Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik |
- Fouziah dan Anzalna raikan cinta
- Farawahida Berdebar Kahwin Hujung Tahun Ini
- Neelofa Terpaksa Tolak Tawaran Berlakon Drama
- Tasha Shilla Tidak Teruja Sambut Aidilfitri
- Tiga Wanita Senarai Calon Isteri Erry Putra
- Ali Mamak Bakal Muncul Dengan Album Baharu
- 'Saya macam kena pukau'
- Langkah kedua Ila Damiaa
- Santai raya Umie, Erra, Zahida
- Ella, Man Kidal gegar Dewan Filharmonik Petronas
- Azhan masuk layar perak
- Pinjam RM85,000 untuk kahwin
- Islam tidak galak berhutang untuk nikah
- Lima maut gunung berapi meletus di Indonesia
- Songket tenunan tangan siap sebulan
- Juruterbang wanita pertama Afghanistan
Fouziah dan Anzalna raikan cinta Posted: 10 Aug 2013 04:58 PM PDT AIDILFITRI merupakan hadiah untuk umat Islam yang bersabar menahan dugaan Ramadan. Bergembira ketika berbuka malah bergembira tatkala Syawal menjelma. Ketika ini juga, para sahabat, kenalan, sanak saudara yang jauh atau dekat saling berkunjung-kunjungan. Buat anak-anak muda yang hatinya sedang berbunga-bunga, waktu-waktu beginilah antara tempoh bahagia yang harus dikongsi bersama-sama. Meraikan kemanisan Syawal yang belum pun bersisa ini, pasangan 'darah manis' Fouziah Ghous dan tunangan Md. Zhafran Md. Yusof serta Anzalna Nasir dan kekasih hati Hanif Zaki punya cerita bahagia. Belum diikat oleh ijab dan kabul namun dua selebriti itu serius dalam ikatan kasih yang terbina daripada kepercayaan dan restu keluarga. Tempoh bercinta-cinta mahu dinikmati dengan seikhlas rasa. Asalkan tidak melangkau batasan pergaulan, perasaan yang dikurniakan oleh Ilahi itu mahu dipelihara sebaik-baiknya. Masuk hari raya keempat, Fouziah akan bersama keluarga dan keluarga tunangnya, Zafran. Selepas tiga hari beraya di Kuala Lumpur, keluarga Zafran mengajak keluarga Fouziah untuk pulang ke Kelantan. "Tahun ini, buat kali pertamanya, saya dan ibu beraya di Kota Bharu, Kelantan. Kiranya ini semacam sesi melawat dan berkenal-kenalan dengan keluarga Zafran sebelum hubungan itu didekatkan lagi dengan perkahwinan. "Zafran dan ibu bapanya memang berasal dari Kelantan tetapi mereka sudah lama berhijrah ke Kuala Lumpur," ujar Fouziah yang ditemani dua anak saudara serta ibunya sepanjang berada di Kota Bharu. Tambah Fouziah: "Seronoknya berada di Kelantan adalah apabila merasa sendiri makanan wajib dan cara orang Kelantan beraya. Saya memang ada datang ke Kelantan untuk menjalani penggambaran tapi bukan berkunjung bersama keluarga sebegini." Membawa pelakon yang masih berbaki seminggu untuk penggambaran drama bersiri terbaharunya, Alam Maya itu menyelami fasa pertunangannya yang di depani hari ini, Fouziah paling bersyukur mengenangkan Zafran cukup positif dalam banyak hal biarpun sesekali berdepan situasi yang sukar dalam kehidupan. Menjadi selebriti yang diperhatikan setiap gerak-geri, tentu ada waktunya mereka mahukan privasi. "Saya sendiri sudah kalis dengan semua yang dikatakan dunia hiburan, cuma Zafran kena benar-benar bersedia mental dan fizikal. Walaupun sejak awal katanya sudah bersedia, tapi dia sebenar-benarnya masih belum masak sepak terajang dunia seni. "Saya kena ajar dan benda ini akan memakan masa. Saya selalu beritahu Zafran, anggaplah pihak yang suka cari salah dan fikir yang bukan-bukan tentang kami itu sebagai penghibur sahaja. Soal gambar kami pun boleh jadi bahan dan saya tidak mahu jadi hipokrit sama ada di depan atau di belakang khalayak. Keluarga pun selalu nasihatkan agar berhati-hati semasa bergambar. Kami bawa hubungan keluarga, bukan hubungan saya dan Zafran sahaja," ujar Fouziah yang berikrar tetap menjadi diri sendiri dalam setiap tindak-tanduknya. Atas prinsip itu juga kata Fouziah, dia tidak akan teragak-agak jika mahu berkongsi momen bahagia bersama Zafran menerusi laman sosial miliknya. "Saya tetap akan berkongsi gambar-gambar kami, itu rakaman saat-saat percintaan kami, asalkan ia tidak keterlaluan, kami okey. Jika ada yang mahu menuding jari dan melemparkan kritikan negatif, terpulanglah," tambahnya. Ditanya jika ada rungut daripada pihak pasangan yang bakal dinikahi itu, Fouziah mengaku, tuntutan karier dan waktu bekerja yang tidak menentu memungkinkan konflik jika tidak wujud pemikiran yang sehaluan. "Mujur saya bertemu dengan lelaki yang mempunyai waktu bekerja yang teratur. Saya pula agak huru-hara. Jadual penggambaran memang tak menentu. Nasib baik Zafran boleh ikut jadual saya. Dia tidak terikat dengan waktu kerja yang tetap. Jadi, dia masih jumpa saya di lokasi dan jemput saya pulang. Waktu itulah kami bertemu dan berbincang. Nak harapkan saya keluar berdating seperti orang lain, memang payah," katanya yang cuti rayanya bermula pada 5 Ogos lalu. Bercerita soal rencana perkahwinan, Fouziah dan Zafran yang bertunang pada Jun lalu sepatutnya berkahwin sekitar September nanti. Namun disebabkan masih belum bertemu tarikh untuk mengumpulkan seluruh anggota keluarga, tarikh sebenar masih belum diputuskan. "Kalau boleh, kami mahu adik-beradik sebelah saya dan Zafran ada pada hari bahagia kami tetapi adik Zafran harus pulang ke Britain pada 21 September. Abang saya pula ada urusan di luar negara. Ada yang menyarankan agar adik-beradik berkorban masa untuk kami. Tetapi, saya masih serba salah. Tak mahulah kerana urusan kami, mereka harus melepaskan urusan penting masing-masing. Bagaimanapun, kami sepakat untuk majlis akad nikah nanti akan diadakan dalam tahun ini juga," kongsi Fouziah mengenai mengenai hari besar itu. Anzalna, Hanif serius Bagi pasangan kekasih, Anzalna dan Hanif Zaki pula, mereka melayari situasi berbeza berbanding Fouziah. Bagi pelakon Sepah The Movie itu, biarpun belum terikat dengan sebarang ikatan khusus, mereka serius menjalinkan hubungan. "Saya sudah mengenali hati budi Hanif dan kami selesa bersama. Dia menyokong kerjaya saya sepenuh hati dan saya juga menjaga hubungan ini agar seiring dengan perjalanan karier kami berdua," ujar Anzalna yang tidak pernah menyembunyikan kekasih daripada pengetahuan umum. Pernah diselar kerana sering berkepit dengan kekasih termasuklah di majlis-majlis hiburan, Anzalna sedikit pun tidak terusik dengan kata-kata sedemikian. Ada baik mereka dilihat bersama khalayak umum berbanding mengelak daripada berterus-terang atau menipu diri sendiri. "Kami sudah bercinta dua tahun dan saling mengenali sejak usia 15 tahun lagi, jadi kami sepakat mahu disatukan segera. Begitupun, setakat ini kami belum memuktamadkan tarikhnya. Sepatutnya, keluarga teman lelaki datang merisik pada tahun lalu, tetapi rancangan itu tidak menjadi," ujar Anzalna yang memasang niat berkahwin secepat mungkin. Berpisah sementara semasa cuti perayaan kerana Hanif beraya bersama keluarganya di Kuala Lumpur, Anzalna memberitahu, dia sudah bercuti selama dua minggu daripada melakukan sebarang aktiviti seni sempena sambutan Aidilfitri bermula sejak awal Ogos lagi. Anzalna mengambil cuti panjang itu kerana ingin menghabiskan masa bersama keluarganya kerana sebelum ini dia sibuk dengan kerjaya lakonannya. "Pada tahun ini, saya nak bercuti raya puas-puas kerana terlalu sibuk dengan kerja sebelum ini sehingga tiada masa bersama keluarga. Dalam tempoh cuti, Hanif tetap di hati dan biarlah dia beraya dengan keluarganya. Saya mahu menggunakan kesempatan yang ada ini untuk berehat dan berkunjung ke rumah sanak-saudara yang sudah lama tidak berjumpa. "Malah semenjak awal Ramadan lalu, saya sudah memperlahankan aktiviti seni. Hanif pula selalu menemankan saya ke mana-mana. Sudah tentu sepanjang cuti sehingga 23 Ogos depan kami akan bertemu dan beraya bersama-sama dengan keluarga," katanya yang menyambut perayaan Aidilfitri di Muar, Johor terlebih dahulu sebelum berangkat ke Pulau Pinang. | |
Farawahida Berdebar Kahwin Hujung Tahun Ini Posted: 10 Aug 2013 04:57 PM PDT Farawahida, 28, berkata, majlis pernikahan akan berlangsung di Taiping, Perak manakala acara bersanding akan diadakan pada sebelah malam. "Saya dan kekasih sudah lapan tahun bersama, jadi kami rancang untuk kahwin terus tanpa perlu mengikut adat untuk merisik atau bertunang. "Bagaimanapun saya tetap berdebar untuk melalui detik bahagia itu. Doakan kami dijodohkan bersama pada hujung tahun ini ya," katanya Tambah pelantun lagu popular Tanpamu itu, buat masa ini dia enggan mendedahkan siapa identiti lelaki tersebut sehinggalah pada hari perkahwinannya nanti. "Apa yang boleh saya katakan, dia seorang lelaki bukan kepunyaan sesiapa berusia 29 tahun dan kini bekerja di sebuah pusat perubatan. "Pada masa sama dia juga sudah mula berjinak-jinak dalam dunia perniagaan hartanah pula," ujarnya. Beritahu Farawahida lagi, sambutan Aidilfitri pada tahun ini lebih diberi fokus dalam persiapan perkahwinannya selain perlu menjalani kursus perkahwinan di bulan Syawal. | |
Neelofa Terpaksa Tolak Tawaran Berlakon Drama Posted: 10 Aug 2013 04:56 PM PDT Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor, 24, sebaliknya berkata, kesibukannya sebagai pengacara beberapa buah program telah menyebabkan dia terpaksa melupakan hasrat untuk berlakon drama buat masa ini. "Komitmen terhadap bidang pengacaraan menyebabkan saya terpaksa menolak tawaran berlakon drama bersiri kerana ia mengambil masa yang panjang untuk disiapkan. "Saya tidak mahu menyusahkan pihak produksi jika tidak dapat hadir pada penggambaran atau tidak berdisiplin kerana sibuk dengan perkara lain," katanya kepada mStar Online. Selain MeleTOP, Neelofa juga turut mengendalikan program Nona dan sebuah rancangan masakan berjudul Hot Kitchen. Dalam perkembangan sama, Neelofa berkata, dia agak sibuk menguruskan perniagaannya iaitu Bellavita yang sedang berkembang maju dan mula mendapat perhatian. Pun begitu buat masa ini dia hanya menerima tawaran berlakon filem sahaja kerana jadual penggambaran yang lebih singkat. "Jujur minat saya memang lebih kepada pengacaraan tetapi rezeki dalam lakonan itu memang sentiasa ada cuma kekangan masa menuntut saya menumpukan kepada sesuatu perkara sahaja. "Sudah tentu sekiranya ada kesempatan dan ruang saya mahu berlakon dalam drama bersiri atau telefilem. Buat masa sekarang saya hanya terima tawaran berlakon filem kerana penggambaran tidak mengambil masa yang lama," katanya. Sementara itu, Neelofa yang baru sahaja muncul dengan filem Lemak Kampung Santan pada 1 Syawal lalu memberitahu baru sahaja selesai menjalani penggambaran sebuah filem berjudul Gangster Superstar arahan Khabar Bhatia. | |
Tasha Shilla Tidak Teruja Sambut Aidilfitri Posted: 10 Aug 2013 04:55 PM PDT Tasha, 26, berkata, segala persiapan raya dibuat secara sederhana. "Tahun ini merupakan tahun ketiga saya beraya sebagai artis, jadi rasa teruja itu sudah kurang berbanding din awal kemunculan dulu. "Kalau dulu saya punya baju raya berbelas pasang sampai tidak terpakai, kali ini pula saya tiada beli baju raya kerana baju yang saya beli adalah untuk dipakai pada majlis berbuka puasa," katanya kepada mStar Online. Tambahnya, dia lebih menumpukan kepada keperluan keluarga berbanding diri sendiri. Dalam pada itu, Tasha berkata sambutan Hari Raya seperti biasa balik ke kampung halaman di Johor. "Seperti tahun-tahun sebelumnya kami beraya di kampung nenek iaitu di Batu Pahat, Johor. "Apa yang seronok dapat berjumpa semua sanak saudara yang sememangnya setahun sekali sahaja kami berjumpa," katanya. | |
Tiga Wanita Senarai Calon Isteri Erry Putra Posted: 10 Aug 2013 04:54 PM PDT Erry atau nama sebenarnya Mohd Razlan Hamzah @ Ahmad, 35, bagaimanapun berkata, dia masih lagi mencari keserasian terhadap wanita-wanita itu sebelum memilih seorang daripada mereka bagi menjadi calon isteri. "Bunyi seperti 'playboy' bukan? Tetapi jangan salah faham, saya hanya berkawan dan mengenali mereka dengan lebih dekat, nak lihat sejauh mana keserasian kami. Dan kemudian barulah saya pilih mana satu yang sesuai. "Tetapi saya tidak meletakkan harapan seolah-olah mahu bercinta atau berkahwin dengan mereka. Sekiranya mereka ada pilihan lain, saya tidak mempunyai masalah,' katanya kepada mStar Online. Tambah Erry, sudah lama dia berhasrat untuk mendirikan rumah tangga namun sehingga kini dia masih lagi tiada seorang calon. Dan dengan cara ini, Erry mungkin dapat menunaikan hasratnya berkahwin pada tahun depan yang sudah lima tahun tertangguh. "Kalau nak tahu, saya sudah bersedia untuk kahwin sejak lima tahun dahulu. Dan setiap tahun saya memberi harapan pada diri bahawa tahun yang seterusnya pasti akan saya temui calon yang sesuai. Dan ia berlarutan sehinggalah sekarang. "Moga perancangan berkahwin pada tahun depan betul-betul menjadi Insya-Allah," tuturnya. Dalam perkembangan lain, Erry beritahu, selain sibuk di set penggambaran dia juga aktif dalam mencipta lagu di studio dan selepas Aidilfitri nanti, dia bakal muncul dengan sebuah single lagu terbaharu berjudul Tapi Aku Suka Walau Lebih Tua. "Sehingga kini saya sudah pun menyiapkan sebanyak lima buah lagu iaitu Tidak-Tidak, Berubah, Jangan Kau Pergi, Hanya Aku serta serta Tapi Aku Suka Walau Lebih Tua. "Kesemua single ini akan dikeluarkan secara berperingkat," ujarnya. | |
Ali Mamak Bakal Muncul Dengan Album Baharu Posted: 10 Aug 2013 04:53 PM PDT Ali atau nama sebenarnya Jantan Osman, 62, berkata, dia tidak sabar untuk memulakan kerja-kerja penerbitan album tersebut memandangkan sudah empat tahun tidak muncul dengan sebarang lagu baharu. "Kali terakhir album saya berjudul Terimalah Seadanya pada tahun 2009 yang diterbitkan oleh komposer Amir Atan menerusi syarikat Rentak Mutiara. "Kali ini, saya masih mengekalkan rentak dan lagu yang sarat dengan mesej berunsur kritikan sosial dan isu-isu semasa yang berlaku di negara ini. Cuma muziknya akan disusun dengan konsep yang lebih segar," katanya. Tambah Ali, hasrat untuk menerbitkan album genre komedi itu sudah lama dipendam cuma kesibukan kerja membuatkan dia terpaksa menangguhkan perancangan itu. Dalam pada itu, Ali turut merancang pelbagai promosi sebagai strategi penjualan album ketiganya itu. Sementara itu, mengenai sambutan Aidilfitri, Ali berkata, dia seorang yang sangat sibuk pada sambutan raya pertama dengan menghiburkan tetamu untuk acara rumah terbuka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC). "Dalam pada itu, saya juga mengadakan persembahan lawak dan menyanyi di atas bot River Cruise di Sungai Melaka pada setiap Ahad menghiburkan pelanggan yang berada di situ," ujar anak kelahiran Kampung Pulau, Masjid Tanah, Melaka itu. | |
Posted: 10 Aug 2013 04:51 PM PDT
Lebih mengejutkan, remaja berkenaan, Siti Sakira Ahmad,18, mendakwa tindakannya melarikan diri dari rumah tanpa pengetahuan keluarga dibuat atas sebab dipukau. Menurutnya, dia hanya menyedari keluarganya mencari dirinya setelah terbaca laporan media mengenai kehilangannya sebelum ini. "Setelah terbaca berita disiarkan dalam media, saya lantas menghubungi keluarga yang sudah mencari saya semenjak hilang pada 8 Julai lalu bagi memaklumkan di mana lokasi saya berada. "Alhamdulillah kini saya sudah pun pulang ke pangkuan keluarga dan menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama mereka," katanya sewaktu ditemui di rumahnya di Kampung Parit Abas, baru-baru ini. Siti Sakira berkata, sewaktu hari kejadian dia dilaporkan hilang, dia mendakwa dirinya seperti dipukau dan sekadar mampu untuk menuruti arahan seorang teman lelaki yang baru dikenali dalam laman sosial Facebook. Menurutnya, setelah dia keluar dari tempat kerja dan mengikut lelaki terbabit, Siti Sakira mendakwa dihantar ke sebuah rumah dan dikenalkan dengan seorang rakan perempuan lelaki terbabit. "Sepanjang tinggal di situ, fikiran saya seolah-olah kosong dan saya tidak mampu untuk mengingati apa-apa termasuk diri sendiri dan ahli keluarga. "Setelah hampir 20 hari menghilang, saya terbaca berita kehilangan diri saya melalui akhbar dan saya lantas mengingati kembali segala-galanya mengenai diri saya dengan serta-merta," katanya. Siti Sakira berkata, setelah menetap di sebuah rumah, dia seterusnya dihantar lelaki berkenaan ke rumah keluarganya sebelum dijaga oleh ibu lelaki terbabit tanpa mengetahui dia sebenarnya sedang dilarikan lelaki itu. Bagaimanapun, ibu lelaki terbabit hanya menyedari Siti Sakira sebenarnya dilarikan anaknya setelah berita kehilangannya disiarkan media dan segera memaklumkan kepadanya untuk melaporkan lokasi mereka kepada keluarga. Sementara itu, ibu Siti Sakira, Salmah Sejan, 47, ketika ditemui berasa syukur dan menitiskan air mata apabila dapat bertemu semula dengan anaknya. "Saya sungguh gembira dia kembali ke pangkuan keluarga dan pastinya Aidilfitri kali ini paling bermakna. "Saya berharap kejadian ini tidak akan berlaku lagi pada masa hadapan dan ianya diharap memberi pengajaran kepada semua remaja lain," katanya. | |
Posted: 10 Aug 2013 04:40 PM PDT
PENYANYI bernama Ila Damiaa Johar membuat langkah pertama dalam dunia nyanyian melalui penyertaannya dalam sebuah rancangan realiti televisyen pada tahun 2010. Biarpun tidak tersenarai sebagai peserta akhir rancangan Mentor 4, Ila Damiaa kekal mengikut acuan karier mentornya, rapper Joe Flizzow apabila dia tampil dalam single berjudul Untukmu selepas keluar daripada rancangan tersebut. Biarpun lagu itu mengangkat namanya, tidak banyak kisah tentang penyanyi tersebut diketahui umum sementelah beritanya jarang disebarkan media. "Biarpun lagu itu mendapat hit, masih ramai yang tidak kenal dengan saya dan hanya tahu nama sahaja. Bahkan ketika dengan lagu Malaysian Boy yang kini popular barulah nama saya sedikit dikenali. Menerusi lagu itu, saya hanya menyanyi beberapa rangkap sahaja. "Lagipun saya tidak muncul di mana-mana majalah mahupun surat khabar sebelum ini. Sukar untuk peminat mengenali siapakah Ila Damiaa," ujar gadis tersebut dalam sesi fotografi bersama Sensasi Bintang baru-baru ini. Kini sebagai langkah kedua, Ila tampil dengan beberapa formula untuk lebih dikenali. Selain bakal muncul dengan sebuah single baharu berjudul Di Sebalik, Ila turut menyambut kemeriahan hari lebaran dengan sebuah lagu raya. Lagu Suasana Hari Raya yang dipopularkan oleh biduanita Datuk Sharifah Aini itu diberi nafas baharu oleh penyanyi tersebut. Ia dipopularkan semula sebagai tanda minatnya yang mendalam terhadap Sharifah Aini. "Sebenarnya sukar untuk menyanyikan lagu Suasana Hari Raya kembali dengan cara yang berbeza kerana saya membesar dengan lagu itu dan ia menjadi ikutan setiap kali tibanya hari raya. "Saya memilih lagu tersebut kerana ia dekat di hati saya malah ia merupakan lagu hari raya paling yang paling saya gemari," kata gadis berumur 24 tahun itu. Sempena Syawal, Ila tidak akan bercuti lama. Sedar bahawa perjalanan dunia seninya masih jauh dan terpaksa bekerja kuat, jelas Ila, dia tidak kisah biarpun terpaksa mula bekerja beberapa hari selepas hari raya. Aidilfitri pada tahun ini merupakan antara yang paling singkat untuk dia bersama keluarga apatah lagi pelbagai strategi dan jadual telah diaturkan oleh pihak pengurusannya, Kartel Records. "Pada hari raya kali ini, saya hanya pulang sekejap sahaja ke kampung halaman di Kuching kerana bercuti seminggu sahaja. Sebenarnya, sambutan hari raya di sana akan diraikan selama sebulan berbanding di Semenanjung. Pada setiap hari, kami akan memakai baju kurung dan baju Melayu selama sebulan. "Bagaimanapun, saya tetap gembira apabila pihak pengurusan memberi pelepasan untuk bercuti seketika. Walaupun tidak banyak aktiviti yang sempat dilakukan, peluang merakamkan foto bersama saudara-mara sudah cukup menggembirakan," katanya yang menggemari kek lapis Sarawak yang dicampur dengan coklat. Selain menjadi penyanyi kepada lagu popular Malaysian Boy dan Untuk Mu, Ila juga pernah merakamkan beberapa buah lagu lain termasuklah Sukar dan Rahsia. | |
Santai raya Umie, Erra, Zahida Posted: 10 Aug 2013 04:39 PM PDT
DUA primadona, Erra Fazira dan Umie Aida cukup handal dalam medan perfileman serta drama tanah air. Air mata dan senyuman mereka mudah sahaja meninggalkan bekas dalam hati. Ada sisi setiakawan yang tidak akan mereka biarkan sendiri walaupun sudah bergelar ibarat bintang bergemerlapan. Sahabat, teman, rakan berkongsi cerita, melepaskan tawa dan meriuhkan suasana memunculkan satu nama yang cukup intim dalam ruang privasi mereka. Nama yang dimaksudkan itu ialah Zahida Rafik, wanita yang sering dilihat bersama, akrab dan sepertinya saudara kandung dalam kehidupan sehari-harian mereka. Melihat tawa dan kemesraan yang terjalin, hati sesiapa pun mudah berasa cemburu. Mereka persis wanita yang sempurna, memiliki segala yang diimpikan setiap wanita lain. Kemewahan, glamor dan hidup dalam limpahan populariti. Menilai daripada pandangan mata kasar, mudah sahaja menyimpulkan kemeriahan hidup yang mereka jalani sama ada di depan kamera atau di belakang tabir. Pertemuan bersama wanita berbeza portfolio itu sebaliknya menjelaskan sesuatu bahawa apa yang dilihat tidak semestinya menepati apa yang yang sudah tersirat. Bayangan hari raya dunia Erra, Umie dan Zahida barangkali serba sempurna, serba mewah sesuai dengan kestabilan kewangan mereka yang terpancar daripada kelibat majlis-majlis hiburan, namun mereka juga seperti wanita biasa. Warisi resipi ibu Sanggup meminjamkan kediaman peribadi sebagai lokasi fotografi istimewa ini sudah mencerminkan bahawa Umie seorang yang cukup bersahaja. Cuma karakter serta portfolio yang terbina memungkinkan dirinya digeruni untuk disapa. Hari raya semestinya topik wajib yang masuk dalam perbualan. Kata Umie, hari raya ialah sambutan kekeluargaan. Justeru, semua persiapan dan aktiviti hari raya harus melibatkan keluarga. "Jadi, setiap kali raya, saya memang beraya di rumah ibu. Ibu saya ialah wanita yang sangat sempurna, dia akan sediakan lauk-pauk untuk hari raya. Saya pula hanya akan jenguk-jenguk sahaja, tolong sikit-sikit, tahu-tahu semua sudah masak. "Pada setiap tahun, memang begitu. Saya juga terfikir untuk warisi kehandalan ibu. Tapi setakat ini, memang ibulah yang akan masak segala macam masakan di rumah," katanya yang ditemui kira-kira dua minggu sebelum 1 Syawal. Menjenguk suasana Syawal Umie, tidak banyak yang boleh dikongsikan pelakon yang sedang menghiasi skrin televisyen menerusi drama bersiri Umie itu. "Raya saya macam biasa. Bila sudah sampai pada usia begini, hari raya sudah jadi hari untuk anak-anak. Buat diri saya, cukuplah pakai baju yang selesa dan tidak perlu nak sarat dengan labuci atau sendat sana sini. Senang nak bergerak dan melayan tetamu yang datang," katanya yang akan berlepas ke Eropah bersama kakaknya, Erma Fatima untuk menjalani penggambaran beberapa buah drama di sana. "Kebetulan dapat ke luar negara, bolehlah saya makan angin bersama teman-teman juga. Mujur suami (Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan) saya izinkan," jelas Umie yang bakal terlibat dengan projek teater di Istana Budaya dan Singapura sekembalinya dari Eropah nanti. Penuhi kehendak keluarga Sepi perkhabaran di bidang seni, Zahida mengaku perkara itu. Namun, dia sedar tempatnya barangkali bukan lagi untuk menjadi tatapan peminat seni hiburan. Pernah keinginannya untuk kembali beraksi tercetus hasil tawaran dan pujukan teman-teman. Namun, kerisauan dan perasaan tidak yakin terasa tebal bersarang di dada. "Kali terakhir saya buat kerja seni mungkin sekitar empat tahun lepas. Ketika itu, saya bersama rakan kongsi melabur untuk penerbitan sebuah filem berjudul Mei di Indonesia. Selepas itu, saya banyak buat kerja-kerja bisnes dan menguruskan badan kebajikan yang saya kendalikan. Saya tak macam Erra dan Umie, mereka itu bintang yang masih masih bersinar-sinar," jelas Zahida sedikit merendah diri namun jauh sekali menyimpan cemburu. Dia kini selesa mendekatkan diri dengan kerja amal serta membantu insan yang kurang bernasib baik. "Saya tumpang gembira tengok aktiviti mereka. Sekarang mereka sibuk dengan penggambaran di Eropah pula. Saya diajak untuk bersama-sama ke sana tapi ada komitmen lain yang tidak boleh saya tinggalkan di Kuala Lumpur," getusnya bahagia atas ingatan dan persahabatan yang terbina. Sepanjang hari raya, Zahida mengaku masanya ditumpahkan sepenuh hati untuk keluarga. Emosi raya meluap-luap sejak seminggu akhir Ramadan dek persiapan khususnya mempersiapkan barang dapur untuk menjamu selera sepanjang Syawal. "Seminggu sebelum Syawal saya sudah sibuk penuhkan barang dapur. Ibu, ayah, adik-beradik dan anak saudara semua sudah sudah berkumpul. Kami memasak untuk hari raya pertama dan kedua macam buat kenduri maklumlah keluarga saya besar," katanya lagi. Mengajak Zahida bercerita tentang kemeriahan raya sebagaimana yang dibayangkan umum, katanya, ada sesuatu yang berbeza berlaku ke atas dirinya. "Tahun ini, saya hanya pakai baju-baju raya tahun lepas. Masih ada lapan pasang yang belum dipakai. Saya tidak hantar kain untuk dijahit sebab merasakan seolah-olah membazir untuk berhabis-habisan melaram dengan baju raya. Kali ini, saya banyak sediakan persiapan raya untuk anak-anak buah dan ibu bapa sahaja. Perasaan itu datang kerana saya melihat terlalu banyak baju yang tidak muat disimpan di dalam almari," ujar ketawa. Tambah Zahida: "Walaupun jarang muncul pada majlis hiburan tapi, saya tetap perlukan baju untuk majlis-majlis korporat, saya juga jenis yang tidak gemar cari baju pada saat-saat akhir. Jadi, tahun ini, saya cuma pakai apa yang ada tapi ada juga pereka fesyen macam Michael Ong, Syaiful Baharim dan Wan Pa yang tetap jahitkan baju untuk saya." Masa untuk melepaskan sesuatu - Erra Fazira Primadona dengan wajah penuh kelembutan ini sedang menghitung hari. Pemergian ke negara-negara Eropah untuk tujuan kerja bersama rakan-rakan. Bukan sekadar menyiapkan beberapa drama arahan Erma. Angin dan aroma udara luar juga menuntut dia, Umie dan Erma untuk berlatih teater yang bakal dipentaskan di Esplanade, Singapura sepulangnya dia mengembara. "Lepas balik dari Eropah, saya akan ke Singapura untuk pementasan teater bertajuk Akulah pada 29 Ogos ini. Jadi saya perlu membuat persiapan. Nasib baiklah Umie dan Erma yang terlibat sama ada di Eropah, jadi masa ini juga digunakan untuk persediaan dan hafal skrip," ujar Erra yang akan berangkat hari ini. Berkongsi cerita atas tajuk glamor raya, satu aroma yang sentiasa menyelimuti sisi pandang ke arah Erra, dia ketawa sebelum menjawab. "Saya pernah tengok rakan-rakan yang bukan daripada golongan artis lebih glamor dan meriah. Lebih gah daripada selebriti. Tetapi untuk saya, saya lebih suka yang santai dan selesa. Bukan jenis yang 'bling bling'. "Sebagai artis, saya penat berdandan dan melawa untuk pelbagai jenis acara. Jadi, hari raya merupakan ruang untuk saya bersederhana, tidak perlu terlalu berdandan dan yang lebih penting menjadi diri saya sendiri," akuinya lembut. Namun pengaruh rakan sebaya sedikit merubah emosi untuk beraya tahun ini. Ini semua gara-gara penampilan aktres Rozita Che Wan, rakan yang sentiasa tampil elegan sepanjang masa. "Tahun ini saya terkena tempias kawan-kawan. Saya tersentuh apabila melihat Rozita Che Wan yang ada 30 pasang baju raya. Baju dia pula semuanya yang wow, tahap fasa karpet merah sampai buat saya rasa kurang semangat dan persiapan menyambut raya. Tetapi tahun ini saya pakai apa yang ada dulu sebab tidak sempat buat persiapan beria," ketawanya yang turut melihat peningkatan semangat persiapan raya dalam diri rakan baiknya, Umie. "Kalau Zahida memang depan mata sudah nampak macam mana cerianya dia mahu menyambut raya. Dulu, Umie santai tetapi semenjak dua menjak ini, dia semakin bergaya. Sudah nampak peningkatan," sambungnya tentang dua rakannya yang turut bergaya dalam busana Salikin Sidek dalam sesi fotografi kali ini. Sebelum menamatkan keterujaan bercerita tentang raya, ibu kepada Aleesya ini ditanyakan erti kemaafan. Dia menjawab, lembut: "Kemaafan raya ialah apabila kita dengan ikhlasnya memohon. Masa untuk kita melepaskan sesuatu dan juga hari sebuah pengakuan dibuat. "Memang kita boleh minta maaf bila-bila masa sebenarnya tetapi hari raya dijadikan istimewa terutamanya untuk orang yang mempunyai ego yang besar serta sukar menyebut perkataan maaf. Jadi, gunakanlah platform ini untuk memohon dan kita tidak akan berasa janggal jika benar-benar ikhlas," kata maaf Erra yang membawa maksud begitu mendalam. | |
Ella, Man Kidal gegar Dewan Filharmonik Petronas Posted: 10 Aug 2013 04:37 PM PDT
DEWAN Filharmonik Petronas (DFP) bakal mempersembahkan DFP Seni Festival yang menyajikan muzik ekstravaganza pada perayaan seni dan budaya selama seminggu bermula 16 September depan. Dalam tiga festival yang lepas, DFP dan Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) meraikan pelbagai cabang seni seperti muzik pelbagai genre, tarian, puisi dan lukisan, dengan kolaborasi terunggul bersama artis-artis tempatan, pelukis-pelukis tersohor dan badan-badan kesenian. Sempena festival kali ini, DFP dan MPO akan meneruskan kelangsungan pesta keraian ini dengan kolaborasi yang diharap mempersonakan khalayak. Membuka tirai dengan persembahan bertemakan Malam Melayu Klasik yang menampilkan Badan Kesenian Yayasan Warisan Johor, DFP Seni Festival akan menampilkan penyanyi lagu-lasu asli yang terkenal seperti Datuk Andre Goh dan penyanyi asli angkatan baru Haziq. Antara lagu-lagu yang akan dipersembahkan ialah Mas Merah, Pasir Roboh, Seri Mersing, Halimun Malam, Bunga Tanjung dan Mohon Kasih. Diserikan irama zapin, ghazal dan asli, konsert itu dijadualkan pada hari Isnin, 16 September ini pada pukul 8.30 malam. Ia juga bertepatan dengan sambutan Hari Malaysia pada tarikh yang sama. Persembahan bertemakan Spectrum oleh MPO akan diadakan pada 18 September depan. Konsert unik yang mengetengahkan koreografi bercorak kontemporari oleh beberapa kumpulan tarian itu akan diiringi muzik ciptaan baharu oleh MPO di bawah pimpinan Kevin Field. Melengkapkan perayaan seni dan budaya, persembahan teater tradisional, makyung pula menyusul pada 20 September depan. Diterajui oleh kumpulan Makyung Kijang Emas Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Kelantan dan Rosnan Abdul Rahman, satu-satunya Makyung lelaki dalam seni persembahan itu. Persembahannya itu berjudul Makyung Raja Besar Negeri Ho Gading. Persembahan festival seterusnya bertukar rasa. Bertemakan MPO Rocks, sebuah konsert penuh versatil akan berlangsung pada 11 September berkonsepkan akustika dan berkolaborasi dengan artis-artis rock tanah air seperti Ella dan gitaris Man Kidal. Wadah terakhir untuk festival kali ini ialah konsert bertemakan MPO and All That Jazz yang bakal menampilkan MPO Jazz Orchestra. Ia mempersembahkan lagu-lagu Melayu dan Inggeris dalam interpretasi jaz. Konsert ini menampilkan penyanyi Atilia, Dina Nadzir dan Elvira Arul. Antara lagu yang bakal dipersembahkan ialah When I Fall In Love, Imagine, Itulah Sayang, Old Love, Sangkar, I'd Rather Go Blind dan Getaran Jiwa. Konsert ini bakal berlangsung pada 22 September depan pukul 8.30 malam. Selama seminggu dengan persembahan berbeza pada setiap malam, perayaan seni dan budaya itu akan diisi dengan aktiviti menarik di pekarangan lobi DFP sepanjang minggu. Maklumat lanjut boleh dilayari menerusi www.mpo.com.my. | |
Posted: 10 Aug 2013 04:36 PM PDT
KELIBAT Azhan Rani tidak pernah kelihatan dalam mana-mana majlis hiburan sepanjang Ramadan lalu. Bukan sengaja menyepikan diri atau bercuti panjang, si bujang dari Tanjung Karang, Selangor itu sebenarnya terpaku di lokasi penggambaran sampai tidak mampu hendak ke mana-mana. "Pada tahun lepas, saya juga terlibat dengan penggambaran pada bulan puasa, tetapi jadualnya tidak seperti tahun ini. Untuk drama yang saya lakonkan sekarang, kami memulakan penggambaran tiga hari sebelum puasa. Ia dijangka selesai hujung September nanti. Tiap-tiap hari saya kena berada di lokasi sehingga terlepas beberapa jemputan," katanya yang beraya di Kuala Kubu Bharu, Selangor sehingga hari raya keenam sebelum menyambung semula penggambaran. Azhan kini terlibat dengan penggambaran drama bersiri untuk slot Azalea di TV3 berjudul Derhaka Seorang Madu. Dalam drama tersebut, dia melakonkan watak seorang suami yang berdepan masalah besar dalam perkahwinan kerana mempunyai dua orang isteri. "Saya ada banyak babak yang marah-marah dan terjerit-jerit. Boleh hilang suara jadinya. Satu hal lagi, banyak pula dugaan lain seperti bau makanan dan minuman yang sentiasa ada depan mata. Kalau bukan bulan puasa tak mengapa, penggambaran banyak dilakukan di restoran dan saya pula tauke restoran berkenaan," kata Azhan yang semakin menjadi rebutan penerbit dan pengarah. Mengaku jarang berpeluang menonton televisyen apatah lagi drama sendiri atau drama-drama yang diingatkan oleh kawan-kawan, Azhan sebenarnya seorang 'kaki rakam' program televisyen. Sepanjang Aidilfitri, Azhan mempunyai tiga buah drama istimewa termasuklah Rahsia Tok Pian, Tiba Masanya dan Abah Tak Balik Raya. "Saya akan rakam drama-drama atau karya kawan-kawan sealiran yang saya rasa kena tengok. Selalunya, kawan-kawan akan ingatkan, saya juga begitu tapi malangnya, kurang ada masa hendak menonton. Tapi, untuk drama hari raya, saya janji pada diri sendiri untuk tengok drama Rahsia Tok Pian yang disiarkan di TV3. Saya suka teknik kesan khas dan konsep drama berkenaan. Kisah orang tua yang tak suka hari raya," kata Azhan yang bakal muncul dengan sebuah lagi drama hebat berjudul Abah Tak Balik Raya pada 18 Ogos nanti. Tambah Azhan: "Dalam Abah Tak Balik Raya pula, saya jadi ahli bomba. Awal-awal lagi watak saya sudah dimatikan macam dalam Tiba Masanya juga tapi akan selalu muncul sepanjang cerita. Ia kisah tentang dua orang anak yang tidak dapat menerima hakikat kehilangan bapanya yang meninggal dunia semasa bertugas." Lebih tujuh tahun berkecimpung dalam drama dan teater tanah air, pelakon yang juga pemegang Ijazah Sarjana Muda Drama dan Teater itu juga bakal muncul menerusi filem KL Zombi pada Ogos ini. Memegang watak sebagai anggota polis trafik, kemunculan Azhan itu bakal jadi introduksi pertamanya ke layar perak mendahului filem-filem lain lakonannya yang masih belum ditayangkan termasuklah Anak Jantan, Pencinta, Aku Kini Kamu dan In What City Doest It Live. | |
Posted: 10 Aug 2013 04:34 PM PDT KUALA LUMPUR – Banyak pasangan pengantin baharu pada masa kini terpaksa membuat pinjaman peribadi daripada bank semata-mata untuk membiayai kos perkahwinan yang terlalu tinggi. Pinjaman peribadi itu dibuat bagi membolehkan mereka menanggung beban perbelanjaan kahwin meliputi bayaran mas kahwin, wang hantaran dan kos perbelanjaan kenduri seperti katering, pelamin, dewan, pakaian pengantin serta khidmat jurufoto. Bagi pasangan Harun dan Hamidah, masing-masing berusia 25 tahun dari Shah Alam, Selangor, mereka mengakui turut terjebak dalam belenggu pinjaman peribadi demi menempuh gerbang perkahwinan. Menurut Harun, dia terpaksa membuat pinjaman peribadi sebanyak RM85,000 daripada bank untuk berkahwin pada awal tahun lalu. "Saya nekad buat pinjaman sebesar itu selepas membuat kiraan mas kahwin, wang hantaran, kos majlis perkahwinan dan banyak lagi yang mencecah lebih RM60,000," ujarnya ketika ditemui di rumah mereka. Jelas Harun, dia terpaksa membuat pinjaman sebanyak itu kerana tidak mempunyai tabungan lantaran berkahwin pada usia yang muda dan baru tamat pengajian di universiti. | |
Islam tidak galak berhutang untuk nikah Posted: 10 Aug 2013 04:33 PM PDT KUALA LUMPUR - Islam tidak menggalakkan bakal pengantin berhutang untuk berkahwin sekiranya hutang tersebut boleh memudaratkan kehidupan mereka selepas berkahwin kelak. Pendakwah bebas, Datuk Md. Daud Che Ngah berkata, meminjam wang untuk berkahwin adalah bercanggah dengan prinsip Islam jika pinjaman itu mendatangkan implikasi tidak baik. "Meskipun berhutang untuk berkahwin dibolehkan dalam Islam tetapi ia tidak digalakkan jika hutang itu dibuat di luar kemampuan pengantin membayarnya. "Sebagai contoh, berhutang berpuluh ribu ringgit untuk berkahwin dan selepas kahwin terpaksa membayar hutang hingga menjejaskan kehidupan keluarganya. Islam tidak menggalakkan hutang seperti ini," katanya ketika dihubungi Kosmo!. Justeru, Md. Daud menasihati mereka yang bakal berkahwin supaya seboleh mungkin mengurangkan kos majlis perkahwinan termasuk dalam aspek wang hantaran. | |
Lima maut gunung berapi meletus di Indonesia Posted: 10 Aug 2013 04:28 PM PDT JAKARTA - Sebuah gunung berapi yang meletuskan debu panas dan batu di wilayah timur Indonesia semalam membunuh lima orang mangsa. Gunung berapi Rokatenda yang terletak di wilayah Nusa Tenggara di Pulau Palue itu turut menyemburkan asap dan debu setinggi 2,000 meter ke udara. Letusan dikatakan bermula pada pukul 4.27 pagi (waktu tempatan) dan berlanjutan selama hampir empat jam. Agensi Mitigasi Kebangsaan Indonesia memberitahu, gunung berapi tersebut mengalirkan laharnya ke kawasan pantai berhampiran dan membunuh lima orang termasuk dua kanak-kanak. Hampir 3,000 penduduk telah dipindahkan dari Pulau Palue yang dihuni oleh kira-kira 7,000 orang. Gunung Rokatenda diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga sejak Oktober tahun lalu. Pihak berkuasa juga menghalang orang ramai daripada melakukan sebarang aktiviti dalam jarak tiga kilometer dari gunung tersebut. "Kami telah menemui mayat mangsa dewasa dan masih mencari mayat dua kanak-kanak malang itu. "Operasi mencari mangsa sukar kerana kawasan terlibat sangat panas," jelas agensi itu. Ketua pusat vulkanologi, Surono menyatakan pihaknya tidak tahu apa yang dilakukan oleh mangsa di lokasi kejadian. | |
Songket tenunan tangan siap sebulan Posted: 10 Aug 2013 04:27 PM PDT APABILA bercakap mengenai songket, pasti kita akan membayangkan negeri-negeri di Pantai Timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang. Negeri-negeri itu memang terkenal dengan pembuatan songket dalam kalangan penduduk tempatan mahupun pelancong asing sejak sekian lama. Namun, Mahkota Songket iaitu anak syarikat Lunas Atur Sdn. Bhd. membawa kelainan apabila menghasilkan kain songket yang dibuat sepenuhnya di Selangor. Menurut pengurusnya, Leena Hassan, 33, idea menghasilkan sendiri tenunan songket ini bermula apabila bapanya, Hassan Mohd. Jamil, 66, menerima tempahan untuk membuat kain samping daripada songket untuk kakitangan tentera. "Pada mulanya ayah saya hanya menjalankan perniagaan menjual aksesori untuk kakitangan tentera pada tahun 1993 dan melebarkan cabang perniagaannya kepada songket selepas menerima tempahan dengan mengupah pekerja-pekerja yang mahir untuk membuatnya. "Melihatkan permintaan yang semakin memberangsangkan, kami bertindak membeli mesin tenunan songket sendiri termasuklah yang tradisional dengan dibantu oleh kakitangan lulusan Institut Kraf Negara," ujarnya yang mempunyai bangunan sendiri dikenali Latur setinggi empat tingkat di Alam Avenue, Shah Alam. Tambahnya, harga bagi songket tenunan tangan ditentukan melalui penggunaan jenis benang dan rekaan eksklusif yang mampu mencecah harga ribuan ringgit. "Rekaan eksklusif songket buatan tangan selalunya sering menjadi pilihan ahli-ahli perniagaan kerana satu rekaan sahaja yang dihasilkan dengan menggabungkan corak moden dan tradisional.
Gabung idea "Penggunaan warna yang betul mampu menaikkan seri songket itu. Warna dan benang yang bersesuaian perlu dicuba terlebih dahulu sebelum mula menenunnya. Ini bagi memudahkan kami bermain dengan benang serta warna yang menarik. Ia tidak sama sekiranya kita hanya menghasilkan warna dengan menggunakan komputer. "Pada peringkat awal dahulu, kami memilih warna berdasarkan logik sendiri tetapi ia tidak menjadi kerana warna dan pemilihan benang yang sesuai untuk songket memainkan peranan yang penting. "Kami membuat rekaan sendiri hasil garapan idea bersama tiga orang kakitangan yang mahir dalam bidang pembuatan songket. "Selalunya, kami akan menggabungkan idea rekaan yang diketengahkan oleh pekerja bagi menjaga kualiti dan tahap eksklusif songket itu," jelasnya sambil memberitahu, proses penghasilan songket tenunan tangan mengambil masa selama sebulan untuk disiapkan. Leena berkata, cabaran untuk mengendalikan perniagaan songket itu adalah memperoleh kepercayaan pelanggan kerana ramai orang yang tidak menyangka songket keluaran syarikatnya itu dihasilkan di Shah Alam. "Mentaliti masyarakat sudah sinonim dengan songket yang terkenal di negeri-negeri Pantai Timur dan itu menjadi cabaran kepada kami untuk memperoleh kepercayaan mereka. Tetapi, apabila melihat kualiti songket kami, alhamdulillah pelanggan menyukainya. "Sebenarnya, membuat kain songket tidaklah serumit mana tetapi ia tidak boleh disiapkan dalam keadaan tergesa-gesa kerana hasilnya akan menjadi kurang menarik. Seseorang yang menghasilkannya juga tidak boleh berada dalam keadaan tertekan kerana ia memberi kesan ke atas kualiti produk yang dihasilkan. "Saya sendiri pernah cuba untuk membuatnya tetapi hasilnya tidak begitu menarik dan kurang kemas. Justeru, saya hanya menyerahkan proses pembuatannya kepada mereka yang lebih mahir," ujarnya yang dibantu oleh suaminya, Mohamad Firdaus Mohd. Ramzi, 33. Warna pudar Katanya, lingkungan harga untuk songket keluaran syarikatnya bermula dari RM70 hingga RM8,000 bergantung pada rekaan dan jenis benang yang digunakan. "Kami terpaksa bersaing dengan songket dari Pakistan dan India yang mempunyai harga yang jauh lebih murah tetapi berkualiti sehinggakan ada yang berharga hanya RM20. Namun, kebanyakan individu tidak mengetahui jenis songket yang mereka beli. "Songket boleh diketahui berasal dari negara mana berdasarkan penggunaan benang kerana benang dari negara asing lebih leper dan ia berbeza dengan benang yang dikeluarkan di negara kita yang berbentuk bulat," katanya yang pernah menghasilkan songket untuk Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. Jelas Leena, songket tidak boleh dibasuh, dilipat dan dijemur di bawah sinaran matahari kerana tindakan itu boleh menyebabkan warnanya pudar. "Saya pernah dimarahi oleh pelanggan kononnya kain songket yang dibeli pada harga ribuan ringgit daripada kami tidak berkualiti kerana warnanya cepat pudar. Sebenarnya produk yang paling berkualiti pun jika terdedah terlalu lama pada cahaya matahari tidak akan tahan lama khususnya dari segi warna. "Selain kain songket, kami juga ada menampilkan produk songket yang lain seperti kotak hadiah, kotak hamper, beg, selendang meja dan kusyen dengan lingkungan harga bermula dari RM7 hingga RM200. "Sebagai perancangan, kami ingin jenama Mahkota Songket dikenali ramai dan berdiri megah setanding dengan jenama songket keluaran syarikat lain," ujarnya. | |
Juruterbang wanita pertama Afghanistan Posted: 10 Aug 2013 04:26 PM PDT Niloofar Rhmani memenuhi cita-cita dan hasrat bapanya yang mahu dia menjadi juruterbang. PADA 14 Mei lalu, Leftenan Niloofar Rhmani, 21, melakar sejarah apabila dia menjadi wanita pertama Afghanistan yang berjaya menamatkan latihan juruterbang. Dia yang berasal dari Kabul itu merupakan salah seorang daripada lima graduan yang akan meneruskan ke tahap seterusnya untuk mengendalikan pesawat Cessna 208. "Saya amat bangga kerana berjaya melakukannya. Saya juga sangat gembira kerana menjadi wanita pertama yang berjaya melakukannya. Saya terpaksa bekerja keras tetapi saya mahu membuktikan kepada wanita di negara ini bahawa kita boleh melakukannya," katanya. Dia lulus kursus itu di Pangkalan Tentera Udara Shindand di wilayah Herat. Dia diajar oleh pengajar daripada Tentera Udara Amerika Syarikat (AS). Niloofar berkata, membesar di Afghanistan sebagai seorang wanita dan mempunyai impian untuk menjadi seorang juruterbang perlu berhadapan dengan banyak cabaran. Namun, katanya, pengorbanannya itu sangat berbaloi. "Untuk menjadi yang pertama dalam apa jua perkara memang mencabar," ungkapnya. Wanita itu memberitahu, apa yang dapat diingatinya adalah dia teruja dengan langit dan menyedari bahawa juruterbang merupakan kerjaya yang diidam-idamkannya. "Bapa mahu saya menjadi juruterbang. Ia merupakan cita-citanya. Tetapi, 40 tahun lalu, dia tidak dapat melakukannya (menjadi juruterbang). Saya mahu memenuhi impiannya itu dengan menjadi seorang juruterbang," katanya. Permulaan hidup Kata Niloofar, keluarganya turut menjadi pendorong dalam usahanya untuk menggapai cita-cita itu. "Mereka sentiasa percaya dan menyokong saya. Saya tidak dapat melakukannya (menjadi juruterbang) tanpa keluarga dan tenaga pengajar," tambahnya. Antara syarat untuk layak menjadi juruterbang adalah mengikuti kursus bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua. Kursus itu melibatkan tempoh antara enam bulan hingga satu tahun setengah. Setelah mengikuti kursus itu, seseorang calon dikehendaki mengikuti program yang mengandungi tiga fasa yang berakhir dalam tempoh setahun. Walaupun Niloofar dan rakan-rakannya mengambil masa untuk menjadi juruterbang, dia memahami bahawa ia hanya permulaan dalam kehidupan yang panjang dan mencabar. "Ia akan menjadi sukar, tetapi saya tidak takut," katanya "Ia aman di atas sana (udara). Saya hanya menumpukan perhatian semasa mengendalikan kapal terbang. Matlamat saya kini adalah untuk membantu negara saya mempunyai masa depan yang baik dan mempertahankan hak wanita. "Saya sudah memecahkan tradisi untuk kaum wanita di negara saya," katanya kepada pemberita baru-baru. Kejayaan wanita itu turut mendapat liputan meluas media di negaranya. Pada 18 Julai lalu, dia ditemani seorang pegawai tentera udara AS, Kapten Aaron Marx mengendalikan sebuah pesawat yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kabul ke Kandahar. Pesawat itu membawa beberapa pegawai Kementerian Pertahanan Afghanistan. Dia kini bertugas sebagai juruterbang di Pangkalan Udara Kabul dengan berkhidmat untuk Batalion C208 dan C27. |
You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |