Selasa, 13 Ogos 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Hujan meteor di langit Malaysia malam ini

Posted: 11 Aug 2013 07:04 PM PDT


PENDUDUK Malaysia akan dapat melihat hujan meteor malam ini. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - Fenomena pancuran meteor Perseid daripada buruj Perseus dijangka dapat dilihat di ruang angkasa negara malam ini sehingga subuh esok.
Ketua Unit Penyelidikan Sains Angkasa, Agensi Angkasa Negara (Angkasa), Fairos Asillam berkata, pancuran meteor Perseid antara paling menarik kerana cahayanya terang dan boleh dilihat dengan mata kasar di kawasan lapang.
"Pancuran meteor berlaku apabila bumi melintasi laluan komet dan menyebabkan debu-debu komet ini terbakar apabila memasuki atmosfera bumi.
"Bagi pancuran meteor Perseid, ia berlaku kerana bumi melintasi laluan komet Swift-Tuttle yang mempunyai diameter nukleus lebih kurang 26 kilometer," katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Beliau berkata, apabila komet itu semakin menghampiri matahari, ia turut melintasi orbit bumi dan meninggalkan debu-debu komet sepanjang perjalanannya.
"Debu-debu inilah yang akan memasuki atmosfera bumi dan menghasilkan pancuran meteor yang dapat dilihat dengan mata kasar," katanya.
Katanya, waktu terbaik menyaksikan hujan meteor itu ialah selepas bulan terbenam bermula pukul 11 malam.

Bos Facebook jual saham RM296 juta

Posted: 11 Aug 2013 07:01 PM PDT




FOTO yang dirakam pada 2 Julai lalu ini menunjukkan Ketua Pegawai Operasi Facebook, Sheryl Sandberg bergambar bersama Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe sebelum mengadakan mesyuarat di Tokyo, Jepun.


NEW YORK - Ketua Pegawai Operasi Facebook, Sheryl Sandberg menjual sahamnya dalam syarikat rangkaian sosial itu bernilai AS$91 juta (RM296 juta).
Saham Facebook diperdagangkan pada harga AS$38 (RM123.6) sejak Mei 2012.
Namun, nilai saham itu susut sejak mula diniagakan di bursa saham Amerika Syarikat.
Hanya beberapa hari lalu nilai saham Facebook sudah pulih dan mengatasi nilai awalnya.
Ia ditutup pada nilai AS$38.50 (RM125.2) Jumaat lalu.
Menurut satu laporan yang dikeluarkan Jumaat lepas, Sandberg masih memegang lebih 25 juta saham yang dianggarkan bernilai kira-kira AS$1 bilion (RM3.25 bilion).

Spesies ikan suka gigit testis manusia

Posted: 11 Aug 2013 07:00 PM PDT



IKAN pacu daripada keluarga ikan piranha mempunyai gigi yang tajam.


STOCKHOLM - Golongan lelaki di Sweden diingatkan agar tidak berbogel semasa berenang selepas satu spesies ikan baharu yang ditemui di perairan negara itu cenderung menggigit testis (buah zakar) manusia.
Akhbar dalam talian MailOnline melaporkan, ikan pacu bersaiz 0.21 meter daripada keluarga piranha itu ditemui oleh seorang nelayan.
Ia dijumpai di Oresund Sound, pesisir pantai di selatan Sweden pada minggu lalu.
Ikan pacu mempunyai gigi seperti manusia yang amat sesuai untuk mengunyah.
Di Papua New Guinea, ikan pacu dikenali sebagai 'Pemotong Testis' dan spesies itu dilapor menjadi punca kematian dua nelayan di situ.
Mangsa mati akibat kehilangan banyak darah selepas buah zakar mereka digigit ikan air tawar berkenaan yang mampu membesar sehingga 0.9 meter dan berat mencecah 25 kilogram.

Galakan ternak ayam kecil-kecilan

Posted: 11 Aug 2013 06:57 PM PDT


MASYARAKAT digalakkan menternak ayam secara kecil-kecilan bagi mengurangkan permintaan di pasaran.


AYAM merupakan antara sajian wajib setiap kali musim perayaan. Baik masyarakat Melayu, Cina atau India, hakikatnya ayam sudah sebati dengan lidah pelbagai lapisan masyarakat Malaysia.
Ayam boleh dipelbagaikan masakannya seperti sup, paprik, rendang, masak lemak, kari dan sebagainya.
Bahkan, bagi sesetengah individu, nasi yang dimakan bersama seketul ayam goreng mampu membangkitkan selera.
Perkara itu diakui oleh kakitangan swasta, Hidayatul Akmal Ahmad, 28. Katanya, ayam menjadi hidangan wajib baik pada musim perayaan mahupun majlis kenduri-kendara atau perkahwinan.
"Ia mudah disediakan, cepat masak dan rasanya enak," katanya ketika ditemui. Wanita berkulit sawo matang yang tidak lekang dengan senyuman itu memberitahu, pada kebiasaan, ibunya Zakiah Abdul Ghani, 58, menyediakan rendang ayam kampung dan ayam masak kicap pada pagi hari raya.
Kira-kira 10 ekor ayam digunakan untuk memasak kedua-dua hidangan yang menjadi kegemaran tetamu itu.
Ibunya turut menyediakan rendang daging, namun rendang ayam tetap menjadi pilihan sanak saudara dan sahabat handai.
"Rasa rendang ayam kampung memang sedap kerana dagingnya manis dan lembut, jadi tidak hairanlah dua hari sahaja sudah licin," ujar Hidayatul Akmal sambil menambah, hidangan itu juga sering menjadi menu harian apatah lagi jika adik-beradik pulang ke kampung.
Harga ayam naik
Sejak kecil Hidayatul Akmal sudah biasa makan ayam dan kenaikan harga ayam baru-baru ini turut membimbangkannya.
"Bukan apa, jika menu ayam ditukarkan kepada ikan, saya rasa tidak sesuai untuk divariasikan terutama pada musim perayaan," jelasnya ketika ditemui baru-baru ini.
Akhbar baru-baru ini melaporkan kenaikan harga ayam di beberapa pasar basah dan pasar raya di ibu negara.
Berdasarkan laporan itu, harga ayam naik daripada RM7.50 ke RM8.50 sekilogram. Kenaikan secara mendadak itu berlaku ekoran permintaan terhadap bekalan ayam meningkat daripada 1.2 juta kepada 2.2 hingga 2.4 juta ekor sehari pada bulan Ramadan sehingga sambutan Aidilfitri.
Bimbang senario itu terus berlarutan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menetapkan harga ayam standard pada kadar RM7.70 sekilogram.
Harga tersebut dilaksanakan selama 17 hari bermula dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini. Sehubungan itu, para peniaga wajib menjual barangan harga terkawal tidak melebihi harga maksimum yang ditetapkan.
Seorang peniaga yang enggan dikenali berkata, golongan peniaga bukannya menaikkan harga sewenang-wenangnya tetapi ia berlaku apabila pembekal bertindak menaikkan harga.
Sebelum ini, dia menjual ayam pada harga RM7.50 sekilogram tetapi terpaksa menaikkannya kepada RM8.50 selepas menerima ayam daripada pembekal pada harga RM7.30 sekilogram.
"Kami tidak mempunyai pilihan selain menaikkan harga. Namun, apa yang dikesali pengguna menuduh kami menaikkan harga sesuka hati sedangkan pembekal yang membekalkan ayam melebihi harga siling.
"Saya rasa sudah tiba masanya kerajaan mencari alternatif terbaik bagi menyelesaikan masalah ini kerana kami sering dituduh menjadi punca kenaikan harga ayam," tegasnya sambil menyifatkan tindakan boikot membeli ayam tidak pernah berjaya.
Pengusaha katering, Azarul Bahari berkata, dia sendiri sukar untuk memboikot ayam memandangkan pelanggan yang merancang mengadakan rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri pasti menempah menu berasaskan ayam.

PERMINTAAN bekalan ayam mencecah 2.4 juta ekor sehari pada bulan Ramadan dan Aidilfitri ini.


Pelanggan merungut
Hidangan ayam seolah-olah hidangan wajib majlis rumah terbuka berbanding ikan dan daging. Lagipun, ayam boleh dimakan bersama menu lain berbanding ikan.
"Bayangkan nasi beriani bersama gulai ikan, hidangan itu bukan sahaja tidak sesuai malah gabungan yang tidak kena," ujarnya.
Menurut Azarul, menu ayam sesuai dinikmati oleh semua kaum di Malaysia.
Azarul mengakui, ekoran kenaikan harga ayam, pihaknya tidak mempunyai pilihan selain menaikkan harga hidangan.
"Kami terpaksa berbuat demikian kerana tidak mahu menanggung kerugian. Pelanggan memang merungut ekoran kenaikan harga tersebut.
"Saya berharap pihak kementerian memantau tindakan menaikkan harga ayam kerana ia membebankan banyak pihak," ujarnya.
Sementara itu, usaha wartawan Kosmo! untuk mendapatkan komen Presiden Persatuan Bahagian Ayam Daging Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM), Kwei Yew Tong gagal kerana beliau tidak menjawab panggilan telefon.
Longgarkan syarat
Hakikatnya, masalah kenaikan harga ayam berlaku pada setiap tahun. Justeru, Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia, Mohd. Yusuf Abdul Rahman mencadangkan supaya kerajaan menggalakkan masyarakat negara ini menceburi bidang penternakan secara kecil-kecilan.
"Selain bantuan modal dan latihan, kerajaan boleh melonggarkan syarat untuk menternak ayam di kawasan perumahan," katanya.
Cadangan itu agak bernas memandangkan permintaan ayam pada era 70-an tidak pernah meningkat terutama di luar bandar.
"Orang dulu lebih gemar menternak ayam, jadi apabila musim perayaan, mereka menggunakan hasil ternakan itu sahaja. Ia bukan sahaja menjimatkan wang malah hasil ternakan mereka lebih berkhasiat," jelasnya.
Langkah itu dilihat dapat menangani masalah permintaan yang meningkat menjelang musim perayaan berbanding memboikot pembelian ayam.
Boikot juga bukan penyelesaian terbaik dalam isu kenaikan harga ayam sebaliknya pengguna boleh mengurangkan pembelian dan makan ayam.
"Misalnya, jika kita makan ayam empat kali seminggu kita kurangkan, susah jika kita tidak mahu makan terus sebab ayam antara makanan utama rakyat Malaysia.
"Apa yang pasti sekiranya pengguna dapat mengurangkan pembelian dan makan ayam, permintaan dalam pasaran akan berkurangan seterusnya menurunkan harga ayam," ujarnya Mohd. Yusof.

Tudung labuh gaya kontemporari

Posted: 11 Aug 2013 06:55 PM PDT


KONSEP tudung bawal memudahkan pengguna memakai tudung labuh keluaran Elle Zada.


LAMBAKAN busana baju kurung dengan sentuhan moden dan berwarna-warni menghangatkan sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang beberapa hari lagi. Persalinan Muslimah turut mendapat sambutan dengan rekaan yang lebih kontemporari tetapi masih mengikut syariat agama.
Bagi mereka yang tercari-cari tudung labuh dengan percikan rona menarik, koleksi daripada butik dalam talian, Elle Zada, boleh dijadikan panduan gaya baharu sempena musim perayaan nanti.
Istimewanya tudung labuh Elle Zada, ia mudah dipakai kerana direka dengan menggunakan konsep sama seperti tudung bawal. Pemakai hanya perlu menyerkup tudung dan boleh menggayakannya mengikut pilihan sendiri.
KESELESAAN menjadi keutamaan kepada Elle Zada selain mengikut syariat agama.


"Cara pemakaian sangat mudah malah menjimatkan masa malah pengguna hanya perlu melilit lebihan kain. Kreativiti mereka membuatkan pemakaian tudung tampak menarik," ujar pemilik butik Elle Zada, Elliyin Rasif, ketika ditemui Stailo.
Serlahkan penampilan
Tudung labuh tersebut didatangkan dengan pilihan rona-rona polos dan dua tona yang senada. Ia menyerlahkan penampilan si pemakai kerana lari daripada rekaan tipikal dan konvensional.
"Rekaan Elle Zada menekankan intepretrasi berlandaskan syariat agama tetapi kami menambah unsur-unsur kontemporari sebagai satu transisi Muslimah moden," tambah Elliyin.
Elliyin mendapat idea mereka tudung labuh tersebut apabila ramai rakan bertanyakan tudung yang dipakainya. Menurutnya lagi, pada peringkat awal, dia hanya menjahit sendiri tudung labuh berkenaan kerana sukar mencari rekaan serupa di pasaran.
WARNA ceria menambah seri wajah si pemakai.


"Jika kita lihat, kebanyakan tudung hari ini diberi sentuhan yang terlalu menyerlah hingga lari daripada tuntutan Islam sebenar.
"Disebabkan itu, saya reka tudung sendiri dan tidak sangka pula ramai yang menginginkan tudung sama," imbas Elliyin.
Tidak terhad kepada rekaan polos, Elle Zada turut menawarkan tudung labuh bercorak dan cetakan mengikut musim tertentu. Terdapat juga koleksi warna kontra dan motif floral yang sesuai untuk remaja perempuan dan bekerjaya.
Beroperasi secara talian, laman Elle Zada boleh diakses menerusi laman web rasmi atau pelanggan boleh berkunjung ke laman sosial, Facebook, untuk mendapatkan promosi dan pilihan terkini.

Suka duka kerjaya seorang pereka

Posted: 11 Aug 2013 06:54 PM PDT



BUSANA tradisi sangat sinonim dengan sambutan Aidilfitri apabila setiap umat Islam di Malaysia memilih untuk bergaya mengenakan persalinan seperti baju kurung, kurung Kedah dan kebaya. Peralihan masa membawa inovasi kepada baju-baju tersebut atas daya kreatif sang pereka yang menghamparkan cetusan idea mempesona.
Jika dilihat hari ini, kebanyakan baju tradisional diberi penataan bak selebriti kerana ramai pelanggan, terutamanya kaum wanita, mula terdedah dengan cita rasa fesyen yang tinggi. Ia memberi galakan kepada para pereka untuk terus menghasilkan koleksi yang mampu menampakkan keayuan setiap wanita.
Namun, tiada siapa tahu, dalam kesibukan menyiapkan tempahan yang menggunung, terselit cerita suka dan duka pereka busana ini bagi memastikan setiap ukuran menjadi sepasang persalinan indah hingga pelanggan mengukir senyuman tanda kegembiraan.
Mengimbas detik awal menjadi jurubusana, gandingan Rashid Omar dan Wan Mohd. Ridzuan Wan Ismail di bawah label Wanpa, pernah tidak sempat menyiapkan baju pelanggan akibat terlebih menerima tempahan.

DARI kiri: Hazree, Afiq, Rashid, Syafenaez, Ezuwan dan Wan Mohd. Ridzuan.


"Waktu itu, kami baru lagi dalam industri fesyen sehinggakan ghairah menerima tempahan yang melangkaui kemampuan dan tenaga kerja yang ada," imbas Rashid.
Mengehadkan tempahan
Disebabkan itu, mereka terpaksa menyudahkan kerja hingga ke malam raya bagi memastikan pelanggan tetap menerima baju.
"Sejak peristiwa itu, kami lebih berhati-hati dalam menerima tempahan terutamanya musim perayaan bagi mengelakkan detik pahit itu berulang.
"Kami mengehadkan jumlah baju dan pelanggan mesti membuat tempahan awal mengikut jangka masa yang ditetapkan," kata Wan Mohd. Ridzuan.
Perkara sama turut dialami oleh Hazree Wahid sehingga menyebabkan dia pulang ke kampung halaman di Johor Bahru, Johor, pada malam hari raya.
"Kadang-kadang pelanggan sanggup membayar pada harga tinggi kerana membuat tempahan saat-saat akhir. Saya pula terpaksa menerimanya bukan disebabkan tamak tetapi tidak sampai hati untuk menolak memandangkan ada pelanggan terdiri daripada pelanggan tetap dan rakan-rakan," ujarnya.
Pendatang baharu, Afiq Mohamed juga turut mengalami nasib serupa seperti pereka-pereka seniornya apabila tahun lalu beberapa pasang baju tidak sempat disiapkan dan dihantar selepas seminggu hari raya.
"Mujur pelanggan-pelanggan saya faham dengan situasi itu memandangkan mereka sendiri lambat membuat tempahan. Toleransi sebegitu memudahkan kami sebagai pereka untuk mendahulukan tempahan awal," ujar pereka dari Rembau, Negeri Sembilan itu.
KEBAYA merah cetusan Hazree membangkitkan kemeriahan di hari lebaran.


Memori Syawal
Bagi Ezuwan Ismail pula, prinsipnya mudah, jika ada pelanggan membuat tempahan lewat, mereka akan menerima baju-baju seminggu selepas hari raya.
"Terdapat juga pelanggan yang menempah baju selepas Aidilfitri untuk disarungkan ketika menghadiri rumah terbuka," kata Ezuwan yang bakal melangsungkan perkahwinan bersama pilihan hati pada hari raya ketiga tahun ini.
Mengimbau kenangan menyambut Aidilfitri keempat-empat pereka itu, kemeriahan perayaan lebih terasa ketika zaman kanak-kanak mereka.
Bagi Afiq, Aidilfitri disambut bersama sanak saudara menjadi lebih meriah apabila mereka berkumpul di rumah nenda di Kampung Batu, Rembau.
"Setahun sekali dapat berkumpul, tidak sah jika saya dan sepupu tidak bermain mercun. Suasana itu hanya dapat dirasai di kampung," kenang Afiq.
Menyambut hari lebaran di kampung halaman sentiasa dinantikan oleh Hazree dan adiknya Syafenaez Wahid . Mereka memastikan berada di sisi keluarga dua hari sebelum perayaan.
"Ia merupakan tradisi kami seisi keluarga, walaupun semakin sibuk sejak bergiat aktif dalam industri fesyen, saya cuba untuk pulang ke kampung untuk bersama mereka," kata Syafenaez.
RONA-rona ceria menjadi pilihan Ezuwan sempena musim perayaan tahun ini.


Buat baju sendiri
Ketika zaman kanak-kanak, ketibaan hari raya sangat dinantikan oleh Ezuwan kerana dia boleh mengumpul duit hasil kegigihan berkunjung ke rumah-rumah terbuka.
"Hasil kutipan itu saya gunakan untuk membeli peralatan sekolah dan menyimpan sedikit dalam tabung," kata Ezuwan.
Lebih menarik, darah seni sebagai seorang pereka fesyen sudah bercambah dalam diri Ezuan sejak kecil apabila mampu membuat sendiri baju Melayunya.
"Menginjak usia remaja, saya sudah melaram dengan baju Melayu rekaan sendiri dan ia kekal sehingga ke hari ini," kata Ezuwan yang wajib menjamah ketupat dan rendang pada hari raya.
Berbeza pula dengan pereka duo, Wanpa kerana mereka lebih suka membeli baju yang sedia ada kerana masa yang tidak mengizinkan untuk menjahit sendiri. "Kadang-kadang, rakan pereka seperti Fairuz Ramdan memberi sepasang baju Melayu kepada kami," kata Wan Mohd. Ridzuan.
"Lagipun, baju untuk lelaki tidak perlukan banyak hiasan. Cukup dengan rekaan asli kerana saya sendiri lebih gemar dengan konsep yang ringkas dan minimalis," tambah Rashid pula.

Dunia penulisan kreatif Zainal Taib

Posted: 11 Aug 2013 06:52 PM PDT

DUNIA kewartawanan yang pernah diceburi mendorong Zainal Taib terlibat dalam bidang penulisan kreatif.


JIKA membaca karya penulis, Zainal Taib Abdul Hamid, 39, atau lebih dikenali sebagai Park Sue Zai, ia banyak berkisar kepada pengalaman hidupnya sewaktu bergelar wartawan suatu ketika dahulu.
Ini kerana anak kelahiran Kampung Batu Melintang, Jeli, Kelantan itu, telah memulakan kerjaya sebagai wartawan sambilan di sebuah akhbar tabloid. Di situlah dia mula diperkenalkan dengan dunia penulisan.
Walaupun sekadar wartawan sambilan, Zainal Taib bertanggungjawab mengendalikan beberapa kolum yang banyak mengupas isu-isu kehidupan dan keluarga.
"Ketika itu, saya berguru dengan Mazlan Manan, Nuri Sufian dan Hasyim Anang yang merupakan orang kuat sebuah syarikat penerbitan tempatan. Mereka banyak membantu dan memberi semangat untuk saya berkarya.
"Akhirnya, saya berjaya menyiapkan sebuah cerpen berjudul Ummi. Ini sekali gus membuka lembaran baharu dalam bidang penulisan kreatif," ujarnya.
Tanpa disangka, cerpen Ummi telah dipilih memenangi hadiah saguhati Sayembara Mengarang Cerpen Yayasan Ummi Selangor pada tahun 1996.
Rentetan itu, minatnya terhadap dunia penulisan kreatif semakin mendalam.
Tidak lama kemudian, dia tampil dengan lebih banyak cerpen seperti Kerana Baju Itu, Bila Mamaku Bergaya, Di Pertemuan Itu, Hati Izra, Datuk vs Datuk, Bila Datin Menjerit dan Ah Chow. Semua karya tersebut dimuatkan dalam majalah-majalah dan akhbar tempatan.
Pada tahun 2012, novel pertama Zainal Taib berjudul Noktah Pertemuan diterbitkan oleh Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd.
Ia merupakan sebuah novel remaja yang memaparkan kisah hidup seorang selebriti tanah air yang lahir daripada program realiti yang ingin mencari ketenangan jiwa selepas diuji dengan pelbagai dugaan.
Perasaan teruja
"Sebenarnya saya sendiri tidak menyangka bahawa selepas seminggu menghantar manuskrip novel tersebut, pihak penerbit terus memberi respons positif.
"Namun, saya diminta untuk menambah 50 muka surat lagi untuk menjadikan novel tersebut lebih suspens dan dramatik. Saya berjaya menyiapkannya dalam tempoh 14 hari. Dua minggu kemudian, saya dimaklumkan muka hadapan novel berkenaan telah siap.
"Perasaan saya amat teruja kerana percubaan pertama menghasilkan novel sendiri berhasil," ujarnya sambil mengimbau detik penghasilan novel itu yang dilancarkan pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2012.
Terbaharu, novel kedua Zainal Taib yang berjudul Mengejar Kasih Di Hujung Senja telah berada di pasaran.
Menurutnya, ia merupakan sebuah garapan kisah benar yang diadaptasi daripada pengakuan seorang bekas komunis yang telah kembali ke pangkal jalan.
"Kisah ini saya ambil semasa menjadi wartawan dan mengadaptasikan ke dalam bentuk novel. Ia turut menyelitkan isu-isu berkaitan penderaan, kasih sayang keluarga dan percintaan," jelasnya.
Dia kini sedang menanti karya ketiganya iaitu Himpunan Cerpen (Jalan Pulang) Zainal Taib dalam bentuk buku elektronik (e-book).
Untuk mendapat keterangan lanjut tentang Zainal Taib, sila layari laman l Faceboook Park Sue Zai atau Twitter Zainal Taib. Dia juga boleh dihubungi di talian 014-827 6298.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines