Khamis, 29 Ogos 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Restoran bertema hospital di Latvia

Posted: 28 Aug 2013 03:52 PM PDT



DUA pelayan berpakaian seperti jururawat menunjukkan juadah yang terdapat di Restoran Hospitalis di Latvia.


RIGA - Sebuah restoran yang bertema hospital dibuka di Latvia baru-baru ini bagi memancing pelanggan yang meminati kerjaya sebagai doktor dan jururawat, lapor akhbar Daily Mail kelmarin.
Pelanggan juga boleh menyewa jaket doktor atau seragam jururawat untuk dipakai semasa menikmati hidangan di restoran itu.
Restoran unik berkenaan dikenali sebagai Hospitalis.
Hidangan boleh dimakan di dalam ruang bertemakan bilik pembedahan atau kerusi doktor gigi. Malah, restoran berkenaan turut menyediakan ruang makan menyerupai bilik pemeriksaan ginekologi
Pelanggan juga mempunyai pilihan untuk menikmati hidangan dengan disuap oleh pelayan yang memakai seragam jururawat.

Portal carian kerja makin digemari

Posted: 28 Aug 2013 03:49 PM PDT




DEKAD ini menyaksikan lonjakan ketara dalam perkembangan teknologi komunikasi maklumat (ICT), menjadikan urusan mencari kerja begitu mudah ibarat di hujung jari tidak seperti tahun-tahun yang lampau.
Menurut Jake Andrew, Pengurus Produk JobsDB.com yang berpejabat di Singapura, jumlah pencari kerja dari Malaysia melonjak sebanyak 365 peratus antara Januari 2011 hingga Februari 2012.
Menurut Andrew, Malaysia merupakan negara ketiga selepas Hong Kong dan Singapura di Asia dari segi jumlah pencari kerja dalam talian.
Kajian melibatkan 2,000 orang yang dijalankan JobsDB.com mendapati sebanyak 82 peratus pencari kerja di Malaysia memilih portal carian kerja apabila mahu membina kerjaya baharu.
Daripada jumlah itu, sebanyak 41 peratus meninjau prospek kerjaya dengan melawat portal-portal tersebut pada kadar tiga hingga empat kali seminggu.
Ada juga pencari kerja yang melawat portal itu sekadar membuat penilaian atau perbandingan dengan kerjaya yang disandang sekarang.
Selain itu, mereka ingin mengetahui kebolehan diri jika berada dalam kerjaya yang sama di syarikat lain.
Mereka biasanya hanya akan memohon kerja baharu pada waktu terdapat peluang menarik walaupun pada asalnya tidak ada niat berbuat demikian.
Pencari kerja kini boleh mencari kerja di mana-mana sahaja tanpa mengira masa. Tambahan pula, warga Malaysia semakin cekap menggunakan gajet canggih dan mudah alih.
Menurut Pengurus Besar JobsDB.com Malaysia, Sheldon Fernandez, jumlah pencari kerja dalam talian dari Malaysia semakin meningkat.
"Ramai orang sentiasa berusaha mencari karier yang sesuai," jelas Fernandez sambil menambah, mereka sebenarnya mencari perubahan yang positif.

PENCARI kerja perlu memastikan resume yang disediakan dapat menarik perhatian bakal majikan.


Statistik JobsDB.com menunjukkan seramai 800,000 pencari kerja dari Malaysia telah melawat portal kerjaya bagi mendapatkan peluang lebih baik. Beliau yakin sebanyak 60 peratus daripada mereka adalah golongan yang sudah bekerja.
Internet telah menjadi sumber utama golongan pencari kerja seiring dengan perkembangan teknologi yang rancak termasuk populariti telefon pintar serta gajet mudah alih lain.
Portal utama
JobsDB Malaysia membuat pelaburan besar bagi menambah baik khidmat teknologi dan pembangunan produk bagi memberi lebih fleksibiliti dan kebolehcapaian kepada kumpulan pencari kerja.
Enjin pencarian itu menyasarkan untuk menjadi portal utama kepada golongan pencari kerja di rantau ini.
Selain membantu majikan mengiklankan jawatan kosong, portal itu juga berperanan menawarkan alternatif kepada pencari kerja untuk mendapat kerjaya yang sesuai.
Di Malaysia, kadar kejayaan pencari kerja melalui JobsDB.com mencatat purata antara empat hingga lima pengambilan baharu setiap bulan.
"Perkembangan ekonomi domestik di Malaysia begitu rancak, sebanyak enam peratus dalam suku terakhir pada tahun 2012 dan angka yang sama diunjurkan bagi tahun 2013, terutamanya dengan adanya sektor perusahaan kecil serta sederhana.
"Perkembangan itu mewujudkan banyak peluang kerja yang baharu di Malaysia," jelas Pengarah Urusan JobsDB.com, Angeli Beltran.
Pendaftaran
Menurut beliau, khidmat dalam talian memudahkan pencari kerja membuat semakan dan rujukan dengan pantas.
"Proses tersebut daripada permohonan sehinggalah penerimaan kerja sebenarnya bergantung kepada sesebuah syarikat," jelas beliau.
Katanya, JobsDB.com berperanan menyediakan liputan yang meluas berhubung sektor pekerjaan di samping membantu mengurangkan pengangguran di negara seperti Malaysia.
Katanya, untuk memudahkan proses carian kerja, individu terbabit dinasihatkan supaya mendaftar diri dengan laman-laman web mencari pekerjaan.
Selepas membuat pendaftaran, individu tersebut akan ditanya beberapa soalan berkaitan sektor pekerjaan yang diingini serta latar belakang khususnya kelulusan akademik serta pengalaman masing-masing.
Dalam laman-laman pencarian pekerjaan, terdapat sistem yang dapat memadankan pekerjaan yang dikehendaki dengan kelulusan pencari kerja.
Sebagai contoh, laman sesawang Jobstreet.com, mempunyai sistem pencarian yang dipanggil LiNa. Sebaik sahaja pihak majikan meletakkan iklan kerja kosong di dalam laman sesawang terbabit, LiNa secara automatik akan membuat suai padan kriteria yang diperlukan majikan dengan kelayakan atau keperluan pencari kerja.
Sistem itu kemudian akan menghantar e-mel pemberitahuan kepada pencari kerja terbabit.
"Jika individu itu memilih hampir kesemua bidang pekerjaan, dia kemungkinan akan menerima e-mel daripada LiNa setiap hari.
"Namun pencari kerja boleh menapis sendiri e-mel tersebut sama ada hanya membenarkan satu sahaja setiap hari, seminggu sekali atau bergantung kepada kehendak individu," kata Presiden Persatuan Pembekal Kandungan Mudah Alih Malaysia (MMCP), Johary Mustapha ketika dihubungi.
Penggunaan nama karakter LiNa sebenarnya membolehkan penerima e-mel mengenal pasti surat elektronik yang dihantar itu spam atau tidak.

SETIAP tahun, graduan mahupun pekerja berpengalaman akan berusaha mencari peluang kerja yang diidamkan.


Pada masa ini kadar penembusan internet di Malaysia sudah menjangkau lebih 60 peratus dengan laman Jobstreet.com mendahului laman sesawang mencari pekerjaan diikuti JobsDB.com.
Bercerita mengenai penggunaan aplikasi pencarian kerja mudah alih, Johary berkata, ia sebenarnya peluasan kemudahan yang sedia ada pada laman sesawang.
"Kekerapan penggunaannya juga bergantung kepada keadaan dan musim kerana kebanyakan orang mencari pekerjaan baharu dalam tempoh kira-kira dua tahun bekerja atau dua bulan pertama setiap tahun," katanya.
Temu duga
Jelasnya, sungguhpun teknologi pencarian kerja dalam talian semakin pesat berkembang, ia tetap menuntut komitmen individu sebagai penentu kepada pentingnya dalam usaha memperoleh pekerjaan.
"Contohnya timbul keadaan pada sesi temu duga yang telah dirancang, calon yang dipanggil tidak muncul-muncul walaupun dia sudah dimaklumkan menerusi telefon.
"Ini akan menyebabkan berlaku kerugian sumber kerana setiap temu duga yang dijalankan melibatkan komitmen lain seperti masa, penghantaran e-mel dan beberapa panggilan telefon untuk pengesahan," katanya.
Situasi itu mendorong pengendali portal pencari kerja mewujudkan elemen baharu dalam iklan jawatan kosong seperti ruang untuk komen dan No Show (tidak hadir) seperti yang ditetapkan di Jobstreet.com.
Secara purata setiap iklan jawatan kosong mengundang purata 10 hingga 100 permohonan.
Permohonan yang diproses akan disenarai pendek tetapi yang muncul antara 30 hingga 40 peratus sahaja.
Selalunya, pemohon yang tidak muncul itu tidak menjawab e-mel atau gagal mengesahkan kehadiran.
"Fungsi baharu seperti No Show akan membolehkan pemohon memberi maklum balas segera punca dia tidak dapat menghadiri sesi temu duga yang ditetapkan," kata Johary.

BlackBerry dengan skrin sesentuh sepenuhnya

Posted: 28 Aug 2013 03:48 PM PDT



BLACKBERRY pertama yang menggunakan paparan skrin sesentuh pertama dalam siri modelnya.


TELEFON pintar BlackBerry Z10 direka untuk memberikan pengguna pengalaman baharu dalam dunia gajet mudah alih.
Ciri-ciri telefon dan aplikasi yang beroperasi dengan lancar membantu pengguna menyiapkan tugasan dengan lebih cepat dan mudah.
Rekaan fizikal Z10 memperlihat sebuah peranti BlackBerry yang mempunyai paparan skrin sesentuh sepenuhnya dengan menggunakan sistem operasi BB10, manakala bahagian belakang diperbuat daripada bahan yang lembut apabila adisentuh.
Skrin Z10 bersaiz 4.2 inci (10.7 sentimeter) berteknologi paparan hablur cecair (LCD) dengan resolusi 356 piksel setiap inci (2.5 sentimeter).
Salah satu peningkatan yang agak mengagumkan berkenaan telefon ini berbanding model-model BlackBerry terdahulu adalah pada ciri fizikal dan aplikasi kameranya.
Kamera Z10 memperkenalkan beberapa ciri baharu seperti tetapan TimeShift yang merupakan teknologi untuk mendapatkan rakaman berkumpulan yang menunjukkan semua orang tersenyum dengan mata terbuka.
BlackBerry Z10 dilihat sebagai sebuah platform yang kukuh dengan antara muka yang responsif.
Dengan rekaan antara muka yang moden serta berdasarkan pergerakan jari, model terbaharu ini memberikan pengalaman penerokaan mudah alih yang menyeronokkan.
Boleh dikatakan bahawa BlackBerry Z10 sangat inovatif dalam dunia wayarles untuk 10 tahun akan datang.

Akses data terus daripada peranti

Posted: 28 Aug 2013 03:47 PM PDT



PENYIMPAN data pertama yang boleh membuat fail sandaran terus daripada peranti mudah alih.


TOSHIBA Singapore Digital & Service Group (DS) melancarkan pemacu cakera keras mudah alih terbaharu, Canvio Connect yang mempunyai tiga kapasiti berbeza iaitu 500 gigabait, 1 terabait dan 2 terabait.
Pemacu mudah alih itu merupakan ruang penyimpanan pertama dapat diakses dan berkongsi fail data terus daripada peranti.
Selain itu, produk-produk Toshiba terkini itu membolehkan pengguna membuat fail sandaran fail seperti video dan foto terus daripada telefon pintar atau tablet dengan menggunakan aplikasi mudah alih.
Selagi Canvio Connect mempunyai sambungan talian internet menggunakan port pada komputer, semua data dapat diakses secara penuh. Ia juga mempunyai ruang penyimpanan data sebanyak 10 gigabait pada simpanan pengkomputeran awan.

Andre, Audi hapus jurang kaum

Posted: 28 Aug 2013 03:46 PM PDT




SENI dizahirkan daripada nuansa dan nurani mendalam untuk memberikan kesan kepada khalayak. Bersifat subjektif, namun mampu dihayati oleh pelbagai bangsa atau warna kulit.
Memetik contoh penyanyi legenda kelahiran Jamaica, Bob Marley yang berjaya mempopularkan muzik reggae setelah diadun daripada intipati muzik ska sekitar awal tahun 1970-an, berjaya menyebarkan mesej keamanan dan perpaduan daripada lirik-lirik lagunya.
Ketika dasar aparteid sedang bermaharajalela ketika itu, penyanyi kulit hitam itu sebenarnya berjaya mengurangkan jurang antara kaum melalui lirik dan alunan lagu yang menyentuh hati.
Sifat seni itu andai diteliti sememangnya mampu menjadi jambatan untuk menghubungkan masyarakat di dunia mengikut daya penghayatan masing-masing.
Contoh paling tepat adalah kumpulan bukan Melayu tempatan lewat era 1960-an, Alleycats yang diterima baik oleh peminat Melayu dan bukan Melayu. Cirinya sama, muzik bersifat universal dan menyatupadukan.
Datuk Andre Goh, penyanyi veteran lagu-lagu Melayu asli dipadukan dengan komposer serba boleh, Audi Mok. Kedua-duanya berketurunan Cina yang tega menyelongkar sisi seni dan budaya Melayu yang adakalanya dilupakan oleh orang Melayu sendiri.
Lagu Melayu asli
Berbeza latar belakang kaum tidak membataskan Andre mahupun Audi mengenali akar umbi Melayu. Bukan semata-mata mahu meraih pasaran pendengar atau peminat Melayu yang mendominasi bumi Malaysia tapi hakikat yang diakui mereka; kerana minat!
PERKEMBANGAN muzik rock & roll tidak mempengaruhi minat Andre dalam irama Melayu asli.


"Menyanyi minat saya, tidak terlintas saya satu-satunya penyanyi bukan Melayu yang masih menyanyikan lagu-lagu Melayu asli.
"Muzik itu universal bukan, pernah saya menerima surat layang memaki hamun saya kerana kecenderungan ini dan ada yang memaki-maki saya di pusat beli-belah. Saya tidak dapat apa-apa juga tidak rugi apa-apa kalau masih menyanyikan lagu Melayu asli," kongsi pandangan Andre ketika ditemui di Hotel Traders Kuala Lumpur baru-baru ini.
Perjalanan Andre dalam dunia lagu Melayu Asli sepanjang empat dekad sejak tahun 1972 meletakkan penyanyi dari keluarga Peranakan Melaka itu menghayati erti hitam putih kehidupan.
Andre, 66, telah didedahkan kepada hiburan Melayu sejak kecil melalui siaran Radio Malaya, gramofon dan pengaruh bapanya, Goh Tiam Leong yang sangat meminati Dondang Sayang.
"Ketika kecil setiap kali bapa saya memutarkan lagu Melayu asli, saya akan bingkas bangun daripada tidur dan segera duduk di ribanya mendengar dan memikirkan bagaimana muzik itu boleh kedengaran.
"Barangkali ada orang kecil-kecil menyanyi dari dalam gramofon. Apabila membesar, saya mula dipengaruhi oleh lagu-lagu bahasa Inggeris oleh abang-abang saya hingga menubuhkan band sendiri.

AKSI Andre Goh ketika Orkestra Konsert Kuala Lumpur tahun 2002.


"Entah kenapa, lagu Melayu asli juga masih melekat dalam fikiran saya. Sukar dibuang dan seolah-olah sebati dengan diri. Perjalanan hidup saya berubah apabila dicabar oleh kawan-kawan saya menyertai pertandingan Bakat TV anjuran RTM tahun 1972," ceritanya yang pernah menjadikan Elvis Presley, Ricky Nelson dan penyanyi sezaman sebagai idola.
Asas lagu moden
Andre atau nama sebenarnya Goh Eng Boon mengakui dahulunya dia seorang pemalu dan takut untuk berucap. Berbeza daripada keluarga sebelah ibunya, Wee Teck Neo, yang mahir berpantun Melayu dan petah bermadah.
"Menyanyi lagu Melayu asli ibaratnya menyanyi lagu klasikal Inggeris. Ini asas lagu-lagu Melayu moden sekarang jadi kenapa perlu diketepikan?
"Bukan maksud saya untuk menghalang perkembangan lagu-lagu moden tapi sambil kita menyanyikan lagu-lagu moden, jangan ketepikan identiti kita.
Pesan Andre, jangan terlalu pentingkan keuntungan semata-mata. Anggap saja langkah memperkembangkan lagu Melayu asli sebagai sumbangan kepada negara dan bangsa sendiri.
"Saya terhutang budi kepada pencipta lagu Melayu asli dan tiada apa yang dapat dibalas. Mereka pengkarya terunggul!" simpulnya yang bakal mengadakan persembahan sempena Malam Melayu Klasik di Dewan Filharmonik Petronas, Kuala Lumpur 16 September nanti.

Muafakat seni artis pelbagai kaum

Posted: 28 Aug 2013 03:45 PM PDT


KIM JIN SUNG


KEMERIAHAN dan kemakmuran industri hiburan tempatan turut diserikan dengan pembabitan artis bukan Melayu. Itu tanda perpaduan masih dipupuk biar negara sudah mencapai kemerdekaan selama 56 tahun.
Jika diperhatikan sejak awal lagi, peluang artis bukan Melayu untuk berkecimpung dalam dunia hiburan diberikan sama rata antara yang masih diingati dan menjadi legenda dunia hiburan tempatan ialah pelakon mualaf Datuk Maria Menado dan pengarah terkenal L.Krishnan.
Menyusuri perjuangan seni dalam era pascamerdeka, peluang itu sebenarnya tidak pernah dipinggirkan malah kredibiliti artis bukan Melayu turut diberikan pengiktirafan melalui beberapa anugerah contohnya Anugerah Bintang Popular, Anugerah Planet Muzik, Anugerah Industri Muzik, Anugerah Juara Lagu, Festival Filem Malaysia dan Anugerah Seri Angkasa setiap tahun.
Kosmo! menyenaraikan beberapa artis bukan Melayu yang bersinar dalam bidang muzik, filem dan teater sekali gus memberikan warna serta nafas baharu dalam industri hiburan tempatan.
Angeline Tan
Tan Yoke Yeah mungkin nama yang tidak cukup komersial jika dibandingkan dengan Angeline Tan. Harus diakui tanpa watak Lucy sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu yang popular sekitar tahun 1990-an, khalayak tidak mengenali Angeline Tan. Berketurunan Tionghua, pelakon itu masih aktif hingga sekarang dan sering membuat kemunculan menerusi saluran RTM. Susan Lancaster dan Louisa Chong antara pelakon wanita bukan Melayu yang popular sezaman Angeline Tan.
SUSAN LANCASTER


Sathiya
Populariti yang diraih Sathiya sama seperti Angeline Tan, mula diberi perhatian menerusi sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu melalui watak Ravi. Sathiya atau nama sebenarnya Sathivel Periasamy popular dengan tagline 'Sudah Tukar Ka?' dan pernah terbabit dalam filem Libas, Setem, KL Menjerit dan Soal Hati. Pelakon dan pelawak itu dianugerahkan Artis Bukan Melayu Popular Anugerah Bintang Popular 1998, 1999, 2000 dan 2001. Selain Sathiya, Accapan adalah pelawak berbangsa India yang terkenal dalam industri seni tempatan.
Soo Wincci
Su Ying Zhi merupakan Miss World Malaysia tahun 2008 yang berbakat besar dalam bidang nyanyian dan masakan. Soo Wincci telah merakamkan sebuah single berbahasa Melayu berjudul Terus Teranglah pada tahun 2012 selepas melancarkan album berbahasa Cina pada tahun sama. Selain Soo Wicci, Amber Chia antara model Cina yang terjun dalam pasaran lakonan tempatan.
Suki Low
Pemenang program realiti One In A Million tahun 2006, Suki Low berjaya mengenepikan dua pencabar hebat Faizal Tahir dan Alif Satar ketika itu. Suki popular dengan lagu Berdiri turut merakamkan album berbahasa Melayu berjudul Akhirnya dan single terbaharunya, Terlalu Mencintaimu turut melayakkan penyanyi itu melangkah peringkat separuh akhir Muzik-Muzik tahun lalu.
STEPHEN RAHMAN (kanan) bersama Tiara Jaquelina dalam satu babak pementasan teater Puteri Gunung Ledang.


Stephen Rahman
Fizikal dan bakat luar biasa Stephen Rahman Hughes mula diterokai menerusi pementasan teater muzikal Puteri Gunung Ledang pada tahun 2006. Sumbangnya dalam dunia hiburan merangkumi pembabitan menerusi filem Hikayat Merong Mahawangsa dan siri televisyen The Kitchen. Kefasihannya berbahasa Melayu melayakkan Stephen merakamkan album pertamanya dua tahun lalu.
Kim Jin Sung
Kehadiran pelakon dari Korea Selatan ini adalah menerusi drama bersiri Autumn Di Hatiku yang disiarkan di portal gua.com.my. Kefasihannya berbahasa Melayu membolehkan Kim Jin Sung atau JS senang diterima oleh peminat tempatan.
Jaclyn Victor
Tidak disangkal vokal luar biasa Jaclyn Victor dari pembabitannya dalam Malaysian Idol 2004 membawa penyanyi berketurunan India itu pergi lebih jauh dalam arena hiburan tempatan. Sementara itu, Jac telah berjaya merakamkan enam buah album berbahasa Melayu dan memperoleh pelbagai pengiktirafan dalam dan luar negara. Malah, Jac juga pernah membintangi tiga buah filem iaitu Susuk, Talentime dan Appalam.

Sampah jadi sumber rezeki

Posted: 28 Aug 2013 03:44 PM PDT



SEORANG pemungut sampat memenyekkan tin-tin minuman sebelum menjualnya kepada syarikat kitar semula.


SEBAIK bayang-bayang petang melatari lorong pejalan kaki di sebelah bangunan sekolah, bunyi derapan kaki yang sayup kedengaran menjadi petanda Doud Sebet telah sampai.
Doud memulakan tugasnya mengutip tin-tin minuman yang dibuang masuk ke dalam guni berwarna putih yang dibawanya. Sebelum itu, dia mengetuk tin-tin itu mengunakan batu-bata.
Pada masa sama, sebilangan pemungut sampah turut melakukan perkara yang sama iaitu menggeledah sisa buangan sampah. Ia dilakukan bagi meneruskan kehidupan dalam kemelut ekonomi yang melanda Sudan.
Sudan merupakan antara negara yang menduduki carta terbawah dalam bahagian Indeks Pembangunan Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Amerika. Indeks tersebut mengukur aspek pendapatan, kesihatan dan pendidikan penduduk di negara-negara yang terlibat.
"Penduduk di kawasan ini hidup serba mewah," kata Doud yang sedang mencari sampah di tempat kegemarannya iaitu di Khartoum 2 yang merupakan kawasan kediaman duta-duta asing dan ahli perniagaan.
Pemungut sampah di Sudan juga gemar mencari rezeki di kawasan restoran kerana mudah mendapatkan botol air plastik.
Bagaimanapun, pemungut sampah tidak hanya tertumpu di kawasan perumahan orang kaya kerana kawasan luar bandar seperti di Omdurman juga salah satu kawasan yang menguntungkan.
Ahli ekonomi Universiti Khartoum, Mohammed Eljack Ahmed berkata, semakin ramai penduduk menjadi pemungut sampah kerana dalam suasana ekonomi yang lemah pekerjaan itu menjadi pilihan terbaik buat mereka.

SAMPAH menjadi sumber pendapatan kepada penduduk Sudan yang miskin.


Inflasi
Penduduk Sudan bergelut menangani inflasi di samping keadaan mata wang yang semakin lemah semenjak Sudan Selatan dipisahkan dari Sudan pada Julai 2011.
Perpisahan itu mengakibatkan perkongsian kira-kira 75 peratus hasil minyak di negara Sudan Bersatu terputus.
Akibatnya, inflasi mencecah hampir 40 peratus manakala pengangguran pula melebihi 30 peratus.
"Kami menderita," kata Doud yang berumur lebih 60 tahun.
Dia mampu memperoleh 400 paun Sudan (RM298) sebulan dengan memungut dan menjual tin terus kepada syarikat kitar semula.
Setiap pagi Doud akan menaiki bas untuk menggeledah sampah penduduk elit di bandar Khartoum.
Apabila kerjanya selesai, Doud duduk di teduhan bayang-bayang bangunan sekolah bertentangan pangsapuri diplomat asing.
Dia menggoncang bekas air tin dan melihat ke dalamnya jika ia masih boleh diminum.
"Saya tidak mahu bekerja seperti ini," keluhnya.

BOTOL-BOTOL plastik turut menjadi sasaran pemungut sampah di Sudan.


Dalam pada itu, Mohammed Adam, 26, mengutip sampah sejak tujuh bulan lalu.
Seorang pemuda lain, Osman Haroun, 25, pula meraih pendapatan antara RM7.50 hingga RM11 sehari hasil memungut sampah.
Omar Muhajir, 56, menjadikan kerjaya mengutip sampah bagi menyara lima orang anaknya, namun dia berharap untuk memperoleh pekerjaan yang lebih baik.
"Saya tidak mahu mereka bekerja seperti ini, mengumpul benda-benda terbuang dari tong sampah. Bagaimanapun, ia lebih baik daripada hanya duduk diam tanpa sebarang pekerjaan," keluh Omar.
Dana Kewangan Antarabangsa menjangkakan ekonomi Sudan akan mendapat rangsangan positif pada tahun ini. Ia mungkin mencecah RM1.6 bilion.
Pada tahun 2014, dijangkakan pulangan hasil rangsangan ekonomi yang diperoleh Sudan di bawah perjanjian dua negara bersama Sudan Selatan ialah kira-kira RM6.57 bilion.
Ia hasil pendapatan daripada yuran minyak Sudan Selatan dan pakej pemberian pampasan kehilangan sumber minyak Sudan selepas pemisahan sempadan dilaksanakan.

Hari-Hari rai pelanggan bertuah

Posted: 28 Aug 2013 03:42 PM PDT


SHAHFARINA menerima hadiah televisyen LCD daripada Amilludin selepas diumumkan sebagai pemenang peraduan Hari-Hari Menang 2013.


SEMPENA menyambut Hari Raya Aidilfitri lalu, Shahfarina Yusop memilih Pusat Pakaian Hari-Hari, Seksyen 18, Shah Alam untuk membeli persiapan raya.
Ketika itu, ibu kepada enam cahaya mata itu berbelanja sebanyak RM300 sekali gus layak menyertai peraduan Hari-Hari Menang 2013 anjuran pusat pakaian tersebut.
Tanpa disangka, hanya menjawab tiga soalan mudah dan disertakan resit pembelian, dia berjaya membawa pulang sebuah televisyen paparan hablur cecair (LCD).
"Saya terkejut diumumkan sebagai pemenang kerana ia merupakan kali pertama saya menyertai peraduan anjuran pusat pakaian ini.
"Rasa sungguh berbaloi apabila dengan pembelian RM300, saya berjaya membawa pulang sebuah televisyen LCD. Ketika menjawab soalan, saya tidak berharap untuk menang. Penyertaan ini sekadar suka-suka," ujar wanita berusia 36 tahun itu.
Shahfarina merupakan salah seorang daripada 73 pemenang bertuah yang menerima hadiah masing-masing di KL Sentral pada Sabtu lalu.
Peraduan tersebut berlangsung dari 1 Jun hingga 7 Ogos lalu membabitkan 70 cawangan pusat pakaian tersebut di seluruh Malaysia.
Setiap pelanggan yang berbelanja RM80 ke atas layak menyertai peraduan tersebut.

AMILLUDIN (kiri) mencabut sebanyak 73 daripada 120,000 borang peraduan yang telah disaring terlebih dulu.


Sebanyak 200,000 penyertaan telah diterima dan selepas disaring hanya 120,000 penyertaan dipilih untuk dibuat cabutan bagi mencari 73 pelanggan bertuah.
Pengurus Besar Korporat dan Perhubungan Awam Pusat Pakaian Hari-Hari Sdn. Bhd., Amilludin Latip memberitahu, peraduan tersebut merupakan program julung-julung kali dianjurkan pihaknya dan sambutan amat menggalakkan.
"Peraduan ini merupakan salah satu cara kami menghargai para pelanggan yang menjadikan pusat pakaian ini sebagai pilihan membeli pakaian keluarga.
"Peraduan ini juga merupakan peluang terbaik kami untuk mengeratkan hubungan bersama pelanggan kami dari seluruh negara," ujarnya ketika berucap pada majlis penyampaian hadiah tersebut.
Antara hadiah-hadiah tersebut termasuk tablet, telefon pintar, kamera digital, perakam video, baucar tunai dan motosikal.
Dalam pada itu, seramai 10 pengunjung yang memakai baju berona ungu iaitu warna rasmi Pusat Pakaian Hari-Hari turut memenangi tablet iPad mini.

ANTARA para pemenang dari seluruh negara yang hadir pada majlis penyampaian hadiah di KL Sentral baru-baru ini.


Bersyukur
Sementara itu, seorang lagi pelanggan yang memenangi televisyen LCD, Mohd. Fahmi Omar, 45, berkata, sebelum ini dia selalu menyertai peraduan namun tidak pernah menang.
"Saya bersyukur dengan kemenangan ini. Saya hanya berbelanja sebanyak RM400 bagi membeli pakaian anak-anak berhari raya.
"Apabila juruwang memberikan borang penyertaan, saya tidak teragak-agak untuk mengisinya lalu memasukkan ke dalam kotak yang disediakan.
"Nyata kali ini saya bertuah dan berjaya membawa pulang hadiah lumayan," katanya yang teruja dengan kemenangan itu.
Mohd. Fahmi memilih pusat pakaian itu kerana menawarkan harga pakaian berpatutan dan berkualiti.
Dia yang berasal dari Felda Sendayan, Seremban, Negeri Sembilan sering berbelanja di pusat pakaian tersebut terutamanya pada musim perayaan.

Nelydia tak tolak jodoh dengan Qi

Posted: 27 Aug 2013 06:57 PM PDT


  • Nelydia Qi Razali dan Nelydia.
Selain kisah cinta kakaknya, Uqasha Senrose bersama Pekin menjadi sebutan, hubungan Nelydia Senrose atau nama sebenarnya, Nik Zaris Nelydia Senrose Nik Sen, 19, bersama pengacara popular, Qi Razali turut menjadi perhatian.

Terbaru, pelakon cantik yang terkenal menerusi drama bersiri Setia Hujung Nyawa ini menerima sebentuk cincin daripada buah hatinya. Malah perkara itu turut disahkan oleh Nelydia sendiri.

"Cincin itu dihadiahkan oleh Qi sempena hari lahir saya. Ia tidak bermaksud apa-apa, selain hadiah semata-mata.

"Kami tidak dapat meraikannya bersama kerana Qi terlibat dengan penggambaran di Argentina. Jadi cincin ini diberi sebagai ingatan," kata Nelydia dengan penuh teruja.

Masih dalam proses mengenali hati budi, Nelydia mengakui semakin selesa bersama Qi. Bagaimanapun masih terlalu awal untuk mereka memikirkan soal perkahwinan.

"Buat masa ini, saya belum bersedia dalam memikirkan soal perkahwinan kerana banyak yang perlu saya fikirkan untuk menjadi seorang isteri.

"Perkahwinan bukan perkara yang mudah, banyak lagi yang perlu saya belajar. Namun sekiranya sudah sampai jodoh saya bersama Qi, saya akan terima," katanya.

Ditanya mengenai Qi, aktres yang mula mencipta nama menerusi drama Spa Q ini memberitahu, sikap Qi yang memahami serta mengambil berat tentang dirinya itu membuatkannya tertarik.

"Sepanjang kami berkenalan, dia tidak pernah mengongkong saya, malah dia juga banyak memberi semangat dan nasihat.

"Dia juga sangat menghormati apa yang saya lakukan," katanya yang ditemui ketika pelancaran drama bersiri Strawberi Karipap.


Enggan jaja kisah peribadi

Meskipun hatinya sedang berbunga, namun hakikatnya gadis manis ini kurang selesa apabila kisah cintanya menjadi buruan media dan juga peminat.

Akui Nelydia, dia tidak mahu kisah cintanya itu menjadi tumpuan sepertimana hubungan kakaknya bersama Pekin.

"Sebolehnya saya tidak mahu media terlalu menyiarkan kisah cinta kami dan cukuplah masyarakat dah tahu kami bercinta "Saya lebih selesa sekiranya media melaporkan kerjaya kami berbanding kisah peribadi," tuturnya.

Jelas Nelydia, usianya masih muda dan banyak perkara yang ingin dilakukan. Selain karier, dia juga harus membahagikan masa untuk pembelajaran.

"Memang cabaran besar untuk saya membahagikan masa berlakon dan juga belajar.
"Saya risau sebenarnya tentang pembahagian masa kerana banyak komitmen saya setiap hari, kalau boleh saya ingin memberi fokus utama terhadap pelajaran. Namun saya harap segalanya dipermudahkan," katanya yang mengambil jurusan psikologi di sebuah IPTS.

Menurutnya, pendidikan adalah keutamaan untuk mengejar cita-cita yang diimpikan selama ini.

"Jika diberi peluang saya akan terus menyambung pelajaran dalam bidang yang sama cuma kali ini di luar negara

"Saya juga, tidak akan berhenti dari dunia lakonan, cuma mahu memberi tumpuan terhadap pelajarannya," katanya.


Tawaran mencurah

Menyentuh mengenai perkembangan karier seninya, selain Cinta Jannah yang bersiaran di slot Akasia TV3, Nelydia juga bakal muncul dengan dua filem lakonannya, Cinderella arahan Ahmad Idham dan juga filem komedi terbitan KRU Studio.

"Saya rasa bersyukur penglibatan saya dalam bidang ini diterima ramai, dalam pada masa sama banyak yang perlu saya pelajari untuk teruskan bidang ini dengan lebih mendalam.

"Saya menganggap bahawa itu merupakan salah satu semangat untuk terus bekerja dan mengembangkan lagi bakat yang saya ada dalam dunia lakonan," katanya.

Hanez tolak cinta sesama artis

Posted: 27 Aug 2013 06:56 PM PDT

HANEZ SURAYA tidak menyangka hubungan cinta sesama artis yang dijalinkannya bersama bekas kekasihnya, Awi Rafael menemui jalan kesukaran.


APABILA pelakon Hanez Suraya menjalinkan hubungan cinta dengan penyanyi kelahiran Singapura, Awi Rafael, ramai yang melihat mereka merupakan pasangan yang cukup serasi.
Bagaimanapun, ikatan cinta yang terjalin tidak sampai setahun akhirnya terlerai dan masing-masing telah mengambil keputusan untuk membawa haluan sendiri.
Ketika bertemu dengan Hanez pada majlis rumah terbuka anjuran Media Prima di Kuala Lumpur baru-baru ini, pelakon drama bersiri Autumn Di Hatiku itu mengakui dia masih belum berjumpa pengganti yang sesuai.
Ujarnya, memiliki pasangan hidup bukanlah matlamat utamanya sekarang dan mengakui hidupnya lebih bebas dan selesa tanpa mempunyai sebarang komitmen dengan mana-mana lelaki.
Kosmo!: Sejak putus cinta dengan Awi, adakah Hanez cuba didekati oleh lelaki lain?
HANEZ: Bohonglah kalau saya katakan tiada lelaki lain yang ingin mendampingi saya. Cuma, saya lebih selesa untuk berkawan sahaja dan belum bersedia untuk bercinta semula.
Lagipun agak terlalu awal kalau saya hendak mencari pengganti. Sekiranya menjalinkan hubungan yang lebih serius dengan seseorang, saya perlu ambil masa untuk mengenalinya.
Apakah kriteria utama lelaki pilihan Hanez?
Paling utama, lelaki tersebut bukanlah seorang artis. Seboleh-bolehnya saya tidak mahu lagi bercinta dengan artis dan mahu memilih orang biasa sebagai teman hidup.
Mungkin ramai yang bertanya kenapa saya mempunyai pendirian sebegini, tetapi berdasarkan pengalaman yang telah dilalui rasanya itulah pilihan yang terbaik boleh saya lakukan.
Dahulu, saya sangka cukup senang apabila mendapat pasangan sesama artis ini. Bagaimanapun, ia tidak seperti yang diharapkan dan puncanya lebih kepada komitmen terhadap kerjaya masing-masing.
Pada usia yang sudah mencecah 28 tahun, adakah keluarga tidak mendesak Hanez supaya berumah tangga?
Sebenarnya saya beruntung kerana memiliki keluarga yang cukup memahami. Setakat ini mereka langsung tidak bertanya tentang perkahwinan dan mahu saya sendiri yang tentukannya.
Apabila pulang ke kampung dan menziarahi saudara-mara sempena Aidilfitri, tiada sebarang pertanyaan yang diajukan kerana mereka tahu saya kurang gemar untuk menjawab soalan berkaitan perkahwinan.
MENGANGGAP kontroversi yang melanda dirinya sebagai pengajaran, Hanez Suraya kini mengambil sikap untuk tidak cepat melatah.


Bagaimanakah pula Hanez melihat perjalanan karier sendiri pada tahun ini?
Saya bersyukur kerana rezeki dalam dunia lakonan semakin bertambah hasil usaha keras yang dilakukan. Namun begitu, apa yang dikecapi juga merupakan sokongan padu daripada para peminat.
Populariti dan kontroversi terhadap Hanez dilihat berlaku seiringan. Jadi, bagaimanakah anda melihat keadaan ini?
Tidak dinafikan kontroversi memang turut membantu menaikkan tahap populariti seseorang artis, tetapi saya akan cuba sedaya upaya untuk menepis segala cerita negatif yang membabitkan diri saya.
Bergelumang dalam kehidupan sebagai seorang artis, kontroversi itu merupakan sebahagian daripada asam garam yang terpaksa ditempuhi. Jadi, saya tidak mahu terlalu cepat melatah dan anggap ia sebagai satu pengajaran yang berguna dalam kehidupan.

Zizan Razak Akui Kurang Pengalaman Untuk Jadi Hos AF 2013

Posted: 27 Aug 2013 06:55 PM PDT

Zizan disebut-sebut bakal mengacarakan program Akademi Fantasia 2013 yang bakal bermula pada September ini.
PETALING JAYA: Pelawak dan pelakon Zizan Razak mengakui pengalamannya sebagai seorang pengacara belum cukup untuk melayakkannya menjadi hos program Akademi Fantasia 2013 (AF 2013) yang akan bersiaran pada September ini.
Zizan, 29, berkata, dia bimbang tidak dapat menyaingi kehebatan pengacara terdahulu yang mempunyai pengalaman luas mengendalikan rancangan realiti itu.
"Rasa kerdil diri saya ini jika terpilih sebagai pengacara AF 2013 kerana pengalaman saya tidak sehebat mana seperti hos-hos terdahulu.
"Bagaimanapun saya berbesar hati apabila nama saya disebut-sebut sebagai pengacara bagi musim terbaharu ini," katanya kepada mStar Online.
Zizan mengulas mengenai khabar angin dia bakal menerajui program popular itu sebagai hos yang pernah disandang oleh Datuk Aznil Nawawi, Datuk AC Mizal, Jimmy Shanley dan Sarimah Ibrahim.
Program AF 2013 akan bermula dengan Galaxy AF pada 2 hingga 5 September depan, diikuti dengan tayangan Prelude Top 24 pada 6 September 2013.
Manakala konsert pertama akan bersiaran secara langsung setiap Sabtu, pukul 9 malam bermula 14 September depan di Astro Ria.
Dalam perkembangan sama, Zizan berkata, dia sangat berbesar hati sekiranya pihak produksi memilihnya untuk mengacarakan program tersebut dan berjanji akan menggalas tanggungjawab berkenaan dengan baik.
Bagaimanapun sehingga kini dia masih belum menerima apa-apa untuk menyertai rancangan itu.
"AF memang terkenal dengan kejutan jadi musim ini mereka juga ingin membuat kejutan mengenai pemilihan pengacaranya. Jadi kita tunggu sahajalah," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Zizan bakal muncul dengan filem terbaharunya iaitu KL Zombi di samping pelakon Siti Saleha, Izara Aishah dan Faezah Elai yang bakal ditayangkan pada Khamis ini.
Selain itu, dia memberitahu bakal muncul dalam dua filem lain pada tahun ini iaitu Tokan dan KL Gangster 2.

Hanez Suraya Enggan Layan Peminat Emosi

Posted: 27 Aug 2013 06:55 PM PDT

Hanez Suraya
PETALING JAYA: Pelakon Hanez Suraya mengakui agak sukar untuk dia memuaskan hati peminat-peminatnya di laman sosial yang tidak memahami kedudukannya sebagai seorang selebriti.
Hanez, 28, berkata, dia mengambil pendekatan tidak membesarkan perkara remeh khususnya bahasa yang kurang enak dilemparkan peminat sehingga boleh menimbulkan perbalahan.
"Saya memang suka melayan mesej Twitter daripada peminat dan membalas komen mereka, tapi ada masanya saya tidak dapat menjawab kesemuanya.
"Terdapat segelintir peminat yang tidak faham dengan kesibukan saya dan mula menghantar mesej yang bukan-bukan serta melemparkan kata-kata kesat," katanya kepada mStar Online.
Hanez diminta mengulas perbalahannya dengan peminat di laman sosial itu apabila ada di antara mereka melemparkan kata-kata yang tidak sopan kepadanya baru-baru ini.
Tambah Hanez, dia sedar banyak akaun Twitter telah diwujudkan atas namanya untuk menarik perhatian dan menimbulkan provokasi.
"Saya tidak tahu kenapa mereka berbuat demikian kepada saya. Saya lihat ada 10 akaun yang dibuat untuk membenci saya dengan mesej yang bukan-bukan," katanya.
Bagaimanapun, Hanez berkata dia tidak melenting dan mengambil serius perkara tersebut.
"Saya tahu mereka hanya ingin perhatian sahaja, Insya-Allah kalau mereka komen denga cara yang baik, saya akan balas juga tidak perlu sehingga panggil saya dengan perkataan yang bukan-bukan," katanya.
Sementara itu, Hanez mengakui namanya meningkat seiring dengan kontroversi yang melandanya.
"Saya akui kontroversi ini kadang-kadang boleh mengangkat nama kita tetapi kadang kala boleh juga menjatuhkan.
"Bagi saya jika saya boleh tepis, saya akan tepis. Kalau dulu ketika bersama Awi Rafael saya mengambil berat banyak perkara agar setiap apa yang saya lakukan tidak terkena tempias kepada Awi," katanya.

Jangan Bandingkan Filem 'The Art of Vikingdom' - Yusry

Posted: 27 Aug 2013 06:54 PM PDT


Yusry Abdul Halim
PETALING JAYA: Pengarah filem Yusry Abdul Halim tidak mahu filem terbaharunya iaitu The Art of Vikingdom diperbandingkan dengan mana-mana filem epik atau mempunyai persamaan dengan mana-mana cerita berdasarkan peristiwa sejarah.
Yusry, 38, berkata, filem ini merupakan filem fantasi sejarah dan aksi yang mempunyai jalan cerita tersendiri.
"Filem ini tidak boleh disamakan dengan mana-mana filem epik atau sejarah yang benar-benar berlaku.
"Setiap watak dalam filem ini adalah mengikut skrip asal dan diubahsuai mengikut apa yang saya fikirkan sesuai," katanya pada majlis forum The Art of Vikingdom, di sini, Selasa.
Turut hadir pada majlis tersebut Pengerusi Finas, Datuk Md Afendi Hamdan.
Jelasnya, beberapa watak dalam filem ini seperti Thor yang diambil dari Marvel Comic juga mempunyai karakter berbeza.
"Biasanya Thor adalah adiwira yang baik dan berambut kuning tapi dalam cerita ini saya jadikan dia berwatak antagonis dan berambut perang, tidak seperti cerita biasa," katanya.
Tambah Yusry, filem yang menelan belanja hampir RM20 juta itu menjalani proses penggambaran dan penyuntingan dengan perancangan teliti.
Antara pelakon luar yang membintangi The Art of Vikingdom iaitu dari kiri; Jon Foo, Dominic Purcell, Natassia Malthe dan Craig Fairbrass.
"Kita bukan buat penggambaran ikut suka hati, kita sudah buat perancangan yang sangat teliti. Untuk penggambaran sahaja ia ambil masa hampir 60 hari manakala penyuntingan mengambil masa hampir setahun.
"Segala peralatan, kostum atau pelakon aksi ngeri perlu disediakan awal sebelum pelakon-pelakon utama di bawa ke Malaysia.
"Pihak kami cuma ada masa dua minggu sahaja untuk penggambaran bersama pelakon-pelakon utama," katanya.
Dalam pada itu, cabaran utamanya adalah ketika di lokasi penggambaran yang dilakukan di beberapa kawasan di negara ini.
"Penggambaran adalah seratus peratus di Malaysia, cabaran utama ialah mencari kawasan yang hampir sama dengan luar negara.
"Akhirnya kami menjumpai kawasan bukit di Puncak Alam, Selangor. Bagaimanapun cuaca sepanjang penggambaran terlalu panas. Selain itu kami juga melakukan penggambaran di Gua Tempurung, Kellie'd Castle di Perak serta di Filem Negara," katanya.
Selain itu, katanya, pencarian pelakon tambahan berbangsa asing, set penggambaran yang direka khas dan kostum juga menjadi cabaran penting dalam proses pembikinan filem tersebut.
Sementara itu, ditanya mengapa mengambil konsep filem fiksyen antarabangsa, Yusry berkata ia adalah sebagai percubaan KRU Studio memasuki pasaran luar negara.
"Kami cuba buat filem yang lebih umum yang mana jika di sini, semua kaum boleh datang tengok dan bukan hanya kepada orang Melayu sahaja.
"Kami juga fokus untuk tembusi pasaran luar negara seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom. Kebanyakan negara luar mahu filem menggunakan bahasa Inggeris," katanya.
Antara ahli panel yang menghadiri forum tersebut adalah Produser, Norman Abdul Halim, Pengarah Kreatif, David Tang, Jurusolek, Monica Lee dan Pereka Kostum, Rosada Abdul Hamid.
Filem ini membariskan beberapa pelakon popular antarabangsa iaitu Dominic Purcell, Natassia Malthe, John Foo, Craig Fairbras dan Conan Stevens.
Filem The Art of Vikingdom akan ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada 16 September depan.

Deejay Suria FM Nyanyi Dikir Barat Untuk Kutip Derma

Posted: 27 Aug 2013 06:53 PM PDT


Halim dan Abidah turut menyertai persemahan dikir barat.
PETALING JAYA: Kesemua penyampai Suria FM bakal mengadakan persembahan dikir barat khas untuk para peminat di The Square, Publika Solaris Dutamas di sini pada Sabtu ini.
Menurut satu kenyataan Suria FM, penyampai radio itu bakal tampil dalam dua kumpulan iaitu Arnab Rengsa dan Rimau Elok bersempena aktiviti amal A Bit Charity (ABC) bagi mengumpul dana, Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Al-Nasuha dan Angels Children's Home.
"Kesemua penyampai radio Suria FM sedang giat berlatih bagi memantapkan persembahan pada hari tersebut malah masing-masing sudah berjaya menghafal skrip dan dialek negeri Kelantan yang sinonim dengan dikir barat.
"Persembahan istimewa ini adalah sebagai salah satu tarikan pada acara tersebut dan ia tentu akan menggamatkan suasana," kata kenyataan itu.
Kumpulan Arnab Rengsa dianggotai oleh Linda Onn, Zaff, Anna Najla, Haffiz Aziz, JJ dan diketuai oleh Adibah Noor.
Penyampai-penyampai Suria FM sedang berlatih untuk persembahan mereka pada 31 Ogos nanti.
Manakala kumpulan Rimau Helok disertai oleh Halim Othman, Seri Nazira, DJ Lin, Bob Ringgo, Naim Hashim dan diketuai oleh Reza Mohamed.
Majlis amal itu bakal berlangsung bermula pukul 10 pagi sehingga 6 petang.
Selain penyampai radio, pelbagai aktiviti menarik bakal berlangsung pada hari berkenaan antaranya jualan gerai, jualan amal dan permainan untuk seisi keluarga di samping menghulurkan derma.
Penyampai radio dari stesen lain milik Star Radio Group seperti Red FM, 988, Capital FM turut memeriahkan majlis dengan penampilan istimewa artis tempatan seperti Nadhira, Ferhad, Reshmonu, Chelsia Ng dan Shawn Lee.

Selena Gomez Bangga Demi Lovato Kongsi Rahsia Di Pusat Pemulihan

Posted: 27 Aug 2013 06:52 PM PDT


Selena Gomez
PENYANYI Selena Gomez berbangga dengan pencapaian penyanyi Demi Lovato kerana bersikap terbuka mengenai pengalamannya ketika berada di pusat pemulihan.
Lovato yang mendapat khidmat bantuan pemulihan kerana penyalahgunaan dadah, gangguan pemakanan dan mencederakan diri sendiri pada tahun 2010.
Demi Lovato
Dia berjaya mengatasi masalah tersebut dan kini berusaha membantu orang yang mengalami masalah yang sama.
"Saya amat berbangga dengan Demi kerana usaha dia membantu orang ramai yang berhadapan dengan masalah yang pernah dialaminya dahulu, dia menunjukkan contoh yang baik," katanya seperti dipetik femalefirst.co.uk.
Lovato baru-baru ini ke Kanya dan Kanada untuk memberikan khidmat percuma di peringkat antarabangsa.

Terkilan bot 'cari makan' dicuri

Posted: 27 Aug 2013 06:49 PM PDT



  • Terkilan bot 'cari makan' dicuri Mohd Ali (depan) bersama anaknya dan seorang mekanik mencari botnya yang hilang.
TELOK KEMANG – Seorang pengusaha bot sewa di Pantai Telok Kemang terpaksa menanggung kerugian puluhan ribu ringgit apabila dua bot miliknya hilang dipercayai dicuri pagi, semalam.

Mangsa, Mohd Ali Yaakob, 56, berkata, bot miliknya diletakkan di kawasan PD Marina kira-kira jam 7 malam kelmarin dan hanya menyedari kehilangan bot itu pagi semalam ketika mahu memulakan operasi perniagaannya.

"Bot pancong bersaiz 27 kaki  (8.1 meter) hilang bersama enjin 90 kuasa kuda, banana bot dan lebih 10 jaket keselamatan. Kesemua itu dianggarkan hampir RM70,000.

"Saya meletakkan bot di kawasan PD Marina itu sejak lebih enam tahun dan ini merupakan kejadian kecurian bot yang pertama berlaku di sini. Dahulu ada sekali kejadian mencuri bot tetapi disedari pemiliknya dan berjaya menggagalkan insiden itu," katanya.

Mohd Ali berkata,  kebiasaannya bot yang ditinggalkan di situ akan dijaga oleh anaknya tetapi malam semalam, anaknya tidur di rumah.

"Sebaik menyedari bot itu hilang, saya bersama anak-anak dan seorang mekanik mencari bot itu di seluruh kawasan perairan Port Dickson sehinggalah ke Sungai Timun, Rembau dan Tanjung Sepat, Selangor.

"Pada awalnya saya yakin, pencuri akan menyorokkan bot di kawasan tali air namun selepas meronda di seluruh kawasan hampir tiga jam dan kos minyak RM500, usaha itu gagal menemui sebarang petunjuk," kata bapa tunggal kepada sembilan anak itu.

Mohd Ali berkata, kehilangan botnya itu sedikit sebanyak menjejaskan mata pencariannya yang mengusahakan bot sewa di Pantai Telok Kemang.

"Saya agak ralat kerana bot yang hilang itu enjinnya baru tiga hari dibaiki malah duit upah dan bayaran membaiki enjin itu sebanyak RM4,000 masih belum dilangsaikan kepada mekanik," katanya.

Mohd Ali berkata, tali sauh bot yang hilang itu telah dipotong sementara sebuah lagi bot miliknya dirosakkan hos minyaknya.

"Mungkin pencuri mahu melengah-lengahkan kami mengejar mereka menggunakan bot ini apabila menyedari kejadian ini lebih awal.

"Terdapat beberapa kesan tapak kaki orang dewasa di atas bot saya yang ditinggalkan dan saya yakin kejadian kecurian ini dilakukan lebih daripada dua orang," katanya.

Laporan polis dibuat di Balai Polis Telok Kemang.

Baru kenal sudah ajak ke bilik

Posted: 27 Aug 2013 06:46 PM PDT


  • khalwat Pegawai penguat kuasa memeriksa pasangan berkenaan yang ditahan berada dalam keadaan mencurigakan.
BATU PAHAT – Niat pasangan kekasih untuk memadu asmara tidak kesampaian selepas ditahan Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) dalam serbuan di sebuah rumah tumpangan dekat sini, semalam.

Dalam serbuan jam 2 pagi itu, pasangan berusia 25 dan 22 tahun terbabit ditahan selepas pemeriksaan mendapati mereka tidak mempunyai ikatan perkahwinan.

Timbalan Ketua Penguat Kuasa Jaij Batu Pahat, Saiful Ariffin Mohd Sopah berkata, pasangan terbabit mengambil masa kira-kira 15 minit untuk membuka pintu dipercayai memikirkan cara bagi mengelak ditahan.

"Selepas pintu dibuka, hasil soal siasat mendapati mereka bukan mahram dan mengaku telah melakukan perbuatan yang salah.

"Pasangan terbabit berasal dari daerah ini dan mengaku baru sahaja berkenalan tidak sampai sebulan serta dalam proses mengenali antara satu sama lain," katanya.

Menurutnya, pasangan terbabit di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat untuk proses selanjutnya sebelum mereka dituntut oleh waris masing-masing.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 27 (1) (a) (b) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Johor 1997.

"Operasi yang dilakukan ini bertujuan membendung kegiatan sumbang yang kian menular dalam kalangan anak-anak muda yang semakin membimbangkan sejak akhir-akhir ini.

"Operasi seperti ini akan dilakukan lebih kerap lagi, dengan tertumpu pada aduan orang ramai, hotel bajet dan kawasan yang berpotensi untuk kelakuan seperti ini," katanya.

Tegas terhadap anak-anak

Posted: 27 Aug 2013 06:41 PM PDT




APABILA mengenali secara dekat insan yang bernama Didie Alias, tidak dinafikan pelakon dan pelawak itu sentiasa kelihatan ceria dan selalu bergurau senda dengan orang di sekelilingnya.
Tidak hairanlah kalau bertemu dan berbual dengan pemilik nama sebenar Fadzillah Mohammad itu, memang tidak kering gusi dibuatnya dengan celotehnya yang sentiasa mencuit hati dan menghiburkan.
Bagaimanapun, tentunya ramai yang ingin mengetahui latar dirinya dalam dunia sebenar, terutamanya kehidupan seharian yang dilalui bersama ahli keluarga.
Berkesempatan bertemu dengannya semasa acara Anugerah Lawak Warna baru-baru ini, Didie menyatakan kehidupannya sebagai seorang artis dan ibu kepada lima orang anak sememangnya jauh berbeza.
"Selama ini orang melihat saya seorang yang kelakar dan selalu membuat orang lain ketawa, tetapi apabila berada di rumah bersama keluarga, karakter saya memang berbeza.
"Tidak dinafikan, dengan anak-anak, saya memang seorang ibu yang sangat tegas. Kalau saya kekal mengamalkan sikap yang kelakar di rumah, saya risau anak-anak akan hilang rasa hormat," ujar ibu kepada lima orang cahaya mata itu.
Sehingga kini Didie memiliki empat orang cahaya mata perempuan dan seorang lelaki iaitu Nurdhaniyah, 20, Muhammad Dhanial, 19, Nur Dinie, 17, Nur Dayini Ahza, 15, dan Nur Diyana, 14, hasil perkahwinan terdahulu dengan pelakon Ridzuan Hashim.
Tambah Didie, dengan sikapnya yang tegas itu tidak bermakna dia perlu menggunakan kekerasan atau meninggi suara, sebaliknya dia lebih suka mengamalkan sikap toleransi untuk membentuk anak-anak menjadi insan yang baik.

DIDIE di samping tiga orang anak tersayang, Nurdhaniyah, Nur Dinie dan Nur Dayana (kanan) serta suaminya, Isham (kiri) yang turut berkongsi kejayaannya pada majlis Anugerah Lawak Warna.


Mengakui anak-anak memang takut dengan ketegasannya itu, namun dia lebih suka melayan mereka seperti kawan dan akan sentiasa bertanya dan memantau tentang perkembangan diri masing-masing.
"Kalau ada kelapangan dan tidak terlibat dengan sebarang aktiviti seni, saya akan menghabiskan masa di rumah. Dengan masa yang ada itu saya gunakan sebaik-baiknya untuk berborak dengan anak-anak.
"Walaupun mereka melihat saya ini seorang ibu yang tegas, tetapi saya sebenarnya bersikap terbuka dan lebih suka kalau anak-anak berterus terang dan menceritakan segala aktiviti mereka kepada saya," jelasnya.
Berkenaan dengan minat anak-anaknya terhadap bidang seni pula, Didie mendedahkan dia langsung tidak menghalang sekiranya ada antara mereka yang ingin mengikut jejak langkahnya.
Ujarnya, kesemua anaknya itu pernah berlakon dalam drama dan telemovie sebelum ini, malah anak bongsunya iaitu Nur Diyana turut memiliki karakter kelakar seperti dirinya.
"Apa yang saya lihat masing-masing ada bakat untuk menjadi pelakon, cuma mereka tidak menunjukkan minat yang lebih mendalam. Jadi, lebih baik kalau mereka buat apa yang diminati dan saya akan sentiasa menyokong," ujarnya.
DIIKTIRAF. Didie dinobatkan sebagai pemenang Artis Lawak Wanita Paling Popular semasa Anugerah Lawak Warna baru-baru ini.


Penampilan berbeza
Berbalik kepada cerita mengenai imej pelik yang selalu digayakan apabila menghadiri sesebuah acara hiburan, Didie ternyata mempunyai alasan tersendiri.
Jelasnya, tindakannya itu bertujuan untuk menampilkan pelbagai kelainan serta mahu meninggalkan kenangan tersendiri buat dirinya dan para peminat.
"Tidak semua acara saya perlu tampil dengan imej pelik. Semuanya perlu bergantung kepada tema yang telah ditetapkan oleh pihak penganjur.
"Selepas itu, barulah saya akan berbincang dengan pereka fesyen serta jurumekap tentang penampilan yang akan digayakan supaya tidak nampak terlalu pelik dan melampau," ujarnya.
Mengenai penerimaan kelima-lima anaknya terhadap penampilannya itu, Didie menyatakan mereka cukup memahami bahawa semua yang dilakukan semata-mata mahu mencari rezeki.
Biarpun selalu dicerca dan dikritik segelintir peminat yang kurang gemar dengan caranya itu, pelakon berkenaan menyatakan anak-anaknya merupakan pihak yang paling banyak mempertahankan dirinya.
"Mungkin ramai yang tidak tahu kesemua anak perempuan saya kini telah bertudung. Keputusan yang dibuat itu bukanlah paksaan sesiapa kerana ia atas kerelaan hati.
"Kalau ada yang bertanya bila saya akan bertudung pula, jawapan yang akan diberikan mudah sahaja. Saya anggap perubahan yang ingin dilakukan itu semua kuasa Allah," jelasnya.

DIDIE meraikan kemenangan pada majlis Anugerah Lawak Warna bersama Jasmin Hamid (kanan) dan Zizan Razak.


Hadiah hari jadi
Setelah meraih anugerah Artis Komedi Wanita Popular dalam acara Anugerah Bintang Popular pada April lalu, kali ini Didie menjadi pilihan peminat apabila muncul pemenang Artis Lawak Wanita Paling Popular semasa Anugerah Lawak Warna baru-baru ini.
Menurut isteri kepada Nor Isham Ismail itu, kemenangan yang diraih itu ternyata cukup bermakna kerana ia diraih sehari sebelum usianya yang ke-40.
"Kejayaan yang diraih ini pastinya memberikan kenangan yang begitu istimewa kerana ia diterima semasa saya meraikan ulang tahun kelahiran.
"Selain itu, ia bukan sahaja kejayaan peribadi kerana trofi yang saya genggam ini merupakan sokongan yang tidak putus-putus daripada peminat," ujarnya yang menyambut ulang tahun kelahiran pada 17 Ogos lalu.
Memandangkan usianya kini yang sudah mencapai empat dekad serta anak-anak yang semakin membesar, Didie turut ditebak dengan persoalan tentang sehingga bila dia mahu terus menjadi seorang pelawak.
Menurutnya, dia tidak pernah meletakkan sebarang tempoh tertentu kerana semuanya bergantung kepada rezeki yang diterima serta kepercayaan yang diberikan oleh penerbit dan pengarah.
"Selagi ada mana-mana pihak yang menawarkan saya berlakon komedi, sudah tentu saya akan menerimanya kalau ia bersesuaian dan berbaloi.
"Lagipun dalam industri hiburan sekarang ini kita agak ketandusan pelawak-pelawak wanita. Setakat ini dunia komedi memang didominasi oleh golongan lelaki," jelasnya mengakhiri bicara.

Majlis rumah terbuka Kumpulan Utusan meriah

Posted: 27 Aug 2013 06:39 PM PDT



ERAT silaturahim. Pengarang Kosmo! (dua dari kanan), Baharom Mahusin, Pengurus Jabatan Pengarang, Syed Agil Syed Jaafar (tengah) dan Penolong Pengarang Utusan Malaysia, Zulkifli Hamzah bersama Datuk Hattan dan isterinya, Datin Arianie.



BIARPUN Syawal semakin meninggalkan kita beberapa hari lagi, namun masih ramai lagi individu mahupun organisasi yang tidak putus-putus mengadakan rumah terbuka.
Menghidangkan juadah raya yang enak seperti ketupat, rendang, sate, mi dan nasi impit, majlis rumah terbuka juga dapat mengeratkan silaturahim sesama manusia.
Majlis rumah terbuka turut dimanfaatkan oleh Kumpulan Utusan. Jumaat lalu bersamaan 23 Ogos, Kumpulan Utusan turut mengadakan rumah terbuka di bangunan baharunya bertempat di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur.
Menariknya, rumah terbuka Kumpulan Utusan itu bukan sahaja dihadiri hampir 3,000 tetamu yang terdiri daripada Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah bersama isteri, Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim serta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Hampir 30 artis yang terdiri daripada penyanyi dan pelakon hadir pada majlis yang bermula pada pukul 3 petang itu. Antaranya, Datuk Siti Nurhaliza dan suaminya Datuk Seri Khalid Jiwa, Datuk Yusof Haslam, Datuk Hattan dan isteri, penyanyi Indonesia Astrid serta pasangan popular Rozita Che Wan dan Zain Saidin.
PASANGAN yang sedang menghitung hari bergelar suami dan isteri, Rozita Che Wan dan Zain.


Menurut penyanyi Astrid atau nama sebenarnya Astrid Sartiasari, dia sangat berbesar hati dapat menghadirkan diri buat pertama kali ke majlis rumah terbuka Kumpulan Utusan.
"Saya gembira kerana dijemput hadir ke majlis ini. Kalau di Indonesia ia disebut halal bi halal kalau di sini (Malaysia), rumah terbuka ya? Makanan-makanan yang disediakan juga sangat enak," ujarnya kepada Kosmo!.
Astrid yang kembali langsing selepas melahirkan anak sulungnya, Alec Djuara, 8 bulan, turut menyampaikan lagu popularnya Tentang Rasa pada majlis tersebut.
Sementara itu, pelakon jelita Rozita Che Wan turut melahirkan rasa gembira kerana dapat menghadirkan diri ke majlis rumah terbuka Kumpulan Utusan.
Majlis yang diacarakan oleh pelawak Didie Alias dan juga penyampai radio Nasional FM, Muaz itu turut dimeriahkan dengan persembahan beberapa artis seperti Pretty Ugly, Zali Redang, Nomad, Saleem dan Astrid.

DFP Seni Festival kembali

Posted: 27 Aug 2013 06:38 PM PDT

PAKYUNG Malaysia, Rosnan Abdul Rahman diapit oleh penari daripada Kumpulan Makyung Kijang Emas Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara Kelantan yang akan membuat persembahan pada Malam Melayu Klasik dan Makyung di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 16 hingga 22 September ini.


MEMASUKI tahun keempat penganjuran Festival Seni Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Malam Melayu Klasik dan Makyung menjadi fokus utama kali ini. Festival selama seminggu bermula pada 16 hingga 22 September ini membuka tirai dengan persembahan bertemakan Malam Melayu Klasik menampilkan Badan Kesenian Yayasan Warisan Johor, penyanyi asli veteran Datuk Andre Goh dan penyanyi asli angkatan baharu, Haziq.
Konsert itu bertepatan dengan sambutan Hari Malaysia yang jatuh pada 16 September.
Berkongsi keterujaan menantikan konsert pertama di pentas berprestij DFP, ujar Datuk Andre Goh, dia sebenarnya tidak pernah terfikir untuk menjejakkan kaki di dewan tersebut.
"Saya rasa teruja dan berbangga apabila pihak DFP menghubungi saya dan tidak menganggap ini sebagai konsert saya sebaliknya cuma penyanyi selingan.
"Tidak pernah termimpi pun sebenarnya untuk mengadakan persembahan di pentas DFP dan sejujurnya saya sangat tersentuh apabila dipilih untuk mengadakan persembahan Malam Melayu Klasik.
"Pada masa sama, saya tertanya-tanya dan masih was-was mampukah saya atau masih ada orang yang mahu tengok saya menyanyi lagi?" katanya merendah diri.
Andre Goh yang ditemui ketika sidang akhbar pengumuman Festival Seni DFP di Hotel Traders, Kuala Lumpur baru-baru ini bagaimanapun tetap mengharapkan sambutan ramai dan kejayaan Malam Melayu Klasik pada 16 September nanti.
Antara lagu yang bakal dipersembahkan oleh Andre dan Haziq pada malam tersebut seperti Mas Merah, Pasir Roboh, Seri Mersing, Halimun Malam, Bunga Tanjung, Tak Seindah Wajah, Di Ambang Sore dan Mohon Kasih.
Harapan Makyung
Festival diteruskan dengan persembahan teater tradisional Makyung pada hari Jumaat, 20 September pukul 8.30 malam. Kumpulan Makyung Kijang Emas Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara Kelantan diberikan penghormatan untuk mementaskan Makyung Raja Besar Ho Gading.
Pementasan yang sering mendapat perhatian luar biasa setiap kali dipersembahkan itu menceritakan kisah dramatik perebutan takhta Kerajaan Ho Gading yang mempunyai tujuh putera.
Bagaimanapun, putera bongsu menjadi mangsa cemburu kekanda-kekanda beliau hingga dicampakkan ke dalam telaga sebelum diselamatkan dan dikurniakan kuasa sakti untuk menuntut bela.
Rosnan Abdul Rahman merupakan satu-satunya Pakyung lelaki dalam seni persembahan Makyung bakal melakonkan peranan Raja Besar Ho Gading untuk pementasan tersebut.
"Setiap orang mengimpikan untuk membuat persembahan di pentas DFP dan sepanjang berkecimpung dalam dunia seni, inilah pertama kali saya diberikan kepercayaan dan Alhamdulillah impian menjadi realiti.
"Pementasan ini sebenarnya satu peluang kepada generasi muda terutamanya mengenali dan melihat persembahan Makyung yang selama ini hanya dibaca menerusi buku sejarah saja," tambah Rosnan meletak harapan tinggi.
Makyung Raja Besar Ho Gading akan dipentaskan selama 1 jam 45 minit dengan membabitkan seramai 24 orang penari dan pelakon Kumpulan Makyung Kijang Emas JKKN Kelantan dan kisah itu merupakan antara 12 kisah Makyung yang terkenal dari Kelantan.
Tempahan
Menerusi tiga festival lepas, DFP dan Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) telah meraikan pelbagai cabang seni seperti muzik pelbagai genre, tarian, puisi dan lukisan, dengan kolaborasi artis-artis tempatan, pelukis tersohor dan badan-badan kesenian terkenal.
Selain dua persembahan hebat itu, Festival Seni DFP bakal mempersembahkan konsert-konsert menarik seperti Spektrum (18 September), MPO Rocks (21 September) dan MPO and All That Jazz (22 September) selain pelbagai aktiviti menarik yang akan berlangsung di perkarangan lobi DFP sepanjang minggu.
Untuk tempahan tiket layari laman sesawang www.mpo.com.my atau hubungi kaunter Box Office di talian 03-2051 7007.

Askar dituduh bunuh kerani

Posted: 27 Aug 2013 06:35 PM PDT

CHE ROSLI ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Tumpat semalam untuk didakwa membunuh Mohd. Yusrizal.


TUMPAT – Seorang anggota tentera berpangkat Sarjan yang ditahan berhubung satu kes letupan bom yang meragut nyawa kerani sekolah di Taman Sri Periok di sini pada 11 Ogos lalu didakwa di Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan membunuh.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan oleh Che Rosli Che Daud, 29, yang kelihatan tenang ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ahmad Adha Amir Yasser Amri.
Mengikut pertuduhan, Che Rosli didakwa membunuh Mohd. Yusrizal Mat Zain, 32, di Perumahan JPN Kok Seraya di sini antara pukul 10 pagi hingga 11 pagi, 11 Ogos lalu.
Che Rosli berhadapan dakwaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noor Hamizah Ghazali manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Sukri Mohamed.
Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 1 Oktober ini bagi membolehkan pihak pendakwaan menyerahkan beberapa dokumen berkaitan kes tersebut kepada pihak pembelaan.

CAP minta wujudkan dasar berbasikal negara

Posted: 27 Aug 2013 06:31 PM PDT



SM MOHAMED (tiga dari kiri) memegang salah sebuah basikal antik pada sidang akhbar mengenai Kempen Berbasikal CAP ke-16 di George Town semalam.



GEORGE TOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyeru kerajaan mewujudkan dasar berbasikal negara untuk melahirkan warga yang lebih sihat dan produktif.
Presiden CAP, SM Mohamed Idris berkata, dasar berbasikal negara itu harus mempunyai ciri infrastruktur bersepadu yang memberi tumpuan kepada keselamatan dan kemudahan pengguna.
"Dasar itu harus menyediakan infrastruktur yang selamat dan mudah seperti laluan khas untuk penunggang basikal," katanya.

AS sedia serang Syria pada bila-bila masa

Posted: 27 Aug 2013 06:29 PM PDT


GAMBAR yang disiarkan Tentera Laut AS menunjukkan kapal perang USS Gettysburg (kiri) dan kapal induk USS Harry S. Truman belayar di Selat Gibraltar pada 3 Ogos lalu ketika menuju ke Laut Mediterranean.


BANDAR SERI BEGAWAN - Tentera Amerika Syarikat (AS) akan bertindak serta-merta jika Presiden Barack Obama memberi arahan untuk melancarkan serangan ke atas Syria, kata Setiausaha Pertahanan AS, Chuck Hagel semalam.
Persediaan itu dibuat selepas rejim Presiden Bashar Al-Assad didakwa menggunakan senjata kimia baru-baru ini.
"Kami telah menggerakkan segala aset tentera untuk memenuhi dan mematuhi apa sahaja pilihan yang ingin diambil oleh Presiden AS.
"Kami bersedia untuk bertindak," katanya ketika diwawancara oleh stesen televisyen BBC semasa melakukan lawatan ke Brunei.
Komen Hagel hadir sehari selepas Setiausaha Negara AS, John Kerry mengeluarkan kenyataan bahawa tindakan ketenteraan mungkin diambil ke atas Syria.
Kerry menyatakan bahawa Obama percaya bahawa rejim Presiden Bashar Al-Assad perlu bertanggungjawab kerana menggunakan senjata kimia.
Dalam pada itu, Hagel berkata, persediaan ketenteraan itu susulan maklumat oleh perisikan AS tentang situasi di Syria.
Namun, beliau menyatakan, AS dan sekutunya termasuk Britain dan Perancis percaya bahawa serangan itu telah melanggar hak kemanusiaan antarabangsa .

Ladang spirulina atas bumbung hotel

Posted: 27 Aug 2013 06:28 PM PDT



SEBUAH ladang spirulina di atas bumbung sebuah hotel di Bangkok, Thailand.


BANGKOK - Di atas bumbung sebuah hotel di sini terdapat berpuluh-puluh tong berisi cecair hijau mengandungi alga yang merupakan inovasi baharu pertanian bandar.
Dikenali sebagai spirulina, alga boleh dimakan ini mampu membantu menyediakan sumber protein yang mapan sebagai alternatif kepada daging.
Sebanyak tiga kali seminggu, seorang lelaki Patsakorn Thaveeuchukorn menuai alga itu di dalam beberapa buah tong.
"Rumpai hijau ini membesar dengan pantas. Kebiasaannya ia membesar dua kali ganda dalam tempoh 24 jam," kata Patsakorn yang bekerja untuk syarikat EnerGaia.
Syarikat tersebut menanam alga di atas bumbung beberapa buah bangunan di ibu kota Thailand di sini.
"Dengan tahap protein yang tinggi dan khasiat yang banyak, spirulina amat bermanfaat kepada kesihatan," kata Patsakorn.
"Jika dibandingkan dengan daging, makanan itu mengambil masa enam bulan untuk membesar hingga satu kilogram tetapi alga ini mengambil masa hanya seminggu," kata Patsakorn.

Beli kereta guna wang kecil

Posted: 27 Aug 2013 06:27 PM PDT



SEORANG lelaki menggunakan wang kecil untuk membeli sebuah kereta di China.


ZHENGZHOU - Seorang jurujual di China terkejut apabila seorang ahli perniagaan membayar tunai kereta yang dibelinya dengan menggunakan sejumlah wang kecil, lapor akhbar Daily Mail semalam.
Lelaki itu yang dikenali sebagai Zhang membuat bayaran berjumlah £16,000 (RM82,575) menggunakan 10 buah kotak berisi wang kertas satu yuan (RM0.54) dan duit syiling.
Dia yang dikenali sebagai Zhang menghantar lebih 10 buah kotak kepingan wang kertas dan syiling.
Urusniaga berkenaan berlaku di sebuah pusat automotif di bandar ini, dalam wilayah Henan.
Kesemua wang itu kemudian dibawa ke sebuah bank yang mana dua orang kerani diperlukan untuk mengiranya.
Masa selama beberapa jam diperlukan untuk mengira sejumlah 13,000 yuan (RM7,071) wang kecil itu.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines