Ahad, 25 Ogos 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Lambang Pengakap Bukan Salip -Jehan Miskin

Posted: 24 Aug 2013 03:56 PM PDT

Jehan Miskin dan isteri dengan gambar yang menimbulkan kontroversi.
KUALA LUMPUR: Pelakon Jehan Miskin menegaskan loket yang dipakai bersama isterinya dalam gambar yang dimuat naik melalui akaun instagram adalah merupakan lambang Persekutuan Pengakap Malaysia (Pengakap) dan bukan simbol salip.
Jehan, 34, berkata, aksesori itu merupakan tajaan daripada Thomas Sabo kerana dia dan isteri Julie Camelia Rhee, 29, merupakan antara pelanggan tetap jenama aksesori tersebut.
"Pada saya jika kita positif ia akan jadi positif, begitu juga sebaliknya. Saya cuba jelaskan yang loket itu bukan lambang salib namun masih ada yang mahu bergaduh.
"Saya hanya muat turun gambar tersebut kerana ingin berkongsi bersama peminat tentang koleksi yang saya dan isteri minati, dan tidak terlintas sampai jadi begini," katanya ketika ditemui pada rumah terbuka Media Prima, di sini, Jumaat.
Jehan berkata demikian ketika diminta mengulas tentang gambar di laman sosial instagram yang menimbulkan kontroversi apabila dia dan isteri mengayakan loket lambang Pengakap yang kononya menyerupai simbol agama lain.
Gambar yang dimuat naik awal minggu lalu mencetuskan rasa tidak puas hati peminat dan pengikutnya yang menganggap penerbit drama What If ini sebagai tidak sensitif.
Kata Jehan, tindakan segelintir pengikutnya di laman sosial tersebut yang melemparkan kata-kata negatif dan mencetuskan perbalahan sesama sendiri sebagai tidak rasional.
"Pada mulanya saya sudah jelaskan dan betulkan salah faham itu, saya cuba jelaskan perkara sebenar tapi bila semakin lama semakin ramai yang bergaduh saya malas nak layan.
"Ada juga yang saya terpaksa padam komen-komen yang melampau mereka dan terpaksa memantau lama sosial tersebut supaya tidka keterlaluan," katanya.
Tambah Jehan sebagai seorang yang dilahirkan dan dibesarkan dalam keluarga Islam, dia masih mengetahui batas-batas sebagai seorang muslim dan sensitiviti agama dan masyarakat negara ini.

Vince AF1 Kahwin Mac Tahun Depan

Posted: 24 Aug 2013 03:55 PM PDT

Vince
PETALING JAYA: Penyanyi Vince memberitahu akan menamatkan zaman bujangnya pada Mac tahun depan dengan seorang pramugari di syarikat penerbangan Malaysia Airline System (MAS), Fiona Edward, 32.
Vince atau nama sebenarnya Vincent Chong, 33, berkata, dia sudah memilih lokasi di sebuah taman di Janda Baik dengan bertemakan perkahwinan dalam taman.
"Saya akan melangsungkan perkahwinan pada Mac tahun depan, namun tarikh sebenar nanti saya beritahu kemudian kerana masih dalam perbincangan.
"Setakat ini kami merancang untuk mengadakan majlis secara sederhana bersama keluarga terdekat dan rakan-rakan dalam suasana taman dan alam semula jadi," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Sabtu.
Vince dan tunangnya, Fiona.
Tambah Vince, dia memilih tema tersebut kerana bertepatan dengan jiwanya yang lebih suka kepada alam semulajadi dan sesuatu yang damai.
Dalam pada itu, Vince berkata, persiapan perkahwinan akan diuruskan oleh pihak keluarga masing-masing.
"Kami mahu majlis itu biarlah tertutup dan hanya keluarga dan rakan-rakan terdekat termasuk media.
"Bagi saya, apa yang penting ialah majlis tersbeut berjkalan lancar dalam keadaan yang boleh diingati," katanya.
Bercerita tentang tunangannya, Vince berkata Fiona seorang gadis biasa yang berjaya memikat hati keluarganya.
"Dia seperti gadis normal yang lain, apa yang penting ialah keluarga saya sayangkan dia dan dia sangat rapat dengan keluarga saya.
"Saya seorang yang mementingkan hubungan kekeluargaan, jika saya suka tetapi keluarga tidak suka gadis tersebut saya akan beralah kerana saya yakin kebahagian rumahtangga terletak pada restu ibu bapa," katanya.
Tambahnya, wanita tersebut juga seorang yang sangat memahami dan mudah bertolak ansur.
"Dia sentiasa faham perangai saya yang panas baran dan dia tahu bagaimana untuk sabar dan sejukkan perasaan saya.
"Bagaimanapun dia tidak suka berada di hadapan media atau dikenali sebagai tunang saya," katanya.
Vince dan Fiona bertunang pada 30 September tahun lalu di Bali, Indonesia.
"Saya lamar dia masa hari jadi saya di Bali. Memang saya rancang nak buat kejutan pada dia. Atas bantuan kakak saya, rancangan saya menjadi.
"Ketika tu, mereka keluarkan kek dan saya katakan pada Fiona, hadiah yang saya dapat ni tidak lengkap kalau Fiona tak pakai. Kemudian saya terus buka satu kotak berisi cincin dan saya berikan padanya. Dia terkejut", katanya.

Lisa Surihani Bangga Berdarah Cina, India dan Bugis

Posted: 24 Aug 2013 03:54 PM PDT

Lisa Surihani
KUALA LUMPUR: Pelakon Lisa Surihani mengakui mempunyai darah kacukan Cina, India dan Bugis memberi kelebihan kepadanya dalam mempelajari pelbagai budaya kaum di negara ini.
Lisa, 26, berkata, dia lebih menghargai hubungan persaudaraan antara kaum yang seharusnya menjadi pegangan kepada setiap rakyat Malaysia.
"Kita hidup bersama dalam satu negara tidak perlu timbulkan apa-apa perkara yang mencetuskan sensitiviti kaum yang mana akhirnya mengundang perkara tidak diingini.
"Saya bersyukur kerana dalam diri saya ada mengalir pelbagai darah daripada kaum Cina, India dan Bugis, ia mungkin kelebihan dapat mendekati dan memahami pelbagai budaya," katanya ketika ditemui pada majlis kempen Hari Merdeka Astro, di sini, Sabtu.
Tambah Lisa, dewasa ini pelbagai isu tentang perkauman yang menimbulkan perpecahan antara kaum seharusnya tidak ditimbulkan.
"Kita patut buka mata dan menyedari isu ini sangat memberi kesan pada perpaduan kaum.
"Sebagai orang dalam industri seharusnya ada cara atau medium untuk kita kembalikan semula keharmonian negara," katanya.
Dalam pada itu, sebagai selebriti Lisa berkata dia positif dalam menyokong segala kempen berkaitan perpaduan negara.
"Saya seorang yang sentiasa bersikap positif, apabila ada sahaja aktiviti yang memberi faedah saya akan berada di hadapan untuk menyokong," katanya.
Sementara itu, sempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-56, Astro melancarkan kempen #gobeyond dan #urmalaysianisshowing dan pelancaran muzik video bertajul Excuse me Sir, your Malaysian is Showing.
Melalui kempen ini, rakyat Malaysia dijemput untuk menyertai kempen #gobeyond dan menggalakkan perkongsian hashtag #gobeyond di media sosial.

Acha Septriasa Sudah Dilamar Kekasih

Posted: 24 Aug 2013 03:52 PM PDT


Acha Saptriasa
PENYANYI Acha Septriasa menjalinkan hubungan cinta dengan seorang jejaka bernama Radipto Indra Rukmana dan kini hubungan tersebut menuju ke arah yang lebih serius.
"Keluarga kami sudah lama kenal dan mereka suka dengan hubungan ini. Saya juga sudah dilamar pada 12 Ogos lalu," katanya pada Kapanlagi.com pada Jumaat.
Bagaimanapun, Acha berkata mereka masih belum memutuskan tarikh pernikahan dan kini pasangan ini mengakui sedang sibuk mengumpul duit untuk majlis tersebut.
"Kita belum berbincang tentang proses berkahwin dan tidak terburu-buru untuk itu, kita fokus pada kerjaya dan kumpul duit dahulu," katanya.

Wartawan Sinar Harian kena samun

Posted: 24 Aug 2013 03:51 PM PDT


  • Siti Nur Mas Erah Siti Nur Mas Erah dengan laporan polis yang dibuat selepas disamun di stesen minyak Jalan Tenggiri.
PERAI - Seorang wartawan Sinar Harian disamun seorang lelaki bermotosikal di stesen minyak di Jalan Tenggiri di sini, hari ini.

Siti Nur Mas Erah Amran, 29 berkata, ketika kejadian kira-kira jam 4.50 petang dia baru selesai membeli barang dalam kedai stesen itu dan duduk di meja yang disediakan untuk menyiapkan tugasan yang perlu dihantar.

"Seorang lelaki bertopi keledar datang dari bahagian rak roti di belakang saya, mengambil dompet yang diletakkan di atas meja dan melarikan diri dengan motosikal.

"Kejadian itu berlaku dengan pantas dan beberapa pelanggan di situ nampak tergamam dan tidak sempat menghalang tindakan lelaki tersebut.

"Mujurlah saya memegang kuat iPad di atas meja dan pencuri hanya mengambil dompet yang mengandungi wang tunai RM50 dan beberapa dokumen penting antaranya My Kad dan kad bank serta kad perubatan," katanya selepas membuat laporan di Balai Polis Seberang Jaya.

Siti Nur Mas Erah, yang sering mengguna perkhidmatan internet di stesen minyak itu berkata, pengalaman pahit itu menjadi pengajaran kepadanya.

"Walaupun di tempat tertutup yang ada kamera litar tertutup (CCTV), kejadian seumpama itu boleh berlaku. Saya akan lebih berhati-hati selepas ini," katanya.

Kenangan perkahwinan pensyarah, isteri dalam KTM

Posted: 24 Aug 2013 03:48 PM PDT


  • berkahwin Pasangan pengantin Mohd Izwan dan Maizatulakmam telah mencatat sejarah melansungkan majlis perkahwinan mereka di dalam tren KTMB menerusi pakej khas 'Bring Back Romance to the Train'.
KUALA LUMPUR - Bagi pensyarah dan bekas pelajarnya, majlis perkahwinan mereka di atas kereta api KTM Intercity serta resepsi di platfrom Stesen Kuala Lumpur, pastinya suatu kenangan yang tidak boleh dilupakan.

Mohd Izwan Mohd Zaki, 29, pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Terengganu dan isterinya, Mazitul Akmam Muhamad Takir, 23, menyifatkan perkahwinan mereka yang bermula di dalam KTM Intercity dari KL Sentral ke Stesen Kuala Lumpur, adalah satu pengalaman yang unik dan berharga.

Walaupun diadakan di dalam keretapi yang bergerak perlahan, program perkahwinan itu tetap mengekalkan adat dan upacara perkahwinan orang Melayu termasuk menukar hantaran serta bersanding.

Pasangan pengantin dan anggota keluarga diarak dengan paluan kompang untuk memasuki keretapi khas dua gerabak yang telah diubah suai termasuk sebuah pelamin dan bilik pengantin.

Mazitul Akmam berkata mereka berdua sangat teruja dengan peluang keemasan untuk meraikan majlis perkahwinan di dalam tren yang dicadangkan perunding perkahwinan.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran Kanan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Mohd Noordin Kimi berkata majlis resepsi yang diadakan oleh KTMB itu merupakan antara usaha dalam mempromosi kepelbagaian perkhidmatan yang ditawarkan KTMB.

"Program perkahwinan yang mengekalkan ciri-ciri tradisional ini dapat menarik minat pelancong tempatan dan luar negara sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.

"KTMB mengalu-alukan pasangan yang ingin mengabadikan sejarah indah perkahwinan mereka dengan mengambil pakej 'Bring Back Romance To The Train' untuk merasai keunikannya yang tersendiri," katanya.

Pakej yang dilancarkan sejak awal tahun ini akan dijalankan secara berterusan dengan mengenakan bayaran kos minimum sebanyak RM15,000 termasuk pengurusan makanan, perhiasan pelamin dan sewa gerabak tren.

Deejay Era FM diarah mohon maaf isu 'cap ayam'

Posted: 24 Aug 2013 03:47 PM PDT


  • Deejay Era FM Johan, Hanif dan Ray Deejay Era FM Johan, Hanif dan Ray. 
MIRI - Deejay Era FM iaitu Johan, Ray dan Hanif akan memohon maaf kepada juara Liga Perdana Sarawak berhubung komen 'cap ayam' dalam rancangan Johara Pagi Era minggu depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Astro Radio Sdn Bhd (Astro Radio) Dr Jake Abdullah berkata beliau sudah memanggil deejay berkenaan semalam dan memberi amaran kepada mereka agar tidak lagi mengeluarkan komen negatif berkaitan mana-mana pasukan bola sepak di negara ini.

"Minggu depan, anda akan mendengar permohonan maaf berhubung perkara itu," katanya kepada pemberita selepas perasmian majlis peluasan Era FM, hitz FM dan MY fm ke Bandar Miri hari ini.

Beliau mengaku benar-benar kecewa selepas mengetahui insiden itu, yang menimbulkan kemarahan peminat Sarawak sehingga terdapat ancaman bunuh terhadap Johara.

"Orang yang tidak ghairah dengan bola sepak tidak akan faham," katanya sambil menambah Era FM sentiasa menyokong Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) sejak 2010.

Kenyataan negatif itu dikeluarkan apabila Sarawak kalah 1-2 kepada Perak pada perlawanan Piala Malaysia baru-baru ini, dan deejay berkenaan didakwa memberi komen Sarawak menjuarai Liga Perdana dengan rekod tanpa kalah kerana pasukan itu bermain dalam liga yang mana semua pasukannya adalah 'cap ayam' atau tidak berkualiti.

Deejay berkenaan juga didakwa menyifatkan Sarawak sebagai pasukan yang tidak layak bermain dalam Piala Malaysia dan hanya boleh bermain di peringkat Liga Perdana.

Komen itu menimbulkan kemarahan peminat tempatan serta ahli politik di sini dan kebanyakan mereka melahirkan kekecewaan menerusi laman sosial Facebook dan Twitter serta menggesa program Astro itu diboikot selain timbul ancaman bunuh terhadap Johan dan Ray, jika mereka berkunjung ke Sarawak.

Pemantauan Bernama mendapati kebanyakan blog memulakan kempen bagi memboikot Era FM sebagai tanda protes jika deejay berkenaan enggan memohon maaf ketika mereka ke udara.

Naib Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Pandi Suhaili berkata deejay berkenaan adalah personaliti yang dikenali ramai dan mereka sepatutnya mengetahui etika ketika bersiaran di radio.

"Pemuda PBB mendesak satu permohonan maaf dibuat secara terbuka, jika mereka bergurau, maka mereka sudah melampaui batasan, perlu ada had, mereka harus memahami sensitiviti komuniti tempatan," katanya kepada Bernama.

Dalam perkembangan lain, Jake berkata peluasan itu sebahagian rancangan jangka panjang Astro Radio bagi memperkukuh kedudukannya dalam industri penyiaran di negara ini.

"Visi kami ialah memiliki operasi sendiri yang bebas di Sabah dan Sarawak, mudah-mudahan ia akan menjadi kenyataan dalam tempoh 24 hingga 36 bulan akan datang," katanya.

Beliau berkata pada masa ini, sesetengah program yang bersiaran adalah dari Semenanjung, dan selepas beroperasi sepenuhnya di sini, pendengar di Sarawak serta Sabah boleh menikmati kandungan tempatan 24 jam sehari.

Ketika ini, dianggar lebih 500,000 pendengar Era FM, hitz fm serta My FM di Sarawak dan Sabah.

Fathia lebarkan sayap di Uzbekistan

Posted: 24 Aug 2013 03:42 PM PDT


FATHIA menggayakan kostum rekaan Albert King ketika sesi fotografi di Samarkand, Uzbekistan.


PENDIRIAN Nur Fathia Abd. Latiff dan Aiman Hakim Ridza Abdoh untuk tidak mengesahkan gosip percintaan mereka sebenarnya menjadikan nama dua pelakon muda itu semakin 'panas.'
Nama Fathia, 25, dan Aiman, 24, mula dikaitkan apabila sebuah blog gosip mendakwa mereka berpelukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 23 April lalu.
Biarpun sudah pelbagai jawapan diberikan Fathia bagi menafikan gosip tersebut, isu berkenaan masih disebut-sebut dan seolah-olah ia seperti kelihatan benar-benar bercinta.
Namun, menerusi drama bersiri berjudul Diandra yang kini hangat ditayangkan di TV3 pada setiap Selasa, pukul 9 malam menerusi slot Lestary, mereka sememangnya berlakon sebagai pasangan yang saling bercinta.
Mula ditayangkan pada 20 Ogos lalu, naskhah tersebut menampilkan Fathia sebagai Diandra, seorang gadis lasak yang menjadi pengawal peribadi kepada seorang pelakon terkenal yang berlagak iaitu Adam Fahmi, lakonan Aiman. Mereka akhirnya saling jatuh cinta.
Menjawab persoalan tentang kenapa sukar sangat untuk dia mengaku bercinta dengan Aiman, ujar Fathia: "Saya tak mahu kalau banyak gosip cinta akan menyebabkan saya digelar artis sensasi sedangkan karier (lakonan) tidak ke mana.
"Biarlah buat masa ini, cukup saya katakan bahawa diri ini dan Aiman serasi bersama dan masih dalam peringkat mengenali hati budi."
FATHIA bergambar kenangan bersama beberapa pemuda Uzbekistan lengkap dengan kostum pahlawan negara itu.


Jimmy Choo
Bukan sekadar cakap-cakap kosong, Fathia telah membuat perancangan untuk membuat anjakan bagi menjadi insan seni yang lebih berkaliber.
Misi Fathia itu bakal menghubungkan budaya dan kesenian antara Malaysia dan Republik Uzbekistan.
Pada bulan Oktober ini, Fathia dijadual menjejakkan kaki buat kali kedua di Uzbekistan. Kedatangannya kali ini memikul tanggungjawab yang cukup besar.
"Uzbekistan menganjurkan pelbagai acara berkaitan seni sepanjang bulan Oktober.
"Saya dijadualkan ke sana bermula 22 hingga 27 Oktober bagi menghadiri Festival Filem Antarabangsa Tashkent 2013 dan Pertunjukan Fesyen Style.uz 2013 yang diadakan bersempena Minggu Fesyen Uzbekistan pada tahun ini.
"Jika tiada aral melintang, saya akan menjadi salah seorang penyampai anugerah pada festival filem mega tersebut.
"Pada pertunjukan Style.uz 2013, saya akan muncul sebagai model bagi memperaga busana rekaan pereka fesyen ternama Malaysia, Albert King yang dilengkapi aksesori eksklusif jenama tersohor, Rafflesia.
"Fathia dan Albert umpama wakil delegasi Malaysia pada Style.uz yang pada setiap tahun dihadiri oleh delegasi dari pelbagai negara.
"Antara yang pernah menyertai Style.uz termasuklah jenama-jenama terkenal seperti Hugo Boss dan Versace.
"Selebriti bertaraf dunia yang pernah menghadiri Style.uz termasuklah bintang bola sepak, Cristiano Ronaldo dan bintang legenda, Sting," tutur Fathia.
Tambahnya: "Melengkapkan wakil delegasi Malaysia sebagai tetamu kenamaan Style.uz tahun ini ialah pereka kasut bertaraf dunia, Datuk Jimmy Choo yang sudah mengesahkan kehadirannya."
GULNARA KARIMOVA (tengah) merupakan kunci kepada kemajuan tentang aspek seni dan budaya di Uzbekistan.


Anak presiden
Ditanya bagaimanakah dia meraih peluang keemasan tersebut yang berpotensi melebarkan popularitinya di Uzbekistan, Fathia memberitahu, ia ekoran kunjungan kali pertamanya ke sana pada April lepas.
Kehadiran Fathia ketika itu disambut oleh bukan calang-calang orang tetapi Gulnara Karimova iaitu anak sulung kepada Presiden Uzbekistan, Islam Karimov.
"Pada awal Mei lalu, saya terbang ke Uzbekistan buat kali pertama selama enam hari yang dibawakan oleh pemilik Rafflesia, Sin Cheong Loong dan Winnie Sin.
"Kami menghadiri acara seni yang dikenali sebagai Festival Arslar Sadorsi 2013," ujarnya yang telah dibawa melawat ke beberapa buah bandar di Uzbekistan seperti Samarkand, Tashkent, Bukhara dan Navoi dengan menaiki jet peribadi milik kerajaan negara itu.
Ujar Fathia, dia mengalami pengalaman baharu yang sangat hebat di negara yang kaya dengan nilai budaya tersebut.
"Saya sangat kagum kerana nilai dan tradisi lama di Uzbekistan begitu terpelihara dan dipandang tinggi.
"Malah, ia diangkat menjadi sesuatu yang sangat hebat dan menarik menerusi festival dan seumpamanya sehingga menimbulkan rasa kagum masyarakat luar Uzbekistan," katanya.
Apa yang menarik, kunjungan Fathia ke negara tersebut lebih bermakna apabila dia meraih peluang untuk muncul dalam majalah terkenal Uzbekistan, Bella Terra edisi Julai tahun ini.
"Saya berpeluang menjalani sesi fotografi untuk enam muka surat majalah Bella Terra dengan menggayakan enam kostum moden rekaan Albert King serta perhiasan koleksi eksklusif Rafflesia.
"Walaupun agak meletihkan kerana mula disolek pada pukul 3 pagi, saya berasa puas kerana bukan mudah untuk meraih peluang tersebut," ujar Fathia penuh teruja.

Pertemuan Mira Sofea

Posted: 24 Aug 2013 03:41 PM PDT



CHACHA (kiri), Ryzal dan Sharnaaz bergabung untuk menghidupkan drama bersiri Mira Sofea.


TIGA pelakon ini mempunyai fasa yang berbeza dalam industri seni lakonan. Sharnaaz Ahmad sudah mempunyai tempat yang selesa. Dia dilihat sebagai seorang aktor yang mempunyai cara lakonan yang tersendiri malah konsisten dalam setiap persembahannya. Walaupun pernah dihimpit kisah peribadi, khalayak tetap setia menjadi penonton untuk menyaksikan keterampilannya sebagai aktor yang tidak pernah gagal dalam lakonan.
Pelakon Ryzal Jaafar pula sudah agak lama dalam dunia seni lakon namun, dia sendiri mengaku belum sampai ke satu titik yang membuatkan namanya cukup besar sebagai dramatis mahupun aktor. Mungkin kerana sering diberikan watak baik, bakat Ryzal umpama bagai dipenjara.
Aktres muda, Chacha Maembong juga masih mentah dan baharu dalam seni persembahannya. Namun, kali ini dia mendapat kepercayaan Along Kamaruddin sebagai sutradara untuk membawakan watak utama dalam drama Mira Sofea. Drama itu menggabungkan tiga pelakon ini dalam satu 'pentas' dan akan ke ditayangkan bermula esok pada pukul 5 petang di Astro Prima (Saluran 105).
Kisah cinta, kekeluargaan dan manusia yang hidup dalam perasaan hasad dengki dipamerkan dalam drama yang akan ditayangkan sebanyak 24 episod ini. Selain berbicara mengenai drama di bawah Orangetree Production Sdn. Bhd., ini, ketiga-tiga pelakon itu turut berkongsi pandangan tentang 'demam' drama tempatan yang mendapat sambutan hebat daripada penonton tempatan.
Terangkan tentang watak kalian dalam drama Mira Sofia ini?
SHARNAAZ AHMAD (SA): Saya membawakan watak Ryan yang merupakan anak taukeh ikan bilis berjaya sehingga menyebabkan dia menjadi lelaki yang mementingkan diri. Ryan gemar menghabiskan duit keluarga dan pada masa yang sama, dia gilakan Mira. Dia menggunakan segala taktik dan cara untuk mendapatkan Mira. Dia juga angkuh, suka ambil kesempatan, tidak boleh terima jawapan 'tidak' serta akan menggunakan orang lain untuk mencapai impiannya.
CHACHA MAEMBONG (CM): Saya membawakan watak Mira yang merupakan seorang pelajar kelas masakan di kolej. Dia merupakan seorang yang tegas dan tidak mudah mengalah. Dia rapat dan terlalu sayangkan ibunya. Mira juga digilai Ryan dan akibat menolak pinangan Ryan dia menerima pelbagai masalah dan mendapat nasib buruk sebelum bertemu kebahagiaan. Dia seorang yang tabah.
RYZAL JAAFAR (RJ): Saya membawakan watak Azlan yang pulang bekerja di luar negara. Dia merupakan seorang lelaki yang baik, penyayang, tekun, menghormati orang tua dan kuat pegangan agama.
RYZAL mengajak para peminatnya mengikuti perkembangan seninya melalui laman Instagramnya dengan menggunakan nama Ryzal_Jaafar.


SA: Melihatkan pelakon yang hebat-hebat dan arahan Along, saya dengar dia pantang kalau pelakon tidak ikut skrip yang diberikan. Saya jenis tidak ikut skrip tapi, dia boleh terima cara saya.
CM: Bagi saya, lakonan untuk kali ini paling susah kerana kali pertama membawakan watak utama bersama-sama beberapa pelakon yang hebat. Saya membawakan watak yang berat dan perlu mempamerkan pelbagai emosi seperti sedih, menangis dan lari dari rumah. Walaupun saya sudah lama bermula dalam bidang lakonan, pada hakikatnya, saya masih belajar. Cabaran paling besar ialah adegan pergaduhan dan apa sahaja yang melibatkan Sharnaaz.
RJ: Boleh saya katakan bahawa watak kali ini tidaklah mencabar sangat kerana saya masih membawakan watak baik.
Adakah anda cenderung untuk membawakan baik atau jahat?
SA: Watak jahat bagi saya membosankan. Itu sebabnya saya suntik unsur lawak dalam watak jahat yang saya bawakan kini. Tidaklah tertekan sangat. Tetapi, sebenarnya kalau diberikan watak jahat, biarlah jahat yang ekstrem. Barulah puas untuk saya lakonkan. Saya sebenarnya pernah membawakan watak baik iaitu dalam drama Cinta Mukhlis. Memang feel saya membawakan watak itu kerana jiwa saya tengah kacau.
RJ: Kebanyakannya memang watak baik pun yang saya bawakan. Kalau boleh, memang saya mahukan cabaran lain. Mungkin kerana wajah, saya mendapat lebih banyak watak protagonis. Saya tidak menolak malah menerima dan melakonkannya dengan sebaik mungkin.
Sharnaaz, anda mengatakan tidak terlalu terikat dengan skrip dan akan membuat skrip sendiri. Kenapa?
SA: Bukan sepenuhnya tidak ikut skrip. Tetapi, atas olahan saya. Saya memberikan penambahbaikan ke arah kebaikan dan isi kandungannya masih sama. Semua pengarah filem lakonan saya dapat menerima cara saya bekerja.
DRAMA bersiri Mira Sofea menyaksikan penampilan pertama Chacha sebagai pelakon utama dengan membawakan watak beremosi yang berat.


Cabaran untuk lakonan kali ini?
Bagaimana kalian melihat peningkatan populariti dan penonton dalam industri drama akhir-akhir ini?
SA: Secara jujurnya, saya melihat di Malaysia, industri kita memang mengalami lambakan pelakon baharu baik lelaki mahupun perempuan. Tetapi, kita masih hidup dalam budaya lama iaitu cenderung kepada yang popular sahaja. Yang tidak atau belum mempunyai suntikan glamor dan popular tidak diberi ruang serta peluang. Ramai pelakon baharu yang berbakat besar tidak mendapat peluang. Saya rasa mereka perlu diberi peluang.
RJ: Saya setuju dengan pernyataan tersebut kerana jika kita lihat, sejak akhir-akhir ini drama Melayu tempatan memang mendapat sambutan dengan jumlah penonton yang tinggi. Contohnya, drama lakonan saya, Setia Hujung Nyawa yang berjaya mencapai empat juta penonton. Malah, penonton memberikan respons yang sangat bagus sehingga terbawa-bawa dengan lakonan aktor atau aktres. Mereka akan meluahkan rasa geram, sedih, suka atau simpati sebagai tanda apresiasi mereka terhadap lakonan kita.
Apakah faktor yang membuatkan drama tempatan kini diterima dengan meriah oleh penonton?
SA: Saya melihat faktor ini cenderung kepada peningkatan mutu lakonan malah para pengarah baharu juga sudah maju ke hadapan. Bukan bermaksud saya menyatakan sutradara lama tidak begitu cuma mereka sudah mempunyai ideologi masing-masing. Jalan cerita juga penting. Industri sudah mempunyai persaingan yang sihat yang membuatkan pelakon dan pengarah melakukan yang terbaik untuk hasil yang bagus.
RJ: Pandangan saya, jalan cerita dan pelakon itu sendiri. Stail drama baharu lebih kepada adaptasi novel dan penonton ternyata menggemarinya. Jalan cerita lebih segar dan tidak terlampau berbentuk drama Melayu.
SHARNAAZ mengaku gemar membawakan watak jahat apabila ditambah dengan rencah humor, wataknya yang akan menceriakan penonton.


Bagaimana pula kalian melihat fenomena kecenderungan stesen televisyen memilih wajah dramatis mereka sendiri?
SA: Saya berharap biarlah pemilihan tersebut dibuat berdasarkan kredibiliti. Kalau pelakon lama, kita sudah tahu kebolehan mereka tetapi tidak untuk pelakon baharu. Boleh kalau ingin memilih tetapi tidaklah sepanjang masa. Kasihan dengan pelakon baharu yang namanya ditolak tanpa diberi peluang. Kita sama-sama cari makan dalam industri dan biarlah adil. Dulu, saya berdepan dengan situasi ini tetapi selepas filem dan drama saya keluar, saya diberi kepercayaan oleh pihak stesen televisyen.
RJ: Itu yang berlaku sekarang, pelakon-pelakon memang takut dengan keadaan ini. Yang jadi kegemaran memang akan berasa seronok dan sebaliknya. Saya berasa kasihan dengan situasi ini dan kita memang sudah maklum bahawa stesen televisyen memang mementingkan rating. Itulah sebabnya ada faktor pemilihan wajah-wajah yang sama dalam banyak produk atau naskhah drama. Bagi saya, sepanjang perjalanan saya sebagai pelakon, daripada mula sudah okey dan telah pun mendapat kepercayaan.

Estetika, khazanah seni

Posted: 24 Aug 2013 03:39 PM PDT




MEMBESAR melihat, merasa dan menikmati karya seni dari jiwa yang besar menyatukan Datuk M. Nasir, S. Amin Shahab dan Hasnul Rahmat ke dalam sebuah filem dokumentari muzik berjudul Angin Menderu.
Mereka menyanyi riang dengan penuh harmoni dalam lunak bayu petang berlatarkan sebuah rumah tinggal di Parit Jambi, Johor tidak lama dahulu. Ketiga-tiga mereka bersiul dan berbicara tentang Melayu, akar budaya serta bangsa termasuk menyentuh tentang khazanah yang membawa mereka ke satu fasa yang sungguh indah jika dilukis dengan penuh estetika.
Wacana itu bersambung-sambung dalam tiga nada yang berbeza. Setiap seorang sama ada M. Nasir, Hasnul ataupun S. Amin Shabab, mereka adalah antara pengkarya yang bekerja dari jiwa dan raga untuk sebuah penghasilan yang bermakna jujur. Kepuasan mereka adalah dengan menikmati apa yang terhasil, berkongsi rasa bersama khalayak. Selebihnya, biar karya itu yang bergerak, membesar ataupun statik berdasarkan pemahaman umum.
Tiba masanya, buruk atau baik, setiap karya sama ada filem, drama, lagu, lirik mahupun lukisan, semuanya pasti tersemat kekal menjadi khazanah warisan untuk generasi akan datang.
"Dalam tamadun-tamadun hebat di Eropah, contohnya seni tampak serta hasil kerja tangan, itu yang mempengaruhi kehidupan mereka. Dalam bab seni muzik juga begitu. Seni muzik juga satu pergerakan kepada bangsa mereka. Kita sedang ke arah itu dan sudah tentu, seni yang dihasilkan akan menjadi khazanah. Ada yang tanpa sedar ia akan menjadi khazanah sebab apa sahaja yang dihasilkan, selagi ia dipelihara, bagus atau tidak bagus, itu perdebatan pada kemudian hari," lentur M. Nasir sampai menyifatkan evolusi kesenian muzik tempatan sudah memiliki budaya sendiri.
"Memang muzik kita dipengaruhi muzik luar, kita juga telah pergi jauh daripada muzik rakyat, kita sudah ada filharmonik, tapi walaupun kita dipengaruhi muzik luar kita telah cipta muzik ikut cara tempatan. Muzik sudah jadi bisnes serius, dulu pemuzik bukan pekerja tapi sekarang sudah jadi kerjaya," katanya melihat kebangkitan muzik Malaysia paling agresif sekitar 1980-an dan 1990-an.
Bercakap tentang seni sebagai khazanah, Hasnul melihat kebanyakan kerja seni tidak akan lengkap jika proses terakhir penyimpanan atau kelestarian karya tidak sempurna.
"Ia termasuk juga dengan keprihatinan terhadap warisan khazanah yang hanya disimpan tapi kurang diberi analisis atau penulisan yang mengangkat sesuatu karya dengan sempurna. Di situlah, pentingnya institusi penyimpan arkib, kalau simpan tak dapat melihat tak ada ertinya juga. Kalau dulu banyak filem Melayu klasik yang hilang, ia termasuklah muzik, lukisan dan sebagainya. Masih ada khazanah seni yang hilang walaupun usaha mendokumentasi seni telah dilakukan sejak zaman sebelum ada komputer sehingga sekarang," pelakon yang sedang bergerak sebagai pengarah, Hasnul pula meluahkan pandangan.
BERBEZA portfolio tetapi berkongsi aspirasi yang sama menjadi alasan untuk tiga nama ini terlibat dalam satu produksi.


Kepada pelukis, penulis lirik dan karyawan yang baru selesai penggambaran filem pertama arahannya, Rajawali: Aku Abang Long, S. Amin yang juga seorang pengumpul keris pula secara perlahan memberikan penyataan:
"Kita lebih kepada pemungut khazanah. Macam keris, keris asalnya dari Jawa tapi diterima sebagai hak orang Melayu. Lukisan pula, kita diajar melukis oleh British tak macam di Indonesia yang hidup mereka memang dalam kesenian walaupun dalam soal beragama. Kalau di Malaysia, bila berkarya lebih melangkaui batas pemikiran, kita akan dipanggil menghadap.
"Tapi, seni akan jadi khazanah yang berharga apabila pengkaryanya telah tiada atau ia dinilai sebagai sesuatu yang merakamkan makna. Macam lukisan saya yang diabadikan sebagai kulit empat buah album Kembara. Semua lukisan kulit album Kembara, Perjuangan, Generasiku dan Seniman Jalanan itu dibeli dan dipamerkan di Balai Seni Lukis Negara."
Seni intelektual atau hiburan
Seperti kata M. Nasir, bagus atau tidak bagusnya sesebuah karya, sampai waktunya ia tetap dikira khazanah, persoalan tentang seni intelek dan seni sebagai hiburan akan terbangkit untuk dihuraikan.
Jelas Hasnul, dia secara peribadi merasa terhibur terhadap kedua-dua kategori seni sama ada yang diklasifikasi sebagai bersifat intelek ataupun hiburan. Cantuman kedua-dua seni itu wujud dalam segala aspek pengkaryaan yang bersifat ringan atau berat, panggung berkondisi wayang mahal atau yang berpijat.
"Berat ringan estetika sesebuah karya seni selalunya dinilai berdasarkan tahap ilmiah seseorang," jelas Hasnol.
S. Amin yang selalu tampil bersahaja tetapi mudah dikenali sebagai seniman itu pula menyifatkan seni sememangnya untuk hiburan.
"Seni tetap seni tapi bagaimana interpretasi khalayak itu membezakan ia benar-benar bermakna atau tidak. Seni memang untuk hiburan, lukisan juga salah satu hiburan. Ia terpulang kepada pelukis dan masyarakat yang menilai seni itu. Macam Vincent Van Gogh yang melukis karya bunga matahari. Ketika hayatnya, lukisan itu hanya dihumban di bawah katil tetapi, setelah meninggal, lukisan itu berharga berjuta-juta. Nilai seni juga terletak kepada pengkarya itu sendiri. Bagi saya, lukisan saya adalah cerminan diri dan kembara yang saya lalui" jelas S. Amin yang cenderung menghalakan lukisan ke aliran surealisme namun, masih sedikit penerimaan dalam budaya tempatan.
Dalam konteks yang sama, lelaki yang bergelar sifu muzik pula berkata-kata.
"Apabila hiburan sudah jadi budaya, orang mula rasa untuk berfikir, zaman sudah maju dan tuntutan untuk menikmati seni yang bernilai tinggi mula ada. Seni yang bersifat elit memang kurang mendapat tempat, hal itu berlaku di seluruh dunia kerana karya sederhana atau pop akan mudah diterima ramai. Begitu juga dengan filem tetapi kelompok seni elit yang bercita-cita tinggi akan puas hati dengan kelompok dan karya mereka.
"Saya sendiri boleh menghargai apa sahaja bentuk seni, pengkaryaan ialah ekspresi diri. Apa-apa pun, karya bergantung rasa dan lazimnya rasa sedap itu universal. Kalau seseorang itu dididik dengan muzik klasik tentunya muzik klasik dirasakan, bagi orang lain mungkin tidak. Ia terpulang kepada pencari rasa itu sendiri," terjemah M. Nasir tentang kecenderungan seni secara umum.

SALAH sebuah adegan yang terakam dalam dokumentari Angin Menderu yang melakukan penggambaran di Parit Jambi, Johor karya dan arahan Hasnul Rahmat.


Impian dalam karya
Selagi merah warna darah seni yang masih pekat mengalir dalam tubuh, setiap pengkarya tidak akan mati mencari ilham dan membuahkan karya.
M. Nasir memberitahu, dia ada menyimpan cita-cita untuk menjayakan sebuah konsert kegemilangan 100 tahun lagu-lagu Melayu.
"Sudah lama saya terdetik soal itu. Sedar atau tidak, muzik tempatan telah melahirkan banyak karya hebat. Karya hebat itu tiada pengkelasan tapi haruslah memberikan rakaman rasa dan meninggalkan momen. Kita ada lagu Melayu klasik yang dulunya ia popular. Orang selalu cakap pasal P. Ramlee tapi kita juga miliki Abdullah Chik yang lagu-lagunya telah merakamkan momen zamannya," kata pemilik ribuan lirik dan lagu yang berjaya berjaya membentuk gelombang muzik tempatan itu.
Jika M. Nasir tidak pernah hilang semangat untuk berkonsert, S. Amin pula berhasrat mahu menyempurnakan baki lukisan yang bertajuk Dunia Dalam Satu Kilometer yang dimulakan sejak tahun 2004.
"Melukis perlukan momen, kalau sampai rasa mahu melukis, saya akan melukis lagi. Untuk projek Dunia Satu Kilometer Sekarang masih ada beberapa ratus meter lagi yang belum siap. Saya kena sambung lagi pengembaraan itu," katanya yang pernah merantau sampai ke Afrika Selatan untuk kembara kanvasnya itu.
Tiba giliran Hasnul pula bercerita tentang projek terbaharunya; projek yang sekali gus membuka ruang momen fotografi ini dilestarikan.
Angin Menderu merupakan sebuah filem dokumentari muzik yang merakamkan sejarah muzik secara demografik lagu-lagu Melayu di rantau laut alam Melayu termasuk Sumatera, Riau, Singapura dan Malaysia.
"Dokumentari itu masih dalam suntingan akhir. Konsep muzik yang saya ibaratkan sebagai angin yang merantau itu membuka ruang bukan untuk bernostalgia tetapi untuk mengenali keindahan muzik dan seni kata Melayu supaya dapat dikhazanah, dilestarikan dengan tempat yang baik dalam alam Melayu serantau," beritahu Hasnol mengenai dokumentari terbitan Finas itu.
Selain M. Nasir dan S. Amin, artis lain yang terlibat termasuklah seniwati dan seniman filem Melayu era 40-an dan 50-an seperti Momo Latif, Nona Asiah, Datuk Maria Menado serta R. Ismail. Bercerita melalui irama dan lagu, rakaman santai itu menyelusuri sejarah budaya Melayu itu sendiri melalui muzik.
Mengalir tenang bicara yang diperbincangkan dalam jiwa dan rasa tiga seniman ini sekali igus mempamerkan estetika yang mereka kandung dalam nafas perjuangan seni mereka. Angin seni yang mereka bawakan jujur menderu mengelilingi baitulmal khazanah budaya tempatan.

Norman nyanyi lagu baharu

Posted: 24 Aug 2013 03:38 PM PDT



NORMAN KAMARU



SETELAH cukup lama berehat daripada bidang seni, Norman Kamaru hadir dengan single bertajuk Aku Lelaki Biasa. Single tersebut merupakan curahan hati penyanyi yang popular melalui video dengan mengikut gerak bibir dua penyanyi Hindustan yang menyanyikan Chaiyya Chaiyya di laman YouTube tidak lama dahulu.
"Saya memilih lagu itu kerana ia lebih menceritakan tentang diri saya sendiri," ungkap Norman.
Bekas anggota polis yang berasal dari Gorontalo, Sulawesi itu berkata, lagu baharu tersebut menggabungkan empat genre muzik iaitu pop, dangdut koplo, disko serta dikombinasikan dengan reggae.
"Pilihan lagu ini dilakukan demi memanjakan telinga pendengar," terang Norman.
Di bawah naungan pihak pengurusan Frieta's Planet, jejaka kelahiran 27 November 1985 itu siap melancarkan single baharunya dalam waktu terdekat.
"Kami harus mempromosikan lagu tersebut yang tertunda kerana bulan Ramadan," tambahnya.

Kongsi kisah putus cinta dalam lagu

Posted: 24 Aug 2013 03:37 PM PDT


MARSHA mahu para peminat membuat penilaian sendiri berhubung adegan menghairahkan dalam filem Laga yang akan ditayangkan di pawagam.


MARSHA Milan Londoh tidak pernah merasakan setiap perincian kisah peribadinya sebagai penghalang untuk dia berfikiran optimis.
Sedar dunia artis menuntut banyak sisi kesabaran, Marsha bagaikan sudah kalis dikecam atau dikritik.
"Saya sedar sensitiviti umum. Apabila ada yang dirasakan tidak kena pasti perkara itu diperkatakan. Sebagai pelakon, saya kena terima pandangan umum dengan rasional," katanya menyentuh isu adegan ranjang bersama pelakon berkaliber, Wan Hanafi Su dalam filem Laga yang hangat dibualkan baru-baru ini.
Isu itu timbul apabila syarikat penerbit iaitu Business Leader Film Production (M) Sdn. Bhd. melalui treler Laga, menampilkan Marsha dalam keadaan yang mengghairahkan dengan hanya berkemban.
Filem yang menjalani pengambaran sekitar Taiping, Perak itu menampilkan Marsha sebagai pelakon utama dan turut disertai oleh Nasir Bilal Khan, Eman Manan dan beberapa nama besar yang lain.
Membiarkan isu itu reda sementelah filem berkisar laga ayam itu masih belum ditetapkan tarikh tayangan, selebriti dari Sabah itu yakin pihak pengarah dan penerbit mempunyai alasan tertentu untuk memasukkan adegan asmara ke dalam filem berkenaan.
"Lama-lama isu itu akan reda sendiri, tunggu filem keluar barulah penilaian sebenar boleh dibuat. Sekarang fokus saya kepada single terbaharu, Jujur Bilang Cinta yang sudah lancarkan. Saya mahu dilihat sebagai penyanyi yang serius walaupun banyak terlibat dengan produksi drama dan filem. Menyanyi tetap keutamaan dalam karier seni saya," katanya yang bakal masuk studio untuk rakaman Propaganza dan drama bersama Michael Ang, Ku Kejar Bintang dalam masa terdekat.

Pencarian model antarabangsa The Face

Posted: 24 Aug 2013 03:36 PM PDT



TIGA teraju utama The Face memberikan penerangan kepada 12 peserta terpilih.



BERBEKALKAN tiga ikon dunia fesyen, Naomi Campbell, Karolina Kurkova dan Coco Rocha yang bertindak sebagai mentor, The Face bakal menjadi program pencarian model hebat antarabangsa setanding America's Next Top Model.
Dalam The Face, tiga model antarabangsa itu akan membentuk sebuah pasukan umpama sebuah agensi peragawati sendiri. Mereka akan membuat uji bakat memilih seramai 12 calon model. Kesemua calon kemudiannya akan bersaing antara satu sama lain untuk muncul sebagai The Face.
Bakal ke udara dalam episod gala pada siaran pembukaan di saluran DIVA Universal (saluran 702) pada pukul 8 malam esok, musim pertama The Face akan disiarkan pada setiap Isnin bermula 26 Ogos. Pada setiap minggu, para peserta akan diuji dengan cabaran-cabaran seperti ujian fotografi secara solo mahupun berkumpulan ke arah mempersiapkan mereka sebagai duta atau wajah sesebuah jenama komersial.
Dihoskan oleh jurukamera fesyen terkemuka, Nigel Barker yang selama ini cukup mesra dalam kalangan penonton sebagai juri America's Next Top Model, para peserta The Face terdiri daripada pelbagai latar belakang serta negara seperti dari China, Kanada, Amerika Syarikat dan Australia. Tidak hanya wanita solo daripada kalangan pelajar, bekas pemenang pertandingan ratu cantik atau model komersial, malah wanita yang sudah bergelar ibu juga layak bergelar calon The Face.

TUNJANG The Face (dari kiri) Nigel Barker, Karolina Kurkova, Naomi Campbell dan Coco Rocha.


Seperti lazimnya, program realiti tidak dapat lari daripada drama, emosi, air mata serta perselisihan pendapat.
Tekanan menggunung dan semuanya tentang kasut tumit tinggi, kecantikan dan penataan gaya turut termuat dalam program itu.
Permainan Naomi Campbell, keterbukaan Karolina Kurkova dan gaya elegan Coco Rocha akan memberi banyak inspirasi kepada para peserta dan penonton The Face.
Tidak seperti America's Next Top Model, para calon model dalam The Face mempunyai peluang dan ruang yang intim untuk berkomunikasi dan belajar strategi dan sisi terbaik bersama mentor mereka untuk kelihatan mempesona dalam setiap bidikkan lensa kamera.
Pengalaman dan debaran The Face tidak hanya boleh dirasai oleh para peserta yang terlibat.
Penonton di rumah juga berpeluang untuk bersaing merebut hadiah utama bernilai lebih RM3,000 serta 16 hadiah mingguan sebaik sahaja The Face mula disiarkan.

OKU anak Tumpat ke Jepun

Posted: 24 Aug 2013 03:28 PM PDT




SEORANG lelaki orang kurang upaya (OKU) tampak ralit membuat ukiran bermotifkan flora di atas sebuah bingkai kayu cengal.
Jari-jemarinya tangkas mencapai pisau ukir bagi membentuk lubang dan lekuk agar ukiran itu kelihatan timbul.
Sambil mengetuk-ngetuk dengan menggunakan tukul khas, lelaki bernama Mazri Mohammad itu turut membayangkan hasil yang bakal disiapkannya kelak iaitu sebuah bingkai cermin.
Sebenarnya tukul tersebut sudah sekian lama digunakan oleh lelaki yang mesra disapa Mat itu.
Ketika mencongak usia penglibatannya dalam bidang ukiran kayu sejak berusia 17 tahun, Mat berasa kagum kerana peralatan tukul dan pisau itu masih berbakti kepadanya sehingga sekarang.
Mat kini sudah berusia 42 tahun.
"Ia (peralatan itu) masih setia membantu menyara kehidupan saya. Kebanyakannya merupakan koleksi yang saya miliki ketika mula-mula mengikuti pembelajaran di sebuah bengkel khas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Jalan Bayam (Kota Bharu, Kelantan) sejak tahun 1988," katanya sambil mengeluarkan beberapa alat pengukir daripada sebuah kotak khas.
Mat terpaksa bertongkat untuk bergerak kerana kaki kirinya lumpuh. Dia yang menjalani kehidupan normal sehingga berusia enam tahun mendapat masalah itu setelah menghidap demam panas yang teruk semasa kecil.
Kesan akibat demam itu menyebabkan pertuturan Mat juga terganggu apabila suaranya kedengaran seperti sengau dan sukar untuk difahami maksud yang hendak disampaikannya.
Enggan mengalah dengan kekurangan diri, Mat sebaliknya membuktikan bahawa golongan sepertinya juga mampu menonjolkan kebolehan yang dimiliki mereka. Hasil daripada pengetahuan yang ditimba ketika menjalani latihan pada suatu ketika dahulu, Mat menyara keluarganya dengan membuat ukiran kayu.
KERUSI yang dipenuhi dengan ukiran untuk sebuah masjid di Kelantan ini mampu disiapkan oleh Mat dalam tempoh sebulan.


Kereta manual
Mat seorang OKU kental. Dia bukan sahaja menggunakan kudrat tangan untuk berkarya, bahkan menggunakan segenap anggotanya yang normal untuk terus bekerja.
Biarpun memerlukan tongkat untuk bergerak, Mat tetap mampu mengendalikan mesin pemotong kayu secara bersendirian. Bahkan, Mat juga boleh membuat perabot dan membina rumah.
"Ukiran kayu merupakan sebahagian daripada minat saya. Hasil daripada pengetahuan yang ada, saya menerima tempahan untuk membuat perabot, biarpun terdapat kekangan peralatan mesin memproses.
"Saya juga menerima tempahan membuat set kabinet dapur dan boleh memasangnya. Ramai yang menjangkakan bahawa saya tidak boleh melakukannya apatah lagi sebelah tangan saya perlu memegang tongkat manakala sebelah kaki lagi tidak berfungsi. Tetapi, saya membuktikannya dengan hasil kerja saya," katanya dengan jujur.
Mat memberitahu, dia kini mula menjinakkan diri di dalam dunia pembinaan apabila para pelanggannya memberi kepercayaan kepadanya untuk melakukan kerja-kerja membina rumah.
"Saya tidak pernah mendapat pendidikan formal dalam bidang pembinaan. Namun, mempelajarinya (kerja-kerja membina rumah) menerusi pengalaman dan pemerhatian saya sebelum ini.
"Mungkin ramai yang sukar membayangkan bagaimana saya boleh memunggah bongkah simen atau memasang siling rumah. Namun, saya memang benar-benar boleh melakukannya," ujar Mat bersungguh-sungguh ketika ditemui Jurnal di Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini.
Mat telah berkahwin dengan Munira Mat Yusoff pada tahun 1999. Dia yang sudah 14 tahun mendirikan rumah tangga dikurniakan empat orang cahaya mata.
Bagi memastikan anak-anaknya membesar seperti keluarga lain, Mat berusaha memperlengkapkan mereka dengan pelbagai kemudahan.
Selain memiliki motosikal sendiri, Mat juga boleh memandu kereta seperti orang biasa. Biarpun kenderaan transmisi automatik lebih sesuai buat dirinya, Mat lebih selesa memandu kereta dengan gear manual.
Kereta Proton Wira terpakai yang dibelinya beberapa tahun lalu diubah suai agar disesuaikan dengan dirinya yang hanya memiliki kaki normal di sebelah kanan.
"Tiada masalah untuk memandu kereta bertransmisi automatik. Namun, menggunakan kereta manual lebih menjimatkan minyak. Saya melakukan pengubahsuaian pada bahagian pedal klac supaya dapat digunakan dengan menggunakan tangan," katanya yang memiliki lesen memandu sejak 20 tahun lalu.

UKIRAN bermotifkan daun sirih merupakan sebahagian daripada hasil seni ukiran tangan Mat.


Pingat perak di Jepun
Mat yang merupakan anak kelahiran Kampung Masjid, Tumpat, Kelantan itu bukan sahaja pernah menyumbang bakat ukirannya di dalam negara sahaja, bahkan dia mempamerkan bakatnya itu ke peringkat antarabangsa.
"Sehingga kini, banyak lokasi yang pernah saya kunjungi di seluruh dunia bagi mempamerkan produk dan melakukan demonstrasi ukiran tradisi Melayu ke seluruh dunia. Tapi, yang paling diingatinya adalah ketika berkunjung ke Jepun dalam kejohanan Abilympics Antarabangsa pada 2007.
"Saya memperoleh pingat perak. Pastinya, saya rasa bangga kerana dapat membawa nama Malaysia di pentas kejayaan biarpun saya hanya insan OKU," ujar Mat yang pernah menyertai pertandingan yang sama di India dan Korea Selatan pada tahun 2003 dan 2011.
Khidmat insan kerdil itu begitu besar dalam bidang pendidikan apabila pengetahuan dan pengalamannya dikongsi dengan pelajar-pelajar di institusi pengajian tinggi dalam bidang berkaitan.
"Apabila ada jemputan, saya akan mengajar penuntut yang mengikuti kursus ukiran kayu di ILP (Institut Latihan Perindustrian) di Bachok (Kelantan) selain dijemput melakukan demonstrasi di Lembaga Perkayuan di Jalan Bayam (Kota Bharu)," kata anak keempat daripada lapan beradik itu.
Menceritakan pengalaman paling manisnya, menurut Mat, dia pernah diberi kepercayaan untuk membuat ukiran kayu di sebuah rumah banglo di Bukit Marak, Bachok, Kelantan.
"Masa selama enam bulan diperlukan untuk menyiapkan ukiran termasuklah pada tiang, tangga, pintu dan tingkap.
"Saya difahamkan oleh pemiliknya bahawa banglo itu disiapkan pada tahun 1997 setelah sebelas tahun ia dibina. Ia bagaikan sebuah mahligai yang indah," ujar Mat.
Biarpun enggan bersuara merayu simpati, jauh di sudut hati Mat untuk melihat golongan sepertinya dibantu terutamanya OKU yang tidak tahu hala tuju mereka.
"Sebenarnya, kita yang harus membantu diri sendiri, tidak kiralah sesukar mana pun hidup kerana kehidupan adalah amanah Allah. Jika ada kekurangan diri, kita kena kreatif untuk mencari kelebihannya.
"Tidak perlulah merayu untuk mendapat pertolongan tanpa berusaha. Namun, pihak berkaitan juga harus membuka mata dengan menyediakan pelbagai inisiatif bagi membantu golongan seperti saya," ujar Mat.

Lipas, anai-anai lali racun

Posted: 24 Aug 2013 03:27 PM PDT


SERANGAN anai-anai jika tidak dikawal boleh menyebabkan pintu dan perabot mengalami kerosakan yang teruk.


MENGGUNAKAN motosikaljenis Modenas dan kereta Proton Iswara, Shahril Abdul Rahman dengan sabar menunaikan tugasan sehariannya.
Cuma, pekerjaannya agak pelik iaitu pemburu serangga dan haiwan perosak seperti semut, lipas, anai-anai, tikus dan tupai untuk dimusnahkan.
Sebenarnya, sebelum ini, pemuda berusia lewat 30-an itu telah menceburi pelbagai bidang pekerjaan.
"Saya pernah belajar dalam bidang kejuruteraan di Jepun sebelum kembali bekerja di sebuah kilang di Shah Alam, Selangor. Malangnya, ekoran kegawatan ekonomi pada tahun 1998, kilang itu ditutup," katanya.
Sejak itu, jelas Shahril, dia pernah menjadi pemandu teksi, penebar roti canai dan jurukamera.
Namun, pengalamannya bekerja di sebuah syarikat kawalan serangga di Kuala Lumpur telah membuatkan dia bertekad untuk menceburi perniagaan tersebut.
"Saya teruja melihat kejayaan bekas majikan saya. Hanya bermula dengan sebuah motosikal sebelum dia memiliki sebuah van. Perniagaannya itu kemudian berkembang ke seluruh negara," ujarnya.
Shahril telah mengusahakan perniagaan kawalan serangga, Bug Ezz Pest Control sejak tahun 1999.
"Bugg itu ibarat serangan lebah manakala ezz itu sakit. Senang cerita, banyak nama yang saya pilih tetapi ia telah digunakan oleh syarikat lain," terang Shahril.
Lelaki yang agak pendiam ini secara tiba-tiba teruja bercerita mengenai serangga kepada kru Jurnal.
Cerita Shahril, semut api boleh mengakibatkan perabot berasaskan kayu mengalami kerosakan kerana serangga itu menjadikannya sebagai tempat kediamannya.
"Semut api mempunyai gigi yang tajam dan kayu ibarat makanan yang mudah dikunyah.
"Semut boleh menyebabkan keracunan makanan sekiranya makanan dan minuman tidak ditutup dengan sempurna," katanya.
Lipas pula lebih tertarik kepada persekitaran yang panas dan lembap.
Dalam pada itu, seorang juruteknik Servis Bug Ezz, Suhaimi Nappiah, turut menceritakan pengetahuannya tentang serangga perosak.
Dia berkata, lipas tertarik dengan kulit bawang.
"Ia adalah kerana kulit bawang sesuai untuk serangga itu untuk membiak kerana faktor haba serta kelembapan," katanya.
RACUN serangga perlu dikendalikan dengan teliti serta sempurna.


Penyembur racun
Suhaimi turut berkongsi cara-cara untuk membunuh lipas dan anai-anai.
"Jangan menggunakan penyembur racun serangga yang sama.
"Ia akan menyebabkan serangga itu lali terhadap racun itu," katanya.
Jelasnya, kedua-dua serangga itu akan membiak lebih cepat.
Suhaimi berpendapat, sebanyak 45 peratus kediaman, lot perniagaan, restoran termasuk hotel terutamanya di bandar-bandar besar memerlukan pemeriksaan kawalan serangga.
Tambahnya, keadaan persekitaran bangunan tersebut selain faktor bawaan dan semula jadi menyebabkan kawalan serangan itu perlu dilakukan.
Ratu
"Kebanyakan jiran rumah teres ketika kami melakukan perkhidmatan untuk membunuh tikus, lipas dan anai-anai, turut menghadapi masalah yang sama. Ia ibarat seperti penyakit berjangkit.
"Malah, ada jiran yang tinggal sejauh 100 meter dari rumah yang mengalami masalah serangga perosak turut menghadapi masalah yang sama," ujarnya.
Seorang lagi juruteknik Servis Bug Ezz, Shahrul Hisham Abdul Rahman berkata, pengalamannya yang tidak hampir dilupakan adalah apabila dia hampir terkena kipas siling.
Menurutnya, kipas tersebut jatuh kerana serangan anai-anai .
"Kejadian itu berlaku di sebuah rumah pelanggan di Shah Alam dua tahun yang lepas.
"Sebenarnya, anai-anai seperti musuh yang kita tidak nampak kerana serangga itu merosakkan kayu di bahagian dalamannya.
"Binaan kayu itu sudah pun rosak dan musnah. Mujurlah kipas meja itu tidak kena pada tubuh saya jika tidak lain ceritanya," katanya sambil tersenyum.
LIPAS dan tikus boleh menyebabkan keracunan makanan.


Tambahnya, terdapat juga kabinet dapur rumah pelanggannya musnah akibat serangan anai-anai.
"Lebih tragis, ada pelanggan yang terpaksa menjual rumah mereka atau menyewa di rumah lain kerana hampir keseluruhan rumah mereka terjejas teruk kerana anai-anai tanpa mereka sedari.
"Malah, mereka menjualnya dengan harga yang lebih murah berbanding harga pasaran," katanya.
Terangnya, ratu anai-anai didakwa mempunyai khasiat seks kepada kaum Adam kerana kandungan proteinnya yang tinggi.
"Tapi, setakat ini saya tidak pernah menjumpainya jika tidak, mungkin anak saya ramai,' kata Shahrul Hisham bergurau.
Dia turut berkongsi kisah lucu tentang pintu bilik utama pasangan suami isteri yang terpaksa di buang kerana serangan anai-anai.
"Pintu bilik mereka tidak digantikan selama dua bulan untuk kami periksa sekiranya terdapat koloni anai-anai lain berhampiran dengannya," kata lelaki itu.
Dia juga pernah digoda oleh seorang janda untuk memeriksa serangan lipas dan tikus yang berlaku di rumahnya di Serdang, Selangor.
"Wanita itu pada mulanya berpakaian sopan termasuk bertudung. Pada pemeriksaan kali kedua, dia meminta saya datang pada waktu malam. Pada malam itu, dia berpakaian seksi termasuk bersolek.
"Malah, dia memanggil saya dengan panggilan abang. Nasib baik saya ingat isteri dan anak menyebabkan saya tidak pergi ke rumah itu lagi," katanya sambil ketawa.
Terang Shahrul Hisham, keistimewaan Bug Ezz memberi perkhidmatan pemeriksaan percuma untuk setiap premis di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
"Selain itu, kami turut menawarkan proses pembayaran ansuran sebanyak tiga kali," katanya.

Nuraizah mahu tulis buku

Posted: 24 Aug 2013 03:26 PM PDT


NURAIZAH mengamalkan perbincangan secara terbuka bersama kakitangannya dan menganggap mereka seperti keluarganya.


PELUANG bertemu dengan Pengarah Urusan Madcat World Sdn. Bhd., Nuraizah Shamsul Baharin, 42, sememangnya dinanti-nantikan kerana beliau boleh menjadi sumber inspirasi kepada wanita untuk berjaya dalam kehidupan.
Hanya berpakaian santai, siapa sangka wanita ini pernah menjadi lima calon teratas di dalam kategori perniagaan bagi menggondol Anugerah Bella yang julung-julung kali dianjurkan ntv7.
"Saya sememangnya mempunyai minat yang mendalam di dalam bidang perniagaan. Namun, sebelum memiliki perniagaan sendiri, saya terlebih dahulu mendapat pengalaman dengan bekerja sebagai jurutera di sebuah kilang elektronik.
"Saya mempunyai sekumpulan rakan ketika bekerja di kilang itu yang mempunyai azam untuk memiliki perniagaan sendiri apabila kami menginjak usia 30 tahun.
"Alhamdulillah, saya berjaya mencapai sasaran itu pada umur 32 tahun dengan menguruskan perniagaan perisian telefon bimbit pintar dan empat daripada enam orang rakan saya juga sudah berjaya merealisasikan impian mereka," ujar graduan dari Universiti Michigan, Amerika Syarikat ini.
Tambahnya, melibatkan diri di dalam bidang perisian telefon bimbit pintar sememangnya menjanjikan cabaran apatah lagi produk yang diketengahkan itu pula berunsurkan islamik. Menurut Nuraizah, sebanyak tiga produk utama diperkenalkannya.
Produk itu ialah Beam, Nur Muslim dan Madcat.
"Produk Beam lebih kepada bentuk perniagaan seperti terjemahan laman web untuk mencari kerja," jelasnya.
Menurut wanita itu, produk Nur Muslim membolehkan surah-surah dan doa-doa harian dimuat turun menerusi telefon pintar.
"Setakat ini, kami merupakan pembekal terbesar di Malaysia dan trend memuat turun aplikasi seperti itu tidak terhad pada bulan Ramadan sahaja. Malah, jumlah muat turun meningkat pada setiap tahun," katanya.
Produk islamik
Nuraizah berkata, produk Madcat pula merupakan aplikasi pelancongan yang juga mencatatkan jumlah muat turun yang paling tinggi setakat ini.
"Saya berazam untuk mewujudkan produk yang berguna kepada masyarakat berdasarkan isi kandungannya. Cabang perniagaan ini dipilih kerana ia tiada sempadan, bergerak pantas dan teknologinya sentiasa berubah.
"Justeru, saya perlu memastikan aplikasi yang dibangunkan seiring dengan teknologi pada masa kini.
"Selain itu, para pengguna juga tidak kisah tentang latar belakang syarikat yang mencipta aplikasi itu. Bagi mereka (para penguna), apa yang penting adalah sama ada aplikasi itu bagus atau tidak," jelasnya.
Dia memberitahu, tempoh masa selama satu hingga dua bulan diperlukan untuk membangunkan setiap aplikasi.
Nuraizah memberitahu, ada kalanya dia mengalami kesukaran untuk memperkenalkan aplikasinya ketika berurusan di peringkat antarabangsa.
"Saya pernah berdepan kesukaran ketika mewakili Malaysia pada Anugerah Utama Mobile 2010 di Barcelona, Sepanyol sehinggakan saya terpaksa menukar nama aplikasi yang diketengahkan ketika itu.

APLIKASI pelancongan yang diperkenalkannya mencatat jumlah muat turun yang memberangsangkan.


"Jika tidak, mereka (pihak penganjur) tidak mahu menerbitkan sebarang artikel mengenai perisian kami hanya kerana namanya yang berunsur keislaman iaitu Diary Muslim. Justeru, kami menukarnya menjadi My Diary," kata anak sulung kepada tiga adik-beradik ini.
Wanita itu juga pernah memenangi beberapa anugerah termasuk pada Pameran Reka Cipta Inovasi dan Teknologi Antarabangsa 2010, Anugerah Inovasi dan Reka Cipta ke-9 pada tahun 2010. Dia juga pemenang pertandingan Isi Kandungan Telefon Bimbit Interaktif MSC 2007 selain Anugerah Perikatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi Asia Pasifik pada tahun 2007.
Jelas Nuraizah, dia mula menumpukan terhadap kandungan produk berunsur keislaman pada tahun 2008 selepas melakukan penyelidikan dan pembangunan.
"Tidak sangka pula permintaan terhadap kandungan produk islamik berterusan sepanjang tahun kerana pada kebiasaannya, produk itu hanya akan laku pada bulan Ramadan sahaja.
"Melihat permintaan yang memberangsangkan itu, ia menjadi penyebab kepada kami mengekalkan kandungan berunsur islamik kerana ia sememangnya boleh diketengahkan," ujarnya yang juga merupakan Presiden Persatuan Rangkaian Usahawan Wanita Bumiputera Malaysia (WENA).
Ketika ditanya tentang keputusan paling mencabar di dalam kehidupannya, Nuraizah memberitahu, tindakan menubuhkan sebuah syarikat yang hanya mempunyai lapan orang kakitangan ketika itu merupakan cabaran terbesar yang pernah dibuatnya.
"Buat permulaan, agak mencabar juga kerana tanggungjawab yang dipikul sangat besar dan ia bukan untuk diri saya sahaja tetapi saya juga perlu memikirkan periuk nasi orang lain.
"Namun, saya percaya rezeki itu datang daripada Allah SWT dan kita perlu berusaha untuk mencapainya," tambah wanita tersebut yang mempunyai pengalaman selama 17 tahun di dalam bidang perniagaan.
Nuraizah berkata, dia sangat gembira dengan pencapaiannya sekarang kerana kini dia sudah menjalani kehidupan yang seimbang selain dapat menabur bakti kepada masyarakat melalui penglibatannya di dalam WENA.
"Saya berkongsi pengalaman di dalam bidang perniagaan dengan menabur bakti melalui WENA yang memfokuskan kepada lima jenis cabang perniagaan iaitu perkhidmatan, pendidikan, teknologi maklumat, makanan, minuman, kecantikan dan kesihatan.
"Setakat ini, kami sudah mempunyai 300 orang ahli di sekitar Lembah Klang dan setiap dua minggu sekali, kami menganjurkan sesi ceramah bagi membantu usahawan-usahawan wanita," ceritanya sambil memberitahu syarikatnya sudah mencapai status Koridor Raya Multimedia Malaysia (MSC).

NURAIZAH menganggap setiap individu perlu mempunyai misi yang ingin dicapai di dalam hidup mereka.


Tulis buku
Mengulas lanjut, Nuraizah memberitahu, pada permulaan menubuhkan syarikatnya itu, dia amat kuat bekerja sehinggakan susah untuk meninggalkan pejabat dan tidak pernah bercuti.
"Namun, selepas melihat satu kemalangan maut di depan mata, ia memberikan persepsi yang berbeza kepada saya kerana sejurus selepas itu, saya terus pergi bercuti untuk merehatkan minda.
"Saya juga tidak gemar menonton televisyen atau melayari internet ketika waktu cuti atau masa lapang. Malah, di rumah juga, saya tidak mempunyai talian internet.
"Sebaliknya, saya akan meluangkan masa untuk membaca buku motivasi dan perniagaan yang lebih merangsang minda. Ekoran itu, saya tidak mahu membawa kerja ke rumah," ujarnya yang pernah bekerja selama 20 jam sehari untuk berada pada kedudukan sekarang.
Jelasnya, dia menjadikan aktiviti membeli-belah dan mengunjungi gimnasium sebagai salah satu usaha untuk melepaskan tekanan selepas penat bekerja.
Mengenai cita-cita yang masih belum dicapai, Nuraizah berkata, dia sememangnya menyimpan impian untuk menulis sebuah buku berkaitan perniagaan.
"Saya sudah mula mencari bahan untuk buku yang bakal diterbitkan itu sejak tahun 2012. Tapi, disebabkan sibuk menguruskan perniagaan, tergendalalah juga perancangan untuk menerbitkan buku itu.
"Namun, saya tetap akan cuba menyiapkan buku tersebut untuk diterbitkan pada penghujung tahun ini bagi memberi inspirasi kepada wanita," tambahnya sambil memberitahu ibunya, Rohani Abdul Rahman, 63, merupakan individu yang banyak mempengaruhinya dalam membuat keputusan.

Impian kanak-kanak istimewa

Posted: 24 Aug 2013 03:25 PM PDT


HASRAT Sirajuddin yang ingin menaiki kereta Ferrari telah terlaksana pada 4 Ogos lepas.


IMPIAN seorang kanak-kanak berusia 11 tahun, Muhammad Sirajuddin Mohd. Zaini untuk menaiki sebuah kereta Ferrari sport yang berharga jutaan ringgit akhirnya terlaksana baru-baru ini sebelum dia meninggal dunia.
Sirajuddin meninggal dunia selepas dia menghidap penyakit barah tulang sejak tahun lepas. Kanak-kanak istimewa ini telah meninggal dunia kerana sesak nafas selepas dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
Sebelum meninggal dunia, dia pernah menyatakan hasratnya kepada Persatuan Impian Kanak-Kanak Malaysia untuk menaiki kereta sport itu.
Hasrat itu akhirnya dijadikan kenyataan oleh pengasas Kumpulan Empire, Datuk Sean Y. T Ng yang membawa Sirajuddin bersiar-siar dengan kereta buatan Itali itu pada 4 Ogos lepas di Subang Jaya, Selangor.
Namun, tidak ramai yang mengetahui mengenai persatuan yang telah membantu menjadikan impian Sirajuddin menjadi kenyataan. Antara individu pencetus persatuan itu ialah Teoh Teik Hong.
Hong memberitahu, persatuan itu ditubuhkan pada Mei 2008.
"Objektif utama persatuan ini adalah untuk menunaikan impian kanak-kanak yang menghidap penyakit kritikal seperti kanser, leukimia dan penyakit otak.
"Majoriti pemohon yang hasrat mereka ditunaikan adalah yang tidak dapat hidup lama.
"Harapan kami apabila impian tertunai, pesakit dan keluarga mereka akan gembira," ujar lelaki berusia 43 tahun ini.
Jelas Hong, kriteria pemilihan kanak-kanak dibuat oleh ahli persatuan itu yang juga terdiri daripada doktor-doktor hospital kerajaan dan swasta.
Umur pemohon pula seawal dua bulan hingga 18 tahun.
NURAZARINA (tengah) akhirnya mendapat komputer riba.


Pada awal bulan ini, seorang kanak-kanak lelaki, Chin Zhe Wei yang berusia 15 tahun menerima komputer riba idamannya di Johor Bahru.
Zhe Wei menghidap penyakit berkaitan kelemahan otot yang menyebabkan beratnya hanya 24 kilogram.
Seorang pesakit leukimia, Nurazarina Mohammad Zamri, 9, turut menerima komputer riba daripada persatuan itu di rumahnya di Pendang, Kedah pada awal tahun ini.
Hong turut ditanya mengapa impian lelaki dewasa tidak ditunaikan.
Semua kaum
"Mereka boleh menunaikan impian mereka sendiri sekiranya telah bekerja. Sebagai contoh, jika lelaki dewasa umurnya sudah menjangkau 70 tahun dan impiannya untuk memiliki isteri berusia 20 tahun, mungkin jenuh untuk dilaksanakan," cerita Hong sambil ketawa.
Tambah lelaki yang gemar tersenyum ini, setakat ini persatuan itu telah menunaikan impian 300 kanak-kanak dalam tempoh lima tahun.
Katanya, 80 peratus impian yang ditunaikan itu terdiri daripada kanak-kanak kaum Melayu.
"Tetapi, kami tidak mengira kaum sebenarnya.
"Perbelanjaan yang telah dikeluarkan adalah lebih RM1.5 juta dengan 50 peratus dikutip melalui jualan amal selain bantuan daripada syarikat-syarikat korporat," katanya.
Jelasnya, lokasi kanak-kanak yang dibantu bukan sekadar di Kuala Lumpur tetapi di seluruh negara.

HASRAT Wei untuk memiliki komputer riba ditunaikan Persatuan Impian Kanak-Kanak Malaysia.


Ajal
Hong menjelaskan, ada juga impian kanak-kanak yang tidak dapat ditunaikan.
"Sebagai contoh ada yang ingin menunaikan umrah dan haji tetapi kerana penyakit dan kekurangan fizikal kami memberikan opsyen kedua.
"Kebanyakan kanak-kanak meminta gajet canggih, melawat ke taman permainan atau bertemu dengan pasukan bola sepak kegemaran mereka," jelas Hong.
Jelasnya, ada permintaan yang perlu ditunaikan dalam tempoh masa yang singkat iaitu kurang 24 jam.
Ia adalah disebabkan tahap keseriusan penyakit yang dialami kanak-kanak terlibat.
"Malah, ada kes hasrat mereka tidak tertunai kerana telah meninggal dunia. Namun, keperluan atau impian mereka disalurkan kepada keluarga," katanya.
Hong menyatakan, ada masnya, dia memerlukan penggunaan sampan, meredah hutan dan menaiki kenderaan pacuan empat roda untuk menunaikan hasrat kanak-kanak.
"Kebanyakan kes seperti ini berlaku di Sabah dan Sarawak.
"Bagaimanapun, kesukaran itu ibarat kata pepatah alah bisa tegal biasa berbanding kesakitan yang mereka alami," katanya sambil berfalsafah.

Adflin Shauki & Harun Salim Bachik Jual Kek Coklat

Posted: 24 Aug 2013 02:19 AM PDT

Harun Salim Bachik (kiri) dan Afdlin menunjukkan kek coklat yang dijual mereka.
KUALA LUMPUR: Kumpulan Boboi yang dianggotai oleh Afdlin Shauki dan Harun Salim Bachik tidak melihat kerjasama artis dengan mana-mana syarikat bagi mempromosikan sesuatu produk hanya menguntungkan sebelah pihak sahaja.
Afdlin berkata, jika kerjasama yang dilakukan mengikut prosedur dan berasaskan konsep menang-menang, ia sebenarnya dapat memberi pulangan sama rata kepada kedua-dua belah pihak.
"Jika seseorang artis tahu mengenai pengaruh mereka dalam masyarakat dan menjadikannya sebagai satu perniagaan ia dapat memberikan kelebihan.
"Tidak akan timbul sebelah pihak mempergunakan populariti mereka sekiranya ia dilakukan dengan betul," katanya pada sidang media pelancaran Boboi Extra Moist Chocolate Cake di Hotel Grand Continental di sini, Jumaat.
Dalam pada itu, Afdlin berkata, pihaknya mengambil keputusan untuk bekerjasama dengan syarikat Extra Delicious Sdn Bhd untuk menjual kek coklat tersebut kerana ingin memperkukuhkan jenama kumpulan itu.
Afdlin berkata, kerjasama itu juga dibuat atas dasar untuk melihat usahawan Melayu yang mempunyai produk berkualiti memperluaskan promosi dengan menggunakan populariti artis.
Kedua-dua artis ini popular sebagai kumpulan Boboi dalam Maharaja Lawak Mega.
"Pertama sekali kek yang dihasilkan sangat berkualiti tinggi dan mempunyai potensi tinggi untuk menjadi kesukaan masyarakat tetapi mereka tidak mempunyai kepakaran untuk memperluaskan perniagaan tersebut.
"Di sini saya melihat ia sebagai situasi menang-menang antara kedua-dua belah pihak menerusi kerjasama ini di mana produk itu dapat diperluaskan dan menguatkan lagi jenama Boboi di kalangan peminat," ujarnya.
Malah dia juga berbesar hati jika terdapat ramai lagi artis melakukan kolaborasi dengan usahawan terutamanya Melayu yang mempunyai produk bagus dan berpotensi untuk dimajukan menggunakan populariti mereka sebagai artis.
Dalam perkembangan sama, Afdlin berkata, mereka memilih produk berasaskan makanan sebagai rangkaian jenama terbaharu Boboi kerana melihat ia berpotensi untuk mendapat tempat di kalangan penggemar kek coklat di negara ini.
Malah mereka juga tidak menolak akan memperluaskan lagi jenama Boboi dengan mengeluarkan lebih banyak produk pada masa hadapan.
"Setakat ini kami telah mengeluarkan beberapa produk seperti komik, baju, topi dan kek dan kami berhasrat mengeluarkan lebih banyak produk pada masa hadapan," katanya.
Boboi Extra Moist Chocolate Cake dijual pada harga RM6.90 dan untuk maklumat lanjut boleh melayari www.emcc.my atau Facebook/Boboi

Nabil Ahmad Hidup Selesa Apabila Kurang Popular

Posted: 24 Aug 2013 02:19 AM PDT

Nabil Ahmad
KUALA LUMPUR: Pelawak Nabil Ahmad mengakui berasa lebih selesa menjalani kehidupan secara sederhana berbanding berada dalam suasana popular seperti yang penah dialaminya selepas menjuarai program Raja Lawak pada 2008.
Nabil atau nama sebenarnya Ahmad Nabil Ahmad, 29, berkata, dia menikmati kehidupannya kini dengan damai dan mempunyai masa yang cukup bersama keluarga.
"Saya akui sekarang sudah tidak sepopular dahulu tetapi hidup saya lebih baik dan mempunyai masa untuk isteri, anak dan keluarga saya.
"Biarpun tawaran yang datang tidak sehebat ketika popular dahulu tapi saya bersyukur rezeki masih tidak putus," katanya kepada mStar Online.
Sementara itu, bercerita pengalaman ketika berada di kemuncak kerjayanya, Nabil berkata dia pernah beberapa kali ditipu oleh pelbagai pihak.
"Susah kalau popular sangat, ramai yang cuba ambil kesempatan dan sentiasa fikir kita banyak duit.
"Saya pernah ditipu ketika ingin ubahsuai rumah ibu di kampung, kontraktor Melayu meletakkan harga yang tidak masuk akal walaupun dia kata peminat saya," katanya.
Dalam pada itu, Nabil berkata dia kini sedang berjinak-jinak dalam bidang pengurusan majlis dan menubuhkan syarikat Nabil Ahmad Enterprise.
"Saya buat macam-macam sekarang bukan hanya berlakon sahaja tapi lebih kepada menguruskan majlis dan artis-artis.
"Sudah setahun syarikat tersebut beroperasi dan Alhamdulillah dapat juga membantu artis-artis veteran yang dilupakan segelintir pihak," katanya.
Jelasnya, penubuhan syarikat tersebut adalah untuk jangka panjang kerjayanya.

Bapa dakwa bayi diliwat

Posted: 24 Aug 2013 02:15 AM PDT


  • Bapa dakwa bayi diliwat Pang bersama isterinya ketika melihat keadaan anak perempuan
SEGAMAT - Seorang bapa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat, tengah malam kelmarin, mendakwa bayi perempuannya berumur satu tahun enam bulan dicabul.
Bapa tersebut yang hanya ingin dikenali Pang, 30an, berkata, sejak kebelakangan ini anak perempuannya menunjukkan sikap ganjil dan sering merengek seakan  menahan sakit.

"Saya tidak mengesyaki sebarang kejadian aneh pada anak kedua saya itu kerana berfikir dia kepenatan berada seharian di rumah pengasuh ataupun tidak sihat.

"Tetapi, saya hairan apabila dia tidak mahu memakai lampin pakai buang dan sering menunjukkan tangan kanannya ke arah dubur," katanya kepada Sinar Harian.

Jelasnya, sebaik memeriksa dubur anaknya, dia terkejut mendapati terdapat cecair putih bersama darah merah di bahagian itu.

Pang dan isterinya yang merupakan warganegara Vietnam bertindak membawa bayi mereka ke sebuah pusat perubatan di Labis dan kemudian dinasihatkan kakitangan bertugas supaya membuat pemeriksaan lanjut di Hospital Segamat.

"Saya segera membawa anak ke Hospital Segamat untuk pemeriksaan dan hasilnya mendapati kemungkinan besar dia diliwat kerana ada kesan tusukan benda keras di duburnya.
"Saya kemudian membuat laporan polis kerana mengesyaki anak saya diliwat dan mahu mendapatkan keadilan untuk anak saya," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Supritendan Mohd Kamil Sukarmi, mengesahkan menerima laporan tersebut pada hari sama.
Menurutnya, seorang lelaki berusia 43 tahun telah ditahan pada jam 5 petang kelmarin.
"Suspek akan ditahan reman sehingga 26 Ogos ini untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan," katanya.

Remaja bermadu kasih dalam kereta

Posted: 24 Aug 2013 02:14 AM PDT


  • Pasangan remaja bermadu kasih dalam kereta Polis ketika membuat pemeriksaan terhadap pasangan terbabit.
KULIM - 'Kami tak buat apa-apa encik. Saya dan teman wanita saya sedang berbincang tentang pelajaran.'

Itulah alasan sepasang kekasih yang ditemui berbaring di dalam kereta mereka di Taman Tasek Kulim ketika polis membuat rondaan cegah jenayah di sekitar kawasan itu.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, pasangan itu masih menuntut di sebuah Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di sini.

Menurutnya, ketika polis membuat rondaan, kelihatan sebuah kereta jenis Perodua Myvi dalam keadaan mencurigakan di tempat letak kereta taman berkenaan kira-kira jam 3.30 pagi.

"Apabila menghampiri kenderaan terbabit, polis mendapati kedua-dua pasangan itu sedang berbaring di dalam kereta.

"Terkejut dengan kehadiran polis, suspek perempuan terus bangun manakala teman lelakinya keluar dari kereta dalam keadaan kedua tangan memegang seluar yang dipakainya," katanya.

Ketika ditanya pada suspek lelaki, apa yang sedang mereka lakukan dalam kereta dan berbaring dalam keadaan gelap, pelajar tahun akhir itu memberi alasan bahawa mereka sedang berbincang tentang peperiksaan yang akan mereka duduki tidak lama lagi.

"Kami belajar di IPTA sama. Saya sekarang ini belajar dalam semester akhir manakala teman wanita saya belajar di semester tiga.

"Keluarga kami sudah tahu kami berkawan sejak dulu lagi," katanya.

Ghuzlan berkata, setelah membuat pemeriksaan, polis mendapati pasangan itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

"Polis akhirnya mengarahkan mereka beredar agar perkara yang tidak diingini dapat dielakkan.

"Sedih saya lihat perlakuan anak-anak muda sekarang ini, ibu bapa diharap memantau anak dalam apa keadaan sekalipun," katanya.

Metallica, bukan sekadar muzik

Posted: 24 Aug 2013 02:09 AM PDT




'MASA muda, masa yang berapi-api' - itu pepatah yang cukup popular daripada penyanyi dangdut Rhoma Irama.
Ironi, genre dangdut mahu dikahwinkan dengan metal dan rock. Ia terlalu jauh tersasar dari landasannya. Dan lagi, siapa Rhoma Irama mahu disuai padan dengan sebuah band tersohor dunia, Metallica. Keji, barangkali itu antara getusan hati fanatik band tersebut.
Namun, tunggu dulu. Perumpamaan itu adalah satu gambaran tentang atmosfera pada malam berlangsungnya konsert Metallica Live In Malaysia 2013 di Stadium Merdeka, pada 21 Ogos lalu.
Di padang luas, yang hampir tidak terlihat hijaunya rumput, sebaliknya dipenuhi gerombolan besar manusia dengan hampir semuanya memakai pakaian rasmi warna hitam telah 'memaksa' saya menggunakan perumpamaan tersebut.
Ini kerana, lebih 50,000 penonton yang hadir, rata-rata bukan lagi anak muda. Kebanyakannya merupakan golongan pakcik makcik, yang kembali menjadi muda serta penuh antusias menyambut kedatangan empat penggerak band legenda dunia itu.
Saya, di celahan fanatik mereka, harus mengaku bahawa malam itu adalah malam terhebat yang pernah dinikmati semua peminat Metallica.
Saya, yang hanya muda setahun daripada usia penubuhan band tersebut berasa sangat kerdil hanya kerana mengetahui empat atau lima lagu hit mereka, berbanding pakcik-pakcik di belakang saya yang turun ke stadium masih lengkap pakaian pejabat dan kutu-kutu rock yang macam mahu tercabut anak tekak meniru gaya vokal James Hetfield serentak mengangguk kepala sepanjang konsert berlangsung.
Ya, 31 tahun bukan tempoh yang pendek, tetapi cukup panjang bagi peminat menantikan Metallica datang ke Malaysia dan mempersembahkan secara langsung karya mereka seperti yang sebelum ini hanya didengar menerusi kaset dan cakera padat atau hanya dapat menyaksikan persembahan band tersebut menerusi Youtube.
Momen pada malam itu cukup luar biasa. Langit cerah tanpa bintang, tetapi sinar rembulan betul-betul tegak, selari dengan pentas empat segi tanpa perhiasan extravaganza kecuali hanya dua skrin besar bagi membantu pemegang tiket paling murah di hujung padang mampu melihat mereka dengan jelas.
Empat manusia, yang telah menjadi luar biasa menerusi label Metallica - James Hetfield, Robert Trujillo, Lars Ulrich dan Kirk Hammett berdiri pada posisi masing-masing.

DARI kiri: James Hetfield, Lars Ulrich, Kirk Hammett dan Robert Trujillo telah berjaya menuai sukses yang luar biasa bersama Metallica di seluruh dunia.


Tanpa perlu berbuat apa-apa, satu stadium sudah bergema sorakan. Pada saat konsert bermula, semua menjadi histeria.
Hetfield, sekali vokalnya dilontarkan, luar biasa riuh sambutan yang diperoleh. Hammett dengan gitarnya tanpa bicara, disambut menggila pencinta yang menanti menonton petikan magisnya.
Begitu juga saat Lars, si pembentuk band tersebut menabuk dramnya, bergemuruh satu stadium sebelum Hammett yang juga baru menyentuh tali bassnya dalam satu dua notasi sudah menerima jeritan yang menggila.
Maka, bayangkan apabila konsert yang dibawa oleh Galaxy Group Sdn. Bhd. dengan kerjasama LAMC Productions dan Rockstar Touring bermula dan Metallica memuntahkan satu persatu lagu mereka seperti Fuel, Fade To Black, Ride the Lightning, Hit The Lights, Master of Puppets dan One yang dimainkan hampir tanpa cacat cela seperti yang didengar dalam bentuk rakaman, ia adalah satu kepuasan yang tiada tandingan.
Tidak sekadar itu, hit wajib main yang telah membuat mereka begitu tersohor seantero dunia, Nothing Else Matters dan Enter Sandman dialunkan, ia seperti melengkapkan penantian 31 tahun pemuja band yang ditubuhkan pada tahun 1981 ini.
Dalam selang seli untaian lagunya, Hetfield menyapa peminatnya.
"Saya minta maaf kerana anda semua perlu menunggu sehingga 31 tahun untuk menyaksikan kami di sini, Malaysia," dan ucapan maaf itu disambut sorakan tanda terima kasih peminat kerana band tersebut merealisasikan impian mereka untuk menyaksikan Metallica bermain di Malaysia.
Beliau turut melahirkan rasa teruja kerana dapat merealisasikan impian peminat fanatiknya di Malaysia selain mengaku mahu kembali ke negara ini pada masa akan datang.
Dan sejujurnya, lebih daripada ini, saya tidak punya ulasan yang panjang untuk menggambarkan kehebatan konsert tersebut. Ini kerana ia sempurna.
Ia bukan sebuah persembahan sambil lewa daripada empat sekawan ini. Sistem bunyinya juga terlalu bagus untuk dipertikaikan. Begitu juga dengan sistem pencahayaan dan pentas yang dibikin teliti.
Paling mengagumkan, Hetfield yang memang dalam semua siri konsertnya banyak mencarut di atas pentas, langsung tidak menyebut sebarang perkataan kesat sepanjang lebih satu jam 45 minit konsert berlangsung.
Ia satu perkara yang mengagumkan bagaimana vokalis berusia 50 tahun ini boleh menghormati garis panduan di Malaysia.
Falsafah
Metallica, mengapa band yang ditubuhkan pada tahun 1981 ini begitu digilai? Bagi peminat setia band yang belum mempunyai 10 album studio sepanjang lebih dua dekad penubuhan mereka, Metallica bukan sekadar medium muzik.

HETFIELD (kiri) dan Trujillo dalam salah satu aksi mereka sewaktu menghiburkan para peminat menerusi Konsert Metallica Live in Malaysia 2013, baru-baru ini.


Metallica sarat falsafah. Mereka bukan sekadar membawa aliran muzik keras dalam label metal, namun lirik yang dihasilkan begitu retorik dan tinggi falsafah.
"Mereka bukan sekadar bermain muzik, tetapi membawa berat falsafah dan seni. Lihat seperti album Master of Puppets atau lagu-lagu lain misalnya, penuh dengan falsafah," ujar Saniboey Mohd. Ismail, salah seorang peminat tegar Metallica yang ditanya mengapa dia begitu taksub dengan band tersebut.
Dia yang mengaku terlewat mengenali band tersebut pada usia 13 tahun turut memberitahu biar aliran muzik yang diperdagang diletak dalam klasifikasi metal, namun lirik yang dipilih tidak berbaur kemarahan seperti lirik yang dihasilkan kebanyakan band aliran grunge seperti Nirvana.
Ujarnya: "Jika kita menilai ia daripada segi muzik, ya, ia memang cukup keras, namun lihat ia daripada segi penulisan lirik yang begitu berseni dan tidak berunsur kemarahan. Itu yang membuat Metallica tersendiri."
Metallica yang ditubuhkan pada tahun 1981 di Los Angeles, Amerika Syarikat sebenarnya telah 'mencuri' nama tersebut daripada salah seorang wartawan senior yang mahu menamakan sebuah majalah dengan nama Metallica.
Band tersebut telah bertukar anggota sebanyak tiga kali kecuali yang kekal iaitu Ulrich dan Hetfield (Cliff Burton meninggal dunia dalam satu kemalangan dan Dave Mustaine menjadi pengasas band Megadeth).
Mereka pertama kali terbabit dengan projek album kompilasi Metal Massacre menerusi lagu Hit The Light pada tahun 1981 dan kali terakhir muncul bersama album studio pada tahun 2008 berjudul Death Magnetic.
Hetfield dalam satu temu bual sekitar dua bulan lalu mengaku bahawa Metallica belum mempunyai perancangan untuk muncul dengan album studio mereka yang ke-10.
"Kami memang mempunyai lebih 800 buah lagu yang sedang diberi perhatian, tetapi kami belum lagi memulakan sebarang produksi untuk album baharu," ujarnya.

Zarina dipukul penjual sayur

Posted: 24 Aug 2013 02:08 AM PDT

ZARINA ada petua sendiri untuk kekal cantik.


BIARPUN usia pelakon Zarina Zainuddin sudah mencecah 43 tahun, ibu kepada empat orang anak itu masih kekal cantik dan langsing.
Bertemu dengan Zarina pada majlis rumah terbuka program Wanita Hari Ini di Restoran 10Binjai di PNB Darby Park, Kuala Lumpur baru-baru ini, dia yang mengenakan baju kurung berwarna merah jambu mendedahkan tentang kontroversi yang dialaminya ekoran kegemarannya memuat naik gambar-gambarnya di laman Instagram.
Berikut sedutan temu bual Kosmo! bersama Zarina.
Kosmo!: Lama tidak muncul dalam media, apakah perkembangan Zarina sekarang?
ZARINA: Saya baru habis penggambaran drama Teduhan Kasih. Terkini, saya bakal berlakon dalam drama Janji Adam untuk siaran TV3. Dalam drama itu, saya bawa watak sebagai ibu kepada pelakon Elfaeza Ul Haq.
Ramai memuji lakonan karakter antagonis anda sebagai kakak tiri Iffa (lakonan Sherry Ibrahim) dalam drama Teduhan Kasih? Bolehkah Zarina komen?
Pada mulanya saya bimbang mahu bawa watak antagonis, gusar orang benci. Tetapi bila tonton lakonan sendiri, rasa kelakar pula.
Zarina ada mengalami implikasi selepas membawa watak tersebut?
Ada yang suka dan ada yang tidak suka. Tetapi paling teruk, saya kena pukul dengan seorang peniaga sayur di pasar. Dia pukul bahu saya bertubi-tubi dan kata saya jahat. Tetapi saya tidak marahkan peniaga itu dan menganggap ia reaksi spontannya impak menonton lakonan saya dalam drama Teduhan Kasih.
Adakah anda serik membawakan watak antagonis?
Tidak! Saya rasa watak antagonis bagus sebab kita kena main dalaman. Dapat lontarkan perasaan tanpa ada sekatan.
Anda dilihat gemar memuat naik gambar di laman Instagram milik anda iaitu @zarinazainuddin2008? Ada atau tidak sebarang kritikan daripada peminat?
Instagram saya boleh diibaratkan seperti diari yang saya kongsikan kepada peminat. Instagram saya mulai aktif sejak bulan Mei lalu. Anak saudara yang tolong buatkan. Selepas gunakannya, jadi seronok pula nak kongsikan gambar. Saya memang jenis orang yang jujur berkongsi apa sahaja dengan peminat. Saya tidak suka hipokrit. Alhamdulillah, setakat ini saya tidak terima komen yang terlalu teruk. Cuma, ada seorang peminat yang mengkritik saya memakai telekung tetapi wajah masih tercalit solekan. Bagi saya, kalau solekan itu halal tiada salahnya walaupun ketika melakukan solat.
Apakah reaksi anda terhadap komen peminat itu?
Selepas dia komen, saya terus lihat gambar-gambar dia di Instagram. Saya turut komen terhadap salah satu gambarnya mengatakan 'adik, kalau mahu komen lihat diri sendiri dulu. Kita manusia biasa kadangkala ada melakukan kesalahan'. Selepas saya komen dia terus block (sekat) saya daripada akses Instagram dia.
Kebanyakan artis yang memasuki umur 40 tahun ke atas mula mengambil suntikan kecantikan bagi mengekalkan kejelitaan wajah? Bagaimana dengan Zarina?
Saya tidak pernah ambil suntikan kecantikan. Saya lebih percaya pada jamu dan juga pengambilan air buah peria setiap hari.

Operasi tangkap pekerja asing tanpa permit 1 Sept.

Posted: 24 Aug 2013 02:05 AM PDT



GERAKAN besar-besaran akan diadakan bagi menangkap warga asing tanpa permit kerja mulai 1 September. – Gambar hiasan.



BAGAN DATOH – Gerakan besar-besaran akan dilakukan mulai 1 September ini bagi menangkap pekerja asing tanpa permit kerja, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Ujarnya, gerakan itu membabitkan Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi-agensi penguat kuasa yang berkaitan.
"Kita tidak mahu majikan menggaji pekerja asing yang tiada permit di tempat kerja masing-masing. Pada waktu yang sama, kita juga mahu majikan memberi kemudahan perumahan, perubatan dan menjaga kebajikan mereka.
"Ini bagi memastikan Malaysia dianggap sebagai negara yang menjaga kebajikan pekerja asing," katanya selepas Majlis Jalinan Kasih Aidilfitri Parlimen Bagan Datoh di sini semalam.
Katanya, gerakan itu bagi memastikan pekerja asing yang bekerja mematuhi peraturan dan undang-undang negara.

Lelaki tinggal di gua selama 20 tahun

Posted: 24 Aug 2013 02:01 AM PDT



FENG MINGSHAN memanjat lereng sebuah bukit untuk memasuki gua pada ketinggian 50 meter dari tanah Xi'an, dalam wilayah Shaanxi di barat laut China.


XI'AN - Seorang lelaki China yang mahu mencari ketenangan bertindak memencil diri dengan tinggal di dalam sebuah gua di sini, dalam wilayah Shaanxi sejak 20 tahun lalu, lapor akhbar Daily Mail semalam.
Feng Mingshan, 54, menjadikan sebuah gua setinggi 50 meter sebagai tempat tinggalnya sejak 1993.
Dia juga terpaksa memanjat tebing sebuah bukit setiap kali mahu memasuki rumah unik yang dibinanya.
Media tempatan melaporkan bahawa Mingshan menemui gua tersebut ketika dia masih remaja.
Dia sebelum ini membawa diri meninggalkan Bandar Gaoba, di barat laut wilayah Shaanxi, China pada 1993 kerana tidak tahan dengan kerenah orang ramai.
Abangnya, Feng Xueming berkata, Mingshan memiliki perangai pelik.
"Perangai abang saya pelik. Dia tidak suka berkomunikasi dengan orang lain," katanya.
Sejak 20 tahun lalu Mingshan telah berusaha membesarkan ruang di dalam gua yang didudukinya. Dia juga memahat tempat berpegang pada dinding batu di luar gua itu untuk membantunya bergerak di tebing yang curam.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines