Ahad, 3 Februari 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Black kini tunangan orang

Posted: 01 Feb 2013 06:46 PM PST


FOTO Black di samping seorang gadis yang dipercayai tunangnya yang dimuat naik di laman Instagram miliknya.


SELEPAS sering dikaitkan kontroversi tentang hubungannya dengan wanita, akhirnya penyanyi Black yang popular dengan lagu Teman Pengganti kini bergelar tunangan orang.
Berita mengenai pertunangannya itu belum dapat dihidu oleh media.
Bagaimanapun, Black ketika dihubungi Kosmo! semalam enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai majlis pertunangan yang berlangsung pada Sabtu, 26 Januari lepas.
"Memang saya telah bertunang tetapi saya tidak mahu bercerita lebih lanjut mengenai siapakah tunang saya, majlis pertunangan dan tarikh perkahwinan kerana menghormati permintaan keluarga saya dan keluarga pihak perempuan," ujarnya.
Black bagaimanapun memberitahu, dia mungkin akan menamatkan zaman bujangnya pada tahun ini namun, belum ada tarikh tertentu lagi.
"Saya tidak mahu heboh bukan kerana nak sorok majlis pertunangan tetapi orang kata dugaan ketika bergelar tunangan orang ini agak berat.
"Ramai orang tahu saya sudah ada kekasih sebelum ini, tetapi yang menjadi artis saya seorang bukan keluarga dan keluarga tunang saya.
"Jika tidak ada aral melintang saya akan berkahwin dalam tahun ini juga. Waktu itu saya akan beritahu semua tentang majlis perkahwinan dan siapa bakal isteri saya. Jadi, saya harap dapat menghormati privasi diri saya," tutur Black mohon difahami.

Ana Raffali Tidak Akan Sorok Berita 'Berbadan Dua'

Posted: 01 Feb 2013 06:45 PM PST

Ana sendiri akan buka mulut jika ditakdirkan hamil kelak.
PETALING JAYA: Penyanyi dan komposer Ana Raffali berjanji untuk mendedahkan sendiri berita kehamilannya kepada khalayak jika dia ditakdirkan berbadan dua kelak.
Pemilik nama penuh Nur Hidayah Mohd Raffali, 28, ini berkata, teka-teki mengenai perkara itu sering diperkatakan sejak dia berkahwin hampir setahun lalu tetapi dia belum dikurniakan rezeki tersebut sehingga kini.
"Memang saya teringin sangat untuk mengandung. Siapa yang tidak mahu tetapi belum ada rezeki lagi.
"Kalau betul ada (hamil), saya sendiri akan berkongsi berita itu kepada khalayak sebab sudah banyak kali ia diperkatakan," luahnya ketika dihubungi mStar Online, Jumaat.
Ana berkata demikian sebagai respons kepada desas-desus kononnya dia dilihat berkunjung ke sebuah klinik, dipercayai bertujuan melakukan pemeriksaan kandungannya baru-baru ini.
Ana dan pengurusnya Ahmad Aznaim Abdullah, 31, bernikah pada 25 Februari 2012 di Masjid Al-Hidayah, Taman Melawati dekat sini.
Ana dan suaminya, Naim pada majlis pernikahan mereka pada 25 Februari tahun lalu.
Penyanyi lagu Tolong Ingatkan Aku itu berkata, dakwaan berkenaan adalah tidak benar walaupun dia dan suami terus berusaha dan berdoa agar dikurniakan anak secepat mungkin.
Mengenai kehidupan rumah tangga yang hampir mencecah setahun, Ana berkata, pengalaman bergelar isteri menjadikan dia insan yang lebih baik daripada sebelum ini.
"Banyak yang kami pelajari sepanjang setahun berkahwin. Kami semakin saling mencintai hari demi hari.
"Saya semakin sayang pada suami dan ia menjadikan saya insan yang lebih matang dan baik daripada semalam (sebelum ini)," katanya.
Beralih pada kerjaya, Ana berkata, dia kini muncul dengan lagu terbaharu berjudul Jauh Ke Syurga yang dipromosikan menerusi secara dalam talian sejak minggu lalu.
"Kita baharu buat pra pelancaran lagu itu sejak minggu lalu menerusi muat naik di laman YouTube.
"Insya-Allah, kalau diizinkan saya akan hantar radio dan minta bantuan rakan-rakan di sana untuk putarkan di stesen masing-masing," katanya yang mendedikasikan lagu ciptaan sepenuhnya itu kepada suami dan perkahwinannya.

Masyarakat Perlu Hormat Gelaran Diberi - Datuk Aznil

Posted: 01 Feb 2013 06:44 PM PST

Aznil menerima darjah kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (PMW) bergelar Datuk oleh Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah sempena Hari Wilayah Persekutuan.
PETALING JAYA: Seseorang yang menerima sebarang kurniaan daripada kerajaan mesti dihormati dan setiap individu wajar memanggil mereka berdasarkan kepada gelaran yang diterima.
Datuk Aznil Nawawi, 51, berkata, sesetengah pihak mungkin memandang remeh terhadap sesuatu gelaran tetapi sebagai individu, kita haruslah menanam sikap untuk menghormati setiap darjah kebesaran yang dikurniakan.
"Kita perlu hormat dengan gelaran yang diberikan dan tidak wajar memperlekehkannya.
"Sesuatu darjah itu adalah pengiktirafan yang tinggi dan tidak wajar sekiranya ada yang tidak menghormati penganugerahan tersebut," katanya yang dihubungi mStar Online, di sini, Jumaat.
Aznil dianugerahkan darjah kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (PMW) bergelar Datuk oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah sempena Hari Wilayah Persekutuan pada Jumaat.
Ditanya adakah panggilan nama Pak Nil yang digunakan selama ini akan bertukar mengikut anugerah yang baru diberikan, pengacara itu berkata dia tidak kisah dengan nama apa yang mahu dipanggil kepadanya.
"Tak kisah, panggillah saya apa-apa pun, tetapi biarlah kita menghormati individu yang memberikan anugerah tersebut.
"Bagi saya ini merupakan satu pengiktirafan yang besar daripada pihak kerajaan yang pernah diterima. Ia sebagai penyuntik semangat untuk saya bekerja lebih keras buat masyarakat menerusi bidang penyiaran yang saya ceburi," tuturnya.
Dalam perkembangan lain, Aznil menafikan khabar angin kononnya bakal mendirikan rumah tangga pada tahun ini.
"Saya tak terfikir pun untuk mendirikan rumah tangga pada usia ini, tetapi tidak menolak jika ada jodoh.
"Bagaimanapun, jika ada yang mahukan saya, mereka mesti terima dengan kesibukan kerjaya saya sebagai seorang pengacara.
"Tambahan pula dengan gelaran yang dibawa memberikan tanggungjawab besar buat saya kepada masyarakat," ujarnya.

Pemuzik Muda Tidak Guna Akal Untuk Berkarya - David Arumugam

Posted: 01 Feb 2013 06:43 PM PST

David (tengah) dan Mus (kanan) selaku ikon penasihat serta pengarahnya, Kudin Ramly ketika sesi temu ramah program terbaharu Sentuhan Ikon bermula 2 Mac depan di TV1.
PETALING JAYA: Vokalis Alleycats, Datuk David Arumugam berkata perubahan teknologi semasa menyebabkan kumpulan generasi muda tidak menggunakan akal dan kreativiti mereka sepenuhnya dalam berkarya.
David, 63, menjelaskan kecanggihan teknologi membuatkan pemuzik baharu mengambil jalan mudah ketika mencipta lagu berbanding kepayahan pemuzik lama.
"Mereka (pemuzik muda) tidak gunakan akal (kreativiti) sepenuhnya ketika hasilkan sesebuah lagu kerana sudah ada bantuan teknologi.
"Lain dengan keadaan kami dahulu. Proses buat sesebuah lagu susah dan terperinci, jadi kami mencurahkan kreativiti sepenuhnya," katanya ketika ditemui di Menara Star di sini, Jumaat.
David dan Alleycats merupakan salah seorang daripada tiga kumpulan yang dilantik sebagai penasihat program pencarian kumpulan iaitu Sentuhan Ikon.
Dua lagi kumpulan adalah May dan Lefthanded.
Program sebanyak sembilan episod itu bakal mempertandingkan sembilan kumpulan amatur dan akan ditayangkan bermula 2 Mac depan pada setiap Sabtu dan Ahad pukul 3 petang di TV1.
Mus yang mewakili May pula berkata, proses yang mudah dalam mencipta lagu hari ini menyebabkan kumpulan muda kurang menghargai karya mereka.
David terkilan lihat pemuzik muda ambil jalan mudah menghasilkan lagu.
"Proses mencipta lagu jauh lagi mudah dan cepat sehingga mereka kurang hargai karya yang dihasilkan.
"Jadi bagaimana lagu dan kumpulan hendak bertahan lama seperti kebanyakan kumpulan dan lagu lama?" katanya.
Ditanya mengenai komitmen terhadap program realiti terbaharu itu, Mus berkata, mereka akan membimbing sembilan kumpulan amatur ini pada aspek teknikal dan perniagaan muzik.
"Kita tidak mengajar mereka mengenai muzik kerana asas itu mereka sudah ada tetapi memperkemaskan lagi kemahiran mereka.
"Paling penting, mereka perlu dibimbing mengenai selok-belok perniagaan muzik dan mengekalkan sesebuah kumpulan," katanya yang turut dipersetujui David.
Dalam pada itu, pengarah program Kudin Ramly berkata, pencarian bakat baharu bagi kategori kumpulan dengan bimbingan artis profesional adalah julung kali diterbitkan dalam sejarah program realiti tanah air.
"Sebelum ini, memang ada banyak program pencarian kumpulan termasuk Rentak Juara di RTM juga. Tetapi ia hanya pertandingan dan berakhir selepas program selesai.
"Sentuhan Ikon adalah berbeza kerana kumpulan baharu ini mendapat bimbingan tiga penasihat yang berjaya dalam muzik.
"Malah, juara program ini juga dijanjikan kontrak rakaman bersama syarikat Interglobal, selain wang tunai," katanya.
Mus anggap muzik dan kumpulan muda sukar bertahan kerana lagu tidak dihasilkan dengan sepenuh hati seperti pemuzik lama.
Program ini menawarkan wang tunai RM50,000 kepada juara dan kontrak rakaman, RM30,000 (naib juara) dan RM15,000 (ketiga).
Sembilan kumpulan yang bakal bersaing dalam program ini dipilih daripada 18 kumpulan yang disenarai pendekkan.
Terdahulu, lebih seratus penyertaan dari seluruh negara dinilai menerusi penyertaan menerusi muat naik video di laman web rasmi www.sentuhanikon.tv. pada Januari lalu.
Pertandingan awal sembilan kumpulan ini akan diadakan di Panggung Anniversary dekat sini, manakala peringkat akhir di Dataran Merdeka pada hujung Mac depan.
Ia bakal diacarakan pelakon Dazrin Kamarudin dan Acong (Sweet Child) serta diadili tiga juri iaitu komposer Helen Yap, Datuk Mokhzani Ismail dan Othman Masri.
Maklumat lanjut, layari Facebook.com/sentuhanikon, @sentuhanikon (Twitter) atau @sentuhanikon (Instagram).

Eki n Rahman kembal i

Posted: 01 Feb 2013 06:41 PM PST


Ekin Rahman
Ekin ketika majlis pelancaran albumnya, baru-baru ini.
LAPAN tahun bukanlah jangka masa yang singkat, namun buat bekas peserta program realiti Akademi Fantasia musim ketiga, Ekin, penantiannya itu nyata berbaloi dengan terhasilnya buah tangan album pertama, Ekin Rahman-Satu Percaturan yang cukup bermakna.

Album terbitan Stadium First itu juga dikatakan satu titik permulaan buat anak kelahiran Sabah ini untuk mengembangkan bakat nyanyiannya di peringkat yang lebih baik.

Menurut Ekin, 28, album pertamanya itu mengandungi tujuh buah lagu baru yang berkonsepkan universal, di mana setiap satunya mengetengahkan genre yang berbeza seperti Satu Percaturan, Mencari Cinta, Ceritaku Dan Dia, Kekasih, Zapin Budi, Dengarlah Sayang dan Moment For Us.

"Mungkin ramai yang akan katakan album ini seperti rojak kerana ianya tidak fokus pada satu genre. Tetapi saya selesa dengan konsep ini kerana saya sendiri masih belum pasti selera pendengar sekarang.

"Lagi pun, ia memudahkan dan meyakinkan saya untuk menarik perhatian peminat jika buat persembahan kerana ia berlainan genre," jelasnya pada majlis pelancaran albumnya di Red Box The Gardens.

Tambah Ekin, pembikinan album pertama ini tercetus apabila pihak penerbit menawarkan peluang kepadanya setelah menjalinkan kerjasama melalui program Hari Belia Negara.

"Perbincangan dilakukan sekitar pertengahan tahun lalu setelah saya mengikuti beberapa siri persembahan untuk program tersebut.

"Alhamdulillah, proses pembikinan album ini berjalan baik dan siap sepenuhnya pada Disember tahun lalu," katanya yang turut terlibat sebagai penulis lirik menerusi lagu, Cerita Ku Dan Dia.

"Secara keseluruhannya, saya sangat berpuas hati dengan penghasilan album ini dilakukan dan secara jujurnya, saya sangat gembira kerana impian untuk menghasilkan album terlaksana," katanya.

Hampir berputus asa

Mengakui dirinya pernah berputus asa, Ekin bagaimanapun mula menyedari bakat nyanyiannya masih diperlukan setelah beberapa tawaran membuat persembahan diterimanya.

"Ketika itu saya bergerak sendiri dan tidak tahu mana arah tuju karier nyanyian saya sehingga berhasrat untuk meninggalkan kerjaya ini.

"Namun melihatkan undangan nyanyian yang tidak putus, saya sedar bakat saya masih diperlukan dan sejak itu saya berusaha mencari peluang yang lebih baik," katanya.

Menyentuh mengenai hubungan percintaan bersama kekasihnya, Yazer, 30, yang juga merupakan bekas pelajar Akademi Fantasia musim ketiga, Ekin memberitahu hubungan mereka masih lagi berjalan dengan baik.

"Kami masih lagi bercinta, namun perancangan untuk mendirikan rumah tangga masih belum dibincangkan secara serius memandangkan kami mahu beri tumpuan terhadap karier masing-masing terlebih dahulu.

"Jika semuanya sudah stabil, barulah kami akan mula memikirkannya," jawab Ekin.

Proton Saga FLX terima tiga bintang

Posted: 01 Feb 2013 06:40 PM PST


FLX
Proton Saga FLX
KENDERAAN sedan terkemuka di Malaysia, Proton Saga FLX diiktiraf tiga bintang oleh Program Penilaian Kereta Baru Asia (NCAP).

Keputusan pelanggaran pertama NCAP Asia diumumkan sempena hari terbuka NCAP Asia yang dianjurkan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros).

Sejak pengenalannya, model ini telah menerima pelbgai anugerah termasuk NST Car of The Year Best Value Compact Sedan Award dan Autocar Asean's Best Small/Mid Sized Sedan pada tahun lalu.

Pengerusi Proton Holdings Bhd, Datuk Seri Mohd Khamil Jamil berkata, kini sudah tiba masanya untuk merubah persepsi tentang jenama Proton sebagai kenderaan berkualiti tinggi dan mampu milik.

"Arah baru Proton adalah untuk mengetengahkan produk di semua peringkat dan menunjukkan komitmen bagi menyediakan perlindungan keselamatan terbaik kepada pengguna.

"Pengiktirafan ini ialah bukti kami memperbaiki kereta Proton dan Proton Saga merupakan kereta yang selamat di mana telah lulus penilaian program yang diiktiraf di peringkat antarabangsa," katanya.

Menurutnya, pengiktirafan ini bukan sahaja mengenai Proton, tetapi juga peranannya untuk meningkatkan lagi standard keselamatan industri automotif negara.

"Sebagai syarikat kereta nasional, kami akan terus memperbaiki produk bagi memenuhi keperluan dan kehendak pasaran hari ini. Bagaimanapun, segalanya tidak mungkin berlaku tanpa sokongan kerajaan dan badan terlibat seperti Miros.

"Kami memuji kewujudan kemudahan ujian kemalangan pertama di rantau ini, serta sokongan yang diberikan kerajaan.

Ia sekali gus menggalakkan pengeluar untuk menghasilkan kereta yang lebih baik dan selamat," katanya.

Fazley & Linda Onn perkenalkan resipi terbaru

Posted: 01 Feb 2013 06:36 PM PST


Linda Onn - Fazley
Linda Onn dan Fazley
JIKA dilihat sekarang, ramai golongan selebriti semakin bijak menggunakan bakat dan peluang yang ada untuk menceburi pelbagai bidang diminati seperti peniagaan dan sebagainya.

Ia juga seakan satu trend yang sihat buat golongan ini untuk memajukan diri dan meningkatkan taraf kehidupan mereka menjadi lebih baik.

Bagi penyampai radio Suria FM, Linda Onn, walaupun perniagaan makanan My Mom's Chiken Rice (MMCR) yang diusahakan sudah dikenali, namun itu bukanlah alasan buat dirinya untuk bergoyang kaki.

Malah, dia sentiasa berusaha mencari kelainan bagi memastikan perniagaan yang diusahakan semakin maju dan meningkat.

Begitu juga dengan juara MasterChef Selebriti, Datuk Dr Fazley Yaakob yang sentiasa mencari ruang mengetengahkan bakat masakannya supaya ia tidak terus terkubur.

Mencapai kata persetujuan bersama, dua selebriti ini berkolaborasi memperkenalkan resipi baru Fazley, Nasi Ayam Salai Lemak Cili Padi di restoran milik Linda, MMCR.

Linda buat pembaharuan

Penyampai radio dan pengacara, Linda Onn memberitahu, setiap tahun dia akan melakukan satu pembaharuan terhadap menu di restorannya bagi menarik pengunjung lebih ramai.

Bermula daripada perbualan kosong, Linda akhirnya bersetuju dengan idea yang diutarakan Fazley untuk memperkenalkan menu baru itu khas bagi restorannya.

"Segalanya bermula setelah kami bertemu di satu program hiburan, Mimpi Ke Bintang sebagai juri tetap.

"Sepanjang menjalani program tersebut, kami mulaerkongsi idea dan bersetuju untuk merealisasikannya bersama.

"Ini adalah satu langkah berani bagi saya untuk tampilkan kelainan di MMCR. Saya yakin dengan kebolehannya dan menu yang disediakan memang lazat dan sesuai untuk semua golongan masyarakat," katanya pada majlis memperkenalkan menu terbaru di restoran MMCR, Khamis lalu.

Tambah Linda, menu baru itu hanya boleh didapati di restoran cawangan di Ampang Point sahaja memandangkan ia restoran pertama dibuka sejak 2004 dan jumlah pengunjung yang ramai.

"Buat masa ini saya fokus mengembangkan perniagaan yang sedia ada terutamanya dari segi perkhidmatan dan kepuasan pelanggan.

"Saya juga sering mencari idea-idea baru untuk memastikan produk yang disediakan sentiasa segar dan tidak menjemukan pengunjung.

"Walaupun tidak mudah, namun saya percaya dan yakin dengan kebolehan yang ada untuk memajukan lagi perniagaan ini.

"Tambahan pula, keluarga tidak pernah putus beri sokongan dan semangat buat saya terus maju," ujarnya yang turut memiliki perniagaan jamu di Cheras.

Bakal tamat zaman bujang?

Tidak terlepas daripada tempias spekulasi liar, Linda Onn menafi kan dirinya bakal menamatkan zaman bujang dalam masa terdekat seperti yang tersebar sebelum ini.

Linda bagaimanapun menyifatkan khabar angin itu sebagai satu doa buat dirinya untuk bertemu jodoh yang sesuai.

"Walaupun apa yang disebarkan tidak benar, tetapi saya anggap itu sebagai satu doa orang ramai kepada saya untuk bertemu jodoh.

"Secara jujur, sebagai seorang wanita, saya sudah berusaha mencari pasangan, namun itu terlalu peribadi untuk saya kongsikan," ujarnya.

Sudah menjadi lumrah, jodoh pertemuan bukan urusan manusia dan Linda akui telah berusaha mencari jodohnya.

"Semua yang berlaku adalah ketentuan-Nya, sekarang saya telah berusaha dan selebihnya saya berserah," jelasnya.

Fazley & selera Minang

Atas permintaan peminat yang berhasrat untuk merasai sendiri resipi air tangannya, Datuk Dr Fazley Yaakob telah memenuhi impian tersebut dengan terciptanya menu istimewa, Nasi Ayam Salai Lemak Cili Api di MMCR.

Dibesarkan dengan masakan tradisi budaya Minang, Fazley akui itulah salah satu faktor dirinya memilih menu tersebut untuk diperkenalkan di MMCR.

"Menu itu adalah gabungan masakan Negeri Sembilan di mana ia dihidangkan dalam bentuk ayam salai bersama masak lemak cili api, sambal merah dan sambal terung hijau, sup serta beberapa ketulan nasi yang digumpal seperti bebola.

"Ini adalah salah satu usaha yang saya lakukan dalam memperkenalkan makanan Negeri Sembilan ke peringkat antarabangsa.

"Menu ini istimewa kerana hanya boleh diperolehi di restoran MMCR sahaja," katanya.

Menurut Fazley, setelah menjuarai pertandingan Masterchef Selebriti, ramai peminat yang membuat permintaan untuk merasa sendiri masakannya dan itulah salah satu punca tercetusnya idea untuk berkolaborasi bersama MMCR.

"Buat masa ini menu itu hanya akan diperkenalkan di MMCR dalam masa tiga bulan sahaja.

"Jika Linda berminat untuk meneruskan kolaborasi tersebut, perjanjian lain akan dilakukan.

"Buat masa ini, saya hanya anggap ini cuma satu percubaan.

"Dalam pada masa yang sama, saya sedang mencari beberapa restoran yang sesuai untuk memperkenalkan beberapa lagi menu ciptaan saya," katanya.

Terbit buku resipi

Dalam perkembangan lain, Fazley turut menghasilkan sebuah buku masakan bertajuk Dari Rembau ke Padang yang akan menemui pembaca, Jun depan.

Apa yang menariknya mengenai buku ini, selain memaparkan resipi-resipi menarik, dia turut menyediakan aplikasi video bagi pengguna telefon pintar.

"Boleh dikatakan ini adalah buku pertama di Malaysia yang menyediakan kemudahan seperti itu.

"Ia membolehkan pembaca melihat sendiri saya menyediakan masakan dalam bentuk video suara.

"Dalam buku ini, saya menampilkan 38 menu masakan tradisional Negeri Sembilan yang mungkin semakin dilupakan generasi muda," katanya.

Dalam perkembangan lain, Fazley bakal melancarkan muzik video single terbarunya bagi lagu Maaf Aku Mencintaimu.

Penyamun pura-pura baik hati

Posted: 01 Feb 2013 06:35 PM PST


Samun
Lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes samun ditahan bagi membantu siasatan.
KUALA LUMPUR - Seorang penunggang motosikal yang terlibat dalam kemalangan jalan raya mendakwa menjadi mangsa samun dua lelaki yang berpura-pura mahu membantunya, di Taman Sri Rampai, di sini, malam kelmarin.

Ketika kejadian pada jam 10 malam itu, mangsa yang mahu dikenali sebagai Wong, 20, dalam perjalanan dari rumahnya di Wangsa Maju ke pasar malam di Taman Sri Rampai.

"Sebuah kereta Proton Perdana melanggar saya dari belakang menyebabkan saya tercampak ke jalan raya di persimpangan lampu isyarat berhampiran pasar malam itu," katanya.

Wong yang bekerja sebagai penghantar mi berkata, pemandu berkenaan mahu menghantarnya ke klinik, tetapi dua lelaki yang tidak dikenali menaiki sebuah kereta Proton Iswara datang ke tempat kejadian dan berpura-pura menghulurkan bantuan.

"Dua lelaki itu memberitahu mahu menghantar saya ke klinik, sebelum salah seorang daripadanya merampas telefon bimbit jenis iPhone 4S.

"Lelaki itu juga memaksa saya berikan wang. Namun saya nekad terjun keluar dari kereta itu dan melarikan diri selama setengah jam dalam keadaan berlumuran darah kerana dikejar lelaki terbabit sebelum sampai ke Balai Polis Wangsa Maju," katanya.

Menurut sumber, anggota polis unit ronda bermotosikal berjaya mengesan kereta yang dinaiki salah seorang lelaki terbabit di Setapak Jaya, kira-kira jam 11 pagi, semalam.

"Lelaki berusia lingkungan 30-an itu mempunyai tiga rekod jenayah lampau berhubung kes samun dan dadah. Polis sedang mengesan seorang lagi lelaki bagi membantu siasatan itu.

"Mangsa cedera di lutut kanan, tangan dan dagu dipercayai akibat kemalangan dan terjun keluar dari kereta tersebut," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan mengesahkan kejadian itu memberitahu siasatan lanjut sedang dijalankan.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Karnival Karangkraf: Secara langsung TV Al-Hijrah

Posted: 01 Feb 2013 06:34 PM PST


 Al-Hijrah
Pengunjung karnival melihat selebriti TV Al-Hijrah, Chef Anuar Adam mengendalikan program Menu Alam.
TV Al-HIJRAH mengambil peluang dengan mengadakan rancangan khas pada Karnival Karangkraf 2013.

Penyertaan kedua TV Al- Hijrah kali ini mengutamakan konsep penghargaan kepada penonton dan peminat setia stesen televisyen berkenaan.

Pengurus Penjenamaan TV Al-Hijrah, Zulkarnaen Mokhtar berkata, pihaknya menampilkan adaptasi pelbagai rancangan pilihan bersiaran di TV Al-Hijrah.

Katanya, melalui aktiviti yang dijalankan sepanjang karnival, TV AL-Hijrah menampilkan barisan selebritinya untuk mengendalikan aktiviti serta beramah mesra dengan pengunjung.

"Kita beri peluang kepada penonton melihat secara langsung rancang-rancangan TV yang selalu bersiaran di TV Al-Hijrah.

"Ini satu penghargaan buat penonton setia kami dan kita memberi ruang untuk berinteraksi dengan selebriti kegemaran mereka," katanya.

Menurutnya, berdasarkan penga laman penyertaan di Karnival Karangkraf tahun lalu, TV Al-Hijrah mendapat sambutan meriah.

"Sepanjang hari ini (semalam) dari pagi hingga petang sambutan pengunjung semakin meriah pada setiap pengisian aktiviti.

"Kita menjangkakan sambutan lebih meriah pada hujung minggu. Kita mengalukan kehadiran pengunjung memeriahkan gerai kami memandangkan banyak aktiviti dan rancangan menarik disediakan," katanya.

Kematian wanita jadi misteri

Posted: 01 Feb 2013 06:32 PM PST


Muka depan Sinar Harian Edisi Selangor 2 Februari 2013
Muka depan Sinar Harian Edisi Selangor 2 Februari 2013
MARAN - Seorang warga emas ditemui mati di depan bilik air di rumahnya di Felda Ulu Jempol dekat sini dengan hampir keseluruhan badannya rentung kecuali bahagian kakinya.

Kematiannya itu menimbulkan misteri kerana siasatan awal polis mendapati tiada sebarang unsur jenayah berlaku.

Ini kerana tiada kesan pergelutan atau tanda-tanda rumah mangsa dipecah masuk oleh penjenayah.

Malah, polis turut menafikan punca kebakaran itu adalah disebabkan terkena kejutan elektrik.

Ketua Polis Daerah Maran, Pemangku Deputi Superintendan Sulaiman A Hamid berkata, mangsa berusia 72 tahun yang tinggal sendirian itu dijumpai oleh seorang pekerja kontrak kira-kira jam 9 pagi, semalam.

Menurutnya, pekerja berusia 20-an itu melakukan kerja ubahsuai rumah mangsa dan hanya mahu menghantar bahan binaan memandangkan cuti kerja pada hari kejadian.

"Mangsa ditemui terbaring dalam keadaan terlentang di hadapan pintu bilik air dan rentung termasuk pakaian kecuali dari bahagian pergelangan kaki.

"Siasatan awal mendapati tiada sebarang motif dan petanda kepada unsur jenayah malah barang kemas berupa gelang serta rantai masih berada bersama mayat tersebut.

"Tiada kesan bongkar di dalam rumah dan pecah masuk termasuk di bilik tidur serta tiada tanda pergelutan di kawasan mayat ditemui," katanya kepada Sinar Harian.

Sulaiman berkata, hanya langsir pintu bilik air di tempat mayat dijumpai sahaja yang terbakar sementara peralatan dan perkakas dapur lain tiada kesan terbakar.

Menurutnya, selain pasukan Forensik PDRM, pihaknya turut mendapatkan kerjasama daripada Forensik Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat serta khidmat Unit Anjing Pengesan K9 bagi membantu siasatan.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut akibat terbakar yang dipercayai berlaku antara jam 7 hingga 8 malam pada hari kejadian berikutan lampu dapur dan televisyen masih terpasang," katanya.

Apabila ditanya mengenai fenomena spontaneous human combustion (SHC) iaitu manusia terbakar tiba-tiba, beliau memaklumkan bahawa fenomena itu turut diambil kira dalam siasatan.

Norish Karman nafi rampas suami rakan

Posted: 01 Feb 2013 06:29 PM PST


FIGURA yang sejak akhir-akhir ini sering dilanda kontroversi sentiasa meraih sokongan padu daripada ahli keluarga dan peminatnya.


SEJAK kebelakangan ini nama Norish Karman tidak pernah lekang dengan kontroversi sehinggakan nama pelakon berbakat besar itu berjaya menghiasi kalendar penutup tahun 2012 menerusi artis yang paling banyak mencipta kontroversi.
Bermula isu anak bongsunya yang tidak diketahui identiti bapanya dan terbaharu, mengenai kes rampas suami kawannya sendiri.
Mengakui cerita-cerita tersebut lebih kepada menjatuhkan maruah dan mengaibkan dirinya, Norish terpaksa tampil menjelaskan kedudukan sebenar di sebalik cerita-cerita kurang enak mengenai dirinya itu.
Ditemui pada majlis solat hajat dan jamuan makan buat peminat-peminatnya di Majlis Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, semalam, Norish menjelaskan, kenyataan yang dilemparkan oleh wanita yang pernah dianggap kawan malah kakak sendiri itu membuatkan dirinya berasa terkilan dan sedih.
Menurutnya, disebabkan tuduhan yang tidak berasas daripada wanita itu, dirinya tidak lagi menerima tawaran berlakon sejak enam bulan yang lalu.
Ikuti temu bual Kosmo! bersama Norish selanjutnya.
Kosmo!: Selama enam bulan Norish tidak berlakon, apakah aktiviti yang anda lakukan?
NORISH: Walaupun saya tidak berlakon tetapi saya ada buat kerja lain seperti katering di rumah dan juga mengadakan ceramah motivasi jika ada jemputan.
Apakah perasaan Norish apabila sejak kebelakangan ini banyak cerita kurang enak mengenai diri anda timbul?
Bohong jika saya cakap tidak berasa sedih. Tahun 2013 baru bermula tetapi orang sudah cerita buruk tentang diri saya. Anak-anak saya sedang membesar dan membaca kisah saya. Namun, saya tahu siapakah yang menyebarkan cerita tersebut. Dia gunakan media untuk memburuk-burukkan saya
Siapakah orang yang dimaksudkan Norish itu?
Dia merupakan salah seorang daripada kawan saya sendiri, malah sudah dianggap kakak. Anak-anak dia seramai empat orang juga baik dengan saya. Saya boleh sebut nama dia tetapi saya tidak mahu dia dicerca orang nanti.
Jika dia kawan baik Norish kenapa dia menyebarkan cerita-cerita buruk tentang anda?
Dia iri hati sebab anak-anak dia baik dan sayang saya.
Ada khabar angin mengatakan wanita tersebut marah sebab Norish sebenarnya baik dan rapat dengan suaminya?
Saya rapat dengan mereka satu keluarga tetapi tidaklah sampai tergamak mahu merampas suaminya. Umur suaminya pun sudah 66 tahun. Dia yang berprasangka buruk terhadap saya.
Adakah Norish mahu mengambil tindakan terhadap wanita itu?
Buat apa saya mahu ambil tindakan. Dia bukan orang kaya dan banyak harta pun.
Jadi, kini bagaimana hubungan Norish dengan keluarga wanita itu?
Saya sudah kenal dia selama lima tahun. Bayangkan hubungan yang sudah seperti keluarga itu musnah begitu sahaja.
Boleh berkongsi lebih lanjut mengenai majlis solat hajat dan jamuan makan bersama peminat ini?
Alhamdulillah, walaupun banyak cerita buruk tentang saya tersebar, pe minat sentiasa di belakang menyokong saya. Disebabkan itulah, saya adakan majlis ini.
Bukan niat saya untuk menunjuk alim dengan berjubah dan mengadakan majlis ini tetapi ia adalah untuk bermesra dengan peminat dan juga pihak media. Selain majlis seperti ini, saya juga ada menganjurkan aktiviti karaoke dan boling bersama peminat.
Apakah perkembangan kini terbaharu Norish?
Saya sekarang sedang sibuk dengan konsert jelajah melalui album baharu saya yang berjudul, Terus Melangkah. Minggu lepas saya sudah berada di Johor dan Singapura. Minggu ini pula saya akan ke Sabah dan seterusnya ke Melaka dan beberapa lokasi lagi.
Bagaimanakah pula dengan dunia lakonan?
Saya rindu dan masih ingin berlakon jika ada tawaran.

Persoalan di sebalik penahanan

Posted: 01 Feb 2013 06:28 PM PST


IRWANSYAH dan Zaskia dikatakan belum sempat memasuki kediaman Raffi ketika mereka berdua ditahan Badan Narkotik Nasional Indonesia.


TARIKH 28 Januari lalu pasti menjadi detik hidup yang paling tidak dilupakan pasangan selebriti terkenal Indonesia, pelakon Irwansyah, 28 dan isterinya, penyanyi Zaskia Sungkar, 23. Penangkapan mereka berdua sangat menggemparkan industri hiburan Indonesia dan tidak kurang juga di Malaysia.
Ini kerana Irwansyah dan Zaskia bukan nama asing dalam industri lakonan dan nyanyian. Segalanya bermula apabila Irwansyah dan Zaskia mengunjungi parti anjuran rakan artis iaitu pelakon kacak, Raffi Ahmad di kediamannya yang terletak di Lebak Bulus, Jakarta Selatan.
Raffi, 26, sebelum ini cukup dikenali sebagai kekasih muda penyanyi Yuni Shara, 41, yang juga kakak kepada penyanyi tersohor, Krisdayanti sebelum ikatan cinta yang berlangsung selama tiga tahun akhirnya terlerai pada hujung tahun lepas.
Dalam kejadian Ahad lalu itu, kediaman Raffi telah diserbu sepasukan anggota Badan Narkotik Nasional (BNN) Indonesia pada waktu subuh selepas mendapat maklumat terdapat pesta dadah di situ.
Hasilnya, 17 individu yang berada di dalam rumah tersebut - 13 lelaki dan empat wanita telah ditahan serta merampas sejumlah dadah dipercayai jenis ganja dan pil khayal di tempat kejadian.
Empat daripada 17 individu yang ditahan itu merupakan selebriti iaitu Raffi, Irwansyah, Zaskia dan Wanda Hamidah, 36, yang sebelum ini mencipta nama sebagai seorang model.
Laporan terbaharu media Indonesia menyebut, lima daripada 17 yang ditahan didapati positif dadah jenis ganja dan MDMA (ekstasi). Justeru, adakah keempat-empat selebriti terkenal termasuk dalam kalangan lima individu tersebut?
Bagaimanapun, pasangan Irwansyah dan Zaskia awal-awal lagi telah mengaku tidak bersalah. Namun mengikut prosedur, mereka terpaksa ditahan untuk BNN melakukan siasatan dan mengumpul bukti sebelum mereka boleh dibebaskan.
Ditahan untuk disiasat
Setelah ditahan subuh Ahad lepas, akhirnya Irwansyah dan Zaskia dibebaskan pada Selasa, 29 Januari lalu ekoran keputusan ujian air kencing yang dilakukan terhadap kedua-duanya didapati negatif.
Mereka disahkan bebas daripada sebarang pengambilan dadah.
Berita gembira itu diumumkan oleh ibu Zaskia sendiri, Fanny Bauty ketika ditemu ramah media Indonesia. Irwansyah dan Zaskia serta pembantu mereka, Furqi merupakan tiga daripada tujuh orang yang diibebaskan pada tarikh tersebut.
"Alhamdulillah, pihak BNN telah mengumumkan yang hasil ujian air kencing Zaskia dan Irwansyah sebagai negatif dan ternyata mereka bebas daripada sebarang penggunaan dadah. Saya juga yakin sebenarnya anak dan menantu saya memang tidak terlibat dalam perkara seumpama itu.
"Hakikatnya, kunjungan Irwansyah dan Zaskia ke kediaman Raffi adalah atas urusan kerja tetapi sayang sekali ketika kehadiran mereka ke sana, ia diserbu oleh pihak berkuasa," ungkap Fanny kepada portal berita, inilah.com.
WANDA HAMIDAH juga didapati bebas daripada penggunaan dadah.


Pengalaman hitam
Ternyata, ketika dibebaskan, Irwansyah dan Zaskia meluahkan rasa lega kerana boleh kembali berkumpul bersama keluarga.
Bagi Zaskia, kejadian dirinya dan suami ditangkap di kediaman Raffi itu merupakan pengalaman hitam yang tidak dapat dilupakan.
Ketika ditemui media Indonesia di kediamannya di Komplek Senayan, Bintaro, setelah dibebaskan pada malam 29 Januari itu, Zaskia menceritakan bahawa kehadiran dirinya di lokasi kejadian bersama suami dan Furqi pada pukul 5.30 pagi adalah atas urusan untuk menandatangani dokumen perniagaan yang dikongsi bersama Raffi iaitu syarikat penerbitan.
"Sebelum masuk ke kediaman Raffi, ada yang berbisik kepada saya agar jangan melangkah ke dalam rumah tersebut.
"Apabila saya bertanya kepada individu tersebut, dia mengakui bahawa rumah Raffi sedang digeledah BNN. Namun ketika itu, kelibat Raffi tidak kelihatan kerana dia berada di dalam biliknya.
"Selepas itu, terus sahaja telefon bimbit saya dirampas dan saya serta suami yang masih terkejut dengan apa yang berlaku turut ditahan oleh BNN," cerita Zaskia.
Sebagai rakan, Zaskia dan suami juga terkejut dengan tuduhan yang mengatakan Raffi menyimpan dadah dan pil khayal di kediamannya.
Membiarkan pihak berkuasa melakukan tugas mereka, Zaskia sempat berkata, walau apapun, Raffi seorang lelaki dan rakan yang baik.
Irwansyah dan Zaskia diperangkap?
Ibu dan bapa mana yang tidak sayang anak. Sebagai seorang bapa, Mark Sungkar juga yakin anak perempuan dan menantunya sememangnya tidak terlibat dalam kes dadah.
Ketika ditemu ramah media Indonesia, menegaskan seolah-olah ada sesuatu yang tersirat di sebalik kejadian yang telah tersurat itu.
Ujar Mark, dia melihat seperti ada kemusykilan dan keganjilan dalam kes serbuan yang melibatkan anak dan menantunya itu.
Ini kerana Irwansyah, Zaskia dan Furqi hadir ke kediaman Raffi untuk menandatangani kontrak bisnes syarikat penerbitan yang dijalan secara berkongsi oleh mereka selepas dihubungi oleh seorang individu.
Menurut Mark lagi, pihaknya kini sedang cuba mengesan individu tersebut.
"Jika benar anak dan menantu saya itu diperangkap, saya ingin cari individu yang menelefon Irwansyah.
"Ini kerana saya juga baru ketahui bahawa orang yang menelefon Irwan bukannya Raffi tetapi individu lain yang tidak diketahui identitinya," cerita Mark.
Tambahnya: "Apapun, saya bersyukur ketika nama mereka tidak diumumkan positif dadah ketika keputusan air kencing diumumkan tempoh hari."

Pegawai makan rasuah didakwa

Posted: 01 Feb 2013 06:27 PM PST

AMIR SHARIFUD-DIN berjalan keluar dari Mahkamah Sesyen Ipoh semalam.


IPOH – Selepas setahun jenayah rasuahnya dibongkar, seorang pegawai kanan Jabatan Perhutanan Negeri Perak yang menyembunyikan wang 'kotor' sebanyak RM720,000 di dalam lipatan telekung serta di beberapa tempat seperti di dapur dan ruang tamu rumah akhirnya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam.
Bagaimanapun, Amir Sharifud-din Aliman, 59, hanya didakwa atas 13 pertuduhan menerima rasuah daripada dua kontraktor balak berjumlah RM390,000 sejak tiga tahun lalu.
Difahamkan, tuduhan berhubung baki rasuah sebanyak RM330,000 akan didakwa selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempunyai bukti yang mencukupi.
Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas dia mendakwa tidak ingat dan tidak memahami kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Julie Lack Abdullah dan Hakim Madihah Hairullah.
Pada prosiding pertama di hadapan Hakim Julie Lack, tertuduh didakwa menerima RM100,000 daripada seorang kontraktor balak, Ismail Abd. Manas. Ismail mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasmi tertuduh.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di hadapan Kafe Bawang Merah, Jalan Suda Bahagia, Gerik dekat sini pada pukul 9 malam 3 Januari tahun lalu.
Bagi prosiding kedua di hadapan Hakim Madihah, Amir Sharifud-din didakwa atas 12 pertuduhan menerima rasuah daripada seorang kontraktor balak, Tan Chee Hee berjumlah RM290,000 di dalam bilik pejabat pegawai hutan Daerah Hulu Perak, Gerik dekat sini antara pukul 8 pagi hingga 5 petang 9 April 2010 hingga 21 Oktober tahun lalu.
Setiap pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Untuk kedua-dua prosiding itu, tertuduh yang ditahan pada pukul 10 malam 4 Januari tahun lalu di rumahnya di kawasan Gerik bukan sahaja tidak membuat sebarang pengakuan malah dia kelihatan terpinga-pinga hingga memaksa jurubahasa membacakan pertuduhan tersebut berulang kali.
Dia kerap mengatakan 'tidak ingat, tidak faham' selain memberitahu mentalnya tidak stabil.
Peguam Saw Hoe Teck yang mewakili tertuduh memberitahu, anak guamnya mengalami kecelaruan afektif dwikutub yang menyebabkannya mengalami perubahan emosi berepisod iaitu daripada terlalu gembira kepada terlalu sedih dan hilang semangat.
"Surat daripada Hospital Fatimah di sini mengesahkan keadaan itu. Saya mohon agar anak guam saya dihantar ke Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan untuk pemerhatian mental selama sebulan mengikut Seksyen 342(5) Kanun Tatacara Jenayah," katanya.
Kedua-dua mahkamah kemudian menetapkan 1 Mac depan untuk sebutan semula kes bagi membolehkan laporan mengenai mental tertuduh disediakan dan mengarahkan tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia serta-merta.
Sebelum prosiding, Amir Sharifud-din yang kini digantung kerja menjerit kepada wartawan supaya melaporkan kes itu dengan elok.
"Jika tidak, aku akan berdoa supaya kamu dilaknat Allah tujuh keturunan dan mendapat anak cacat," katanya.
Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, A. Hafizh Abu Bakar dan M. Kathan.
Pada 6 Januari tahun lalu, Kosmo! melaporkan SPRM menahan tertuduh dan merampas wang yang diragui statusnya berjumlah RM720,000 di dalam lipatan kain telekung, di dapur dan ruang tamu rumahnya di Gerik.
Laporan itu menyebut, SPRM turut menemui beberapa akaun saham amanah yang dinamakan atas nama keluarganya bernilai hampir RM4 juta.
Kegiatan itu terbongkar selepas SPRM menyoal siasat rakan tertuduh dan seorang tauke balak di Hutan Kuar, Pengkalan Hulu.

Pelacur internet Uzbekistan diberkas

Posted: 01 Feb 2013 06:26 PM PST


SEORANG pegawai imigresen memeriksa barangan yang dirampas daripada wanita Uzbekistan dalam serbuan di sebuah hotel di Nilai semalam.


NILAI – Taktik seorang pelacur warga Uzbekistan yang mengiklankan perkhidmatan seks dalam sebuah laman web berbahasa Cina terbongkar apabila wanita itu ditahan di sebuah hotel di sini semalam.
Pengarah imigresen negeri, Faizal Fazri Othman berkata, ketika ditahan wanita berusia 31 tahun itu didapati sedang melayan seorang lelaki di bilik hotel berkenaan. Lelaki itu dibebaskan selepas keterangannya diambil.
Katanya, aktiviti wanita itu dikesan sejak beberapa hari lalu selepas dia mengiklankan perkhidmatan seks di sebuah laman web dengan bayaran antara RM450 hingga RM500.
"Kita menerima aduan daripada orang awam yang curiga dengan iklan di laman web berkenaan sebelum kita membuat siasatan lanjut sehingga wanita ini berjaya diberkas.
"Dia sudah dua kali datang ke negara ini. Terbaharu, dia didapati masuk ke sini pada 24 Januari lalu sebagai pelancong," katanya di sini semalam.
Tambahnya, pelanggan yang melayari laman web berkenaan akan menghubungi wanita terbabit sebelum menetapkan hotel untuk bertemu.
Menurut Faizal, wanita itu bergerak aktif di Seremban dan Nilai kerana bimbang aktivitinya dikesan sekiranya menawarkan perkhidmatan di bandar besar seperti Kuala Lumpur.
"Kita turut merampas berpuluh-puluh kondom dan cecair pelincir yang digunakan untuk aktiviti persundalan tersebut," katanya.
Ujar Faizal, semakan mendapati wanita terbabit baru dua hari mendaftar di hotel dua bintang berkenaan. Dia juga cuba membuang kondom yang telah digunakan ke dalam mangkuk tandas tetapi gagal.
Wanita itu kini ditahan di Depoh Tahanan Lenggeng dekat sini untuk siasatan lanjut.

Aznil Nawawi terima gelaran Datuk

Posted: 01 Feb 2013 06:25 PM PST

TUANKU ABDUL HALIM (kanan) berkenan mengurniakan darjah kebesaran kepada Aznil di Istana Negara, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Selebriti dan pengacara nombor satu negara, Aznil Nawawi (gambar kecil) dikurniakan darjah kebesaran Panglima Mahkota Wilayah yang membawa gelaran Datuk daripada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah semalam.
Aznil merupakan salah seorang daripada 283 penerima anugerah darjah kebesaran, bintang dan pingat yang dikurniakan sempena Hari Wilayah itu.
Duta Khas ke India dan Asia Selatan, Datuk Seri S. Samy Vellu mengetuai senarai penerima pingat dengan dikurniakan Darjah Seri Utama Mahkota Wilayah yang membawa gelaran Datuk Seri Utama pada majlis yang diadakan julung-julung kali di Istana Negara, Jalan Duta di sini.
Menurut Aznil, anugerah yang diterimanya itu adalah pencapaian bermakna buat dirinya selama berkecimpung dalam dunia hiburan.
"Saya bersyukur dengan pengurniaan ini dan ia menjadi penyuntik semangat untuk terus melibatkan diri dalam dunia hiburan dan juga aktiviti kemasyarakatan," katanya di sini semalam.
Dalam pada itu, Tuanku Abdul Halim ketika bertitah pada majlis tersebut mahu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan berada pada kedudukan teratas dalam aspek daya saing global, mesra perniagaan dan indeks kebahagiaan.
"Sudah sampai masanya Wilayah Persekutuan setanding dengan bandar raya tersohor di negara maju," titah Seri Paduka.
Turut berangkat pada majlis itu ialah Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah.
Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Bangkai buaya gemparkan Sri Aman

Posted: 01 Feb 2013 06:23 PM PST


BEBERAPA orang penduduk tidak melepaskan peluang bergambar dengan bangkai buaya yang ditemui berhampiran Kampung Hilir, Sri Aman semalam.


SRI AMAN – Bangkai seekor buaya katak sepanjang hampir lima meter ditemui terdampar di tebing Sungai Batang Lupar berhampiran Kampung Hilir di sini semalam. Buaya itu dipercayai mati kira-kira sehari lalu sebelum dihanyutkan arus dan kemudian ditemui oleh penduduk kira-kira pukul 11 pagi.
Seorang penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Rabinie, 40-an, berkata, dia ternampak objek seperti sebatang kayu besar di tebing sungai, namun terkejut apabila mendapati ia bangkai seekor buaya. "Saya menghampiri reptilia itu secara perlahan-lahan kerana bimbang ia mengganas tetapi lega kerana haiwan itu sudah tidak bernyawa," katanya di sini semalam.
Menurutnya, berita penemuan buaya tersebut menarik perhatian penduduk kampung yang datang untuk melihat dan bergambar dengan bangkai haiwan itu. "Punca kematian buaya itu masih tidak diketahui kerana tiada kesan kecederaan pada badannya. "Penduduk membiarkan bangkainya begitu sahaja dan berharap ia akan dihanyutkan ke kawasan lain," ujarnya. Ia adalah bangkai buaya yang kedua ditemui mati di kawasan itu. Pada 30 Julai 2010, bangkai buaya sepanjang empat meter ditemui terapung di bawah jeti Dermaga Perdagangan Sungai Batang Lupar di sini.

Lelaki masuk jerat SPRM

Posted: 01 Feb 2013 06:22 PM PST


PEGAWAI SPRM (kanan) menyoal siasat suspek (kiri) selepas cuba memberi rasuah di Seremban semalam.


SEREMBAN – Seorang lelaki diberkas ketika cuba merasuah RM2,000 kepada pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk mengelak daripada dicekup kerana menjual diesel subsidi di pasaran gelap semalam.
Suspek berusia 40 tahun tersebut diberkas pada pukul 1.15 petang oleh pegawai Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) yang turut serta dalam serbuan itu.
Sumber berkata, sebelum diberkas, pihak KPDNKK telah menahan seorang pekerja suspek berusia 38 tahun ketika dia sedang mengisi bahan bakar tersebut ke dalam dua buah tangki yang boleh memuatkan 1,000 dan 3,000 liter diesel di sebuah stesen minyak di Mambau dekat sini.
Katanya, dua tangki tersebut dibawa dengan menggunakan sebuah lori tiga tan yang bertutup.
"Pihak berkuasa kemudian dibawa ke sebuah taman perumahan berhampiran untuk berjumpa dengan majikannya bagi 'menyelesaikan' kes tersebut.
LORI yang dirampas membawa dua buah tangki untuk diisi dengan diesel subsidi.


"Sebaik sampai, majikan lelaki itu cuba merasuah RM2,000 sebagai dorongan untuk tidak dikenakan tindakan. Pegawai SPRM yang menyamar kemudian terus menahan lelaki itu," katanya sambil memberitahu suspek telah menjalankan kegiatan haram itu sejak lebih setahun lalu.
Menurut sumber itu, suspek akan mengisi sekurang-kurangnya 4,000 liter diesel subsidi sehari sebelum dihantar ke sebuah stor dekat sini yang mampu menyimpan sebanyak 50,000 liter bahan bakar tersebut pada satu-satu masa.
"Suspek membeli diesel itu pada harga RM1.80 seliter tetapi dia akan menjual kepada pihak ketiga dengan harga antara RM1.95 hingga RM2 seliter untuk dihantar ke pasaran gelap," katanya.
Ujar sumber itu, suspek mendapat keuntungan mencecah RM40,000 sebulan. Ketika dicekup, dia datang dengan menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Ssangyong Rexton.
"Suspek hanya mengisi minyak pada waktu malam dan akan mengupah RM10 kepada pekerja stesen minyak untuk tutup mulut," katanya.

Protes terhadap Morsi berterusan

Posted: 01 Feb 2013 06:19 PM PST


PASUKAN polis antirusuhan menahan seorang penunjuk perasaan apabila pertempuran berlaku berhampiran Dataran Tahrir, Kaherah.


KAHERAH - Beribu-ribu rakyat Mesir terus membanjiri jalan-jalan di bandar raya ini sebagai tanda menentang Presiden Mesir, Mohamed Morsi dan kumpulan Ikhwanul Muslimin.
Penunjuk perasaan tidak mempedulikan hujan untuk berarak ke Dataran Tahrir dan Istana Presiden sambil melaungkan perkataan "Kebebasan!" dan "Morsi tidak sah!"
Beribu-ribu lagi berarak di pelabuhan Iskandariah dan Port Said yang menjadi lokasi pertempuran selepas sebuah mahkamah menjatuhkan hukuman mati ke atas 21 orang penyokong bola sepak berikutan insiden perkelahian di padang bola pada tahun lalu.
Kumpulan penentang yang terdiri daripada golongan berfahaman liberal dan berhaluan kiri itu mengadakan tunjuk perasaan semalam untuk menuntut satu kerajaan campuran. Mereka juga mendesak perlembagaan yang dicadangkan oleh golongan Islamis digubal semula.


PENUNJUK perasaan antikerajaan berarak di Dataran Tahrir, Kaherah semalam.


Tunjuk perasaan itu berlaku hanya selepas seminggu ketegangan yang menyaksikan hampir 60 orang terbunuh dalam krisis politik terburuk sejak Morsi dipilih sebagai presiden pada Jun lalu.
Sebelum ini, ulama terkenal, Imam Besar Ahmed al-Tayyeb mempengerusi dialog yang melibatkan ketua-ketua pembangkang, Islamis, kumpulan belia, bebas dan ahli-ahli gereja di ibu pejabat universiti Al-Azhar.
Hasilnya, mereka telah menandatangani satu dokumen Al-Azhar dan berikrar untuk menyokong dialog, selain mengutuk apa jua bentuk keganasan.

Ibu pejabat syarikat minyak Mexico meletup

Posted: 01 Feb 2013 06:17 PM PST


BANGUNAN ibu pejabat PEMEX rosak teruk selepas satu letupan besar berlaku kelmarin.


MEXICO CITY - Satu letupan besar menggegarkan ibu pejabat syarikat minyak milik kerajaan Mexico, Pemex kelmarin membunuh sekurang-kurangnya 25 orang dan mencederakan lebih 100 yang lain.
Beribu-ribu orang dipindahkan dari bangunan setinggi 54 tingkat terbabit. Letupan yang berlaku pada pukul 3.40 petang waktu tempatan itu meranapkan ruang tambahan yang bersambung dengan bangunan utama dan tiga tingkat bangunan berkenaan.
Presiden Mexico, Enrique Pena Nieto mengarahkan kerja-kerja menyelamat diteruskan. Punca sebenar letupan masih belum diketahui.
Seorang jurucakap agensi perlindungan awam memberitahu, wujud pengumpulan gas yang ketara di dalam bilik bekalan elektrik.
"Kami hanya ada dua minit untuk keluar dari bangunan. Bunyi letupan membingitkan telinga. Lantai juga bergegar seperti dilanda gempa bumi," kata seorang kakitangan Pemex, Astrid Garcia Trevino.

Mercun punca lebuh raya runtuh

Posted: 01 Feb 2013 06:17 PM PST



PASUKAN penyelamat mencari mangsa yang mungkin terselamat selepas sebahagian lebuh raya runtuh dan menyebabkan banyak kenderaan terjunam ke tanah.


BEIJING - Sebuah trak yang sarat membawa mercun untuk sambutan Tahun Baru Cina semalam meletup mengakibatkan lebuh raya bertingkat sepanjang 80 meter runtuh dan lebih 25 buah kenderaan terhumban dari ketinggian 30 meter.
Agensi berita tempatan, CCTV melaporkan insiden yang berlaku di Mianchi, wilayah Henan itu menyebabkan lapan maut dan 11 yang lain cedera selepas tujuh buah kenderaan berjaya dikeluarkan daripada runtuhan. Jumlah mangsa dijangka meningkat.
Letupan itu dikatakan begitu kuat sehingga menyebabkan cermin tingkap kawasan rehat pemandu trak berhampiran pecah.
Foto yang dirakam oleh agensi berita Xinhua menunjukkan tayar belakang sebuah trak berada di hujung lebuh raya yang musnah itu. Anggota bomba juga dilihat sibuk menyembur air ke arah beberapa buah kenderaan yang terbalik.
Sehingga kini, punca kejadian masih belum dapat dipastikan.
Insiden letupan disebabkan oleh mercun bukan perkara baru di China. Pada tahun 2006, satu bilik stor yang dipenuhi mercun di Henan meletup dan membunuh 36 mangsa.

Hujan air batu landa tujuh kampung di India

Posted: 01 Feb 2013 06:15 PM PST



DUA orang wanita sedang membersihkan bongkah air batu yang bertaburan di sekitar rumah mereka di sini semalam.


ANDHRA PRADESH - Seramai sembilan orang terkorban dalam satu kejadian ribut hujan air batu yang melanda beberapa buah kampung di selatan India, lapor akhbar Daily Mail kelmarin.
Ribut yang berlangsung selama 20 minit itu memusnahkan tanaman, rumah dan menyebabkan haiwan ternakan mati. Ia turut memberi implikasi kewangan yang buruk kepada penduduk terlibat.
Kejadian ribut hujan air batu itu berlaku secara tiba-tiba pada hari Selasa lalu di tujuh buah kampung. Ia pertama kali berlaku serta memberi pengalaman berbeza kepada para penduduk di kampung Chevella, Moinabad dan Shankarpally.
Pengarah Pusat Meteorologi Hyderabad, India, Dr. K. Sitarama berkata, ribut hujan air batu berlaku disebabkan oleh ribut petir yang kuat.
"Kejadian seumpama ini biasanya berlaku di satu-satu kawasan yang kecil sahaja," kata Sitarama.

Gigi taring berlapis jadi kegilaan wanita Jepun

Posted: 01 Feb 2013 06:14 PM PST


Agensi
LELAKI Jepun sukakan gadis yang mempunyai gigi taring berlapis.


TOKYO - Wanita di Jepun kini sanggup membelanjakan wang ribuan ringgit untuk memiliki gigi taring berlapis semata-mata mengikut trend terkini dan kelihatan cantik.
Fenomena gigi taring berlapis dikenali di Jepun sebagai 'yaeba'. Ia sangat disukai wanita Jepun kerana kaum lelaki menganggap wanita yang mempunyai gigi tersebut sebagai comel.
Menurut akhbar Japan Today, fenomena yang dicetuskan oleh beberapa kumpulan pop dan selebriti Jepun itu telah membuatkan imej gigi taring berlapis begitu popular di negara berkenaan.
Wanita Jepun dari segenap usia kini berpusu-pusu ke klinik gigi untuk memiliki gigi taring palsu sementara atau tetap yang disebut 'tsuke-yaeba' dan ditampal pada gigi asal mereka.
Doktor gigi mengenakan bayaran AS$390 (RM1,208) untuk prosedur berkenaan.
Ekoran populariti imej gigi taring berlapis itu, sebuah kumpulan penyanyi di Jepun telah menamakan diri mereka sebagai TYB48 (tsuke-yaeba48). Nama tersebut diberikan oleh seorang pengarah klinik gigi, Taro Masuoka.
Menurut Masuoka, 'yaeba' memberikan seseorang wanita itu wajah yang comel tetapi nakal.

Ekspresi video ajak penonton berfikir

Posted: 01 Feb 2013 06:13 PM PST



JIKA suatu masa dahulu, fenomena blogging pernah mewarnai perkembangan media massa di negara ini. Namun kini, peralihan minat dan medium komunikasi membuatkan trend itu turut berubah.
Berdasarkan perkembangan semasa, ia mengalami satu evolusi daripada karya penulisan kepada informasi berbentuk video dalam menyampaikan maklumat kepada orang ramai.
Bagi golongan anak muda, istilah vlog bukan suatu yang asing. Ia merupakan gabungan perkataan video dan blog.
Sebelum ini, laman web seperti Blogspot.com dan Wordpress menjadi pilihan golongan blogger khususnya untuk berkarya dalam bentuk penulisan, tetapi kini laman YouTube manjadi platform golongan yang digelar vlogger ini untuk memuat naik video mereka.
Setiap vlogger memiliki saluran mereka tersendiri di YouTube yang membolehkan orang ramai mengikuti sebarang entri vlog yang dimuat naik oleh mereka.
Setiap entri vlog akan memaparkan minat dan kebolehan pemiliknya untuk dikongsi bersama dengan pengunjung Internet yang lain.
Nama-nama seperti Nirman, Mozek, Amanwan, Mathlutfi, Maria Elena dan Anwar Hadi bukanlah suatu yang asing bagi mereka yang mengikuti perkembangan dunia vlogging di negara ini.
Bagi Nirman Kamal Juhanis, dirinya sudah berkecimpung dengan dunia vlogging sejak menuntut di universiti.
Dia berpendapat bahawa vlogging merupakan media baharu yang kian mendapat tempat di hati masyarakat berbanding blog.
"Orang sekarang sudah tidak berapa suka membaca blog. Mungkin sebab kalau blog, kena baca entri yang panjang. Tetapi jika video, ia lebih mudah. Orang hanya perlu tonton dan dengar.
"Menerusi cara sebegini, kita dapat sampaikan mesej dengan cara yang lebih kreatif dan mampu menarik orang ramai untuk menonton," katanya yang juga seorang vlogger yang popular menerusi saluran Mentol Pecah.
Bekas graduan Komunikasi Massa (Filem) dari Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing itu memberitahu, menerusi vlog, ia memberi lebih kepuasan kepada dirinya untuk berkarya kerana ia sejajar dengan minatnya dalam bidang videografi.
MASA lapang banyak digunakan untuk melakukan penggambaran video bagi saluran Mentol Pecah kelolaan mereka.


Perlu disunting
Menyentuh mengenai tempoh proses pembikinan, Nirman yang kini bekerja sebagai jurukamera video di salah sebuah syarikat produksi tempatan berkata, penghasilan sesebuah entri vlog sedikit rumit berbanding blog.
Ini kerana, menurutnya bagi menghasilkan sesebuah vlog, ia memerlukan subjek di dalam video untuk dirakam selain memerlukan masa bagi proses penyuntingan.
"Kebiasaannya, ia mengambil masa lebih kurang dua hingga tiga hari untuk menyiapkan sesuatu video bagi satu entri.
"Ia juga bergantung kepada durasi sesuatu video yang ingin dihasilkan serta kerumitan babak dalam lakonan yang ingin dipersembahkan," katanya yang menggunakan video kamera Sony HD ketika proses penggambaran dilakukan.
Menurut anak muda berusia 25 tahun itu, kebiasaannya dia akan melakukan penggambaran sikit demi sikit mengikut babak dalam dua hingga tiga hari.
"Jika dahulu ketika masih belajar, rakaman video untuk entri vlog dibuat ketika tidak ada kuliah, terutamanya pada cuti hujung minggu.
"Sekarang ini masing-masing sudah bekerja, jadi masa itu agak terhad untuk bagi komitmen sepenuhnya. Kami jadikan ia satu hobi pada waktu lapang," ujarnya yang juga pernah menghasilkan video paling pendek yang mengambil masa satu hari termasuk penggambaran dan juga proses penyuntingan.
Menyentuh mengenai penyuntingan kesan bunyi, Nirman lebih gemar menggunakan lagu-lagu runut bunyi daripada drama bersiri di televisyen.
Di sebalik populariti saluran vlog Mentol Pecah, Nirman tidak berdiri berseorangan.
Dia turut berkolaborasi bersama rakan baiknya, Ahmad Mudhakkir Zainal Ali, 24, ataupun lebih dikenali dengan panggilan Mozek dalam dunia vlogging.
Jika Nirman lebih kepada bidang teknikal membabitkan penggambaran, Mozek lebih kepada konsep jalan cerita dan peulisan skrip.
Bagi Mozek, entri vlog yang dihasilkan bersama rakan baiknya itu kebiasaannya mendapat cetusan ilham daripada ragam manusia di sekeliling mereka.
"Daripada situ nanti, kami akan hasilkan video yang mempunyai unsur humor tetapi ada mesej di sebaliknya.
"Kami lebih sukakan penonton berfikir melalui karya video yang banyak menggunakan gerakan fizikal berbanding verbal.
"Kami tidak berapa gemar bagi punchline joke yang orang ramai sudah tahu," ujar graduan Ijazah Sarjana Muda Pembangunan Permainan Video dari Universiti Teknologi Kreatif Lim Kok Wing.
Mozek yang bekerja sebagai penulis skrip di salah sebuah syarikat animasi tempatan memberitahu dirinya suka bereksperimen dengan menzahirkan sesuatu idea yang ingin diketengahkan kepada pelayar internet.
Sehingga kini, saluran Mentol Pecah telah memuat naik sebanyak 30 entri vlog yang telah ditonton ratusan ribu pelayar YouTube sejak ditubuhkan pada 2009.
MATLUTHFI ialah antara vlogger yang terkenal dengan video parodi dan humor serta pernah memenangi Anugerah Shout Aloud 2012 baru-baru ini.


Jadi perhatian
Menurut Mozek, dia selalu melakukan semakan dan meneliti komen-komen penonton di saluran Mentol Pecah dua hingga tiga kali seminggu.
"Perkara paling seronok dan puas apabila ada orang memberi komen dengan setiap entri vlog yang dimuat naik.
"Komen paling kami suka apabila orang beritahu yang mereka tidak berapa faham dengan video yang ditonton, tetapi mereka boleh tergelak dengan video tersebut.
"Ada juga yang hantar e-mel minta kami hasilkan sesuatu video permintaan mereka mengenai isu-isu semasa," ujarnya yang mengakui turut pernah mendapat kritikan mengenai entri vlog mereka.
Jika jumlah pelayar mencecah ratusan ribu, sudah pasti kelibat mereka ditempat awam menjadi perhatian umum.
"Kalau keluar pergi jalan-jalan, ada yang mengenali. Rasa terkejut juga tiba-tiba ada orang yang kita tidak kenal menyapa kita ketika di luar.
"Mereka mungkin yang pernah menonton vlog yang kami hasilkan," ujarnya yang menafikan tujuan utamanya terlibat dalam vlogging ialah untuk menjadi popular.
Sementara itu bagi seorang lagi vlogger, Mohd. Shazwan Zulkapli, 25, dirinya berjinak-jinak dengan dunia vlog, sejak tahun 2010 lagi.
Menurutnya, menerusi vlog ia bukanlah hanya sebagai medium bagi seseorang mengekspresikan karya dan bakat, malah ia boleh membuat seseorang menjana pendapatan menerusinya.
"Sekarang ini, YouTube di Malaysia sudah boleh buat duit menerusi iklan yang diiklankan di saluran kita.
"Saya pun sudah berdaftar untuk terlibat dengan projek yang dipanggil YouTube Partnership itu," katanya yang bekerja dalam bidang pemasaran video di sebuah syarikat pengeluaran komik tempatan.
Menurutnya, sebanyak 49 entri video telah dimuat naik olehnya sejak terlibat dengan dunia vlog.
Vlogger yang dikenali dengan panggilan Amanwan itu lebih selesa melakukan rakaman aksinya menggunakan kamera kompak.
"Sekarang ini, saya bercadang untuk menggunakan kamera digital refleks lensa tunggal (DSLR) untuk memperoleh kualiti gambar yang lebih baik," ujarnya yang merupakan graduan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang rekaan dalaman.

Senjata signifikan Kia

Posted: 01 Feb 2013 06:12 PM PST

NAZA Kia mengunjurkan jualan sebanyak 200 unit sebulan bagi model Rio.


JENAMA Kia di Malaysia sebenarnya baru sahaja bangkit daripada zaman kelesuannya. Jika sebelum ini, macam-macam masalah sering kedengaran.
Senario tu mula berubah sejak tahun 2011 apabila Kia Motors Corporation (Kia Motors) di Korea Selatan memberi masa selama tiga tahun untuk Naza Kia Malaysia Sdn. Bhd. (Naza Kia) memulihkan semula jenama itu.
Naza Kia kini dalam fasa akhir program pemulihan berkenaan. Tahun ini adalah tahun ketiga. Beberapa aspek penting telah digariskan hampir siap sepenuhnya.
Antaranya adalah menukar ganti barisan model sedia ada dengan produk-produk baharu, selain menggiatkan aspek pemasaran termasuklah menerusi media sosial.
Tidak lupa juga soal khidmat selepas jualan, terutama kebolehdapatan alat ganti dan penyatuan rangkaian pengedar kenderaan Kia.
Mahu tahu keberkesanan program berkenaan? Lihat sahaja statistik jualan Naza Kia pada tahun lalu. Sebanyak 12,309 unit telah menemui pemilik baharu.
Ketua Pegawai Operasi Naza Kia, Datuk Syed Abdull Hafiz Syed Abu Bakar berkata, syarikat melaksanakan pengukuhan kedudukan menerusi beberapa segmen utama seperti sedan dalam pasaran automotif tempatan.
Selesai sudah, sasaran logik seterusnya adalah segmen kenderaan kecil. Agenda itu diteruskan dengan kemunculan Rio.
Pengumuman mengenai ketibaan jentera itu sebenarnya bukanlah suatu perkara baharu. Berita mengenainya sudah digembar-gemburkan sejak tahun lalu lagi.
"Rio ialah salah satu model yang dinanti-nantikan di negara ini. Ia bakal memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan volum jualan Naza Kia pada tahun 2013," kata Syed Abdull Hafiz.
Rio merupakan kenderaan kompak generasi ketiga dalam segmen B. Ia pernah membuat penampilan sewaktu Geneva Motor Show 2011 di Switzerland.
Dua anugerah
Dalam tempoh singkat, Rio sudah menggondol dua anugerah. Pertama, International Design Excellence Award di Amerika Syarikat. Kedua, Product Design Award 2012 Red Dot Design Awards di Eropah.
Lebih signifikan lagi apabila Rio muncul sebagai kenderaan yang mencatat jualan global terbaik untuk Kia Motors. Jualan Rio setakat ini telah mencapai 466,826 unit.
Segmen B merupakan platform buat pengeluar dan pengedar kenderaan di negara ini memperkenalkan model asas masing-masing. Maka tidak hairanlah jika ia dilihat sebagai segmen yang paling kompetitif.
Pelbagai model baharu dan naik taraf telah diperkenalkan. Antaranya, Nissan Almera, Toyota Vios, Honda Jazz dan Proton Saga. Tidak ketinggalan Ford Fiesta, Suzuki Swift, Mitsubishi Mirage, Chevrolet Sonic, Perodua Myvi dan Hyundai i10.
Pemangkin kepada pertumbuhan segmen itu berkait rapat dengan peningkatan populasi golongan muda dan mereka yang baru sahaja melangkah masuk alam pekerjaan.
Tidak lupa juga faktor ketidaktentuan harga pasaran bahan api, aspek cita rasa, kuasa membeli serta elemen kesenangan (bagi pengendalian dan penggunaan dalam kawasan bandar).

KIA Rio disasarkan kepada golongan muda berusia 35 tahun ke bawah.


Transmisi Automatik
Rio hanya didatangkan dalam model hatchback dengan enjin petrol 1.4 liter. Transmisinya jenis empat kelajuan automatik dengan ciri manumatic (penukaran gear boleh dibuat secara manual).
"Varian Rio sedan dilihat sebagai tidak begitu sesuai untuk pasaran kita. Tiada faktor wow mengenainya," kata Syed Abdull Hafiz pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran Rio di Damansara, Selangor baru-baru ini.
Jika melayari forum-forum dalam talian dan blog, ramai juga mempersoalkan mengapa transmisi automatik empat kelajuan dan bukannya pilihan lain (manual) seperti yang terdapat dalam pasaran luar.
Keputusan yang dibuat itu ada justifikasi tersendiri. Memang benar ada segelintir individu yang mahukan transmisi manual namun volumnya tidaklah sebesar mana.
Pendek kata, transmisi manual kurang meraih sambutan berbanding automatik. Objektif perniagaan adalah memaksimumkan keuntungan, jika tidak itu bukannya bisnes.
Kia Rio ditawarkan menerusi dua varian iaitu EX dan SX. Sekali pandang, kedua-duanya hampir sama. Bezanya, SX ada beberapa ciri tambahan.
Ini termasuklah bumbung suria, rim aloi 17 inci, sistem pendingin hawa automatik dengan ciri ionizer, lampu kabus, sistem nyahkabus automatik, sensor hujan dan sistem kemasukan kunci pintar.
Enjin kedua-dua varian tetap sama. Kuasa maksimum yang boleh dihamburkan adalah 109PS @ 6,300rpm. Tork pula setinggi 137Nm @ 4,200rpm.
Rio didatangkan dengan beberapa ciri termaju seperti Hill-start Assist Control (HAC), Vehicle Stability Management (VSM), Glove Box Cooling dan enam beg udara.
Harga atas jalan termasuk insurans bagi Kia Rio SX ialah RM79,888 seunit. Sementara EX dijual pada harga RM73,888 sebuah. Jaminan yang diberikan adalah selama lima tahun tanpa had perbatuan.
Ini baru permulaan tahun 2013, tetapi Naza Kia sudah ada rancangan untuk memperkenalkan sekurang-kurangnya enam model baharu dan naik taraf. Sama-sama kita nantikan.

Pencabar BMW 3 Series!

Posted: 01 Feb 2013 06:11 PM PST


PENAMPILAN Lexus IS nyata semakin agresif.


PASARAN kereta mewah walaupun berada dalam kategori niche sebenarnya mempunyai persaingan tersendiri. Bahkan pasaran itu merupakan lubuk mencari duit kerana margin keuntungannya yang lebih tinggi.
Apa yang menghairankan, bagaimana mahal sekali pun harga sesebuah kereta, masih ada yang mampu membelinya. Lihat sahaja jumlah kereta-kereta mewah seperti BMW, Mercedes, Audi dan lain-lain yang setara menjalar di atas jalan raya. Pelik juga dari mana pemiliknya mempunyai duit sebanyak itu.
Namun sejak kebelakangan ini, pasaran kereta mewah yang banyak didominasi oleh pengeluar Eropah dihakis sedikit demi sedikit oleh pengeluar Jepun.
Lexus dan Infiniti yang masing-masing dimiliki oleh Toyota dan Nissan mempunyai produk yang bersaing secara terus dengan model-model mewah keluaran Eropah.
Kereta mewah Jepun mempunyai tarikan tersendiri. Ketahanan dan kelasakannya sudah terbukti dan diperakui oleh umum. Tambahan pula, kos penyelenggaraan kereta Jepun lebih murah.
Berdasarkan kepada laporan agensi berita Newspress, Lexus baru-baru ini mengumumkan model IS baharu yang dilihat sebagai pesaing utama BMW 3 Series.
Lebih menarik, ada dua varian iaitu IS 300h yang merupakan model hibrid penuh dan IS 250 yang dikuasakan oleh enjin petrol.
Kedua-dua varian tersebut menggunakan sistem pacuan roda belakang dan bakal dipasarkan dalam pakej F-Sport. Pemilik kereta mewah kebiasaannya tergolong dalam kategori yang sukakan pemanduan menyeronokkan. Menyedari hakikat itu, Lexus membangunkan IS supaya seronok dipandu, selain reka bentuk yang sangat menonjol.
"Setiap aspek pada IS baharu telah dibangunkan dengan fokus kepada prestasi, pengendalian, tindak balas yang tepat untuk pemandu dan komunikasi yang berkesan di antara pemandu dengan kereta," kata Ketua Jurutera IS, Junichi Furuyama.
Ruang Kabinnya mempamerkan kualiti Lexus, perincian dan ciri-ciri yang memberi fokus kepada pemandu. Bukan setakat itu, IS baharu juga mempunyai bonet belakang yang lebih mesra pengguna dan ruang penumpang belakang yang didakwa sebagai terbaik dalam kelasnya.
Dari segi luaran pula, IS diinspirasikan oleh model konsep Lexus LF-CC. Ia mempunyai gril trademark baharu Lexus dipanggil Spindle yang nampak begitu ekstrem dan menonjol. Apa yang ingin disampaikan adalah kuasa, elegan dan identiti jenama lebih kuat.
Dipandang dari sudut profail, IS nampak seperti ruang kabinnya ditolak ke bahagian belakang. Sementara garisan badan dari bawah meningkat naik ke atas iaitu ke bahagian kluster lampu yang memberi efek elegan dan dinamik.

RUANG kabin jentera ini memberi perhatian kepada aspek kemewahan dan praktikaliti.


Selain itu, bahagian depan menyerlah menerusi rekaan lampu baharu. Sementara lampu DRL signatur Lexus berbentuk L pula nampak seolah-olah ditanam di dalam bampar.
Rekaan dan hasil pada bahagian kabin nampak kemas serta elegan. Menurut Lexus, tempat duduk pemandu tambah selesa dengan sokongan lateral yang lebih baik.
IS baharu disasarkan untuk menjadi sebuah kereta dengan pemanduan terbaik dalam kelasnya, apabila setiap aspek pengendalian dibangunkan ke arah matlamat tersebut.
Antara kaedahnya adalah penggunaan kimpalan skru laser baharu dan teknik lekatan badan yang apabila digabungkan dengan kimpalan spot, ia akan meningkatkan lagi ketegaran badan.
Set suspensi depan double wishbone pula disemak semula. Sementara sistem suspensi belakang jenis multi-link pula adalah sama seperti generasi baharu Lexus GS.
Untuk pemandu, terdapat tiga seleksi pemanduan iaitu Eco, Normal dan Sport. Pemandu boleh memilih mana-mana mode yang disukainya sama ada untuk ekonomikal, keselesaan atau pun prestasi.
IS 250 dikuasakan oleh enjin V6 petrol berkuasa 204bhp yang memacu roda belakang. Sementara model hibrid IS300h pula mengabungkan motor elektrik berkuasa dengan enjin 2.5 liter yang baru dibangunkan.
Enjin tersebut dilengkapi sistem pancitan D-4S, Dual VVT-i intelligent variable valve timing dan sistem Exhaust Gas Recirculation dengan output kuasa 217bhp.
Lexus adalah jenama mewah yang penting untuk Toyota berada dalam setiap kategori masyarakat. Toyota mungkin berjaya meraih jualan pasaran kereta mewah, namun ia masih tidak segah jenama Eropah.
Persepsinya, walaupun berjenama Lexus tetapi ia masih berkongsi teknologi dengan Toyota. Ibarat membeli sebuah Toyota tetapi pada harga yang lebih mahal.
Benar ada perbezaan di antara Toyota dan Lexus, tetapi antara salah satu sebab jenama mewah Eropah kuat ialah produknya mempunyai karakter. Lexus perlu mencari dan mempunyai karakter tersebut.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines