru dapat dilaksanakan.
Ujarnya, beliau telah bertemu sendiri dengan bapa penyanyi itu semasa Yuna menerima anugerah Ikon Seni Budaya Negara sempena Hari Kemerdekaan Malaysia ke-55 di Stadium Nasional, Bukit Jalil tahun lalu.
"Hasil perbincangan yang dilakukan akhirnya ayah Yuna telah memberikan persetujuan dan sudah tentu pihak Istana Budaya begitu teruja kerana dapat membawa seorang penyanyi yang hebat," jelasnya.
Menurut Juhari, pemilihan Yuna dibuat berdasarkan pencapaian yang telah diraihnya sepanjang bergelar penyanyi serta popularitinya yang semakin melonjak, terutamanya dalam kalangan penuntut universiti di Amerika Syarikat.

Raihan jelajah Indonesia

Posted: 24 Jun 2013 06:03 AM PDT




KUMPULAN nasyid tersohor negara, Raihan tidak memerlukan publisiti yang meluas untuk terus mengukuhkan kedudukan mereka di negara jiran, Indonesia.
Dalam diam-diam, anggota Raihan yang terdiri daripada Che' Amran, Abu Bakar, Amran dan Zulfadli menjalin kerjasama dengan rangkaian industri muzik Indonesia untuk terus berkarya.
Sebenarnya, Raihan masih relevan di Indonesia dan terus menjadi pilihan segenap lapisan masyarakat tanpa sebarang garis halangan.
Muzik yang diperjuangkan mereka adalah platform yang terus mendekatkan mereka di sini.
Sebagai penggiat seni, Raihan masih aktif memainkan peranan mendekatkan bangsa Malaysia dan Indonesia menerusi muzik tanpa disedari peminat di tanah air.
Kosmo! mendekati Raihan yang berkunjung ke Jakarta baru-baru ini.
Kunjungan singkat mereka itu bermatlamat untuk melakukan persiapan bagi menjayakan konsert jelajah sempena bulan Ramadan tidak lama lagi.
Pada pertemuan itu, banyak hal yang dikongsi bersama dengan keempat-empat anggota kumpulan nasyid yang suatu ketika dahulu menjadi perintis kepada kebangkitan muzik berteraskan Islam di Malaysia.
Soalan pertama yang dituju kepada Abu Bakar adalah berkisar tentang kenapa Raihan begitu merendah diri dan tidak menghebahkan kepada umum tentang perkembangan terbaharu kerjaya mereka?
Jawab Abu Bakar, Raihan sangat senang bersederhana dalam apa sahaja tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka. Ini kerana ia seiring dengan apa yang dituntut agama.
"Lagipun, seganlah untuk kami bercerita kepada semua orang, nanti disalah anggap pula. Sementelah, apa yang kami lakukan adalah kerja semata- mata," ujarnya ringkas tetapi mengandungi makna yang cukup mendalam.
Mengenali Abu Bakar dan teman-temannya, harus diakui personaliti mereka masih tidak berubah sejak dari awal penglibatan sehinggalah usia Raihan di persada muzik arus perdana sudah mencecah angka 17 tahun.
Raihan masih merendah diri biarpun pencapaian kerjaya seni mereka seharusnya menjadi kebanggaan rakyat Malaysia sejak dahulu, kini dan selama- lamanya.
Diterima dengan baik di Indonesia sendiri disifatkan Che' Amran yang juga ketua kumpulan Raihan pula sebagai suatu penghargaan yang sangat luar biasa.
Dia menyifatkan kesempatan bekerjasama dengan penggiat-penggiat muzik Indonesia menawarkan pengalaman yang sangat berharga.
Berpeluang mengadakan persembahan di hadapan puluhan ribu penonton dan disokong dengan kerjasama penggiat-penggiat muzik kelas A Indonesia membuatkan Raihan begitu berbesar hati dengan penerimaan masyarakat di situ.

RAIHAN bakal meraikan kemunculan Ramadan kali ini dengan single kolaborasinya bersama Gigi yang berjudul 20 Sifat Allah.


"Apresiasi orang-orang di sini (Indonesia) terhadap muzik nasyid merupakan suatu bentuk kepuasan yang sukar digambarkan dengan kata-kata.
"Ada benarnya, populasi di Indonesia sangat besar dan kerana itu muzik nasyid boleh terus relevan. Itu fakta yang tidak dapat dinafikan.
"Pada masa sama, kami juga tersentuh hati kerana penggiat-penggiat muzik yang senior, berpengalaman dan sangat masyhur sentiasa mahu bekerjasama dengan Raihan," jelas Che' Amran sambil diakui teman-teman lain.
Benar apa disebut Raihan mengenai kecenderungan penggiat-penggiat muzik termasyhur Indonesia yang sangat senang untuk diajak berkongsi pentas.
Terbaharu, kumpulan ternama Indonesia, GiGi memilih untuk bekerjsama dengan Raihan dalam sebuah single khusus untuk dipasarkan pada bulan Ramadan ini.
Single berjudul 20 Sifat Allah (versi Malaysia berjudul Sifat 20) menampilkan gandingan vokal penyanyi utama GiGi, Armand Maulana dan kumpulan Raihan.
Selain lagu berkenaan, Raihan juga berada di sini untuk menyiapkan proses penerbitan album kompilasi mereka yang akan turut memuatkan sebuah lagu lebaran berjudul Hari Raya Untuk Semua.
Album berkenaan bakal berada di pasaran Indonesia pada awal bulan Ramadan ini.
Tidak hanya berkongsi lagu, bahkan GiGi juga sangat berbesar hati untuk membawa Raihan menjelajah tujuh kota besar di Pulau Jawa selama dua minggu pada bulan penuh kemuliaan, Ramadan bulan depan.
"Inilah yang Raihan sifatkan peluang yang amat berharga buat kami. Barangkali penyanyi lain tidak mendapat peluang seperti kami. Justeru, kami sangat bersyukur dan menghargai kesempatan yang diberikan ini," jelas Che' Amran lagi.
Bukan hanya GiGi akan turut serta dalam jelajah Ramadan itu, bahkan penyanyi senior tersohor Indonesia, Iwan Fals dan Chandra Malik juga akan berkongsi pentas yang sama.
Sebelum ini, Raihan pernah mengadakan persembahan diiringi oleh kumpulan orkestra pimpinan Erwin Gutawa bersama artis-artis lain seperti Rossa dan Marcel yang turut menyanyikan lagu-lagu nasyid yang pernah dipopularkan Raihan.
Lagu-lagu Raihan juga pernah dirakamkan oleh kumpulan Sheila On 7, Padly (Padi) selain pernah kerjasama dengan penyanyi Ikang Fawzi dan lain- lain lagi.

Anuar Zain kemuncak Nyonya & The Gang

Posted: 24 Jun 2013 06:02 AM PDT


ANUAR muncul mengalunkan lagu Ketulusan Hati dengan sepenuh jiwa dan emosi.


PENYANYI tersohor Malaysia, Anuar Zain yang tampil membuat persembahan khas menerusi teater Nyonya & The Gang selama dua hari berturut-turut iaitu pada 19 dan 20 Jun lalu, ternyata berjaya menghiburkan kira-kira 1,000 penonton yang hadir.
Penantian para peminat setianya yang menunggu sejak 8.30 malam berbaloi apabila Anuar muncul dari belakang set kamar tidur yang disinari lampu sorot tepat pukul 10.30 malam.
Kelihatan segak dan kemas mengenakan sut elegan berwarna hitam, Anuar lantas mendendangkan sebuah lagu yang berkonsepkan ketuhanan iaitu Ketulusan Hati dengan penuh penghaya- tan dan perasaan.
Dia melontarkan kelunakan vokalnya itu sebaik sahaja keluar di sebalik langsir di belakang set kamar tidur tersebut, membuatkan pentas Istana Budaya gamat dengan jeritan para peminatnya.
Anuar Zain atau lebih mesra disapa Anuar menyatakan, ia merupakan kali pertama dirinya terlibat dalam pementasan dunia teater.
Walaupun tidak berlakon dan hanya menyanyi dalam teater arahan Rosminah Mohd. Tahir dan Siti Rohayah Attan itu, bagi Anuar ia merupakan pengalaman terindah.
"Saya pernah berlakon sebelum ini tetapi bakat saya bukan dalam bidang lakonan. Jadi, saya lebih yakin untuk menyanyi berbanding dalam bidang lakonon. Saya tidak yakin untuk berlakon," katanya.
Apabila ditanya apakah perasaannya apabila berada dalam satu produksi bersama Amy Mastura, Fara Fauzana dan Misha Omar, Anuar menyatakan yang dia cukup teruja biarpun tidak digandingkan dalam satu babak yang sama.

KIAH PROPA sedang beraksi dalam teater Nyonya & The Gang.


"Saya rasa gembira kerana dapat terlibat dalam produksi CTRA dan bersama-sama dengan artis lain serta golongan profesional serta sangat kreatif," katanya.
Sebelum ini Anuar hanya membuat persembahan di konsert- konsert dan majlis-majlis rasmi tetapi dia tidak pernah terfikir akan membuat persembahan nyanyian dalam pementasan teater.
"Ia merupakan peluang yang baik dan merupakan luar daripada bidang saya sebelum ini.
"Walaupun tidak berlakon dan hanya membuat persembahan nyanyian pada malam ini (19 Jun lalu), perasaan saya berbeza oleh kerana prop dalam teater tersebut," ujarnya lagi.
Tambah Anuar, persediaannya untuk beraksi dalam teater tersebut sama sebagaimana konsert yang dijayakan sebelum ini.
"Saya perlu datang awal ke pentas bagi pemeriksaan teknikal sebelum persembahan diadakan," jelasnya.
Bercerita tentang persetujuannya untuk bersama produksi Nyonya & The Gang yang diambil dalam tempoh singkat, ujar Anuar, faktor utama kemunculannya dalam teater itu adalah kerana latar belakang penceritaannya.
"Ia mempunyai kaitan dengan tempat diri saya membesar iaitu di Kampung Simpang Serkam, Merlimau, Melaka," akuinya.
Sementara itu, Amy Mastura yang pernah digandingkan dengan Anuar menerusi filem Bintang Hati menyatakan kegembiraannya terlibat dalam teater Nyonya & The Gang.
"Saya berasa gembira kerana sambutan yang diberikan terhadap teater ini amat menggalakkan.
"Walaupun Anuar tidak berlakon dalam satu babak yang sama, saya selaku rakannya teruja kerana Anuar menerima tawaran muncul dalam teater ini," ujar Amy.
Sementara Siti Rohayah Attan turut melahirkan perasaan gembira kerana pementasan tersebut mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada khalayak, terutamanya pementasan yang menampilkan Anuar.
Selain Fara, Misha dan Amy Mastura, teater tersebut turut menampilkan lakonan Mardiana Alwi, Taiyuddin Bakar dan Kiah Propa.
Ia diterbitkan oleh CTRA Production dengan kerjasama Kosmo! sebagai akhbar rasmi dan dipentaskan dari 14 hingga 20 Jun lalu.

Rombakan siaran program TV3

Posted: 24 Jun 2013 06:01 AM PDT



NIEZAM ZAIDI merupakan salah seorang pelakon drama bersiri, Dewi Lasak.


PADA 1 Jun 1984 bersamaan 29 tahun yang lalu, Sistem Televisyen Malaysia Berhad atau lebih sinonim dengan nama TV3 dilancarkan di Jalan Liku, Bangsar, Kuala Lumpur.
Pada awalnya, stesen TV swasta pertama tanah air ini memulakan siaran hanya di sekitar Lembah Klang dari pukul 5 petang hingga tengah malam.
Seiring dengan peredaran masa dan kepesatan teknologi, TV3 kini boleh ditonton secara 24 jam sehari di seluruh Malaysia secara percuma.
Sejak itu, beberapa slot diperkenalkan untuk mengisi waktu perdana seperti Cerekarama pada tahun 1985, Samarinda menerusi Badai Metropolis (2004), Lestary dengan drama popular Natasha (2005), Aksi menampilkan Misi XX-Ray (2007) dan Zehra (2009) yang menyaksikan kejayaan drama rantaian Nur Kasih.
Bagaimanapun bermula hari ini (24 Jun), beberapa program yang bercorak majalah, dokumentari, drama dan hiburan akan diubah waktu siarannya.
Program dokumentari popular, Majalah 3 yang sebelum ini disiarkan pada setiap hari Sabtu akan ditukar ke hari Isnin pukul 9 malam.
Slot Samarinda yang sedang menyiarkan drama bersiri, Epilog Cinta Khirana diubah ke setiap Isnin hingga Rabu pukul 10 malam dan World Wrestling Entertainment (WWE) pula bersiaran pada hari Isnin, pukul 11 malam.
Selepas berakhirnya drama Epilog Cinta Khirana, slot Samarinda akan menayangkan drama Ramadan Yang Hilang.
Slot Aksi pula bakal menampilkan drama bersiri, Dewi Lasak arahan Pierre Andre lakonan Intan Ladyana, Niezam Zaidi dan Bella Daly yang bakal bersiaran pada setiap hari Rabu pukul 9 malam.
Sementara itu, program Bersamamu akan bertukar siaran ke hari Khamis pukul 9.30 malam. Slot Pearl Screen yang mempersembahkan filem-filem terbaik Hong Kong dan China pula disiarkan pada hari Khamis pukul 10 malam.
Di sebalik rombakan waktu siaran, beberapa program masih dikekalkan seperti asal.
Program tersebut termasuklah yang membabitkan slot Lestary, Zehra, Mega Movie dan Cerekarama selain rancangan Soal Jawab, 999 dan Supernatural.
Pengurus Besar Kumpulan TV3 & TV9, Sherina Mohamed Nordin berharap agar penukaran waktu siaran tersebut dapat diterima baik oleh semua penonton.
"Ini merupakan cabaran buat stesen kerana penonton mungkin sudah sinonim dengan waktu asal, misalnya Majalah 3 (Sabtu) dan slot Aksi pada hari Isnin.
"Namun, demi menyediakan tatapan dan trend yang lebih segar serta kekal inovatif, perubahan harus dilakukan.
"Perubahan jadual ini berdasarkan kaji selidik yang telah dilakukan secara teliti ke atas kecenderungan serta permintaan penonton dan sebagai strategi pemasaran kami.
"Dengan purata syer penonton sebanyak 40 peratus, diharapkan langkah positif ini akan terus menarik minat penonton," ujarnya.

Perniagaan terjejas akibat jerebu

Posted: 24 Jun 2013 05:59 AM PDT



ORANG ramai memakai penutup mulut dan hidung ketika keluar membeli barangan keperluan di pasar tani di Muar semalam.



MUAR - Keadaan jerebu yang melanda seluruh daerah Muar dan Ledang di Johor bukan sahaja menjejaskan kehidupan seharian penduduknya, malah golongan peniaga makanan dan perhotelan di daerah itu turut merasai impaknya.
Daerah Muar yang sememangnya terkenal dengan pelbagai keenakan makanan seperti mi rebus, mi bandung, asam pedas, nasi beriani gam, sate dan nasi ayam sering menjadi destinasi pilihan pelancong untuk singgah makan di daerah tersebut.
Namun, sejak cuaca jerebu bertambah buruk Jumaat lepas, rata-rata peniaga gerai makanan mengeluh kerana bilangan pelanggan yang menjamu selera di warung atau restoran mereka berkurangan secara drastik.
"Kami kehilangan separuh daripada pelanggan yang biasanya berkunjung ke restoran kami pada hari Sabtu dan Ahad setiap minggu," kata Abu Bakar Hasan, seorang pengusaha mi bandung terkenal di Jalan Abdullah ketika ditemui di sini semalam.
Menurut beliau, biasanya jumlah pelanggan yang datang menjamu selera di restorannya mula bertambah setiap kali hujung minggu termasuk dari Singapura dan Kuala Lumpur.
Bagi Hishamudin Jais, seorang peniaga nasi ayam di bangunan Mara di Jalan Maharani berkata, kebanyakan pelanggannya lebih gemar membungkus makanan daripada makan di gerainya.
Menurut beliau, cuaca buruk seumpama itu merupakan yang pertama dihadapinya sejak memulakan perniagaan di situ lebih 10 tahun lalu.

25 pelajar ponteng sekolah ditahan

Posted: 24 Jun 2013 05:58 AM PDT


SEBAHAGIAN daripada pelajar yang ditahan kerana ponteng sekolah dalam operasi bersepadu di Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU – Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kota Bharu menahan seramai 25 pelajar dari beberapa buah sekolah yang ponteng dalam operasi bersepadu di sini semalam.
Pengarah Pelajaran Negeri Kelantan, Hussain Awang berkata, operasi yang bermula pukul 9 pagi itu dilakukan di beberapa kawasan yang menjadi tumpuan, antaranya taman rekreasi, warung dan gerai berhampiran sekolah serta kafe siber.
Menurutnya, operasi yang dilakukan itu bertujuan untuk memberi kesedaran kepada pelajar terlibat mengenai kesalahan ponteng sekolah.
"Sebahagian daripada 25 pelajar yang tangkap hari ini (semalam) bersekolah di sekitar daerah ini serta beberapa pelajar dari daerah lain.
"Sepanjang tahun ini, sebanyak 25 operasi telah diadakan di seluruh Kelantan yang mana seramai 50 pelajar berjaya ditahan," katanya ketika ditemui semalam.

Padah curi motosikal di masjid

Posted: 24 Jun 2013 05:57 AM PDT


ANGGOTA polis membawa empat remaja yang diberkas selepas disyaki mencuri motosikal ke tali air Kampung Tambang, Lahar Tiang untuk pengecaman rangka kenderaan itu yang dibuang semalam.


KEPALA BATAS - Empat pelajar sekolah tingkatan empat sepatutnya berada di rumah untuk mengulangkaji pelajaran namun kini mereka berada di lokap selepas ditangkap apabila disyaki terlibat dengan kes curi motosikal.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Superintendan Mohd. Shukri Awang berkata, kesemua remaja berusia 16 tahun tersebut diberkas selepas polis menjalankan siasatan berhubung kes curi sebuah motosikal milik jemaah Masjid Lahar Tiang, Pinang Tunggal di sini ketika solat Jumaat.
Katanya, ketika ditahan kira-kira pukul 3 petang di sebuah rumah di Kampung Paya Keladi, suspek didapati sedang meleraikan komponen motosikal jenis Honda EX5 yang dicuri itu. Rumah itu terletak kira-kira 500 meter dari masjid tersebut.
"Soal siasat mendapati mereka telah terlibat dengan tujuh kes curi motosikal sejak dua bulan lalu.
"Kita turut menemui beberapa rangka motosikal yang dibuang di tali air Kampung Tambang, Lahar Tiang, Pinang Tunggal di sini," katanya.

Supermoon dekatkan jarak bulan dan bumi

Posted: 24 Jun 2013 05:55 AM PDT


FENOMENA Supermoon dirakam di Kuala Lumpur malam tadi.


KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia malam tadi menyaksikan fenomena kedudukan bulan paling hampir dengan bumi yang dikenali sebagai Lunar Perigee atau Supermoon.
Fenomena itu hanya berlaku sekali setahun. Bulan yang disaksikan oleh orang ramai malam tadi merupakan bulan paling besar boleh dilihat oleh rakyat negara ini.
Bagaimanapun, jerebu buruk yang melanda beberapa kawasan telah mengganggu orang ramai melihat fenomena tersebut.
Satu kenyataan Agensi Angkasa Negara (Angkasa) semalam memberitahu, orang ramai dapat melihat bulan berada pada fasa penuh dan uniknya bulan penuh kali ini merupakan bulan penuh yang terletak paling hampir dengan bumi iaitu pada jarak 356,989 kilometer.
"Keadaan ini berlaku kerana bulan mempunyai orbit yang sedikit bujur, bukan berbentuk bulat sempurna dan ini menyebabkan jarak bulan dengan bumi sentiasa berubah-ubah.
"Kesan fenomena jarak bulan yang dekat dengan bumi menyebabkan berlaku air laut pasang surut yang besar berbanding pada hari-hari kebiasaan," kata kenyataan itu lagi.

Perarakan Ikan Duyung meriah

Posted: 24 Jun 2013 05:52 AM PDT



DUA orang artis membuat persembahan sambil diperhatikan oleh para pengunjung Perarakan Ikan Duyung di Coney Island semalam.


CONEY ISLAND - Walaupun dilanda ribut taufan Sandy dan pejabat penganjurnya ditenggelami air baru-baru ini, acara yang diberi nama Perarakan Ikan Duyung tetap dapat dilaksanakan dengan cukup meriah.
Penganjur dikatakan berjaya mengumpul dana sebanyak AS$100,000 (RM300,000) untuk membiayai acara tersebut.
Berlangsung di sini mulai semalam, orang ramai memenuhi jalan-jalan dengan memakai pakaian dan solekan pelik. Misalnya, baju seperti ikan duyung dan makhluk laut yang lain.
Perarakan Ikan Duyung bermula pada tahun 1983. Antara matlamat penganjurannya adalah untuk menghidupkan kembali cerita-cerita dongeng dan sebagai hiburan untuk penduduk setempat.
Tidak seperti perarakan lain, acara itu tiada kena mengena dengan apa jua etnik, agama atau keuntungan komersial.
Acara tersebut menjadi perarakan seni paling besar di Amerika Syarikat yang menampilkan lebih 1,500 orang peserta dari seluruh negara Uncle Sam itu.

Tradisi beli-belah di Pasar Payang

Posted: 24 Jun 2013 05:43 AM PDT




BUAH-BUAHAN tempatan khususnya pisang memenuhi kaki lima kawasan di luar pasar usang itu. Turut kelihatan kelapa dan ubi keledek yang masih segar. Para peniaga yang kebanyakannya sudah mencecah umur 60 tahun ke atas masih lantang memanggil orang yang lalu-lalang di depan mereka.
"Buah ini mak cik bawa dari rumah sendiri," kongsi seorang peniaga wanita di kaki lima itu ketika ditanya seorang pembeli.
Beralaskan guni plastik, barangan jualan peniaga di kawasan luar Pasar Besar Kedai Payang itu dapat diperoleh pada awal pagi. Penjual-penjual pula duduk bersimpuh di atas lantai pasar tanpa peduli basah atau panas, mereka selesa dalam keadaan demikian sejak berpuluh tahun lamanya.
Mungkin keindahan Pasar Payang di Kuala Terengganu itu terletak pada pemandangan klasik tersebut. Tiada kemodenan selari melatari segenap inci kompleks pasar dua tingkat itu. Segalanya tampak asli dan sifat itu menjadi tarikan paling berharga kepada pelancong asing.
Memasuki ruangan dalaman pasar kebanggaan negeri Darul Iman itu, suasana hingar-bingar terus menjemput tetamu. Proses jual beli berjalan dalam suasana muhibah. Paling penting, peniaga masih mengekalkan dialek negeri sekali gus mencerminkan ketinggian budi rakyat Terengganu.
Pelbagai barangan harian seperti sayur-sayuran, ikan, ayam, keropok malah kain batik dapat dibeli di Pasar Payang. Bukan sahaja barangan di sini asli kualitinya malah harga yang ditawarkan juga jauh lebih murah berbanding pasar raya moden.
Di mana anda boleh mendapatkan salad berharga RM2? Zon sayur-sayuran pasar tersebut juga bakal menemukan anda kepada variasi sayur kampung yang segar. Pucuk asam gelugur dan serai kayu dijual pada harga RM1 secekak.
"Ulam pun banyak di sini seperti pegaga dan ulam raja. Saya ambil daripada pembekal dan selalunya pukul 2 petang semuanya habis dijual," ujar Jaharah Besar, 58, peniaga sayur yang telah 20 tahun berniaga di Pasar Payang.
Kehijauan sayuran di kedai kecil Jaharah dapat dilihat jelas dengan limpahan cahaya mentari yang masuk terus dari lubang yang terbentuk di atas bumbung bangunan pasar itu, menandakan keuzuran binaan bangunan pasar tersebut.
"Kalau hujan, memang air masuk terus tapi saya tak bimbang sebab sayur-sayur ini suka basah. Namun kalau pasar ini dimodenkan, saya tidak menolak kerana baharu itu lebih bagus," tambah Jaharah yang menyewa tapak perniagaan itu dengan membayar RM1 setiap hari.

BECA masih menjadi pengangkutan berguna penduduk tempatan untuk ke Pasar Payang.


Pelancong jatuh
Meneroka zon basah Pasar Payang, pandangan pasti terpana kepada keindahan Laut China Selatan yang membelakangi pasar tersebut. Bot-bot nelayan dengan hasil tangkapan singgah terus ke jeti kecil yang bersambung dengan pasar basah di situ.
Ikan tempatan pelbagai jenis seperti ikan air itam dan kerapu diserahkan terus kepada peniaga tanpa melibatkan orang tengah. Atas sebab itu, kesegaran hasil laut di Pasar Payang tiada tolok bandingnya dan menjadi pilihan utama penduduk setempat.
Bagaimanapun kedaifan pasar basah itu sangat ketara. Lantai simen yang basah membuatkan pengunjung berjalan dengan berhati-hati, bimbang permukaan licin mendorong mereka jatuh.
"Dua kali saya melihat pelancong asing jatuh sebab lantai licin. Saya dan peniaga pasar basah di sini akui kebersihan memang menjadi masalah. Jika dibandingkan dengan pasar di Chabang Tiga, pasar kami paling selekeh.
"Lantai pasar ini tidak pernah digantikan dengan mozek malah saluran air juga tidak diperbaiki. Kami semua tidak menolak sebarang perubahan dan sangat menyokong pembaharuan menaik taraf keadaan pasar.
"Namun untuk berpindah ke Chabang Tiga itu agak berat," luah Mahadi Ibrahim, 44, yang merupakan generasi ketiga keluarganya yang berniaga di Pasar Payang.
Tidak lama lagi, pasar basah di Pasar Payang akan dipisahkan dan ditempatkan di Chabang Tiga. Cadangan itu dilaksanakan sejajar hasrat kerajaan negeri membina kompleks bersepadu melibatkan pasar baharu empat tingkat, hotel dan pangsapuri di atas tapak asal Pasar Payang.
"Hampir 99 peratus peniaga di sini tidak setuju dengan perpindahan itu kerana lokasi sekarang sangat strategik memandangkan kedudukannya yang berhampiran laut," tambah Mahadi yang memberitahu kebanyakan hasil laut datangnya dari Pulau Redang dan perairan Besut.
Selain kekayaan pekerti desa yang masih diterapkan peniaga di Pasar Payang, ukhuwah sesama peniaga juga menyentuh hati pengunjung.
Kalau anda berkunjung ke sebuah kedai menjual keropok ikan dan mencari keropok cap tertentu, kedai itu tidak berat hati untuk meminta anda ke kedai sebelah jika mereka tiada barangan itu.
Bagi mereka, keuntungan boleh dicari tetapi sepakat sebuah keluarga di Pasar Payang itu tidak boleh diganti. Nilai itu didedahkan seorang peniaga buah jambu dan keropok lekor, Hayati Mat Zin, 45, ketika ditemui Kosmo! di Pasar Payang baru-baru ini.
Cerita pembangunan semula pasar itu tidak begitu mengusik sensitiviti mereka kerana semuanya bersedia untuk menerima perubahan. Namun berita berkenaan perpecahan pasar basah daripada pasar asal merundung kecewa para peniaga.
"Hidup saya memang di pasar ini daripada kecil. Saya membesar di Pasar Payang sejak jam besar di sebelah pasar ini masih belum dialihkan. Para peniaga di sini pun sudah seperti keluarga sendiri.
"Memang kami tidak mahu berpisah," penuh harapan hasrat Hayati yang merupakan seorang ibu tunggal dan kini bekerja keras bagi membesarkan 10 anaknya.

IKAN yang diperoleh terus dari laut menjadi pilihan kegemaran penduduk setempat.


Keagungan batik
Menaiki tangga ke tingkat dua pasar tersebut, pengunjung bakal bertemu lot-lot kedai menjual barangan kraf tangan dan item signatur Terengganu, batik. Lorong-lorong sempit yang menjadi laluan utama ruangan atas Pasar Payang menyebabkan kelancaran pergerakan sedikit terbatas.
Ruang terhad tingkat dua itu bagaimanapun tidak menyekat keterujaan pengunjung untuk singgah di kedai-kedai yang menjual kain bermotif batik. Sejak sekian lama, Pasar Payang menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara kerana kualiti tinggi batik yang dijual di situ.
"Orang luar ramai membeli batik di sini dan ia menjadi antara promosi terpenting pelancongan di Terengganu. Kami sangat menjaga kualiti batik di sini dan memang ia dihasilkan sendiri secara halus," cerita pekerja di sebuah kedai batik di Pasar Payang, Suriani Bidi, 30.
Barangkali atas faktor perbezaan barangan jualan, hampir semua kedai di tingkat dua Pasar Payang dilengkapi penghawa dingin dan diubah suai tanpa berpandukan keseragaman. Sewa sebulan bernilai RM300 juga dirasakan agak tinggi berbanding lot kedai di tingkat bawah.
Tambah Suriani: "Semua kerja pengubahsuaian kedai dilakukan sendiri peniaga. Kami perlu utamakan keselesaan pelanggan yang datang membeli kain di sini.
"Namun cadangan untuk menambah beberapa bahagian kepada pasar sedia ada kurang dipersetujui peniaga. Bukan kami menolak pembaharuan, malah semua akan gembira jika pasar ini diperbaiki dan dimodenkan."

Survival bot penambang Kuala Terengganu

Posted: 24 Jun 2013 05:42 AM PDT



BOT penambang mampu memendekkan jarak perjalanan dari Seberang Takir ke pusat bandar Kuala Terengganu.



SEAWAL pukul 7.30 pagi, jeti penambang di Seberang Takir, Kuala Terengganu mula dipenuhi penduduk setempat. Ada yang menjinjing bakul untuk ke pasar dan segelintir yang lain pula berpakaian kemas untuk ke tempat kerja.
Kemudahan bot penambang di perkampungan nelayan Seberang Takir ke pusat bandar Kuala Terengganu itu telah lama menjadi pengangkutan tradisional pilihan mereka.
Dengan bayaran RM1 sehala, penumpang dapat tiba ke destinasi dengan lebih pantas berbanding jalan darat.
"Kalau naik bot ini kita boleh sampai ke bandar dalam tempoh kira-kira lima hingga 10 minit. Biasa kalau naik motosikal kita akan tiba dalam masa 15 minit.
"Perjalanan menaiki kereta pula jika dicampur kesesakan lalu lintas boleh mencecah 20 hingga 30 minit," kongsi seorang penumpang, Suriati Mohd. ketika ditemui Kosmo! di jeti bot penambang Taman Shahbandar, Kuala Terengganu.
Selama tiga tahun, Suriati menjadi penumpang harian bot penambang tersebut. Wanita berusia 30 tahun itu menaiki bot dari rumahnya di Seberang Takir ke Taman Shahbandar setiap pagi dan petang untuk ke tempat kerja lamanya di lot kedai baharu yang terletak di belakang Pasar Besar Kedai Payang.
"Dahulu tambangnya hanya 50 sen," tambah Suriati yang dilihat membawa beberapa beg plastik berisi barangan dapur yang dibeli di Pasar Payang.
Selain faktor masa dan penjimatan kos pengangkutan, Suriati juga menggemari suasana yang dirasai ketika berada dalam bot penambang. Kesejukan angin Laut China Selatan yang menyentuh wajah dan tubuh menghadirkan rasa nyaman yang cukup menyegarkan.
Dianggarkan kira-kira 20 buah bot penambang beroperasi setiap hari bermula pukul 6 pagi hingga 7 malam. Namun operasi membawa penumpang bot dari jeti Seberang Takir menuju ke jeti Taman Shahbandar tamat pada pukul 6 petang.

KEDUDUKAN jeti bot penambang terletak bersebelahan jeti utama ke Pulau Redang di Taman Shahbandar.


Anak muda
Saat kaki melangkah masuk ke dalam bot yang boleh memuatkan kira-kira 40 penumpang itu, tumpuan pasti terarah kepada golongan warga emas yang membawa pelbagai barangan harian yang dibeli dari bandar.
Kelibat anak-anak muda pula tidak kelihatan dan jika ada pun, kanak-kanak yang setia menemani ibu bapa atau datuk nenek mereka ke pasar. Timbul persoalan, adakah pengangkutan air itu tidak lagi digemari golongan belia?
Seorang penumpang muda, Mohd. Nasaruddin Mohd. Aziz memberitahu: "Hari ini merupakan kali pertama saya menaiki bot penambang dalam tempoh hampir 20 tahun.
"Kali terakhir saya menaiki bot ini ketika umur tujuh tahun ketika menemani mak cik saya membeli kuih di jeti Seberang Takir.
"Dahulu memang kerap menaiki bot ini sebab kuih yang dijual di Seberang Takir sangat terkenal dengan keenakannya. Lagi pun ketika itu keluarga saya masih menetap di Kampung Tanjung Pantai yang terletak berhampiran dengan jeti Taman Shahbandar.
"Saya dan mak cik menaiki beca atau berjalan kaki dari rumah ke jeti," singkap Mohd. Nasaruddin yang kini menetap di Kampung Bukit Tok Beng, Seberang Takir.
Tambah lelaki berusia 25 tahun itu, orang muda di Kuala Terengganu jarang memilih pengangkutan air tersebut. Jika ada pun penduduk yang tinggal berdekatan dengan jeti Seberang Takir yang tidak memiliki kenderaan.
"Orang sekarang ramai sudah berkereta. Ia lebih mudah dan praktikal untuk membawa barang yang dibeli di bandar," kata Mohd. Nasaruddin.
Bagaimanapun pengalaman menaiki bot penambang itu semula mengundang memori kanak-kanak yang cukup manis untuk dikenang Mohd. Nasaruddin. Baginya, meskipun wujud kenderaan darat, bot penambang masih perlu dikekalkan.
"Sejujurnya saya gembira bot penambang ini masih ada sehingga ke hari ini. Ia perlu diteruskan kerana ia telah sebati dengan imej Pasar Payang yang menjadi sebahagian besar warisan utama Terengganu," tutur Mohd. Nasaruddin.
Selain beroperasi membawa penumpang secara harian, bot di jeti penambang itu juga sedia untuk disewa bagi tujuan bersiar-siar menyusuri Sungai Terengganu. Caj bagi khidmat itu ditetapkan pada harga RM40 bagi tempoh satu jam.
Bersebelahan jeti penambang Taman Shahbandar itu pula terletaknya jeti bagi membawa orang ramai ke destinasi percutian terkenal Terengganu, Pulau Redang.

Dilema badak Afrika di hutan China

Posted: 24 Jun 2013 05:41 AM PDT



RAMAI aktivis berpendapat badak Afrika tidak mampu hidup di hutan China tanpa penjagaan dan pemakanan yang rapi.


DI dalam hutan hujan tropika China, tujuh ekor badak Afrika dikatakan menunggu waktu untuk dilepaskan ke hutan. Bagaimanapun, perkembangan perdagangan sumbu badak di negara itu menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan haiwan tersebut.
Ketibaan haiwan-haiwan itu di Taman Hutan Negara Pu'er yang terletak di wilayah Yunan, barat daya China turut diberikan publisiti meluas. Imej badak Afrika tersebut yang diturunkan dari dalam kandang menggunakan kren ditayangkan di kaca televisyen.
Tetapi pengkritik mengatakan lebih 150 ekor badak Afrika yang telah dibawa ke China sejak beberapa tahun lalu bakal melalui kehidupan sukar di dalam persekitaran hutan tersebut. Situasi itu secara tidak langsung menimbulkan keraguan terhadap tujuan sebenar projek berkenaan.
"Badak-badak itu tidak boleh dilihat oleh orang ramai. Anda juga tidak boleh melawatnya," kata penjaga haiwan, Qian Fuchun kepada AFP.
Majikannya, Kumpulan Mekong telah mengubah hutan yang masih tidak terusik dengan keluasan 23,800 hektar itu menjadi rumah kepada ratusan spesies burung dan cicak yang jarang ditemui kepada destinasi pelancongan.
Di Afrika Selatan, pengunjung yang datang ke taman negara biasanya tidak dibenarkan keluar dari kenderaan dan mereka harus ditemani renjer bersenjata.
Namun, lakaran di dinding pejabat Qian menunjukkan pelawat bersiar-siar dengan bebas di kawasan badak kelabu yang tertera papan tanda bertulis zon melihat badak di sebatang pokok.
Selain itu, krew AFP turut melihat para pekerja mengukir jalan merentasi hutan untuk membina lokasi rumah percutian keluarga.
"Kami harap badak-badak ini boleh membiak di sini. Itu matlamat utama kami. Kami akan bertanggungjawab melepaskan kawanan haiwan itu ke hutan. Projek ini adalah mengenai penyelidikan saitifik," jelas Qian.
Skim ini dibuat kerana berlakunya peningkatan pemburuan badak putih Afrika. Permintaan sumbu badak yang tinggi bagi tujuan perubatan tradisional di Asia Tenggara dan China menyebabkan haiwan tersebut dibunuh secara meluas walaupun Beijing mengharamkan penggunaannya pada tahun 1993.
Menurut laporan harga terbaharu di Vietnam, pasaran utama untuk sumbu badak menjadikan serbuknya lebih mahal daripada emas.
Badak putih diklasifikasi sebagai spesies hampir terancam dengan populasi yang tinggal kira-kira 20,000 di hutan, namun kerajaan Afrika Selatan mengatakan pemburuan meningkat daripada 13 haiwan pada 2007 kepada 668 tahun lalu.

KUMPULAN Mekong mendakwa badak Afrika dibawa ke China untuk tujuan penyelidikan.


Penternakan komersial badak
Badak Asia yang dimiliki China, spesies berbeza telah diburu sehingga pupus sekitar seabad yang lalu.
Menurut data daripada Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam (CITES) yang mengawal perniagaan hidupan liar global, China mengimport lebih daripada 150 badak putih dari Afrika Selatan sejak 2007 hingga 2012.
Eksport badak hidup untuk ke destinasi yang sesuai dibenarkan di bawah CITES, namun rahsia mengenai projek China mengundang kerisauan.
Menurut laporan akhbar China-Daily, badak di Yunan berusia antara enam dan lapan tahun. Ia diimport dari Afrika Selatan pada 2010 dan dipelihara di taman hidupan liar di bandar itu sehingga dipindahkan ke hutan.
Sementara itu, pakar badak di kumpulan pemuliharaan haiwan Traffic, Tom Milliken memberitahu, hutan di China amat tidak sesuai untuk haiwan tersebut.
"Haiwan-haiwan ini tidak akan mampu hidup lama di hutan hujan. Kita perlu mengambil berat tentang nutrisi dan keupayaan kumpulan badak tersebut untuk menghadapi perubahan habitat sedemikian.
"Jika kita tidak menyediakan makanan tambahan, ia mungkin kelaparan. Ini bukan satu pemuliharaan," luah Milliken.
Kebimbangan Milliken kemudian telah disuarakan pakar-pakar China.
Profesor Ekologi di Universiti Normal Beijing, Zhang Li memberitahu media tempatan: "Ini adalah satu projek penternakan badak yang beroperasi secara komersial dan bukannya usaha akademik."
Kumpulan Mekong bagaimanapun tidak mahu memberi sebarang komen kepada AFP sejak beberapa minggu lalu. Dalam pada itu, pihak berkuasa wilayah berkata, taman itu telah dibina dengan kebenaran dan enggan mengulas lanjut.

Selebriti bantu lariskan produk

Posted: 24 Jun 2013 05:40 AM PDT



GOLONGAN selebriti sering mendapat perhatian kerana mereka sentiasa tampil anggun dan mempesona. Justeru, bukanlah sesuatu yang menghairankan jika mereka acapkali dilantik sebagai duta produk kecantikan, kesihatan atau fesyen.
Kelibat selebriti dalam iklan media cetak atau elektronik mampu menarik perhatian masyarakat mendekati produk atau jenama masing-masing.
Tidak kira dunia seni antarabangsa mahupun tempatan, golongan selebriti mudah menjana sumber kewangan melalui kontrak yang diikat bersama syarikat tertentu.
Kontrak-kontrak itu pasti memberi pulangan lumayan kepada mereka. Baru-baru ini, penyanyi lagu Single Ladies, Beyonce Knowles mendapat kontrak bernilai AS$50 juta (RM157 juta) untuk menjadi duta produk syarikat minuman Pepsi.
Walaupun jumlah itu sangat mustahil untuk digapai selebriti tempatan, namun ia membuktikan betapa besar pengaruh seorang selebriti dalam dunia perniagaan.
Sebelum ini, Pepsi pernah bekerjasama dengan beberapa selebriti antarabangsa seperti Britney Spears, Michael Jackson, David Beckham dan Kanye West.
Baru tiga tahun menceburi dunia hiburan, pelakon Izara Aishah sudah dilamar sebagai jurucakap produk minuman kesihatan dan kecantikan, Innershine.
Dia mula dikenali beberapa tahun lalu iaitu menerusi drama Vanilla Coklat .
Model jelita
Selaku duta produk telah meletakkan nama aktres muda itu sebaris dengan nama-nama besar yang pernah menyandang gelaran sama termasuklah penyanyi Camelia, Maya Karin dan Ziana Zain.
"Walaupun menggantikan tempat Maya, saya langsung tidak beranggapan mempunyai taraf yang sama dengan pelakon senior itu kerana masih terlalu hijau dalam industri ini," ujarnya pada majlis pelancaran baru-baru ini.
Dia bakal menghiasi kempen-kempen iklan dan sesi promosi di seluruh negara. Izara berkata, Innershine banyak membantunya untuk kekal segar ketika berada di lokasi penggambaran. Ia juga membuatkan wajah berseri melalui minuman secara konsisten.
"Kandungannya kaya dengan serat pemakanan serta Vitamin C amat sesuai untuk wanita yang sentiasa bergerak aktif memandangkan ia bukan sahaja menyerikan wajah tetapi memelihara dalaman kulit agar bersih," kata Izara.
KECANTIKAN Maya mudah memikat syarikat kecantikan dan kesihatan antarabangsa untuk menjadi duta mereka.


Pemilihan Izara bertepatan dengan konsep Innershine Pati Prun dengan camu camu kerana model jelita itu membawa imej seorang wanita moden yang mementingkan kulit lembut, berseri dan semula jadi seiring dengan impian serta objektif Innershine.
"Izara sememangnya sesuai menjadi duta Innershine kerana mempunyai kecantikan asli dan keyakinan diri sekali gus mampu menguatkan imej produk kami," ujar Naib Presiden dan Pengurus Besar Cerebos (M) Sdn. Bhd., Koh Joo Siang.
Tambah Joo Siang, Izara mewakili wanita muda hari ini yang giat berusaha demi mencapai matlamat hidup sendiri dan mampu menguruskan kehidupannya dengan baik.
Jualan meningkat
Dalam pada itu walau sudah tidak bersama Innershine, khidmat Maya sebagai duta produk ternyata sangat meriah.
Syarikat yang mengeluarkan tilam yang menyokong kesihatan tulang iaitu Vono antara yang meletakkan kepercayaan kepada Maya sebagai jurucakap produk itu.
Kontrak pelakon Pisau Cukur itu disambung setahun lagi selepas bekerjasama sejak tahun 2010.
Maya mengakui amat selektif dalam memilih produk yang ingin menjadikannya sebagai duta namun selepas yakin dengan jenama itu, Maya tidak ragu-ragu untuk meneruskan kontrak.
"Saya akan terus bekerjasama bersama produk yang berkualiti dan memberi manfaat kepada masyarakat. Ia sesuatu yang baik apabila dapat memperkenalkan jenama yang bagus selain harga yang berpatutan kepada pengguna," ujarnya.
Tidak dinafikan kelibat Maya berjaya menarik perhatian masyarakat apabila penjualan tilam Vono meningkat sejak dia menjadi duta produk tersebut.
"Maya membantu Vono menjadi jenama kegemaran di Malaysia. Kami yakin melalui penyambungan kontrak ini, dia akan menarik lebih ramai pengguna di Malaysia," ujar Presiden Perniagaan Rantau Slumberland, Wong Wai Hong.
Tambahnya, selama empat tahun Maya menjadi duta Vono, hasil penjualan meningkat sebanyak 15 peratus.
Ia menunjukkan pengguna yakin dengan jenama itu sebagai refleksi kepada imej bersih Maya sepanjang berada dalam industri hiburan tempatan dan antarabangsa.
Keanggunan dan kewibawaan Maya juga pernah menghiasi beberapa jenama dan produk lain seperti Loreal, Pantene, Celcom dan Tag Heuer.

Menulis untuk kepuasan diri

Posted: 24 Jun 2013 05:38 AM PDT

SIAPA sangka, anak muda yang pada awal persekolahannya kurang gemar subjek Bahasa Melayu tetapi akhirnya berjaya menjadi seorang penulis novel.


SEBAGAI anak kepada guru Matematik, kecenderungan Muhammad Hamimi Hapipudin terhadap subjek tersebut begitu menyerlah. Sebaliknya, bagi subjek Bahasa Melayu (BM) dia agak lemah kerana kurang berminat untuk menguasainya.
Bagaimanapun, pada usia 12 tahun, dia terjebak dengan hobi membaca novel gara-gara melihat ibunya sering meluangkan masa berbuat demikian.
Novel pertama yang dibaca berjudul Untaian Rindu karya Fatinilam Sari berjaya menyuntik minat Muhammad Hamimi untuk meneruskan hobi tersebut.
"Rentetan itu, penguasaan BM saya menjadi bertambah baik. Sejak itu, saya mendapat markah yang baik untuk subjek karangan BM dalam setiap peperiksaan.
"Akhirnya, selepas beberapa tahun membaca puluhan novel pelbagai genre, saya terdorong untuk menghasilkan novel sendiri. Tambahan pula, adik saya, Hariz banyak memberi sokongan terutamanya ketika hasil penulisan saya dikritik.
"Pada masa yang sama, dia turut memberi idea dan pandangan bernas bagi menghasilkan penulisan yang baik," ujar pemilik nama pena Hafimi Huzin itu.
Graduan Diploma Penulisan Kreatif dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Perdana, Shah Alam, Selangor itu memberitahu, novel pertamanya yang bertajuk Satu-Satunya Cinta mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan.
"Untuk manuskrip pertama ini, saya mula selepas menamatkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Namun, tidak lama selepas itu saya berpeluang melanjutkan pengajian di UiTM.
"Kehidupan sebagai mahasiswa yang agak sibuk membuatkan saya terpaksa mengambil masa yang lama untuk menyiapkan novel ini. Apa pun, saya bersyukur kerana cita-cita untuk bergelar penulis novel berjaya dicapai," terang Muhammad Hamimi, 23, yang kini bekerja sebagai guru sementara di Sekolah Kebangsaan Sri Rampai, Kuala Lumpur.
Tambahnya, dia turut berdepan situasi yang mencabar diri iaitu apabila pemacu pena yang menyimpan manuskrip novel tersebut diserang virus dan kesemuanya hilang. Lebih sedih, dia tidak membuat salinan manuskrip itu.
"Akibatnya, saya terpaksa menaip semula bab yang hilang perlahan-lahan. Selain itu, rasa bimbang dan tidak yakin pada diri juga sedikit sebanyak mengganggu kelancaran penulisan novel ini.
"Namun, sebaik melihat muka depan novel ini terpampang di fanpage laman sosial Facebook penerbit, saya terus menangis kerana sebak memikirkan pengorbanan yang telah dilakukan untuk menyiapkannya," luah anak muda yang menjadikan penulis terkenal, Khadijah Hashim, Zuraidah Othman, E-man Sufi, Siti Rosmizah dan Nasz sebagai idolanya untuk berjaya dalam bidang itu.
Genre cinta
Menurut Muhammad Hamimi lagi, dia cenderung memilih genre cinta kerana sudah terbiasa dengannya. Namun ujarnya, jika dilihat genre cinta bukan sahaja memfokuskan cinta antara kekasih bahkan lebih besar lagi.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines