Jumaat, 8 Februari 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Afiq Muiz Dakwa Gosip Dengan Eina Azman Satu Sabotaj

Posted: 07 Feb 2013 03:42 AM PST

Afiq (kiri) didakwa cuba menyembunyikan status sebenar hubungan dengan Eina.
PETALING JAYA: Aktor Afiq Muiz menyifatkan dakwaan kononnya dia menjalin hubungan cinta dengan penyanyi dan pelakon Eina Azman sebagai tindakan sabotaj pihak tertentu yang cuba menjatuhkan kerjayanya.
Afiq atau nama sebenarnya Muhamad Afiq Muiz Azman Shah, 21, berkata ia adalah gosip mengarut kerana dia dan Eina, 18, hanya teman rapat sejak tiga tahun lepas.
"Saya rasa (gosip cinta) seolah-olah ada pihak hendak menjatuhkan saya dengan menokok tambah mengenai gambar-gambar kami bersama di Internet.
"Hakikatnya kami memang berkawan rapat sejak tiga tahun lepas dan bukannya bercinta seperti yang didakwa," katanya kepada mStar Online.
Gosip yang mendakwa dua pelakon muda itu bercinta hangat diperkatakan apabila gambar-gambar kemesraan mereka tersebar luas di Internet.
Malah mereka dikatakan sengaja menafikan percintaan itu atas permintaan keluarga kedua-dua pihak.
Afiq berkata, dia berasa pelik dengan isu gambar tersebut yang diperbesarkan sehingga timbul dakwaan kononnya dia cuba merahsiakan status sebenar hubungan mereka.
Katanya, gambar-gambar tersebut adalah koleksi peribadi yang mahu dikongsi dengan para peminat dan tidak mempunyai sebarang niat serong.
"Padahal kami hanya suka-suka muat naik gambar-gambar kami bersama bagi mempromosikan projek-projek drama yang kami terlibat, itu sahaja.
"Pelik juga apabila ia menjadi isu sampai begini," katanya yang tidak mahu popular kerana gosip murah sedemikian.
Tambah Afiq, ibunya sendiri berasa sangat terkejut dan sukar untuk menerima kontroversi yang tercetus itu.
"Bayangkan, ibu saya sangat terkejut dengan gosip itu dan susah nak terimanya sehingga terpaksa saya jelaskan barulah dia tenang," katanya yang kini bernaung sebagai artis residen syarikat produksi Global Station Sdn Bhd selama setahun.

Hafiz Suip Dedah Rahsia Sedang Hangat Bercinta

Posted: 07 Feb 2013 03:42 AM PST

Hafiz sedang berehat panjang daripada aktiviti nyanyian kerana sakit tekak yang kronik.
PETALING JAYA: Penyanyi Hafiz akhirnya mengakui dia sedang menjalin hubungan dengan seorang wanita yang dikenali hampir setahun lalu.
Pemilik nama penuh Mohd Hafiz Mohd Suip, 23, berkata, dia membuat keputusan untuk mendedahkan perkara itu kerana tidak mahu terus ditanya mengenai teman wanita selepas hubungannya dengan penyanyi Adira putus.
"Sampai bila saya hendak mengelak daripada ditanya (media) mengenai status hubungan?
"Jadi selepas berfikir panjang, saya ambil keputusan untuk berterus-terang sahaja apabila ditanya mengenai kekasih," katanya ketika ditemui mStar Online.
Penyanyi lagu Ku Akui itu berkata, bagaimanapun dia tidak bersedia untuk mendedahkan identiti wanita itu atas permintaan kekasihnya yang enggan mendapat tempias populariti buat masa ini.
"Dia bukan orang dalam industri hiburan pun dan tidak mahu identitinya diketahui umum. Jadi saya tidak boleh dedahkan lebih terperinci mengenai dirinya.
"Cukuplah saya akui saya sedang bercinta sekarang," katanya yang mengakui hubungan itu berada pada tahap yang stabil.
Sebelum ini, Hafiz pernah menjalin hubungan dengan penyanyi Adira selama hampir setahun.
Ditanya pula mengenai kerjaya, Hafiz berkata, dia terpaksa berehat panjang kira-kira tiga minggu daripada sebarang aktiviti nyanyian kerana mengalami sakit tekak yang serius.
"Mungkin sebab tidak cukup rehat dan saya jenis suka memaksa lontaran vokal ketika menyanyi.
"Saya susah hendak sakit tapi kalau kena sekali memang teruk jadinya.
"Doktor kata, kalau tidak berehat mungkin saya tidak boleh menyanyi langsung untuk tempoh enam bulan," katanya yang terpaksa menangguhkan rakaman album terbaharunya gara-gara penyakit itu.

Tak kesal jadi selebriti

Posted: 07 Feb 2013 03:41 AM PST



PENULIS blog terkenal, iniblogsaya.blogspot.com, Hanis Zalikha Zainal Abidin kini sedang meniti populariti setelah terjun ke dalam bidang lakonan.
Sebelum terlibat dalam dunia perfileman, Hanis, 23, sebenarnya telah berlakon dalam drama Memberku Hawa dan telefilem Mariam Kampung Putat.
Namun, bakat lakonannya bakal diuji menerusi kemunculannya dalam filem Gangster Celop menerusi karakter seorang anak gengster yang baru sahaja pulang dari London.
Zalikha mengakui dirinya berdebar-debar menantikan respons peminat terhadap lakonannya dalam filem arahan Ahmad Idham, lakonan utama Syamsul Yusuf dan Kamal Adli itu yang dijadualkan mula ditayangkan pada 21 Februari ini.
"Saya sudah tidak senang duduk sekarang. Kalau (lakonan) tidak menjadi nanti mesti kena kutuk. Namun kalau kena kutuk sekali tidak mengapa. Mana-mana yang kurang nanti, saya akan cuba atasi dengan latihan pada masa depan," jelasnya ketika ditemui pada majlis final Cabaran Switch For Xtra di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambahnya, pengarah filem tersebut, Ahmad Idham telah banyak memberi tunjuk ajar kepadanya dalam menghayati watak lakonannya itu dan selebihnya dia menyerahkan kepada penonton untuk menilai bakat dirinya.
Dalam meniti populariti dengan pakej yang ada pada dirinya itu, Hanis turut tidak terlepas daripada dicemuh atau dikritik.
Dia sebelum ini dikejutkan dengan tindakan bekas teman lelakinya (yang enggan didedahkan namanya) telah bertindak mencanang cerita kepada umum mengenai karakter sebenar dirinya yang didakwa suka propa (menipu) dan berlagak.
Dia yang baru sahaja ingin mencipta nama telah dijengah kontroversi kurang enak, graduan Diploma Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu tidak cepat melatah.
Dia sebaliknya menganggap kontroversi itu sebagai asam garam dunia glamor yang perlu dihadapinya sekarang ini.
"Saya tidak menyesal masuk ke dalam dunia seni. Sekarang, baru saya tahu apa yang perlu dihadapi oleh selebriti lain. Tidak semua gosip yang dibaca sebelum ini benar belaka," ujarnya.
Tambah wanita berbintang Libra ini, selepas ini dia akan lebih berhati-hati dengan setiap kelakuan, percakapan dan apa sahaja yang dilakukan kerana ia akan menjadi bahan perbincangan umum pada kemudian hari.
"Sudah kena gosip begitu ketika mula-mula hendak masuk ke dalam bidang lakonan membuatkan saya rasa sudah tiba masanya saya kena membiasakan diri dengan semua perkara, tidak boleh jadi macam dahulu lagi," ujarnya.

DARI blog ke layar perak. Hanis kini dalam debaran menanti respons penonton wayang menerusi filem sulung lakonannya, Gangster Celop yang bakal disiarkan bermula pada 21 Februari ini.


Blog
Sibuk dengan pelbagai undangan majlis sosial sebagai seorang selebriti dan tawaran lakonan, Hanis mengakui dirinya sudah tidak kerap menulis blog lagi.
"Kalau dahulu, setiap hari ada sahaja perkara baharu yang saya hendak tulis. Sekarang, disebabkan sibuk kadang-kadang dua minggu sekali baru saya mengemas kini perkembangan terbaharu dalam blog," ujarnya.
Dia menjelaskan, walaupun banyak perkara yang dilakukan setiap hari selepas bergelar selebriti boleh dijadikan bahan bacaan dalam blognya, namun kekangan masa membuatkan dia kadangkala terlewat menulis.
Mengakui penulisannya turut mendapat kritikan peminatnya bukan kerana lambat mengemas kini blog, sebaliknya adalah kerana gaya penulisan yang tidak 'gila-gila' seperti dahulu lagi.
"Pembaca blog saya terdiri daripada pelbagai lapisan umur. Pembaca remaja ada yang merungut mengatakan tulisan saya tidak lagi macam dahulu. Namun, mereka kena terima hakikat bahawa saya sudah meningkat usia, tulisan juga kena matang," katanya yang malu dengan gaya penulisannya pada awal penulisan dalam blognya dahulu.
Solo
Walaupun mempunyai rupa paras yang menawan, Hanis mendedahkan dirinya masih solo dan tidak terfikir untuk mencari teman hidup dalam masa terdekat ini.
"Saya mahu beri tumpuan kepada karier yang sedang saya bina ini dalam industri lakonan. Buat masa sekarang, saya tidak mahu ada komitmen dengan sesiapa," katanya jujur.
Mahu bergerak bebas tanpa terikat dengan mana-mana lelaki, dia menganggap jika mempunyai teman lelaki akan membuatkan dirinya terikat dengan kerjaya baharunya yang memerlukan banyak masa untuk diri sendiri.
"Kalau ada teman lelaki, ia akan melukakan hati orang. Kalau solo macam ini senang, mood saya juga tidak terganggu. Ia tidak jejaskan kerjaya saya nanti," tambahnya.
Namun bagi Hanis, itu bukan bermakna dia menolak jodoh sebaliknya dia mahu segala perkara berkaitan komitmen dirinya itu berlaku secara semulajadi.

Ekin Rahman Mahu Ubah Imej Untuk Dapat Aura

Posted: 07 Feb 2013 03:40 AM PST

Ekin mengharapkan agar ada yang membantu berkongsi idea dalam menampilkan imejnya.
PETALING JAYA: Bekas bintang Akademi Fantasia 3 (AF3) iaitu Ekin Rahman bersedia melakukan perubahan imejnya agar mendapat aura sebagai artis selepas lapan tahun menyepi.
Ekin atau nama sebenarnya Norashikin Abdul Rahman, 29, yang baru sahaja melancarkan album pertamanya berjudul Ekin Rahman-Satu Percaturan berkata, dia tahu, sebagai seorang penyanyi yang sudah lama tenggelam dalam industri seni tempatan memerlukan aura penampilan yang berbeza untuk menarik perhatian ramai.
"Saya perlu bersaing dengan ramai penyanyi yang sedia ada dan pendatang baru. Untuk mempromosikan muzik yang dibawakan, sebagai seorang penyanyi, penampilan diri juga perlu dijaga. Nanti orang kata, ini artis ke siapa? Selekeh semacam saja" katanya kepada mStar Online.
Tambah Ekin, dia juga berharap agar terdapat pereka-pereka fesyen yang sudi membantu dan berkongsi idea untuknya tampil menarik di khalayak.
Mengenai Ekin Rahman-Satu Percaturan, ia diterbitkan oleh syarikat rakaman Stadium First dengan memuatkan sebanyak tujuh buah lagu berkonsepkan muzik pelbagai.
Ekin Rahman
Lagu-lagu tersebut ialah Satu Percaturan, Mencari Cinta, Ceritaku Dan Dia, Kekasih, Zapin Budi, Dengarlah Sayang dan Moment For Us.
Beritahu kekasih kepada penyanyi Yazer ini, walaupun tidak sabar dengan respons yang bakal diberikan peminat dan para penggiat muzik tempatan, dia mengakui turut risau sekiranya buah tangan ini langsung tidak diterima ramai.
"Siapa yang tidak risau bukan, menghasilkan album adalah satu risiko yang besar. Dan saya berterima kasih kepada Studio First kerana mempercayai saya.
"Bagus juga saya 'menghilang' sebelum ini. Sekurang-kurangnya kemunculan saya ini sebagai penyanyi baru dan mungkin rezeki akan berpihak pada saya kali ini Insya-Allah.
"Namun, sekiranya gagal, saya sudah bersedia menerimanya, tetapi tidak akan mengalah kerana saya tetap akan keluar dengan lagu yang terbaik sehingga ia berjaya," tegas Ekin.

Cinta Shila-Sharnaaz berakhir?

Posted: 07 Feb 2013 03:39 AM PST


Shila Amzah dan Sharnaaz Ahmad.
Shila Amzah dan Sharnaaz Ahmad.
TAK payah nak hipokrit!," tegas pelakon, Sharnaaz Ahmad ketika ditanya mengenai kenyataan kekasihnya, Shila Amzah, berhubung kemelut yang mereka alami.
Shila yang kini berada di kota Shanghai, tampil memohon maaf di atas apa yang berlaku antara Sharnaaz dan bapanya, ND Lala menerusi e-mel kepada pihak media.

Menerusi kenyataannya itu, Shila, 23, tidak menyalahkan mana-mana pihak. Namun sebagai anak dan kekasih, dia mengharapkan segala kekusutan yang timbul segera berakhir.

Bagaimanapun, Sharnaaz, 28, yang dihubungi Sinar Harian mengakui tidak tahu menahu mengenai e-mel dari kekasihnya itu.

"E-mel apa pula ni? Saya tak tahu apa-apa dan malas nak layan. Semuanya propa saja!

"Saya tak nak ambil tahu kerana kesudahannya, saya juga akan dipersalahkan. Lebih baik saya mengambil keputusan berdiam diri dan fokus dalam kerjaya.

"Buat masa ini, saya hanya fikir kerja saja. Yang lain, saya malas nak fikir. Terpulanglah pada dia (Shila) nak buat apa sekalipun. Saya tak nak ambil tahu lagi," tegasnya.

Diajukan tentang hasratnya untuk merisik Shila pada Mac ini, pelakon Ruby ini berkata, dia terpaksa membatalkan hasratnya itu.

"Saya tidak akan hantar rombongan merisik. Saya sendiri pun tidak tahu ke mana hala tuju hubungan ini.

"Saya tak pasti dan hanya berserah," kata pelakon drama Bukan Bidadari ini.

Ditanya lagi apakah hubungannya dengan Shila sudah berakhir, Sharnaaz bagaimanapun enggan mengulas perkara tersebut.

"Seperti yang saya katakan, saya dah malas nak layan semua ni lagi. Saya tak nak bercakap tentang dia (Shila) lagi," katanya dengan nada yang kecewa.

Fazley Yaakob & Yasmin Hani Meriahkan 'Dumex Chef Cilik 2'

Posted: 07 Feb 2013 03:39 AM PST

Yasmin Hani menggantikan Vanidah Imran sebagai hos dalam Dumex Chef Cilik 5 Power Nutri.
PETALING JAYA: Penyanyi Datuk Dr Fazley Yaakob dan pelakon Yasmin Hani bakal menceriakan suasana program memasak realiti terbaharu, Dumex Chef Cilik 5 Power Nutri yang memasuki musim kedua bermula 20 Februari depan.
Fazley yang juga juara Masterchef Selebriti Malaysia 2012 dipertanggungjawabkan sebagai juri bersama dengan Chef Andri dan pakar pemakanan Dumex iaitu Nor'azah Mohd Sidi.
Manakala Yasmin mengendalikan program tersebut sebagai hos menggantikan pengacara musim pertama, Vanidah Imran.
"Seronok sebenarnya menjadi juri untuk program ini. Kanak-kanak yang menjadi peserta begitu bersemangat dalam menyediakan masakan bersama ibu-bapa masing-masing.
"Setiap minggu peserta akan mencipta masakan berdasarkan tema diberikan sebelum dinilai oleh juri," kata Fazley yang ditemui pada pelancaran Dumex Chef Cilik 5 Power Nutri di The Cooking House, Desa Sri Hartamas, dekat sini.
Fazley (tengah) Chef Andri dan Nor'azah menunjukkan demo masakan ketika pelancaran Dumex Chef Cilik 5 Power Nutri.
Yasmin pula berkata, peserta kanak-kanak yang berpasangan dengan ibu-bapa mereka juga dapat merapatkan silaturahim sekali gus mengajar mereka mengenai dunia masakan asas.
"Di negara ini, sudah menjadi adat orang Timur, anak-anak akan membantu ibunya memasak dan mereka dapat tahu cara memasak secara tidak langsung.
"Begitu juga dengan program ini. Kanak-kanak diajar memasak makanan sihat dan sekurang-kurangnya mereka mengenali bahan-bahan masakan," ujarnya.
Dumex Chef Cilik 5 Power Nutri bakal menyaksikan 27 pasukan yang menggandingkan ibu dan anak bertarung bagi merebut hadiah wang tunai sebanyak RM25,000 (juara), RM15,000 (naib juara) dan RM10,000 (ketiga).
Sementara itu menurut Pengarah Urusan Danone Dumex (Malaysia) Sdn Bhd, Toni Brendish, pertandingan itu bukan sahaja menghiburkan tetapi turut menyajikan pendidikan dan informasi mengenai pemakanan sihat.
"Program ini diadakan selaras dengan usaha jenama Dumex dalam menyediakan pemakanan sihat untuk kanak-kanak di Malaysia.
"Selain itu kami mahu menggalakkan rakyat Malaysia supaya mengamalkan tabiat pemakanan lebih sihat dan penonton dapat mempelajari tip-tip tersebut menerusi program ini," ujarnya.
Program tersebut akan disiarkan di Astro RIA setiap hari Rabu pukul 9 malam mulai 20 Februari depan.
Sementara itu, menjelas lanjut mengenai program itu, Toni berkata setiap episod akan dibahagikan kepada empat segmen iaitu 5 Power Nutri Dash, Cipta Rasa, Dapur Power Nutri dan Sejuta Rasa
Katanya, menerusi segmen tersebut penonton di rumah juga dapat mempelajari cara mudah menyediakan sajian lengkap dan berkhasiat untuk keluarga mereka.

Jin & Ryan Hadapi Tekanan Kekalkan Populariti Hitz FM

Posted: 07 Feb 2013 03:38 AM PST

Jin bersama pasangan penyampai Ryan mula digandingkan pada segmen pagi Hitz.fm sejak awal tahun ini.
PETALING JAYA: Gandingan terbaharu slot pagi Hitz FM iaitu Jin dan Ryan merasakan berhadapan dengan tekanan yang perlu mereka tempuhi sejak mengendalikan segmen penting radio bahasa Inggeris itu pada awal Januari lalu.
Jin atau nama sebenarnya Jin Lim, 29, berkata, impak yang ditinggalkan beberapa bekas penyampai slot itu dalam mengekalkan ia sebagai stesen bahasa Inggeris nombor satu selama 13 tahun adalah tanggungjawab yang perlu diteruskan.
"Kita sendiri tahu kualiti kerja bekas penyampai seperti Fly Guy, Lil' Kev, Rudy, JJ dan Ean sebelum ini meninggalkan impak yang besar.
"Sebagai orang baharu mengendalikan segmen ini, kami akui ia bukan mudah dan tanggungjawabnya berat tetapi itulah cabaran yang kami galas," katanya ketika ditemui di Menara Star di sini, pada Rabu.
Jin
Segmen Morning Crew with Jin & Ryan bersiaran pada setiap Isnin hingga Jumaat pada pukul 6 hingga 10 pagi.
Pasangannya, Ryan Matjeraie, 28, pula berkata, sebagai muka baharu dalam dunia penyiaran radio, dia berterima kasih atas bimbingan yang diberikan Jin sepanjang tiga tahun bekerjasama.
"Saya masih baharu dalam penyampaian radio dan Jin banyak membantu sejak awal lagi.
"Bagaimanapun, sebelum diberikan peluang untuk slot pagi, kami sudah ada keserasian mengendalikan slot malam selama dua tahun," katanya yang tidak pernah menyangka bergelar penyampai radio.
Mengenai konsep yang dipertaruhkan pada segmen itu, Jin berkata, mereka menekankan kandungan yang segar dan lebih remaja bersesuaian dengan selera pendengar semasa.
Ryan
"Kami tampilkan kandungan dan gaya persembahan yang lebih muda dan "urban" seiring dengan selera pendengar.
"Apa yang penting adalah menjadi diri sendiri dan mengekalkan konsep Hitz FM yang bersahabat dengan pendengar ketika bersiaran," katanya yang mengakui gandingan mereka semakin diterima umum.

BELASUNGKAWA: Yahya Sulong Tak Kesal Jadi Pelakon Biarpun Susah

Posted: 07 Feb 2013 03:37 AM PST

Gambar fail Yahya Sulong tabah walaupun nasibnya sering dihimpit kesusahan.
KUALA LUMPUR: Pelakon dan pelawak veteran Allahyarham Datuk Yahya Sulong, tidak pernah menyesal menjadi pelakon walaupun kehidupannya bersama isteri Datin Alisah Ali dihimpit kesusahan.
Menurut rakannya pelakon Hazimah Haroon, Allahyarham yang telah meninggal dunia kira-kira pukul 6.45 petang Rabu di Hospital Kuala Lumpur (HKL) tidak pernah menganggap kesusahannya itu berpunca daripada karier lakonan yang disertai tetapi menerima ia sebagai dugaan tuhan yang perlu dilaluinya.
"Dia seorang yang sangat tabah dan tidak pernah merungut walaupun keadaannya agak susah. Sebaliknya dia pula yang menghiburkan rakan-rakan agar tidak bersedih.
"Bagi saya, dia antara manusia yang baik pernah saya jumpa. Dahulu, kami selalu makan nasi lemak bersama rakan-rakan artis lain di Ampang Park (di sini).
"Kehilangannya benar-benar membuatkan kami terasa. Semoga rohnya dirahmati Allah, Insya-Allah," katanya yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa, Biro Kebajikan Persatuan Seniman Malaysia.
Yahya, 85, meninggal dunia akibat mengidap komplikasi pelbagai penyakit termasuklah asma sejak sekian lama dan pernah beberapa kali dimasukkan ke hospital kerana penyakitnya itu termasuklah ke Unit Rawatan Rapi, Hospital Ampang selepas terjatuh di bilik air rumahnya di Flat Sri Perak, Bandar Baru Sentul dekat sini.
Yahya (belakang) dalam satu adegan filem Da Di Du yang dilakonkan bersama Badul, Ibrahim Pendek dan Mahmud June
Lebih menyedihkan, Yahya dan Alisah, 64, tidak mempunyai pendapatan tetap dan hanya mengharapkan bantuan daripada Baitulmal sebanyak RM400 sebulan serta dan wang pencen salah seorang arwah isteri Yahya sebelum ini iaitu dalam jumlah yang sama.
Wang sebanyak RM800 itu digunakan untuk membeli makan minum serta keperluan ubat-ubatan Yahya yang semakin uzur. Alisah juga turut mengalami keuzuran apabila disahkan menghidap kanser paru-paru tahap empat.
Bakat istimewa
Pelakon veteran Harun Hashim pula menyifatkan Allahyarham seorang lelaki yang tidak pernah menyusahkan orang terutamanya apabila melibatkan kerja-kerja lakonan.
Harun yang pernah bekerjasama dengan Allahyarham menerusi sebuah teater bangsawan berkata, Yahya mempunyai bakat yang istimewa di mana dia tidak perlu diajar apa yang patut dilakukan ketika beraksi di pentas bagi melakonkan sesebuah watak.
Rakan-rakan Allahyarham dari kiri: Abu Bakar Omar, S Sahlan, Harun Hasim dan Mior.
"Persembahan yang dibawakan Allahyarham amat mengagumkan tanpa perlu diajar. Sebaliknya dia pula yang mengajar orang sekeliling menerusi perbuatan lakonannya.
"Dia juga tidak pernah putus bercerita mengenai karier dan sentiasa memberikan idea-idea menarik, mencantikkan lagi jalan cerita filem atau teater yang dilakonkan" kata Harun.
Dalam pada itu, pelakon Abu Bakar Omar berkata, walaupun tidak terlalu akrab dengan Allahyarham, namun dia membuatkan orang yang baru mengenalinya selesa berbual dengannya.
"Malah, dia tidak pernah putus-putus memberikan nasihat mengenai karier dan kehidupan. Saya berharap sangat agar jasanya sebagai seorang pelakon hebat dikenang sampai bila-bila," tuturnya.
Petikan adegan filem Si Luncai yang dilakonkan Yahya bersama R Jaafar.
Sepanjang penglibatan Allahyarham dalam dunia seni, beliau banyak berlakon filem dan drama antaranya Abu Nawas, Gila-Gila, Putus Sudah Kasih Sayang, Da Di Du dan Prebet Lapok.
Yahya juga pernah bertugas dalam pasukan polis pada tahun 1948 bagi menentang komunis.
Pada tahun 2009, Yahya telah menerima gelaran 'Datuk' oleh Kerajaan Negeri Perlis, namun ditentang isteri kerana menganggap ia tidak sesuai dengan kehidupan mereka yang susah itu tetapi Yahya tetap berdegil dan menerimanya tanpa pengetahuan isteri.
Bagaimanapun pelakon itu menganggap gelaran yang diberikan adalah untuk mengenang jasanya sebagai anggota keselamatan yang berkhidmat mempertahankan negara pada tahun 1948 dan bukan atas kapasiti seorang artis.
Yahya pernah berkahwin sebanyak empat kali dan mempunyai 11 orang anak, enam cucu dan dua cicit.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan berdekatan pusara salah seorang isterinya di Teluk Intan, Perak.
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham.

Faezah Elai, Heykal timang anak pertama

Posted: 07 Feb 2013 03:35 AM PST


Faezah Elai
Faezah Elai
PELAKON Faezah Elai selamat melahirkan anak sulungnya di sebuah pusat perubatan di ibu negara malam tadi.
Bagaimanapun jantina anaknya masih belum didedahkan.
Suaminya, Heykal Hanifah yang juga pengarah drama, berkongsi berita gembira itu menerusi laman mikro Twitter, malam tadi.
"Alhamdulillah 7.03 malam, sayangku telah selamat bersalin. Syukur padamu Ya ALLAH," tulisnya kira-kira sejam selepas kelahiran anak sulung mereka.
Mesej itu kemudiannya dibalas Faezah dengan menulis, "alhamdulillah terima kasih atas doanya." Mereka berkahwin pada 9 September 2011.

Ainan Tasneem kurang publisiti

Posted: 07 Feb 2013 03:34 AM PST


Ainan Tasneem
Ainan Tasneem
Ainan Tasneem
Anan bersama Dextor.
NAMANYA mungkin tidak sepopular lagu dendangannya 'Aku Suka Dia' yang cukup mesra di kalangan pencinta muzik. Namun gadis berusia 20 tahun tidak mudah berputus asa untuk terus mencipta nama.

Tampil melancarkan kelab peminat sendiri, Ainan Tasneem Fans Club (FC), penyanyi remaja ini berharap ia dapat mendekatkan dirinya dengan peminat.

"Dengan adanya kelab ini, saya boleh buat pelbagai aktiviti bersama peminat.

"Malah segala perkembangan saya juga akan dikongsi bersama peminat," katanya yang ditemui ketika pelancaran kelab peminatnya itu di Restoran Rebung, Bangsar diadakan baru-baru ini.

Dihadiri lebih 40 peminatnya, Ainan turut membuat persembahan dengan menyampaikan lagu-lagu popularnya seperti Aku Suka Dia dan

Turut beramah mesra dengan peminat, Ainan berharap kariernya terus mendapat sokongan.

"Nyanyian pada mulanya hanyalah sekadar hobi saya. Namun saya tak sangka boleh pergi sejauh ini.

"Namun dalam masa sama, saya tidak mahu mengabaikan pelajaran saya," katanya penuntut Universiti Malaysia Perlis (Unimap) dalam jurusan Sarjana Kejuruteraan Bioproses.

Bergelar seorang siswazah, Ainan sebolehnya cuba menghindari sebarang kontroversi yang boleh menjejaskan imej baiknya. Bukannya tidak pernah terpalit dengan gosip dan kontroversi, Ainan menganggapnya sebahagian dari lumrah bergelar artis.

"Apa saja gosip yang timbul sebelum ini, adalah tidak benar. Namun saya tidak menafikan ia sedikit sebanyak menaikkan nama saya," katanya yang bernaung di bawah syarikat rakaman A&R MVM Production.

Terkenal di negara jiran?

Yakin dengan bakat dan kemampuan Ainan Tasneem, syarikat rakamannya, A&R MVM mengatur pelbagai strategi untuk menaikkan lagi nama anak jati Kuala Lumpur itu di kalangan peminat tanah air.

Pengurus syarikat rakaman itu, Dexter Koh, berkata, Ainan merupakan penyanyi yang berbakat besar dan pihaknya percaya dia  mampu pergi lebih jauh.

"Selain menyanyi, dia juga memiliki bakat terpendam sebagai komposer mahupun penulis lirik. Malah dia juga berbakat menulis lagu-lagunya sendiri.

"Namun pihak kami akui, dia kurang mendapat publisiti dan kerana itulah orang kurang mengenai Ainan Tasneem, sedangkan lagu-lagunya cukup popular di corong radio," katanya yang kini giat mempromosikan lagu terbaru Ainan berjudul Luka.

Dextor mendedahkan, bukan mudah untuk pihaknya memujuk Ainan menjadi artis rakaman mereka.

"Kami terpaksa menghubungi Ainan berkali-kali kerana dia pada mulanya tidak berminat.

"Ketika itu dia mahu memberi perhatian sepenuhnya dalam pelajaran," katanya.

Tidak menunggu masa yang lama, Ainan bagaimanapun bersetuju untuk menyertai syarikat rakamannya setelah perbincangan dilakukan bersama keluarganya.

"Sangkaan kami terhadap kebolehan Ainan memang tepat apabila lagu pertamanya, 'Aku Suka Dia ' tidak mengambil masa yang lama untuk diminati pendengar tanah air.

"Sehingga kini lagu itu sering diputarkan di radio-radio tempatan dan berjaya menembusi beberapa carta lagu, termasuk di Singapura dan Indonesia.

"Ini menunjukkan Ainan mempunyai potensi dalam nyanyian, " kata Dextor.

Ainan Tasneem Redzuan
Nama gelaran: Ainan
Tarikh Lahir: 4 November (berumur 20 tahun)
Pendidikan: Penuntut jurusan Kejuruteraan Bioproses, Universiti Malaysia Perlis (UniMap)
Kediaman: Bukit Jalil, Kuala Lumpur
Hobi: Menyanyi dan bermain gitar

Tak bayar hutang, suami isteri diculik

Posted: 07 Feb 2013 03:32 AM PST


Tak bayar hutang, suami isteri diculik
Kesemua suspek ditahan reman sehingga Jumaat ini.
KOTA BHARU – Angkara gagal melangsaikan hutang RM10,000, sepasang suami isteri berdepan detik cemas diculik 11 penjenayah dalam kejadian di sebuah rumah belakang Hospital Universiti Sains Malaysia di sini, Khamis lalu.

Bagaimanapun, dengan ketangkasan polis, lelaki warga Myanmar bersama isteri, seorang wanita tempatan dari Perak itu berjaya diselamatkan selepas empat jam laporan diterima.

Ketua Polis daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, polis menerima maklumat daripada mangsa yang berusia 30 tahun selepas lelaki itu berjaya meloloskan diri dengan berbuat helah cuba untuk mendapatkan wang yang diminta.

Katanya, kejadian berlaku pada jam 12.30 pagi ketika mangsa dan isterinya yang berusia 23 tahun berada di rumah sebelum didatangi empat lelaki memaksa mereka masuk ke dalam sebuah kereta lalu dilarikan sejauh 217.22 kilometer ke Jertih.

"Sebelum ditarik masuk ke dalam kereta, mangsa beberapa kali ditampar penculik berkenaan sebelum disuruh duduk di bahagian belakang sementara isterinya pula duduk di bahagian penumpang hadapan.

"Dua daripada empat lelaki itu pula mengekori dengan sebuah lagi kereta lain di belakang. Mereka dikurung di sebuah rumah di Apal, Jertih dengan kawalan empat lagi lelaki lain di situ," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis daerah Kota Bharu di sini, tengah hari
semalam.

Azham berkata, ketika dikurung, seorang daripada penjenayah itu meminta wang RM10,000 sebelum mangsa membuat helah untuk cuba mendapatkan wang terbabit di Melor.

"Kira-kira jam 2 petang, dua daripada penjenayah itu membawa mangsa ke Melor sementara isterinya masih lagi ditahan penculik di Jertih dengan alasan wanita itu akan dibebaskan selepas wang diserahkan.

"Mangsa kemudian sekali lagi membuat helah berpura-pura mengambil wang dengan dua penculik itu menunggu di kawasan tapak pembinaan di Taman Tengku Ahmad Rithauddeen. Dia kemudian lari menyelamatkan diri dengan meminjam motosikal rakannya lalu menuju
ke balai polis berhampiran," katanya.

Empat jam selepas itu, polis berjaya mengesan tempat isteri mangsa dikurung dan berjaya menahan 11 suspek berusia antara 25 hingga 45 tahun iaitu masing-masing dua lelaki dan dua wanita tempatan, enam lelaki Myanmar bersama seorang wanita warganegara sama.

Siasatan awal mendapati kesemua suspek warga asing berkenaan tidak memiliki dokumen sah tinggal di negara ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik dan Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana peras ugut.

Beruk liar ceroboh rumah

Posted: 07 Feb 2013 03:30 AM PST


Beruk liar ceroboh rumah
Anggota JPAM berusaha memujuk beruk liar yang duduk atas loteng selepas menceroboh rumah penduduk. Haiwan itu berjaya ditangkap.
MASJID TANAH - Suasana sebuah rumah yang didiami sekeluarga di Kampung Seri Jeram, di sini, petang kelmarin, kecoh apabila seekor beruk liar menceroboh kediaman mereka.

Kejadian berlaku kira-kira 6.30 petang itu disedari Rosita Omar, 42, yang ketika itu sedang memasak di dapur bagi menyediakan hidangan makan malam untuk keluarga.

Menurut Rosita, dia terkejut mendapati seekor beruk jantan memerhatikannya semasa dia hendak ke ruang tamu melihat dua anaknya, Nurfarhana Nurhashim, 17, dan Norman Farhan, 12, sedang menyiapkan kerja sekolah.

"Kerana terkejut, saya menjerit mengarahkan anak-anak saya ke dapur menyelamatkan diri kerana bimbang diserang," katanya.

Menurutnya, suaminya, Nurhashim Md Jani, 49, yang terkejut dengan jeritan itu, terus ke ruang tamu dan cuba menghalau haiwan berkenaan yang mula bertindak agresif
"Suami saya kemudian mencampakkan pisang ke arah beranda rumah untuk menarik perhatian beruk itu, tapi haiwan itu tidak berganjak.

"Kami berusaha mengusirnya  tetapi ia berlegar-legar pula di beranda rumah, sesekali memerhatikan kami di dalam rumah," katanya kepada Sinar Harian, kelmarin.

Rosita berkata, kira-kira 10 minit kemudian, beruk itu masih tidak berganjak dan berkawal di pintu rumah sebelum memanjat bumbung.

"Saya ingat beruk itu sudah lari ke hutan tapi saya terkejut apabila terlihat beruk berkenaan meninjaunya dari loteng rumah memerhati.

"Bimbang berlaku kejadian buruk, saya menghubungi Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) untuk bantuan," katanya.

Sementara itu, Ketua Skuad JPAM Alor Gajah, Saiful Nazmi Said berkata, pihaknya menerima panggilan dari penghuni rumah berkenaan kira-kira 6.40 petang dan bergegas ke tempat kejadian bersama dua lagi anggota.

"Setiba di lokasi kejadian mendapati beruk  sebesar kanak-kanak berusia tiga tahun itu berada di loteng rumah terbabit dan melarikan diri ke satu sudut sebaik menyedari kehadiran kami," katanya.

Menurutnya, beruk yang bertindak agresif cuba menyergah anggota sebelum berlari bersembunyi di sebalik barangan diletakkan di loteng sehingga usaha memujuk secara perlahan dilakukan.

"Kami berikan nama 'Awang' kepada beruk itu dan memanggilnya dengan perlahan dan lembut sambil berhati-hati dengan langkah pada palang kayu loteng, bimbang akan terbolos dari siling rumah," katanya.

Bagaimanapun, katanya, beruk berkenaan akhirya mengalah dan turun dari loteng, sebelum anggota JPAM menangkapnya untuk diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

RM14,000 disimpan bawah tilam lesap

Posted: 07 Feb 2013 03:29 AM PST


RM114,000 lesap dari rumah
Semek menunjukkan tingkap rumahnya yang diumpil pencuri yang melarikan melarikan barang kemas bernilai kira-kira RM100,000 dan wang tunai RM14,000.
DUNGUN – Niat pasangan suami isteri untuk menghadiahkan hasil jualan tanah kepada anak-anak mereka hancur apabila wang tunai RM14,000 yang dilsimpan di bawah tilam di rumah mereka dekat sini dikebas dalam kejadian  pecah rumah, pagi kelmarin.

Turut dicuri ialah barang-barang kemas, termasuk gelang dan cincin emas yang semuanya bernilai kira-kira RM100,000.

Kejadian itu dipercayai berlaku ketika Semek Abdul Rahman, 65, dan suaminya, Ismail Mohd, 70, yang menjaja sayur menggunakan van bergerak, keluar membeli barang di pasar Dungun.

Semek berkata, kes pecah rumah itu disedari seorang cucunya, Amin Mohd Khir, 17, yang tidur selepas pulang dari tempat kerja. Amin menghubungi bapanya setelah melihat barang-barang  dalam rumah mereka berada dalam keadaan berselerak sebaik terjaga daripada tidur.

Menurut Semek, sebelum itu, dia meninggalkan rumah bersama suaminya selepas solat Subuh kira-kira jam 6.15 pagi dan ketika itu difahamkan barang kemas miliknya masih tersimpan rapi dalam laci. Wang tunai RM14,000 disimpan di bawah tilam, tempat tidur suaminya.

Selepas mendapat berita mengejutkan itu, Semek terus pulang ke rumah dan melakukan pemeriksaan.

"Wang tunai RM14,000 hasil jualan tanah pusaka suami dan barang kemas milik saya yang disimpan dalam laci lesap. Terdapat kesan umpil pada tingkap belakang," katanya.

Tambahnya, barang kemas termasuk beberapa gelang tangan dan cincin bernilai kira-kira RM100,000 disimpannya sejak lebih 20 tahun lalu.

"Kami bercadang untuk membahagikan wang itu kepada anak-anak yang bakal pulang bercuti sempena perayaan Tahun Baru Cina nanti, jadi kami tidak masukkan ke dalam akaun bank.

"Tak sangka pula ia akan diambil pencuri," kata Semek.

Semek membuat laporan di Balai Polis Paka dan polis sedang menyiasat kes tersebut.

Dipenjara lapan bulan curi duit kakak

Posted: 07 Feb 2013 03:29 AM PST


Dipenjara lapan bulan curi duit kakak
Isrol Affandi dijatuhkan hukum penjara lapan bulan selepas mengaku bersalah mencuri duit simpanan kakaknya di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, semalam.
KUALA TERENGGANU - Angkara gian dadah, seorang pemuda tergamak mencuri duit simpanan kakaknya sendiri selepas permintaannya untuk mendapatkan wang tidak diendahkan oleh ibunya.

Semalam, Isrol Affandi Ibrahim @ Yusof, 26, dari Kampung Titian Hangus, Simpang Tok Ku, Chabang Tiga, di sini, dihukum penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, atas kesalahan itu.

Isrol Affandi mengaku mencuri kira-kira RM4,000 dan sebuah komputer riba bernilai kira-kira RM1,500 milik kakaknya, Zalifah, 37, antara 1 petang dan 2 petang 7 Januari lalu, di rumah mereka di Kampung Titian Hangus.

 Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda di hadapan Majistret Noradila Ab Latif. Isrol Affandi tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian lebih kurang jam 1 petang, Isrol Affandi telah meminta sejumlah wang daripada ibunya, Zamun Oumar, 56, untuk membeli ubat.

Bagaimanapun, ibunya tidak mengendahkan permintaannya itu kerana syak dia mahu membeli dadah, bukan ubat.

Setelah ibunya ke dapur untuk memasak, Isrol Affandi masuk ke bilik kakaknya dan mengambil duit yang disimpan di dalam almari.

Namun ibunya tidak mengetahui perbuatan Isrol Affandi itu sehinggalah Zalifah pulang dari kerja lebih kurang jam 2 petang dan memaklumkannya duit dalam almarinya hilang.

Insentif perkahwinan RM200 untuk belia

Posted: 07 Feb 2013 03:25 AM PST


Ahmad Yunus Hairi
Exco Adat Melayu, Belia dan Sukan negeri, Dr Ahmad Yunus Hairi
SHAH ALAM – Golongan belia di Selangor yang berkahwin mulai 1 Januari tahun ini kini boleh menikmati insentif hadiah perkahwinan RM200  bagi setiap pasangan, dalam tempoh terdekat.

Exco Adat Melayu, Belia dan Sukan negeri, Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, pemberian insentif itu dikhaskan kepada pasangan suami isteri atau salah seorang daripada mereka yang merupakan anak Selangor, berusia 35 tahun ke bawah.

Katanya, insentif itu akan diberi dalam bentuk simpanan Tabung Haji bagi mereka yang beragama Islam, manakala untuk pasangan bukan  Islam pula, pemberian dilakukan menerusi sijil simpanan premium.

"Sekarang, kita dalam proses menghantar borang permohonan insentif ini kepada pusat khidmat masyarakat di semua Dun di Selangor.

"Dalam tempoh seminggu, belia yang sudah berkahwin boleh mendapatkan borang permohonan di pusat khidmat masyarakat Dun masing-masing untuk mengisi borang bagi mendapatkan insentif hadiah perkahwinan ini," katanya selepas menghadiri Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri, di sini, semalam.

Beliau berkata, pemberian hadiah itu akan diproses secepat mungkin sekiranya pemohon menghantar permohonan kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) segera.

Menurutnya, pihaknya juga tidak mengambil kira  penilaian gaji pasangan untuk mendapatkan hadiah perkahwinan itu.

Sebelum ini, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan pemberian insentif itu menerusi pembiayaan daripada peruntukan Belanjawan Selangor 2013.

Bilik hotel 'sarang' 3 remaja

Posted: 07 Feb 2013 03:24 AM PST


Bilik hotel 'sarang' 3 remaja
Ketiga-tiga remaja yang ditahan Bahagian Penguatkuasa Jaim kerana disyaki bersekedudukan.
Bilik hotel 'sarang' 3 remaja
Turut ditemui beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan menghisap dadah.
BANDARAYA MELAKA - Serbuan Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) di sebuah hotel bajet pagi kelmarin bukan sahaja menemui sarang maksiat malah tempat berkenaan turut dipercayai menjadi pusat penagihan dadah dan juga kegiatan ragut.

Ketua Pegawai Bahagian Penguatkuasa Jaim, Rahimin Bani berkata, dalam kejadian jam 8.30 pagi itu, sepasukan anggotanya telah melakukan serbuan di hotel berkenaan di kampung Hulu dekat sini.

Menurutnya, dalam serbuan itu, seorang remaja perempuan berusia 16 tahun dan dua remaja lelaki berusia 17 dan 19 tahun yang kesemuanya dari negeri ini telah ditahan.

"Semasa pasukan kami mengetuk bilik hotel berkenaan, seorang remaja perempuan  membuka bilik itu dan dua remaja lelaki terbabit sedang tidur di atas katil.

"Siasatan mendapati remaja perempuan terbabit sudah tidak bersekolah lagi dan hasil pemeriksaan lanjut kami menemui barangan dipercayai menjadi peralatan untuk menghisap syabu yang diletak di dalam sebuah beg," katanya ketika dihubungi semalam.

Rahimin berkata, ketiga-tiga remaja terbabit juga tiada hubungan mahram dan pihaknya menemui  lesen, kad bank dan kad pengenalan milik orang lain di dalam dompet remaja perempuan itu.

Katanya, sebaik disiasat, remaja itu mendakwa dia telah menjumpai kesemua dokumen berkenaan dan mendapati bilik hotel itu juga telah disewa di atas nama orang lain iaitu menggunakan nama salah satu kad pengenalan ditemui.

"Dipercayai kesemua mereka di bawah umur, justeru mereka telah menggunakan kad pengenalan terbabit untuk menyewa bilik berkenaan.

"Mereka duduk di hotel berharga RM45 sehari itu sejak 12 hari lalu," katanya.

Beliau berkata, besar kemungkinan bilik hotel berkenaan juga dijadikan pusat  aktiviti menghisap dadah dan kegiatan ragut.

"Berikutan meragui terhadap pelbagai penemuan barangan tersebut kami telah menyerahkan ketiga-tiga remaja terbabit kepada polis.

"Ketiga-tiga remaja terbabit juga akan di dakwa di bawah Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekedudukan," katanya.

Pesawat ringan terhempas dekat kondominium di Melaka

Posted: 07 Feb 2013 03:23 AM PST


Pesawat ringan terhempas dekat kondominium di Melaka
Pesawat ringan jenis Piper PA-28 milik Malaysian Flying Academy terhempas di tebing dekat kondominium Cheng Height Melaka hari ini.
MELAKA - Sebuah pesawat ringan jenis Piper PA-28 terhempas di tebing berhampiran Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) dekat kondominium Cheng Height di sini, hari ini.
Juruterbang P. Devenessrao, 20, dari Bahau, Negeri Sembilan, merupakan pelatih Malaysian Flying Academy yang berada berseorangan di dalam pesawat itu hanya cedera ringan di bahagian kepala serta tengkuk dan dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan.
Seorang saksi kejadian, Koperal Zameri Nawi, 50, dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah berkata beliau melihat pesawat berkenaan dalam keadaan terhuyung-hayang dalam kejadian 12 tengah hari itu.
"Pesawat itu kemudian merempuh beberapa batang pokok berhampiran kondominium tersebut menyebabkan dahan-dahan pokok terpelanting ke jalan raya," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Beliau yang sedang melakukan tinjauan lalu lintas sempena Tahun Baru Cina kemudian menghubungi IPD Melaka Tengah bagi memaklumkan mengenai kejadian berkenaan.
Sementara itu, Ketua Jabatan Trafik dan Ketenteraman Awam Melaka Supt Ahmad Adnan Basri berkata Devenessrao berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka, Batu Berendam pada 11.15 pagi untuk melakukan latihan penerbangan sebelum membuat panggilan kecemasan kepada menara kawalan pada 11.56 pagi.
Beliau berkata, pesawat berkenaan kemudian terhempas kira-kira 30 meter daripada kondominium tersebut sebelum juruterbang terbabit keluar menyelamatkan diri.
"Pihak polis akan mengawal keadaan di sekitar kawasan kemalangan ini sementara menunggu pasukan penyiasat Jabatan Penerbangan Awam yang difahamkan akan tiba esok bagi menyiasat punca kejadian," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu Timbalan Penguasa Bomba Yazid Mohd Tahir berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 12.01 tengah hari sebelum tiba di lokasi kejadian bersama empat jentera dan 26 anggota dari balai itu pada 12.10 tengahari.
Beliau berkata pihaknya kemudian melakukan kerja semburan buih selepas mendapati berlaku kebocoran minyak bagi mengelak percikan api dan kebakaran.
Katanya bomba juga memasang tali pada bahagian ekor pesawat berkenaan bagi mengelak ia terjatuh ke jalan raya berhampiran.

Album AJL kali pertama diterbitkan

Posted: 07 Feb 2013 03:19 AM PST


AHMAD IZHAM (tiga dari kanan) dan Jacynta (tengah) pada majlis penyerahan cek kepada pemenang dan pelancaran album AJL 27.


ANUGERAH Juara Lagu ke-27 (AJL 27) yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil pada 6 Januari lalu mendapat sambutan hangat apabila ditonton sebanyak enam juta penonton.
Berdasarkan sambutan yang diterima itu, TV3 telah mengambil inisiatif dengan menghasilkan sebuah album khas AJL 27 yang diterbitkan dalam bentuk cakera video digital (DVD) dan cakera padat (CD).
Ketua Pengurusan Bakat The 8 Unit & Monkey Bone, Jacynta Au-Yong berkata, album berkenaan buat julung-julung kalinya dihasilkan memandangkan belum pernah lagi acara AJL diterbitkan dalam bentuk DVD atau CD.
"Idea menghasilkan album ini pastinya memberikan peluang kepada mereka yang tidak berkesempatan menonton AJL 27 secara langsung sebelum ini.
"Selain itu, kami juga menjanjikan album yang dihasilkan ini berkualiti tinggi serta memberi kepuasan kepada mereka yang memilikinya," ujarnya ketika majlis penyerahan cek kepada pemenang AJL 27 dan pelancaran album berkenaan baru-baru ini.
Menurut Jacynta, album tersebut mengandungi sebanyak 12 buah lagu yang layak ke peringkat akhir AJL 27 seperti Idola (Azlan & The Typewriter), Pelangi Senja (Stacy), Terukir Di Bintang (Aizat), Anak Kampung (One Nation Emcee feat Jimmy Palikat), Ombak Rindu (Adira dan Hafiz), Tanpamu (Amir Jahari), Lagu (Bedroom Sanctuary), Teman Pengganti (Black dan Malique), Ku Akui (Hafiz), Simetri (Amy Search dan Hazama), Andai Ku Bercinta Lagi (Mojo) dan Patah Seribu (Shila Amzah).
Ujarnya, album AJL 27 sudah mula berada di pasaran pada minggu ini dengan harga RM29.90. Namun begitu, untuk cetakan pertama cuma 1,000 keping sahaja yang dihasilkan.
"Kami membuat keputusan untuk menghasilkan 1,000 keping sahaja buat permulaan. Sekiranya album ini mendapat sambutan yang baik kami akan menambah lagi jumlahnya," ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen Media Prima, Ahmad Izham Omar berkata, penerbitan album AJL 27 itu juga sebagai satu bentuk penghargaan dan tanda terima kasih kepada mereka yang menyokong AJL selama ini.
Pada majlis yang sama, turut diadakan majlis penyampaian cek kepada pemenang, yang mana juara AJL 27 iaitu lagu Terukir Di Bintang nyanyian Aizat, ciptaan dan lirik oleh Yuna menerima cek sebanyak RM35,000.
Lagu ciptaan Audi Mok dan lirik oleh Nor Azlan Rosle (Azlan), Idola yang dinyanyikan Azlan & The Typewriter pula menerima cek sebanyak RM15,000 selaku naib juara.
Ditempat ketiga pula, lagu nyanyian Hafiz ciptaan dan lirik oleh Ajai, Ku Akui menerima cek berjumlah RM12,000.
Selain itu, lagu Teman Pengganti nyanyian Black dan RJ yang dinobatkan sebagai Persembahan Terbaik menerima RM10,000, manakala Hafiz pula turut menerima RM10,000 untuk kategori Vokal Terbaik.

Anuar redha lokasi konsert bertukar

Posted: 07 Feb 2013 03:19 AM PST

FIGURA pujaan ramai ini masih mampu tersenyum dan tenang biarpun perancangan konsert sulungnya menghadapi masalah teknikal.


ANUAR ZAIN, satu nama yang sangat besar dalam industri muzik Malaysia. Walaupun sudah tiga dekad berada dalam industri, pada tahun ini dia bakal muncul dalam konsert pertamanya sepanjang penglibatan sebagai seorang penyanyi.
Konsert sulungnya yang diberikan judul sebagai Konsert Anuar Zain Tiga Dekad Muzik, Cinta dan Sanubari itu, sebelum ini dijadualkan bakal berlangsung pada pukul 8.30 malam, 16 Februari ini di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Namun pada saat-saat akhir, Anuar Zain dan kru produksi menghadapi masalah teknikal.
Bertemu jejaka berlesung pipit ini pada sidang akhbar yang diadakan bertempat di Hotel Concorde, Shah Alam, Selangor baru-baru ini, Anuar telah mengumumkan masalah yang dihadapinya iaitu penukaran lokasi konsert tersebut.
Penukaran lokasi yang dilakukan tiga minggu sebelum konsert mega itu berlangsung, bagaimanapun belum mampu memusnahkan ketenangan pada diri Anuar yang sebaliknya bersyukur dengan apa yang dilaluinya itu.
Bagi dirinya, segala kejadian yang berlaku itu dianggap sebagai rintangan yang perlu diharungi dan juga tersirat hikmah di sebalik setiap yang berlaku.
"Tiga minggu sebelum tarikh konsert, kami dapat tahu ada sedikit masalah logistik yang tidak dapat dielakkan," ujarnya.
Tambahnya: "Ini kerana ada majlis lain yang berlangsung di situ pada 17 Februari. Ini bermakna stadium itu perlu dikosongkan secepat mungkin selepas konsert tamat.
"Konsert ini berskala besar, namun agak mustahil untuk kami berkemas dalam masa beberapa jam sahaja bagi memberi laluan kepada majlis lain di situ pada keesokan harinya itu.
"Daripada menunda tarikh konsert, lebih baik kami menukar lokasi agar tidak menghampakan peminat yang telah lama menanti-nantikan konsert ini.
"Alhamdulillah, kami mendapat lokasi baharu iaitu di Stadium Malawati, Shah Alam pada tarikh dan waktu yang sama.
Tidak berasa kecewa dan panik dengan penukaran lokasi konsertnya itu, bicara Anuar, dia bersyukur kerana mempunyai kru produksi yang sangat cekap menangani masalah.
Tambahnya, dia reda dengan apa yang berlaku dan tidak akan mengubah apa yang telah dirancangkan pada asalnya untuk konsertnya itu.
"Saya tidak mahu kurangkan apa-apa pun kerana saya mahu peminat berpuas hati dengan apa yang saya tampilkan kelak.
"Bagi saya, walaupun tidak balik modal, konsert ini bukan kerana wang. Ini konsert saya yang pertama, jadi kepuasan peminat menjadi agenda utama saya mengadakan konsert ini.
"Walaupun tiada penajaan, saya tidak kisah. Memang ada rintangan dan mungkin tidak sempurna.
"Namun, saya perlu harunginya dan biarlah apapun yang mahu dikritik, tetapi memang semuanya untuk peminat saya," tutur Anuar yang mahukan peminat mengenang konsert sulungnya ini atas dasar kualiti yang ditampilkan nanti.
Setakat ini, jelas Anuar, 80 peratus tiket konsert sudah terjual dan kepada yang sudah membeli tiket, pihak Tiket Charge sudahpun menghubungi mereka bermula semalam, 6 Februari ini untuk menjelaskan tentang penukaran lokasi konsert tersebut.
Mereka yang berminat untuk menyaksikan konsert berkenaan masih boleh membeli tiket bermula 6 Februari menerusi laman web www.ticketcharge.com atau menghubungi Anuar Zain Network menerusi talian 012-464 2030.

Taman Warisan Batu Sapi terbiar

Posted: 07 Feb 2013 03:18 AM PST


SARMAN melihat sampah sarap yang mencemari di Taman Warisan Batu Sapi, Sandakan semalam.


SANDAKAN - Keindahan Taman Warisan Batu Sapi yang menjadi kebanggaan penduduk daerah ini suatu ketika dahulu kini hanya tinggal kenangan.
Terletak kira-kira 12 kilometer dari pusat bandar, taman tersebut yang terkenal dengan bongkah batu yang menyerupai sapi (lembu) terus terbiar sejak beberapa tahun lalu tanpa sebarang penyelenggaraan.
Tinjauan Kosmo! ke taman tersebut baru-baru ini mendapati, hampir keseluruhan kawasannya berada dalam keadaan daif dengan kemudahan awam seperti tandas, jejantas dan rumah rehat telah rosak.
Lebih menyedihkan, taman yang pernah menjadi tumpuan pelancong luar negara itu turut dijadikan tempat pemujaan berdasarkan penemuan kain-kain kuning dan makanan yang diletakkan di atas bongkah batu menyerupai seekor lembu itu.
Seorang penduduk, Sarman Ali, 50, berkata, taman tersebut yang menjadi sebahagian daripada mercu tanda daerah tersebut sepatutnya dijaga sebaiknya kerana mempunyai nilai warisan tinggi untuk tatapan generasi akan datang.
"Setiap kali datang ke sini, saya berasa sedih dan kecewa kerana taman ini dibiarkan begitu sahaja dengan dipenuhi semak samun dan sampah," katanya di sini semalam.

SEORANG penduduk menunjukkan kemudahan tandas yang terbiar dan rosak di Taman Warisan Batu Sapi, Sandakan.


Sarman yang juga kakitangan Jabatan Perhutanan memberitahu, dia pernah membuat kerja-kerja pembersihan dan penaiktarafan di kawasan berkenaan pada tahun 2006 bersama Lembaga Pelancongan Negeri Sabah, namun selepas itu, ia tidak dijaga dan diselenggara dengan baik.
"Lihat sahaja sekarang, kemudahan awam semua rosak dan hanya tinggal tiang konkrit sahaja, selain jalan untuk masuk ke taman ini berlumpur dan dipenuhi semak," jelasnya.
Seorang lagi penduduk, Abdullah Chik Utu, 48, berkata, taman tersebut pernah menjadi pusat pelancongan terkenal di Sabah.
Katanya, orang ramai datang untuk melihat keunikan dan daya tarikan bongkah batu tersebut.
"Disebabkan bongkahnya menyerupai lembu, pada masa ini, ada golongan tertentu menjadikannya sebagai tempat pemujaan sama ada untuk bernazar atau tolak bala," katanya.

Tauke stevia didakwa

Posted: 07 Feb 2013 03:17 AM PST

ZUBIR berjalan keluar dari Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Usahawan internet dan Ketua Pengarah Eksekutif Syarikat Megaherbs Bioextreme Sdn. Bhd. dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas dua tuduhan membuat tawaran pembelian saham membabitkan skim pelaburan 'Rakan Niaga Kontrak Stevia' yang tidak sah tahun lalu.
Tertuduh, Datuk Dr. Zubir Yahya, 46, yang pernah menerbitkan filem seram Gentayangan empat tahun lalu bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua tuduhan tersebut dan mohon dibicarakan.
Megaherbs Bioextreme adalah syarikat yang menjalankan perniagaan serta kursus keusahawanan berasaskan penanaman pokok stevia bagi menggantikan gula sebagai bahan pemanis.
Syarikat tersebut mendapat publisiti meluas dan sering menyiarkan iklan bukan sahaja di akhbar-akhbar tetapi juga di media elektronik.
Zubir didakwa menawarkan kepada orang awam pembelian saham bagi skim pelaburan itu walhal syarikatnya bukan menjalankan perniagaan sedemikian.
Tawaran itu dilarang mengikut Seksyen 363 (3) Akta Syarikat 1965 dan jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara 10 tahun atau denda RM250,000.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menawarkan pembelian saham skim pelaburan yang sama walhal tidak mempunyai surat ikatan yang diluluskan.
Kedua-dua kesalahan didakwa dilakukan antara 1 April 2011 hingga 13 April 2012 di Megaherbs Bioextreme, di 36-3, Blok G, Platinum Walk, No. 2, Jalan Langkawi, Danau Kota di sini.
Bagi tuduhan kedua, Zubir didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 91(1) Akta Syarikat 1965 dan dihukum mengikut Seksyen 94(1) akta sama.
Sabit kesalahan, dia boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda RM100,000.
Pegawai pendakwa dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Mohd. Zulkhairi Kamaruzaman yang menawarkan jaminan RM30,000 dan RM20,000 masing-masing untuk setiap tuduhan memberitahu, tertuduh telah menyerah diri kepada polis dan memberi kerjasama penuh sepanjang siasatan.
Zubir kemudian memaklumkan dia telah mempunyai peguam namun gagal hadir pada prosiding semalam selain memohon dikurangkan wang jaminan dengan isteri hadir sebagai penjamin.
Hakim Rozana Ali Yusoff membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM25,000 bagi kedua-dua tuduhan dan menetapkan 12 Mac depan untuk sebutan kes. Tertuduh membayar jaminan tersebut.
Filem Gentayangan yang menelan belanja sebanyak RM2.5 juta diarahkan oleh Zulkiflee M. Osman dan dibintangi pelakon Rusdi Ramli, Nasir Bilal Khan, Hasnol Rahmat dan Yasmin Hani. Ia mengisahkan empat sekawan yang pulang bercuti di sebuah kampung, namun menemui pelbagai peristiwa misteri dan dan menyeramkan.
Bagaimanapun, penayangan filem itu terpaksa ditangguhkan atas sebab-sebab tertentu.

Menyamar anak Sultan Kedah

Posted: 07 Feb 2013 03:15 AM PST


MOHD. ASZURAIDI (kanan) didakwa menyamar sebagai anak Sultan Kedah bagi memperdaya pegawai bank di Mahkamah Majistret Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU – Gara-gara mendakwa dirinya putera kepada Sultan Kedah, seorang pesawah padi didakwa di Mahkamah Majistret di sini semalam atas 13 pertuduhan memperdaya seorang pegawai bank tahun lalu.
Bagaimanapun, Mohd. Aszuraidi Abd. Aziz, 31, mengaku tidak bersalah ke atas semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Mohd. Azlan Shah Mohd. Alias.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa telah memperdaya seorang pegawai bank, Akbar Mohamad, 53, antara 8 Ogos hingga 27 November tahun lalu di Taman Istimewa Pandan di sini dengan mengaku dirinya anak kepada Sultan Kedah dan mempunyai banyak harta di bawah nama 'ayahandanya' itu.
Tertuduh yang berasal dari Alor Setar, Kedah mendakwa mahu membuat urusan penukaran nama harta Sultan Kedah kepada namanya dan memerlukan sejumlah wang untuk tujuan itu.
Dia kemudian berjumpa dengan mangsa dan melakukan penipuan hingga mendorong pegawai bank berkenaan menyerahkan wang kepadanya secara berperingkat-peringkat yang keseluruhannya berjumlah RM1,898.
Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan penjara antara setahun hingga 10 tahun dan sebat serta sebatan bagi setiap pertuduhan.
Mohd. Azlan Shah Mohd. Alias kemudian memerintahkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000.
Bagaimanapun, tertuduh gagal membayar jaminan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Afif Ali dan Khazrin Haffiz Khalil manakala tertuduh tidak diwakili peguam dan kes akan disebut semula pada 6 Mac ini.

Wanita Malaysia diherdik jika enggan melacur

Posted: 07 Feb 2013 03:14 AM PST


KERATAN akhbar Kosmo! keluaran Selasa
lalu yang menyiarkan kisah wanita Malaysia jadi hamba seks di Sydney.


SYDNEY - Seorang wanita dari Malaysia yang dipaksa menjadi pelacur memberitahu sebuah mahkamah Australia bahawa dia diherdik kerana enggan melakukan aksi seks dan dipaksa bekerja 17 jam sehari di sebuah rumah pelacuran di sini, lapor agensi Australian Associated Press semalam.
Mahkamah Daerah Sydney di sini diberitahu semalam bahawa seorang ibu ayam, Wong Chee Mei mengajar wanita tersebut aksi-aksi seks yang perlu dilakukan dan memarahinya selepas seorang pelanggan mengadu dia enggan melakukan beberapa aksi lucah itu.
Chee Mei, 37, mengaku tidak bersalah berhubung dakwaan menjalankan perniagaan melibatkan perkhidmatan seks dan enam pertuduhan mengupah dan mengeksploitasi warga asing dengan melanggar syarat visa mereka.
Mahkamah mendakwa Chee Mei yang juga dikenali sebagai Yoko menguruskan rumah pelacuran Diamonds brothel di Willoughby, utara bandar raya ini antara 2008 hingga 2010.
Mahkamah diberitahu, dia mengupah enam wanita berdarah India yang direkrut di Malaysia dan dihantar ke Australia dengan menggunakan visa pelajar untuk menjadi pelacur.

5 maut tsunami landa Kepulauan Solomon selepas gempa bumi

Posted: 07 Feb 2013 03:13 AM PST




SYDNEY - Satu gempa bumi kuat di perairan Kepulauan Solomon mencetuskan ombak tsunami setinggi 1.5 meter semalam yang merosakkan puluhan buah rumah dan menyebabkan lima orang hilang di kepulauan berkenaan di Lautan Pasifik.
Semua mangsa yang hilang itu dikhuatiri mati.
Pihak berkuasa kemudian membatalkan amaran tsunami di pantai-pantai yang terletak jauh dari lokasi gempa bumi.
Beberapa pegawai tempatan berkata, dua ombak tsunami setinggi 1.5 meter melanda Kepulauan Santa Cruz dengan menyebabkan antara 70 hingga 80 buah rumah rosak.
Seorang jurucakap pemerintah, George Herming memberitahu bahawa ramai penduduk kampung berpindah ke tempat yang lebih tinggi sebagai langkah berjaga-jaga.
"Kami percaya beberapa orang terbunuh dalam bencana ini," kata Komisioner Polis Kepulauan Solomon, John Lansley pula.
Tsunami itu terbentuk selepas gempa bumi 8.0 pada skala Richter melanda dekat bandar Lata di Pulau Santa Cruz.
Lata terletak dalam wilayah Temotu iaitu bahagian paling timur di Kepulauan Solomon pada jarak sekitar tiga jam penerbangan dari ibu kota negara itu, Honiara.
Temotu dihuni oleh sekitar 30,000 penduduk.
Pusat Amaran Tsunami Pasifik menyatakan, ombak tsunami setinggi tiga meter melanda sebuah dermaga Lata.
Beberapa ombak yang lebih kecil turut berlaku di Vanuatu dan New Caledonia.

Rancang percutian melalui gajet pintar

Posted: 07 Feb 2013 03:10 AM PST

KIRI: Kini, tempahan dan pembayaran untuk penginapandi RWG boleh dibuat di hujung jari. - Gambar hiasan


TANGGAPAN bahawa peranti telefon pintar atau tablet hanyalah untuk golongan muda sebenarnya boleh disangkal. Nenek kepada Timbalan Presiden Eksekutif Resorts World Genting (RWG), Datuk Kevin Sim merupakan salah seorang pengguna gajet tersebut.
Cerita Kevin, pada majlis hari lahir neneknya yang ke-97 lalu, seluruh keluarganya berkumpul beramai-ramai bagi meraikan ulang tahun wanita yang menjadi tunjang keluarga itu.
"Tiba-tiba datang mak cik saya meminta alamat e-mel. Permintaan itu benar-benar mengejutkan kerana mak cik saya selama ini boleh terus membuat panggilan telefon jika ingin berhubung," ujar Kevin ketika ditemui di Wisma Genting, Kuala Lumpur bulan lalu.
Rupa-rupanya, e-mel tersebut mahu diberikan kepada neneknya untuk tujuan berhubung dengan semua cucunya.
Bagi kebanyakan warga emas, kaligrafi dan sudoku mampu membantu meningkatkan daya ingatan mereka. Begitu juga dengan nenek Kevin, wanita tersebut menghantar foto-toto hasil kaligrafi terbaharu yang dibuat melalui e-mel ke semua cucunya untuk dikongsi bersama.
Neneknya yang mempunyai masalah pendengaran menjadikan e-mel sebagai medium komunikasi, malah turut menggunakan aplikasi FaceTime.
"Tidak ada istilah terlalu tua untuk menggunakannya apabila merujuk pada gajet. Ia bukan untuk orang muda sahaja.
"Kami mahu menjadi peneraju dalam industri, maka kami harus bertukar (mengikut perkembangan teknologi)," kata Kevin pada majlis minum petang sempena muat turun aplikasi RWG yang mencecah 100,000 dalam masa kurang setahun.
Aplikasi RWG untuk platform iOS dilancarkan pada suku pertama tahun 2012 dan ikuti Android. Dalam masa beberapa hari, ia dinobat sebagai Aplikasi Pelancongan Nombor 1 di Malaysia dan Singapura untuk iOS serta menduduki tangga 10 teratas aplikasi Android dalam kategori yang sama.
Sebanyak 65 peratus muat turun aplikasi itu ialah pengguna iOS dan selebihnya, Android yang terdiri daripada rakyat Singapura, China, Indonesia, Hong Kong dan Malaysia. Kebanyakannya ahli kad kesetiaan.
Perkhidmatan terbaik
Sejak RWG melancarkan laman webnya pada tahun 1997, mereka tidak henti-henti menerokai bidang digital dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada lebih 20 juta pengunjung resort itu setiap tahun.
Naib Presiden Kanan eService RWG, Thomas Ng menambah, perkhidmatan tempahan dalam talian dilancarkan pada tahun 2000 diikuti iHoliday (2010) yang merupakan kemudahan beli-belah dan tempahan hotel dalam internet.
RWG juga telah mereka sistem e-kios daftar masuk dan memiliki jabatan teknologi maklumat sendiri bagi memastikan proses penempahan lebih 10,000 buah bilik di resort itu berjalan lancar.
Selain itu, RWG mempunyai sistem kad kesetiaan, WorldCard, yang mempunyai keahlian seramai tiga juta orang dan juga beribu-ribu peruncit dalam program penebusannya.

WEI HENG melakukan demonstrasi aplikasi Windows 8 di Wisma Genting baru-baru ini.


Dengan pelancaran teknologi aplikasi pada tahun 2008 dan penambahan bilangan pengguna telefon pintar secara mendadak di seluruh dunia, RWG turut sama dalam dunia mobil itu.
Aplikasi tersebut boleh dimuat turun pelanggan dan dapat berhubung dengan dunia RWG serta-merta, manakala ahli kad dapat log masuk dan terus ke MyAccount bagi memeriksa poin, tarikh tamat atau informasi berkaitan.
Bagi bukan ahli, mereka dapat mengetahui sorotan penting dalam aplikasi RWG pada bahagian My Planner bagi melihat maklumat dan merancang percutian di taman tema itu.
"Penempahan (pada aplikasi) boleh dibuat dengan menggunakan kad kredit dan pada separuh pertama tahun 2013, ahli boleh membuat tempahan menggunakan Genting Rewards Points," kata Thomas pada majlis yang sama.
Bagi penempahan kad kredit pada aplikasi, pihak RWG memberikan jaminan penuh mengenai keselamatan yang digunakan sama seperti transaksi bank.
Pemindahan sistem penempahan daripada laman web ke skrin telefon pintar sebenarnya memerlukan banyak pelaburan dan melibatkan bidang teknikal serta pemasaran.
Grafik pada aplikasi perlu kemas dan ringkas tetapi pada masa yang sama sangat interaktif sama seperti laman web. Perkara itu membolehkan data dimuat naik dan bahan kandungan dimuat turun dengan pantas.
Keterlibatan aplikasi dengan laman sosial seperti Twitter, Facebook, RenRen, YouTube dan Weibo juga penting dalam menyebarkan maklumat.
Dalam jangka masa panjang, aplikasi gajet merupakan satu lagi platform bagi mempromosi produk dan kemudahan kepada pengguna dalam dunia yang sangat cepat serta bersifat mobil.
Sekitar Mac hingga April 2013 nanti, RWG bakal melancarkan aplikasi untuk sistem operasi Windows 8 pula yang setakat ini sudahpun 98 peratus siap.
"Ia kini sedang melalui proses ujian dalam menggunakannya," kata Naib Presiden Pemasaran Kebangsaan RWG, Chow Wei Heng, 51.
Rekaan aplikasi
Pada majlis tersebut, Wei Heng turut memperkenalkan kepada media dan blogger contoh aplikasi untuk Windows 8 yang mempunyai persamaan hampir 100 peratus.
Kata Wei Heng, mereka perlu melakukan semula kerja-kerja mereka bentuk aplikasi disebabkan beberapa perkara yang melibatkan teknikal.
Android dan iOS membolehkan antaramukanya disentuh berkali-kali tanpa had untuk melancarkan sistem yang ada dalam satu-satu jenis aplikasi seperti pembayaran atau pembelian. Jadi, aplikasi boleh direka seberapa banyak lapisan yang diingini.
Perbezaan yang ada pada aplikasi platform Windows 8 pula hanya boleh disentuh bagi melancarkan subaplikasi sebanyak tiga lapisan sahaja. Namun, pada laman pertama aplikasi pula boleh dileret kepada banyak bahagian.
Pasukan pereka aplikasi RWG terdiri daripada lebih kurang 20 orang pakar

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines