Khamis, 7 Februari 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Siti Saleha tak perlukan lelaki

Posted: 05 Feb 2013 08:41 PM PST

SALEHA muncul dengan pelbagai filem lakonannya pada tahun ini.


LELAKI mana yang tidak tertarik dengan kejelitaan yang dimiliki aktres Siti Saleha atau nama sebenarnya Siti Saleha Mohd. Baharum? Bagaimanapun, figura yang bakal muncul menerusi filem Kerat 14, gandingannya bersama aktor tersohor, Aaron Aziz ini mengakui tidak memerlukan perlindungan daripada seorang lelaki dalam kehidupannya.
Menurut pelakon berusia 23 tahun itu, dalam alam realiti, dirinya tidak sebegitu lemah seperti kebanyakan watak yang pernah dimainkan menerusi drama bersiri TV mahupun filem.
"Saya tidak memerlukan lelaki untuk menjaga ataupun melindungi diri saya kerana saya tidak selemah seperti watak-watak yang pernah saya bawakan dalam drama TV mahupun filem.
"Saya boleh menjaga diri saya sendiri, malah saya juga ada menyertai kelas muay thai sejak tahun lepas lagi sebagai langkah menjaga keselamatan diri," katanya.
Tambah Saleha, untuk menjadi seorang yang sangat lemah-lembut, pemalu, sensitif dan cepat emosi dalam lakonan merupakan satu perubahan karakter yang sangat mencabar bagi dirinya.
"Watak-watak yang diberikan kepada saya adalah sangat kontra daripada karakter sebenar diri saya, kerana saya sebenarnya seorang yang periang, berfikiran terbuka, tidak bergantung kepada lelaki, tegas dan suka berjenaka.
"Jadi untuk menghayati watak-watak yang penuh sifat kewanitaan dan gadis desa merupakan satu perkara yang sangat mencabar dan menguji mutu lakonan saya," katanya.
Masih solo
Menuntut kisah cinta daripada gadis jelita yang pernah dilanda kontroversi bercinta dengan seorang penjaga gol bola sepak, Syed Adney iaitu adik kepada pelakon Sharifah Sofea, Siti Saleha memberitahu, dia masih solo dan sehingga kini tidak mempunyai hubungan dengan siapa-siapa.
"Saya masih solo dan tidak mempunyai sebarang hubungan istimewa dengan mana-mana lelaki. Itu semua gosip. Bukan saya tidak mahu (bercinta), tetapi tiada siapa yang mahukan saya (ketawa)," katanya berjenaka.
Ujar Saleha lagi, dia kini sangat sibuk dengan jadual penggambaran yang padat.
"Saya kini sibuk berlakon untuk drama dan juga filem, jadi isu untuk mengadakan hubungan istimewa dengan mana-mana lelaki ini tidak menjadi keutamaan saya buat masa ini," katanya.
Selepas berjaya menambat hati para pononton di rumah, kini gadis sunti berusia 23 tahun itu beralih arah ke layar perak dengan filem-filem terbaharu yang bakal menjengah pawagam termasuklah Mamak Cupcake, Bravo, Pencinta, KL Zombie dan Kerat 14 yang bakal ditayangkan pada 14 Februari ini.
Menurut Siti Saleha, dia bagaimanapun akan terus berlakon drama dan tidak tertumpu kepada lakonan untuk filem sahaja.
"Saya akan mengimbangi lakonan saya di televisyen dan juga di pawagam. Bagi saya, itu yang terbaik. Jika saya memilih untuk berlakon di layar perak sahaja, penonton dan peminat saya yang mempunyai kekangan masa untuk ke pawagam mungkin tidak dapat melihat lagi hasil kerja saya. Jadi, saya rasa ia lebih adil buat mereka jika saya teruskan lakonan saya di dalam drama dan juga filem," katanya.
Adik kepada penyanyi kumpulan popular, Shamsul Anuar atau Sam Bunkface itu turut mengakui selepas tiga tahun mencurahkan seratus peratus komitmen dalam kerjayanya, dia kini mula menikmati pulangan setiap keringat yang telah dicurahkan dalam dunia hiburan tanah air.
"Alhamdulillah, pada tahun ini, rezeki saya mencurah-curah, tidak kiralah untuk drama bersiri mahupun filem. Saya sangat menghargai peluang-peluang dan kepercayaan yang telah diberikan kepada saya oleh penerbit-penerbit drama dan filem tersebut.
"Sebagai tanda berterima kasih kepada mereka, saya akan cuba beri yang terbaik sehingga tiba masa saya boleh berbangga dengan pencapaian dan hasil titik peluh saya sendiri," katanya.

Zach (X-Factor) Rancang Kahwin Hujung Tahun

Posted: 05 Feb 2013 08:40 PM PST

Zach sudah sedia mendirikan rumah tangga.
PETALING JAYA: Pelakon Zachery Francis atau lebih dikenali sebagai Zach mengakui sudah bersedia untuk mendirikan rumah tangga selepas kecewa kerana berpisah dengan kekasihnya yang dijalinkan selama sembilan tahun.
Zach, 35, yang juga bekas anggota kumpulan X-Factor berkata, dia kini telah menemui cinta baru dan merancang untuk berkahwin selewat-lewatnya pada penghujung tahun ini.
"Syukur akhirnya saya bertemu dengan seorang wanita yang saya sifatkan cukup sempurna di mata saya dan sangat selesa bersamanya," jelasnya kepada mStar Online.
Zach bagaimanapun enggan mendedahkan identiti kekasihnya itu namun mengakui wanita tersebut hanya orang biasa dan tidak terlibat dalam bidang hiburan.
"Cukup saya katakan sikapnya cukup buat saya senang dan hanya seorang wanita biasa yang cukup merendah diri," katanya.
Bercakap mengenai kerjaya seninya, Zach berkata, dia bersyukur masih diberi kepercayaan untuk memegang watak-watak utama dalam drama biarpun persaingan daripada pelakon yang jauh lebih muda semakin sengit.
Jelas Zach, biarpun popularitinya berada pada tahap sederhana namun dia tidak pernah merungut sebaliknya sentiasa berusaha untuk mengembangkan kerjaya lakonannya.
"Saya masih belum puas dengan pencapaian sekarang dan sentiasa mencari ruang untuk memperbaiki diri supaya menjadi lebih baik namun saya bersyukur dengan segala peluang diberikan kepada saya," katanya.
Tambah Zach, dia juga merancang untuk membuka sebuah syarikat produksinya sendiri sebagai jaminan masa hadapannya.
Dalam perkembangan lain, Zach baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama Adi Valentino selain beberapa projek lain yang masih dalam penelitiannya.

Iesya Tidak Terkesan Kerana ‘Bulu Mata Berduri’

Posted: 05 Feb 2013 08:40 PM PST

Iesya
PETALING JAYA: Pengacara Selamat Pagi Malaysia (SPM), Iesya Toh menegaskan aksesori bulu mata palsunya tidak memberi masalah walaupun segelintir pihak mendakwa imej berkenaan tidak bersesuaian dengan peranannya sebagai personaliti televisyen.
Iesya atau nama sebenarnya Nor Iesyatirradiah Sunny Toh, 29, berkata, dia tidak menggunakan bulu mata palsu terlalu kerap khususnya ketika hendak muncul di televisyen tetapi memakainya mengikut kesesuaian.
"Secara dasarnya saya tidak mengenakan bulu mata sepanjang masa dan hanya memakai mengikut kesesuaian sahaja kerana saya sedar SPM lebih kepada membincangkan topik-topik semasa dan saya tahu di mana batasannya untuk bergaya," jelasnya ketika dihubungi mStar Online pada Selasa.
Pengacara RTM ini diminta mengulas kritikan segelintir pihak yang mempersoalkan langkahnya yang mengenakan "bulu mata berduri"
Iesya mengulas laporan yang menyifatkan imejnya memakai aksesori mata sehingga menjadi seperti 'bulu mata berduri' yang tidak bersesuaian sebagai seorang personaliti televisyen.
Mengulas mengenai perkara itu, Iesya berkata, kelopak matanya kelihatan menyerlah mungkin disebabkan penggunaan pembayang mata dari warna tanah yang menyebabkan bahagian berkenaan lebih terserlah.
"Biasanya saya guna warna ceria supaya wajah kelihatan seimbang dan 'natural'. Bagaimanapun percubaan menggunakan warna tanah telah membuatkan bulu mata itu sangat menyerlah," jelasnya.
Dalam pada itu, Iesya berkata, dia tidak kisah namanya dikenali disebabkan kontroversi 'bulu mata' kerana ia bukan sesuatu yang mengaibkan.
Malah ia mungkin dapat memberikan tambah nilai kepadanya yang juga sedang mencipta nama sebagai penyanyi.
"Dulu Rozita Che Wan dan Eja pun orang kenal kerana bulu mata. Jadi saya tak lihat perkara itu sebagai masalah," katanya.
Sementara itu, Iesya memberitahu, dia kini baru sahaja selesai merakamkan sebuah lagu nyanyian asal Hetty Koes Endang berjudul Kasih sebagai single pertamanya yang akan dilancarkan pada bulan Mac depan.
Selain Malaysia, lagu berkenaan akan dipasarkan di Singapura dan Indonesia diikuti beberapa siri promosi untuk memperkenalkannya sebagai penyanyi.
"Insya-Allah jika semuanya berjalan lancar lagu Kasih akan mula dimainkan di radio pada Mac dan saya sudah pun selesai merakamkan lagu tersebut," jelasnya.

Yusof Haslam Nafi Hubungan Dengan Syamsul Tegang

Posted: 05 Feb 2013 08:39 PM PST


Yusof Haslam
PETALING JAYA: Penerbit filem Skop Production, Datuk Yusof Haslam menyangkal dakwaan kononnya hubungannya tegang dengan anaknya pengarah filem Syamsul Yusof.
Yusof berkata, tuduhan tersebut adalah tidak benar dan dia hanya menggertak Syamsul ekoran sikap lelaki berusia 29 tahun itu yang dilihat seperti melengahkan proses suntingan filem KL Gangster 2.
Katanya kepada Harian Metro, dia berbuat demikian bagi meningkatkan motivasi anaknya untuk menghasilkan filem berkualiti.
"Saya sayangkan dia (Syamsul), sayangkan masa depannya dan berharap sebelum kaki ini berundur, dia mampu membuktikan layak menerajui Skop Production.
"Syamsul perlu tahu, kalau bukan kerana bapanya orang tidak akan mengenalinya," kata penerbit berusia 59 tahun itu.
Difahamkan, hubungan dua beranak itu semakin renggang akibat sikap Syamsul yang melenggahkan suntingan filem aksi itu, selain tindakannya membintangi filem berjudul Oh Mak Kau.
Syamsul Yusof
"Saya tidak tahu kenapa dia menerima tawaran lakonan filem itu. Tindakan tidak matangnya menjejaskan nama sendiri.
"Namun sebagai bapa dan majikan, saya sentiasa menyokong selain menasihatinya," katanya.
Yusof berkata, Syamsul semakin berubah sikap selepas meraih banyak anugerah.
"Sebelum ini, dia mampu siapkan tiga filem setahun termasuk KL Gangster dan Khurafat tetapi KL Gangster 2 sudah mencecah dua tahun pun belum siap," katanya yang merancang untuk menayangkan filem sekuel itu selewat-lewatnya pada Ogos depan.
Kata Yusof, anaknya itu perlu memanfaatkan masa sebaik yang mungkin kerana setiap detik adalah pendapatan.
"Dia perlu hargai apa yang dimiliki sekarang," katanya.

Hanya 3 Pelakon Muncul Untuk Jelaskan Kontroversi 'Sahara'

Posted: 05 Feb 2013 08:37 PM PST


Barisan pelakon baru drama Sahara dari kiri Muaz, Arief dan Farid.
KUALA LUMPUR: Lain jadinya! Sidang media yang diatur untuk menjelaskan kontroversi drama Sahara menjadi sebaliknya apabila ia hanya dihadiri oleh tiga orang pelakon baru drama itu sahaja.
Majlis yang sepatutnya di adakan di sebuah restoran di Wangsa Walk di sini pada Selasa dikatakan terpaksa dibatalkan pada saat-saat akhir selepas mendapat arahan daripada pihak-pihak tertentu yang enggan kontroversi drama itu berlanjutan.
Sahara yang disiarkan menerusi saluran Astro Prima dikritik pelbagai pihak kerana dikatakan merendah-rendahkan martabat wanita berpurdah yang tidak menjaga adab kerana berpegangan tangan dengan lelaki bukan muhrim.
Tiga pelakon yang hadir ialah Farid Wari, 26, Muaz Aydyl, 23 dan Arief Farhan, 26.
Farid yang membawa watak Ustaz Zainal dalam drama itu berkata, para pelakon hanya dibenarkan memberi komen berdasarkan sudut peribadi sahaja tanpa melibatkan pihak produksinya iaitu Nusantara Seni Kreatif dan stesen televisyen yang menyiarkan Sahara iaitu Astro Prima.
"Apa yang ingin saya katakan di sini, kontroversi ini benar memberi tempias pada kami (para pelakon). Tak sangka pula, sidang media yang sepatutnya menjelaskan situasi sebenar dibatalkan pula.
"Walaupun tidak dikenali, tetapi kami telah dikecam menerusi laman sosial sehingga ada yang mengatakan yang kononnya kami adalah ejen Yahudi," katanya.
Tambah Farid, kontroversi itu juga membuatkan keluarganya dikecam daripada orang di sekeliling mereka.
Muaz yang membawa watak Badrul pula berkata, dia juga sering dikritik hebat menerusi laman Facebook dan risau sekiranya ia mampu menjejaskan karier lakonannya.
"Sudah lapan tahun saya di bidang lakonan dan ini adalah kali pertama kontroversi berlaku pada diri saya juga pelakon-pelakon lain.
"Risau juga, jika tidak diselesaikan, ia boleh mengganggu perjalanan karier saya," ujarnya.
Bagaimanapun, Arief, memegang watak Mubarak pula berkata, walaupun isu ini mampu menjatuhkan karier seseorang, namun dia memikirkan perkara tersebut daripada segi positif kerana ia secara tidak langsung memperkenalkan nama mereka kepada umum.
"Benar, dari segi positifnya, kami sudah dikenali, walaupun hampir lapan tahun berkecimpung dalam dunia lakonan.
"Namun saya tetap berdukacita kerana dikenali menerusi cara kontroversi yang tidak baik dan memalukan keluarga," ujarnya.
Sebelum ini akhbar melaporkan Pengurus Kumpulan Saluran Hiburan Astro, Azlin Reza Azmi dipetik sebagai berkata apa yang tercetus itu hanyalah salah faham dan tidak sepatutnya dijadikan isu memandangkan banyak mesej positif yang ingin disampaikan dalam drama berkenaan.
Pihak Astro juga tidak berhasrat mengulang siar drama itu selepas mendapat bantahan banyak pihak.
Drama bersiri 15 episod itu mula ditayangkan pada 14 Januari lalu dan berakhir pada 1 Februari lepas.

YA1M Agih RM2,000 Kepada 130 Artis Veteran

Posted: 05 Feb 2013 08:36 PM PST


Penganjur dan para artis yang menerima sumbangan daripada peruntukan Yayasan Artis 1 Malaysia.
KUALA LUMPUR: Seramai 130 artis veteran yang berumur 60 tahun ke atas dari pelbagai bangsa telah menerima sumbangan wang ihsan menerusi Yayasan Artis 1 Malaysia (YA1M) berjumlah RM2,000 setiap seorang bersempena sambutan Tahun Baru Cina yang akan disambut 10 Februari ini.
Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Senator Datuk Maglin Dennis D'Cruz berkata, sumbangan itu diberikan sebagai penghormatan perkhidmatan dan jasa mereka dalam industri seni tanah air.
"Ucapan terima kasih harus diberikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah meluluskan peruntukan sebanyak RM5 juta khas buat golongan artis menerusi YA1M.
"Ini adalah misi sebenar YA1M bagi membantu meringankan beban golongan artis veteran yang mempunyai masalah seperti penyakit, kesempitan hidup dan sebagainya.
"Sumbangan yang dibuat pada hari ini diharap dapat meringankan beban mereka bersempena dengan Tahun Baru Cina yang bakal disambut tidak lama lagi," ujarnya ketika merasmikan majlis tersebut di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini pada Selasa.
Jamil Sulong menerima sumbangan daripada Maglin Dennis D'Cruz sambil diperhatikan DJ Dave (tengah) dan pelakon Nancie Foo.
Tambah Maglin, pihak kerajaan sentiasa prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh penggiat seni dan akan terus bekerjasama dalam membantu dari aspek kebajikan dan pembangunan industri hiburan tempatan.
Antara artis yang menerima sumbangan itu adalah Datuk Jamil Sulong, Datuk Ahmad Nawab, Datuk David Arumugam, Aspalela Abdullah, Fauziah Nawi, Yap Chin Fong, Charles Ambrose, Gopal Doraisamy, Accapan dan Lai Meng.
Dalam pada itu, Presiden YA1M, Datuk DJ Dave berkata, sumbangan itu bukan sahaja kepada mereka yang berumur 60 tahun ke atas tetapi juga diagihkan kepada artis yang diserang penyakit, kematian dan ditimpa masalah.
DJ Dave berkata, pihaknya telah berusaha sedaya mungkin bagi menjejaki artis-artis veteran yang layak meraih dana tersebut dan mengalu-alukan penglibatan persatuan lain untuk bekerjasama dengan mereka pada masa hadapan.
Artis-artis berbangsa Cina juga turut menerima sumbangan sempena sambutan Tahun Baru Cina.
"Masalah timbul apabila ada artis yang telah bertukar alamat dan tidak dapat dihubungi.
"Pihak persatuan lain dialu-alukan untuk menjejaki dan memberi usul untuk membantu mereka dengan berhubung terus pihak YA1M," katanya.
Jelasnya lagi, pihaknya juga telah merangka pelbagai aktiviti untuk tahun 2013 bagi mendapatkan dana daripada badan korporat dan sekali gus dapat meneruskan usaha murni mereka membantu golongan artis yang kurang bernasib baik tanpa terlalu bergantung harap kepada kerajaan.
Terdahulu, DJ Dave berkata, pihaknya sebelum ini telah menyampaikan sumbangan kepada 110 artis sebanyak RM2,000 seorang pada majlis yang berlangsung di Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (Finas) pada 4 Januari lalu.
Antara artis yang telah menerima sumbangan itu adalah Mariani, Sofea Ibrahim, Datuk Aziz Singah, Hamid Gurkha, Tamam Idris, Zaiton Sameon dan Ruminah Sidek.

Shila harap 'konflik cinta' boleh selesai dengan baik

Posted: 05 Feb 2013 08:31 PM PST


Shila Amzah dan Sharnaaz Ahmad.
Shila Amzah dan Sharnaaz Ahmad.
PENYANYI popular, Shila Amzah berharap kontroversi terbaru melibatkan ayahnya, ND Lala dan kekasihnya, Sharnaaz Ahmad, yang juga seorang pelakon, dapat diselesaikan dengan "sebaiknya."

Sebelum ini, ND Lala membuat kenyataan di media dengan menuduh Sharnaaz biadab berhubung niat pelakon itu yang tetap mahu meneruskan rancangan merisik anak perempuannya itu meskipun sudah dilarang.

ND Lala dikatakan tidak bersetuju terhadap perancangan itu kerana mahu Shila menumpukan sepenuh perhatian kepada kerjaya.

Kenyataan ND Lala itu dikatakan telah mengguris hati keluarga Sharnaaz.

"Shila nak menjelaskan semua perkara yang telah terjadi setelah sekian lama Shila berdiam diri.

"Sebagai seorang anak kepada ibu bapa dan sebagai seorang kekasih kepada Sharnaaz, Shila sangat berharap perkara ini boleh diselesaikan sebaiknya," katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, penyanyi berusia 23 tahun ini juga memohon maaf kepada semua pihak termasuk keluarga kekasihnya itu.

"Tentang Sharnaaz, Shila ingin memohon maaf secara terbuka kepada Sharnaaz dan keluarganya atas apa yang telah terjadi. Terima kasih kerana melayan Shila dengan baik selama hari ini.

"Janganlah semua menghukum Sharnaaz atas kenyataannya. Dia tidak sepenuhnya bersalah. Shila mengambil sepenuh tanggungjawab atas semua 'damage' yang telah berlaku kepada Sharnaaz dan keluarganya," katanya.

Juara Asian Wave ini juga memberitahu tidak sanggup melukakan hati kedua ibu bapanya.

"Shila memahami situasi ibu bapa Shila dan kenapa mereka begitu menjaga Shila daripada pelbagai aspek... mereka menyayangi Shila.

"Takkan ada orang lain yang boleh menggantikan tempat mereka di hati Shila. Shila takkan sanggup melukakan hati mereka untuk berbuat sesuatu keputusan yang mereka tidak redhai," katanya yang turut berharap semua pihak yang terlibat dapat berdamai.

Sementara itu, Shila juga meminta maaf kepada pihak media dan peminatnya.

"Shila minta maaf kepada semua rakan-rakan media kerana tidak memberi kerjasama atas semua spekulasi yang telah berlaku.

"Shila juga ingin memohon maaf kepada semua Shilalas (peminat) kalau ada yang terguris hati. Demi ALLAH, Shila sangat sayangkan anda semua," katanya.

Seakan pasrah dengan hubungannya dan Sharnaaz, Shila menyerahkan semuanya pada takdir.

"Shila sentiasa percaya pada qada' dan qadar. Seandainya ia baik untuk Shila maka dekatkanlah dan andai kata ia membawa kemudaratan untuk Shila maka jauhkanlah.

"Jodoh, pertemuan, ajal dan maut di tangan ALLAH," katanya.

Kaka tumpang populariti Zizan?

Posted: 05 Feb 2013 08:30 PM PST


Kaka
Kaka
Kehadiran penyanyi bertubuh genit ini dalam industri seni, pantas menarik perhatian ramai peminat. Apatah lagi, single pertamanya, Bawaku Pergi, yang turut menampilkan Zizan, menjadi siulan ramai.

Biarpun hanya tampil dengan satu lagu, masih ramai yang mengingati dan menanti buah tangan terbaru dari pemilik nama sebenar, Nor Atiqa Noor Azraff ini.

Justeru, bagi mengubati dan menunaikan permintaan peminatnya, Kaka kembali dengan single baru ciptaan Amar dari kumpulan Drama Band.

"Ini lagu pertama saya nyanyikan secara solo. Buat masa ini tajuknya juga belum diberikan.

"Berbeza daripada single pertama, lagu kali ini lebih menguji dan menonjolkan vokal saya. Manakal dari segi genre pula ia mengetengahkan rentak RNB Balada," katanya kepada Zass, baru-baru ini.

Tambahnya, single itu dijangka akan siap sepenuhnya dalam masa yang terdekat dan dijangka akan dilancarkan akhir bulan ini.

Tumpang populariti Zizan?
Sudah menjadi lumrah dan asam garam anak seni, mereka sering dikaitkan pelbagai kontroversi dan Kaka juga tidak terlepas daripada perkara itu.

Sering dilihat bersama Zizan di beberapa majlis tertentu, Kaka kini dikatakan cuba mengambil kesempatan terhadap populariti pelawak dan pengacara itu.

"Apa yang dikatakan khabar angin itu adalah tidak benar sama sekali. Saya sudah menganggap Zizan seperti seorang abang dan saya amat terhutang budi kepadanya kerana dialah orang yang bertanggungjawab membawa Kaka ke dalam industri ini.

"Walaupun sering bersama menghadiri majlis tertentu, itu juga tidak bermakna kami sepasang kekasih. Hubungan saya dengannya hanyalah sekadar hubungan profesional dan tidak lebih daripada itu," katanya.

Bagaimanapun, Kaka akui tidak mampu mengubah pemikiran negatif sesetengah pihak dan sebagai seorang penyanyi, dia tidak mahu terlalu memikirkan soal itu.

Saya cuma ubah penampilan - Azza

Posted: 05 Feb 2013 08:07 PM PST

KEPUTUSAN yang dibuat Azza untuk bertudung adalah atas pilihan dirinya sendiri.


SEMENJAK kebelakangan ini, sudah ramai selebriti wanita tanah air yang telah melakukan penghijrahan terutamanya dari segi penampilan yang lebih muslimah.
Kali ini, tiba pula giliran pelakon dan penyanyi Nor Azzarima Zawari atau Azza, 34, yang pernah popular bersama kumpulan Elite suatu ketika dahulu apabila kini turut tampil bertudung.
Berkesempatan menemui Azza pada majlis pelancaran produk Zarraz yang diadakan di Hotel Concorde, Shah Alam, Selangor baru-baru ini, dia mengakui sudah mula bertudung sejak 6 Januari lalu.
Masih tetap kelihatan manis dan anggun apabila sudah bertudung, Kosmo! juga cuba mengorek kisah di sebalik penghijrahan yang dilakukannya itu.
Kosmo!: Bolehkah Azza kongsi sedikit tentang perubahan penampilan sekarang?
AZZA: Hati saya mula terdetik untuk bertudung ketika berlakon drama Mujahid pada tahun lalu. Dalam drama tersebut saya memegang watak sebagai seorang majistret yang bertudung.
Kemudian pada 22 Disember lalu, saya telah menemani ibu ke majlis perkahwinan saudara kami di Pulang Pinang. Pada majlis tersebut saya lihat semua saudara-mara termasuk sepupu saya semuanya bertudung.
Akhirnya sewaktu dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur, tiba-tiba timbul perasaan sedih terhadap ibu kerana saya seorang sahaja yang masih belum bertudung berbanding ahli keluarga sebelah ibu saya.
Kemudian apakah yang berlaku seterusnya?
Pada mulanya saya masih lagi berbelah bahagi sama ada mahu bertudung atau tidak. Namun begitu, suami saya (Azlan Zulaily) banyak memberikan dorongan dan sokongan kerana dia memang mahu lihat saya bertudung.
Akhirnya, pada 6 Januari lalu saya mula memakai tudung dan tampil dalam khalayak umum untuk acara Anugerah Juara Lagu ke-26 di Stadium Putra Bukit Jalil.
Apakah perasaan Azza setelah bertudung?
Saya berasa tenang dan gembira dengan keadaan sekarang ini, cuma saya perlu kuat dari segi mental dan fizikal. Tidak dinafikan banyak cabaran yang perlu saya lalui apabila mengambil keputusan sebegini.
Antaranya, pandangan sesetengah pihak beranggapan pelakon yang sudah bertudung akan kurang mendapat tawaran berlakon. Namun begitu, bagi saya rezeki sudah ditentukan oleh Allah dan faktor bertudung tidak boleh dijadikan alasan.
Bagaimanakah pula dengan perkembangan kerjaya Azza sekarang?
Walaupun kini sudah bertudung saya masih lagi berlakon, menyanyi dan mengacara. Apa yang berubah cuma penampilan sahaja dan ia langsung tidak menghalang untuk saya terus bergiat aktif dalam bidang seni.
Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk menyeru kepada para penerbit dan pengarah supaya terus memberi peluang kepada artis bertudung berlakon dengan watak yang bersesuaian dengan imej yang ditampilkan.
Adakah Azza ada melakukan sebarang aktiviti yang lain?
Pada awal tahun ini saya telah memulakan perniagaan bedak sejuk yang menggunakan jenama Azzas yang berharga RM20 sebotol. Idea untuk menjalankan perniagaan ini sudah lama, cuma sekarang ini barulah saya ada masa untuk melakukannya secara kecil-kecilan.

Telefilem Walit Walid kisah perjuangan wanita

Posted: 05 Feb 2013 08:06 PM PST


BARISAN karyawan telefilem, Walit Walid yang dihasilkan bersempena Hari Wanita Sedunia yang bakal diraikan pada 18 Mac setiap tahun.


DALAM sesebuah drama atau telefilem yang ditayangkan, golongan isteri selalunya digambarkan sebagai tulang belakang terhadap sesebuah kejayaan yang diraih oleh suami.
Bagaimanapun, telefilem berjudul Walit Walid yang diterbitkan oleh Unit Drama TV Radio Televisyen Malaysia (RTM) memaparkan sebuah jalan cerita dari sudut berbeza iaitu kejayaan seorang wanita yang banyak disokong oleh suami.
Telefilem berkenaan mengisahkan tentang seorang isteri bernama Natasha yang menolak bekerja di pejabat suaminya dan berhasrat menjalankan perniagaan sendiri.
Akhirnya, suami Natasha iaitu Walid telah menghadiahkan sebuah rumah burung walit dan bermulalah kerjaya isterinya itu sebagai pengusaha burung walit yang berjaya.
Namun begitu, Natasha terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran apabila suaminya lumpuh setelah mengalami kemalangan jalan raya serta sikap ibu mertuanya yang tidak merestui perkahwinannya dengan Walid.
Pengarah Walit Walid, Nurfadilla Kamal Shah yang ditemui pada majlis pelancaran yang diadakan di Shah Alam, Selangor menjelaskan, drama berkenaan dihasilkan bersempena dengan Hari Wanita Sedunia yang akan disambut pada 18 Mac setiap tahun.
"Sebelum telefilem ini dihasilkan, pihak atasan RTM telah meminta Unit Drama TV RTM supaya menghasilkan sebuah telefilem yang bertemakan tentang wanita.
"Pada mulanya saya ingin menghasilkan sebuah cerita mengenai cinta, tetapi apabila difikirkan semula cerita sebegitu terlalu klise. Kami lalu bercadang untuk memaparkan kisah kejayaan seorang wanita," ujarnya yang kali pertama mengarah telefilem.
Antara barisan pelakon yang menjayakan telefilem Walit Walid ialah Ery Putra (Walid), Sharifah Anis Syed Zainal Al Idrus (Natasha), Aznah Hamid (Mak Salma), Mas Muharni (Diana), Livonia (Nina) dan Adam Shah (Effendi).
Menurut Nurfadilla, sebelum telefilem berkenaan memulakan penggambaran pada 2 Februari lalu dia ada menerima beberapa buah skrip, tetapi kebanyakannya menampilkan jalan cerita yang agak berat.
Setelah beberapa penilaian dibuat akhirnya dia tertarik dengan skrip yang dihasilkan oleh Tommy Ct Loh kerana jalan cerita yang lebih ringan dan mudah difahami.
Ketika ditanya mengenai perniagaan burung walit sebagai plot utama telefilem berkenaan, Nurfadilla memberitahu bisnes tersebut masih lagi kurang sinonim terutama dalam kalangan masyarakat Melayu.
"Sebenarnya saya ada melakukan sedikit kajian mengenai perniagaan ini. Menerusi kajian tersebut, saya dapati ia merupakan perniagaan yang boleh mendatangkan pendapatan yang cukup lumayan," ujarnya.
11 telefilem
Mengenai pemilihan para pelakon pula, Nurfadilla mengakui pada mulanya dia memang berhasrat untuk menampilkan banyak nama popular membintangi telefilem berkenaan.
Bagaimanapun, ada pelakon yang terpaksa menolak kerana jadual yang tidak sesuai, namun tetap berpuas hati dengan barisan pelakon yang sedia ada terutamanya Ery dan Anis selaku teraju utama.
"Biasanya untuk drama atau telefilem yang ditayangkan menerusi saluran RTM, pihak stesen sememangnya turut menggalakkan pembabitan pelakon-pelakon baharu.
"Anis yang memegang watak Natasha misalnya, dipilih memandangkan dia antara pelakon baharu yang sedang meningkat naik. Selain itu, saya juga mahukan watak Natasha dipegang oleh seorang pelakon yang bertudung," jelasnya.
Bagi mereka yang ingin mengetahui kesudahan telefilem tersebut, ia akan disiarkan di saluran TV 2 pada 12 Mac ini menerusi Slot Citra pada pukul 10 malam.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Seksyen Produksi TV RTM, Norliza Mohd. Ali yang turut hadir pada majlis pelancaran tersebut memberitahu Walit Walid merupakan telefilem pertama yang dihasilkan oleh Unit Drama TV RTM untuk 2013.
Ujarnya, pada tahun ini unit tersebut sudah merancang untuk menghasilkan sebanyak 11 telefilem berdasarkan sambutan hari-hari tertentu seperti Hari Guru, Hari Ibu, Hari Kemerdekaan serta perayaan Aidilftri dan Aidiladha.
"Selama ini pihak RTM begitu dikenali kerana menghasilkan produk-produk berkualiti dan sinonim dengan penonton seperti drama Opah yang pernah mendapat sambutan yang baik.
"Pada tahun ini kami akan meneruskan kesinambungan dengan menghasilkan drama dan telefilem yang lebih menarik sebagai langkah memberikan saingan dalam industri hiburan di negara ini," ujarnya.
Menurutnya, selain 11 telefilem unit berkenaan juga bakal menghasilkan sebuah drama bersiri sebanyak 30 episod berjudul Balqis yang akan ditayangkan sepanjang bulan Ramadan akan datang.

Perogol bersiri dipenjara 115 tahun

Posted: 05 Feb 2013 08:04 PM PST

RABIDIN ketika di luar Mahkamah Majistret Bentong pada Disember tahun lalu.


RAUB – Mahkamah Sesyen di sini semalam menjatuhkan hukuman penjara 115 tahun dan 50 sebatan terhadap seorang penganggur, Rabidin Satir, 42, selepas mengaku salah atas empat dakwaan rogol dan satu tuduhan meliwat.
Dia dikenakan hukuman penjara 25 tahun dan 10 kali sebat bagi setiap tuduhan rogol serta tambahan 10 lagi sebatan dan 15 tahun penjara bagi tuduhan liwat.
Semua hukuman dijalankan berasingan bermula tarikh ditangkap pada 14 November tahun lalu.
Rabidin yang berasal dari Tambunan, Sabah dituduh mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan bagi setiap tuduhan rogol yang boleh dihukum penjara maksimum 30 tahun dan disebat jika sabit kesalahan manakala bagi tuduhan meliwat, dia dituduh mengikut Seksyen 377C akta yang sama dan boleh dipenjara 20 tahun serta sebat.
Menurut kertas pertuduhan pertama, dia dituduh merogol kanak-kanak perempuan berumur sembilan tahun antara pukul 2 hingga 3 pagi di sebuah bilik di Taman Sri Marong, Bentong pada 9 Julai 2009.
Bagi pertuduhan kedua, Rabidin dituduh merogol remaja perempuan berusia 17 tahun di sebuah bilik di Kilometer 5, Jalan Kuala Lumpur-Bentong antara pukul 1 hingga 3 pagi, 21 Jun 2010 dan bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa merogol kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun di tepi sungai belakang sebuah rumah dekat Ketari, Bentong antara pukul 12.30 pagi hingga 1.30 pagi, 29 April 2011.
Dia turut dituduh atas dua lagi tuduhan merogol dan meliwat remaja perempuan berusia 16 tahun dalam bilik di sebuah rumah di Ketari, Bentong antara pukul 1 pagi hingga 2.30 pagi.
Tertuduh dalam rayuannya memohon kemaafan dunia dan akhirat kerana kejadian berlaku dalam keadaan dia khayal dan mabuk serta meminta hukuman diringankan.
Timbalan Pendakwaraya, Atiqah Liyana Shahrir bagaimanapun membantah rayuan tertuduh.
Hakim Murtazadi Amran semasa hujah penghakimannya berkata, tertuduh telah melakukan perbuatan tidak berperikemanusiaan terhadap mangsa-mangsa yang masih di bawah umur semasa kejadian.
Tertuduh juga menghadapi satu tuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibacakan di Mahkamah Majistret Bentong pada Disember tahun lalu.

Patuhi jadual elak sesak

Posted: 05 Feb 2013 08:03 PM PST


BILIK operasi trafik yang memantau perjalanan kenderaan di Lebuhraya Utara-Selatan di ibu pejabat PLUS di Petaling Jaya semalam.


PETALING JAYA – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan melaksanakan Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) untuk musim perayaan Tahun Baru Cina ini sama seperti yang dilakukan pada tahun lepas bagi mengelak kesesakan.
Melalui kaedah itu yang diamalkan sejak 2007, lebih 50 peratus pengguna jalan raya telah mengikuti jadual waktu yang disarankan sehingga menyumbangkan kepada pergerakan trafik yang lancar.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PLUS, Datuk Noorizah Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima maklum balas positif daripada orang ramai terhadap pelaksanaan TTA selepas ia berjaya mengawal aliran trafik dan mengelak kesesakan.
"Bagi memastikan pergerakan trafik lancar, kami menasihatkan orang ramai agar terus memberikan kerjasama dengan mengikut TTA yang dikeluarkan sempena cuti Tahun Baru Cina kali ini," katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat PLUS di sini semalam.
Noorizah memberitahu, pihaknya menjangka sebanyak 1.4 juta kenderaan akan menggunakan lebuh raya PLUS pada musim perayaan ini membabitkan mereka yang menyambut Tahun Baru Cina serta orang ramai yang mengambil kesempatan bercuti.
Tambahnya, bagi memastikan keselamatan pengguna lebuh raya semasa cuti musim perayaan ini, PLUS turut menyediakan 160 pasukan PLUS Ronda untuk mengadakan lebih banyak rondaan selain pasukan kecemasan seperti Persatuan Bulan Sabit Merah, Bomba dan Penyelamat, polis dan Jabatan Pertahanan Awam (JPA3).
PLUS juga akan mengoperasikan hampir 1,000 kaunter tol termasuk kaunter sementara bagi melancarkan perjalanan pengguna ke destinasi masing-masing.
Sementara itu, orang ramai juga boleh mendapatkan minuman percuma Red Bull di hentian sebelah terpilih pada 7 dan 8 Februari diikuti 14 dan 15 Februari bermula pukul 12 tengah hari hingga 3 petang.

Polis reman penyanyi muda

Posted: 05 Feb 2013 07:58 PM PST


ANGGOTA polis mengiringi suspek (dua dari kanan) selepas prosiding mendapatkan perintah reman di Mahkamah Sesyen Ampang Jaya semalam.


AMPANG JAYA – Polis semalam mendapat perintah mahkamah untuk menahan reman selama dua hari ke atas seorang penyanyi bagi membantu siasatan berhubung dakwaan merogol teman wanitanya di sebuah rumah di Ukay Perdana dekat sini Ahad lalu.
Artis lelaki berusia lingkungan 25 tahun yang pernah menjuarai sebuah program hiburan realiti popular sekitar 2010 anjuran sebuah stesen televisyen itu direman sehingga hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
Sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara 20 tahun dan sebatan.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jalaluddin berkata, tempoh dua hari itu akan digunakan sepenuhnya oleh polis bagi mendapatkan maklumat berkaitan kes tersebut.
"Kita telah mengambil keterangan daripada mangsa berusia lingkungan 20-an selepas menerima laporan tersebut. Soal siasat akan dilakukan terhadap teman lelakinya itu bagi membolehkan kita mendakwanya jika terdapat bukti yang mencukupi," katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Semalam Kosmo! melaporkan polis menahan artis tersebut pada pukul 12 tengah hari di Taman Melati dekat sini kelmarin setelah teman wanitanya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya berhubung kejadian tersebut.
Mangsa mendakwa kejadian itu berlaku pada pukul 12.40 tengah hari 31 Januari lalu ketika dia berada di rumah suspek. Ketika kejadian, ahli keluarga suspek tiada di rumah dan mangsa tidak melawan kerana bimbang akan dicederakan.

Pelakon drama Sahara mohon maaf

Posted: 05 Feb 2013 07:49 PM PST


ANTARA babak kontroversi Sahara yang menyaksikan Reen yang membawa watak wanita berpurdah berpelukan dengan Ikhwan.


KUALA LUMPUR - Tiga pelakon lelaki drama bersiri kontroversi, Sahara semalam tampil membuat permohonan maaf
KUALA LUMPUR – Tiga pelakon lelaki drama bersiri kontroversi, Sahara semalam tampil membuat permohonan maaf berikutan babak yang didakwa menyentuh sensitiviti agama Islam sehingga menyebabkan tayangannya terpaksa dihentikan di saluran Astro Prima baru-baru ini.
Tindakan itu diambil apabila pelakon lain yang turut membintangi drama yang ditayangkan di saluran itu menerima tempias dan mendapat kecaman pelbagai pihak terutama di blog dan laman sosial seperti Facebook.
Pelakon Arief Farhan, Faried Wari dan Muaz Aydyl tampil membuat permohonan maaf secara peribadi tanpa melibatkan pihak produksi atau stesen televisyen.
"Kami mengharapkan orang ramai berhenti membuat tohmahan dan provokasi di laman sosial.
"Kami memohon maaf sekiranya isu ini mencetuskan kemarahan. Setiap manusia melakukan kesilapan dan kami mengakui kesilapan kami," jelas Arief yang mewakili barisan pelakon drama tersebut pada sidang akhbar di sini semalam.
Drama tersebut sebelum ini mencetuskan kemarahan apabila terdapat babak romantis yang melibatkan wanita berpurdah lakonan Reen Rahim bersama watak yang dilakonkan oleh Ikhwan Khairuddin.
Reen sebelum ini telah memohon maaf dengan mendakwa dia tidak berniat mempersendakan agama.
Pengarah drama terbitan Nusantara Seni Karya Sdn. Bhd. itu, Dinesh Samby belum mengeluarkan kenyataan mengenai kontroversi tersebut.
Drama 20 episod itu dihentikan tayangannya sehingga episod ke 15 minggu lalu.
Sahara mengisahkan seorang gadis bandar yang liar terpaksa tinggal di sekolah pondok dan berdepan cabaran menjadi wanita muslimah sebelum jatuh cinta dengan seorang pelajar di situ.

Cungkil bakat terpendam

Posted: 05 Feb 2013 07:48 PM PST


PARA pelajar jurusan Multimedia Kreatif Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernetics tekun melakar wajah P. Ramlee ketika tinjauan di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Peraduan Inspirasi P. Ramlee anjuran Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) disifatkan sebagai medium baharu untuk mencungkil bakat terpendam dalam kalangan rakyat Malaysia.
Ini kerana, melalui penyertaan yang dibuat secara terbuka itu, mereka boleh melontarkan idea di saluran yang betul.
Penasihat Kelab Teater dan Drama Pentas Kolej Teknologi AntarabangsaCybernetics, Zaini Kamaruddin berkata, melalui peraduan tersebut, orang ramai berupaya mengembang dan memperbaharui filem-filem klasik lama dengan nafas baharu.
"Seperti yang kita tahu, karya Tan Sri P. Ramlee adalah karya agung yang sukar ditemui pada filem atau drama Melayu masa kini.
"Daripada segi penceritaan contohnya, filem-filem beliau sarat dengan mesej dan teladan yang mampu membuka mata penonton walaupun ia dipenuhi lawak jenaka," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Zaini berkata, sebagai penggerak kelab teater kolej tersebut, dia bakal menghasilkan filem pendek berjudul P. Ramlee: Nostalgia Getaran Jiwa untuk menyertai peraduan tersebut.
Sementara itu, pelajar jurusan Multimedia Kreatif kolej berkenaan, Azizul Fuad Mahmood, 20, berkata, peraduan Inspirasi P. Ramlee dilihat satu platform untuk mengaplikasikan apa yang dipelajari dalam pengajian.
"Saya teruja untuk menyertai peraduan ini dan jika menang, ia secara tidak langsung memberi testimoni yang bagus kepada resume saya," ujarnya.

Seorang lagi mati ditembak

Posted: 05 Feb 2013 07:47 PM PST


POLIS memerhati mayat penjenayah yang mati ditembak di kawasan berhampiran air terjun Gunung Stong, Kuala Krai semalam.


KOTA BHARU - Polis menembak mati seorang lagi anggota Geng Aime, kumpulan penjenayah yang giat merompak menggunakan senjata api, ketika suspek cuba menetak seorang pegawai polis dengan sebilah pedang di kawasan berhampiran air terjun Gunung Stong, Kuala Krai semalam.
Suspek berusia 27 tahun tersebut mati ditembak pada pukul 11.45 pagi. Selain merampas pedang berukuran 75 sentimeter, polis turut menemui wang RM6,150 dan beberapa biji pil kuda daripada suspek yang berasal dari Paka, Terengganu itu.
Difahamkan, suspek diburu selepas dia dan seorang rakannya berjaya meloloskan diri ketika serbuan di Kampung Sungai Sam, Kuala Krai, Ahad lalu. Dalam serbuan pukul 1 petang itu, dua lagi rakannya mati ditembak.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, pihaknya bergegas ke kawasan air terjun tersebut selepas menerima maklumat daripada orang kampung pada pukul 10.30 pagi mendakwa ternampak kelibat suspek sedang berjalan kaki di situ.
"Ketika sedang membuat kepungan, suspek cuba menetak salah seorang pegawai berpangkat Inspektor dengan pedang. Untuk mempertahankan diri, pegawai berkenaan telah melepaskan satu das tembakan ke arah suspek yang menyebabkan kematiannya," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Kelmarin Kosmo! melaporkan, polis menembak mati dua penjenayah bergelar Geng Aime yang aktif melakukan rompakan bersenjata sejak setahun lalu di Kampung Sungai Sam. Dua lagi rakan mereka ketika itu berjaya melarikan diri dalam kejadian berbalas tembak tersebut.
Kejadian pukul 1 petang itu berlaku apabila polis mengesan sebuah kereta Perodua Myvi dinaiki empat suspek tersebut dalam keadaan mencurigakan.
Semakan mendapati, sebelum itu, mereka telah menyamun seorang kerani berusia 23 tahun di sebuah syarikat di Kuala Krai yang baru mengeluarkan wang RM50,000 daripada sebuah bank.
Menurut Jalaluddin, pihaknya kini sedang memburu seorang lagi suspek yang terlibat dalam kejadian itu.

15 lelaki leka main judi belangkas diberkas

Posted: 05 Feb 2013 07:46 PM PST


SEBAHAGIAN daripada 15 kaki judi yang ditahan di sebuah rumah di Taman Mutiara, Tampin kelmarin.


TAMPIN – Seramai 15 lelaki yang asyik bermain judi ditahan polis dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Mutiara dekat sini malam kelmarin
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan Zazali Hashim memberitahu, dalam serbuan pada pukul 11.05 malam itu kesemua lelaki berusia 32 hingga 67 tahun itu didapati bermain judi belangkas di bahagian dapur rumah berkenaan.
"Polis menyerbu rumah terbabit selepas mendapat maklumat awam dan risikan yang dibuat di lokasi tersebut.
"Polis kemudian merampas wang tunai berjumlah RM30,267, dua set mangkuk dan piring, enam biji dadu serta dua buku catatan untuk aktiviti perjudian," katanya di sini semalam.
Ujar beliau, berdasarkan intipan polis, rumah berkenaan telah dijadikan sebagai premis perjudian sejak beberapa hari lalu.
Difahamkan, kegiatan haram itu bermula kira-kira pukul 9.30 malam dan berakhir pada awal pagi.
"Usaha membanteras kegiatan judi akan dilakukan secara berterusan dan bagi tujuan itu polis meminta orang ramai agar menyalurkan maklumat berhubung kegiatan haram berkenaan," katanya.
Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 Pindaan 2001 yang membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM5,000 jika sabit kesalahan.
Dalam permainan judi belangkas, pemain perlu meletakkan sejumlah taruhan dan selepas itu memilih gambar haiwan yang tertera di atas dua biji dadu antaranya ikan, ayam dan udang.
Pemain kemudian melempar kedua-dua bij dadu tersebut dan sekiranya ia menunjukkan haiwan yang dipilih, pemain tersebut akan memenangi pertaruhan.
Bagaimanapun, jika salah satu dadu itu menunjukkan gambar binatang lain, dia tidak akan memenangi sebarang wang.

Anak Muhammad Ali nafi bapanya tenat

Posted: 05 Feb 2013 07:44 PM PST



GAMBAR fail menunjukkan Ali (kanan) di sebuah stadium di New Orleans pada 2 Januari lalu.


NEW ORLEANS - Seorang anak perempuan kepada petinju legenda Muhammad Ali menafikan khabar angin tentang bapanya itu sedang nazak.
Dia menyatakan bahawa bapanya itu berada di rumah menonton satu perlawanan bola sepak Amerika semasa khabar angin itu tersebar.
Anak petinju legenda itu, May May Ali berkata, dia telah bercakap dengan bapanya melalui telefon pada pagi Ahad lalu dan dia berada dalam keadaan sihat.
Katanya, dia sedang menonton perlawanan di rumahnya di Arizona dengan memakai sehelai jersi pasukan Baltimore Ravens.
"Dia berada dalam keadaan sihat. Suaranya kedengaran baik.
"Khabar angin seperti ini akan datang sekali-sekala tetapi ia tidak membawa apa-apa makna buat mereka," katanya menerusi telefon.
Keluarganya kemudian telah memuat naik sekeping gambar Ali di laman Twitter.
Gambar itu memaparkan Ali sedang duduk di atas sebuah kerusi dengan memakai sehelai baju Ray Lewis.
Khabar angin itu tersebar selepas sebuah akhbar tabloid Britain memetik kenyataan adik Ali iaitu Rahman yang menyatakan bahawa bekas juara tinju dunia itu semakin nazak.
Laporan kematian Ali itu juga telah tersebar secara meluas di internet.
Terdapat ucapan takziah di laman sosial Twitter dan Facebook ekoran khabar angin itu dianggap sebagai benar.
Ali turut mengalami masalah penyakit Parkinson.
Dia menyambut ulang tahun kelahiran ke-71 pada bulan lalu.
Ali merupakan juara heavyweight dunia sebanyak tiga kali.

'Spider-Man' panjat hotel di Cuba

Posted: 05 Feb 2013 07:43 PM PST


SALAH seorang penghuni hotel itu (kiri) merakamkan gambar Robert yang sedang memanjat.


HAVANA - Seorang warga Perancis yang digelar Spider-Man, Alain Robert memanjat bangunan Hotel Havana Libre di sini kelmarin tanpa menggunakan tali sebagai tanda sokongannya kepada pemimpin revolusi negara ini, Fidel Castro.
"Memanjat adalah satu cara untuk mendalami sesebuah negara atau budaya," kata pelagak ngeri Perancis itu sebelum menamatkan aksi pertamanya di Cuba.
"Ini tanda sokongan padu saya kepada Castro," tambahnya.


'SPIDER-MAN' mengibarkan bendera Cuba di atas bumbung hotel itu.


Apabila ditanya sama ada dia akan menemui Castro ketika berkunjung ke sini, Robert berkata: "Saya tidak pasti sama ada beliau akan berjumpa dengan saya."
Castro yang berusia 86 tahun itu menyerahkan teraju pemerintahan Cuba kepada adiknya Raul pada tahun 2008.
Dibuka pada 1958, hotel tersebut pernah menjadi ibu pejabat sementara untuk Castro.
Robert mula memanjat bangunan tersebut dari tingkat empat dan sampai ke tingkat 26 hotel setinggi 70 meter itu dalam tempoh cuma 26 minit.
Polis menghentikan lalu lintas ketika Robert melakukan aksi ngeri tersebut yang disaksikan sekitar 2,000 penonton.

Shakira dedah gambar bayinya, Milan

Posted: 05 Feb 2013 07:41 PM PST



GAMBAR yang tidak bertarikh menunjukkan Pique mencium pipi Milan.


MADRID - Bintang pop Colombia, Shakira berkongsi gambar bayi lelakinya yang merupakan cahaya mata pertamanya dengan kekasihnya, Gerard Pique buat kali pertama kelmarin.
Bayi yang bernama Milan itu dilahirkan pada 22 Januari lalu di Barcelona, Sepanyol.
Shakira, 36, membuat pengumuman itu menerusi laman Twitter bahawa gambar berkenaan boleh dilihat di laman web Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Gambar tersebut menunjukkan Pique yang juga pemain kelab bola sepak Barcelona berusia 25 tahun di Sepanyol itu mencium pipi Milan ketika dia tidur.
Pasangan yang belum berkahwin itu mengesahkan hubungan mereka pada 29 Mac 2011 menerusi laman Twitter dan Facebook.

Punca lelaki acu pisau terbongkar

Posted: 05 Feb 2013 07:41 PM PST



TALHAT memegang dua bilah pisau dengan membuat ancaman mahu membunuh diri di luar Istana Buckingham, London sebelum dia ditangkap polis pada Ahad lalu.


LONDON - Seorang lelaki, Talhat Rehman melakukan aksi mengacukan dua bilah pisau ke arah tubuhnya sendiri di luar Istana Buckingham di sini pada Ahad lalu kerana dia ditipu seorang peguam sebanyak £168,000 (RM818,779) dalam satu urus niaga hartanah, lapor akhbar dalam talian MailOnline kelmarin.
Talhat, 54, yang merupakan seorang ahli perniagaan kemudian ditangkap selepas dia 'ditembak' dengan pistol renjatan elektrik berkuasa 50,000 volt oleh seorang anggota polis.
Anggota polis itu 'menembaknya' selepas dia mahu membunuh dirinya.
Ketika kejadian, pemerintah Britain, Ratu Elizabeth II dan suami baginda, Putera Philip tidak berada di istana itu.
Seorang anak lelaki Talhat, Kassum Raja, 30, dari Harrow berkata, seorang peguam bapanya yang mencuri wang tersebut telah menutup firma guamannya.
Menurut Kassum, bapanya kemudian membuat aduan kepada polis.
Bagaimanapun, Talhat diberitahu bahawa kes mencuri wang itu akan menyebabkan kerja-kerja anggota polis akan dibebani dengan tugas yang banyak.
Kassum berkata, pihak polis kemudian memberi nasihat supaya bapanya mengupah peguam.
Namun, perbelanjaan untuk memperoleh khidmat peguam adalah tinggi.
Talhat dilaporkan telah membelanjakan sebanyak £30,000 (RM146,210) untuk membayar yuran guaman.
"Dia (Talhat) berada dalam keadaan terdesak. Justeru, dia mahu menghadap ratu. Dia mahu menghantar sepucuk surat ke Istana Buckingham. Dia akan membunuh diri jika tidak menghantar surat itu," kata Kassum.
Anaknya itu yang mengendalikan sebuah pusat penyembelihan haiwan di Kingsbury berkata, keluarganya kini berada dalam keadaan tertekan.
"Empat anak saya tidak mempercayai kejadian itu," katanya.
Talhat yang mempunyai lima anak dan 18 cucu tidak pernah menghadapi masalah mental sehingga dia kehilangan wang tersebut, kata keluarganya.
Sumber polis menyatakan, beberapa pegawai telah menyiasat kes Talhat.
Bagaimanapun, kes penipuan itu ditutup kerana kekurangan bukti.
Talhat berdepan dua dakwaan memiliki senjata tajam di tempat awam dan satu tuduhan berkelahi selepas dia ditahan polis.

Seorang wanita rompak dua bank di Washington D.C.

Posted: 05 Feb 2013 07:39 PM PST



GAMBAR yang disiarkan Biro Penyiasatan Persekutuan menunjukkan seorang wanita yang merompak dua buah bank di Washington D.C. kelmarin.


WASHINGTON D.C. - Seorang wanita dipercayai merompak dua buah bank di sini selang 15 minit kelmarin.
Perompak itu yang memakai cermin mata dan skaf hitam menghantar nota kepada juruwang di kedua-dua bank tersebut supaya mereka memberikannya sejumlah wang.
Pihak berkuasa tidak mendedahkan jumlah wang itu.
Jarak antara kedua-dua buah bank itu ialah 2.41 kilometer.
Pihak polis kini memburu wanita tersebut.

Yakin diri, sihat luar dan dalam

Posted: 05 Feb 2013 07:37 PM PST

SEJAK mengalami masalah muka yang teruk, kini Faridah sangat menitikberatkan kecantikan wajahnya.


WANITA dan kecantikan ibarat irama dan lagu yang tidak dapat dipisahkan. Mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk kelihatan cantik.
Pantang ada sahaja produk kecantikan baharu atau iklan-iklan di kaca televisyen, pasti ada wanita terpengaruh dengan harapan-harapan tersebut.
Tidak hairanlah ramai wanita sanggup berhabis ribuan ringgit untuk tampil cantik walaupun diri mereka sebenarnya sudah cantik.
Dek terlalu obses dengan kecantikan, segelintir wanita mencuba pelbagai alternatif lain seperti melakukan suntikan botox, vitamin C dan pembedahan sedut lemak. Malah ada yang sanggup memakai susuk walaupun ia bertentangan dengan syariat Islam.
Mengakui dirinya obses pada kecantikan, anak kelahiran Johor Bahru, Johor, Faridah Wahid, 30, ada alasan tersendiri.
Masalah jerawat
Sebelum ini, Faridah langsung tidak ambil kisah mengenai aspek kecantikan sehinggalah dirinya mengalami masalah kulit wajah yang teruk pada bulan Oktober 2011.
"Ketika belajar dahulu saya langsung tidak pakai produk penjagaan kulit dan tidak bersolek walau secalit mekap pun.
"Saya mula menitikberatkan hal berkaitan kecantikan sejak muka saya ditumbuhi jerawat yang teruk," katanya yang sebelum ini bekerja dalam bidang jualan dan pemasaran.
Hal tersebut membuatkannya tertekan sekali gus menggoyahkan keyakinan dirinya. Atas alasan tersebut, dia terpaksa mengambil cuti lebih seminggu bagi menyelesaikan masalah wajahnya.
Sepanjang bercuti, Faridah memerap di rumah sambil tercari-cari produk-produk yang sesuai untuk memulihkan masalah jerawatnya.
"Saya tertekan hingga tidak mahu lihat cermin atau berjumpa orang sedangkan kerjaya saya memerlukan saya bertemu pelanggan.
"Keadaan kulit wajah yang semakin teruk memaksa saya menjalani rawatan laser, namun segala-galanya berubah apabila saya menemui satu produk," ujar Faridah prestasi jualannya merudum akibat masalah tersebut.
Sejak menggunakan produk tersebut, jerawat pada wajah Faridah semakin kering. Wajahnya kembali seperti sediakala malah kulit menjadi lebih licin berbanding sebelumnya.
Sejak itu, Faridah sangat obses tentang kecantikan kerana tidak mahu perkara yang sama berulang.
Tidak bertumpu kepada kecantikan wajah sahaja, Faridah yang masih bujang menitikberatkan kecantikan dari hujung rambut hingga hujung kaki serta kesihatan dalaman.
"Saya ambil jamu, kolagen, rejim kecantikan wajah, produk pemutihan kulit, antipenuaan dan pil pelangsing selain vitamin makanan tambahan.
"Cantik itu subjektif. Apabila kita rasa yakin diri, sihat luar dan dalam, itulah definisi kecantikan sebenarnya," katanya yang berhabis ribuan ringgit dalam masa sebulan untuk mencari produk yang serasi dengan kulit wajahnya. Berat badannya kini 50 kilogram (kg) berbanding 70 kg sebelum ini.
Tidak lokek berkongsi rahsia regim kesihatan dan kecantikannya, kini Faridah menjual produk yang digunakannya melalui media sosial, Facebook.
Membelanjakan RM600 sebulan untuk regim kecantikannya, wanita dengan ketinggian 155 sentimeter itu menasihatkan wanita supaya tidak membazir semata-mata mahu cantik lebih-lebih lagi jika di luar kemampuan.

ANTARA produk yang digunakan oleh Faridah dalam rejim kecantikannya.


Pandang rendah
Sementara itu, pelakon, penyanyi dan pengacara, Ifa Raziah, 38, atau nama sebenarnya Saripah Raziah Mustapha mengaku dirinya obses dengan kecantikan.
"Saya obses kerana saya tidak cantik dan mahu lakukan sesuatu untuk tampil cantik.
"Apabila sudah cantik, ia meningkatkan tahap kecantikan diri dan orang tidak pandang rendah terhadap kita," kata isteri kepada Mohd. Yani Abdul Rahman itu.
Ibu kepada dua cahaya mata iaitu Sharifah Putri Umairah, 14 dan Muhammad Shakir Aqili Mohd. Yani, 8, menjelaskan, kecantikan sangat penting lebih-lebih lagi apabila melibatkan diri dalam industri hiburan yang memerlukannya untuk sentiasa nampak cantik, muda dan kurus.
"Saya lebih fokus pada kecantikan wajah. Pada tahun 1999, saya melakukan suntikan collagen filler di dagu dan di kiri serta kanan pipi.
"Ketika itu, teknologi tersebut masih baharu di Malaysia dan saya berhabis RM8,000 untuk suntikan tersebut," ujarnya yang tidak lagi mengambil sebarang suntikan sejak tahun 1999.
Ifa Raziah yang kali pertama muncul menerusi album pop pada tahun 1996 turut mengambil suplemen dan senaman untuk tampil sihat, cantik dan muda.
Bagi menjaga penampilannya, Ifa Raziah membelanjakan RM1,000 untuk spa sahaja. Jumlah kos yang dikeluarkan untuk kecantikannya dalam sebulan ialah RM2,000.
"Jika anda bandingkan Ifa Raziah pada tahun 1996 dan kini, banyak bezanya," katanya yang mengambil suntikan platelet rich plasma (PRP) untuk kecantikan kulit selain menjalani rawatan terapi ozon.
Tidak bersandarkan kepada produk kecantikan semata-mata, Ifa Raziah juga aktif bersenam zumba lima hari seminggu bagi meningkatkan stamina.
"Memiliki tubuh langsing tidak perlu bergantung pada ubat atau pembedahan, memadai dengan bersenam. Wanita sudah dikurniakan kecantikan asli, tidak perlu ubah macam-macam, cuma perlu touch up sikit sahaja.
"Kalau muka cantik, hati tidak cantik, seseorang itu tetap tidak cantik kerana yang penting ialah hati. Kalau hati baik, muka tidak cantik pun jadi cantik," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Larangan mengubah wajah

Posted: 05 Feb 2013 07:37 PM PST

Ketaksuban sesetengah individu untuk kelihatan cantik menyebabkan mereka mengenepikan larangan agama. Kecantikan dalam Islam bukanlah sesuatu yang salah tetapi ia harus mengikut garis yang telah ditetapkan.

SEMAKIN ramai masyarakat moden yang berkemampuan yang sanggup berhabisan duit membuat pembedahan mengubah wajah. - Gambar hiasan


DALAM dunia yang serba moden ini, banyak cara digunakan untuk tampil cantik. Ketaksuban sebilangan kaum Adam dan Hawa itu menyebabkan mereka sanggup melakukan perubahan fizikal hingga mengenepikan larangan agama.
Firman Allah dalam surah At-Tin ayat 5: "Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya".
Menurut Imam Muda Amiril Md. Banin, 28, mengikut nas yang ada pada dalil al-Quran menyatakan, jangan ubah ciptaan Allah Taala.
"Ciptaan Allah sudah sempurna dan kita adalah sebaik-baik kejadian, jadi mengapa perlu ubah?
"Menyentuh aspek kecantikan dalam wanita pula, mengikut sebahagian pendapat ulama-ulama yang terbaru ini yang dipersetujui oleh ahli fatwa, wanita yang sudah berkahwin boleh mencantikkan diri mereka untuk suami sahaja dan hukumnya harus," katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Jika bersandarkan hukum asal, ulama tidak membenarkannya.
"Jika seseorang wanita itu sengaja untuk tunjuk cantik, ia tidak dibenarkan sama sekali.
"Kita sudah dijadikan sempurna dan cantik secara semula jadi. Jika mahu cantik, ikut sahaja pemakanan mengikut sunah Nabi seperti makan madu, tamar, susu dan sebagainya," ujarnya.
Bagi penggunaan produk kecantikan, ia perlu disahkan halal dan tiada unsur syubhah iaitu unsur-unsur yang tidak jelas dan menimbulkan keraguan.
Jika ada individu yang sudah terlanjur melakukan pengubahan fizikal dan menyesal serta mahu membuangnya bagi mengembalikan rupa asal, Amiril memberitahu andai ia memudaratkan ia tidak perlu dibuang.
"Contohnya, pembuangan tatu. Jika seseorang itu boleh menanggung kesakitan tersebut, lebih baik ia dilakukan. Jika tidak, memadai baginya bertaubat terhadap apa yang telah dilakukannya," jelasnya.
Ditanya sama ada pengambilan daging buaya untuk tujuan kecantikan dibolehkan dalam Islam atau tidak, Ustaz Mohd. Solihin Ghazali, 27, memberitahu, menurut pandangan yang sahih dalam kalangan ulama, buaya termasuk dalam kategori haiwan yang diharamkan untuk digunakan baik sebagai makanan atau untuk perubatan.
"Haiwan tersebut merupakan haiwan buas atau pemangsa. Ini merujuk kepada hadis Abu Tsa'labah al-Khusyani yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Imam Malik dan selainnya, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Setiap haiwan buas yang bertaring haram memakannya".
"Terdapat juga larangan daripada as-sunah berubat dengan sesuatu yang haram," katanya.
Seperti yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dari hadits Ibnu Mas'ud, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah tidak menjadikan kesembuhan kalian pada sesuatu yang diharamkan kepada kalian."

KAJIAN mengesahkan habatussauda mempunyai agen penyembuhan dan baik untuk kesihatan manusia.


Begitu juga daripada Abu ad-Darda, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah menurunkan penyakit dan menurunkan ubatnya, serta menjadikan ubat bagi setiap penyakit. Namun janganlah kalian berubat dengan sesuatu yang haram".
"Pengambilan daging buaya dan sejenis dengannya tidak boleh dianggap sebagai darurat kerana banyak lagi alternatif lain yang boleh digunakan untuk tujuan kecantikan menurut Islam.
"Antaranya, menggunakan bahan-bahan yang baik dan berkhasiat serta dianjurkan syarak untuk tujuan kecantikan seperti habatussauda, madu, minyak zaitun, lidah buaya, herba dan selainnya," ujarnya.
Dalam pada itu, Pensyarah Fakulti Pendidikan dan Kaunseling Universiti Malaya, Profesor Madya Dr. Jas Laile Suzana Jaafar memberitahu, perasaan ingin cantik dalam diri seseorang wanita itu adalah normal.
"Perasaan itu normal kerana mereka mahu kelihatan rapi dan menitikberatkan aspek penampilan diri supaya orang di sekelilingnya hormat dan layan mereka dengan baik.
"Tidak semua wanita obses, tetapi tidak dinafikan ada segelintir wanita yang terlalu mengejar kecantikan dan mereka usaha sedaya upaya untuk cantik," katanya.
Tambahnya, kebanyakan wanita melakukannya untuk kepuasan diri sekali gus ia dapat meningkatkan keyakinan dalam diri mereka.
"Dari segi psikologi, apabila seseorang itu rasa dirinya kekurangan, otak menerima signal untuk tampil cantik bagi menutup kekurangan yang ada.
"Contohnya, seseorang itu sudah ada sepasang mata yang cantik tetapi dia rasa tidak lengkap dan tidak cantik jika tidak memakai bulu mata palsu walaupun matanya cantik tanpa memakainya," ujarnya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines