Sabtu, 2 Februari 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Sharnaaz Tetap Nikah Shila Walaupun Dihalang Keluarga

Posted: 01 Feb 2013 03:42 AM PST

Sharnaaz akan terus menunggu restu daripada ibu bapa Shila untuk mengahwini kekasihnya itu.
PETALING JAYA: Aktor Sharnaaz Ahmad akan tetap berpegang kepada pendiriannya untuk menjadikan Shila Amzah sebagai isteri walaupun berkemungkinan cinta mereka mendapat halangan keluarga.
Pemilik nama penuh Sharnaaz Basir Ahmad, 28, itu berkata, dia akan terus menunggu respons positif daripada kedua ibu bapa Shila iaitu ND Lala dan Fauziah Sarman dengan penuh sabar dan hormat bagi melaksanakan niat suci itu.
"Saya masih berpegang teguh pada pendirian dan keputusan untuk melamar Shila walaupun tidak dinafikan ia seperti tidak mendapat restu orang tuanya," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, pada Jumaat.
Konflik terbaharu dalam hubungan cinta pasangan artis itu timbul apabila hasrat Sharnaaz untuk memperisterikan Shila, 23, ditolak oleh ND Lala.
Lebih memburukkan keadaan apabila usaha Sharnaaz untuk mengendurkan ketegangan menemui jalan buntu apabila ND Lala dikatakan mengelak untuk berkomunikasi dengan aktor itu.
Aktor filem Juvana itu berkata, dia tidak akan berganjak daripada hasrat untuk memperisterikan Shila sekalipun ditentang oleh semua pihak.
Shila meminta Sharnaaz bersabar dengan konflik yang berlaku dan menanti kepulangannya dari China kelak.
"Kalau semua orang tak suka (untuk berkahwin), saya tidak peduli sebab yang hendak kahwin adalah saya dan Shila, bukannya saya hendak kahwin dengan orang lain.
"Berat dan payah macam mana pun, saya tetap bersabar dan tunggu sehingga keadaan beransur baik, insya-Allah," katanya.
Ditanya adakah dia mendapatkan pandangan orang tuanya berhubung konflik itu, Sharnaaz berkata, ibu bapanya turut berkecil hati dan kecewa dengan situasi tersebut kerana dia dan Shila sudah saling mengenali dan berkawan dengan serius.
"Kalau diikutkan orang tua saya memang sangat kecewa dengan sikap ibu bapa Shila tetapi kami tetap perlukan restu dan 'lampu hijau' mereka kerana ini membabitkan soal kahwin dan bukan perkara kecil.
"Shila ada berpesan sebelum dia terbang ke China agar saya tunggu sehingga dia pulang semula ke Malaysia untuk perkembangan lanjut," katanya yang kini sibuk di lokasi filem Gila Baby arahan Kabir Bhatia.
Shila dan keluarganya tidak dapat dihubungi bagi mendapatkan perkembangan masalah tersebut kerana mereka berada di China bagi urusan album penyanyi wanita itu.
Pada 20 September tahun lalu Shila berjaya mengharumkan nama negara apabila diumumkan sebagai juara Asian Wave 2012 yang berlangsung di Shanghai, China.
Shila juga turut memenangi Lagu Terbaik menerusi lagu Patah Seribu dalam Anugerah Industri Muzik ke 19 (AIM19) yang diadakan di Stadium Melawati, Shah Alam dekat sini pada 19 November 2012.

Linda Onn Sudah Usaha Cari Calon Suami

Posted: 01 Feb 2013 03:41 AM PST

Buat masa ini Linda lebih banyak menumpukan kepada kerjaya dan perniagaan restoran miliknya.
AMPANG: Penyampai radio, Linda Onn menyifatkan khabar angin kononnya dia akan berkahwin dalam masa terdekat sebagai satu doa semua pihak yang ingin melihat dia dapat menamatkan zaman bujangnya secepat mungkin.
Linda atau nama sebenarnya, Rozlinda Onn, 35, berkata, sebagai seorang wanita dia telah berusaha untuk mencari pasangan hidup namun segala-galanya ditentukan Allah.
"Saya ada berusaha untuk mencari pasangan namun terlalu peribadi untuk saya kongsi tetapi semuanya berbalik kepada jodoh. Mungkin suatu hari nanti jika diizinkan saya akan berkahwin.
"Apabila orang mengatakan saya akan berkahwin saya menganggap itu sebagai satu doa daripada mereka dan mungkin ia akan dimakbulkan.
"Ibu bapa saya juga tidak pernah memaksa atau meletakkan tempoh khusus untuk saya berkahwin dan bersyukur mereka sentiasa menyokong," jelasnya.
Linda ditemui selepas majlis memperkenalkan menu terbaharu di restorannya iaitu My Mom's Chicken Rice (MMCR) di sini pada Khamis.
Menu Nasi Ayam Salai Lemak Cili Padi itu dihasilkan dengan kerjasama juara Masterchef Selebriti, Datuk Dr Fazley Yaakob.
Dalam pada itu, Linda berkata, tumpuannya hari ini lebih kepada memperkembangkan perniagaan restoran yang dibukanya sejak tahun 2004.
Katanya setakat ini dia telah mempunyai empat buah restoran MMCR serta sebuah spa kecantikan dan urut yang telah diusahakan sejak setahun lalu.
"Setakat ini saya ingin betul-betul mengukuhkan perniagaan yang sedia ada terutama dari segi perkhidmatan dan kepuasan pelanggan selain sentiasa mahu mencari idea-idea baru untuk memastikan produk yang disediakan sentiasa segar.
"Sebenarnya bukan mudah melakukan perkara itu tetapi atas semangat dan dorongan keluarga dan peminat, ia mula sebati dalam diri saya untuk terus memajukan diri," katanya.

Fazley Beri Peluang Peminat Nikmati Nasi Ayam Salai

Posted: 01 Feb 2013 03:41 AM PST

Linda Onn dan Fazley bekerjasama mempromosikan resipi Nasi Ayam Salai Lemak Cili Api.
AMPANG: Peminat yang mengimpikan untuk merasai resipi daripada air tangan Juara Masterchef Selebriti Malaysia, Datuk Dr Fazley Yaakob boleh memenuhi impian berkenaan selepas beliau menghasilkan menu terbaharu iaitu Nasi Ayam Salai Lemak Cili Api.
Fazley, 34, berkata, menu itu digabungkan dengan masakan Negeri Sembilan yang dihidangkan dalam bentuk ayam salai bersama masak lemak cili api, sambal merah dan sambal terung hijau, sup serta beberapa ketulan nasi yang di gumpal seperti bebola.
"Ia adalah masakan berbeza yang saya ilhamkan sendiri dalam usaha saya untuk mengangkat makanan Negeri Sembilan ke peringkat antarabangsa," katanya kepada mStar Online selepas majlis memperkenalkan menu itu di restoran My Mom's Chicken Rice (MMCR) milik pengacara Linda Onn cawangan Ampang di sini pada Khamis.
MMCR satu-satunya restoran yang menyediakan menu berkenaan hasil kerjasama Fazley dan Linda untuk tempoh tiga bulan. Ia dijual dengan harga RM8.70 sepinggan.
Kata Fazley, apa yang menariknya ayam untuk resipi tersebut dipanggang terlebih dahulu manakala kuah masak lemak yang dimasak berasingan akan dituang di atasnya ketika hendak dihidangkan.
Beginilah rupa nasi ayam idea Fazley yang dijual dengan harga RM8.70.
Usaha menyediakan resipi itu kata Fazley dilakukan sebagai memenuhi impian peminatnya yang sering meluahkan hasrat untuk menikmati makanan daripada air tangannya sendiri selepas beliau menjadi juara dalam pertandingan Masterchef Selebriti.
Ujarnya, buat masa ini beliau melakukan kolaborasi dengan menyediakan resipi berkenan di restoran milik Linda Onn cawangan Ampang dan akan meneruskan ke restoran-restoran terpilih tidak lama lagi dengan resipi berbeza.
"Selepas tiga bulan, jika Linda berminat dengan resipi itu, mungkin kami akan bincangkanlah soal kontrak dan juga perkara-perkara lain. Buat masa ini saya anggap ia sebagai percubaan untuk membolehkan peminat saya merasi resipi daripada saya," katanya yang tidak berhasrat membuka restoran kerana kesibukan masa.
Selain itu Fazley akan menghasilkan sebuah buku masakan iaitu Dari Rembau ke Padang pertengahan Jun depan yang turut menyediakan aplikasi video bagi pengguna telefon pintar.
Katanya, pemilik telefon berkenaan boleh mengimbas menu-menu terpilih untuk melihat bagaimana beliau menyediakan resipi berkenaan dalam bentuk video suara.
Dalam perkembangan sama, Linda berkata, pihaknya sentiasa membuka ruang dan peluang untuk membawa resipi baru ke dalam menu restorannya.
Menyifatkan idea Fazley bertepatan dengan visinya, Linda berkata, dia tidak akan teris bekerjasama dengan Fazley pada masa hadapan jika projek pertama ini berjaya.

Hajat Scha Mahu Jadi Pengacara Muzik Muzik Tercapai

Posted: 01 Feb 2013 03:40 AM PST

Scha (kanan) dan gandingan terbarunya dalam Muzik Muzik ke-28 iaitu AG.
PETALING JAYA: Pelakon Scha Al Yahya menyifatkan peluang mengacarakan program carta lagu popular Muzik Muzik (MM) 28 sebagai mimpi yang menjadi kenyataan.
Scha atau nama sebenarnya Sharifah Norazean Syed Mahadzir, 30, berkata, dia tidak menyangka hasrat untuk mengembangkan kerjaya sebagai pengacara pada 2013 termakbul selepas menerima tawaran itu.
"Memang pada tahun lepas saya sudah berniat untuk mencari peluang menjadi pengacara televisyen (TV) pada 2013.
"Apabila TV3 merisik untuk uji bakat pada Disember lepas, saya mahu mencuba. Impian saya termakbul apabila diberikan peluang mengacarakan MM28," katanya kepada mStar Online.
Scha ditemui pada pelancaran program itu di Sri Pentas, Bandar Utama di sini, petang Khamis.
Azman Ghaffar
Scha bakal bergandingan dengan penyampai radio Hot FM iaitu AG dalam MM28 yang disiarkan bermula Sabtu ini pada pukul 5 hingga 6 petang di TV3.
Isteri kepada pengacara Awal Ashaari ini berkata, perkara terpenting mengenai gandingan julung kali bersama AG adalah membina keserasian antara mereka.
"Saya berharap AG dapat bertolak ansur dan saling membantu. Saya juga perlu pandai selarikan diri untuk dapatkan keserasian.
"Komitmen program ini lama iaitu sehingga setahun, jadi saya harap dapat meningkatkan mutu mengacara dan mempelbagaikan karakter agar sebati dengan MM28," kongsinya yang mendapatkan pandangan Awal sebelum menerima tawaran terbabit.
AG pula berkata, dia percaya aspek keserasian antara mereka akan diperoleh sepanjang rakaman mingguan program itu.
Inilah set baru Muzik Muzik ke-28 yang akan bersiaran bermula Sabtu ini.
"Saya harap Scha akan membantu kerana ini gandingan pertama kami. Namun, saya percaya keserasian kami akan meningkat dari masa ke semasa pada rakaman mingguan yang bermula hari ini (Khamis)," katanya.
Dalam pada itu, penerbit program berkenaan Azman Ghaffar berkata, pemilihan Scha dan AG tidak membimbangkan produksi kerana pengalaman mereka.
"Kami tidak risau dengan keserasian kerana ia akan diperoleh nanti. Mereka berbakat dan banyak pengalaman mengacara sebelum ini," katanya.
Masih mengekalkan carta 20 lagu terbaik dan pencalonan baharu pada setiap minggu, MM28 tampil dengan konsep infotainment dalam berkongsi perkembangan semasa industri muzik di dalam dan luar negara.
Bermula musim ini, tiga segmen baharu iaitu Buzz Buzz, HOTdan Gosip Fifiturut diperkenalkan.

Jimmy Shanley Kini Deejay U FM

Posted: 01 Feb 2013 03:39 AM PST

Jimmy Shanley
PETALING JAYA: Pengacara Jimmy Shanley mencuba satu lagi kerjaya baharu apabila bergelar deejay di sebuah stesen radio yang dikenali sebagai U FM.
Jimmy atau nama sebenarnya Jimmy Shanley Norjahan Saleh, 33, berkata, dia memulakan tugasnya di stesen radio berkenaan sejak Isnin lalu menerusi segmen pagi bermula pukul 6 hingga 10 pagi.
"Saya masih lagi dalam percubaan di stesen radio berkenaan dan setakat ini sambutannya agak menggalakkan walaupun stesen ini masih lagi belum dikenali kerana ia baru sahaja beroperasi iaitu kira-kira dua minggu lalu," katanya kepada mStar Online di sini pada Khamis.
Kata Jimmy, buat masa ini stesen radio tersebut hanya beroperasi di Lembah Kelang dan ia boleh diikuti menerusi frekuensi 101.3 FM. Jimmy bertugas bermula dari hari Isnin sehingga Jumaat.
Hasrat menjadi deejay itu jelasnya adalah secara kebetulan apabila pada mulanya dia mahu mendapat penajaan bagi sebuah projek kerana khidmatnya sebagai perunding untuk pasukan Kelab Bola Sepak Pulau Pinang.
"Hajat pertama saya lain tetapi tak sangka pula akhirnya saya ditawarkan untuk berkhidmat sebagai deejay di stesen radio itu," kata Jimmy.
Menurut Jimmy, dia tiada masalah untuk mengendalikan stesen radio kerana sudah mempunyai pengalaman ketika bertugas dengan radio Era FM selama setahun bermula tahun 2007.
Sementara itu dalam perkembangan lain Jimmy berkata, dia begitu merindui dunia pengacaraan dan berhasrat untuk aktif dalam bidang berkenaan selepas menamatkan pengajiannya peringkat Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) di UiTM Shah Alam dekat sini pada Jun ini.
Mengenai kehidupannya sebagai duda selepas bercerai dengan Nursuhaila Eliani Suhaimy pada Oktober tahun lalu Jimmy berkata, dia menyerahkan kepada takdir untuk menemukannya dengan mana-mana wanita solehah.
"Kebanyakan wanita yang saya kenal mereka sudah menjadi milik orang. Sekarang ni saya tak mahu cari. Kalau ada tu… adalah. Jujurnya saya tidak memilih asalkan wanita itu boleh sehidup semati dengan saya, cukuplah," katanya.
Hasil perkahwinan dengan Nursuhaila Eliani, Jimmy mendapat seorang anak perempuan iaitu Zahrah Shanley yang kini berusia dua tahun.

Sharnaaz: 'Saya tak ambil hati langsung'

Posted: 01 Feb 2013 03:35 AM PST


Shila Amzah dan Sharnaaz Ahmad.
Shila Amzah dan Sharnaaz Ahmad.
KISAH percintaan dua sejoli ini nampaknya semakin dilanda badai apabila ND Lala, bapa kepada penyanyi cantik, Shila Amzah mula tampil memberi kenyataan media yang seolah-olah menghentam kekasih anaknya itu, Sharnaaz Ahmad.

Semuanya berkaitan dengan perancangan pelakon Juvana itu yang bertegas meneruskan perancangan untuk merisik Shila sekitar Mac ini meskipun ND Lala mahu anak perempuannya itu menumpukan perhatian kepada kariernya dahulu sebelum memikirkan perkahwinan.

Dalam kenyataan di sebuah akhbar tempatan semalam, ND Lala kecewa dengan tindakan Sharnaaz yang disifatkan tidak menghormati dirinya sebagai bapa dan wali kepada Shila.

Ketika dihubungi Sinar Harian Online, Sharnaaz akui faham dengan situasi dan langsung tidak terasa hati dengan kenyataan ayah kepada kekasihnya itu.
"Pada saya, biarlah... dia orang tua. Saya tak ambil hati langsung.

"Saya faham dia bercakap bagi anak dia. Shila anak perempuan pertama nak dilepaskan,jadi, saya faham perasaan dia (ND Lala)," katanya dengan nada tenang.

Dalam pada itu, Sharnaaz menafikan perkara ini timbul berikutan mempunyai hubungan yang kurang baik dengan ND Lala.

"Tak. Sebelum ini kami OK saja. Saya pun tak faham kenapa dia (ND Lala) cakap macam tu," katanya.

Mengulas lanjut perkara ini, Sharnaaz berkata, dia sudah cuba menghubungi ND Lala berkali-kali untuk berbincang namun panggilannya tidak pernah bersambut dan mesejnya tidak berbalas.

"Macam mana nak bincang kalau dia tak jawab panggilan telefon... saya mesej pun tak balas. Mungkin dia sibuk. Saya faham," katanya.

Sementara itu, Sharnaaz juga tidak bersetuju dengan tindakan ND Lala yang meluahkan kekecewaanya menerusi media.

"Jangan guna media. Ada telefon kan? Saya tak setuju cara dia. Lagipun dia lebih berpengalaman, sepatutnya dia tahu," katanya.

Apabila ditanya soal perancangan merisik kekasih hatinya itu Mac ini, Sharnaaz menjawab, "saya pun tak tahu macam mana."

Pasangan ini dikatakan bercinta tahun lepas dan kisah cinta mereka menjadi tumpuan umum.

Disamun dalam masjid, rugi lebih RM10,000

Posted: 01 Feb 2013 03:31 AM PST


DUNGUN – Dua wanita yang singgah solat di sebuah masjid dekat sini, menjadi mangsa terbaru penjenayah bersenjatakan parang panjang yang berjaya melarikan beg tangan mangsa.

Kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu dipercayai berlaku ketika mangsa, Juliana Omar, 28, bersama seorang rakannya singgah di Masjid Mukim Kampung Kuala Abang untuk menunaikan solat Zohor.

Bagaimanapun sebaik selesai solat, mangsa terpandang kelibat seorang lelaki bersenjatakan parang panjang di pintu masuk ruang solat wanita.

Juliana yang dihubungi berkata, suspek yang memakai topeng kemudiannya meluru ke arahnya menyebabkan dia ketakutan dan cuba melarikan diri, namun suspek telah menghalang mangsa dengan mengacukan parang panjang selain turut mengugut untuk membunuhnya.

"Dia mengacukan parang ke arah saya sambil mengugut membunuh saya jika enggan menyerahkan beg tangan.

"Saya terpaksa akur kerana takut dicederakan, kejadian itu benar-benar membuatkan saya trauma," kata Juliana.

Suspek yang berjaya mendapat habuan kemudiannya melarikan diri dengan sebuah kereta Perodua Viva putih.

Juliana kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Dungun kira-kira jam 10.30, malam semalam.

Mangsa yang berasal dari Tebing Tembah serta rakannya kerugian lebih RM10,000 setelah dua beg tangan mereka yang mengandungi wang tunai, telefon bimbit, barang kemas, dokumen serta kunci kenderaan dikebas penyamun terbabit.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor, mengesahkan kejadian dan suspek kini masih diburu polis.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat individu mencurigakan menaiki kereta Perodua Viva putih boleh menghubungi polis di talian 09-8482222," katanya.

Sementara itu dalam kes berasingan, seorang penagih dadah yang menyewa bilik penginapan sebuah resort ditahan polis.

Ketika serbuan dilakukan sepasukan polis dari bahagian siasatan jenayah narkotik kira-kira jam 3.30 petang kelmarin, suspek dikatakan baru keluar dari bilik mandi sementara menunggu kekasihnya tiba.

Bagaimanapun, segalanya terbongkar apabila pemeriksaan polis menemui dua biji pil disyaki dadah jenis methapethamine dalam poket seluarnya.

Selain dadah turut ditemui 'ubat kuat', kondom serta pakaian wanita dipercayai milik kekasihnya.

Suspek, berusia 30an difahamkan seorang pekerja di pelantar minyak dan hasil ujian saringan air kencing mendapati dia positif dadah methapethamine dan dia kini ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 12(2) dan 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mengaku cabul budak 12 tahun

Posted: 01 Feb 2013 03:27 AM PST


Mengaku cabul budak 12 tahun
Md Foridul menutup muka ketika dibawa keluar dari mahkamah.
GEORGETOWN - Padah mencabul budak perempuan 12 tahun di dalam lif, seorang warga Bangladesh dipenjarakan sehari dan didenda RM2,000 atau dua bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Majistret Norhayati Ibrahim turut mengarahkan Md Foridul, 26, membayar RM1,000 sebagai pampasan kepada mangsa.

Keputusan itu dibuat sejurus Md Foridul yang tinggal di sebuah rumah kampung di Padang Tembak, Air Itam, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa dalam bahasa Melayu.

Mengikut pertuduhan, Md Foridul didapati bersalah menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan dengan memeluk badan, mencium dan menggigit pipi kanan mangsa, dalam lif sebuah pangsapuri di Jalan Padang Tembak, kira-kira jam 6.45 petang, 19
April tahun lalu.

Untuk itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Khairul Fairuz Rahman mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Mohd Khairul Fairuz turut mencadangkan Seksyen 426 (1) (b) Kanun Acara Jenayah supaya Md Foridul membayar pampasan kepada mangsa.

Dalam rayuannya, Md Foridul meminta hukuman ringan kerana hanya bekerja sebagai pekerja kontrak.

Bagaimanapun. Mohd Khairul Fairuz memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal kerana kesalahan yang dilakukan oleh warga asing itu adalah serius dan melibatkan mangsa yang baru berusia 12 tahun.

Derita kena santau

Posted: 01 Feb 2013 03:25 AM PST


Derita kena santau
Mohd Zamri menjalankan rawatan perubatan Islam ke atas Jamilah di Pusat Rawatan Islam DIA, Kuala Sungai Baru.
ALOR GAJAH - Angkara hasad dengki, seorang pegawai sebuah bank terkemuka di ibu kota terpaksa menanggung derita batuk kering berterusan sejak lima tahun lalu, dipercayai akibat disantau individu yang dikenalinya.

Mangsa, Jamilah (bukan nama sebenar), 30-an, berkata, pada awalnya dia menyangka hanya diserang batuk biasa akibat demam, namun keadaan badannya dirasakan semakin lemah.

"Selepas dua minggu batuk saya menjadi-jadi sehingga sukar bercakap kerana setiap kali ingin bersuara, saya akan batuk tanpa henti seperti ada sesuatu yang menyekat kerongkong.

"Situasi ini menyukarkan saya berkomunikasi dengan rakan di tempat kerja untuk sebarang urusan. Mujur saya tidak ditugaskan di kaunter hadapan," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, lama-kelamaan batuk yang dialami  menyebabkan perut dan dadanya mengalami kesakitan yang teramat.

"Saya tidak pasti apa kesalahan yang dilakukan kepada sesiapa pun.

"Keadaan kesihatan saya disedari ibu yang menegur selepas melihat saya kerap mengambil ubat doktor dan dalam tempoh lima tahun ini sudah lebih 20 kali saya berulang ke hospital dan klinik namun peliknya semua doktor memberitahu saya sihat," katanya.

Tambahnya, lebih menderita apabila mulutnya terasa berat bercerita kepada suaminya yang berusia awal 40-an sebaliknya hanya meminta menghantarnya ke klinik untuk rawatan sebelum diperkenalkan dengan Pusat Rawatan Islam DIA.

Menurutnya, dia amat bersyukur bila seorang teman memberitahu Pusat Rawatan Islam DIA mampu mengubati santau dan terus ke Melaka ditemani ibunya serta melalui tiga kali rawatan secara berperingkat sehingga sembuh sepenuhnya. 

Sementara itu, Pengamal Perawatan Islam DIA, Mohd Zamri Basir ketika ditemui berkata, mangsa mendakwa mengalami batuk kering berterusan dipercayai terkena santau melalui pemakanan.

"Selepas diberikan rawatan menggunakan air suam dan air kelapa muda yang diisi dengan ayat al-Quran, penyakit misteri mangsa dapat diatasi secara ulangan sebanyak tiga kali hingga pulih sepenuhnya," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pegawai Syarak Negeri, Datuk Abu Khir Jamaluddin pula berkata, setiap individu tidak perlu membuat andaian dirinya disantau apatah lagi tanpa pengesahan daripada pakar perubatan.

Jelasnya, berbalik kepada ajaran Islam, setiap individu perlu beramal setiap masa untuk menghindarkan diri daripada gangguan syaitan dan kejadian seperti ini tidak perlu dibesarkan sebaliknya hendaklah dirawat segera.

"Individu berniat jahat menyantau orang lain diingatkan menghentikan perkara ini kerana balasannya akan berbalik kepada mereka," katanya.

Salon seks diserbu

Posted: 01 Feb 2013 02:17 AM PST


Salon seks diserbu
Wanita warga asing yang ditahan di salon berkenaan, malam kelmarin.
PUCHONG - Pakej tiga dalam satu. Sambil mencuci rambut, pelanggan turut ditawarkan khidmat urut dan seks.

Pelanggan diberi pilihan sama ada mahu mencuci rambut pada harga RM80, pakej urutan badan RM160 atau yang inginkan khidmat seks boleh berunding harga dengan wanita berkenaan.

Taktik licik premis itu berjaya dikesan anggota polis Cawangan Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, yang membuat penyamaran selama dua hari sebelum menyerbu premis itu, malam kelmarin.

Pegawai Turus D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Deputi Superintenden Rohan Shah Ahmad berkata, seramai 12 wanita warga asing diberkas di premis terbabit.

Menurutnya, kesemua wanita berusia 23 hingga 42 tahun ditahan kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial dan melakukan aktiviti tidak bermoral.

"Seramai tujuh wanita Vietnam, empat China, dan seorang Thailand ditahan kerana tidak memiliki pasport," katanya. Rohan Shah berkata, premis yang beroperasi tanpa lesen itu mempunyai beberapa bilik dan turut dipasang kamera litar tertutup (CCTV) di pintu pagar bahagian tangga serta pelanggan tetap sahaja dibenarkan masuk.

"Seorang penjaga premis yang baru sebulan bekerja bersama empat pelanggan berusia 21 hingga 30 tahun turut ditahan dalam serbuan itu. Kami juga merampas beberapa bungkusan kondom, wang tunai RM1,000 dan minyak urut," katanya.

Kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang untuk siasatan lanjut.

Enggan lagi sebut pasal Rita

Posted: 01 Feb 2013 02:12 AM PST



PERBUALAN yang mesra pada mulanya bertukar menjadi serius. Semuanya gara-gara nama Rita Rudaini disebut dalam pertanyaan Kosmo! kepada Lisdawati atau nama sebenarnya Nisdawati Nazaruddin, pada sesi fotografi berlangsung di Studio Utusan, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Ungkap Lisdawati, kalau boleh dia enggan lagi menjawab soalan yang berkaitan dengan Rita daripada pihak media mulai saat itu.
Keengganannya bukan disebabkan mereka bergaduh semula, tetapi luah pelakon berusia 35 tahun yang masih kekal cantik itu, ada kenyataannya dalam media (bukan akhbar Kosmo!) mengenai Rita, baru-baru ini telah disalahertikan.
"Kalau boleh saya tidak mahu lagi sebut pasal dia (Rita). Bukan sebab apa, saya takut disalahertikan.
"Tutup cerita lama buka cerita baharu. Biarlah saya simpan isi hati ini sampai akhirat nanti," jelasnya penuh makna.
Lisdawati sebelum ini dituduh sebagai sengaja mencari publisiti untuk kembali popular dengan memberi pelbagai kenyataan, ekoran dia dan Rita dikatakan berdamai selepas bersengketa selama tujuh tahun.
Ujarnya, dia membuat kenyataan tentang Rita sebelum ini sebagai jawapan kepada banyak pertanyaan media yang diajukan kepadanya.
"Saya tidak perlukan publisiti atau kontroversi untuk popular. Sejak awal berlakon lagi, banyak kontroversi yang saya sendiri tidak cari, muncul melanda diri ini.
"Saya percaya rezeki merupakan kehendak Allah. Alhamdulillah, rezeki lakonan sentiasa ada. Penerbit masih ambil saya berlakon," ujarnya yang mengakui sentiasa bermuhasabah diri.
Menyambung bicara, luah Lisdawati, dia sedar nyawanya untuk hidup dalam alam fana ini cuma sekadar dipinjamkan Allah dan dia tidak perlu terlibat perkara yang menyesat dan menyeksakan hatinya lagi.
Belajar kaunseling
Ditebak pula mengenai hubungan dengan suaminya, aktor Fauzi Nawawi, yang dikhabarkan sudah acap kali dilanda masalah berikutan Fauzi sering dikaitkan dengan beberapa wanita lain, dedah Lisdawati, dia masih bahagia bersama Fauzi sehingga kini.
"Sedangkan sesama adik-beradik juga boleh bergaduh inikan pula dengan suami - orang yang kita baru kenali pada usia yang matang.
"Krisis rumah tangga sedikit-sedikit itu perkara biasa yang berlaku kepada suami isteri. Kadang-kadang pasal anak atau kerja," ujarnya yang sering beristighfar setiap kali dilanda masalah rumah tangga.
Dalam pada itu berkongsi cerita baharu tentang dirinya, ungkap Lisdawati, dia merancang untuk menyambung pelajarannya tidak lama lagi.
Mengambil kaunseling, jelas Lisdawati, dia sangat menyukai jurusan tersebut selain berniat untuk mempraktikkan ilmu tersebut di rumah.
Sedar anak-anaknya dan juga anak-anak tirinya iaitu anak Fauzi daripada perkahwinan terdahulunya semakin membesar, kata Lisdawati, dia perlukan ilmu di dada untuk mendidik mereka agar menjadi insan yang berguna kelak.
"Saya berbincang dengan anak sulung (anak Fauzi hasil perkahwinan pertama), Fatihah, 17, mengenai perancangan tersebut memandangkan dia juga baru menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)," jelasnya yang akan menyambung pelajaran bersama-sama anak tirinya itu tetapi berlainan bidang.
Tegas

KESIBUKAN rutin seharian tidak menghalang figura cantik ini untuk menimba ilmu.


Terlanjur bercerita tentang anak, Lisdawati juga mengakui sangat tegas dalam mendidik anak-anaknya, Farhana, 4, dan Fazneesya, 3, termasuk anak-anak tirinya, Hainal Fatiha, 17, Fariz Hazwan, 16, Hana Farisha, 14, serta Fikri Hakimi, 11.
"Saya kena tegas dan pantau aktiviti anak-anak termasuk anak abang (Fauzi Nawawi). Sebab kalau jadi apa-apa orang akan tanya anak siapa? Saya tidak mahu mereka jadi seperti kebanyakan remaja yang sudah rosak peribadi," ujarnya yang mengakui zaman remajanya tidak bebas walaupun dia suka menunggang motosikal berkuasa besar.
Ditanya apakah ketegasan yang diterapkannya, jelas Lisdawati, dia tidak akan membenarkan langsung anak-anak Fauzi keluar dengan kawan-kawan mereka kecuali jika dia atau Fauzi turut ikut bersama.
Begitupun, dia tidak menghalang anak-anak tirinya mempunyai teman lelaki atau wanita asalkan diperkenalkan terlebih dahulu kepadanya dan Fauzi.
Jelasnya lagi, ramai ibu bapa yang sibuk bekerja tetapi tidak tahu sikap sebenar anak mereka.

Erra selektif demi Aleesya

Posted: 01 Feb 2013 02:11 AM PST


SUDAH dua tahun, Erra menggalas tanggungjawab sebagai duta produk Desa Murni Batik Sdn. Bhd.


PEMILIK nama Fazira Wan Chik atau lebih dikenali sebagai Erra Fazira cukup sinonim dalam dunia seni tanah air. Perjalanan karier lebih sedekad menjadikan Erra semakin matang dalam memenuhi kepadatan jadual lakonan mahupun persembahan pentas.
Bagaimanapun, membuka lembaran baharu tahun 2013, Erra mengambil sikap lebih selektif dalam perjalanan kerjaya kerana faktor usia yang semakin meningkat dan demi menumpukan perhatian kepada puteri kesayangan, Engku Aleesya Engku Emran.
Sejak hampir empat tahun lalu, Erra cukup bahagia dalam memikul tanggungjawab sebagai ibu kepada zuriat tunggalnya, Engku Aleesya yang menjadi penyeri kehidupan insan seni serba boleh ini.
"Saya sudah menetapkan setiap hari Ahad sebagai hari cuti daripada karier seni untuk memberi sepenuh tumpuan kepada Engku Aleesya.
"Pada hari-hari lain pula, saya akan memastikan segala keperluan anak dipenuhi terlebih dahulu sebelum menerima komitmen lain," katanya sambil menguntum senyuman.
Dia yang cukup peramah itu ditemui ketika menghadiri majlis pelancaran produk baharu, Desa Murni Batik Sdn. Bhd. (DMBSB) di Pengadang Baru, Kuala Terengganu, Terengganu baru-baru ini.
Sejak hampir dua tahun lalu, Erra telah dipilih menjadi duta produk DMBSB dalam menggayakan pelbagai batik digital dan tudung keluaran syarikat berkenaan.
Tampil anggun dengan baju kurung berwarna putih dan dipadankan tudung berwarna jingga, Erra tetap mempunyai aura tersendiri apabila ratusan peminat setia membanjiri Galeri Tudung dan Batik, DMBSB semata-mata ingin melihat kelibat artis kesayangan mereka.
Tidak ketinggalan peminat merakam gambar kenangan bersama personaliti kesayangan mereka itu.
Jelas Erra lagi, keadaan kini tidak seperti dahulu ketika dia belum mempunyai komitmen bersama keluarga menyebabkan dia semakin selektif untuk memenuhi undangan termasuk dalam bidang lakonan.
"Kalau dulu saya tidak mempunyai sebarang masalah malah akan bekerja tidak mengira masa tetapi situasi sekarang sudah berubah. Bagi tawaran berlakon juga sekarang ini tidak lagi semudah dulu.
"Saya perlu meneliti jalan cerita terlebih dahulu yang bersesuaian untuk saya malah tidak pentingkan kuantiti tetapi lebih pentingkan kualiti.
Katanya, dia juga tidak kisah jika tidak berlakon satu filem dalam tempoh satu tahun jika ia tidak menepati kualiti yang diharapkan.
Dalam pada itu, Erra memberitahu, dia juga jarang membawa anaknya ke lokasi penggambaran ataupun tempat bekerja kerana ingin anak kesayangan membesar secara normal seperti kanak-kanak lain.
"Bagi saya persekitaran kerja saya tidak sesuai untuk dia tetapi kalau sekadar sekitar Kuala Lumpur atau tempoh waktu pendek saya akan membawanya," katanya.

16 NGO dilantik pemerhati perjalanan PRU-13

Posted: 01 Feb 2013 02:08 AM PST


ABDUL AZIZ bersalaman dengan wakil Persatuan Gabungan Orang Cacat Malaysia, Bathmavathi sambil diperhatikan Wan Ahmad (berdiri paling kanan), Ketua Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi, Wan Saiful Wan Jan (kiri), Pengarah Program Merdeka Center, Ibrahim Suffian (dua dari kiri) dan Pengerusi Pusat Kajian Dasar Awam, Tan Sri Ramon Navaratnam selepas majlis penyerahan surat pelantikan pemerhati PRU-13 di Putrajaya semalam.


PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melantik 16 badan bukan kerajaan (NGO) sebagai pemerhati perjalanan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, NGO yang dilantik diberi tempoh sebulan bagi menyerahkan senarai biodata petugas dan kawasan Parlimen yang dipilih untuk keperluan persiapan latihan serta penyediaan pas khas pemerhati.
"Mereka yang dilantik akan bertanggungjawab menyediakan laporan lengkap hasil pemantauan sebelum diserahkan kepada SPR," katanya selepas majlis penyerahan surat pelantikan sebagai Pemerhati Tempatan PRU-13 kepada 16 NGO di sini semalam.

Tujuh kaki tipu jadi buruan polis

Posted: 01 Feb 2013 02:06 AM PST


DIN (dua dari kiri) menunjukkan gambar suspek yang diburu polis pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat semalam.


BATU PAHAT - Enam lelaki dan seorang perempuan menjadi buruan polis selepas mereka disyaki terlibat dengan penipuan membeli barangan menggunakan cek tendang yang nilai kerugian mencecah RM1 juta dalam tempoh setahun lalu di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, ketujuh-tujuh suspek yang berusia 30 hingga 60-an itu dilaporkan menjadikan beberapa buah syarikat pembekalan seperti pembekalan tayar lori, minyak pelincir, baja, racun dan kelengkapan perladangan sebagai sasaran.
Menurut beliau, modus operandi kumpulan suspek yang berasal dari Lembah Klang dan Pulau Pinang itu ialah membeli barangan secara pukal daripada syarikat terbabit dengan pembelian kali pertama akan dibuat secara tunai.
"Urus niaga di syarikat tersebut akan diteruskan buat kali kedua dengan suspek-suspek kemudian menambah kuantiti pembelian barangan sebelum membuat pembayaran menggunakan cek tendang.
"Cek-cek itu pula kebiasaannya menggunakan nama dua buah syarikat yang tiada kaitan dengan suspek-suspek," kata beliau pada sidang akhbar di sini.

Muntah ikan paus bernilai RM210,502

Posted: 01 Feb 2013 02:05 AM PST


WILMAN dan anjingnya menemui ambergris yang bernilai tinggi ketika berjalan-jalan di sebuah pantai.


LONDON – Seorang lelaki di sini, Ken Wilman ditawarkan wang berjumlah £43,000 (RM210,502) oleh seorang pembeli dari Perancis untuk muntah ikan paus yang ditemui anjing peliharaannya di sebuah pantai.
Dia menemui objek itu selepas anjingnya mula menghidu batu yang agak besar dengan tekstur melekit berwarna kekuningan ketika bersiar-siar di bandar Morecambe, barat laut England.
Muntah yang jarang ditemui itu dipercayai menjadi bahan asas penting untuk penghasilan minyak wangi.
Wilman percaya objek tersebut adalah sebahagian daripada ambergris, bahan yang ditemui dalam sistem penghadaman ikan paus sperma.
Ikan paus kadang kala memuntahkan ambergris yang kemudian terapung di permukaan air dan dianggap bernilai tinggi sejak berabad-abad lamanya.

Ulat beluncas terbesar ditemui di Switzerland

Posted: 01 Feb 2013 02:04 AM PST


BUERKI menunjukkan seekor ulat beluncas terbesar yang ditemuinya semalam.


BERN, Switzerland – Seorang ahli botani di sini telah menemui seekor ulat beluncas terbesar yang pernah ditemui di dunia semalam.
Ahli botani itu, Markus Buerki mendedahkan ulat yang ditemuinya merupakan ulat beluncas dari spesis atlas moth atau attacus atlas.
Atlas moth akan bertukar menjadi kupu-kupu dengan lebar sayapnya boleh mencecah lebih 25 sentimeter.
Ulat beluncas tersebut kini dipelihara di sebuah taman botani di Bern.

Ketua parti agama ditangkap rasuah

Posted: 01 Feb 2013 02:03 AM PST

ISHAAQ


JAKARTA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Indonesia semalam buat pertama kalinya telah menahan seorang pemimpin sebuah parti Islam atas tuduhan rasuah.
Jurucakap suruhanjaya tersebut, Johan Budi memberitahu pemimpin Parti Keadilan Sejahtera, Luthfi Hasan Ishaaq ditahan kerana disyaki menerima rasuah bagi mendapatkan kontrak kerajaan kepada sebuah syarikat pengimport daging, PT. Indoguna Utama.
Parti Keadilan Sejahtera merupakan parti Islam terbesar di Indonesia dan menjadi sebahagian daripada kerajaan campuran republik itu.
Ishaaq ditahan pada Rabu, dua hari selepas dua orang pengarah syarikat terbabit dan pembantunya ditangkap di sebuah hotel di sini.
Pasukan penyiasat juga merampas wang tunai berjumlah AS$103,000 (RM320,000) yang ditemui di dalam kereta pembantu Ishaaq.
"Memang wujud bukti yang cukup untuk menamakan Luthfi Hasan Ishaaq sebagai suspek," kata pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Indonesia, Bambang Widjojanto.
Ishaaq bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Rihanna kembali jadi kekasih Chris Brown

Posted: 01 Feb 2013 02:02 AM PST


RIHANNA menjadi gadis muka depan majalah Rolling Stones isu Februari 2013.


LOS ANGELES – Bintang pop, Rihanna mengesahkan bahawa dia dan bekas kekasihnya, penyanyi Chris Brown kembali bercinta, lapor akhbar The Sun kelmarin.
Penyanyi yang kini popular menerusi lagu Diamonds mendedahkan perkara itu selepas beberapa bulan pasangan tersebut intim semula.
Dalam satu wawancara bersama majalah hiburan Rolling Stone, Rihanna mengakui, orang luar mungkin menganggap itu bukan satu keputusan terbaik, sama ada untuk dirinya atau Brown.
"Saya tidak akan membiarkan pendapat orang lain mempengaruhi keputusan ini. Walaupun jika ia satu kesilapan, ia salah saya. Saya boleh menghadapinya," kata Rihanna.
Rihanna, 24, juga mendedahkan bahawa dia percaya hubungan mereka semakin pulih selepas insiden dipukul Brown beberapa tahun lalu.
Penyanyi lagu Don't Judge Me berusia 23 tahun itu pernah memukul Rihanna menjelang Anugerah Grammy pada tahun 2009.
Rihanna mengakui dia tidak memandang ringan tentang perangai buruk Brown. Namun, dia mempercayai penyanyi R&B itu dan berasa selamat bersamanya.
Pasangan berkenaan mula berdamai pada Mac tahun lalu selepas Rihanna bekerjasama merakamkan lagu Birthday Cake dengan Brown.

Kardashian tidak mahu anak masuk televisyen

Posted: 01 Feb 2013 02:01 AM PST


Kim Kardashian


NEW YORK – Bintang program realiti, Kim Kardashian mendedahkan bahawa dia tidak mahu bakal anak pertamanya bersama penyanyi rap Kanye West muncul dalam rancangan realitinya, lapor akhbar The Sun kelmarin.
Dia popular dalam siri realiti Amerika Syarikat (AS), Keeping Up With the Kardashians.
"Bayi ini nanti tidak akan terlibat dalam rancangan kami," katanya ketika dia diwawancara oleh pengacara Jimmy Kimmel Selasa lalu.
Namun, Kardashian berkata, dia akan membiarkan anaknya membuat keputusan sendiri jika dia ingin terlibat dalam rancangan itu setelah mencapai usia sesuai.
Bekas model majalah bogel Playboy berusia 32 itu kini hamil anak West, 35, yang merupakan kekasihnya.
Pasangan tersebut yang menjalin hubungan sejak April tahun lalu belum berkahwin ekoran kes penceraian Kardashian dengan pemain bola keranjang AS, Kris Humphries masih belum muktamad.

Raja Abdullah yang pertama korek bijih timah

Posted: 01 Feb 2013 01:59 AM PST



MENYUSURI Jalan Raja Abdullah di Kampung Baru, Kuala Lumpur dirasakan sangat istimewa. Dikelilingi pembangunan pesat bandar raya, laluan yang bermula dari persimpangan lampu isyarat di Jalan Raja Muda Abdul Aziz sehingga ke persimpangan Jalan Dang Wangi itu sememangnya rancak dengan pelbagai aktiviti sama ada siang atau malam.
Daripada tradisi bubur lambuk di Masjid Jamek Kampung Baru kepada Pasar Chow Kit yang penuh bersejarah di Jalan Raja Alang sehingga gelaran syurga gastronomi di Jalan Raja Muda Musa dan sekitarnya menjadikan Jalan Raja Abdullah dekat dalam sanubari warga kota.
Namun, di sebalik kemasyhuran laluan yang juga dikenali sebagai Hale Road satu ketika dahulu, mungkin tidak ramai yang berpeluang mengetahui sejarah dan kisah pemilik namanya, Raja Abdullah Raja Jaafar.
"Raja Abdullah merupakan tokoh yang bertanggungjawab terhadap pembukaan dan kemajuan Kuala Lumpur pada hari ini. Jika tidak kerana penerokaan bijih timah yang dilakukannya mungkin Kuala Lumpur tidak wujud sama sekali," kata Profesor Datuk Dr. Abdullah Zakaria Ghazali, Pensyarah Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya.
Menjejaki kisah kehidupan Raja Abdullah, beliau berasal daripada keturunan Daeng Parani, salah seorang daripada pahlawan Bugis, Daeng lima bersaudara dari Riau yang terkenal dalam sejarah Tanah Melayu pada kurun ke-18.
Beliau datang ke Lukut pada tahun 1834 bersama abangnya, Raja Jumaat untuk mengusahakan perlombongan bijih timah di situ. Di bawah pentadbiran Raja Jumaat, Lukut telah menjadi sebuah pusat perdagangan yang terkenal sekitar tahun 1830-an.
Sekitar tahun 1849 dan 1850, Sultan Muhammad Shah, Sultan Selangor ketiga telah menyerahkan watikah pelantikan pentadbiran Klang dan daerah sekitarnya kepada Raja Abdullah menggantikan pemerintah sebelumnya, Raja Sulaiman yang mangkat.
Lokasi bijih timah
"Watikah baharu turut diberikan oleh Sultan Selangor keempat, Sultan Abdul Samad pada 1864. Kekuasaan Raja Abdullah sebagai pemerintah Klang juga dibuktikan melalui surat perjanjian yang dimeterai bersama dua orang saudagar dari Negeri-Negeri Selat, William H. Read dan Tan Kim Cheng pada tahun 1866," jelasnya yang berpengalaman lebih 30 tahun melakukan kajian mengenai sejarah Malaysia.
Tambah Abdullah Zakaria, selepas tujuh tahun mentadbir Klang, pada 1857, Raja Abdullah bersama-sama 87 orang buruh Cina telah meneroka lokasi bijih timah di sekitar Sungai Klang sebelum mendarat di Ampang.

SEJARAH awal perkembangan Kuala Lumpur dikatakan bermula di penemuan Sungai Gombak dan Sungai Klang.


Bagaimanapun, sebahagian besar buruh yang dibawa meninggal dunia akibat demam malaria. Ekoran itu, Raja Abdullah terpaksa meminta bantuan abangnya di Lukut yang kemudiannya menghantar lebih 150 buruh tambahan ke Ampang.
"Pada tahun 1859, bijih timah berjaya dikeluarkan buat julung-julung kalinya di situ. Kuala sungai yang menjadi pertemuan antara Sungai Klang dan Sungai Gombak telah dijadikan pangkalan untuk mengangkut bijih timah.
"Ia kemudiannya disimpan di Gedung Raja Abdullah di Pengkalan Batu, Klang sebelum dieksport ke Barat melalui pelabuhan Singapura dan Melaka. Dikatakan pangkalan di bahagian kuala sungai yang agak berlumpur itulah membawa kepada kewujudan nama Kuala Lumpur pada hari ini," ujarnya.
Kerancakan aktiviti perlombongan telah mengubah landskap Kuala Lumpur menjadi sebuah pekan perlombongan yang padat dengan pelbagai aktiviti dan perniagaan. Keadaan itu turut menarik masyarakat luar untuk berniaga dan memulakan kehidupan baharu di situ.
Antaranya ialah Sutan Puasa yang tiba di Kuala Lumpur pada tahun 1859 lalu menjalankan perniagaan sehingga menjadi seorang ahli perniagaan yang kaya-raya dan disegani.
Beliau yang berasal dari Tobang, Hulu Mandailing, Sumatera berjaya menarik ramai orang Cina ke situ termasuk Kapitan Cina Pertama di Kuala Lumpur, Hiu Siew dan Ah Sze.
Pada 1862, Yap Ah Loy yang sebelum itu bekerja di lombong bijih timah di Lukut turut berhijrah ke Kuala Lumpur. Beliau dilantik sebagai Kapitan Cina Ketiga bermula dari 1868 hingga 1885.
Abdullah Zakaria berkata, tiga-tiga tokoh itu telah memainkan peranan penting terhadap perkembangan dan sejarah awal Kuala Lumpur.
Orang pertama
Katanya, biarpun kajian akademik mengesahkan Raja Abdullah sebagai pengasas Kuala Lumpur, namun ada juga hujah dan pendapat yang menyatakan ia adalah Sutan Puasa dan Yap Ah Loy.
"Misalnya, Abddur-Razzaq Lubis & Khoo Salma Nasustion dalam karyanya Raja Bilah and The Maindailing in Perak: 1875-1911 mengangkat Sutan Puasa sebagai pengasas Kuala Lumpur.
"Di samping itu, terdapat juga kenyataan menyatakan Yap Ah Loy sebagai bapa Kuala Lumpur moden dan turut diangkat sebagai pengasas Kuala Lumpur," ujarnya.
Justeru, Majlis Polemik Sejarah Malaysia Sesi ke-28 anjuran Arkib Negara Malaysia pada 13 Disember tahun lalu yang dihadiri para sejarawan, ahli akademik dan pelbagai organisasi berkaitan dilihat sebagai medium terbaik untuk memperjelaskan isu berkenaan.
"Kesimpulan kepada perbahasan yang dianjurkan, jelas bahawa Raja Abdullah merupakan individu pertama yang meneroka Kuala Lumpur iaitu sebelum kedatangan Sutan Puasa dan Yap Ah Loy.

PERKEMBANGAN drastik Kuala Lumpur mengubahnya menjadi antara bandar raya yang termaju pada hari ini.


"Ia sekali gus mengesahkan fakta yang tertulis dalam buku Sejarah Selangor oleh Buyong Adil pada tahun 1971 dan Glimpse of Selangor 1860-1898 oleh J.M Gullick bahawa beliau merupakan pengasas Kuala Lumpur," katanya.
Pada tahun 1866, berlaku Perang Kelang atau Perang Saudara Selangor di antara Raja Abdullah dan Raja Mahdi.
Tewas dalam pertempuran itu, Raja Abdullah akhirnya mengundur diri dari Klang. Beliau mangkat dan dikebumikan di Ketapang, Melaka.
Sementara itu, Raja Amzah Raja Sohot, 72, berkata, sebagai salah seorang keturunan Raja Abdullah, beliau berbangga dengan sumbangan yang dilakukan moyangnya itu terhadap sejarah Kuala Lumpur.
Katanya, sejak kecil tidak banyak kisah Raja Abdullah didedahkan kepada beliau dan keturunannya. Begitu juga dengan kejayaan Raja Abdullah membuka Kuala Lumpur dan menjadi orang Melayu pertama yang mengusahakan perlombongan bijih timah ketika itu.
"Orang dahulu sememangnya suka berahsia apatah lagi membabitkan soal keturunan. Lagi pun tidak banyak kajian dan penyelidikan yang dilakukan oleh para sejarawan seperti hari ini. Saya bertuah kerana ibu saudara, Raja Habibah yang merupakan Mak Andam Diraja Selangor sekitar tahun 70-an banyak berkongsi maklumat mengenai Raja Abdullah," katanya yang merupakan generasi kelima tokoh ulung itu daripada keturunan Raja Hasan, penghulu terkenal di Klang satu ketika dahulu.
Bekas pendidik di sebuah sekolah di ibu negara itu memberitahu, daripada kisah-kisah yang diceritakan telah mendorongnya untuk menjejaki dan mengumpulkan keturunan Raja Abdullah, bermula dari Raja Hasan sehinggalah anak-anaknya yang lain.
"Keturunan Raja Abdullah ini ramai, mungkin mencecah ribuan orang di seluruh negara sama ada berhijrah mencari kehidupan baharu atau faktor perkahwinan. Di sebelah saya misalnya ramai yang menetap di sekitar Klang dan Kuala Lumpur, Raja Ismail di Perak dan Raja Empeh di Pahang," katanya.
Silaturrahim
Raja Amzah berkata, pada tahun 2001 hasil usahanya dan waris-waris yang lain, buat julung-julung kali lebih 500 keturunan Raja Abdullah berjaya dikumpulkan dalam satu perjumpaan yang diadakan Kampung Jawa, Klang.
"Sejak itu, perjumpaan yang sama diadakan di sekitar Klang dan Kuala Lumpur. Tujuannya bukan untuk bermegah sebaliknya sekadar merapatkan kembali hubungan kekeluargaan yang terpisah sebelum ini di samping menjaga kebajikan mereka," kata bapa kepada lima cahaya mata itu.

PERHIMPUNAN waris-waris keturunan Raja Abdullah pada tahun 2001 berjaya merapatkan hubungan kekeluargaan yang terlerai selama ini.


Tambah Raja Amzah, kunjungan bapa saudaranya, Raja Abdul Rahim dari Pulau Penyengat, Riau, Indonesia ke Kuala Lumpur sekitar tahun 90-an turut membuka matanya mengenai salasilah Raja Abdullah yang berasal dari keturunan Raja Melayu Bugis di Luwuk-Sulawesi, melalui keturunan Daeng Parani.
"Sejak itu, saya semakin teruja untuk menjejaki keturunannya dengan lebih mendalam. Kebetulan, penglibatan saya dalam Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Selangor sebelum ini membolehkan saya melawat makam Daeng Parani di Kedah serta Daeng Merewah, Daeng Kemasi, Daeng Kemboja, Daeng Celak di sekitar Indonesia di samping mengenali susur galur keturunannya di sana.
"Sebagai salah seorang keturunannya kami bukan mahu sebarang pengiktirafan, cukuplah generasi muda hari ini mengetahui sejarah dan fakta sebenar," katanya.

Parkir selamat untuk wanita

Posted: 01 Feb 2013 01:58 AM PST



KISAH penganalisis teknologi maklumat, Canny Ong Lay Kian, 29, yang menjadi mangsa jenayah culik, rogol, bunuh dan bakar pernah menggemparkan negara lantaran ia antara kes paling kejam ke atas wanita.
Menyingkap kes Canny yang berlaku pada tahun 13 Jun 2003 itu, ia bermula apabila mendiang ibunya, Pearly Visvanathan dan adik perempuannya menghadiri majlis keraian di sebuah pusat beli-belah di ibu negara.
Mendiang dikatakan berpatah-balik seorang diri ke keretanya untuk mengambil tiket parkir, tetapi tidak kembali dan dipercayai diculik di lokasi berkenaan.
Bagaimanapun, empat hari kemudian, mayat Canny ditemui rentung di dalam longkang di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.
Rentetan daripada peristiwa itulah, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengeluarkan arahan semua pusat beli-belah di negara ini memasang kamera litar tertutup (CCTV) bagi membolehkan sesuatu kejadian dikesan di kawasan parkir.
Terbaharu, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin mengumumkan pusat beli-belah di ibu negara wajib menyediakan ruang letak kereta khusus untuk wanita yang memandu sendirian. Malah, pihak kementerian menekankan sekurang-kurangnya tujuh peratus kawasan letak kereta di sesuatu lokasi perlu disediakan khusus untuk wanita.
Tidak setakat itu, pemilik bangunan juga perlu melengkapkan kawasan itu dengan ciri keselamatan seperti butang panik, lampu yang lebih cerah, akses sekuriti dan berdekatan pintu masuk.
Inisiatif KLCC
Menyedari hakikat keselamatan pengguna amat penting, pusat beli-belah Suria KLCC menyahut seruan tersebut dengan menyediakan kemudahan parkir khusus untuk wanita. Rata-rata golongan wanita memuji langkah pihak Suria KLCC kerana menjamin keselamatan kepada kaum Hawa yang mengunjungi pusat beli-belah itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC, Andrew Brien berkata, parkir khas itu terletak di aras P2 sahaja.
Menurutnya, sebagai panduan pemandu, golongan wanita boleh mengenal pasti lot khas itu dengan mudah kerana terdapat logo wanita di dinding dan lantai kawasan tempat letak kereta pula berwarna merah jambu.

FARAH mengakui dia kini tidak lagi takut semasa berjalan ke tempat parkir pada sebelah malam.


Ketika ditanya mengenai syarat lain untuk memarkir di situ beliau memberitahu, ia sebenarnya dikhaskan untuk wanita yang datang secara berseorangan sahaja.
"Kita tidak menggalakkan mereka yang ditemani pasangan atau rakan-rakan. Ia hanya untuk wanita yang mengunjungi pusat ini secara bersendirian," katanya sambil memberitahu terdapat 142 lot parkir untuk wanita di situ.
Menurutnya, ia terletak berhampiran pintu masuk eskalator dan lif Suria KLCC.
Kesemua tempat letak kereta wanita itu di bawah pengawasan keselamatan, malah pegawai keselamatan di situ juga akan memastikan parkir tersebut tidak disalahgunakan oleh pemandu lain.
Sementara itu, Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Salleh Yusup menjelaskan, mengikut garis panduan pengeluaran lesen perniagaan kini, semua pemilik bangunan komersial terutama pasar raya wajib menyediakan unit parkir khas untuk wanita.
Mengulas mengenai perkara itu, beliau memberitahu sebelum sesuatu pembinaaan bangunan dijalankan, mereka perlu menyediakan ruang khas itu, manakala bangunan sedia ada pula tidak terkecuali untuk berbuat demikian.
"Jika mereka ingkar, lesen mereka tidak akan diperbaharui dan pembinaan bangunan baharu pula tidak akan diluluskan," tegasnya ketika dihubungi baru-baru ini.
Katanya, pihak DBKL mendapat respons baik dalam kalangan pemilik bangunan terhadap cadangan parkir wanita itu.
"Lagipun, cadangan merizabkan sedikit ruang itu perlu, memandangkan situasi semasa kejadian jenayah yang sering berlaku di kawasan parkir pusat beli-belah," ujarnya.
Lebih terjamin
Seorang usahawan kain, Farah Adibah Ismail, 30, berkata, dia teruja dengan perkhidmatan baharu itu kerana ia bukan sahaja satu bentuk kemudahan, bahkan bagi menjamin keselamatan kaum wanita.
"Menerusi tapak khas seperti ini ia boleh menangani kes jenayah dan mengelakkan wanita menjadi mangsa serangan seksual," katanya ketika ditemui di parkir Suria KLCC baru-baru ini.

BAGI meningkatkan tahap keselamatan di parkir merah jambu, kekerapan pegawai keselamatan meronda turut dipertingkatkan.


Akuinya lagi, golongan wanita yang gemar membeli-belah pada waktu malam juga boleh menarik nafas lega dengan pengenalan kemudahan itu.
"Selain kelengkapan keselamatan yang mencukupi, mereka kini tidak lagi perlu terburu-buru untuk membeli-belah. Langkah Suria KLCC perlu dicontohi oleh pusat beli-belah yang lain," tuturnya lagi.
Sementara itu, tinjauan Kosmo! mendapati kawasan tempat letak kereta untuk wanita mudah dikenali kerana terdapat logo wanita selain lantainya yang berwarna merah jambu.
Selain itu, terdapat petugas yang menaiki motosikal meronda-ronda di sekitar aras itu dan kawasan parkir itu dilihat berhampiran dengan eskalator.
Hasil pemerhatian Kosmo! juga mendapati terdapat papan tanda yang tertera tulisan 'hanya pemandu wanita tanpa penumpang' dibenarkan meletakkan kenderaan mereka di kawasan itu.
Seorang kakitangan swasta, Azila Aris, 43, turut memuji saranan kerajaan itu.
"Buat pertama kali menggunakan parkir ini, saya berasa selesa serta selamat apatah lagi kawasan sekitarnya dilengkapi dengan cahaya yang terang dan CCTV.
"Selepas ini, jika mahu membeli-belah seorang diri saya tidak lagi perlu bimbang kerana ciri-ciri keselamatan semuanya lengkap," jelasnya.

Pola pemikiran pengundi

Posted: 01 Feb 2013 01:55 AM PST

SESEORANG pengundi cenderung memilih calon berdasarkan karakter dan kredibiliti bukannya berdasarkan populariti parti semata-mata. - Gambar hiasan


TARIKH Pilihan Raya Umum Ke-13 belum lagi diumumkan, bagaimanapun bahangnya sudah mula terasa. Di mana-mana sahaja orang sudah mula bercakap mengenai politik.
Pada masa lalu, dalam konteks Malaysia, pemilihan dan faktor kemenangan calon tidak begitu sukar diramal.
Calon bagi parti-parti tertentu sudah dijangka memenangi pilihan raya dengan mudah. Waktu itu, pengundi memilih calon berdasarkan reputasi parti dan calon bukanlah isu utama kemenangan.
Bagaimanapun, beberapa keputusan pilihan raya mutakhir ini menunjukkan trend yang sukar dijangka. Ada calon yang kalah besar walaupun mewakili parti yang popular, manakala ada pula calon yang tidak dikenali menang majoriti walaupun parti yang diwakili tidak sepopular mana.
Walaupun pengundi mungkin mengenali calon yang bertanding di kawasan mereka, tetapi pada hakikatnya mereka mengenali sedikit sahaja mengenai diri calon berdasarkan persepsi yang mereka miliki.
Maklumat ini biasanya disimpan dalam bentuk 'skema' atau dalam bahasa yang mudah, maklumat yang disimpan di dalam mental individu.
Walaupun banyak perkara yang disimpan, bagaimanapun, antara yang selalu diingati ialah trait iaitu ciri atau karakter seseorang calon.
Secara asasnya, kajian-kajian menunjukkan bahawa sifat calon dijadikan asas apabila pengundi memilih seseorang calon bagi mewakili mereka.
Lebih empat dekad yang lalu, pengkaji psikologi seperti Rosenberg, Nelson dan Vivekananthan telah menunjukkan bahawa calon yang mempunyai ciri keperibadian terpuji, intelektual dan keupayaan humor lebih disukai oleh pengundi.
Sungguhpun begitu, antara aspek yang lebih utama dan sering disebut ialah calon yang 'boleh dipercayai' dan 'konsisten dengan pandangan' selalunya dianggap sebagai kriteria utama.
Sekiranya calon terbabit mempunyai ciri yang baharu, ia akan disimpan di dalam skema pengundi, tanpa memadamkan maklumat sebelumnya.
Misalnya, seseorang calon ketika usia mudanya ialah seorang pendokong hak asasi dan telah berubah menjadi seorang pejuang bahasa ketika berumur, beliau akan tetap dikategorikan sebagai seorang pendokong hak asasi.
Beri kepercayaan
Ciri calon juga dianggap kriteria yang lebih utama, bahkan jika dibandingkan dengan parti yang diwakili oleh calon sekalipun.
Sebab itu, kita dapati ada calon yang masih berjaya memenangi kerusi pilihan raya sekalipun mereka bertukar parti. Rakyat masih memberikan kepercayaan kepada mereka.
Kita juga mendapati dalam banyak persaingan politik, hal yang sering diperkatakan lebih banyak merujuk kepada sifat buruk seseorang calon dan bukannya isu yang melibatkan kebajikan rakyat. Semua ini adalah berkait rapat dengan tret atau sifat calon.
Di Amerika Syarikat, setiap kali pilihan raya, parti politik akan mengupah perunding bagi menanam kepercayaan negatif mengenai calon lawan kerana dikatakan maklumat negatif adalah lebih memberikan kesan kepada pola pengundian, berbanding maklumat positif mengenai parti itu sendiri.
Sekiranya trait atau ciri menjadi ramuan utama pemilihan calon, kita mungkin perlu bertanya sejauh mana pula isu atau persoalan polisi yang cuba ditonjolkan dalam pilihan raya?
Ia merupakan persoalan yang cuba dihuraikan oleh ahli psikologi bagi memahami gelagat pengundian manusia.
Kajian-kajian yang dijalankan pada akhirnya menunjukkan walaupun isu yang dihujahkan juga boleh memukau hati rakyat, ia bukanlah semudah yang dijangka. Ia perlu konsisten dengan ciri peribadi yang dimiliki oleh seseorang calon.
Misalnya, sekiranya calon A ialah seorang bukan Islam, tetapi cuba mempromosikan undang-undang syariah, ia mungkin tidak memberikan kesan kepada pengundi.
Penilaian kriteria
Calon B yang mendapat pendidikan di Barat dalam medium berbahasa Inggeris mungkin kurang diyakini sekiranya cuba mempromosikan pendidikan dalam bahasa kebangsaan.
Sebab itulah, 'boleh dipercayai' dan 'konsisten dengan pandangan' ini dianggap sebagai kriteria utama seseorang calon mempengaruhi pemilihan pengundi.
Mereka yang mempunyai ketekalan dalam satu-satu pandangan bagi jangka masa panjang, akan lebih mudah dipercayai.
Pengundi merasakan bahawa mereka mampu untuk mempertahankan pendirian mereka, sekalipun ada pandangan yang mungkin salah.
Sebab itulah, dalam kebanyakan topik perdebatan politik, biasanya pesaing politik akan cuba diremehkan dengan mencari ketidakselarasan antara apa yang mereka hujahkan dengan trait yang mereka miliki.
Sekiranya perkara itu menjadi perkara utama yang dilihat oleh pengundi, timbul pula persoalan tentang sejauh mana pentingnya parti yang diwakili oleh seseorang calon.
Dalam konteks ini, ahli psikologi merumuskan bahawa parti menjadi landasan persamaan sikap antara calon dan pengundi.
Sekiranya calon mewakili parti yang disukai oleh seseorang pengundi, mereka akan dianggap sebagai mempunyai pendirian yang sama dengan pengundi. Mereka akan lebih untuk mendapat simpati.
Bagaimanapun, semua ini masih tetap lagi bergantung kepada sejauh mana calon tersebut mempunyai ciri yang diutamakan oleh pengundi.
Calon yang tidak tetap pendirian dan tidak dipercayai mungkin bukan lagi calon yang boleh dianggap sebagai calon mampu menang dalam politik kontemporari hari ini. Politik adalah seni serba mungkin yang sangat sukar untuk diduga.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines