Gambar hiasan
Kuala Lumpur: Selepas bertarung nyawa selama tiga hari akibat dibakar suami sendiri selepas berlaku perselisihan faham, seorang wanita berusia 34 tahun meninggal dunia di Unit Rawatan Kebakaran, Hospital Kuala Lumpur (HKL) malam kelmarin.
Dalam kejadian 5 Ogos lalu, mangsa, Aruba Kumari, 34, dibakar suaminya akibat cemburu dalam kejadian di rumah sewa pasangan itu di Setapak, di sini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, mangsa berselisih faham sebelum suaminya yang bekerja mengangkut sampah naik angin dan menyimbah petrol ke atas mangsa sebelum membakarnya di luar rumah.
“Kejadian berkenaan disedari jiran mereka yang mengusahakan bengkel kereta di kawasan berdekatan selepas ternampak mangsa terbakar keseluruhan badannya.
“Jiran itu yang mahu menolong melihat suami mangsa meninggalkan lokasi kejadian bersama anak angkat mereka,” katanya.
Ku berkata, jiran mangsa kemudiannya dengan bantuan beberapa orang awam memadamkan api sebelum menghubungi ambulans.
“Mangsa dirawat di Unit Rawatan Kebakaran sebelum meninggal dunia jam 9.20 malam kelmarin,” katanya.
Menurutnya, mayat mangsa akan dibedah siasat hari ini manakala suami mangsa ditahan reman hingga 12 Ogos depan.