Khamis, 15 Ogos 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Janji mummy gembira - Ammar

Posted: 13 Aug 2013 11:16 PM PDT




PERCINTAAN selama tiga tahun antara aktres Rozita Che Wan, 40, atau mesra disapa Che Ta dan pelakon Zain Saidin, 29, bukan lagi rahsia.
Kontroversi yang dilalui sepanjang hubungan cinta itu bukan kepalang, namun kini satu Malaysia bagai merestui perhubungan tersebut termasuk dua anak bujang Che Ta sendiri, Ammar Effendy, 17, dan Aniq Ezzra, 15.
Buat pertama kalinya, anak sulung Che Ta, Ammar mengulas tentang hubungan ibunya dengan lelaki yang dipanggilnya dengan gelaran Uncle Zain itu.
"Ketika mula-mula dapat tahu mummy bercinta dengan Uncle Zain saya terkejut juga kerana saya tidak kenal siapa dia, jarang-jarang lihat dia berlakon di televisyen.
"Selepas tahu, saya selidik juga tentang Uncle Zain dan tengok drama lakonannya. Lihat wajahnya seperti orang putih, tetapi boleh pula cakap Melayu (ketawa).
"Sekarang okey kerana sudah kenal lama dan kami pun selalu keluar bersama," kata Amar.
Akuinya, walaupun Zain jauh lebih muda berbanding ibunya, tetapi tokoh seorang bapa terlihat jelas pada Zain.
"Bagi saya, Uncle Zain seorang lelaki yang bertanggungjawab, mengambil berat dan saya boleh menerimanya sebagai bapa andai dia berkahwin dengan ibu saya selepas ini.
"Umur bukan masalah, janji dia boleh menjaga keluarga dengan baik dan mummy gembira, saya pun turut gembira dengan kehidupan baharu yang bakal mummy lalui," balasnya penuh matang.
Bagaimanapun, Ammar yang belajar di sekolah berasrama penuh mengakui pernah berasa tertekan apabila ibunya dikatakan merancang untuk berkahwin pada bulan Julai lalu.
"Rasanya sepanjang mereka bercinta, saya rasa tertekan apabila keluar cerita di akhbar yang mengatakan ibu saya akan berkahwin pada bulan Julai, sedangkan saya sendiri sebagai anaknya tidak tahu apa-apa.
"Memang sangat terkejut sebab saya dapat tahu pun daripada rakan-rakan yang bertanyakan hal itu kepada saya," jelasnya.
Namun, selepas dijelaskan hal yang sebenar oleh ibunya, Ammar dapat menerima berita tersebut dengan baik.
"Biasanya apabila keluar cerita kontroversi di akhbar atau internet tentang mummy, saya akan terus hubunginya dan bertanya hal sebenar.
"Selepas diterangkan apa sebabnya dan hal yang sebenar, saya terus okey. Walaupun orang tulis apa sahaja tentang mummy, paling penting mummy selalu jujur dengan anak-anaknya," ucap Ammar.
CHE TA bertuah kerana anak-anaknya memahami dan merestui keputusannya untuk mengahwini Zain.


Raya dengan bapa kandung
Bercerita tentang sambutan Aidilfitri kali ini, kata Ammar, dia dan adiknya, Aniq beraya dengan bapa mereka selepas tiga tahun beraya di kampung halaman ibunya di Alor Setar, Kedah.
"Tahun ini, saya akan beraya di Kuala Lumpur dengan ayah sahaja kerana sudah tiga tahun raya dengan mummy.
"Raya kedua, kami adik-beradik akan ikut ayah bercuti ke Turki. Jadi, raya kami agak berbeza dan seronok tahun ini kerana dapat melancong ke luar negara," ungkap Ammar.
Mempunyai 10 pasang baju raya dan lima pasang kasut baharu yang telah disediakan oleh ibunya, tutur Ammar lagi, dia juga bersedia andai tahun hadapan akan beraya dengan bakal bapa tirinya.
"Rasanya okey sahaja kalau tahun hadapan beraya dengan Uncle Zain sebagai bapa baharu. Seronok juga, kira rutin raya kami akan berubah sedikit.
"Lagipun, Uncle Zain bukan orang baharu dalam hidup kami, saya juga doakan yang terbaik untuk mummy dan Uncle Zain. Sebagai anak, saya harap mereka akan bahagia," ujar Ammar.
Teruja bergelar isteri Zain
Bercakap tentang hubungannya dengan Zain, Che Ta mengakui dia begitu teruja untuk kembali memikul gelaran sebagai isteri.
"Terkejut juga ketika dilamar Zain pada hujung tahun lalu dengan sebentuk cincin. Ketika bercinta dengannya, kami tidak pernah berbincang soal kahwin sehinggalah tahun lalu.
"Bukan apa, saya sedar dia orang muda dan ramai lagi wanita muda yang boleh menjadi pilihannya, tetapi akhirnya dia pilih saya.
"Saya tahu bukan mudah untuk seorang lelaki membuat keputusan dalam memilih teman hidup.
"Sebelum ini kami sembunyikan hubungan cinta kerana bimbang putus di tengah jalan. Jadi, bila benar-benar ada perancangan ke peringkat yang lebih serius, barulah kami dedahkan hubungan kami," katanya.
Disoal apakah perasaannya bakal bergelar isteri kepada Zain, Che Ta hanya tertawa menandakan dia cukup bahagia dengan lelaki kacukan Melayu-Inggeris itu.
"Mestilah teruja untuk bergelar isteri kerana saya rasa keluarga saya cukup lengkap. Namun, selagi belum berlangsung majlis akad nikah, selagi itu saya tidak boleh kata Zain adalah jodoh saya," luahnya.
Walaupun heboh diperkatakan Che Ta dan Zain bakal bernikah selepas sambutan Aidilfitri pada tahun ini, tuan empunya badan menjelaskan, sehingga hari ini mereka berdua belum menetapkan sebarang tarikh untuk majlis pernikahan.
"Memang belum ada sebarang persiapan kerana tarikh kahwin pun belum ada.
"Kami berdua terlalu sibuk, jadi tidak tahu bila tarikh yang sesuai. Macam mana pun kami akan berkahwin juga pada tahun ini," akui Che Ta.
Walaupun mengimpikan majlis perkahwinan yang ringkas kerana ini perkahwinan keduanya, tetapi menurut Che Ta, keluarga Zain pasti mempunyai impian yang berbeza kerana ini perkahwinan pertama anak lelaki mereka.
"Saya ingin majlis akad nikah yang ringkas sahaja tetapi Zain mempunyai perancangan yang lain. Tengok macam mana kerana banyak juga pihak ingin menaja majlis perkahwinan kami nanti," tuturnya.
PADA tahun ini, anak-anak Che Ta beraya dengan bapa mereka.


Beraya di Alor Setar
Sama seperti tahun-tahun sebelum ini, setiap kali raya, Che Ta akan pulang beraya di kampung halamannya di Alor Setar, Kedah bersama ketujuh-tujuh adik beradiknya.
"Tahun ini, keluarga saya memang meriah kerana semua adik-beradik saya beraya bersama di Kedah. Seperti biasa raya ketiga kami buat rumah terbuka untuk keluarga dan peminat.
"Selepas itu, mungkin saya akan buat rumah terbuka di Kuala Lumpur pada minggu kedua raya untuk rakan-rakan dan keluarga," katanya yang sudah pun pulang ke Kuala Lumpur pada hari raya keempat kerana komitmen kerja.
Selain beraya dengan keluarga, sudah menjadi kelaziman buat Che Ta untuk singgah beraya di rumah bakal mertuanya di Kuala Lumpur.
"Jika ada kelapangan, saya akan singgah beraya di rumah keluarga Zain. Bagi saya, apa salahnya untuk mengeratkan silaturahim, lagipun saya sudah kenal ibu dan keluarga Zain," tuturnya.
Tambahnya, tahun ini walaupun merupakan raya terakhirnya sebagai wanita solo, dia hanya meraikannya dengan penuh sederhana.
"Tidaklah kata saya mahu beraya sakan sebab tahun hadapan saya sudah bersuami.
"Rasanya lebih seronok beraya dengan suami walaupun nanti kami harus bergilir-gilir sambut raya di rumah keluarga masing-masing," ujarnya yang mempunyai tiga pasang baju raya.

Raya berbeza empat personaliti ntv7

Posted: 13 Aug 2013 11:15 PM PDT

DARI kiri: Aishah Sinclair, Sheahnee dan Sasha Bashir mempunyai cerita tersendiri tentang sambutan hari raya.


EMPAT personaliti saluran ntv7, Aishah Sinclair, Sasha Bashir, Ras Adiba Radzi dan Sheahnee Iman Lee disatukan dalam sesi fotografi Kosmo! sempena raya.
Menyingkap cerita keempat-empat personaliti TV itu ternyata mereka mempunyai cerita menarik mengenai kehidupan dan juga memori raya masing-masing.
Aishah raya tanpa Ashraf
Sambutan raya Aishah Sinclair tahun ini hanya di Kuala Lumpur apabila dia tidak dapat mengikut keluarganya beraya di Jakarta, Indonesia bersama abangnya Ashraf Sinclair.
Ungkap Aishah, dia sekadar menyambut raya pada hari pertama, manakala pada hari raya kedua pula terpaksa bersiaran langsung untuk program bual bicara, The Breakfast Show.
"Saya akan beraya di rumah keluarga sebelah suami di Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) pada hari raya pertama kerana hari raya kedua, saya perlu bersiaran langsung program The Breakfast Show sempena dokumentari khas Gaza.
"Tayangan itu akan memberi pendedahan pada orang ramai tentang apa yang berlaku di Gaza. Walaupun perjuangan orang-orang Palestin sudah lama namun ramai yang tidak mengetahui kisah sebenar yang dihadapi mereka," ungkapnya yang turut mengikuti misi ke Gaza pada bulan Mac lalu bersama penerbit, penerbit eksekutif dan jurukamera The Breakfast Show.
Tutur Aishah lanjut, dia berharap agar dokumentari itu dapat memberi inspirasi kepada orang ramai untuk memberi sumbangan lebih-lebih lagi pada golongan yang berpendapatan tinggi.
Usai perihal dokumentari dikongsikan, Aishah bercerita pula mengenai sambutan rayanya tahun ini. Ujarnya, sepatutnya Ashraf, isterinya, Bunga Cinta Lestari dan anaknya, Noah pulang ke Malaysia menyambut Aidilfitri.
Begitupun, disebabkan jadual seni yang ketat, dia meminta keluarganya untuk datang menyambut raya di Jakarta.
Biarpun sibuk dengan aktiviti seni sepanjang raya, kongsi Aishah, dia tetap akan menyediakan juadah raya seperti kek dan kuih raya.
Bicaranya lanjut, kemeriahan sambutan hari raya pada tahun ini juga lebih meriah apabila anaknya Soraya Ann Sheikh Abdul Shahnaz, sudah menginjak usia tiga tahun.
RAS ADIBA kembali menjalani rutin seorang isteri selepas berkahwin semula baru-baru ini.


Sasha terbit buku kanak-kanak
Bagi Sasha Bashir pula, selain dia masih aktif mengacara program TV, pengacara program Explorace itu juga sedang aktif menulis buku untuk kanak-kanak.
"Idea untuk menulis buku kanak-kanak muncul selepas saya menonton rancangan Oprah Winfrey. Ketika itu tetamu undangannya ialah John Wood. Lelaki itu menubuhkan sebuah perpustakaan di beberapa buah negara miskin seperti Nepal dan Bangladesh dengan niat untuk memberi kemudahan pada anak-anak muda membaca. Begitupun, dia memberitahu, perpustakaannya kekurangan buku. Jadi, dia menubuhkan unit kebajikan Room To Read supaya orang ramai dapat menyalurkan sumbangan di situ.
"Selepas menonton program tersebut, timbul idea untuk saya menulis buku kanak-kanak dan melakukan kerja amal seperti menyalurkan buku saya ke perpustakaan tersebut," ungkapnya yang berjaya merealisasikan impiannya dengan terhasilnya sebuah buku kanak-kanak berjudul Where is Joberg's Collar (Dimanakah kolar leher Joberg's).
Tiga tahun terpaksa menyimpan buku tersebut biarpun ia sudah siap ditulis, ujar Sasha, dia berasa lega kerana akhirnya mendapat tajaan untuk menerbitkan bukunya itu daripada seseorang yang pernah membeli buku dansa yang ditulisnya sebelum ini.
Bakal dipasarkan selepas raya sebanyak 2,000 unit, jelas Sasha lagi, 500 naskhah pula akan disumbangkan kepada rumah kebajikan Room To Read.
Bercerita mengenai sambutan raya pula, anak sulung daripada tiga beradik itu memberitahu, dia sekadar membeli baju raya yang sudah siap untuk dirinya, suami, Yani Hijjas dan anaknya, Ghibran Hijjas, 16 bulan.
"Kami pulang ke kampung dua hari sebelum raya. Selepas itu, kami akan berkumpul ramai-ramai sementara mak saudara akan menyediakan hidangan raya seperti dodol, rendang, nasi beriani dan ayam masak merah," ungkap Sasha.
Berkongsi memori rayanya, kata Sasha, tujuh tahun lalu ketika umat Islam menyambut raya dalam suasana meriah, dia dan keluarganya pula bersedih dengan pemergian neneknya.
Begitupun, dia lega kerana sempat bercakap dengan neneknya sebelum wanita itu menghembuskan nafas terakhirnya.
Jelas Sasha: "Nenek koma selama seminggu. Selepas saya berjumpa dan bercakap dengannya, nenek kemudiannya meninggal dunia. Segala masakan untuk hari raya pada tahun itu telah menjadi hidangan para tetamu yang datang ke majlis pengkebumian nenek."
Raya hijab Sheahnee
Berbeza pula dengan cerita raya penyampai berita khas ntv7 iaitu Sheahnee Iman Lee kerana buat pertama kalinya dia beraya dengan mengenakan hijab.
Mengenali Sheahnee dengan lebih dekat, wanita berketurunan Cina itu sudah memeluk Islam lima tahun lalu. Sheahnee yang juga isteri kepada pengacara dan juga pelakon, Nazrudin Habibur Rahman atau Naz itu juga membuat keputusan untuk berhenti menjadi penyampai berita sejak dikurniakan cahaya mata kedua, Zakry Aiman setahun lalu.
"Sejak melahirkan anak kedua tahun lalu, saya sudah berhenti daripada menjadi penyampai berita. Bagaimanapun, mereka tetap memanggil saya dan akhirnya saya setuju untuk menjadi penyampai separuh masa di ntv7," ujarnya yang baru mengenakan hijab sejak bulan lalu.
Mengakui pada mulanya takut untuk mengenakan hijab, luah Sheahnee, sehingga kini keluarganya masih belum tahu akan perubahannya kerana takut mereka sedih.
Katanya:"Persepsi orang bukan Islam apabila wanita mengenakan hijab seperti mengongkong kebebasan wanita itu. Mereka sebenarnya berasa kasihan. Tetapi, mereka tidak harus dipersalahkan kerana mereka tidak faham kenapa wanita Islam harus mengenakan tudung."

AISHAH SINCLAIR tidak mengikut keluarganya berhari raya di Jakarta, Indonesia.


Tidak hanya mengenakan hijab, sejak enam bulan lalu dia juga telah menyertai kumpulan usrah yang diketuai oleh Wardina Safiyyah. Sheahnee juga bersyukur kerana kini dia mula membaca al-Quran.
Mengulas mengenai sambutan rayanya, sejak lima tahun lalu Sheahnee akan menyambut raya di rumah mertuanya di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur.
"Menariknya, sambutan hari raya di rumah keluarga Naz sangat meriah. Sebabnya, keluarga Naz ada campuran Cina dan India. Jadi, saya dapat menikmati juadah Cina, Melayu dan India yang disediakan oleh ibu-ibu saudara Naz ketika hari raya," jelasnya.
Berkongsi memori rayanya pula, kata Sheahnee, pertama kali menyambut Ramadan dan raya lima tahun lalu memberi seribu rahmat buat dirinya kerana ia adalah julung-julung kalinya dia menyambutnya.
Ras Adiba sedia baju raya suami
Bagi penyampai berita Ras Adiba Radzi, tahun ini dia tidak lagi menyambut raya bersama anak angkatnya, Umar Ras Engel Abdullah, 6 . Sebaliknya, Ras akan menyambut raya bersama suami baharunya, Ilias Yaakop dan juga anak tirinya, Amar Raj, 6.
"Raya tahun lepas, saya cuma sediakan baju untuk diri sendiri dan Umar. Tetapi, tahun ini kena sediakan baju untuk empat orang. Saya anggap ia satu cabaran kerana perasaan tidak percaya sudah berkahwin itu masih ada," ungkap Ras yang sudah menjanda selama 14 tahun itu.
Bakal menyambut raya di Kuala Lumpur pada raya pertama, ulas Ras, pada hari raya kedua pula mereka akan beraya di kampung ibu bapanya di negeri Sembilan.
Ditanya mengenai hidangan yang bakal disediakan buat suami tercinta, kata Ras, kemungkinan besar dia akan menyediakan rendang ayam.
"Harap suami boleh terima masakan pedas orang Negeri Sembilan selepas ini. Sebabnya, suami saya memang tidak tahan makanan pedas," jelasnya yang menutup perbualan pada hari itu.

Lisa, Zizan penyeri The Smurf 2

Posted: 13 Aug 2013 11:14 PM PDT



LISA dan Zizan turut memberikan impak dari segi tenaga lakonan untuk filem The Smurf 2 versi bahasa Melayu.


MEREKA sering dikaitkan sejak kebelakangan ini. Dua nama popular dalam dunia hiburan tamah air ini bukanlah dikaitkan dengan gosip cinta, namun Lisa Surihani dan Zizan Razak kini dilihat semakin kerap bergandingan dalam beberapa projek lakonan.
Sebelum diumumkan sebagai dua pelakon karakter penting filem yang bakal memulakan penggambaran tidak lama lagi iaitu Cicakman 3, Lisa dan Zizan sebenarnya sudah bergandingan menerusi produksi mega Hollywood, The Smurf 2.
Filem animasi yang mula ditayangkan di rangkaian pawagam Malaysia sejak hari raya pertama pada 8 Ogos lalu dan memulakan tayangan di Amerika Syarikat serta seluruh dunia menjelang 9 Ogos lepas itu sudah mengumpul kutipan melebihi AS$100 juta (RM310 juta).
Naskhah yang merupakan sekuel kepada filem The Smurf (2011) itu menampilkan barisan pelakon seperti Hank Azaria, Neil Patrick Harris, Brendan Gleeson, Jayma Mays, Katy Perry, John Oliver, Christina Ricci dan Jonathan Winters yang meminjamkan suara masing-masing untuk karakter-karakter Gargamel, Patrick, Victor, Grace, Smurfette, Vanity Smurf, Vexy dan Papa Smurf.
Bagi versi The Smurf 2 yang dialih suara ke bahasa Melayu khusus untuk tayangan di pawagam Malaysia, Lisa dan Zizan telah diberi kepercayaan untuk meminjam suara masing-masing bagi watak Smurfette dan Vanity Smurf.
Berbanding Zizan yang kali pertama meminjamkan suara untuk The Smurf 2, Lisa sebaliknya pernah berpengalaman melakukan aksi yang sama untuk karakter Smurfette bagi The Smurf versi bahasa Melayu yang ditayangkan di saluran HBO (Astro 411) pada Ogos tahun lepas.
Ikuti sedutan temu bual Lisa dan Zizan bersama Kosmo! mengenai pengalaman mereka 'berlakon' bersama dalam The Smurf 2.
Kosmo!: Apakah perasaan Lisa apabila diberi kepercayaan meminjamkan suara untuk karakter Smurfette dalam The Smurfs 2?
LISA: Lisa berasa teruja dan pada masa yang sama sangat bersyukur sebab untuk membuat rakaman suara bagi watak animasi adalah sesuatu yang sangat mencabar.

MENERUSI The Smurf 2, watak Smurfette berhadapan dengan 'drama' apabila dia menjadi mangsa culik yang menggemparkan masyarakat Smurf.


Boleh ceritakan pengalaman Lisa sepanjang terbabit dengan filem ini?
Kali ini bagi Lisa, paling sukar jika mahu dibandingkan dengan pengalaman kali pertama (meminjamkan suara untuk watak Smurfette) untuk filem The Smurf versi bahasa Melayu untuk tayangan di TV.
Ini kerana untuk The Smurf 2, Lisa perlu merakam suara bagi versi yang ditayangkan di pawagam. Lisa perlu merakam suara untuk karakter Smurfette dalam bahasa Melayu sedangkan ia sudahpun dirakam sebelum ini dalam bahasa Inggeris (oleh Katy Perry).
Cabarannya adalah Lisa perlu cuba fikirkan cara yang efektif dengan bimbingan pengarah suara untuk 'sync' atau menyamakan sebutan bahasa Melayu supaya ia selari dengan bahasa Inggeris sedia ada.
Bolehkah Lisa ceritakan sedikit mengenai watak Smurfette?
Smurfette merupakan seorang seorang yang manis dan penyayang. Dia sememangnya satu-satunya 'bunga' di perkampungan Smurfs.
Dia sangat menyayangi dan rapat dengan setiap individu yang tinggal di perkampungan Smurf terutama Papa Smurf.
Adakalanya dia seorang yang tegas, namun dalam sifat tegasnya itu dia masih kelihatan comel. Khusus untuk The Smurf 2 pula, karakternya digambarkan seolah-olah dia seorang yang sedang menghadapi kekeliruan.
Ini kerana individu yang sebenarnya mencipta Smurfette ialah Gargamel iaitu ahli sihir yang bercita-cita untuk memusnahkan kaum Smurfs.
Boleh ceritakan apa yang cuba disampaikan menerusi The Smurfs 2 kali ini?
Dalam filem The Smurf, ia merupakan seolah-olah satu pengenalan kepada kaum dan perkampungan Smurfs yang mana mereka memulakan satu pengembaraan dalam dunia manusia.
Kali ini pula, menerusi The Smurfs 2, ia menampilkan Smufette yang diculik oleh Gargamel dan apa yang dilakukan oleh Papa Smurf dan rakan-rakannya yang lain untuk menyelamatkan Smurfette.

KARAKTER Vanity Smurf sering larut dalam emosi dan ada sedikit sifat diva yang menguasai dirinya.


BERIKUT pula sedutan temu bual bersama Zizan Razak yang ternyata cukup teruja apabila diberi kepercayaan meminjamkan suara untuk karakter Vanity Smurf dalam The Smurf 2 versi bahasa Melayu.
Kosmo!: Ceritakan sedikit tentang watak yang dipegang Zizan dalam filem The Smurfs 2 versi bahasa Melayu?
ZIZAN: Menerusi The Smurf 2 versi bahasa Melayu, saya memegang watak sebagai Vanity Smurf. Dia seorang yang sangat menyukarkan. Dia sangat emosi dalam setiap kelakuannya dan ada sifat diva dalam dirinya. Jadi, saya rasa itu satu watak baharu dalam diri ini. Saya kena bersifat lembut sedikit.
Apakah perasaan Zizan menjadi sebahagian daripada pelakon The Smurf 2?
Tidak sangka dalam ramai-ramai artis Malaysia, saya yang dipilih sebagai salah seorang penyumbang suara untuk The Smurf 2 versi bahasa Melayu.
Jadi, saya berasa sangat bangga. Saya sangat mentah, baharu dan bimbang buat benda-benda besar. Jadi apabila dapat tahu saya meraih kepercayaan untuk filem mega Hollywood ini, memang saya cukup terkejut.
Benda ini bukan main-main sebab kita mahu hasilnya menjadi sangat menarik dan hebat. Maka bagi saya, berpeluang terlibat dengan projek The Smurfs 2 ini sangat membanggakan diri ini. Ia merupakan satu pencapaian terbaharu untuk saya. Wow!
Golongan manakah yang anda fikir akan menonton filem ini?
The Smurf 2 mempunyai pelbagai input yang mendalam di sebalik apa yang dipaparkannya. Ia diluahkan mengikut stail kanak-kanak tetapi isunya memang berat. Jadi, kanak-kanak dan orang dewasa sama-sama boleh menikmati filem ini.

Stesen TV lambak filem hantu

Posted: 13 Aug 2013 11:12 PM PDT

RADIO Televisyen Malaysia menayangkan filem Zombie Kampung Pisang menerusi TV2 malam tadi.


KUALA LUMPUR – Kebanyakan stesen televisyen tempatan mengambil tindakan di luar dugaan apabila mereka melambakkan filem-filem hantu dan seram di stesen masing-masing pada sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Lebih menyedihkan, kebanyakan filem hantu dan seram itu bukan sahaja tidak berkualiti malah memperbodohkan penonton ke tahap paling menjengkelkan. Lebih buruk lagi, ia ditayangkan hampir setiap hari dalam minggu pertama perayaan Aidilfitri.
Pihak pengurusan stesen televisyen dipercayai sengaja berbuat demikian semata-mata untuk meningkatkan rating penonton memandangkan filem genre sedemikian tetap menarik ramai penonton.
Mereka juga berbuat demikian untuk mendapatkan iklan manakala penerbit filem turut menerima bayaran setiap kali filem mereka ditayangkan di televisyen.
Tinjauan Kosmo! di beberapa laman web rasmi stesen televisyen tempatan dan stesen televisyen berbayar mendapati filem-filem hantu lazimnya ditayangkan pada waktu puncak iaitu antara pukul 8 malam hingga 11 malam.
Malah terdapat juga stesen televisyen yang menayangkan filem hantu tanpa mengira waktu termasuk antara pukul 1.30 pagi sehingga pukul 6 pagi.
Selain karya tempatan, sebilangan daripadanya merupakan filem keluaran luar negara seperti dari Indonesia yang ditayangkan menerusi stesen televisyen berbayar.
Antaranya ialah filem Pocong Jalan Blora, Pocong Rumah Angker dan Pocong Jumaat Kliwon di mana kesemuanya adalah terbitan dari negara jiran.
Di samping itu, terdapat filem yang ditayangkan secara berulang kali bagi tempoh yang berbeza di stesen televisyen berlainan.
Sebagai contoh, Hantu Kak Limah Balik Rumah ditayangkan di TV3 pada Hari Raya pertama pukul 2 petang.
Filem yang sama turut ditayangkan di Astro Ria pada 15 Ogos pukul 9 malam.

Filem seram tempatan perbodohkan minda Melayu

Posted: 13 Aug 2013 11:11 PM PDT



HATTA


KUALA LUMPUR - Dua tokoh akademik menyifatkan tindakan pengurusan stesen televisyen tempatan melambakkan filem hantu dan seram ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri sebagai perbuatan kurang bertanggungjawab.
Menurut mereka, kebanyakan filem hantu yang lucu itu sebenarnya cerita bodoh yang merendah-rendahkan cara pemikiran penonton terutamanya golongan Melayu ke tahap paling rendah.
Rektor Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Prof. Dr. Mohamad Hatta Azad Khan berkata, pembikin filem-filem Melayu seharusnya berfikiran ke hadapan bagi menghasilkan karya bermutu.
Beliau berkata, pemikiran mereka perlu setanding dengan tahap pemikiran masyarakat yang semakin maju.
"Kebanyakan filem Melayu seram sekarang apabila kita tonton langsung tidak menimbulkan rasa seram atau takut, sebaliknya menjadi sesuatu yang lucu dan bodoh.
"Filem-filem seperti ini sangat memperbodohkan orang Melayu dan memberi kesan negatif daripada segi persepsi bahawa tingkat pemikiran mereka sangat rendah, walhal realitinya tidak seperti itu," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Polis buru enam lelaki

Posted: 13 Aug 2013 11:09 PM PDT





KOTA BHARU - Polis Kelantan memburu enam lelaki bagi membantu siasatan berhubung beberapa kes tembak yang berlaku di tiga daerah di negeri itu sejak Februari hingga 5 Ogos lalu.
Mereka dikenali sebagai Mat Atim, Ise Kade @ Ise Telose, Iwe, Jakir, Alif dan Sukeri.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, enam lelaki itu dikehendaki bagi membantu siasatan kes tembak di Bachok, Pasir Puteh dan Pasir Mas.
"Kami memohon kerjasama orang ramai supaya melaporkan kepada polis sekiranya mengenali atau mempunyai maklumat mengenai enam lelaki terbabit," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Mengenai kes letupan bom yang meragut nyawa seorang kerani sekolah di Taman Seri Periok, Tumpat, Ahad lalu, Mazlan memberitahu, siasatan menunjukkan perkembangan positif selepas polis merakam keterangan daripada lapan individu.
"Setakat ini, lapan orang telah diambil keterangan. Kami sudah mempunyai petunjuk dan yakin dapat menyelesaikan kes ini secepat mungkin," kata beliau.

Hujan halang orang ramai saksi fenomena pancuran meteor

Posted: 13 Aug 2013 11:06 PM PDT



ORANG ramai menyaksikan fenomena pancuran meteor Perseid daripada buruj Perseus di Yangon, Myanmar.


KUALA LUMPUR - Fenomena pancuran meteor Perseid daripada buruj Perseus tidak dapat dilihat dengan jelas berikutan hujan di kawasan utara dan tengah Semenanjung semalam.
Penolong Pegawai Sains Observatori Negara Langkawi, Karzaman Ahmad berkata, pihaknya hampa apabila hanya berjaya merakam empat kelibat meteor Perseid selama setengah jam bermula pukul 1 pagi.
"Balai Cerap Langkawi, Kedah mula melakukan cerapan pada pukul 12.30 malam hingga 6 pagi ini (semalam) dan hasilnya kurang memberangsangkan berikutan awan hujan yang menyelubungi kawasan utara tanah air," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Suri rumah ingin langsing tertipu guna produk haram

Posted: 13 Aug 2013 11:04 PM PDT


IRENE menunjukkan produk pelangsing yang didakwa menggunakan bahan terlarang di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Seorang suri rumah tidak menyangka hasratnya untuk kekal cantik dan memulakan perniagaan sendiri akhirnya tertipu dengan sebuah syarikat penjualan produk pelangsing.
Malah Irene Wong, 32, juga tidak menyangka produk makanan tambahan berasaskan buah Acai Berry yang dilanggannya daripada internet itu didakwa mengandungi sibutramine iaitu sejenis bahan terkawal dalam ubat yang telah diharamkan penjualannya di negara ini kerana boleh menyebabkan risiko serangan jantung dan strok.
Tambah membingungkan apabila dia berkemungkinan bakal berdepan dengan tindakan daripada pihak berkuasa selepas turut menjual produk itu.
Menceritakan pengalamannya itu, Wong memberitahu, dia begitu teruja dengan produk berkenaan yang diperkenalkan oleh seorang rakannya menerusi laman sosial Facebook.
Dia kemudian mencuba produk berbentuk kapsul itu yang dibeli pada harga RM160 sebotol.
"Saya amat kagum dengan kesan daripada produk itu kerana ia mampu mengurangkan berat badan saya sebanyak dua kilogram dalam tempoh dua minggu.
"Saya juga telah memperkenalkan produk yang saya gunakan itu kepada rakan yang tinggal di Hong Kong," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Biro Pengaduan Awam MCA di Jalan Ampang di sini semalam.

Aplikasi solat untuk telefon pintar dalam penerbangan

Posted: 13 Aug 2013 11:01 PM PDT



APLIKASI Crescent Trips dipaparkan dalam sebuah telefon pintar iPhone di Singapura semalam.



SINGAPURA - Sebuah syarikat yang berpengkalan di sini melancarkan aplikasi baharu telefon pintar iPhone yang memaparkan waktu solat dan arah kiblat kepada umat Islam semasa mereka menaiki penerbangan.
Pengguna perlu memasukkan butiran penerbangan mereka dengan aplikasi tersebut akan menyediakan waktu solat dan arah kiblat untuk perjalanan itu.
Aplikasi tersebut dibangunkan oleh syarikat tempatan, Crescentrating yang mengeluarkan sijil halal untuk hotel-hotel di pulau ini.
Dinamakan Crescent Trips, ia boleh dimuat turun secara percuma oleh pengguna iPhone.
Ketua Ekekutif Crescentrating, Fazal Bahardeen berkata, aplikasi itu juga akan dapat digunakan untuk telefon pintar perisian android dalam masa beberapa bulan lagi.
Tambahnya, bunyi azan akan kedengaran untuk memaklumkan waktu solat kepada pengguna aplikasi tersebut semasa mereka menaiki penerbangan.
"Pengembara Islam merangkumi pasaran terbesar yang belum diterokai dalam industri pelancongan pada hari ini," kata Ketua Pegawai Pperasi Crescentrating, Dany Bolduc.
Menurutnya, perbelanjaan oleh pelancong beragama Islam berkembang lebih cepat daripada kadar global dan dijangka mencapai AS$192 bilion (RM623 bilion) setahun menjelang 2020 berbanding AS$126 bilion (RM409 bilion) setahun dua tahun lalu.

Kanak-kanak temui berlian 5.16 karat di Arkansas

Posted: 13 Aug 2013 11:00 PM PDT



MICHAEL DETTLAFF menjumpai sebutir berlian pada 31 Julai lalu ketika bercuti bersama keluarganya di Taman Negara Arkansas.



LITTLE ROCK, Arkansas - Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun menemui sebutir berlian seberat 5.16 karat baru-baru ini, lapor sebuah akhbar.
Kanak-kanak itu, Michael Dettlaff menjumpai berlian tersebut pada 31 Julai lalu di Taman Kawah Berlian yang terletak di sebuah taman negara di negeri Arkansas.
Dia menemui batu permata itu semasa sedang bercuti bersama keluarganya.
Seorang pegawai taman tersebut berkata, kanak-kanak itu menemui berlian berwarna coklat madu itu selepas menggali kurang dari 10 minit.
Menurutnya, kanak-kanak itu menamakan berlian tersebut sebagai Berlian Kebesaran Tuhan.
"Ia sangat menyeronokkan apabila seorang kanak-kanak menemui sebutir berlian di sini.
"Michael berasa teruja selepas menemui berliannya sendiri," kata pemandu arah taman itu, Waymon Cox.
Cox berkata, berlian itu bersaiz sebesar sebiji kacang dan ia merupakan berlian ke-328 yang ditemui pada tahun ini.
Bekas lombong berlian itu dijadikan taman negara pada tahun 1972 dengan pengunjung dibenarkan menggali berlian.

Rumah bongkah batu di atas bumbung bangunan

Posted: 13 Aug 2013 10:56 PM PDT


RUMAH seluas 1,000 meter persegi itu didakwa mengganggu penduduk sekitarnya.


BEIJING - Seorang penduduk di ibu kota China di sini membina sebuah rumah ganjil di atas bumbung bangunan apartmen setinggi 26 tingkat, menurut beberapa laporan kelmarin.
Kediaman tersebut kelihatan seperti bongkah batu yang dipenuhi pokok dan semak samun.
Menurut laporan berkenaan, kediaman ganjil itu yang terletak di pusat bandar raya ini dibina tanpa mendapat kebenaran pihak berkuasa bandar raya.
Bimbang binaan seluas 1,000 meter persegi itu akan runtuh, beberapa penghuni blok apartmen tersebut telah membuat aduan kepada pihak berkuasa tempatan.
Mengulas berhubung isu tersebut, pihak berkuasa di sini menyatakan pihaknya akan merobohkan rumah pelik tersebut.
Seorang pegawai tempatan, Dai Jun berkata, rumah itu akan dirobohkan dalam tempoh 15 hari melainkan pemiliknya mengemukakan bukti ia dibina secara sah.
Dai berkata, pihaknya belum menerima maklum balas daripada pemilik kediaman itu.

Penyamun rambut bermaharajalela di Venezuela

Posted: 13 Aug 2013 10:53 PM PDT



IMEJ menunjukkan lakonan semua cara pencuri rambut menarik dan menggunting rambut wanita di Venezuela untuk dijual bagi mendapatkan wang dengan harga yang lumayan.



MARACAIBO - Ramai wanita berambut panjang kini hidup dalam ketakutan ekoran kejadian kecurian rambut yang semakin berleluasa di sini dan beberapa bandar lain di Venezuela.
Penyamun-penyamun rambut itu yang digelar 'piranhas' oleh penduduk tempatan lengkap bersenjatakan gunting. Mereka bertindak menyerang wanita dan menggunting rambut mereka untuk dijual kepada salon rambut.
Kehadiran mereka menyebabkan penduduk wanita di sini diancam ketakutan.
Kaum lelaki dan wanita Venezuela amat menghargai rambut panjang yang bersinar kerana ia dianggap sebagai simbol keremajaan dan kecantikan.
"Ya, ini seperti tidak munasabah tetapi anda perlu melihat sendiri untuk mempercayai bahawa penyamun rambut memang wujud," kata seorang penduduk di sini, Egmari Villarreal.
Susulan perkembangan tersebut, polis di sini memberitahu, mereka telah mengambil langkah berjaga-jaga dengan meningkatkan rondaan di kawasan kejadian.
Rabut yang dicuri itu dijual untuk dijadikan rambut sambungan pada harga lebih AS$500 (RM1,629) berbanding AS$40 (RM130) untuk rambut sintetik.

Semangat beraya tidak pernah luntur

Posted: 13 Aug 2013 09:52 PM PDT




JAUH beribu batu nautika di tengah laut meraikan suasana hari raya tanpa keluarga tercinta sudah cukup membuatkan hati sang perantau terusik.
Apatah lagi, jika ia merupakan pengalaman kali pertama atas tuntutan kerjaya. Namun, sambutan Aidilfitri menjadi ceria dengan kehadiran kru kapal lain yang sama-sama berusaha menjadikan suasana lebaran meriah.
Seorang jurutera elektrik syarikat pembekal utama luar pesisir pantai dalam industri minyak dan gas, Mohd. Fithri Kamalludin, 29, berkongsi pengalamannya berjauhan dengan keluarga dan sanak saudara pada pagi Aidilfitri buat julung-julung kalinya kerana bertugas.
Pada petang Syawal dua tahun lalu, Mohd. Fithri berada di laluan perdagangan antarabangsa berhampiran Johor Bahru, Johor menuju ke Vietnam.
"Pada mulanya saya berasa sayu selepas diberitahu oleh syarikat yang saya akan bekerja di atas kapal pada hari lebaran.
"Bagaimanapun, perasaan itu berubah kerana berpeluang merasai pengalaman menyambut Aidilfitri di tengah laut bersama teman sekerja," kata anak bongsu daripada tiga beradik itu.
Menurut anak kelahiran Klang, Selangor itu, selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri, kesemua kru akan berkumpul dan menjamu selera menikmati juadah seperti nasi himpit, rendang dan kuih raya.
Rindu kuah lodeh
Walaupun masih berkesempatan menyambut hari raya secara ala kadar, Mohd. Fithri tetap rasa terkilan kerana tidak dapat menikmati hidangan lodeh hasil air tangan ibu tercinta.
Pada sambutan raya sebelumnya, dia berpeluang bersarapan bersama keluarga, menunaikan solat sunat Aidilfitri, bertandang ke rumah sanak saudara dan berjumpa kawan-kawan lama. Itu antara perkara yang paling dirinduinya ketika menyambut 1 Syawal tanpa keluarga.
Ibunya, Ruhayah Mahmod, 64, memberitahu, kehadiran Mohd. Fithri yang lengkap berbaju Melayu, bersamping dan bersongkok segak pasti terbayang di mata saat anaknya tidak dapat beraya bersama buat kali kedua tahun ini.
"Ketiadaannya membuatkan kami rasa kehilangan dan menjadi sayu kerana mengenangkan dia yang berada jauh di tengah laut. Hati memang merintih pedih tetapi hanya doa dapat saya panjatkan untuknya.
"Saya akan melihat album raya tahun-tahun sebelum ini bagi mengubat kerinduan di hati," ujarnya yang juga seorang penulis novel yang dikenali dengan nama Puteri Andalas.

MOHD. FITHRI (dua dari kanan) bergambar bersama kru kapal pada sambutan Syawal dua tahun lalu.


Perkara yang paling dirindui mengenai anak bongsunya itu ialah ciuman pada tangan dan pipinya.
Keramahan Mohd. Fithri menyambut tetamu membuatkan sanak saudara menyedari ketiadaannya pada lebaran. Hati si ibu dicuit rasa hiba tatkala ada saudara yang bertanyakan tentang anaknya.
"Sebagai anak lelaki tunggal dan bongsu, dia disayangi oleh adik-beradik dan anak-anak saudaranya. Dia juga seorang yang pemurah kerana sering membelikan pelbagai hadiah untuk kami sekeluarga," jelasnya.
Tujuh kali beraya di laut
Dalam pada itu, eksekutif perkhidmatan marin sebuah syarikat swasta, Syed Muhammad Thareiq Syed Husin, 29, yang berasal dari Skudai, Johor Bahru, Johor turut menceritakan pengalamannya menjalani ibadah puasa dan raya kali pertama di atas kapal iaitu sekitar sedekad lalu.
Pada ketika itu, dia merupakan pelajar Akademi Laut Malaysia yang menjalani latihan praktikal di sebuah syarikat perkapalan terkemuka yang berpangkalan di Malaysia.
Katanya, dia sedih kerana terpaksa berjauhan dengan keluarga dan menyambut Syawal bersama petugas luar negara yang rata-ratanya tidak dikenali. Suasana bulan Ramadan di kapal meriah kerana kru kapal tidak melepaskan peluang berbuka puasa dan menunaikan solat tarawih secara berjemaah.
Sepanjang lapan tahun bekerja dalam bidang perkapalan dan cari gali, Syed Thareiq cuma berpeluang beraya di daratan bersama keluarga sebanyak sekali. Tambahnya, dia pernah belayar ke Belanda, Jepun dan Amerika Syarikat ketika umat Islam lain sedang meraikan Syawal.
"Semasa kapal berlabuh di Jepun, saya dan kawan-kawan sempat membeli gitar elektrik untuk jamming di bilik (atas kapal) selepas selesai menjamah juadah hari raya. Ia sedikit sebanyak mengurangkan kerinduan terhadap keluarga dan suasana hari raya.
"Selepas selesai solat sunat Aidilfitri dan bersalaman dengan kawan-kawan, kami menikmati hidangan raya seperti sate, ketupat dan capati. Kemudian, kami mengadakan sukaneka dan barbeku pada sebelah malam," ujarnya ketika ditemui di ibu negara baru-baru ini.
Bagaimanapun, segelintir kru akan menyambung tugasan mereka seperti biasa mengikut jadual yang ditetapkan biarpun semangat berhari raya belum luntur.

SYED THAREIQ (tiga dari kanan) merakamkan gambar kenangan bersama rakan sekerja yang lengkap berbaju Melayu pada Hari Raya Aidilfitri.


Mengimbau kembali kenangan sewaktu ingin menghubungi keluarga pada Syawal tahun 2008, Syed Thareiq terpaksa membeli kad tambah nilai yang berharga AS$20 (RM64) untuk menggunakan telefon satelit. Nilai tersebut membolehkannya berhubungan dengan insan tersayang selama lebih kurang setengah jam.
Difahamkan, sesetengah kapal sudah menyediakan teknologi terkini iaitu wi-fi yang membolehkan petugasnya menggunakan laman sosial seperti Skype dan Facetime untuk berinteraksi dengan keluarga masing-masing walaupun berada jauh di lautan.
Telefon satelit
Sementara itu, Penyelia Pengeluaran Petronas Cari Gali, Mustapah Mase, 40, berkata, kemudahan panggilan telefon daripada Telekom Malaysia ada disediakan di pelantar minyak ERB West (Enlisted Retention Board) di Kota Kinabalu, Sabah.
Setiap pekerja diberi peluang menghubungi keluarga secara bergilir-gilir. Kos untuk membuat panggilan luar dikenakan caj RM5 seminit.
"Di pelantar ERB West, kemudahan telefon satelit disediakan oleh syarikat telekomunikasi Celcom dan digunakan pada masa kecemasan sahaja iaitu sewaktu talian Telekom terputus.
"Pihak syarikat menyediakan akses kepada internet melalui satelit. Kebiasaannya, pekerja dan keluarga masing-masing akan saling mengirim gambar raya bagi mengubati kerinduan mereka," jelasnya yang pernah beraya sebanyak empat kali di pelantar minyak.

Sambutan dalam senario baharu

Posted: 13 Aug 2013 09:51 PM PDT




KETIKA menerima surat tawaran melanjutkan pelajaran ke luar negara, perasaan bercampur-baur menyelubungi hatinya memandangkan dia baru sahaja bergelar isteri.
Sedar peluang tersebut tidak perlu disia-siakan, Nor Syahilla Abdul Aziz, 26, nekad meneruskan cita-citanya dengan sokongan padu daripada suami, Mohd. Khairul Aiman Hamdan, 26.
Bersama-sama merantau ke ibu negara Scotland, Edinbrugh, pasangan ini tidak mahu cabaran hidup menetap di negara orang menjadi penghalang mengecapi gelaran Doktor Falsafah Matematik Aktuari.
Dengan tempoh pengajian selama tiga tahun, pasangan ini memilih untuk tinggal di sebuah flat dua bilik di Calder Grove, Edinburgh, Scotland.
Memikul tanggungjawab sebagai isteri dalam suasana yang baharu tidak membuatkan Nor Syahilla berasa payah atau mengalah kerana banyak dibantu oleh suami yang bekerja sambilan di sebuah kedai berhampiran kediaman mereka.
Tahun ini merupakan tahun pertama pasangan ini menyambut hari lebaran di Edinbrugh. Seperti kebanyakan keluarga Malaysia di sana, ia diraikan dengan kesederhanaan bersama teman-teman lain.
Bagi mereka, komuniti pelajar dan warga Malaysia merupakan penawar rindu terhadap keluarga di tanah air.
"Selama 26 tahun kami menyambut lebaran bersama keluarga. Oleh itu, tipu jika tidak berasa sedih dan pilu kerana kami di sini. Tambahan pula tahun ini merupakan kali pertama kami menyambut Syawal sebagai suami isteri.

KEHADIRAN teman-teman mengubat kerinduan kepada keluarga di Malaysia.


"Mujur, rakan-rakan senegara bersama-sama menganjurkan majlis rumah terbuka. Tahun ini, kami berkumpul di taman awam The Meadows bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri," katanya baru-baru ini.
Merindui juadah lemang dan dodol durian, menurut wanita ini, mereka tidak dibenarkan untuk menyediakan makanan lazim lebaran itu memandangkan keadaan setempat dan cuaca yang tidak mengizinkan.
"Bukan sahaja lemang, lampu minyak yang kami pasang hanya bertahan selama lima minit sebelum terpadam akibat angin kencang," kongsinya.
Walaupun demikian, dia tetap menyediakan beberapa hidangan tempatan terutamanya juadah kegemaran suami iaitu kuah lodeh dan ayam masak minang mengikut resipi yang diperoleh daripada ibu mertuanya.
"Bahan-bahan mentah tidak sukar ditemui kerana banyak kedai runcit Asia dan halal di sini. Jika memerlukan barangan tertentu, baru kami meminta ahli keluarga mengirimkannya dari Malaysia," jelas beliau.
Selain pelajar warga Malaysia, hidangan tersebut juga akan dikongsi bersama rakan-rakan berbangsa asing.
"Saya pernah menghidangkan beberapa jenis masakan tempatan kepada rakan-rakan yang datang ke rumah. Menggemari sate, kuah kacang dan nasi impit, mereka tidak dapat menahan kepedasan masakan kita.
"Bagi membolehkan mereka menikmati kelazatan makanan Malaysia, saya cuba mengurangkan rasa pedas untuk hidangan raya ini," ujarnya.
Dengan Ramadan kali ini disambut pada musim panas dengan waktu siang adalah sehingga 19 jam, Nor Syahilla mengakui ia satu pengalaman yang mencabar khususnya pada hari pertama apabila mereka lupa bersahur.
"Pada masa sama, kami diserang cirit-birit sehari sebelum Ramadan. Ini menambahkan lagi cabaran berpuasa di negara Eropah," katanya sambil memaklumkan sembahyang tarawih dilaksanakan berdua di rumah kerana masjid terdekat memulakan solat itu pada pukul 11.30 malam.

HIDANGAN berbuka puasa tetap disediakan dalam suasana kesederhanan sungguhpun berjauhan daripada keluarga.


Cahaya mata
Lain pula cerita pasangan suami isteri, Zulkarnain Ahmad dan Ruzaimie Ahmad, 27, apabila Syawal kali ini merupakan kali pertama disambut bersama anak sulung mereka, Qistina Az-Zahra Zulkarnain atau mesra dengan panggilan Zahra.
Jika sebelum ini kedatangan hari raya hanya disambut dengan keriangan anak-anak saudara, kini hari raya bertambah ceria dengan kehadiran Zahra yang lahir pada September 2012.
"Seperti ibu bapa muda yang lain, keterujaan menyediakan keperluan hari raya pasti terarah kepada anak-anak. Begitu juga dengan kami, semua persiapan seperti baju kurung, kasut dan perhiasan kepala sudah dicari seawal bulan Ramadan lagi," ujar Ruzaimie yang berasal dari Sandakan, Sabah.
Tambahnya, persiapan awal dilakukan bagi mengelak kesesakan di pusat beli-belah pada saat-saat akhir Ramadan.
"Pergerakan agak terbatas untuk memilih baju kanak-kanak kerana ramai orang mula sibuk mencari keperluan masing-masing. Disebabkan itu, beberapa item seperti perhiasan kepala dan kasut akan saya tempah secara online," jelasnya yang ditemui ketika membeli-belah di ibu kota Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sungguhpun tidak menetapkan jumlah tertentu ketika berbelanja untuk anaknya, Ruzaimie memaklumkan, beliau tetap beringat dan berjimat.
"Sebelum ini, saya hanya membeli baju-baju untuk anak saudara sahaja, jadi kali ini rasa seronok dapat berbelanja untuk anak sendiri," ujarnya sambil memberitahu, sebagai langkah penjimatan, dia akan membeli pakaian bersaiz lebih besar memandangkan tumbesaran bayi yang pantas.
Pemergian abah
Pemergian ayahanda tercinta, Othman Ahmad, 71, beberapa hari sebelum kedatangan bulan Ramadan tahun ini meninggalkan kesan mendalam kepada Nurdhiya'aizat Othman, 23, yang mesra dengan panggilan Dhiya.
Walau kesedihan menyelubungi diri, dia tetap reda dan menerima dengan tabah kerana percaya ia ketentuan daripada Yang Maha Esa.
"Namun begitu, saya tetap bersyukur kerana dapat berada di sisi arwah pada saat-saat dia menghembuskan nafas terakhir," ujarnya kepada Kosmo!.
Bercerita kembali detik itu, dia baru sahaja pulang dari Paris, Perancis atas urusan kerja bersama sebuah portal hiburan tempatan.
"Sehari selepas saya pulang, kakak mengajak balik ke Raub, Pahang untuk menjenguk abah. Malam itu, saya sempat menyuapkan minuman bercoklat kegemarannya dan dia menyatakan bahawa dia amat merindui saya sepanjang berada di luar negara.
"Mak ada beritahu, sewaktu di sana, abah selalu bertanyakan bila saya akan pulang kerana takut tidak sempat untuk bertemu," ujarnya.
Dengan nada sedih beliau menambah: "Namun pada keesokan hari iaitu pada 6 Julai lalu, mak mengejutkan saya untuk membacakan surah Yasin sebab abah kelihtatan seperti mengalami masalah sesak nafas. Selepas dua kali bacaan, beliau menghembuskan nafas terakhir."
KEHADIRAN cahaya mata sulung, Zahra, membawa kegembiraan kepada Zulkarnain dan Ruzaimie.


Raut wajah lelaki ini berubah apabila teringat kemeriahan sambutan Aidilfitri di kampung halaman dengan bapanya menjadi penggerak utama dalam menyiapkan juadah hari raya.
"Dari dulu dia yang akan uruskan penyediaan lemang. Setiap kali menjelang Aidilfitri mesti arwah sibuk mencabut bulu ayam dan memasak lemang walaupun dia duduk di atas kerusi roda.
"Arwah sentiasa berkata, anak dan cucu ramai, jadi lebih puas makan lemang jika dibuat sendiri," ujar Dhiya yang bakal melanjutkan pengajian peringkat sarjana dalam bidang Hubungan Awam Antarabangsa dan Komunikasi Global di Universiti Cardiff, Wales, United Kingdom pada September ini.
Tanpa disedari, matanya berlinang air mata mengenangkan tahun ini dia tidak lagi dapat mencium tangan bapanya pada pagi Syawal.
"Tidak sangka raya tahun lepas merupakan kali terakhir bersamanya. Setiap pagi Syawal, mesti salam dan mohon maaf dengan abah dulu. Paling menggembirakan apabila dua kali abah memakai baju yang saya tempah khas untuknya.
"Kami sekeluarga merasakan kesempatan yang diberikan untuk menjaga arwah sepanjang dia sakit merupakan satu nikmat yang Allah pinjamkan," kata Dhiya.
Satu pesanan yang tidak akan saya lupa, ujarnya, jangan tinggalkan solat dan jaga mak dengan baik.
"Pada saya, tiada apa yang lebih penting daripada mendengar pesanan daripada insan yang pasti tiada pengganti," akhirinya.

Gajet buatkan anak-anak leka

Posted: 13 Aug 2013 09:48 PM PDT


IBU BAPA berperanan mengawal penggunaan gajet dalam kalangan anak-anak bagi membendung masalah antisosial pada masa depan.


KEMERIAHAN suasana Aidilfitri masih dirasai memandangkan acara-acara rumah terbuka masih rancak dianjurkan di serata negara,
Justeru, budaya kunjung-mengunjung dan bermaaf-maafan tetap menjadi prinsip dan landasan masyarakat tempatan dalam menyambut bulan berbahagia ini.
Namun demikian, tradisi itu dilihat kian menipis dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan muda.
Selain budaya menonton televisyen, kemunculan pelbagai jenis peranti pintar menyebabkan kanak-kanak enggan bergaul mesra bersama tetamu yang mengunjungi rumah mereka.
Malah, satu kajian yang dijalankan di Malaysia menunjukkan hampir 35 peratus kanak-kanak mempunyai peralatan teknologi maklumat tersendiri.
Menurut Pengerusi Pertubuhan Keselamatan Anak-Anak Malaysia (Pama), Mohd. Fairuz Mohamed Isa, ibu bapa masa kini dilihat mengambil jalan pintas dengan memberi anak-anak peranti teknologi ini agar dapat menarik perhatian mereka dan tidak mengganggu orang lain.
Hakikatnya, penggunaan teknologi pintar yang berpanjangan dalam kehidupan seharian akan menyebabkan mereka menjadi leka dan tabiat itu sukar dikikis walaupun pada musim perayaan.
"Kita lihat kebanyakan kanak-kanak leka dengan gajet masing-masing sehinggakan ada yang tidak mengenali saudara-mara terdekat.
"Apabila saudara berkunjung ke rumah, mereka langsung tidak bertegur sapa," katanya.
Sehubungan itu, Mohd. Fairuz mencadangkan agar ibu bapa mengawal penggunaan peranti terlibat pada musim perayaan ini agar anak-anak mereka tidak terus 'melekat' dengan gajet itu.
"Tambahan pula sambutan Aidilfitri hanya sekali setahun. Apa salahnya jika ibu bapa dapat mengehadkan penggunaan gajet-gajet ini pada hari-hari tertentu," katanya.
Bagaimanapun, ujar beliau, penggunaan teknologi maklumat tanpa kawalan boleh menyebabkan kanak-kanak menjadi ketagih selain terdedah kepada bahaya radiasi.
Penggunaan terlalu kerap juga boleh membantutkan perkembangan, terutama kemahiran komunikasi, mendengar dan membaca.
"Malah, sesetengah kandungan aplikasi yang dibangunkan tidak sesuai dengan budaya dan tahap pemikiran kanak-kanak," katanya.

Zespri cabar makan kiwi 14 hari

Posted: 13 Aug 2013 09:47 PM PDT

LAI KIM bersama selebriti tempatan bakal mendokumentasi pengalaman cabaran 14 hari makan buah kiwi melalui laman blog dan media sosial.


ZESPRI, jenama buah kiwi popular dari New Zealand, kini menganjurkan Cabaran Suapan Hebat 14 Hari Zespri bagi menggalakkan semua lapisan masyarakat di negara ini mencuba khasiat buah kiwi.
Kempen selama dua minggu itu bertujuan untuk meningkatkan kesihatan keseluruhan para pengguna dengan memakan buah kiwi setiap hari selama 14 hari bagi merasai perbezaan kesihatan dalaman badan, terutamanya bahagian pencernaan yang lebih sihat.
Cabaran seumpamanya juga memberi peluang kepada pengguna mengamalkan pengambilan buah kiwi dalam diet harian mereka, seperti bahan tambah dalam hidangan utama, atau sebagai snek, minuman dan pencuci mulut.
Pengurus Pemasaran Malaysia, Zespri International, Tee Lai Kim berkata, Zespri bergabung tenaga bersama para selebriti terkenal tempatan seperti Sazzy Falak dan Jojo Struys dalam mempromosikan kempen tersebut.
Menurutnya, pengalaman mereka juga akan didokumenkan dan dikongsi melalui laman blog dan pelbagai saluran media sosial.
"Kita yakin kesedaran pengguna terhadap kepentingan kesihatan semakin meningkat. Pengguna hari ini lebih berhati-hati dalam memilih buah yang memberikan lebih nilai dari segi wang dan manfaat kesihatan.
"Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, buah kiwi semakin popular dan termasuk dalam diet sihat. Ini disebabkan nilai pemakanan yang ada dan sesuai untuk digunakan dalam pelbagai resipi," katanya ketika ditemui di Kuching, Sarawak baru-baru ini.

BUAH kiwi mengandungi dua kali ganda vitamin C berbanding oren.


Jenis kiwi
Lai Kim berkata, antara kelebihan memakan buah kiwi Zespri selama 14 hari berturut-turut ialah ia mampu meningkatkan sistem imun, memperbaiki kerosakan sel dan masalah jantung.
Katanya, terdapat dua jenis kiwi iaitu kiwi hijau dan kuning keemasan. Kedua-duanya mampu memberi kepuasan kepada pembeli. Lebih menarik, ia juga boleh dinikmati sebagai snek ringan yang memberikan tenaga dan manfaat kesihatan.
Untuk rasa yang lebih asli, katanya, buah kiwi hijau adalah jawapannya.
"Tetapi untuk anda yang menggemari rasa tropika dan lebih manis tetapi menyegarkan, pilihlah buah kiwi kuning keemasan yang juga sesuai dinikmati oleh kanak-kanak," ujar beliau.
Dalam perkembangan lain, Lai Kim memberitahu, Zespri memasuki pasaran negara ini lebih 10 tahun lalu dan Malaysia merupakan pasaran terbesar buah tersebut di Asia Tenggara.
Katanya, terdapat tiga jenis buah kiwi yang dijual di Malaysia termasuk buah konvensional dan organik antaranya buah kiwi Green, Gold dan SunGold.
"Buah kiwi Green mempunyai kombinasi rasa manis, masam dan mudah dikenali melalui isinya yang berwarna hijau cerah, bahagian tengahnya berwarna putih dan bijinya kecil berwarna hitam, manakala buah kiwi Gold mempunyai kulit yang licin dan berwarna kuning gangsa. Ia memiliki rasa manis tropika yang digemari oleh kebanyakan pelanggan di Asia.
"Buah kiwi SunGold adalah varian baharu yang dihasilkan menerusi kajian selama 10 tahun. Ia ditanam menggunakan teknik pembiakan semula jadi tanpa sebarang pengubahsuaian genetik dan berbentuk bujur, berkulit licin dan isinya berwarna coklat keemasan," jelasnya.

Kad raya masih relevan

Posted: 13 Aug 2013 09:46 PM PDT

KREATIVITI pengirim dapat dilihat melalui sampul pelbagai warna dan corak yang digunakan.


DALAM pada orang ramai memilih untuk menghantar ucapan raya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), kad elektronik mahupun rangkaian sosial, terdapat segelintir individu yang selesa mengamalkan cara tradisional dengan menghantar kad raya melalui perkhidmatan pos.
Tentu sekali menghantar atau menerima kad raya menyuntik pengalaman yang indah. Penerima bukan saja berpeluang memegang dan membaca bait-bait ucapan malah kad raya tersebut boleh disimpan sebagai kenang memandangkan ia sarat dengan sentuhan peribadi.
"Seperti yang kita sedia maklum, koleksi kad raya boleh disimpan dalam tempoh yang lama. Lagipun apabila membaca kad-kad lama secara automatik kita akan teringat kepada mereka mengutuskan kad tersebut.
"Bertambah istimewa, kehadiran kad raya dapat menyerikan hiasan rumah dengan menggantungnya di dinding dan sudut-sudut pilihan," jelas Siti Noor Hajar Zamzamin, 30, dari Shah Alam, Selangor.
Menurut Siti, sepanjang tiga tahun bertugas di Unit Kad Perayaan di Pusat Mel Nasional, Seksyen 21, Shah Alam, dia berasa teruja melihat himpunan kad raya yang direka sendiri oleh pengirim.
"Kreativiti mereka dapat dilihat menerusi sampul yang pelbagai warna dan corak. Rekaan yang dihasilkan sangat menarik. Saya pasti penerima lebih menghargai dan tersenyum tatkala menerima kad raya seumpama itu," ujarnya kepada Kosmo!.
Siti yang sudah 12 tahun bertugas bersama Pos Malaysia menyatakan, tanggungjawabnya semakin bertambah pada hari-hari terakhir sebelum hari raya. Ini disebabkan terlalu banyak kad raya perlu diedarkan.
Sementara itu, rakan setugas Siti, Mohd. Nazrin Abdul Rahman, 29, berkata, sejak tiga tahun lalu, jumlah kad yang diproses hampir sama.
"Mungkin lima hingga 10 tahun lepas, lebih banyak kad yang dihantar memandangkan pada tempoh berkenaan kiriman kad raya antara perkara wajib pada musim perayaan," jelas Nazrin.
Pusat Mel Nasional tersebut menjangkakan sebanyak 3.8 juta kad Hari Raya Aidilfitri dihantar pada tahun ini.
KAD-KAD diatur kemas mengikut kawasan penghantaran.


Berkurangan
Menurut Timbalan Naib Presiden Operasi Penyelesaian Komunikasi dan Edarannya, Boney Antika Baharim, penghantaran kad raya sejak tiga tahun lalu jelas menunjukkan corak yang sama dan ia menjadi rujukan sasaran tahun ini.
Pada tahun 2012, pengeposan kad raya adalah sebanyak 3.9 juta iaitu meningkat 0.05 peratus berbanding tahun 2011. Walau bagaimanapun, pengeposan kad raya pada tahun 2012 telah berkurangan sebanyak 25 peratus iaitu 1.2 juta berbanding 5.1 juta pada tahun 2010.
Penurunan jumlah penghantaran kad disebabkan pelbagai faktor khususnya kehadiran teknologi komunikasi dan maklumat yang serba canggih.
Namun situasi berkenaan sedikit pun tidak menjejaskan operasi Pos Malaysia. Sebaliknya saban tahun mereka sentiasa bersedia untuk memberikan perkhidmatan yang konsisten.
Inisiatif itu perlu dilaksanakan bagi memastikan kad-kad yang dihantar oleh orang ramai diproses dan dihantar tepat pada masanya.
"Seperti tahun-tahun terdahulu, pada kali ini kami turut menggunakan khidmat pekerja kasual atau pekerja sementara untuk urusan pemprosesan kad perayaan.
"Seramai 35 orang pekerja kasual diambil dan mereka mula bertugas sejak 3 Julai lalu hingga 16 Ogos ini," jelas Boney.
Beliau memaklumkan, selain daripada orang perseorangan, kad-kad raya yang diproses juga dihantar syarikat korporat.
Dalam pada itu, Pos Malaysia juga memperkenalkan poskad hari raya yang dijual pada harga RM3 bagi paket yang mengandungi lapan keping kad.
Ini merupakan inisiatif terbaharu Pos Malaysia dalam menggalakkan orang ramai menghantar ucapan raya secara tradisional.
"Kelebihan poskad ia tidak memerlukan setem. Pengguna hanya perlu membelinya di pejabat pos dan terus kirimkan kepada sahabat, kenalan mahupun saudara-mara mereka," jelas Boney.
Sementara itu, Ketua Pusat Mel Nasional, Syed Zulnurin Syed Loed berkata, setakat ini Pos Malaysia telah menghantar 2.5 juta kad dan selebihnya akan diproses secara agresif. Ini termasuk menambah waktu kerja atau kerja lebih masa bagi pekerja kasual yang sedia ada.
"Di seluruh negara, terdapat kira-kira 108 pekerja kasual yang diambil untuk memproses kad raya," ujarnya.
Pada tahun ini Pos Malaysia menyediakan promosi kadar bayaran kad raya dengan menetapkan 50 setem bagi setiap kad ucapan yang tidak melebihi 50 gram. Promosi tersebut berlangsung dari 8 Julai hingga 16 Ogos ini.
Bagi penghantaran ke luar negara pula, Pos Malaysia menawarkan diskaun sebanyak 20 peratus daripada kadar biasa.

Cara unik untuk zahirkan keikhlasan

Posted: 13 Aug 2013 09:45 PM PDT


KEHADIRAN teknologi moden menawarkan kepelbagaian kaedah menghantar salam raya yang canggih namun kiriman kad raya tetap menjadi pilihan sesetengah individu.- Gambar hiasan


"SAYA lebih suka cara tradisi. Kad raya boleh dipegang, dibelek dan disimpan sebagai kenangan. Pada saya kad raya cukup istimewa kerana gaya bahasanya yang menarik dan klasik. Saya beli khas untuk bonda, ibu mertua dan keluarga tersayang.
"Kad raya memberi sentuhan istimewa kerana ia membantu mengeratkan lagi silaturahim."
Demikian antara komen daripada yang penulis peroleh selepas mengajukan pertanyaan kirim kad raya atau guna SMS dan MMS sahaja kepada rakan-rakan Facebook.
Ternyata tradisi mengirim kad raya masih menjadi pilihan ramai. Segelintir kecil turut memberitahu, sekalipun menggunakan SMS untuk mengirim ucapan Selamat Hari Raya, ia lebih ditujukan kepada kawan-kawan atau individu yang lebih muda daripada mereka.
Ada juga berpandangan, kad raya menjadi pilihan kerana ia bersifat peribadi, mempunyai nilai sentimental terutama untuk ibu bapa, kenalan rapat dan mereka yang jauh dan sudah lama tidak berjumpa.
Hasil tinjauan di sebuah kedai buku di Taman Setiawangsa, Kuala lumpur mendapati, kebanyakan pengguna yang gemar membeli kad raya ialah golongan muda dan remaja.
"Kebelakangan anak-anak muda kerap membeli kad raya. Golongan dewasa dan warga emas kurang. Kalau beli pun kad ini diberikan kepada jiran tetangga sahaja," kata pengusaha kedai buku dan alat tulis, SKH Books di pusat beli-belah Aeon AU2, Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur, Noor Shakila Mohamad Ismail.
Menurutnya, kebanyakan mereka yang membeli kad raya akan memberi kad itu dengan tangan.
"Barangkali disebabkan harga setem yang meningkat 50 sen bagi skeping kad raya. Kalau 10 kad sudah berapa? Dulu harga setem 30 sen, kalau tak digam sampul surat, setem 20 sen," kata Noor Shakila.
Kad yang menjadi pilihan golongan remaja ialah kad lakaran kartun.
Bagi golongan dewasa dan bekerja, kad pilihan mereka ialah yang mempunyai gambar yang cantik.
Kad paling murah yang dijual di kedai Noor Shakila berharga RM1.80 dan yang paling mahal RM14.90.
Bagaimanapun, Noor Shakila memberitahu, sambutan pembelian kad raya semakin berkurangan berbanding enam tahun lalu sewaktu dia memulakan perniagaan.
Kekalkan budaya
"Saya beli kad raya untuk ibu," kata Nurul Hanis Abd. Rahman, 13, yang ditemui di Kedai SKH Books.
Pelajar tingkatan satu itu mengakui dia jarang membeli kad raya termasuk semasa di sekolah rendah. Namun, pada tahun ini dia terdetik untuk membeli kad raya.
"Tahun ini saya belajar di Kuala Lumpur dan ini kali pertama berjauhan dengan ibu dan keluarga," kata Nurul Hanis yang berasal dari Jerantut, Pahang.
Dia memperoleh 5A dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lalu.
Lazimnya, dia mengucapkan ucapan selamat hari raya secara lisan. Pada pagi raya, dia akan berjumpa dengan ibu dan ayah untuk memohon ampun dan maaf.

APLIKASI e-kad dan laman sosial menjadi medium moden untuk mengucapkan salam raya. - Gambar hiasan


Meskipun mengirim ucapan hari raya menerusi SMS dan MMS menjadi trend dalam kalangan rakan seasrama, Nurul Hanis berpandangan budaya mengirim kad raya perlu dikekalkan.
"Ada masanya kita tidak dapat melahirkan kata-kata yang boleh menusuk kalbu tapi menerusi kad raya ia boleh direalisasikan.
"Saya gemar mencari kad yang mengandungi ungkapan yang indah dan gambar menarik," kata Nurul Hanis yang memperuntukkan sekitar RM10 sahaja untuk membeli kad raya.
Bagi Ridzuan Ghazali, 20-an, dia gemar mengirim kad raya berbanding SMS atau MMS kerana dapat mengembalikan nostalgia zaman 1990-an.
"Kad raya lebih bersifat peribadi, berwarna-warni dan ada yang berlagu.
"Tulisan tangan yang ditulis pada kad raya menggambarkan keikhlasan si pengirim mengutus ucapan lebaran. Keseronokan menerima kad raya lebih berganda berbanding melalui SMS," tambahnya.
Menurut Ridzuan, dia membeli kad untuk saudara-mara serta kawan-kawan sekolah dan mengepos kad-kad berkenaan.
Kepada Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), S. Piarapakaran, beliau juga memilih mengirim kad raya terutama untuk kenalan rapat dan rakan-rakan yang mempunyai hubungan kerja.
Menurut beliau, amalan mengirim kad ucapan telah menjadi amalannya sejak zaman persekolahan.
"Masa itu kita serah dengan tangan sahaja tetapi sekarang kerana jarang berjumpa, kad perlu dipos," katanya.
Piarapakaran biasanya membelanjakan sekitar RM60 hingga RM70 termasuk kos untuk mengirim kad raya.
Beliau berpendapat, mengirim kad raya adalah satu peluang terbaik untuk mengingati mereka yang dikenali dan berkongsi kegembiraan hari raya.
"Dengan kiriman kad, jalinan kemesraan berterusan termasuk untuk mereka yang mungkin menjadi renggang kerana perselisihan pendapat.
"Bagi saya kad masih satu cara unik menzahirkan keikhlasan mengucapkan selamat hari raya," katanya.
Mengenai kiriman ucapan menerusi SMS atau MMS, beliau beranggapan ia satu trend yang ada pengikutnya.
"Kita bolehlah hantar SMS tapi kalau memori telefon bimbit penuh, kita kena padam SMS atau MMS supaya ada ruang memori untuk keperluan lain.
"Kalau kad raya, kita boleh simpan selama mana kita mahu. Semakin banyak kad diterima, semakin meriah sambutan hari raya," katanya.



LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines