Selasa, 13 Ogos 2013

LIGA BOLASEPAK MALAYSIA

LIGA BOLASEPAK MALAYSIA


Apek mengaku silap

Posted: 11 Aug 2013 05:40 PM PDT

Sumber: Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR - Skuad kebangsaan berjaya mengekang asakan Barcelona selama setengah jam dalam perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam kelmarin, namun tandukan Cesc Fabregas pada minit ke-33 sedikit merencatkan cerita indah tersebut malah ada peminat bola sepak mengatakan ia berpunca daripada kesilapan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.

Malah di laman sosial, Facebook juga perkara tersebut hangat diperdebatkan, dengan ada yang mengutuk kelalaian Khairul Fahmi dan ada yang mempertahankannya dengan memberi alasan ia munasabah kerana Malaysia berdepan pasukan terbaik dunia.



Bagaimanapun, Khairul Fahmi atau lebih mesra dengan nama timangan 'Apek' , memberi penjelasan tentang gol pertama pasukan gergasi Eropah itu dan dia mengakui kesilapan berpunca daripada dirinya sendiri kerana gagal menepis dengan kemas bola yang terlebih dahulu melantun ke tanah sebelum menerjah ke dalam gawang Malaysia.

"Dalam perlawanan apa sahaja boleh berlaku termasuk kesilapan, saya akui tidak dapat menepis bola tersebut dengan baik sehingga menyebabkan mereka (Bacelona) memperoleh gol sulung. Saya bukan tidak cuba malah telah mencuba untuk menepisnya dan saya berasa sedikit kecewa," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Jelasnya, dia sudah memberikan persembahan sebaik mungkin namun hanya perkataan maaf dapat diungkapkan kepada rakan-rakan sepasukan dan seluruh rakyat Malaysia kerana melepaskan dua gol yang membolehkan pasukan Catalan itu mendahului 2-1 pada separuh masa pertama.

"Secara keseluruhannya untuk perlawanan semalam (kelmarin) kami telah buat yang terbaik, kita sudah cuba bertahan untuk tidak dibolosi namun ada beberapa kesilapan termasuk gol pertama tersebut. Bagaimanapun kita harus sedar bertemu dengan sebuah pasukan terbaik dunia.

"Sekurang-kurangnya kita belajar sesuatu daripada mereka. Pasukan hebat yang lain pun sukar untuk mengalahkan mereka apatah lagi kita pasukan yang kecil ini. Bagi saya taktikal kita menjadi, jurulatih juga sudah memberitahu kepada kami supaya memberi persembahan terbaik," kata penjaga gol Kelantan itu.

Selepas ketinggalan 1-0 melalui jaringan Fabregas, Malaysia berjaya menyamakan kedudukan menerusi rembatan dari luar petak penalti, Amri Yahyah pada minit ke-41 namun Barcelona kembali mendahului dengan jaringan pemain dari Brazil, Neymar dua minit kemudian.

Khairul Fahmi digantikan dengan Farizal Marlias pada separuh masa kedua dan skuad bimbingan Gerardo Martino itu berjaya memperoleh gol ketiga menerusi Gerard Pique pada minit ke-75.

Ditanya mengenai perancangannya selepas ini, Khairul Fahmi berkata, semua pemain kebangsaan akan kembali ke pasukan negeri dan kelab masing-masing untuk memberi tumpuan kepada saingan Piala Malaysia termasuk dirinya sendiri.

"Kami berada dalam kumpulan yang bukan mudah, tetapi kami akan cuba sebaik mungkin untuk memastikan trofi Piala Malaysia terus kekal di bumi Kelantan," katanya.

Rekod tanpa kalah Sarawak cetus gerun

Posted: 11 Aug 2013 05:36 PM PDT

Sumber: Harian Metro

Kuala Lumpur: Rekod tanpa kalah Sarawak yang menjuarai Liga Perdana musim ini pasti menghadirkan gerun buat pasukan elit Liga Super dalam perebutan kejuaraan Piala Malaysia yang akan bermula 20 Ogos ini.

Tanpa pemain bintang skuad kendalian Robert Alberts itu mencatat 18 kemenangan dan empat seri dalam 22 perlawanan liga untuk muncul juara liga taraf dua itu sekali gus bakal dinaikkan taraf ke Liga Super tahun depan.



Bagaimanapun misi Sarawak tahun ini belum berakhir apabila pengendali dari Belanda itu melaungkan amaran awal bahawa mereka mampu mencipta kejutan dalam kempen Piala Malaysia yang tidak pernah dimenangi sehingga kini sejak ia dipertandingkan pada 1921.

"Untuk memberikan tentangan, saya berharap pemain-pemain saya bebas daripada kecederaan dan penggantungan. Dengan dibantu sedikit tuah, saya yakin kami mampu mencipta kejutan. Apa yang penting kami perlu melepasi halangan peringkat kumpulan kerana selepas itu, saingan akan lebih terbuka," kata Alberts.

Diundi dalam Kumpulan D Piala Malaysia, Sarawak bakal berdepan juara Liga Super dari Singapura LionsXII, Perak dan Kedah.

Berdasarkan undian itu, Alberts bekas Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) percaya mereka lebih berpeluang untuk merebut satu lagi slot berbanding Perak dan Kedah selepas LionsXII dijangka tidak berdepan masalah untuk mara melepasi halangan peringkat kumpulan.

"Kami tidak boleh membandingkan kekuatan kami dengan LionsXII kerana mereka juara Liga Super dan kami hanyalah juara Liga Perdana, pasti ada perbezaannya. Tapi saya percaya berbanding dua lagi pasukan (Perak dan Kedah), kami masih berpeluang untuk meraih satu lagi tiket ke pusingan seterusnya," katanya.

FAM tak akan beri muka pada penganjur

Posted: 11 Aug 2013 05:35 PM PDT

Sumber: Harian Metro

Kuala Lumpur: Mulai tahun depan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak akan memberi muka kepada mana-mana penganjur yang gagal memenuhi peraturan ditetapkan badan induk bola sepak kebangsaan itu bagi mengelak imej negara tercalar.

Insiden pertukaran gelanggang di saat akhir sebelum perlawanan membabitkan Malaysia menentang FC Barcelona dilihat memberi impak negatif terhadap sukan bola sepak selain mencetuskan kekalutan pelbagai pihak yang terbabit apabila ia ditukar kurang 21 jam sebelum sepak mula yang pada asalnya dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.



Kelab gergasi Sepanyol itu dilaporkan enggan beraksi di stadium utama negara itu susulan permukaan padang yang tidak rata selain menyebabkan ada pemainnya mengalami kecederaan semasa sesi latihan rasmi sehari sebelum perlawanan.

"Dalam hal ini FAM tidak boleh dipersalahkan kerana kami hanya menyediakan khidmat dalam perkara yang membabitkan aspek teknikal seperti pengadil. Perancangan selebihnya adalah tanggungjawab pihak penganjur perlawanan. Namun kami sentiasa bersedia membantu kerana ia pasti akan turut membabitkan nama negara," kata Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin.

Akibat pertukaran gelanggang ke Stadium Shah Alam, timbul beberapa masalah lain seperti pemegang tiket VIP berharga RM688 terpaksa menonton perlawanan di tempat duduk biasa bersama orang ramai yang membeli tiket dengan harga lebih murah sekali gus menimbulkan rasa tidak puas hati pihak terbabit.

"Untuk mengelak perkara seperti ini berulang pada masa depan, FAM akan bertegas dengan mana-mana penganjur perlawanan terutamanya apabila membabitkan perkara berkaitan gelanggang termasuk pihak penganjur tidak boleh membuat perjanjian yang membelakangkan FAM.

"Malah, selepas ini kita akan memastikan kedatangan pasukan luar memberi manfaat kepada FAM seperti mengadakan satu sesi sekurang-kurangnya satu jam bersama jurulatih negara dan sebagainya," katanya.

Mengenai kegagalan Barcelona untuk menurunkan bintang sensasi mereka, Lionel Messi, Hamidin menjelaskan sehingga kini (semalam) tiada laporan rasmi diterima mengenai kecederaan yang dialami kapten Argentina itu namun mendapat maklumat secara lisan menerusi pegawai FAM yang bertemu pegawai kelab berkenaan yang mendakwa pemain itu mengalami kecederaan hamstring.

"Saya difahamkan seandainya diturunkan, dia akan berisiko untuk mengalami kecederaan yang lebih teruk. Saya yakin (alasan) itu benar," katanya.

Kegagalan pemain terbaik dunia sebanyak empat kali itu beraksi mengundang rasa kecewa kira-kira 40,000 penonton yang hadir sehingga mereka menjerit nama Messi sepanjang perlawanan dan mengharapkan agar dia diturunkan walaupun untuk beberapa minit.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines