Selasa, 11 Jun 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Awake craniotomy elak risiko lumpuh

Posted: 10 Jun 2013 03:52 PM PDT



KETIKA memandu kereta sekitar pertengahan bulan Januari lalu, seluruh tubuhnya tiba-tiba terasa kebas. Selang dua hari kemudian, rasa kebas itu berulang dan membuatkan pesakit yang hanya mahu dikenali sebagai Is, 31, merasa seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena pada tubuhnya.
Enggan terus tertanya-tanya dengan keadaan diri, Is lantas mendapatkan pemeriksaan doktor. Is diminta merujuk ke hospital dalam kadar segera selepas melakukan pemeriksaan kesihatan di sebuah klinik swasta.
Doktor pakar yang bertugas di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) mengesahkan dia menghidap tumor otak peringkat kedua.
Berita yang diterima cukup mengejutkan. Beliau terasa dunianya kelam. Pelbagai lintasan bermain-main ke dalam fikirannya kerana pembedahan perlu dilakukan sesegera mungkin bagi mengelakkan perkara lebih buruk berlaku.
Lebih membimbangkan, kakitangan sebuah syarikat swasta itu, dinasihatkan agar menjalani pembedahan tersebut dalam keadaan sedar bagi mengurangkan risiko lumpuh sebelah badan.
"Saya terkejut ketika disahkan doktor menghidap tumor otak kerana saya tidak mempunyai masalah kesihatan sebelum ini.
"Jika diberi pilihan, saya mahu ia dilakukan tanpa sedar kerana takut dengan apa yang akan terjadi sepanjang pembedahan berlangsung," jelasnya yang menjalani pembedahan pada 8 Februari lalu.
Bagaimanapun, setelah berbincang dengan isteri, Nawal Rashid, 30, dan ahli keluarga lain, Is akhirnya bersetuju dengan cadangan doktor untuk menjalani pembedahan secara sedar atau awake craniotomy.
Nawal ketika diberitahu tentang keadaan suaminya cuba mendapatkan pandangan jiran dan keluarga yang pernah mengalami simptom sama. Nawal akhirnya akur dengan cadangan doktor untuk pembedahan tersebut.
"Kami menurut nasihat pakar kerana peluang untuk sembuh lebih besar sekiranya pembedahan dibuat ketika dia sedar.
"Syukur segalanya berjalan lancar walaupun tangan kiri suami saya sukar diangkat selepas menjalani pembedahan," katanya lega.

KETUMBUHAN otak sebesar duit syiling 20 sen yang berjaya dikeluarkan dari kepala Is.


Berbual ketika dibedah
Sebelum pembedahan membuang tumor diteruskan, Is dibius dengan ubat pelali kira-kira setengah jam lebih awal bagi membolehkan tempurung kepalanya dibedah tanpa rasa sakit. Kesan awal membuatkan dirinya mula berasa kebas di bahagian muka hingga ke pinggang.
Bagaimanapun, ketika pembedahan awake craniotomy dijalankan, Is dalam keadaan sedar selepas tempurung kepalanya dibuka. Is perlu memberi tindak balas sepanjang pembedahan dijalankan. Seorang pakar bius, Dr. Esa Kamaruzaman, bertugas memastikan Is sentiasa berinteraksi dengan pasukan doktor pakar di dewan bedah tersebut.
Melalui rakaman video yang ditayangkan kepada pengamal media, Is jelas dilihat boleh berbual seperti biasa dengan Dr. Esa dan kadangkala dilihat tersenyum semasa dibedah.
Doktor pakar yang mengetuai pembedahan tersebut iaitu Prof. Madya Dr. Ramesh Kumar menjelaskan, pesakit perlu menjalani pembedahan dalam keadaan sedar bagi membolehkan pembuangan tumor secara maksimum.
Teknik pemetaan
"Ia bagi mengelakkan pesakit mengalami kehilangan fungsi penting seperti komunikasi, persepsi dan pergerakan semasa pembedahan dilakukan.
"Ketumbuhan tersebut terletak di bahagian yang mengurus deria, pergerakan dan pertuturan pesakit," katanya.
Tambahnya, awake craniotomy merupakan kaedah terbaik untuk memastikan pesakit tidak terjejas dengan kemungkinan kerosakan fungsi tubuh badan akibat pembedahan.
Sepanjang tempoh pembedahan pembuangan tumor, pasukan pakar bedah menggunakan teknik pemetaan otak bagi mengenal pasti bahagian yang boleh terdedah kepada kecederaan fungsi deria, pertuturan dan motor korteks pada otak.

KAWASAN yang dikenali sebagai eloguent cortex ditandakan sebagai kawasan larangan pembedahan.


Contohnya, apabila tumor tumbuh di bahagian kritikal otak, penentuan lokasi saraf yang mengawal pertuturan adalah amat penting. Teknik pemetaan tersebut melibatkan penggunaan arus elektrik ringan terhadap permukaan otak yang terdedah sementara pesakit dikehendaki berinteraksi seperti bercakap atau membaca.
Sekiranya rangsangan yang diberikan menghalang interaksi (bercakap atau membaca), bahagian otak tersebut akan ditanda dan dipelihara.
Teknik yang biasa digunakan ketika pembedahan awake craniotomy ialah dengan menidurkan pesakit untuk keselesaan dan keselamatannya. Bius akan disuntik secara berhati-hati bagi membolehkan pesakit bercakap, bergerak dan berinteraksi dengan pakar saraf. Kebiasaannya, pesakit hanya mengalami ketidakselesaan yang minimum walaupun dibedah dalam keadaan sedar.
Selepas prosedur pemetaan otak selesai, tumor dibuang sepenuhnya walaupun pada ketika itu pesakit dan pakar bius masih berinteraksi. Kemudian, pesakit akan dibius sekali lagi untuk ditidurkan bagi membolehkan pakar saraf menamatkan pembedahan secara selamat.

Keterujaan di Sanrio Hello Kitty

Posted: 10 Jun 2013 03:51 PM PDT



MINATNYA terhadap watak animasi Hello Kitty berputik sejak tahun lalu sebaik terpandang sebuah kalkulator comel berona merah jambu. Kalkulator itu dihiasi reben di bahagian tepinya berserta gambar Hello Kitty.
Sejak itu, apa sahaja barang-barang Hello Kitty mula mencuri perhatiannya. Namun, tidak semua barang yang ditemui terus dibeli Norhusna Abdul Rashid, 24, kerana harganya yang agak mahal.
Menurut Norhusna, faktor yang menyebabkannya meminati watak animasi itu dipengaruhi oleh kecenderungannya terhadap warna merah jambu.
"Kebanyakan barang Hello Kitty ini mahal, jadi saya perlu mengumpul duit terlebih dulu sebelum membelinya.
"Boleh dikatakan kebanyakan barangan Hello Kitty dibeli sendiri selain pemberian ibu, Normah Habeeb yang tahu mengenai minat saya terhadap Hello Kitty," katanya yang telah menghabiskan hampir RM700 bagi memenuhi keinginannya.
Anak tunggal yang berasal dari Kuala Lumpur itu tidak merasakan bahawa minatnya itu bersifat keanak-anakan kerana setiap koleksi barangan Hello Kitty mempunyai rekaan khusus untuk golongan dewasa dan kanak-kanak.
Minat Norhusna diterima baik oleh ahli keluarga terutama Normah yang selalu menghadiahkan barangan Hello Kitty kepadanya.
"Suami pun tidak kisah dengan keterujaan saya terhadap Hello Kitty, malah anak saya yang berusia dua tahun pun memahaminya dan tidak pernah mengganggu barang-barang Hello Kitty milik saya.
"Barang Hello Kitty yang paling saya sayang ialah beg tangan pemberian ibu sempena hari lahir saya tahun lalu," ujarnya sambil memberitahu beg tersebut sering dibawa ke mana-mana.
Antara koleksi barangan Hello Kitty dalam simpanan ibu kepada seorang anak itu ialah pengecas mudah alih, kotak sabun, dompet, cermin, kasut dalam rumah dan lampu meja. Selain itu, beliau juga menyimpan bingkai gambar, telefon bimbit, jam tangan, rantai, pin rambut dan sebagainya.

PERSEMBAHAN pentas dan pelbagai jenis permainan pasti membuatkan persinggahan di Sanrio Hello Kitty lebih menyeronokkan.


Teruja dengan kewujudan Sanrio Hello Kitty Town di Taman Tema Keluarga Puteri Harbour di Nusajaya, Johor Bahru, Johor, Norhusna memasang impian untuk ke sana suatu hari nanti.
Pada bulan Mac lalu, penulis berpeluang berkunjung ke Sanrio Hello Kitty Town bagi memenuhi undangan pihak Themed Attractions and Resorts Sdn. Bhd.
Walaupun Hello Kitty tidak termasuk dalam senarai animasi kegemaran penulis, saat melangkah masuk ke Sanrio Hello Kitty Town, ia seolah-olah mesin pengembara masa lalu yang membawa penulis ke zaman kanak-kanak.
Lebih mengujakan apabila kedatangan kami disambut mesra oleh maskot Hello Kitty dan Dear Daniel di pintu masuk Sanrio Hello Kitty Town.
Selain kanak-kanak, orang dewasa juga teruja merakamkan gambar kenang-kenangan bersama maskot tersebut.
Melangkah masuk, segala-galanya ada di depan mata. Antaranya termasuklah permainan tunggangan cawan Wishful Studio, Dream Photo Garden, rumah Kitty, Black Wonder serta bilik parti Apple dan Strawberi.
Di Wishful Studio, pengunjung terutamanya kanak-kanak boleh melakukan aktiviti merias kuku, mencipta barangan kemas, menghias biskut dan menyarung kostum watak Sanrio.
Penulis mendekati seorang kanak-kanak lelaki bernama Christopher Dswari, 12, dari Jakarta, Indonesia yang sibuk mewarnakan kukunya.
"Sudah tentu seronok berada di sini kerana dapat bermain dengan bebas tanpa merisaukan ibu bapa.
"Jika di Indonesia saya mewarnakan kuku, memasang loket pada rantai dan membuat biskut, pasti saya ditertawakan oleh rakan-rakan, tetapi di sini saya berpeluang membuat semua ini kerana semua orang melakukan perkara yang sama," katanya sambil tersenyum riang.
Lebih menarik, pengunjung diberi kesempatan melawat rumah Kitty yang mempunyai susun atur menarik.
Terdapat enam bahagian dalam rumah Kitty iaitu ruang tamu, dapur, bilik air, bilik Kitty, bilik rahsia dan bilik Mimmy.
Jika terasa penat dan lapar, para pengunjung boleh menikmati minuman dan pastri bertemakan Hello Kitty yang lazat seperti jeli dan wafel Hello Kitty di Red Bow Cafe atau di Cinnamoroll Cafe.

DI The Little Big Club, kanak-kanak pasti seronok mencuba pelbagai jenis permainan.


Hello Kitty Town
"Tempat ini sangat sesuai dikunjungi oleh kanak-kanak. Ia memberikan pengalaman baharu yang sangat menarik.
"Ia bukan saja memberikan keseronokan dalam bentuk hiburan semata-mata, malah merangsang perkembangan otak dengan membuat rantai, biskut dan sebagainya. Pada masa yang sama ia turut memupuk hubungan antara ibu dan anak dengan lebih rapat," kata Santy Irdawati Saharan, 30, dari Kota Kinabalu, Sabah.
Pendapat tersebut turut dikongsi oleh pelancong Indonesia, Hanny Setiawan, 37, yang datang bersama saudara kembarnya dan anak-anak.
"Berbaloi datang ke sini dan ia sangat menyeronokkan," ujarnya sambil membantu memakaikan rantai untuk anaknya Aurelia Dinata, 9.
Andai anak anda bukan penggemar Hello Kitty, destinasi karakter lain seperti Bob the Builder, Barney, Angelina Ballerina, Pingu serta Thomas & Friends yang terletak di aras dua dan tiga harus dikunjungi.
Inilah kali pertama lima watak global yang dikenali sebagai The Little Big Club ditempatkan di dalam taman tarikan bertema tunggal. Ia sekali gus menambahkan lagi keaslian dan ciri eksklusif Taman Tema Keluarga Puteri Harbour.
The Little Big Club menampilkan pelbagai permainan tunggangan dan aktiviti interaktif berdasarkan tema watak HIT Entertainment.
Ciri utama taman tema tersebut ialah kepelbagaian permainan tunggangan yang menakjubkan dan interaktif untuk kanak-kanak daripada tunggangan Bob's Can-Do Crew sehinggalah tunggangan pengaut.
Bina rumah dengan Bob
Kanak-kanak juga dapat mengunjungi Bob's BIG Play Structure dan Build with Bob Interactive Playhouse yang memberi peluang kepada mereka untuk membantu pembinaan rumah di Bobsville.
Di situ mereka boleh membantu Bob meletakkan batu-bata, memasang rangka pintu dan tingkap, menyusun dapur dan bilik air.
The Little Big Club juga menampilkan Barney dan rakan-rakan yang mengadakan persembahan secara langsung. Pengunjung berpeluang menikmati keseronokan ketika berada di set permainan serupa seperti yang ditayangkandalam siri televisyen.
KANAK-KANAK berpeluang menari balet bersama Angelina Ballerina.


Tarikan lain yang menonjol ialah Angelina's Camembert Academy yang menampilkan permainan interaktif seperti Dodgeball, Musical Squares dan Bug Invasion untuk peminat Angelina Ballerina.
Terdapat juga kelas tarian yang diadakan menggunakan imej janaan komputer (CGI) Angelina Ballerina dan rakan-rakannya Miss Mimi, Vici, Gracie dan A.Z. Kanak-kanak akan diajar untuk melakukan gerakan tarian yang menyeronokkan.
Aras tiga menampilkan watak Thomas & Friends yang menawarkan pelbagai permainan tunggangan termasuklah kereta bamper klasik.
Pengunjung juga dapat menaiki Bertie The Bus, Harold's Helitours, Colin Crane Drop dan mengunjungi Stesen Permainan Sir Tophammhatt.
Kedengaran jeritan dan tawa riang kanak-kanak yang mencuba pelbagai permainan di situ.
Terdapat juga bilik parti Thomas & Friends untuk kanak-kanak menyambut hari lahir bertema yang menyeronokkan bersama watak kegemaran mereka.
Pengunjung juga berkesempatan mencuba dinding pembelajaran sensor dan tunggangan serta simulator papan salji. Semua tarikan ini terdapat di aras dua.
Sungguhpun penulis dan rakan media lain tidak termasuk dalam kategori kanak-kanak, kami begitu teruja dan menjadi 'kanak-kanak' bermain beberapa permainan yang disediakan.

Kelainan menjamu selera di Lat's Place

Posted: 10 Jun 2013 03:50 PM PDT


INILAH rupa hidangan pembuka selera yang dinamakan Meor's Hot and Cold Platter.


RASA penat akibat perjalanan dari Kuala Lumpur ke Taman Tema Keluarga Puteri Harbour, Nusajaya, Johor yang mengambil masa lebih kurang lima jam terubat apabila kehadiran kami disambut mesra kakitangan Lat's Place.
Melangkah masuk ke Lat's Place mengembalikan nostalgia kehidupan di kampung dengan bunyi cengkerik dan siulan burung walaupun ia hanya menggunakan audio.
Dari pintu masuk sehinggalah rombongan media dipersilakan duduk, senyuman manis petugas tidak lekang dilemparkan kepada kami.
Makanan dihidang dengan tudung saji comel membuatkan penulis tidak sabar menjamah hidangan pembuka selera berupa otak-otak, kerabu mangga dan udang bersama tembikai susu.
Hidangan lazat itu mungkin sama seperti di tempat lain, namun Lat's Place ada kelainan yang mahu ditonjolkan.
Di Lat's Place, pengunjung akan melalui pengalaman dihidangkan sajian dengan cara yang unik dan menghiburkan.
Ala drama muzikal bersiri Glee, kakitangan Lat's Place menyanyi sambil menari apabila menghidangkan makanan kepada pengunjung. Ya, ia pengalaman baharu bukan sahaja kepada penulis, bahkan tetamu yang singgah di Lat's Place.
Sambil menjamu selera, muncul watak-watak kartun Lat seperti Pak Ali, Mrs. Hew, Tong, Anna, Meor dan Rani pada beberapa layar yang mengelilingi kawasan menjamu selera.
Bukan sekadar watak pegun biasa, watak-watak itu berinteraksi dengan pengunjung seolah-olah mereka melihat apa yang kami sedang lakukan.
Tidak lama kemudian kedengaran bunyi beduk yang mengiringi masuk empat kakitangan lelaki dan wanita bersama pongkes, jala serta bubu memulakan nyanyian selamat datang mengalu-alukan kehadiran kami.

HIDANGAN pembuka selera untuk kanak-kanak yang menyelerakan.


Menurut Pengurus Besar Themed Attractions and Resort (TAR) PH Holdings Sdn. Bhd., Peter Xavier, Lat's Place yang dibuka secara rasmi kepada orang ramai pada Februari lalu merupakan sebuah restoran yang mengangkat tema animasi.
"Ia mengetengahkan serta menghidupkan watak-watak kesayangan kartunis tersohor Datuk Mohd. Nor Khalid atau Datuk Lat.
"Konsep muzikal di Lat's Place memberikan pengunjung pengalaman menikmati hidangan dalam suasana interaktif berlatarbelakangkan kisah-kisah Lat yang bertemakan sebuah kenduri masyarakat Malaysia dan aktiviti-aktiviti komuniti," katanya sambil memberitahu Lat's Place merupakan restoran tema animasi pertama seumpamanya di Malaysia.
Tambahnya, konsep muzikal membolehkan penonton dan kakitangan Lat's Place untuk berinteraksi dalam suasana menyeronokkan.
"Lat's Place menerima maklum balas positif daripada pelanggan yang memuji keunikan konsep ini. Kami menjangkakan lebih ramai pengunjung pada bulan-bulan akan datang," ujarnya.
Sesi menjamu selera interaktif itu yang mengambil masa 80 minit benar-benar menghiburkan. Pengunjung yang sporting turut diajak menari joget lambak dan menyanyikan lagu Can Mali Can pada penutup persembahan.

Pasaran global kopi Vietnam

Posted: 10 Jun 2013 03:49 PM PDT


DIEM melihat pokok kopi yang ditanam di ladangnya di Buon Ma Thuot, Vietnam.


KEBANYAKAN pekebun kopi di Vietnam tidak pernah mendengar double tall skinny latte, tetapi mereka boleh memberitahu anda harga biji kopi yang sering kali bermain dalam fikiran mereka.
Bermula daripada sistem pengairan Israel berteknologi tinggi hingga ke harga terkini bagi komoditi tersebut yang disemak melalui khidmat pesanan ringkas, pertanian kopi di Central Highlands, Vietnam semakin berkembang maju sejak Perancis memperkenalkan tanaman kopi di negara Indo-China itu lebih satu abad lalu.
"Sebelum ini, saya membawa kopi untuk dijual di pasar dengan menggunakan basikal tetapi kini saya perlu menyemak harga biji kopi terlebih dahulu melalui telefon bimbit sebelum memulakan perjalanan," kata seorang pekebun berusia 44 tahun, Ama Diem.
Dengan menghantar mesej CA ke nombor 8288 dari mana-mana telefon mudah alih di Vietnam, para pekebun akan menerima harga biji kopi Robusta di London dan harga biji kopi Arabica di New York daripada firma bekalan data.
Para pekebun yang peka dengan harga komoditi kedua paling banyak didagangkan di dunia selepas minyak itu mampu menjana pendapatan lebih dengan cepat.
"Kami hanya menjual kopi di pasaran apabila betul-betul yakin ia dapat dijual pada harga yang tinggi.
"Kami membuat semakan harga banyak kali sebelum menjualnya," kata Diem kepada AFP di ladang kopinya di Buon Ma Thuot.
Pasaran global
Pekebun kopi di Vietnam telah mengubah pasaran global. Jika anda mengambil secawan kopi pagi ini, kemungkinan besar anda merasai kenikmatan biji kopi Vietnam atas jenama Nestle dan Britain's Costa Coffee yang merupakan antara pembeli utama.
Pada tahun 1980, Vietnam menyumbang kurang daripada 0.1 peratus, namun ia meningkat kepada kira-kira 13 peratus pada tahun 2000. Pertumbuhan mendadak itu menyebabkan kejatuhan harga kopi dunia pada tahun 1990-an.
Bagaimanapun, ada harga yang perlu dibayar apabila berlakunya kebangkitan tanaman seperti kopi di Central Highlands.
Segelintir minoriti pribumi telah kehilangan tanah mereka kerana memberi laluan kepada ladang berskala besar yang diusahakan sebahagian besarnya etnik Kinh yang berhijrah ke rantau tersebut.
Kini, negara komunis itu menjadi pengeluar kopi kedua terbesar dunia, tetapi ia dilihat sebagai pengeluar pada skala besar dan bukannya dari segi kualiti.
Rasa pahit Robusta telah memenangi beberapa anugerah di peringkat antarabangsa. Kopi tersebut kebanyakannya dieksport sebagai biji kopi mentah.
"Kopi Vietnam merupakan satu fenomena yang menakjubkan," kata Jonathan Clark yang merupakan Ketua Pengarah Pengeksport Kopi Dakman.
Katanya, eksport melonjak tinggi tahun lalu hampir menyaingi Brazil yang merupakan pengeluar dan pengeksport terbesar dunia.
Tahun lalu, Vietnam mengeksport 1.73 juta tan kopi bernilai $3.67 bilion (RM10.97 bilion) dan menyumbang lebih 50 peratus daripada Robusta di dunia yang digunakan untuk membuat kopi segera atau campuran.

PARA pekerja memasukkan biji kopi dalam plastik di sebuah kilang di Vietnam.


Intai peluang
Clark memberitahu, penggunaan kopi di Asia semakin meningkat. Syarikat-syarikat pemanggang kopi turut mengintai peluang di negara kos rendah yang tidak mengenakan sebarang cukai ke atas eksport kopi untuk menjalankan operasi mereka di rantau ini.
Presiden Starbucks Asia Pasifik, Jinlong Wang memberitahu, ekoran penggunaan kopi yang terbantut di Barat, Vietnam menyasarkan pencinta kopi daripada golongan kelas pertengahan.
Starbucks membuka premis pertamanya di selatan Bandar Raya Ho Chi Minh Februari lalu dan bakal membuka beratus-ratus lagi pada masa akan datang di negara tersebut.
Tanah gunung berapi di Vietnam sangat sesuai untuk penanaman kopi yang mendapat permintaan tinggi.
Menurut Raja Kopi Vietnam, Dang Le Nguyen Vu, peminat kopi lebih banyak menggunakan jenis Arabica yang mengandungi 1.5 peratus kafein. Ia menyamai 2.5 peratus kekuatan Robusta.
Pengasas kepada penanaman kopi gergasi tempatan, Trung Nguyen yang mempunyai 55 premis minuman kopi di Vietnam dan lima di Singapura begitu teruja meletakkan kopi Robusta Vietnam di peta dunia.
"Robusta bukanlah berkualiti rendah. Cuma, apa yang berlaku di seluruh dunia kini ialah mereka telah belajar untuk menikmati kopi Arabica," kata Vu dalam satu temu bual di Kampung Trung Nguyen di Buon Ma Thuot, Vietnam.
Sebahagian besar tugas syarikat Trung Nguyen adalah untuk meningkatkan kualiti biji kopi tempatan, bekerja dengan pekebun bagi memperkenalkan sistem pengairan berteknologi tinggi, mengurangkan penggunaan racun perosak dan meningkatkan pendapatan mereka.
Trung Nguyen sudah mengeksport kopi ke 60 buah negara. Sementara itu, Ngunyen Vu memberitahu, kewujudan kafe Starbucks di Vietnam telah meningkatkan keazamannya untuk membuka beberapa kafe di Amerika Syarikat.
Kafe tersebut akan menawarkan cara tradisional orang Vietnam menikmati kopi pekat yang dibancuh di dalam bekas penapis individu.
"Kita mesti dapat mengatasi Starbucks. Kita harus menawarkan sesuatu yang lebih menarik bagi pengguna di Amerika Syarikat.
"Saya mahu seluruh dunia memahami bahawa kopi orang Vietnam adalah terbaik, terbersih dan paling istimewa," ujar Vu.

Busana Muslimah inspirasi Prof. Muhaya

Posted: 10 Jun 2013 03:47 PM PDT



TREND sering dijadikan ukuran bagi penghasilan sesuatu gaya. Sama ada di luar atau di dalam negara, majoriti pengusaha butik atau pereka fesyen lazimnya merujuk kepada perkembangan trend semasa dan gaya hangat yang menjadi ikutan masyarakat dunia.
Begitu juga dalam konteks fesyen Muslimah. Ketika ini, gaya-gaya turban dan selendang dengan inspirasi puak atau geometri dirasakan wajib dimiliki setiap wanita. Begitu juga dengan baju kurung dan jubah dengan potongan moden yang menjadi pilihan rata-rata golongan Hawa.
Rantaian fesyen sebegitu tidak membelenggu butik Modest Culture. Malah jenama yang ditubuhkan sejak bulan November tahun lalu itu dengan beraninya mencipta trend Muslimah tersendiri tanpa perlu runsing terhadap saingan industri fesyen Muslimah yang lain.
"Alhamdulillah, kami berjaya membentuk kelompok pengikut tersendiri dan penerimaan masyarakat terhadap jenama ini semakin berkembang," ujar Pengarah Urusan Modest Culture, Noor Atiyah Azmi, 28, ketika ditemui Stailo.
Modest Culture diwujudkan atas inspirasi pakar motivasi terkenal, Profesor Dr. Muhaya Mohamad dan Noor Atiyah yang merupakan salah seorang anak Muhaya.
Benih idea kelahiran Modest Culture bermula pada penghujung tahun lalu. Ia sememangnya menjadi impian Muhaya mahu mewujudkan jenama fesyen peribadi untuk wanita Muslimah.

JENAMA ini mula mendapat perhatian masyarakat melalui sentuhan Islamik.


Bermula dengan jualan tudung, Modest Culture beroperasi secara talian pada peringkat pengenalan. Jubah menjadi item kedua di bawah jenama itu. Akhirnya mereka sepakat membuka butik khusus bagi menempatkan item-item Modest Culture.
"Butik ini dilancarkan pada bulan lalu. Sambutan yang diterima amat menggalakkan terutamanya pada hujung minggu apabila ibu sendiri turun ke butik," tambah Noor Atiyah.
Rekaan-rekaan Modest Culture merupakan hasil usaha Muhaya bersama pereka butik yang dilantiknya. Paling penting, bagi memastikan setiap helaian item jualannya menepati garis panduan aurat wanita, Modest Culture turut merujuk kepada seorang ustaz bagi menutup keraguan pelanggan.
Penggunaan fabrik utama seperti likra dan kapas likra juga membuatkan jubah-jubah di Modest Culture praktikal. Hanya tinggal disarungkan tanpa perlu bersusah payah menggosoknya.
Menurut Noor Atiyah, likra menjadi pilihan Modest Culture atas sebab keselesaan. Penggunaan warna-warna gelap pada busana mereka berjaya menyembunyikan bentuk tubuh secara ketara.
Begitu juga dengan tudung-tudung di butik itu. Semuanya labuh menutup dada. Noor Atiyah berkata: "Hanya bahagian tepi tudung tidak menutupi penuh bahu. Berdasarkan konsultasi daripada ustaz, ia tidak mengapa dan masih menepati syariat Islam.
"Bahagian depan tudung pula kami terapkan teknik twist bagi memberi efek berombak agar gaya tidak tampak terlalu mendatar."

NOOR ATIYAH (kiri) mengusahakan butik Modest Culture bersama ibu, Prof. Muhaya (kanan) yang banyak memberi panduan dan nasihat.


Signatur Muhaya
Menyelak sehelai demi sehelai jubah di Modest Culture, langkah pasti terhenti di rak Prof. Muhaya Signature. Set jubah lengkap dengan tudung yang sering menjadi gaya rasmi Muhaya dipamerkan di rak tersebut.
Menggunakan nama Get It Right The First Time, koleksi itu menawarkan baju dan kain berasingan dengan corak pada kain dan tudung direka senada. Baju pula dibiar kosong tanpa sebarang motif agar penampilan tidak sarat.
Mereka yang bercadang ke Tanah Suci Mekah bagi mengerjakan umrah atau haji digalakkan memiliki sehelai bolero daripada Modest Culture. Jubah berkonsep tanpa lengan itu didatangkan dalam dua warna gelap dan bebas tanpa sebarang corak.
Untuk kemudahan pakaian di rumah pula, kardigan panjang mungkin idea yang baik. Ia sangat praktikal saat menerima kunjungan tetamu di luar jangkaan. Kesuntukan masa untuk bersiap menjadikan item ini pilihan terbaik bagi menutup aurat dengan sempurna.
Jubah Elegance potongan A di bawah koleksi Modest pula menepati cita rasa wanita muda. Motif ceria yang tidak terlalu menyerlah membuatkan si pemakai kelihatan sederhana namun masih menarik.
Khusus bagi golongan ibu yang hamil atau dalam tempoh menyusukan anak, jubah Nursing Mum dengan nama Smart Mum pasti memberi keselesaan yang memuaskan hati.
Mengambil rekaan serupa daripada koleksi Modest, perbezaan jubah Smart Mum terletak pada bahagian dada yang mempunyai bukaan bagi tujuan penyusuan.
"Kesemua pakaian di Modest Culture dijual dalam jumlah terhad. Sehubungan itu nilai eksklusif bagi sehelai pakaian di sini amat tinggi," jelas Noor Atiyah yang turut menambah bahawa saiz jubah di butik itu terdiri daripada S, M, L dan XL.

BOLERO tanpa lengan sesuai dipakai ketika mengerjakan umrah atau haji di tanah suci.


Solat Ready
Himpunan tudung Modest Culture pula menyaksikan koleksi Solat Ready sebagai item paling hangat dalam kalangan pelanggan. Setiap tudung direka dengan labuh yang sama pada bahagian depan dan belakang.
"Tudung disediakan dalam saiz S dan M sahaja buat masa ini. Apa yang membezakan setiap tudung ini adalah saiz lilitan muka.
"Pelanggan juga boleh memilih sama ada mahukan tudung pelapik keras dengan motif-motif yang pelbagai atau tudung pelapik lembut yang direka polos. Tidak lama lagi kami akan keluarkan tudung dengan cetakan paisley," ungkap Noor Atiyah.
Mereka yang membelanjakan RM200 ke atas secara automatik layak untuk menjadi ahli MC Friends Club. Ia memberikan kelebihan kepada ahli menikmati potongan item-item terpilih dan tawaran semasa.

Seri perincian daisi

Posted: 10 Jun 2013 03:45 PM PDT

RENDA bunga daisi di pergelangan baju menyerlahkan penampilan.


PERCIKAN rona-rona terang seperti kuning, merah, merah jambu dan hijau tiffany pada dres Quratul Daisy itu seolah-olah menghidupkan aura kewanitaan penuh elegan.
Ditambah pula dengan perincian ringkas bunga daisi pada kedua-dua pergelangan tangan dres tersebut, nilai eksklusif busana Muslimah itu kian terpapar.
Apa yang menarik pada dres keluaran butik KZ Nabihah itu ialah materialnya yang ringkas dan keselesaan pengguna. Likra khas yang diimport dari Korea menjadikan Quratul Daisy tidak panas dipakai malah sesuai digayakan pada majlis-majlis formal.
"Fabrik likra yang kami gunakan tidak melekap pada badan seperti kebanyakan likra. Sehubungan itu, kesopanan seseorang wanita masih terjaga tambahan pula potongan setiap pakaian kami memang sengaja dibuat longgar bagi menutup pinggang.
"Pelanggan kami masih boleh berfesyen dan pada masa yang sama, menutup aurat mengikut syariat yang ditetapkan Islam. Memang pakaian kami tiada yang direka pendek," jelas pengasas KZ Nabihah, Nabihah Ab. Rahman, 24, ketika ditemui Kosmo!.
Selain warna-warna terang, Quratul Daisy juga didatangkan dalam rona gelap seperti coklat, biru gelap dan hitam. Perincian renda bunga daisi yang melingkari kawasan pergelangan baju pula disesuaikan mengikut warna utama dres.
"Bahagian lain pada dres ini tidak diberi sebarang perincian agar ia tidak terlalu sarat dan praktikal dipakai secara harian," tambah Nabihah yang memiliki Diploma Pertanian daripada Kolej Risda Melaka.
Dres yang disediakan dua helai itu juga menekankan penggunaan kain polos senada dengan baju. Memandangkan trend peplum kembali diminati golongan wanita pada masa kini, Quratul Daisy juga menggunakan jenis potongan tersebut cuma ia disuntik elemen sopan.
Saiz bagi Quratul Daisy bermula daripada XS sehingga 6XL. Ia dijual pada harga RM175 sepasang. Kata Nabihah: "Kami turut menjual tudung dan selendang moden pada harga serendah RM9."

Romantika rasa di Romanza

Posted: 10 Jun 2013 03:43 PM PDT

DEKORASI dan pencahayaan minimum menghidupkan suasana romantik restoran ini.


MEMBELOK kenderaan ke simpang kanan Jalan Ampang dari arah pusat bandar raya Kuala Lumpur bakal menemukan anda dengan Lorong Nibong. Ada sesuatu yang menjentik keterujaan di sebalik kesepian Lorong Nibong itu.
Di kiri kanan lorong sempit itu berdirinya beberapa restoran eksklusif yang menjadi pilihan kebanyakan golongan ekspatriat. Cukup bertuah perniagaan restoran fine dining di situ. Mana tidaknya, hampir keseluruhan kawasan tersebut dipenuhi pejabat kedutaan pelbagai negara.
Barangkali masyarakat tempatan sedikit gentar untuk berkunjung ke barisan restoran di situ. Bimbang harganya tidak menepati isi poket yang dibawa. Namun persepsi itu ternyata tidak benar. Cuba anda melangkah ke dalam Romanza Le Restaurant yang telah beroperasi sejak setahun lalu.
Saat pintu restoran itu ditolak, pandangan pasti terpukau dengan dekorasi berkonsep klasik dari segenap sudut. Gambar-gambar legenda ternama dunia seperti Andrea Bocelli, Aishwarya Rai dan Charlie Chaplin menghiasi dinding restoran tersebut.
Inspirasi
"Saya perlu berterima kasih kepada penyanyi kegemaran saya, Andrea Bocelli yang banyak memberi inspirasi kepada hiasan dalaman Romanza. Muzik-muzik romantisnya juga mencetuskan idea saya menamakan restoran ini sebagai Romanza yang bermaksud romantik dalam bahasa Itali.
"Susun atur, pemilihan perabot sehinggalah kepada napkin dan hiasan dalaman restoran ini saya lakukan sendiri," jelas pemilik Romanza, Shena Mohamed, 33, ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

DUCK confit merupakan antara hidangan utama di Romanza.


Sesudah melabuhkan punggung di atas kerusi empuk restoran itu, anda boleh terus menelaah menu yang diberikan pelayan. Untuk pembuka selera, anda disarankan memesan chicken caesar salad yang menjadi antara kegemaran pelanggan di Romanza.
Hirisan kepingan dada ayam bersama salad mentega rangup yang dihidangkan dengan aioli ikan bilis pasti memberikan keenakan berganda kepada tunas rasa.
Jika bosan dengan juadah ayam atau ikan, apa kata tukar kebiasaan itu kepada itik. Duck confit hidangan Romanza sangat enak apabila diadun bersama rempah dan sos buatan mereka sendiri.
Sempurnakan makan malam romantik anda bersama pencuci mulut istimewa seperti chocolate marquis atau raspberry sorbet. Manisan eksotik itu mampu meninggalkan momen indah anda di Romanza.
Setiap resipi di Romanza dipilih dan ditetapkan oleh Ketua Chef, Steven Kruger yang diterbangkan dari Afrika Selatan. Bagaimanapun, Shena masih terlibat secara langsung dalam penetapan menu yang ingin disajikan.
Anda juga jangan terkejut dengan harga berpatutan yang ditawarkan Romanza. Walaupun berstatus restoran fine dining, Romanza sebenarnya sangat bertimbang rasa dalam soal penetapan harga. Nyata perbandingan harga dengan servis, bahagian makanan dan suasana yang diterima menjadikan pelaburan di Romanza amat berbaloi.
Sebagai contoh menu chicken caesar salad dalam hidangan besar cuma berharga RM23.
Selain dibuka bagi pengunjung restoran pada waktu malam, Romanza turut menawarkan servis katering.

Gajet penjimat minyak terkini

Posted: 10 Jun 2013 03:42 PM PDT

PEMASANGAN MP-R HD cukup mudah iaitu hanya cucuk ke tempat soket pencucuh rokok.


"BIASANYA dengan isian petrol sebanyak RM50, saya boleh ulang-alik selama empat hari dari rumah di Selayang ke tempat kerja di Damansara Utama. Menggunakan alat ini, saya hanya mengisi semula pada hari keenam. Alhamdulillah, jimat dua hari perjalanan."
Itulah antara komen wanita dikenali sebagai Sarah yang dibuat dalam laman web www.mpr4u.my berhubung kepuasannya menggunakan gajet penjimat minyak MaxPower Revolution (MP-R) keluaran syarikat Bumiputera, Kilauan Impian Sdn. Bhd. (Kilauan Impian). Sarah menggunakan kereta Honda Jazz untuk ke tempat kerja setiap hari.
Syarikat berkenaan yang telah memasarkan produk tersebut sejak lebih empat tahun lalu kini mengorak langkah dengan memperkenalkan gajet terbaharu bagi kenderaan berat dikenali sebagai MP-R Heavy Duty (MP-R HD).
Penggunaan gajet itu membolehkan pemilik kenderaan berat menjimatkan penggunaan minyak sehingga 30 peratus.
"Sebelum ini, kami mencipta gajet penjimat minyak khusus untuk kereta tetapi atas permintaan pengusaha-pengusaha lori terhasillah MP-R HD.
"Selain menjimatkan penggunaan minyak, MP-R HD turut menawarkan pelbagai keistimewaan termasuk menambah kuasa pecutan, memanjangkan jangka hayat alat ganti dan mengoptimumkan fungsi alat-alat elektronik kenderaan," kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shaharizal Ariffin.
Beliau ditemui pada majlis pelancaran gajet itu yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur baru-baru ini. Turut hadir, Pengerusi Kilauan Impian, Kapten (B) Shaharudin Ariffin.
Pada bulan pertama di pasaran sebanyak 2,000 unit MP-R HD telah dijual. Sehubungan itu, syarikat berkenaan menyasarkan jualan sebanyak 3,000 unit setiap bulan.

HAMZAH (tengah) melancarkan gajet penjimat minyak di Kuala Lumpur baru-baru ini.


Gajet tersebut telah memasuki pasaran Indonesia dan Thailand selain bakal menembusi Filipina serta Vietnam dalam masa terdekat.
Pada majlis tersebut turut dilancarkan MPR versi baharu untuk kegunaan kereta.
Stabilkan arus elektrik
Kedua-dua gajet jimat minyak itu berfungsi dengan menstabilkan arus elektrik kenderaan sekali gus memantapkan pembakaran bahan api, melancarkan pemanduan, mengurangkan tekanan terhadap enjin dan menambah kuasa pecut kenderaan.
Sementara itu, Hamzah berkata, pihaknya menyambut baik inovasi anak tempatan sekali gus menyatakan kesudian untuk bekerjasama mengetengahkan produk-produk terbaik ke pasaran antarabangsa.
"Di sinilah peranan Kementerian Luar sebagai agen kepada masyarakat dalam negara yang mahu memasarkan produk di peringkat antarabangsa. Menariknya langkah itu juga membolehkan rakyat negara luar untuk turut sama menikmati teknologi terkini dari Malaysia," katanya.
Orang ramai yang berminat boleh mendapatkan MP-R HD yang bersaiz kompak pada harga promosi iaitu RM299 manakala MPR pula berharga RM219 seunit.
Untuk maklumat lanjut berkaitan produk dan pengedar, layari laman web www.mpr4u.my dan www.fb.com.mpr4u atau hubungi talian 010-510 9300.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines