Ahad, 18 Ogos 2013

LIGA BOLASEPAK MALAYSIA

LIGA BOLASEPAK MALAYSIA


‘Saya lepaskan’

Posted: 16 Aug 2013 09:15 PM PDT

Sumber: Harian Metro

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih kebangsaan Datuk K Rajagobal tiba-tiba membuat 'Pusingan U' dengan membenarkan dua pemain muda, Nik Shahrul Azim Abd Halim dari Kelantan dan Junior Eldstal (Sarawak) menyertai skuad bawah 23 tahun (B-23) bagi menghadapi Pestabola Merdeka bulan depan.

Keputusan itu dibuat selepas pengendali skuad kebangsaan itu bertemu Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin, semalam.



"Rajagobal ada menemui saya dan berbincang mengenai perkara ini dan beliau menyatakan kesediaan untuk melepaskan Nik Shahrul Azim dan Junior Eldstal menyertai skuad B-23 negara.

"FAM menerima baik keputusan Rajagobal ini dan diharap kehadiran dua pemain ini akan memperkuatkan lagi pasukan kendalian Ong Kim Swee.


"Rajagobal berkata, beliau masih mempunyai pemain lain dalam senarai menunggu untuk dipanggil," kata Hamidin.


Sebelum ini Rajagobal bertegas tidak melepaskan pemain pertahanan, Nik Shahrul dan pemain tengah, Junior menyertai skuad B-23 atas alasan ketiadaan pemain pertahanan bagi aksi persahabatan berstatus A dengan China pada 10 September ini yang bertembung dengan Pestabola Merdeka dari 7-14 September di Kuantan, Pahang.

Sebaliknya jurulatih Harimau Malaya itu hanya membenarkan Kim Swee memanggil semula Mohd Fadhli Shas dari Harimau Muda A, Wan Zack Haikal Wan Noor (Ryukyu FC), K Reuben (Tentera), Mohamad Nazmi Faiz Mansor (PKNS) dan Mohd Zubir Azmi bersama skuadnya.


Tindakan itu dikritik sesetengah pihak termasuk bekas pemain kebangsaan Khalid Ali yang menganggap ia tidak wajar memandangkan skuad B-23 harus diberi keutamaan kerana dua pemain itu tidak pernah bersama Kim Swee sebelum ini untuk diuji sebelum ke Sukan SEA di Myanmar hujung tahun ini.

Malah Nik Shahrul dan Junior sudah bersama skuad kebangsaan dalam siri jelajah di Jepun dan perlawanan menentang Barcelona, baru-baru ini dan Rajagobal juga mempunyai lebih banyak pilihan berbanding skuad B-23.


Kim Swee tidak bersama dalam perbincangan itu kerana berada di Melaka namun beliau mengaku keputusan itu sudah dimaklumkan kepadanya oleh Hamidin.


"Bagi saya ini satu keputusan yang baik kerana saya dapat mengumpul semua pemain bagi Pestabola Merdeka. Ini peluang untuk saya menilai kemampuan Nik Shahrul dan Junior yang menyertai pasukan ini buat kali pertama," katanya yang berdepan krisis pemain pertahanan tengah apabila hanya memiliki dua pemain, Fadhli dan Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris sebelum ini.


Sementara itu Kim Swee turut mengumumkan pasukannya berdepan skuad kebangsaan Bangladesh pada aksi persahabatan di Kuantan, 22 Ogos ini yang dianggap medan pemanas badan sebelum beraksi di Pestabola Merdeka.

Johor tak gentar

Posted: 16 Aug 2013 09:12 PM PDT

Sumber: Harian Metro

Johor Bahru: Johor tampak tidak gentar untuk memulakan kempen Kumpulan A saingan Piala Malaysia biarpun diundi bersama Selangor, Tentera dan Sime Darby pada aksi yang bermula Selasa ini.

Malah pengendali skuad Merah Biru Edres Selamat yang mengambil tugas daripada Azmi Mohamad yang kini membimbing Johor Darul Takzim (Johor DT), optimis peluang masih terbuka buat anak didiknya melakar kemenangan jika kekal beraksi secara berpasukan.



"Setiap perlawanan yang diharungi amat penting dan kita akan kekalkan momentum permainan yang sudah diterap Azmi kerana pemain sudah serasi dengan corak latihan itu.

"Apapun persiapan Johor terjejas selepas kehilangan Juan Muriel Orlando yang terpaksa diketepikan sepanjang kempen akibat kecederaan dan perlu berehat panjang.


"Pendekatan yang diterapkan kepada pemain lebih terarah mengekalkan konsep kekeluargaan dan tiada jurang antara mereka sebaliknya pemain menunjukkan persefahaman apabila beraksi di padang," katanya ketika ditemui selepas aksi persahabatan Johor menentang PKNS di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) yang menyaksikan skuad Merah Biru menang 2-0, kelmarin.


Dalam saingan Liga Perdana, Johor menghuni tangga ketiga selepas mengumpul 42 mata dan layak beraksi pada aksi Piala Malaysia secara automatik.

Sememangnya aksi pertama amat dinanti-nantikan Edres walaupun sedar perlu berdepan tugas rumit apabila melayan kunjungan Selangor yang memiliki reputasi selaku bekas juara Piala Malaysia yang meletakkan sasaran misi 33 pada perlawanan Kumpulan A di Pasir Gudang, Selasa ini.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines