Sumber: Harian Metro
Kuala Lumpur: Ketika pihak pengurusan skuad kebangsaan memilih untuk berdiam diri berkenaan isu 'berebut pemain', jurulatih skuad bawah 23 tahun negara (B-23) Ong Kim Swee pula tetap positif meskipun perancangannya bagi menghadapi kejohanan Pestabola Merdeka bulan depan sedikit terjejas.
Dua pemain impian Kim Swee, Nik Shahrul Azim Abd Halim dari Kelantan dan Junior Eldstal (Sarawak) kekal dalam 'simpanan' Rajagobal yang mahu menguji dua pemain itu di bahagian pertahanan dalam aksi persahabatan kelas A menentang China pada 10 September.
Bagi pengurus pasukan Harimau Malaya Datuk Seri Subahan Kamal, beliau menganggap perkara itu bukan satu masalah besar.
"Saya tidak mahu komen, kenapa perkara ini perlu dijadikan isu," katanya ringkas ketika dihubungi Arena Metro semalam. Mungkin ini bukan masalah besar tapi ia juga bukan sekali terjadi selepas Rajagobal menyenaraikan lima pemain Harimau Muda A ketika Kim Swee memerlukan pemain berkenaan bagi kejohanan jemputan Piala Newspaper di Vietnam Oktober tahun lalu.
Tapi jika ia kerap berlaku situasi tidak harmoni pasti akan berlaku meskipun kedua-dua pengendali ini sepatutnya saling bekerja sama antara satu sama lain. Memang benar, selain membawa misi mempertahankan pingat emas di Sukan SEA Myanmar hujung tahun ini, tugas Kim Swee adalah menggilap pemain untuk diserapkan kepada skuad kebangsaan.
Memang skuad kebangsaan menjadi keutamaan tapi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) juga perlu 'memujuk' Rajagobal supaya sesekali-sekala mengalah demi kepentingan bersama kerana tidak rugi beliau membenarkan pemain itu bersama skuad B-23 kerana sekurang-kurangnya mereka akan mengharungi empat perlawanan kompetitif di Pestabola Merdeka berbanding kunjungan ke China.
Seperti yang diperkatakan bekas pemain kebangsaan Khalid Ali dalam laporan Arena Metro kelmarin, Kim Swee mempunyai pilihan pemain yang terhad dan Rajagobal sepatutnya membenarkan Nik Shahrul Azim dan Junior Eldstal menyertai skuad B-23 buat kali pertama tahun ini selepas diuji bersama Harimau Malaya di Jepun dan aksi persahabatan dengan Barcelona baru-baru ini.
Bagaimanapun Kim Swee tidak mahu memperbesarkan isu itu sebaliknya mahu terus fokus pada persiapan menjelang Pestabola Merdeka di Kuantan bermula 7 September ini yang membabitkan skuad B-23 Singapura, Thailand dan Myanmar.
"Ini keputusan yang sudah dipersetujui bersama dan sekarang tumpuan saya adalah mempersiapkan pasukan dengan pemain yang ada. Bagi saya ini cabaran buat pemain lain untuk memburu tempat dalam pasukan ini sebelum ke Sukan SEA," katanya yang bangga anak buahnya memenangi Piala Newspaper meskipun tanpa beberapa pemain utama sebelum ini.
Tanpa Nik Shahrul Azim dan Junior Eldstal, Kim Swee boleh menarik nafas lega kerana Rajagobal melepaskan Mohd Fadhli Shas, Wan Zack Haikal, K Reuben, Muhamad Nazmi Faiz Mansor dan Zubir Azmi menyertai pasukannya.