Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik |
- Sharnaaz Ahmad Kunci Mulut, Jauhi Shila Amzah
- Tasha Shilla Enggan Ulas Permohonan Maaf Neelofa
- Konflik Dengan Bapa Buat Syamsul Yusof Tertekan
- Shila Amzah: Saya tidak hilang, cuma cari ketenangan
- Tutti Frutti UK bukti kejayaan anak Malaysia
- 2 suspek kes rompak maut, motosikal terbabas
- 'Kenapa tampar anak saya?’
- Kubur lama di tengah Masjid Razaleigh
- Black hormati permintaan keluarga tunang
- Wincci, Jojo kekal tradisi
- Shila Amzah nafi lari daripada keluarga kerana Sharnaaz
- Lelaki disamun ketika isi minyak
- Padah berlumba di Jalan Yam Tuan
- Royal Belum World Drums kembali
- Pelesit rempit semakin biadab
- Perkhidmatan kembali pulih
- Skandal daging kuda dijual di Perancis
- Psy saksikan perarakan samba
- Nelayan tangkap ikan yu paus gergasi di Pakistan
- Wain ular dijual di Kampung Zisiqiao
- Kenderaan robotik gerudi batu
Sharnaaz Ahmad Kunci Mulut, Jauhi Shila Amzah Posted: 10 Feb 2013 06:57 PM PST Pemilik nama sebenar Sharnaaz Basir Ahmad, 28, berkata, dia mengambil pendekatan itu selepas timbul pelbagai kekecohan termasuk tindakan Shila yang melarikan diri daripada keluarga ekoran tertekan dengan pergeseran antara dirinya dan bapa penyanyi itu, ND Lala. "Saya sudah tidak mahu cakap apa-apa. Selepas apa yang berlaku, saya sudah malas hendak komen lagi," jawabnya ringkas ketika dihubungi mStar Online di sini, petang Ahad. Terbaharu, ND Lala tampil membuat kenyataan pada rancangan Melodi yang disiarkan pada Ahad di TV3, melarang aktor itu mengeluarkan apa-apa kenyataan mengenainya dan Shila bagi mengelakkan prasangka dan fitnah yang berterusan. ND Lala berkata, kenyataan Sharnaaz, selama ini bukan sahaja mencemarkan namanya tetapi turut memalukan keluarga. Kisah cinta Shila dan Sharnaaz menjadi tegang apabila ND Lala dikatakan tidak merestui hubungan pasangan terbabit. Malah Sharnaaz sebelum ini yang berhajat untuk merisik Shila pada Mac depan terpaksa membatalkan niatnya kerana masalah tersebut. Shila yang 'melarikan' diri selepas pulang dari Shanghai, China minggu lalu akibat tertekan dengan konflik itu bagaimanapun sudah kembali ke pangkuan keluarga pada Sabtu. Ditanya adakah dia menghubungi atau berjumpa dengan penyanyi itu, Sharnaaz berkata, dia lebih senang menjauhkan diri selepas apa yang berlaku. "Memang sudah malas (berhubung) selepas apa yang berlaku. Saya tidak jumpa atau hubungi dia sebab saya sudah jauhkan diri," jelasnya. Pada Jumaat lalu, Shila memuat naikkan rakaman kesedihannya sambil menangis teresak-esak ketika menyanyikan lagu Ombak Rindu dalam YouTube selain mengharapkan kejernihan terhadap kemelut yang melanda. | |||||
Tasha Shilla Enggan Ulas Permohonan Maaf Neelofa Posted: 10 Feb 2013 06:56 PM PST Tasha atau nama sebenarnya Natashasheila Abdul Razak, 26, berkata, dia tidak pernah menganggap hubungannya dengan Neelofa bermasalah walaupun timbul pelbagai spekulasi kononnya mereka bermasam muka sebelum ini. "Saya tiada apa hendak komen kerana memang tidak pernah anggap ada masalah antara kami. Saya seorang yang profesional dan terbuka," ulasnya ketika dihubungi mStar Online di sini, petang Ahad. Tasha berkata demikian sebagai respons kepada pengakuan Neelofa bahawa mereka bertembung buat pertama kali ketika siaran rancangan Wanita Hari Ini pada minggu lalu di TV3, sejak kes salah faham sebelum ini. Ujar Neelofa, dalam pertemuan singkat itu, mereka sempat berbual dan dia memohon maaf kepada Tasha atas komen yang diberikan berhubung kejayaan aktres itu sebagai Artis Baru Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 (ABPBH) menerusi sebuah akhbar mingguan. Ditanya mengenai hal itu, Tasha berkata, dia mengambil pendekatan untuk tidak mengulas lanjut kerana enggan kes itu berlanjutan. Beralih pada kerjaya, Tasha dia berharap drama bersiri terbaharu lakonannya iaitu Rindu Bertamu Di Abu Dhabi akan memberikan impak tersendiri. Tasha yang menggalas watak Ain Farohah berkata, sub-plot dan konflik yang berlainan pada setiap episod menjadikan jalan ceritanya menarik perhatian penonton kelak. "Saya tak nak anggap ia (drama) akan jadi fenomena atau pun tidak tetapi saya yakin jalan cerita yang menarik ini akan membuatkan penonton tertunggu-tunggu pada setiap episod," katanya. Drama bersiri 28 episod terbitan Zeel Production akan ditayangkan bermula hari ini pada setiap Isnin hingga Khamis, pukul 7 malam di TV3. Sebuah lagi telefilem lakonannya berjudul Cinta Burj Al Khalifa pula akan menyusul pada pukul 10 malam ini di Astro Prima (saluran 105). | |||||
Konflik Dengan Bapa Buat Syamsul Yusof Tertekan Posted: 10 Feb 2013 06:54 PM PST Syamsul, 29, berkata, konflik tersebut adalah masalah dalaman keluarga yang tidak perlu diperbesarkan oleh mana-mana pihak kerana ia membabitkan hubungan anak dan bapa. "Ini bukan isu besar pun. Masalah dalaman keluarga adalah perkara biasa pada mana-mana orang pun. "Saya tidak mahu ia diperbesarkan kerana orang tidak tahu kedudukan sebenar saya dalam hal ini," luahnya ketika dihubungi mStar Online di sini, petang Ahad. Syamsul berkata demikian sebagai respons kepada dakwaan kononnya hubungan dua beranak itu semakin renggang akibat sikap Syamsul yang melenggahkan proses suntingan filem aksi arahannya berjudul KL Gangster 2. Bagaimanapun, dalam laporan sebuah akhbar harian pada awal minggu lalu, Yusof menafikan hubungan mereka berantakan seperti didakwa. Sebaliknya, dia sekadar menggertak anak lelakinya menyegerakan proses suntingan filem terbitan syarikat produksi mereka, Skop Production itu. "Terguran dan cara papa (Yusof) agak keras tetapi saya ambilnya dari sudut positif. Mungkin itu caranya untuk membakar semangat saya. "Namun, orang luar tidak tahu tekanan sebenar yang saya lalui dan ia terlalu peribadi untuk dikongsikan," katanya. Ditanya mengenai perkembangan filem KL Gangster 2, Syamsul berkata, dia tidak dapat memberikan tumpuan penuh pada suntingan filem itu kerana turut mempunyai komitmen lain dalam syarikat keluarganya. "Saya bukan setakat fokus pada suntingan filem itu sahaja. Kalau diikutkan, saya terlibat dalam beberapa komitmen produksi lain di bawah Skop juga. "Insya-Allah, saya akan terbang semula ke Bangkok, Thailand dalam masa terdekat. KL Gangster 2 akan dapat disiapkan dalam masa dua minggu lagi," hurainya. KL Gangster 2 dijangka ditayangkan pada pertengahan tahun ini. | |||||
Shila Amzah: Saya tidak hilang, cuma cari ketenangan Posted: 10 Feb 2013 06:52 PM PST Shila juga menegaskan, dia tidak melarikan diri, sebaliknya hanya mencari ketenangan. Semalam, ND Lala membuat laporan polis setelah gagal menemui anak gadisnya itu. Tengah hari tadi polis Kajang mengesahkan Shila sudah ditemui dengan selamat oleh bapanya. Shila menjelaskan serba sedikit tentang perkembangan dirinya dalam status laman mikro Twitter yang dikemas kini petang tadi. "Awak tidak tahu apa yang telah saya lalui. Saya tidak melarikan diri. Saya cuma perlukan ketenangan fikiran, jauh dari orang-orang ini. "Kenapa saya tak boleh? Beritahu saya," tulis Shila pada jam 4.32 petang tadi. Shila juga menegaskan sekali lagi bahawa dirinya tidak hilang. "Sekali lagi, Sha tak hilang," tulisnya lagi. Melalui tweetnya juga, Shila difahamkan kini berada di Pulau Pinang bagi persembahannya pada majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Barisan Nasional (BN), esok. "Saya suka berada di Pulau Pinang... terasa seperti di rumah," tulisnya jam 10.04 malam tadi. Juara Asian Wave ini juga tidak bersetuju dengan tindakan ND Lala yang membuat laporan polis berhubung kehilangannya. "Laporan polis itu memang tidak seharusnya berlaku. Sigh (mengeluh)," tulisnya dalam mesej terbaru sekitar jam 10.20 malam. Berhubung kehilangannya, Shila dikatakan hanya menghantar satu pesanan kepada keluarganya yang mengatakan dirinya selamat. Namun, penyanyi ini menafikannya melalui interaksi dengan peminat. "Lebih baik jika awak menghubungi ibu bapa. Setiap ibu bapa akan melakukan perkara yang sama. Mereka cuma risaukan awak. Selamat, berada di rumah," tulis @dalyna88. Shila membalas, "saya melakukannya setiap hari." | |||||
Tutti Frutti UK bukti kejayaan anak Malaysia Posted: 10 Feb 2013 06:50 PM PST Idea tercetus ketika Iman Amanda Nasim menikmati ais krim tersebut di tanah air tetapi tidak dapat menikmatinya ketika di UK. Lantas, dia dan nekad mencari peluang untuk membuka perniagaan Tutti Fruitti di sana. Berbekalkan semangat yang tinggi, Amanda terbang ke Los Angeles, Amerika Syarikat bersendirian untuk menghadiri persidangan daripada wakil-wakil francais di seluruh dunia untuk membentangkan kertas kerjanya. Nyata, usahanya membuahkan hasil apabila kertas kerja yang dibuat diterima dan dia berjaya meyakinkan mereka bahawa makanan berkhasiat ini sesuai untuk semua peringkat umur. Mengusahakan perniagaan bersama abangnya, Andy Nasim dan dua lagi rakan kongsi Hashraf Hashim dan Ridzuan Nor, mereka membuka cawangan pertama Tutti Frutti di Covent Gardent, London pada 13 Disember 2011 sekali gus menjadi pemegang lesen utama jenama tersebut di UK di bawah pengurusan Tutti Frutti (UK) Ltd. Pengarahnya Andy Nasim berkata, kejayaan yang dicapai hari ini bukanlah semudah yang disangka. Pelbagai cabaran dihadapi demi untuk merealisasikan impian di negara orang. "Saya dan Hashraf menghabiskan masa sebulan di sekitar London untuk mencari lokasi terbaik dan memberi idea, namun semuanya ditolak dengan alasan kami masih muda dan tidak tahu apa-apa tentang perniagaan. "Tetapi Alhamdulillah, berkat usaha gigih kami berjaya membuka Tutti Frutti di sini dalam tempoh tiga bulan selepas itu," katanya. Lebih membanggakan apabila cawangan pertama mereka ini adalah yang pertama di UK dan Eropah serta terbesar di dunia dengan keluasan hampir 2000 kaki persegi di mana boleh memuatkan sehingga 50 orang dalam satu masa. Kejayaan empat anak muda ini juga sekali gus menaikkan nama negara di kota metropolitan, London. Sasar 15 cawangan francais Setelah lebih setahun beroperasi, Tutti Frutti UK kini memiliki tiga cawangan iaitu di Covent Garden, Whiteleys Bayswater dan Princes Street Edinburgh, Scotland serta sebuah francais di Brighton. Menurut Andy, Tutti Frutti UK menyasarkan untuk membuka 10 hingga 15 francais tahun ini bagi mengukuhkan lagi jenama perniagaannya di UK. Mereka juga diberi peluang untuk memasarkan produk keluaran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) selepas menerima kunjungan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar di cawangan Tutti Frutti tahun lalu. INFO -Tutti Frutti adalah jenama yang berasal dari California, Amerika Syarikat. -Sehingga kini, Tutti Frutti mempunyai lebih 600 cawangan di 24 negara seluruh dunia. -Di Malaysia, Singapura,Kemboja, Brunei,Thailand, Timur Tengahdan negara Afrika, Naza Tutti Frutti (M) Sdn Bhd adalah pemegang lesen utama untuk jenama tersebut. -Memiliki lebih 50 perisa, antara perisa paling laris di Tutti Frutti UK adalah laici dan keladi. -Tutti Frutti UK juga pernah menaja sebuah pasukan sempena perlumbaan motosikal antarabangsa Moto3. | |||||
2 suspek kes rompak maut, motosikal terbabas Posted: 10 Feb 2013 06:48 PM PST Dalam kejadian 12.30 tengah hari itu, penjenayah berusia 21 dan 27 tahun baru selesai menyamun kedai kek di Batu 6 Telok Kemang dan Lukut, Port Dickson sebelum larikan diri ke arah Seremban. Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Abd Wahab Harun berkata, sebaik saja kejadian samun itu, polis menerima maklumat orang awam menyebabkan polis bertindak mengesan kedua-dua suspek terbabit. "Polis mendapat maklumat kejadian itu dilakukan dua lelaki yang menunggang motosikal berkuasa tinggi warna hitam, menggunakan nombor pendaftaran palsu. "Jadi, kita telah buat hebahan kepada semua petugas untuk bertindak dan mengesan kedua suspek yang dipercayai berada tidak jauh daripada lokasi kejadian" katanya. Menurutnya, jam12.45 tengah hari, suspek berjaya dikesan di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) lebuh raya berkenaan sebelum kereta peronda polis, anggota cegah jenayah serta anggota trafik menghampiri suspek. "Bagaimanapun, kedua suspek terus memecut laju motosikal mereka untuk melarikan diri selepas menyedari kehadiran anggota polis. "Polis terus mengejar suspek selama beberapa minit sebelum motosikal ditunggangi suspek terbabas lalu melanggar pembahagi jalan di susur ke Mambau," katanya. Abd Wahab berkata, salah seorang suspek maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi tercampak dalam longkang, bagaimanapun meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ). "Hasil pemeriksaan kita menjumpai dua bilah parang panjang pada beg sandang salah seorang suspek. "Selain itu, kita turut menjumpai barang kes yang dilaporkan hilang iaitu sebuah telefon bimbit berjenama iphone 4 dan Samsung SII," katanya. Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan Seksyen 395 Kanun Keseksaan. | |||||
Posted: 10 Feb 2013 06:46 PM PST Omar Yusof, 55, berkata, dia dimaklumkan insiden itu berlaku pada 30 Januari lalu dan mendakwa tindakan guru itu menyebabkan anaknya, Nur Natasha Aziera, 11, malu untuk ke sekolah. Menurut Omar, insiden itu dikatakan berlaku ketika Nur Natasha Aziera memohon untuk keluar sebentar dari kelasnya tetapi tidak dibenarkan oleh guru terbabit. "Memang tidak salah tindakan diambil terhadap murid yang melakukan kesalahan. Namun ia harus dengan cara yang betul agar tidak timbul perasaan benci. "Saya sendiri tidak pernah memukul anak-anak di bahagian muka jika mereka melakukan kesalahan," katanya kepada Sinar Harian. Dalam kejadian kira-kira jam 1.15 petang itu, Nur Natasha meminta kebenaran daripada guru berkenaan untuk keluar sebaik tamat sesi kelas kerana terikat dengan jadual ko-kurikulum pada sebelah petang. Namun, tindakan itu tidak disenangi guru berkenaan sebelum menampar murid tahun lima itu di hadapan rakan sekelas lain. Omar berkata, selepas kejadian, dia cuba mendapatkan penjelasan lanjut daripada pihak sekolah menyebabkan guru berkenaan tampil dan memohon maaf. Bagaimanapun katanya, sebagai seorang bapa, dia kesal dengan kejadian itu dan menanggap tidak seharusnya berlaku, hanya disebabkan masalah kecil. "Pada hari kejadian memang saya ada di sekolah untuk menghantar makanan, tetapi agak terkejut apabila anak saya datang dalam keadaan menangis dengan kesan merah di pipi. "Saya kalau boleh nak selesai cara baik dan cuma minta pihak sekolah atau guru terbabit keluarkan satu surat mohon maaf atas tindakan tersebut," katanya. | |||||
Kubur lama di tengah Masjid Razaleigh Posted: 10 Feb 2013 06:40 PM PST Kebanyakan mereka daripada kalangan ahli jemaah terutama yang datang dari luar daerah ini sudah tentu membuat pelbagai andaian tersendiri, berikutan tidak mengetahui sejarah sebenar yang berlaku apabila melihat kubur yang dianggap pelik itu. Diakui semakin sukar untuk menjejak sejarah serangan komunis di Bandar Gua Musang sebelum negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 kerana kebanyakan orang lama yang asal tinggal di bandar ini telah meninggal dunia. Bagaimanapun, mujur masih ada rujukan menerusi catatan sejarah dalam diari mengenai serangan komunis itu yang ditulis sendiri bekas Penggawa Hulu Kelantan ketika itu, Allahyarham Nik Jaafar Nik Soh. Mangsa sarat mengandung Catatan sejarah itu masih sulit untuk diedarkan kepada umum kerana masih disimpan anak tunggal lelakinya sebagai kenangan walaupun hanya orang tertentu sahaja boleh mendapatkan salinan daripadanya sebagai bukti sejarah itu benar-benar berlaku. Sebenarnya kubur lama yang berada di tengah-tengah Masjid Razaleigh itu adalah kubur seorang wanita sarat mengandung, Allahyarham Nik Mah Nik Soh, yang mati dibunuh komunis secara kejam di dalam longkang berhampiran jalan masuk masjid. Serangan komunis itu yang pernah berlaku di Gua Musang pada 4 Januari 1943 apabila ramai orang Melayu ketika itu mati dibunuh dan hanya seorang penggawa ketika itu, Allahyarham Nik Jaafar yang berjaya melepaskan diri dari kepungan komunis. Nik Mah juga adik kepada Nik Jaafar gagal melarikan diri pada masa serangan itu berlaku kerana sarat mengandung. Allahyarhamah itu terpaksa berselindung di dalam longkang tersebut namun diserang hendap pasukan komunis yang menyerbu ke kawasan terbabit. Dalam keadaan ketakutan ketika itu, penduduk yang masih selamat mengusung jenazah Nik Mah yang dalam keadaan berlumuran darah ke dalam kawasan masjid sebelum membuat keputusan tanam di bahagian tangga belakang masjid itu. Pada waktu itu masjid berkenaan dibina dengan kayu dan mampu menampung hanya kurang 100 jemaah sahaja sebelum diubah suai 50 tahun kemudian untuk menampung bilangan jemaah bertambah ramai menyebabkan kubur terbabit berada di tengah-tengahnya. Sejarah serangan komunis ketika itu juga menyebabkan kebanyakan penduduk tidak boleh tinggal setempat dan kerap berpindah dari satu tempat ke tempat lain untuk mencari perlindungan termasuk sanggup berjalan kaki dalam hutan. Berselindung dalam longkang Allahyarham Nik Jaafar seperti yang tercatat dalam tulisan sejarahnya beliau lari seorang diri untuk meminta perlindungan di Balai Polis Bertam. Ini kerana kebanyakan rumah penduduk ketika itu termasuk kuarters kereta api dan balai polis di Gua Musang dibakar komunis yang mengganas dan merosakkan semua harta benda penduduk. Nik Mah dibunuh kejam serangan komunis itu bersama 25 orang Melayu terperangkap ketika berselindung dalam longkang berkenaan. Ada juga yang dibunuh ketika cuba menyeberangi Sungai Galas di belakang kedai Jalan Besar untuk menyelamatkan diri. Walaupun Gua Musang telah lama diwujudkan, tetapi bilangan penduduk Orang Melayu tidak ramai. Tumpuan utama komunis berkampung di Kampung Pulai yang selalu memeras ugut Orang Melayu bagi merampas harta termasuk makanan. Pendapatan utama penduduk ketika itu hanya mengharapkan kepada hasil tanaman dan kerap meminta bantuan kerajaan menerusi pejabat daerah ketika itu terletak di Kuala Krai kerana tanaman dimusnahkan komunis. Dengan tersiarnya catatan sejarah mengenai kubur Allahyarham Nik Mah dalam Masjid Razaleigh itu dapat memperjelaskan lagi kepada orang ramai berhubung perkara itu dan menjadi kenangan sepanjang masa. | |||||
Black hormati permintaan keluarga tunang Posted: 10 Feb 2013 06:36 PM PST
SETELAH putus cinta dengan kekasihnya pada akhir tahun lalu, penyanyi Hanifah Md. Hanafiah atau lebih popular dengan panggilan Black Mentor tidak mengambil masa yang lama untuk mencari teman pengganti. Namun begitu, lebih mengejutkan apabila tersebar berita yang menyatakan Black telah mengikat tali pertunangan dengan seorang gadis baru-baru ini. Kosmo! secara eksklusif pada 1 Februari lalu berjaya mendapatkan pengakuan Black mengenai pertunangannya pada 26 Januari lepas, namun dia enggan memberikan butiran terperinci termasuk identiti tunangnya itu. Ketika ditemui pada majlis penyampaian hadiah kepada pemenang Anugerah Juara Lagu ke-27 yang berlangsung di Sri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor pada 4 Februari lalu, Black masih enggan mendedahkan identiti tunangnya itu, meskipun telah diasak oleh pihak media. Kosmo!: Bolehkah jelaskan dengan lebih lanjut mengenai cerita pertunangan Black? BLACK: Pada kesempatan ini saya ingin menjelaskan bahawa berita tentang pertunangan saya itu memang benar. Saya telah bertunang pada 26 Januari lalu dalam sebuah majlis yang dibuat secara sederhana. Namun begitu, saya ingin memohon maaf kepada semua pihak, terutamanya rakan-rakan media dan peminat kerana merahsiakan perkara ini. Saya akui agak risau sekiranya ada mana-mana pihak yang berkecil hati. Siapakah individu yang telah bertakhta di hati Black itu? Buat masa ini, saya tidak boleh mendedahkan dengan lebih lanjut tentang tunang saya itu. Apa yang boleh saya katakan, kami sudah berkenalan selama dua bulan menerusi seorang rakan. Mengapakah Black sangat berahsia tentang pertunangan tersebut? Semuanya saya lakukan ini semata-mata atas permintaan pihak keluarga perempuan yang tidak mahu terlalu menjadi tumpuan ramai. Jadi, saya mengambil keputusan supaya lebih berahsia bagi menghormati permintaan mereka. Apatah lagi sepanjang tempoh pertunangan, pastinya pelbagai cabaran dan dugaan yang harus ditempuhi, maka kami perlu menjaga hubungan ini dengan sebaik-baiknya. Mengapakah Black mengambil keputusan untuk bertunang dengan begitu cepat? Memang perkenalan kami masih lagi agak baharu, namun keputusan ini dibuat setelah kami mencapai kata sepakat. Kalau ikut perancangan kami akan mengikat tali pertunangan selama setahun. Lagipun tiada apa yang perlu dibangkitkan tentang pertunangan saya ini, meskipun tempoh perkenalan kami agak singkat. Kalau kami terus membuat keputusan untuk berkahwin, sudah tentu akan timbul persepsi yang lain pula. Apakah yang membuatkan Black tertarik dengan gadis tersebut? Salah satunya kerana dia merupakan seorang gadis yang terpelajar, malah dia juga tidak tahu yang saya ini merupakan seorang penyanyi kerana dia menuntut di luar negara sebelum ini. Walaupun kerjaya saya sekarang sekadar sebagai penyanyi, dia langsung tidak kisah. Dia pernah memberitahu yang dia cuma inginkan seorang lelaki yang pandai mencari duit dan boleh menjaga dirinya. | |||||
Posted: 10 Feb 2013 06:34 PM PST
SOO WINCCI dan Jojo Goh sama cantik dan sama menawan. Kedua-duanya sedang meningkat naik dalam bidang seni tempatan. Biarpun berbangsa Cina tetapi mereka nyata terlebih dahulu popular dalam bidang seni tempatan dan dikenali dalam kalangan masyarakat Melayu. Tidak dinafikan, bakat yang dimiliki mereka cukup besar. Wincci merupakan bekas ratu cantik yang kini bergelar penyanyi, pelakon dan chef popular, khususnys selepas muncul dalam program Masterchef Selebriti Malaysia. Lebih hebat, dia kini telah melebarkan sayap seninya ke Taiwan. Jojo pula mula terserlah bakatnya menerusi filem 29 Februari terbitan KRU Studios. Menariknya Jojo juga mula terlibat dalam bidang seni apabila menyertai pertandingan ratu cantik Miss Chinese International pada tahun 2006 dan mula berlakon pada tahun 2010. Tahun ini menyaksikan, Jojo bakal melebarkan kerjayanya di Hong Kong. Rahsia tuah Wincci Bercerita mengenai sambutan Tahun Baru Cina yang disambut pada semalam dan hari ini, wajah Wincci terus bertukar ceria. Matanya yang bundar bertukar bulat dan mulutnya tidak henti-henti berkongsi pengalaman dan tradisi wajib yang harus dipatuhi setiap kali menjelangnya Tahun Baru Cina. "Orang Cina memang suka warna merah dan biasanya saya memiliki pelbagai koleksi pakaian berwarna merah dan lebih suka baju moden asalkan semuanya berwarna merah. "Bagi kami orang Cina, memakai baju warna merah merupakan tuah. Kalau boleh, satu badan harus warna merah dan tidak boleh pakai baju berwarna hitam," ujarnya yang meraikan sambutan Tahun Baru Cina kali ini di Kuala Lumpur. Kata Wincci: "Hari pertama memang ada pelbagai tradisi ketat yang wajib dipatuhi seperti tidak boleh menyapu. "Selain itu, sembilan jenis hidangan yang merupakan simbolik kepada tuah serta kekayaan turut disediakan. "Bukan itu sahaja, saya harus mengawal emosi supaya tidak marah-marah. Jika tidak, dipercayai sepanjang tahun saya akan selalu marah atau dimarahi orang," tuturnya yang turut melawat neneknya yang tinggal di Kampar, Perak. Wincci yang baru pulang dari Taiwan mengakui terkejut apabila masyarakat di sana tidak kenal Yee Sang iaitu campuran sayuran yang menjadi menu wajib setiap kali sambutan Tahun Baru Cina di Malaysia. "Ketika di Taiwan saya terlibat dalam satu program tunjuk bakat, saya pun menghidangkan Yee Sang cara Malaysia kerana sangkaan saya orang di Taiwan juga makan Yee Sang. "Agak mengejutkan apabila saya selesai menyiapkan hidangan Yee Sang mereka bertanya kepada saya, apakah Yee Sang? Saya terangkan kepada mereka dan saya sangat terkejut kerana mereka tidak ada menu Yee Sang pada Tahun Baru Cina di Taiwan. "Selepas itu baru saya tahu, amalan menghidangkan Yee Sang yang dimakan bersama keluarga hanyalah amalan masyarakat Cina di Malaysia. Walaupun saya orang Cina dan orang Taiwan pun orang Cina tetapi amalan dan budaya antara dua negara sangat berbeza," katanya yang telah melancarkan album bahasa Mandarin di Taiwan. Disebabkan ingin meraikan Tahun Baru Cina bersama keluarga, Wincci pulang dari Taiwan pada 27 Januari lalu dan akan berada di Malaysia sehingga bulan Mac ini sebelum kembali terbang ke Taiwan untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai penyanyi di sana.
Mahu ke Hollywood Selepas empat tahun mencuba nasib, masyarakat Malaysia telah mengenali siapakah Wincci dan telah melahirkan album Melayu berjudul, Terus Teranglah. Kini, gadis berusia 28 tahun itu ingin dikenali seluruh Asia sebelum melangkahkan kakinya ke Hollywood. "Tahun ini saya berazam untuk dikenali di seluruh Asia selepas Malaysia. Percubaan saya ke Taiwan nampaknya semakin membuahkan hasil. "Walaupun agak penat kerana terpaksa berulang-alik antara dua negara tetapi demi kerjaya berjalan secara seiring saya tidak kisah. "Peluang keemasan tidak datang banyak kali. Di Taiwan saya harus menjual segala bakat yang ada - menyanyi, berlakon, memasak dan menari. Saya cuba semuanya dan tidak akan putus asa," katanya yang menyambung pelajaran peringkat ijazah kedoktoran di Universiti Terbuka dalam jurusan pengurusan perniagaan. Jojo suka ceongsam Pertama kali bertemu dengan Jojo dengan gaya santai dan kemeja-T, langsung tidak menyangka bahawa usianya sudah mencecah angka 30 tahun. Wajah, keletah dan cara pertuturannya menggambarkan dirinya jauh lebih muda daripada usia sebenar dirinya. Tersenyum apabila dikatakan kelihatan muda, anak kelahiran Kuala Lumpur yang membesar di Alor Star, Kedah itu mengakui sudah terbiasa ditegur begitu. "Mungkin cara saya membawa diri serta tidak berapa tinggi menyebabkan orang sangka saya masih muda. Memang tidak kisah malah, saya gembira disangka muda," ujarnya dalam tawa. Bercerita tentang sambutan Tahun Baru Cina, ujarnya, setiap tahun walaupun sibuk dia pasti akan cuba untuk pulang ke kampung halamannya. "Saya boleh dikatakan sebagai budak kampung. Saya dijaga oleh nenek sejak berusia dua minggu. Boleh dikatakan selain ibu, nenek merupakan orang paling rapat dengan saya. "Sekarang nenek saya sudah meninggal dunia. Jadi, setiap kali sambutan Tahun Baru Cina, saya pasti akan sedih kerana teringatkan dia," kata Jojo dengan mata sedikit berkaca. Sama seperti orang lain, Jojo juga tidak ketinggalan mengenakan baju berwarna merah pada hari pertama sambutan Tahun Baru Cina. Bagaimanapun, baju tradisional ceongsam merupakan busana wajibnya setiap tahun. "Orang lain mungkin suka dengan baju moden seperti gaun pendek tetapi saya tetap suka pakai ceongsam. Sebenarnya sukar untuk saya mencari baju ceongsam yang berkenan di hati. "Sebab itu apabila jumpa yang cantik saya akan terus beli, tidak kiralah jika sambutan Tahun Baru Cina lambat lagi. Saya tidak kisah berjenama atau tidak asalkan saya selesa dan nampak cantik, saya akan beli," tuturnya. Namun, sambutan tahun ini agak berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya kerana Jojo bersama 10 orang anggota keluarganya yang lain bercuti di Taiwan. Katanya, ini merupakan kali pertama mereka pergi melancong pada sambutan Tahun Baru Cina. "Kami sengaja pilih Taiwan kerana senang untuk ibu-ibu saudara saya yang tidak tahu bertutur bahasa Inggeris boleh melancong dengan selesa kerana di Taiwan mereka bertutur dalam bahasa Mandarin.
SOO WINCC "Tambahan, kebetulan itu sahaja tarikh cuti panjang yang ada untuk kami semua dan ramai antara keluarga saya yang belum pernah berkunjung ke Taiwan," balasnya. Berlakon filem Hong Kong Tidak mengejutkan apabila Jojo sering diberi watak gadis berusia awal 20-an. Akuinya tidak terlambat untuknya melebarkan kerjaya ke luar negara selepas berlakon dua buah filem The Loan Shark dan 29 Februari. Peluang dan usaha merupakan kunci utama buatnya. Terbaharu, Jojo akan berada di lokasi penggambaran filem dari Hong kong yang masih belum mempunyai judul pada April ini. "Saya bersyukur kerana masih ada produksi luar yang melihat bakat saya. Lakonan merupakan cinta pertama saya yang tidak akan pudar sampai bila-bila. "Kerjaya bukan bergantung pada usia sebaliknya bakat yang ada. Selepas ini saya teringin untuk berlakon lagi dalam filem Malaysia jika ada tawaran yang sesuai," katanya. Dalam pada itu, Jojo yang merupakan graduan Komunikasi Massa dari Kolej Taylor, Kuala Lumpur kini dalam proses membikin novel pertamanya dalam bahasa Mandarin. "Kalau ikutkan saya bercita-cita menjadi penulis sebelum ini tetapi rezeki lebih kepada lakonan. Tahun ini, saya telah mula menulis sebuah novel tentang wanita dan cinta. "Jika tidak ada aral melintang, mungkin keluar pada bulan April atau pada pertengahan tahun ini," tuturnya yang ingin menakluki pasaran Asia menerusi lakonan. | |||||
Shila Amzah nafi lari daripada keluarga kerana Sharnaaz Posted: 10 Feb 2013 06:28 PM PST
KUALA LUMPUR - Penyanyi terkenal, Shila Amzah yang dilaporkan hilang selama seminggu menafikan dia cuba melarikan diri ekoran kemelut cinta yang mengaitkannya dengan pelakon Sharnaaz Ahmad. Shila atau nama sebenarnya Nur Shahila Amir Amzah, 23, sebaliknya menjelaskan, dia hanya ingin mencari ketenangan. Penyanyi itu dalam akaun Twitternya petang semalam berkata: "Kamu tidak tahu apa yang telah saya lalui. Saya tidak melarikan diri, saya hanya ingin tenangkan diri daripada semua orang. Kenapa tidak boleh? Beritahu saya." Shila bagaimanapun gagal dihubungi untuk penjelasan lanjut. Bapanya yang juga pelakon, ND Lala, 53, telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang pagi kelmarin selepas hampir seminggu kehilangan anak sulungnya itu. Bagaimanapun, Shila yang popular dengan lagu Patah Seribu serta menjuarai pertandingan Asian Wave 2012 ditemui dalam keadaan selamat oleh bapanya di Kemaman, Terengganu malam kelmarin. Difahamkan, penyanyi itu menghubungi bapanya selepas berita kehilangannya disiarkan akhbar semalam. | |||||
Lelaki disamun ketika isi minyak Posted: 10 Feb 2013 06:26 PM PST KAJANG - Seorang lelaki mengalami detik cemas apabila dilibas dengan sebilah parang ketika sedang mengisi minyak dekat Plaza Tol Batu 9, Lebuh Raya Cheras-Kajang di sini baru-baru ini. Dalam kejadian pada pukul 1 tengah hari, 31 Januari lalu, mangsa berusia lingkungan 40-an diserang sebelum dua suspek yang menaiki sebuah motosikal melarikan beberapa barangan milik mangsa. Nilai kerugian dianggarkan RM3,000. Menurut sumber, suspek dikesan bijak mengambil kesempatan dengan memilih mangsa yang berada di luar kawasan pemantauan kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak tersebut. "Ketika sedang mengisi minyak, mangsa didatangi dua lelaki bersenjatakan parang yang menaiki sebuah motosikal. "Suspek yang memakai topi keledar menutup muka kemudian melibas kepala mangsa, merampas telefon bimbit dan meragut rantai lelaki itu sebelum melarikan diri. Ketika kejadian tiada pelanggan lain di situ," katanya ketika ditemui di sini. Tambahnya, mangsa yang cedera di kepala kemudian dibawa ke sebuah hospital swasta berdekatan dan terpaksa menerima beberapa jahitan. | |||||
Padah berlumba di Jalan Yam Tuan Posted: 10 Feb 2013 06:25 PM PST SEREMBAN – Keghairahan 10 lelaki berlumba kereta di sekitar bandar ini tanpa mengendahkan keselamatan pengguna jalan raya lain membawa padah apabila mereka ditahan dalam satu operasi cegah lumba haram semalam. Kesemua pelumba itu ditahan dalam operasi hampir lima jam bermula pukul 1 pagi oleh sepasukan anggota dari Unit Khas Trafik Bukit Aman di sekitar Jalan Dato Bandar Tunggal dan Jalan Yam Tuan di sini. Menurut jurucakap unit berkenaan, kesemua individu tersebut berusia antara 21 hingga lewat 30-an. "Pemeriksaan lanjut turut mendapati kesemua enjin dan ekzos kenderaan tersebut telah diubah suai. "Lapan kereta juga didapati enjinnya telah ditukar namun tidak didaftarkan kepada pihak Jabatan Pengangkutan Jalan," katanya di sini semalam. Tambahnya, ketika ditahan semua pemandu berkenaan sedang berlumba sesama mereka dan tidak mengendahkan keselamatan pengguna jalan raya yang lain. | |||||
Royal Belum World Drums kembali Posted: 10 Feb 2013 06:23 PM PST KUALA LUMPUR – Peminat muzik irama dram tanah air berpeluang menikmati persembahan dram bertaraf antarabangsa daripada 10 buah negara sempena Royal Belum World Drums Festival 2013 yang akan berlangsung pada 20 hingga 24 Februari ini di Perak. Festival yang memasuki edisi kedua itu bertujuan mengetengahkan keindahan Hutan Belum di Banding sebagai destinasi pelancongan selain menjadikan kesenian sebagai salah satu daya tarikan pelancongan di negeri tersebut. Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pelancongan dan Teknologi Maklumat Perak, Datuk Hamidah Osman berkata, selain Malaysia, negara-negara lain yang akan mengambil bahagian adalah Australia, Mesir, India, Indonesia, Azerbaijan, Singapura dan Thailand. Jelas beliau, kumpulan dram tersebut akan menjelajah ke beberapa tempat di Perak bagi membuat persembahan iaitu di Aeon Seri Manjung, Taiping Sentral Mall, Mydin RTC Gopeng dan Mydin Meru Raya, Ipoh. "Acara pembukaan dan penutup pula dijadual berlangsung di padang Lapangan Terbang Gerik dan Dataran Majlis Bandaraya Ipoh yang turut dihadiri Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah. "Kita jangkakan kehadiran lebih 50,000 pengunjung dari dalam dan luar negara pada festival yang berlangsung selama lima hari itu. Masuk adalah percuma," katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam. | |||||
Posted: 10 Feb 2013 06:22 PM PST GOMBAK - Perangai biadab golongan pelesit rempit bagaikan sukar dibendung lagi apabila mereka terus menjadikan kawasan awam di Pusat Rekreasi Telaga Air Panas Selayang di sini sebagai tempat menunjuk lagak dan berkelakuan sumbang walaupun ia pernah dibongkarkan Kosmo! bulan lalu. Lebih ketara apabila golongan yang rata-ratanya berusia awal 20-an 'menawan' kawasan itu pada cuti umum Tahun Baru Cina sekali gus menyebabkan ketidakselesaan kepada orang awam yang ingin beriadah bersama keluarga masing-masing. Apa yang dikesalkan, mereka bukan sahaja berbuat bising dengan memerah minyak motosikal masing-masing malah ada yang tanpa segan silu berasmara dengan pasangan yang dibawa. Insiden memualkan membabitkan sekumpulan 25 hingga 30 pelesit rempit itu berlaku antara pukul 1 pagi hingga 4 pagi semalam. Seorang pengunjung, Abdul Hakim Abdullah, 27, berkata, kumpulan itu sering berkunjung ke kawasan riadah tersebut tanpa mengira hari bekerja mahupun pada cuti hujung minggu. "Kita datang ke sini untuk berehat-rehat dengan ahli keluarga terutamanya sewaktu cuti umum namun, kehadiran mereka yang begitu ramai menyebabkan kami berasa kurang selesa. | |||||
Posted: 10 Feb 2013 06:21 PM PST BUKIT MERTAJAM - Perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) antara bandar sektor utara yang terjejas selepas keretapi Ekspres Sinaran Utara tergelincir dan terbakar di Kampung Baru, dekat sini petang kelmarin pulih sepenuhnya semalam. Pengurus Kanan Pemasaran KTMB, Mohd. Noordin Kimi berkata, bermula pada pukul 9 pagi semalam, operasi KTMB dipulihkan mulai 9 pagi selepas gerabak kereta api Ekspres Sinaran Utara yang tergelincir dialihkan. "Kerja-kerja mengalih gerabak itu memakan masa hampir 19 jam, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam. Kelmarin lebih 150 penumpang kereta api Ekspres Sinaran Utara terkandas selepas tergelincir di Kampung Baru, di sini ketika dalam perjalanan dari Butterworth ke Kuala Lumpur. Dalam kejadian 2.20 petang itu, lokomotif kereta api milik KTMB yang membawa 10 gerabak penumpang turut mengalami kebakaran kecil dipercayai akibat kebocoran diesel. Noordin memberitahu, ekoran kejadian tersebut hampir 2,000 penumpang yang melibatkan beberapa perkhidmatan kereta api KTMB telah terjejas. | |||||
Skandal daging kuda dijual di Perancis Posted: 10 Feb 2013 06:20 PM PST
PARIS - Skandal daging kuda merebak di Perancis apabila enam rangkaian pasar raya di negara ini menarik produk mengandungi daging itu. Kerajaan Britain dan pemerintah Perancis kelmarin berjanji untuk menghukum pihak yang terlibat menjual daging tersebut. Menteri Hal Ehwal Pengguna Perancis, Benoit Hamon berkata, siasatan mendapati daging haiwan itu berasal dari Romania. Dakwaan itu dibuat walaupun terdapat penglibatan firma di Perancis, Belanda dan Cyprus dan sebuah kilang di Luxembourg. Menteri Alam Sekitar Britain, Owen Paterson berkata, lebih banyak kes pencemaran makanan mungkin berlaku selepas pihak peruncitan di negaranya melakukan ujian terhadap produk daging yang telah diproses. Sebuah unit makanan beku Britain, Fundus mula menarik semula produk lasagne yang mengandungi daging tersebut dari pasar raya atas nasihat daripada pihak pembekal, Comigel dari Perancis. Penarikan itu dibuat ekoran terdapat kebimbangan bahawa produk berkenaan mempunyai daging kuda. Skandal itu mendapat kritikan di Britain kerana memakan daging kuda dianggap sebagai pantang larang dalam masyarakat. Pihak berkuasa Britain turut menyatakan, ujian dilakukan untuk memastikan sama ada daging tersebut mengandungi dadah yang boleh membahayakan manusia. | |||||
Posted: 10 Feb 2013 06:19 PM PST RIO DE JANEIRO - Penyanyi rap Korea Selatan, Psy menari tarian menunggang kuda bersama penyanyi Brazil, Claudia Leitte pada Karnival Brazil di Salvador pada Jumaat lalu, lapor portal hiburan kpopstarz.com. Kehadiran mereka menarik kira-kira dua juta orang yang menyaksikan Psy membuat persembahan menerusi lagu Gangnam Style. "Apa khabar Salvador, dengar kata saya sedikit terkenal di Brazil. Justeru, anda boleh beri sorakan kuat untuk saya," kata Psy kepada penonton. Bintang berusia 35 tahun itu membawa rombongan pengiring seramai 15 orang. Psy tiba di bandar raya ketiga terbesar di Brazil itu awal Jumaat lepas. Psy turut menyaksikan perarakan kumpulan samba pada Karnival Rio di sini kelmarin. Penyanyi itu dilaporkan berada di Brazil selama dua hari. | |||||
Nelayan tangkap ikan yu paus gergasi di Pakistan Posted: 10 Feb 2013 06:19 PM PST KARACHI - Sekumpulan nelayan Pakistan menangkap seekor ikan yu paus gergasi sepanjang 3.65 meter pada 31 Januari lalu. Ikan seberat tiga tan itu ditangkap secara tidak sengaja oleh sekumpulan nelayan tersebut yang menaiki sebuah bot. Ia ditangkap 40 kilometer dari luar pantai Karachi. Bagaimanapun, ikan tersebut kemudian mati dan bangkai haiwan itu dibawa ke sebuah pelabuhan di sini pada 1 Februari lalu. Pihak Jabatan Perikanan Marin kemudian merampas ikan tersebut untuk tujuan kajian. Sampel ikan tersebut turut dihantar ke sebuah institut di Kanada bagi menentukan punca kematian dan umur haiwan itu. | |||||
Wain ular dijual di Kampung Zisiqiao Posted: 10 Feb 2013 06:18 PM PST BEIJING - Seorang penternak ular, Gao Shuihua menjual wain kemaluan ular di kedainya di Kampung Zisiqiao, timur China. Menurutnya, wain tersebut diperbuat daripada keluarga ular tedung paling berbisa di negara ini. "Itu (wain tersebut) merupakan tonik untuk kesihatan. Ia baik terutamanya untuk lelaki," kata seorang sepupunya seperti dilaporkan agensi berita AFP semalam. Bagaimanapun, Shuihua memberi amaran dengan berkata: "Jika ular tersebut menggigit anda, anda akan mati dalam tempoh empat jam". | |||||
Posted: 10 Feb 2013 06:17 PM PST CAPE CANAVERAL - Kenderaan robotik Curiosity menggerudi permukaan batu yang diberi nama John Klein di planet Marikh pada 8 Februari lalu, kata Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) kelmarin. Gambar-gambar yang dihantar semula ke Bumi menunjukkan terdapat lubang selebar 1.6 sentimeter (sm) dan sedalam 6.4sm pada permukaan batu tersebut. "Penggerudian pertama di Marikh untuk sampel sains itu merupakan satu kejayaan," kata NASA di Twitter. Seorang saintis NASA, John Grunsfeld menyatakan, penggunaan gerudi itu merupakan kejayaan terbesar buat Curiosity. Kenderaan itu mendarat di planet tersebut pada Ogos tahun lalu. Ia melaksanakan misi selama dua tahun untuk mencari petunjuk kehidupan di planet berkenaan. |
You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |