Selasa, 5 Februari 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Tiket Laris Jadi Bukti Konsert ‘Mahal’ Anuar Zain Dapat Sambutan

Posted: 04 Feb 2013 04:52 PM PST

Anuar Zain
SHAH ALAM: Di sebalik dakwaan tiket bagi menyaksikan persembahan Anuar Zain tidak laku kerana harganya terlalu mahal penyanyi tersebut sebenarnya berpuas hati kerana konsert itu mendapat sambutan hangat.
Anuar, 43, berkata, konsert Anuar Zain Tiga Dekad Muzik, Cinta dan Sanubari yang bakal diadakan pada 16 Februari depan itu memperoleh respons luar jangkaan apabila hampir 80 peratus tiket berkenaan telah dijual.
"Syukur tiket dapat dijual dengan cepat dan masih berbaki 20 peratus sahaja malah ada pembeli tiket dari Brazil, Indonesia, Brunei dan Singapura.
"Ia sekali gus telah menaikkan lagi semangat saya untuk beraksi di hadapan peminat pada malam itu nanti," jelasnya pada sidang media di Hotel Concorde dekat sini, Isnin.
Tiket bagi menyaksikan persembahan tersebut dijual dari RM88 sehingga RM698.
Sebelum itu, Anuar pada sidang media sama turut mengumumkan pertukaran tapak persembahan yang pada mualanya di Stadium Putera Bukit Jalil ke lokasi baru iaitu Stadium Malawati di sini.
Anuar berkata, perubahan itu disebabkan masalah logistik memandangkan pada hari berikutnya terdapat sebuah majlis di tempat sama yang menuntut pihaknya untuk mengemas peralatan persembahan dalam tempoh singkat.
"Konsert ini akan dibuat dalam skala yang besar jadi adalah satu perkara yang agak mustahil untuk pihak produksi mengemas lokasi secepat mungkin bagi memberi laluan untuk majlis yang berlangsung pada keesokan harinya.
"Daripada kami menundakan tarikh konsert dan menghampakan semua peminat, pihak kami telah mendapatkan lokasi baru," jelasnya.
Dalam pada itu, Anuar berkata, pemilihan lokasi baru itu dilihat tepat kerana reka bentuk stadium itu membolehkan dia berada rapat dengan peminat selain tempat letak kereta yang disediakan juga luas.
"Peminat tidak perlu panik kerana pihak pengurusan kami akan memastikan semua pihak yang telah membeli tiket lebih awal akan dimaklumkan mengenai perubahan ini.
"Malah mereka akan membuka kaunter khas pada hari konsert dari pukul 2 petang bagi sebarang urusan pembelian dan pertanyaan tentang penukaran nombor kerusi," jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Anuar akan menjalani lima lagi sesi latihan bersama pemuzik yang akan dipimpin oleh pengarah muzik, Mac Chew sebelum konsert berlangsung.
Untuk pembelian tiket dan keterangan lanjut boleh melayari www.ticketcharge.com atau www.facebook.com/3Dekad1Destinasi.

Ana Dahlia Serah Soal Jodoh Pada Takdir

Posted: 04 Feb 2013 04:51 PM PST

Ana Dahlia
PETALING JAYA: Pelakon Ana Dahlia meletakkan soal jodoh kepada takdir selepas mengalami kegagalan rumah tangga dengan Chef Riz atau nama sebenarnya Mohd. Nadzri Redzuawan.
Ana atau nama sebenarnya Diyana Mastura Jaafar, 29, bagaimanapun berkata, buat masa ini dia tidak terfikir untuk mencari pengganti sebaliknya ingin memberi tumpuan kepada kerjaya lakonannya terlebih dahulu.
"Jika ada bertemu dengan sesiapa selepas ini saya anggap itu adalah ketentuan Allah dan sebagai manusia saya menerima ketentuan itu.
"Tetapi buat masa ini saya mahu beri fokus kepada kerjaya terlebih dahulu," jelasnya ketika dihubungi mStar Online di sini pada Isnin.
Ana dan Chef Riz yang juga anak kepada chef selebriti, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan itu berkahwin pada 11 Disember 2011 dan bercerai 11 bulan kemudian.
Dalam pada itu, Ana memberitahu, kehidupannya kini lebih tenang dan menganggap apa yang telah berlaku dalam rumah tangganya sebelum ini sebagai satu pengajaran dan mempunyai hikmah disebalik.
Sementara itu, Ana menafikan mempunyai hubungan dengan seorang lelaki apabila timbul gosip kononnya dia muncul dengan seseorang pada majlis persandingan pelakon Liyana Jasmay di Pusat Dagangan Dunia Putera (PWTC) malam Sabtu lalu.
ditemani seorang lelaki sebaliknya memberitahu dia hadir bersama rakan baiknya iaitu Zandra seorang atlit boling kebangsaan.
"Mungkin lelaki yang didakwa itu adalah jurugambar yang mengiringi saya untuk sesi fotografi di luar dewan yang disangka sebagai teman lelaki saya. Saya hadir dengan rakan baik saya iaitu Zandra seorang atlet boling kebangsaan," jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Ana kini sedang sibuk dalam penggambaran sebuah drama bersiri berjudul Kerana Lelaki Itu untuk siaran TV9 selain bakal ke lokasi Nyiur Nan Setandang di samping pelakon Ezany.

Black Bertegas Enggan Dedah Identiti Tunang

Posted: 04 Feb 2013 04:50 PM PST

Black
PETALING JAYA: Penyanyi Black bertegas untuk tidak sesekali mendedahkan siapakah wanita yang menjadi tunangnya kerana bimbang hubungan mereka akan menimbulkan masalah di kemudian hari.
Black atau nama sebenarnya Hanifah Md. Hanafiah, 26, berkata, alam pertunangan sebenarnya terlalu banyak dugaan malah kekasihnya juga tidak bersedia jika identitinya dikenali oleh orang ramai,
"Alam pertunangan ini banyak dugaannya, saya bimbang dengan pendedahan berlebihan mengenai tunang mungkin menimbulkan masalah lain pula nanti.
"Cukuplah saya katakan dia seorang wanita terpelajar dan kami ambil keputusan untuk bertunang selepas dua bulan berkenalan. Keluarga tunang saya tidak mahu pertunangan kami digembar-gemburkan lainlah kalau perkahwinan," katanya kepada mStar Online.
Black berkata demikian sebagai respons kepada desas-desus kononnya dia cuba menyembunyikan status pertunangannya daripada khalayak.
Black dan gadis berkenaan mengikat tali pertunangan pada 26 Januari lalu dalam satu majlis sederhana yang dihadiri oleh keluarga terdekat kedua-dua belah pihak.
Penyanyi lagu Teman Pengganti ini turut ingin memohon maaf kepada semua terutamanya pihak media kerana tidak memaklumkan mengenai majlis itu sebagai menghormati permintaan keluarga.
Mengenai kerjaya, Black dan pasangan duetnya iaitu RJ sedang memilih lagu rap daripada beberapa komposer untuk dijadikan lagu berikut mereka.
"Memang kami ada perancangan untuk projek lagu seterusnya dan sedang pilih lagu sekarang.
"Kami sudah ada dua atau tiga lagu tetapi belum putuskan lagi yang mana satu."Saya juga akan keluarkan lagu solo terbaharu pada April depan," katanya.
Black juga baharu menamatkan penggambaran filem berjudul Longkai arahan Hashim Rejab.

Syed Aiman Rindu Mahu Aktif Berlakon

Posted: 04 Feb 2013 04:49 PM PST

Syed Aiman mahu kembali berlakon selepas empat tahun menyepi.
KUALA LUMPUR: Pelakon Syed Aiman sudah bersedia untuk kembali memeriahkan industri lakonan selepas empat tahun menyepi daripada sebarang projek terbaharu.
Syed Aiman atau nama sebenarnya, Syed Aiman Syed Mahmud, 38, berkata, sudah tiba masanya dia berbuat demikian kerana rindukan dunia lakonan yang menjadi sumber pendapatannya sebelum ini.
"Saya tidak pernah melupakan dunia lakonan dan sentiasa mengikuti perkembangan industri dari jauh namun kesibukan menguruskan perniagaan dan keluarga telah membatasi niat itu.
"Kini apabila semuanya sudah berada di tahap stabil sudah tiba masanya untuk kembali beraksi bagi melepaskan rindu pada lakonan," jelasnya kepada mStar Online.
Dalam pada itu, Syed Aiman berkata, selepas berkahwin dengan Linda Rafar pada tahun 2006 dia memang banyak menumpukan perhatian kepada perniagaan dalam bidang pembinaan yang diusahakan.
"Apabila kita berkahwin tumpuan itu bukan kepada diri sahaja tetapi terhadap keluarga dan itu yang saya lakukan supaya ekonomi keluarga berada di tahap stabil.
Syed Aiman bersama isterinya, Linda Rafar dan anak-anak mereka.
"Walaupun rindu untuk berlakon tetapi saya perlu berkorban demi menjamin masa depan anak-anak yang sedang membesar," jelasnya.
Bercerita mengenai perkembangannya sekarang Syed Aiman berkata, dia baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama rantaian sebanyak 28 episod untuk Astro Prima berjudul Sofiah Nasi Kukus.
Selain itu, dia juga memberitahu akan terlibat dalam sebuah pementasan teater pada bulan Jun depan yang akan dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya di sini.
"Syukur rezeki dalam bidang lakonan masih ada walaupun sudah agak lama menyepi daripada sebarang projek dan publisiti," ujarnya.
Tambah Syed Aiman, selain kembali berlakon, dia juga kini bergiat aktif dalam persatuan iaitu Malaysian Artist Sports Club (MASC) yang dinaungi oleh Datuk Seri Shah Rezza bagi mengumpulkan artis-artis tanah air untuk melakukan aktiviti sukan.
"Menerusi MASC kami artis-artis dapat berkumpul dan melakukan aktiviti sukan pada masa lapang seperti futsal, boling dan badminton. Ia juga dapat merapatkan hubungan kami semua," katanya.

Album AJL27 Dilancar Bagi Menghargai Peminat

Posted: 04 Feb 2013 04:48 PM PST

Ahmad Izham Omar (dua dari kanan) bersama artis pemenang AJL27 lalu.
PETALING JAYA: Album Anugerah Juara Lagu ke-27 (AJL27) dilancarkan sebagai simbolik kejayaan acara berprestij yang telah pada 6 Januari lalu itu.
Ketua Pegawai Operasi, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar berkata, album yang memuatkan 12 lagu finalis pada malam AJL27 tersebut adalah bukti penghargaan TV3 kepada semua pihak yang menyokong pertandingan berkenaan.
"Respons penonton yang meminta ulang siaran AJL27 membuktikan acara itu mencipta fenomena tersendiri.
"Album ini dikeluarkan sebagai tanda penghargaan kami kepada semua pihak terlibat dalam mencatatkan kejayaan AJL27," katanya.
Izham ditemui pada majlis pelancaran album itu dan penyampaian cek kepada para pemenang AJL27 di Sri Pentas, Bandar Utama di sini, petang Isnin.
Album yang julung kali dikeluarkan selepas 27 kali penerbitan AJL memuatkan 12 lagu finalis yang bertanding.
Lan menunjukkan cek yang diperolehnya selepas memenangi tempat kedua pada AJL27 lalu.
Dalam pada itu, Ketua Pengurusan Bakat, syarikat rakaman Monkey Bone iaitu Jacynta Au-Yong berkata, album itu juga akan menjadi profil kerja kepada para artis dan komposer terlibat sebagai sumber rujukan pada masa depan.
"Kualiti vokal dan persembahan kesemua peserta pada acara itu tidak memerlukan kami melakukan suntingan dan kemasan yang banyak untuk album ini.
"Satu kerugian jika persembahan yang berkualiti itu tidak diterbitkan dalam bentuk album yang boleh dijadikan rujukan serta profil kerja kepada artis dan komposer yang bertanding," katanya.
Album yang mengambil masa selama dua minggu untuk disiapkan itu bakal dipasarkan bermula minggu ini.
Selain format fizikal, album berharga RM29.90 ini juga boleh dibeli secara muat turun digital tidak lama lagi.
AJL27 memartabatkan lagu Terukir Di Bintang ciptaan dan nyanyian Yuna sebagai juara.
Dalam AJL27 lalu lagu Terukir Di Bintang ciptaan dan lirik oleh Yuna diumumkan sebagai juara lagu sehingga membolehkannya membawa pulang wang tunai RM35,000.
Naib juara dimenangi lagu Idola ciptaan Audi Mok, lirik oleh Azlan. Mereka menerima RM15,00 manakala tempat ketiga menjadi milik lagu Ku Akui ciptaan Ajai nyanyian Hafiz yang turut menggondol hadiah trofi dan wang tunai sebanyak RM12,000.
Hafiz turut membawa pulang trofi vokal terbaik dengan menerima trofi dan wang tunai RM10,000.
Penyanyi Black dan RJ pula berkongsi kemenangan menerusi persembahan terbaik menerusi lagu Teman Pengganti. Mereka menerima trofi dan wang tunai berjumlah RM10,000.

Azmil Mustapha tolak bidang politik, kembali dalam industri seni

Posted: 04 Feb 2013 04:46 PM PST

Azmil Mustapha
Azmil Mustapha
Azmil Mustapha
Azmil Mustapha dan keluarga
SEBUT nama Azmil Mustapha atau Ustaz Azmil mungkin ramai yang kurang mengenalinya berbanding Ali Setan yang sehingga kini masih segar di kebanyakan fikiran ramai.

Bergandingan bersama Fauziah Ahmad Daud sebagai Asmidar, filem Ali Setan itu berjaya melonjakkan nama Azmil sebagai pelakon filem terkenal tanah air.

Menerusi lakonannya itu juga, Azmil berjaya meraih gelaran Pelakon Lelaki Terbaik menerusi Festival Filem Malaysia (FFM) pada tahun 1996 dan namanya juga pernah tercalon dalam kategori sama dalam filem Mekanik pada tahun 1983.

Seiring kegemilangannya, Azmil turut membintangi 20 filem antaranya, Iman Alone (1998) dan 50/50 (1991).

Langit tak sentiasa cerah, karier seninya mula merosot sementelah berdepan dengan kegawatan ekonomi pada 1997. Di saat itu, Azmil mengakui kurang mendapat tawaran lakonan dan turut berdepan dengan kesempitan hidup.

Dalam kegelapan, Azmil bersyukur kerana akhirnya Ali Setan ini mendapat hidayah ALLAH SWT dan perubahannya mengejutkan ramai peminatnya.

"Saya berubah setelah mendapat hidayah dari ALLAH SWT dan sudah sampai masa untuk saya hidup di jalan benar," katanya.

Jika ada segelintir artis yang menyertai politik selepas berhijrah, namun berbeza dengan Azmil.

"Saya tidak berminat untuk terlibat dengan mana-mana politik.

"Saya lebih suka berceramah dengan bebas tanpa terikat dengan mana-mana pihak," katanya yang banyak terlibat dengan program keagamaan sebelum berhijrah ke Syria untuk memulakan kehidupan baru.

Dari Syria ke Pattani

Susulan peperangan yang berlaku di Syria, Azmil bersama empat anaknya mengambil keputusan untuk kembali ke Malaysia selepas lima tahun menetap di sana sejak 2006.

Biarpun keputusan tersebut diambil dengan berat hati, namun beliau terpaksa pulang ke tanah air demi keselamatan diri dan keluarga setelah menerima nasihat daripada Kedutaan Malaysia.

"Jika diikutkan saya tidak mahu pulang ke Malaysia, namun keadaan memaksa kami kerana keselamatan di Syria tidak terjamin dan peperangan yang berlaku mungkin berlanjutan lebih lama.

"Namun, hati saya masih di Syria walaupun kembali ke Malaysia dan masih menyimpan hasrat untuk ke bumi anbia itu lagi," katanya.

Tetapi, setelah setahun lebih berada di Selangor Azmil bergiat aktif untuk memulakan beberapa projek kebajikan namun semuanya mengalami kegagalan.

"Akibat kecewa dengan usaha yang dirancang tidak menjadi, saya memohon petunjuk ALLAH SWT dengan melakukan iktikaf di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz selama 10 hari di bulan Ramadan lalu ternyata memberi petunjuk kepada saya.

"ALLAH (SWT) telah memberi ilham untuk saya berhijrah ke Pattani dan menetap di mukim Telubo, berdekatan dengan kilang percetakan al-Quran terbesar Asia Tenggara.

"Alhamdulillah, segala urusan dipermudahkan Allah kerana penghijrahan saya ke sana tanpa apa-apa bekalan, mendapat bantuan daripada pemilik kilang tersebut," katanya.
Walaupun tinggal bersendirian tanpa kehadiran anaknya, Azmil pulang ke Malaysia untuk menjenguk mereka dan rumah pusaka arwah ibunya di Shah Alam.

Sedia jadi hos, kembali berlakon

Sekian lama namanya tidak kedengaran, Azmil tidak menolak kemungkinan dia akan muncul semula di kaca televisyen dan mendapat beberapa tawaran mengacara program TV melalui rangkaian Astro.

"Saya masih dalam perbincangan awal dengan Pengurus Besar Saluran Oasis, Haji Izelan Basar dan beberapa pertemuan bersama penerbit saluran Oasis baru-baru ini.

"Tetapi, persetujuan ini tertakluk kepada kandungan dan jenis pengisian program yang terdapat dalam rancangan yang bakal dicadangkan," katanya.

Azmil juga tidak menolak sebarang tawaran untuk berlakon atau mengacara selagi tidak bertentangan dengan pegangannya kini.

Jelas Azmil, ketika berada di Syria, dia masih tidak melupakan darah seni yang mengalir dalam dirinya.

"Saya pernah menghasilkan dua filem dokumentari Deen in Dublin: Part One and Two ketika menetap di Syria yang ditayangkan di Britain pada Disember tahun lalu.

"filem ini  mengisahkan kehidupan umat Islam di Dublin yang sangat harmoni tanpa mengira perbezaan bangsa dan budaya.

"Ia merupakan hasil kerjasama saya bersama anak-anak dan Dr Zulkarnain Kedah," kata bapa kepada Syamira (27), Nur Azalya (22), Nur Amalia (21), Muhammad Bazli (18) dan Nur Alya Iman (12).

Tak menyesal jadi artis

Mengimbau perjalanan karier seninya, Azmil mengakui tidak menyesali keputusannya untuk terjun ke bidang hiburan kerana penglibatan dalam dunia hiburan adalah darah dagingnya.

Pelakon berusia 60 tahun itu berkata, dunia hiburan dan seni merupakan sebahagian dari kehidupannya sejak belajar di bangku sekolah sehingga melanjutkan pelajaran di Amerika Syarikat.

"Ketika belajar di sana, saya turut mempunyai band sendiri terdiri daripada empat orang dan saya vokalisnya.

"Pada masa yang sama juga, saya gemar menonton filem pada setiap minggu dalam dua tiga kali," katanya.

Mungkin ramai yang berpendapat bahawa Azmil mendapat latihan lakonan namun pada dasarnya, dia menerima tawaran berlakon secara kebetulan daripada pengarah, Othman Hafsham kerana tidak bekerja.

Setelah menerima tawaran berlakon dalam filem Mekanik, bakat Azmil dalam lakonan semakin terserlah.

"Siapa yang mahu menolak apabila ditawarkan RM10 ribu untuk berlakon filem.

"Tambahan pula, saya memang tengah pokai jadi tawaran tersebut terus diterima," katanya mengenai penglibatan awal dalam dunia seni.

Walaupun bertukar imej secara mendadak, namun minatnya terhadap muzik dan lakonan sukar dipadamkan. Malah akui Azmil, dia masih bermain alat muzik.

Konsert Anuar Zain ubah lokasi

Posted: 04 Feb 2013 04:45 PM PST


Anuar Zain
Anuar Zain
KONSERT mega Anuar Zain-Tiga Dekad Muzik, Cinta dan Sanubari yang dijadualkan berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur 16 Februari ini akan diadakan di Shah Alam.

"Konsert saya beralih lokasi ke Stadium Malawati Shah Alam atas sebab yang tak dapat dielakkan," katanya pada pemberita.

Anuar berkata, pihak yang menguruskan tiket akan menghubungi peminat yang telah membeli tiket.

"Pihak yang menguruskan tiket bejanji akan menyusun atur kedudukan pemilik tiket.

"Semua pemilik tiket yang membuat pembelian sebelum ini akan dihubungi," katanya.

Tiket baru boleh diambil bermula esok di pejabat urusan Tiket Charge.

Dalam pada itu, tiket baru juga boleh didapatkan di stadium pada hari konsert itu berlangsung.

Tanggal 16 Februari ini bakal menjadi detik bersejarah buat Anuar ekoran konsert solo impiannya akan direalisasikan pada tarikh tersebut.

Bagi Anuar, konsert mega Anuar Zain-Tiga Dekad Muzik, Cinta dan Sanubari itu bukan saja melengkapkan profilnya selama 30 tahun berkecimpung sebagai seorang penyanyi.

Malah yang lebih penting, ia merupakan penghargaan kepada peminat yang selama ini banyak menyokong jatuh bangunnya dalam industri seni ini.

"Saya mahu meraikan pembabitan 30 tahun dalam industri bersama peminat dan mengadakan konsert adalah sangat bertepatan.

"Sudah tentunya saya akan memberikan aksi terbaik dalam konsert berkenaan agar ia menjadi kenangan terindah buat peminat saya," katanya.

Bakal mendapat sentuhan pengarah muzik, Mac Chew, kata Anuar, peminat bakal dipuaskan dengan dendangan suaranya secara sendirian dalam konsert yang menampilkan lagu-lagu popularnya.

Aaron Aziz tidak mahu hampakan peminat

Posted: 04 Feb 2013 04:45 PM PST


Aaron Aziz
Aaron sibuk melayan peminat di booth Media Hiburan pada Karnival Karangkraf, semalam.
FENOMENA Ombak Rindu yang bermula daripada senaskhah novel, yang kemudiannya diangkat menjadi sebuah filem, bakal diteruskan melalui pementasan teater.

Namun, teater tersebut ditunda daripada tarikh asal pementasannya berikutan jadual heroin utamanya yang padat.

Pelakon utama yang memegang watak Hariz, Aaron Aziz nyata menyerahkan sepenuhnya keputusan terhadap pementasan itu kepada pihak penerbit.

"Pada saya, terserah kepada pihak penerbit untuk membuat... lagi-lagi Kak Erma (Erma Fatimah) yang nak buat.

"Saya tak kisahlah, cuma jadual dengan masa, sebab (perlu fokus) untuk pementasan teater ini," katanya kepada Sinar Harian Online ketika ditemui di Karnival Karangkraf, semalam.

Gerai Media Hiburan diserbu peminat bagi merakamkan gambar bersama pelakon popular itu.

Sebelum itu, Aaron menjadi juri bagi Talentime Muara Hati anjuran Media Hiburan dan melancarkan buku poster Super Hot Aaron Aziz.

Bercakap soal pementasan teater Ombak Rindu itu lagi, Aaron tidak mahu menghampakan penonton yang datang menonton selain bimbang mesej yang cuba disampaikan tidak sampai kepada penonton.

"Nak kena betul-betul, sebab memang tak nak hampakan penonton. Orang bandingkan filem dengan teater. Oh, filem bagus tetapi teater tak bagus, jadi kita kena buat 'homework' betul-betul.

"Jadi, apabila orang sudah membezakan, itu sudah menjadi satu masalah. Jadi, saya tak tahulah. Kalau teater itu, penonton dapat tak 'mood' yang cuba disampaikan pelakon," katanya yang kini dalam dalam proses membuat penggambaran muzik video lagu Salam Semua dan juga 'soundtrack' untuk filem Lari.

Ketika ditanya soal kemungkinan teater itu untuk terus mencipta fenomena seperti versi filemnya, Aaron akui tidak tahu.

"Saya tak tahu sebab untuk teater, saya tak tahu. Kalau filem mungkin, bila perlu 'close up', penonton dapat rasa (emosi), dapat sampai rasa itu tetapi kalau dalam teater, penonton duduk jauh dan mungkin tak sampai 'mood' itu," katanya.

Tahun lalu, Aaron turut menyanyi dalam lagu Salam Semuanya nyanyian kumpulan Sleeq.

Aaron menafikan dirinya menyanyi dalam lagu tersebut.

"Terus terang saya bukan menyanyi. Saya bercakap. Kalau dengar pun bukan saya menyanyi pun sebab saya tak pandai menyanyi.

"Saya dah terbitkan album itu, mereka (Sleeq) kata ada satu lagu tentang saya, takkan nak suruh orang lain nyanyi. Jadi, saya kata, tak mungkinlah saya menyanyi sepenuhnya," katanya.

Sleeq merupakan artis di bawah naungan syarikat Aaron, Aaron Aziz Production.

Meskipun pelakon kacak ini sudah beristeri dan dikurniakan tiga orang anak, popularitinya tetap tidak dinafikan sejak kemunculannya.

"Saya rasa ini rezeki anak-anak, rezeki isteri... rezeki dari ALLAH. Apa yang saya buat ini demi 'passion' saya terhadap industri.

"Memang niat saya masuk dalam industri ini pun bukan nak jadi popular. Memang niat saya nak belajar pasal seni. Jadi, ini semua ganjaran dari ALLAH bagi saya," katanya yang sempat berterima kasih kepada semua sokongan peminat terhadapnya.

Aliff Aziz tidak mahu cerita 'bab cinta'

Posted: 04 Feb 2013 04:44 PM PST


Aliff Aziz
Aliff Aziz ketika menghiburkan pengunjung Karnival Karangkraf. - Foto Sinar Harian oleh AZMI ARYANTO
SEJAK kisah cintanya dilanda kontroversi pada tahun lalu, penyanyi Jangan Ganggu Pacarku, Aliff Aziz seakan serik untuk berkongsi soal kehidupan peribadinya lagi.

Kali ini, Aliff lebih memilih untuk bercerita soal kerjaya berbanding kehidupan peribadinya.

Hubungan cintanya kandas dengan pelakon, Anne Ngasri sekitar September lalu.

Aliff berkata, dia akan lebih berhati-hati dalam berkongsi kisah peribadinya untuk tatapan umum pada masa akan datang.

"Ya (lebih berhati-hati)... saya rasa peminat nak tahu tetapi sebagai selebriti, kita harus bersikap profesional, jangan terlalu membuka cerita kerana kadang-kadang kita dapat benda itu pulang balik kepada kita 'in a bad ways'.

Seperti yang Aliff kena baru-baru ini.

"Jadi, saya tak nak bercerita bab itu tetapi tahun ini, insya-ALLAH, Aliff akan lebih berkarya daripada lebih kontroversi," katanya kepada Sinar Harian Online ketika ditemui di Karnival Karangkraf.

Ketika ditanya soal status dirinya sekarang setelah hampir lima bulan putus cinta, Aliff menolak untuk memberikan apa-apa status.

"Aliff tak mahu meletakkan apa-apa status. Aliff rasa cukup-cukuplah Aliff bercerita tentang itu (cinta). (Tahun) 2012 Aliff sudah terkena kejadian yang banyak memberi Aliff pengajaran. Jadi, Aliff tak nak lah cerita banyak sangat bab itu (cinta).

"Aliff rasa untuk tahun ini, Aliff akan banyakkan menjawab soalan tentang pekerjaan. Itu lebih bagus. Aliff nak kurangkan kontroversi dan tingkatkan prestasi Aliff sebagai seorang selebriti. Aliff rasa Aliff berhutang itu (prestasi) terhadap peminat-peminat Aliff kerana merekalah yang menyokong Aliff daripada dulu sampai sekarang," katanya.

Menyentuh soal kontroversi itu lagi, Aliff sempat meminta maaf kepada peminatnya di samping berjanji untuk menjauhi kontroversi selepas ini.

"Aliff tahu apabila kontroversi melanda, mereka (peminat) juga terasa peritnya.

"Jadi, Aliff ingin memohon maaf kepada semua penyokong Aliff. Kepada yang masih menyokong terima kasih banyak-banyak.

"Aliff janji akan buat yang terbaik tahun ini dan jauhi kontroversi sebanyak mungkin," katanya yang bakal memulakan penggambaran telemovie.

Meskipun turut melibatkan diri dalam bidang lakonan, penyanyi berusia 22 tahun ini tetap meneruskan kariernya sebagai penyanyi.

Bercakap soal karier, Aliff berkata, album keempatnya bakal dikeluarkan tahun ini.

"Aliff sedang mengumpul 'material' untuk album Aliff yang keempat yang bakal keluar tahun ini," katanya.

Bercerita soal nyanyian dan lakonan, Aliff akui cuba sedaya upaya untuk melakukan yang terbaik dalam kedua bidang tersebut.

"Aliff lagi suka menyanyi. Aliff Aziz dikenali sebagai penyanyi tetapi lakonan itu juga satu seni. Aliff minat dengan kedua-duanya  jadi, Aliff akan cuba sedaya upaya untuk buat yang terbaik dalam kedua-dua bidang.

"Walau macam mana sekalipun, Aliff tetap seorang penyanyi," katanya.

Isteri YB mohon cerai, dakwa suami kahwin kakak artis

Posted: 04 Feb 2013 04:39 PM PST


 Isteri YB mohon cerai, dakwa suami kahwin kakak artis
Mastura (depan) keluar dari kamar bicara sebaik kes tuntutan cerainya disebut di Mahkamah Rendah Syariah Dungun, pagi semalam.
DUNGUN - "Saya tidak boleh terima apabila gambarnya dengan isteri baru terpampang dalam majalah hiburan. Ia satu publisiti murahan dan tidak sesuai dengan jawatannya sebagai YB (wakil rakyat).
"Saya rasa tindakan beliau mengaibkan keluarga dan menjatuhkan imejnya dalam politik dan itulah punca saya memohon cerai ini."
Demikian pengakuan Mastura Othman, 47, yang mengemukakan permohonan cerai ke atas Adun Paka, Zakaria @ Ariffin Abdullah, 60, di Mahkamah Rendah Syariah Dungun, pagi semalam.
Mastura, isteri kedua Zakaria, ketika ditemui wartawan sebaik keluar dari kamar mahkamah selepas kesnya disebut berkata, beliau sebelum ini sudah bercerai dua kali, dan kedua-duanya difahamkan tidak didaftarkan dan permohonan cerai tersebut adalah kali ketiga bagi pasangan terbabit, yang berkahwin lebih 20 tahun lalu.
Mastura, yang hadir ke mahkamah berbaju kurung oren berkata, kali pertama beliau bercerai dengan suaminya ialah pada 27 April 2012, dan kali kedua pada 18 Ogos 2012, iaitu beberapa hari selepas Aidilfitri.
Beliau menjelaskan, permohonan cerai kali ketiga itu dilakukan atas kerelaannya sendiri kerana beliau amat kecewa dengan perbuatan suaminya yang didakwa menyiarkan kisah hubungannya dengan isteri terbaru dalam sebuah majalah hiburan keluaran Disember lalu.
Menyentuh soal kedudukan suaminya dalam politik apatah lagi menjelang pilihan raya umum yang mungkin agak terjejas ekoran tindakannya itu, Mastura berkata, beliau tidak mahu memikirkan masalah itu kerana apa yang lebih penting baginya sekarang ialah hala tuju diri dan anak-anaknya.
"Itu terpulang kepada dia. Dia yang mencipta segala masalah. Ia (atas) kerelaan hati sendiri. Kita pun dah tua, anak dah besar, baik fikir diri sendiri.
"Dia minta saya buat selepas pilihan raya, tapi saya rasa tak perlu tunggu, lalu saya buat laporan pada 23 Januari. Hari ini apabila kesnya disebut, dia tidak hadir," katanya.
Menyentuh mengenai perkahwinan ketiga suaminya, difahamkan dengan kakak salah seorang penyanyi tersohor, Mastura mendakwa, beliau mendapat tahu suaminya berkahwin seorang lagi pada Jun lalu setelah menemui gambar wanita berkenaan dalam telefon bimbit suaminya.
Mastura, yang mempunyai tiga anak berusia antara 10 dan 21, hasil perkongsian dengan suaminya yang juga bekas Timbalan Ketua Umno Bahagian Dungun berkata, Zakaria mengaku wanita itu isteri terbarunya.
Hakim Mahkamah Rendah Syariah Dungun, Shamsudin Ngah, menetapkan 12 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kesnya.

AG, Scha hos baharu Muzik Muzik 28

Posted: 04 Feb 2013 04:38 PM PST


PROGRAM Muzik Muzik 28 kini berwajah baharu, impak kemunculan Scha dan AG sebagai hos.


PENDEKATAN baharu dilakukan produksi program hiburan popular TV3, Muzik Muzik dengan menggandingkan penyampai radio Hot FM, AG dan pelakon terkenal Scha Al Yahya.
Gandingan itu menurut penerbit Muzik Muzik 28, Azman Ghaffar sebagai langkah untuk memberikan kelainan selain menyuntik elemen baharu supaya rancangan itu kekal bertahan.
"Kami mencari penyampai yang popular dan dikenali, kebetulan pula AG kini popular dengan slot Bibir Fifi di stesen radio Hot FM dan Scha pula terkenal dengan bakat pengacaraan televisyen.
"Jadi, gabungan kedua-dua selebriti ini bukan pilihan yang salah dan mereka senang mencipta keserasian," katanya ketika sidang akhbar Muzik Muzik 28 di Sri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Azman tidak menolak sekiranya kedua-dua hos tersebut diteruskan gandingan sehingga ke pentas Anugerah Juara Lagu ke-28 (AJL 28) tahun depan.
"Kriteria hos yang dicari untuk mengacarakan AJL perlulah betul-betul kuat dari segi pengacaraan dan berpengalaman.
"AG dan Scha sejujurnya layak untuk mengacarakan AJL. Oleh sebab itu, mereka digandingkan bersama dari sekarang sebagai persediaan untuk ke pentas AJL nanti," tambahnya.
Komitmen AG
Terharu dengan tawaran yang diberikan, kata AG, peluang itu merupakan pengalaman baharu baginya dan berharap akan dapat melakukan yang terbaik.
"Saya masih lagi sedang belajar dan peluang mengacarakan program hiburan yang sudah mencecah 28 tahun bukan senang datang. Komitmen ini melibatkan tempoh waktu yang panjang.
"Jika diberikan kepercayaan untuk mengacarakan AJL, saya amat berbesar hati dan program itu salah satu antara tanda dagang Media Prima.
"Saya akan melakukan yang terbaik dan semestinya tidak boleh sombong untuk belajar daripada kawan-kawan yang pernah mengacarakan AJL seperti Faizal Ismail dan Ally Iskandar," kata AG.
Sementara itu, ujar Scha tempoh masa setahun yang diberikan kepadanya untuk mengacarakan Muzik Muzik 28 tidak mencukupi untuk dirinya beraksi di pentas berprestij AJL.
"Latihan selama setahun sahaja diberi untuk saya mengendalikan Muzik Muzik 28. Jika benar saya akan mengacarakan AJL, semoga tempoh ini cukup buat saya," luahnya teruja.
Awal bukan jalan pintas
Bagaimanapun, Scha menolak dakwaan bahawa suaminya selaku pengacara program hiburan Melodi di TV3 menjadi batu loncatan untuk dia ditawarkan menjadi pengacara Muzik Muzik 28.
"Awal tidak buat apa-apa. Dia tidak menolak, memaksa atau menggalakkan saya untuk menerima tawaran ini. Katanya, kalau saya yakin untuk melakukan tugas ini saya patut ambil.
"Bukan dia yang berikan idea kepada pihak produksi Muzik Muzik 28, mungkin juga kenalannya yang pernah bekerja bersama dalam produksi lain sebelum ini," tambah Scha yang menyasarkan untuk kembali aktif dalam bidang pengacaraan sepanjang tahun 2013.
Muzik Muzik 28 masih mengekalkan carta lagu 20 terbaik dan pencalonan lagu baharu setiap minggu namun disuntik elemen infotainment dalam berkongsi perkembangan terkini industri muzik menerusi beberapa segmen baharu seperti Bzzz Bzzz, HOT dan Gosip Fifi.
Wajah baharu Muzik Muzik 28 yang menampilkan gandingan AG dan Scha boleh ditonton pada setiap hari Sabtu, pukul 5 hingga 6 petang mulai 2 Februari lalu.

Ella nafi usung suami

Posted: 04 Feb 2013 04:37 PM PST



"SAYANG, sini kejap. I mahu kenalkan you dengan media," ungkap Norzilla Aminuddin atau nama pentasnya, Ella, kepada suaminya, Azhar Ghazali, dengan suara penuh manja.
Biarpun sedang makan, Azhar lantas bangun menghampiri Ella.
"Terima kasih sayang. I love you...muahhh," luah penyanyi rock terkenal itu dengan reaksi flying kiss ekoran kesudian suaminya mengikut permintaannya itu.
Bagi sesiapa yang tidak mengenali penyanyi terkenal itu pasti hati berkata dia seorang 'gedik' atau sengaja berperilaku manja.
Namun, bagi yang sudah mengenalinya, Ella memang seorang yang manja secara semula jadi.
Azhar yang diajukan soalan tentang sikap manja Ella ketika di rumah bersama pula secara berterus-terang memberitahu: "Jika di luar rumah Ella kelihatan sudah terlalu manja, ketika di rumah dia lebih manja daripada apa yang dilihat di luar rumah."
Lantas, juruterbang penerbangan tambang murah, Firefly itu ditebak lagi dengan soalan tidak timbulkah perasaan cemburu dalam dirinya dengan perilaku Ella yang terlalu manja itu, dia tenang menuturkan jawapan.
"Di luar sifat manja dia tidak keterlaluan. Moga manja dia itu tidak menimbulkan fitnah. Begitupun, jika ada yang tidak kena pada pandangan mata saya, setiap malam saya akan bermuhasabah dengan dia," akui Azhar ketika ditemui pada majlis pelancaran acara Larian Selamatkan Hutan 2013 anjuran Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka) di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menyambung bicaranya, ujar Azhar, sifat manja itu tiada salahnya kerana ia boleh mengeratkan lagi hubungan suami isteri.
Melihat kelibat Azhar yang sentiasa hadir menemani Ella pada majlis-majlis media, persoalan terus ditebak kepada Ella tentang adakah Ella sengaja mengusung suaminya.
Ujar Ella, tidak semua majlis media dihadirinya bersama Azhar.
"Azhar hanya menemani saya jika dia tidak bekerja dan tidak mempunyai apa-apa kerja yang perlu dilakukannya," luahnya.
Turunkan ego
Kini, selepas melewati usia enam bulan menjadi pasangan suami isteri setelah bernikah pada 7 Julai lalu, banyak aktiviti yang sudah dilakukan Ella dan Azhar bersama seperti melakukan kerja-kerja rumah.

TERKENAL dengan sikap manjanya, Ella mengakui dirinya kini masih dalam proses belajar untuk menjadi seorang isteri yang sempurna.


Mungkin ada sesetengah suami bersikap ego dan menganggap kerja rumah hanya dilakukan oleh isteri.
Namun bagi Azhar, dia sanggup menurunkan egonya sebagai suami dan melakukan kerja-kerja rumah bersama-sama Ella.
"Tolong isteri membuat kerja-kerja rumah seperti mengemas juga dapat mengeratkan kasih sayang," jelas Azhar.
Balas Ella pula, dia juga masih belajar menjadi seorang isteri yang sempurna seperti memasak untuk suaminya.
"Setakat ini, Ella sudah memasak untuk dia," ungkap Ella pula.
Usai menemu bual, Azhar meminta menyambung kembali menjamah hidangannya. Sekali lagi Ella berterima kasih kepada suaminya sambil mengucapkan perkataan cinta kepada Azhar.
Kongsi Ella, dia hanya mengikut saranan pakar motivasi terkenal, Datuk Dr. Fadzilah Kamsah yang berpesan supaya suami isteri sentiasa mengucapkan perkataan cinta terhadap pasangan masing-masing.
"Saya dan dia (Azhar) sama-sama suka meluahkan perasaan cinta setiap hari.
"Namun, ucapan itu haruslah diucapkan sepenuh hati dan secara semula jadi," jelas Ella.
Melihat betapa intimnya pasangan suami isteri ini, Ella ditebak pula dengan soalan bagaimana perasaannya jika berjauhan dengan Azhar.
Ujar Ella, dia pernah berjauhan dengan suaminya selama lima hari disebabkan tuntutan kerja dan perasaan yang dialaminya sememangnya tidak menggembirakan.
"Memang tidak seronok berjauhan dengan suami tetapi saya faham dia ada karier dan saya juga ada karier yang harus dilakukan.
"Berjauhan ini sebenarnya bagus untuk perkembangan karier masing-masing. Pada ketika itu, kita boleh fokus pada kerja dan apabila berjumpa kembali kita boleh kongsi cerita dan hubungan suami isteri tidak bosan," ceritanya.
Sengaja mengusik Ella, soalan ditebak kepadanya tentang adakah dia cemburu dengan kerjaya suaminya sebagai juruterbang yang sentiasa dikelilingi oleh para pramugari cantik?
Lantas Ella menegaskan, dia sentiasa berfikir positif. "Jika fikir positif, saya dapat jalani hidup dengan lebih tenang," ujarnya.
Konsert

BAHAGIA. Ella dan Azhar sudah enam bulan bergelar suami isteri.


Bercerita tentang karier seninya, kata Ella, dia bakal mengadakan konsert jelajahnya pada bulan April ini.
Selain konsert, dedah Ella, dia juga bakal terlibat dengan beberapa projek khas yang tidak boleh didedahkannya buat masa ini.
"Konsert jelajah saya nanti akan dijayakan dengan kerjasama syarikat rakaman Warner Music dan sebuah syarikat yang saya terpaksa rahsiakan namanya.
"Buat masa ini, kami sudah kenal pasti beberapa lokasi untuk konsert jelajah itu nanti. Penutup konsert itu yang berkonsepkan akustik akan berlangsung di Kuala Lumpur," ujarnya yang akan mengadakan sidang akhbar untuk pengumuman konsert jelajah nya nanti.
Mengulas mengenai projek khasnya itu, apa yang boleh didedahkan Ella adalah, dia bakal berduet dengan seorang penyanyi terkenal tempatan dan juga seorang penyanyi baharu antarabangsa yang lagunya kini sering diputarkan di corong-corong radio.

Peniaga Singapura ditipu wanita Malaysia

Posted: 04 Feb 2013 04:35 PM PST


JAMALUDDIN menunjukkan salinan laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak baru-baru ini.


KUALA LUMPUR - Seorang ahli perniagaan Singapura membuat laporan polis kerana mendakwa ditipu sebuah agensi pengurusan haji dan umrah tempatan yang dikendalikan seorang wanita.
Pengarah syarikat pengurusan umrah yang beroperasi di Johor Bahru, Jamaluddin Mohammad, 53, mendakwa wanita berkenaan tidak menjelaskan bayaran penerbangan membabitkan seramai 202 jemaah umrah menyebabkan syarikatnya kerugian lebih RM500,000.
Jamaluddin berkata, beliau mengenali wanita itu melalui seorang rakan dan pernah berurusan beberapa kali dengan wanita terbabit dalam urusan jemaah umrah dan haji sejak 2011.
"Bagaimanapun, kali terakhir pada tahun lepas wanita itu tidak menjelaskan bayaran membabitkan 202 jemaah yang saya kendalikan," dakwa Jamaluddin ketika ditemui di sini.

Syarikat rugi lebih RM1 juta

Posted: 04 Feb 2013 04:34 PM PST


ANGGOTA Bomba dan Penyelamat memeriksa salah sebuah kereta mewah yang rosak selepas terkena bahang daripada kebakaran sebuah gudang penyimpanan kertas di Butterworth semalam.


BUTTERWORTH – Sebuah syarikat pengimport kenderaan kerugian lebih RM1 juta apabila 14 buah kereta mewah yang disimpan di gudang penyimpanan kenderaan rosak setelah terkena bahang daripada sebuah gudang kertas yang terbakar di Jalan Maklom, di sini semalam.
Gudang yang terbakar itu terletak bersebelahan dengan syarikat pengimport kereta tersebut.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.15 pagi itu, kesemua kenderaan jenis Lexus, Honda, Toyota dan Mercedes Benz yang disimpan di gudang milik syarikat S.Y. Motorsport Sdn. Bhd. itu rosak setelah bahang daripada kebakaran tersebut mencairkan cat dan komponen plastik kenderaan terbabit, selain cermin belakang yang turut pecah.
Ketua Zon Bomba Seberang Perai Utara, Mohd. Rapit Rosandin berkata, beberapa jentera dikejarkan ke tempat kejadian selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam yang memaklumkan gudang kertas tersebut terbakar.

Lelaki acu pisau didakwa di mahkamah

Posted: 04 Feb 2013 04:27 PM PST

TALHAT memegang dua bilah pisau di luar Istana Buckingham di London kelmarin.


LONDON - Seorang lelaki yang ditembak polis Britain dengan menggunakan pistol renjatan taser ketika dia mengacukan sebilah pisau di luar Istana Buckingham di sini didakwa di sebuah mahkamah semalam.
Dia didakwa kerana berkelahi dan memiliki senjata tajam di tempat awam.
Polis Metropolitan London dalam satu kenyataan berkata, lelaki berusia 54 tahun tersebut, Talhat Rehman dihadapkan ke Mahkamah Majistret Westminster di sini.
Talhat yang berasal dari Harrow, barat laut kota raya ini, dilihat membebel sambil mengacukan pisau itu ke dadanya di luar istana berkenaan menjelang tengah hari Ahad lalu.
Dia kemudian ditangkap selepas salah seorang anggota polis 'menembaknya' dengan menggunakan pistol renjatan taser di hadapan orang ramai dan pelancong yang datang untuk melawat kediaman Ratu Elizabeth II itu.
Ketika kejadian, ratu tersebut dan suaminya berada di kediaman milik mereka di Sandringham, timur England.
Talhat berdepan dua dakwaan memiliki senjata tajam di tempat awam dan satu tuduhan berkelahi.

Lelaki dibogelkan tuduh polis pukulnya

Posted: 04 Feb 2013 04:27 PM PST


GAMBAR yang disiarkan stesen televisyen Al-Hayat menunjukkan Hamada terbaring dalam keadaan bogel di luar Istana Presiden pada Jumaat lalu.


KAHERAH - Seorang lelaki bogel yang sebelum ini mendakwa dia dipukul oleh beberapa penunjuk perasaan pada Jumaat lalu telah menukar kenyataannya dengan menyalahkan pihak polis kelmarin.
Sebelum ini, stesen televisyen menunjukkan dia diheret oleh anggota-anggota polis dalam keadaan bogel di luar Istana Presiden sini.
Kejadian itu telah mencetus kemarahan pihak pembangkang di Mesir.
Selepas kejadian itu, lelaki tersebut, Hamada Saber, 50, menyatakan anggota-anggota polis telah menyelamatkan daripada kumpulan penunjuk perasaan yang memukulnya dan menanggalkan pakaiannya.
Bagaimanapun, agensi berita MENA melaporkan, Hamada menukar kenyataan dengan menyatakan tujuan dia menyalahkan para penunjuk perasaan sebelum ini adalah kerana mahu meredakan krisis yang berlaku di Mesir.
Dia bertindak demikian selepas keluarganya menjauhkan diri daripadanya manakala ramai penduduk Mesir marah dan mentertawakan dirinya di laman sosial Facebook.
Hamada kini dirawat di sebuah hospital awam selepas dia turut ditembak di salah satu kakinya.
Sementara itu, sebuah parti pembangkang Mesir semalam mendakwa polis mendera salah seorang anggotanya sehingga mati.
Menurut parti itu, Mohammed el-Gindy, 28, mati selepas dia turut dikenakan renjatan elektrik dan dipukul beberapa kali di kepalanya.
Dia meninggal dunia di sebuah hospital di sini.
Parti itu, Perubahan Popular Mesir membuat dakwaan itu menerusi satu kenyataan.
Kementerian Dalam Negeri Mesir masih tidak memberikan komen.
Mohamed didapati hilang selama beberapa hari selepas menyertai tunjuk perasaan yang menentang Presiden Mesir, Mohamed Mesir pada 27 Januari lalu.
Para penunjuk perasaan itu menentang dasar-dasar pemerintahan Morsi dan menuntut beliau meminda perlembagaan yang diluluskan menerusi pungutan suara.
Perlembagaan itu didakwa tidak memberi keadilan kepada golongan wanita dan kebebasan individu.
Lebih 60 orang mati dalam tunjuk perasaan yang berlaku di serata Mesir sejak ia bermula pada 24 Januari lalu.
Tunjuk perasaan ganas itu berlaku semasa ulang tahun kedua bagi memperingati kebangkitan rakyat yang berjaya mendesak Hosni Mubarak meletakkan jawatan.
Hosni meletakkan jawatan pada 11 Februari 2011.

Rangka tulang disahkan milik Raja England

Posted: 04 Feb 2013 04:25 PM PST


GAMBAR menunjukkan lubang kubur yang mengandungi rangka tulang Raja Richard III di Leicester.


LEICESTER - Identiti satu rangka tulang yang ditemui di dalam tanah di sebuah tempat meletak kereta di sini telah disahkan para saintis sebagai Raja Richard III yang pernah memerintah England.
Para penyelidik dari Universiti Leicester mendapati keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) pada rangka tulang berusia 500 tahun itu sepadan dengan seorang keturunan adik perempuan raja tersebut.
Ujian DNA yang dibuat itu melibatkan seorang pembuat perabot yang dilahirkan di Kanada, Michael Ibsen.
Ibsen merupakan keturunan adik raja itu, Anne of York.
Kesan kecederaan yang didapati pada rangka tulang itu adalah akibat satu pertempuran.
Pengumuman itu dibuat oleh seorang pakar arkeologi, Richard Buckley pada satu sidang akhbar di universiti tersebut semalam.
Rangka tulang itu ditemui pada September 2012.
Raja itu meninggal dunia dalam pertempuran Bosworth yang berlaku pada tahun 1485.
Mayat baginda kemudian diarak dalam keadaan bogel dan berlumuran darah dari medan pertempuran ke Leicester, tengah England sebelum dikebumikan di sebuah kubur tanpa batu nisan di Greyfriars di sini.
Menurut Buckley, rangka tulang tersebut akan dikebumikan di Gereja Leicester di sini.

Baba pakai serban gergasi di India

Posted: 04 Feb 2013 04:25 PM PST


BABA memakai serban gergasi di Amritsar semalam.


NEW DELHI - Seorang lelaki, Baba 'Avtar' Singh memakai serban yang panjang kainnya sehingga 500 meter semalam.
Dia memakai serban itu semasa mengunjungi Kuil Emas di Amritsar di India dekat sempadan Pakistan.
Baba merupakan anggota Nihang iaitu kumpulan tradisional panglima beragama Sikh.

Tuah buat Psy dalam Tahun Ular

Posted: 04 Feb 2013 04:24 PM PST


PSY menari tarian kuda untuk iklan kacang Wonderful Pistachios di Hollywood Utara, California pada 8 Januari lalu.


TAIPEI - Kedatangan Tahun Ular berdasarkan kalendar Cina yang akan disambut pada 10 Februari ini akan meningkatkan kekayaan penyanyi rap Korea Selatan yang terkenal dengan tarian kuda, Psy.
Bagaimanapun, dia perlu meninggalkan tanah airnya untuk 'membuat wang' dan mungkin berdepan dengan kepenatan.
Seorang ahli nujum, Chan Wei-chung berkata, Psy yang lahir pada tahun 1977 yang juga Tahun Ular dipercayai akan memperoleh lebih banyak wang pada tahun ini jika dia terus mengembara ke serata dunia walaupun penyanyi berkenaan turut berdepan beberapa cabaran.
"Pertamanya, dia perlu mengambil berat tentang kesihatannya.
"Kedua, dia juga mesti membuat pertimbangan yang baik.
"Ketiga, kerjayanya bakal dibantu oleh beberapa orang terkenal.
"Namun, yang lebih penting, dia perlu meninggalkan Korea Selatan dan pergi ke seluruh dunia," katanya kepada agensi berita Reuters.
Menurutnya, Psy akan menerima ganjaran tetapi dia perlu berhati-hati untuk tidak menjadi terlalu penat dan mengelak jatuh sakit.
Wei-chung berkata, jika dia tidak berhati-hati tentang masalah kepenatan dan sakit, penyanyi berkenaan bakal menerima 'malapetaka' dalam Tahun Ular.
Dia meramalkan aktres Sarah Jessica Parker yang turut dilahirkan dalam Tahun Ular pada 1965 juga akan memperoleh ganjaran kewangan.
Bagaimanapun, kata Wei-chung, ganjaran tersebut bakal diperoleh jika dia bekerjasama dengan suaminya yang juga pelakon, Matthew Broderick.
Parker terkenal dengan peranannya sebagai Carrie dalam siri televisyen Sex and the City.
Ahli nujum itu juga turut meramalkan cinta yang mekar buat penyanyi terkenal dari Amerika Syarikat (AS), Taylor Swift.
Swift yang dilahirkan dalam Tahun Ular pada 1989 akan menemui cintanya itu di luar AS.
"Meninggalkan AS ke negara lain untuk penggambaran sebuah filem, menjadi hos konsert atau mengendalikan perniagaan hiburan akan memberikannya tuah yang baik untuk cinta," katanya.
Swift sebelum ini terkenal dengan kisah-kisah cintanya yang tidak berkekalan.
Baru-baru ini, Swift berpisah dengan anggota kumpulan nyanyian One Direction dari Britain, Harry Styles.
Dia sebelum ini mempunyai beberapa kekasih seperti penyanyi Joe Jonas, aktor Taylor Lautner dan pemuzik terkenal, John Mayer.
Swift juga pernah menjalin hubungan dengan aktor Jake Gyllenhaal.
Wei-chung berkata, pengacara televisyen terkenal, Oprah Winfrey yang dilahirkan pada Januari 1954 yang juga Tahun Ular mungkin menempuh beberapa kesukaran dalam kehidupannya.
"Dua daripada masalah terbesar dalam tahun ini ialah perbalahan tentang kewangan dan ketika dia mengembara seperti kesesakan jalan raya atau bertengkar dengan orang ramai," katanya mengenai Winfrey.
Bagaimanapun, kata Wei-chung, kekayaannya akan menjadi lebih baik dalam Tahun Ular.
Tahun Ular jatuh pada 1929, 1941, 1953, 1965, 1977, 1989 dan 2001.

Kehidupan etnik Lundayeh

Posted: 04 Feb 2013 04:22 PM PST



LONG Pasia yang bermaksud mulut Sungai Merah dalam bahasa etnik Lundayeh merupakan sebuah kampung di daerah Sipitang, Sabah.
Kampung ini bersempadanan antara Sabah, Sarawak dan Kalimantan timur, Indonesia. Long Pasia mempunyai 85 rumah dengan kira-kira 500 orang penduduk.
Satu-satunya jalan darat ke kampung ini terletak kira-kira 125 kilometer dari Sipitang ialah melalui jalan hutan balak. Dari Kota Kinabalu, ia mengambil masa perjalanan sekurang-kurangnya dua jam melalui jalan raya ke Sipitang. Dari Sipitang mengambil masa sekurang-kurangnya empat jam dengan pacuan empat roda melalui jalan hutan balak ke Long Pasia.
Penulis disambut dengan hidangan air sejuk apabila sampai di perkampungan ini setelah melalui satu perjalanan yang amat mencabar iaitu jalan hutan balak yang tidak berturap.
Kedamaian diselubungi dengan keindahan rimba semula jadi yang masih belum tercemar memberikan suatu pengalaman yang cukup indah.
Suasana dingin ketika angin sepoi-sepoi bahasa meniup seolah-olah membawa penulis berada di Cameron Highlands dan Genting Highlands.
Menurut Ketua Kampung Lundeyeh yang mentadbir kampung itu selama dua dekad, Mudin Sia, 60, perkampungan Lundayeh kini berusia lebih 400 tahun dengan penempatan awal seramai 2,000 penduduk.
Suasana sunyi
Mudin berkata, penduduk kampung kemudiannya berpecah kepada empat buah kampung iaitu Sungai Bunggaya, Sungai Kampung Ruran, Kampung Long Mio dan Kampung Long Pasia.
Kepada mereka yang biasa dengan suasana riuh rendah dan bingit kenderaan di Kuala Lumpur, kunjungan ke Long Pasia ternyata memberikan kesan sebaliknya.

KAMPUNG Long Pasia bersempadan antara Sabah, Sarawak dan Kalimantan timur, Indonesia.


Selain suasana sunyi pada awal pagi, sesekali kedengaran bunyi salakan anjing. Anjing merupakan haiwan yang paling disayangi di sekitar kawasan berhawa dingin itu.
Kebanyakan penduduk berada di kebun atau berkurung di dalam rumah melakukan rutin harian.
Sukar untuk bertembung mereka sama ada di jalan atau di mana-mana saja pada waktu pagi. Kedai koperasinya juga sunyi seperti tiada pembeli.
Sekolahnya tidak begitu jauh dan agak sepi. Melihat kepada kehidupan mereka, tidak langsung menampakkan kesukaran untuk hidup selesa, sedangkan sumber pendapatan mereka hanyalah bercucuk tanam secara kecil-kecilan iaitu padi, lada dan pelbagai jenis sayuran.
Jika hendak dikatakan maju dalam pendidikan, tidak ramai sebenarnya yang berjaya lantaran kesukaran untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat sekolah menengah di Sipitang.
Meskipun hanya mengusahakan tanaman secara kecil-kecilan, kualiti hasil kebun mereka sangat tinggi. Benar, jika berpeluang menjamu selera, tidak cukup sepinggan makan nasi untuk mengenyangkan perut walaupun menu sekadar sardin dengan tiga jenis sayur.
Semuanya kerana keenakan dan kelembutan nasi daripada beras yang ditanam sendiri. Ditambah pula rasa pedas cili api. Masakan mereka ringkas tetapi menyelerakan.
Namun, itulah yang menjadikan perkampungan Lundayeh unik. Ia jauh daripada bunyi deruman kenderaan dan hingar-bingar kehidupan kota, sebaliknya menjanjikan sebuah kedamaian yang tidak ternilai dan sukar digambarkan.
Long Pasia dan masyarakat Lundayeh berada dalam dunia tersendiri. Mereka melakukan pelbagai aktiviti sukan seperti bola sepak dan futsal yang membabitkan kanak-kanak hinggalah ke dewasa, lelaki mahupun wanita untuk mengisi masa.

PENDUDUK Kampung Long Pasia berurusan di kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bergerak.


Hakikatnya, meskipun perjalanan ke kampung itu agak memenatkan, namun apa yang pasti ia cukup berbaloi. Bahkan, ia menjadi tarikan pelancong untuk mengunjungi perkampungan itu sekali gus mendekati masyarakat Lundayeh.
Berjalan kaki
Jika dahulu penduduk Long Pasia tidak mampu memiliki kenderaan dan terpaksa berjalan kaki selama lima hari membawa bekalan dengan menggantung beras serta terpaksa bermalam di hutan.
"Pengalaman itu memang perit, kadang-kadang muncul haiwan seperti rusa dan gajah, kami juga sering dibasahi hujan.
"Selain itu, kami juga perlu mendaki jalan yang berbukit-bukit dan menyeberang sungai," kata seorang penduduk Joseph Lakong Angang, 67, yang juga guru pertama di perkampungan terpencil itu.
Angang berkata, pembangunan dan kemajuan mula dirasai di Long Pasia sekitar tahun 1996 dengan kemudahan jalan balak. Mereka yang mahu ke pekan Sipitang boleh membayar tambang antara RM20 hingga RM30.
Antara kemudahan lain di kampung tersebut termasuklah bekalan air paip tenaga solar.
"Perkembangan dahulu dan sekarang dari segi perumahan sudah banyak berubah," katanya yang pencen pada tahun 2003 dengan gaji RM1,500 sebulan.
Bapa kepada sepuluh anak itu berkata berkata, kehidupan di Long Pasia juga sudah banyak berbeza berbanding ketika beliau mula-mula menjejakkan kaki ke kampung itu pada tahun 1963.

PETA menunjukkan kedudukan Long Pasia iaitu 125 kilometer dari Sipitang.


"Ketika itu, saya berusia 19 tahun dan saya sudah mengajar anak-anak di sini," katanya kepada penulis.
Angang berkata, Sekolah Kebangsaan Native Voluntary School merupakan satu-satunya sekolah di kampung tersebut.
Sekolah yang berdinding buluh itu terletak berhampiran lapangan terbang lama Sipitang yang kini ditukar nama sebagai SK Long Pasia.
"Sekolah yang berlantaikan simen dan menggunakan atap zink itu dibuat dengan bantuan askar dan guru . "Pada masa itu hanya ada empat orang guru termasuk askar sebelum guru tetap dari Kementerian Pelajaran datang," katanya yang mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu dan Inggeris dalam kalangan pelajar yang berumur lingkungan 11 hingga 14 tahun.
Beliau mendapat upah RM1 untuk setiap murid selain makan minum daripada orang kampung sebelum kerajaan mengambil alih. Gaji yang beliau peroleh selepas sekolah tersebut diambil alih kerajaan ialah RM105 sebulan sekitar tahun 1971 dan meningkat dari semasa ke semasa.

Tawaran Coffee Bean

Posted: 04 Feb 2013 04:20 PM PST

KAFE Coffee Bean & Tea Leaf di TTDI kini sedang giat menjalankan promosi menarik bagi pelanggan mereka.


MUSIM Tahun Baru Cina tidak akan lengkap tanpa buah limau mandarin. Ia adalah simbolik kepada sambutan perayaan kaum Cina tanpa mengira negara. Selain buah, makanan yang dihasilkan daripada ekstrak oren juga menjadi pilihan.
The Coffee Bean & Tea Leaf (Coffee Bean) mengambil kesempatan sempena perayaan kali ini dengan memperkenalkan kek oren poppy seed. Sepotong kek yang berharga RM8.90 itu dilengkapi topping limau mandarin yang memberikan kenikmatan berganda kepada tunas rasa.
Sekiranya muak dengan limau, apa kata pilih kek mousse keju yang menggunakan buah markisa sebagai bahan utama. Warna kuningnya cukup membangkitkan selera dan gabungan rasa keju dan buah menjadikan ia hidangan yang sukar ditolak.
Bagi mereka yang hadir ke kafe Coffee Bean dalam jumlah yang ramai, jangan ragu untuk memilih pek parti Tahun Baru Cina yang mengandungi 20 ketul kek cawan vanila.
Kek cawan yang dihias dengan warna merah dan putih itu juga dicorakkan dengan gambar kanak-kanak lelaki dan perempuan yang memakai kostum tradisional Cina. Ia turut dilengkapi gambar mercun, buah limau mandarin, pokok bunga dan perkataan Gong Xi Fa Cai.
Pek parti berharga RM89 itu sememangnya pilihan bijak untuk disajikan kepada tetamu atau diberikan kepada keluarga si dia yang istimewa. Anda juga boleh membawanya ketika berkunjung ke rumah saudara-mara atau sahabat handai.
Lengkapkan suasana perayaan anda dengan menghirup minuman baharu yang diperkenalkan Coffee Bean. Sekali-sekala, tukar cita rasa kopi anda kepada minuman buah-buahan seperti Guava Fru-Tea dan Guava Latte. Pengenalan dua minuman itu juga bersempena dengan ulang tahun ke-50 Coffee Bean pada tahun ini.
Air sedia diminum
Selain promosi menu Tahun Baru Cina, Coffee Bean juga sibuk mempromosikan seleksi air sedia diminum. Ia merangkumi kopi yang diperbuat 100 peratus menggunakan kopi Arabika dari Columbia, teh ais yang disediakan dalam tiga perisa, teh ais berkarbonat menggunakan teh hitam berkualiti dan uncang teh berdaun segar.
Teh ais sedia diminum misalnya, didatangkan dalam perisa buah pic, jasmin dan lemon. Minuman yang diisi di dalam botol 350 mililiter (ml) itu menggunakan teh semula jadi yang segar dan tidak mengandungi bahan pengawet atau pewarna tiruan.
Bagi pencinta kopi, barisan kopi sedia diminum menawarkan produk tiga dalam satu dan empat dalam satu yang diwujudkan ekoran peningkatan pertambahan ginseng Korea.
Teh ais berkarbonat atau air sparkling yang dihasilkan daripada teh hitam premium Coffee Bean pula disediakan dalam tiga perisa buah-buahan iaitu epal, lemon dan beri. Dibotolkan dalam saiz 330ml, minuman tersebut memberikan kesegaran dan mencergaskan anda pada hanya RM3.80 sebotol.
Sementara itu, Coffee Bean juga telah membuka kafe ke 49 mereka di negara ini pada penghujung Januari lalu. Kafe yang terletak di Sinaran Taman Tun Dr. Ismail (TTDI), Selangor itu kini menawarkan promosi beli satu percuma satu minuman ice blended kepada 100 pengunjung pertama.
Sebanyak 500 keping kad The Coffee Bean (TCB) juga diberikan percuma kepada mereka yang membuat pembelian pada harga RM30 ke atas.

Enam wanita Malaysia dipaksa jadi hamba seks

Posted: 04 Feb 2013 04:19 PM PST

SEORANG pekerja seks berada di dalam sebuah bilik di sebuah rumah pelacuran di Bondi Junction, Sydney pada 1 Julai 2008. - AFP


MELBOURNE - Seorang wanita yang dituduh mengendalikan rumah pelacuran di Sydney memberitahu mahkamah, enam wanita rakyat Malaysia yang ditahannya dalam kes 'perhambaan seks' perlu melacurkan diri untuk melangsaikan bayaran yang mereka berhutang untuk datang ke Australia.
Semua wanita tersebut dikatakan dipaksa untuk bekerja sebagai pelacur selama 20 jam setiap hari.
Wong Chee Mei, 37, mengaku tidak bersalah terhadap satu pertuduhan perhambaan seks dan enam pertuduhan melanggar visa, termasuk mengeksploitasi pekerja, menurut laporan Australian Associated Press (AAP).
Pada hari pertama perbicaraan kes di Mahkamah Daerah New South Wales di Sydney pada Isnin, Chee Mei yang juga dikenali sebagai Yoko, mengendalikan rumah pelacuran Diamonds di Willoughby di utara Sydney antara Ogos 2008 dan 2010.
Dia didakwa menggaji enam wanita keturunan India yang diambil kerja di Malaysia dan dihantar ke Australia atas visa pelajar.
Pendakwa Raya Carolyn Davenport SC berkata, wanita itu hanya tahu sedikit atau tidak tahu langsung bahasa Inggeris dan mereka diberitahu yang mereka perlu bekerja sehingga selesai melangsaikan kos tiket penerbangan, visa dan yuran kursus berjumlah kira-kira A$5,000.
"Sebaik tiba di negara ini, mereka juga diberitahu jenis perkhidmatan yang perlu mereka lakukan di rumah pelacuran itu," beliau dipetik berkata demikian oleh AAP.
Apabila mereka enggan berbuat demikian, mereka diberitahu yang mereka mesti melakukannya.

Orang Kedah Pilihan Cinta Fizo Omar

Posted: 03 Feb 2013 08:02 PM PST

Fizo dan Haas sebelum ini telah berkenalan selama beberapa tahun sebagai teman biasa.
KUALA LUMPUR: Selepas berteka-teki mengenai hubungan cintanya, pelakon Fizo Omar akhirnya mengesahkan sedang berkawan dengan seorang wanita berusia 25 tahun yang dikenali sebagai Haas Jaafar.
Fizo, 28, berkata, mereka telah berkenalan selama beberapa tahun sebagai rakan biasa dan baru sahaja menjalinkan hubungan istimewa sejak tiga bulan lalu.
"Saya kalau boleh tidak mahu terlalu mendedahkan hubungan cinta ini tetapi saya mengaku memang sekarang saya sedang bercinta dengan Haas.
"Bagaimanapun hubungan ini masih lagi diperingkat awal dan kami sedang mengenali hati budi masing-masing," jelasnya ketika ditemui pada majlis sambutan ulang tahun ke 52 Datuk Shah Rezza di sini pada Ahad.
Fizo hadir ke majlis berkenaan bersama kekasihnya itu dan tampil mengenakan pakaian dari warna sedondon iaitu putih.
Dalam pada itu, Fizo berkata, sikap memahami wanita berasal dari Kedah itu telah memikat hatinya selain mempunyai pelbagai persamaan membuatkan mereka serasi.
"Buat masa ini terlalu awal untuk bercakap soal kahwin tetapi saya selesa dengan Haas yang cukup sekepala dengan saya. Soal jodoh saya letakkan kepada takdir," jelasnya.
Fizo mengakui sikap memahami Haas telah menambat hati lelakinya.
Sementara itu, Haas ketika ditanya mengenai Fizo memberitahu hubungan rapat lelaki itu dengan keluarganya telah memikat hatinya terhadap pelakon itu.
"Fizo sangat mementingkan hubungan kekeluargaan dan sikap tanggungjawabnya telah menambat hati saya malah dia sangat memahami dan ringkas dalam pelbagai perkara," jelasnya yang masih menuntut di Universiti Lim Kok Wing dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dan Keusahawanan.
Tambah Haas, dia tidak gentar dengan kemungkinan hubungan mereka akan menjadi perhatian dunia hiburan kerana meletakkan sepenuh kepercayaan kepada Fizo.
"Sebelum ini apabila timbul apa-apa perkara mellibatkannya, dia akan terangkan kepada saya situasi sebenar dan saya pula jenis yang tidak kisah dan faham kerjayanya sebagai pelakon," jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Fizo memberitahu perniagaan Hot Burger yang diusahakan sejak beberapa bulan lalu berjaya mengembangkan cawangan sehingga 30 buah gerai dan akan terus memperluaskannya pada tahun ini.
"Alhamdulillah sambutan cukup memberangsangkan dan semakin ramai belia yang menunjukkan minat untuk berniaga Hot Burger di kawasan mereka.
"Cuma timbul sedikit salah faham apabila ramai yang menyangka saya duta kepada jenama itu sebaliknya saya adalah pemiliknya," jelasnya.
Masih aktif berlakon, Fizo berkata, dia bakal muncul dengan sebuah filem bertajuk Isyarat Cinta selain baru selesai menjalani penggambaran drama Surat Dari Langit Biru dan telefilem Nur Sarah.

Neelofa tak layan gosip murahan!

Posted: 03 Feb 2013 08:01 PM PST


Neelofa
Neelofa
Dua tahun melayari kehidupan sebagai anak seni bukan mudah sebenarnya bagi si cantik kelahiran Pasir Mas, Kelantan ini.

Mengakui sentiasa dihimpit pelbagai persoalan, tohmahan dan kontroversi, juara Dewi Remaja 2010/2011 ini akur kerana perjalanan kariernya tidak seindah diharapkan.

Namun, 2013 diharap dapat memberi wajah baru kepadanya. Bagi Noor Neelofa Mohd Noor atau nama pentasnya, Neelofa, biarlah tahun ini menjadi saksi kepada perkembangan karier berbanding kisah peribadinya.

Berbicara mengenai kerjayanya sebagai pelakon, ada desas-desus mengatakan gadis berusia 23 tahun ini tidaklah sehebat mana dalam bidang lakonan, sebaliknya hanya berbekal kepada paras rupa sahaja.

Menjawab mengenai perkara ini, bintang filem Azura ini memberitahu, dia tidak pernah kisah dengan tanggapan atau pandangan orang selama ini.

"Sudah menjadi lumrah dalam dunia seni, apa sahaja yang dilakukan seseorang itu akan menjadi tumpuan sama ada perkara baik atau tidak yang dilakukan kita, ada sahaja yang akan dikatakan.

"Begitu juga dengan saya, dari awal pembabitan dalam bidang ini, pelbagai khabar angin dan cakap orang mengenai saya, saya dengari, apa pun, saya perlu positif dan menjadikan semua ini sebagai motivasi," katanya segala kritikan yang diterima menguatkan lagi dirinya untuk terus pergi jauh dalam bidang ini.

Katanya yang lebih mesra disapa Lofa, apa yang berlaku sepanjang tahun lalu juga dijadikan pengalaman dan bekalan masa akan datang.

"Saya tidak pernah kesal atas apa yang berlaku, semua perkara ini tidak akan saya lakukan lagi.

"Biarlah ia menjadi sejarah dalam lipatan hidup saya, sebagai manusia saya juga tidak terlepas dari melakukan silap.

"Alhamdulillah, nampaknya kini saya semakin bersih dari semua kontroversi dan saya perlu mengekalkan semua itu," kata gadis berdarah campuran Melayu, Pakistan dan Arab ini.

Hilang arah?

Bukan sahaja berbakat dalam bidang lakonan, malah empunya diri juga tidak sangka diberi kepercayaan untuk melebarkan sayapnya dalam bidang ini sehingga dilamar menjadi pengacara.

Bermula dengan rancangan Nona bergandingan bersama pengacara popular, Fara Fauzana dan kini MeleTOP, bersama pelawak terkenal Nabil Ahmad, anak ketiga daripada sembilan beradik ini mengakui dia lebih selesa bergelar pengacara.

Pun begitu, apa yang menjadi persoalan, di manakah fokus pelakon Kau Yang Terindah ini?

Belum pun sempat menunjukkan kemampuan menjadi pelakon, dia kini sudah beralih kepada mengacara pula. Ditanya mengenai perkara ini, akui Lofa, tidak timbul soal hilang arah apabila dia memilih untuk menjadi pengacara di samping seorang pelakon.

Jelasnya, cabang seni yang luas dan subjektif memberi ruang kepadanya untuk mencuba pelbagai aspek sebagai anak seni.

"Dari kecil saya sudah bercita-cita bergelar pengacara, ketika menyertai Dewi Remaja, itulah matlamat utama saya, bagaimana pun, tawaran berlakon datang dahulu.

"Jadi, saya membuat keputusan untuk menerimanya, lagi pun untuk apa saya menolak rezeki yang datang," bicaranya yang pernah membintangi drama Tahajud Cinta, Kasih Najihah dan Kitab Cinta ini.

Ditanya, apakah dia sudah cukup berpuas hati kerana impiannya menjadi pengacara tercapai, kata Lofa, kepuasan bukan menjadi ukuran jika melakukan sesuatu itu.

"Apa yang penting ia beroleh kejayaan, jika saya bergelar pengacara sekali pun, namun kerja saya tidak bagus, untuk apa. Saya lebih senang jika semua tugasan yang diberikan berjalan dengan lancar dan disukai penonton," katanya penuh yakin.


Rebut peluang

Dalam pada itu, melihat kepada perkembangannya sebagai pendatang baru dalam bidang lakonan, Lofa juga bukanlah calang-calang kerana dia sering menjadi pilihan pengarah untuk dijadikan heroin dalam filem mereka selain menjadi teraju utama bagi segelintir drama popular tempatan.

Berkongsi mengenai perkara ini, kata Lofa, dia sebenarnya tidak pernah memilih sama ada membintangi filem atau pun drama.

"Saya masih baru dan pengalaman saya sangat sedikit sebagai pelakon, ruang yang ada saya gunakan sebaiknya untuk belajar dari satu episod ke episod yang lebih baik.

"Walau pun watak yang diberikan adakala sebagai pembantu sahaja, namun bagi saya ia penting kerana mampu mengasah keupayaan saya dalam bidang ini.

"Cuma, jika skrip yang diberikan tidak sesuai dengan saya, barulah saya tolak," ujar Lofa, dia perlu membahagikan masa dengan baik sebagai pelakon dan pengacara.

Bercerita perihal itu, katanya, dia bukanlah seorang yang akan mengaut semua tawaran yang diterimanya.

"Saya hanya melakukan apa yang termampu sahaja. Jika saya sudah mempunyai komitmen untuk drama atau filem lain, saya tidak akan sesekali menyusahkan diri saya terkejar ke sana dan ke mari.

"Lagi pun pada hujung minggu saya akan fokus Nona dan MeleTOP. Pada masa sama, saya juga perlu berikan perhatian kepada pelajaran, keluarga dan perniagaan yang diusahakan, jadi adalah lebih baik saya tidak tamak," katanya perniagaan produk kecantikan, Bella Vista miliknya dan keluarga semakin berkembang.


Cinta anak jutawan?

Sering dihimpit pelbagai persoalan mengenai kisah peribadinya, Lofa bagaimana pun mengakui, dia lebih selesa berdiam diri apabila diajukan tentang perkara itu.

Baginya, baik hubungannya bersama pengarah terkenal, Hans Isaac dan lelaki lain yang di gembar - gemburkan, tidak memberi sebarang kesan terhadap kariernya.

"Ketika ini tidak perlulah saya membuka cerita mengenai hubungan saya dengan mana-mana lelaki, lagi pun, bila orang tahu atau nampak saya dengan sesiapa, mereka akan bercakap juga.

"Jadi, sama ada mereka percaya atau tidak apa yang saya katakan, itu sudah tidak penting lagi," jelas pelakon Lemak Kampung Santan, SAM dan Taiko ini.

Diusik mengenai kisah terbarunya bersama seorang anak jutawan, Lofa hanya ketawa. Katanya, dia tidak tahu bagaimana cerita itu boleh timbul.

"Saya tidak ada hubungan dengannya dan semua ini mengarut," ujar Lofa yang bagaikan sudah lali dengan cerita-cerita sebegini.

Dalam pada itu, apabila ditanya adakah gosip yang melanda menjejaskan kerjayanya, akui Lofa, dia masih menerima pelbagai tawaran lakonan dan menjadi pengacara sehingga ke hari ini.

"Rasanya, semua itu tidak menjadikan kerjaya saya ketinggalan di belakang, pun begitu saya gembira dan bersyukur sangat kerana tahun ini lebih banyak kerja yang saya terima," katanya bakal memulakan penggambaran filem terbarunya bermula Mac nanti.

Bas sekolah hangus di R&R Temerloh

Posted: 03 Feb 2013 07:59 PM PST


Bas hangus
Bas sekolah ini hangus seratus peratus ketika pemandunya berhenti di R&R Temerloh untuk berehat, pagi semalam.
TEMERLOH - Sebuah bas sekolah musnah sama sekali dalam kejadian kebakaran yang berlaku pada jam 11.20 pagi, semalam, di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Temerloh dari arah Temerloh ke Kuala Lumpur.

Ketua Balai Bomba Temerloh, Hashnuddin Hussein berkata, tiada sebarang kecederaan berlaku dalam kejadian di Kilometer 131.9 itu kerana bas tersebut tidak membawa penumpang.

Katanya, pemandu bas terbabit memberhentikan kenderaannya untuk berehat di R&R Temerloh.

Menurutnya, bomba menerima panggilan pada jam 11.23 pagi daripada pemanggil Mohd Termizi Abdul Aziz yang melihat kebakaran tersebut.

"Anggota bomba dan penyelamat yang terdiri daripada enam orang dan sebuah jentera kemudiannya bergegas ke tempat kejadian dan tiba di lokasi pada jam 11.41 pagi.

"Bagaimanapun sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, bas tersebut didapati telah musnah tetapi tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan," katanya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines