LIGA BOLASEPAK MALAYSIA |
Hanya Radojko hantar borang ke FAM Posted: 06 Aug 2013 05:52 PM PDT Sumber: Utusan Malaysia KUALA LUMPUR - Hanya Radojko Avramovic dan seorang jurulatih dari Brazil pernah menghantar permohonan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), demikian kata bekas Setiausaha Agungnya, Datuk Azzuddin Ahmad. Selain daripada itu, beliau tidak pasti jika ada permohonan baru telah dihantar kepada Setiausaha Agung yang baru, Datuk Hamidin Mohd. Amin, selepas dia meninggalkan badan induk bola sepak negara itu pada penghujung Jun tahun lalu. Jelasnya, ura-ura yang memperkatakan Radojko berminat untuk mengendalikan Harimau Malaya memang tepat, namun segalanya kini terserah kepada FAM dan tidak ada niat untuk campur tangan. "Seingat saya hanya dua orang sahaja menghantar permohonan mereka kepada saya iaitu bekas jurulatih Singapura, Radojko Avramovic dan seorang jurulatih dari Brazil, semasa menjadi Setiausaha Agung FAM. "Selain daripada mereka berdua, seingat saya tidak ada lagi yang lain termasuk Alex Miller yang dikatakan telah hantar permohonan kepada saya dan saya rasa perkara ini tidak perlu diperbesarkan kerana sampai masa nanti pasti lebih ramai akan memohon," katanya ketika dihubungi, semalam. Usaha Utusan Malaysia untuk mendapatkan kesahihan daripada Hamidin juga menemui jalan buntu apabila beliau menafikan ada menerima permohonan daripada Miller. "Tidak ada setakat ini, kami belum terima apa-apa permohonan rasmi daripada Miller setakat ini dan sedia menerima jika beliau betul-betul berminat," ujar ringkas Hamidin ketika dihubungi. Apa yang diperjelaskan oleh Azzuddin dan Hamidin pasti menimbulkan sedikit kekeliruan kerana berdasarkan sumber yang bekerja rapat dengan ejen kepada Miller, jurulatih yang berasal dari Scotland itu mengesahkan telah menghantar permohonan secara rasmi kepada FAM. Selain pernah bekerja sama dengan Gerard Houllier dan Rafael Benitez selama sembilan tahun, jurulatih berumur 64 tahun itu pernah menjadi penolong pengurus pasukan kebangsaan Scotland dari tahun 1993-1999) dan menguruskan tiga kelab Scotland, Hibernian, Aberdeen dan St. Mirren. Pada 8 April lalu, Utusan Malaysia berjaya mendapatkan maklumat Radojko atau lebih dikenali sebagai Raddy berminat menjadi jurulatih Harimau Malaya dengan menghantar permohonan ke FAM pada 2 April. Punca utama Raddy yang dilabel sebagai jurulatih paling berjaya dalam sejarah bola Singapura itu masih berminat untuk bertugas di Asia Tenggara adalah kerana dia masih mempunyai anak yang bertugas di Singapura dan selesa tinggal di sini. |
Skuad wanita negara semakin bertenaga Posted: 06 Aug 2013 05:50 PM PDT Sumber: Harian Metro Kuala Lumpur: Jika sebelum ini dilabel pasukan belasahan, skuad bola sepak wanita negara kini mula mempamerkan peningkatan sekali gus memberikan bayangan mereka mampu bersaing di peringkat antarabangsa atau sekurang-kurangnya di peringkat rantau Asia Tenggara buat tempoh terdekat ini. Kemenangan 2-1 ke atas Thailand pada aksi persahabatan bulan lalu membuktikan skuad bimbingan Jacob Joseph itu mampu menjanjikan sesuatu apabila turun beraksi di Sukan SEA Myanmar, hujung tahun ini. Bagi pengendali negara itu, keputusan itu memberikan petanda positif kerana beliau mengaku sukar untuk mengumpul pemain ketika membentuk pasukan itu pada Mac tahun lalu. "Bagi saya pasukan ini sudah menunjukkan peningkatan, tahun lalu kita kalah 0-4 kepada Thailand dan kali ini kita menewaskan mereka. Malah jika dilihat semula rekod pertemuan, kita pernah dibelasah Thailand 1-8 pada Piala AFF 2011. "Bukan mudah untuk membentuk pasukan ini kerana sukar mencari pemain bola sepak wanita di negara ini berbanding futsal. Berikutan kekurangan pemain itu, hingga kini kita sukar menganjurkan liga bagi memilih pemain," katanya kepada Arena Metro. Skuad negara mengadakan tiga siri perlawanan persahabatan di Bangkok bulan lalu dengan mencatat kemenangan 2-1 ke atas skuad kebangsaan Thailand dan kelab Liga Super Northern Bangkok 2-1 sebelum tumpas 0-3 dalam pertemuan sekali lagi dengan Thailand. "Pada perlawanan kedua dengan Thailand saya merombak pemain untuk mencuba mereka yang tidak beraksi sebelum itu, termasuk menggunakan penjaga gol ketiga," kata Jacob yang kini memiliki 25 pemain, kebanyakannya berusia antara 17 hingga 25 tahun. |
Posted: 06 Aug 2013 05:49 PM PDT Sumber: Harian Metro Kuala Lumpur: Ong Kim Swee menegaskan tiada jaminan buat setiap pemain untuk secara automatik berada dalam skuad bawah 23 tahun (B-23) negara ke Sukan SEA Myanmar hujung tahun ini, sekali gus memberi mesej jelas kepada pemain Harimau Muda A supaya meningkatkan prestasi jika tidak mahu disingkir. Katanya, meskipun berada dalam skuad siri jelajah Eropah baru-baru ini, ia tidak bermakna mereka akan terus terpilih. "Memang barisan pemain yang saya miliki ketika ini teras utama skuad ke Sukan Sea tapi itu tidak bermakna saya sudah puas hati kerana pintu masih terbuka untuk pemain lain," katanya yang sentiasa memantau prestasi pemain dari semasa ke semasa. Pemain luar yang kini menjadi tumpuannya membabitkan pertahanan Kelantan, Nik Shahrul Azim Abd Halim, Zubir Azmi (pertahanan, Terengganu), K Rueben (ATM), S Sivanesan (Negeri Sembilan), Wan Zack Haikal Wan Noor (FC Ryukyu) dan Muhamad Nazmi Faiz Mansor (PKNS FC). Bagaimanapun Kim Swee yang membimbing skuad negara mempertahankan pingat emas Sukan SEA Indonesia 2011 membayangkan mungkin lebih ramai pemain luar bakal diserap dalam pasukannya. Ini kerana beliau akan memantau prestasi pemain pasukan negeri dan kelab sepanjang kempen Piala Malaysia bermula 20 Ogos ini. "Jika ada pemain pasukan negeri atau kelab yang mempamerkan permainan baik, saya akan panggil. Bukan hanya dalam perlawanan Piala Malaysia tapi saya juga akan melihat pemain pasukan Piala Presiden," kata Kim Swee. Skuad Harimau Muda A baru pulang dari Slovakia awal bulan ini bagi siri latihan dan perlawanan dengan kelab Eropah selama tiga bulan sebagai persiapan ke Sukan SEA. Dalam tempoh itu juga pasukan itu turut bertanding di Sukan Universiti Dunia (Universiade 2013) di Kazan, Russia dan berjaya memenuhi sasaran layak suku akhir. "Saya percaya pengalaman diperoleh sepanjang di Slovakia dan Russia berguna untuk mereka dalam persediaan ke Sukan SEA. Memang dari segi keputusan agak memuaskan tapi tidak ada gunanya kita mengatur perlawanan dengan pasukan tidak kuat untuk menang. "Kita masih mempunyai masa memperbaiki kelemahan kerana misi di Sukan SEA penting. Kita tidak boleh lari daripada realiti pingat emas harus dipertahankan," kata Kim Swee. |
You are subscribed to email updates from LIGA BOLASEPAK MALAYSIA To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |