Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik |
- Mahu Tutup Buku, Fizz Fairuz Enggan Ulas Kontroversi
- Gambit dibenci peminat
- Minta maaf dulu: Julia Ziegler
- Mereka kejar mutu
- 45 individu ditahan reman
- BI bakal jadi subjek wajib lulus SPM
- Derita jerat cinta lelaki Flores
- Guna pangkat ATM mesti dengan izin
- Panggilan percuma di Facebook
- Ikan laga boleh dipos
- Kopi termahal di dunia
- Kopi halau makhluk halus
- Kafe tanpa pagar
- Lelaki berlari ibarat monyet
- Barang buangan jadi instrumen muzik
Mahu Tutup Buku, Fizz Fairuz Enggan Ulas Kontroversi Posted: 24 Feb 2013 01:54 AM PST Fizz atau nama sebenarnya Mohd Fairuz Zainal Abidin, 34, berkata, dia sekarang mahu melupakan terus peristiwa hitam itu untuk memberi fokus kepada bidang seni. "Saya mahu tutup buku. Saya tak mahu lagi bagi apa-apa kenyataan. Bukan sifat saya untuk memburuk-burukan orang," katanya seperti dilaporkan Melodi siaran TV3 pada Ahad. Pada 10 Februari lalu Fizz dilaporkan telah meminang seorang wanita bernama Azlyn Maissiela Mohd Nazar, 26, dalam satu majlis rahsia di Kuantan, Pahang. Bagaimanapun empat hari kemudian Fizz yang sebelum ini kekasih kepada pelakon Almy Nadia terpaksa memutuskan pertunangan itu selepas mendapat tahu wanita berkenaan adalah isteri orang. Seorang lelaki yang hanya dikenali sebagai Ramli mendedahkan dia telah bernikah dengan Azlyn Maissiela di Selatan Thailand sebagai isteri kedua tetapi tidak mendaftarkan pernikahan mereka di negara ini. Dalam pada itu Fizz mengaku apa yang terjadi ini adalah kesalahannya dan tidak berhasrat untuk mengingatinya lagi. "Apa yang saya fikirkan sekarang saya nak jaga hati mak saya. Itu saja. Yang lain-lain saya tak mahu komen. Cukuplah. "Saya juga tidak melarikan diri (dari media) cuma saya tak mahu ada pihak melaga-lagakan saya," katanya. | ||
Posted: 24 Feb 2013 01:53 AM PST
DALAM satu kaji selidik di sebuah laman internet mendapati 35 peratus daripada 587 pengundi mendakwa mereka benci menonton lakonan Gambit Saifullah. Semua rasa dan komen ini terhambat keluar selepas mereka menonton program realiti keluaran Astro, Fear Factor Selebriti Malaysia yang sedang rancak ke udara kini. Gambit dan pasangannya Alif Hadi menjadi pasukan yang paling mahu disingkirkan oleh pesaing yang masih tinggal. Bersikap kompetitif dan menjalankan strategi provokasi jelas membuatkan pasangan ini mendapat perhatian positif paling sikit daripada khalayak. Lebih-lebih lagi Gambit yang dilihat sebagai antagonis dalam Fear Factor ini. Memburukkan keadaan apabila pergaduhan antara Gambit dan Farish turut membuah kebencian dalam hati penonton. Gambit sedar akan hal itu. Dia tahu dia sedang berkarakter antagonis di mata khalayak. Namun dia mengakui bahawa tidak bermasalah dengan mana-mana peserta program tersebut malah persahabatan dengan Farish masih baik. "Jujurnya, saya tidak tahu apa-apa tentang arwah bapa Farish yang meninggal kerana lemas. Setelah selesai baru saya tahu," ujarnya yang dilihat tidak sensitif terhadap peserta Fear Factor. Dalam salah satu cabaran, Gambit menjalankan perang psikologi apabila menyatakan: "Aku harap ada yang akan lemas melakukan aksi ini." Gambit mendakwa, dia bersikap kompetitif kerana berada dalam sebuah game show di mana semua orang ingin menang. "Saya tertanya kenapa audiens tidak boleh faham dengan permainan program ini. Mereka terlalu sensitif dan tidak terbuka. Mereka perlu faham istilah game show," kesalnya yang merasakan bahawa penonton perlu memandang daripada sudut produksi dan permainan program. Pada awalnya, dia mengaku enggan terlibat dalam program realiti ini malah tidak terfikir untuk menjadi antagonis dalam permainan Fear Factor. "Saya tidak terfikir untuk jadi jahat. Saya tahu permainan game show ini kerana saya juga merupakan seorang produser dan ada produksi sendiri. Sesebuah game show memang mempunyai elemen psikologi. Itu strategi dalam permainan," katanya yang mendapat banyak luahan tidak puas hati dan kebencian di laman sosial, Twitter. Ditanya tentang persahabatannya dengan selebriti lain dalam Fear Factor, Gambit mengaku mereka tidak bersengketa. "Saya baik dengan semua orang. Saya tidak tahu kalau mereka terasa tentang psikologi saya tetapi sejauh ini kami baik. Saya dan Farish masih boleh main bola di padang sama-sama. Begitu juga dengan Johan dan Kaka, kami bersahabat," jelas pelakon filem Karipap Karipap Cinta ini. "Mungkin juga khalayak terbawa-bawa dengan cerita-cerita lama saya yang mengatakan saya poyo dan sombong. Ini lebih menokok tambah rasa benci penonton. Bagus juga untuk permainan Fear Factor. Cara suntingan itu yang menampakkan saya jahat. Tetapi penonton kena bijak mentafsir," senyumnya yang juga mendapat pujian khalayak kerana memberi rencah keseronokan dalam Fear Factor. Lebih memburukkan keadaan apabila laman peminat Facebook milik Gambit diganggu seseorang yang mengakui sebagai dirinya. Pengurus Gambit, Lina Merican mendakwa, ada individu menyamar di laman Facebook sebagai Gambit dengan menggunakan nama dan gambarnya. "Apabila saya letakkan status, dia akan memberi komen dengan carutan dan kata-kata kesat. Walhal itu bukan Gambit. Saya tidak mahu peminat salah sangka dan memberi kesan buruk kepada Gambit," ujar Lina yang sudah membuat aduan kepada ibu pejabat Facebook namun tiada respons. "Ada juga jenis peminat yang gila nak jatuhkan saya. Saya sedar dan perasan apabila ada isu sahaja pasti 'peminat' ini akan masuk ke laman Facebook dan memberi komen. Memperlihatkan seperti saya memaki peminat," keluh Gambit. Ditanya tentang perkembangan terkini Gambit, dia yang masih cintakan bidang lakonan sedang mempersiapkan produksinya, Eightball Productions Sdn. Bhd. dengan sebuah program realiti berjudul Sesat. Kali ini Gambit bertindak sebagai produser, pengarah dan hos. Bakal dijalankan di Bandung selama dua minggu, Sesat yang akan disiarkan di saluran Astro Ria mengajak dan menduga selebriti tempatan tentang kemahiran mereka dalam melancong. Selain itu, Gambit juga sibuk mengikuti kelas vokal untuk muncul dengan single kelak dan memilih rock balada sebagai genre nyanyiannya. | ||
Minta maaf dulu: Julia Ziegler Posted: 24 Feb 2013 01:52 AM PST Pergaduhan antara dua aktres jelita ini tiba-tiba kembali hangat selepas dua tahun 'berperang'. Tegas Julia, bukan dia tidak mahu memaafkan perbuatan Sakinah yang didakwa memburuk-burukkannya sebelum ini, tetapi katanya, sehingga kini adik kepada pengacara terkenal, Sharifah Shahirah itu, belum meminta maaf dengannya. "Minta maaf dulu, baru saya maafkan dia (Sakinah). "Kalau kita buat salah, kita mesti minta maaf dengan orang itu dulu. "Tetapi dia nak jumpa dengan saya pun malu, macam mana saya nak maafkan dia," tegas Julia. Perang dingin antara Julia dan Sakinah dikatakan berpunca daripada Sakinah yang didakwa menghebahkan cerita yang tidak baik tentang Julia. Malah Julia juga pernah menyerang Sakinah dan juga kakaknya, Sharifah Shahira. Punca utama pergaduhan mereka juga dikaitkan dengan aktor sensasi, Gambit. | ||
Posted: 24 Feb 2013 01:40 AM PST
TIidak semua daripada tiga lelaki yang sudah bergelar suami ini terdiri dalam kelompok pelakon komersial. Tidak juga menjadikan badan berketak-ketak sebagai pelaris, sebaliknya masing-masing tampil dengan rasa dan jiwa tersendiri dalam mengalirkan kecintaan terhadap seni. Tidak keterlaluan untuk menggelarkan Khir Rahman, Que Haidar dan Soffi Jikan sebagai pelakon serba boleh. Sementelah beberapa karya yang melibatkan mereka sebagai pelakon menjadi sebuah naskhah yang hebat. Lakonan Que dalam filem-filem seperti KL Menjerit, Castello, Cinta, Haru Biru, Misteri Jalan Lama dan Legenda Budak Setan antara yang masih berbekas di hati penonton. Bagi Khir pula, watak Tun Mamat dalam naskhah Puteri Gunung Ledang, Amran Askor (Los & Faun) dan Kemawas (Hikayat Merong Mahawangsa) antara watak yang masih membayangi figura kelahiran Johor Bahru, Johor itu. Namun, lakonan Soffi sedikitpun tidak tenggelam biarpun hampir kesemua naskhah yang dilakonkannya sekadar pelakon pembantu. Buktinya, penonton masih terkesan dalam penampilan singkatnya menerusi filem Man Laksa, Zombie Kampung Pisang, Setem dan KL Gangster. Tiga aset dunia perfileman tempatan itu pernah tampil bersama menerusi sebuah karya garapan pengarah terkenal Mamat Khalid dalam Rock pada 2005. Biarpun sudah menjangkau hampir lapan tahun, masih ramai yang serasi menggelarkan mereka sebagai Amy Mat Piah (Que), Jijo (Khir Rahman) dan Zul Kapan (Soffi) seperti mana watak yang dibawakan mereka dalam filem itu. Sekali lagi untuk tahun ini, ketiga-tiga mereka kembali dengan sebuah naskhah sekuel filem tersebut, Rock Oo!: Rimba Bara Kembali. Selain diterajui nama hebat tersebut, Rock Oo! turut dibarisi pelakon Pekin Ibrahim sebagai Slash Haji Tapah dan Azmi Baharon (Mi Black). Sebelum tirai tayangan pada 28 Februari ini dibuka, Sensasi Bintang menyatukan mereka dalam satu sesi fotografi di Studio Utusan, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur baru-baru. Que tunggu filem seni Nama Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar atau Que Haidar sepi seketika daripada liputan media. Sementelah dia pernah mengumumkan untuk mengundurkan diri daripada dunia lakonan pada suatu ketika dahulu. Que yang kali terakhir muncul menerusi filem Legenda Budak Setan dan Misteri Jalan Lama pada dua tahun lalu, tiba-tiba muncul kembali secara 'terpaksa' dalam naskhah terbitan Primeworks Studios Sdn. Bhd. itu. "Sebenarnya saya tidak tahu tentang rancangan untuk filem itu (Rock Oo!), sehinggalah pada suatu hari Khir (Rahman) mengajak saya untuk lepak-lepak di Istana Budaya (Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur). "Tidak sangka pula saya tertipu kerana apabila sampai di sana, tiba-tiba muncul Mamat (Khalid) dan Pekin (Ibrahim) yang sudah merancang untuk berbincang tentang filem itu. Akhirnya saya terima untuk berlakon memandangkan skripnya bagus dan saya percaya pada kebolehan pengarahnya," ujar Que memulakan bicara. Kata suami kepada guru tari Linda Jasmine Hashim itu, buat masa ini dia masih kekal dengan kata hati untuk tidak lagi terlibat dalam dunia lakonan, melainkan jika syaratnya dapat dipenuhi. Hati Que akan terbuka untuk berlakon sekiranya ada pengarah yang mampu menyahut cabarannya untuk menghasilkan sebuah filem yang mempunyai nilai seni yang tinggi. "Saya sangat suka filem-filem yang dihasilkan oleh produksi di Iran. Banyak nilai seni terutamanya bab sinematografi. Kalau Khir mahu mengarah filem sebegitu mungkin saya tidak akan menolaknya," ujar Que berseloroh. Tambah lelaki berusia 34 tahun itu, dia berharap agar penyanyi pujaannya, Amy Search pergi ke panggung wayang untuk menonton Rock Oo! kerana lakonannya di dalam filem tersebut merupakan tanda apresiasi buat penggiat dunia rock. Dalam perkembangan lain, bapa kepada tiga orang cahaya mata itu kini sibuk dengan bengkel lakonan selain sedang mencari lokasi yang sesuai untuk membuka butik pakaian miliknya. Soffi tidak kejar nama Figura kurus, berambut panjang dan berkulit hitam manis ini tidak perlu dipertikaikan karismanya dalam bidang lakonan. Biarpun tidak bersandarkan pada paras rupa, Soffi tetap mencuri perhatian dengan lakonan bersahaja. Dia yang yang agak terbelakang dari segi populariti itu terjun dalam dunia hiburan bukan kerana nama, tetapi mencari kepuasan dalam dunia seni. "Sejujurnya apabila menerima tawaran berlakon, saya sekarang mengambil kira soal kualiti naskhah yang mahu dihasilkan. Soalan pertama yang saya ajukan apabila menerima tawaran ialah siapakah pengarahnya. Kemudian baru saya tanya apakah watak itu," ujar anak kelahiran Kuala Terengganu, Terengganu tersebut. Pelakon filem Bunohan itu yang pernah terlibat dalam beberapa naskhah garapan Mamat seperti Rock pada 2005, Man Laksa (2006), Zombie Kampung Pisang (2007), Kala Malam Bulan Mengambang (2008), Estet (2010) dan Rock Oo! (2013), ternyata serasi berkerja di bawah pengarah seba boleh tersebut. "Mamat antara pengarah paling kreatif di Malaysia. Bagi saya dia adalah Tim Burton (pengarah filem Dark Shadows) versi Malaysia. "Apabila diberikan tawaran berlakon dalam filem Rock Oo!, saya yakin filem itu akan berjaya. Apabila membaca skripnya, saya merasakan ia sebuah naskhah yang sedih. Tetapi saya menjangkakan penonton akan ketawa menontonnya," ujar pelakon, pengarah dan penulis skrip yang berusia 43 tahun itu. Tribute buat rock Tidak sekadar melemparkan pujian kosong, Khir yang merupakan pengarah filem kontroversi, Dalam Botol menjelaskan bahawa Mamat merupakan seorang pengarah berstatus 'bintang' yang mengangkat martabat filem tempatan. "Dia merupakan seorang pengarah yang genius. Dalam Rock Oo!, Mamat menggarapkan karya itu yang berunsur sedih tetapi penonton akan menerimanya dalam suasana humor," puji Khir kepada Mamat tanpa kompromi. Tambah Khir, biarpun hampir lapan tahun kemudian baharu muncul dengan naskhah sekuel tersebut, Mamat tidak akan berdepan risiko kerana masih ramai pengikut yang mengingati karya pertamanya itu. "Masih ada yang mengenali saya sebagai Jijo. Bahkan, ada yang percaya bahawa kumpulan Rimba Bara (seperti yang dianggotai Khir dalam filem Rock) adalah wujud," katanya. Jelas Khir, lakonannya dalam naskhah terbaharu itu merupakan salah satu cara untuk dia menyampaikan penghargaan buat penggiat rock. "Filem itu juga merupakan tribute daripada kami buat penggiat industri rock yang berjaya menghiburkan khalayak selama ini. Tidak mudah untuk bergelar penyanyi rock pada zaman dahulu. Babak berkongsi Maggi (mi segera) dalam filem itu merupakan salah satu kepayahan yang terpaksa ditempuhi untuk meneruskan impian," katanya lagi. Khir yang merupakan anak kepada pasangan penyanyi irama Pop Yeh-Yeh, Datuk A. Rahman Hassan dan Datin Azizah Mohamad kini bukan sahaja sibuk menguruskan jadual sebagai anak seni, bahkan menjalankan tanggungjawab sebagai seorang anak. "Keadaan ibu saya kini tidak berapa sihat. Selain sibuk mempromosikan filem Rock Oo!, saya juga banyak meluangkan masa untuk menjaga ibu bersama adik-beradik yang lain," tutup Khir yang bakal muncul dalam beberapa filem lagi untuk tahun ini. | ||
Posted: 24 Feb 2013 01:38 AM PST
BUKIT MERTAJAM - Polis semalam mendapat kebenaran daripada Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Bukit Mertajam untuk mereman 45 individu bagi membantu siasatan terhadap sindiket pemerdagangan manusia yang beroperasi dengan menjual bayi dan kanak-kanak selama empat hari hingga Selasa ini. Jumlah itu termasuk kes terbaharu membabitkan dua orang wanita yang ditahan dalam serbuan berasingan di Subang Jaya dan Cheras, Selangor kelmarin. Hasil kejayaan itu, polis berjaya menemui seorang lagi bayi lelaki berusia dua bulan, menjadikan jumlah keseluruhan bayi yang diselamatkan ialah 22 orang. Ketua Polis Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, kesemua mereka berusia antara 27 hingga 57 tahun terdiri daripada pekerja biasa dan profesional termasuk jurutera dan pensyarah. "Mereka ditahan bagi membantu siasatan menurut Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007. Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang tiga tahun dan tidak lebih 20 tahun serta denda," katanya. Menurut Abdul Rahim, kejayaan menyelamatkan seorang bayi berusia dua bulan daripada menjadi mangsa sindiket penjualan bayi dan kanak-kanak kelmarin selepas polis Pulau Pinang menyerbu sebuah rumah pada pukul 1 petang di USJ, Subang Jaya. Katanya, dalam Ops Pintas Sayang II itu, pihaknya turut menahan seorang wanita berusia 32 tahun dipercayai merupakan pembeli bayi berkenaan. Menurutnya, susulan penahanan wanita itu, polis menahan seorang lagi wanita di Cheras, Selangor pada hari sama bagi membantu siasatan. "Sehingga semalam (hari ini), kita berjaya menyelamatkan 22 bayi dan kanak-kanak yang dipercayai menjadi mangsa sindiket terbabit dan menahan 45 orang," katanya. Kelmarin, akhbar melaporkan, 21 bayi dan kanak-kanak diselamatkan di Selangor, Johor, Perak, Kuala Lumpur, Pahang, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang. Seramai 43 orang termasuk seorang wanita berusia lingkungan 50-an dipercayai dalang sindiket berkenaan ditahan. Pada 24 Januari lalu, polis Pulau Pinang berjaya membongkar sindiket menjual bayi dan kanak-kanak yang bergerak aktif di negeri ini, Kedah dan Perak apabila menahan 33 individu dan menyelamatkan lapan bayi serta seorang kanak-kanak. Siasatan awal polis mendapati, bayi dan kanak-kanak itu dijual antara RM18,000 dan RM30,000 berdasarkan fizikal, rupa paras dan jantina, lengkap dengan penyediaan pakej dokumen pendaftaran serta perubatan bayi dan kanak-kanak tersebut. | ||
BI bakal jadi subjek wajib lulus SPM Posted: 24 Feb 2013 01:37 AM PST KOTA KINABALU – Kerajaan sedia mengkaji untuk menjadikan mata pelajaran Bahasa Inggeris (BI) sebagai mata pelajaran wajib lulus di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, cadangan itu adalah untuk melahirkan lebih ramai modal insan yang mampu berfikir di luar kerangka. "Perancangan ini adalah antara yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 seperti mana perancangan kita untuk memperkasakan dua lagi mata pelajaran teras iaitu Matematik dan Sains," katanya dalam ucapan pada Himpunan Guru Muda 1Malaysia di sini semalam. Turut hadir Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman bersama-sama 5,000 guru muda dari Zon Wilayah Sabah dan Labuan. Beliau yang juga Menteri Pelajaran menambah, kerajaan berusaha keras untuk memastikan modal insan yang dilahirkan kelak mampu bersaing dengan negara-negara maju menjelang tahun 2020. "Sekiranya semua pihak sudah bersedia termasuk para pelajar, maka cadangan untuk mewajibkan setiap pelajar lulus Bahasa Inggeris dalam peperiksaan SPM akan dilaksanakan," ujarnya. Pada majlis berkenaan, Muhyiddin turut melahirkan penghargaan kepada guru-guru muda di Sabah dan Sarawak yang cekal dalam menjalankan tanggungjawab mendidik anak bangsa. Katanya, situasi yang dialami kumpulan guru-guru ini seperti mengharungi kepayahan ke sekolah dengan menyeberangi sungai, berjalan kaki dan sebagainya adalah satu pengorbanan yang besar. | ||
Derita jerat cinta lelaki Flores Posted: 24 Feb 2013 01:37 AM PST GEORGE TOWN - Seorang wanita dari Tanjung Dawai, Kedah mengalami pengalaman pahit selama enam tahun hidup menderita termasuk bekerja sebagai pembantu rumah dengan gaji 250,000 rupiah (RM80) sebulan gara-gara mengikut kekasihnya lari ke Pulau Flores, Indonesia. Bukan itu sahaja, Munirah Abdul Hamid, 22, yang menghilangkan diri selepas pulang dari sekolah pada tahun 2007, terpaksa bersabung nyawa dengan terjun ke laut dan berenang hampir sehari suntuk dari perairan Johor ke Pulau Batam, Indonesia. Mereka terpaksa berbuat demikian selepas bot yang dinaiki dari Tanjung Dawai itu ditahan pihak penguat kuasa maritim. Bagaimanapun, pengorbanan Munirah menjerat diri sendiri apabila lelaki tersebut bertindak meninggalkannya semasa mereka tiba di Pulau Batam. Akibatnya, Munirah terpaksa bekerja hampir dua tahun sebagai pembantu rumah di Batam dengan gaji RM80 sebulan sebelum dia membawa diri ke Pulau Adonara, Flores Timur. Sewaktu di pulau itu, dia berkenalan dengan duda, Mohd. Najib, 35, atau Yohanes (nama sebelum memeluk Islam) dan berkahwin pada tahun lalu. Pasangan itu dikurniakan seorang anak, Mohamad Tajul Azzez yang kini berusia sembilan bulan. "Pengalaman melarikan diri bukanlah indah tetapi amat menakutkan, cuma entah mengapa saya tidak teringat kepada keluarga, macam kena pukau. "Selepas ini saya mahu mulakan hidup baharu dan tidak akan pulang lagi ke sana (Indonesia)," katanya. Nasib Munirah hanya diketahui keluarganya selepas Mohd. Najib menelefon keluarga isterinya itu pada akhir tahun lalu. Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) dengan bantuan Wisma Putra, pemerintah Indonesia serta Penyelaras Parlimen Merbuk, Datuk Tajul Urus Md. Zain mengambil masa sebulan untuk membawa pulang Munirah sebelum tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang semalam. Sebaik keluar dari balai ketibaan, Munirah menerpa dan melutut di kaki ibunya, Robeah Hamid, 52, sebelum memeluk bapanya, Abdul Hamid Mat, 51, untuk memohon maaf. Dia turut ditemani Mohd. Najib Abdullah, 35, dan Mohamad Tajul. | ||
Guna pangkat ATM mesti dengan izin Posted: 24 Feb 2013 01:35 AM PST KUALA LUMPUR - Kementerian Pertahanan memandang berat isu penggunaan pangkat oleh pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bersara tanpa mendapat keizinan Majlis Angkatan Tentera (MAT). Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Seri Ismail Ahmad berkata penggunaan pangkat selepas bersara adalah satu kesalahan dan pegawai yang ingkar dengan arahan itu boleh dikenakan tindakan sewajarnya. "Kementerian memandang serius perkara ini. Mereka tidak boleh sewenang-wenangnya menggunakan semula pangkat (yang digunakan semasa) berkhidmat dengan ATM sedangkan mereka tidak dibenarkan oleh pemerintah tertinggi ATM iaitu Yang di-Pertuan Agong," katanya kepada pemberita selepas melawat Hari Terbuka Kementerian Pertahanan di The Curve, Damansara di sini semalam. Unit Komunikasi Korporat kementerian itu kelmarin mengeluarkan kenyataan yang antara lain menyebut proses pemakaian gelaran pangkat terkandung dalam Perintah Majlis Angkatan Tentera (PMAT) yang menetapkan syarat yang perlu ada pada seseorang pegawai sebelum layak menggunakan gelaran itu. "Ada yang telah bersara, kalau dia dibenarkan oleh MAT untuk gunakan pangkat berkenaan, mereka boleh gunakan pangkat itu, kalau telah ditamatkan, dan tak dibenarkan guna pangkat tu, seharusnya tak gunakan. Memang ada akta di bawah MAT. Kebanyakan pesara wajib dibenarkan (menggunakan gelaran pangkat)," katanya. Ismail berkata, pada masa ini terdapat beberapa pegawai bersara yang menggunakan gelaran pangkat itu setelah mendapat keizinan MAT. "Memang ada yang dibenarkan macam Kolonel bersara, Brig. Jen. bersara, tetapi bukan sewenang-wenangnya sebab ada yang telah dilucutkan. Secara puratanya tidak banyak yang boleh gunakan," katanya. | ||
Posted: 24 Feb 2013 01:32 AM PST SAN FRANCISCO, Amerika Syarikat - Facebook kelmarin membenarkan penggunanya membuat panggilan percuma kepada kenalan mereka di laman sosial berkenaan menggunakan aplikasi yang dibangunkan khusus untuk telefon pintar iPhone dan komputer tablet iPad. Aplikasi Facebook untuk gajet keluaran Apple itu mengeluarkan paparan apabila kenalan berada dalam talian dan memberikan pilihan untuk menghubungi mereka dengan menyentuh ikon yang tertera pada skrin iPhone atau iPad. Terkandung dalam versi Facebook 5.5, aplikasi tersebut turut memudahkan pengguna menghantar komen dan menyukai sesuatu kandungan di laman web itu. | ||
Posted: 23 Feb 2013 09:49 PM PST
TIDAK kiralah sama ada membesar di desa mahupun di kawasan kota, membela ikan laga mungkin menjadi antara memori zaman kanak-kanak paling unik buat sebahagian daripada kita. Kalau berduit lebih, ikan kecil pelbagai warna berekor kembang itu boleh dibeli di kedai dengan harga antara RM2 hingga RM10 seekor. Namun, bagi anak-anak desa pula, menangguk ikan laga di tali air merupakan aktiviti wajib setiap kali tiba cuti sekolah. Setelah ditangkap, ikan yang agak culas itu akan dipamerkan kepada rakan-rakan di dalam botol kicap berwarna jernih. Penampilan ikan itu seolah-olah sang pahlawan yang hidup bersendirian menarik minat kanak-kanak untuk membelanya. Tidak hanya untuk pameran, ikan sebesar kelingking itu akan turut diuji kejantanannya apabila dilagakan dengan ikan milik kawan-kawan. Hal itu antara kenangan zaman kecil yang turut dilalui oleh seorang peniaga yang kini menetap di Kuala Lumpur, Yazir Ahmad Sapri, 44. Pada suatu ketika dahulu, dia bersama rakan-rakan sekampung di Beruas, Perak akan turun ke sawah semata-mata mahu menangkap ikan laga. "Rupa ikan laga liar berbeza dengan yang komersial. Ia tidaklah secantik ikan laga yang banyak dijual di kedai kerana ekornya biasa sahaja. Cuma warnanya biru gelap dan merah gelap nampak cantik. "Kalau ternampak buih-buih halus berdekatan daun-daun yang terapung di dalam air yang tidak mengalir, itu tandanya ikan tersebut sedang menyorok di bawahnya. Hanya perlu tangkap dengan menggunakan penangguk sahaja," cerita Yazir sambil ketawa kecil tatkala mengenangkan situasi yang berlaku lebih 30 tahun lalu itu. Ketika ini dia masih membela ikan laga sebagai mengenang kembali nostalgia di zaman kanak-kanak. Bahkan, kata Yazir, melihat ikan-ikan tersebut berenang, mampu menenangkan fikirannya setelah penat bekerja. Biarpun masa berlalu, namun minat memelihara ikan laga tetap menjadi pilihan kanak-kanak pada zaman sekarang. Pelbagai jenis ikan hiasan yang dijual sedikitpun tidak mengganggu pasaran ikan laga, bahkan peminat baharu semakin bertambah dek fizikalnya yang unik sementelah mudah dipelihara. "Ikan laga bukan seperti ikan hiasan lain kerena ia memiliki sifat yang menonjol. "Kalau ikan-ikan lain sekadar berenang-renang dalam akuarium seolah tiada perasaan, tetapi ikan laga nampak seakan bijak. Ekor dan siripnya akan berkembang apabila berdepan ikan lain. Ia nampak cerdik dan berketerampilan," kata seorang peminat cilik, Mohd. Razrin Razali, 12. Jelas Mohd. Razrin, biarpun perlu peka terhadap kualiti airnya, namun untuk memelihara ikan itu tidaklah begitu leceh kerana ia mudah di jaga. Untuk membela ikan itu tidak memerlukan alat bantuan oksigen mahupun hiasan akuarium yang sarat. Yazir dan Mohd. Razrin, antara peminat ikan laga daripada dua generasi berbeza yang sering berkunjung ke kediaman seorang pembiak ikan laga, Mohd. Radzy Abd. Aziz di Taman Setapak Jaya, Wangsa Maju, Kuala Lumpur. Mohd. Radzy bukan sekadar menjalankan perniagaan ikan tersebut sebagai punca pendapatan, bahkan melakukan kerja itu kerana minat yang mendalam. Menurut lelaki yang berusia 37 tahun itu, dia mula membiakkan ikan tersebut secara besar-besaran sejak empat tahun lalu semata-mata untuk mendapatkan generasi ikan laga yang terbaik. "Sejak itu saya melepaskan jawatan sebagai jurulatih renang skuad kebangsaan untuk memberi perhatian kepada usaha membiak ikan laga. Saya mahu mencari ikan laga yang terbaik yang boleh menjadi juara apabila menyertai pertandingan. "Justeru pada setiap hari akan ada proses pembiakan kerana ia boleh membiak sepanjang tahun. Cuma kadangkala faktor cuaca seperti musim hujan memberi kesan kepada tahap kesuburan ikan," katanya yang memiliki kira-kira 7,000 ekor ikan laga dalam pelbagai peringkat usia. Tambah lelaki yang berpengalaman melatih perenang di Majlis Sukan Negara (MSN) selama 12 tahun itu, dia tidak menjual sewenang-wenangnya anak ikan laga, sebaliknya menunggu usia yang paling sesuai. "Saya hanya menjual ikan yang sudah berusia lebih daripada 75 hari kerana kecantikannya hanya dapat dinilai ketika usia tersebut. Harganya pula berbeza iaitu antara RM5 hingga RM200 mengikut tahap kecantikannya. "Kalau memiliki ciri-ciri istimewa, saya tidak akan menjualnya kerana ia bakal menjadi ikan kesayangan saya bagi menyertai pertandingan," katanya. Jelas Mohd. Radzy, biarpun terdapat turun naik harga ikan tersebut di pasaran, namun populariti ikan tersebut tidak pernah jatuh terutamanya apabila muncul spesies baharu ikan hiasan. "Ikan laga tetap popular hingga kini biarpun beberapa ketika dahulu pernah tenggelam seketika apabila spesies ikan flower horn mula menjadi bualan ramai. "Tetapi selepas populariti ikan flower horn merudum sekitar tahun 2003, ikan laga kembali mendapat permintaan. Boleh dikatakan, popularitinya tidak pernah jatuh," kata Mohd Radzy. Sekiranya stok ikan laganya di ibu kota tidak mencukupi, Mohd. Radzy akan memperoleh ikan tersebut daripada pembekal di Bayan Lepas, Pulau Pinang. "Selalunya 200 ekor ikan laga akan dipos dari pulau pinang menerusi khidmat kurier. Sebulan sekali pasti akan ada kiriman dari sana kerana bapa saudara saya sendiri turut mengusahakan pembiakan ikan laga," ujarnya sambil menjelaskan bahawa ikan tersebut akan dibungkus rapi di dalam kotak polisterin agar airnya tidak tertumpah. Dia yang bercadang memiliki ladang pembiakan ikan hiasan sendiri itu menjelaskan bahawa ikan laga yang dibiakkannya dijual pada harga antara RM5 hingga RM150 seekor mengikut jenis, warna dan kecantikan keseluruhan. Dalam pada itu, tinjauan Jurnal di laman membeli-belah dalam talian mendapati bahawa internet turut menjadi medium niaga buat peminat ikan laga. Biarpun sukar didapati di kedai-kedai ikan hiasan biasa, peminat ikan laga boleh mendapatkan ikan tersebut dengan lebih mudah di laman sosial itu. Ia dijual antara harga RM5 hingga RM150. Selain itu terdapat pengusaha ikan laga yang menjualnya menerusi laman web dan laman sosial peribadi. | ||
Posted: 23 Feb 2013 09:48 PM PST KOPI luwak yang hanya boleh didapati di Indonesia dianggap sebagai kopi paling pelik di dunia. Ia hanya boleh dihasilkan menerusi najis sejenis musang yang dikenali sebagai luwak oleh masyarakat tempatan. Secara semula jadi, musang tersebut akan terlebih dulu memakan biji kopi pada waktu malam sebelum penduduk kampung mengutip najis haiwan itu untuk diproses menjadi serbuk kopi. Antara lokasi hangat penghasilan kopi yang mempunyai nilai komersial AS$700 (RM2,170) sekilogram itu ialah di sekitar Bali, Sumatera, Jawa dan Sulawesi. Kopi itu pernah mencetuskan kontroversi apabila ada segelintir pihak yang mendakwa bahawa ia haram dimakan oleh orang Islam kerana dihasilkan menerusi proses pencernaan haiwan. Namun Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Ke-98 yang bersidang selama tiga hari mulai 13 Februari 2012 lalu memutuskan bahawa kopi tersebut harus dimakan. Menurut laman web Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), biji kopi luwak adalah bersifat najis. "Ia harus dijadikan bahan minuman dengan syarat biji kopi tersebut masih dalam keadaan baik, tidak berlubang, tidak pecah dan dapat tumbuh jika ditanam. "Biji kopi tersebut juga hendaklah disucikan terlebih dulu daripada najis," demikian kenyataan fatwa itu. Muzakarah juga memutuskan bahawa kopi luwak yang dihasilkan hendaklah mendapatkan pengiktirafan halal daripada Jakim atau Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) sebelum dipasarkan kepada masyarakat Islam. Bagaimanapun musang bukanlah satu-satunya haiwan yang boleh menghasilkan kopi bermutu tinggi. Di Thailand, masyarakat setempat menggunakan gajah bagi mempercepatkan penghasilan biji kopi berbanding musang yang hanya mampu memakan buah kopi dalam kuantiti terhad. Menurut mereka yang pernah menghirup kopi itu, rasa kopi gajah jauh lebih enak berbanding kopi robusta atau arabika yang bermutu tinggi. Tetapi untuk merasa kopi itu tidaklah begitu mudah kerana ia hanya boleh didapat di tempat tertentu sahaja iaitu di beberapa hotel mewah di Thailand, Maldives dan Abu Dhabi. Harganya pula mencecah sehingga AS$68 (RM211) secawan. Harga bagi setiap kilogram biji kopi yang siap diproses didagangkan sebanyak AS$1,100 (RM3,409). "Apabila gajah memakan biji kopi itu, asid perutnya akan memecahkan protein yang terkandung di dalam biji kopi. Sebab itulah rasanya begitu sedap. Kopi itu juga lebih lembut berbanding kopi biasa," kata pengasas kopi yang terhasil daripada gajah yang merupakan warga Kanada, Blake Dinkin, 43. Perut gajah yang besar menjadi bonus dalam menghasilkan kopi yang berkualiti apabila ia mengambil masa kira-kira 15 hingga 30 jam untuk memproses biji kopi bersama-sama dengan pisang, tebu dan makanan lain. Justeru rasa kopi itu turut ditambah dengan aroma buah-buahan. Antara lokasi penghasilan kopi tersebut di Thailand termasuklah di kawasan Segitiga Emas Anantar dan Phrao iaitu di utara Thailand. Jumlah yang dihasilkannya juga terhad apabila hanya 20 ekor gajah yang diberi makan biji kopi untuk memprosesnya. Daripada jumlah 10,000 biji kopi, ia hanya mampu menghasilkan satu kilogram kopi. "Daripada 33 kilogram (kg) kopi yang diberi makan kepada gajah, hanya sekilogram kopi Black Ivory yang dihasilkan. Ini adalah kerana sebahagian daripada kopi telah musnah kerana dikunyah. Hanya biji kopi yang tidak pecah sahaja yang akan diproses," kata Dinkin. Di Taiwan, monyet Formosan Rock turut memainkan peranannya dalam menghasilkan kopi termahal. Ia berbeza berbanding kopi luwak dan kopi gajah kerana biji kopi akan diludah oleh monyet selepas dimamah. "Monyet itu selalunya memilih biji kopi yang nampak ranum dan berwarna merah menyala untuk di makan. Tetapi ia akan meludahnya kembali kerana tidak boleh dicerna," kata seorang pengusaha kopi di Taiwan, Lio Ching Tung. Jelas Ching Tung yang berpengalaman selama 30 tahun dalam perusahaan itu, kopi muntah monyet itu mempunyai rasa manis dan sedikit rasa vanila. Kopi yang mengambil masa dua minggu untuk dihasilkan iaitu dengan melalui proses pengeringan di bawah matahari dan dibakar itu dijual pada harga AS$60 (RM186) bagi setiap setengah kilogram. | ||
Posted: 23 Feb 2013 09:48 PM PST PERCAYA atau tidak, amalan sihir masih lagi menjadi ancaman sebahagian daripada masyarakat Melayu moden pada hari ini. Sihir mempunyai pelbagai matlamat adalah untuk menundukkan musuh dengan cara mudah. Maka tidak hairanlah pusat perubatan berasaskan Islam semakin banyak ditubuhkan untuk memenuhi permintaan pelanggan yang terkena sihir. Sebagai usaha inovatif mengekang gangguan makhluk halus malah pengasas Pusat Perubatan Islam At-Tobibi, Shamsuri Shafei memperkenalkan kaedah merawat gangguan tersebut menerusi kaedah pemakanan moden. "Oleh kerana meminum kopi menjadi sebahagian daripada rutin kita, saya memperkenalkan kaedah mudah kepada mereka yang menderita akibat gangguan makhluk halus menerusi kopi penawar ruqyah. "Sebenarnya kopi itu sesuai untuk sesiapa sahaja kerana syaitan dan jin yang berdampingan dengan manusia bukan sahaja hadir kerana 'dihantar' tetapi ada yang berdampingan secara semula jadi terutamanya mereka yang jauh kepada Allah," kata Shamsuri. Kopi pracampur itu turut mengandungi campuran pemakanan sunah seperti habatussauda, buah zaitun, kismis dan koma-koma yang dibacakan dengan ayat-ayat ruqyah oleh Shamsuri sendiri. Ayat tersebut merupakan bacaan yang dipercayai berperanan dalam menghalau makhluk halus. "Seperti yang kita sedia maklum makanan sunah merupakan antara makanan yang mudah dihadam dan baik untuk kesihatan. Justeru kopi ini mengandungi nilai-nilai mengikut cara Islam," katanya yang turut memperkenalkan kopi delima ruqyah yang mengandungi bahan ekstrak kurma, madu, delima dan buah tin. Maklumat lanjut mengenai kopi tersebut hubungi 013-960 9268 atau 019-460 1205. | ||
Posted: 23 Feb 2013 09:47 PM PST PENULIS hampir tersesat ketika pertama kali mencari lokasi terletaknya Garden Cafe di Sungai Ramal, Kajang ini walaupun sudah melintas beberapa kali sebenarnya jalan masuk ke restoran ini Berbekalkan petunjuk yang diberikan, penulis akhirnya sampai juga di kafe dalam taman seluas 1,393 meter persegi milik pasangan suami isteri, Mukhsin Selamat, 43, dan Zakiah Hanim Kamarudin, 37, itu. Melangkah masuk ke pekarangan kafe ini, mata seakan terpaku melihat binaan khas kayu yang menempatkan koleksi motosikal berkuasa tinggi. Mata pasti meleret ke kaunter pembayaran yang menggunakan bentuk semula jadi dihiasi dua biji bola golf bersaiz besar di kiri dan kanan pintu masuk. Pokok menghijau bagai penyambut tetamu tanpa suara manakala sebaik melepasi pintu, pelanggan pasti terpukau dengan landskap yang membuatkan pandangan mata sejuk. "Kafe ini sudah beroperasi selama tiga tahun dan setakat ini, kebanyakan pelanggan dapat menerima konsep kafe dalam taman yang kami bawakan. Selain ia lari daripada konsep restoran biasa yang berbumbung dan mempunyai ruang yang terhad, pelanggan juga dapat menikmati hidangan dalam suasana damai dan santai. "Memandangkan saya sendiri bergiat dalam bidang landskap, konsep yang diketengahkan di kafe ini datang daripada idea saya sendiri melalui pengalaman yang saya peroleh tanpa merujuk mana-mana majalah dekorasi. "Pemilihan konsep ini dibuat kerana ia dapat memberikan kelainan kepada pelanggan selain ruang luas yang dikelilingi dengan pokok-pokok menghijau. Pelanggan yang kebanyakannya sudah berkeluarga tiada perlu risau untuk melepaskan anak-anak bermain di sekeliling kafe ini," ujarnya sambil memberitahu seramai 200 orang boleh dimuatkan di dalam kafe tersebut pada satu-satu masa.
Pagar pokok Mukhsin memberitahu, pergola yang menempatkan koleksi motosikal berkuasa tinggi itu diibaratkan seperti lobi hotel kerana dia mahu pelanggan merasai suasana seperti di rumah sebelum mereka memasuki ke ruang taman miliknya. Unsur air tidak terkecuali diaplikasikan dalam pemilihan landskap di kafe yang menyajikan masakan Melayu, Thailand dan Barat ini. Sebuah jambatan kecil didirikan di kolam ikan yang menempatkan ikan hiasan kegemaran pemilik seperti ikan koi. Ditambah lagi dengan teknik pencahayaan yang menyerikan ruang di kolam ikan terbabit pada waktu malam selain tumbuh-tumbuhan dan batu-batu bersaiz kecil serta besar diletakkan di sekeliling kolam. Pemilihan kerusi dan meja yang berwarna putih turut memberikan impaknya yang tersendiri apabila digabungkan dengan rona hijau. "Hampir keseluruhan kawasan di kafe ini dikelilingi dengan warna hijau malah kami juga tidak memasang pagar sebaliknya pokok-pokok dijadikan pagar sekali gus menimbulkan suasana seperti berada di dalam taman. "Pelanggan juga boleh memilih untuk menikmati hidangan di beberapa ruang yang dikhaskan sama ada mereka mahu berada di ruang berbumbung, terbuka mahupun di sudut privasi yang boleh memuatkan seramai 20 orang," tambah bapa kepada empat orang anak ini. Penggunaan pokok-pokok yang mempunyai struktur bertingkat seperti bucida dan ru juga memainkan peranan penting dalam melatari segenap ruang di kafe ini. Reka letak pelbagai pepohon hijau pula tampil lebih menggamit rasa apabila diserikan dengan buaian kayu yang sering menjadi pilihan pelanggan untuk bersantai sebelum menikmati hidangan. | ||
Posted: 23 Feb 2013 09:46 PM PST LELAKI berusia 30 tahun ini cukup unik kerana dia seorang peminat setia monyet sehingga sanggup berlari seperti seekor monyet. Obses lelaki itu berbaloi kerana dia kini memegang rekod Guinness World Records kerana mampu berlari dengan pantas menggunakan kedua-dua tangan dan kakinya. "Anda tahu, wajah dan bentuk badan saya sekarang seperti seekor monyet. Sejak remaja lagi ramai yang mengejek saya dengan memanggil 'monyet' setiap kali berselisih dengan mereka di jalanan. "Tetapi, saya tidak pernah ambil kisah," terang Ito Kenichi di apartmen miliknya sambil duduk bersebelahan dengan poster besar seekor cimpanzi. Inspirasinya terhadap monyet berputik apabila dia melihat monyet berlari dengan pantas di internet dan zoo. "Sejak itu, saya tidak berpaling lagi dengan berlatih berlari setiap hari selama lebih lapan tahun menggunakan kedua-dua belah kaki dan tangan," katanya. Kelengkapan yang dipakai lelaki eksentrik ini cukup mudah. Ito hanya berseluar pendek dan baju-T. Selain itu, dia memakai sarung tangan serta kasut khas. "Kini, saya boleh berlari di bawah 100 saat untuk jarak 100 meter," tambah Ito. Lelaki ini menjadikan lariannya sebagai pendapatan sampingan. Biasanya dia akan berlatih dengan haiwan lain milik jirannya seperti kucing dan anjing. Dia mampu menewaskan kucing tetapi tidak anjing. Ito percaya apa yang dilakukannya adalah sejenis sukan yang diharapkan akan dipertandingkan dalam acara Sukan Olimpik pada masa hadapan. "Setakat ini, tiada acara sukan larian dalam Sukan Olimpik menggunakan kedua-dua tangan dan kaki tetapi saya berharap ia dapat direalisasikan 500 tahun akan datang," ujarnya. Namun, tindakannya itu tidak disenangi oleh segelintir pihak. "Jika berlari di jalanan saya akan ditahan oleh pihak polis. Akhirnya saya berlatih di gunung selama sebulan. Ia ibarat kem latihan individu berlari menggunakan kedua-dua belah tangan dan kaki. "Tetapi, pada hari pertama, seorang pemburu hampir menembak saya menggunakan senapang patah kerana menyangka beruang liar," katanya. Ito belajar berlari dengan menggunakan semua kaki dan tangannya itu sejak berumur sembilan tahun. Dia meniru larian spesies monyet dari Afrika, Erythrocebus patas untuk melakukan perbuatan tersebut. Dia memecah rekod dunia dengan kepantasan 17.47 saat untuk larian 100 meter. "Saya berharap dapat memecahkan rekod dunia pelari sensasi Jamaica, Usain Bolt dengan kepantasan bagi 100 meter hanya 9.58 saat," cerita penjaga bangunan di Tokyo, Jepun itu. Sebagai medium latihan Ito sering mencuci lantai bangunan itu dengan kaedah sama latihannya. | ||
Barang buangan jadi instrumen muzik Posted: 23 Feb 2013 09:45 PM PST
BUNYI dentuman senada yang didengari daripada aras bawah bangunan rumah kedai tiga tingkat di Bandar Puteri, Puchong, Selangor itu memecahkan keheningan malam kawasan tersebut. Waktu sudah melewati pukul 10 malam dan kebanyakan kedai telah tamat beroperasi. Tangga yang didaki menuju ke tingkat tiga bangunan itu mendekatkan lagi daya pendengaran kepada bunyi-bunyian tersebut. Persoalan tentang bunyi yang berkumandang sebentar tadi terjawab apabila tiba di pintu masuk sebuah studio muzik. Secara serentak, rangkuman bunyi tadi terhenti apabila beberapa individu menyambut kedatangan tetamu ke studio tersebut. Kata seorang daripada mereka: "Inilah rutin kami setiap hari Isnin. Bermula pada pukul 9.30 malam sehingga 12.30 tengah malam, kami akan berkumpul di studio ini untuk berlatih." Demikian situasi mingguan yang dilalui oleh ahli kumpulan No Noise Percussion (NNP) yang memperjuangkan muzik stomp di Malaysia. Bagi mereka yang tidak tahu apakah yang dimaksudkan dengan stomp, ia merujuk kepada bunyi-bunyian yang terhasil menggunakan barangan terpakai atau harian seperti tong pelbagai jenis, peralatan dapur atau besi-besi buruk. Tahun 2013 mencatatkan usia lima tahun NNP dalam persada muzik stomp tanah air. Biarpun masih mentah, bakat 13 ahli tetap kumpulan tersebut sememangnya boleh dibanggakan ekoran aliran muzik yang dibawa mereka kian mendapat tempat dalam kalangan generasi muda. "Muzik stomp ini dikenali sebagai stomp selepas ia dipopularkan secara komersial oleh sebuah kumpulan dengan nama Stomp dari United Kingdom bermula pada tahun 1991. Namun sejak tahun 1940-an genre sebegini telah muncul dan ia mula diberi perhatian ketika tahun 1980-an. "Selain nama stomp, muzik genre ini juga dikenali sebagai muzik junk, kreatif, kontemporari, genderang (percussion) atau paling mudah, muzik yang menggunakan barangan terpakai," jelas ketua kumpulan NNP, Adil Ali Ab. Halim, 28. Pilih barang Sambil mata melilau di dalam studio NNP, pandangan tertancap pada susunan tong sampah hitam di tepi dinding. Rak yang ditempatkan pada satu sudut studio itu juga teratur dengan susunan kotak berisi barangan kecil yang diasingkan mengikut jenis. Kon jalan raya berwarna oren, pasu bunga dan ekzos kenderaan turut kelihatan sekali gus menimbulkan persoalan, bagaimanakah kesemua barangan itu mampu menghasilkan muzik yang menarik? Menurut Adil, apa sahaja barangan yang boleh mengeluarkan bunyi berpotensi digunakan bagi menghasilkan muzik stomp. Paling penting, barang tersebut mampu mencipta bunyi yang bersesuaian dengan kehendak sesuatu kumpulan. "Kumpulan stomp yang kecil boleh menggunakan barangan mudah pecah seperti botol dan kaca di dalam persembahan mereka. Bagi kumpulan yang ramai ahlinya, barangan sebegitu tidak sesuai kerana ia tidak tahan lasak dan jangka hayatnya juga tidak panjang. "Setakat ini, tong syampu yang kami beli daripada sebuah kilang ialah barang paling tahan lasak yang kami miliki. Selain itu, tong air dan tong sampah juga kami beli dan kualiti setiap daripadanya berbeza mengikut material barang tersebut," terang Adil yang bekerja sebagai pemuzik profesional sepenuh masa. Sebanyak 10 ahli NNP merupakan bekas pelajar Fakulti Muzik UiTM Shah Alam dan majoriti daripada mereka bekerja sebagai pemuzik profesional dan tenaga pengajar. Tiga lagi masih bergelar pelajar di fakulti yang sama. Pada awal penubuhan NNP, Oly Fizly Othman, 26, yang juga ahli NNP memberitahu, kos penyediaan barangan tidak melebihi RM500 dan mereka banyak membelinya pada harga murah daripada kedai besi buruk atau kilang. Tambah Oly, barangan yang diambil daripada kedai besi buruk kebiasaannya dicuba selepas dibeli dan hanya barang yang sesuai akan digunakan. Sekiranya barang yang diperlukan agak mahal, mereka pastikan ia berfungsi seperti yang dikehendaki sebelum membuat keputusan untuk membelinya. "Pemukul tong atau dalam konsep muzik asal, pemukul dram, pula kami gunakan batang penyapu yang dipotong pendek. Selain itu, kesemua barangan dikekalkan dengan warna asal agar nilai barangan terpakai itu tidak hilang," kata Oly. Persembahan
Jika diteliti profil NNP, mereka ternyata grup stomp yang paling dicari-cari di Malaysia. Mereka pernah mengiringi persembahan penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza pada Anugerah Bintang Popular 2011 dan baru-baru ini, diberi kepercayaan untuk berkongsi pentas bersama Amir Jahari pada Anugerah Juara Lagu ke-27 yang berlangsung awal Januari lalu. Kelibat mereka dalam persembahan bersama beberapa penyanyi membuatkan penonton teruja untuk mengenali dengan lebih dekat lagi genre muzik yang dibawa NNP. Mengelaskan konsep persembahan mereka kepada dua jenis, seorang lagi ahli NNP, Faeez Ikhwan Abdul Halim, 23, menceritakan, ada ketika mereka diperlukan bagi mengiringi muzik asal lagu seseorang penyanyi. "Kalau persembahan korporat selalunya kami dipanggil atas nama NNP sendiri. Jadi kami bebas mencorakkan rentak persembahan menggunakan lagu-lagu kami sendiri selagi ia bertepatan dengan tema majlis. "Kami juga perlu mencipta koreografi yang menarik agar persembahan tampak hidup dan bertenaga. "Secara purata, kami menerima jemputan persembahan sebanyak dua hingga tiga kali sebulan tetapi jumlahnya meningkat apabila menjelang pertengahan dan hujung tahun," ujar Faeez yang memberitahu, durasi persembahan paling lama boleh mencecah 30 minit dan tempoh paling singkat adalah selama lima hingga 15 minit. Cabaran Menurut Adil, apabila berbicara tentang cabaran muzik stomp, dia melihat aspek itu dalam konteks positif. Meskipun perjalanan bagi menaikkan genre tersebut di tanah air masih panjang, pertambahan kumpulan stomp tempatan secara langsung membuka ruang lebih besar kepada mereka untuk berkarya. Adil bagamanapun menafikan tanggapan bahawa kewujudan beberapa kumpulan stomp lain di Malaysia menutup peluang NNP untuk menyinar. Tambahnya, persaingan yang timbul membuatkan mereka lebih kreatif dan bekerja keras berbanding dahulu. "Selain itu, cabaran bagi mana-mana kumpulan stomp ketika membuat persembahan boleh timbul ketika membuat persembahan. Barang yang digunakan pecah seperti penutup tong sampah sudah menjadi kebiasaan. "Bagaimanapun, ia tidaklah memberi efek besar kepada persembahan kerana barang yang pecah itu selalunya tidak mempengaruhi muzik utama. Persembahan perlu diteruskan," tutur Adil. |
You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |