Rabu, 21 Ogos 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Black Hanifah Pilih 13 September Tarikh Nikah

Posted: 20 Aug 2013 03:11 AM PDT

Black Hanifah
KUALA LUMPUR: Penyanyi Black Hanifah bakal melangsungkan pernikahan dengan Naquia Yasirah, 28, pada 13 September depan di Zebra Square, Kampung Pandan di sini.
Black atau Hanifah Md Hanafiah, 26, berkata pemilihan tarikh pernikahan tersebut adalah bagi mengambil keberkatan hari Jumaat.
"Tiada apa-apa makna dengan 13 September tersebut cuma saya memilih hari Jumaat supaya ia lebih afdal.
"Insya-Allah majlis tersebut akan berlangsung sebelum solat Zuhur," ujarnya pada sidang media pengumuman tarikh perkahwinan itu di sini pada Selasa.
Black bersama tunangnya Naquia Yasirah.
Turut hadir ibu dan bapa penyanyi itu, Musalmah Othman, 59, dan Md Hanafiah Che Din, 60.
Sementara itu, majlis resepsi persandingan kedua-dua mempelai pula akan diadakan selama dua hari berturut-turut iaitu sehari selepas nikah (14 September) untuk keluarga dan rakan-rakan artis di lokasi yang sama manakala pada 15 September pula di Padang Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Kerinchi untuk peminat.
Pasangan ini mengikat tali pertunangan pada 26 Januari lalu.
Dalam pada itu, mengulas tentang bakal isterinya, Black berkata, wanita tersebut menerima dirinya sebagai seorang artis.
Black (tengah) bergambar bersama ibunya Musalmah dan bapanya, Md Hanafiah.
"Dia seorang yang sederhana dan bekerja dengan keluarga. Dia menerima diri saya sebagai seorang artis.
"Walaupun perkenalan kami singkat namun dia memahami dan tidak kisah tentang status saya ini," jelasnya.
Sementara itu, ditanya tentang debaran bakal bergelar suami, Black berkata dia sudah bersedia memikul tanggungjawab tersebut.
"Saya sudah membaca buku tentang perkahwinan dan tanggungjawab yang bakal saya pikul sebagai suami," katanya.
Dalam majlis tersebut juga, Black turut mengumumkan penjenamaan semua namanya daripada Black kepada Black Hanifah.

Didie Alias Kurangkan Imej Pelik Kerana Anak Bertudung

Posted: 20 Aug 2013 03:11 AM PDT

Didie Alias sewaktu memenangi Pelawak Wanita Paling popular pada Anugerah Lawak Warna Sabtu lalu.
PETALING JAYA: Pelakon Didie Alias mengambil langkah untuk mengurangkan sedikit imej pelik yang sering ditampilkannya sebelum ini kerana menghormati empat anak perempuannya yang sudah bertudung.
Didie atau nama sebenarnya Fadzilah Mohd Ali, 40, berkata, sebagai ibu, dia perlu menjaga penampilan diri dan tidak terlalu berlebih-lebih kerana enggan anak-anaknya pula terkena tempias kritikan masyarakat.
"Sekarang ini anak-anak perempuan saya semua sudah berhijab. Dan saya sebagai ibu tidak mahulah melihat mereka dikritik hanya kerana penampilan saya.
"Bagaimanapun unsur-unsur pelik masih lagi ada, cuma ia tidaklah keterlaluan seperti sebelum ini. Dan fesyen yang dibawakan mengikut kesesuaian tema majlis," katanya kepada mStar Online.
Didie mempunyai lima orang anak termasuk seorang anak lelaki iaitu Nur Dania, 20, Muhammad Danial, 19, Nur Dinie, 17, Nur Danie, 15 dan Nur Diana, 14.
Antara imej pelik yang pernah digayakan Didie.
Tambah Didie, perubahan imejnya juga dibuat berdasarkan komen-komen umum di laman sosial dan akan menukarkannya jika ada gaya yang kurang disenangi masyarakat.
Bagaimanapun, dalam usaha Didie memperbaiki gaya penampilannya, dia bersedia menerima kritikan.
Sementara itu, Didie baharu saja menyambut hari kelahirannya pada Sabtu lalu dan pada hari sama dia telah memenangi Artis Lawak Wanita Paling popular Anugerah Lawak Warna yang berlangsung di Istana Budaya.
Didie juga menyifatkan kemenangan itu sebagai hadiah hari jadinya yang paling bermakna dan berazam untuk menjadi pelakon dan pelawak yang lebih baik pada masa akan datang.
"Sudah lama saya dalam industri seni tempatan dan macam-macam penambahbaikan kualiti kerja saya buat peminat-peminat yang sering menyokong saya.
"Bukannya mudah nak jadi pelawak wanita kerana kami perlu menjaga batas-batas terutamanya daripada segi pertuturan kata. Sebab itulah negara kita kekurangan pelawak wanita sebab ianya bukan mudah," ujarnya.

Ayam Tidak Mati Walaupun Sudah 9 Hari Disembelih

Posted: 19 Aug 2013 06:46 PM PDT



Sudah disembelih, tapi tidak mati. Begitulah tanda kekuasaan ALLAH di mana ayam sabung kacukan selasih yang disembelih oleh seorang penduduk kampung sekitar kawasan Bukit Raya Dalam dua minggu lalu, masih hidup.

Kejadian berlaku kira-kira 10 pagi apabila pemilik ayam, Esomuddin Idris, 40, menyembelih ayam itu untuk dijadikan juadah, namun selepas disembelih, ayam itu tidak mati walaupun urat mareh, leher dan pedal telah putus.
Menurutnya, dia tidak menyangka ayam sabung kacukan selasih yang diberikan rakannya dari Parit Buntar Perak itu mempunyai keistimewaan.
"Sudah sembilan hari disembelih, ayam itu tak mati-mati.
"Saya sembelih mengikut cara yang sepatutnya dan apabila sudah selesai saya keluarkan darahnya serta melepaskannya dengan harapan ayam itu akan mati.
"Saya terkejut, dua jam selepas itu ketika mahu untuk mengambil ayam terbabit, ia berjalan dan memanjat pokok seperti biasa bersama ayam lain," katanya.
Esomuddin berkata, ayam itu kelihatan segar dan kuat walaupun ia tidak boleh makan dan minum kerana semua urat pada bahagian leher putus.
"Semua rakan-rakan serta penduduk kampung tidak ketinggalan melihat ayam terbabit sehingga ada penduduk yang meminta saya menjual ayam itu dengan harga RM10,000 namun saya tidak mahu menjual kerana bimbang disalahgunakan untuk tujuan khurafat.
"Hari ini (hari ke sembilan) saya sembelih ayam terbabit. Saya simpati keadaan ayam itu yang tidak boleh makan atau minum," katanya.
Persiapan menyembelih ayam terbabit dilakukan seorang penduduk, Oon Md Hussin, 74. Oon berkata, dia membaca beberapa surah al-Quran, selepas itu barulah ayam terbabit mati serta-merta.
"Kejadian seperti itu pernah berlaku kira-kira 60 tahun lalu.
"Saya percaya bahawa kematian itu bukan terletak pada pisau.
"Kuasa ALLAH semua boleh jadi. Oleh sebab itu tiada yang mustahil kerana kita dan semua makhluk lain hanyalah hamba di dunia ini," katanya.
Sementara itu, Sinar Harian cuba mendapatkan penjelasan mengenai perkara berkenaan daripada pegawai agama daerah Pendang, Syeh Ahmad Shukri Mohamed.
"Kejadian itu menunjukkan keagungan ALLAH SWT. "Ia dianggap pelik memandangkan jangka masa mati agak lama namun dari segi hukum, kita boleh makan ayam terbabit memandangkan kita sudah menyembelih mengikut syarat dan cara Islam," katanya.

Sagat pisang, ubi selepas subuh

Posted: 19 Aug 2013 06:36 PM PDT




SETIAP kali sambutan Hari Raya Aidilfitri, peniaga kerepek tidak menang tangan. Bahkan, mereka merupakan golongan yang paling sibuk selain pembuat biskut raya dan tukang jahit.
Keadaan itu diakui sendiri oleh pemilik Ina Murni Enterprise, Jumaiah Salim. Kesibukan yang luar biasa bersama 10 pekerja memaksanya mengambil pekerja sementara seramai 20 orang.
Menjalankan operasi perniagaan di kediaman di Lorong Laverda Peket 60, Sungai Nipah di Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor, Jumaiah, 46, yang dikenali dengan nama Ina berkata, pekerjanya akan memulakan tugas menyagat bahan-bahan mentah seperti pisang dan ubi selepas solat Subuh.
Dia bernasib baik kerana kerja-kerja mengupas bahan mentah itu diagih-agihkan kepada penduduk kampung terutama golongan suri rumah yang ingin mendapatkan pendapatan tambahan.
"Saya menawarkan pelbagai jenis kerepek seperti ubi masin, barbeku, lada hitam, racik, pedas basah dan kering.
"Bagi kerepek pisang pula, kami membekalkan kerepek pisang manis dan masin mini rempeyek, kuih sepit, loyang dan kerepek bawang," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Bagi bekalan bahan mentah, Ina mendapatkannya daripada pembekal di Perak kerana bekalan ubi dan pisang di Selangor berkurangan sejak dua tahun kebelakangan ini.
Bagi sambutan Hari Raya Aidilfitri, tempahan bekalan itu ditambah daripada lima tan metrik bagi ubi dan pisang kepada lapan tan metrik sejak awal bulan Ramadan lalu.
"Disebabkan kami menerima bekalan bahan mentah yang terhad, harga borong untuk kerepek pisang sejak dua tahun kebelakangan ini agak mahal sedikit kerana kami mengimport kerepek dari Indonesia bagi menampung permintaan," ujarnya.

UBI yang sudah disagat sedia untuk digoreng.


Penglibatan awal
Menyentuh latar belakang perniagaannya, Ina yang tidak pernah merasa suasana bekerja di pejabat mahupun sebagai operator pengeluaran berkata, dia sebenarnya bukan jenis wanita yang suka duduk diam di rumah dan hanya menerima wang saku daripada suami pada hujung bulan.
Bertitik tolak dari situ, dia yang pernah menceburi pelbagai bidang perniagaan termasuk jualan langsung membongkar penglibatannya dalam bisnes tersebut. Ina mula tertarik membuat mini rempeyek apabila melihat jirannya aktif menjalankan perniagaan kerepek.
"Pada peringkat awal, saya sendiri yang mencari bahan-bahan mentah dan menggoreng menggunakan kuali kecil sahaja.
"Kerja-kerja menggoreng hanya dilakukan di belakang rumah," jelasnya yang memiliki enam kuali kawah dan satu kuali besar yang diubah suai bagi menggoreng kuih sepit.
Berkat kegigihannya, Ina mendapat pinjaman perniagaan dan bantuan peralatan daripada Jabatan Pertanian. Bahkan dia juga diberi peluang mengikuti pelbagai kursus termasuk kursus produk halal dan pemasaran.
Sejak sedekad lalu, produk keluaran syarikatnya mendapat perhatian daripada peniaga kerepek di Melaka, Negeri Sembilan, Kelantan, Perak serta Pulau Pinang.
Persaingan
Lebih menggembirakan Ina apabila rata-rata pelanggannya memberi maklum balas positif mengenai rasa dan kerangupan kerepeknya.
Ditanya mengenai persaingan daripada pengusaha industri kecil dan sederhana di kawasan tersebut, Ina melihat keadaan itu sebagai satu persaingan yang sihat.

MOHD. HAFIZUDDIN menyusun kerepek di gerai bapanya.


Malah, Ina gembira kerana masing-masing sepakat dalam menentukan harga dan saling membantu meminjamkan kerepek masing-masing sekiranya ada dalam kalangan mereka yang tidak mampu menyediakan bekalan berdasarkan permintaan pelanggan.
"Dalam kalangan kami juga tiada perasaan hasad dengki, sebaliknya kami saling membantu antara satu sama lain.
"Saya tidak pernah sabotaj mana-mana pengusaha kerepek di sini kerana percaya rezeki masing-masing ditentukan Allah," katanya.
Lebih 30 jenis
Sementara itu, bagi Mohd. Hafizuddin Mohd. Yunus yang membantu menjalankan perniagaan jualan kerepek milik bapanya, Mohd. Yunus Gama di Simpang Lima, Sungai Besar, produk makanan yang dihasilkan oleh peniaga IKS itu sememangnya sering dicari oleh pelanggan yang singgah di gerai mereka.
Malah, ada dalam kalangan pelanggannya bukan sahaja datang dari sekitar Sungai Besar, Sekinchan, Tanjong Karang mahupun Kuala Selangor tetapi ada juga dari Perak, Negeri Sembilan dan Melaka.
"Kami menawarkan lebih 30 jenis kerepek dan yang paling popular ialah kerepek pisang dan ubi.
"Namun kami turut menyediakan pilihan lain seperti kerepek jari udang, tempe, sukun, rempeyek dan bermacam-macam lagi yang dijual pada harga antara RM9 sekilogram (kg) hingga RM26 kg," katanya.
Bagi memenuhi permintaan pelanggan, Mohd. Hafizuddin yang turut dibantu dua orang pekerja iaitu Nurahayu Nanak, 36, dan Nurul Jannah Mohd. Salleh, 20, melanjutkan masa perniagaan sehingga pukul 1 pagi.
MEMBASUH ubi yang sudah dimesin sebelum digoreng.


"Biasanya gerai ini dibuka dari pukul 9 pagi hingga 7 malam setiap hari tetapi pada 10 hari terakhir Ramadan lalu kami membuka gerai selepas solat tarawih sehingga pukul 1 pagi.
"Memandangkan gerai ini terletak di hadapan rumah, jadi ia memudahkan kami bergilir-gilir menjaganya," kata Mohd. Hafizuddin bahawa pelanggan yang melalui jalan tersebut lazimnya dari Klang menuju ke Teluk Intan.
Mengenai bekalan bahan jualan, selain mengambil bekalan daripada peniaga di sekitar Sungai Besar, mereka turut mendapatkan bekalan di tempat lain termasuk negara jiran.
Bekalan makanan ringan seperti popia gulung, pisang dan kekacang dari Bandung manakala pisang tanduk dari Medan, Indonesia.
"Biasanya kami mempunyai stok bekalan sekitar 30 hingga 40 kilogram bagi setiap jenis kerepek, tetapi untuk menampung permintaan musim perayaan ini, jumlah bekalan diterima melebihi 100 kilogram setiap jenis.
"Kami turut menghasilkan kerepek sendiri seperti rempeyek biasa, rempeyek bilis dan bayam yang dihasilkan oleh penduduk tempatan," ujarnya.

Underwraps bimbing model Muslim

Posted: 19 Aug 2013 06:27 PM PDT



AGENSI model Underwraps di New York, Amerika Syarikat (AS) kini berperanan sebagai suara kepada jelitawan-jelitawan Muslimah di seluruh dunia yang sering dinafikan ruang untuk mengembangkan bakat dalam dunia fesyen tanpa perlu melanggar norma-norma keagamaan.
Dalam temu bual bersama laman web fesyen dalam talian popular, Fashionista.com, pengasas Underwraps, Nailah Lymus berharap agar penubuhan agensi itu dapat merapatkan jurang yang tercipta antara terma kesopanan dan fesyen.
"Model-model Muslim datang daripada latar belakang keluarga yang menuntut mereka berpakaian sopan berteraskan ajaran Islam. Bagaimanapun untuk mengekalkan pegangan itu dalam industri (fesyen), ramai yang sanggup menggadaikan prinsip wajib itu," jelas wanita berumur 28 tahun itu.
Matlamat utama agensi itu adalah bagi menyediakan model-model wanita Muslim bekerja bersama pereka-pereka arus perdana, pada masa sama mematuhi hukum agama Islam. Ini termasuk pakaian perlu longgar agar tidak mendedahkan bentuk badan melainkan wajah, tangan dan kaki.
Tambah Nailah: "Sebab itu saya wujudkan agensi ini supaya mereka tidak perlu melanggar peraturan agama. Anda tidak perlu menjadi orang lain untuk berjaya."
Wanita Muslim Amerika itu juga menunjukkan prinsip keutamaan agama menerusi pemakaiannya. Secara peribadi, beliau memulakan langkah dalam industri fesyen AS dengan mereka pakaian kanak-kanak sebelum beralih kepada rekaan untuk golongan dewasa.

EMPAT model baharu yang dipimpin oleh agensi Underwraps.


Nailah yang juga pereka di sebalik label Amirah Creations itu juga berjaya mempamerkan hasil kerjanya buat pertama kali pada Minggu Fesyen New York pada September 2011. Ia sekali gus membuka dimensi baharu penerimaan dunia terhadap fesyen bercorak Islamik yang masih mengekalkan ciri-ciri kesopanan meskipun melalui fasa modifikasi moden.
Ujar Lymus, membangunkan sebuah agensi model Muslim sememangnya amat berisiko memandangkan konsep fotografi yang sering mendedahkan tubuh badan wanita sudah menjadi 'halal' dalam peradaban umum.
"Kami juga serius dalam bekerja dan bersikap profesional sama seperti model lain. Setiap kali ada minggu fesyen, saya akan menghantar anak-anak buah saya untuk sesi uji bakat sama seperti orang lain," jelasnya.
Promosi kesopanan
Berbekalkan empat orang model yang sedang dilatih, Underwraps bukan sahaja ingin melahirkan model wanita yang mampu bekerja dalam industri penuh tekanan itu, tetapi juga mengikis konsepsi negatif yang berkaitan dunia Islam.
Ironinya, pelaburan Nailah jelas terbayar kerana pasaran untuk model-model Muslim kian meningkat. Banyak rumah fesyen antarabangsa merancang untuk melebarkan pengaruh mereka ke negara-negara Islam. Model yang mewakili agama sesebuah negara Islam dengan pakaian yang menepati syarak sudah tentu mampu menarik minat ramai. Sejak menubuhkan Amirah Creations pada tahun 2004, Nailah telah bertemu ramai wanita Muslim yang berminat untuk terlibat dalam profesion sebagai model, namun melupakan niat itu kerana tanggapan yang mereka perlu mendedahkan aurat.
"Saya mahu mempromosikan pakaian sopan, ia merupakan asas kepada agensi ini. Tidak semestinya anda perlu mendedahkan aurat untuk pergi jauh dalam industri," katanya yang menetap dan bekerja di Brooklyn, New York.
UNDERWRAPS cuba membuktikan bahawa model tidak perlu mendedahkan aurat untuk pergi jauh dalam bidang peragaan.


Ketika ini, wanita ini lebih fokus kepada pengambilan model Muslim kerana dia percaya golongan itu jarang diberi peluang oleh industri fesyen antarabangsa. Bagaimanapun dia percaya bahawa permintaan terhadap pakaian sopan tidak lagi berteraskan agama dan budaya, atas sebab itu Nailah mahu Underwraps dikenali lebih kepada ciri kesopanan berbanding orientasi keislaman.
Pandangan Islam
Pandangan Islam terhadap kerjaya model pula pelbagai. Golongan cendekiawan dari pusat pendidikan Darul Uloom Deoband di India telah mengeluarkan fatwa pada tahun 2010 yang mengecam kerjaya model dalam kalangan wanita sebagai tidak bercirikan Islam kerana menjaja tubuh wanita untuk paparan umum.
Namun, menurut Imam Talal Eid, pakar undang-undang Islam dari Boston, AS yang juga bekas ahli Suruhanjaya Kebebasan Beragama Antarabangsa AS, bekerja sebagai model masih boleh diterima asalkan kesopanan itu dikekalkan.
"Anda perlu menunjukkan pakaian itu. Tidak akan ada fesyen tanpa model yang memperagakan pakaian," kata Talal Eid yang mempunyai seorang anak perempuan yang bekerja sebagai pereka untuk Calvin Klein di New York.
Rania Iswarani, pengarang blog fesyen Muslim, Fashfaith.com juga menolak kenyataan bahawa kerjaya seorang model mencetuskan keghairahan tidak menyenangkan terhadap wanita.
Katanya: "Memang penonton melihat mereka tetapi tidak kepada kulit dan anggota badan. Tubuh mereka bersarung pakaian menutup aurat, jadi orang yang melihat sekadar mengagumi kecantikan pakaian yang diperagakan."
Veteran dalam industri juga bersetuju bahawa wujud keperluan model-model sopan yang berfikiran terbuka.
PAKAIAN longgar dan sopan menjadi garis panduan utama Underwraps - Gambar hiasan.


"Saya sentiasa mencari model untuk pakaian Muslimah saya dan agensi model Muslim seperti Underwraps dapat menyelesaikan kekangan tersebut," ujar Melanie Elturk, Ketua Pegawai Operasi dan ketua pereka daripada HauteHijab.com, peruncit pakaian Muslim dalam talian di Chicago, AS.
"Bagi mengelakkan kontroversi terhadap penggunaan model Muslim, kami banyak memaparkan produk jualan dalam bentuk item sahaja. Namun masyarakat perlu faham bahawa sesetengah produk memerlukan tubuh manusia bagi memberi gambaran jelas bagaimana produk tersebut kelihatan," tambahnya.
Sejak dilancarkan, Underwraps menerima lebih 400 permohonan daripada perantis model beragama Islam dari negara-negara termasuk AS, Indonesia, Britain dan Australia.
Agensi milik Nailah dan pereka-pereka Muslim melihat model beragama Islam dalan pasaran fesyen Muslimah kini mula diterima di seluruh dunia.
Barjis Chohan, pereka Muslim Britain yang berguru dengan pereka legenda, Vivienne Westwood, menganggarkan pasaran fesyen Muslimah kini bernilai AS$96 juta (RM311 juta).
Peningkatan penganjuran minggu fesyen seumpama di New York yang dijalankan di bandar-bandar besar Islam seperti Istanbul (Turki), Kaherah (Mesir), Karachi (Pakistan), Jakarta (Indonesia) dan Kuala Lumpur (Malaysia), dijangka meningkatkan nilai itu dari semasa ke semasa.

Elemen flora ceriakan Aidilfitri

Posted: 19 Aug 2013 06:26 PM PDT



WALAUPUN banyak menggunakan rona pastel, Shahidah bijak memainkan warna dan material bagi menonjolkan koleksi ButtonMyButtons Syawal Spring 2013.


PADA musim lebaran, pasti ramai yang buntu memilih busana untuk digayakan. Majoriti kaum Hawa mengambil jalan selamat dengan menyarungkan baju kurung tradisional sama seperti tahun-tahun sebelumnya.
Jika ada kelainan pun, hanya sekadar manik-manik labuci yang dihias di bahagian dada, lengan dan bawah baju.
Bagi yang inginkan kelainan dan mahu tampak berbeza pada hari lebaran lebih-lebih lagi apabila menghadiri majlis rumah terbuka yang berlangsung sepanjang Syawal, butik ButtonMyButtons menawarkan pilihan yang menarik membuatkan anda tampil elegan dengan koleksi ButtonMyButtons Syawal Spring 2013.
Hasil idea pengasas baju kurung moden yang terkenal dengan sentuhan reben, Shahidah Shariff tampil bersama koleksi yang segar dan unik.
Masih mengekalkan signatur dalam rekaan bajunya iaitu hiasan reben yang bukan sahaja mampu menaikkan seri gaya si pemakai malah, kedudukan reben di bahagian perut boleh menenggelamkan pandangan terhadap bahagian perut buncit.
MEMEY SUHAIZA turut menggayakan koleksi busana ButtonMyButtons Syawal Spring 2013.


Shahidah yang suka menjahit sejak kecil menggunakan material renda dan kain kapas selain bermain dengan rona pastel bagi menyuntik gaya elegan serta kemewahan pada busana yang dipakai.
Bagi mereka yang berminat gaya peplum dan skirt panjang potongan duyung, koleksi tersebut merupakan pilihan yang tepat dengan suntikan konsep retro klasik.
"Ini tahun ketiga ButtonMyButtons tampil bersama fesyen koleksi raya dan paling mengujakan kali ini saya turun padang 100 peratus bagi memberikan sentuhan peribadi ke atas koleksi-koleksi ini.
"Saya mahu tonjolkan sesuatu yang segar, potongan yang ceria, mainan warna, gabungan material renda dan kapas serta tidak lari daripada elemen flora kerana orang suka melihatnya," kata Shahidah.
Tambahnya, pelanggan boleh memilih koleksi yang tersedia atau boleh memilih rekaan sedia ada dan membuat pilihan warna mengikut cita rasa mereka.
"Setiap musim ada warnanya dan bagi koleksi musim bunga, ia bersesuaian dengan semua warna.
"Kombinasi warna tidak menjadi masalah andai bijak memilih ton warna," ujarnya.

Panduan gaya rumah terbuka

Posted: 19 Aug 2013 06:19 PM PDT



PASTIKAN solekan berpadanan dengan busana yang digayakan.


LEBARAN merupakan detik penting terutamanya kepada golongan wanita yang amat mementingkan penampilan yang bergaya dan anggun ketika menghadiri rumah-rumah terbuka. Penampilan yang menawan dan bersesuaian pada Aidilfitri mampu menyerlahkan kematangan seseorang wanita agar tampak berkeyakinan kala melangkah ke rumah teman dan sanak- saudara.
Terdapat beberapa perkara perlu diambil perhatian agar penampilan tidak nampak canggung kerana momen itu bakal dipotretkan sebagai kenangan abadi. Mahukah anda berasa ralat melihat foto-foto tersebut 10 tahun akan datang? Ikuti panduan-panduan di bawah:
1) Busana
Pakaian yang bertepatan dan sesuai dengan tubuh merupakan perkara paling kritikal kepada sesetengah wanita. Sama ada persalinan tradisional atau rekaan moden, ia perlu ditetapkan sebulan sebelum perayaan memandangkan tempahan atau pembelian memerlukan rangka masa tertentu.
Jika ingin bergaya glamor, pilihan busana daripada pereka profesional mampu menambah seri feminin dek potongan yang tepat untuk tubuh. Keupayaan mereka tidak perlu dipertikaikan dan antara yang menjadi pilihan ialah hasil kerja pereka Rizman Ruzaini dan Hatta Dolmat.
Busana minimalis dan berpatutan pula boleh didapati menerusi butik dalam talian yang juga menggunakan idea kreatif pereka profesional. Jovian Mandagie dan Rizalman Ibrahim memberi variasi kepada pengguna menerusi kerjasama butik laman dalam talian seperti Zalora dan FashionValet.
Terserah kepada anda sama ada mahu menyarungkan busana pereka profesional atau tukang jahit biasa, perkara paling utama adalah keselesaan memandangkan ia akan dipakai dalam tempoh masa yang lama. Selain itu, pastikan busana tersebut praktikal dengan pergerakan anda.
BUSANA pereka profesional sering menjadi pilihan wanita yang mahukan penampilan eksklusif.


2) Solekan
Busana yang cantik perlu disertakan dengan solekan bersesuaian terutamanya pilihan bedak asas yang secocok dengan kulit. Jangan abaikan kepentingan bedak asas kerana ia mampu membuatkan kulit terus kelihatan segar tanpa sebarang cela.
Solekan tebal perlu dielakkan terutamanya ketika menganjurkan majlis rumah terbuka. Cukup sekadar mencalit gincu rona lembut dan pembayang mata warna natural. Solekan tebal memerlukan penjagaan rapi dan cuba bayangkan ketika anda sibuk melayan tetamu, bulu mata palsu atau celak mengotori wajah. Pasti ia menjadi bahan jenaka teman-teman.
3) Sepatu
Lengkapkan gaya dengan menyarungkan sepatu istimewa sempena lebaran. Kasut tumit tinggi atau baji mungkin sesuai ketika menghadiri rumah terbuka dalam suasana formal seperti di hotel atau dewan. Ia kerana keadaan itu tidak memerlukan banyak pergerakan. Apa yang pasti, padankan ia bersama kebaya singkat atau dres labuh rekaan moden untuk gaya menawan.
Kasut tumit rendah atau sandal pula sesuai untuk mereka yang banyak bergerak bagi mengelakkan kaki sakit pada malam hari. Kasut jenis terbuka sesuai dengan keadaan cuaca negara kita bagi mengelakkan kaki keletihan dan berpeluh.

KAMERA polaroid antara aksesori sampingan yang kian popular bagi merakam momen istimewa lebaran.


4) Haruman
Mungkin sesetengah wanita tidak mengambil perhatian kepada pemakaian haruman ketika berkunjung ke majlis rumah terbuka. Cuaca yang panas menyebabkan badan berpeluh, maka semburan wangian membuatkan badan kembali segar.
Minyak wangi haruman flora dan sitrus mudah menyerlahkan sisi ceria si pemakai. Ia sesuai disemburkan pada waktu siang kerana bau tersebut lebih ringan dan sesuai dengan cuaca yang panas.
Haruman yang sedikit kuat daripada jenis kulit kayu manis dan vanila pula sesuai dipakai pada waktu malam memandangkan cuaca sejuk dan badan tidak berpeluh.
5) Kamera
Jangan abaikan kepentingan kamera kerana setiap detik merupakan momen yang perlu disimpan untuk masa hadapan. Usah risau jika tidak mempunyai kamera digital memandangkan kebanyakan telefon pintar kini mempunyai kamera beresolusi tinggi. Kamera polaroid juga kembali menjadi pilihan kebanyakan pengguna kerana nampak bergaya dan moden.

Jus durian Aroma King tarikan Melaka

Posted: 19 Aug 2013 06:18 PM PDT

JUS Aroma King diperbuat daripada pati durian asli tanpa gula tambahan.


MELAKA cukup sinonim dengan asam pedas, gula Melaka, cencalok dan pelbagai menu yang menjadi identiti negeri bersejarah ini.
Begitu juga dengan minuman coconut shake yang menjadi kegemaran orang ramai yang melalui jalan dari Pantai Klebang hingga ke Pantai Puteri.
Selepas sambutan hangat yang diberikan terhadap produk tersebut, orang ramai termasuk pelancong bakal menikmati satu lagi menu istimewa iaitu jus durian asli selaku daya tarikan terbaharu negeri itu.
Diberi nama Aroma King, jus tersebut merupakan minuman berperisa durian asli yang dijual oleh pengusaha dari Bukit Rambai, Norfaisal Omar.
Dia menjalankan perniagaan itu bersama isteri, Noraini Abd. Wahab, 39, dan seorang rakan, Norfadilah Mohamad, 34.
"Saya tertarik untuk mengetengahkan minuman itu sebagai satu kelainan. Produk ini masih di peringkat promosi dan kami merancang untuk membuka sebuah gerai jualan," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Jus Durian Aroma King di Dataran 1Malaysia Klebang baru-baru ini.
Menurut Norfaisal, 42, jus durian yang menggunakan buah segar itu mempunyai rasa manis asli tanpa campuran gula.
Durian terbaik
Katanya, pati jus itu pula bukan sekadar jus yang boleh diminum begitu sahaja malah mampu dipelbagaikan seperti ais kisar dan perisa kek, roti dan kuih.
Dia yang enggan mendedahkan resipi jus tersebut menjelaskan, minuman itu dapat bertahan sehingga enam bulan jika dibekukan.
Dengan tempoh yang panjang itu, jus tersebut boleh dinikmati sepanjang tahun.
"Pati jus dihasilkan menggunakan buah durian terbaik," katanya.
Noraini pula berkata, sebanyak 10 biji durian akan menghasilkan sebungkus beg plastik pati jus seberat 6.5 kilogram.

NORFADILAH (kanan) melayan orang ramai menikmati jus durian Aroma King.


Menurutnya, pati durian yang telah diinovasikan mampu bertahan antara enam bulan ke setahun.
Ujarnya, jus durian Aroma King merupakan yang pertama di negeri itu.
"Dengan modal serendah RM2,000, saya yakin sesiapa juga mampu menjalankan bisnes ini tetapi perlu mengambil pati durian daripada kami," katanya.
Noraini berkata, dia dan suaminya akan mengkaji pasaran jus terlebih dahulu selain mahu membuat kajian untuk menghasilkan durian shake .
Sementara itu, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Abu Bakar Mohd. Diah berkata, jus durian berkenaan berjaya dihasilkan menerusi penyelidikan dan pembangunan (R&D) selama tiga bulan dengan kerjasama kementerian terbabit.
Kata beliau, pada masa yang sama pihaknya kini masih mengkaji kesesuaian buah tempatan itu dijadikan minuman shake yang boleh dijual pada harga yang lebih murah berbanding jus durian.
Menurut Ahli Parlimen Tangga Batu itu, produk yang telah diinovasikan itu tidak memberi kesan sampingan kepada tubuh.
"Produk ini sebenarnya telah dikaji selama tiga bulan sebelum diperkenalkan dan saya yakin ia mampu menjadi minuman yang popular sama ada kepada penduduk mahupun pelancong di Melaka," katanya yang turut hadir pada pelancaran jus durian Aroma King itu.

Telekung berwarna diminati

Posted: 19 Aug 2013 06:17 PM PDT


KAUM wanita kini menitikberatkan telekung yang cantik, selesa dan lembut ketika dipakai.


BERBENTUK kain selubung putih untuk menutup tubuh dan padanan kain yang labuh, telekung berfungsi menutup aurat ketika bersolat untuk kaum wanita khususnya di negara seperti Malaysia, Indonesia, Brunei dan Thailand.
Telekung-telekung di pasaran pada masa kini ditawarkan dalam pelbagai corak, fabrik, sulaman dan fesyen terkini.
Seorang peniaga, Nor Azirah Salleh berkata, telekung buatan Indonesia yang dijualnya berharga antara RM55 sehingga RM60 sepasang.
Kebanjiran pasaran telekung ketika ini, membuatkan para peniaga perlu bersaing dari segi harga termasuk menawarkan diskaun-diskaun menarik.
"Saingan pasaran begitu sengit apabila terdapatnya ribuan penjual pakaian ibadat ini sama ada di bazar, butik, pasar dan laman-laman sosial.
"Bagaimanapun, pembelian telekung tidak terhad untuk tujuan ibadah, malah ramai pelanggan wanita mahupun lelaki yang membelinya sebagai hadiah," katanya yang mempunyai ramai pelanggan dari Sabah, Sarawak dan Brunei yang menetap di Kuala Lumpur yang membeli telekung beliau untuk diberikan kepada ahli keluarga.
Pereka telekung tempatan, Siti Khadijah Apparel Sdn. Bhd., Padzilah Enda Sulaiman berkata, terdapat pelanggan yang membeli telekung untuk tujuan bersedekah terutamanya pada bulan Ramadan lalu.
Kebiasaannya, telekung itu akan diwakafkan sama ada ke surau mahupun rumah anak yatim.
Menurutnya, pada hari ini para pelanggan juga amat menitikberatkan pemilihan telekung termasuk dari aspek keselesaan, cantik, fabrik lembut dan tidak panas.
Di samping itu, katanya, telekung yang mudah dipakai dan tidak memerlukan pemakaian anak tudung antara diminati ketika ini, selain memenuhi syariat dengan menutupi anak rambut dan dagu pemakai dengan sempurna.
"Dengan perkembangan ekonomi, pelanggan sudah mampu memiliki beberapa pasang telekung untuk kegunaan sendiri. Selama ini, pelanggan hanya memilih telekung berdasarkan sulaman dan jenis fabrik.
"Justeru, Siti Khadijah menawarkan kepada pelanggan pilihan reka bentuk di bahagian muka yang selesa dan bersesuaian dengan bentuk wajah," kata wanita yang membangunkan jenama telekung Siti Khadijah sejak tahun 2009.

TELEKUNG kini bukan sekadar warna putih polos dan hiasan kerawang malah direka dalam pelbagai warna sebagai pilihan. - Gambar hiasan.


Trend warna-warni
Menariknya, telekung pada hari ini bukan sekadar warna putih polos dan hiasan kerawang, malah telekung berwarna mula mendapat perhatian ramai.
Bagi penjual telekung separuh masa di laman sosial, Azzah, kebanyakan permintaan pelanggannya lebih tertumpu kepada telekung berwarna.
Dia menjual telekung-telekung dari Yemen dan mendapat bekalan daripada sepupunya yang belajar di negara tersebut.
"Ramai pelanggan yang memilih telekung warna merah hati dan biru tua. Rekaan telekung ini seperti jubah dan labuh menutupi kaki. Telekung ini juga mempunyai bahagian sarung lengan tangan," jelasnya.
Bagaimanapun, telekung berwarna putih tetap mendominasi permintaan. Antaranya bagi memenuhi permintaan untuk menunaikan ibadah haji ke Mekah dan budaya masyarakat negara ini yang lebih gemar warna putih.
Tinjauan mendapati kebanyakan telekung yang dijual adalah dari negara-negara jiran seperti Indonesia dan Vietnam. Agak sukar untuk melihat hasil telekung tempatan dan jika ada, ia hanya boleh didapati di butik-butik tertentu seperti Siti Khadijah. Ini sekali gus mewujudkan persaingan kepada pembuat tempatan.
Kata Padzilah, telekung tempatan tidak banyak di pasaran berikutan industri ini masih lagi baru di negara ini. Selama ini, industri telekung hanya dibuat secara kecil-kecilan iaitu sekadar memenuhi tempahan rakan dan jiran-jiran.
Biarpun demikian, senario ini tidak menjejaskan permintaan telekung tempatan dan ini diakui sendiri oleh pengusaha telekung, Noor Azliza Abdul Wahab yang menjalankan perniagaannya di Kampung Pulau Kecil, Jitra, Kedah.
"Permintaan sentiasa ada. Biarpun pelanggan membeli dari negara luar, kebanyakan daripada mereka akan datang berjumpa kami meminta memperbaiki bahagian muka kerana longgar," katanya yang membangunkan telekung berjenama Melati Tanjung Enterprise.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines