LIGA BOLASEPAK MALAYSIA |
Posted: 29 Aug 2013 04:16 PM PDT Sumber: Harian Metro Seremban: Kelab e-Penyokong Bola Sepak Negeri Sembilan (N9Futbol.com) menyifatkan kemerosotan pasukan negeri itu dalam Liga Malaysia (Liga M) musim ini lebih kepada kesilapan memilih jurulatih serta pemain yang kurang berwibawa daripada isu rasuah dibangkitkan. Timbalan Presiden N9Futbol.com Mohd Faidzul Mohamad Noh berkata, pemilihan Divaldo Alves selaku pengendali skuad Hoben Jang Hoben dari awal musim menimbulkan banyak persoalan. Katanya, sepanjang pengendali dari Portugal itu membimbing pasukan, Negeri Sembilan gagal mencatat kemenangan dalam 16 perlawanan Liga Super sekali gus menyerlahkan kelemahan pengendali itu. "Selepas disingkirkan, Ridzuan Abu Shah yang menggantikannya berdepan tugas berat bermula daripada perlawanan ke-17 Liga Super, tapi mencatat kemenangan pertama ke atas ATM di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi. "Sepatutnya, pengurusan bertindak dari awal bagi membolehkan kelemahan diatasi dan kembali membentuk pasukan mantap tapi pertukaran jurulatih ketika saingan menghampiri penghujung pasti menyukarkan pasukan untuk bangkit. "Kami tidak menafikan beberapa pemain kurang menyerlah kerana ada yang sudah tidak diterima pasukan lain dan faktor ini tidak boleh diketepikan jika ingin menilai pencapaian keseluruhan musim ini," katanya. Menurutnya, isu pemain menjual perlawanan perlukan bukti dan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) Datuk Seri Mohamad Hasan sudah mengingatkan pemain sebelum saingan Liga M bermula supaya mengelak terbabit gejala itu. "Kita tidak tahu sama ada ia berlaku dan terserah kepada pengurusan mengemukakan bukti tapi bagi kelab penyokong, kita yakin banyak faktor menyumbang kemerosotan pasukan. "Kami harap persatuan dapat membentuk pasukan mantap musim depan dengan melantik jurulatih dan pemain lebih berwibawa." Sementara itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan berkata, mereka hingga kini belum menerima laporan PBNS mengenai dakwaan pemain pasukan itu terbabit menjual perlawanan. "Kami belum terima laporan itu dan jika ada, kami akan lakukan siasatan terperinci," kata Pengarah SPRM Negeri Sembilan Sok One a/l Esen. Kelmarin, Mohamad mendedahkan ada kemungkinan pemain Negeri Sembilan terbabit mengatur perlawanan apabila tidak beraksi pada tahap sebenar sekali gus menyebabkan pasukan tersingkir ke Liga Perdana musim depan. |
Posted: 29 Aug 2013 04:14 PM PDT Sumber: Harian Metro Shah Alam: Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) mempunyai alasan tersendiri berikutan kegagalan Merah Kuning menyerlah pada tiga perlawanan awal Piala Malaysia. Timbalan Presiden Datuk Mokhtar Ahmad mengandaikan pemain tidak dapat memberikan fokus dan tumpuan kerana gangguan luar. "Pada saya tiada yang tidak kena dengan pasukan, cuma sekarang sama ada pemain mampu fokus atau tidak. Mungkin mereka memikirkan benda luar kerana sudah mengadakan perbincangan dengan pasukan lain. "Itu yang merosakkan fokus mereka. Ia adalah proses biasa namun seharusnya tidak boleh diadakan lagi. Namun menjelang 3 September jika kami tidak memberi tawaran, mereka boleh mengadakan rundingan," katanya semalam. Tambahnya, ada juga pemain berasa sudah berada di penghujung karier dan ada yang mendapat tawaran lebih lumayan dari pasukan lain. Mokhtar turut menafikan kehadiran pakar motivasi mengganggu persembahan pasukan. "Kami tidak mempunyai pakar motivasi namun kalau ada apa salahnya kerana ia akan memberi manfaat kepada pasukan," katanya. Selangor kini menghuni tangga tercorot Kumpulan A dengan meraih satu mata dan akan menentang Sime Darby FC esok bagi menentukan sama ada layak ke suku akhir. |
Tiada maaf jika Sime Darby terbabit rasuah Posted: 29 Aug 2013 04:12 PM PDT Sumber: Harian Metro Kuala Lumpur: "Tiada maaf bagimu." Itu amaran keras jurulatih Sime Darby FC Ismail Zakaria kepada barisan pemainnya supaya tidak terbabit dengan gejala mengatur perlawanan dalam kempen Piala Malaysia yang kini rancak berlangsung. Menurut pengendali kelab itu, beliau tidak akan berkompromi terhadap pemain yang dikaitkan dengan gejala tidak bermoral itu bagi memastikan usaha mereka memburu kejayaan dalam kejohanan itu tidak terjejas. "Saya sering mengingatkan pemain supaya tidak terbabit dengan rasuah. Jika ada nama pemain kami dikaitkan saja, tidak kira salah atau tidak, saya akan terus ambil tindakan. Tiada maaf bagimu. Bagi saya ini satu isu serius dan saya memang akan bertegas jika ada pemain yang terbabit," katanya. Bagaimanapun Ismail berpuas hati dengan disiplin anak buahnya setakat ini dan beliau yakin pasukannya bebas daripada gejala itu yang secara tiba-tiba kembali dibangkitkan dalam saingan Piala Malaysia ini. Mengulas mengenai pertemuan dengan Selangor yang kini ketiadaan jurulatih apabila Irfan Bakti Abu Salim meletak jawatan kelmarin, sehari selepas tumpas 2-3 kepada Sime Darby dalam aksi Kumpulan A Piala Malaysia, Ismail berkata, pasukan juara 32 kali itu tetap bahaya. "Selangor tanpa Irfan tetap bahaya, mereka mempunyai pemain hebat dan mungkin penolong jurulatih P Maniam yang akan mengambil alih tugas Irfan mempunyai strategi tersendiri. Pemain saya perlu beraksi lebih baik dan bekerja keras sepanjang perlawanan dengan Selangor." |
You are subscribed to email updates from LIGA BOLASEPAK MALAYSIA To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |