Jumaat, 28 Jun 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Aiman Hakim Enggan Dedah Bercinta Dengan Nur Fathia

Posted: 27 Jun 2013 06:56 AM PDT

Aiman Hakim Ridza
KUALA LUMPUR: Pelakon Aiman Hakim Ridza mengambil pendekatan untuk berdiam daripada membuat sebarang kenyataan mengenai gosip kisah cintanya dengan aktres Nur Fathia Abdul Latiff.
Aiman, 23, berkata, dia tidak akan menceritakan mengenai status perhubungannya dengan Fathia, 25, kerana mahu menjadikan kisah itu sebagai sesuatu yang harus disimpan.
"Saya memang tak nak komen tentang status perhubungan saya dengan Fathia. Rasanya perkara ini tidak sesuai diceritakan kepada umum kerana ia sangat peribadi," katanya kepada mStar Online.
Nur Fathia
Malah beritahu pelakon yang mula popular menerusi drama Vanila Coklat (TV3) ini, dia mahu mengikut jejak pelakon-pelakon senior lain yang berjaya dalam bidang lakonan tanpa perlu menghebahkan hal peribadi mereka.
"Saya tengok, kebanyakan pelakon yang berjaya kurang mendedahkan hal-hal peribadi mereka dan ternyata mereka berjaya dalam kedua-dua bidang iaitu seni dan rumah tangga masing-masing.
"Lain pula bagi yang menjajakan cerita, kerja entah ke mana, perhubungan cinta atau rumah tangga pula tak pergi ke mana.
"Benda-benda peribadi terutamanya berkaitan siapa pasangan kita, ia sangat sensitif," ujarnya.

Kisah hidup menerusi lagu

Posted: 27 Jun 2013 06:55 AM PDT




BERHASIL merangkul sehingga 14 anugerah dalam tempoh empat tahun bergelar penyanyi, menjadi kebanggaan buat Mohd. Hafiz Mohd. Suip. Bukan mudah untuk meraih kejayaan sedemikian memandangkan persaingan yang semakin sengit dengan kemunculan ramai penyanyi baharu, namun Hafiz terus konsisten.
Terbaharu, penyanyi yang dicungkil bakatnya menerusi rancangan realiti Akademi Fantasia 7 (AF7) itu muncul dengan album yang diberi judul Hafiz Suip - Luahan Hati Anak Seni.
Berkesempatan bertemu dengannya semasa majlis pelancaran album tersebut baru-baru ini, Hafiz berkata, album keduanya itu begitu istimewa buat dirinya.
"Pertama, saya sangat berbesar hati kerana ramai komposer hebat terlibat dalam penerbitan album ini. Ia satu penghormatan yang besar.
"Kedua, album ini istimewa kerana kebanyakan lagunya menceritakan kisah hidup saya sepanjang berkecimpung dalam dunia seni," ujar anak kelahiran Kuching, Sarawak itu.
Menggunakan konsep 'majalah mini' untuk album tersebut, Hafiz menjelaskan, sebanyak sembilan buah lagu dimuatkan dalam album itu antaranya Bahagiamu Deritaku, Mungkinkah, Hanya Ingin Kau Cinta, Deklamasiku, Kesimpulan, Patah Hati, Satu Cerita, Muara Hati dan Matahari.
Ujarnya, dia cukup gembira kerana salah satu single iaitu Bahagiamu Deritaku kini semakin mendapat tempat di hati peminat serta mengungguli carta stesen radio popular di negara ini.
"Saya bertuah kerana lagu ini dicipta oleh komposer hebat seperti LY dan Baiduri sehingga ia menjadi siulan ramai.
"Saya juga bangga kerana komposer seperti Mega Pandawa, Idzam, Ajai, Kunci Demak, Mohd. Atlas, Manusia Putih dan Aiman telah menghasilkan lagu yang menarik dan sedap didengar," ujarnya.
Menurut Hafiz, dia kini sudah melangkah setapak lagi dalam karier seninya apabila berpeluang menghasilkan lirik bagi dua buah lagu iaitu Mungkinkah dan Deklamasiku.
"Bidang penulisan lirik ini merupakan sesuatu yang baharu bagi saya, namun ia percubaan yang berbaloi. Rasanya tidak sia-sia saya berguru dengan komposer Kunci Demak bagi mendalami ilmu penulisan lagu," jelasnya.
Ketika ditanya sama ada lagu-lagu dalam album itu turut membabitkan kisah cintanya, Hafiz tersenyum dan mengambil masa yang agak lama untuk menjawabnya.
"Apa yang saya boleh katakan ada beberapa buah lagu yang menceritakan mengenai diri saya, tetapi tidak mahu bercerita lebih lanjut mengenainya.
"Seboleh-bolehnya saya mahu peminat mendengar dan menghayati kesemua lagu sekiranya mahu mendalami kisah hidup saya," ujarnya.
Bercerita mengenai kekasih hati setelah dikaitkan dengan penyanyi Adira sebelum ini, Hafiz mengakui dia sedang bercinta dengan seorang gadis.
Bagaimanapun, penyanyi berkenaan ingin merahsiakan identiti gadis berkenaan memandangkan si dia masih seorang pelajar.
"Buat masa ini, biarlah saya tidak mendedahkan kekasih saya itu kepada umum kerana tidak mahu pelajarannya terjejas," tegasnya.

PELANTUN lagu Awan Nano ini berdepan masalah saluran telinga yang dikatakan boleh memberi kesan terhadap vokalnya.


Nama sebenar
Jika sebelum ini dia dikenali sebagai Hafiz AF, penyanyi berkenaan menyatakan bahawa dia sekarang lebih selesa menggunakan nama sebenarnya iaitu Hafiz Suip.
Bukan mahu melupakan segala kenangan sepanjang bergelar peserta AF7, tetapi penggunaan nama sekarang lebih sesuai dan membuatkan dirinya berasa begitu dekat dengan keluarganya.
"Antara tunjang kejayaan saya sudah tentu sekali sokongan daripada ahli keluarga terutamanya ibu bapa saya.
"Jadi, penggunaan nama sebenar ini lebih sesuai kerana saya mahu semua ahli keluarga berkongsi kejayaan dan kegembiraan yang saya kecapi sekarang," jelasnya.
Menurutnya, kini dia tidak lagi berasa terlalu sunyi kerana berjauhan dengan keluarga memandangkan kedua-dua ibu bapanya sudah menetap di Kuala Lumpur.
Sakit
Di sebalik riak wajahnya yang sentiasa gembira serta sikapnya yang ceria, ramai yang tidak tahu bahawa Hafiz berhadapan dengan masalah kesihatan.
Menurutnya, beberapa bulan lalu dia terpaksa berehat seketika daripada aktiviti nyanyian setelah disyaki menghidap tonsil.
"Ketika mendapat rawatan di klinik kerana berasa kurang sihat, doktor memberitahu saya mengalami masalah tonsil. Setelah makan ubat yang diberikan sakit tekak saya masih tidak sembuh.
"Kemudian saya berjumpa dengan doktor pakar telinga, hidung dan tekak.
"Akhirnya, barulah saya dapat tahu yang saya sebenarnya mengalami masalah di bahagian saluran telinga yang boleh memberi kesan kepada suara saya," ujarnya.
Menurut Hafiz, doktor berkenaan menyatakan dia bernasib baik kerana masalah itu dikesan lebih awal. Sekarang dia masih menjalani rawatan susulan.
"Mujurlah masalah yang saya hadapi itu tidak menjejaskan aktiviti seni saya malah saya boleh terus menyanyi.
"Cuma pada peringkat awal dahulu adakalanya saya berasa sakit semasa membuat persembahan," jelasnya.

Misha Cabar Individu Tuduh Dia Pernah Kahwin Tunjuk Bukti

Posted: 27 Jun 2013 06:54 AM PDT

Misha Omar mengakui mengenali individu yang menyebarkan fitnah tentang dirinya dan amat kesal kerana tuduhan itu dan mencalarkan reputasinya.
PETALING JAYA: Penyanyi Misha Omar mencabar individu yang menuduhnya pernah berkahwin sehingga menyebabkan pernikahannya dengan juruterbang Malaysia Airlines System (MAS) iaitu Fiross Ezwan Rosly tertangguh tampil mengemukakan bukti.
Misha atau nama sebenarnya Samihah @ Aisah Omar, 31, berkata, dia mengenali individu yang menyebarkan fitnah tersebut dan amat kesal kerana tuduhan itu benar-benar mencalarkan reputasinya.
"Saya tidak pernah berkahwin dengan mana-mana lelaki sekalipun. Jika benar saya pernah berkahwin tunjukkan buktinya dan anda boleh merujuk nama saya di mana-mana Pejabat Agama," katanya ketika ditemui pada majlis pelantikannya sebagai jurucakap produk Colourland, di sini, Rabu.
Hadir sama pengarah Coluorland, Loh Boon Leong.
Misha diminta mengulas gosip kononnya perkahwinan dia dengan Fiross, 31, tertangguh disebabkan dia menanti surat cerai daripada bekas suaminya iaitu seorang ahli perniagaan di Kelantan.
Misha (kiri) bersama Loh Boon Leong.
Misha dan Firos mengikat tali pertunangan dalam satu majlis tertutup di kediaman keluarga penyanyi itu di Kampung Guchil Bayam, Kota Baharu, Kelantan pada 20 Februari tahun lalu.
Pada majlis itu keluarga kedua-dua pihak mencapai persetujuan untuk mengikat tali pertunangan selama setahun tetapi majlis berkenaan akhirnya tertangguh.
Misha menambah, dia telah mendengar isu berkenaan sejak Februari lalu dan telah mengenal pasti seorang lelaki yang membuat fitnah berkenaan.
"Saya sangat kecewa kerana betapa saya menjaga nama baik saya selama ini, ia dicalarkan dengan tuduhan berkenaan.
"Saya tahu siapa yang bercakap tentang hal ini dan dia sering mencari kesilapan dan perkara negatif tentang saya. Saya harap lelaki itu tampil jika benar saya pernah berkahwin," tegasnya.
Dalam pada itu Misha dan Fiross telah memilih Februari 2014 untuk diijabkabulkan sebagai suami isteri selepas mendapat persetujuan keluarga kedua-dua belah pihak.
Katanya, keputusan itu dibuat selepas mendapati terdapat kelapangan terhadap jadual masing-masing.
"Namun tarikh sebenar perkahwinan akan ditetapkan pada Hari Raya Aidilfitri nanti kerana keluarga kami akan berjumpa untuk berbincang semula," katanya.

Halim & Adibah Noor Mahu Bersalam 20,000 Peminat Sabah

Posted: 27 Jun 2013 06:53 AM PDT

Segmen Ceria Pagi bersama Adibah dan Halim bersiaran secara langsung dari studio stesen Suria FM Sabah di KK Times Square, Kota Kinabalu selama seminggu. Turut tampil dalam program berkenaan adalah Ray yang mengendalikan segmen Santai 120.
PETALING JAYA: Penyampai radio Suria FM iaitu Halim Othman dan Adibah Noor berhasrat untuk berjabat tangan dengan 20,000 peminat dalam program Ronda Impian Ceria Pagi di Sabah yang diadakan di negeri itu dari 24 Jun lalu sehingga Jumaat ini.
Kedua-dua penyampai radio itu berharap jumlah tersebut dapat dicapai menjelang Jumaat ini ketika seri bertemu peminat diadakan.
"Selain mempunyai misi untuk berjabat tangan dengan 20,000 pendengar Suria FM, peluang ini turut digunakan untuk kami beramah mesra dengan mereka yang tidak jemu-jemu memberikan sokongan.
"Diharap dengan perancangan yang telah diatur untuk bertemu dengan mereka di pelbagai lokasi dapat mencapai misi tersebut," kata Halim ketika ditemui di studio Suria FM Sabah di KK Times Square di sini pada Rabu lalu.
Halim dan Adibah bersama deejay Suria FM Sabah iaitu (dari kiri) Dudu (Lotter), Obie dan Ray semasa sidang media program Ronda Impian Ceria Pagi di Sabah.
Tambah Halim, setakat ini mereka telah berjaya bersalaman dengan hampir 10,000 peminat sepanjang tiga hari program berlangsung dan yakin sasaran itu dapat dicapai.
Dalam perkembangan berkaitan, Halim berkata, kedatangan mereka ke Sabah juga untuk meraikan lima pemenang Ronda Impian Ceria Pagi Sabah yang berpeluang menjadi pemandu pelancong untuk mereka melawat tempat-tempat menarik di negeri itu.
Halim berkata, pemenang ditentukan berdasarkan susunan program paling menarik untuk membawa mereka ke tempat-tempat di negeri itu yang terkenal dengan keindahan semula jadi, budaya dan sejarah.
"Setiap hari seorang pemenang akan membawa kami ke tempat-tempat yang telah dicadangkannya dan setakat ini pengalaman berada di sini cukup menarik," jelasnya.
Halim (dua dari kiri) beramah mesra dengan para peminat di Pulau Manukan, Sabah. Foto Ihsan SURIA FM.
Lima pemenang tersebut adalah Raimon @ Ahmad Tarmizie Aboi, Karatika Sari, Siti Aisyah Malek, Florence Silimon dan Rozzer Achong.
Antara lokasi yang dilawati oleh kedua-dua penyampai itu seperti Pulau Manukan, Jambatan Gantung Tamparuli, Rumah Terbalik, Taman Kinabalu, Taman Buaya Tuaran, Kampung Air Tanjung Aru dan beramah mesra bersama masyarakat Kampung Sipitang.
Tourism Malaysia turut menyokong program berkenaan dengan menyediakan pengangkutan untuk Halim dan Abidah serta krew bagi bertemu pendengar Suria FM.
Dalam pada itu, Adibah berkata, mereka juga turut bersiaran secara langsung untuk segmen Ceria Pagi bermula 6 hingga 10 pagi dari studio stesen radio itu di Kota Kinabalu sepanjang lima hari berada di sana.
Halim bersama pemenang hari pertama program Ronda Impian Ceria Pagi Di Sabah iaitu Raimon @ Ahmad Tarmizie Aboi (depan, tengah) yang menjadi pemandu pelancong bagi melawat tempat-tempat menarik di Sabah.
Jelasnya lagi, peluang bekerjasama dengan tiga penyampai Suria FM Sabah iaitu Obie, Ray dan Dudu juga banyak memberikan pengalaman baharu kepada mereka selain memperkenalkan deejay tersebut kepada pendengar di Semenanjung Malaysia.
"Pengalaman ke udara untuk segmen Ceria Pagi di Sabah sangat bermakna kerana ia bukan seperti kebiasaan namun pengalaman itu menyeronokkan," katanya.
Suria FM Sabah bersiaran bermula pukul 10 pagi hingga 4 petang dari hari Isnin sehingga Jumaat.
Ia boleh didengari menerusi frekuensi 105.9 FM dan pendengar di Semenanjung Malaysia boleh mendengar siaran tersebut menerusi laman web www.suriafm.com.my.

Dicekup ketika leka tunggu pelanggan

Posted: 27 Jun 2013 06:48 AM PDT


Dicekup ketika leka tunggu pelanggan
Najib (kanan) ketika membuat pemeriksaan terhadap suspek.
KULIM - Seorang pengedar dadah berjaya ditahan polis dari Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) diketuai Sub Inspektor Mohd Najib Abdul Aziz di jalan Kilang Lama berhadapan dengan sebuah bank ketika leka menunggu pelanggan, kira-kira jam 2 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, ketika membuat rondaan cegah jenayah, polis ternampak seorang lelaki berusia 40-an duduk di atas motosikal di tepi jalan dalam keadaan mencurigakan.

"Suspek cuba melarikan diri sebaik saja polis memintas di hadapannya, bagaimanapun dia berjaya ditahan.

Ketika membuat pemeriksaan badan, polis menemui lima peket lutsinar di dalam bekas rokok suspek dipercayai dadah dan sebiji pil khayal eramin 5.

"Selain itu polis turut menemui ratusan plastik lutsinar serta tiub kosong dan kami percaya suspek merupakan seorang pengedar dadah," katanya.

Menurutnya, suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim (IPD) sebelum diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik untuk menjalani ujian air kencing dan suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine.

Ghuzlan berkata, suspek mempunyai tiga anak dan tidak bekerja selain menjalankan aktiviti pengedaran dadah di sekitar Kulim.

"Kami percaya dadah yang dibawa oleh suspek merupakan jenis syabu seberat 2.55 gram. Suspek akan disiasat di bawah seksyen 12(2) kerana memiliki dadah," katanya kepada Sinar Harian.

Pemandu teksi beri penjelasan

Posted: 27 Jun 2013 06:46 AM PDT


Pemandu teksi beri penjelasan
Abang Haji menunjukkan laporan Sinar Harian 22 Jun lalu mengenai dakwaan seorang wanita yang dikatakan dicabul oleh seorang pemandu teksi.
KUANTAN – "Akibat salah faham, ramai pemandu teksi di daerah ini mula dicurigai pelanggan masing-masing membuatkan mata pencarian kami turut terjejas," kata seorang pemandu teksi yang mahu dikenal sebagai Abang Haji.

Abang Haji berkata, tindakan seorang wanita yang membuat laporan polis pada 22 Jun lalu mendakwa dicabul oleh seorang pemandu teksi hanyalah satu salah faham sahaja.

Menurutnya, dia tidak menyangka wanita tersebut akan membuat kenyataan media sehingga menyebabkan imej persatuan teksi di daerah ini terjejas.

"Kami pemandu teksi hanya mencari makan dengan memandu teksi dan setelah berita itu tersebar, kami seolah-olah dipandang serong oleh pelanggan.

"Setahu saya, kes salah faham tersebut telah selesai di balai polis sahaja, tetapi tidak sangka pula dia dipanjangkan hingga ke media.

"Ingin saya tegaskan di sini, pekerjaan kami sebagai pemandu teksi memerlukan komunikasi mesra bersama pelanggan, namun tidaklah sampai melampaui batas bertindak untuk mencabul pelanggan," katanya.

Justeru, dia berharap agar isu ini tidak diperbesarkan lagi.

'Tiket kebal' makan diri

Posted: 27 Jun 2013 06:39 AM PDT


'Tiket kebal' makan diri
Pegawai Penguatkuasa membawa wanita warga Indonesia (kanan) balik ke Pejabat Jabatan Imigresen Cawangan Teluk Intan.
TELUK INTAN - Hanya kerana mempunyai teman lelaki berjawatan tinggi di peringkat kampung di sini, seorang pekerja butik yakin dia tidak dikenakan tindakan undang-undang kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

Namun, tindakan wanita berusia 35 tahun warga Indonesia yang menjalinkan hubungan dengan warga tempatan untuk mendapatkan 'tiket kebal' akhirnya memakan diri sendiri apabila dia dicekup dalam satu operasi Imigresen yang dikenali sebagai Ops Sapu, di sini, pagi semalam.

Ketua Imigresen Cawangan Teluk Intan, Khairul Anuar Sulaiman berkata, wanita warga Indonesia itu sudah berkenalan dengan lelaki itu sejak enam bulan lalu.

Katanya, lelaki yang sudah berkahwin itu sanggup mengeluarkan modal untuk membuka sebuah butik aksesori wanita dan diuruskan oleh wanita itu sebagai tanda cinta.

"Walaupun wanita warga Indonesia itu bersembunyi di belakang teman lelakinya itu  dikatakan mempunyai jawatan penting dalam organisasi kampung, ibu tunggal itu tidak boleh lari daripada tindakan undang-undang," katanya ketika ditemui semalam.

Sinar Harian turut dimaklumkan lelaki warga tempatan itu sering keluar masuk ke rumah ibu tunggal warga Indonesia sehingga penduduk tempatan tidak tahan melihat keadaan itu.

Khairul Anuar berkata, ibu tunggal itu mempunyai seorang anak perempuan berusia 10 tahun yang kini berada di Indonesia di bawah jagaan adiknya.

Pihaknya menahan wanita itu di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1959/63 dan kini ditempatkan di Depot Langkap untuk tindakan lanjut.

"Pihak kami akan menjejaki pemilik butik yang juga warga tempatan bagi membantu siasatan.

"Menjadi kesalahan  apabila warga tempatan memberikan perlindungan kepada warga asing yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah," katanya.

Individu yang didapati bersalah boleh didenda minimum sebanyak RM10,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya.

Aksi 1 Lawan Satu

Posted: 27 Jun 2013 06:33 AM PDT



PIERRE (berdiri tiga dari kanan) dan Mikael (berdiri dua dari kiri) bersama barisan karyawan filem 1 Lawan Satu.


FILEM aksi sulung arahan pengarah Pierre Andre, 1 Lawan Satu mendapat reaksi kurang senang daripada kalangan penggemar filem lantaran babak pertarungan yang terlampau banyak.
Daripada keseluruhan filem yang berdurasi sejam 30 minit itu, cuma 20 peratus menampilkan dialog barisan pelakon dan selebihnya adalah aksi pergaduhan yang memaparkan pelbagai seni bela diri popular antaranya silat, taekwondo, capoeira dan street fight.
Mengulas tentang hal tersebut, ujar Pierre, dia melihat dari satu sudut berbeza dalam usaha menghasilkan sebuah filem yang padat aksi dan tidak meleret-leret.
"Setiap pengarah ada pandangan sendiri mengenai filem arahannya begitu juga saya. Saya tidak melihat 1 Lawan Satu yang terlalu padat aksi sebagai masalah.
"Ada penonton yang gemarkan sebuah filem yang mencabar adrenalin mereka, ibaratnya aksi yang ditampilkan itu tidak memberi ruang penonton bernafas.
"Secara jujurnya saya puas dengan hasil filem aksi ini," katanya yang ditemui ketika majlis tayangan perdana filem 1 Lawan Satu di Sunway Pyramid, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
1 Lawan Satu menceritakan kehidupan dua individu berbeza latar belakang iaitu Radhi dan Saleh. Radhi terpaksa bertarung di jalanan demi mendapatkan wang untuk menampung pembiayaan perubatan adiknya, Sara yang sedang sakit.
Sementara itu, Saleh yang handal bersilat sedang menyelesaikan misi keluarganya untuk membawa adiknya, Saleha pulang setelah diculik oleh Oman.
Radhi yang terdesak kerana memikirkan keadaan Sara menerima tawaran Oman untuk berlawan untuknya manakala Saleh perlu berlawan dalam satu pertarungan demi menyelamatkan Saleha.
Tambah Pierre, dia mahu membiarkan penonton membuat kesimpulan sendiri apabila menyaksikan filem itu. Atas faktor itu juga dia memilih dua watak protagonis sebagai tonggak filem itu.
"Judul filem ini sendiri sudah cukup kuat untuk menggambarkan keseluruhan filem. Saya pilih dua watak utama yang protagonis supaya penonton boleh membuat kesimpulan pada penghujung filem itu nanti.
"Susah untuk cari filem Asia yang memberikan penonton kebebasan membuat pilihan," ujarnya yang tidak menolak kebarangkalian akan ada sekuel untuk filem itu.
Memilih pelakon baharu iaitu adiknya sendiri, Mikael Andre sebagai pelakon utama, Pierre ada alasan yang tersendiri.
"Saya suka bekerja dengan pelakon baharu kerana tidak perlu memikirkan masalah disiplin. Kalau pelakon bertaraf bintang nanti, saya perlu mengambil kira jadual selain perilaku yang mungkin merumitkan.
"Lagipun, Mikael sebagai contoh berjaya memberikan komitmen tinggi dalam kerjanya. Pemilihan pelakon bukan kerana faktor hubungan persaudaraan saya dan dia sebaliknya minatnya yang mendalam dalam bidang lakonan," tegasnya.
Sementara itu, Mikael berkata, dia berdepan detik cemas apabila dia secara tidak sengaja menumbuk hidung salah seorang pelakon sehingga patah.
"Mujur dia seorang bekas komando. Apabila saya tertumbuk hidungnya hingga patah dia dengan senangnya membetulkan masalah itu dengan menggunakan sebatang pen dan kembali meneruskan lakonan," katanya yang sedikit trauma akibat kejadian itu.
Selain Mikael, filem yang bakal ditayangkan bermula 27 Jun ini turut dibintangi Azlan Komeng, Along Eyzendy, Fyza Kader dan Mimie Ernida.

Suami tidak mengaku bunuh isteri

Posted: 27 Jun 2013 06:30 AM PDT



NORAZMAN mengaku tidak bersalah atas tuduhan membunuh isterinya tahun lalu.


SHAH ALAM - Bekas eksekutif bahagian teknologi maklumat di syarikat gas dan cari gali minyak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini semalam atas tuduhan membunuh isterinya, eksekutif pentadbiran stesen televisyen TV9, Nur Syaleza Jaffar (gambar kecil) tahun lalu.
Norazman Bashah Ahmad Azam Bashah, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmadi Asnawi.
Ahmadi kemudian menetapkan lima hari untuk perbicaraan kes itu yang akan bermula pada 31 Mac hingga 4 April 2014.

Datuk didakwa angkara rasuah

Posted: 27 Jun 2013 06:29 AM PDT


ABDUL RAHIM diiring keluar dari Mahkamah Sesyen Johor Bahru selepas mengaku tidak bersalah atas tuduhan rasuah semalam.


JOHOR BAHRU – Seorang bekas pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) berpangkat Datuk mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan kontrak penyelenggaraan bagi syarikat milik adik kandungnya bernilai RM230,800 pada Januari 2011.
Datuk Abdul Rahim Ahmad, 57, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz.
Ketika itu Abdul Rahim dilantik sebagai pengarah projek bagi Kontrak Pengurusan Fasiliti Bangunan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KKIK) serta Kontrak Pengurusan Fasiliti Bangunan JB Sentral, Bukit Chagar di sini.
Dia yang pernah menjawat jawatan Pengarah Bahagian Senggara Fasiliti Bangunan JKR Malaysia didakwa menggunakan kedudukannya untuk meminta rasuah daripada Pengarah Operasi Kumpulan Syarikat Advanced Maintenance Precision Management Sdn. Bhd., Saipolyazan M.Yusop, 43, untuk melantik syarikat YBA Technology Sdn. Bhd. milik adik kandungnya, Mohd. Yusri Ahmad, 38.

Jerebu punca kanser paru-paru

Posted: 27 Jun 2013 06:28 AM PDT


KEADAAN jerebu di ibu negara bertambah pulih semalam ekoran hujan yang melanda kawasan berjerebu itu.


KUALA LUMPUR – Orang ramai yang terdedah kepada keadaan berjerebu dalam tempoh lama berisiko menghidap penyakit kanser selain penyakit lain seperti gatal kerongkong, batuk dan sukar bernafas.
Pakar perunding perubatan Pusat Perubatan Kajang Plaza di Kajang, Datuk Seri Dr. Zulkornain Ahmad berkata, udara ketika jerebu amat berbahaya kerana ketika bernafas, manusia bukan sahaja menyedut gas oksigen tetapi termasuk bahan-bahan asing yang terkandung dalam udara terus memasuki paru-paru.
Kata beliau, bahan-bahan asing yang berupa sisa toksik yang terkandung dalam jerebu itu kemudian merangsang perkembangan sel-sel kanser di dalam tubuh manusia.
"Ketika krisis jerebu, udara di sekeliling mengandungi debu, habuk halus dan gas toksik seperti gas sulfur dioksida dan karbon monoksida.
"Meskipun udara yang disedut manusia akan melalui beberapa tapisan seperti di hidung dan tekak tetapi organ penapis semula jadi itu tidak mampu menyekat 100 peratus apa yang disedut dari udara.
"Udara tercemar yang tidak dapat ditapis itu akan terus masuk ke paru-paru dan seterusnya mengakibatkan badan manusia mungkin dijangkiti bakteria, virus dan paling menakutkan penyakit seperti kanser paru-paru dan radang paru-paru," kata beliau ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Korea Selatan lancar perkhidmatan LTE-A paling laju

Posted: 27 Jun 2013 06:26 AM PDT



SEORANG model memegang telefon pintar Samsung Galaxy S4 yang menggunakan data rangkaian mudah alih LTE-Advanced di Seoul, Korea Selatan semalam.



SEOUL - Syarikat pembekal perkhidmatan telefon bimbit utama di Korea Selatan, SK Telecom semalam memperkenalkan rangkaian mudah alih generasi baharu, LTE-Advanced (LTE-A) yang pertama di dunia.
Rangkaian terbaharu itu menawarkan kelajuan dua kali ganda berbanding rangkaian LTE sebelum ini. Ia juga sepuluh kali lebih pantas berbanding perkhidmatan telekomunikasi Generasi Ketiga (3G).
Perkhidmatan LTE-Advanced yang boleh didapati di Seoul dan 40 bandar lain tidak lama lagi itu akan membolehkan para pengguna untuk memuat turun sebuah filem hanya sekitar 40 saat.
Ia dilancarkan bersama versi LTE-A baharu telefon pintar Samsung Galaxy S4. SK Telecom menyatakan sebanyak enam model telefon pintar yang bersesuaian dijangka ditawarkan pada separuh masa kedua tahun ini.
"LTE-A akan menawarkan perkhidmatan tambah nilai mudah alih baharu yang boleh membawa perubahan inovatif kepada kehidupan pelanggan kami," kata Presiden Network Business Operations di SK Telecom, Park In-Sik.
SK Telecom merancang menggunakan rangkaian baharu itu untuk melancarkan perkhidmatan panggilan video secara berkumpulan sehingga empat orang pengguna.
Ia didakwa akan mempunyai kualiti video 12 kali lebih baik. Selain kualiti audio dua kali ganda lebih jelas daripada perkhidmatan sedia ada.
Korea Selatan kini mempunyai sekitar 20 juta pengguna perkhidmatan 4G.

Dadah bernilai RM246.6 juta musnah dibakar

Posted: 27 Jun 2013 06:26 AM PDT



BEBERAPA anggota polis wanita mengawal dadah yang akan dimusnahkan sempena Hari Memerangi Penyalahgunaan dan Penyeludupan Dadah di luar Yangon, Myanmar semalam.



YANGON - Pemerintah Myanmar memusnahkan pelbagai jenis dadah sempena sambutan Hari Memerangi Penyalahgunaan dan Penyeludupan Dadah Antarabangsa di pinggir bandar raya ini semalam.
Sambutan tersebut dikelola Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Semua dadah yang dimusnahkan itu termasuk pil methamphetamine dirampas di seluruh Myanmar.
Rampasan dadah tersebut dianggarkan bernilai AS$77 juta (RM246.6 juta).
Barang terlarang itu dibakar di sebuah bangsal dalam majlis tersebut yang turut dihadiri oleh beberapa diplomat asing.
Myanmar terkenal sebagai hab untuk pengeluaran, transit dan aktiviti penyalahgunaan dadah.

Kirobo boleh berbual dengan manusia

Posted: 27 Jun 2013 06:24 AM PDT



ROBOT komunikasi, Kirobo berbual dengan Pengurus Besar Perancangan Produk Toyota, Fuminori Kataoka di Tokyo semalam.


TOKYO - Eksperimen perbualan angkasa lepas yang pertama di dunia melibatkan sebuah robot bernama Kirobo dengan manusia berlangsung di Jepun semalam.
Pemaju projek Kirobo berkumpul di ibu kota Jepun di sini untuk menunjukkan keupayaan mesin tersebut bercakap dan berbual.
Robot kerdil itu memiliki ketinggian cuma 34 sentimeter.
Saintis-saintis terlibat berharap Kirobo boleh mengendalikan perbualan dengan matlamat robot itu dapat menjadi teman angkasawan yang bertugas di angkasa lepas.
Apabila ditanya tentang impiannya, Kirobo memberitahu: "Saya mahu mewujudkan masa depan yang mana manusia dan robot dapat hidup bersama,".
Kirobo dijadual dilancarkan ke angkasa lepas dari Pusat Angkasa Tanegashima Space pada 4 Ogos depan. Projek ini dikendalikan bersama oleh beberapa organisasi termasuk syarikat Dentsu Inc, Universiti Tokyo dan Toyota.

Guna penutup tong hasilkan barangan seni

Posted: 27 Jun 2013 06:23 AM PDT



PEREKA seni, Alberto Dassasso mengubah suai motosikal Harley Davidson menggunakan penutup tong logam di bengkel firma Seni Reka Vibrazioni di Massa Lombarda, tengah Itali kelmarin.



MASSA LOMBARDA, Itali - Beberapa pereka seni di negara ini mendapat idea menghasilkan pelbagai barangan menggunakan penutup tong logam.
Mereka yang bernaung di bawah firma Seni Reka Vibrazioni, menghasilkan karya seni itu di ibu pejabat syarikat berkenaan di sini.
Semua barangan tersebut dihasilkan menggunakan penutup tong daripada pelbagai sektor industri termasuk petrokimia dan bekas simpanan makanan.
Menampilkan daya kreativiti yang tinggi, pereka-pereka muda itu menempa pelbagai barangan menggunakan penutup logam seperti kerusi dan perabut lain, lampu hias serta motosikal.
Produk tersebut dijual menggunakan jenama Seni Reka Vibrazioni.
Ditubuhkan pada 2007 ketika Itali tenat dilanda krisis ekonomi, firma itu bukan sahaja mampu bertahan, malah turut berupaya meluaskan pasarannya meliputi Asia dan Eropah.

Kisah hidup Jiah Khan akan difilemkan

Posted: 27 Jun 2013 06:22 AM PDT



JIAH KHAN


MUMBAI - Pengarah Bollywood Rikshhit Matta mendedahkan rancangan untuk menerbitkan filem yang menyorot kehidupan aktres yang meningkat naik, Jiah Khan.
Rikshhit berkata, dia memberikan judul Bold Bollywood untuk filem tersebut.
"Laporan media tentang kisah tragis kematian Jiah memberikan saya semangat untuk menghasilkan filem ini. Kejayaan di Bollywood adalah sukar dan terlalu banyak keperitan yang perlu ditempuhi," kata Rikshhit.
"Filem ini juga akan mendedahkan sisi gelap kehidupan bintang Bollywood," ujarnya.
Jiah yang membintangi filem Housefull ditemui mati di apartmennya pada 3 Jun lalu dan disemadikan di tanah perkuburan Santa Cruz dekat sini. Aktres itu membunuh diri ketika dia berusia 25 tahun.
Teman lelakinya, Suraj Pancholi ditahan polis kerana disyaki membantu Jiah membunuh diri.
Filem Bold Bollywood akan dibintang barisan muka baharu iaitu Hazel Keech, Sandeepa Dhar, Shweta Bharadwaj, Rajpal Yadav dan Manoj Joshi.

Kapal angkasa China kembali ke Bumi

Posted: 27 Jun 2013 06:21 AM PDT



GAMBAR yang disiarkan agensi berita Xinhua semalam menunjukkan tiga angkasawan China (dari kiri) Zhang Xiaoguang, Nie Haisheng dan Wang Yaping (wanita).


BEIJING - Kapal angkasa China, Shenzhou-10 selamat kembali ke Bumi semalam, menurut siaran stesen televisyen rasmi negara berkenaan.
Shenzhou-10 mendarat selepas melakukan misi angkasa lepas paling lama dalam sejarah China.
Membawa tiga angkasawan termasuk seorang wanita, kapal angkasa itu mendarat di tanah besar China selepas 15 hari berada di angkasa lepas.
Mereka berada di orbit bagi membantu Beijing mencapai matlamat membina sebuah stesen angkasa lepas kekal menjelang tahun 2020.
Rakaman stesen televisyen China menunjukkan Shenzhou-10 mendarat pada pukul 8.07 pagi (waktu tempatan) di kawasan padang rumput wilayah autonomi Inner Mongolia di utara negara itu.
Sejurus selepas kapal angkasa itu menyentuh Bumi, sekumpulan juruteknik bergegas untuk mengeluarkan ketiga-tiga angkasawan tersebut.
China pertama kali menghantar manusia ke angkasa lepas hanya pada tahun 2003 manakala keupayaan negara itu dilihat tidak setanding Amerika Syarikat dan Rusia.
Namun, Beijing bercita-cita tinggi menerusi program angkasa lepasnya termasuk misi menghantar manusia ke Bulan.

Vokal manipulasi teknologi

Posted: 27 Jun 2013 06:19 AM PDT




JIKA dilihat dari sudut positif, kehadiran ramai penyanyi baharu memberi gambaran pertambahan penyanyi pelapis dan ia juga menjadi pencetus kepada perkembangan industri hiburan tempatan.
Bagaimanapun, apa yang menjadi persoalan adakah kemunculan barisan penyanyi baharu itu memenuhi kualiti yang dimahukan industri muzik negara?
Ada yang beranggapan kemunculan penyanyi baharu, terutamanya penyanyi berkumpulan dilihat kurang bersedia dari segi mental dan fizikal. Lebih malang, ada yang memiliki vokal yang teruk.
Begitupun, penyanyi kumpulan itu tetap diterima, malah menjadi kegilaan remaja khususnya wanita.
Adakah perkara itu disebabkan wajah cantik atau kacak yang dimiliki? Mungkinkah kerana lagu-lagu mereka catchy atau mudah diingat, di samping lirik yang kebanyakannya bertemakan percintaan, persahabatan dan seksual yang bersesuaian dengan jiwa anak-anak muda zaman sekarang?
Perkara itu seterusnya menjadi pelaris kepada penjualan single atau album mereka, biarpun pada hakikatnya, kualiti vokal yang dimiliki tidak bagus.
Mengulas mengenai perkara tersebut, penyanyi hebat yang sering dijemput sebagai pengkritik program-program realiti nyanyian televisyen, Ziana Zain melontarkan pandangan beliau.
Penyanyi baharu tiada jiwa
"Memang kalau dilihat pada masa ini, penyanyi yang tiada rupa tetapi memiliki vokal yang hebat tidak berjaya dalam industri. Sebaliknya, bagi mereka yang tidak memiliki vokal yang hebat tetapi ada rupa berjaya pula dalam industri," ulas pelantun lagu Madah Berhelah itu kepada Kosmo!.
Pada hakikatnya, kata Ziana, nyanyian penyanyi-penyanyi baharu tidak mempunyai jiwa dan sebutan lirik juga tidak begitu jelas.
Berbanding penyanyi-penyanyi lama, ujar Ziana, mereka bekerja keras untuk menghayati melodi dan lirik sesebuah lagu.
"Lagu-lagu sekarang banyak dipengaruhi oleh muzik luar seperti K-Pop. Mereka sebenarnya tidak boleh menyanyi dengan bagus sebaliknya sekadar miming.
"Namun, itulah selera generasi sekarang. Mereka mahukan lagu yang sebegitu, tambahan dengan rupa penyanyi yang kacak," jelas Ziana.
Mengulas mengenai hala tuju penyanyi baharu dan perkembangan industri muzik pada masa akan datang, kata Ziana lagi, industri seni tidak mampu berbuat apa-apa kerana ia juga adalah kemahuan generasi semasa.

ONE (kanan) bersama tiga anggota Forteen yang lain (dari kiri), Aris, Izzue dan Ameerais. Forteen pernah dikritik kerana memanipulasi wajah dan penampilan anggotanya untuk meraih populariti.


Ulasnya, dulu syarikat rakaman akan memastikan artis-artis di bawah naungan mereka berkualiti. Sebaliknya sekarang, siapa sahaja boleh menjadi penyanyi popular hanya menerusi laman internet seperti YouTube.
Begitupun, ujar Ziana, penyanyi-penyanyi baharu ini dilihat tidak akan bertahan lama. Ziana juga tidak menolak hakikat ada penyanyi baharu yang bagus.
"Tidak semua penyanyi baharu tidak bagus. Ada segelintirnya sangat bagus tetapi tidak begitu menyerlah - Najwa Mahiaddin contohnya," katanya.
Jelas Ziana lagi, penyanyi baharu juga dimanjakan dengan teknologi yang mampu menjadikan vokal mereka kedengaran hebat ketika merakamkan lagu.
"Penyanyi lama tidak mempunyai teknologi untuk membantu dalam rakaman album seperti sekarang. Kadang-kadang sampai berjam-jam merakam lagu untuk jadikan nyanyian sempurna dari segi penghayatan dan juga kawalan nafas," ujarnya.
Komposer tersohor, Mohd. Faizal Maas atau lebih dikenali sebagai Ajai pula turut menyuarakan pandangannya mengenai album tidak bermutu yang dihasilkan oleh penyanyi baharu.
Katanya, penyanyi yang belum layak merakamkan album itu akan memberi kesan negatif kepada industri muzik tempatan.
"Dalam industri muzik sekarang, ada pihak khususnya syarikat rakaman menjadikan wajah sebagai pertaruhan sekali pun tanpa berbekalkan bakat nyanyian yang sewajarnya," ujarnya.
Tambahnya, keghairahan syarikat rakaman menerbitkan album penyanyi berdasarkan wajah juga membuatkan kehadiran penyanyi kurang persiapan mental dan fizikal itu tumbuh bak cendawan selepas hujan.
Dalam pada itu, Kosmo! turut mendapatkan pandangan beberapa kumpulan muzik baharu seperti Forteen, Klangit dan Roman mengenai isu berbangkit.
Klangit tidak malu dikritik
Lagu Sesal Mendua alunan kumpulan Klangit sememangnya meraih perhatian peminat muzik.
Namun, ketika membuat persembahan secara langsung di pentas Anugerah Industri Muzik ke-19 (AIM19), lontaran vokal penyanyinya iaitu Ary atau nama sebenarnya Muhamad Nur Hadre Ayub gagal dipersembahkan dengan baik.
Akibatnya, Klangit yang terdiri daripada Ary (vokalis), Mohd. Izwan Ahmad Mahayuddin atau Ewan (gitar utama) dan Mohd. Haris Muhamad atau Haris (gitar bass), dikritik hebat peminat yang mengatakan kualiti vokal mereka tidak setara dengan populariti lagu tersebut.
Mengulas mengenai perkara itu, ujar Ary, dia tidak berasa malu dikritik peminat kerana dia sedar mengenai perkara itu.
Bagaimanapun, dia berharap dapat belajar dan mendapat tunjuk ajar daripada karyawan yang sudah lama dan terbukti hebat dalam bidang nyanyian.
"Saya akui tidak pernah masuk kelas vokal. Cuma, saya ada timba sedikit pengalaman menyanyi dengan Adi Sixth Sense dan juga kumpulan Sofarz. Saya tidak malu dikritik mengenai vokal saya kerana sememangnya saya perlu banyak belajar. Saya anggap kritikan itu sebagai cabaran untuk buat lebih baik pada masa akan datang.
"Saya juga berharap mendapat tunjuk ajar vokal daripada penyanyi Jamal Abdillah yang saya rasakan memiliki vokal yang hebat," ujarnya kepada Kosmo!.
Klangit mula menyertai industri muzik sejak tahun 2008 menerusi lagu Gelisah dan Mungkin, tetapi hanya mula meniti populariti selepas kemunculan single Sesal Mendua.
Mengulas mengenai perkara itu, Ary mendedahkan, amat penting memiliki lagu yang menarik untuk dihayati biarpun vokal penyanyinya tidak bagus.
"Memang penting bagi seseorang yang tidak memiliki vokal hebat mendapat lagu yang sedap didengar. Apa-apa pun ia juga bergantung kepada rezeki seseorang penyanyi itu," jelasnya lagi.
ARY (tengah) pernah dikritik memiliki vokal yang teruk ketika membuat persembahan secara langsung di pentas Anugerah Industri Muzik ke-19 (AIM19).


One nasihat rakan Forteen
Menurut vokalis kumpulan Forteen, Muhammad Ridzuan Sharifuddin atau dikenali sebagai One pula, kumpulan Forteen pernah dikatakan tidak mempunyai vokal yang bagus tetapi popular berlandaskan rupa ketika awal pembabitan mereka dahulu.
"Memang pada awalnya Forteen ada menerima kritikan tetapi lama-kelamaan, peminat tahu bahawa kami bukan sebuah kumpulan yang bergantung pada rupa paras sebaliknya mereka nampak kekuatan vokal kami," jelasnya.
One memberitahu, sebagai penyanyi baharu, sememangnya dia perlu melengkapkan diri dari segi vokal.
Ujarnya yang pernah dinobatkan sebagai Artis Harapan Terbaik AIM ke-13 ketika menyanyi secara solo, dia banyak memberi tunjuk ajar dan nasihat dari segi penghayatan lagu kepada rakan-rakan Forteen lain iaitu Saifu Ridzuan Abd Hamid (Ariz), Mohd. Arif Ameerais Azhar (Ameerais) dan Muhammad Izzul Islam Mazlan (Izzue).
"Selepas menyertai Forteen, saya ada memberi sedikit tunjuk ajar kepada rakan-rakan dalam kumpulan itu dan berkongsi pengalaman saya sebagai penyanyi solo sebelum bersama Forteen.
"Selain saya, Ariz, Ameerais dan Izzue sebenarnya masing-masing ada latar belakang muzik.
"Kami juga sudah membuktikan mampu menyanyi secara langsung dan berjaya memenangi anugerah Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik pada AIM19," ujarnya.
Penyanyi runut bunyi
Vokalis kumpulan Roman iaitu Mohd. Farouk Abdul Razak atau Farouk pula mendedahkan, Roman ditubuhkan semata-mata untuk projek runut bunyi drama.
Antara lagu Roman yang popular termasuklah Roman (menampilkan Kilafairy, untuk drama Tihany di TV9), Major Problema (menampilkan Marsha Milan Londoh bagi drama Paan Hafiz, TV3), Wujud (menampilkan Miera Tilu untuk drama Tujuh Ramadan) dan Hanya Di Aidilfitri (menampilkan Kilafairy).
Bagaimanapun, kumpulan yang dianggotai Farouk, Nasnoor Zulfadhli Mohd. Nasiruddin atau Edd dan Ahmad Rostam Abdul Rashid atau Otam itu turut mendapat jemputan membuat persembahan secara langsung pada Anugerah Blokbuster kedua yang berlangsung pada 15 Jun lalu.
Malangnya, Roman dikatakan gagal membuat persembahan dengan baik pada acara tersebut.
Mengulas mengenai perkara itu, kata Farouk, dia mengakui berasa gementar kerana buat kali pertama mengadakan persembahan.
Tidak malu dengan kritikan itu, ujar Farouk, dia akan bekerja keras untuk memperbaiki mutu suaranya pada masa akan datang.
Mengulas mengenai faktor penyanyi baharu diterima peminat, ulas Farouk, semuanya bergantung kepada rezeki setiap penyanyi itu selain memperoleh lagu yang hebat yang mampu memikat hati pendengar.

Teknologi interaktif mendidik kanak-kanak

Posted: 27 Jun 2013 06:17 AM PDT



SUATU ketika dahulu, kanak-kanak hanya bermain anak patung, set masakan, set kereta dan boneka-boneka plastik. Namun kanak-kanak hari ini sejak kecil lagi sudah didedahkan dengan pelbagai gajet berteknologi tinggi seperti komputer, laptop, tablet, kamera atau Play Station.
Malah, antara gajet paling popular yang kini menjadi pilihan kanak-kanak ialah tablet kerana ia mobil, ringan dan lebih interaktif.
Bahkan, jika beberapa tahun lalu, harga seunit tablet mungkin mencecah RM2,000 ke atas, namun hari ini pada harga RM800 ibu bapa sudah boleh menjadikannya sebagai medium pembelajaran si kecil.
Di luar negara, mengikut laporan Pemantau Media Ofcom, lebih separuh daripada kanak-kanak berusia tiga dan empat tahun di Amerika Syarikat sudah mengetahui cara-cara mengendalikan tablet terutamanya iPad.
Ternyata situasi yang sama juga tidak asing di negara ini. Sophia Nadine Hazrul Nizam, 3, contohnya sudah berjinak-jinak dengan iPad sejak berusia setahun lebih gara-gara kepelbagaian aplikasi permainan yang ditawarkan menerusi gajet tersebut.
Lebih interaktif
Melihat ketangkasan jari-jari kecil Sophia yang membelek-belek satu persatu aplikasi permainan itu, ternyata si kecil berkenaan sememangnya mahir menggunakan iPad. Sophia rancak menggeser skrin sentuh untuk mencari aplikasi kegemarannya.
Ibu Sophia, Dina Nur Azhana Mohd Nawawi, 29, berkata, melalui gajet itu dia boleh berinteraksi dengan lebih interaktif dengan anak sulungnya itu.
Dina mengakui terdapat banyak kelebihan gajet-gajet berteknologi seperti iPad kerana pada usia setahun lebih, anak manjanya itu boleh menguasai abjad ABC dan kiraan satu hingga 10 dengan baik.
"Walaupun dia gemar melayari laman web dan bermain permainan tetapi hakikatnya, dia mampu menguasai pembelajaran dengan cepat dan mudah," tuturnya sambil memberitahu, anaknya itu meneroka teknologi berkenaan dengan sendiri.
SOPHIA sentiasa ditemani ibunya ketika menggunakan komputer riba.


Bagaimanapun Dina mengakui sama seperti kebanyakan ibu bapa lain, obsesi anak-anak terhadap gajet seperti iPad adakalanya membimbangkan dirinya.
Malah, dia risau sekiranya membenarkan anaknya menggunakan iPad sejak kecil adalah satu tindakan yang kurang tepat serta mengganggu tumbesaran dan kemahiran sosialnya.
Dina memberitahu, apabila anaknya itu tidak mahu melepaskan iPad, dia terpaksa mengalihkan perhatian anaknya dengan permainan fizikal seperti set permainan untuk mengurangkan kebergantungan iPad sebagai hiburan.
Selain itu, kongsi kakitangan swasta tersebut, dia juga terpaksa memujuk Sophia secara perlahan-lahan dengan mewujudkan aktiviti-aktiviti lain seperti membaca buku, mewarna dan membawanya ke taman permainan.
Bagi mengulas perkara itu, Dekan Fakulti Sains dan Tingkah Laku di Universiti HELP, Dr. Goh Chee Leong berkata, otak si kecil sejak dilahirkan sehingga berumur 10 tahun sebenarnya telah mula mencari maklumat-maklumat baharu.
Justeru, dia berpendapat penggunaan teknologi itu pada masa kini tidak mendatangkan kesan negatif berbanding televisyen.
Menurutnya, pada kebiasaan golongan kanak-kanak akan menghabiskan masa yang lama apabila menonton televisyen, bagaimanapun proses pembelajaran di TV tidak berlaku secara dua hala.
Begitupun, senarionya berbeza dengan penggunaan telefon pintar atau iPad.
Kebiasaannya purata masa antara 15 hingga 20 minit diambil oleh kanak-kanak untuk melayari aplikasi atau permainan kegemaran mereka dan menariknya ia menjana kecerdasan otak si kecil melalui aktiviti-aktiviti interaktif.
Kanak-kanak mampu mempelajari pelbagai topik menerusi tablet misalnya mengenali huruf abjad, cara-cara menyebut nama-nama binatang dan banyak lagi.
"Pada usia ini, jika pembelajaran tidak dijalankan secara interaktif, ia sebenarnya tidak berguna," pintasnya.
Kawalan ibu bapa
Bagaimanapun, akui Chee Leong golongan ibu bapa perlu mengawal dan mengawasi penggunaan tablet dalam kalangan kanak-kanak.
"Tempoh masa menggunakan haruslah secara sederhana selain jenis permainan, aplikasi dan laman web yang dilayari tidak bersifat negatif yang boleh memberi kesan kepada minda si kecil," ujarnya.
Sehubungan itu, ibu bapa turut disarankan membawa anak-anak melakukan aktiviti yang menyihatkan tubuh seperti bermain di taman permainan, mengayuh basikal atau mewarna.
Ia bagi memastikan kanak-kanak tidak terlalu obses dengan tablet selain memahirkan mereka bergaul dengan orang sekeliling.
Dalam pada itu, Chee Leong turut memuji teknologi tablet menerusi skrin sentuh kerana kanak-kanak mampu mengakses maklumat yang banyak berbanding komputer. Teknologi skrin sentuh kini juga sudah banyak diaplikasikan pada laptop.
"Perkara yang menarik mengenai teknologi skrin sentuh, ia mudah digunakan berbanding menggunakan tetikus yang adakalanya menyukarkan," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

CHEE LEONG menunjukkan aplikasi pembelajaran yang sesuai menjadi rujukan dan bahan bacaan kanak-kanak.


Bercerita lanjut mengenai teknologi skrin sentuh, Chee Leong memberitahu, anak lelakinya yang berusia tiga tahun juga gemar menggunakan teknologi berkenaan untuk melayari aplikasi-aplikasi menarik.
"Dia berminat dengan cerita atau gambar-gambar yang berkaitan dengan air misalnya air terjun, sungai dan air pancut jadi, saya serta isteri akan membawanya ke lokasi yang mempunyai ciri-ciri dengan air.
"Namun, pada hari ini dengan menggunakan teknologi terbaharu, anak saya bukan sahaja boleh melihat malah mampu membina ciri-ciri gambar yang berkaitan dengan air," jelasnya sambil menyifatkan teknologi tersebut mampu menjadikan kanak-kanak sebagai peneroka dalam dunia internet.
Teknologi mesra kanak-kanak
Sementara itu, Pengurus Perhubungan Awam Intel Malaysia dan Singapura, Zalinda Zainon berkata, pihaknya menawarkan teknologi baharu yang bersesuaian untuk semua lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak.
Kemudahan teknologi skrin sentuh seperti tablet dan laptop dilihat memudahkan kanak-kanak belajar dengan interaktif dan pantas. Menerusi satu sentuhan sahaja, kanak-kanak boleh melayari aplikasi-aplikasi yang terkandung di dalam gajet itu.
"Ia sesuai digunakan oleh kanak-kanak yang berusia dua hingga lima tahun dengan kawalan ibu bapa," katanya.
Tambah beliau, jika sebelum ini hanya golongan dewasa boleh menggunakan teknologi tetapi pihaknya kini memberi peluang yang sama kepada golongan kanak-kanak untuk turut merasai keseronokan.
Penggunaan gajet boleh membantu ibu bapa mengawal anak-anak yang aktif daripada bertindak di luar kawalan mereka.
Bagaimanapun, beliau berharap ibu bapa tidak bersikap lepas tangan dan membiarkan anak-anak mereka bermain gajet secara bersendirian.

Air bersih untuk 32 kampung di Sabah

Posted: 27 Jun 2013 06:16 AM PDT


KUMPULAN sukarelawan syarikat Coca-Cola dan Raleigh International yang terlibat dalam projek khas di Sabah bergambar bersama-sama.


PERCUBAAN melaksanakan projek Air Bersih Untuk Komuniti di Sabah oleh syarikat Coca-Cola Malaysia dan pertubuhan amal luar negara, Raleigh International, telah berkembang menjadi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang signifikan.
Projek yang telah mencecah usia tujuh tahun itu memberi manfaat besar kepada 32 buah kampung di kawasan pedalaman negeri itu.
Menerusi projek berkenaan, kedua-dua pihak telah membantu membangunkan sistem paip yang berupaya membekalkan air menggunakan kuasa graviti secara terus ke kampung terbabit.
Segalanya bermula pada tahun 2006 apabila sekumpulan belia sukarelawan Raleigh melawat Kampung Paus yang terletak jauh di pedalaman daerah Ranau.
Melihat keadaan penduduk kampung yang terpaksa menempuh perjalanan jauh bagi mengangkut air dari sungai ke rumah, kumpulan belia yang berumur antara 17 hingga 25 tahun itu lantas terfikir untuk membangunkan sistem saluran air paip itu.
Projek itu mendapat sokongan daripada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri.
Mereka berpendapat kekurangan atau ketiadaan bekalan air bersih dalam cuaca tropika Malaysia yang sering mengalami hujan lebat adalah sesuatu yang pelik.
Jadi sesuatu harus dilakukan untuk mengatasi masalah itu.
Kurangkan beban
Pengarah Hal Ehwal Korporat dan Komunikasi Coca-Cola Malaysia, Kadri Taib berkata, sukarelawan terbabit turut dibantu oleh masyarakat tempatan khususnya dalam mengenal pasti sumber air bersih dari sungai berdekatan.
Kemudian, katanya, sebuah empangan dibina di kawasan punca air yang terletak di kedudukan yang lebih tinggi daripada perkampungan terbabit. Selepas itu, saluran paip dipasang di dalam empangan itu sebelum disalurkan ke kawasan kediaman.
"Dengan cara ini, air sungai boleh sampai terus ke rumah mereka. Penduduk tidak perlu lagi bersusah payah menggunakan baldi atau tong untuk mengangkut air dari sungai. Pemandangan wanita dan kanak-kanak yang terpaksa menanggung beban yang berat dan berjalan jauh sepatutnya tidak lagi kelihatan," katanya.
Kadri berkata, masyarakat luar bandar yang tinggal di kawasan terpencil dan hanya dapat diakses melalui jalan berlumpur bergantung kepada sumber air terdekat seperti sungai atau mata air bagi meneruskan kehidupan.

KEGIGIHAN sukarelawan yang sanggup tinggal lama dalam persekitaran yang serba asas demi tugas wajar dipuji.


"Selama beberapa tahun ini, saya dapat melihat keazaman dan kesungguhan sukarelawan belia Raleigh yang mahu membantu mengatasi masalah penduduk di pedalaman Sabah.
"Kami mempunyai lebih 870 orang sukarelawan yang melaksanakan projek ini. Mereka sentiasa bersemangat dan tidak pernah mengeluh walaupun terpaksa tinggal dalam persekitaran yang sukar selama beberapa minggu," ujarnya.
Sinar baharu
Sehingga hari ini, Kadri berkata, projek tajaan Coca-Cola bernilai RM645,000 itu telah membawa sinar baharu kepada lebih 15,000 penduduk yang kini dapat menikmati kemudahan air bersih untuk kegunaan harian.
Menurutnya, pada penghujung April lalu, projek yang sama turut diadakan di tiga buah kampung di daerah Pitas iaitu Kampung Bulud Batu, Boribi dan Pinapak.
Sama seperti kampung yang sebelum ini tidak mempunyai sumber air bersih, penduduk kampung berkenaan bergantung kepada tadahan air hujan atau perigi sebagai sumber bekalan air.
Seorang penduduk, Rodiah Aleng berkata, apabila air dari sumber tersebut kehabisan, mereka terpaksa menempuh perjalanan jauh bagi mendapatkan air sungai.
"Kami amat gembira. Tidak dapat saya gambarkan perasaan apabila membuka pili dan melihat air bersih mengalir keluar dari situ," kata ibu kepada dua orang anak ini.
Rodiah berkata, sebelum ini dia akan menaiki kereta ke sumber air terdekat dari kampung itu bagi menadah air dan mengisinya ke dalam bekas plastik untuk kegunaan selama seminggu.
Namun, perkara itu tidak lagi perlu dilakukan dengan adanya projek Air Bersih Untuk Komuniti oleh Coca-Cola dan Raleigh di negeri itu.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines