Sabtu, 24 Ogos 2013

LIGA BOLASEPAK MALAYSIA

LIGA BOLASEPAK MALAYSIA


Pestabola Merdeka persediaan Sukan SEA

Posted: 22 Aug 2013 09:54 PM PDT

Sumber: FoxSport

Buat kali ini, Pestabola Merdeka edisi ke-41 melibatkan pasukan Bawah 23 empat negara yang bakal bersaing dalam Sukan SEA pada akhir tahun ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Pestabola Merdeka, Tengku Abdullah, penganjuran kejohanan ini di Pahang memberi peluang kepada penyokong di Pahang dan negeri berdekatan untuk memberi sokongan kepada pasukan kebangsaan,

"Keputusan untuk menganjurkan Pestabola Merdeka di Kuantan akan memberikan peluang buat peminat Pahang dan negeri berdekatan untuk menonton perlawanan menarik secara dekat, tidak seperti tahun-tahun sebelum ini apabila peminat terpaksa ke Kuala Lumpur," katanya.



"Saya harap mereka akan mengambil kesempatan ini untuk menyokong pasukan kebangsaan yang akan mewakili negara selepas ini di temasya Sukan Sea di Myanmar. Pasukan kebangsaan begitu memerlukan sokongan peminat di Pestabola Merdeka."

Pengarah Urusan ProEvents International, San Boon Wah, percaya penganjuran semula Pestabola Merdeka, yang kali terakhir diadakan pada 2008, akan memberikan pasukan kebangsaan dengan satu lagi pentas untuk membuktikan kehebatan mereka.

"Hari ini, kami berbangga dan gembira untuk menjadi sebahagian daripada promosi edisi ke-41 Pestabola Merdeka - kejohanan bola sepak berprestij paling lama di Malaysia ketika penduduk 29 juta negara ini meraikan 56 tahun kemerdekaan," kata Boon Wah.

Penjualan tiket buat edisi ke-41 Pestabola Merdeka yang dijadualkan pada 7-14 September di Stadium Darul Makmur di Kuantan, Pahang, akan mula dijual secara online esok.

Bagi pembeli awal, tiket boleh diperoleh menerusi laman web

Tiket juga akan mula dijual di Stadium Darul Makmur mulai 16-18 Ogos dan pada 26 Ogos seterusnya.

Tiket dijual dengan harga RM38, RM48, RM68 (bahagian timur), RM128 (grandstand) untuk dua perlawanan pada hari yang sama, RM209 (bahagian timur semusim) dan RM375 (grandstand semusim) boleh dibeli menerusi hotline Ticketpro, +6(03)7880-7999 dan di cawangan Ticketpro di seluruh Malaysia.

Begitu pun, peraturan kejohanan menetapkan bahawa perlawanan pusingan terakhir antara Malaysia dan Thailand dimainkan di Stadium Darul Makmur di Kuantan, manakala pertemuan Singapura dan Myanmar akan dilangsungkan di Stadium Temerloh secara serentak pada Rabu, 11 September. Sepak mula adalah pada 8.45pm. Tiket bagi perlawanan di Temerloh dijual dengan harga RM38 dan RM28.

Jadual:

7 Sept (Sabtu): Malaysia mln Singapura (5.30 ptg); Thailand mln Myanmar (8.45mlm)

9 Sept (Isnin): Thailand mln Singapura (5.30 ptg); Malaysia mln Myanmar (8.45 mlm)

11 Sept (Rabu):Malaysia mln Thailand (Stadium Darul Makmur, 8.45 mlm); Singapura mln Myanmar (Stadium Temerloh, 8.45 mlm)

14 Sept (Sabtu): Penentuan ketiga-keempat (5.30 ptg); Final (8.45 mlm). Kedua-dua perlawanan dilangsungkan di Stadium Darul Makmur.

Nota: Kecuali jadual perlawanan 11 September yang bakal dilangsungkan di Kuantan and Temerloh, kesemua perlawanan pusingan awal akan dimainkan di Stadium Darul Makmur.

Harimau Muda C juara di Slovakia

Posted: 22 Aug 2013 07:09 PM PDT

Sumber: Utusan Malaysia

SEPANG - Skuad Harimau Muda C meraih ganjaran paling berbaloi kerana kesanggupan beraksi pada Ramadan dan mengorbankan sambutan Hari Raya Aidilfitri dengan keluarga tersayang, apabila membawa pulang Piala Mintal Mintal 2013 dari Slovakia, semalam.

Skuad remaja negara bimbingan Aminuddin Hussin itu mencatat rekod tanpa kalah untuk menjuarai kejohanan selepas menewaskan tiga kelab masing-masing dari Czech, Slovenia dan Slovakia.

Selain itu, Muhd. Jafri Muhd. Firdaus Chew muncul penjaring terbanyak kejohanan.



Mereka mengalahkan Slavia Pravce dan NK Domzale 3-1 masing-masing pada 26 dan 27 Julai lalu dan melengkapkan kemenangan itu dengan berpesta gol termasuk hatrik Muhd. Jafri ketika membelasah MSK Zilina 6-0 dalam perlawanan akhir, sehari kemudian.

Tujuh perlawanan ujian di Slovakia dan Czech dari 20 dan 31 Julai selain 3 hingga 17 Ogos lalu, turut merakamkan empat lagi kemenangan, seri dua kali dan hanya kalah sekali ke atas MFK Tatran Liptovsky Mikulas, Banik Ostrava, MSK Zilina Bawah 17 dan 19 Tahun, FC Puchov, FC Dubnica dan Liptovsky Mikulas.

Kejayaan luar dugaan itu turut menjadi suntikan semangat menjelang misi antarabangsa yang lebih besar iaitu melepasi Kelayakan Kejohanan Bawah 19 Tahun Asia di Zhejiang, China dengan menentang tuan rumah, Jepun dan Macau dalam Kumpulan I dari 8 hingga 12 Oktober ini.

Kata Aminuddin: "Dengan hanya menggabungkan 16 pemain baharu, ini satu kejayaan memberangsangkan dan berikan petanda positif malah tanpa dua pemain Harimau Muda A - Arif Farhan dan Adam Norazli yang masih bersekolah. Namun kami berjaya cungkil permata baharu, Muhd. Jafri yang muncul penjaring terbanyak," katanya.

KLFA mohon pajak stadium

Posted: 22 Aug 2013 07:08 PM PDT

Sumber: Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR - Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) berharap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meluluskan permohonan untuk memajak Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur selama 30 tahun selepas proses baik pulih gelanggang di Cheras itu yang melibatkan kos RM50 juta.

Menurut Presiden KLFA, Datuk Astaman Abd. Aziz, melalui pajakan itu, KLFA mampu menjana kewangan sendiri.

Katanya, pajakan itu adalah langkah permulaan KLFA menyahut saranan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang mahukan setiap pasukan mempunyai stadium sendiri tanpa perlu berkongsi, selain menuju era penswastaan liga sepenuhnya pada 2015.



"Stadium KLFA akan dibaik pulih tidak lama lagi termasuk memperbaiki padang dan penambahan tempat duduk penonton.

"Saya harap DBKL tiada masalah untuk meluluskan permohonan kami kerana ia akan memudahkan pengurusan dan penyenggaraan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada masa akan datang, " katanya pada Mesyuarat Agung Luar Biasa KLFA di sini, semalam.

Tambah Astaman, pihaknya berhasrat menjadikan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur sebagai gelanggang untuk bola sepak sahaja.

Selain itu, katanya pihaknya juga mahu memantapkan lagi akademi bola sepak Kuala Lumpur dengan pembinaan lebih banyak kemudahan.

Sementara itu, mengulas cabaran Kuala Lumpur pada saingan musim depan yang terpaksa bersaing dalam Liga FAM, Astaman berkata, mereka akan menggunakan seratus peratus pemain baru dan mahu ke Liga Perdana secepat mungkin.

"Musim ini kami berdepan banyak masalah dan sebaik sahaja saingan liga berakhir, kami membuat perancangan bagi menghadapi musim baru," katanya.

Pemain simpanan Kelantan positif

Posted: 22 Aug 2013 07:02 PM PDT

Sumber: Harian Metro

Kota Bharu: Seorang pemain simpanan Kelantan sah terbabit dalam penyalahgunaan dadah ketika perlawanan akhir Piala FA 29 Jun lalu.

Sumber dalaman Persatuan Bola Sepak Kelantan (FAFA) berkata, pemain itu kini dikecualikan daripada sesi latihan pasukan.

Bagaimanapun sumber itu enggan mendedahkan nama pemain berkenaan sebaliknya hanya mahu menunggu pengumuman FAM.

"Buat masa sekarang pemain berkenaan tidak dibenarkan menjalani latihan bersama pasukan.



"Kita mungkin tidak akan melakukan ujian doping kedua sebaliknya akan menunggu keputusan dan hukuman FAM kelak,"katanya.

Kelmarin Arena Metro melaporkan salah seorang pemain finalis Piala FA diuji positif dadah dan berkemungkinan bakal berdepan hukuman berat digantung seumur hidup oleh FAM.

Pada final itu Kelantan menang 1-0 ke atas Johor Darul Takzim.

Ubat pasti ada pengesahan: Ramlan

Posted: 22 Aug 2013 07:01 PM PDT

Sumber: Harian Metro

Kuala Lumpur: "Saya fikir pemain itu tidak mengambil ubat, kalau ubat mesti ada pengesahan daripada pegawai perubatan pasukan," kata Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN) Datuk Dr Ramlan Abd Aziz ketika mengulas mengenai kes seorang pemain Kelantan didapati positif dadah dalam ujian doping yang dilakukan selepas tamat perlawanan akhir Piala FA 29 Jun lalu.

Beliau berkata, bukan hanya pemain bola sepak malah atlet sukan lain juga sepatutnya sedar mengenai kesan buruk yang bakal mereka alami jika terbabit dengan gejala tidak sihat itu.



"Bagi saya ini adalah gaya hidup songsang yang tidak sesuai bagi pemain atau pun atlet. Sepatutnya mereka ini berbangga dengan prestasi semula jadi dan bukannya dengan bantuan benda lain. Perkara ini memerlukan pemantauan dari semua pihak tapi kita tidak boleh salahkan orang lain sebaliknya pemain sudah boleh berfikir sendiri.

"Ini membabitkan masalah integriti bukan saja dalam aktiviti sukan tetapi gaya hidup. Saya harap tiada toleransi dalam kes ini dan masalah ini harus diperangi habis-habisan," kata Ramlan.


Menerusi laporan Arena Metro semalam, Jawatankuasa Tatatertib FAM mengumumkan seorang pemain pasukan finalis Piala FA antara Kelantan dan Johor Darul Takzim (DT) didapati bersalah kerana gagal ujian doping yang dilakukan secara rambang selepas tamat perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil itu.


Pengerusi Jawatankuasa itu, Datuk Taufek Abd Razak enggan mendedahkan identiti pemain dan pasukan terbabit apabila mereka memutuskan untuk menangguhkan dulu keputusan hukuman bagi memberi peluang kepada pemain untuk memberikan penjelasan pada satu lagi mesyuarat yang dijangka akan diadakan minggu depan.

Bagaimanapun sumber dalam Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) semalam mengesahkan bahawa pemain terbabit adalah pemain yang mewakili pasukan mereka.


Menurut Taufek, kesalahan yang dilakukan pemain itu amat berat dan kemungkinan dia mungkin boleh digantung seumur hidup daripada menyertai sebarang aktiviti bola sepak.

Sementara itu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bersedia melancarkan 'perang' dalam membanteras penyalahgunaan dadah di kalangan pemain apabila bercadang untuk mengadakan ujian doping lebih kerap selepas ini.


Menurut Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin, walaupun kes ini dianggap kes terpencil namun itu tidak bermakna badan induk bola sepak tanah air hanya berpeluk tubuh sebaliknya mereka akan cuba memastikan gejala buruk itu tidak akan berulang lagi.


"Kes pemain gagal ujian doping ini sesuatu yang mengecewakan kerana pemain pastinya sedia maklum bahawa pengambilan dadah adalah salah di sisi undang-undang. FAM mengambil serius kes ini dan saya akan mencadangkan kepada Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) supaya ujian doping boleh diadakan lebih kerap dan bukan hanya pada perlawanan akhir saja tapi juga pada perlawanan biasa.


"Untuk mengadakan ujian doping lebih kerap ia menelan belanja jadi kami perlu mencari mekanisme terbaik untuk melaksanakan cadangan ini. Saya berharap pihak persatuan juga dapat bekerjasama dalam memantau dan memberikan peringatan kepada semua pemain mengenai kesan penggunaan dadah ini," katanya kepada Arena Metro semalam.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines