Sabtu, 8 Jun 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Beego, Linda Hashim Bergerlar Suami-Isteri Dengan Sekali Lafaz

Posted: 07 Jun 2013 04:05 PM PDT

Beego dan Linda selamat bergelar suami-isteri.
KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi, Mohd Aszerul Nizam Abdullah atau Beego, 33, sah bergelar suami kepada Norhazlinda Hashim,29, hanya dengan sekali lafaz dalam majlis pernikahan yang diadakan di Masjid Usaimah Bin Zain, Wangsa Maju, di sini, Jumaat malam.
Beego dan Norhazlinda atau Linda, dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Wilayah Persekutuan, Ustaz Mohd Nizam Wahab disaksikan oleh bapa pengantin perempuan, Hashim Yusof pada kira-kira pukul 9.25 malam.
Pihak lelaki membawa tujuh dulang hantaran berupa tepak sirih, sepasang kasut, seutas jam tangan, sebentuk cincin dan wang hantaran kahwin, sepasang jubah, set minyak wangi dan tas tangan.
Sementara itu pihak perempuan membalas dengan sembilan dulang hantaran terdiri daripada seutas jam tangan, sepasang baju polo, sepasang kasut, cermin mata hitam, sebentuk cincin, coklat, buah-buahan, set penjagaan diri dan sirih junjung.
Pengantin perempuan menerima RM300 sebagai mas kahwin dan RM35,000 sebagai wang hantaran.
Beego (kiri) tenang pada majlis akad nikahnya.
Majlis pernikahan kedua-dua mempelai dihadiri kira-kira 200 orang jemputan yang terdiri daripada kaum keluarga rapat pengantin dan wakil media.
Beego menyarungkan cincin ke jari manis isterinya pada upacara membatalkan air sembahyang selepas selesai akad nikah.
"Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar saya rasakan ia seumpama 'perkahwinan pertama' kerana semasa perkahwinan pertama saya dulu saya tidak rasa seperti ini.
"Insya-Allah saya akan menjalankan tanggungjawab sebagai suami dengan baik," kata Beego.
Sementara Linda menzahirkan rasa bersyukur kerana perancangan yang diaturkan berjalan dengan lancar.
"Saya sangat bersyukur dan berjanji akan mempertahankan perkahwinan ini sehingga ke akhir hayat," ujarnya.
Pasangan ini akan berbulan madu di Bali, Indonesia pada 19 Jun ini dan Taiwan pada 1 Julai depan.
Mereka mula menjalinkan hubungan cinta sejak dua tahun lalu dan mengikat tali pertunangan pada 3 November 2012.
Beego sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga bersama Intan Shahira Mohd Shahru pada 28 Disember 2007 dan bercerai pada 16 Mac 2009.
Majlis resepsi kedua-dua mempelai akan diadakan di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dekat sini pada Sabtu malam.

Isteri Izzue Islam Tiada Niat Sorok Usia Sebenar

Posted: 07 Jun 2013 04:04 PM PDT

Awin berkata dia tidak melihat perbezaan usia sebagai masalah kerana apa yang lebih penting mereka saling memahami antara satu sama lain.
PETALING JAYA: Isteri dan pengurus kepada pelakon Izzue Islam iaitu Nurinafilah Waharudin tidak terkilan apabila ada pihak yang mengkritik tindakannya kerana enggan mendedahkan usian sebenar pada hari pernikahan mereka yang berlangsung pada 2 Jun lalu.
Nurinafilah atau lebih mesra dengan sapaan Awin, 31, berkata, dia tidak mempunyai sebarang alasan tertentu kerana bertindak sedemikian dan tidak terkejut apabila pihak media dapat mengetahui usia sebenarnya walaupun dia tidak memberitahu perkara itu.
"Saya tiada sebarang sebab tertentu kenapa ingin menyorokkan usia sebenar saya daripada pengetahuan umum dan saya tidak terkejut apabila pihak media dapat mengetahui usia sebenar saya.
"Ia bukan sesuatu yang ingin saya sorokkan daripada pengetahuan orang lain sebenarnya," jelasnya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat.
Izzue, 23, dan Awin selamat bergelar suami isteri dengan sekali lafaz selepas menyulam cinta selama enam tahun.
Majlis serba sederhana itu telah diadakan di Dewan Shah Alam, Selangor pada Ahad lalu.
Awin turut menolak tanggapan bahawa dia berasa malu dengan perbezaan lapan tahun usianya dengan Izzue sehingga menyebabkan dia enggan mendedahkan umurnya ketika ditanya pihak media pada majlis pernikahannya itu.
Sementara itu, Awin berkata, dia tidak melihat perbezaan itu sebagai masalah kepada hubungan mereka kerana apa yang lebih penting mereka saling memahami antara satu sama lain.
Jelas Awin, walaupun Izzue masih muda tetapi suaminya itu memiliki kualiti yang dimahukannya daripada seorang lelaki iaitu matang, bertanggungjawab dan romantik.
"Usia bukan halangan tetapi yang lebih penting keserasian dan kesefahaman di antara kami yang membuatkan kami selesa bersama.
"Saya tidak kecil hati pun dengan apa yang orang ingin kata kerana paling penting keluarga memberikan restu dan kami serasi bersama," jelasnya.
Sementara itu, Awin berkata, dia dan Izzue masih bercuti dan mengambil peluang ini untuk bertemu dengan sanak-saudara sebelum kembali bertugas pada minggu hadapan.
"Kebetulan cuti sekolah jadi ambil peluang ini untuk bertemu dengan sanak-saudara kedua-dua belah pihak dan Alhamdulillah semuanya berjalan lancar," katanya.

Kontroversi Khalwat Shahrizal Jaszle Tak Jejas 'Iman Nabila'

Posted: 07 Jun 2013 04:04 PM PDT

Shahrizal Jaszle (kiri) bersma Mahmud Ali Basha dalam Iman Nabila
PETALING JAYA: Pengarah drama Iman Nabila iaitu Shuhaimi Lua Abdullah menganggap kontroversi penangkapan khalwat pelakon utama drama tersebut, Shahrizal Jaszle tidak akan menjejaskan rating karya berkenaan yang bakal bersiaran pada Isnin ini.
Shuhaimi berkata, masyarakat sekarang sudah pandai membezakan hal-hal peribadi dan juga perkara lain membabitkan kerja.
"Saya tidak risau tentang rating kerana saya tahu masyarakat dan penonton sekarang sudah cerdik untuk membezakan hal peribadi dan hiburan serta kerja.
"Bagaimanapun kita juga tahu biasanya kontroversi sedikit sebanyak juga akan beri impak sama ada positif ataupun negatif," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Jumaat.
Drama Iman Nabila akan bersiaran menerusi slot Azalea di TV3 bermula 10 Jun ini terbitan Suhan Movies Productions.
Pada 16 Mei lalu Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) telah menahan Shahrizal atas tuduhan khalwat di Apartmen Taman Sri Subang, di sini, pada pukul 3.30 pagi.
Shuhaimi Lua (kanan) bersama Shahrizal.
Penahanan tersebut dilakukan di bawah Seksyen 29(1) A dan B, Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 selepas Bahagian Penguatkuasaan jabatan itu menerima aduan daripada pihak awam berhubung kegiatan berkenaan.
Jika disabitkan kesalahan, pelaku boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Dalam pada itu Shuhaimi berkata, biarpun berita kejadian ditangkap khalwat itu tersebar pada hari pertama penggambaran drama tersebut dilakukan, Shahrizal tidak menunjukkan rasa tertekan dengan permasalahan yang menimpanya.
"Saya puji sikap profesional Shahrizal yang tetap menjalankan tugasnya dengan baik. Dia langsung tidak menunjukkan rasa tertekan di set penggambaran," ujarnya.
Ditanya tentang tindakan terhadap Shahrizal dengan kontroversi tersebut, Shuhaimi berkata pihak stesen televisyen TV3 dan produksi Suhan Movies tidakmengeluarkan apa-apa arahan tentang perkara itu.
"Saya agak bimbang ketika kejadian ini berlaku kalau-kalau pihak TV3 dan Suhan Movies hendak tukar pelakon kerana ia agak mengganggu tumpuan saya kerana bukan senang untuk mendapatkan pelakon pengganti.
"Lagi pula dalam hal ini, Shahrizal belum lagi disahkan bersalah kerana kesnya belum lagi dibicarakan di mahkamah," katanya.
Drama 16 episod ini mengisahkan tentang konflik kekeluargaan dan kasih sayang seorang nenek terhadap cucunya.
Demi harta dan wasiat, nenek tersebut sanggup membeli seorang bayi lelaki bagi mewarisi harta menantunya itu.
Selain Shahrizal, drama ini turut membariskan pelakon-pelakon hebat seperti Faeza Ul Haq, Aida Khaleeda, Kuza, Fazlina Ahmad Daud, Wan (Shades), Mahmud Ali Basha serta pendatang baru Faiz Fadzil dan Zuan Azhar.

'Miang Buluh Keladi Birah' Drama Terbaik Anugerah Tribute P. Ramlee

Posted: 07 Jun 2013 04:01 PM PDT

Badaruddin Azmi
KUALA LUMPUR: Drama arahan Badaruddin Azmi berjudul Miang Buluh Keladi Birah dinobatkan sebagai drama terbaik Anugerah Tribute P. Ramlee yang berlangsung di Panggung Sari Istana Budaya pada malam Jumaat.
Badaruddin atau lebih dikenali sebagai Bade turut membawa pulang trofi Pengarah Terbaik dan membawa pulang RM20,000 berserta trofi bagi kedua-dua kategori tersebut.
Miang Buluh Keladi Birah turut membawa pulang trofi bagi kategori Skrip Terbaik yang dimenangi oleh Marjan Hanani dan membawa pulang hadiah RM5,000 berserta trofi.
Acara pada malam itu turut menganugerahkan dua seniman terkenal iaitu Datuk Aziz Satar dan Allahyarham S. Shamsuddin menerusi anugerah khas iaitu Anugerah Tokoh Lakon Melayu.
Hadiah disampaikan oleh Datuk Mustafa Maarof dan seniwati Zaiton mewakili keluarga S.Shamsuddin untuk menerima trofi berkenaan.
Turut hadir pada acara berkenaan adalah Tan Sri Jins Shamsuddin, Datuk Jamil Sulong, Mariani dan Neng Yatimah.
Sementara itu, bagi kategori Pelakon Wanita dan Lelaki Terbaik dimenangi oleh Sharifah Amani menerusi lakonan mantap mereka dalam drama arahan Erma Fatimah berjudul Selagi Cinta Berzikir.
Sharifah Amani
Kedua-dua mereka berjaya membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM10,000 berserta trofi.
Manakala Mislina Mustafa (Di Manakan Ku Cari Ganti) dan Hanis Kamal Bakar (Miang Buluh Keladi Birah) dinobatkan menerusi kategori Pelakon Pembantu Wanita dan Lelaki Terbaik dan berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 dan trofi.
Sementara itu, pelakon veteran Datuk Ahmad Tarmimi Seregar dipilih sebagai pemenang menerusi kategori Penampilan Istimewa dalam drama (Selagi Cinta Berzikir).
Semua pemenang dipilih menerusi penjurian profesional.
Tribute Anugerah P. Ramlee diterbitkan oleh Radio Televisyen Malaysia dengan kerjasama Suhan Movies dan Kumpulan Utusan.
Majlis turut diserikan dengan persembahan daripada cucu P. Ramlee iaitu Najua P. Ramlee menerusi lagu Darah Muda.
Selain itu penyanyi Misha Omar turut menyampaikan lagu Dimanakan Ku Cari Ganti manakala Musli Ramlee menerusi lagu Getaran Jiwa diiringi petikan piano daripada Syafinaz Selamat.
Antara artis lain yang turut membuat persembahan pada acara itu adalah Sepahtu, One Nation Emcee, Dayang Nurfaizah dan Azlan The Type Writer.
Ia diacarakan oleh Linda Onn dan Terence Das.
Berikut adalah senarai penuh pemenang Augerah Tribute P.Ramlee :
1. Pelakon Pembantu Wanita Terbaik : Mislina Mustafa (Di Manakan Ku Cari Ganti)
2. Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik : Hanis Kamal Bakar (Miang Buluh Keladi Birah)
3. Penampilan Istimewa Terbaik : Datuk Ahmad Tarmimi Seregar (Selagi Cinta Berzikir)
4. Pelakon Lelaki Terbaik : Beto Kusyairi (Selagi Cinta Berzikir)
5. Pelakon Wanita Terbaik : Sharifah Amani (Selagi Cinta Berzikir)
6. Videografi Terbaik : Bob Fitri (Dimanakan Ku Cari Ganti)
7. Skrip Terbaik : Manjan Hanani (Miang Buluh Keladi Birah)
8. Pengarah Terbaik : Badaruddin Azmi (Miang Buluh Keladi Birah)
9. Drama Terbaik : Badaruddin Azmi (Miang Buluh Keladi Birah)

Ashraf Muslim letak jawatan di pusat rawatan Islam

Posted: 07 Jun 2013 03:59 PM PDT


Ashraf Muslim
Pelakon dan pengacara, Ashraf Muslim
PETALING JAYA - Pelakon dan pengamal perubatan Islam Ashraf Muslim dilaporkan telah melepaskan jawatannya sebagai Ketua Pegawai Operasi di Pusat Rawatan Islam Al Hidayah berkuat kuasa 2 Jun lalu.

Perkara itu diumumkan pihak pengurusan pusat rawatan tersebut dalam satu entri di laman web rasmi mereka Rabu lalu.

Dalam entri itu turut menyebut, Ashraf juga tidak lagi bertindak sebagai pengarah Yayasan Al Hidayah dan Mahaad Tahfiz Al Hidayah.

Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah itu dimiliki oleh bapa mertua Ashraf iaitu Lokman Abdul Hamid, 52, dan beroperasi di Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur.

Peletakan jawatan Ashraf diumumkan oleh pusat perubatan Al-Hidayah dalam laman web mereka.

"Kami mengucapkan terima kasih ke atas segala sumbangan dan usaha beliau. Ucapan selamat maju jaya kepada beliau di dalam kerjaya di masa hadapan," kata kenyataan itu.

Ashraf sebelum ini menarik perhatian ramai apabila dikatakan telah ke mahkamah Syariah untuk mengambil borang permohonan berpoligami.

Bagaimanapun Ashraf enggan memberi komen tentang hal tersebut tetapi sebuah akhbar melaporkan seorang wanita bernama Sakinah telah mendedahkan bahawa isteri pelakon tersebut iaitu Noor Dayana Lokman, 26, sudi untuk bermadu.

Ashraf telah bernikah dengan Noor Dayana pada 30 Ogos 2011 di Mekah, Arab Saudi

Lacur diri demi dadah

Posted: 07 Jun 2013 03:54 PM PDT


Lacur diri demi dadah
Janda anak satu (kanan) dan bekas penghuni pusat pemulihan wanita ini yang dipercayai melacurkan diri bagi mendapatkan dadah.
CHUKAI – Kegiatan dua wanita yang menawarkan khidmat seks bagi mendapatkan bekalan dadah terbongkar apabila rumah sewa mereka diserbu polis, dengan salah seorang daripadanya yang berstatus janda dicekup bersama pelanggannya dalam keadaan berbogel.

Ketika serbuan di Flat Kampung Fikri, dekat sini, kira-kira jam 11 pagi kelmarin, janda terbabit yang berusia 28 tahun bersama seorang lelaki berusia 37 tahun dan seorang lagi wanita berusia 20 tahun sedang dalam keadaan khayal.

Dalam serbuan yang dilakukan 10 anggota diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah, Asisten Superintendan Hamzah Awang Dollah dan seorang kakitangan Pejabat Agama Daerah Kemaman itu, polis turut merampas satu tiub dadah daripada janda berkenaan yang mempunyai seorang anak.

Berdasarkan rekod, polis mendapati suspek berusia 20 tahun itu baru sahaja keluar dari pusat pemulihan akhlak wanita di Negeri Sembilan.

Apabila masuk ke sebuah lagi bilik tidur, didapati janda terbabit dan pelanggannya sedang melakukan hubungan terlarang dan dalam kedua-dua bilik tidur itu turut berselerakan alat-alat yang digunakan untuk menghisap dadah.

Dipercayai kedua-dua wanita itu menetapkan syarat mana-mana lelaki yang mahu meniduri mereka perlu memberi dadah sebagai upah.

Ketua Polis Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, selepas ujian air kencing dilakukan didapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis methamphetamine selain kesemuanya mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

"Suspek berusia 28 tahun dan lelaki yang berusia 37 tahun juga dipercayai pengedar dadah serta masing-masing mempunyai dua dan enam rekod kesalahan berkaitan dadah, manakala wanita yang berusia 20 tahun mempunyai tiga rekod lampu termasuk turut memiliki satu waran tangkap kerana tidak hadir perbicaraan kes terdahulu," katanya.

Sehubungan itu, semua mereka disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan janda terbabit turut disiasat di bawah Seksyen 12(2) akta sama kerana memiliki dadah. Kesemua mereka dituduh di mahkamah semalam.

Pasangan itu juga turut diserahkan kepada Pejabat Agama Daerah Kemaman dan akan didakwa mengikut undang-undang syariah kerana bersekedudukan.

Mardiana, Tai buktikan kemantapan

Posted: 07 Jun 2013 03:46 PM PDT


ANA (tengah) giat menjalani latihan bersama Fara Fauzana, Amy Mastura dan Misha Omar di Istana Budaya, Kuala Lumpur.


SEPANJANG menyaksikan sesi latihan teater Nyonya & The Gang, tidak dapat dinafikan kemantapan gandingan lakonan Mardiana Alwi dan Taiyuddin Bakar.
Kedua-dua pelakon lulusan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) itu membuktikan bahawa kebolehan mereka setaraf pelakon lima bintang di Malaysia.
Mereka dipertanggungjawabkan untuk menangani naskhah karya penulis Indonesia, Wisran Hadi yang kaya dengan metafora dan sindiran terhadap sikap masyarakat.
Mardiana dan Taiyuddin atau Tai masing-masing memegang watak Nyonya dan Tuan.
Ternyata, ia sebenarnya bukan suatu tanggungjawab yang mudah buat Mardiana dan Tai yang mula mencipta nama di layar kaca dan perak.
"Watak Tuan iaitu seorang pedagang barangan antik amat mencabar kerana ia melibatkan dialog yang panjang dan saling 'sambut menyambut' dengan watak Nyonya.
"Dalam hal ini, kami perlu sentiasa bersedia dari segi mental dan fizikal akibat kata bual yang mempunyai maksud tersirat," kata Tai yang memiliki pengalaman luas dalam bidang teater.
Gandingannya bersama Mardiana diibaratkan sebagai peluang keemasan memandangkan mereka dilahirkan dari institusi pendidikan yang sama.
Penglibatan Tai dalam teater memperlihatkan kebolehannya sebagai pelakon versatil.
Ia terbukti melalui teater Gerimis Mengundang, 3 Maulana, Opera Ayu Cendana, Wajah Lumpur, Malam Jahanam, Awal dan Mira, Selamat Jalan Anak Kafir, Sirah Junjungan, Sri Mersing, Semerah Padi, Interview, Trem Bernama Desire, Tanda dan ShortEye.
"Bagi saya, watak Tuan mudah dilihat daripada pandangan mata kasar. Namun jika kita menganalisa secara terperinci, ada banyak perkara yang boleh dicungkil dan dipersembahkan kepada penonton.
"Contohnya, Tuan bukan sahaja seorang pedagang barangan antik, malah dia seumpama 'memperdagangkan sesuatu' seperti mencari cinta baharu dan tipu muslihat," tambahnya yang pernah muncul antaranya menerusi filem Mukhsin, Sini Ada Hantu, Pungguk Rindukan Bulan dan Hantu Bonceng.
Sementara itu, bagi Mardiana, 25, cabaran paling hebat yang perlu dihadapinya sudah tentu untuk merealisasikan watak Nyonya itu dalam acuannya yang tersendiri.
ANA dan Tai digandingkan dalam teater Nyonya & The Gang yang bakal dipentaskan dari 14 hingga 20 Jun ini di Istana Budaya.


Lakonannya pasti dibandingkan dengan pelakon lain yang pernah membawakan karakter yang sama.
Watak Nyonya sebelum ini pernah dilakonkan oleh Juhara Ayob, Tania Zainal dan Sherry Abdullah ketika dipentaskan masing-masing pada 2004, 2007 dan 2011.
"Setiap pelakon pentas mempunyai kemahiran dan trick mereka yang tersendiri yang mana hal-hal ini menjadi bahan bantu bagi memberikan persembahan terbaik. Sejak awal, saya telah memilih cara dan teknik tersendiri bagi memperlihatkan kelainan lakonan saya ketika bergandingan dengan Tai," ujar pelakon yang pernah muncul dalam teater seperti Sri Mersing, Bukan Dejavu, Bangsawan Tun Fatimah, Bangsawan Malim Deman dan Teater Tyickoouns ini.
Pelakon yang berasal dari Johor itu berjanji akan membawa penonton mengenali siapakah sebenarnya Nyonya yang terpaksa berhadapan dengan godaan Tuan dan serangan jahat anak- anak saudara suaminya yang gilakan harta pusaka.
Baginya, penonton tidak seharusnya melihat 'selapis' sahaja cerita Nyonya, sebaliknya perlu membuka hati dan pemikiran mereka terhadap banyak perkara yang cuba dibawakan menerusi nukilan skrip pementasan tersebut.
Nyonya & The Gang arahan bersama Rosminah Mohd. Tahir dan Siti Rohayah Attan turut menampilkan pelakon Mi- sha Omar (sebagai Keponakan Cantik), Amy Mastura (Keponakan Anggun), Fara Fauzana (Keponakan Beautiful) dan Kiah Propa (Isteri).
Turut ditampilkan ialah Syed Atiq Wan Long dan Muhd. Maaruf Zamani Lim dari kumpulan Kelawak yang lahir dari program Bintang Mencari Bintang.
Tidak ketinggalan Mohamad Md. Noor, Nazurah Hanoom Hanafie, kumpulan Don Dang Crew, Zeppo Younsterz Crew dan Secrets Crew.
Penyanyi terkenal, Anuar Zain pula akan membuat penampilan khas dalam teater ini pada 19 dan 20 Jun nanti.
Teater ini diterbitkan oleh CTRA Production dengan kerjasama akhbar Kosmo!, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara dan Jatimas.
Tiket boleh didapati di kaunter tiket Istana Budaya atau hubungi 03-6186 6592/017-2004 249/017-8716 060.

Raja Azmi bidas fitnah Adam

Posted: 07 Jun 2013 03:45 PM PDT


RAJA AZMI (tiga dari kiri) menampilkan beberapa individu lain yang mendakwa turut menjadi mangsa penipuan Adam Davin. (Dari kiri) Siti Najihah Nasir, Myra Zafia, Saodah Othman dan Atie Zieya.


PENERBIT filem yang sering dihimpit isu sensasi, Raja Azmi Raja Sulaiman, 53, tidak kisah jika masyarakat menggelarkan dirinya diva kontroversi.
Menurutnya, dugaan sering sahaja hadir dalam dirinya. Terbaharu, penerbit filem Anu...Dalam Botol itu difitnah oleh seorang lelaki bernama Adam Davin.
Pada minggu lalu, Adam, 25, yang sepatutnya menaja dan membintangi filem terbaharu Raja Azmi berjudul, Anak Ikan telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis, Ampang Jaya, Selangor.
Dia mendakwa dirinya menjadi mangsa fitnah Raja Azmi!
Menerusi laporan polis tersebut, Adam atau nama sebenarnya Davinder Singh Gurchran Singh, menuduh Raja Azmi telah menggunakan media sosial untuk memburuk-burukkan namanya.
Adam mendakwa Raja Azmi telah melabelkan dirinya sebagai penipu, gemar mencuri dan tidak memulangkan baju-baju tajaan yang dipinjam.
Perkara itu dikatakan berlaku selepas Adam menarik diri daripada menaja kos pembikinan Anak Ikan sebanyak RM500,000.
Membidas fitnah yang dilontarkan Adam terhadap dirinya, Raja Azmi tampil mengadakan sidang akhbar di RK Recipe Cafe, Taman Melawati, Kuala Lumpur, kelmarin.
Ia bermatlamat bagi menunjukkan bukti kukuh, selain menampilkan mangsa-mangsa yang dikatakan telah ditipu dan dimanipulasi oleh Adam untuk membersihkan namanya.
Selain itu juga, Raja Azmi tidak mahu lelaki itu menipu lebih ramai orang dengan menjaja namanya.
Ikuti temu bual Kosmo! selanjutnya bersama Raja Azmi atau mesra dipanggil sebagai Kak Mi yang turut bercerita mengenai dirinya yang bakal berkahwin dengan seorang gitaris berstatus duda.
Kosmo!: Bolehkah Kak Mi ceritakan perkara sebenar yang berlaku antara anda dan Adam Davin?
RAJA AZMI: Kak Mi mengenali Adam Davin menerusi laman sosial Instagram. Kemudian, dia memperkenalkan dirinya dan ingin berjumpa dengan Kak Mi bagi berbincang mengenai perniagaan perfileman. Adam beritahu bahawa dia anak pemilik sebuah gedung kain terkemuka dan bapanya berminat untuk bekerjasama menerbitkan filem bersama Kak Mi.
Jadi, adakah Kak Mi bertemu dan bersetuju menerbitkan secara usahasama dengan Adam?
Kak Mi akui bodoh kerana mempercayai Adam tanpa usul periksa. Kak Mi membuat perjumpaan dengannya. Dia lantas memberitahu, bahawa bapanya ingin melaburkan wang sebanyak RM500,000 untuk filem terbaharu Kak Mi berjudul Anak Ikan. Namun, dengan syarat dia (Adam) juga berlakon dalam filem itu. Dia kemudiannya mengatur pertemuan antara Kak Mi dengan bapanya tetapi malangnya pertemuan itu tidak jadi. Selepas empat kali pertemuan yang sepatutnya berlangsung dengan bapanya tidak jadi, Kak Mi mula tidak percayakan dia. Kak Mi selidik dan dapati dia bukan anak pemilik gedung pakaian terkemuka tersebut.
ADAM DAVIN (tengah) dan Raja Azmi pernah beberapa kali berbincang tentang projek filem, Anak Ikan.


Selepas itu, apakah yang terjadi?
Kak Mi mula menjauhkan diri daripada dia walaupun beberapa kali dia menghubungi Kak Mi. Selepas kejadian itu, tak sangka pula dia menggunakan nama dan populariti Kak Mi untuk menipu pengikut-pengikut Kak Mi dalam laman Instagram pula.
Berapa ramaikah individu yang telah ditipu Adam?
Setakat yang Kak Mi tahu sudah 10 orang. Semuanya mengadu kepada Kak Mi selepas ditipu. Itu sebabnya Kak Mi aturkan sidang akhbar pada hari ini (kelmarin) bagi membersihkan nama dan ia juga merupakan tanggungjawab Kak Mi supaya tiada lagi orang yang ditipu oleh Adam.
Apakah perasaan Kak Mi difitnah Adam?
Ini merupakan tamparan paling hebat dalam hidup Kak Mi. Kak Mi menyesal dengan kebodohan diri ini kerana mempercayai dirinya. Sejak dulu lagi, Kak Mi tak pernah minta sesiapa untuk menaja filem Kak Mi. Tetapi apabila ada orang yang datang ingin menawarkan pelaburan dalam filem baharu Kak Mi, kenapa harus Kak Mi tolak?
Apakah pengajaran yang Kak Mi perolehi daripada pengalaman ini?
Sebelum ini Kak Mi tidak pandai mengatakan tidak. Kak Mi mudah terima apa yang orang katakan. Selepas kejadian ini, Kak Mi akan lebih berhati-hati dan perlu lebih pandai mengatakan tidak. Ada hikmah di sebalik dugaan yang Kak Mi hadapi. Namun, ada perkara baharu yang menggembirakan hadir dalam hidup Kak Mi.
Apakah perkara gembira itu?
Kak Mi sudah bertemu dengan seseorang.
Boleh kongsikan lebih lanjut siapakah gerangannya?
Buat masa ini, Kak Mi tidak mahu mendedahkannya kerana takut tidak menjadi. Kak Mi akan buat sidang akhbar perkenalkan dirinya dan umumkan tarikh kahwin.
Ceritalah sedikit mengenai kekasih Kak Mi itu?
Dia merupakan gitaris popular kumpulan yang aktif pada era 1990-an. Dia seorang duda, berambut panjang dan kelakar orangnya.
Apakah pula perkembangan terbaharu filem Anak Ikan?
Filem itu masih diteruskan malah skripnya pun sudah siap cuma Kak Mi akui tidak cukup bajet menerbitkan filem tersebut.
Berapakah jumlah bajet untuk menerbitkan filem tersebut?
Hampir setengah juta. Kalau ada sesiapa yang sudi melabur separuh daripada jumlah tersebut pun Kak Mi sudi.
Bagaimanakah pula dengan pemilihan pelakon untuk filem itu?
Gabungan pelakon baharu dan lama.

Mayat ditemui bawah konkrit

Posted: 07 Jun 2013 03:43 PM PDT

KEADAAN kereta Perodua Kelisa milik mangsa ketika berjaya dikesan pasukan penyelamat.


BAYAN LEPAS - Polis semalam berjaya mengeluarkan mayat seorang lelaki yang tersepit di dalam sebuah kereta yang dihempap timbunan konkrit dalam kejadian runtuhan penyambung susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu dekat Batu Maung malam kelmarin.
Mayat mangsa, Tajuddin Zainal Abidin, 45, ditemui pasukan penyelamat dalam kereta yang dihempap batang besi dan konkrit kira-kira pukul 4.30 petang.
Bagaimanapun, mayat mangsa yang tinggal di Permatang Damar Laut, Bayan Lepas hanya dapat dikeluarkan pada pukul 8.40 malam iaitu selepas 25 jam operasi menyelamat dilakukan.
Tajuddin ditemui dalam keadaan telangkup pada papan pemuka (dashboard) kereta jenis Perodua Kelisa setelah kerja-kerja menyelamat dilakukan sejak malam kelmarin.
Kereta mangsa remuk akibat dihempap beberapa batang besi dan konkrit seberat kira-kira lebih 200 tan manakala tubuh mangsa dikatakan mengalami kecederaan teruk akibat terkena runtuhan tersebut.
Timbalan Ketua Polis Pinang, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, pasukan penyelamat menghadapi kesukaran untuk mengeluarkan mayat mangsa kerana timbunan konkrit tersebut agak besar dan berat.

Culik, tiga dipenjara seumur hidup

Posted: 07 Jun 2013 03:42 PM PDT


DARI kiri, Rudhra, Ramesh dan Roshan ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Klang semalam untuk didakwa menculik seorang CEO pada 23 Mac 2011.


SHAH ALAM - Bekas pramugara syarikat penerbangan tempatan dan dua warga Nepal dihukum penjara seumur hidup oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam selepas disabitkan bersalah menculik Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat keselamatan dengan meminta tebusan berupa 10 kilogram (kg) emas bernilai RM1.44 juta, tiga tahun lalu.
Hakim Datuk Abdul Alim Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap bekas pramugara, C. Rudhra dan dua rakannya, R. Roshan dan T. Ramesh selepas mereka mengaku bersalah terhadap tuduhan tersebut.
Mereka bertiga juga memohon maaf kepada mangsa culik dan keluarga mangsa.
Abdul Alim ketika memutuskan hukuman itu berkata, hukuman yang dijatuhi ke atas tertuduh dikenakan sebagaimana diperuntukkan dalam undang-undang.
"Mahkamah turut berpuas hati tiada kecederaan dialami mangsa, malah wang tebusan yang diminta kesemua tertuduh berjaya dijumpai dan dikembalikan semula kepada keluarga mangsa," kata beliau.

Asrama pelajar tahfiz terbakar

Posted: 07 Jun 2013 03:40 PM PDT


SHAIFUDIN memeriksa keadaan biliknya yang turut musnah dalam kebakaran di asrama pelajar Pusat Pendidikan Islam Al-Irsyad, Batu 10, Jalan Labu, Seremban semalam.


SEREMBAN – Nasib para pelajar tahfiz al-Quran di Pusat Pendidikan Islam Al-Irsyad, Batu 10, Jalan Labu di sini tidak menentu selepas sebahagian blok yang menempatkan asrama pelajar hangus dalam satu kebakaran kelmarin.
Kejadian pada pukul 9.30 malam itu turut menyebabkan bilik pengetua yang terletak bersebelahan asrama, musnah bersama beberapa dokumen penting.
Bagaimanapun ketika kejadian, semua 45 penghuni asrama yang terdiri daripada pelajar lelaki tiada di asrama kerana cuti penggal persekolahan.
Pengetuanya, Shaifudin Maulup berkata, ketika kejadian, beliau menghadiri satu majlis di Tampin sebelum dihubungi isterinya.
"Selepas mendapat panggilan, saya terus pulang dan ketika tiba di sekolah, saya lihat anggota bomba sibuk memadamkan kebakaran.
"Saya sedih sebab banyak buku agama, kitab lama dan dokumen penting musnah, lebih-lebih lagi memikirkan nasib para pelajar yang akan menyambung pelajaran pada minggu depan," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Rasuah RM600, dijel dua tahun

Posted: 07 Jun 2013 03:36 PM PDT

ROSTAM diijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru semalam selepas didapati bersalah menerima rasuah.


JOHOR BAHRU - Seorang anggota polis berpangkat Koperal dihukum penjara dua tahun dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam selepas didapati bersalah menerima suapan berjumlah RM600 pada tahun lepas.
Hakim Mohd. Nasir Nordin turut memerintah tertuduh, Rostam Omar, 45, dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Beliau memutuskan demikian selepas berpuas hati bahawa pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan terhadap kes tertuduh pada akhir perbicaraan.
Rostam yang bertugas di Balai Polis Seri Alam di sini didakwa menerima suapan berjumlah RM600 daripada Yeow Boon Kee berhampiran Pasar Mini 555, Jalan Jelatang, Taman Cahaya Kota Puteri, Masai kira-kira pukul 10 malam pada 12 Mei tahun lepas.

9.2 juta pelajar China ambil ujian kemasukan ke universiti

Posted: 07 Jun 2013 03:35 PM PDT


SEORANG pengawas peperiksaan memeriksa tubuh seorang pelajar dengan menggunakan alat pengesan logam di Jilin, timur laut China semalam.


BEIJING - Sebanyak 9.2 juta pelajar dari seluruh China memenuhi dewan peperiksaan pada hari pertama ujian kemasukan ke universiti tempatan semalam.
Pihak berkuasa peperiksaan melarang para pelajar perempuan dari wilayah timur laut Jilin memakai coli yang mempunyai kancing logam.
Ia dilakukan sebagai usaha untuk mengelak mereka menyembunyikan gajet-gajet yang boleh digunakan untuk mendapatkan jawapan semasa peperiksaan berlangsung.
Pihak berkuasa turut melakukan peperiksaan dengan menggunakan alat pengesan di pintu masuk dewan peperiksaan dengan tujuan mengesan sebarang gajet seperti telefon bimbit yang disembunyikan oleh para pelajar di dalam pakaian mereka.
Sebuah kenderaan bomba turut digunakan untuk membawa para pelajar tersebut ke dewan peperiksaan di sebuah kawasan terpencil di Inner Mongolia, Hulun Buir kelmarin.

Erdogan minta aktivis alam sekitar tidak bersikap ganas

Posted: 07 Jun 2013 03:32 PM PDT


BEBERAPA penunjuk perasaan bersolat di Dataran Taksim, Istanbul semalam.


ISTANBUL - Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan menyatakan semalam bahawa pentadbirannya menentang keganasan tetapi bersedia untuk berbincang dengan mana-mana pihak yang membuat tuntutan menerusi proses demokrasi.
"Apa yang kita tentang ialah keganasan, pengganas, perbuatan laku musnah dan tindakan yang mengancam orang lain demi untuk mencapai kebebasan.
"Saya memiliki hati yang terbuka kepada sesiapa yang membuat tuntutan secara demokratik," kata Erdogan di sini.
Beliau menyatakan demikian bagi mengulas tindakan para aktivis alam sekitar yang menentang rancangan pembangunan semula Taman Gezi untuk dijadikan sebuah berek tentera pada zaman empayar Ottoman dan pusat beli-belah.
Para aktivis itu telah berhimpun di Taman Gezi dan Dataran Taksim di sini sejak 31 Mei lalu dan bertempur dengan anggota-anggota polis pencegah rusuhan.
Menurut beberapa doktor, ribuan orang cedera selepas polis melepaskan tembakan gas pemedih mata dan meriam air ke arah penunjuk perasaan yang membaling batu di serata bandar di Turki.
"Saya mengetahui mengenai alam sekitar. Menjadi aktivis alam sekitar bukan semestinya melakukan perbuatan vandalisme dan membunuh orang," kata Erdogan.
Dalam pada itu di Berlin, Canselor Jerman, Angela Merkel turut mendesak pentadbiran Turki supaya tidak menggunakan kekerasan semasa berdepan para penunjuk perasaan.
Menurutnya, tunjuk perasaan merupakan sebahagian daripada sebuah negara yang mendokong undang-undang.
"Justeru, para penunjuk perasaan perlu dilayan berdasarkan peruntukan undang-undang," katanya.

Akademi keselamatan anjur latihan pengawal peribadi

Posted: 07 Jun 2013 03:30 PM PDT


SEORANG pelatih berjalan di atas tubuh rakan-rakannya di Akademi Keselamatan Genghis di Beijing kelmarin.


BEIJING - Lebih 70 pelatih menyertai latihan khas pengawal peribadi di Akademi Keselamatan Genghis di sini kelmarin.
Latihan selama lebih 20 jam itu turut disertai oleh beberapa pelatih wanita.
Antara latihan yang diadakan itu adalah melibatkan seni mempertahankan diri dan berjalan di atas tubuh para pelatih.

Cegah kecederaan pada peti suara

Posted: 07 Jun 2013 03:28 PM PDT



PERNAHKAH dalam sehari anda tidak menggunakan suara untuk berinteraksi bersama rakan-rakan kecuali atas alasan tertentu seperti anda seorang kelainan upaya? Apakah perasaan anda ketika tekak dijangkiti kuman dan sukar mengeluarkan suara? Situasi ini sangat merumitkan lebih-lebih lagi jika pekerjaan harian seseorang itu ialah penyanyi, ahli politik atau guru sekolah.
Ringkasnya, suara cukup penting dalam kehidupan seharian. Ia merupakan salah satu medium interaksi utama dengan orang sekeliling. Namun, tanpa kita sedari, aktiviti sehari-hari yang dilalui sebenarnya telah menghakis dan memudaratkan suara.
Sewaktu berada di tempat hiburan yang memasang muzik dengan kuat atau bunyi bernada tinggi, kita sedaya upaya akan menjerit ketika bercakap bersama teman-teman. Begitu juga ketika meluahkan rasa marah, tanpa semena-mena vokal bertukar kasar dan suara menjadi keras.
Situasi begini sebenarnya mencederakan peti suara yang mengambil masa untuk kembali pulih seperti biasa.
Disebabkan itu, penjagaan dan rawatan suara perlu difahami bagi mengelakkan kita kehilangan nikmat bersuara secara bebas.
Disebabkan selalu mengikuti pertandingan dan mengadakan persembahan nyanyian sejak berusia 10 tahun, Siti Mariyah Salmah Johari, 22, mula mengambil inisiatif untuk memelihara suaranya dalam jangka masa panjang.
"Dahulu saya hanya menyanyi tanpa sebarang teknik atau mempelajari sebarang cara pernafasan dengan betul. Kadangkala, suara saya akan mengalami gangguan seperti serak dan tekak menjadi sakit akibat penggunaan vokal secara terus-menerus.
"Ketika itu, saya tidak mempedulikan situasi tersebut kerana percaya ia adalah sesuatu yang normal. Bagaimanapun, selepas mempelajari cara penjagaan suara yang betul, sakit tekak atau serak itu boleh dielakkan.
"Ia boleh dikurangkan melalui pernafasan dan penggunaan vokal dengan betul," ujar Mariyah ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Penjagaan suara
Perubahan besar dari segi penghasilan suara dan penggunaan nafas mula dirasainya apabila belajar secara formal di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).
Segala teknik yang digunakannya selama ini tidak betul dan boleh mengakibatkan kecederaan.
"Baru saya tahu terdapat banyak cara yang boleh diamalkan bagi mengelakkan berlakunya kecederaan pada peti suara," ujar pelajar Diploma Muzik di Aswara itu lagi.
Salah satu petua yang sering dilakukan oleh Mariyah adalah dengan meneguk segelas air selepas menyanyi. Ia penting terutama sekali ketika mengadakan persembahan besar yang menuntut penggunaan suara pada tahap optimum.
"Air sangat penting kepada seseorang yang kerap menggunakan suara seperti penyanyi. Ia boleh melegakan urat-urat kerana tekak yang kering lebih mudah untuk mengakibatkan kecederaan," ujarnya yang berasal dari Cheras, Selangor.
TEKNIK penjagaan suara yang betul amat penting untuk seorang penyanyi. - Gambar hiasan


Penjagaan vokal tidak terhad kepada golongan penyanyi sahaja kerana ia juga bermanfaat kepada mereka yang banyak menggunakan vokal seperti guru, pengacara, penceramah, pembaca berita atau bilal masjid.
Malah, menurut Ketua Jabatan Seni Suara Aswara, Profesor Siti Chairani Proehoeman, pembelajaran teknik suara juga perlu kepada ibu bapa yang mempunyai anak-anak kecil.
"Mungkin mereka tidak perlu belajar secara formal, cukup perkara-perkara asas sahaja. Sebagai contoh teknik pernafasan, penegasan suara dan pemilihan cara pengeluaran suara yang betul," ujarnya sewaktu ditemui pada sambutan Hari Suara Sedunia di Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kuala Lumpur baru-baru ini.
Pembelajaran secara formal mengambil masa selama empat hingga lima tahun untuk menguasai teknik-teknik vokal yang betul.
Katanya, penjagaan suara perlu dilakukan sejak muda lagi terutamanya bagi golongan penyanyi kerana teknik yang salah akan memendekkan 'jangka hayat' mereka dalam bidang seni suara.
"Suara yang sakit atau serak jangan dipaksa untuk bekerja kerana kesannya akan memudaratkan dalam tempoh masa yang lama. Kalau mereka mahu serius sebagai seorang penyanyi, ambil kursus atau kelas vokal dan belajar secara formal," jelas vokalis tersohor yang berasal dari Jakarta, Indonesia itu.
Sebagai contoh dakwaan mengenai tabiat merokok kononnya boleh membuka rongga pernafasan untuk keselesaan menyanyi adalah tidak benar sama sekali. Malah tegas Siti Chairani, ia boleh mendatangkan masalah kepada penyanyi kerana merokok mengakibatkan nafas akibat gangguan pada paru-paru.
"Malah kalau dilihat kebanyakan penyanyi profesional opera klasik, mereka kurang berbicara dan bercakap jika perlu sahaja.
"Semua ini dilakukan untuk memelihara suara dalam jangka masa yang lama," tambahnya.
Nama Siti Chairani bukan asing dalam dunia seni vokal klasik. Dia pernah melontarkan suara hebatnya di pentas-pentas agung beberapa buah negara termasuklah Itali, Jerman, Perancis dan Amerika Syarikat. Malah dua figura terkenal iaitu Ning Baizura dan Syafinaz merupakan anak didik kepada Siti Chairani.
Kesedaran masyarakat tempatan masih lagi belum meluas dalam hal penjagaan dan penggunaan suara dengan betul. Kebanyakan daripada kita mengambil remeh perkara tersebut dengan sewenang-wenangnya memaksa ia keluar sehingga pada tahap optimum.
Perkara itu menjadi satu kebimbangan kepada Penyelaras Program Sains Pertuturan UKM, Prof. Madya Kartini Ahmad yang mengatakan kita seakan-akan mendera suara dengan menjerit atau bercakap dalam tempoh lama tanpa henti.

LATIHAN vokal perlu diamalkan tanpa mengira bidang pekerjaan kerana ia memberi manfaat kepada suara dalam jangka masa yang panjang.


Masalah-masalah suara
Peti suara merupakan sepasang otot kecil sebesar ibu jari. Ia perlu dijaga dengan baik agar tidak mengakibatkan kecederaan. Jika otot itu terus diabaikan, ia boleh mengakibatkan seseorang itu menghidap kanser tekak," ujarnya ketika ditemui di pejabatnya di Fakulti Sains Kesihatan UKM baru-baru ini.
Proses pengeluaran suara berlaku apabila bunyi yang terhasil daripada getaran di peti suara disebabkan oleh hembusan udara yang melalui bahagian larinks. Ia menyebabkan kedua-dua peti suara saling berdekatan antara satu sama lain.
Masalah-masalah pada suara berlaku apabila seseorang itu mengalami perubahan ketika bercakap. Simptom-simptom itu boleh diketahui dengan jelas sekiranya suara bertukar garau, kasar atau parau. Mereka yang mengalami situasi begini mula merasai perbezaan pada nada suara, kehilangan suara dan rasa sakit untuk menelan. Lebih serius lagi, tekak akan mengeluarkan mukus berserta gumpulan darah.
"Situasi sebegini boleh dielakkan apabila kita tahu sejauh mana tahap kemampuan suara. Penjagaan suara bukan bermakna kita tidak boleh menggunakan vokal tinggi tetapi kita harus jelas mengapa perlu melakukannya? Adakah terdapat alternatif selain menjerit atau meninggikan suara ketika menegur anak-anak?
"Jika boleh, cari alat bantu seperti mikrofon jika anda sedang memberi ucapan atau ceramah dalam sebuah dewan besar. Ia dapat membantu menjaga suara daripada terseksa akibat aplikasi yang salah," jelas Kartini.
Penjagaan suara juga sama penting dengan melestari kesihatan tubuh badan.
Senaman untuk suara tidak memerlukan besi-besi berat di gimnasium kerana ia cukup sekadar latihan seperti membaca buku atau surat khabar dengan bersuara atau menyanyi mengikut lagu di corong radio.

SUV yang mendahului kelasnya

Posted: 07 Jun 2013 03:26 PM PDT



PERTUMBUHAN sebanyak 50 peratus dalam pasaran SUV di Malaysia sejak akhir-akhir ini membuatkan para pemain industri automotif tempatan begitu agresif dalam memperkenalkan SUV masing-masing.
Perkembangan sihat ini sememangnya memberi manfaat kepada pengguna. Bukan sekadar mewah dengan pilihan, malah pengeluar kenderaan juga perlu memastikan produk mereka benar-benar kompetitif. Jadi, hanya yang terbaik ditawarkan ke pasaran. Terbaik dari segi harga, nilai untuk wang, teknologi, reka bentuk dan sebagainya.
Jadi, kalau anda sedang merancang untuk mendapatkan sebuah SUV, saya ada syor mengenai SUV mana yang perlu diambil perhatian secara serius.
Baru sahaja dilancarkan pada Khamis lalu, SUV daripada Ford ini boleh saya katakan sebagai memiliki pakej yang lengkap.
Ditawarkan pada harga RM159,999 (di atas jalan termasuk insurans) bersama jaminan selama lima tahun dan perbatuan sehingga 200,000 kilometer, ditambah dengan pelbagai ciri yang akan saya perincikan nanti, memang tidak ada sebab kenapa anda sekurang-kurangnya memandu uji Kuga.
Sejak diperkenalkan ke pasaran Eropah pada akhir tahun lalu, Kuga mendapat sambutan yang cukup memberangsangkan. Gelombang populariti Kuga nampaknya diteruskan di semua pasaran yang ditembusinya, tidak terkecuali di Malaysia.
Buktinya, semua 150 unit kumpulan pertama Kuga sudah pun habis dijual. Justeru, tidak hairanlah jika pengedar rasmi kenderaan Ford di Malaysia, Sime Darby AutoConnexion (SDAC) optimis bahawa Kuga akan membantu meneruskan momentum pertumbuhannya yang mencecah sebanyak 109 peratus pada tahun ini.
Harus tahu bahawa Malaysia merupakan negara pertama di rantau Asia Tenggara yang ditawarkan dengan Kuga. Produk daripada program One Ford itu nyata menyerlah menerusi penampilan luaran serta teknologi yang dimilikinya.
Kuga dlihat sebagai SUV ideal buat pengguna urban yang mahukan prestasi dan teknologi. Ini kerana ia menawarkan penjimatan bahan api luar biasa menerusi penggunaan enjin EcoBoost 1.6L dengan teknologi Ti-VCT.
Berupaya menjana kuasa sehingga 180PS dengan tork setinggi 240Nm, enjin yang telah memenangi pelbagai anugerah itu hanya memerlukan bahan api sebanyak 7.7 liter untuk setiap 100 kilometer.
Penjimatan tersebut banyak disumbangkan oleh sistem pengecas turbo dan pancitan terus yang membolehkan penghantaran bahan api lebih tepat.
CBU dari Sepanyol

ANDA pasti kagum dengan keupayaan sistem Ford SYNC yang dikuasakan oleh Microsoft.


Enjin itu kemudian dipadankan dengan kotak gear automatik SelectShift enam kelajuan yang menjanjikan prestasi lancar.
Active Grille Shutter juga meningkatkan penjimatan bahan api dengan cara memaksimumkan kecekapan aerodinamik dan sistem penyejukan enjin.
Kuga menampilkan gayaan luaran kinetik yang menyerlahkan elemen 'tenaga dalam pergerakan'. Ia mula diperlihatkan pada kereta-kereta konsep Ford bagi memaparkan rasa pergerakan yang dinamik, bertenaga dan keterujaan. Garis sisi tinggi, alur yang kemas dan bentuk maskular memberikan Kuga penampilan yang lasak tetapi lembut.
Bagi memastikan pengendalian menerajui kelasnya, jentera yang diimport sepenuhnya dari Valencia, Sepanyol itu dilengkapi sistem pacuan semua roda (AWD) pintar Ford.
Sistem itu berperanan mengukur perbezaan kelajuan di antara roda hadapan dan belakang untuk menentukan pengagihan kuasa tork yang sesuai ketika membelok bagi mengelakkan berlakunya masalah torque steer. Selain mengurangkan olengan tubuh, AWD juga meningkatkan dinamik dan kualiti pengendalian kenderaan.
Gabungan sistem Torque Vectoring Control, Advance Track dengan Roll Stability Control (RSC), Trailer Sway Control, (TSC), Hill Start Assist (HSA) dan Curve Control nyata menjadikan Kuga sebuah SUV pintar yang selamat serta berprestasi tinggi.
Premium insurans rendah
Kuga memperoleh penarafan lima bintang oleh Euro NCAP. Skor itu diperoleh menerusi penggunaan besi regangan ultra tinggi pada stuktur badannya. Bukan itu sahaja, Kuga juga satu-satunya kenderaan dalam segmennya yang menawarkan tujuh beg udara.
Dalam kemalangan yang melibatkan pengaktifan beg udara, Sistem Amaran SOS Pasca Kemalangan akan menghidupkan lampu kecemasan dan membunyikan hon sehinggalah ia dimatikan atau kehabisan bateri.
Ciri kunci berkembar pada Kuga pula berfungsi untuk menutup semua tingkap dan mengunci pintu dari jauh untuk mengelakkan penumpangnya daripada keluar. Jadi, ia boleh menghalang penjenayah yang berjaya masuk ke dalam kenderaan daripada melarikan diri.
Digabungkan dengan sistem penggera Thatcham Category 1 dan pelumpuh enjin (immobilizer), ciri-ciri keselamatan Kuga menawarkan tahap keselamatan yang tinggi dan premium insurans lebih rendah.
Ciri yang paling saya suka pada Kuga ialah pintu belakang (liftgate) yang boleh dibuka dan ditutup dengan hanya menggerakkan kaki di bawah bampar belakang.
Bagaimana ia berfungsi? Alat-alat pengesan akan mengesan kombinasi akses pintar pada kunci di dalam poket, beg atau beg tangan dengan pergerakan kaki dan tulang kering anda bagi mengelakkan bukaan yang tidak disengajakan.

KUGA mendapat sambutan hangat di pasaran Eropah sejak dilancarkan pada tahun lalu.


Anda juga boleh menetapkan ketinggian bukaan pintu tersebut. Ciri itu sememangnya berguna jika terpaksa memakir di tempat yang sempit dan rendah. Sebagai langkah keselamatan, sesiapa yang ingin membuka pintu belakang itu mestilah memegang kunci dengannya. Jika tidak pintu belakang tidak akan terbuka begitu sahaja.
Bahagian dalaman Kuga telah dioptimumkan untuk menawarkan lebih ruang. Tempat duduk dengan konfigurasi 60:40 menyediakan ruang kargo mencecah 1,603 liter.
Demi memberikan keselesaan maksimum, Kuga menggunakan ruang dalaman antialahan yang tidak akan mengeluarkan gentian bawaan udara yang boleh mengganggu deria anda.
Sebagai model global Ford, jentera itu turut menampilkan sistem Ford SYNC yang eksklusif. Ford SYNC adalah sistem pengaktifan suara, hiburan dan komunikasi bebas tangan yang dikuasakan oleh Microsoft.
Sistem tersebut membolehkan pengguna membuat dan menerima panggilan telefon, membaca mesej serta memainkan lagu pilihan dengan mudah. Ford SYNC menyempurnakan lagi sistem audio Sony yang terdiri daripada sembilan pembesar suara berkapasiti tinggi dan satu paparan cecair kristal TFT bersaiz 4.2 inci.
Sama seperti semua kenderaan penumpang Ford yang ada di Malaysia, Kuga turut hadir dengan Pelan Servis Tambahan Ford (ESP), demi memberikan ketenangan jiwa kepada para pelanggan tanpa sebarang penambahan kos.
Ford ESP adalah program penyelenggaraan percuma selama tiga tahun atau 60,000km yang merangkumi kos alat ganti dan buruh. Sebagai tambahan kepada pemeriksaan rutin dan penyelenggaraan, Ford ESP juga melibatkan penggantian barangan yang haus dan lusuh seperti palam pencucuh, penyerap hantakan, tali sawat enjin, pad brek serta penggilap cermin.
Didatangkan dalam beberapa warna pilihan iaitu hijau, hitam, putih dan perak, Kuga sememangnya sebuah SUV yang bernilai untuk wang dan boleh menjadi pencabar utama untuk SUV sedia ada di pasaran.

Rambang mata di kedai jalanan popular

Posted: 07 Jun 2013 03:22 PM PDT



SUASANA lalu lintas di Singapura sentiasa dalam keadaan terkawal walaupun pada waktu puncak. Pemandangan itu merupakan satu pemandangan yang jarang kita lihat di Kuala Lumpur.
Namun, panorama berlainan dapat dilihat ketika melangkah ke Bugis Street yang terletak di tengah-tengah Kota Singa itu. Kemeriahan sinaran cahaya lampu pada waktu malam dan tarikan pelbagai pilihan barang jualan menjadikan kawasan tersebut sebagai tempat tumpuan utama pelancong tempatan dan luar negara.
Pelanggan mula membanjiri Bugis Street seawal pukul 11 pagi hingga 10 malam bagi mendapatkan barangan seperti pakaian, jam tangan, beg dan cenderamata pada harga rendah. Keadaan di Bugis Street tidak ubah seperti deretan kedai yang ada di Jalan Petaling, Kuala Lumpur.
Terdapat kira-kira 800 buah premis beroperasi di pusat beli-belah jalanan terbesar di Singapura itu. Rata-rata perniagaan mereka tertumpu kepada pakaian fesyen terkini buat pengunjung wanita dan cenderamata seperti rantai kunci, magnet peti sejuk, barangan piuter dan baju T.

TUGU Merlion merupakan maskot kebangsaan yang amat sinonim dengan Singapura.


Seorang pelancong, Nor Emila Mohd. Yusof berkata, kunjungannya ke Singapura baru-baru ini turut memasukkan Bugis Street sebagai salah satu destinasi yang perlu dikunjungi kerana ia menawarkan harga barangan jauh lebih rendah berbanding pusat beli-belah lain di Singapura.
"Saya suka berbelanja di sini terutamanya barangan cenderamata kerana ia sangat murah. Para peniaga pula melayan mesra kehendak pelanggan yang tawar-menawar sebelum membeli.
"Kawasan Bugis Street yang terletak di pusat bandar dan berdekatan dengan beberapa pusat beli-belah lain memudahkan pelanggan membuat pilihan atau sekadar mahu melihat-lihat," katanya yang berasal dari Raub, Pahang.
Pembangunan semula
Bugis Street mula terkenal di peringkat antarabangsa pada tahun 1950. Sejak itu ia menjadi salah sebuah destinasi pelancongan utama di Singapura.
Pada pertengahan tahun 1980-an, kawasan tersebut menjalani proses pembangunan semula kerana lokasinya yang strategik di kawasan bandar utama. Pembangunan tersebut melibatkan kerja-kerja naik taraf kepada kompleks beli-belah moden termasuklah premis perniagaan lorong belakang kompleks itu.

MALAY STREET yang terletak di seberang jalan bertentangan Bugis Street turut menjadi tumpuan orang ramai ketika berkunjung ke Singapura.


Perubahan tersebut membantu meningkatkan imej antarabangsa Singapura kerana ia mula diiktiraf di peringkat global.
Kini, Bugis Street berubah kepada struktur bangunan yang lebih kukuh, laluan yang luas walaupun 'terhimpit' di celah kompleks beli-belah berdekatan termasuk Bugis Junction.
Tambah Nor Emila, kunjungan ke Bugis Street tambah menarik kerana ia berdekatan dengan kompleks beli-belah moden, Bugis Junction dan Bugis Village yang terletak bersebelahan.
"Bagi mereka yang tidak suka bersesak-sesak ketika menjamu mata di sini, mereka boleh berjalan kaki ke Malay Street atau Hylem Street yang lebih santai dan redup," katanya.
Jangan banding mata wang
Dalam pada itu, seorang lagi pelancong Malaysia, Muhammad Hafizuddin Mohd. Sanip sempat berkongsi tip untuk berbelanja di Bugis Street.

PANORAMA menarik pada waktu malam yang menjadi tarikan utama pengunjung ke Marina Bay Sands.


Katanya, barang yang dijual di sana dirasakan berbaloi dan murah jika pelancong asing tidak membandingkan harga tersebut dengan mata wang negara sendiri.
"Anda boleh mendapatkan dua helai baju T orang dewasa (bertemakan Singapura) pada harga S$10. Ia sudah cukup murah walaupun nilainya di Malaysia bersamaan dengan RM25.
"Jika anda menganggap S$1 itu sama dengan RM1, perbandingan harga ketika berbelanja akan jadi lebih mudah. Bagaimanapun, jika anda menukarnya mengikut mata wang yang sebenar, kemungkinan besar anda tidak membeli apa-apa di sini," jelasnya ringkas.
Menariknya, pengunjung boleh berjalan kaki ke kawasan Esplanade sejauh 1.6 kilometer dari Bugis Street atau menggunakan transit laju massa (MRT) bawah tanah untuk melihat bangunan ikonik Singapura iaitu Marina Bay Sands Singapore (MBSS).
Tugu singa berbentuk ikan duyung yang dipanggil Merlion juga menjadi kemestian bagi pelancong untuk merakam gambar kenangan kerana bentuknya yang sinonim dengan negara Singa berkenaan.

Daun pisang jadi bahan komposit

Posted: 07 Jun 2013 03:18 PM PDT

DAUN pisang Ammiba Bleaf Eco Wrap juga boleh digunakan untuk membungkus makanan, bahkan lebih selamat daripada pembalut plastik.


PISANG atau nama saintifiknya Musa paradisiaca L adalah tumbuhan yang tergolong dalam keluarga Musaceae. Pisang merupakan buah yang kedua paling digemari penduduk negara ini selepas durian.
Kaya dengan pelbagai khasiat, pisang mampu meningkatkan kesihatan manusia. Difahamkan terdapat kira-kira 20 jenis pisang antaranya pisang tanduk, emas, embun, nipah dan nangka manakala pisang cavendish pula adalah baka tempatan untuk eksport.
Seperti pokok kelapa, pokok pisang juga adalah tumbuhan serba guna apabila setiap bahagiannya mempunyai kegunaan kepada manusia daripada daun hinggalah ke umbut.
Daun pisang misalnya merupakan pembungkus makanan seperti nasi lemak dan juga sebagai alas makanan kerana menghasilkan bau yang harum.
Kebanyakan kuih-muih tradisional juga menggunakan daun pisang sebagai pembalutnya seperti kuih koci dan lepat.
Bagaimanapun, siapa sangka daun pisang yang selama ini sinonim sebagai daun pembungkus menjadi salah satu bahan komposit bagi pelbagai sektor industri termasuk automotif. Ia merupakan hasil kajian inovatif sekumpulan penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.
Inovasi diketuai pensyarah Pusat Pengajian Teknologi Industri, Prof. Madya Baharin Azhari itu berjaya menghasilkan bahan bungkusan menggantikan kertas dan plastik daripada daun pisang dikenali sebagai Ammiba Bleaf Eco Wrap.
Melekatkan daun
Menurut beliau, bahan yang mesra alam dan kalis air itu dihasilkan daripada proses melekatkan helaian daun pisang antara satu sama lain.
Menariknya proses itu menggunakan getah pisang sendiri menerusi satu kaedah khusus.
"Proses ini menggunakan lapisan belakang daun pisang kerana ketahanan bahagian permukaan hadapannya, manakala getahnya pula lebih mudah dikeluarkan daripada bahagian ini.
"Sekeping Ammiba Bleaf Eco Wrap yang dihasilkan daripada dua helai daun pisang ialah lima kali ganda lebih kuat dan tahan daripada kertas pembungkus makanan biasa," ujarnya pada sidang akhbar di universiti itu baru-baru ini.

DARI kiri: Muhammad Iqmal, Baharin, Mazlan dan Adnan menunjukkan daun pisang lasak yang boleh dijadikan kanvas untuk pelbagai kegunaan di USM, Pulau Pinang.


Hadir sama, lima lagi ahli kumpulan penyelidik berkenaan iaitu Prof. Madya Mohamad Omar Bidin, Prof. Madya Fazilah Ariffin, Dr. Mazlan Ibrahim, Adnan Mat dan Muhammad Iqmal Rahimah.
Penyelidikan selama dua tahun itu dibiayai menerusi Geran Jangka Pendek USM berjumlah RM38,000 bagi mencari inisiatif baharu sejajar dengan Dasar Polisi Hijau Negara.
Produk itu juga telah memenangi pingat emas pada Pameran Reka Cipta Inovasi dan Teknologi Antarabangsa ke-24 di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Bebas toksik
Tambah Baharin, kajian pihaknya juga mendapati daun pisang pembungkus itu boleh menggantikan plastik kerana tidak mengandungi bahan kimia dan toksik, lantas selamat diguna selain mudah lerai.
Katanya, sifat mudah guna bahan pembungkus itu juga boleh dimajukan sebagai salah satu bahan komposit dalam pelbagai sektor industri seperti pembinaan, hiasan dalaman, automotif dan kejuruteraan tinggi.
"Ini juga adalah kajian yang pertama seumpamanya di dunia menghasilkan bahan pembungkus daripada daun pisang.
"Inovasi ini sememangnya boleh memberi sumbangan besar kepada industri asas tani negara, manakala nilai pasaran kertas di peringkat global pula mencecah puluhan bilion ringgit," ujarnya.

Pemuliharaan hutan bakau

Posted: 07 Jun 2013 03:17 PM PDT


SEBANYAK 500 anak pokok bakau telah ditanam di Taman Negara Tanjung Piai baru-baru ini.


PEMULIHARAAN alam sekitar memerlukan komitmen yang berterusan. Justeru, Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) telah berganding bahu dengan beberapa agensi kerajaan seperti Jabatan Laut, Jabatan Alam Sekitar, Majlis Daerah Pontian dan Taman Negara Johor bagi membersihkan dan menanam anak-anak pokok bakau di sepanjang pantai Tanjung Piai, Pontian, Johor.
Turut serta Lembaga Pelabuhan Johor, Jabatan Pertahanan Awam Daerah Pontian, Jabatan Hutan, Johor Port Berhad dan Senai Airport Terminal & Services Sdn. Bhd.
Program Pembersihan Pantai dan Penanaman Pokok Bakau Tanjung Piai 2013 itu diadakan baru-baru ini membabitkan penanaman sebanyak 500 anak pokok bakau.
Dalam program itu juga, sebanyak 1,111 kilogram sampah telah berjaya dibersihkan.
Program tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Azlan Shahrim. Turut hadir, Timbalan Pengarah Jabatan Laut, Baharin Abd. Hamid dan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Mokhtar Abdul Majid.
Dalam ucapannya, Azlan berkata, PTP telah lama bergiat aktif dalam pemuliharaan alam sekitar iaitu bermula di Sungai Pulai. Sejumlah 5,000 anak pokok bakau telah ditanam di kawasan tersebut.
Sebelum ini, PTP juga pernah terbabit dalam usaha pembersihan pantai di Tanjung Piai.
"Kami gembira dengan sokongan yang diberikan oleh pelbagai agensi kerajaan dan semua pihak yang terlibat dengan usaha pemuliharaan hutan bakau ini.
"Kawasan hutan bakau memainkan peranan penting dalam menjaga keseimbangan ekosistem dan memerlukan pemantauan berterusan," katanya.
Dalam pada itu, Baharin turut berharap orang ramai mengambil tahu ancaman-ancaman yang sedang dihadapi kawasan hutan bakau dan pantai di negara ini.
"Pokok bakau setinggi 15 meter dapat menukarkan 30 tan karbon dioksida kepada oksigen melalui proses fotosintesis. Oleh itu, saya amat berharap anak-anak pokok yang baru ditanam ini dapat bertahan dan menyumbang kepada alam sekitar," katanya.

Keenakan cita rasa chef tempatan

Posted: 06 Jun 2013 06:01 PM PDT



APABILA disebut kentang, sudah pasti ramai membayangkan keenakan kentang goreng yang sinonim dengan restoran-restoran makanan segera di seluruh negara.
Bagi mereka yang rajin ke dapur pula, kentang merupakan salah satu bahan wajib yang perlu ada untuk dimasak mengikut kesesuaian menu. Di kampung, tanaman daripada keluarga Solanaceae itu biasanya dijadikan bahan tambahan untuk gulai lemak cili padi, masak kari dan sup.
Hakikatnya, kentang kaya dengan sumber nutrisi karbohidrat yang boleh dinikmati seisi keluarga. Menyedari populariti kentang di Malaysia, Lembaga Kentang Amerika Syarikat (USPB) tampil memperkenalkan produk mereka melalui penciptaan resipi enak berasaskan kentang.
Kualiti kentang AS
Pengurus Pemasaran Antarabangsa USPB, Susan Weller berkata, Malaysia terkenal dengan kepelbagaian sajian makanan yang terhasil daripada masyarakat berbilang kaum yang mendiami negara ini.
Justeru, penganjuran Festival Kulinari Kentang Amerika Syarikat (AS) Kuala Lumpur 2013 merupakan langkah terbaik mempromosikan ketinggian kualiti kentang AS.
"Suhu penanaman yang sesuai, tanah yang subur, teknik pemprosesan terkini dan kepakaran turun-temurun membantu menjadikan kentang sejuk beku AS yang terbaik di dunia.
"Kentang AS mempunyai kandungan pejal tinggi dan gula yang rendah sekali gus menghasilkan sajian berkualiti dengan rupa, rasa dan tekstur yang dikehendaki.
"Malah, piawaian ketat industri AS daripada Pentadbiran Makanan dan Ubatan (FDA) dan Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA) menjamin keselamatan dan ketinggian kualiti produk kentang sejuk beku ini," ujar Weller sewaktu pelancaran Festival Kulinari Kentang AS Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sempena festival berkenaan, sebanyak 13 restoran di Malaysia mengambil bahagian dengan menyediakan lebih daripada 38 sajian istimewa berasaskan kentang AS untuk para pelanggan yang berkunjung ke premis mereka.

KELIHATAN seperti burger tetapi tidak. Hidangan ini adalah lapisan beberapa keping kentang yang disajikan bersama sos istimewa.


Secara keseluruhan, seramai 16 chef terkemuka menunjukkan kepakaran masing-masing untuk mencipta pelbagai resipi kreatif dengan menggunakan produk kentang AS sebagai bahan utama dalam hidangan mereka.
Ia meliputi sajian utama, pembuka selera, pencuci mulut, snek ringan dan sebagainya. Festival itu berlangsung sejak 1 Jun lalu hingga 30 Jun ini.
Menurut Ketua Jawatankuasa Antarabangsa Program Sejuk Beku USPB, Marty Myers, festival tersebut bertujuan untuk menggalakkan orang ramai menikmati kentang sejuk beku AS dalam pelbagai menu yang inovatif.
"Apabila kita menyebut tentang produk sejuk beku, gambaran pertama yang terlintas dalam fikiran mungkin kentang jalur shoestring, kentang pintal curly atau kentang wedges yang sering dihidangkan bersama makanan Barat seperti stik dan burger.
"Sebenarnya, terdapat banyak lagi pilihan produk kentang sejuk beku AS yang boleh dicuba sekali gus memberikan variasi menu untuk semua," ujar Myers sambil memberitahu Malaysia merupakan salah satu negara utama dalam pasaran kentang AS di Asia Tenggara.
Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh University Illinois, mereka mendapati sayuran sejuk beku mempunyai nilai pemakanan yang setanding sayuran segar. Ini kerana sayuran sejuk beku dipetik pada masa kematangan yang tepat dan nilai pemakanan mencapai tahap paling tinggi. Pemprosesan serta-merta ini 'mengunci' nutrien dan vitamin di dalamnya.
Antara menu kreatif yang dihasilkan ialah coklat jejari kentang dan popia kentang istimewa oleh Bara One Bistro.
Tidak ketinggalan salmon salai Zushi yang dibalut kulit kentang dari Jogoya serta kentang bakar dengan kek makanan laut, tongkat ali dan tuna kerabu oleh Warisan Cafe. Sementara itu, Badboy Cooks pula menampilkan sajian nasi herba Cajun di atas kulit kentang dan kentang boat gumbo oleh Secret of Louisiana.
CHEF Mohd. Faisal (kiri) bersama hidangan kentang ciptaannya.


Chef Restoran Halia, Mohd. Faisal Ismail memberitahu, pihaknya mengambil masa dua hari untuk mencipta tiga resipi iaitu kentang basket weaves bersama ayam dan tomato, kentang crinkle disalut telur masin dan burger kentang mini.
"Ia merupakan idea bersama chef-chef Restoran Halia di Pusat Konvensyen Sime Darby ini. Ketiga-tiga resipi ini setiap satunya menggabungkan cita rasa Cina, Barat dan Timur.
"Saya gembira kerana mendapat peluang terlibat dalam festival antarabangsa ini. Kepelbagaian kentang sejuk beku AS membolehkan kami menghasilkan menu menarik untuk disajikan pada pelanggan," kata Mohd. Faisal kepada Kosmo!.
Sementara itu, Chef Elvin Goh dari Secret of Louisiana turut memuji ketinggian kualiti produk kentang AS.
Dia yang pernah menetap di Louisiana, AS selama lebih dua dekad mengakui banyak resipi berkhasiat boleh dicipta berasaskan kentang.
"Kombinasi kentang dan makanan laut juga menarik untuk disediakan. Justeru, saya memilih kupang biru sebagai salah satu bahan utama untuk dimasak bersama kentang AS.
"Saya harap masyarakat terutama penggemar kentang tidak akan ketinggalan untuk merasai kemeriahan festival ini dengan mengunjungi premis-premis yang terlibat," tuturnya.

Bulan Pengguna Kebangsaan gegar Batu Burok

Posted: 06 Jun 2013 06:00 PM PDT


PERTANDINGAN mewarna yang diadakan menarik minat ratusan kanak-kanak.


OMBAK di pesisir pantai Batu Burok, Kuala Terengganu, Terengganu tetap menghempas pantai seperti biasa. Sesekali angin menderu memberi ketenangan buat para pengunjungnya.
Bagaimanapun, pemandangan biasa buat orang ramai yang sering berkunjung ke situ baru-baru ini bertukar meriah apabila Batu Burok menjadi lokasi sambutan Bulan Pengguna Kebangsaan 2013 (BPK 2013) minggu lalu.
Bermula dari 30 Mei sehingga 1 Jun lalu, karnival yang dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dengan kerjasama akhbar Kosmo! sebagai media rasmi BPK 2013 berlangsung secara meriah.
Apatah lagi ia turut dijayakan dengan sokongan beberapa agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan lain.
Dengan lebih daripada 90 gerai mengambil bahagian, BPK 2013 bukan sahaja menampilkan pameran berkaitan kepenggunaan, malah pelbagai aktiviti lain seperti permainan interaktif, jualan produk, gerai makanan, pertandingan memasak dan persembahan artis.
Pada hari pertama, pertandingan dekorasi sayuran serta buah-buahan segar telah berjaya menarik perhatian pengunjung. Demonstrasi menumbuk emping makanan tradisi menambahkan lagi kemeriahan program.
Gelagat para peserta yang terdiri daripada penduduk tempatan yang bekerja keras menumbuk emping makanan berjaya memperlihatkan sifat kerjasama dalam diri mereka.
Diserbu pengunjung
Kehadiran pengunjung yang semakin bertali arus dimeriahkan lagi dengan persembahan pentas daripada penyanyi terkenal Alyah, Leez AF4 serta Farawaheeda, selain dihiburkan oleh dua pelawak tanah air, Mat Over dan Imuda.
Hari BPK 2013 kemudiannya diserikan dengan majlis perasmian yang disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek pada pukul 11 pagi 30 Mei. Hasan turut meluangkan masa untuk melawat setiap gerai yang mengambil bahagian termasuklah gerai Kosmo!.
Yang pastinya, gerai Kosmo! turut diserbu oleh pengunjung yang tidak mahu melepaskan peluang untuk merakamkan gambar kenang-kenangan di studio mini yang disediakan.
"Disebabkan saya ialah pembaca setia Kosmo!, saya berasa teruja untuk datang ke gerai ini. Saya merakamkan foto di sini bersama keluarga sebagai tanda kenangan," kata salah seorang pengunjung, Nor Laili Abdullah, 34.
Dikir barat kepenggunaan
Pada hari kedua, seawal pukul 8 pagi, pesisir pantai Batu Burok diwarnai dengan gelagat kaki-kaki pancing yang mencuba nasib dalam pertandingan memancing pantai.

DENDANGAN lagu-lagu nasyid oleh kumpulan Rabbani ternyata menghiburkan pengunjung.


Bagi para pengunjung yang meminati elemen kebudayaan dan warisan pula, mereka dihiburkan dengan pertandingan dikir barat yang mengangkat tema kepenggunaan.
Elemen adat warisan negeri itu kemudiannya diteruskan lagi dengan pertandingan wau bulan tradisional yang berjaya mendapat lebih daripada 100 penyertaan.
Bagi salah seorang peserta pertandingan wau naik, Ahmad Khairi Ali, 23, meskipun masih muda, namun minatnya yang mendalam dalam seni permainan wau bulan membuatkan dia sering memasuki pertandingan seumpama itu.
"Generasi muda perlu menyambung tradisi bermain wau bulan ini kerana dikhuatiri ia akan hilang ditelan zaman jika tidak dipelihara," katanya.
Pada sebelah malam pula, ada ceramah kepenggunaan Islam yang disampaikan oleh penceramah bebas terkenal, Kazim Elias yang lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim. Ceramah itu berjaya menarik minat pengunjung untuk memenuhi pekarangan pentas utama.
Ceramah yang bertajuk 'Pengguna Cermat, Hidup Berkat' itu turut diserikan lagi dengan persembahan nyanyian nasyid oleh kumpulan Rabbani.
Pada hari terakhir BPK 2013, pelbagai aktiviti menarik telah diadakan seperti bola sepak pantai serta sesi gotong-royong bersama artis-artis terkenal, cabutan bertuah, kuiz pengguna dan acara lelong barangan peribadi artis.
Kesemua aktiviti tersebut diserikan dengan kehadiran artis-artis terkenal tanah air seperti Syed Aiman, Black, Danny X-Factor, Ridzuan Hashim, Dynaz, Wan Sharmila, Almy Nadia, Azrul dan Jihan Raja Lawak.
Penyelaras BPK 2013, Zalinah Mohd. Yusof ketika ditemui berkata, penganjuran BPK 2013 berjaya mencapai objektifnya iaitu untuk melahirkan masyarakat yang memahami hak mereka sebagai pengguna.

Kepentingan kain kendong bayi

Posted: 06 Jun 2013 05:55 PM PDT

PENGGUNAAN Hippychick seperti tali pinggang dapat mengurangkan tekanan pada belakang dan tulang si ibu apabila menggendong bayi.


SELEPAS mengandung selama sembilan bulan, melahirkan dan menyusukan bayi, aktiviti mendukung bayi menawarkan hubungan paling hampir antara seorang ibu dengan anaknya.
Bapa juga dapat merasai ikatan serta-merta dengan anak melalui cara tersebut. Ia satu pengalaman yang tidak dapat dirasai andai mereka menolak bayi menggunakan kereta sorong.
Bayi kurang menangis, lebih tenang dan bahagia apabila berada di dalam kain kendong atau pembawa kerana bayi merasakan diri mereka lebih disayangi dan selamat.
Suhu badan, bau yang dikenali dan corak pernafasan ibu bapa mereka mewujudkan suasana ketenangan serta kebahagiaan.
Pengurus Negara (Malaysia), B&G Baby and Maternity Distribution (M) Sdn. Bhd., Jonathan Horsley memberitahu, mendukung bayi dapat memberikan signal bahawa mereka disayangi, selamat dan dijaga.
"Manfaat mendukung bayi dilaporkan dalam satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal Pediatrics mendedahkan bahawa bayi yang didukung kurang menangis. Ia merupakan satu trend yang harus diraikan," katanya.
Dengan peningkatan trend mendukung bayi, pelbagai jenis kain kendong dan pembawa bayi ditawarkan di pasaran.
Faktor keselamatan, sokongan yang baik terhadap tulang belakang bayi dan mengelakkan displasia (ketaknormalan perkembangan) pinggul merupakan elemen penting yang harus dititikberatkan ibu bapa dalam memilih pembawa yang sesuai kerana tidak semua pembawa dicipta serupa.
Dr. Moira Robertson, seorang doktor kiropraktik memberitahu, sokongan yang sihat diperlukan dalam pembawa dan kain kendong bayi ekoran perkembangan tulang belakang yang seiring dengan pembesaran bayi.
"Ibu bapa harus mengelakkan diri daripada membeli pembawa kelangkang yang menyebabkan kaki dan pinggul anak-anak mereka terjuntai ke bawah atau lurus kerana ia menghalang pinggul berada dalam soketnya.
"Pembawa yang baik harus mempunyai tapak yang luas agar pinggul bayi berada dalam soket dengan betul," ujar Moira ketika sesi penerangan bertajuk 'Kepentingan Memilih Pembawa Bayi Yang Betul' di Kuala Lumpur baru-baru ini.
HARITH ISKANDER dan isteri selesa membawa permata hati mereka menggunakan Ergobaby.


Menyokong tulang belakang
Tambahnya, ibu bapa disyorkan memilih pembawa bayi yang menyokong perkembangan tulang belakang bayi iaitu mengekalkan lengkungan 'C' apabila bayi berbaring dan mengagih berat badan di keseluruhan bahagian tempat duduk bermula dari lutut apabila badan menegak.
Sebuah pembawa bayi harus menyokong tulang belakang ibu bapanya juga, dengan mengagihkan berat daripada pinggul dan bahu seiring dengan pembesaran bayi mereka.
Varian penggendong Bloom & Grow terdiri daripada theBabaSling, Ergobaby dan Hippychick memenuhi kriteria penjagaan tulang belakang yang sihat.
TheBabaSling menampilkan revolusi dalam rekaan, keselesaan dan kesederhanaan dengan rekaan rajut buai (hammock) bagi menyokong pembentukan tulang belakang bayi yang baru lahir.
Hippychick pula seperti tali pinggang sokongan belakang, dengan bahagian berpad diperkenalkan untuk membenarkan golongan dewasa membawa anak mereka secara semula jadi di bahagian pinggul mereka tanpa rasa sakit di belakang.
Penggendong Ergobaby pula mampu menyokong perkembangan tulang belakang bayi dan pada masa sama mengagihkan berat bayi ke pinggul dan bahu ibu bapa mereka sekali gus mengurangkan tekanan di belakang dan tulang.
Pelancaran Kempen Kesedaran Mendukung Bayi tersebut dimeriahkan dengan kehadiran selebriti tempatan yang tampil berkongsi pengalaman peribadi masing-masing.
Lina Teoh, penyampai televisyen dan bekas Ratu Cantik Malaysia yang baru melahirkan seorang bayi lelaki, mendapati theBabasling bersesuaian dengan bayinya.
"Dengan gaya hidup aktif, saya sentiasa keluar melakukan pelbagai perkara pada satu masa dan memerlukan tangan saya bebas. Saya juga perlu mengetahui anak saya, Dylan, sentiasa selamat ketika dalam penggendong," katanya.
Dalam pada itu, pelawak popular, Harith Iskander dan isterinya, Dr. Jezamine, masing-masing mempunyai sebuah Ergobaby untuk dipakai bersama anak mereka, Zander Xayne Iskander.
Ashley Ho, ibu sepenuh masa dan Kaunselor Penyusuan Badan Bertauliah, mendapati Hippychick merupakan kelegaan yang besar semasa cuti sekolah dan ketika membeli-belah kerana anaknya, Kaylene yang berusia dua tahun setengah boleh berada dalam keadaan selesa di tempat duduk pinggul apabila dirinya ingin didukung.
Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai amalan mendukung bayi menggunakan theBabasling, Ergobaby dan Hippychick, layari laman web www.bloomandgrowasia.com atau laman Facebook www.facebook.com/bloomandgrowasia.

Senaman air Aquazumba

Posted: 06 Jun 2013 05:54 PM PDT


AQUAZUMBA sesuai bagi mereka yang menginginkan bentuk badan yang menarik.


KAUM wanita memang mengidamkan bentuk badan menarik. Pelbagai kaedah pasti dicuba bagi memastikan impian itu menjadi kenyataan.
Apa kata, anda mencuba teknik senaman dalam air yang dikenali sebagai Aquazumba yang ditawarkan oleh Celebrity Fitness Malaysia (Celebrity Fitness).
Senaman tersebut bukan sahaja menyeronokkan malah ia mampu membakar sehingga 400 kalori dalam tempoh masa 45 minit. Senaman itu juga menggunakan gerakan tarian sambil mengikut rentak muzik Latin.
Anda tidak perlu bimbang kerana tenaga pengajar pengalaman, Maria Teresa Stone akan membimbing aktiviti senaman tersebut.
Kelas latihan Aquazumba itu merupakan yang pertama di Asia dan diperkenalkan oleh Celebrity Fitness bagi meningkatkan kecergasan badan dan kesihatan peserta.
Latihan tersebut adalah selamat dan lebih mencabar kerana peluh lebih banyak dikeluarkan ketika melakukan senaman di dalam air. Ia baik untuk jantung dan pembentukan semula struktur badan.
Maria berkata, individu yang bersemangat amat sesuai menyertai Aquazumba. Walaupun nampak mudah, aktiviti yang dilakukan menggunakan banyak gerakan otot badan termasuk lengan dan kaki.
"Pergerakan akan menjadi perlahan disebabkan rintangan air namun senaman yang dibuat tetap berkesan. Ia juga sesuai untuk mereka yang menghidap sakit tulang belakang.
"Saya rasa gembira kerana Celebrity Fitness mengambil langkah pertama memperkenalkan teknik senaman ini di Malaysia. Ia pasti memberikan pengalaman berbeza," katanya sebelum memulakan aktiviti tersebut di kolam renang Celebrity Fitness, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Ahli-ahli Celebrity Fitness turut berpeluang menyertai Aquazumba secara percuma di cawangannya yang terletak di Mid Valley, Kuala Lumpur.
Sebarang maklumat lanjut, anda boleh menghubungi Celebrity Fitness di talian 1300-222-348 atau layari laman web www.celebrityfitness.com.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines