LIGA BOLASEPAK MALAYSIA |
- Mahu bawa pulang Teong Kim
- The Red Warriors dapat 'bonus raya'
- Jang harap Nazrin kekal
- Azraai puas hati aksi Yob
- Swasta Liga M elak muflis: Annuar
Posted: 05 Aug 2013 05:46 PM PDT
Sumber: Utusan Malaysia KUALA LUMPUR 5 Ogos - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bercadang membawa pulang Lim Teong Kim yang merupakan bekas penolong jurulatih pasukan akademi kelab gergasi Jerman, Bayern Munich Bawah 19 tahun bagi membantu meningkatkan prestasi sukan popular tanah air itu. Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, cadangan tersebut antara lain juga bertujuan untuk membantu meningkatkan pembangunan akar umbi bola sepak di bawah program Majlis Sukan Negara (MSN). Jelasnya, walaupun pada dasar, Teong Kim memberi reaksi positif, namun masih ada beberapa perkara yang perlu diperhalusi sebelum bersetuju pulang ke tanah air. "Saya ada berjumpa dengan beliau pagi tadi (semalam) bagi menyusul tujuan untuk membawanya pulang bagi membantu pasukan bola sepak negara. "Perkara tersebut masih lagi di peringkat perbincangan. Ada beberapa perkara yang dibincangkan oleh kedua-dua belah pihak," katanya ketika ditemui selepas mengedarkan juadah berbuka puasa kepada pengguna kenderaan awam di Stesen Sentral Kuala Lumpur anjuran Sekretariat Hal Ehwal Bandar (SHEB). Teong Kim adalah pemain bola sepak negara pertama bermain di Eropah bersama kelab Jerman, Hertha Berlin yang beraksi di Divisyen Tiga pada tahun 1987 dan sempat beraksi selama semusim di sana. Selepas pulang dari Jerman, Teong Kim beraksi bersama Kuala Lumpur yang menyaksikan dia membantu pasukan warga kota itu meraih kejuaraan tiga kali berturut-turut Piala Malaysia pada tahun 1987 hingga 1989. Kedah menjadi pasukan terakhir yang diwakili Teong Kim pada tahun 1992 dan 1993 sebelum anak jati Melaka ini bersara daripada dunia bola sepak dan memulakan kariernya dalam bidang kejurulatihan bersama skuad Bawah 13 tahun Bayern Munich pada tahun 2000 sebelum kontraknya tamat pada tahun lalu. Di Bayern, dia pernah bekerjasama dengan beberapa pemain ternama Jerman pada masa sekarang seperti Thomas Muller, Bastian Schweinsteiger, Diego Contento dan David Alaba. Penolong kepada Kurt Niedemeyer, bekas pemain Bayern ini pernah melahirkan minat untuk membantu Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) dalam aspek pembangunan akademi pada tahun lalu. Sementara itu, ketika di soal berhubung pendiriannya untuk bertanding dalam jawatan Ketua Pergerakan Pemuda dalam pemilihan UMNO, beliau masih lagi berteka-teki. "Saya akan umumkan kemudian sama ada bertanding atau tidak. Tunggu sahaja selepas Aidilfitri ini," katanya. | ||
The Red Warriors dapat 'bonus raya' Posted: 05 Aug 2013 05:44 PM PDT
Sumber: Utusan Malaysia KOTA BHARU - Skuad The Red Warriors menerima 'duit raya' apabila Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengagihkan bonus berjumlah RM600,000 berikutan kejayaan mengekalkan kejuaraan Piala FA buat kali kedua berturut-turut di samping mengesahkan tempat beraksi dalam saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) musim hadapan. Penasihat KAFA, Tan Sri Annuar Musa berkata, pemberian bonus tersebut sebagai penghargaan kepada barisan pemain Kelantan yang telah bertungkus-lumus menaikan nama pasukan dengan mengekalkan kejuaraan tersebut sekali lagi musim ini. Beliau berkata, jumlah tersebut adalah yang tertinggi setakat ini pernah diberikan oleh KAFA kepada barisan pemain The Red Warriors selepas menolak segala perbelanjaan pengurusan untuk perlawanan akhir Piala FA, baru-baru ini. Menurutnya, agihan bonus tersebut diberikan kepada semua pemain Kelantan sama ada yang beraksi di pentas akhir atau sebaliknya "Seramai 14 pemain yang beraksi dalam pentas akhir Piala FA, baru-baru ini menerima agihan bonus berjumlah RM30,000 setiap seorang membabitkan peruntukan berjumlah RM420,000. "Manakala baki selebihnya dari bonus tersebut diberikan mengikut kaedah yang telah ditetapkan oleh pihak KAFA. Ini merupakan agihan bonus tunai terbesar yang pernah dibuat oleh KAFA setakat ini," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Iftar bersama pemain The Red Warriors dan pengamal media Kelantan di sini semalam. Yang turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Presiden KAFA, Datuk Affandi Hamzah; Naib Presiden Datuk Ismail Mohd. Nor dan Setiausaha Agung, Azman Ibrahim. Annuar turut melahirkan rasa lega, agihan bonus tersebut dapat dilunaskan sebelum sambutan Aidilfitri seterusnya membolehkan barisan pemain membuat persiapan untuk menyambut hari lebaran tersebut yang bakal menjelang tiba tidak lama lagi. "Saya berterima kasih kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana dapat melunaskan pembayaran dan membolehkan KAFA mengagihkannya sebelum sambutan Aidilfitri," ujarnya. Dalam perkembangan lain, Annuar mengingatkan barisan pemain Kelantan supaya berjimat cermat dan tidak boros dengan bonus tersebut bagi memastikan ia dapat dimanfaatkan sebaik mungkin demi masa depan mereka. | ||
Posted: 05 Aug 2013 05:40 PM PDT Sumber: Harian Metro Seremban: Negeri Sembilan mengharapkan pemain sayap pasukan itu yang meningkat naik, Mohd Nazrin Mohd Nawi, kekal bersama skuad itu bagi memudahkan perancangan membentuk skuad mantap musim depan. Pemain dari Kelantan itu kini dikatakan diintai beberapa pasukan terutama negeri kelahirannya selepas memperagakan prestasi memberangsangkan sepanjang Liga Super musim ini. Jurulatih Ridzuan Abu Shah berkata, pihaknya sedar mengenai perkara itu tetapi menaruh harapan tinggi kepada pemain lincah itu dapat kekal menyarung jersi Hoben Jang Hoben musim depan. Bagaimanapun, beliau mengaku tidak dapat menghalang jika Mohd Nazrin ingin mengubah haluan dengan pasukan lain kerana kontraknya bersama Negeri Sembilan akan berakhir sebaik tamat Piala Malaysia. "Saya menaruh harapan tinggi Mohd Nazrin kekal bersama kami, namun keputusan muktamad terletak di tangan pemain itu dan ia sudah tentu berkait rapat dengan nilai tawaran yang bakal diterimanya nanti," katanya. Baru-baru ini, Kelantan menerusi Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Anuar Musa dikatakan berminat mendapatkan khidmat pemain berusia 24 tahun itu bagi menghadapi Liga Malaysia (Liga M) musim depan. Bagaimanapun, belum ada kata putus daripada kedua-dua pihak malah Mohd Nazrin belum dapat mengulas mengenainya kerana memberi tumpuan kepada persiapan Piala Malaysia 20 Ogos ini. | ||
Posted: 05 Aug 2013 05:38 PM PDT Sumber: Harian Metro Ipoh: Jurulatih Perak, Mohd Azraai Khor Abdullah puas hati dengan kemampuan anak buahnya selepas menguji mereka dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada perlawanan persahabatan di Ipoh, Sabtu lalu. Kelegaan terbesar Azraai apabila pemain mudanya memberi persembahan meyakinkan ketika bergandingan dengan senior. "Saya menurunkan dua set pemain iaitu gandingan pemain muda dengan senior pada babak pertama dan barisan kemungkinan pada babak kedua. "Permainan bergerak lancar dan berjaya menguasai keseluruhan perlawanan," katanya. Menurut Azraai, biarpun perlawanan itu berkesudahan 1-1, beliau tidak kisah sangat dengan keputusan itu kerana yang penting dapat menilai kemampuan pemain. "Keputusan tidak penting kerana perlawanan ini sekadar medan menguji keupayaan pemain selepas berlatih beberapa minggu." Jurulatih itu juga puas hati dengan keupayaan jentera serangan Seladang yang dikemudi awang import, Paolo Rangel. Walaupun hanya menyumbat satu gol melalui Rangel, jentera Perak berjaya mencipta ruang dan peluang untuk menjaringkan gol. Azraai berkata, pemain akan bercuti untuk Aidilfitri mulai esok dan menyambung latihan selepas itu. "Mereka akan menjalani satu lagi perlawanan ujian bertemu Sime Darby pada 12 Ogos ini. Ini ujian terakhir sebagai persiapan sebelum Piala Malaysia." | ||
Swasta Liga M elak muflis: Annuar Posted: 05 Aug 2013 05:36 PM PDT Sumber: Harian Metro Kota Bahru: Cadangan untuk menswastakan Liga Malaysia perlu dilakukan segera Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi mengelak pasukan bola sepak negeri muflis selepas hak mereka banyak dinafikan badan induk itu. Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata, hasil daripada hak penyiaran secara langsung daripada ASTRO sepatutnya milik persatuan negeri tetapi disebabkan FAM yang mengendalikan sepenuhnya, hak itu terus dijual badan induk berkenaan. Katanya, jika sistem itu berterusan, tidak mustahil persatuan negeri boleh muflis kerana ketiadaan dana secukupnya untuk mengendalikan pasukan terutama pembayaran gaji kepada pemain. "Dalam soal itu, kita (pasukan negeri) yang pergi main, namun, hak kita dijual FAM. Bila pasukan bermain dan ada tayangan langsung di Astro, kita tidak mendapat apa-apa (bayaran) kerana hak sudah dijual FAM. "Itu sebab, sistem berkenaan tidak sesuai bagi pasukan negeri. Kalau masih bertahan dengan cara ini, lebih banyak pasukan akan lingkup kerana ketiadaan punca sumber kewangan, selain pasukan tiada hak untuk bersuara," katanya. Beliau berkata demikian sempena majlis berbuka puasa Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) bersama pengamal media Kelantan, kelmarin. Pada majlis sama, KAFA turut menyampaikan bonus Hari Raya berjumlah RM600,000 atau RM30,000 setiap seorang kepada semua pegawai serta pengurusan KAFA termasuk pemain yang bermain dalam final Piala FA pada 29 Jun lalu. Selain itu, Annuar berkata ranking bola sepak negara boleh dipulihkan berbanding kedudukan 159 dunia sekarang. "Saya yakin Malaysia boleh memperbaiki kedudukan ranking itu kerana kita pernah menduduki tangga ke-79 dunia sekitar tahun 1990-an. "Yang penting, FAM termasuk barisan tertingginya (Exco) perlu bekerja keras dan memainkan peranan masing-masing dalam mencapai misi berkenaan," katanya. |
You are subscribed to email updates from LIGA BOLASEPAK MALAYSIA To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |