Isnin, 19 Ogos 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Izara selesa urus diri sendiri

Posted: 18 Aug 2013 12:55 AM PDT




SENYUM melirik yang terbit daripada ulas bibirnya cepat menghantar isyarat. Darah muda dalam tubuhnya tidak sementah yang disangka. Itu yang terzahir sebaik patah bicaranya meluncur laju. Dia bukan Izara Aishah yang pernah dilihat keanak-anakan beberapa tahun lalu.
Dalam waktu yang singkat, langkah kembara seni yang dilalui membawanya ke fasa dewasa. Berdiri atas kaki sendiri atau lebih ringkas disebut berdikari, prinsip itu sedang digalas wanita berumur 21 tahun ini setelah empat tahun berkecimpung dalam industri.
"Sekarang saya dalam proses memperbetulkan banyak perkara," katanya menghela nafas panjang.
Ibarat melepaskan apa yang tersimpan dalam dada, Izara membuka cerita.
"Sekarang saya mahu pihak di luar sana tahu bahawa saya tidak bernaung di bawah mana-mana pengurusan. Saya mengurus karier seni sendiri tetapi jika ada isu berhubung kontrak atau perjanjian melibatkan penjenamaan atau duta produk, hal itu saya serahkan kepada ibu. Dia yang bertanggungjawab," katanya.
Empat tahun cukup sebagai pengenalan buat Izara mengenal sepak terajang bergelar selebriti. Usah diungkit banyak omongan negatif yang pernah terpalit ke mukanya, Izara enggan menyalahkan sesiapa. Dia pernah dituduh budak sombong, tidak berdisiplin dan sukar memberikan kerjasama melibatkan hal-hal tertentu, namun semua itu ditelan penuh optimis.
"Ada perkara berlaku tanpa kehendak kita, ada juga yang berlaku di luar kawalan. Supaya saya tidak keliru dan tidak menyalahkan sesiapa, sekarang, biarlah saya yang bertanggungjawab. Rupa-rupanya okey juga bergerak sendiri, sudah setahun lebih saya susun jadual dan buat keputusan sendiri berhubung soal kerja. Mula-mula malu juga bila masuk soal bayaran, tapi saya ikut skala dan cara pengurus saya terdahulu mengendalikan hal berkenaan, lama-lama saya selesa," katanya mempamerkan sisi dewasa.
EMPAT tahun dalam industri, bermula sebagai gadis belasan tahun yang menyertai Dewi Remaja kini Izara menampakkan sisi matang untuk melangkah menjadi bintang pujaan ramai.


Leka seketika menyaksikan bintang muda itu berterus-terang tentang dirinya, emosi raya yang masih menyelubungi menyerlahkan seri wajah Izara. Masa rehat seminggu bercuti sudah habis, sekarang tumpuan penuhnya adalah tentang rutin pekerjaan.
"Buat masa ini saya tiada penggambaran. Tapi, itu tak bermakna jadual saya kosong, sekarang masa untuk saya penuhi banyak undangan dan permintaan. Kalau tidak, orang kata saya sombong, ikut haluan kiri atau menolak media. Sekarang masa untuk saya bersihkan semua itu," katanya seperti ada rajuk di hati.
Jadi zombi
Sedikit terkilan namun Syawal yang masih bersisa ini memberikan banyak hikmah buat Izara. Semua itu mahu dibilas tanpa prasangka. Sementelah buah tangan pertama yang akan menyaksikan kemunculan pertamanya ke layar perak, KL Zombi akan mula ditayangkan pada 29 Ogos nanti. Itu semua kebetulan yang sangat mengujakan Izara untuk bertemu khalayak.
"Selama ini saya sibuk dengan penggambaran. Bulan lepas, saya habis penggambaran filem Showdown The Movie. Semasa dalam tempoh penggambaran, saya jenis tidak ambil komitmen lain walaupun sesi fotografi. Prinsip saya buta kerja biarlah satu demi satu, mungkin sebab itu juga ada pihak merungut sukar untuk dapatkan komitmen daripada saya," katanya yang lama tidak muncul menghiasi drama-drama televisyen.
Mengumpul perhatian hasil impak daripada siri-siri popular seperti Kasihmu Laila, Vanila Coklat, Soraya dan Oh! My English, seingat Izara judul drama bersiri terakhirnya ialah Naziha yang disiarkan pada pertengahan tahun lepas.
"Ramai ingat saya menyepi tapi sebenarnya tidak. Alhamdulillah, rezeki filem lebih memihak kepada saya ketika ini tapi itu tak bermakna saya lupakan lakonan dalam drama. Saya terima tawaran yang datang terlebih dahulu, banyak juga tawaran untuk drama terpaksa dilepaskan kerana ada komitmen filem.
JELITAWAN muda, Izara bakal membuat penampilan sulungya ke layar perak bermula 29 Ogos nanti menerusi filem KL Zombi di sisi Zizan Razak, Siti Saleha Zain Hamid dan Azhan Rani.


"Untuk KL Zombi pula, watak saya tidaklah besar. Saya melakonkan watak Ana, seorang guru sekolah rendah yang dijangkiti virus zombi daripada seorang lelaki lakonan Zain Ruffedge," katanya yang belajar untuk menghidupkan karakter zombi daripada YouTube.
Melakonkan watak zombi yang menuntut solekan buruk, karakter watak tanpa dialog yang jelas serta pergerakan tubuh tidak normal sebenarnya bukan satu seksaan buat Izara.
"Mungkin orang ingat, jadi zombi itu senang, saya pun fikir begitu juga semasa mula-mula terima tawaran, tapi bila masuk ke lokasi, karakter itu agak susah juga buat saya. Kena banyak buat rujukan, tengok filem dan belajar daripada YouTube.
"Saya juga tidak kisah dengan karakter sebegitu, bagi saya, apa sahaja watak, walaupun watak hantu, asalkan ia menarik dan beri pengalaman baharu, saya akan terima. Saya tak kisah nampak buruk dalam skrin tapi saya pentingkan lakonan," katanya yang turut membintangi dua buah filem iaitu Sejoli dan Pilot Cafe karya Osman Ali.
Mengenangkan ilmu yang diperoleh dari lokasi penggambaran, pelakon filem Balun itu mengakui banyak mengutip nasihat daripada pelakon hebat yang juga pengarah wanita, Ellie Suriaty Omar. Bertindak sebagai guru lakonannya menerusi filem Pilot Cafe, Izara menyifatkan pengalaman berlakon dalam filem berkenaan sebagai cabaran terhebat buatnya setakat ini.

Jep (Sepahtu) Takut Lupa Diri

Posted: 18 Aug 2013 12:54 AM PDT

Jep Sepah
KUALA LUMPUR: Pelawak Jepp (Sepahtu) mengakui berasa risau dengan dirinya yang mungkin lupa diri atas kejayaan yang dimiliki.
Jepp atau nama sebenarnya Mohd Nadzri Zainal Abidin berkata kegusaran itu membuatkan dia sentiasa mengingati pesanan ayahnya agar tidak tersasar daripada jalan kejayaan yang ingin dituju.
"Dalam mengejar cita-cita untuk menempa nama sebagai pelawak yang berjaya, saya selalu risau sekiranya saya tersasar dari landasan terutamanya lupa diri dengan asal-usul.
"Bukan mudah untuk melalui dugaan dalam industri seni kita ini. Tetapi saya selalu mengingatkan diri ikut pesanan ayah jangan lupa diri dan hormat orang yang lebih tua daripada kita.
"Dengan cara itu juga membuatkan kita lebih berjaga-jaga dan pada masa sama turut menyenangkan hati orang sekeliling," katanya.
Pada Jumaat lalu, Jepp buat pertama kalinya telah menerima anugerah Artis Lawak Lelaki Popular pada Anugerah Lawak Warna yang berlangsung di Istana Budaya.
Beritahu Jepp, kemenangan itu membuatkan dia lebih bersemangat dalam menambah baik lagi mutu lakonan komedinya.
"Saya ingat lagi, dulu, menjadi pelawak bukan cita-cita saya pun.
"Tetapi ia telah menjadi sebahagian daripada mata pencarian untuk saya dan keluarga.
"Saya harap dengan pengiktirafan ini yang diundi peminat-peminat, saya akan buat lebih baik daripada yang sekarang agar ia berbaloi dgn sokongan peminat-peminat,"ujarnya.

Lisa Surihani Enggan Digelar Pelawak

Posted: 18 Aug 2013 12:54 AM PDT

Lisa Surihani
KUALA LUMPUR: Kemenangan sebagai Pelakon Komedi Wanita Terbaik menerusi filem Istanbul Aku Datang pada Anugerah Lawak Warna (ALW) yang julung kali dianjurkan di Istana Budaya pada Jumaat lalu bukan satu tiket untuk aktres Lisa Surihani digelar sebagai pelawak.
Lisa atau nama sebenarnya Lisa Surihani Mohamed, 27, menyifatkan, dia tidak layak untuk digelar pelawak memandangkan dia kurang ilmu pengetahuan di bidang komedi.
"Rasanya tidak sesuai jika orang panggil saya pelawak kerana ia bukan dalam liga saya. Tambah pula saya tiada ilmu untuk melawak pon.
"Kemenangan ini pun saya percaya ia kerana Bernard yang mengasah lakonan saya menjiwai watak Dian. Mungkin saya boleh berlakon dalam filem komedi, tetapi saya tk layak untuk digelar pelawak," katanya.
Filem Istanbul Aku Datang mengungguli ALW dengan meraih meraih empat kategori iaitu Filem Terbaik, Pelakon Komedi Wanita Terbaik Filem (Lisa Surihani), Lakon Layar Komedi Filem Terbaik dan Pengarah Komedi Terbaik (Bernard Chauly).
Filem tersebut telah ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada 8 November 2012.
Dalam pada itu, Lisa menganggap kemenangan sebagai Pelakon Komedi Wanita Terbaik juga sebagai satu momen yang pelik sepanjang karier lakonannya.
Malah, ketika pengumuman pemenang, dia terkejut apabila namanya disebut dan tidak sangka diberi pengiktirafan memandangkan dia berasa pencalon lain seperti Yana Shamsudin, Sharifah Amani, Intan ladyana dan Sharifah Shahira turut mempunyai keistimewaan lakonan yang tersendiri.
"Saya memang benar-benar terkejut. Maklumlah saya bukannya pelawak dan ketika pengumuman dibuat, rasa macam pelik. Malah hati saya sempat berkata-kata, mungkin ada tersilap di mana-mana.
"Bagaimanapun, saya bersyukur kerana ia juga adalah satu rezeki dan terharu diberi pengiktirafan sebegini.
"Terima kasih juga kepada pengarah Istanbul Aku Datang iaitu Bernard Chauly yang berjaya mengasah bakat saya menghayati watak Dian dalam filem itu," ujarnya.

Che Ta beri penjelasan sorok pertunangan?

Posted: 18 Aug 2013 12:52 AM PDT


  • Che Ta beri penjelasan sorok pertunangan?
DI saat seluruh umat Islam meraikan kedatangan Aidilfitri, pasangan popular, Rozita Che Wan dan Zain Saidin, berdepan pula dengan kontroversi baru.

Tidak pernah terlepas dari kontroversi liar mengenai hubungan mereka, kini timbul pula kisah pasangan ini mengadakan majlis pertunangan pada 3 Syawal lalu.

Perkara ini mula menjadi perbualan hangat apabila seorang daripada peminatnya yang menghadiri majlis rumah terbuka pelakon itu di Alor Setar, menyebarkan cerita mengenai majlis pertunangan mereka.

Terkejut dengan tindakan peminatnya itu, Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta, 40, tampil menafikan dakwaan mengenai pertunangannya tu.

"Memang dari awal lagi, saya sudah perasan kehadirannya. Malah, dia menjadi tetamu yang paling lama berada di rumah saya.

"Saya mula rasa pelik apabila dia banyak sangat mengambil gambar saya, Zain dan adik saya, Ayu Raudhah.

Namun, kerana menghormati peminat, kami menurut saja. "Saya sendiri tak tahu apa motif dia, mungkin sekadar bergurau ataupun tujuan lain. Saya tak marah, mungkin dia sendiri tak tahu yang majlis itu hanyalah majlis rumah terbuka.

"Mungkin dia keliru kerana saya dan Zain berpakaian sedondon berwarna hijau. Jadi, dia ingat itu adalah majlis kami," katanya sambil tergelak kecil.

Belum pilih tarikh

Sebelum ini, Che Ta, pernah memberitahu bahawa mereka akan mengumumkan tarikh perkahwinan selepas sambutan Aidilfitri.

Namun, ketika ditanya lagi, Che Ta berkata, sehingga kini masih tiada pemilihan tarikh yang dibuat. "Saya dan Zain memang dah sepakat untuk tidak mengadakan majlis pertunangan. Kami akan terus berkahwin kerana saya sendiri takut nak bertunang ni.

Orang kata, sepanjang tempoh bertunang tu, banyak sangat dugaan. "Mengenai tarikh, kami masih belum pilih kerana masing-masing sedang sibuk lagi. Tambahan pula, pengurus saya kini sedang bercuti di Bali.

"Saya pula akan kembali sibuk dengan penggambaran drama dan rancangan realiti, Pencarian Ratu Rania. Zain pula sudah kembali ke set penggambaran. Jadi, memang tak sempat nak bincang lagi.

"Insya-ALLAH, kalau tiada aral melintang, kami akan berkahwin pada tahun ini juga. Bila dah pilih tarikh nanti, kami akan umumkan kepada semua," katanya yang mengimpikan perkahwinan sederhana berkonsepkan taman.

Jual biskut tampung majlis?

Bertanya mengenai cemuhan peminat mengenai tindakan kekasihnya yang mempromosikan biskut raya secara peraduan itu, Che Ta, enggan berbicara dengan lebih serius kerana ianya hanyalah perkara remeh.

Menurut Che Ta, dia sendiri sudah lali dengan persekitaran itu malah, lumrah sebagai artis, apa sahaja yang dilakukan, pasti dilihat 'sumbing'.

Tegasnya, mereka tidak pernah terdesak untuk melakukan pelbagai cara mendapatkan perbelanjaan bagi menampung kos perkahwinan.

"Kadang-kadang, kelakar juga mereka yang bercakap ni. Takkanlah kami terdesak nak jual biskut raya semata-mata nak cari duit lebih untuk kahwin.

"Malah, sehingga kini, sudah ada pihak yang sudi menaja perkahwinan kami. Istilah terdesak itu tidak perlu timbul. "Nampaknya, cara Zain untuk memberi penghargaan kepada peminat telah disalah ertikan.

Saya tidak nampak sebarang kecacatan dalam usaha Zain untuk mempromosikan perniagaannya. Ia lebih kepada penghargaan.

"Saya pun ada buat perniagaan tudung dan hamper juga di bulan Ramadan. Tapi, apa nak buat, masyarakat kita suka melihat dari sudut negatif. Saya tak kisah, asalkan kami tahu apa yang kami buat," katanya.

Nombor plat motosikal tema raya

Posted: 18 Aug 2013 12:49 AM PDT


  • Nombor plat motosikal tema raya Motosikal remaja yang ditahan dengan nombor platnya telah diubah suai bertemakan sambutan Hari Raya Aidilfitri.
KUALA TERENGGANU – Sambutan Hari Raya Aidilfitri bukan alasan buat golongan muda di negeri ini untuk mengubahsuai plat kenderaan mereka bertemakan musim perayaan, sehingga melanggar undang-undang jalan raya.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Terengganu, Abdul Rahman Emang Anyie berkata, trend baru itu dikesan dalam Ops Khas Motosikal sempena Aidilfitri yang dijalankan pada hari raya kedua dan ketiga di Jalan Sungai Tong.

"Terdapat tiga kes di mana dua melibatkan plat motosikal dan satu kes melibatkan kereta. Kes ini melibatkan nombor plat kenderaan yang didaftarkan di Terengganu dan terdapat juga yang didaftarkan di negeri lain.

"Ini adalah kes unik yang pertama ditemui sepanjang pihak JPJ menjalankan operasi jalan raya pada musim perayaan," katanya dalam sidang media selepas Ops Khas Motosikal di Jalan Sultan Muhammad, disini, semalam.

Menurut Abdul Rahman, tindakan pemilik kenderaan mengubahsuai nombor plat kenderaan mereka boleh mengganggu siasatan pihak berkuasa sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini kerana nombor plat berkenaan tidak mematuhi syarat dari segi saiz dan jarak.

"Walaupun pemilik kenderaan masih mempamerkan nombor pendaftaran di motosikal dan kereta milik mereka, sekiranya berlaku kemalangan atau sebarang kejadian, ia menyukarkan pihak berkuasa mengesan nombor plat itu dari jarak jauh kerana saiznya telah dikecilkan.

"Kita harap pemilik kenderaan terutama golongan muda dapat mengambil berat mengenai perkara ini, walaupun kita berada pada musim perayaan, ia bukan alasan untuk mengubahsuai no plat kenderaan sehingga melanggar syarat yang ditetapkan," katanya.

Sementara itu, statistik kesalahan lalu lintas JPJ Terengganu bagi Ops Perayaan Aidilfitri 2013 yang dijalankan bermula 1 hingga 16 Ogos lalu mengesan 1,541 kes di bawah 10 kesalahan utama.

Antara kesalahan utama yang dikesan ialah tidak memakai topi keledar (271 kes), cermin gelap (171 kes) dan tidak mematuhi isyarat lalu lintas (155 kes), tiada perlindungan insurans (131 kes), Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh (125 kes) dan tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL) (113 kes).

Selain itu, terdapat pengguna gagal patuhi notis temu siasat (89 kes),  gagal pamer nombor pendaftaran (88 kes), memotong garisan berkembar (60 kes), tidak memakai tali pinggang keledar hadapan (26 kes) dan lain-lain kesalahan (132 kes).

Disisih keluarga kerana khalwat

Posted: 18 Aug 2013 12:41 AM PDT


  • Disisih keluarga kerana khalwat Nadia insaf dengan dosa yang dilakukannya sebelum ini dan ingin menjalin ikatan suci dengan teman lelakinya.
SABAK BERNAM – "Saya tak akan makan rendang, melainkan jika hidangan itu dimasak ibu sendiri," kata seorang penghuni di rumah Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan, Sabak Bernam, di sini.

Nadia (bukan nama sebenar) berkata, kedatangan lebaran kali ini memberi pengertian amat mendalam kepada dirinya kerana terpaksa beraya bersama penghuni wanita lain tanpa keluarga tersayang.

Menurutnya, jauh di sudut hati, dia tetap merindukan keluarganya, namun peristiwa dia ditangkap khalwat pada Oktober tahun lalu menyebabkan dia berasa tawar hati dengan sikap abang dan kakaknya yang lain.

"Aidilfitri yang disambut tahun ini, sudah tiada ertinya lagi kerana saya seolah-olah tersisih daripada keluarga apabila abang dan kakak seperti tidak dapat memaafkan dosa saya," katanya kepada Sinar Harian.

Nadia berkata, dia kini insaf dengan perbuatan dan dosa dilakukannya bersama kekasih hati yang dikenalinya di sebuah pasar raya di Selangor.

"Saya ingin menjalin ikatan suci dengannya dan tidak mahu mengulangi kisah lampau dengan melakukan dosa besar, sebaliknya mahu mencari keberkatan Aidilfitri ini untuk muhasabah dan mendekatkan diri pada yang Maha Esa," katanya.

Menurutnya, dia bergelumang dengan dosa zina apabila mengenali lelaki dari Sarawak itu sewaktu menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di Pahang dan mereka sering melakukan hubungan terlarang di hotel.

"Pada mulanya, kami hanya berkenalan memandangkan dia ada teman wanita. Lelaki itu juga selalu membawa saya tengok wayang, berjalan-jalan hingga kami terjerumus dalam hubungan terlarang.

"Dia juga selalu beri saya wang, hinggalah kami terlanjur lebih tiga bulan sejak Julai tahun lalu, sebelum saya ditahan pihak penguat kuasa jabatan agama kerana bersekedudukan," katanya.

Menurutnya, selepas dia dicekup di sebuah hotel bajet, di Selangor, abangnya pernah memalukannya di asrama dengan kata-kata menyakitkan hati hingga rahsia dia ditangkap khalwat diketahui rakan-rakan lain.

"Lebih menyakitkan hati, saya digelar pelacur seolah-olah saya tidak ada perasaan dan saya harap Aidilfitri ini dapat menjernihkan hubungan kami sekeluarga," katanya.

Menurutnya, dia kini menemui bahagian di rumah Baitul Ehsan yang memberi sinar baru dalam hidupnya dan berharap dapat menjalani kehidupan lebih baik dan meninggalkan dosa besar tersebut.

"Biarlah saya mencari kedamaian di sini, mungkin ada hikmahnya saya ditempatkan di rumah ini bagi menebus kesalahan masa lampau," katanya.

Sementara itu, Eksekutif Hal Ehwal Penghuni dan Kaunseling Rumah Baitul Ehsan, Nur Afniza Kahpi berkata, seramai 29 penghuni rumah itu tidak pulang beraya disebabkan perintah mahkamah dan ada di antaranya yang sukarela tidak mahu pulang ke kampung.

Katanya, Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengeluarkan peruntukan baju raya kepada semua penghuni rumah itu dan kebanyakannya dijahit sendiri penghuni untuk kegunaan lebaran.

"Mereka juga akan dihidangkan dengan menu raya pada pagi Syawal dan akan mengadakan program baraan raya ke rumah guru-guru pembimbing," katanya.

Cermin diri dulu Rita, kata Zaquan

Posted: 18 Aug 2013 12:40 AM PDT


  • Rita Rudaini Rita Rudaini
MENGANGGAP kenyataan yang dikeluarkan oleh pelakon popular, Rita Rudaini Mokhtar melampau dan keterlaluan, pemain bola sepak Johor Darul Takzim (JDT), Zaquan Adha Abd Razak tampil membidas pelakon itu di laman Twitter, hari ini.

Zaquan yang juga kembar kepada bekas suami Rita, Aidil Zakuan berkata, pelakon itu seharusnya muhasabah diri terlebih dahulu sebelum mahu menyentuh isu agama.

"Jangan sesedap mulut cakap orang cetek ilmu agama...cermin diri dulu sebelum nak sentuh hal-hal agama.

"Dan kalau rasa diri itu tinggi ilmu agama... mari bersemuka," kata Zaquan.

Zaquan juga mahu Rita Rudaini berhenti daripada menagih simpati orang lain dengan memburukkan keluarganya kepada pihak media.

"Sudah-sudahlah nak raih simpati orang. "Lagipun, kau boleh sentuh hal rumah tangga kau sahaja tapi jangan babitkan orang tua dan keluarga aku," tegas Zaquan yang juga suami kepada Ayu Raudah.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Rita yang menganggap tindakan Aidil menceraikannya dengan talak satu melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), baru-baru ini terutama di Bulan Ramadhan adalah perbuatan orang yang cetek ilmu agama.

Menerusi laporan berita tempatan hari ini, Rita memberitahu bahawa beliau sudah buka buku baru dalam kehidupannya sejak Aidil menceraikannya dengan talak satu pada 4 Ogos lalu, iaitu pada malam 27 hari berpuasa.

"Hati saya sudah lama kosong... kosong sekosongnya! Tiada kata yang dapat diungkap untuk menggambarkan perasaan saya ketika ini.

"Diceraikan pada bulan Ramadan dan beberapa hari nak menyambut Syawal, kedengaran amat kejam. Manusia yang kurang didikan agama saja melakukan tindakan merobohkan masjid pada bulan Ramadan. Mungkin Aidil tak tahu, pada hari dia melafazkan talak pada saya iaitu malam 27 berpuasa, kemungkinan boleh jatuh pada malam lailatul qadar. Tapi,
Aidil tahu ke apakah malam lailatul qadar?

"Saya bukannya cakap saya baik sangat, tapi saya sedih melihat betapa ceteknya ilmu agama Aidil. Bagi saya, lelaki seperti Aidil tidak layak dibuat suami mahupun menantu.

" Bagaimana nak layak dijadikan suami, jika soal cerai berai pun boleh dibuat main-main. Dulu, masa tergila-gilakan saya, sanggup bawa saya berkahwin lari ke Songkhla, Thailand.

Sanggup harungi lautan api. Sekarang, apabila sudah benci, tendang saya seperti bola, ceraikan saya melalui SMS saja. Manusia macam inikah layak menjadi pemimpin keluarga, kalau dia sendiri pun tidak betul dan cetek ilmu agama?

"Saya tidak kesal diceraikan, malah saya tahu kesudahannya, kami akan bercerai juga tapi kenalah ikut prosedur. Dia fikir saya dan anak-anaknya barang mainan, boleh campak sesuka hati jika tidak lagi diperlukan?," ujarnya.

Sebelum ini, kemelut perkahwinan yang dilalui Rita 37, akhirnya tiba di penghujung apabila suaminya yang juga pemain bola sepak kebangsaan, Aidil 26, menceraikannya dengan talak satu melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), baru-baru ini.

Kes perbicaraan perceraian dan tuntutan mereka belum lagi diputuskan walaupun perbicaraan sudah berlangsung selama dua tahun, tapi ikatan mereka sebagai suami isteri terlebih dulu sudah terlerai.

Jahat kekuatan saya - Raja Ilya

Posted: 18 Aug 2013 12:37 AM PDT


KERAKUSAN usia muda nyaris memusnahkan hidup Raja Ilya.


TIDAK ramai pelakon cantik merelakan sisi hitamnya dirakam dan dipersembahkan sebagai bahan berita. Ada ketikanya karakter jahat digeruni kerana bimbang impak karakter jahat itu terbawa-bawa ke luar tabir.
Jika tidak, masakan ada pelakon yang awal-awal lagi membuat kenyataan tidak akan menerima tawaran watak jahat kerana gusar lakonan negatif itu akan menjatuhkan imej diri dan keluarga di mata khalayak.
Watak jahat dibenci manakala watak baik disayangi sudah menjadi satu kelaziman dalam dunia lakonan namun bagi pelakon berwajah Bollywood, Raja Ilya , satu demi satu pintu-pintu kejayaan diraihnya melalui watak jahat.
"Mungkin bagi pelakon lain perkara itu bukan hal besar, tapi bagi pelakon yang kena mendaki daripada 'kosong' seperti saya, penerimaan dan kepercayaan industri kini harus saya sanjung," katanya sambil mengaku pernah menerima luahan kebencian peniaga di bazar Ramadan kerana impak watak jahat di skrin televisyen.
Watak jahat yang dimaksudkan Raja Ilya ialah watak Haliza menerusi drama Dahlia. Pernah membintangi drama-drama lain seperti Mana Hilangnya Juwita, Kekasihku Seru dan Biru Cinta Laguna, pemilik nama sebenar Raja Ramilah Raja Mohd., 27, itu juga membawakan karakter wanita gedik dalam Epilog Cinta Kirana selain Tasha Shilla, Nazim Othman dan Alif Aziz.
Enam tahun dia bergelumang dalam industri lakonan membuatkan Ilya pernah terfikir untuk berhenti menjadi perempuan jahat dalam drama.
"Saya pernah merasa kurang yakin untuk watak hitam atau penggoda namun, selepas Dahlia dan Epilog Cinta Kirana, rasa itu hilang beransur-ansur.
PERNAH dihambat kontroversi hitam, namun Raja Ilya menebalkan muka dan kembali aktif dalam arena lakonan.


"Sekarang saya percaya, kejahatan mungkin kekuatan buat saya. Maksud saya watak jahat," katanya yang pernah meraih trofi Pelakon Wanita Terbaik pada Anugerah Filem Malaysia Tamil 2011 di Chennai, India pada tahun 2012.
Raja Ilya turut mengimpikan untuk dikenali di persada filem antarabangsa melalui filem Tamil atau Kollywood di Malaysia. Dia yang pernah berlakon drama Tamil seperti Tup Periyum Pulli dan Agguran selain menjadi teraju utama filem Appalam iaitu filem Papadom arahan Afdlin Shauki versi Tamil.
"Tapi, perjalanan itu tidak mudah mungkin kerana industri hiburan India di Malaysia tidak meluas dan kurang pendedahan," katanya yang juga fasih berbahasa Tamil.
Di sebalik populariti serta penerimaan ramai terhadap dirinya, Raja Ilya sebenarnya menyimpan sebuah episod hitam yang hampir-hampir meragut nyawanya. Terhimpit dek kontroversi gambar panas dua tahun lalu, kemudian putus tunang bahkan pernah cuba membunuh diri, namun semua kepahitan itu sudah tinggal sejarah dan menjadi iktibar buat dirinya.
Sehingga hari ini, karier lakonan yang dibina semula selepas kemusnahan gara-gara silap percaturan dan kerakusan usia muda itu semakin membuahkan sukses.
"Saya anggap comeback ini lebih menjadi berbanding mula-mula saya berlakon dan kemudian menghilang diri dahulu. Dulu saya ditolak oleh industri kerana ramai beranggapan wajah saya tiada ciri kemelayuan tetapi setelah menjayakan beberapa drama dengan watak beremosi, saya makin diterima.
"Kepercayaan Erma Fatima memberikan watak kecil dalam Aku Bukan Malaikat juga sangat saya sanjung. Osman Ali juga berikan saya watak kecil dalam filemnya Pilot Cafe. Saya hargai sangat-sangat kepercayaan mereka," tutup Raja Ilya yang bakal muncul menerusi drama Dendam Terindah di RTM.

Lagu Aza kena gam

Posted: 18 Aug 2013 12:36 AM PDT


BIARPUN lagunya tidak boleh disiarkan, Aza tetap yakin bahawa peluangnya dalam bidang nyanyian akan terbuka luas.


AZA ADNAN cukup bertuah apabila ruang untuknya menonjolkan bakat nyanyian kini terbuka luas. Dia yang merupakan anak komposer terkenal, Nan Dengkil yang pernah mencipta nama dengan beberapa naskhah nukilannya seperti lagu Biar Betul dan Keranamu Suhaila sekali gus membuka jalan singkat buat Aza untuk mencipta nama.
Biarpun menyedari kelebihan tersebut, namun pemilik nama penuh Nur Azariza Adwa Adnan itu enggan membiarkan dirinya dimanja. Dia seboleh-bolehnya mahu berdikari sementelah Aza juga diperturunkan bakat mencipta lagu.
"Saya tidak mahu menganggapnya (anak Nan) sebagai kelebihan, sebaliknya menerimanya sebagai satu peluang. Benar, ia memberi jalan pintas, tetapi saya lebih suka mengaut ilmu daripada ayah.
"Untuk melatih diri, saya belajar menghasilkan lagu sendiri. Apabila ayah mencipta melodinya, saya akan mengarang puisi untuk menghasilkan lirik. Menuntut dalam aliran sastera di sekolah memberi kelebihan buat saya untuk berkarya," kata gadis yang berumur 17 tahun itu.
Sehingga kini, Aza yang bakal menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia tidak lama lagi telah menulis lirik untuk tiga buah lagu sendiri termasuklah Namun Cinta Tetap Bersemi, Kembali Bergandingan dan Taman Seribu Teman.
Mempunyai latar belakang keluarga dalam dunia seni menyebabkan ruang lebih awal diperoleh Aza untuk menonjolkan diri apabila dia pernah menjadi penyanyi latar untuk kumpulan Ways ketika berumur lima tahun.
Dia kini memiliki sebuah album mini yang mengandungi lima buah lagu. Terdapat tiga buah lagu yang ditulisnya sendiri dalam album itu, Indah Ciptaanmu dan Brader Teksi.

BERGELAR anak kepada komposer terkenal membuka ruang lebih besar untuk Aza menceburi bidang nyanyian.


Biarpun memiliki kelebihan tersebut, namun pelajar Sekolah Kebangsaan Dengkil, Selangor itu turut berdepan kesukaran apabila lagu popularnya, Brader Teksi digam oleh beberapa buah stesen radio.
"Malangnya, ada stesen radio yang tidak mahu memainkan lagu itu dengan alasan penggunaan perkataan 'brader' yang tidak sesuai.
"Bagaimanapun lirik dan judulnya tidak boleh ditukar sewenang-wenangnya kerana penggantian perkataan 'brader' kepada abang itu boleh mengganggu makna yang ingin disampaikan dalam lagu itu. Kami akur dengan tindakan itu," kata Aza.
Jelas Aza, lagu tersebut dicipta oleh bapanya bersama penulis lirik, Razali Talib bagi menceritakan pahit manis yang dilalui oleh pemandu teksi di negara ini.
"Mesejnya padat mengenai perjalanan dan kesukaran yang dihadapi oleh seorang pemandu teksi daripada awal pagi sehinggalah pulang pada lewat malam.
"Sebenarnya, lenggok lagu ini sukar dinyanyikan. Saya mengambil masa yang lama untuk menguasainya. Membuat persembahan secara langsung juga memberi cabaran yang sangat besar," ujar anak kedua daripada lapan beradik itu.

Salwa akui sukar jadi penyanyi

Posted: 18 Aug 2013 12:35 AM PDT




PENJENAMAAN semula membawa aura baharu dalam hidup Salwa. Awalnya, dia mahu dikenali dengan nama Aurora Salwa, tetapi kemudian akur untuk muncul dengan nama yang lebih senang disebut, Salwa Razak.
Penyanyi tinggi lampai ini muncul dengan dengan dua buah single berjudul Hidup Baru dan Takdir Dan Masa. Kedua-dua buah single itu ditulis oleh komposer, Kunci Demak. Menurut Salwa, single dengan tajuk Hidup Baru tersebut mempunyai sentuhan peribadi buat dirinya dan dia sendiri bertindak memilih Rudi atau Kunci Demak untuk menjalin kerjasama.
SALWA dan single yang sedang dipromosikan dengan judul Hidup Baru memberikan semangat segar untuk penyanyi yang pernah popular dengan lagu Ahmad ini.


Seperti lagu yang sedang didendang dan dipromosikan, Salwa mengharap tajuk tersebut memberi sinar dalam hidupnya. Dia kekal positif dan lebih terbuka dalam mengorak langkah sebagai penyanyi. Meninggalkan karier lamanya sebagai anggota polis, penyanyi ini nekad dan yakin dengan bakat yang ada dalam dirinya.
Kini Salwa bergerak di bawah bumbung label JJ Solution Sdn. Bhd., kepunyaan Junita Jaafar yang juga bertindak selaku pengurusnya.
"Selepas seronok beraya, saya akan kembali mempromosikan lagu-lagu saya dan membuat jelajah di stesen-stesen radio. Saya juga terlibat dengan sebuah drama yang bertajuk Misteri X," ujarnya yang sebelum ini terkenal dengan lagu bertajuk Ahmad.

Lisa sempurnakan Yusry

Posted: 18 Aug 2013 12:34 AM PDT


KETIDAKSAMAAN antara mereka mengeratkan lagi hubungan antara pasangan suami isteri ini.


BIARPUN fasa perkahwinan mereka bakal memasuki tahun kedua pada tanggal 23 Februari depan, namun seri pengantin masih berbaki di wajah Lisa Surihani dan suaminya, Yusry Abdul Halim.
Mesra mereka bukan lakonan di hadapan lensa, bahkan kedua-duanya tampak saling melengkapi sepanjang masa.
Biarpun Lisa dilihat lebih kerap ditemani ibunya, Siti Amira Ahmad ketika menghadiri beberapa majlis di luar pada bulan Ramadan lalu, namun, pasangan itu lebih selesa menghabiskan masa bersama di teratak mereka yang terletak di Country Heights, Kajang, Selangor.
"Saya memang jenis yang suka duduk di rumah jika tidak bekerja. Pada bulan puasa lalu pun, hanya sekali saya berkesempatan untuk hadir bersama isteri dalam majlis berbuka puasa anjuran KRU. Selebihnya, Lisa akan pergi bersendirian.
"Ketika berbuka juga saya lebih gemar berbuka di rumah berbanding bersesak ketika berbuka puasa secara bufet di luar. Walaupun Lisa sibuk, kami pasti berbuka bersama jika dia tidak bekerja," getus Yusry ketika ditemui baru-baru ini.
Biarpun Syawal sudah memasuki hari ke-11 pada hari ini, namun belum terlambat buat mereka untuk berkongsi kenangan meraikan hari raya bersama.
Jelas Lisa, Aidilfitri menjadi lebih bermakna apabila dia yang berasal dari ibu kota berpeluang merasai pengalaman balik kampung selain berada dalam tahun kedua meraikannya sebagai seorang isteri.
Pada 3 Syawal lalu, Lisa, 27, dan Yusry, 40, berpeluang pulang ke Gopeng, Perak bagi menziarahi nenek Yusry yang dipanggil opah. biarpun tidak bermalam di kampung, suasana perjalanan jauh sambil mengenakan baju raya memberi pengalaman yang berbeza buat Lisa.
"Gembira apabila berpeluang balik kampung kerana dapat merasai pengalaman melakukan aktiviti di sana walaupun waktunya singkat. Tahun ini merupakan kali kedua kami balik kampung bersama-sama," ujar Lisa dalam nada teruja.
LISA begitu teruja kerana filem Ular menjadi satu-satunya naskhah yang menampilkannya berlakon bersama suami.


Kopi O pagi raya
Pada tanggal pagi raya, pulut kuning dan rendang ayam menjadi hidangan pertama yang akan dijamah Lisa. Selain itu nasi beriani Arab turut menjadi makanan wajib yang dihidangkan di rumah mereka apabila tibanya Syawal.
Bagi Yusry pula, tiada hidangan istimewa yang ditunggu-tunggu pada hari kemenangan umat Islam itu selain menghirup kopi sebagai hidangan sarapan pagi.
"Saya tidak kisah soal makanan kerana kopi O itu wajib di pagi hari raya kerana saya penggemar kopi. Selalunya kopi O menjadi minuman rutin ketika bersarapan, tetapi setelah sebulan tidak merasainya, pastinya hari raya saat-saat yang ditunggu untuk menghirupnya pada awal pagi," kata Yusry berseloroh.
Jika Yusry gemar bersahur pada pukul 1 pagi, Lisa pula lebih selesa melewatkan sahur sepanjang Ramadan.
"Tetapi Yusry akan banyak mengalah dan bersahur bersama saya ketika menghampiri waktu imsak kerana saya akan mudah lapar. Kami berbeza kerana Yusry mudah haus dan tidak mudah lapar.
"Selain itu banyak lagi hal yang tidak sama antara kami termasuklah Yusry tidak menggemari makanan Itali dan Jepun. Manakala saya sebaliknya.
AIDILFITRI pada tahun ini menjadi lebih bermakna apabila rumah baharu mereka semakin sempurna.


"Saya jenis yang cerewet dengan makanan dan gemar makan. Yusry pula orang yang ringkas tentang makanan. Jika ada satu lauk pun sudah cukup untuk dia. Saya tidak suka makanan yang tidak sedap, tetapi Yusry boleh habiskannya," ujar Lisa bersungguh-sungguh.
Dalam perkembangan sama, pasangan itu turut berkongsi cerita tentang kerjaya mereka. Menurut Lisa, dia bakal menjadi pengacara rancangan hiburan Paparazzi tidak lama lagi selain muncul dalam filem Cicakman 3 dan Ular.
Mengakui bahawa lakonan bukan lagi keutamaan buat dirinya, Yusry menjelaskan bahawa dia kini lebih selesa untuk bekerja di belakang tabir. Selain sebuah filem antarabangsa berjudul Vikingdom bakal menemui penonton tidak lama lagi, Yusry turut terlibat sebagai kru belakang tabir dengan beberapa buah filem termasuklah Dendam Orang Mati, Dendam Tok Mudim dan Ular.
"Saya tidak berani untuk cakap bahawa saya tidak akan berlakon langsung kerana ia tetap bergantung kepada permintaan peminat. Saya kini lebih selesa melakukan kerja belakang tabir dan filem Ular mungkin menjadi filem pertama dan terakhir yang melibatkan saya serta Lisa sebagai pelakonnya," kata Yusry.
Disebabkan kesibukan kerja sepanjang tahun ini, Lisa dan Yusry mengambil keputusan untuk bercuti di Florida, Amerika Syarikat selama dua minggu pada penghujung Disember depan. Percutian itu akan turut ditemani ahli keluarga mereka.
Sejurus selesai sesi temu bual bersama pasangan tersebut, Lisa dan Yusry membawa Sensasi Bintang meninjau rumah baharu mereka yang berkonsepkan Inggeris.
Banglo dua tingkat di lot sisi itu mula didiami pasangan tersebut beberapa hari sebelum ketibaan Syawal pada tahun lalu. Sehingga kini mereka masih lagi melakukan beberapa kerja-kerja hiasan tambahan bagi menepati konsep tersebut.
Jelas Yusry, dia juga lebih gemar membiarkan kawasan laman rumah mereka dibiarkan kosong dengan hamparan hijau daripada rumput, namun si isteri lebih gemar melihat ruang itu dihiasi pokok-pokok bunga.
"Yusry tidak tahu apabila saya pergi ke tapak semaian untuk membeli pokok bunga. Kini laman rumah sudah ada pokok berbanding dahulu yang hanya dihiasi rumput hijau sahaja. Tetapi, dia tidak kisah dan mula menyukainya," ujar Lisa sambil menjeling ke arah Yusry.

Taraf PR pemilik resort dilucut

Posted: 18 Aug 2013 12:32 AM PDT


SYED AHMAD (kiri) yang dilucut status pemastautin tetap Malaysia.


KUALA LUMPUR – Taraf pemastautin tetap (PR) pemilik resort Kampung Sedili Besar di Kota Tinggi, Johor dilucutkan serta-merta ekoran sikap lelaki kelahiran Singapura itu yang tidak menghormati sensitiviti umat Islam di negara ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini merupakan kali pertama kerajaan mengambil tindakan yang sebegitu tegas.
"Tindakan ini dibuat selepas kementerian melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) membuat kajian mendalam terhadap pemilik resort itu, pasal taraf pemastautin tetap ini hanyalah satu kemudahan yang diberikan kerajaan Malaysia dan bukan satu bentuk keistimewaan," kata beliau kepada pemberita pada majlis sambutan Aidilfitri Persatuan Pengasih di sini semalam.
Pada 10 Ogos lalu, lelaki bernama Syed Ahmad Syed Salim Alkaff, 45, yang merupakan pemilik sebuah resort di Sedili Besar membenarkan surau di resort berkenaan digunakan untuk upacara keagamaan bagi sekumpulan penganut Buddha.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines