Selasa, 19 Februari 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Julia Ziegler Terima Kekasih Selepas Jalani Umrah

Posted: 17 Feb 2013 08:51 PM PST

Julia mengakui kini sudah berpunya dan sedang mengenali hati budi teman lelakinya.
KUALA LUMPUR: Pelakon Julia Ziegler terbuka hati untuk menerima cinta seorang lelaki yang dikenalinya selama lapan tahun selepas menjalani ibadah Umrah pada tahun lalu.
Julia, 29, berkata, kesungguhan lelaki itu yang cuba menambat hati wanitanya selain menyifatkan kekasihnya itu sangat memahami telah membuatkannya terpaut dengan jejaka tersebut.
"Kesungguhan dia yang telah menawan hati saya dan selepas berdoa semasa menjalankan ibadah Umrah tahun lalu hati saya terbuka untuknya.
"Alhamdulillah hubungan kami kini semakin kukuh dan saya selesa berkawan dengannya kerana dia menerima saya seadanya," jelasnya kepada mStar Online.
Julia bakal muncul dengan sebuah teater berjudul Asmara Songsang arahan Rahman Adam yang akan dipentaskan di Lambang Sari, Istana Budaya pada 1 dan 2 Mac depan. Ia boleh disaksikan secara percuma.
Dalam pada itu, Julia berkata, buat masa ini dia masih belum memikirkan soal perkahwinan memandangkan hubungan yang terjalin itu masih diperingkat awal.
Julia menjelaskan, walaupun telah mengenali teman lelakinya itu sebagai kawan namun dia ingin memberi peluang kepada kedua-dua belah pihak saling mengenali dengan lebih mendalam sebagai pasangan kekasih sebelum membuat keputusan untuk berkahwin.
"Terlalu awal untuk cakap pasal kahwin dan biarlah hubungan ini kukuh terlebih dahulu," jelasnya.
Sementara itu, Julia berkata, tahun ini dia sudah bersedia untuk merancakkan kembali aktiviti lakonannya selepas menyepi daripada sebarang projek terbaharu.
Julia berkata, kehilangannya sebelum ini adalah kerana dia telah menghabiskan masa dengan menggembara ke pelbagai negara untuk mencari ketenangan.
"Telah banyak negara saya pergi sepanjang tahun lalu untuk menggembara sambil bercuti menenangkan fikiran dan sekarang saya sudah bersedia untuk merancakkan kembali aktiviti seni," katanya yang bakal terlibat dalam beberapa projek drama rantaian dan telefilem.

Zed Zaidi Sangkal Diboikot Kerana Kelantangan Bersuara

Posted: 17 Feb 2013 08:50 PM PST

Zed memberitahu masih menerima tawaran berlakon namun terpaksa menolak kerana kesibukannya dengan pelbagai aktiviti Seniman.
PETALING JAYA: Pelakon dan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi menyangkal dakwaan diboikot oleh pengarah dan penerbit sehingga tidak menerima sebarang tawaran lakonan ekoran kelantangannya bersuara mengenai isu kemasukan artis luar ke negara ini.
Zed atau nama sebenarnya Rozaidi Abdul Jamil, 33, sebaliknya berkata, beliau masih lagi menerima banyak tawaran berlakon namun kesuntukan masa sebagai presiden persatuan itu telah membataskan aktiviti seninya.
"Saya tidak diboikot oleh mana-mana pengarah atau penerbit kerana tawaran masih ada cuma saya yang menolak kerana kekangan masa menguruskan pelbagai aktiviti Seniman.
"Kebanyakan tawaran yang diterima tidak dapat mengikut jadual saya yang sentiasa padat dan kerana tidak mahu menyusahkan pihak lain saya terpaksa menolak," jelasnya kepada mStar Online ketika ditemui pada majlis Aqiqah dan cukur jambul anak sulungnya dekat sini pada Ahad.
Tambah Zed, beliau merancang untuk kembali aktif berlakon selepas pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) dan kini sedang sibuk dengan aktiviti persatuan dan kempen PRU-13.
Zed dan isterinya, Natalia bersama anak mereka, Ryyan Zikry semasa majlis Aqiqah dan cukur jambul yang diadakan di Pusat Komuniti Bukit Bandaraya, Bangsar pada Ahad.
"Tahun ini memang saya aktif berpolitik kerana tidak ramai golongan muda yang menonjol dan sebagai generasi baru adalah menjadi tanggungjawab saya untuk bersama-sama berjuang pada pilihan raya nanti," ujarnya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai kelantangannya bersuara demi mempertahankan hak artis dan industri hiburan tempatan, Zed berkata, beliau perlu berbuat demikian bagi memastikan isu yang dibangkitkannya menjadi perhatian.
"Saya tidak kisah dihentam oleh sesetengah pihak kerana jika itu tidak berlaku maka ia bukanlah perjuangan dan sebagai pemimpin kita harus lantang dengan pendirian kita barulah orang lain akan memberi perhatian tentang sesuatu perkara itu.
"Kalau bercakap dengan lembut tidak ada orang akan beri perhatian terhadap sesuatu isu itu," jelasnya.
Tambah Zed, kelantangannya itu juga bukanlah sekadar cakap-cakap kosong kerana beliau sentiasa memastikan sebelum berkata sesuatu ia tidak bercanggah dengan undang-undang.
"Saya akan memastikan setiap perkara yang dibangkitkan disokong oleh fakta dan undang-undang dan sebab itu saya berani bersuara. Semua yang saya buat semata-mata demi mempertahankan industri seni kita," jelasnya.
Ahli keluarga Zed sedang mencukur jambul anaknya pada majlis dibuat dengan penuh istiadat itu.
Sementara itu, Zed memberitahu majlis aqiqah dan cukur jambul anaknya, Ryyan Ziqry, enam bulan, lewat diadakan berikutan kesibukannya dengan pelbagai tugas sebagai presiden Seniman namun bersyukur ia telah berjalan dengan lancar.
Menurut Zed, isterinya, Natalia Mustafa Kamal, 30, telah bertungkus lumus untuk menjayakan majlis yang diadakan di Pusat Komuniti Bukit Bandaraya, Bangsar di sini.
"Alhamdulillah semuanya telah selamat dengan majlis dihadiri oleh semua ahli keluarga terdekat dan rakan-rakan. Walaupun sedikit lewat tetapi ia tetap diadakan bagi meraikan anak sulung kami.
Tambah Zed, walaupun sibuk beliau tetap memastikan setiap hari akan bermanja dengan anaknya itu kerana percaya hubungan anak dan bapa perlu dipupuk sejak kecil.
"Sesibuk mana pun saya dengan pelbagai aktiviti saya akan memastikan meluangkan masa bersama Ryyan setiap hari dan perkara itu tidak pernah saya abaikan," jelasnya.

Siti Nurhaliza Bertudung Bukan Untuk Berpolitik

Posted: 17 Feb 2013 08:49 PM PST

Siti menolak dakwaaan beliau memakai tudung kerana ingin bergiat aktif dalam bidang politik.
PETALING JAYA: Penyanyi Datuk Siti Nurhaliza tidak pernah berniat untuk bergiat aktif dalam dunia politik sebagaimana sesetengah artis wanita lain yang telah berhijrah dan menutup aurat.
Siti, 34, berkata, niatnya memakai tudung adalah ikhlas seperti mana dituntut oleh agama Islam dan bukan kerana faktor-faktor lain.
"Saya tidak pernah terfikir untuk bertudung kerana politik tetapi berniat untuk menutup aurat telah lama dibuat dan Alhamdulillah pada ulang tahun ke-34 Januari lalu hati saya telah dibuka Allah untuk berbuat demikian," jelasnya kepada mStar Online.
Siti turut menjelaskan setakat ini belum ada pihak daripada mana-mana parti politik yang memintanya untuk menyampaikan ceramah di majlis-majlis tertentu dan tidak berniat untuk berbuat demikian.
Dalam pada itu, Siti turut menjelaskan komennya mengenai kehadiran penyanyi dari Korea Selatan, Psy yang terkenal dengan lagu Gangnam Style di Rumah Terbuka Tahun Baru Cina di Pulau Pinang baru-baru ini hanya pandangannya sebagai anak seni dan rakyat biasa.
Siti menjelaskan beliau tidak pernah menolak kedatangan artis dari luar negara ke Malaysia namun pada masa sama artis tempatan tidak boleh diketepikan begitu sahaja.
"Saya menghargai bakat-bakat dari luar negara malah tidak pernah menolak kehadiran mereka ke Malaysia namun pengiktirafan terhadap artis tempatan tidak boleh dipandang ringan.
"Alangkah baiknya jika ada pihak yang sanggup menaja untuk persembahan artis tempatan dengan nilai sama dan saya yakin bakat-bakat tempatan tidak kurang hebatnya," jelasnya.
Siti juga berharap komen tersebut tidak dikaitkan dengan politik kerana ulasan tersebut sebagai luahan dan pandangannya sebagai anak seni yang telah lama berkecimpung dalam dunia nyanyian.
Dalam perkembangan lain, Siti akan muncul dengan persembahan Memori Indah Bersama Datuk Siti Nurhaliza bersempena Minggu Setiausaha di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur pada 11 April depan.
Ia adalah persembahan pertama penyanyi itu selepas beberapa bulan berehat untuk menjaga suaminya, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa yang terlibat dalam sebuah kemalangan jalan raya di New Zealand pada 13 Disember lalu.
Tiket dijual pada harga RM3,00 hingga RM5,00 untuk sebuah meja dan RM350 hingga RM550 untuk seorang.
Untuk keterangan lanjut dan tempahan tiket boleh menghubungi Farah Halim di 03-26889688 (sambungan 500) atau Rizal Van Geyzel di 03-26889688 (sambungan 253).

Persembahan Mantap 'Paramore' Gamatkan Stadium Negara

Posted: 17 Feb 2013 08:47 PM PST

Vokal Hayley cukup mantap menyampaikan 18 buah lagu pada konsert keduanya di Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR: Kumpulan muzik dari Amerika Syarikat, Paramore tampil dengan aksi bertenaga di hadapan lima ribu penonton pada konsert kedua mereka di negara ini yang berlangsung di Stadium Negara di sini, malam Ahad.
Vokalis utamanya, Hayley Williams tampil cukup bersemangat dengan aksi lincahnya di atas pentas menyampaikan 18 buah lagu dalam persembahan selama 90 minit cukup membuatkan penonton teruja.
Tampil dengan lagu terbaharu mereka iaitu Now pada pembukaan konsert tepat pukul 9 malam, peminat yang membanjiri stadium turut menyanyikan lagu tersebut bersama-samanya.
Diteruskan dengan lagu seperti That's What You, Born for This, For a Pessimist, Im Pretty Optimistic dan Decode Sorakan kuat penonton mengisi segenap ruang stadium yang teruja melihat kelincahan Hayley di atas pentas.
Hayley juga cukup bijak berinteraksi bersama penonton yang hadir dan memberitahu sangat gembira dapat kembali ke Malaysia yang disifatkan sebagai penyokong utamanya.
Tidak terhenti di situ, Hayley meneruskan persembahan dengan lagu seperti Renegade, Pressure, Careful dan In The Morning sebelum muncul dengan lagu yang dinanti-nantikan peminat iaitu The Only Exception.
Tidak perlu terlalu berusaha, Hayley memberikan peluang kepada para peminatnya menyanyikan lagu itu dan ia disambut dengan penuh semangat daripada penonton.
Kemantapan vokal Hayley juga cukup membanggakan dengan iringan muzik daripada dua lagi ahli kumpulannya, Jeremy Davis (bes) dan Taylor York (gitar).
Antara lagu lain yang dipersembahkan pada malam itu adalah Let the Flames Begin, Looking Up, Ignorance, Monster, Brick by Boring Brick dan Hello Cold World.
Konsert pada malam itu turut diserikan dengan kehadiran kumpulan Me Without You sebagai pembuka tirai dengan menyampaikan beberapa buah lagu khas buat penonton yang hadir.
Paling menarik pada penghujung persembahan, Hayley turut menjemput salah seorang peminatnya naik ke pentas dan menyanyi bersama lagu penutup mereka iaitu Misery Business.
Nyata persembahan kedua Paramore cukup berbaloi dan mempunyai keistimewaan tersendiri yang membuatkan mereka diterima baik peminat di Malaysia.

Azad Jazmin Serik Sertai Syarikat Pengurusan

Posted: 17 Feb 2013 08:46 PM PST

Azad mengakui rezeki dalam bidang lakonan semakin murah dan perjalanan kariernya berada di tahap baik.
PETALING JAYA: Pelakon Azad Jazmin serik bernaung di bawah syarikat pengurusan dan lebih selesa menguruskan sendiri kerjaya lakonannya tanpa sebarang kawalan.
Azad atau nama sebenarnya Azad Jazmin John Louis Jeffri, 37, berkata, pengalaman selama beberapa tahun sebagai pelakon dapat membantunya dalam menguruskan sendiri kerjaya lakonannya tanpa terikat dengan mana-mana syarikat.
"Bukan mahu meninggi diri tetapi cukuplah pengalaman dulu banyak mematangkan saya tambahan pula sampai bila nak mengharapkan orang lain dan sudah tiba masanya saya perlu melakukannya sendiri mengikut kemampuan," jelasnya kepada mStar Online.
Azad sebelum ini pernah bernaung dibawah syarikat produksi Metrowealth (MIG) Pictures sebelum mengambil keputusan untuk bergerak sendiri kira-kira dua tahun lalu.
Dalam pada itu, Azad berkata, gelaran ketua keluarga yang disandangnya turut memberikan impak kepadanya untuk lebih bertanggungjawab dan percaya kepada diri sendiri.
Jelas Azad, semua yang dilakukan hari ini adalah demi isteri, pelakon Eira Shazira dan anak sulung mereka, Amarra Sofea Rose yang kini berusia sebulan.
"Saya sudah tidak fikir perkara lain melainkan tanggungjawab kepada anak dan isteri. Faktor itu benar-benar telah mengubah saya menjadi seorang yang lebih kuat bekerja.
"Alhamdulillah rezeki semakin murah dan perjalanan karier saya semakin lancar dengan pelbagai peluang diberikan. Ini semua rezeki anak," katanya.
Dalam perkembangan lain, Azad bakal muncul dengan filem Gangster Celop arahan Ahmad Idham pada 21 Februari ini selain bakal terlibat dalam 10 projek filem terbitan Grand Brilliance.

Fizo, Fathia, Tasha ditaja ke Paris

Posted: 17 Feb 2013 08:43 PM PST



TIGA bintang muda berbakat besar, Fizo Omar, Fathia Latiff dan Tasha Shilla terpilih menjadi wajah selebriti Malaysia pertama yang menyertai penerbangan sulung syarikat penerbangan Eropah, Air France dari Kuala Lumpur ke Paris, Perancis pada 23 April ini.
Pemilihan ketiga-tiga pelakon itu ekoran komitmen jitu mereka bersama pengeluar barangan kemas bertatahkan mutiara, Rafflesia Pearl Malaysia. Untuk itu mereka akan diterbangkan ke sana bersama 20 peminat terpilih.
Berada di kota yang terkenal dengan seni bina Menara Eiffel selama lapan hari sudah cukup membuatkan Fizo, Fathia dan Tasha teruja.
Selain berpeluang menikmati percutian di lokasi tumpuan dunia itu, mereka mengakui penerbangan ke sana sedikit sebanyak memberikan peluang untuk melupakan tekanan seketika dan kisah kontroversi yang sudah melanda walaupun tahun baharu ini baru menjengah ke bulan Februari.
Fizo dedah kisah cinta
Bukan selalu pelakon kacak berusia 28 tahun ini yang cukup dikenali dengan nama Fizo Omar ini dikaitkan dengan kontroversi mahupun gosip cinta.
Namun, terkini ada satu isu yang membabitkan dirinya. Pelakon drama Surat Dari Langit Biru itu sebenarnya kini 'panas' dengan kisah mengenai kekasih baharunya yang pernah dibawa ke majlis persandingan pelakon Liyana Jasmay awal bulan ini.
Akui pemilik nama sebenar Wan Hafizol Wan Omar ini, hubungannya dengan gadis berusia 25 tahun yang dikenali dengan nama ringkas, Haas masih di peringkat perkenalan.
"Dia masih belajar dan hubungan kami baru mencecah usia dua bulan. Masih terlalu awal untuk saya katakan kami bercinta sebenarnya.
"Haas memahami saya dan dia seorang yang business minded serta mempunyai skil pengurusan yang bagus. Saya pula memerlukan seseorang yang boleh dipercayai untuk membantu saya menguruskan perniagaan sekarang.
FIZO menyasarkan mahu bergelar suami sebelum usianya mencecah 30 tahun.


"Saya terfikir sampai bila saya mahu sorok hubungan kami dan kebetulan pula dia merupakan kenalan Fathudin (suami Liyana Jasmay), maka kami memutuskan untuk pergi ke majlis itu bersama-sama. Perkara baik buat apa sorok," jelasnya.
Fizo bagaimanapun memberitahu, dia ingin menamatkan zaman solonya sebelum mencecah usia 30 tahun dan mengharapkan agar hubungan mereka berkekalan.
Sebelum ini Fizo pernah menjalinkan hubungan dengan seorang doktor sekitar bulan Ogos tahun lalu namun putus di tengah jalan ekoran percintaan jarak jauh.
Fathia kembali solo
Usai penggambaran telefilem Nur Sarah untuk slot Cerekarama TV3 yang sarat emosi, Fathia atau nama sebenarnya, Nur Fathia Abdul Latiff, 25, memberitahu, dia bakal beraksi sebagai tomboi dalam drama berjudul Diandra yang akan memulakan penggambaran tidak lama lagi.
Fathia yang baru menamatkan pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam pada itu turut mengakui, dia terpaksa menolak lamaran seorang kerabat raja yang ingin berkahwin dengannya.
"Memang saya dilamar oleh kerabat itu tapi saya terpaksa menolaknya kerana saya tidak mahu timbul masalah kemudian hari.
"Saya menjadikan ibu bapa saya sebagai idola, mereka cuma orang biasa dan yang paling penting, bahagia. Buat masa sekarang, saya kembali solo dan sedang mencari lelaki yang sesuai.
FATHIA mengakui dirinya masih tercari-cari insan bernama lelaki yang bakal menjadi pasangan hidupnya suatu hari nanti.


"Jika boleh, saya mahukan seseorang yang berwajah Melayu, kalau tak kaya pun saya tak kisah asalkan ada pendidikan," tutur pelakon drama Dalam Setiap Sujud yang kini sedang bersiaran di TV9.
Tasha-Neelofa sifar konflik
Sementara itu, Tasha Shila, 26, pula mengulas mengenai situasi semasa antara dirinya dan bintang kontroversi, Neelofa.
Ulas pemilik nama sebenar Natashasheila Abdul Razak mengenai perkara itu, hubungannya dengan Neelofa tidak pernah berdepan dengan sebarang masalah.
"Saya dan Neelofa memang tidak pernah berselisih faham pun sebelum ini, jadi tidak perlu mohon maaf. Situasi yang menampakkan kami seperti bergaduh timbul apabila orang sekeliling membuat spekulasi yang bukan-bukan," jelasnya.
Respons itu dibuat ekoran kenyataan Neelofa baru-baru ini bahawa dia sudah memohon maaf daripada Tasha ketika mereka bertembung buat kali pertama selepas sekian lama tidak bersua, ketika siaran program Wanita Hari Ini di TV3, dua minggu lalu.
Persengketaan hampir setahun itu sebelum ini dikatakan timbul gara-gara kelantangan Neelofa memberi komen tentang kemenangan Tasha Shilla dalam satu majlis anugerah tahun lalu.

Adele tetap jadi tumpuan utama

Posted: 17 Feb 2013 08:42 PM PST


ADELE dan Kelly Clarkson ceria pada parti Sony Music Grammy Reception baru-baru ini.


PADA tahun lepas, dia menjadi fokus utama pada majlis Grammy Awards ke-54 apabila mendominasi dengan menang menerusi kesemua enam pencalonan yang diraihnya termasuk untuk kategori utama, Album Terbaik Tahun Ini dan Lagu Terbaik Tahun Ini.
Ketika itu dan pada kebiasaannya jika menghadiri majlis-majlis rasmi, dia akan muncul dalam busana berwarna serba hitam - dipercayai supaya tubuhnya kelihatan kurang gemuk.
Namun tidak lagi pada majlis Grammy Awards ke-55 yang berlangsung pada awal minggu lalu. Pelantun hit, Set Fire to The Rain yang menjulang trofi Anugerah Persembahan Solo Pop Terbaik itu muncul menggayakan gaun pendek bercorak bunga-bungaan berwarna merah rekaan Valentino
Biarpun ada kritikan yang melabelkan Adele seolah-olah memakai busana yang diperbuat daripada kain langsir, namun itu semua tidak menghalang dirinya daripada menjadi tumpuan ramai - sama seperti pada majlis Grammy pada tahun lepas.
Chris Brown
Bukan sekadar peminat dalam kalangan orang biasa, tetapi para selebriti ternama yang merupakan tetamu VIP Grammy pada tahun ini, semuanya tidak melepaskan peluang untuk bergambar dengan Adele - seolah-olah dia adalah ikon pujaan mereka.
Jennifer Lopez dan Pitbull yang menjadi penyampai anugerah buat kemenangan Adele tidak melepaskan peluang untuk merakam kenangan menerusi foto ketika berada di belakang pentas.
Lain-lain bintang yang turut merakam kenangan menerusi foto dengan Adele termasuklah Kelly Clarkson, Beyonce, pasangan Justin Timberlake dan Jessica Biel serta tidak ketinggalan penyanyi bermasalah, Chris Brown.
Rupa-rupanya spekulasi sebelum ini mendakwa Adele dan Chris bergaduh pada majlis anugerah tersebut malam Ahad lepas tidak benar.
Spekulasi itu timbul ekoron foto yang dirakam menunjukkan seolah-olah Adele dan Chris sedang bertikam lidah.
Perkara itu dijelaskan oleh Adele sendiri menerusi Twitternya yang berbunyi: "Dalam foto tersebut, aku dan Chris Brown sebenarnya saling memuji antara satu sama lain."
TATU pada leher Adele menimbulkan spekulasi tentang nama anak sulungnya.


Balas Chris pula menerusi Twitternya: "Saya baca tulisan kamu (Adele) dan itu yang paling penting. Terima kasih kerana memberitahu tentang apa yang benar."
Isu gemuk
Kemunculannya dengan tatu yang tertulis huruf A pada lehernya juga telah menimbulkan spekulasi mengenai anak sulungnya yang dilahirkan empat bulan lalu. Adele merahsiakan nama anaknya itu tetapi spekulasi bertiup kencang bahawa nama anaknya itu ialah Angelo.
Dalam pada itu, isu bentuk badan Adele yang berisi ketika muncul pada Grammy kali ini turut menjadi isu apabila Fox News telah menjemput seorang pakar pemakanan, Dr. Karen Gilbert bagi membincangkan tentang perkara itu menerusi siaran secara langsung pada 12 Februari lalu - dua hari selepas majlis anugerah tersebut berlangsung.
Bukan sahaja Adele, tetapi pemenang Anugerah Album Vokal Pop Terbaik pada Grammy kali ini, Kelly Clarkson turut sama dikritik berkaitan isu yang sama.
Karen menegaskan: "Kamu (penonton) semua boleh meneka apa sahaja tentang dua wanita cantik ini (Adele dan Kelly Clarkson), tetapi anda tidak akan benar-benar tahu sejauh mana badan mereka sihat sehinggalah kedua-duanya membuat pemeriksaan dengan doktor perubatan."
Perkara itu bagaimanapun tidak dihiraukan langsung oleh Adele dan Kelly yang sebaliknya berseronok menghadiri parti Sony Music Grammy Reception di Bar Niniteen 12, Beverly Hills, California yang meraikan kemenangan kedua-dua mereka yang sama-sama bernaung di bawah syarikat rakaman Sony Music. Pada parti itu, Adele kembali menyarungkan busana berwarna hitam.

Parti sulit dadah diserbu

Posted: 17 Feb 2013 08:39 PM PST


SEBAHAGIAN peserta parti liar yang diberkas di servis apartmen Regalia Residence di Jalan Sultan Ismail semalam.


KUALA LUMPUR – Seramai 38 pengunjung dan seorang penganjur parti sulit dengan mengambil dadah serta minum minuman keras diberkas dalam serbuan di sebuah apartmen servis Regalia Residence di Jalan Sultan Ismail di sini semalam.
Ketika serbuan pada pukul 2.30 pagi, semua pengunjung berketurunan Melayu berusia 18 hingga 31 tahun berada dalam keadaan khayal dipercayai mengambil dadah sedang berseronok di tingkat 18 daripada 37 tingkat apartmen itu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, mereka yang ditahan membabitkan 26 pengunjung lelaki dan 12 pengunjung perempuan manakala penganjurnya pula seorang lelaki juga berketurunan Melayu.
"Bertindak atas maklumat ada parti sulit dadah disertai sekumpulan lelaki dan wanita, sepasukan anggota polis Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi menyerbu apartmen tersebut.
"Pemeriksaan di kediaman itu, polis menahan 38 orang termasuk penganjurnya yang ketika itu sedang khayal dipercayai mengambil ganja dan pil ekstasi sambil mendengar muzik kuat," kata beliau ketika dihubungi Kosmo! di sini.

Amah lambung bayi direman

Posted: 17 Feb 2013 08:37 PM PST

NINA mengucup Harez yang menjadi mangsa dera pembantu rumah.


KUANTAN – Seorang pembantu warga Indonesia ditahan reman sehingga hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes seorang bayi, Mohd. Harez Mohd. Zamri berusia empat bulan yang cedera akibat dilambung.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Aziz Ahmad berkata, pembantu rumah berusia 24 tahun itu sedang disiasat bagi menentukan tindakan lanjut atas perbuatannya.
"Suspek ditahan sejak 15 Februari lepas. Pihak polis masih menunggu laporan lengkap daripada pihak Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan (HTAA) berhubung keadaan bayi lelaki berkenaan," kata beliau di sini semalam.
Pada 15 Februari lalu, bapa bayi itu yang berusia 42 tahun membuat laporan polis berhubung kejadian pembantu rumahnya yang bertindak melambung bayinya di ruang tamu sehingga terjatuh dan mengalami lebam-lebam di tangan dan cedera di kaki kiri.
Lelaki berkenaan melihat kejadian itu menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) melalui komputer riba yang disambung dengan CCTV yang dipasang di rumahnya di Bukit Setongkol di sini.
Sementara itu, ibu bayi itu, Nina Suraya Sulaiman, 24, mengakui serik untuk mengambil khidmat pembantu rumah ekoran kejadian tersebut.

Gempar buaya berjemur

Posted: 17 Feb 2013 08:37 PM PST

GAMBAR buaya sedang berjemur dirakam seorang penduduk di tebing Sungai Tabuan di Kampung Tabuan Dayak, Kuching semalam.


KUCHING – Penduduk di Kampung Tabuan Dayak, di sini gempar apabila seekor buaya sepanjang dua meter berjemur di tebing Sungai Tabuan yang mengalir di belakang kediaman mereka semalam.
Dalam kejadian pada pukul 10 pagi itu, buaya itu dilihat timbul dan berjemur di tebing sungai tersebut oleh beberapa penduduk kampung sebelum berenang masuk dan menghilangkan diri ke dalam sungai yang jaraknya hanya lima meter dari pagar belakang rumah mereka.
Seorang penduduk, Rafer Mason, 50, berkata, penemuan itu mengejutkan kerana sebelum ini, mereka sering melalui kawasan berkenaan namun tidak pernah terserempak dengan reptilia tersebut.
"Seorang saudara saya tinggal di tebing sungai ini sejak 20 tahun lalu, tetapi ini merupakan kali pertama digemparkan dengan kehadiran haiwan tersebut.
"Kejadian ini menakutkan dia sekeluarga, lebih-lebih lagi pada musim hujan, ketika air sungai naik mendadak," katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Impi wakili negara dalam bola keranjang

Posted: 17 Feb 2013 08:36 PM PST

MOHD. AZLI bersama kakaknya, Rohaida (kiri) dan abangnya, Rothman di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Remaja yang dipercayai manusia paling tinggi di Malaysia, Mohd. Azli Hisham Abdul Ghafar memasang impian untuk mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa dalam sukan bola keranjang.
Menurut Mohd. Azli Hisham, 18, dia yakin ketinggian luar biasa yang dimilikinya boleh digunakan untuk menyumbang sesuatu kepada negara terutamanya dalam sukan berkenaan.
"Sesetengah orang menganggap ketinggian luar biasa yang saya miliki adalah satu kekurangan kerana sukar untuk melakukan sesuatu perkara seperti memilih baju, kasut dan sebagainya.
"Bagaimanapun, saya tidak menjadikan ketinggian sebagai halangan dan menganggap ia satu kelebihan untuk saya mencapai impian menjadi seorang pemain bola keranjang profesional satu hari nanti," katanya ketika ditemui selepas ditemu bual dalam rancangan Selamat Pagi 1Malaysia di Angkasapuri di sini semalam.

3,500 pasangan kahwin serentak

Posted: 17 Feb 2013 07:15 PM PST


BERIBU-RIBU pasangan menyertai majlis perkahwinan beramai-ramai oleh Gereja Penyatuan di Pusat Keamanan Dunia Cheongshim di Gapyeong, kira-kira 60 kilometer timur laut Seoul, Korea Selatan semalam. - REUTERS


GAPYEONG – Seramai 3,500 pasangan pengantin terdiri daripada ahli Gereja Penyatuan di Korea Selatan melangsungkan perkahwinan dalam satu majlis di sini semalam.
Majlis perkahwinan beramai-ramai itu adalah yang pertama diadakan sejak kematian pengasas ajaran Kristian berkenaan, Sun Myung Moon pada 3 September tahun lalu.
Myung Moon sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila mengakui dirinya sebagai penyelamat manusia sejagat.
Pengantin-pengantin tersebut datang dari seluruh dunia untuk disatukan di ibu pejabat Gereja Penyatuan di timur ibu kota Korea Selatan, Seoul.
Sebelum ini, perkahwinan serentak melibatkan puluhan ribu pasangan dengan sebahagiannya berlangsung di stadium-stadium telah menjadi ciri utama ajaran Gereja Penyatuan.
Acara perkahwinan beramai-ramai itu bermula pada awal 1960-an melibatkan 24 pasangan dengan 12 pasangan suami isteri turut memperbaharui ikrar perkahwinan mereka.
Jumlah mereka yang menyertai majlis tersebut terus meningkat dari tahun ke tahun.
Pada 1997, seramai 30,000 pasangan berkahwin dalam majlis Gereja Penyatuan di Washington, manakala 21,000 pasangan lagi disatukan di Stadium Olimpik di Seoul dua tahun kemudian.
Pasangan yang memilih untuk dikahwinkan oleh gereja tersebut perlu melafazkan sumpah bahawa mereka masih perawan dan perlu menahan diri daripada melakukan hubungan seks untuk sekurang-kurangnya 40 hari selepas bergelar pasangan suami isteri.

Polis Mesir dapat pistol baharu

Posted: 17 Feb 2013 07:14 PM PST

PROTES ganas yang sering tercetus di Mesir membuatkan anggota polis menuntut supaya mereka dibekalkan dengan senjata sepanjang masa untuk mempertahankan diri.


KAHERAH - Kementerian Dalam Negeri Mesir semalam bersetuju membeli 100,000 pucuk pistol 9mm baharu selepas anggota polis berpangkat rendah mengadakan tunjuk perasaan menuntut senjata yang lebih baik untuk mempertahankan diri mereka.
Pengumuman itu menamatkan tunjuk perasaan selama lima hari melibatkan beribu-ribu anggota polis.
Ia juga dilihat bakal mencetuskan provokasi daripada kumpulan hak asasi manusia dan aktivis yang mendakwa polis menggunakan senjata api ke atas penunjuk perasaan yang tidak bersenjata.
Sejak tiga minggu lalu, kira-kira 70 orang penunjuk perasaan maut.
Seorang pegawai keselamatan memberitahu, keputusan membeli pistol baharu itu dibuat selepas mengkaji rungutan anggota polis yang tidak mampu mempertahankan diri apabila berlakunya serangan ke atas pusat keselamatan dan balai polis. Mereka juga diserang sewaktu demonstrasi.
Kolonel polis yang telah bersara, Ihab Youssef berkata, anggota polis berpangkat rendah, dikenali sebagai afrad dan omana dibenarkan untuk membawa senjata ketika bertugas.
Mereka kemudian perlu memulangkan senjata tersebut selepas waktu kerja.
Namun, mereka kini menuntut supaya boleh membawa senjata sepanjang masa. "Keadaan akan menimbulkan masalah kerana mereka tidak terlatih dan tidak tahu menggunakan senjata ini. Lebih buruk lagi jika polis boleh menjadi samseng selepas tamat waktu kerja," kata Youssef.
Anggota polis mahukan gaji tinggi dan kondisi kerja yang lebih baik.
Mereka juga kecewa kerana polis boleh dibicarakan di mahkamah tentera.
Selain pistol, kementerian sama turut bersetuju untuk mengkaji kenaikan pencen, jumlah rumah, hospital dan klinik untuk kegunaan anggota polis di seluruh Mesir.

Pengguna FB boleh promosi status rakan

Posted: 17 Feb 2013 07:14 PM PST


FACEBOOK kini dilihat aktif mencari jalan untuk meningkatkan perolehan syarikat.


SAN FRANCISCO - Pengendali laman sosial Facebook kelmarin menyatakan, pihaknya kini membenarkan pengguna untuk membayar bagi memastikan mesej yang dihantar oleh rakan mereka mendapat lebih banyak perhatian.
Ciri itu akan diaplikasikan di seluruh dunia, kurang empat bulan selepas Facebook membolehkan pelanggannya membayar bagi memastikan status peribadi penting dilihat oleh rakan-rakan mereka.
"Kini, selain mempopularkan status anda sendiri, pengguna juga boleh mempromosikan status rakan seperti aktiviti mengumpul dana atau pengumuman mengenai apa jua sambutan," kata Facebook.
Antara status yang popular untuk dipromosikan adalah usaha rakan mengumpul dana bagi tujuan kebajikan, berpindah ke bandar baru, naik pangkat atau tamat belajar di universiti.
Ciri itu hanya boleh digunakan oleh individu yang mempunyai kurang 5,000 orang rakan dalam Facebook.
Facebook kini dilihat giat mencari jalan untuk menjana pendapatan selepas prestasi dalam pasaran saham kurang memberangsangkan.

Ribuan penduduk sertai perang tomato

Posted: 17 Feb 2013 07:13 PM PST


SEBAHAGIAN penduduk membaling tomato pada Festival Tomatina di pekan Quillon, Chile semalam.


QUILLON, Chile – Beribu-ribu penduduk dan pelancong dari seluruh dunia membaling buah tomato dalam acara perang tomato di sini kelmarin
Dikenali sebagai Festival Tomatina, acara tersebut mirip festival serupa yang diadakan pada bulan Ogos setiap tahun di Sepanyol.
Para peserta dilihat bermain dengan longgokan tomato dan membaling buah tomato ke arah satu sama lain di pekan Quillon, di selatan ibu kota Chile, Santiago.
Balingan yang berlangsung selama sejam itu menyebabkan pekan kecil itu dipenuhi warna merah buah tomato.
Festival yang bermula pada tahun 1940-an di Sepanyol itu diadakan sebagai simbolik kepada kerenah kanak-kanak yang bergaduh kerana berebutkan makanan.

Pertandingan memancing tawar 50,000 euro

Posted: 17 Feb 2013 07:12 PM PST


SEEKOR ikan dan batang pancing yang digunakan dalam pertandingan tersebut.- REUTERS


VILJANDI – Sebuah tasik beku menjadi gelanggang ribuan kaki pancing mencuba nasib mereka untuk merebut hadiah cepumas 50,000 euro (RM254,706) dalam satu pertandingan memancing di sini, selatan Estonia kelmarin.
Acara lumayan dikenali sebagai Festival Gold Fish Estonia yang diadakan di Tasik Viljandi itu disertai oleh 6,500 pemancing.
Namun, pihak penganjur berkata, tiada peserta yang berjaya menangkap ikan yang ditanda dengan hadiah cepu mas tersebut pada acara kali ini.
Pada minggu lalu, pihak penganjur melepaskan sejumlah 130 ekor ikan bertanda ke dalam tasik tersebut untuk festival tahunan itu.
Untuk memenangi hadiah cepu emas, peserta perlu menangkap sekurang-kurangnya 17 ekor ikan bertanda daripada tiga jenis berbeza dan ikan cepu emas tersebut.
Seorang pelajar kejururawatan berusia 28 tahun, Merike Maetaga memenangi pertandingan kali ini apabila dia menaikkan seekor ikan bertanda yang bernilai 3,000 euro (RM12,347).

Rihanna lancar koleksi fesyen peribadi

Posted: 17 Feb 2013 06:58 PM PST

DUA orang model memperagakan koleksi pakaian Rihanna di London kelmarin.


LONDON - Penyanyi sensasi, Rihanna melancarkan koleksi fesyen peribadi pertamanya untuk jenama River Island pada Minggu Fesyen London kelmarin.
Ia merupakan koleksi pakaian dan aksesori sulung penyanyi lagu Diamonds itu.
Pakaian-pakaian tersebut diperagakan oleh sekumpulan model di sebuah pentas bertingkat.
Kekasihnya, penyanyi rap Chris Brown turut muncul seketika di akhir peragaan untuk memberi penghormatan di pentas.
River Island yang ditubuhkan pada tahun 1948 memiliki lebih 300 buah butik di United Kingdom dan terkenal dalam kalangan pelanggan muda.
"Saya menyukainya. Ia seperti Rihanna, terdapat nama Rihanna pada semua koleksi itu," kata seorang model dari Los Angeles, Tolula Adeyemi pada majlis tersebut.
Penyanyi kelahiran Barbados berusia 24 tahun itu sebelum ini pernah bekerjasama untuk iklan jenama pakaian Armani Jeans pada tahun 2011.

muflis pada usia muda

Posted: 17 Feb 2013 06:55 PM PST



MENELITI satu persatu rak pakaian jenama baharu yang dipamerkan dalam gedung dan butik tempatan, tergerak dalam hati untuk memiliki koleksi yang sama.
Melihat rakan-rakan yang lebih dulu memakainya, membuat hati meronta-ronta mahu ikut serta.
Akhirnya, digenggam juga pakaian tersebut tanpa memikirkan wang yang semakin 'menipis' dalam simpanan.
"Kadangkala hajat membeli itu disimpan lama terutamanya untuk memiliki barangan gajet terkini sehingga sanggup berlapar," ujar Syafil Syazwan Jeffri, 24, sambil membelek tablet yang mendapat perhatian golongan muda masa kini.
Gaya hidup di luar kemampuan sering menjadi punca utama masalah kewangan yang semakin meruncing dalam kalangan remaja. Hal tersebut membawa kepada bebanan hutang pada usia muda akibat berbelanja secara berlebihan.
Perbelanjaan terbesar yang perlu dilunaskan Syafil setiap bulan ialah sewa rumah. Bayaran tersebut hampir separuh daripada gaji pokoknya. Walaupun berdepan dengan kadar sewa yang tinggi, dia terpaksa akur dengan pilihan itu memandangkan jarak rumah dan tempat kerjanya dekat berbanding rumah sewa lain.
"Selain itu, tanggungan bulanan juga merangkumi bil internet, telefon, kelab gimnasium dan perbelanjaan makan minum," jelasnya.
Berdasarkan kaji selidik yang dijalankan oleh Pusat Penyelidikan dan Sumber Pengguna (CRRC) mengenai perilaku dan tabiat kewangan golongan pekerja muda, 37 peratus daripada kelompok tersebut mengakui mereka berbelanja melebihi gaji bulanan.
Tahap pengetahuan yang rendah mengenai pengurusan kewangan menjadi salah satu punca kepada kemelut bebanan hutang golongan tersebut. Kajian CRRC membuktikan 47 peratus daripada mereka dibebani hutang serius.

BANYAK faktor perlu diambil kira oleh golongan muda yang baru bekerja sebelum membeli kereta.– Gambar hiasan


Kos sara hidup yang meningkat saban tahun turut menyumbang kepada masalah pengurusan wang golongan muda. Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada tahun 2009, pendapatan kasar bulanan isi rumah di kawasan bandar menjulang naik kepada RM4,705 berbanding RM3,357 pada tahun 1999.
Hal ini memberi gambaran bebanan dan tanggungan perlu dihadapi oleh golongan muda terutamanya graduan yang baru memasuki alam pekerjaan.
Urus kewangan
Adakah cara hidup generasi ini perlu disalahkan sepenuhnya atau perlu mengambil kira kos sara hidup yang semakin meningkat?
Dekan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Mohd Fauzi Mohd Jani, berkata, golongan muda perlu mengukur baju di badan sendiri ketika berbelanja dan menguruskan kewangan.
"Tidak dinafikan kos sara hidup yang tinggi mempengaruhi perbelanjaan bulanan seseorang. Ia ditambah dengan gaya hidup yang tidak selari dengan pendapatan.
"Namun begitu, ia berbalik kepada individu itu sendiri. Mereka seharusnya mengetahui cara pengurusan wang dengan bijak. Langkah yang salah dalam perkara ini menjerumuskan ramai golongan muda dalam perangkap muflis," ujarnya ketika dihubungi Kosmo!.
Tambah Mohd. Fauzi, salah satu punca utama berlakunya muflis dalam kalangan golongan muda adalah disebabkan penggunaan kad kredit tanpa had. Kebanyakan kes yang berlaku disebabkan kegagalan membayar balik hutang kad kredit yang tinggi dan di luar kemampuan mereka.
Mengikut statistik yang dikeluarkan Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI), jumlah pemuda berusia 34 tahun ke bawah yang muflis meningkat setiap tahun. Sebanyak 47 peratus daripada jumlah keseluruhan 4,568 kes baharu direkodkan sehingga suku tahun lalu.
"Namun demikian, kita perlu mengkaji punca mereka menggunakan kad kredit. Ini kerana ada yang membuat kad kredit untuk melangsaikan bayaran perniagaan mereka sehingga menjadi muflis.
"Perkara ini perlu diambil kira dan pada masa yang sama, beberapa inisiatif harus dilakukan bagi membantu remaja yang muflis disebabkan masalah pengurusan wang dalam perniagaan," jelas Mohd. Fauzi.
Perancangan kewangan yang lemah dan kurangnya pengetahuan mengenai pengurusan wang menjadi faktor utama masalah hutang. Situasi ini menyumbang kepada masalah muflis yang semakin meningkat saban tahun.
Seramai 9,471 orang telah diisytiharkan muflis sehingga suku ketiga tahun 2012 mengikut statistik MdI.
Sejumlah 6,203 daripadanya diisytiharkan sebagai muflis akibat kegagalan menjelaskan hutang kad kredit. Ia menjadi kebimbangan kerana turut membelenggu sebilangan belia yang mempunyai tanggungan kad kredit dalam usia yang masih muda.

SYAFIL (kiri) mengakui dirinya terjerat dengan kos perbelanjaan bulanan yang tinggi.


"Hutang yang semakin meningkat saban tahun memaksa saya mencari solusi masalah kewangan ini," ujar pekerja sektor awam, Saida Akmar, 25, yang mula menggunakan kad kredit sejak tahun 2011.
"Walaupun sudah mengehadkan perbelanjaan sebanyak RM5,000 untuk sebulan, penggunaan kad kredit membuatkan Saida terleka ketika membeli-belah.
"Tidak dinafikan, semua yang berlaku kerana kesalahan sendiri yang tidak dapat menahan diri ketika berbelanja," keluh Saida.
Bahang kos sara hidup tinggi turut dialami oleh Nurliza Barhan, 25, yang berhijrah ke ibu kota untuk mencari peluang pekerjaan yang setaraf dengan bidang pengajiannya.
Bagi gadis kelahiran Miri, Sarawak itu, penyelarasan gaji bagi pemegang ijazah boleh mengurangkan masalah kewangan yang berlaku kepada golongan muda seperti dirinya.
"Apa yang saya lihat sekarang, gaji bagi lepasan ijazah tidak selaras di sektor awam atau swasta. Penyelarasan perlu dipertimbangkan memandangkan peningkatan kadar perbelanjaan saban tahun," ujar Nurliza ketika ditemui di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Penyelarasan
Mengulas isu tersebut, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa berkata, kerajaan sedang mengkaji untuk menyelaraskan tangga gaji penjawat awam berkelulusan ijazah yang kini berada di bawah gred 41.
"Perbincangan bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang dijalankan kerana keperluan untuk mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020," ujarnya.
Dilema yang membelenggu diri akibat bebanan hutang perlu diatasi secepat mungkin. Antara langkah yang yang boleh dimulakan adalah dengan mengikuti
proram-program motivasi dan kewangan seperti yang diadakan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) melalui Program Pengurusan Kredit.
"Sehingga Disember 2012, lebih daripada 207,997 orang telah mendapatkan khidmat kaunseling di AKPK. Pada masa sama, 85,994 orang daripada jumlah tersebut telah dibantu melalui Program Pengurusan Kredit," ujar Pengurus Bahagian Pendidikan Kewangan AKPK, Nor Akmar Yaakub, ketika ditemui di pejabat urusan AKPK.
Program yang dijalankan bertujuan untuk memupuk tabiat meminjam secara bijak sekali gus menggalakkan budaya pembayaran semula peminjam secara konsisten. Mengikut statistik AKPK, seramai 2,039 belia telah mengikuti program tersebut.

Nilai berbeza yoga Barat

Posted: 17 Feb 2013 06:55 PM PST


PARA pelancong Barat dilihat menyertai rutin yoga tradisional yang dilangsungkan sempena Festival Kumbh Mela di Allahabad, India baru-baru ini.


SHIVA REA yang dalam lingkungan usia 40-an membongkokkan badan mengikut ritma. Dia sebenarnya sedang melakukan senaman 'yoga berkuasa tinggi' yang sangat mengejutkan golongan pengamal yoga tradisional.
Sejurus pencipta tarian Yoga Trance yang penuh bertenaga itu baru sahaja selesai membuat demonstrasi senaman berkenaan di sebuah festival yoga di utara India. kira-kira 20 orang telah meninggalkan bilik itu.
"Ini bukan yoga, ia hanya pertunjukan. Namun, demi menjayakannya di California, mereka perlu melakukannya sebegini," ulas seorang guru yoga Austria, Florian Palzinsky, 42.
Sejak beribu-ribu tahun, yoga adalah mengenai ekspresi kawalan tubuh, pernafasan dan minda secara berperingkat.
Begitupun, kritikan terhadap aksi Rea di Festival Yoga Antarabangsa selama seminggu di Rishikesh secara tidak langsung menambahkan sebab perpecahan antara pengamal yoga sejati dan pelatih seni dengan inovasi baharu itu.
Rishikesh yang terletak di kaki bukit Himalaya menjadi lokasi terkenal di dunia apabila pernah menerima kunjungan kumpulan muzik The Beatles pada tahun 1968. Ahli kumpulan itu mempelajari cara meditasi daripada Maharishi Mahesh Yogi, sekali gus membantu mempopularkan idea kerohanian India.
Kini, beratus-ratus pelawat, kebanyakan daripada mereka adalah warga asing, mengunjungi tempat itu setiap tahun untuk menyertai festival tersebut. Mereka datang dari pelbagai negara di dunia membawa tikar yoga untuk mempelajari tentang pengawalan pernafasan, postur, membaca mantera dan mendapatkan maklumat nutrisi daripada pakar yoga.
Kelas-kelas bermula pada pukul 4 pagi dan berlangsung sehingga matahari terbenam.
"Yoga tidak mengalir dalam urat kita seperti ia dalam kalangan orang India. Jadi, saya datang sini untuk bermula daripada asas," kata guru yoga berbangsa Perancis, Juliette Allard, 38, yang menghadiri festival tersebut sejak tiga tahun yang lalu.
Guru sejati
Pakar nutrisi Jerman, Daniela Wolff, 50, berkata bahawa dia berasa amat gembira menyertai festival itu apabila dapat bersama guru-guru aliran tradisional India seperti Swami Yogananda berusia 103 tahun yang menyampaikan kursus pada setiap pagi tepat pada pukul enam.
PENGAMAL kesihatan Barat telah banyak mencedok pergerakan yoga dan dikomersialkan mengikut gaya hidup mereka. - Gambar hiasan


"Mereka sangat sejati, tidak menggunakan kata-kata mewah, tidak menggunakan muzik. Paling penting, mereka tidak perlu membuktikan apa-apa kepada sesiapa," kata Wolff.
Bagi guru yoga dari Jepun, Hikaru Hashimoto, warga Amerika sangat berbakat dalam mengembangkan yoga, membawa perubahan dan pelbagai gaya baharu yang mampu dibawa ke seluruh dunia.
"Tetapi India merupakan negara asal yoga. Asasnya bermula di sini," ujarnya.
Dalam pada itu, pengamal bukan konvensional yang turut menarik perhatian ramai pada festival itu ialah wanita berkulit putih dari Amerika, Gurmukh Kaur Khalsa. Nama asalnya ialah May Mary Gibson tetapi kini dia seorang penganut Sikh yang taat.
Khalsa memberi tunjuk ajar khas kepada bintang Hollywood seperti Madonna, Cindy Crawford dan Courtney Love mengenai Yoga Kundalini. Ia merupakan satu bentuk meditasi regangan yang memimpin peserta 'mencari cahaya dalam diri sendiri'.
"Semua orang menginginkan untuk berasa lebih baik dan menjadi lebih dekat kepada diri mereka sendiri. Itu adalah intipati yoga," katanya.
Tetapi Khalsa mengejutkan penonton yang mengambil bahagian dalam festival itu apabila kumpulannya menggenggam jari-jemari tangan dan melaung perkataan 'Hallelujah' selama 10 minit, sambil meliukkan badan masing-masing.
Ada sebilangan daripada mereka kelihatan menitiskan air mata manakala peserta lain kelihatan gembira selepas sesi itu. Begitupun, reaksi emosi mereka tidak menarik perhatian pengkritik.
"Saya mengamal yoga selama 20 tahun. Saya berasa pengetahuan saya masih cetek. Hari ini, yoga telah menjadi komersial, sedangkan ia sepatutnya menjadi satu pencarian falsafah dalam diri seseorang," kata guru yoga dari India, Kamal Deep Ohlan, 35.
Percutian pilihan
Sementara itu, Dharamshala, rumah spiritual di Tibet, adalah hentian wajib bagi kebanyakan pelancong yang mencari pilihan yang lebih daripada destinasi pantai dan istana lama.
Pesertanya boleh diatur untuk mengikuti ajaran khusus yang diadakan di kuil utama di bandar atas bukit. Ia menarik orang ramai yang lazimnya terdiri daripada sami-sami dan pelawat khusus.

TIGA warga Utah, Amerika Syarikat ini sedang berseronok dengan gaya yoga di kaki lima kediaman mereka.


Lokasi lain bagi penganut Buddha adalah Bodh Gaya yang bertempat di utara India, Bihar, tempat Buddha dipercayai mencapai pencerahan.
Swami Chidanand Saraswatiji, yang menjalankan salah satu pusat meditasi terbesar di India, Parmath Niketan Ashram di Rishikesh, tahu punca kedatangan begitu ramai orang Barat ke Asia untuk mencari ketenangan.
"Semua orang datang kerana mereka memerlukan keamanan dan kebahagiaan.
"Sejurus berada di sini, mereka mudah mendekatkan diri kerana Rishikesh adalah tempat lahirnya yoga. Di sini anda belajar kaedah untuk menjadi tenang," ujarnya.
Kemahuan dan peluang untuk menilai emosi diri sendiri telah dijadikan sebagai prospek niaga yang baik oleh Eric Grange, pengasas Oasis Voyages. Dia melabel dirinya sebagai satu-satunya agensi Perancis yang khusus dalam 'pengembaraan rohani'.
"Orang ramai tertekan kerana kehilangan tempat rujukan mereka di dunia. Pelancong kini tidak lagi mahu melayan kamera digital mereka, sebaliknya mahu memberi keutamaan melayan jiwa sendiri.
"Oleh sebab itu mereka ke sini. Asia adalah benua kecemerlangan rohani yang terhebat buat mereka," ujarnya.

Rekod pengalaman di bumi asing

Posted: 17 Feb 2013 06:54 PM PST

SELAIN Melodi Hati, Iwan sudah menghasilkan beberapa novel dan juga penulisan kompilasi bersama penulis lain.


OLEH kerana amat menghargai pengalaman luas ketika menuntut ilmu di Amerika Syarikat (AS), penulis Ridzuan Mohd. Ghazali atau nama penanya, Iwan Reaz, mahu berkongsi kisah tersebut melalui karya tulisannya.
Anak kelahiran Kajang, Selangor, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan di Temple University, Philadelphia, AS itu mengakui bahawa pengalaman mengembara ke bumi asing telah mendekatkannya pada budaya masyarakat di tempat berkenaan.
"Saya sering bersiar-siar di bandar New York. Berdasarkan pemerhatian, saya menceritakan semula kisah suka duka masyarakat di situ melalui novel saya yang bakal diterbitkan berjudul Goodbye New York.
"Saya juga ada bercerita mengenai Times Square, Central Park dan banyak lagi lokasi yang menarik di New York," katanya yang kini bertugas sebagai eksekutif latihan di sebuah syarikat agensi berita.
Berpeluang menjelajah ke banyak destinasi utama di AS antaranya seperti New York, Washington, New Orleans, Las Vegas, Los Angeles dan San Francisco, Iwan mengakui masih belum puas mengembara.
"Saya teruja menemui sesuatu yang tidak pernah saya lihat atau alami sebelum ini. Contohnya, apabila saya berada di lembah Grand Canyon, saya merasakan seperti berada di planet lain. Perasaannya sukar digambarkan. Ia membuatkan saya berasa tenang," katanya yang turut pernah melawat Turki dan Korea Selatan.
Datang ilham
Iwan yang juga ahli Kumpulan Karyawan Luar Negara mula berjinak-jinak dalam bidang penulisan selepas tamat peperiksaan akhir tingkatan dua. Sungguhpun begitu, Iwan hanya mula serius untuk menerbitkan buku pada awal tahun 2009 semasa berada di semester akhir sebuah kolej swasta.
"Saya merasakan satu kerugian sekiranya saya membiarkan sahaja ilham itu berlalu pergi. Jadi, saya kumpul kesemua idea itu ke dalam komputer riba dan menyusun jalan ceritanya. Akhirnya, terhasil novel Melodi Hati pada tahun 2009," kata Iwan.
Menambah lagi elemen pengalaman dan pemerhatian yang digunakan dalam menghasilkan sesebuah karya, Iwan mengambil contoh novel Hazim, Aizat dan Muzik yang menemui pembaca pada tahun 2011. Ia berlatarkan Philadelphia, bandar tempat tinggalnya sejak tahun 2009 sehingga 2012.
"Walaupun tidak pernah menjadi mangsa jenayah yang serius, saya garap suasana sebenar bandar ini ke dalam novel itu," ujarnya.
Penulis yang mengagumi karya Hilal Asyraf dan Ain Maisarah itu berkata, dalam menghasilkan sesebuah karya, dia akan menempuh tiga fasa iaitu sebelum, semasa dan selepas menulis.
IWAN banyak menghimpunkan jalan cerita berdasarkan kisahnya ketika menuntut di luar negara.


Sebelum mula menulis, Iwan akan merangka kertas cadangan supaya pihak penerbit tertarik untuk meluluskannya. Semasa menulis pula, Iwan menghadapi cabaran kental apabila perlu mengekalkan momentum penulisan supaya tidak terhenti sekerat jalan.
"Pengurusan masa yang baik amat membantu. Saya juga perlu mencari bahan rujukan dan sumber yang sahih agar jalan cerita menjadi hidup dan realistik," katanya yang baru sahaja menamatkan pengajiannya.
Berkongsi lagi pengalaman mencabar semasa penghasilan sesuatu novel, Iwan memberitahu, dirinya pernah keluar masuk balai polis di Philadelphia semata-mata mahu menemu bual pengalaman pegawai polis menghadapi situasi cemas dalam kes-kes jenayah.
Novel komik
Kini, Iwan dalam usaha merangka menghasilkan karya gabungan novel dan komik. Projek tersebut melibatkan sepupunya sendiri yang melakar komik mengikut jalan cerita yang disusun Iwan.
Iwan menjelaskan, matlamat penghasilan karya genre segar itu adalah bagi menarik minat pembaca dari golongan remaja lelaki. Sebagai pembaharuan dalam profil penulisannya, Iwan juga berminat untuk menghasilkan novel bergenre misteri dan suspens. Novel yang bakal diterbitkan itu sudahpun diberi judul Subway.
Selain gemar bersukan, Iwan juga meminati dunia perfileman dan pernah mengarah dan menghasilkan beberapa drama pendek sepanjang berada di luar negara. Antara karyanya yang boleh ditonton di laman YouTube adalah Auta Face, Nur Kasih @ Philly dan Identity HUM0851.
Iwan juga boleh dikatakan penulis pertama yang sudah mempunyai lagu tema hasil nukilan sendiri. Lagu tema, menurutnya, dihasilkan untuk melengkapi penerbitan novelnya.
"Syukur, lagu Itulah Impianku yang menjadi lagu tema novel Melodi Hati mendapat sambutan yang memberangsangkan," kata Iwan mengenai lagu yang pernah memasuki carta nasyid stesen radio IKIM.FM.
Iwan kini sedang dalam proses merakam lagu keduanya bertajuk Sedingin Salju. Kepada peminat Iwan, penulis ini boleh dihubungi melalui laman sosial Facebook di Iwan Reaz Ridzuan Ghazali; Twitter di Iwan_Reaz atau laman blognya, reazbest.blogspot.com.

'Misteri' seminggu cuti sekolah

Posted: 17 Feb 2013 06:53 PM PST

KEHADIRAN Azli mampu membuatkan sesiapapun ternganga mulut tatkala melihat ketinggiannya.


DIA percaya tiada yang luar biasa tentang dirinya. Menjadi pelajar ketiga tertinggi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paloh, Gua Musang, Kelantan, sosok ketinggiannya bukanlah suatu yang aneh pada hematnya.
Tapi itu dahulu, sebelum cuti sekolah Mac 2008 semasa Mohd. Azli Hisham Abdul Ghafar, 18, baru di tingkatan dua.
Usai cuti seminggu itu, seperti murid-murid yang lain, dia kembali ke sekolah tanpa menjangkakan apa-apa sehinggalah dia disapa seorang rakannya, Mohd. Izarani yang menyedari dia jauh lebih tinggi daripada sebelumnya.
"Eh, tingginya kau!" kata Mohd. Izarani dengan nada terkejut sebelum mengajaknya mengukur ketinggian dengan seorang pelajar tingkatan lima yang merupakan pelajar paling tinggi di sekolah pada masa itu.
Mereka berdua menemui pelajar tingkatan lima tersebut dan mendapati dia sudah sama tinggi dengan pelajar tingkatan lima itu. Ketinggiannya naik mendadak sehingga kira-kira 20 sentimeter!
Tapi, keadaan itu tidak kekal lama, Azli sudah mula 'dimahkotakan' pelajar tertinggi di sekolahnya sebaik melangkah ke tingkatan tiga. Dia tidak begitu mengingati berapa ketinggiannya pada masa itu.
Kini, ketika dia menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Jengka, Pahang, ketinggiannya terus melampai mencecah 2.05 meter (m) dan mengundang perhatian siapa sahaja terutama yang baru melihatnya.
AZLI perlu berhati-hati melangkah keluar dan masuk dari rumah atau kepalanya terhantuk ke alang pintu.


Kru Jurnal pada Rabu lalu melaporkan mengenai ketinggian Azli yang mampu mencabar rekod manusia tertinggi di negara ini setelah dijejaki seorang wartawan di Pahang semasa membuat liputan dalam satu program universiti berkenaan baru-baru ini.
Rekod manusia tertinggi di Malaysia yang disahkan Malaysia Book of Records kini dipegang oleh Sheikh Akmal Sheikh Imam, 17, yang mempunyai ketinggian mencecah 2.04m.
Mengimbau kembali ketinggian mendadaknya ketika di tingkatan dua itu, Azli yang mempunyai berat 90 kilogram itu juga kurang pasti apakah puncanya dia tinggi mendadak sedangkan seminggu cuti sekolah itu diisi dengan rutin biasa seperti kebanyakan murid sekolah yang lain.
"Tujuh hari cuti saya hanya banyak duduk di rumah, makan, tidur, tolong ibu kemas rumah. Itu sahaja. Saya pun tak tahu apa puncanya tapi selepas kawan saya tegur baru saya sedar tinggi saya naik mendadak," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Paloh 3, Gua Musang, baru-baru ini.
Meskipun tiba hampir tengah malam, Ibu bapa Azli, Abdul Ghafar Omar, 67, dan Halimah Kunju Muhamad, 56, yang sedang mengusahakan kedai makan turut mesra melayan kunjungan penulis dan jurugambar Rosni Masri seperti saudara sendiri.
Anak ketujuh daripada lapan beradik itu berkata, sejak kecil, dia paling suka makan makanan berasaskan gandum seperti roti canai.
Tambah Azli, dia tidak pernah merujuk ke hospital atau mendapatkan pandangan pakar mengenai ketinggiannya yang melampau kerana mempunyai kesihatan yang baik dan bersyukur tidak menghidap penyakit berbahaya.
"Saya tidak risau tentang ketinggian ini, orang lain yang risau. Bila saya nak lalu dan ada halangan di atas, mereka akan cepat-cepat kata 'tunduk-tunduk!'" katanya tersenyum.
Sejak mempunyai ketinggian luar biasa juga, Azli turut mengalami kerumitan dalam hidupnya.
Bukan sahaja terpaksa membengkokkan lutut sampai lenguh dalam perjalanan menggunakan kenderaan atau terpaksa melupakan katil di asrama dengan meletakkan tilam di lantai bilik dengan disambung tambahan dua bantal, tetapi juga untuk mendapatkan pakaian saiz XXXL dan selipar saiz 14.
"Kaki saya saiz 14, tapi selipar yang biasa saya jumpa saiz 11. Kasut saiz 14 susah juga hendak cari tapi masih boleh ditemui atau ditempah, tapi selipar?" kata pelajar Diploma Sains itu sambil menunjukkan kakinya lebih besar daripada selipar yang sedang tersarung.
Cuba membiasakan dengan pemandangan mata-mata terbelalak yang memandangnya dari atas ke bawah atau jari-jari telunjuk yang mengajak orang melihatnya, Azli pada awalnya rasa geram dan malu, namun kini memilih untuk ketawa.

KETINGGIAN Azli menjadikannya perhatian terutama di tempat awam.


"Memang sudah biasa melihat orang mendongak terkejut spontan melihat saya, terutama apabila pergi tempat baharu atau bertemu dalam keadaan terserempak.
"Misalnya dia keluar tandas, dan saya menunggu di depan pintu untuk masuk. Kanak-kanak biasanya akan terlanggar sesuatu setelah mata mereka berterusan melihat saya.
"Mat Saleh juga terkejut. Seorang lelaki Australia yang terserempak dengan saya di stesen keretapi di Jerantut baru-baru ini terkejut dan ketawa selepas melihat saya. Dan saya juga turut sama ketawa," katanya.
Namun, dia juga punya hati. Azli yang ingin menjadi seorang jurutera sedar dia perlu menerima hakikat ketinggiannya itu dan sanggup berdepan pelbagai kata sinis, jenaka atau ejekan orang di hadapannya namun tidak di belakangnya.
Dia boleh menelan apa jua gelaran yang diberikan kepadanya. Katakan apa sahaja, panjang, gergasi, galah, zirafah atau Great Khali (seorang ahli gusti yang tinggi dari India), tetapi berasa hati jika terdengar atau mendapat tahu orang mengumpatnya.
"Saya pun ada perasaan. Saya tidak kisah diberikan gelaran. Sekarang, saya juga boleh menerima apa jua yang orang kata di hadapan saya, tetapi saya akan berasa hati kalau orang mengata di belakang saya," ujarnya.
Meskipun Azli kini bagai selebriti segera, dia tetap seorang manusia yang mempunyai kisah luar biasa yang mengingatkan kita bahawa hidup ini kadang-kadang mengejutkan.

Cetusan segar pelajar fesyen UiTM

Posted: 17 Feb 2013 06:50 PM PST


PENERIMA Anugerah Rekaan Terbaik. Dari kiri Azmil, Nurul Diyana dan Farah Izyan.


INSPIRASI pop art yang mempengaruhi pesona rekaan seorang gadis yang berasal dari Ipoh, Perak menggamit perhatian khalayak penggemar fesyen yang menghadiri sebuah acara peragaan pada Januari lalu.
Lokasi istimewa iaitu White Box, Publika Solaris Dutamas, Kuala Lumpur itu akhirnya menjadi saksi hasil kreativiti Nurul Diyana Zainul membawa pulang Anugerah Busana Terbaik.
Begitupun, gadis tersebut mendapat saingat hebat daripada para pelajar tahun akhir jurusan Ijazah Seni Reka Fesyen, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam yang sama-sama menyertai acara itu.
"Tidak sia-sia pengorbanan sepanjang semester ini sehingga mendapat pengiktirafan tertinggi dalam kerjaya saya yang baru bermula ini," luahnya usai acara peragaan dan penyampaian anugerah.
Mengambil konsep ready-to-wear dengan lukisan bandar raya Kuala Lumpur, idea itu dilampiaskan ke atas material denim likra.
"Tercetusnya idea menggunakan bandar raya Kuala Lumpur adalah berlandaskan Tahun Melawat Malaysia yang bakal diadakan pada tahun 2014.
"Jika sebelum ini kita hanya dihidangkan busana-busana yang menggunakan landskap ibu kota negara luar, kenapa tidak kita zahirkan keindahan negara sendiri?," ujarnya.
Tidak mengetepikan unsur praktikal dalam rekaan, setiap busana ditampilkan dengan gaya ringkas dan bersahaja agar tidak menenggelamkan motif utama yang cuba ditonjolkan.
"Saya banyak mengaplikasikan teknik siluet era 60-an kerana tidak mahu terlalu selerak dengan unsur-unsur yang tidak perlu," jelasnya.
Ilustrasi terhasil merupakan lukisan tangan sendiri yang seterusnya menggunakan teknik cetakan digital bagi menimbulkan impak siluet yang diinginkan.
"Teknik tersebut memakan masa dan memerlukan sumber kewangan yang banyak kerana perlu teliti dengan hasil seperti dirancang. Proses tersebut agak rumit kerana cetakan perlu tepat pada kedudukan yang dimahukan.
"Jika berlaku kesilapan, proses tersebut akan diulang sehingga benar-benar sempurna. Namun, hasilnya amat memuaskan hati dan boleh dikatakan misi saya berjaya," ujarnya yang membelanjakan hampir ribuan ringgit untuk rekaan empat busananya itu.
Tambah Nurul Diyana, ibunya banyak membantu sepanjang usaha menyiapkan koleksi berkenaan.
"Ibu saya memberi motivasi dan dorongan ketika saya hampir menyerah dan berputus asa. Dedikasi istimewa kemenangan ini ditujukan buat ibu," luahnya.
Bermain elemen
Menurut Koordinator Fesyen, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, UiTM Shah Alam, Faizal Hamid, pertunjukan fesyen tahunan ini menggabungkan bakat, teori, rekaan dan teknikal serta kebolehan pelajar yang mengambil inspirasi daripada pelbagai sumber bagi menghasilkan koleksi mereka.
"Setiap rekaan mempamerkan kebolehan pelajar bermain dengan elemen garisan, tekstur dan perincian. Pada masa yang sama, mereka turut mengaplikasikan teknik draping, pleating, ilusi dan drama yang cuba memartabatkan fesyen sebagai satu hasil seni tulen," ujarnya ketika dihubungi Stailo.
Tambahnya, keupayaan dan bakat setiap pelajar dalam menghasilkan rekaan ulung mereka ini bagi memenuhi syarat program pengajian yang diikuti.
Kontra kepada persalinan chic Nurul Diyana, busana rekaan Azmil Mohd. Amin, 22, memberi penonjolan imej yang lebih berani dengan pemilihan warna hitam menjadi rona utama dalam koleksinya.
PANORAMA bandar raya Kuala Lumpur menjadi pilihan Nurul Diyana.


Mengambil inspirasi tindikan, Azmil mempamerkan kebolehan dalam mengolah besi-besi kecil sebagai aksesori signatur bagi melengkapkan gaya peribadinya.
"Melalui koleksi ini, saya mendapat inspirasi daripada isu semasa yang jika kita lihat membuat tindikan pada bahagian-bahagian tubuh bagi menonjolkan ekspresi diri.
"Saya cuba kaitkan semua permasalahan tersebut dalam koleksi kali ini," ujarnya.
Tambahnya, rona hitam melatari keseluruhan koleksi bagi menampakkan sisi misteri dan lasak bersesuaian dengan perjalanan ceritera sang pereka.
"Kesukaran paling getir pada saya adalah menyiapkan perincian-perincian yang menggunakan besi-besi kecil tersebut ditambah lagi fabrik yang digunakan memberi impak kepada idea secara keseluruhan," terang Azmil.
Penggunaan material seperti PVC, kanvas dan likra dapat dilihat pada empat busana rekaannya.
Persaingan sengit
Tidak menyangka koleksi yang dinamakan Body Piercing mendapat tempat kedua terbaik, Azmil melahirkan rasa kesyukuran kerana tidak menyasarkan untuk dinobatkan setinggi itu.
"Persaingan memang sengit kerana setiap pelajar mempunyai kekuatan yang tersendiri dan cuba menonjolkan kepakaran dalam menghasilkan rekaan yang menarik.
Kekuatan koleksi Azmil adalah melalui penggunaan bahan dan perincian yang berbeza jika dibandingkan dengan pereka-pereka lain. Selain itu elemen yang cuba diterapkan menjangkaui kebolehan seorang pereka amatur sepertinya.
Tahap profesionalisme yang wujud dalam diri setiap pereka-pereka muda tersebut amat membanggakan hingga ada yang melebihi kebolehan seorang pereka berpengalaman.
Inovasi rekaan dapat dilihat dalam rekaan Farah Izyan Suhaidi, 24, yang tampil dengan busana kreatif inspirasi tulang-belulang manusia. Elemen avant-garde menaikkan mood para penonton yang terpana dengan ketelitian pereka muda ini dalam mencipta rekaan mengagumkan.
Ciptaan unik Farah Izyan mencetus polemik baharu dalam dunia seni rekaan hingga diangkat antara terbaik dalam acara pertunjukan fesyen pada hari itu.
Tidak ramai yang mampu membawa elemen avant garde yang kelihatan menarik, namun percubaan Farah Izyan boleh dianggap berjaya hingga langsung tidak mempamerkan kejanggalan kepada si pemakai.
Unsur-unsur unik menjadi kegemaran pereka yang mengagumi rekaan Datuk Radzuan Radziwill dan Alexander McQueen kerana beranggapan ia lebih menonjol dan mencabar kemampuan seorang pereka.
"Saya merasakan masyarakat kini lebih menerima rekaan sebegini kerana kita semakin terbuka dalam menerima idea-idea baharu. Seperti juga rekaan saya yang memerlukan sedikit sahaja perubahan agar lebih selari dengan permintaan pasaran ready-to-wear," ujar pereka kelahiran Sungai Petani, Kedah itu.
Seperti pereka muda yang lain, Farah Izyan turut menyimpan impian untuk menjenamakan rekaannya ke peringkat yang lebih tinggi.
"Mungkin buat permulaan saya membuat rekaan ready-to-wear dahulu sebelum mengorak lebih luas dalam industri ini," terangnya optimis.

Kenali tubuh anda

Posted: 17 Feb 2013 06:50 PM PST


PEMILIHAN warnadan potongan yang bersesuaian dapat menyerlahkan aura kecantikan seorang wanita.


IMEJ bertudung tidak lagi menjadi sekatan buat para muslimah untuk tampil bergaya dengan persalinan yang menutup aurat berlandaskan syariat agama.
Penataan gaya yang bersesuaian perlu diambil kira oleh setiap wanita yang turut merangkumi pemilihan warna, corak dan saiz tubuh badan.
Mengenali tubuh badan sendiri amat penting bagi mendapatkan busana yang cocok dengan bentuk badan dan kelihatan cantik kala menyarungkan persalinan yang digayakan.
Stailo menemui dua perunding imej yang juga merupakan pemilik butik pakaian Muslimah iaitu, Hamshiah Hadzir dari butik Farniaa dan Azlia Idha dari butik Get Gorgeous, bagi mendapatkan pandangan mereka mengenai bentuk badan dan pemilihan gaya yang tepat.
"Setiap wanita mempunyai bentuk badan yang berbeza dan ia terbahagi kepada lima jenis iaitu epal, pir, pembaris, hour glass (jam pasir) dan inverted triangle (segi tiga terbalik)," ujar Hamshiah.
Ujar Azlia pula, berdasarkan bentuk badan tersebut, mereka perlu mencari gaya yang bersesuaian dengan tubuh.
"Mereka perlu menonjolkan kelebihan tubuh badan dan elakkan memberi penekanan kepada kekurangan pada bahagian anggota tubuh. Sebagai contoh, jika mereka mempunyai pinggul yang besar, fokuskan kepada bahagian atas dan pilih warna gelap pada bahagian tubuh," ujar Azlia. Mereka berdua ditemui ketika acara Style Fest Malaysia yang diadakan di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
1 Bentuk buah pir
Mereka yang memiliki struktur tubuh pear mempunyai saiz yang lebar pada bahagian pinggul dan ke bawah. Penumpuan pada bahagian atas adalah digalakkan untuk mengalihkan tumpuan bahagian tubuh yang ingin diselindung.
"Gadis dalam golongan ini perlu mengelak memakai busana dengan rekaan payung kembang. Mereka seharusnya memberi fokus kepada bahagian atas, sebagai contoh memakai tudung daripada rona-rona terang dan ceria." terang Azlia.
2 Bentuk buah epal
Kontra kepada bentuk pir, penekanan pada bahagian bawah perlu dititikberatkan oleh mereka yang memiliki bentuk tubuh ini. Pilih rona gelap untuk bahagian atas dan rona terang untuk paras bawah.
"Bertuahnya gadis dengan bentuk epal, mereka mempunyai bentuk kaki yang kecil. Oleh itu, mereka boleh memakai skirt potongan A atau seluar palazzo bagi menampakkan gaya lebih menawan," jelas Azlia.
3 Bentuk jam pasir
Mereka yang berada dalam kelompok hour glass (jam pasir) mempunyai potongan badan yang menjadi dambaan setiap gadis kerana ia merupakan struktur sempurna dan seimbang.
"Berikan apa sahaja bentuk dan rekaan kepada gadis berbentuk hour glass, mereka akan kelihatan cantik dalam persalinan tersebut.
"Sesuaikan dengan padanan warna tudung dan baju yang sedondon bagi menonjolkan sisi anggun," ujar Hamshiah.
4Bentuk segi tiga terbalik
Bentuk bahu gadis dalam golongan ini adalah lebih lebar berbanding bahagian bawah. Mereka mempunyai bentuk yang sedikit maskulin dan atletik.
"Mereka boleh memilih busana Muslimah yang mempunyai garisan menegak bagi memberi efek yang ramping dan kurus," jelas Hamshiah.
5Bentuk pembaris
Gadis bertubuh pembaris mempunyai saiz kelebaran yang sama dari atas hingga ke bawah. Pemilihan baju yang agak sendat dan mengikut tubuh adalah amat tidak digalakkan kerana kelihatan kurang menarik.
"Pemakaian aksesori dapat membantu dalam penampilan gadis bentuk pembaris. Antaranya memakai tali pinggang selain memakai baju berlapis bagi menampakkan efek tubuh sedikit berisi." tambah Azlia.

Ruang artis dan blogger pamer produk

Posted: 17 Feb 2013 06:47 PM PST

FARAH mencuri perhatian pengunjung wanita dengan koleksi hijab moden.


SUDAH menjadi kebiasaan, medan selera Rasta yang terletak di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur tidak putus-putus menerima kunjungan daripada pengunjung yang rata-ratanya dari sekitar Lembah Klang.
Pelbagai sajian istimewa terutama masakan kampung sehingga hidangan dari Barat merupakan salah satu daya tarikan pengunjung ke medan selera tersebut.
Penganjuran Femes Bazaar telah memberi satu lagi nafas baharu dalam menceriakan suasana di lokasi tersebut yang sering menjadi destinasi golongan muda untuk menjamu selera.
Bermula dengan penganjuran sulung pada 29 dan 30 Disember tahun lalu, sambutan yang diterima daripada pengunjung amat menggalakkan sehingga pesta jualan hujung minggu itu dilangsungkan buat kali kedua pada 2 dan 3 Februari lalu.
Pelbagai kelengkapan fesyen yang menjadi trend semasa dijual oleh sebanyak 60 peniaga yang aktif di laman Facebook.
Tambah menarik, barisan artis tempatan yang mempunyai label pakaian mereka sendiri turut terlibat dalam mempromosikan label mereka kepada peminat.
Fesyen terkini
Penganjur Femes Bazaar, Yusmarul Ariff Khusni, 27 memberitahu, bazar yang buat julung-julung kali diadakan itu mampu memberi idea kepada golongan muda mengenai hal ehwal fesyen terkini yang sedang melanda masyarakat muda dewasa ini.
"Pemilihan nama Femes Bazaar juga merupakan salah satu cara promosi saya kepada pengunjung. Dengan nama bazar yang menarik ini pasti mudah untuk golongan muda untuk mengingati bazar ini.
"Aktiviti seperti ini juga merupakan salah satu platform untuk peniaga dalam talian untuk menonjolkan diri mereka di khalayak ramai kerana mereka sememangnya mempunyai pengikut di laman Facebook," ujarnya ketika ditemui Kosmo! di bazar itu baru-baru ini.
Antara jenama fesyen tempatan yang popular di laman Facebook yang menyertai bazar tersebut ialah Fyfa, Cindy Colours, Garden Paisley, You, Me dan Shoes dan Colours In Hijab.

REKAAN jam tangan yang menjadi trend anak muda juga boleh dibeli di Femes Bazaar.


Tambah Yusmarul, fesyen yang ditampilkan pada setiap jenama bukan hanya untuk golongan muda, malah bersesuaian dengan pelbagai jenis lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak.
Koleksi peribadi
Bersesuaian dengan nama bazar itu, tidak lengkap jika ia tidak disertai oleh golongan artis terkenal tempatan. Ternyata ramai artis turut mempromosikan barangan keluaran mereka antaranya ialah Kilafairy, Sazzy Falak dan Faralyna Idris.
Bagi pengacara dan pelakon, Karl Shafek, tidak ketinggalan mempromosikan koleksi barangan miliknya untuk dijual kepada peminat.
"Ada pakaian saya yang hanya dipakai sekali turut dijual di bazar ini. Ini merupakan cara saya mengosongkan almari pakaian di rumah. Harga yang ditetapkan juga amat berpatutan jika dibandingkan dengan harga pasaran.
"Rekaan baju T kolaborasi saya dan pereka fesyen tempatan, Fairuz Ramdan, yang diberi nama Mistio Vintage juga menjadi produk terbaharu yang ingin saya kongsi bersama peminat," ujarnya.
KARL SHAFEK menjual koleksi pakaian, biskut cip coklat dan durian crepe.


Selain itu, Karl turut menjual biskut cip coklat dan durian crepe yang dihasilkan mengikut cita rasanya sendiri untuk sama-sama dirasai para pembeli.
Rekaan hijab gaya moden turut mencuri perhatian para pengunjung sebagai contoh jenama Garden Paisley.
Pemiliknya, Farah Adeelia, 22, memberitahu, penyertaannya dalam bazar tersebut membuka ruang kepadanya untuk mempromosikan jenamanya itu kepada pasaran yang lebih luas.
"Hijab dan pakaian jenama Garden Paisley menggunakan kain yang diimport dari luar negara. Sesuai dengan kualitinya, kebanyakan produk saya dijual pada harga RM25 ke atas," jelasnya.
Difahamkan, Femes Bazaar akan dilangsungkan buat kali ketiga tidak lama lagi. Sempena Hari Belia Negara yang bakal disambut pada 23 hingga 26 Mei nanti di Putrajaya, orang ramai boleh merasai kemeriahan di tapak Femes Bazaar yang bakal didirikan berdekatan Menara Ikhlas iaitu di sebelah Istana Kehakiman.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines