Ahad, 17 Februari 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Rasa Bimbang Punca Almy Nadia Kunci Mulut

Posted: 16 Feb 2013 03:47 AM PST

Almy Nadia
PETALING JAYA: Pelakon Almy Nadia membuat keputusan untuk mengunci mulut daripada memberi sebarang kenyataan berhubung pertunangan Fizz Fairuz dengan seorang wanita kerana khuatir dengan pelbagai risiko yang tidak dijangka.
Almy Atau nama sebenarnya Almy Nadia Aminuddin Shah, 27, berkata, dia bimbang jika tersalah memberi kenyataan akan muncul pihak-pihak lain yang akan mengecamnya dan keluarga.
"Saya tidak mahu komen apa-apa. Saya tahu, ada pihak-pihak tertentu sedang memerhatikan salah silap saya. Jika tersalah cakap, mungkin saya akan terima kesan buruk. Sebab itulah lebih baik saya tidak banyak memberi komen," katanya kepada mStar Online pada Jumaat.
Kontroversi mengenai status hubungan antara Almy dan Fizz Fairuz atau nama sebenarnya Mohd Fairuz Zainal Abidin, 34, tercetus apabila foto majlis pertunangan pemuda itu dengan seorang wanita telah tersebar di Internet.
Fizz Fairuz menyarungkan cincin di jari manis wanita yang dikatakan tunangnya pada 10 Februari lalu.
Majlis pertunangan mereka dikatakan berlangsung di Taman Pelindong Damai, Beserah, Kuantan, Pahang pada 10 Februari lalu. Dipercayai Almy yang selama ini diketahui sebagai kekasih kepada Fizz terkejut dengan hal berkenaan.
Selepas beberapa hari gagal mendapatkan Almy, akhirnya pelakon itu menjawab panggilan mStar Online selain memohon maaf sambil menjelaskan dia terlalu sibuk menjalani penggambaran Cermin Kasih Amira yang bakal ditayangkan di RTM tidak lama lagi.
Berikut ini adalah temu bual mStar Online bersama Almy berhubung kontroversi pertunangan Fizz.
Maafkan kami kerana bertanyakan soalan sama seperti media-media lain. Apa komen Almy mengenai pertunangan Fizz dengan seorang wanita pada Ahad lepas?
No comment.
Fizz atau Almy pernah berhubung sesama sendiri selepas pertunangan itu?
Saya tak mahu komen.
Seperti dilaporkan portal murai.com Fazli Zainal ada memberitahu yang Fizz telah memaklumkan kepadanya bahawa Almy dan Fizz sudah dua tahun putus cinta. Benar begitu?
Maafkan saya, saya tidak tahu apa-apa dan penat untuk memberi kenyataan. Lebih baik tanya Fizz kerana bukan saya yang bertunang. Putus atau tidak, saya tidak mahu bersuara selagi dia tidak memberikan kenyataan, nanti kata saya pula yang memandai-mandai.
Tertekan apabila sering disoal tentang Fizz?
Saya tak tahu nak cakap apa. Tetapi macam biasa saya jawab apa yang terdaya. Lagipun saya tak buat salah, buat apa nak lari. Lainlah kalau saya buat salah, saya larilah daripada pihak media.
Apa yang Almy takut sampaikan sikit pun tak mahu komen?
Maafkan saya sekali lagi. Tetapi saya tahu ada pihak yang sedang menunggu saya mengeluarkan kenyataan berkaitan dengan pertunangan Fizz dan kemudian mereka akan mengenakan saya pula.
Biarlah... dia (Fizz Fairuz) dah pun menjadi tunangan orang. Risau juga dibuatnya kalau orang datang dan cuba ugut dan kacau saya pula nanti. Dah bertambah masalah pula.
Siapa pihak (yang akan mengecam) yang dimaksudkan itu?
Saya tak boleh nak cakap.
Jadi apa yang Almy nak buat sekarang?
Saya akan pastikan tidak menjawab apa-apa langsung berkaitan dia (Fizz). Cuma saya kena pandai jawab dan tepis soalan yang boleh mengundang tidak puas hati kepada pihak lain. Jika salah cakap, saya akan dihentam pula.
Fizz sudah memulakan fasa hidupnya yang baru, Almy pula bagaimana?
Saya tak tahu. Saya dan Fizz sudah tujuh tahun (bercinta). Entahlah. Saya nak fokus kepada karier dan anak (angkat) saya, Nur Afrina Darwisya.
Serik bercinta?
Saya tak tahu.
Apa komen keluarga Almy
Ibu sering menasihati dan menghubungi saya setiap hari, dia risau jika saya terlalu memikirkan masalah. Kalau saudara mara yang bertanya, ibu yang uruskan untuk menjelaskan perkara sebenar kepada mereka.

Kakak Tidak Campur Hasrat Sharifah Sakinah Berlakon

Posted: 16 Feb 2013 03:46 AM PST

Sharifah Sakinah ceburi bidang lakonan atas usaha sendiri.
PETALING JAYA: Aktres baharu Sharifah Sakinah mengakui kedua-dua kakaknya iaitu pelakon Sharifah Norhaslinda (Lynn) dan Sharifah Shahira (Shira) tidak mencampuri keputusannya menceburi bidang seni kira-kira tiga tahun lalu.
Pemilik nama sebenar Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar, 24, berkata, kakak-kakaknya itu bersikap demikian kerana sudah berpengalaman dengan asam garam dunia seni.
Justeru, mereka tidak mahu dia menyesal jika perkara buruk atau kontroversi menimpa apabila bergelar artis.
"Memang pada awalnya mereka (kakak-kakak) tidak galakkan dan tidak pula larang keputusan saya menceburi bidang ini.
"Mereka sudah arif dengan asam garam dunia hiburan dan tidak mahu saya menyesal kalau tidak mampu menempuhi cabaran dalam bidang ini," katanya.
Bagaimanapun, Sakinah berkata, minat yang mendalam terhadap lakonan menjadi pegangan untuk dia mengikut jejak mereka dalam bidang ini.
"Saya bina kerjaya atas usaha sendiri dengan menghadiri apa sahaja uji bakat lakonan yang ada.
"Walaupun ada dua kakak yang dikenali tetapi saya tidak bergantung harap pada mereka untuk tawaran lakonan," katanya.
Mengenai kecenderungannya dalam dunia komedi, Sakinah berkata, kebanyakan tawaran lakonan yang diterima sejak awal menjurus pada genre itu.
"Saya suka dilabel pelakon komedi sebab seingat saya tidak ramai pun pelakon generasi baharu yang buat komedi.
"Kebetulan pula dari awal lagi kebanyakan tawaran lakonan untuk saya adalah bagi watak dan drama komedi, jadi saya buat sahajalah," katanya.
Dalam perkembangan lain, lakonan Sakinah boleh ditonton dalam drama 13 episod berjudul Bunga Merah Punya bermula 21 Februari ini pada setiap Khamis, pukul 8.30 malam di Slot Aurora, TV9.

Dilema Andartu Di TVi Tengah Hari Sabtu

Posted: 16 Feb 2013 03:45 AM PST


Nad Zainal
PETALING JAYA: Dilema seorang wanita lanjut usia atau andartu menjadi tema drama terbaharu berjudul I Love You Cinta arahan Azahari Zain yang bakal menemui penonton pada Sabtu (hari ini).
Karya tulisan A.Aida itu akan disiarkan menerusi saluran TVi (saluran 180 Astro) yang digarap penuh emosi selain menyuntik unsur-unsur humor yang dijangka mampu memberi kelainan dalam sesebuah penerbitan drama.
Ia mengisahkan bagaimana cinta seorang wanita bernama Hawa (lakonan Nad Zainal) terhadap Azmi (Kamal Adli) mendapat tentangan keluarga selepas pemuda itu berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mencari pekerjaan.
Hawa dipertemukan oleh ibunya Azizah (Khatijah Tan) agar berkahwin dengan anak kawan baiknya iaitu Zaidi (Zahiril Adzim) walaupun kedua-dua mereka tidak mempunyai perasaan cinta di antara satu sama lain.
Kerana mahu menjaga hati keluarga masing-masing mereka menurut sahaja kemahuan ibu mereka walaupun tidak pernah tidur bersama selepas berumah tangga.
Kamal Adli
Keretakan rumah tangga itu akhirnya dimaklumkan kepada keluarga dan Azizah begitu marah.
Akhirnya Zaidi memberi kebenaran untuk Hawa mencari Azmi. Zaidi sanggup berpisah jika Azmi benar-benar mencintai isterinya itu.
Ketika di Kuala Lumpur, berlakulah pelbagai peristiwa pelik antaranya Hawa telah tergelincir sehingga hampir-hampir meragut nyawanya ketika dia dan Zaidi meredah hutan.
Kemuncak hubungan mereka apabila Hawa dan Zaidi telah dibawa oleh seorang pemandu teksi ke dalam hutan dengan niat untuk merogol Hawa.
Kejadian-kejadian itu memperlihatkan keupayaan Zaidi untuk menjadi lelaki yang baik apabila dia berjaya menyelamatkan Hawa.
Malangnya apabila Hawa berjumpa dengan Azmi, hati Hawa tiba-tiba berubah. Adakah Hawa akan tetap bersama suaminya ataupun memilih kekasih lamanya dalam hidup? Jawapannya dapat diikuti menerusi drama ini.
Selain Zahiril Adzim, Kamal Adli dan Khatijah Tan, drama ini turut dilakonkan juga oleh Aida Khalida dan Intan Ladyana. Ia diarahkan oleh Yeop Hitler.

Gelaran ‘Ayahanda’ Zed Zaidi Tiada Kaitan Gengsterisme

Posted: 16 Feb 2013 03:44 AM PST

Zed minta masyarakat ubah persepsi mengenai istilah 'ayahanda' yang sering dikaitkan dengan gengsterisme.
PETALING JAYA: Pelakon Zed Zaidi meminta masyarakat agar tidak mempertikaikan gelaran 'ayahanda' yang diterimanya daripada Pertubuhan Kebajikan Epanco Malaysia (Epanco) pada Ahad lalu.
Zed atau nama sebenarnya Rozaidi Abdul Jamil, 33, berkata, gelaran itu adalah istilah yang digunakan sebagai simbolik pelantikannya mengetuai Bahagian Ekonomi pertubuhan berkenaan.
"Saya harap masyarakat jangan pertikai gelaran yang saya terima. Ia adalah penghormatan Epanco atas sumbangan dan kerja saya terhadap masyarakat selama ini.
"Masyarakat perlu ubah persepsi kononnya istilah 'ayahanda' berkaitan dengan pertubuhan gengster walhal ia hanya gelaran yang tidak membawa sebarang maksud tersirat," jelasnya ketika dihubungi mStar Online di sini, petang Jumaat.
Zed yang juga Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) dianugerahkan pangkat 'ayahanda' oleh Epanco pada Ahad lalu.
Pertubuhan berdaftar itu bertujuan memelihara agama Islam selain mengeratkan hubungan silaturahim di kalangan masyarakat Melayu di negara ini.
Zed berkata, dia tidak perlu berasa bimbang dengan gelaran tersebut kerana ia tiada kaitan dengan unsur gengsterisme seperti yang sering disalah ertikan oleh masyarakat.
"Tiada apa yang perlu saya takut dengan gelaran ini. Saya sendiri panggil bapa saya dengan gelaran ayahanda, adakah bapa saya ketua gengster?
"Sebelum ini pun saya terima pangkat Leftenan Kolonel (Kehormat) daripada Rela (Pasukan Sukarelawan Malaysia) dan ia lebih kurang sama juga dengan pangkat ini (Epanco).
"Cuma istilah sahaja berbeza kerana kebanyakan pertubuhan Melayu memilih istilah 'ayahanda' sebagai simbolik seorang ketua," katanya.
Zed berkata, susulan penganugerahan itu dia bertanggungjawab untuk menarik golongan muda Melayu dan memberikan bimbingan kepada mereka menceburi bidang perniagaan atau politik mengikut kecenderungan masing-masing.

Kuswadinata Meninggal Dunia

Posted: 16 Feb 2013 03:43 AM PST

Allahyarham Kuswadinata ketika masih segak dan sihat.
PETALING JAYA: Pelakon veteran Kuswadinata meninggal dunia di Hospital Ampang dekat sini pada kira-kira pukul 5.07 petang akibat penyakit pendarahan usus kecil dan kanser kelenjar yang dihidapinya sejak empat tahun lalu.
Berita kematian Allahyarham disahkan anaknya Irwan, 26, ketika dihubungi mStar Online petang Sabtu.
Menurut Irwan, Allahyarham atau nama sebenarnya Kuswadi Bujang, 75, berada dalam keadaan nazak sejak dimasukkan semula ke hospital sejak 9 Februari lalu akibat penyakitnya.
Beliau menghembuskan nafas terakhir di sisi isteri Kamariah Mohd Said, 58, dan seluruh ahli keluarga.
"Allahyarham akan dibawa pulang ke rumah keluarga di Taman Rasmi Jaya, Ampang untuk malam ini.
"Insya-Allah, solat jenazah pada pagi esok di Masjid Bukit Indah, Ampang tetapi kami belum pasti di mana akan kebumikan sebab tunggu pengesahan pihak masjid, berkemungkinan sebelum tengah hari esok," katanya.
Sejak empat tahun lalu, Kuswadinata menderita penyakit pendarahan usus kecil dan kanser kelenjar.
Pada 7 Oktober tahun lalu Allahyarham pernah dimasukkan ke hospital sama kerana turut mengalami masalah buah pinggang yang kronik.
Selain Irwan, Allahyarham turut memilik tiga lagi anak iaitu Jasmine, 28, Hafsham, 27 dan Rizal, 24, hasil perkahwinan dengan Kamariah selama 30 tahun.
Pada Oktober tahun lalu, anak bongsunya Rizal memberitahu keadaan bapanya semakin kritikal apabila doktor mengesahkan pendarahan pada ususnya merebak dan jantung pelakon itu akan berhenti pada bila-bila masa.
Allahyarham yang memulakan kerjaya lakonan di Malay Film Production, Jalan Ampas, Singapura pada 1957 membintangi lebih 25 filem sepanjang hayatnya.
Filem pertama beliau adalah Orang Lichin pada tahun yang sama mula cukup dikenali menerusi filem Antara Dua Darjat (1959) arahan Tan Sri P. Ramlee.
Beliau yang terkenal sebagai pelakon versatil pernah menerima pengiktirafan Anugerah Pelakon Veteran di Festival Filem Malaysia ke-20 pada 2007.
Antara filem lakonannya lain adalah Seniman Bujang Lapok, Ibu Mertuaku, KLU, Kaki Bakar, Tarik-Tarik, Sikit Punya Gila, Jejak Bertapak, Kaca Permata, Kala Malam Bulan Mengambang dan Jalang.

Kipas angin gergasi di Kota Tinggi

Posted: 16 Feb 2013 03:39 AM PST


Kipas paling besar
Kipas angin gergasi yang dipercayai bukan sahaja terbesar di Kota Tinggi, malah di Malaysia
Kipas paling besar
Seorang kanak kanak teruja melihat kipas angin di Masjid Jamek Kota Tinggi.
KOTA TINGGI – Masjid Jamek Kota Tinggi, di sini, melakar sejarahnya tersendiri apabila memiliki sebuah kipas angin gergasi yang dipercayai bukan sahaja terbesar di daerah ini, malah di Malaysia.

Ketua unit masjid berkenaan, Azizul Fahmi Salleh berkata, kipas dengan panjang bilahnya yang berukuran 7.2 meter itu dipasang hasil sumbangan daripada sebuah syarikat persendirian dan tabung masjid.

Menurutnya, dengan kos kira kira RM55,000, kipas yang mempunyai 15 kali ganda kuasa berbanding kipas angin biasa itu mampu memberikan keselesaan buat jemaah dan secara tidak langsung menjimatkan penggunaan tenaga elektrik.

"Alhamdulillah dengan dana yang berjaya dikumpul dalam masa sebulan, kipas itu mula dipasang pada hujung tahun lalu iaitu bulan Disember.

"Ia digunakan setiap kali waktu solat dan ketika adanya majlis yang diadakan di masjid ini. Malah kipas yang lain juga tidak perlu digunakan sewaktu kipas tersebut dihidupkan.

"Bagaimanapun, dalam masjid tersebut juga masih terdapat kira kira 10 kipas biasa yang ada sekitar masjid untuk kemudahan jemaah yang  hadir terutamanya bagi mereka yang hendak bersolat berseorangan," katanya.

Azizul Fahmi berkata, pihaknya menerima pelbagai reaksi yang positif daripada jemaah dan ada yang menyatakan keterujaan ketika melihat kipas berkenaan.

Menurutnya, sekiranya ada rezeki, sebuah lagi kipas yang sama akan dipasang di bahagian belakang untuk memberikan keselesaan kepada jemaah.

Sementara itu, penderma daripada syarikat persendirian itu yang enggan dikenali berkata, kipas seumpama itu hanya boleh didapati di Turki dan Amerika Syarikat sahaja.

Beliau yang juga merupakan pemegang tunggal bagi syarikat kipas angin berkenaan di Malaysia, Indonesia dan Brunei berkata, kipas sama juga digunakan di masjid di Singapura, namun ukuran bilahnya hanya sepanjang 6 meter (20 kaki) sahaja.

"Melihat Masjid Jamek Kota Tinggi yang mempunyai kelebaran yang besar, kita memilih untuk memasang kipas berukuran 24 kaki (7.2 meter) ini yang hanya diperoleh dari Turki.

"Difahamkan, setakat ini ia kipas paling besar di Malaysia dan Singapura. Malah untuk masjid ini, dengan pemasangan dua buah kipas bersaiz yang sama juga sudah memadai dan memberi cukup keselesaan buat jemaah," katanya.

Pemuda dibelasah selepas cuba curi kereta

Posted: 16 Feb 2013 03:37 AM PST


Pemuda dibelasah selepas cuba curi kereta
Suspek berusia 27 tahun ini berjaya ditangkap selepas mangsa mengejarnya sejauh lebih kurang satu kilometer.
KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki dipercayai cuba membawa lari sebuah kereta di sebuah pusat mencuci kereta di Batu Buruk di sini, teruk dibelasah orang ramai apabila pemilik pusat perniagaan itu sempat menyedari tindakan lelaki berkenaan.

Dalam kejadian di antara jam 10.30 hingga 10.45 pagi itu, suspek berusia 27 tahun cedera di bahagian kepala akibat dipukul orang ramai yang berang dengan tindakannya cuba mencuri kereta Suzuki Swift milik Tuan Ahmad Izzam Tuan Dollah, 31.
Sebelum kejadian, pemilik kereta yang berada di dalam sebuah bilik di premis perniagaan itu terdengar bunyi seseorang menyanyi dan mundar mandir dalam keadaan mencurigakan di hadapan biliknya itu sebelum keretanya cuba dilarikan.

Tuan Ahmad berkata, dia mendengar kereta jenis Suzuki Swift yang diparkir di hadapan biliknya itu telah dihidupkan dan dengan segera keluar untuk memeriksa bunyi tersebut serta mendapati suspek terbabit sudah berada di kerusi pemandu.

Mangsa kemudiannya segera menghampiri keretanya menyebabkan lelaki berkepala botak itu terkejut dan bertindak melarikan diri. Mangsa yang ketika itu gagal untuk menghalang suspek kemudiannya segera mengejarnya ke arah jalan utama.

Selepas mengejar sejauh kira-kira satu kilometer sambil meminta bantuan orang ramai dan pengguna jalan raya, mangsa akhirnya berjaya menangkap suspek yang kemudian dibelasah orang ramai sebelum diserahkan kepada anggota polis peronda.

Sinar Harian difahamkan, suspek yang beralamat dari Kampung Jabor di Gerik, Perak itu juga telah mengganggu penumpang sebuah bas yang dinaikinya sebelum kejadian malah dia juga berkeliaran di kawasan berkenaan dengan alasan untuk mencari kerja kosong.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Zamri Samsuddin ketika dihubungi Sinar Harian semalam mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan berkata, suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut.

Honda EX5 kena gantung akibat cubaan curi wang masjid

Posted: 16 Feb 2013 03:34 AM PST


Honda EX5 kena gantung akibat cubaan curi wang masjid
Motosikal jenis Honda EX5 yang digantung pada tiang telefon di Kampung Surau Haji Mat Zain, Marang ini kemudiannya diturunkan dan diserahkan kepada pihak polis pagi semalam
tabung masjid
Zaidi menunjukkan tabung masjid yang menjadi sasaran dua suspek terbabit.
MARANG – Berang dengan tindakan dua lelaki cuba mencuri wang tabung masjid, penduduk Kampung Surau Haji Mat Zain menggantung motosikal ditinggalkan suspek pada sebatang tiang telefon di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam kelmarin, seorang penduduk ternampak dua lelaki menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan di dalam perkarangan masjid kampung itu.

Pengerusi masjid berkenaan, Zaidi Ibrahim, 50, berkata, kehadiran dua lelaki itu kemudiannya dimaklumkan kepada beberapa penduduk berdekatan sebelum mereka bergegas ke masjid untuk membuat pemeriksaan.

"Kehadiran penduduk mengejutkan dua suspek terbabit yang kemudiannya melarikan diri dan meninggalkan motosikal dinaiki mereka. Selepas pemeriksaan, penduduk mendapati tabung masjid berpindah tempat.

"Tabung yang terletak di ruang solat utama lelaki itu didapati dipindahkan ke tempat solat wanita, dua suspek terbabit dipercayai ingin mengambil wang dalam tabung itu," katanya ketika ditemui di masjid itu, semalam. 

Zaidi juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) kampung itu berkata, penduduk yang berang dengan perbuatan itu bertindak menggantung motosikal dinaiki suspek pada tiang telefon berdekatan masjid.

"Penduduk kampung berjaga sehingga Subuh, menunggu dua suspek terbabit jika mereka datang menurunkan motosikal. Namun mereka tidak berbuat demikian sehingga pagi tadi," katanya semalam.

Zaidi berkata, motosikal jenis Honda EX5 itu kemudiannya diturunkan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, pihaknya memberi amaran kepada segelintir pihak agar tidak mengulangi perbuatan itu.

"Kami sentiasa membuat rondaan dan bekerjasama dalam menjaga keselamatan kampung dan orang ramai berikutan jenayah kecil sering berlaku pada waktu malam di sini," katanya.

Orang terkaya Malaysia: 31 bilionair, Syed Mokhtar kekal tangga ke-5

Posted: 16 Feb 2013 03:28 AM PST


Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary
Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary
Ananda Krishnan
Ananda Krishnan
Robert Kuok
Robert Kuok
KUALA LUMPUR - Robert Kuok, hartawan Malaysia yang berpangkalan di Hong Kong masih merupakan orang terkaya di Malaysia dengan kekayaan bernilai RM46.1 bilion, meningkat sebanyak 0.88 peratus daripada RM45.7 bilion tahun lepas, diikuti oleh ahli perniagaan Ananda Krishnan dan Pengerusi/CEO Public Bank, Tan Sri Teh Hong Piow.

Ananda, yang menduduki tempat kedua sejak 2004, telah mengalami penyusutan kekayaan terbesar apabila ia merosot 23.5 peratus dari tahun lepas, dengan aset yang dipegang melalui Usaha Tegas Sdn Bhd bernilai RM32.90 bilion setakat tarikh pengiraan pada 18 Januari, 2013.

Teh, mengekalkan kedudukannya bagi tahun ketiga berturut-turut dengan aset bernilai RM13.73 bilion, demikian menurut Malaysian Business, majalah perniagaan perdana Malaysia dalam terbitan 16 Februari.

Ia berkata kekayaan tergabung 40 individu terkaya Malaysia itu meningkat sedikit tahun ini meskipun dalam keadaan pasaran modal yang turun naik dan tidak menentu.

Secara kolektif, 40 orang terkaya Malaysia itu bernilai RM194.86 bilion pada 18 Januari. Ini merupakan peningkatan kecil sebanyak 0.86 peratus berbanding RM193.2 bilion setahun lalu.

Semasa Malaysian Business mula-mula menilai kekayaan 40 individu terkaya Malaysia pada 2002, aset tergabung mereka berjumlah RM41.7 bilion dan Robert Kuok Hock Nien muncul pada kedudukan teratas.

Majalah itu berkata keempat dalam senarai itu ialah Tan Sri Quek Leng Chan, yang melonjak daripada kedudukan keenam tahun lepas, menggantikan Tan Sri Lee Shin Cheng dari IOI Group, yang turun ke tempat keenam.

Kekayaan Quek, melalui syarikat utamanya, Hong Leong Group dan Guoco Group, bernilai RM11.09 bilion tahun ini.

Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary mengekalkan kedudukan kelimanya tahun ini dengan kekayaan berjumlah RM10.60 bilion, meningkat daripada RM9.53 bilion tahun lepas.

Tan Sri Lee Shin Cheng, melalui syarikatnya, IOI Group, turun dari kedudukan keempat pada 2012 ke tempat keenam dengan aset bernilai RM10.56 bilion.

Pengerusi Genting Group, Tan Sri Lim Kok Thay, dan ibunya, Puan Sri Lee Kim Hua, masing-masing masih pada kedudukan ketujuh dan kelapan. Kekayaan Lim bertambah 7.06 peratus kepada RM8.12 bilion manakala Lee menambah kekayaannya
sebanyak 9.82 peratus kepada RM7.23 bilion.

Tan Sri Tiong Hiew King, melalui jenteranya, Rimbunan Hijau Sdn Bhd, berada di tempat kesembilan tahun ini dengan aset bernilai RM6.35 bilion, susut 1.01 peratus daripada kekayaannya tahun lepas.

Melengkapi senarai 10 terkaya ialah jutawan harta yang berpangkalan di Singapura, Ong Beng Seng, melalui Hotel Properties Ltd, dengan kekayaan berjumlah RM4.02 bilion, setelah mengalami penyusutan sebanyak 18.36 peratus daripada tahun lepas.

Malaysian Business berkata satu hakikat menarik ialah sejak 2002, seramai 81 tikun telah menyertai senarai 40 Orang Terkaya Malaysia dan daripada jumlah itu, 15 berjaya terus kekal dalam senarai.

Keseluruhannya, peningkatan kukuh kekayaan hartawan-hartawan ini boleh dikaitkan dengan prestasi pasaran saham dan inflasi harga, memandangkan sebahagian besar kekayaan mereka adalah berdasarkan pegangan saham masing-masing.

Ia juga mencerminkan prestasi syarikat mereka dan pertumbuhan positif ekonomi Malaysia dalam 12 tahun lalu.

Bagi tahun ini, ada 31 bilionair – bertambah seorang lagi sejak tahun lepas - dan 23 daripada 40 orang dalam senarai itu menyaksikan aset mereka meningkat daripada tahun lepas. Daripada seramai ini, 14 mencatatkan pertumbuhan lebih daripada 10 peratus.

Senarai itu juga mencatat tiga pendatang baharu. Datuk Desmond Lim dari Pavilion REIT muncul kali pertama dalam senarai itu pada tempat ke-15, dengan kekayaan bernilai RM1.869 bilion. Dua lagi, Datuk Tan Heng Chew dari Tan Chong Motors Holding dan Tan Sri Kua Sian Kooi dari KSK Group, memasuki semula senarai itu, masing-masing pada tempat ke-37 dan ke-40.

Senarai penuh 40 tikun dan perincian kekayaan masing-masing disiarkan dalam majalah itu. Ia juga memaparkan senarai 10 tikun terkaya dalam Pasaran ACE.

Seperti pada tahun-tahun lepas, kekayaan 40 individu dalam senarai itu dinilai berdasarkan pegangan kepentingan masing-masing dalam syarikat-syarikat tersenarai pada 18 Januari.

Malaysian Business diterbitkan oleh Berita Publishing Sdn Bhd.

'Kami tak buat apa-apa, hanya temankan tunang saya tidur'

Posted: 16 Feb 2013 03:25 AM PST


Pasangan terbabit yang ditahan memberikan pelbagai alasan untuk melepaskan diri.
Pasangan terbabit yang ditahan memberikan pelbagai alasan untuk melepaskan diri.
BATU PAHAT – "Sumpah ustaz, kami tak buat apa-apa, saya hanya temankan tunang saya tidur sahaja," kata seorang lelaki ketika ditahan dalam serbuan Ops Valentine di sebuah hotel bajet di Jalan Pantai di sini, awal pagi semalam.

Dalam serbuan yang dilakukan kira-kira jam 3 pagi itu, seorang pemuda berusia 24 tahun ditahan dalam keadaan mencurigakan bersama wanita yang didakwa sebagai tunangnya yang juga berusia 24 tahun.

Timbalan Ketua Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) Batu Pahat, Saiful Ariffin Mohd Sopah berkata, ketika ditahan lelaki terbabit memberi pelbagai alasan antaranya mempunyai urusan penting yang perlu diselesaikan.

Katanya, keesokan harinya ada perkara yang penting menyebabkan mereka mengambil keputusan untuk tidur bersama di hotel itu manakala pasangannya hanya mendiamkan diri ketika disoal siasat.

"Pemeriksaan mendapati pasangan terbabit masih belum mempunyai ikatan perkahwinan.

"Alasan yang diberikan antaranya menemani tunang yang takut tidur bersendirian nyata tidak boleh diterima kerana apa juga alasan ianya tetap tidak boleh diterima selagi mereka masih belum mempunyai ikatan sah.

"Lelaki berkenaan yang berasal dari daerah ini turut memberi alasan mereka sudah bertunang sejak dua bulan lalu dan bakal melangsungkan perkahwinan hujung tahun ini," katanya kepada Sinar Harian.

Saiful Ariffin berkata, pasangan terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat untuk proses selanjutnya sebelum dituntut waris masing-masing.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 27 (1)(a)(b), Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997.

"Kami akan meneruskan operasi dan menjalankan serbuan seperti ini bagi memastikan kegiatan khalwat dapat ditangani sekaligus menangani gejala tidak bermoral di daerah ini," katanya.

Katanya lagi, setiap ibu bapa juga dinasihati untuk lebih peka dan berwaspada dengan keadaan dan lokasi anak-anak bagi memastikan mereka tidak terjebak dengan perkara sebegini.

Adibah 'kekasih' baharu Halim

Posted: 16 Feb 2013 03:22 AM PST


SUASANA hari pertama Adibah menjadi penyampai radio Suria FM secara rasmi bergandingan dengan Halim pada 4 Februari lalu.


SETELAH lama berseorangan, akhirnya, Halim Othman kini sudah bertemu 'kekasih' baharu bagi mengisi kekosongan dirinya selama ini. Setelah lama mencari dan dilamar, akhirnya, artis serba boleh, Adibah Noor bersetuju menjadi pasangan Halim Othman.
Namun, persetujuan Adibah bukanlah untuk menjadi pasangan hidup Halim, tetapi untuk bergandingan dalam segmen Ceria Pagi @ Suria bersama Halim iaitu sebagai ahli keluarga baharu stesen radio Suria FM.
Segmen yang bermula seawal pukul 5 pagi hingga 10 pagi itu kini dikendalikan oleh mereka berdua dan jelas kelihatan keterujaan di wajah Halim dan Adibah sendiri untuk bersama-sama menceriakan pagi pendengar setia mereka setiap Isnin hingga Jumaat.
Ketika mengadakan sidang akhbar yang bertempat di Pejabat Suria FM, Tropicana City Office Towers, Petaling Jaya, Selangor, Adibah dan Halim telah ke udara buat pertama kalinya pada 4 Februari lepas.
"Pemilihan Adibah Noor sebagai penyampai Suria FM adalah tepat. Selain daripada kredibilitinya sebagai penghibur, kami juga memilihnya kerana permintaan yang tinggi oleh para pendengar Suria FM sendiri. Apa yang menjadi keutamaan ialah keserasian bersama Halim Othman sendiri.
"Selain itu, kami juga dapat melihat keserasian Halim ketika Adibah menjadi jemputan segmen Ceria Pagi tidak lama dahulu. Kami melihat pakej yang ada, dan bagi kami, Adibah punya lebih daripada pakej yang dimahukan. Jadi, kami rasa ini ialah pilihan terbaik untuk tahun 2013," jelas Pengurus Program Suria FM, Adiwati Zainuddin.
Bagi Adibah pula, sememangnya dia sangat teruja menjalani karier dalam bidang yang masih hijau bagi dirinya ini. Menjadi penyampai radio, kata Adibah, merupakan impiannya sejak di bangku sekolah lagi.

HALIM akui teruja ingin bergandingan dengan Adibah dan merasakan mereka mempunyai keserasian yang baik.


"Saya kini telah melibatkan diri dalam pelbagai bidang termasuklah menyanyi, berlakon, mengacara dan kini menjadi seorang penyampai radio. Rasanya, sebagai seorang penghibur, apa salahnya jika saya mencuba sesuatu yang baharu.
"Namun, bukanlah niat saya untuk meninggalkan bidang yang diceburi sebelum ini, akan tetapi, bertujuan untuk mewarnakan lagi perjalanan karier saya sebagai seorang anak seni tempatan," bicara Adibah yang menerima tawaran Hot FM sebagai penyampai radio untuk untuk mencabar dirinya sendiri.
Tambah wanita yang sentiasa ceria ini, sudah lama sebenarnya Suria FM menyatakan hasrat untuk mengambil dirinya sebagai penyampai di stesen radio popular itu, namun lamaran tersebut dianggap sebagai gurauan memandangkan percakapan yang bersahaja dan tidak formal.
"Bagaimanapun setelah diberitahu secara rasmi, baru saya percaya, bahawa Suria FM benar-benar ingin ambil saya sebagai penyampai radio. Saya bersyukur dan berterima kasih kerana memberi peluang kepada saya.
"Mengenai kontrak, untuk permulaan, hanya enam bulan. Ini kerana, saya masih tidak begitu yakin dengan diri saya dan beri peluang kepada pihak Suria FM untuk menilai saya. Mungkin jika mereka berpuas hati, kami akan berbincang semula," jelas Adibah yang turut memberitahu, pada awal perbincangan, dia ditawarkan kontrak selama setahun.
Mengulas mengenai gandingan baharunya bersama Adibah, ujar Halim, dia sangat mengagumi Adibah dan menganggap ia sebagai sebuah penghormatan dapat bekerja bersama.
"Saya rasa Adibah mempunyai banyak isi dalam setiap penyampaiannya dan bukan sekadar cakap-cakap kosong sahaja. Gandingan kami masih baharu, dan saya serta Adibah akan sama-sama jelajah apa yang kami perlu lakukan kelak," ujar Halim.

Azad dilarang jumpa anak

Posted: 16 Feb 2013 03:20 AM PST


AZAD mengakui rezekinya semakin banyak dengan kelahiran Amarra Sofea Rose.


KEGEMBIRAAN jelas terpancar pada wajah figura tinggi lampai, Azad Jazmin. Apatah lagi apabila menyentuh perihal cahaya mata sulungnya, Amarra Sofea Rose yang dilahirkan pada 11 Januari lalu hasil perkongsian hidupnya dengan isteri, pelakon Eira Syazira.
Setelah sebulan lebih bergelar bapa, Azad atau nama sebenarnya, Azad Jazmin John Louis Jeffri khabarnya dilarang daripada bertemu dengan anaknya itu. Apakah cerita di sebaliknya?
Ikuti temu bual bersama Azad ketika ditemui pada majlis pratonton filem terbaharu lakonannya, Gangster Celop di E@ Curve, Damansara, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Kosmo!: Bolehkah ceritakan pengalaman serta kehidupan Azad kini setelah bergelar bapa?
AZAD: Memang saya akui, kehidupan kini sangat seronok. Pertama, ini kerana kali pertama menjadi bapa (ketawa). Selain itu, isteri saya perlu menjalani pembedahan kerana bayi besar iaitu seberat 4.5 kilogram. Namun, kami sangat bahagia dan dia kini telah berusia sebulan lebih sejak dilahirkan pada 11 Januari lalu.
Apakah perubahan yang berlaku pada diri Azad selain seronok menjadi seorang bapa?
Saya rasa perubahan pada diri saya tidak terlalu banyak dan masih gila-gila seperti dahulu. Cuma apa yang berbeza ialah tanggungjawab yang perlu dipikul. Mungkin dahulu suami, dan kini seorang bapa pula.
Biasanya, pukul 12 tengah malam atau 1 pagi sudah boleh tidur. Tapi, kini setiap dua jam, saya perlu bangun untuk buat susu anak. Jadi itulah rutinnya, kerana setelah ada orang ketiga dalam hidup, memang rasa dan perjalanan hidup itu sedikit berbeza.
Jadi, anda juga banyak membantu isteri untuk membuat kerja-kerja rumah dan sebagainya?
Ini kerana Eira menjalani pembedahan, jadi dia perlukan masa yang banyak untuk berehat dan sembuh daripada luka pembedahan tersebut. Dalam masa dua minggu, saya melakukan kerja ibu dan bapa. Saya membancuh susu untuk anak, menukar lampin dan melakukan rutin-rutin yang perlu dilakukan kepada bayi. Saya perlu bantu isteri saya dan saya gembira lakukannya. Namun, kini setelah dua minggu Eira sudah beransur pulih dan sedang menjalani sesi berpantang pula.
AZAD dan Eira kini melalui pengalaman baharu dikurniakan anak sulung.


Khabarnya, mertua ada melarang Azad daripada menemui anak. Boleh komen?
Kini, isteri saya tinggal bersama mertua di Putrajaya. Jika saya pulang lewat kerja, tidak dapatlah saya bertemu isteri dan anak. Ini kerana, ibu mertua seorang yang berpegang pada pantang larang orang tua-tua. Jadi, selepas Maghrib, saya sudah tidak boleh pergi ke rumah mertua kerana dikhuatiri akan mengganggu bayi.
Apakah perkembangan terbaharu Azad?
Saya kini sedang menjalankan penggambaran bersama pengarah, Osman Ali iaitu filem yang berjudul Sejoli dan Mamak Cupcake.
Sejak kebelakangan ini, rezeki anda nampaknya semakin bertambah.
Mungkin rezeki anak saya yang baru dilahirkan itu. Dahulu memang saya kurang percaya perkara sebegini, Namun apabila alaminya sendiri, memang jelas rezeki yang saya dapat diibaratkan seperti Sungai Nil, sentiasa ada di mana-mana. Saya juga ada kontrak bersama Grand Brilliance Sdn. Bhd. iaitu sebanyak 10 judul filem yang mana, lima filem sebagai pelakon pembantu dan lima lagi sebagai watak utama. Filem pertama lakonan saya di bawah kontrak ini, berjudul Showdown yang bakal menjalani penggambaran pada April ini. Namun, saya tidak mengikat kontrak untuk menjadi artis di bawah naungan Grand Brilliance.

Tragedi berdarah ketika sarapan

Posted: 16 Feb 2013 03:19 AM PST


ANGGOTA polis menjalankan siasatan di tempat seorang pesara tentera ditembak dan ditetak sampai mati.


BACHOK – Kerisauan seorang wanita mengenai keselamatan ahli keluarganya selepas rumahnya dikepung sekumpulan lelaki malam kelmarin ternyata berasas apabila suaminya mati akibat ditembak dan ditetak ketika sedang bersarapan di sebuah warung di Kampung Kemasin dekat sini semalam.
Kejadian pukul 9 pagi itu mengakibatkan seorang pesara tentera, Sauti Muda, 57, mati di warung milik sepupunya.
Ketika kejadian, mangsa sedang bersarapan bersama isterinya, Sarinah Abdullah (gambar kecil), 40, dan beberapa penduduk lain di situ.
Mengimbau semula kejadian itu, Sarina memberitahu, dia dan arwah suaminya keluar rumah untuk membeli nasi berlauk di Beris Kubur Besar sebelum singgah di warung itu untuk makan.
Jarak antara warung dan rumahnya kira-kira 100 meter.
Katanya, ketika sedang asyik menyuap nasi, dia melihat dua lelaki berusia lingkungan 30-an memberhentikan motosikal di depan warung dengan sepucuk pistol terselit di pinggang penunggang manakala pembonceng pula membawa sebilah pedang.

ORANG ramai melihat kesan darah di sebuah warung tempat Sauti mati ditembak di Kampung Kemasin, Bachok semalam.


"Penjenayah kemudian terus melepaskan tembakan ke arah suami dalam jarak enam meter. Arwah kemudian melompat masuk ke dapur untuk bersembunyi di bawah meja.
"Suspek yang tidak berpuas hati kemudian turut masuk dan melepaskan beberapa das tembakan lagi sebelum rakannya yang turut masuk lalu menetak suami saya dengan pedang," ceritanya yang memberitahu mereka bersarapan di situ setiap pagi.
Tambahnya, malam sebelum kejadian, rumahnya telah dikepung sekumpulan lelaki dan seminggu lalu, anak lelakinya yang berusia 16 tahun turut dikejar beberapa lelaki dipercayai rakan penjenayah namun sempat menyelamatkan diri.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Ab. Rahim Che Ghani berkata, identiti kedua-dua penjenayah itu telah dikenal pasti dan mereka disyaki terlibat dalam aktiviti jenayah dan dadah.
"Mereka dikenali beberapa penduduk kerana tidak memakai topeng atau menutup muka sewaktu kejadian. Kita percaya kejadian itu bermotifkan dendam," katanya yang menyiasat kes bunuh itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Tinjauan Kosmo! ke lokasi kejadian mendapati beberapa kelongsong peluru ditemui di tepi jalan dan dalam warung berkenaan termasuk kesan tembakan yang menembusi kerusi plastik.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu untuk dibedah siasat.

Sardin bagus untuk tulang

Posted: 16 Feb 2013 03:14 AM PST



KUALA LUMPUR – Kita sering mendengar dakwaan mengatakan bahan pengawet yang dicampur dengan sardin dalam tin memberi kesan buruk kepada kesihatan.
Malah di internet heboh dakwaan tulang manusia akan menjadi rapuh sekiranya makanan kegemaran ramai itu diambil secara kerap.
Selain itu, ia juga dikaitkan dengan ketumbuhan fibroid kepada wanita.
Bagaimanapun, dakwaan itu diragui kebenarannya oleh Presiden Persatuan Pemakanan Malaysia, Dr. E. Siong Tee.
Menurutnya, ikan sardin dalam tin sebenarnya mempunyai kandungan kalsium tinggi yang diperlukan oleh tulang manusia.
"Kajian sains mendapati tulang ikan sardin dalam tin merupakan salah satu sumber kalsium yang baik untuk tulang selain produk tenusu.
"Setakat ini, makanan dalam tin tidak mempunyai sebarang risiko yang memudaratkan sekiranya bahan yang digunakan oleh pengeluar mematuhi piawaian yang ditetapkan," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Selain sardin, katanya, amalan makan ikan bersaiz kecil seperti ikan bilis juga membantu meningkatkan kandungan kalsium yang diperlukan oleh tubuh manusia.
Tambah Siong Tee, makanan dalam tin juga membantu memudahkan penyediaan hidangan diet bagi mereka yang sibuk dengan jadual harian.
Sementara itu, seorang pakar tulang, Dr. M. Ismail Maulut (gambar) memberitahu, masalah berkaitan dengan sendi dan tulang manusia berkait rapat dengan kandungan garam atau asid urik dalam makanan.
"Kandungan asid urik di dalam kebanyakan makanan dalam tin adalah minimum serta tidak bahaya kecualilah ia tidak diawet secara sempurna dan telah dijangkiti bakteria.
"Sebenarnya, makanan laut dan organ dalaman haiwan lebih berpotensi meningkatkan kandungan asid urik dalam darah yang menjadi punca serangan penyakit sendi berbanding makanan dalam tin," katanya.
Antara makanan organ dalaman itu ialah paru, hati, limpa dan perut haiwan.
Menurut M. Ismail, makanan dalam tin mungkin memudaratkan jika kandungannya tercemar oleh bakteria jenis Clostridium Botulinum.
"Bakteria tersebut mudah ditemui pada tanah dan air yang kotor. Ia juga mudah menular dalam makanan dalam tin yang tidak diawet sempurna sehingga boleh menyebabkan sel-sel bakteria akan menghasilkan toksin yang boleh mengakibatkan keracunan kepada manusia," jelasnya.

Penduduk diminta jangan dekati tahi bintang

Posted: 16 Feb 2013 03:05 AM PST


AWAN kelihatan di laluan tahi bintang itu.


MOSCOW - Pihak berkuasa Rusia semalam meminta para penduduk supaya jangan mendekati sebarang objek yang dipercayai serpihan tahi bintang.
Tahi bintang itu jatuh ke dalam sebuah tasik dekat Chebakul, wilayah Chelyabinsk Oblast semalam.
"Kementerian Kecemasan Rusia memberi amaran kepada penduduk di kawasan pergunungan Ural supaya tidak mendekati objek yang tidak dikenali," kata kementerian berkenaan di laman webnya.

SEBUAH bangunan runtuh akibat letupan kuat tahi bintang tersebut.


Akademi Sains Rusia menganggarkan tahi bintang itu bergerak selaju 54,000 kilometer sejam.
Tahi bintang itu menyebabkan 1,000 orang mengalami kecederaan akibat terkena serpihan kaca tingkap bangunan akibat letupan semasa ia jatuh ke dalam tasik itu.
Pihak akademi menyatakan, ia menghantar beberapa kakitangannya ke lokasi tempat tahi bintang itu jatuh.

Asteroid gergasi dekati bumi

Posted: 16 Feb 2013 03:04 AM PST


LAKARAN artis menunjukkan asteroid 2012 DA14 berada dekat bumi.


CAPE CANAVERAL, Florida - Sebuah asteroid gergasi sebesar 45 meter mendekati bumi semalam pada kedudukan 17,600 kilometer.
Para saintis Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa lepas Kebangsaan (NASA) milik Amerika Syarikat menyatakan, asteroid sebesar separuh padang bola sepak itu akan mendekati bumi setiap 40 tahun.
Asteroid itu dikenali dengan nama 2012 DA14.
Bagaimanapun, ia terlalu kecil untuk dilihat dengan mata kasar manusia.
Ia berada dekat Lautan Hindi dan Sumatera, Indonesia semasa berada pada kedudukan dekat bumi.

Penyokong Morsi berarak di Kaherah

Posted: 16 Feb 2013 03:03 AM PST


RIBUAN penyokong Morsi berhimpun di Kaherah semalam.


KAHERAH - Ribuan penyokong Presiden Mesir, Mohamed Morsi semalam berarak bagi mengutuk keganasan selepas tunjuk perasaan ganas berlaku di negara ini beberapa minggu lalu.
Parti Pembangunan dan Pembinaan Islam mendesak supaya tunjuk perasaan itu diadakan dengan menyalahkan pihak pembangkang.
"Semua itu disebabkan pihak pembangkang. Mereka menjadi dalang keganasan," kata seorang penunjuk perasaan, Mohamed Ahmed.
Para penunjuk perasaan itu menjerit nama Morsi selain mengibarkan bendera Mesir.
"Tidak untuk keganasan. Ya untuk syariah," kata para penunjuk perasaan itu.

Tunjuk perasaan berdarah di Manama

Posted: 16 Feb 2013 03:02 AM PST


BEBERAPA penunjuk perasaan berlari daripada terkena gas pemedih mata semasa mereka meraikan ulang tahun kedua tunjuk perasaan menentang pemerintahan beraja di Manama kelmarin.


MANAMA, Bahrain - Seorang pegawai polis mati dekat sini dalam pertempuran terbaharu dengan para penunjuk perasaan bagi meraikan ulang tahun kedua kebangkitan penduduk penganut Syiah menentang pemerintah, kata Kementerian Dalam Negeri semalam.
Pegawai polis itu mati selepas dia terkena bom petrol semasa pertempuran berlaku di sebuah kampung Syiah dekat sini.
Para penunjuk perasaan membaling bom petrol, batang besi dan batu ke arah polis di Kampung Al-Sahla semasa kejadian tersebut berlaku.
Kelmarin, seorang penunjuk perasaan mati ditembak apabila para penunjuk perasaan meraikan kebangkitan rakyat menentang pemerintahan beraja di negara ini.
Penunjuk perasaan itu, Hussein al-Jaziri yang berusia 16 tahun mati selepas dia cedera parah termasuk di bahagian dada apabila terkena tembakan di Kampung Daih, pinggir bandar raya ini.
Tunjuk perasaan itu yang pada mulanya aman bertukar menjadi ganas apabila polis melepaskan tembakan senapang patah dan gas pemedih mata untuk menyuraikan para penunjuk perasaan menyebabkan beberapa ornag cedera.
Dua tahun lalu, seramai 80 orang mati apabila satu siri tunjuk perasaan menentang pemerintahan beraja berlaku di negara ini.

WHO dakwa belum ada bukti rokok elektrik selamat

Posted: 16 Feb 2013 03:01 AM PST


GAMBAR fail menunjukkan rokok dan paip elektrik di Beijing, China.


PARIS - Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan tiada kajian saintifik tetang keselamatan penggunaan rokok elektrik telah dilakukan.
"Potensi tentang kesihatan para pengguna masih belum dapat ditentukan, " kata WHO.
Badan kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu itu menyatakan terdapat beberapa ujian yang mencadangkan terdapat kewujudan toksik kimia pada rokok tersebut.
Ia menasihatkan para pengguna supaya tidak menggunakan rokok itu.
Rokok elektrik buat kali pertama muncul di China pada tahun 2003 sebagai pilihan lain bagi menggantikan rokok tembakau.
Terdapat kebimbangan sebelum ini bahawa rokok elektrik itu yang menggunakan bateri mungkin menyebabkan bahaya ke atas kesihatan.

Dua ekor kuda padi dikahwinkan di Rusia

Posted: 16 Feb 2013 03:00 AM PST


BEBERAPA ekor unta menyaksikan majlis perkahwinan antara kuda padi jantan (kiri) dengan kuda padi betina di Zoo Royev Ruchey, Krasnoyarsk kelmarin.


KRASNOYARSK, Rusia - Dua ekor padi dikahwinkan pada stau majlis yang diadakan di Zoo Royev Ruchey di sini kelmarin.
Para kakitangan zoo itu mengatur majlis perkahwinan tersebut sempena dengan Hari Kekasih.
Kuda padi jantan yang bernama Silver memakai topi manakala kuda padi betina bernama Zorka dipakaikan kain berwarna putih di atas badannya pada majlis tersebut.

Realiti kehidupan penduduk Gaza

Posted: 16 Feb 2013 02:59 AM PST



SEJAK zaman persekolahan, Farrah Adeeba Mohamed Ashraf, 35, sudah maklum dengan isu Palestin. Namun, pengetahuannya tentang Palestin tidak begitu mendalam.
Lima tahun lalu, penempatan rakyat Palestin di Gaza diserang dan dibom Israel. Kesan serangan itu, bangunan sekolah, kerajaan, rumah, gudang makanan dan perubatan di Gaza mengalami kemusnahan teruk selain ramai kanak-kanak terbunuh.

MENGUTIP sampah merupakan antara pekerjaan yang dilakukan oleh penduduk Gaza untuk kelangsungan hidup.


Apa yang mengecewakan, media-media antarabangsa bersikap berat sebelah berhubung laporan tragedi itu. Ketiadaan visual menyebabkan masyarakat antarabangsa kurang terkesan dengan tragedi itu terutama Barat.
"Kalau tengok Cable News Network (CNN) tiada visual kematian, laporan yang disiarkan juga hanya beberapa saat, malah hasil temu bual jalanan yang dilakukan kononnya orang ramai tidak nampak visual serangan tersebut.
"Macam mana boleh jadi begitu? Tiada laporan menyeluruh sedangkan insiden tersebut sangat besar. Biasanya, media antarabangsa kes kecil seperti tunjuk perasaan pun mereka beri liputan besar," kata Farrah yang ketika itu bekerja sebagai wartawan penyiaran di salah sebuah televisyen swasta di negara ini.
Serangan tersebut mencetuskan semangat jihad Farrah untuk menghulurkan bantuan, namun kerana dia tidak tahu caranya, hasrat itu terpendam begitu sahaja.
Tahun 2010 membuka lembaran baharu kepada Farrah apabila wakil sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) berjumpa dengannya dengan menyuarakan hasrat menjadikan Farrah sebagai Ikon Tabung Palestin.

PENDUDUK Pelestin menjalani kehidupan harian seperti biasa walaupun terdedah kepada serangan Israel.


Bak kata pepatah, orang mengantuk disorongkan bantal. Pelawaan itu diterima dengan hati terbuka. Beliau menganggap Allah telah membuka jalan kepadanya untuk melakukan kerja-kerja jihad. Bagaimanapun, Farrah memberikan syarat-syarat tertentu kepada wakil Aman Palestin. Beliau enggan menerima sebarang bayaran.
Buka mata
Tahun lalu, impian tersebut tertunai apabila Farrah berpeluang mengunjungi Gaza sebanyak dua kali iaitu pada bulan April dan Disember. Kunjungan itu membuka mata Farrah tentang kehidupan sebenar 1.7 juta rakyat Palestin, keadaan negara dan semangat penduduknya menentang penjajahan Israel.
Serangan Zionis di bumi Gaza pada bulan Disember 2012 tidak seteruk tahun 2008 kerana Mesir memainkan peranan sehingga gencatan senjata berjaya dilakukan.
Walaupun begitu, Farrah tetap menganggap serangan tersebut dahsyat kerana ia memusnahkan masjid, rumah, stadium dan jabatan pendaftaran negara. Kemusnahan sebenar akibat serangan berkenaan tidak seperti yang digambarkan dalam siaran lintas langsung Al-Jazeera yang menyatakan serangan tersebut hanya mengenai tempat-tempat Hamas.

PERJANJIAN gencatan senjata Hamas-Israel baru-baru ini memberikan ruang kepada nelayan Gaza menangkap ikan sehingga 6 batu nautika dari pantai Gaza.


"Paling teruk terjejas ialah Jabatan Pendaftaran Negara, Yahudi mahu hapuskan rekod-rekod orang Palestin dan kesan sejarah sekali gus menghapuskan bukti kehadiran umat Islam di situ," katanya yang juga pengarah dua buah syarikat iaitu Miracle Media (M) Sdn. Bhd. dan Najjah Boutique (M) Sdn. Bhd.
Misi Solidariti Gaza 2012 anjuran Aman Palestin berkunjung ke Gaza selama lapan hari bermula pada 5 hingga 13 Disember lalu. Dalam misi itu seramai 120 orang rakyat Malaysia turut serta. Mereka terdiri daripada para sukarelawan, wakil media dan selebriti.
Antara tempat yang sempat mereka kunjungi sepanjang berada di Gaza ialah Kompleks Khatiba Khadrat bagi menyaksikan perhimpunan kejayaan gencatan senjata, Hospital As Syifa untuk melawat mangsa perang, rumah anak-anak yatim di Hayya An Nasser, Kompleks KDN Palestin dan penempatan penduduk sekitar Gaza. Dua kali mengunjungi Gaza, Farrah begitu memahami kesukaran penduduk Palestin yang hidup terkongkong kerana pintu keluar dan masuk negara berkenaan dikawal ketat tentera Israel yang lengkap bersenjata serta diawasi kereta kebal.
Tidak cukup dengan itu segala aktiviti rakyat Palestin diperhatikan setiap masa dengan kewujudan belon-belon perisik. Ia merakam perbuatan warga Palestin dan mendengar perbualan telefon mereka.
Keadaan itu jelas menggambarkan kehidupan orang Palestin tidak bebas, terhimpit dan bila-bila masa boleh di serang dan dibunuh tetapi semangat mereka sangat kental.
Ketika berada di Gaza, Farrah menyaksikan sendiri kehebatan peribadi dan semangat rakyat Palestin. Bagi mereka kesempitan hidup satu kurniaan Allah.
Orang Palestin termasuk kanak-kanak tidak meminta-minta daripada orang luar. Semangat mereka sangat kuat, meskipun ahli keluarga dibunuh, mereka menjalani kehidupan seperti biasa dan kanak-kanak juga bebas bermain-main.

MESKIPUN kehilangan bapa dan ahli keluarga, rakyat Palestin cekal menghadapi dugaan itu.


Hafal al-Quran
"Saya menyaksikan persembahan kanak-kanak dan selepas tamat saya ingin membelikan ais krim tetapi ditolak dengan beradab. Saya terpaksa minta penjual ais krim membantu memujuk mereka barulah berjaya. Ia menunjukkan didikan yang baik dan tidak meminta-minta daripada orang lain.
"Selain itu, kanak-kanak berusia 10 tahun ke bawah diajar membaca, menghafal dan memahami isi al-Quran. Mereka juga boleh membuat rumusan sesuatu surah.
"Ketika berkunjung ke universiti di sana, saya memberi kata-kata semangat kepada pelajar wanita antaranya jangan berhenti berjuang dan rakyat Malaysia akan sentiasa menyokong perjuangan mereka. Mereka peluk saya, terasa
MASJID di Gaza tidak pernah sunyi dengan pelbagai aktiviti keagamaan.


semangat ukhwah dan mereka sangat hargai bantuan dan sokongan kita," kata Farrah lagi.
Sukarelawan Aman Palestin, Amie Sofia Ahmad, 27, sanggup mengeluarkan wang sendiri sebanyak RM7,500 untuk mengikuti rombongan Aman Palestin.
Pelaburan itu nyata berbaloi apabila Amie dapat menyaksikan sendiri suasana di Gaza dan kehidupan masyarakatnya.
"Saya pernah belajar di Mesir tetapi tidak pernah menjejak negara berkenaan.
"Pemergian itu dicetuskan apabila saya mendapat e-mel untuk panggilan jihad, saya tanya emak, dia kata tidak payah pergi namun akhirnya emak bersetuju," katanya yang fasih berbahasa Arab.
Semangat kental
Menurut Amie, sebagai orang muda, dia melihat kehidupan orang Palestin sebagai sangat kental malah kesempitan hidup yang ditempuhi membuatkan mereka lebih kreatif.
Bagi penduduk Palestin, perkara penting bagi mereka ialah membebaskan bumi Palestin daripada Israel. Justeru jati diri mereka perlu kuat dan mereka tidak sekali-kali akan tunduk memohon pembebasan daripada Israel.
"Tahap keyakinan mereka cukup tinggi, saya banyak belajar daripada mereka. Mereka berpegang kepada prinsip, hidup mulia atau mati syahid. Kehidupan memang tertekan namun mereka sangat kuat menempuh cabaran hidup di dunia ini.

SERANGAN udara di Gaza Disember 2012 sedikit pun tidak mematahkan semangat rakyat Palestin untuk terus berjuang.


"Sejak kecil mereka telah dididik untuk berjihad fisabilillah. Semua perkara tersebut menguatkan mereka, kanak-kanak turut luka-luka terkena bom tetapi mereka cekal menghadapi dugaan itu," katanya.
Pengacara, pelakon dan penyanyi, Heliza Helmi, 27, menyaksikan wanita dan kanak-kanak Palestin reda dan sentiasa bersyukur dengan kehidupan mereka.
Kanak-kanak berusia empat hingga lima tahun yang ditemuinya mempunyai cita-cita untuk mengikuti jejak langkah ayah mereka yang mati syahid.
"Sejak kecil, ibu-ibu membawa anak-anak mereka ke masjid. Masjid sudah menjadi lokasi wajib dan aktiviti harian mereka. Masuk saja masjid kanak-kanak tersebut akan melakukan solat sunat, semasa khutbah Jumaat mereka senyap dan mendengar dengan teliti. Ini menunjukkan keperibadian mereka yang mengamalkan ajaran Islam dengan baik.
"Golongan wanita Palestin cukup hebat, bagi mereka anak-anak yang syahid satu tiket untuk masuk syurga lebih awal daripada anak-anak kerana merekalah yang mendidik anak-anak untuk berjuang kepada jalan Allah," kata Heliza.
Jelasnya, orang Malaysia patut menziarahi Gaza kerana kehidupan dan suasana di sana merupakan satu motivasi yang baik kepada diri masing-masing. Gaza merupakan satu tempat yang cantik. Sebaik melangkah masuk ke Gaza jiwa menjadi tenang dan perasaan takut turut hilang.

Kehangatan pesta samba

Posted: 16 Feb 2013 02:58 AM PST


PENARI dari Sekolah Unidos de Vila Maria mengenakan pakaian tradisional Korea sebagai penghargaan kepada budaya dari negara Asia itu.



KARNIVAL samba bukan hanya menampilkan gadis yang seksi, ia turut dimeriahkan dengan perarakan kereta berhias dan tarian.


DENGAN kaki yang panjang dan tubuh badan yang menggiurkan, sambil mengenakan bulu-bulu burung panjang di belakang serta hiasan kepala, ribuan wanita memenuhi ibu kota Rio de Janeiro, Brazil pada awal tahun untuk Karnival Samba.
Menjadi karnival tradisi yang membawa jutaan pelancong asing memenuhi jalan-jalan sekitar ibu kota itu, wanita-wanita seksi akan bergelek samba sepanjang malam mengikut rentak muzik serta tarian mereka.
Namun, pesta tersebut bukan hanya menekankan kepada wanita erotik semata-mata kerana ia juga sebenarnya menggabungkan muzik, tema persembahan yang melibatkan ribuan penari, keindahan kereta berhias dan banyak lagi.
Diiktiraf sebagai antara parti perarakan terbesar di dunia, ia biasanya bukan berlangsung untuk dua atau tiga jam, sebaliknya kehangatan gelekan samba itu akan berlangsung selama dua atau tiga malam.
Tahun ini, Karnival Samba berlangsung selama empat malam dari 9 Februari lalu yang mengumpulkan enam juta pengunjung.
Menghangatkan lagi termometer karnival itu, pertandingan perarakan samba terbaik antara sekolah-sekolah samba seluruh Brazil turut diadakan pada malam terakhir.
Tahun ini, sebanyak 12 buah sekolah beraksi. Menariknya, persembahan mereka tidak hanya membawa imej seksi semata-mata apabila ia disatukan dengan kareografi kreatif.
Persembahan samba dari Sekolah Mangueira contohnya, memukau pengunjung dengan dedikasi khas untuk salah satu kota Brazil, Cuiaba yang kaya dengan alam semula jadi.
Ribuan penari dari Sekolah Mangueira tampil dengan kostum merah jambu dan hijau dengan hiasan kepala menyerupai semut, ikan, ular dan burung.
Karnival tahun ini juga menyaksikan samba memasukkan elemen Asia apabila menjemput pereka fesyen Jepun, Junko Kashino yang turut menghasilkan busana pada perarakan itu.
Tidak ketinggalan, seorang peserta lelaki turut tampil menyerupai Psy, sambil membuat tarian Gangnam Style.

Model pacuan roda hadapan paling pantas

Posted: 16 Feb 2013 02:57 AM PST

WALAUPUN berkuasa, jentera ini tetap mampu menawarkan penggunaan bahan api sekitar 8.2 liter bagi setiap 100 kilometer.


FORD Focus ST dan Volkswagen Golf R kini sudah ada pencabar sebenar. Baru sahaja dilancarkan seminggu sebelum Tahun Baru Cina lalu, hot hatch daripada Renault itu sememangnya boleh membuatkan ramai orang, terutama kaki trek tidak lena tidur.
Dilancarkan oleh pengedar tunggal jenama Renault di Malaysia, TC Euro Cars Sdn. Bhd. (TC Euro Cars), Renault Megane RS 265 Cup ialah pengganti kepada model Renault Megane RS 250 Cup yang telahpun menerima pelbagai pengiktirafan di seluruh dunia. Malah jentera itu dikatakan telah menetapkan satu penanda aras baharu dalam segmen hot hatch sebaik sahaja diperkenalkan pada tahun 2010.

SISTEM suspensi hadapan dan stereng ciptaan Renault Sport Perforhub menjanjikan pengendalian mantap di atas litar.


Keupayaan rangkaian model Megane RS banyak dibantu oleh unit enjin dengan pengecas turbo penuh kuasa itu. Enjin tersebut kemudian dipadankan dengan casis Cup yang memang terkenal dengan aspek kestabilannya.
Hasilnya, ia boleh menjadi jentera yang tidak kurang hebatnya jika beraksi di atas litar dan cukup bagus untuk digunakan sebagai kenderaan harian. Apa pun, jentera itu bukan untuk semua orang. Bukan sahaja kerana harganya yang mahal, tetapi Renault Megane versi RS memang direka untuk mereka yang tahu menghargai keseronokan memandu.
Megane RS 265 Cup memiliki DNA yang sama dengan Megane RS 250 Cup. Cuma, anda boleh harapkan beberapa penambahbaikan pada sebuah jentera yang sudah memang bagus. Jadi, apa lagi yang anda ragukan?

KOKPIT Renault Megane RS 265 Cup tidak banyak berubah berbanding model Megane RS 250 Cup.


Bercakap tentang prestasi, tidak banyak jentera yang boleh menggugat pencapaian Megane RS, walaupun daripada jenama lebih gah. Jentera dengan signatur warna kuning, lebih tepat lagi Sirius Yellow itu menjadi kereta pacuan roda hadapan paling pantas di litar Nurburging, Jerman.
Catatan masa 8 minit 8 saat dibuat oleh Megane RS 265 Trophy. Jentera Megane RS turut menyerlah dalam sukan bermotor apabila memenangi Kejohanan Rali Jerman dan Belgium baru-baru ini.
Di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Megane RS 265 Cup mencatat rekod 2 minit 41 saat untuk sebuah jentera produksi pacuan roda hadapan.
"Sama seperti Megane RS 250, pengendalian Megane RS 265 seakan-akan jentera pacuan roda belakang, tetapi dengan daya yang lebih progresif. Ia membantu anda untuk masuk ke selekoh dengan lebih pantas dan mendapat kuasa dalam tempoh lebih pendek. Pendek kata, kereta ini memang terbaik," kata bekas pemandu pasukan A1-GP Singapura, Denis Lian.
Enam saat sahaja
Jentera itu dipasang enjin 2.o liter dengan pengecas turbo yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 265hp (naik 15hp berbanding sebelum ini). Torknya pula 360Nm (bertambah 20Nm) yang boleh diperah dalam lengkuk rev lebih luas iaitu sekitar 3,000 hingga 5,000rpm.
Dengan nisbah berat kuasa 5.09 kilogram bagi setiap hp, pakej kuasa jentera itu memang mengagumkan. Maka tidak hairanlah jika tempoh untuk mencapai kelajuan 100 kilometer sejam (km/j) memerlukan masa enam saat sahaja.

EDISI terhad Renault Megane RS Red Bull Racing RB7 dibezakan dengan peresap udara berwarna kuning terang.


Kelajuan tersebut diseimbangkan dengan sistem brek berkuasa jenama Brembo yang terdiri daripada cakera ventilasi bersaiz 340 milimeter (mm), paling besar dalam segmennya.
Tidak hanya berkuasa, pasukan jurutera Renault bekerja keras untuk menala casis Cup dan sistem Limited Slip Differential (LSD) demi menawarkan kuasa cengkaman terbaik. Ini demi menjamin jentera dapat mengambil selekoh tajam dengan meyakinkan.
Penjimatan bahan api turut dipertingkatkan. Renault mendakwa Megane RS 265 Cup hanya memerlukan 8.2 liter untuk setiap 100km.
Kalau sekali pandang, mungkin susah untuk kita membezakan model terbaharu dengan yang lama. Sebenarnya, ia menggunakan 'sirip' seperti jentera F1 yang sememangnya sinonim dengan karekteristik model-model Renault Sport.

PENGARAH dan Ketua Operasi TC Euro Cars, Kuan Kim Luen (kiri) dan Pengurus Besar TC Euro Cars, Reza Mutalib melancarkan edisi terhad Renault Megane RS Red Bull Racing RB7.


Bahagian hadapannya kini tampil dengan dua baris lampu LED dan perumah lampu utama yang digelapkan. Rim juga diganti dengan rim aloi "Tibor" bersaiz 18 inci berwarna hitam yang elegan.
Ruang kokpit Megane RS 265 Cup tidak banyak berubah. Antara yang ditambah adalah kemasan hitam pada konsol tengah dan corong pendingin hawa. Panel pintu diberi efek kemasan karbon. Tempat duduk jenis bucket Recaro pula menambah rasa sporty ketika berada di dalam kabin tersebut.
Pada majlis yang sama, TC Euro Cars memperkenalkan model edisi terhad Megane RS Red Bull Racing RB7. Ia tampil dengan warna hitam berkilat (Etoile black) dan calitan kuning pada blade bampar hadapan, cermin sisi dan peresap udara di bahagian belakang. Bumbungnya pula dihiasi corak bendera pelepas (chequered flag) berwarna hitam dan putih.
Bagi menambah perbezaannya, pelekat logo rasmi Red Bull Racing ditampal di bahagian bawah pintu pemandu. Lebih istimewa, Megane RS Red Bull Racing RB7 untuk pasaran Malaysia turut dilekatkan dengan plak khas yang ditandatangani oleh juara dunia F1 tiga tahun berturut-turut, Sebastian Vettel.
Sebagai tanda penghargaan kepada pemilik jentera Renault Sport, TC Euro Cars mengumumkan tarikh RS Track Days untuk tahun 2013. Kelab pemilik yang dikenali sebagai Renault Sport Collectif turut dilancarkan.
Megane RS 265 Cup ditawarkan pada harga RM234,526 (di atas jalan tanpa insurans), tambahan kira-kira RM5,000 berbanding Megane RS 250 Cup. Sementara Megane RS Red Bull Racing RB7 pula boleh anda miliki pada harga RM243,292 seunit.

Proton Gen2 trek

Posted: 16 Feb 2013 02:56 AM PST

KERETA ini dibina untuk berentap dalam perlumbaan Malaysia Super Series.


TIDAK ada sebab orang hendak buat modifikasi enjin standard untuk jadi lebih laju yang sebenarnya menelan belanja yang banyak.
Namun, modifikasi enjin aspirasi biasa (NA) yang sangat mencabar memang telah menjadi satu tradisi dalam kalangan pemilik kereta.
Apabila tengok kereta itu buat kali pertama, saya sudah dapat agak betapa seriusnya pemilik hendak menjadikannya sebuah kereta yang laju. Proton Gen2 dengan enjin S4PH memang bukan dicipta untuk laju.
Maklumlah, enjin pertama Proton selepas 20 tahun menghasilkan kereta. Banyak penambahbaikan yang telah dibuat hingga lahirnya enjin Campro versi CFE dan kini dipasang pada model kenderaan pelbagai guna (MPV) Exora. Tetapi apa yang ingin dibicarakan di sini ialah enjin versi asal S4PH, varian enjin pertama Campro yang diperkenalkan selepas Waja menggantikan model 4G18 Mitsubishi.
Adakah enjin itu lemau? Tentu sekali. Sebab itu juga ia jarang diubah suai kerana kebanyakan orang akan menggantikan terus enjin tersebut. Namun, sejak bermulanya era perlumbaan yang membabitkan kategori enjin Campro, banyak individu yang membuat modifikasi enjin mula beralih arah.
Teorinya mungkin sebab kereta itu murah untuk dibeli di pasaran terpakai. Persaingannya juga tidak seperti macam main enjin Honda VTEC yang sudah tentu setiap hari ada saja kereta lagi laju keluar dari bengkel.
BAHAGIAN luar kereta dibiarkan standard dan hanya ditampal dengan pelekat pihak penaja.


Kereta itu dimiliki oleh tauke sebuah syarikat iaitu G-Car Care atau lebih dikenali dengan nama G-Tuned yang bertempat di Shah Alam.
Selepas melalui proses modifikasi dan R&D yang panjang, catatan masa yang diperoleh oleh kereta itu bertambah baik pada setiap pusingan. Hingga ke saat ini pun, mereka masih lagi memikirkan potensi yang boleh dimajukan pada enjin Campro itu.
Sebelum memulakan ubah suai pada enjin, perkara pertama yang dibuat adalah mengurangkan berat badan kereta.
Pihak G-Tuned terlebih dulu membuang kerusi yang tidak perlu dan panel pintu. Selepas kerat sana sini dan dapatlah kurang berat 130kg.
Mula-mula, enjin Campro itu mengalami proses port dan polish stage 3 pada kepala silindernya.
Mana ada kereta buat port dan polish sahaja terus jadi laju. Mesti perlu seimbang dengan modifikasi komponen-komponen yang lain. Kepala silinder itu kemudian dipadankan dengan sepasang aci sesondol perlumbaan Mat Speed.
Penambahan seterusnya ialah set ekstraktor daripada R3, sebuah airbox yang menapis udara dari luar itu nampak cantik sahaja gentian karbonnya. Ekzos R3 tadi disambungkan dengan paip bersaiz dua inci setengah jenis tahan karat kepada sebuah peredam bunyi yang direka oleh Din Ekzos.
Apa yang paling penting untuk sebuah enijn Campro ialah kotak gear yang kronik lemaunya. Kotak gear standard itu langsung tidak bagus nisbahnya. Sebab itu ada yang pasang transmisi Mitsubishi Mivec.

PAPAN pemuka yang dipenuhi oleh pelbagai meter jenama NRG.


Untuk makluman, Gen2 itu masih menggunakan kotak gear standard. Tetapi telah dimodifikasi kotak gear synchromesh dengan nisbah custom. Dipakaikan bersama ialah pelapik klac Exedy dan sebuah LSD kunci penuh jenama Cusco.
Sistem pendawaian lama kereta digantikan dengan harness daripada Haltech. Memandangkan G-Tuned sebuah bengkel yang berpengalaman, jadi proses membuat talaan tidaklah terlalu sukar.
Beraksi di trek maksudnya suspensi bukanlah boleh main tebuk dan tambah minyak atau potong spring sahaja. Jika suspensi boleh laras pun begitu susah hendak ditala keanjalannya, apatah lagi kalau guna teknologi bawah pokok.
Maka, Gen2 tersebut menggunakan set suspensi boleh laras daripada D2 yang boleh diubah ketinggian dan kekerasannya. Brek Gen2 bagaimanapun dikekalkan dengan pelapiknya diganti jenis EBC dan braided hos.
Bahagian dalaman kereta tetap nampak kemas, walaupun sudah bertukar menjadi sebuah kereta trek. Memandangkan syarat perlumbaan sekarang memerlukan roll cage yang diluluskan oleh pihak Fédération Internationale de l'Automobile (FIA), ia menampilkan roll cage yang cantik dan kemas buatannya.

 

Peka hulur bantuan kemasyarakatan

Posted: 16 Feb 2013 02:55 AM PST

Dalam kemeriahan sambutan Tahun Baru Cina, golongan yang kurang bernasib baik turut tidak dilupakan.

PENGHUNI Rumah Orang Tua Ampang menerima hamper barangan makanan sempena sambutan perayaan Tahun Baru Cina.


SETIAP kali rakyat negara ini menyambut sesebuah perayaan, bantuan dan sumbangan kepada golongan yang memerlukan pasti dijalankan oleh pihak yang berhati mulia.
Tidak melupakan tanggungjawab sosial kepada masyarakat, Persatuan Kakitangan Bekalan Air Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (Peka) bersama 10 orang warga kerja dari Puncak Niaga Sdn. Bhd. (PNSB) dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) menghulurkan bantuan ikhlas kepada dua rumah kebajikan iaitu Rumah Orang Tua Ampang dan Persatuan Insan Istimewa Cheras, Selangor.
Presiden Peka, Datuk Mohd. Yunus Mohd. Amin berkata, lawatan kebajikan sebegitu sering dilakukan saban tahun terutamanya ketika sambutan perayaan terbesar.
"Ia merupakan sebahagian daripada aktiviti kemasyarakatan yang telah dirancang sepanjang tahun ini di samping beberapa aktiviti khidmat masyarakat untuk membantu rakyat negeri Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya yang kurang berkemampuan.

IKHLAS. Soon Seong (kiri) menerima cek sumbangan Peka yang disampaikan oleh Mohd Yunos (kanan).


"Aktiviti Peka dijalankan dengan dana yang disumbangkan warga kerja Puncak Niaga dan Syabas secara sukarela. Kami juga mengalu-alukan sumbangan orang ramai sama ada dalam bentuk kewangan atau barangan untuk diberikan kepada golongan yang kurang bernasib baik," ujarnya ketika ditemui selepas acara penyampaian sumbangan kepada dua rumah kebajikan itu.
Lawatan yang diketuai oleh Mohd. Yunus itu telah menghulurkan sumbangan berbentuk hamper barangan makanan dan angpau kepada penghuni rumah-rumah kebajikan.
"Saya melihat aktiviti ini sangat bermanfaat kerana dapat membawa keceriaan kepada mereka dalam sambutan perayaan," tambah Mohd. Yunus.
Setiausaha Rumah Kebajikan Orang Tua Ampang, Cheah Soon Seong mengucapkan ribuan terima kasih kepada organisasi-organisasi dan individu yang sentiasa menyumbangkan bantuan kepada mereka.
Rumah Kebajikan Orang Tua Ampang yang didirikan sejak tahun 1960, hanya terhad kepada 50 orang penghuni dan menetapkan warga emas yang tidak mempunyai anak sebagai keutamaan utama.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines