Selasa, 27 Ogos 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Salwa tabah hadapi dugaan

Posted: 25 Aug 2013 07:03 PM PDT

KETIKA dikenali dengan nama Arora Salwa sebelum ini, figura jelita ini banyak dilanda kontroversi.


"SAYA banyak belajar daripada pengalaman sepanjang bergelar seorang insan seni." Itu kata gadis tinggi lampai, Salwa Razak yang dahulunya pernah dikenali sebagai Arora Salwa pada awal kemunculannya.
Ketika ditemui pada sesi fotografi di D'Rias, Great Eastern Mall, Kuala Lumpur baru-baru ini, dia yang lebih mesra disapa sebagai Salwa ini ternyata seorang yang peramah.
Melalui luahan hati yang diceritakan, ternyata Salwa seorang wanita yang tabah menghadapi dugaan yang menimpa dirinya.
Bukan satu, malah nama Arora Salwa pernah beberapa kali dilanda kontroversi yang pernah membuatkan dirinya tertekan dan kecewa antaranya dia dikatakan lari daripada membayar hutang.
"Tipulah jika saya cakap saya tidak pernah kecewa ketika ditohmah dengan pelbagai kontroversi.
"Namun, kerana minat saya yang mendalam terhadap bidang seni ini, saya harungi jua," tutur anak kelahiran Johor ini.
Tambah Salwa: "Sejujurnya, pengalaman lepas saya sebagai seorang anggota polis banyak membantu diri agar menjadi seorang yang kuat dari segi mental dan fizikal."
Menurutnya, ketika dirinya dilanda kontroversi, dia pernah mendiamkan diri seketika dan banyak berfikir.
"Saya tinggal di rumah keluarga saya di Johor dan berfikir apa yang perlu saya lakukan. Ini kerana, bukan sahaja diri saya, malah keluarga juga terkena tempias dengan kontroversi yang melanda diri.
"Saya akui, sebagai seorang manusia, siapa yang tidak melakukan kesalahan. Saya bukan seorang yang sempurna, ada betul dan juga salahnya," beritahunya yang mana keluarga adalah orang yang sering beri sokongan.
SALWA kini lebih berhati-hati dalam menjalani rutin harian.


Nyanyian dan lakonan
Walaupun bermula dari bidang nyanyian, Salwa juga tidak terlepas daripada menerima tawaran dalam bidang lakonan.
Ketika ditebak persoalan tentang keutamaan antara nyanyian dan lakonan bagi dirinya, jelas Salwa, dia mahu ia seiring.
"Saya minat kedua-dua, nyanyian dan lakonan. Jadi, kini saya telah terlibat dalam dua bidang iaitu lakonan dan nyanyian, saya akan seiringkan kedua-duanya," tuturnya yang bakal muncul dalam sebuah drama yang akan ditayangkan di RTM berjudul Misteri X.
Bersyukur dengan rezeki yang diperoleh, cerita Salwa, dia juga telah menerima beberapa tawaran berlakon drama lain.
Beralih cerita mengenai nyanyian pula, pada bulan Mac lalu, Salwa telah melancarkan sebuah single yang berjudul Hidup Baru.
Jelasnya, jika singlenya sebelum ini yang berjudul, Ahmad adalah lagu genre rancak, Hidup Baru pula sebaliknya balada.
"Ahmad adalah sebuah lagu yang mudah, yang mana ia berentak catchy dan sesiapa sahaja boleh menyanyikan lagu tersebut.
"Namun, single Hidup Baru berentak balada dan saya mahu menguji kebolehan saya sebagai seorang penyanyi.
"Ada beberapa not tinggi yang saya perlu nyanyikan dalam lagu ini. Tidak dinafikan, balada merupakan genre yang agak sukar. Saya tukar genre kerana ingin membuktikan kebolehan saya sebab ada yang kata saya tidak boleh menyanyi," katanya serius.
Mengakhiri temu ramah bersamanya, bicara Salwa, melalui lumrah hidup sebagai seorang artis, kini dia lebih berhati-hati.
Mungkin jika dahulu dia teruja menguar-uarkan sesuatu perkara yang ingin dilakukan terlebih dahulu.
Bagaimanapun, setelah pelbagai kejadian menimpa diri, Salwa lebih gemar mendiamkan diri dan hanya mengumumkan tentang sesuatu perkara selepas semuanya pasti.

Lantang Bersuara Membuatkan Ezany Ditakuti Produser

Posted: 25 Aug 2013 07:02 PM PDT

Ezany
PETALING JAYA: Sikap lantang bersuara secara umum mengenai isu duit gaji kru dan artis yang tidak dibayar sejak akhir-akhir ini membuatkan pelakon Ezany Nizariff mula ditakuti sesetengah produser drama.
Ezany, 40, berkata, walaupun dia mungkin tidak akan menerima sebarang tawaran lakonan daripada beberapa produser yang kurang senang dengan caranya, ia langsung tidak menjadi masalah buat dirinya kerana percaya pihak terbabit pasti tidak jujur dengan tawaran yang diberikan.
"Saya lantang bersuara bagi menegakkan perkara yang benar dimana ingin meminta hak saya serta kru-kru produksi yang tertindas.
"Dan dilihat ada pihak yang takut dengan saya kerana terlalu lantang. Malah mana-mana produksi yang masih ada tunggakan gaji dengan saya, mereka cepat-cepat jelaskan bayaran saya serta kru-kru dan artis lain.
"Ada juga yang takut nak beri tawaran berlakon kepada saya. Bagi saya, orang yang takut itu sebenarnya tidak jujur dan profesional dalam kerja," katanya.
Tambah Ezany, kekerapan dia serta beberapa artis lain yang sering mendedahkan pelbagai isu berkaitan masalah produksi membuatkan pihak produser lain juga mula buka mata dan berjaga-jaga agar syarikat masing-masing tidak terjejas dengan kontroversi terutamanya mengenai hal tuntutan gaji.
"Mungkin tidak ramai (artis) yang berani ke hadapan untuk meminta wang gaji mereka yang tertunggak, tetapi saya sanggup ke muka pengadilan sekiranya perlu bagi membantu artis-artis, kru termasuklah diri saya sendiri agar tidak dipijak-pijak sewenang-wenangnya oleh produser yang yang cuba mahu mengambil kesempatan.
"Dan Alhamdulillah, saya dapat lihat ramai produser yang sebelum ini kurang profesional mula teliti dalam kerja masing-masing.
Dalam perkembangan lain, Ezany bakal muncul menerusi drama Persetua Lara yang akan disiarkan pada 27 Ogos ini, pukul 10 malam menerusi saluran TV2.
Persetua Lara yang juga lakonan Sherry Merlis, Zarina Zainuddin dan Razali Hussain merupakan sebuah drama yang menilai maksud bebas merdeka dari tiga latar masa berbeza iaitu pada zaman darurat Tanah Melayu (1948), zaman kegawatan ekonomi (1987) dan tahun 2008.

Noorshila Amin Cedera Disambar Gas Bocor

Posted: 25 Aug 2013 07:02 PM PDT

Noorshila Amin.
PETALING JAYA: Hampir seluruh bahagian kiri tubuh penyanyi Noorshila Amin disambar api berpunca daripada tong gas terbocor di kediaman anak sulungnya, Nurrul Admiena Norrizan di Kepong pada Sabtu lalu.
Noorshila, 49, berkata, kejadian yang berlaku kira-kira pukul 2 petang itu membuatkan anggota kiri badannya termasuklah wajah, tangan dan kaki melecur.
"Ketika itu saya sibuk nak masak rendang bersempena dengan majlis rumah terbuka di rumah Admiena dan tidak sedar pula yang tong gas terbocor.
"Tiba-tiba sahaja ketika mahu mencapai barang masakan yang berdekatan dengan tong gas itu, api terus menyambar sehingga membuatkan muka dan badan saya melecur," katanya yang dihubungi mStar Online pada Ahad.
Tambah Noorshila, dia terus ke sebuah klinik di Selayang bagi mendapatkan rawatan dan kejadian itu juga membuatkan dia terpaksa membatalkan undangan persembahan yang diadakan pada sebelah malamnya (hari yang sama).
Antara kesan melecur pada tangan dan wajah Noorshila.
Ditanya bagaimana keadaannya sekarang, Noorshila masih lagi sukar untuk menggerakkan bibirnya namun mengambil sikap positif dengan melakukan aktiviti harian dan bercakap seperti biasa.
"Kalau nak ikutkan memang rasa sakit sangat terutama pada bahagian bibir dan wajah yang semakin tegang gara-gara melecur. Malah kening saya pun dah tidak ada.
"Apa-apapun saya menunggu wajah ini sembuh dahulu sebelum mendapatkan khidmat nasihat daripada rakan saya yang merupakan seorang pakar kecantikan," ujarnya.
Sementara itu, Noorshila berkata, kejadian yang telah berlaku memberikan pengajaran yang besar buatnya agar sentiasa berhati-hati dengan memeriksa tong gas dahulu sebelum memasak.
"Kita memang perlu berhati-hati dengan setiap perkara yang ingin dilakukan, termasuklah memeriksa tong gas sebelum memasak.
"Selain itu, ia juga sedikit sebanyak menginsafkan diri saya yang dapat merasai derita orang lain yang ada diantaranya, tubuh badan mereka terbakar lebih teruk daripada apa yang berlaku pada diri saya.
"Mujurlah api yang disambar tidak terlalu kuat. Kalau tidak, saya pun tak tahu apa akan jadi," ujarnya.
Dalam pada itu dia juga bersyukur kerana tidak berasa trauma dan hanya menjalankan rutin hariannya seperti biasa
Selain Admiena, 29, Noorshila turut mempunyai tiga orang anak iaitu Nurrul Nadia, 27, Mohd. Daniel Durrany, 20, dan Mohd. Banni Basyishar, 18.

Que Haidar Sering Diundang Menyanyi Sejak Filem 'Rock Oo'

Posted: 25 Aug 2013 07:01 PM PDT

Que Haidar
PETALING JAYA: Pelakon Que Haidar mengakui sejak lakonan nyanyiannya dalam filem Rock Oo: Rimba Bara Kembali berjaya mencuit perhatian ramai pada tayangannya Februari lalu, dia sering menerima undangan persembahan nyanyian bagi majlis-majlis korporat.
Que atau nama sebenarnya Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar, 33, berkata, walaupun pelik dengan keadaan itu kerana merasakan diri bukanlah seorang penyanyi, dia tetap menerima undangan tersebut dengan hati terbuka menghiburkan tetamu-tetamu yang hadir.
"Memang saya rasa sangat pelik apabila diundang menyanyi di acara-acara korporat. Tetapi saya tetap menerima dan membuat persembahan seperti yang diinginkan pihak penganjur.
"Cuma saya hanya menyanyi lagu-lagu yang ada dalam filem Rock Oo sahaja. Malah ada juga beberapa lagu P. Ramlee yang saya bawakan dengan komposisi muzik rock.
"Alhamdulillah, sehingga kini masih ada undangan nyanyian yang saya terima," katanya.
Bagaimanapun tambah Que, dia tidak akan menjadikan aktiviti nyanyiannya itu sebagai kerjaya tetap kerana menyifatkan bakatnya masih lagi tidak hebat seperti penyanyi-penyanyi yang tersedia ada.
"Saya sudah ada kerja lakonan sendiri dan kalau boleh tidak mahu mengganggu periuk nasi orang lain. Malah saya sedar diri suara ini tidaklah sesedap mana.
"Kalau nak tahu ramai yang berbakat dalam nyanyian tidak diberi peluang ke hadapan dan biarlah mereka yang berusaha keras ini mewarnai dunia muzik tempatan kita.
"Apa yang saya buat sekarang ini (nyanyian) pun sekadar suka-suka dan tidak mengambilnya secara serius pun," ujarnya.
Sementara itu, Que kini sedang melalui proses perbincangan bersama pengarah filem Rock Oo mengenai pembikinan sekuel filem tersebut yang ketiga.

Aliff hibur peminat di Youtube

Posted: 25 Aug 2013 06:59 PM PDT


  • Aliff Aziz Aliff Aziz
Jika sebelum ini kisah kontroversinya sering menjadi tumpuan utama, kini penyanyi dan pelakon, Aliff Aziz mahu memberi lebih fokus terhadap kariernya.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai perkembangan terbarunya, Aliff kini memberitahu dia sedang sibuk dengan pembikinan album keempat yang dijangka akan dilancar tahun depan.

"Mungkin dalam masa terdekat ini akan ada satu single terbaru dari saya akan keluar dan album penuh akan dilancarkan sekitar tahun depan.

"Selain itu, saya juga ada buat beberapa lagu cover di Youtube. Jadi bagi peminat yang sudah lama tidak mendengar nyanyian terbaru saya bolehlah dengar di situ," jelasnya.

Asmaa el-Beltagi, syuhada Mesir

Posted: 25 Aug 2013 06:59 PM PDT


  • Asmaa el-Beltagi Asmaa el-Beltagi
Gadis pintar berumur 17 tahun ini mempunyai masa depan yang cerah, namun akibat tindakan kejam tentera Mesir dia tidak sempat merealisasikan cita-citanya.

Asmaa el-Beltagi, anak perempuan tunggal kepada Setiausaha Agung Gerakan Ikhwanul Muslimin, Mohammed Beltagi adalah salah seorang daripada 525 yang syahid selepas pihak berkuasa kerajaan sementara bertindak menyerbu dua kem penunjuk perasaan di ibu negara, 14 Ogos lalu.

Sebelum insiden dia ditembak, remaja berjiwa kental itu sempat melaungkan kata-kata semangat: Jangan berganjak! Kemenangan akan berpihak kepada kita tidak lama lagi. Jangan biarkan tentera menamatkan revolusi ini!

Ketika tentera melancarkan operasi mengusir kumpulan penyokong bekas Presiden digulingkan, Mohammed  Mursi, Asmaa bersama ibunya sedang membantu mangsa cedera yang ditempatkan berhampiran khemah di Dataran Rabaa al-Adawiya.

Walaupun masih berumur belasan tahun, perwatakan dan sikapnya mencerminkan tingkah lakunya sebagai gadis yang matang. Asmaa tidak gentar dengan ancaman tentera, dia meneruskan usaha membantu saudaranya yang cedera hingga akhirnya remaja itu rebah berhampiran podium di dataran tersebut selepas ditembak pada bahagian dada dan belakangnya.

Menurut abangnya, Asmaa meninggal dunia kerana tidak dapat menjalani pemindahan darah akibat kecederaan yang dialaminya. Impiannya untuk melanjutkan pengajian di sekolah perubatan dan menyertai aktiviti bantuan global terpaksa berkubur.

Asmaa juga pernah bercita-cita untuk menyertai misi kemanusiaan, Freedom Flotilla dengan menaiki Mavi Marmara bersama bapanya. Teman baiknya, Ethar Yousef menyatakan Asmaa menjadi insan bertanggungjawab yang meniup semangatnya untuk menyertai tunjuk perasaan aman membantah rampasan kuasa oleh tentera.

"Dia percaya, rakyat akan kembali menderita jika tentera kembali memerintah negara itu," katanya.

Asmaa juga aktif menyertai beberapa siri protes yang dianjurkan di negara tersebut sejak revolusi kebangkitan rakyat pada 2011. Pada 3 Julai, Asmaa nekad untuk terus berada di Dataran Rabaa al-Adawiya selepas Jeneral Abdel Fattah al-Sisi mengumumkan rampasan kuasa yang menggulingkan Mursi.

Gadis itu sentiasa memegang al-Quran dan berada di sisi bapanya untuk memberi sokongan moral. Sejam sebelum insiden menyayat hati itu, Asmaa dilihat bertungkus-lumas mengutip batu-bata yang digunakan oleh saudaranya untuk membina sekatan di dataran tersebut.

Bagaimanapun, penyusunan semula tugas yang dibuat oleh penganjur rupa-rupanya telah menjadi perjuangan terakhirnya. Asmaa juga sempat mengemas kini status terakhir di dalam Facebooknya: "Mereka membunuh kita di saat kita sedang rukuk dan sujud, Berdoalah wahai hamba ALLAH, semoga akan datang pasukan sokongan seperti ombak di lautan,"
Selain itu, mesej terakhirnya menerusi Twitter juga memaparkan: "YA ALLAH, kami tiada sesiapa melainkan-Mu, YA ALLAH,"

Bagi memperingati perjuangan Asmaa, beberapa teman baiknya telah melancarkan akaun khusus di laman sosial termasuk simbol R4BIA yang didedikasikan khas oleh aktivis Turki untuk ikon revolusi itu.


Buat anak kesayanganku, Asma el-Beltagy,

Ayah tidak mengucapkan selamat tinggal kepadamu kerana esok kita akan bertemu lagi.
Kau telah mengabdikan hidupmu untuk menentang kezaliman bagi membina semula negara ini.
Ayah tidak mendapat masa yang cukup untuk dihabiskan bersamamu terutamanya ketika ayah tidak dibenarkan untuk menemanimu.
Kali terakhir kita duduk bersama di Dataran Rabaa Al Adawiya, kau pernah bertanya, "Walaupun ayah bersama kami, ayah tetap sibuk," dan ayah menjawab 'Hidup ini terlalu singkat untuk dinikmati.

Jadi, ayah berdoa kepada ALLAH semoga kita akan dapat menikmati hidup bersama di syurga,"
Dua hari sebelum kau dibunuh, ayah bermimpi melihat kau memakai baju pengantin berwarna putih yang menyerlahkan lagi kecantikanmu.
Ketika itu, ayah bertanya, "Adakah ini malam perkahwinanmu?" kau menjawab, "Tidak ayah, ia akan 'dilangsungkan' pada waktu tengah hari."
Selepas ayah menerima berita bahawa kau terkorban pada tengah hari (14 Ogos), barulah ayah mengerti maksud mimpi tersebut.

Kematianmu sebagai syuhada telah mengukuhkan lagi kepercayaan ayah bahawa kita berada di pihak yang benar.
Wahai anakku, hingga kini, ayah berasa amat sedih kerana tidak dapat melihat kau buat kali terakhir; tidak dapat mengucup dahimu dan tidak dapat mengimamkan solat jenazahmu.
Demi ALLAH, ayah tidak hadir bukan kerana takut dengan ancaman sekeliling tetapi ayah telah berikrar untuk meneruskan dan menamatkan perjuangan kita.

Akhir kata, wahai puteri kesayanganku,
Ayah tetap tidak akan mengucapkan selamat tinggal kerana kita mungkin akan bertemu lagi di syurga dan ayah berharap doa ini akan dimakbulkan ALLAH SWT, Insya-ALLAH.

Ayahmu, Mohammed Beltagi

Melly terbit filem seram

Posted: 25 Aug 2013 06:57 PM PDT



  • Melly Goeslow i Melly Goeslow 
Selain terkenal dengan kehebatan dalam mencipta lagu, penyanyi dan komposer popular Indonesia, Melly Goeslaw turut terlibat dalam pembikinan filem tidak lama lagi.

Sempat menemu bualnya pada majlis pengumuman barisan tenaga pengajar program Akedemi Fantasia 2013 baru-baru ini, Melly memberitahu selain baru tampil dengan album terbarunya yang menghimpunkan beberapa lagu 'soundtrack' dia juga sedang dalam persiapan dalam pembikinan filem.

"Sekarang saya juga agak sibuk dengan beberapa persiapan untuk filem terbitan saya sendiri di Indonsia.

"Filem yang akan saya hasilkan nanti adalah filem seram sebab saya memang penggemar filem genre seperti itu.

"Pelakon yang terlibat masih lagi dalam perbincangan kami. Setakat ini itu sahaja yang boleh saya kongsikan kerana ia bakal menjadi kejutan buat peminat," katanya.

Shuhaimi Baba: Bukan penamat berkarya

Posted: 25 Aug 2013 06:55 PM PDT



  • Shuhaimi Baba: Bukan penamat berkarya Shuhaimi Baba: Bukan penamat berkarya
Kata orang penantian satu penyeksaan dan begitulah yang dirasai oleh penerbit dan pengarah filem terkenal, Datin Paduka Shuhaimi Baba sejak setahun lalu.

Mengakui kesal dengan provokasi sesetengah pihak yang melakukan tekanan agar hasil karya Tanda Putera ditangguhkan tayangan atas alasan politik serta dikatakan bakal mencetuskan ketegangan kaum, Shuhaimi atau mesra disapa Shumi kini boleh melepaskan satu lelah.

Tidak menafikan ini adalah dugaan terbesarnya sepanjang 21 tahun berkecimpung dalam bidang pengarahan, Shuhaimi berkata dia hampir saja mengalah dengan sikap sesetengah pihak yang lebih suka mengkritik berbanding memberi sokongan kepadanya.

"Ada yang berkata kepada saya, daripada saya menghadapi kontroversi sebegini lebih baik saya buat filem hantu atau filem bergenre lain. Ada juga yang mula 'merajuk' dan mengakui tak mahu terlibat lagi dengan pembikinan filem saya.

"Malah saya sendiri hampir mogok dan enggan meneruskan lagi tugas penerbitan dan pengarahan kerana kecewa dengan provokasi remeh yang dimainkan sesetengah pihak.

"Ia seolah-olah saya dijatuhkan hukuman tanpa dibicarakan. Namun selepas tayangan Tanda Putera malam Selasa minggu lalu, ramai yang tampil memberi sokongan kepada saya dan secara tidak langsung ia mengembalikan semangat saya untuk terus berkarya," jelasnya.

Biarpun Tanda Putera hanya akan menemui penonton Khamis ini, akui Shuhaimi dia sudah mempunyai beberapa naskhah yang masih lagi dalam pertimbangan untuk diterbit dan diarahkan.

"Ya, memang sudah ada beberapa projek. Bagaimanapun buat masa ini saya lebih selesa untuk berehat terlebih dahulu dan melihat sambutan dan perkembangan Tanda Putera," katanya.

Ditebak adakah Tanda Putera bakal menjadi filem sejarah terakhir arahannya, Shuhaimi berkata, biarpun kecewa dengan kontroversi yang berlaku, namun ia tidak sedikit pun menjadi penghalang buatnya menghasilkan sebuah filem seperti ini lagi.

"Sebagai pembikinan filem saya tidak boleh elak daripada menghasilkan sebuah karya yang boleh memberikan kesedaran kepada semua. Namun buat masa ini saya masih belum memikirkan siapa lagi tokoh negarawan yang mahu diangkat ke layar perak," katanya.

Semangat luntur

Penangguhan tayangan filem sejarah itu sebanyak beberapa kali, sehingga berlanjutan lebih setahun, menyebabkan Pesona Pictures terpaksa menanggung kerugian bukan sahaja wang ringgit bahkan semangat pasukan untuk melihat Tanda Putera dilayarkan di pawagam.

"Selepas segala kontroversi ini, bukan semangat saya saja yang luntur, bahkan seluruh tenaga produksi merasa tekanannya. Berbulan kami bersengkang mata menyiapkan penggambaran, malah saya sendiri bersama beberapa individu penting mengambil masa setahun untuk melakukan penyelidikan.

"Sebab itu jika ditanya mengenai kerugian akibat penangguhan filem ini, saya tiada jawapan. Kerugiannya terlalu besar, ia tidak boleh dihitung dengan wang ringgit semata-mata, tetapi ia turut merangkumi maruah, semangat dan juga kepercayaan," katanya.

Harap sokongan semua

Menurut Shuhaimi, sehingga kini dia masih terasa debarannya dan berharap semua pihak dapat memberi sokongan bukan sahaja terhadap filem Tanda Putera bahkan kepada seluruh filem tempatan.

Beliau juga memohon kepada segelintir masyarakat yang membuat kritikan yang tidak adil, juga kepada sesiapa yang melabelkan filem ini sebagai filem berbaur perkauman dan propaganda agar menonton dan menilai filem ini di pawagam sendiri sebelum membuat pelbagai andaian melulu dan tidak berasas.

"Jika dilihat semula, filem ini sangat berbeza kerana filem ini memaparkan dua orang tokoh yang menghadapi tempoh paling getir dalam sejarah Malaysia dan mereka juga berhadapan dengan penyakit yang kritikal, sesuatu yang sangat jarang berlaku kepada pemimpin-pemimpin negara lain.

"Saya harap rakyat Malaysia terus beri kami peluang untuk berkarya dan sokonganlah kami. Tanpa sokongan mereka, industri kita akan terus mati begitu sahaja," ujarnya yang pernah mengarahkan filem '1957 Hati Malaya' ini.

Dua tokoh berwibawa

Tanda Putera membawa penonton melayari kisah perbalahan antara orang Melayu dan Cina yang berlaku pada 13 Mei 1969, isu yang kononnya dikatakan boleh membangkitkan kembali kemarahan kedua-dua kaum itu tidaklah seteruk yang disangka.

Apatah lagi adegan terbabit hanya dipaparkan pada awal cerit dan selebihnya adalah kisah persahabatan dua tokoh berwibawa iaitu Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak dan Timbalannya, Tun Dr Ismail.

Akui Shuhaimi, rata-rata tetamu yang hadir pada malam gala Tanda Putera mengakui sendiri kepadanya bahawa mereka tidak nampak apakah elemen sensitif filem ini sehingga ia menjadi judul kontroversi.

"Ramai yang mengakui tersentuh dengan pengorbanan Tun Abdul Razak dan Tun Dr Ismail. Mereka juga tertanya-tanya apakah perkara isu yang disensasikan oleh pihak tertentu yang mengatakan filem ini boleh mencetuskan ketegangan kaum.

"Selepas ini jika ada mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan filem mini dan mahu berjumpa saya, saya sedia bertemu. Atau pun jika ada yang mahu mengkritik, saya bersedia menerima kritikan daripada mereka," katanya.

Zed Zaidi: 'Saya bukan gila kuasa'!

Posted: 25 Aug 2013 06:54 PM PDT


  •  Zed Zaidi Zed Zaidi
LEBIH  setahun diberi kepercayaan memimpin Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi berjaya membuktikan kredibilitinya dalam menguruskan persatuan itu selaku pucuk pimpinan.

Malah, beberapa pencapaian besar berjaya dicapai Zed atau nama sebenarnya, Rozaidi Jamil, sepanjang tempoh pelantikan itu.

Bukan sahaja semakin agresif, malah suara Seniman juga turut menjadi perhatian kerajaan serta kementerian.

Semangat dan perjuangan Zed dalam membawa industri seni ke tahap yang lebih tinggi wajar diberi pujian walaupun sebelum ini dia tidak terlepas daripada kata-kata sinis dan cemuhan.

Pun begitu, keberanian Zed telah menghapuskan segala kritikan dan cemuhan yang dilempar padanya setelah melihat kejayaan demi kejayaan yang diraih persatuan itu.

Dalam kerancakan Seniman menyusun usul lain, Zed mengejutkan ramai pihak apabila mengesahkan dia akan bertanding jawatan Exco Pergerakan Pemuda Umno pada pemilihan parti itu pada Oktober depan.

Namun, ramai yang berteka-teki, adakah Zed akan meninggalkan Seniman untuk jawatan yang lebih besar atau tetap meneruskan perjuangannya demi kebajikan artis-artis tempatan.

Untuk mendapat kepastian, Zass menyusun satu temu bual eksklusif bersama Zed Zaidi untuk berbicara lebih lanjut mengenai perkara itu.


Anda memilih untuk bertanding jawatan dalam parti. Bagaimana pula nasib Seniman? Adakah anda akan bersara?

Saya menerajui Seniman bukan kerana mahukan 'jalan alternatif' semata-mata untuk mendapatkan jawatan yang lebih tinggi. Namun, saya tidak nafikan jawatan sebagai Presiden Seniman banyak membantu dalam mencapai perjuangan saya demi membantu golongan seni. Kenapa saya perlu bersara sekiranya saya berpeluang memegang jawatan Exco Pemuda? Malah, hasrat saya adalah untuk membawa Seniman ke tahap yang lebih tinggi lagi. Ia merupakan 'batu loncatan' untuk saya membawa usul Seniman ke atas. Bagi saya, tiada masalah untuk memegang lebih daripada satu jawatan kerana Seniman adalah Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Exco Pemuda adalah parti. Ia adalah jawatan yang berbeza dan tiada undang-undang yang menghalang seseorang itu untuk memegang jawatan lebih daripada satu jawatan, malah ramai individu yang diberi peluang itu. Lainlah kalau ianya berkaitan dengan kerajaan atau kementerian.


Apa pandangan anda jika ada segelintir pihak yang menganggap anda gila kuasa?

Saya dilantik sebagai Presiden bukan atas dasar paksaan atau pilihan sendiri. Saya melalui proses undian dan ia ternyata berpihak kepada saya. Tidak perlu timbul istilah gila kuasa kerana ini adalah perjuangan saya dalam Seniman. Saya tidak kisah apa yang orang kata kerana sebelum ini pun saya telah melaluinya. Saya lebih selesa menganggap kritikan dan cemuhan itu sebagai pembakar semangat untuk saya terus berjuang. Namun, saya tidak keberatan untuk melepaskan jawatan ini sekiranya ada individu yang layak memimpin persatuan serta memperjuangkan matlamat Seniman.


Lebih setahun menguruskan Seniman, adakah anda berpuas hati dengan kejayaan yang dicapai?

Alhamdulillah, saya bersyukur kepada ALLAH SWT kerana memudahkan urusan saya dalam usaha membantu ahli persatuan untuk mendapatkan hak mereka. Walaupun tidak kesemua usul berjaya di selesaikan buat masa ini, namun saya berpuas hati kerana kebanyakannya mendapat perhatian pihak atasan termasuk kerajaan dan kementerian. Bagi usul yang masih belum berjaya dilaksanakan, saya akan tetap mengemukakannya di masa yang akan datang.


Memegang dua jawatan dalam satu masa, tidakkah anda akan berdepan dengan kekangan masa?


Saya rasa, tidak akan timbul isu kekangan masa kerana tidak kira di peringkat persatuan mahupun parti, saya tetap memperjuangkan isu yang sama menerusi Biro Kebudayaan dan Kesenian. Saya akan tetap membawa usul masalah industri dan pengamal seni walaupun di peringkat parti. Buat masa ini, saya hanya menggalas jawatan Timbalan Pengerusi Biro Kebudayaan dan Kesenian sahaja. Ini juga adalah satu persediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.


Adakah ini merupakan satu langkah untuk membawa golongan artis kepada penglibatan politik?

Ya, saya tak nafikan perkara itu kerana saya tahu, pengaruh artis dalam politik cukup besar. Pada PRU13 yang lalu, golongan pembangkang telah menggunakan cara ini untuk kepentingan politik mereka. Namun, tidak salah untuk kita cuba memulihkan imej parti dengan cara yang sama. Saya menggunakan kaedah ini untuk membawa Seniman dan ahli persatuan untuk mencabar artis dari pembangkang. Sekurang-kurangnya, penglibatan artis dalam Umno secara serius dapat menggugat kedudukan artis pembangkang yang tampil mengecam parti pemerintah. Penglibatan penggiat seni dalam parti dilihat mampu menaikkan imej Umno dan membuka mata masyarakat.


Apakah dorongan utama yang membuatkan anda tampil untuk bertanding?

Sokongan padu daripada ahli di 191 bahagian pergerakan di seluruh negara adalah faktor utama untuk saya tampil bertanding. Daripada awal lagi, mereka menyokong saya untuk bertanding khususnya bagi jawatan Pengerusi Biro Kesenian dan Kebudayaan. Walaupun bukan semua yang menyokong, namun saya yakin, ramai di kalangan mereka yang menyokong perjuangan saya.


Adakah anda yakin akan menang?

Itu semua rezeki ALLAH SWT. Saya tidak meletakkan harapan tinggi untuk menang kerana ramai di kalangan rakan-rakan yang berkredibiliti juga turut bertanding. Bukan seorang dua yang turut bertanding, malah saya difahamkan setiap bahagian menghantar borang pemilihan. Namun, wakil daripada artis, hanya saya seorang sahaja. Insya-ALLAH, kalau ada rezeki, saya bersyukur. Ini semua adalah perjuangan saya demi industri.

Jovian, Sabrina bakal bersatu

Posted: 25 Aug 2013 06:52 PM PDT


  • Jovian,  Sabrina
NAMPAKNYA  pasangan yang hangat bercinta, Jovian Mandagie dan kakak kepada Dafi iaitu Sabrina, bakal disatukan pada 11 Disember ini.
Percintaan antara pereka fesyen terkenal dengan anak menteri itu bukanlah perkara rahsia kerana kedua-duanya lebih bersikap terbuka dalam hubungan.
Walaupun sebelum ini mereka pernah menangguhkan perkahwinan kerana tuntutan kerja, namun akhirnya mereka akan bersatu juga selepas dua tahun menjalinkan hubungan.
Apatah lagi, keluarga mereka turut merestui percintaan itu.

Hanez Suraya popular kerana kontroversi?

Posted: 25 Aug 2013 06:52 PM PDT


  • Hanez Suraya Hanez Suraya
SEJAK akhir-akhir ini, penggunaan medium media sosial yang digunakan beberapa orang artis sering mengundang kontroversi.

Terbaru, pelakon tinggi lampai, Hanez Suraya turut tidak terkecuali mengalami perkara yang sama apabila salah seorang peminat menghentamnya gara-gara tidak membalas komennya di Twitter.

Bertanyakan pada tuan badan sendiri, Hanez memberitahu apa yang berlaku bukanlah sesuatu yang besar cuma atas sebab tidak cemburu dan tidak berpuas hati perkara itu menjadi semakin besar.

"Sebenarnya Hanez seorang yang suka 'reply' dan 'retweet' semula komen-komen peminat di Twitter kalau Hanez ada masa yang lapang.

"Tapi hari itu, kebetulan, tweet yang datang dari peminat terlalu banyak. Masa itu Hanez memang tidak boleh balas semuanya jadi Hanez dahulukan 'tweet' yang mana penting dari teman-teman rapat dan pihak media.

"Tidak sangka pula ada peminat yang marah dan tanpa usul periksa dia kata Henez hanya balas 'tweet' pada peminat lelaki sahaja," katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Media Prima, kelmarin.

Biarpun pelbagai kata cacian dilemparkan kepadanya, namun pelakon drama Autumn Dihatiku ini tidak melenting malah menghadapi situasi tersebut dengan tenang.

"Sejujurnya memang Hanez kecewa perkara seperti ini berlaku. Tapi saya kena terima sebab inilah lumrah buat seseorang artis.

"Sekarang ini Hanez memang tidak layan 'tweet' darinya sebab bila dilayan mungkin keadaan akan bertambah teruk. Bagi saya orang seperti itu hanya mahukan perhatian," jelasnya.


Kontroversi membantu

Mengakui kehadiran kontroversi sedikit sebanyak membantu kerjanya sebagai seorang pelakon semakin bertambah baik, Hanez bagaimanapun masih menitik beratkan bakat untuk terus bertahan dalam industri hiburan ini.

Katanya, jika dilihat perkembangan karier lakonannya tahun ini, memang ada peningkatan kerana banyak tawaran lakonan yang diterima dan dalam masa yang sama ada juga beberapa kontroversi menimpa dirinya.

"Sebenarnya memang kontroversi membantu tapi yang mana boleh tepis, Hanez akan tepis sebab saya juga tidak mahu dilabel sebagai artis kontroversi.

"Tapi boleh dikatakan semua kontroversi yang menimpa Hanez tidaklah serius mana cuma ianya dibesar-besarkan oleh mereka yang tertentu sahaja.

Apabila diminta penjelasan bahawa kontroversi hanya datang kepadanya setelah hubungan percintaan bersama penyanyi, Awi Rafael tamat, Hanez bagaimanapun menafikannya.

"Kalau diikutkan masa saya masih bersama Awi ada juga kontroversi yang timbul cuma ketika itu saya lebih berhati-hati kerana Hanez tidak mahu Awi juga turut terlibat.

"Tapi sekarang Hanez solo, dan semua itu memang Hanez perlu balas dan jelaskan. Tapi itu tidak bermakna Hanez melawan dan melayan cuma balas kenyataan buat mereka faham," jelasnya.


Masih sendiri

Apabila ditanya dirinya sudah memiliki pengganti, Hanez bagaimanapun memberitahu buat masa ini tumpuannya hanyalah pada kerjaya.

"Alhamdulillah, kehidupan saya kini lebih selesa. Bila sudah solo, senang untuk saya beri tumpuan sepenuhnya pada kerjaya.

"Mahu bergerak ke mana-mana pun tidak ada halangan dan saya syukur masih boleh hidup sendiri," ujarnya.

Tambah Hanez lagi, dalam masa yang terdekat ini dia tidak ada perancangan untuk mengisik kekosongan hatinya.

"Mungkin terlalu cepat untuk buat semua itu. Sekarang ini Hanez lebih selesa berkawan dengan semua orang.

"Memang ada yang cuba untuk mendekati, tapi Hanez boleh berkawan biasa sahaja dan bila sudah bersedia barulah Hanez akan fikirkan semua itu," katanya yang tidak meletakkan sasaran tertentu untuk menamatkan zaman bujangnya.

Editor Media Hiburan tamatkan zaman bujang

Posted: 25 Aug 2013 06:50 PM PDT


  • Editor Media Hiburan tamatkan zaman bujang Meen Tahrin bersama isteri tercinta, Yusrinawati.
EDITOR majalah Media Hiburan terbitan Kumpulan Media Karangkraf, Meen Tahrin atau nama sebenarnya, Abdul Razak Tahrin, 37, selamat diijabkabulkan dengan wanita pilihannya, Yusrinawati Hamzah, 37, dengan sekali lafaz sekitar jam 5.30 petang, Jumaat lalu.
Pasangan ini diijabkabulkan oleh Penolong Pendaftar Nikah dan Pegawai Khidmat Nasihat, Pejabat Agama Islam Daerah Petaling, Shah Alam, Rematola Abdul Sathor.

Majlis resepsi berlangsung semalam, di rumah pengantin perempuan di Kampung Seri Aman Berkat, Puchong.

Ketika majlis pernikahan kelmarin, pihak perempuan menerima sembilan dulang hantaran berbalas sebelas kepada pihak lelaki dengan mas kahwin RM300 dan wang hantaran RM10,000 berserta seutas rantai tangan emas.

Manakala majlis resepsi sebelah pihak lelaki diadakan di Restoran Warisan, Kuala Lumpur, hari ini.

Kesal tuduhan Black: 'Saya teraniaya'

Posted: 25 Aug 2013 06:49 PM PDT


  • Kesal tuduhan Black: 'Saya teraniaya' Perancang perkahwinan kesal tuduhan Black
Dalam keterujaan melangkah ke alam perkahwinan bulan depan, juara Mentor musim ketiga ini dan tunangnya berdepan dengan cabaran yang tidak disangka.

Menurut Black atau nama sebenarnya, Hanifah Md Hanafiah, 26, dia berasa ditipu oleh perancang perkahwinan yang dilantiknya setelah tiada perkembangan walaupun sudah membayar RM30,000 menerusi dua transaksi iaitu RM18,000 pada bulan April dan RM12,000 pada bulan Jun.

Justeru demi memastikan majlis perkahwinannya berjalan lancar, Black mengambil keputusan untuk memberhentikan khidmat perancang perkahwinan tersebut dan menyerahkan tugas persiapan perkahwinannya kepada pihak pengurusan.

Tidak berakhir setakat itu, usaha Black untuk mendapatkan kembali wang yang telah dibayar menemui jalan buntu apabila perancang perkahwinan tersebut dikatakan hanya berdiam diri.

Bagi memastikan nasibnya mendapat pembelaan sewajarnya, Black telah melaporkan perkara ini kepada pihak polis dan juga bakal membawa isu ini ke mahkamah untuk tindakan selanjutnya.

Jika sebelum ini kita sering mendengar kenyataan Black, perancang perkahwinan yang hanya mahu dikenali sebagai Puan WP (Wedding Planner) tampil memberi penjelasan secara eksklusif kepada Zass.


Ikuti temu bual berikut:

Setelah lama isu ini menjadi sebutan, apakah yang membuatkan anda tampil untuk memberi kenyataan?
Puan WP: Tujuan saya tampil memberi kenyataan ini bukan mahu memburukkan sesiapa atau cuba untuk mencari gaduh.

Saya hanya mahu membersihkan nama saya dan ingin menegaskan saya tidak melesapkan duit Black seperti didakwanya. Lagipun, ini bukan pertama kali saya menguruskan majlis perkahwinan artis dan selama ini tidak pernah ada masalah yang berbangkit.

Boleh anda jelaskan dengan lebih lanjut mengenai isu ini?
Puan WP: Saya berjumpa Black dalam satu majlis awal tahun ini dan Black telah bersetuju untuk menggunakan perkhidmatan saya. Menerusi beberapa perjumpaan dan perbincangan, Black setuju untuk mengadakan majlis perkahwinannya di satu lokasi di Kuala Lumpur (nama lokasi dirahsiakan).

Selepas melakukan beberapa sesi rundingan, pihak lokasi perkahwinan tersebut bersetuju memberi potongan separuh harga daripada RM72,000 kepada RM36,000 dan saya telah membayar RM15,000 sebagai pendahuluan.

Kemudian saya juga sudah membayar RM7,000 kepada pihak katering. Selebihnya RM5,000 adalah bayaran untuk saya dan baki RM3,000 untuk saya uruskan mengenai perkara lain. Segala urusan tersebut bersama bukti resit dan e-mel daripada pihak berkenaan mengenai perbincangan kami.

Bagaimana pula dengan kenyataan Black bahawa anda sudah membayar sebahagian daripada wang tersebut?
Puan WP: Selepas perkhidmatan saya ditamatkan saya tidak ada berjumpa dengan Black, apatah lagi memulangkan duit kepadanya.

Namun setahu saya pihak katering telah memulangkan duit tersebut kepada Black dan saya tidak bercadang untuk memulangkan duit Black kerana ingin saya tegaskan di sini, saya sudah teraniaya dan saya tidak bersalah!

Jadi, bagaimana boleh timbul isu 'melesapkan' duit Black?
Puan WP: Sekali lagi saya tegaskan saya tidak pernah melesapkan duitnya dan saya sebenarnya adalah orang yang teraniaya. Tiga bulan sebelum majlis Black, saya diberhentikan tanpa sebab dan Black bersama pihak pengurusan memaksa saya memulangkan semula wang tersebut.

Bagaimana saya mahu memulangkan wang tersebut sedangkan ia sudah dibayar kepada mereka yang terlibat. Saya juga kesal dengan pihak pengurusan Black tidak cuba menasihatkan Black dan saya rasa Black dipengaruhi oleh yang tidak profesional semasa membuat keputusan itu.

Mengapa pula anda rasa teraniaya?
Puan WP: Ya saya memang teraniaya kerana sejak awal lagi Black tidak mahu menandatangani kontrak yang sudah diberikan kepadanya. Oleh kerana itu, ia memudahkan Black untuk menamatkan perkhidmatan saya sesuka hati dan menuntut kembali wang daripada saya walaupun wang tersebut telah digunakan dalam urusan persiapannya.

Pernahkah anda berselisih faham dengan Black sebelum ini?
Puan WP: Saya tidak ada berselisih faham dengannya sebelum ini. Bayangkan ketika bapa saya tenat, saya dihubungi bertalu-talu daripada pihak Black, sehinggakan bapa saya meninggal dan ketika urusan pengebumian mereka masih menghubungi saya.

Tiga hari kemudian saya datang untuk berbincang bersama Black dan pihak pengurusan. Ketika itu mereka layan saya seperti sampah dan saya sudah dapat merasakan perkhidmatan saya akan ditamatkan.

Black bercadang membawa perkara ini ke mahkamah. Bagaimana pula dengan anda?
Puan WP: Saya sudah mendapat nasihat daripada peguam saya, jika dia mahu membawa perkara ini ke mahkamah saya sedia berhadapan dengannya kerana saya ada segala bukti.

Selepas perkara ini berlaku, adakah perniagaan dan reputasi anda terjejas?
Puan WP: Alhamdulillah rezeki saya tidak pernah putus dan perniagaan serta reputasi saya tidak pernah terjejas dengan isu ini. Saya tidak bersalah dan bila pelanggan tanya saya sudah jelaskan. Malah mereka juga faham dan mempercayai saya.

Apa nasihat anda untuk Black?
Puan WP: Nasihat saya, sudah-sudahlah membuat cerita buruk mengenai orang lain. Lagi banyak kita bercerita ia seolah-olah membuka pekung di dada. Saya harap Black fikirkan perkara yang positif dan tumpu pada perkahwinannya. Dia pun mahu mendirikan masjid.

Nabil tidak letak harga

Posted: 25 Aug 2013 06:40 PM PDT

NABIL bakal bergandingan dengan Aaron Aziz menerusi filem Romeo Kota.


NABIL AHMAD kini bukan sahaja bergelar pelakon, pengacara mahupun pelawak tetapi dalam diam dia juga semakin berjaya dengan syarikat miliknya iaitu Nabil Ahmad Enterprise.
Menurut Nabil yang kini menginjak usia 30 tahun, syarikat yang ditubuhkannya tahun lalu itu menguruskan artis yang diperlukan oleh syarikat-syarikat termasuk universiti-universiti.
"Syarikat saya lebih kepada menguruskan artis. Mana-mana syarikat yang memerlukan artis untuk majlis mereka, saya akan dapatkan. Setakat ini, antara artis yang pernah saya uruskan adalah Black, pelawak Jihan, Datuk M. Daud Kilau, Ajak Shiro dan Mas Idayu," ungkapnya ketika ditemui dalam satu majlis di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Ujarnya lagi, kebiasaannya jika sesebuah syarikat menawarkan khidmatnya untuk menjadi pengacara atau pelawak, Nabil turut membawa beberapa rakan artis lain. Sejak itu, dia terpanggil untuk membuka syarikat tersebut yang ternyata mendapat sambutan.
Dijolok persoalan tentang bayaran yang dikenakan kepada setiap penganjur yang menggunakan khidmatnya, Artis Paling Popular 2008 itu berkata, sebagai pengacara dan pelawak sejak dulu lagi dia tidak pernah meletakkan harga yang tinggi.
Baginya, lebih baik dia meletakkan harga yang berpatutan asalkan dia sentiasa memperoleh tawaran sebagai pengacara atau pelawak.
"Harga saya dulu dan kini sama sahaja. Saya tidak mahu orang terpaksa membayar RM30,000 untuk mendapatkan khidmat saya contohnya tetapi apa yang mereka mahukan daripada saya tidak saya penuhi.
"Bagi saya, biar tidak tinggi bayaran yang saya terima tetapi ada tawaran kerja. Paling penting, kita juga kena baik dengan orang. Dari situ, orang senang bekerja dengan kita dan akan bekerjasama dengan kita lagi," jelasnya tentang prinsip dan cara dia bekerja.
MENGAKUI dia kini bukan lagi anggota Boboi, Nabil sebenarnya lebih bergerak solo.


Aaron Aziz
Mengulas mengenai kerjaya seninya pula, ulas Nabil, dia bakal muncul dalam program realiti TV bercorak permainan iaitu Super Spontan untuk musim kedua yang bakal disiarkan pada 30 Ogos ini di saluran Astro Warna (saluran 132).
Rezeki Nabil dalam bidang lakonan juga mencurah-curah apabila dia bakal muncul dalam dua buah telefilem dan sebuah filem.
"Saya baru habis menjalani penggambaran sebuah telefilem berjudul Kain, Jarum dan Gunting bersama Mamat Sepah dan Harun Salim Bachik. Saya juga bakal bergandingan dengan Aaron Aziz dalam filem Romeo Kota," ulasnya yang menolak untuk berlakon drama kerana tidak mempunyai masa untuk melakukannya.
Nabil juga memberitahu yang dia bakal menyertai pertandingan Maharaja Lawak Mega 2013 secara solo dan tidak lagi bersama Boboi dalam sebarang acara.
Bukan disebabkan disingkirkan daripada kumpulan itu tetapi dedah Nabil, dia lebih selesa bergerak solo, malah dia juga mahu membuktikan dia mampu melakukan lawak secara solo.
"Saya sebenarnya mahu uji diri untuk terus melawak secara solo. Memang agak tertekan apabila kita kena melakukan aksi lawak secara solo tetapi saya anggap itu sebagai cabaran," jelasnya.
Anak kedua
Mengulas mengenai kehidupan keluarganya pula, kongsi Nabil, anaknya Naira Mikayla kini sudah menginjak usia lapan bulan.
Kata Nabil, Naira sudah pandai meminta adik apabila memberi reaksi memasukkan ibu jari kaki ke dalam mulut, yang selalunya dikatakan oleh orang tua-tua sebagai 'petanda' anak sulung mahu adik.
"Saya dapat tahu daripada orang-orang tua jika bayi masukkan ibu jari kaki tandanya dia akan dapat adik (ketawa). Kalau betul memang saya suka tetapi isteri saya, Nazirah Ayub atau Zira mahu merancang dua tahun lagi untuk mendapatkan anak kedua.
"Dia kasihan kalau dapat anak kedua nanti, Naira tidak dapat sepenuh lagi kasih sayang," ujar Nabil yang memberitahu, Naira sangat manja dengan Zira.

Syukur jika jadi hos AF 2013 - Zizan

Posted: 25 Aug 2013 06:39 PM PDT

FIGURA ini bakal muncul menerusi filem Tokan dan Nama Aku Beng pada tahun ini.


PENGACARA, pelakon, penyanyi dan juga pelawak, Zizan Razak bakal muncul dengan filem terbaharunya KL Zombi di samping pelakon jelita Siti Saleha, Izara Aishah dan Faezah Elai.
Pelakon berusia 29 tahun itu membawakan watak Nipis, seorang pemuda yang terpaksa bertarung nyawa demi menyelamatkan diri dan rakan-rakannya yang sudah menjadi zombi akibat virus yang dibawa oleh seekor anjing. Filem KL Zombi akan ditayangkan di seluruh pawagam di Malaysia pada 29 Ogos ini.
Ditemui pada majlis pratonton filem KL Zombi yang berlangsung di Cathay Cineplex Cineleisure, Mutiara Damansara, Selangor baru-baru ini, Zizan turut berkongsi mengenai masalah kesihatannya.
Katanya, sepatutnya dia ditahan di hospital kerana mengalami muntah dan cirit-birit yang teruk akibat keracunan makanan. Namun, Zizan menolak kerana mahu menghadirkan diri ke majlis pratonton filem tersebut.
Kepada Kosmo! Zizan melanjutkan perbualannya. Dia juga menjawab desas-desus mengenai dia sebagai pengacara Akademi Fantasia 2013 (AF 2013).
Bagaimanakah anda boleh terkena
keracunan makanan?
Saya baru balik daripada menjalani penggambaran muzik video filem Suamiku Ustaz di Gunung Bromo di Surabaya, Indonesia. Ada dua muzik video yang saya buat membabitkan Adi Putra sebagai penyanyi dan saya sebagai rapper dalam dua lagu tersebut. Saya pergi sana empat hari. Balik sahaja Malaysia terus muntah-muntah dan cirit-birit. Bila pergi hospital, doktor mengesahkan saya kena keracunan makanan.
Apakah yang anda makan di sana
sehingga boleh keracunan makanan?
Saya banyak makan bakso di Surabaya. Mungkin itu adalah puncanya.
Bagaimanakah tahap kesihatan anda sekarang?
Masih rasa penat dan lemah. Badan saya juga kurang air. Sebab banyak kali muntah dan cirit-birit. Patutnya kena tahan wad tetapi saya tidak mahu.
ZIZAN mengakui janggal melakonkan babak romantik dalam filem KL Zombi.


Adakah ini pengalaman
teruk yang pernah anda alami akibat keracunan makanan?
Saya memang ada penyakit gastrik, malah suara juga serak. Tiba- tiba kena keracunan makanan pula. Bertambah-tambah lagi sakit. Memang sedikit hampa dengan tahap kesihatan yang saya alami sekarang. Namun, saya anggap ia adalah ujian daripada Allah.
Adakah perasaan hampa yang
anda alami itu akibat daripada tahap kesihatan itu ada kena-mengena
dengan tawaran sebagai pengacara Akademi Fantasia 2013? Khabarnya anda bakal menjadi pengacara Akademi
Fantasia 2013? Benarkah?
(Senyum). Saya tidak cukup hebat untuk jadi pengacara Akademi Fantasia 2013. Program itu (Akademi Fantasia) sangat besar dan pengacara-pengacara sebelum ini juga mempunyai bakat dan pengalaman yang besar dalam bidang pengacaraan. Saya sangat bersyukur jika menjadi salah seorang daripada pengacara tersebut.
Boleh ceritakan sedikit mengenai filem KL Zombi?
Filem KL Zombi ini bukan sekadar seram dan komedi tetapi turut diselitkan dengan babak romantik. Watak saya iaitu Nipis yang menaruh hati dengan Siti Saleha, ada diselitkan dengan beberapa babak romantik. Buat pertama kalinya saya berlakon watak romantik. Ada sedikit janggal kerana saya tidak biasa melakonkan babak romantik sebelum ini.
Selain KL Zombi, apakah projek yang akan anda lakukan selepas ini?
Saya akan muncul dalam filem Tokan dan KL Gangster 2 pada tahun ini. Saya juga akan muncul dalam telefilem Nama Aku Beng di samping pelakon Izara Aishah.

Antara perjuangan dan pengorbanan

Posted: 25 Aug 2013 06:38 PM PDT




RASANYA dalam industri perfileman negara, belum pernah lagi sesebuah filem tempatan terpaksa ditangguhkan tayangannya gara-gara provokasi yang ditimbulkan oleh segelintir pihak.
Ternyata filem terbitan Pesona Pictures dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mencipta sejarah tersendiri apabila tayangannya di pawagam tertangguh selama setahun.
Semuanya berlaku apabila ada segelintir pihak yang mendakwa bahawa filem arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba itu boleh mencetuskan ketegangan kaum apabila memaparkan kisah mengenai peristiwa 13 Mei 1969.
Bagi empat orang pelakon utamanya iaitu Rusdi Ramli, Zizan Nin, Faezah Elai dan Linda Hashim, mereka berpendapat orang ramai perlu menonton terlebih dahulu sebelum membuat sebarang penilaian.
Rusdi yang memainkan peranan utama sebagai Tun Abdul Razak berkata, sepatutnya tiada sebarang isu yang perlu dibangkitkan kerana Tanda Putera lebih memaparkan tentang sejarah tokoh terulung negara.
"Secara jujurnya saya pernah terfikir yang filem ini langsung tidak akan ditayangkan setelah timbulnya bermacam-macam isu. Ketika itu saya cuma reda sahaja dan anggap tiada rezeki buat kami.
"Sekiranya perkara tersebut terjadi, saya rasa ia merupakan satu kerugian yang sangat besar kerana seluruh tenaga produksi sudah berusaha bersungguh-sungguh dan mencurahkan segala keringat untuk filem ini," ujarnya dalam sesi fotografi bersama Kosmo! baru-baru ini.
Apabila ditanya mengenai pandangannya terhadap babak tentang rusuhan kaum yang pernah melanda negara dahulu, Rusdi menyatakan ia bukanlah satu kesalahan kalau ia memberi pengajaran kepada generasi sekarang agar perkara itu tidak berulang lagi.
Jelasnya, segala yang digambarkan dalam filem berkenaan merupakan kejadian sebenar yang pernah berlaku, tetapi ia perlu dilihat dari perspektif yang lain.
"Ia sewajarnya dipaparkan kerana ramai yang tidak tahu peristiwa hitam itu merupakan antara punca utama Tun Abdul Razak meminta Tun Dr. Ismail menyertai semula Kabinet, sekali gus dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia.
"Semua perkara tersebut adalah fakta sejarah dan tiada mana-mana pihak yang boleh mempertikaikannya. Lagipun, apa yang dipaparkan cuma di peringkat permulaan filem ini sahaja," jelasnya.
Menurut anak kepada pelakon Norlia Ghani itu, dia menyarankan supaya penonton yang menonton filem berkenaan lebih menghayati kisah terhadap perjuangan dan pengorbanan Tun Abdul Razak dan Tun Dr. Ismail ketika mentadbir negara.
"Mentadbir negara dalam keadaan yang masih lagi tidak aman sepenuhnya bukanlah satu tugas yang kecil. Dalam masa yang sama Tun Razak menghidap leukimia manakala Tun Dr. Ismail ada penyakit jantung tetapi kedua-duanya merahsiakannya daripada pengetahuan ramai.
"Seharusnya apa yang dilalui kedua-dua ini perlu dijadikan iktibar dan contoh kepada semua rakyat Malaysia. Perjuangan dan pengorbanan mereka begitu bermakna dan tidak harus dilupakan," jelasnya.
MELAKONKAN watak sebagai Tun Abdul Razak merupakan cabaran besar buat Rusdi sepanjang bergelar seorang pelakon.


Bahan rujukan
Seorang lagi pelakon iaitu Zizan Nin yang memegang watak sebagai Tun Dr. Ismail pula melihat Tanda Putera bukan sekadar sebuah filem sejarah atau sebagai bentuk hiburan semata-mata.
Ujarnya, filem berkenaan sebenarnya boleh dijadikan rujukan untuk masa hadapan sekiranya ada mana-mana pihak yang berminat untuk membuat sebarang kajian tentang tokoh di negara ini.
"Tidak dapat disangkal bahawa industri perfileman tempatan agak kurang menerbitkan filem berbentuk sejarah dan patriotik, sedangkan ia agak penting untuk dihayati oleh masyarakat.
"Selepas ini saya meletakkan harapan yang sangat tinggi supaya lebih banyak lagi filem-filem sebegini dapat dihasilkan dan diterbitkan oleh pada masa akan datang," ujarnya.
Selain itu, Zizan menyatakan, dia sentiasa membuat susulan kepada pihak penerbit tentang tarikh tayangan sebenar dan mengakui agak ralat sekiranya tidak jadi ditayangkan.
"Sebelum ini filem pertama saya iaitu Cinta Terakhir tidak jadi ditayang- kan kerana masalah di pihak penerbit. Jadi, saya takut kejadian sama akan berulang untuk filem Tanda Putera pula.
"Sehinggakan saya pernah terfikir mungkin agak kurang bernasib baik dalam filem. Akhirnya apabila menteri mengumumkan tentang tarikh tayangan filem ini pada 3 Jun lalu, saya berasa cukup lega," jelasnya.
Dapat pujian
Tidak dinafikan bahawa golongan wanita merupakan tunjang utama terhadap kejayaan seseorang lelaki. Itulah peranan utama yang dimainkan oleh isteri kepada Tun Abdul Razak iaitu Tun Rahah serta Toh Puan Norasyikin atau Neno yang merupakan isteri Tun Dr. Ismail.
Pelakon Faezah Elai yang membawakan watak Tun Rahah dalam filem Tanda Putera berkata, dia sendiri tidak menyangka dapat memegang watak seorang isteri kepada tokoh ternama.
"Tanggungjawab yang diberikan sangat besar dan saya cukup risau kalau melakukan sebarang kesilapan. Namun begitu, Shuhaimi banyak membantu saya dalam mengenali karakter Tun Rahah secara lebih dekat.
"Sepanjang mendalami watak tersebut saya begitu mengagumi karakter Tun Rahah, terutamanya gambaran yang diberikan terhadap perasaan yang dilalui semasa kehilangan suami tercinta. Ternyata beliau seorang wanita yang sangat kuat, tabah dan cekal," jelasnya.
Ketika ditanya tentang pengalaman manis sepanjang memegang watak tersebut, perkara yang paling tidak dapat dilupainya apabila dia mendapat pujian daripada isteri Perdana Menteri iaitu Datin Seri Rosmah Mansor.
"Semasa tayangan filem ini dibuat khas untuk tontonan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Rosmah telah memberikan pujian dan memberitahu, karakter yang saya bawakan memang tidak lari jauh seperti Tun Rahah," jelasnya.
FAEZAH terharu apabila ditawarkan watak sebagai Tun Rahah.


Sementara itu, Linda Hashim selaku Toh Puan Norasyikin pula memberitahu, dia tidak mempunyai banyak sumber untuk mendalami watak yang diberikan dan terpaksa bergantung kepada penceritaan yang disampaikan oleh Shuhaimi.
Bagaimanapun jelas Linda, berpeluang untuk membawa suatu watak yang penting merupakan suatu penghargaan buat dirinya sepanjang terbabit dalam dunia lakonan.
"Apabila mengenali lebih dekat tentang diri Neno yang sebenar, saya akui cukup kagum dengan beliau. Walaupun Neno tahu suaminya mempunyai sakit jantung tetapi dia tetap memberi sepenuh sokongan ketika Tun Dr. Ismail menjadi Timbalan Perdana Menteri.
"Mungkin penonton yang melihat filem ini akan menyangka Neno seperti tidak membenarkan suaminya memikul tangungjawab besar tetapi dia sebenarnya berharap supaya suaminya berterus terang kepada Tun Abdul Razak tentang penyakit yang dihidapinya itu," jelasnya.
Menurut Linda, semasa filem ini ditayangkan kali pertama pada tahun lalu, dia berkesempatan bertemu dengan Mohamed Tawfik iaitu anak Tun Dr. Ismail.
Ujarnya, Tawfik lebih banyak memberi komen tentang lakonannya berbanding karakter yang dibawakannya itu.
"Kalau boleh semua kontroversi yang pernah timbul dapat dilupakan oleh semua pihak. Tontonlah filem ini terlebih dahulu dan selepas itu masing-masing ada hak untuk membuat penilaian," tegasnya.

Penumpang AirAsia kecewa

Posted: 25 Aug 2013 06:31 PM PDT


PARA penumpang pesawat AirAsia tiba di LCCT Sepang selepas mengalami kelewatan selama lima jam semalam.


SEPANG – Beberapa pesawat AirAsia yang sepatutnya mendarat di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di sini semalam terpaksa dilencongkan ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang ekoran kesesakan trafik udara di LCCT.
Ekoran itu, para penumpang penerbangan itu melahirkan rasa kecewa dan tidak puas hati apabila penerbangan mereka tiba lewat daripada jadual.
Satu daripada penerbangan terlibat ialah dari Perth, Australia yang lewat lebih lima jam.
Penerbangan itu yang berlepas pukul 6.20 pagi dari Perth sepatutnya tiba pukul 12 tengah hari tetapi hanya dapat mendarat di LCCT pada pukul 5 petang selepas dilencongkan ke Subang.

Pelajar duduki peperiksaan di Malaysia

Posted: 25 Aug 2013 06:30 PM PDT



IDRIS (dua dari kiri) mengadakan mesyuarat dengan Kementerian Pengajian Tinggi Mesir di Kaherah semalam.


KUALA LUMPUR - Kementerian Pengajian Tinggi Mesir bersetuju membenarkan pelajar Malaysia yang pulang dari negara itu untuk menduduki peperiksaan ulangan di tanah air.
Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh dalam kenyataannya menerusi laman Facebook beliau semalam memberitahu, peperiksaan ulangan itu akan diadakan pada 3, 4 dan 5 September ini.
Idris berkata, Kementerian Pengajian Tinggi Mesir juga bersetuju memberi kelonggaran kepada pelajar Malaysia mendaftar lewat satu semester jika keadaan di Mesir masih belum stabil.

30 orang cedera dilanda bena

Posted: 25 Aug 2013 06:28 PM PDT



FENOMENA bena di Sungai Qiantang dipercayai didorong Taufan Trami yang melanda tenggara China baru-baru ini.


HAINING - Lebih 30 orang cedera dilanda ombak sungai atau bena yang melimpahi tebing Sungai Qiantang di sini, dalam Wilayah Zhejiang di tenggara China baru-baru ini.
Fenomena itu dipercayai berlaku akibat momentum daripada taufan Trami yang melanda bahagian tenggara China pada minggu lalu.
Sungai tersebut mengalir melalui bandar raya ini.
Hujan lebat dan angin kuat menyebabkan Sungai Qiantang kelihatan seperti laut bergelora.
Ketika kejadian, beratus-ratus orang tersungkur dilanda ombak sungai tersebut yang melimpah melepasi tembok yang dibina di sepanjang sungai itu.
Ombak berkenaan turut melimpah ke kawasan berhampiran dan menghanyutkan sejumlah kenderaan selain membanjiri sebuah loji rawatan air.
Cuaca buruk itu menyebabkan Sungai Qiantang yang sebelum ini melepasi paras bahaya 6.6 meter telah meningkat sebanyak 1.3 meter.

Bunraku papar kisah dongeng Jepun

Posted: 25 Aug 2013 06:26 PM PDT




PUTERI Yaegaki menari riang di sekitar taman sambil memikirkan tunangnya, Takeda Katsuyori. Namun, liuk-lentuknya mula berubah setelah memakai mahkota. Wataknya berubah menjadi agresif apabila empat ekor rubah menyentuh mahkota kesayangannya yang disimpan di sebuah tempat di taman itu.
Skrip yang dibaca oleh pencerita (tayu) semakin lantang dan pantas ketika Puteri Yaegaki berada berhampiran tasik untuk melihat bayangan wajahnya di permukaan air. Situasi bertambah cemas apabila wajah puteri bertukar menjadi seekor rubah pada bayangan permukaan air tasik itu.
Tiga orang pemain gitar tiga tali (shamisen) pula memainkan alunan yang cemas ketika tuan puteri sedang bersedih kerana tidak dapat menerima bayangan wajah yang menakutkan dirinya sendiri.
Di sebalik watak puteri itu, kelihatan seorang lelaki tua dibantu oleh dua orang yang memakai pakaian serba hitam (ashizukai) tenang dalam mengendalikan boneka watak tuan puteri itu. Mereka seolah-olah dipukau oleh pencerita.
Pergerakan boneka
Kisah tersebut merupakan antara babak yang dipaparkan dalam persembahan teater tradisional masyarakat Jepun iaitu Bunraku di ibu negara baru-baru ini. Delegasi dari Osaka, Jepun iaitu Bunraku Minosuke-Kai merupakan antara syarikat yang bertanggungjawab membawa teater yang dianjurkan oleh Kelab Jepun Kuala Lumpur, Kedutaan Jepun di Malaysia, Yayasan Jepun dan Pusat Seni Persembahan Kuala Lumpur (KLPac).
"Ini merupakan pengalaman pertama saya bersama keluarga menonton teater Bunraku. Saya amat tertarik dengan pergerakan boneka dalam setiap persembahan Bunraku. Ia seoalah-olah hidup dan menjiwai setiap bait perkataan yang disampaikan oleh pencerita," ujar salah salah seorang penonton Haslinda Abd. Halim, 34, ketika ditemui Kosmo! sejurus selepas menonton persembahan teater Bunraku di KLPac baru-baru ini.
Menurut ibu kepada empat orang cahaya mata ini, keluarganya meminati seni teater lebih-lebih lagi teater yang menggunakan patung dan boneka sebagai peralatan utama dalam persembahan.

BONEKA dalam persembahan Bunraku diukir menggunakan batu, tanah liat dan kayu oleh pakar di Osaka, Jepun.


"Saya pasti akan membawa anak-anak menonton teater dari luar negara di Malaysia. Menerusi persembahan Bunraku ini, ia sekali gus memberi idea mengenai corak kostum boneka dari Jepun kepada anak-anak saya yang terlibat dalam seni persembahan boneka tangan di sekolah mereka," ujarnya.
Dalam hierarki pementasan teater Bunraku, pengendali boneka merupakan individu yang paling dihormati dan terpenting dalam kumpulan teater itu. Kanjuro Kiritake III merupakan satu-satunya pengendali boneka dalam syarikat Bunraku Minosuke-Kai.
Minat Kanjuro Kiritake III terhadap boneka dalam persembahan boneka tradisional Jepun yang dikenali sebagai Bunraku bermula sejak Mei 1965. Ketika itu, dia masih menuntut di tahun dua sekolah menengah dan sering mengikut dan membantu ayahnya, Kanjuro Kiritake II, mengadakan persembahan di Osaka, Jepun.
Seperti kanak-kanak lain, sifat ingin tahu yang membara menyebabkan dia terus menggali seni persembahan tersebut. Setiap gerak-geri ayahnya yang mengawal pergerakan kepala, mata, kening dan mulut boneka dengan sempurna menawan hatinya untuk mendekati seni kuno itu.
Menyedari minat Kanjuro, bapanya telah menghantar beliau menuntut ilmu dengan seorang guru Bunraku yang disegani di Osaka iaitu Minosuke Yoshida III.
Kini, pada usia 60 tahun, Kanjuro telah menjadi seorang pengendali boneka yang terkenal di Osaka. Malah, beliau juga merupakan salah seorang tenaga pengajar di sebuah akademi Bunraku di bandar tersebut.
Bermula sejak Zaman Edo iaitu kira-kira 400 tahun lalu, Bunraku merupakan salah satu seni persembahan warisan Jepun yang setaraf dengan Nohgaku dan Kabuki.
Teknik penceritaan
Seni persembahan yang berasal dari Osaka itu menggabungkan teknik penceritaan dengan iringan muzik dan persembahan drama boneka.
Pementasan Bunraku mempunyai 125 kisah berbeza pada Zaman Edo. Setiap kisah dibawa oleh watak-watak berbeza mengikut jalan cerita yang tertulis dalam buku yang diturunkan daripada satu generasi ke generasi lain.
Dua watak utama dibawa oleh dua pengendali boneka utama dalam satu-satu pementasan dan dibantu oleh pengendali boneka berpakaian serba hitam (ashizukai).
Pengendali boneka dalam Bunraku memerlukan masa yang panjang untuk mahir sepenuhnya.
"Sebuah boneka dalam sesuatu persembahan dikendalikan oleh tiga individu. Sebagai ketua, saya mengawal pergerakan kepala dan tangan kanan boneka, manakala bahagian tangan dan kaki kiri pula dikawal oleh dua pembantu.
"Saya mengambil masa selama 15 tahun untuk mahir. Bagaimanpun, untuk mahir dalam segenap aspek persembahan Bunraku seperti menyelaraskan boneka dengan muzik dan pencerita, ia mengambil masa selama tiga dekad," kata Kanjuro yang menghabiskan lebih daripada separuh umur untuk mendalami Bunraku. Beliau ditemui pada sidang akhbar persembahan sulung Bunraku di Asia Tenggara yang bertempat di KLPac baru-baru ini.

KEMAJUAN ekonomi di Osaka tidak menjejaskan pembangunan seni tradisional di Jepun.


Kisah dongeng
Persembahan Bunraku bukan sekadar menggerakkan satu watak boneka, tetapi setiap gerak-geri, kelopak mata boneka itu mampu menghidupkan cerita.
Menonton Bunraku ibarat menonton persembahan wayang kulit di negeri Kelantan. Ia sarat dengan elemen-elemen tradisional dan kisah-kisah dongeng masyarakat Jepun dahulu kala.
Ia merupakan salah satu hiburan kebanyakan masyarakat setempat di Osaka sekitar tahun 1950-an hingga 1970-an. Osaka merupakan merupakan bandar ketiga terbesar di Jepun selepas Tokyo dan Yokohama. Bandar yang terkenal sebagai destinasi pelancongan di negara itu mempunyai kepadatan penduduk berjumlah 2.5 juta.
Namun, Bunraku kurang digemari dalam kalangan orang muda. Bunraku dipersembahkan di Teater Bunraku Kebangsaan Osaka sepanjang tahun. Rata-rata penonton setia terdiri daripada wanita pertengahan usia. Persembahan bermula pada sebelah petang hingga waktu malam.
"Golongan lelaki lebih gemar menonton pada cuti hujung minggu," jelas Kunjaro bahawa bahasa yang digunakan dalam pementasan Bunraku menggunakan bahasa Jepun kuno semasa Zaman Edo.
Bagaimanapun, bahasa yang kurang difahami oleh masyarakat di Jepun itu menyebabkan Bunraku kurang diminati oleh golongan muda Jepun. Sehubungan itu, sari kata digital disediakan pada setiap persembahan.
Dalam usahanya mengangkat seni tradisi tersebut, beliau dan pasukan pementasannya menghabiskan sebanyak 136 hari setahun untuk melawat seluruh tempat di Jepun bagi mengadakan pementasan Bunraku.
Ia merupakan salah satu cara mereka menghidupkan seni tradisi ini. Sekurang-kurangnya 20 buah bandar di Jepun berjaya mereka jejaki setiap tahun. Mereka turut mengadakan persembahan selama dua minggu di setiap bandar.
"Pada bulan Jun dan Disember pula, kami mengadakan persembahan di sekolah-sekolah sekitar Osaka dan Tokyo bagi memupuk minat kanak-kanak agar terus menghargai seni tradisi ini," jelasnya. Keseluruhan daripada kehidupan Kanjuro dihabiskan untuk mendalami ilmu-ilmu yang terkandung dalam pementasan Bunraku.

PERANAN Takemoto Tsukomadayu (kiri) sebagai pencerita (tayu) dan pemain alat muzik shamisen, Tsuruzawa Enza merupakan tulang belakang dalam setiap persembahan Bunraku.


Antara cabaran terbesar pementasan ini ialah penghayatan watak. Setiap karakter boneka memerlukan saya sentiasa fokus untuk menghidupkan boneka-boneka tersebut.
"Saya kini berusia 60 tahun dan adakalanya perlu mengendalikan boneka seorang puteri. Usia pada setiap boneka tidak berubah seperti usia saya. Keserasian itu harus diwujudkan dan diserlahkan dalam setiap pementasan," katanya.
Tambah beliau, pengendali boneka perlu mengetahui cara untuk mempelbagaikan emosi dan watak dalam setiap watak agar terus menambat perhatian penonton.
Sementara itu, pencerita (tayu) dan pemain alat muzik seperti gitar yang mempunyai tiga tali iaitu shamisen merupakan dua tulang belakang dalam setiap pementasan Bunraku.
Menurut Takemoto Tsukomadayu, selaku pencerita yang bersama Kanjuro dalam setiap pementasan memberitahu, skrip yang dibacanya itu merupakan teks asal dan berusia lebih 300 tahun.
"Sebagai pencerita, saya cuba menyampaikan setiap kisah mengikut gaya lama di samping menyelitkan elemen-elemen kontemporari dengan kehidupan masyarakat masa kini," ujarnya yang berpengalaman selama 43 tahun dalam teknik penceritaan pementasan Bunraku.

Tanaman padi mengganti gandum

Posted: 25 Aug 2013 06:25 PM PDT



JENTERA membajak tanah digunakan oleh para petani untuk menanam padi di bawah Skim Gezira di Sudan.


ANAK padi yang baru ditanam menjulur keluar dari tanah kering Sudan. Ia kelihatan kecil seperti bilah-bilah rumput, namun tanaman tersebut melambangkan impian negara itu untuk menjadi salah satu skim pertanian pengairan yang terbesar di dunia.
Bakri Elamin Awad al-Karim memiliki sebuah plot kecil di rantau Gezira yang luas terbentang di antara Sungai Nil Biru dan Putih di selatan Khartoum.
Bantuan dari Jepun telah membantu mengubah petani di Sudan mencatat pengeluaran hasil yang lebih baik dan pendapatan tinggi ekonomi pertanian yang berskala besar.
Pada zaman kegemilangannya pada sekitar tahun 1920-an, ketika Sudan berada di bawah pemerintahan kolonial British dan Mesir, Skim Gezira telah disebut-sebut sebagai model pembangunan Afrika.
Di bawah skim tersebut, tarikan graviti digunakan mengalirkan air paip dari Sungai Nil Biru untuk mengairi ratusan hektar tanaman pokok kapas.
Tetapi kekurangan pelaburan dan penswastaan sedikit demi sedikit telah membawa kepada kerosakan infrastruktur, terusan dan benteng. Analisis mengatakan, kebanyakan ladang di rantau itu bergantung kepada ketiga-tiga perkara tersebut dan ini seterusnya menyebabkan ekonomi negara itu merudum.
Potensi
Tidak seperti bahagian lain di benua Afrika atau Asia, padi masih menjadi tanaman yang agak janggal di Sudan.
Sebaliknya, sekoi merupakan bijirin ruji negara itu bersama dengan kekacang dan gandum. Kapas juga masih ditanam di sana.
"Lebih ramai petani perlu menanam padi kerana ia mampu memberikan mereka hasil tanaman yang baik," ujar Karim melalui seorang penterjemah.
Tanah milik Bakri juga digunakan sebagai ladang demonstrasi untuk tanaman padi yang dianggap Menteri Pertanian Gezira, Abdullah Mohammed Osman, sebagai satu tanaman yang berpotensi.
"Sistem tanaman tradisional di dalam skim pengairan besar tidak berbaloi dari segi ekonomi. Ini kerana produktiviti tanaman itu tidak terlalu tinggi.
PADI Sudan memberi harapan kepada para petani meraih pendapatan yang lebih tinggi.


Begitu juga dengan pendapatan petani," kata menteri yang pernah mengkaji pengeluaran buah-buahan di Mesir.
Jelasnya, padi akan meningkatkan hasil tanaman dan pendapatan petani, di samping menyediakan sumber mata wang asing kepada Sudan dan menyumbang kepada keselamatan makanan kebangsaan.
Pengeluaran
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ironinya, Sudan tidak mampu memberi makan kepada kira-kira 31 juta rakyatnya. Lebih 12 peratus daripada mereka dijangka memerlukan bantuan makanan tahun ini.
Abdullah berkata, hasil pengeluaran padi secara purata mencatat kira-kira 1.3 tan bagi setiap 0.4 hektar tanah iaitu hampir dua kali ganda daripada pengeluaran gandum. Ia juga mencatat kira-kira 50 peratus lebih tinggi daripada hasil sekoi.
"Tahun lalu, pendapatan bersih untuk setiap petani padi mencecah kira-kira 3,600 pound Sudan (RM2,686) bagi setiap 0.4 hektar berbanding 1,400 pound Sudan (RM1,044) untuk tanaman lain," jelas menteri itu lagi.
Tambahnya, memiliki bekalan benih mampan, racun herba, teknologi nyahsekam dan pakej bijirin yang bersih merupakan kunci untuk memperluaskan pengeluaran tanaman padi ini.
"Kini kita boleh menghasilkan beras tanpa sebarang masalah. Untuk proses ini dan memenuhi keperluan pasaran antarabangsa adalah satu cabaran awal buat kami.
"Malah, sekiranya kami dapat menggantikan 50,000 tan beras yang diimport Sudan setiap tahun dengan kos 15 juta pound Sudan (RM16 juta) pasti akan menjadi satu permulaan yang baik," ungkapnya.
Bagaimanapun, masih terlalu jauh untuk Sudan menjadikan padi sebagai tanaman masa depan dan sumber berpotensi untuk dieksport.
Skim Gezira yang disokong Jepun bermula pada tahun 2010 dan diperluaskan kepada hampir 190 hektar tanah pada tahun lalu.
Berbanding dengan jumlah keseluruhan saiz ladang dalam skim ini iaitu kira-kira 840,000 hektar, ia diibaratkan seperti sebutir beras dalam ladang yang besar.

SALIRAN air yang digunakan bagi mengairi kawasan-kawasan sawah padi.


Kemudahan
"Sudah tentu, kita tidak boleh menangani segala-galanya dalam satu masa," Ketua Penasihat dari Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA), Osamu Nakagaki.
JICA telah menyediakan benih, penanaman dan peralatan pengilangan serta memberi latihan di luar negara kepada lebih 70 jurutera pertanian dari Sudan.
Kesemua jurutera tersebut telah menyampaikan pengetahuan mereka kepada lebih 200 petani daripada kira-kira 116,000 orang yang bekerja di dalam Skim Gezira dan kawasan pengairan kecil berhampiran.
Pengeluaran kapas, gandum dan sekoi merosot pada tahap paling rendah dan ramai petani berhijrah dari Gezira untuk mencari peluang kerja yang lebih baik. Laporan yang dikeluarkan oleh Tabung Kanak-Kanak PBB tahun lalu membayangkan terdapat kekurangan terhadap penyelenggaraan terusan.
Wartawan veteran, Mahjoub Mohamed Salih pernah menulis satu artikel Jun lalu berkaitan penswastaan membawa kepada keruntuhaninfrastruktur lain di bawah skim ini.
Walaupun demikian, Abdullah berkata, kerajaan memberi peluang kepada petani untuk memilih sendiri tanaman apa yang ingin ditanam.
"Para petani perlu mempunyai pendirian masing-masing. Terpulang sama ada mereka mahu mencuba tanaman padi ini atau tidak," tegasnya.

Herba dan sayuran tingkat imuniti badan

Posted: 25 Aug 2013 06:23 PM PDT


SEJAK zaman dahulu penggunaan herba diterapkan dalam pemakanan dan perubatan.


SEJAK 6,000 tahun lalu, manusia menggunakan tumbuhan herba, daun hijau, buah-buahan mentah, akar dan kulit kayu untuk hidup sihat dan mengubati penyakit.
Nenek-moyang kita menjadikan amalan 'makanan sebagai ubat dan ubat sebagai makanan' dalam kehidupan seharian.
Seorang tabib perubatan India atau Siddha tempatan, Dr. M.S. Chelliah berkata, pada zaman awal, manusia sering menggunakan herba seperti halia, kunyit dan lada yang mempunyai nilai perubatan dalam penyediaan makanan mereka.
"Contohnya, kunyit boleh mencairkan kahak, manakala lada mampu melegakan sakit kerongkong dan jintan putih mengurangkan kepanasan perut. Sayuran daun hijau pula dapat mengurangkan pitam dan panas badan," katanya kepada Bernama.
Dr. Chelliah berkata, gaya pemakanan dan penyediaan makanan menggunakan herba, buah-buahan, sayur-sayuran dan ulam-ulaman boleh meningkatkan ketahanan tubuh badan manusia.
"Perlu diingatkan bahawa bahan makanan semulajadi yang dijadikan ubat secara tradisional selamat digunakan dan lebih berkualiti.
"Walaupun penggunaan tumbuhan herba ini agak lambat menampakkan kesan, namun ia memberi manfaat jangka panjang berbanding ubat-ubatan moden yang tidak menjamin kesihatan berterusan," ujarnya.
Ubatan moden
"Pengambilan ubat-ubatan moden mampu menghilangkan kesakitan dengan cepat, namun penyakit itu akan kembali. Berbeza dengan perubatan tradisional yang menghindar kesakitan semula," kata Dr. Chelliah yang melancarkan buku perubatan herba dalam bahasa Tamil di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menurut beliau, perubatan tradisional berasaskan herba kurang mendapat sambutan di negara ini memandangkan kurang pengetahuan mengenai faedah tumbuhan tersebut terhadap kesihatan manusia.
"Dengan adanya ubat-ubatan moden di pasaran masa kini, orang ramai sudah tidak ingat dan mahu mengamalkan pengambilan ubat-ubatan tradisional ini," katanya.

DR. CHELLIAH (kanan) bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri S. Subramaniam membelek buku perubatan herba pertama di Malaysia dalam bahasa Tamil pada majlis pelancarannya di Kuala Lumpur baru-baru ini.


Sehubungan itu lelaki yang berpengalaman selama 15 tahun dalam perubatan Siddha ini menggesa agar pengamal perubatan tradisional memberi penerangan terperinci berhubung manfaat pemakanan sayuran hijau dan herba kepada masyarakat.
Ini bertujuan meningkatkan pengetahuan umum mengenai kepelbagaian manfaat kesihatan melalui pengambian makan-makanan semulajadi tertentu ini.
Keberkesanan
Ditanya mengenai keadaan herba tempatan, beliau berkata, herba di negara ini kurang berkesan jika dibandingkan dengan herba-herba dari India dan Indonesia.
"Terdapat pelbagai jenis tumbuhan herba di Malaysia tetapi ia mempunyai kandungan air yang lebih tinggi berikutan keadaan tanah yang tidak elok. Ini memberi kesan terhadap kemujaraban herba itu sendiri," jelasnya.
Oleh itu, Dr. Chelliah meminta kerajaan supaya melaksanakan inisiatif memperbanyakan tanaman organik di lokasi-lokasi strategik seluruh negara agar sumber herba tempatan dapat dipelihara, sekaligus membangunkan industri herba negara.
"Sungguhpun pada masa ini kerajaan sememangnya banyak memberi perhatian terhadap industri herba dengan penyediaan pelbagai insentif, namun jika boleh, saya ingin mencadangkan satu lokasi sesuai bagi penanaman herba organik yang mampu memberi manfaat besar pada tahap kesihatan rakyat," cadangnya.
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah mengenalpasti industri herba sebagai sumber pertumbuhan ekonomi negara.
Inisiatif itu adalah salah satu daripada projek permulaan (EPP) di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Pertanian dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP).

UniMAP raih empat emas di Korea

Posted: 25 Aug 2013 06:22 PM PDT



PENYELIDIK muda UniMAP memakai pingat emas dan memegang sijil penghargaan selepas meraih kejayaan cemerlang di IYIC 2013 yang berlangsung di Seoul baru-baru ini.


PENGORBANAN tidak menyambut Aidilfitri bersama keluarga di Malaysia berbaloi apabila delegasi penyelidik Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang menyertai Pertandingan Reka Cipta Belia (IYIC 2013) di Seoul, Korea Selatan, meraih kejayaan gemilang.
Pasukan ini mencatat kemenangan 100 peratus dengan membawa pulang empat pingat emas dan dua pingat perak menerusi enam produknya yang dipertandingkan.
Naib Canselor UniMAP, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Hussin berkata, kejayaan itu pastinya sangat bermakna buat penyelidik muda UniMAP yang terpaksa menghabiskan minggu terakhir Ramadan sekali gus menyambut Syawal di perantauan apabila turut membawa pulang lima anugerah khas.
Ujar beliau, keenam-enam produk UniMAP itu perlu melepasi pusingan awal terlebih dahulu membabitkan 1,000 produk penyelidikan sebelum penganjur memilih hanya 103 produk terbaik untuk diberikan pingat dan penghargaan khas.
"Alhamdulillah, kesemua produk yang dihantar ke IYIC 2013 berjaya ke pusingan akhir dan menghasilkan pingat buat delegasi UniMAP. Syabas!," ujarnya yang dipetik dari laman rasmi Facebook beliau.
IYIC 2013 yang berlangsung dari 6 hingga 9 Ogos lalu disertai oleh 10 buah negara melalui 1,000 produk penyelidikan. Dalam pertandingan tersebut, delegasi penyelidik muda dari Taiwan mengungguli tangga teratas pungutan pingat dengan lapan pingat emas dan lima pingat perak.
Pingat emas UniMAP disumbangkan oleh Zarina Yahya menerusi produknya Komposit geopolimer abu terbang minyak sawit: Pendekatan teknologi baharu menggunakan proses pempolimerangeo untuk perisaian X-Ray, yang turut meraih Anugerah Khas Persatuan Hak Milik Intelektual Antarabangsa (WIIPA).
Turut meraih anugerah khas WIIPA dan pingat emas kedua UniMAP ialah Alida Abdullah menerusi produk Abu Terbang berasaskan pempolimerangeo sebagai agregat buatan ringan menggunakan suhu rendah. Produk tersebut turut meraih anugerah khas Persatuan Reka Cipta Universiti Korea.
Membanggakan
Dua lagi pingat emas UniMAP disumbangkan oleh Chua Ee Lun dan Yew Long Tat yang mana kedua-dua produk itu turut meraih anugerah khas Persatuan Pereka dan Saintis Muda Indonesia. Sementara itu, pingat perak UniMAP telah disumbangkan Anis Nadhirah Ismail dan Yee Len Fong.
Prof. Dr. Kamarudin berkata, dalam pertandingan yang berlangsung di Kompleks Digital Guro, Seoul itu, delegasi penyelidik muda UniMAP yang menghantar tujuh penyertaan keseluruhannya turut meraih satu pingat perak.
"Malaysia menghantar 16 penyertaan keseluruhannya menerusi sekolah dan institusi-institusi pengajian tinggi awam dengan kerjasama Kelab Penyelidik Muda ENVEX seperti Universiti Malaysia Pahang, selain sekolah angkat UniMAP iaitu Sekolah Menengah Kebangsaaan Dato Sheikh Ahmad dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sena.
"Lebih membanggakan apabila penyertaan pelajar tahun enam di SK Sena turut meraih pingat emas menerusi produknya, BreadFriend," ujar beliau.
Menurut Kamarudin, turut mewakili Malaysia ialah peserta Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Rawang, Sekolah Menengah Sains (SMS) Selangor, SMS Tapah, Sekolah Seri Puteri dan Sekolah Menengah Agama Imtiaz Terengganu.
"Daripada 16 penyertaan ini, penyelidik Malaysia berjaya membawa pulang 11 pingat emas dan lima perak. Saya amat berharap pasukan penyelidik muda ini akan meneruskan kecemerlangan pada masa akan datang, sekali gus membawa lebih banyak kejayaan kepada Malaysia dan UniMAP," katanya.

Pertandingan pidato Sekolah Kluster

Posted: 25 Aug 2013 06:21 PM PDT



PENYERTAAN peserta-peserta pertandingan pidato dari 10 buah sekolah kluster seluruh Malaysia berupaya memantapkan penguasaan bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar.


DEMI melahirkan pelajar yang berkeyakinan diri, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Damansara Utama, Petaling Jaya, Selangor dengan kerjasama Pusat Jaringan Masyarakat dan Industri Universiti Malaya (Citra) telah menganjurkan satu Pertandingan Pidato Bahasa Malaysia Dan Bahasa Inggeris Sekolah-Sekolah Kluster Peringkat Kebangsaan.
Objektif pertandingan ini diadakan adalah untuk menyediakan peluang kepada pelajar dalam melahirkan idea yang bernas melalui pemikiran yang kritis dan analitis.
Pertandingan ini juga bertujuan untuk memantapkan penguasaan bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar, sekali gus untuk melahirkan modal insan kelas pertama.
Program ini telah diadakan di Dewan Gemilang Kolej Kediaman Kedua Belas, Universiti Malaya bagi pidato bahasa Malaysia dan di Dewan Kuliah Satu Ambang Asuhan Jepun, Universiti Malaya bagi pidato bahasa Inggeris.
Terbahagi kepada dua pusingan, pertandingan ini memerlukan pelajar menyampaikan pidato berdasarkan tema Belia Cemerlang Negara Terbilang bagi bahasa Malaysia dan Isu Sosial bagi bahasa Inggeris. Bagi pusingan kedua pula, para peserta perlu berpidato secara spontan berdasarkan tema-tema tertentu yang diberikan oleh hakim.
Pengetua SMK Damansara Utama, Zulaika A. Rahman berkata, pihaknya berharap agar para peserta mendapat manfaat daripada penganjuran program itu dan akan mengaplikasikan kemahiran yang diperoleh dalam pembelajaran akademik masing-masing.
Sebanyak 10 buah sekolah di seluruh Malaysia telah mengambil bahagian dalam pertandingan ini. Sekolah-sekolah tersebut adalah SMK Damansara Utama, Selangor; SMK Convent Taiping, Perak; Sekolah Menengah (Agama) Maahad Hamidiah, Selangor; SMK Sultan Badlishah, Kedah; SMK Bandar Putra, Johor; SM Sains Hulu Selangor, Selangor; Kolej Vokasional Teknik Sultan Hj Ahmad Shah, Pahang; SMK Kubang Bemban, Kelantan; SMK Dato Ahmad Maher, Kelantan dan SMK Dato Onn, Pulau Pinang.
Johan bagi Pertandingan Pidato Bahasa Malaysia disandang oleh Nor Farihah Jamil dari SM Sains Hulu Selangor diikuti tempat kedua, Farhah Aqilah Amar (SMA Maahad Hamidiah) dan tempat ketiga dimenangi oleh Nor Nazuin Nazaril (SMK Dato Onn).
Bagi Pertandingan Pidato Bahasa Inggeris, pelajar SMK Damansara Utama, Aaron Luke muncul juara manakala tempat kedua menjadi milik Kristal Diana Tay Sue Qin (SMK Covent Taiping) dan tempat ketiga dimenangi oleh Oon Hup Keong (SMK Dato Onn).
Perasmian penutup dan majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Pengarah Citra, Prof. Madya Dr. Stefanie Pillai.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines