Khamis, 8 Ogos 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Remy mengemas,Misha sedih, Fara bercuti

Posted: 06 Aug 2013 07:59 PM PDT




Remy balik kampung
SUASANA lokasi fotografi di Hotel One World, Damansara, bertukar menjadi riuh-rendah apabila tiga bintang terkenal, aktor Remy Ishak, penyanyi, Misha Omar dan penyampai radio popular, Fara Fauzana bertemu.
Misha dan Fara yang cukup akrab tidak henti-henti mengusik Remy sehingga pelakon berkulit sawo matang itu tersipu malu.
Beritahu Remy, itu kali pertama dia digandingkan bersama dua wanita popular ini dan sejujurnya dia gugup untuk berhadapan dengan mereka.
"Memang saya tidak pernah bergambar sekali dengan mereka berdua, rasa gementar pun ada tetapi saya cukup seronok kerana mereka mempunyai perangai yang gila-gila," getus Remy.
Bercerita tentang raya, saban tahun Remy pasti pulang ke kampung halaman di Masjid Tanah, Melaka. Tahun ini cuti raya selama dua minggu akan digunakan sepenuhnya untuk beraya dan berehat.
Tutur Remy atau nama sebenarnya Mohammad Zalimei Ishak, 31, suasana riuh-rendah sewaktu berkumpul dan bergotong-royong bersama sanak saudara menyiapkan juadah raya antara perkara yang dirinduinya.
"Biasanya, tugas saya adalah mengemas rumah kerana saya tidak pandai memasak. Saya juga tolong mana yang patut terutama pada malam raya yang saya rasakan kaum wanita paling sibuk.
"Kalau lewat masak, maka berjagalah kami semua sampai pagi kerana keesokan harinya, tetamu harus disambut dengan hidangan terutamanya rendang hasil tangan ibu saya," kata anak kedua daripada empat adik-beradik itu.
Bercerita tentang kenangan raya, antara kenangan yang tidak boleh dilupakan adalah ketika namanya mula-mula berada di puncak populariti pada tahun 2009 selepas drama bersiri Nur Kasih mencipta fenomena luar biasa.
"Waktu itu saya sendiri terkejut kerana rumah saya di Melaka dikunjungi oleh ramai peminat. Macam mana mereka boleh tahu rumah saya yang mana satu pun, saya tidak tahu. Ada yang datang dari jauh dan sehingga lewat malam.
"Jika boleh, saya mahu hari raya pertama diraikan bersama keluarga sahaja. Namun, saya tidak boleh menolak jika peminat datang ke rumah.
"Ibu saya akan melayani semua orang yang datang, kadangkala saya kasihan ibu keletihan tetapi biasalah orang tua, ibu tetap ingin masak semua makanan sendiri.
"Kata ibu, setahun sekali sahaja, apa salahnya meraikan peminat yang menyokong kerjaya anaknya," balasnya yang tidak pernah mengadakan rumah terbuka.

MISHA, Remy dan Fara bakal meraikan lebaran dengan penuh rasa kesyukuran dan ceria.


Menyentuh tentang kerjayanya, Remy yang baru sahaja selesai penggambaran filem CEO dan drama bersiri Ku Cinta Kau Seorang mengakui kini dia enggan bekerja terlalu keras sehingga mengabaikan kesihatan diri.
Raya bujang terakhir Misha
Seri pengantin makin terserlah pada wajah penyanyi lagu Angin Syurga itu. Senyuman juga tidak lekang dari bibir tanda dirinya cukup bahagia dengan kehidupannya kini, namun ia tidak dapat menyembunyikan debaran di hatinya.
Mana tidaknya, tahun ini merupakan tahun terakhir Misha, 31, meraikan Aidilfitri sebagai wanita solo sebelum melangkah ke alam rumah tangga bersama tunangnya, seorang juruterbang, Firos Ezzwan Rossly, 31, pada bulan Februari tahun hadapan.
"Tidaklah kata saya mahu beraya sepuasnya sebab tahun depan saya akan berkahwin. Raya sama sahaja, apa yang penting dapat berkumpul bersama keluarga," katanya.
Tambahnya, sudah menjadi tradisi sejak alam percintaan sehingga ke alam pertunangannya bersama Firos, selepas pulang berhari raya di kampung halamannya, Kota Bharu, Kelantan, Misha akan menziarahi keluarga Firos di Subang, sekembalinya ke Kuala Lumpur.
"Rasanya tidak akan ada perubahan besar kerana sebelum ini pun saya sudah biasa bertemu dengan keluarga tunang. Cuma selepas berkahwin kelak, saya pasti akan mengikutnya pulang ke kampungnya di Negeri Sembilan," katanya yang sudah bersedia untuk menjadi isteri orang.
REMY tersipu malu apabila tidak henti-henti diusik oleh Misha dan Fara.


Menyentuh tentang raya di Kelantan, tidak langkap pagi raya Misha sekeluarga jika tidak ada juadah nasi dagang, nasi minyak, dalca, kuzi ayam dan rendang hasil tangan ibunya.
"Mungkin juadah keluarga kami agak berbeza tetapi bukanlah raya jika tidak ada semua masakan mama," katanya yang hanya mempunyai sepasang baju raya.
Luahnya lagi, biasanya setiap kali raya perhatian akan diberikan kepada anak angkatnya, Muhammad Adam Emir yang kini berusia tujuh tahun.
Bercakap tentang kerjayanya, selepas lagu Angin Syurga, Misha bakal muncul dengan lagu berjudul Untuk Bermimpi karya Tam Spider dan Budi Hikayat serta bakal meluncurkan album terbaharunya pada penghujung tahun ini.
"Saya ingin habiskan semua kerja terlebih dahulu pada tahun ini kerana tahun hadapan saya akan memberi fokus kepada majlis perkahwinan dan keluarga," ucapnya.
Fara beraya di hutan
Sudah menjadi kelaziman buat keluarga pengacara, pelakon dan penyampai radio popular Fara Fauzana atau nama sebenarnya Farah Fauzana Mohd. Fadzil, 33, untuk bercuti bersama keluarga pada hari raya,
Jika tahun sebelum ini mereka sekeluarga menempah bas dan bercuti ke Port Dickson, Negeri Sembilan, tahun ini Fara memilih untuk bercuti dan beraya di kawasan hutan rekreasi di Raub, Pahang.
"Kira-kira 40 orang saudara-mara dan rakan rapat akan beraya dan bercuti bersama di kawasan hutan bersama saya. Kami akan pergi menaiki bas kerana tidak mahu letih memandu.
"Saya sengaja memilih kawasan di luar Kuala Lumpur untuk memberi kelainan dan lari daripada kesibukan. Selain dapat bersantai dan berehat, secara tidak langsung dapat mengeratkan lagi silaturahim antara kami semua," ucapnya.
Tutur anak kedua daripada tiga adik-beradik itu lagi, tahun ini raya mereka sekeluarga cukup meriah kerana adik bongsunya yang bekerja di Amerika Syarikat pulang meraikan Aidilfitri bersama mereka.
"Tahun lepas adik saya tidak balik beraya, jadi tahun ini lebih meriah kerana semua keluarga saya lengkap berkumpul pada pagi raya.
"Pastinya ibu bapa saya seronok kerana semua anak mereka ada di depan mata. Selepas beraya di Shah Alam, kami sekeluarga wajib melawat saudara di Melaka dan Negeri Sembilan," balasnya.
Buat peminat yang ingin menyaksikan Fara di kaca televisyen, Fara akan muncul dalam program Nona Raya, Kecohnya Pengacara Beraya, Mimpi Fara, Apa Sahaja FBI Raya dan Rescue Raya.

Amy (Search) Terhibur Besarkan Anak Pada Usia 'Emas'

Posted: 06 Aug 2013 07:58 PM PDT

Amy bahagia disamping isteri, Norish dan tiga anak mereka.
PETALING JAYA: Vokalis kumpulan Search iaitu Amy tidak melihat usianya sekarang sebagai satu masalah untuk membesarkan tiga anaknya yang masih kecil ketika usianya sudah mencecah 55 tahun.
Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, berkata, dia merasakan ia merupakan masa paling sesuai untuknya meluangkan lebih banyak masa bersama mereka.
"Saya tidak tahu tentang orang lain tetapi bagi saya sekarang adalah masa paling sesuai untuk membesarkan anak-anak dan melakukan aktiviti bersama mereka.
"Pada usia sekarang dengan adanya anak kecil membuatkan hidup saya lebih meriah dan sempurna," katanya kepada mStar Online.
Perkahwinan keempat vokalis tersohor itu dengan Norish atau nama sebenar Norhaniza Hassan, 32, dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Alexander Zulkarnain, 9, Sania Samara, 8, dan Qaqa At-Tameemi, 4.
Malah menerusi perkahwinan terdahulu, Amy mempunyai dua anak, Nabila Huda, 29, serta Irisha Myra, 16, (di luar negara).
Amy bercadang untuk menambah bilangan ahli keluarganya namun menyerahkan perkara itu kepada rezeki.
Dalam perkembangan sama, Amy berkata, dia tidak pernah berasa penat melayan karenah anak-anaknya kerana bagi dia itu adalah hiburan buatnya apabila berada di rumah.
Tambah Amy lagi, pada usianya sekarang kasih sayang yang dicurahkan kepada mereka juga berbeza dan mengakui lebih bersikap lemah lembut terhadap anak-anaknya.
"Kebiasaannya lelaki sebaya saya akan bermain dengan cucu tetapi saya masih melayan anak kecil dan ia tidak sedikit pun membuat saya penat kerana mereka adalah hiburan saya apabila berada di rumah.
Sementara itu, Amy berkata, dia ada bercadang untuk menambah bilangan ahli keluarga namun meletakkan perkara itu kepada rezeki dan ketentuan Allah.
Dalam pada itu, Amy berkata, selepas sambutan Aidilfitiri dia dan Search akan kembali ke studio untuk merakamkan album terbaharu bersama labelnya sendiri.

Fara Fauzana Bawa Keluarga Masuk Hutan

Posted: 06 Aug 2013 07:56 PM PDT

Fara Fauzana
PETALING JAYA: Pengacara Nona, Fara Fauzana merancang untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini dengan mengumpulkan kira-kira 40 orang ahli keluarga bagi membolehkan mereka bercuti bersama ke Raub, Pahang.
Fara atau nama sebenarnya Farah Fauzana Mohd Fadzil, 33, berkata, dia akan membawa seluruh keluarganya itu ke sebuah hutan sebagai aktiviti riadah sambil melakukan pelbagai aktiviti yang telah pun dirancangnya.
"Saya rancang membuat perjumpaan bercuti di dalam hutan pula. Selain itu, saya juga bercadang mahu menjemput kawan-kawan rapat pada aktiviti itu nanti.
"Macam-macam aktiviti boleh dilakukan pada acara itu seperti barbeku, mandi sungai, sambil makan dan minum kami boleh berborak-borak panjang bertanya khabar masing-masing.
"Mungkin kami akan bercuti beramai-ramai pada sambutan Hari Raya minggu kedua," katanya.
Tambah anak kelahiran Shah Alam, Selangor itu, aktiviti bercuti bersama keluarga sudah menjadi amalan dan perkara wajib yang harus dibuat bagi mengeratkan lagi hubungan mereka.
"Memang sejak dari dahulu lagi saya akan menjadi pengurus acara dengan memanggil seluruh keluarga untuk berkumpul dan merancang bercuti ke mana-mana setiap kali sambutan raya.
"Contohnya sebelum ini, kami pernah berkumpul di Port Dickson, Negeri Sembilan sambil menginap di sana. Malah, empat tahun lalu kami juga telah ke London (United Kingdom).
"Lebih seronok ketika itu, adik saya yang bekerja di Philadelphia (Amerika Syarikat) turut terbang ke London dan beraya bersama-sama kami di sana," ujarnya.

Hafiz Suip Tanggung Malu Kerana Duit Raya RM2

Posted: 06 Aug 2013 07:56 PM PDT

Hafiz Suip
PETALING JAYA: Penyanyi Hafiz Suip tidak pernah melupakan peristiwa dimalukan oleh seorang peminat kecil yang datang bertandang ke rumahnya di Kuching, Sarawak pada Aidilfitri tahun lalu.
Hafiz berkata, kejadian itu berlaku gara-gara duit raya yang diberikan hanya berjumlah RM2 sahaja.
"Budak-budak sekarang sudah pandai menilai duit. Mereka pula kalau dapat sampul duit raya, terus sahaja buka depan kita.
"Bila buka hanya ada RM2 mereka pandai beritahu kita kenapa artis hanya mampu beri jumlah itu sahaja," katanya kepada mStar Online ketika bercerita tentang Hari Raya.
Hafiz berkata, dia sentiasa menyediakan bajet duit raya kepada peminat-peminat yang datang beraya di rumahnya terutama kanak-kanak.
"Setahun hanya sekali sahaja kita sambut Hari Raya ini dan kanak-kanak merupakan golongan paling gembira jadi biarpun tidak banyak nilai duit raya namun ianya dapat menggembirakan mereka," katanya.
Tambah Hafiz, seperti tahun sebelumnya, dia akan mengadakan rumah terbuka bagi meraikan dan bertemu peminatnya yang berada di Sarawak.
"Saya jarang balik kampung sebab keluarga semua sudah berpindah di Kuala Lumpur, jadi pada Hari Raya sahaja saya dapat bertemu peminat di kampung halaman.
"Seperti biasa juga saya akan adakan rumah terbuka di rumah lama saya di Kuching kerana ramai peminat yang sudah tahu rumah tersebut," katanya.

Hans Isaac Labur RM750,000 Promosi 'Lemak Kampung Santan'

Posted: 06 Aug 2013 07:55 PM PDT

PETALING JAYA: Kekurangan penonton untuk menonton filem Melayu membuatkan Hans Isaac sanggup mengeluarkan kos yang tinggi iaitu RM750,00 bagi mempromosikan filem Lemak Kampung Santan terbitan syarikat produksi miliknya, Tall Order Production.
Hans atau nama sebenarnya Gerald Hans Isaac, 42, berkata, dia telah mengumpulkan beberapa petugas untuk memberi fokus pada bahagian pemasaran mempromosikan filem berkenaan dengan lebih dekat.
"Saya mahu berkongsi kualiti filem ini dengan semua penggemar filem Melayu. Hampir RM750,000 dilaburkan untuk tujuan promosi filem ini kerana saya lihat masyarakat semakin kurang ke pawagam untuk menonton filem Melayu.
"Sebab itu saya promosikan filem ini sebaik mungkin. Malah pihak Tall Order juga menganjurkan pertandingan di mana pemenangnya dapat bercuti bersama para pelakon-pelakonnya.
"Malah kami turut menjelajah ke seluruh negara memperkenalkan filem ini kepada orang ramai," katanya.
Tambah Hans, pihaknya juga membuat iklan secara besar-besaran menerusi media cetak dan elektronik termasuklah medium sosial Internet.
Lemak Kampung Santan mengisahkan Ridzuan (Hans Isaac) yang jatuh cinta dengan seorang gadis kampung bernama Tiqa (Neelofa).
Filem ini turut dibintangi antaranya Natasha Hudson, Nadia Mustapha, Nadia Heng, Adlin Aman Ramli, Mat Over, Ridzuan Hashim, Datuk Jalaludin Hassan dan Harith Iskandar.
Beritahu Hans, filem ini mungkin sangat klise, sama seperti dengan filem cinta yang ada namun, selepas 16 kali skrip diolah, plot penceritaannya dipadatkan sehingga mengandungi pelbagai mesej yang sarat.
"Apa-apa pun, filem ini terdapat banyak plot yang mengejutkan penonton dan mereka akan sedar ia bukan sebuah filem cinta sebenarnya.
"Bagi saya, permulaan dan nadi sebuah cerita adalah skrip. Apabila penonton datang ke panggung, apa yang mereka ingin tengok adalah kandungan dan penceritaan.
"Pada permulaannya, saya ingin memasukkan dua atau tiga cerita dalam satu filem. Namun setelah berbincang dan melakukan rombakan hampir 16 kali terhadap skrip, maka terhasillah Lemak Kampung Santan yang padat dengan komedi bermesej.
"Kemudian, saya juga turut menyelit suasana cinta ala Bollywood. Konsep lelaki kaya jatuh cinta dengan gadis miskin sering kali menjadi pengisian dalam filem Bollywood tetapi satu dunia menyukainya. Jadi tidak salah saya menggunakan sedikit elemen itu di dalam filem ini," ujarnya.
Lemak Kampung Santan bakal ditayangkan pada Hari Raya pertama iaitu Khamis.
Selain itu, penonton juga berpeluang untuk memenangi peraduan bercuti bersama Neelofa dan barisan pelakon yang lain ke Langkawi selama lima hari dengan cara mendapatkan sebanyak lima tiket wayang.
Dan kemudian, tiket tersebut dimasukkan ke dalam sampul surat bersama borang peraduan. Sampul tersebut boleh diberikan kepada kaunter mana-mana pawagam yang menayangkan filem tersebut.

AC Mizal Sambut Aidilfitri Di Dua Negara

Posted: 06 Aug 2013 07:54 PM PDT

AC Mizal
PETALING JAYA: Pengacara AC Mizal menyifatkan perayaan Aidilfitri pada tahun ini memberi kelainan padanya dan keluarga apabila mereka akan menyambut Hari Raya di dua buah negara iaitu Indonesia dan China.
AC berkata, dia merancang untuk ke Jakarta, Indonesia pada sambutan Hari Raya kelima atas urusan kerja dan kemudian terus ke China bagi tujuan sama, namun mengambil kesempatan itu bercuti bersama keluarga.
"Jika sebelum ini kami beraya di kampung isteri (Emylia Rosnaida) di Ipoh Perak, kali ini lain sikit cara raya kami.
"Asyik dengar orang beraya di luar negara, kami pun teringin juga. Dan dah alang-alang ada urusan kerja, saya buat 'pakej' bercuti bersama keluarga," katanya.
Tambah AC, urusan perniagaannya di Jakarta dan China melibatkan perniagaan rangkaian sosial miliknya, MFace. Malah rangkaian tersebut sudah berjaya menembusi bursa saham Hong Kong.
Mereka akan bercuti lebih kurang dua minggu, namun pada Hari Raya pertama, sekiranya tiada urusan perniagaan, AC dan keluarganya tetap akan pulang ke kampung di Ipoh dan Muar, Johor (raya kedua).
Sementara itu, AC berkata, seperti biasa, dia tetap mengutamakan persiapan baju raya buat anak-anaknya Mohd Reeve Damien, 10, dan Fea Eryssa, 5.
"Biasalah apabila dah ada anak, fokus mak dan ayah lebih pada mereka sahaja. Macam saya, pakai saja baju raya tahun lepas.
"Persiapan untuk anak-anak, isteri yang uruskan, dan saya lebih senang membeli apa-apa yang mereka perlukan.
"Fea terutamanya, dah besar ini, macam-macam permintaan dia nak," ujarnya.

Mawi, Ekin raya sakan

Posted: 06 Aug 2013 07:53 PM PDT


  • Mawi, Ekin raya sakan Mawi dan Ekin ulang alik Kulai-JB.
SETIAP tahun, pertelingkahan untuk menentukan lokasi berhari raya sudah menjadi perkara biasa bagi pasangan suami isteri.

Mana tidaknya, jika suami di Kelantan dan isteri pula di Pulau Pinang, tentunya menjadi kesulitan untuk meraikan 1 Syawal bersama.

Tambahan pula, sekiranya suami tidak mengamalkan toleransi, sudah pasti si isteri berendam air mata untuk menyambut Syawal bersama keluarganya.

Namun, bagi pasangan selebriti popular, Mawi dan Ekin, perkara sebegini tidak akan terjadi dalam kehidupan mereka kerana berasal dari negeri yang sama.

Menurut Mawi atau nama sebenarnya, Asmawi Ani, 32, tidak perlu bertegang urat untuk pulang ke kampung halaman kerana mereka dapat meraikan 1 Syawal di dua lokasi.

"Alhamdulillah, syukur kerana kami berdua berasal dari Johor. Untuk tahun ini, giliran kami beraya di kampung halaman Ekin, Johor Bahru (JB).

"Namun, selepas itu, kami terus ke Kulai untuk beraya dengan keluarga saya. Lagipun, perjalanan dari JB ke Kulai tak sampai dua jam pun.

"Jadi, tidak pernah ada masalah bila pulang ke kampung kerana kami akan ulang alik dalam masa seminggu bercuti raya itu," kata anak jati Felda Taib Andak ini.


Sertai marhaban

Sambutan Aidilfitri di setiap tempat dan daerah pastinya berbeza, malah ada di kalangan kelompok masyarakat Melayu yang masih mengamalkan budaya marhaban.

Perkara ini turut diakui Mawi apabila kawasan tempat tinggalnya masih mengamalkan konsep marhaban.

Tidak pernah ketinggalan dalam menyertai kumpulan itu, menurut Mawi, dia mula menyertai marhaban sejak kecil lagi.

"Saya memang tak pernah ketinggalan untuk menyertainya. Selepas beraya di JB, saya akan segera balik ke Kulai agar tidak terlepas.

"Mungkin di tempat lain, sambutan ini sudah ditinggalkan, namun kami tetap mengamalkannya.

"Selepas sembahyang raya, kami sekumpulan akan mengunjungi setiap rumah yang ada di sepanjang blok rumah sehinggalah sampai waktu Zuhur.

"Pada petang pula, golongan wanita pula yang akan melakukannya. Begitulah suasana raya kami setiap tahun," kata Juara Akademi Fantasia musim ketiga (AF3) ini.

Tambah isterinya, Norashikin Rahmat atau Ekin, sebelum ini, dia tidak pernah menyaksikan kumpulan marhaban seperti itu.

"Ia pengalaman baru buat saya kerana sebelum ini saya tidak pernah menyaksikan marhaban. Lagipun, suasana raya di Kulai sangat meriah," katanya yang kini sibuk dengan syarikat kecantikan dan kesihatan, Uniquien.


Malaika penyeri Aidilfitri

Tahun ini merupakan tahun kedua sambutan Aidilfitri bertiga dengan kehadiran puteri kesayangan, Cahaya Malaika, 18 bulan.

Walaupun tahun kedua, ia sama seperti tahun pertama malah, Aidilfitri tahun ini lebih bermakna apabila Cahaya kini semakin membesar dan petah berbicara.

"Pada hari raya tahun lalu, Cahaya masih kecil dan suasana tidak semeriah tahun ini.

"Dia adalah penyeri Aidilfitri kami pada tahun ini. Bukan sahaja dengan suara keluarga dan sanak saudara, malah suara Cahaya juga menghiasi suasana," katanya yang turut mengakui minatnya dalam mengumpul kasut kanak-kanak untuk Cahaya.

Bertanya mengenai pengalaman beraya di keluarga mertua, ia bukanlah perkara ganjil buat Mawi kerana ada di antara hidangan yang dirindui sekian lama.

Menurut Mawi, sebelum berkahwin dengan Ekin, dia tidak pernah menyentuh dan merasai hidangan Laksa Johor.

"Walaupun saya orang Johor, tapi saya tak makan Laksa Johor. Saya sendiri tidak pandai nak makan laksa itu kerana ia menggunakan spageti.

"Maklumlah, saya ni kan orang Felda, mana biasa dengan makanan seperti itu. Namun, setelah merasai hidangan yang dibuat ibu mertua, saya jadi gian nak makan.

"Setiap kali raya, ibu mertua saya akan buat Laksa Johor dan saya akan makan dengan cara saya sendiri. Saya akan gaul dengan kuah yang banyak dan makan menggunakan tangan. Fuhhh, memang sedap," katanya sambil ketawa.


Gian nak anyam ketupat

Mungkin ramai yang tidak tahu, selain memiliki suara yang lunak, Mawi juga mempunyai kemahiran membuat ketupat anyam.

Malah, setiap kali musim perayaan, perkara yang akan difikirkan terlebih dahulu ialah aktiviti anyam ketupat.

"Saya memang gian nak anyam ketupat. Jika saya sampai di rumah setelah ketupat siap dianyam, saya akan anyam juga untuk kepuasan diri.

"Selain dari ketupat bawang, saya juga mahir dalam membuat ketupat sate, katak dan pasar. Setiap satunya saya belajar daripada ibu, ayah dan kakak.

"Saya beruntung kerana saya belajar semua daripada mereka kerana mereka hanya pandai menganyam satu daripadanya sahaja," katanya.


Terkenang arwah bapa

Bertanya mengenai pengalaman raya dan puasa pasangan ini, Mawi turut mendedahkan kisah nakalnya sewaktu kecil di bulan puasa.

Katanya, ketika berusia sembilan tahun, ibu bapanya telah mendidik untuk berpuasa penuh dengan paksaan.

"Ketika itu, saya memang kena paksa puasa kerana saya tak rela bila melihat ramai di kalangan rakan-rakan masih tidak berpuasa dan ada juga yang separuh hari.
"Tapi, sebab takutkan mak dan ayah, saya kena puasa. Jadi, bila kena paksa tu, macam-macam perangai yang saya buat.

"Bila sampai waktu petang, saya mula membuat 'onar'. Saya akan guling-guling dan meraung kelaparan. Sepanjang bulan Ramadan, saya akan berperangai seperti itu.

"Tak tahan mendengar rengekan saya, mak terus memberi kebenaran untuk saya berbuka. Tapi, bila fikirkan balik, dua jam saja nak berbuka, saya tak makan.

Tunggu juga waktu berbuka sehingga cukup sebulan berpuasa," katanya yang turut merindui arwah bapanya, Ani Ahmad, yang meninggal dunia hampir tujuh tahun lalu.

Menurut Mawi, setiap kali Aidilfitri menjelma, rasa rindu itu semakin menebal sehingga membuatkannya sebak.

"Setiap kali raya, saya akan menemani arwah ayah ke masjid untuk sembahyang raya. Dia akan membawa motor dan saya memboncengnya.

"Namun, bila dia sudah tiada, saya pergi ke masjid seorang diri. Ketika dalam perjalanan di atas motor itu, air mata saya akan menitis mengenangkan ayah.

"Malah, saya turut membayangkan untuk membawa anak pula selepas ini untuk membonceng saya ke masjid di pagi raya," kata pelantun lagu Al Haq ini.


Padah main mercun

Jika Mawi dengan cara berguling-guling, Ekin pula memberitahu sewaktu usianya sembilan tahun, dia masih belum berjaya berpuasa penuh.

"Masa usia itu, saya masih lagi puasa 'yak yok'," katanya sambil ketawa.

Bertanya mengenai pengalaman raya yang sukar dilupakan, Ekin memberitahu, peristiwa itu tidak akan dilupakan sampai bila-bila.

"Ketika itu, saya dan Aien, sedang main bunga api. Seperti pasangan kembar yang lain, kami juga gemar mengusik.

"Masa tengah seronok main, bunga api yang saya pegang terkena muka Aien. Dia terus menangis dan ibu terus membawanya ke klinik.

"Kecederaan di muka Aein agak teruk apabila kulit mukanya melecur dan berkudis.

"Saya memang rasa bersalah dengan Aien dan minta maaf. Tapi, Aien merajuk dan tak nak maafkan saya.

"Syukur Alhamdulillah, kesan melecur itu hilang bila meningkat remaja. Selepas insiden itu, kami dah fobia nak main bunga api," katanya.

Modenas mahu kuasai pasaran

Posted: 06 Aug 2013 07:51 PM PDT


  • Modenas mahu kuasai pasaran Amirudin (kiri) dan bekas CEO Modenas, Abdul Halim Ismail pada majlis Kempen Penghargaan Berganda Modenas, semalam. 
MOTOSIKAL dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas), yakin untuk meningkatkan nilai penguasaan pasaran kepada 12 peratus dan mencapai sasaran jualan 70,000 unit motosikal menjelang Mac tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Modenas, Amirudin Abd Kadir berkata, setakat ini syarikat nasional di bawah konglomerat DRB-Hicom itu menguasai lapan peratus pasaran.

"Untuk separuh pertama tahun ini, Modenas telah mencatatkan jualan 18,000 unit motosikal dan yakin sasaran akan dapat dicapai dengan promosi dan Kempen Penghargaan Berganda Modenas yang dijangka dapat meningkatkan lagi jualan," katanya kepada media selepas melancarkan kempen tersebut di Shah Alam, semalam.

Selain mengukuhkan kedudukan di pasaran tempatan, Modenas juga bakal meneroka pasaran baru secepat mungkin bagi meluaskan lagi pasaran motosikalnya di luar Malaysia.

"Ketika ini, Modenas telah mempunyai kehadiran di pasaran Eropah, dan kini akan mengintai lebih banyak peluang pasaran luar bagi mengukuhkan lagi kehadiran kami di lebih pasaran lain.

"Salah satu strategi kami juga adalah mengembangkan perniagaan kepada pasaran eksport, dan dengan kapasiti yang dimiliki ketika ini iaitu sebanyak 250,000 motosikal, sudah pasti Modenas perlu lebih berkembang untuk mengukuhkan lagi operasi," katanya.

Sebagai CEO Modenas yang baru, Amirudin turut berhasrat untuk menjadikan jenama itu sebagai jenama nombor satu negara pada masa akan datang.

Sementara itu, Modenas menawarkan 165 hadiah dengan nilai keseluruhan berjumlah RM1 juta sepanjang lima bulan kempen berlangsung bermula 1 Ogos hingga 31 Disember ini.

Kempen boleh disertai dengan cara membeli Modenas CT100 atau Motosikal Rakyat 1Malaysia (MR1), dan pelanggan akan mendapat wang pos bernilai RM150 selain menikmati jaminan percuma selama tiga tahun atau 20,000 kilometer.

Uniknya Konsert KL fm Syoknya Raya

Posted: 06 Aug 2013 07:42 PM PDT



SAKSIKAN Konsert KL FM Syoknya Raya Lagi Sakan Beraya menerusi saluran TVi Astro 180 pada hari raya ketiga pukul 9 malam.


KONSERT KL FM Syoknya Raya Lagi Sakan Beraya buat julung kali diadakan sempena meraikan lebaran tahun ini.
Rakaman konsert yang disiarkan pada hari raya pertama menerusi radio KL FM itu akan turut disiarkan menerusi saluran TVi (Astro 180) pada hari raya ketiga pukul 9 malam.
Ujar Penerbit Eksekutif konsert berkenaan, Normah Aziz, konsert itu merupakan antara pengisian menarik sempena raya dan sambutan kemerdekaan negara tidak lama lagi.
"Konsert ini bertujuan memberi penghargaan kepada pendengar KL FM di samping meraikan anak-anak yatim yang kurang bernasib baik.
"Program bersifat santai ini menampilkan penyanyi popular tanah air yang akan menghiburkan penonton dan pendengar setia KL FM dengan tema Aidilfitri dan semangat bulan kemerdekaan," katanya yang ditemui pada rakaman konsert itu di Restoran Felda D'Villa, Kuala Lumpur baru-baru ini.
ONE NATION EMCEES terbabit dengan Konsert KL FM Syoknya Raya Lagi Sakan Beraya yang akan ke udara di KL FM pada malam raya pertama.


Ia menampilkan barisan penyanyi terkenal antaranya Nassier Wahab, Jay Jay, Suki, Nubhan, Elveena Iris, Ali XPDC, Baby Shima dan kumpulan One Nation Emcees.
Menariknya, konsert itu bakal menampilkan penyampai-penyampai radio KL FM sebagai perantara majlis di samping membuat persembahan khas.
Jadi, jangan lepaskan peluang meraikan hari raya ini bersama persembahan hebat Konsert KL FM Syoknya Raya Lagi Sakan Beraya.

Variasi program raya TV3

Posted: 06 Aug 2013 07:41 PM PDT


SCHA AL-YAHYA dan Awal Ashari muncul dalam program Sampaikan Raya.


SEPERTI kelaziman setiap tahun, TV3 tidak mahu ketinggalan dalam menyajikan program menarik sepanjang Aidilfitri ini.
Berikut antara hidangan raya yang akan mengisi waktu senggang penonton sepanjang musim perayaan kali ini.
Hari: 8 Ogos 2013
Pukul: 11 malam - 1.30 pagi
Program istimewa berbentuk hiburan interaktif menjelang hari raya ini memaparkan ucapan dan pesanan musim perayaan diselangi dengan persembahan nyanyian daripada artis popular seperti KRU, Hazama, Noh Salleh, Aizat, Asmidar, Awi Rafael, Mazlan Ahmad (Senario), Ezad, The Fabulous Cat, Black & RJ, Kumpulan Kristal, Shaheizy Sam, Along Cham, Zizan, Angah, Hafiz, Johan Nawawi, VOU, Awal Ashaari, Johan Asa'ri dan ramai lagi. Dihoskan oleh Nabil dan Scha Al Yahya.
Hari: Raya kesebelas
Pukul: 2 petang
Nona Raya bakal merungkai kisah kecantikan wanita Kelantan iaitu dua keluarga yang terkenal di sana, keluarga pengacara Nona, Neelofa dan keluarga usahawan wanita terkemuka di Kota Bharu, Bibi Ramjani Ilias Khan dalam segmen Realiti. Segmen Inspirasi pula berkongsi kisah pasangan pertama Malaysia-Palestin, Shahrina Ahmad Sharkawi, 42, yang bertemu jodoh dengan pemuda Palestin yang jauh lebih muda daripada usianya, Hasan Rezq Al Zahar, 27.
Selepas berkahwin pada Mac lalu di Gaza, Palestin, kini mereka kembali meneruskan kehidupan di Malaysia. Nona Raya juga berjaya menjejaki penyanyi terkenal tahun 70-an dengan lagu Nasi Dagang, Rosemaria Abdul Hamid, yang kini menetap di Kota Bharu, Kelantan.
Hari: Raya Pertama, 8 ogos
Pukul: 4 petang
FARA FAUZANA sebagai hos Nona Raya.


Salim Maula, seorang duda mempunyai tiga orang anak lelaki iaitu Anas, Basyir dan Muaz. Dia membesarkan anaknya sendiri selepas isterinya meninggal dunia semasa melahirkan Muaz. Salim memiliki perniagaan sendiri iaitu membuat bata blok. Kini semua anaknya sudah dewasa dan hanya duduk menganggur di rumah kerana malas bekerja.
Walaupun sudah dewasa, Salim menjaga mereka seperti budak kecil membuatkan mereka naik lemak. Anas dipanggil 'abang', Basyir dipanggil 'adik', manakala Muaz dipanggil 'baby' oleh Salim. Ramadan yang bakal tiba Salim berharap anak-anaknya berubah.
Oleh itu, Salim telah memberikan setiap orang anaknya modal untuk memulakan perniagaan. Namun, hanya Anas dan Basyir yang menerima tawaran ayah mereka, manakala Muaz memberikan alasan ingin menghabiskan masanya dengan beribadat pada Ramadan ini. Apa yang berlaku seterusnya?
Hari: Sabtu, 24hb Ogos
Pukul: 10 malam
Pelakon: Awie, Yana Samsudin, Fazli Daniel, Fakhrusy Syakirin, Puteri Balqish dan Aziz Singah.
Ridwan dibesarkan di rumah anak yatim. Namun kini ibu saudaranya, Zai akan mengambil Ridwan untuk dijaga. Walaupun sudah beberapa tahun berkahwin, Zai dan Mus tidak dikurniakan anak. Mus kurang senang dengan kehadiran Ridwan, namun dia mengikut sahaja permintaan isterinya kerana tidak mahu bertelagah.
Walaupun Ridwan merupakan seorang anak yang baik dan patuh, Mus tetap tidak senang kerana baginya Ridwan merupakan orang luar. Zai mula berbincang dengan Ummi untuk menghantar Ridwan semula ke rumah anak yatim selepas hari raya nanti akibat desakan Mus.
Sepanjang Zai di tempat kerja, Ridwan dibiarkan sendirian di rumah sehingga dia bertemu rakan baharu iaitu Alif. Mereka berdua mendapat idea untuk mengumpul duit dengan melakukan perkhidmatan seperti membersihkan halaman rumah serta mengutip botol plastik dan surat khabar lama. Pada sebelah malam pula, mereka menjual bunga api dan mercun 'pop pop'.
Suatu hari, selepas membersihkan halaman Cik Munah, Ridwan dan Alif memberanikan diri pergi ke sebuah rumah yang tidak mereka kenali. Sejurus tiba di rumah tersebut, Ridwan memberanikan diri membuka pintu. Tiba-tiba mereka ternampak kelibat seseorang yang menakutkan. Ikuti kesudahannya.

Bos sindiket palsu dokumen ditahan

Posted: 06 Aug 2013 07:40 PM PDT

SEYED (kiri) yang ditahan di hadapan bangunan Perkeso, Jalan Ampang di ibu negara pada Sabtu lalu.


KUALA LUMPUR – Seorang lelaki Iran yang merupakan ketua sindiket pemalsuan dokumen terbesar bagi tujuan penyeludupan rakyat Iran ke Asia Tenggara dan negara-negara Eropah ditahan pihak berkuasa negara ini pada Sabtu lalu.
Seyed Ramin Miraziz Paknejad, 45, ditahan pada pukul 4.45 petang di hadapan bangunan Perkeso, Jalan Ampang di sini pada 3 Ogos lalu. Turut ditahan ialah isteri Seyed, seorang wanita berusia 41 tahun. Pasangan itu sudah setahun bersembunyi di negara ini.
Ketika ditahan, pasangan yang menaiki kereta BMW itu terperangkap dalam kesesakan lalu lintas di kawasan berkenaan.
Pengarah Jabatan Pasukan Petugas Khas (Operasi) Bukit Aman, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun berkata, pasangan itu disyaki terlibat dalam membuat dan menjual dokumen palsu kepada sindiket penyeludupan manusia termasuk kepada pengganas.

Koperal sembunyi maklumat pengganas dijel 7 tahun

Posted: 06 Aug 2013 07:39 PM PDT


GAMBAR FAIL... Hassan (kiri) dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu selepas dijatuhi hukuman semalam.


KOTA KINABALU – Seorang anggota polis dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam atas kesalahan menyembunyikan maklumat mengenai kegiatan pengganas di Sabah pada Februari lalu.
Hakim P. Ravinthran menjatuhkan hukuman itu ke atas Koperal Hassan Ali Basari selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
Dalam prosiding semalam, mahkamah turut memerintahkan tertuduh yang berusia 61 tahun menjalani hukuman itu dari tarikh dia ditahan iaitu pada 3 Mac lalu.
Mengikut pertuduhan, Hassan yang bertugas di Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu dan berasal dari Semporna, Sabah didakwa melakukan kesalahan tersebut di Pejabat Ketua Cawangan Khas IPD berkenaan antara Januari hingga 3 Mac 2013.

Aidilfitri di Mesir hambar

Posted: 06 Aug 2013 07:37 PM PDT


SEBAHAGIAN pelajar Malaysia menyertai rakaman takbir raya anjuran Persatuan Melayu Arab Mesir untuk disiarkan di laman YouTube di Kaherah, Mesir kelmarin.


KUALA LUMPUR – Konflik yang melanda di Mesir ketika ini tidak menghalang persiapan kira-kira 6,000 pelajar Malaysia untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri di negara itu yang dijangka disambut esok.
Presiden Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir, Abdul Aziz Ali berkata, kekacauan di negara itu bagaimanapun semakin reda dan keadaan itu memberi peluang kepada pelajar Malaysia dan rakyat negara itu sendiri membuat persiapan menyambut kedatangan 1 Syawal.
"Bagaimanapun, sambutan Aidilfitri di sini (Mesir) pada tahun ini sangat hambar kerana ramai rakan-rakan yang membuat keputusan untuk pulang ke Malaysia sejak tercetus krisis politik di sini," kata beliau ketika dihubungi di sini semalam.

Lelaki buat aduan silap tempahan dipenjara

Posted: 06 Aug 2013 07:33 PM PDT



GAMBAR menunjukkan restoran makanan segera yang dikunjungi oleh Lorenzo Riggins.


NEW YORK - Seorang lelaki dihukum penjara selepas dia bertindak menelefon talian kecemasan 911 di Amerika Syarikat untuk membuat aduan tentang kesilapan tempahan makanan segera yang disediakan pekerja McDonald's.
Lelaki itu, Lorenzo Riggins membuat aduan bahawa dia telah menempah beberapa biji burger dan kentang goreng, namun jumlah yang diterima tidak menyamai tempahan.
"Saya pergi ke restoran McDonald's untuk menbeli tujuh biji burger McDouble, satu McChicken dan satu set jejari kentang goreng," katanya kepada stesen media tempatan WALB-TV.
Namun menurutnya, bilangan yang diterima tidak mencukupi.
"Apabila saya kembali ke trak saya, terdapat hanya enam burger McDouble sahaja di dalam pek yang diberikan," kata Riggins.
Katanya, dia kembali semula ke restoran berkenaan untuk mendapatkan burger McDouble yang ditempah tetapi tidak dilayan.
Sejurus selepas itu, Riggins bertindak menelefon polis untuk membuat aduan tetapi menerima akibat buruk ekoran tindakan berkenaan.
Menurut WALB-TV, Riggins kemudian ditahan dan didakwa menyalahgunakan talian kecemasan.

Saintis hasilkan daging burger dalam makmal

Posted: 06 Aug 2013 07:32 PM PDT


Professor Mark Post sedang memegang daging kultur yang mempunyai rasa dan tekstur yang hampir sama dengan daging sebenar.


LONDON - Sekumpulan saintis kelmarin menyatakan, mereka menghasilkan daging burger pertama di dunia menerusi proses kultur di makmal.
Ketua saintis itu, Professor Mark Post dari Universiti Maastricht di Belanda memberitahu, daging burger itu digoreng bersama sedikit minyak dan mentega dan dihidangkan kepada beberapa sukarelawan untuk ujian rasa.
Daging burger kultur tersebut dipercayai seberat 140 gram dengan ia dihasilkan menerusi kajian yang menelan belanja 250,000 euro (RM1.07 juta).
Kajian tersebut mendapat sokongan daripada pengasas Google, Sergey Brin.
Daging burger itu dilaporkan mempunyai rasa dan tekstur yang hampir sama dengan daging sebenar tetapi ia tidak mempunyai jus seperti daging lembu.
Dinamakan Frankenburger, daging kultur itu dihasilkan dengan menggunakan sel otot lembu hidup yang kemudian dibiak di dalam makmal atau kultur selama tiga bulan.
Ia kemudian dicampur garam, serbuk telur, serbuk roti dan diwarnakan dengan jus ubi dan safron.
Post memberitahu, daging kultur itu bakal menggantikan daging lembu biasa dalam diet berjuta-juta orang.
Menurut beliau, penggunaan daging kultur dapat membantu menangani situasi kekurangan makanan di dunia pada masa depan.

Dentuman meriam besi hingga Subuh 1 Syawal

Posted: 06 Aug 2013 07:31 PM PDT




ABDUL MANAF MAT PIAH, 87, merupakan seorang salah warga emas tertua di Kampung Talang Changkat, Kuala Kangsar, Perak. Dia kini tinggal bersama isteri, Maheran Abdul Rahman, 78, di teratak kayu tinggalan nenek moyangnya yang berumur lebih 100 tahun sementara 12 orang anaknya mencari rezeki di seluruh pelosok tanah air.
Meniti usia senja, Abdul Manaf atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Hasan oleh penduduk kampung hanya beristirehat di kediamannya dan menghabiskan masa dengan beribadat.
Jika ada kelapangan, warga emas yang tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan itu pasti berbasikal ke kedai kopi berhampiran rumahnya untuk berjumpa dan berbual-bual dengan penduduk kampung.
Nama Pak Hasan begitu popular di Kampung Talang yang terbahagi kepada lima bahagian iaitu Talang Hulu, Talang Hilir, Talang Tengah, Talang Masjid dan Talang Changkat.
Selain dikenali sebagai orang paling veteren di Kampung Talang Changkat, kebanyakan penduduk kampung juga mengetahui bahawa dia merupakan waris tunggal yang memulakan tradisi bermain meriam buluh di kampung itu sejak tahun 1937.
Imbau kenangan
Sudah menjadi tradisi, Kampung Talang menjadi tumpuan bukan sahaja penduduk di sekitar Kuala Kangsar, malah dari seluruh negara menjelang malam Hari Raya Aidilfitri setiap tahun. Ada yang datang dari negeri berlainan semata-mata untuk merasai pengalaman mendengar gegaran bunyi meriam besi yang dimainkan penduduk kampung.
Mengimbau kenangan Pak Hasan ketika sambutan Aidilfitri tahun 1937 bersamaan dengan 1356 Hijrah, ceritanya, ketika itu dia berusia 11 tahun dan Allahyarham datuknya, Pak Ndak Mat Amin merupakan antara individu pertama yang mengajarnya bermain meriam buluh.
Menurutnya, menjelang bulan Ramadan, dia dan empat lagi sepupu, Bahrin Salleh, Zulkifli Mat Kib, Aidin Abu Bakar dan Mohd. Bashah Abdul Rani akan berbasikal ke Kampung Buaya, Padang Rengas, Perak untuk mendapatkan buluh beting sepanjang 2 meter sebagai persediaan membuat meriam bagi dimainkan pada hari raya nanti.

MERIAM Kampung Talang mampu menarik ribuan pelancong dari dalam dan luar negara untuk datang ke kampung tersebut pada malam raya.


"Jarak antara Kampung Talang Changkat yang dahulunya dipanggil Kampung Darat ke Padang Rengas kira-kira 10 kilometer. Walaupun penat berpuasa, kami berlima sanggup berbasikal sejauh itu bagi mendapatkan buluh terbaik untuk menghasilkan meriam.
"Usai kerja-kerja mencari buluh, kami membeli karbaid seberat 600 gram yang dijual di hadapan masjid pada harga 25 sen. Ketika itu, bahan bakar untuk meriam itu dijual secara terbuka kepada penduduk kampung," ujarnya yang tidak pernah mengalami kecederaan sewaktu bermain meriam buluh.
Menurut bekas pemandu lori tentera British pada tahun 1950 itu, ketika dia dan sepupunya bermain meriam pada malam raya, penduduk kampung tidak pernah mengambil kisah dengan aktiviti mereka walaupun bunyi meriam itu memecah kesunyian kampung.
Ketika itu, dia bermain di kawasan hutan berhampiran rumah datuknya itu. Kini kawasan asal tempat dia bermain meriam itu dijadikan tapak Madrasah as-Saadah yang terletak berhampiran kawasan sawah padi kampung itu.
"Meriam buluh dibalut dengan karung guni sebelum diikat dengan dawai sebagai langkah keselamatan. Ia bertujuan untuk mengelakkan buluh pecah jika karbaid diletakkan secara berlebihan di dalam kartus iaitu pemampat di pangkal buluh," ujarnya yang pernah bekerja sebagai penggali kubur di kampungnya.
Jelasnya, disebabkan tradisi permainan meriam buluh setiap tahun, penduduk kampung juga telah meminta kebenaran daripada pihak berkuasa untuk bermain meriam buluh di kampung itu sekitar tahun 1960-an.
Seiring dengan perubahan masa, permainan meriam buluh juga terkena tempiasnya. Kini, meriam buluh tidak dimainkan oleh penduduk Kampung Talang sempena Hari Raya Aidilfitri tetapi ia digantikan dengan meriam besi sejak tahun 1970-an.

ASRI menunjukkan kawasan semak berhampiran sawah padi Kampung Talang Changkat yang menjadi tempat penyimpanan meriam besi.


Permainan meriam besi bukan hanya diketahui oleh penduduk kampung malah ia tersebar luas di laman YouTube dengan carian Talang Canons. Sebuah pihak produksi persendirian tanah air turut mendokumentasikan permainan meriam besi di kampung tersebut dan telah ditonton ribuan orang.
Pada malam Aidilfitri setiap tahun, Asri Kamil Sabden, 45, merupakan antara individu penting dalam memastikan kelancaran permainan meriam besi di Kampung Talang.
Dia yang mudah disapa dengan panggilan Lop Kapten merupakan antara orang lama yang terlibat dalam persiapan dan permainan meriam besi di kampung tersebut sejak tahun 1985 sehingga kini. Dia juga antara wakil pasukan Tonggak dari Kampung Talang Hulu dalam pertunjukan meriam besi di kampung tersebut.
"Pada malam menjelang Aidilfitri, Kampung Talang umpama sebuah pesta. Selain enam pasukan dari kampung yang berbeza berentap menghasilkan bunyi meriam besi, penduduk kampung juga membuka gerai makanan dan pelancong membawa tikar untuk duduk bersama keluarga menikmati suasana ini," ujarnya.
Menurutnya, perubahan permainan meriam buluh kepada meriam besi bermula sekitar tahun 1970-an. Ketika itu, seorang ahli kimia dari kampung tersebut mengeksperimen besi daripada penyedut pasir bagi menggantikan buluh.
"Permainan meriam besi lebih selamat jika dibandingkan dengan meriam buluh. Meriam besi tiada risiko pecah apabila karbaid digunakan secara berlebihan. Selain itu, bunyi letupannya juga lebih kuat," ujarnya yang melakukan pekerjaan kampung untuk menyara kehidupannya.

ABDUL MANAF (kanan) berkongsi pengalamannya bermain meriam buluh sewaktu kecil dengan penduduk kampung dalam satu majlis keraian di pangkin Madrasah as-Saadah.


Pada tahun 1980-an, sebatang besi penyedut pasir yang sudah dibaik pulih dibeli daripada pembekal pasir pada harga RM35.
Medan pertempuran
Pada malam Aidilfitri, enam pasukan yang mewakili kampung berbeza iaitu Hilir, Anak Darat, Darat, Tonggak, Tonggak Kekabu dan Serai pasti menggegarkan suasana malam di Kuala Kangsar.
Tutur Lop Kapten, meriam-meriam itu disimpan di kawasan sawah padi dan hanya akan diambil oleh penduduk kampung menjelang bulan Ramadan. Sebagai persiapan, mereka turut mengecat meriam besi itu dengan pelbagai warna bagi melambangkan kumpulan masing-masing.
Medan utama pertempuran bagi keenam-enam kumpulan itu ialah di kawasan sawah padi dianggarkan berukuran empat hektar yang menjadi pemisah di antara Kampung Talang Changkat dan Kampung Talang Tengah.
Besi penyedut pasir yang digunakan lebih tahan lama. Tiga daripada besi untuk permainan meriam dalam pasukan Lop Kapten digunakan sejak tahun 1987 dan ia masih kukuh tanpa sebarang kerosakan.
"Setiap ahli pasukan pasti menyumbang bagi membeli kos karbaid dan cat untuk mengecat meriam. Bagi setiap pasukan, dianggarkan sekotak karbaid 25 kilogram berharga RM100 digunakan sepanjang malam itu. Setiap kotak mengandungi 25 kampit karbaid.
"Pada malam itu, ciri keselamatan merupakan antara aspek yang ditekankan. Di sekeliling kawasan permainan, penduduk kampung meletakkan tali pita keselamatan agar pelancong tidak menghampiri kawasan itu," ujarnya yang khuatir kartus akan terpelanting terkena pelancong sekiranya mereka berada berdekatan.
Menurut Lop Kapten, sejak tahun 2005, pelancong dari dalam dan luar negara semakin meningkat.
"Aktiviti bermain meriam pada malam hari raya merupakan salah satu cara penduduk mengekalkan tradisi turun-temurun di kampung. Kami dibesarkan dengan bunyian meriam pada malam raya. Tiada bunyi meriam maka tidak berertilah Aidilfitri bagi kami," ujarnya ketika ditemui Kosmo! di kediamannya di Kampung Talang Hulu baru-baru ini.

Ayam kampung bernutrisi tinggi

Posted: 06 Aug 2013 07:30 PM PDT



MELIHAT kepada permintaan ayam yang meningkat secara mendadak terutama menjelang musim perayaan, Ishamuddin Idris, 44, bersama dua rakan kongsi memutuskan untuk menceburi bidang penternakan ayam kampung sejak dua tahun lalu.
Ketiga-tiga mereka bukan calang-calang orang kerana memiliki ijazah dalam bidang berbeza dari luar negara. Uniknya, syarikat mereka dikatakan satu-satunya syarikat di negara ini yang memasarkan ayam secara sejuk beku.
"Kami melihat perniagaan secara sejuk beku ini dapat membantu orang ramai membeli ayam kampung dengan mudah tanpa perlu berkunjung ke pasar," kata Ishamuddin ketika ditemui di kedai milik mereka iaitu Keluaran Orang Kampung '0' Chemical (Kok0C) yang terletak di Jalan Teknologi, Kota Damansara, Selangor.
Beliau menceburi perniagaan makanan sejuk beku itu memandangkan ia amat berpotensi dan mempunyai pasaran yang luas.
"Perniagaan ini kurang risiko kerana lambat rosak selain mempunyai permintaan yang tinggi di pasaran tempatan," katanya.
Lebih mengujakan, pihaknya yang kini menternak sebanyak 15,000 ekor ayam menjalankan proses penternakan tersebut tanpa menggunakan sebarang bahan kimia.
Bermula hari pertama anak ayam menetas, ia akan ditempatkan di sebuah reban selama 14 hari sebelum dibebaskan dalam kawasan ladang yang berkeluasan 10 hektar.
Ayam itu dibiarkan mencari makanan sendiri walaupun pihaknya menyediakan makanan setiap hari.
"Pada kebiasaannya, kami akan memberi rumput jenis azola dan kiambang itik sekali gus tidak memerlukan bahan kimia atau ubat-ubatan untuk membesar. Pengguna boleh makan ayam ini tanpa rasa was-was," jelasnya.

AYAM kampung KokOC ini diternak secara semula jadi tanpa sebarang suntikan.


Dalam pada itu, ayam Kok0C hanya dijual selepas berusia 100 hari iaitu setelah mencapai tahap matang dan berat sekitar 1.3 hingga 1.4 kilogram seekor.
Pembesaran semula jadi
Malah, bagi memastikan pembesaran ayam Kok0C mencapai tahap maksimum, pihaknya menghasilkan antibiotik secara semula jadi melalui penggunaan herba berasaskan tumbuh-tumbuhan yang ditanam sendiri.
Hakikatnya, Ishamuddin tidak perlu merunsingkan kepala untuk mempercepatkan pembesaran ayam kampung dengan suntikan seperti yang biasa dilakukan ke atas ayam daging.
Campuran herba hempedu bumi, daun patawali, daun betik, kunyit dan halia digunakan sebagai antibodi untuk melawan penyakit.
Ia bertujuan memastikan ayam tersebut melalui proses pembesaran secara semula jadi.
Jadi, pemantauan terperinci perlu dilakukan pada setiap hari bagi memastikan proses pembesaran berjalan lancar. Penternakan secara semula jadi itu membolehkan ayam-ayam berkenaan membekalkan nutrisi yang tinggi kepada pengguna.
Dalam pada itu, Ishamuddin juga menyifatkan keluaran ayam Kok0C merupakan ayam mesra alam kerana ia diternak di kawasan hijau selain air yang dibekalkan tidak tercemar.
Air untuk penternakan ayam daging diletakkan dalam kuantiti yang banyak di dalam satu reban.

PENGGEMAR ayam kampung boleh mengunjungi kedai sejuk beku ini yang terletak di Kota Damansara.


"Situasi ini menjadikan ayam daging hidup dalam persekitaran yang kotor dan kekurangan zat makanan," ujarnya.
Menurutnya lagi, kaedah penternakan itu didapati dengan merujuk kajian yang dijalankan oleh pakar-pakar dalam bidang penternakan dari dalam dan luar negara selain mendapatkan khidmat nasihat daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar.
Menyentuh mengenai rasa, beliau memberitahu, ayam Kok0C mempunyai rasa yang berbeza berbanding ayam di pasaran kerana ia lebih lembut, pejal dan tulang-tulangnya juga lembut.
"Ia lebih sesuai dijadikan sup," jelasnya yang mendapat sambutan menggalakkan daripada kalangan pelanggan Cina.
Pembungkusan vakum
Mengenai kos pula, Ishamuddin berkata, walaupun kos untuk menternak ayam kampung tinggi, pihaknya menjanjikan harga yang berpatutan.
Ia dijual pada harga RM19 seekor. Walaupun hari ini heboh pasal kenaikan harga ayam konvensional, pihaknya tidak bercadang untuk menaikkan harga.
"Saya rasa harga itu berpatutan terutama menjelang musim perayaan ini," ujarnya.
Ditanya mengenai pembungkusan, beliau memberitahu, pihaknya menggunakan kaedah pembungkusan vakum.

AYAM kampung ini dibungkus menggunakan kaedah vakum supaya tahan lebih lama.


Cara itu bukan sahaja mengekalkan makanan dalam keadaan tanpa udara malah mengelakkan bakteria dan kulat daripada membiak selain sesuai disimpan di bahagian sejuk beku.
Ayam yang dibungkus dengan plastik jernih itu dapat bertahan sekurang-kurangnya selama sebulan.
Tambahnya, dengan menggunakan kaedah itu, kualiti ayam masih tetap sama walaupun selepas dua minggu.
"Lagipun, jika menggunakan pembungkusan biasa, ayam tidak tahan lama," jelasnya.
Bagi memenuhi permintaan ayam kampung Kok0C, pihaknya menawarkan perkhidmatan penghantaran ayam terus ke rumah.
Caj sebanyak RM3 dikenakan dan penghantaran hanya dilakukan di sekitar Lembah Klang.
Bagi seorang kakitangan swasta, Nordiana Amelia Muhammad Amir, 35, dia lebih gemar membeli ayam kampung berbanding ayam biasa.
Manis dan lembut
Biarpun harga ayam kampung agak mahal, ia tidak menghalangnya daripada terus membeli ayam kampung.
"Saya rasa daging ayam kampung lebih enak kerana ia manis, pejal dan lembut terutamanya apabila dijadikan sup atau digoreng," jelasnya.
Namun demikian, anak jati Ipoh, Perak itu mengakui kesukaran untuk mendapatkan ayam kampung menyebabkan dia beralih kepada ayam biasa.
"Jika tiada pilihan, barulah saya akan beli ayam biasa," katanya sambil tersenyum.
Pendapat Nordiana turut disokong Abdullah Ghani, 57, yang menggemari ayam kampung kerana khasiatnya selain rendah lemak.
Bagaimanapun, kekangan kerja dan sering lewat pulang dari tempat kerja membataskannya untuk menikmati ayam kampung.
Begitupun, dengan adanya ayam kampung sejuk beku, ia membantu warga kota membelinya pada bila-bila masa sahaja.
"Jika sebelum ini ayam kampung hanya boleh didapati di pasar namun, kini ayam kampung juga boleh ditemui di kedai sejuk beku.
"Lagipun, memandangkan harga ayam konvensional yang melambung tinggi, saya rasa lebih elok membeli ayam kampung kerana ia lebih berkhasiat," jelasnya.
Selain itu, beliau turut mencadangkan agar lebih ramai pengusaha ayam kampung tampil dengan konsep itu memandangkan ayam kampung mendapat permintaan yang tinggi.

Masak lemang dalam ketuhar

Posted: 06 Aug 2013 07:29 PM PDT



PARA pelajar perubatan Universiti Auckland bergambar semasa jamuan raya tahun lalu.


TINGGAL di luar negara dalam tempoh yang lama bukan sahaja membuatkan seseorang itu rindu kepada keluarga di tanah air malah menyebut makanan tradisional pun pasti mengecurkan air liur.
Agaknya disebabkan terlalu rindu dengan lemang tradisional, maka Dr. Syazarin Fidhora Nasution dan rakan-rakan yang menetap di Auckland, New Zealand mengambil tindakan nekad membakar lemang sendiri.
Bertempat di belakang pangsapuri mereka, Syazarin Fidhora atau lebih dikenali sebagai Dora, berusaha membakar lemang di situ. Namun, cuaca di Auckland yang sejuk dengan tiupan angin kencang menjadi penghalang.
"Cuaca menyebabkan api tidak marak secukupnya untuk membakar buluh lemang. Selepas lima jam berusaha ia masih tidak berjaya.
"Lalu, kami masak lemang dalam ketuhar sahaja," kata Dora sambil disusuli hilai tawa ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Dora telah lapan tahun menetap di New Zealand iaitu sejak melanjutkan pengajian dalam bidang Perubatan di bawah tajaan Mara di Universiti Auckland dari tahun 2006 hingga 2011. Tamat pengajian, dia bekerja sebagai doktor di Hospital Middlemore, Auckland Selatan pada tahun 2012 dan tahun berikutnya dipindahkan ke Hospital Bandar Auckland.
Keluarga Dora kini menetap di Shah Alam, Selangor. Dora merupakan anak ketiga daripada empat adik-beradik yang semuanya bekerja di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
Ujian
Apabila ditanya dugaan menjalankan ibadah puasa di negara majoriti bukan penganut Islam, Dora berkata, perkara pertama yang perlu ditempuh ialah perbezaan iklim antara Malaysia dan New Zealand.

APABILA berada berjauhan dari tanah air, maka terbit rasa rindu pada keluarga dan makanan tradisional.


Keadaan suhu dan tempoh masa berpuasa berbeza-beza antara satu tahun dengan tahun yang lain kerana ia jatuh pada musim yang berbeza.
Cerita Dora, berpuasa pada musim panas, akan cepat penat dan dahaga kerana tempoh menjalani ibadah tersebut lebih panjang daripada biasa, tambahan pula kelas di universiti diadakan tanpa henti iaitu dari pukul 8 pagi hingga 5 petang.
Itu menjadi pengalaman Dora pada tahun pertama berada di New Zealand, namun lain pula pengalaman yang dilalui jika berpuasa pada musim sejuk.
Dora pernah menjalani puasa musim sejuk pada 2012. Pada tahun ini, dia amat bersyukur kerana waktu berbuka awal iaitu sekitar pukul 5.30 petang,
"Penat tetap penat kerana sekarang sudah bekerja. Semasa bekerja saya banyak berjalan dan berdiri," cerita Dora yang bakal pulang ke tanah air pada tahun hadapan.
"Amat mencabar apabila bekerja secara on call pada bulan Ramadan kerana perlu bekerja dari pukul 7 pagi sehingga 11 malam. Berbuka puasa dengan snek ringan sahaja.
"Saya biasanya membawa air dan snek dalam beg untuk berbuka jika tidak sempat ke kafe. Namun, paling mencabar apabila berada di bilik pembedahan ketika waktu berbuka," kenang Dora.
Pengalaman manis yang dilalui Dora ialah semasa berbuka dan bersolat tarawih di masjid atau di dewan komuniti di Auckland.
Rasa seronok terbit dalam diri Dora kerana dapat bersembahyang dan mendengar ceramah yang dipimpin oleh imam berketurunan Arab.

DORA (dua dari kiri) bersama jururawat di Hospital Middlemore, Auckland ketika bulan Ramadan lalu.


Jika Malaysia ada bazar Ramadan yang menjual pelbagai jenis juadah, Dora pula dapat menikmati makanan dari pelbagai negara seperti Brunei, Indonesia, India dan Arab Saudi.
Ujarnya, UMNO atau badan-badan bukan kerajaan (NGO) ada mengadakan aktiviti berbuka puasa sekali setahun.
Bazar Ramadan
Bazar Ramadan anjuran UMNO juga diadakan tahun lalu di Auckland dan Dora tidak melepaskan peluang menyertainya dengan menjual laksam, kek dan kuih-muih.
"Kami berkumpul bersama-sama jika ada aktiviti sebegitu diadakan, jadi kami boleh mengetahui perkembangan semasa antara satu sama lain," ungkapnya yang teruja apabila ada mat saleh mencuba laksamnya.
Seperti orang dagang lain, Dora juga berasa sedih pada pagi hari raya apabila tidak dapat bersalaman dengan ahli keluarga.
Tambah sayu, dia terpaksa bekerja seperti hari biasa kerana tiada cuti umum bagi menyambut 1 Syawal di New Zealand.
"Saya biasanya mencari masa untuk webcam dengan keluarga menggunakan Skype selepas pulang dari hospital.
"Sekurang-kurangnya terubat hati dan rasa seronok dapat lihat suasana raya di Malaysia dengan semua ahli keluarga memakai pakaian raya dan ibu pula menunjukkan juadah raya yang dimasak," katanya. Walaupun ia cuma melalui skrin kecil, tetapi sudah cukup baginya.

Rakam wajah-wajah kejujuran

Posted: 06 Aug 2013 07:27 PM PDT


PAKAIAN baju Melayu dan baju kurung menjadi simbol untuk menunjukkan suasana hari raya.


TEMPAHAN mengambil gambar semasa musim hari raya sekitar tahun 1980-an cukup memberangsangkan. Ketika itu, kamera pilihan saya ialah format sederhana besar iaitu Mamiya 645 manakala filem yang digunakan pula berukuran 120 milimeter (mm).
Ia agak besar berbanding format kamera biasa yang berukuran 135mm. Kenapa saya perlu menggunakan kamera yang mempunyai format sederhana besar? Ini kerana foto yang dihasilkan lebih bermutu berbanding 135mm.
Dari sudut percetakan pula, kita dapat melihat begitu halusnya bintik-bintik dalam foto seolah-olah tidak nampak langsung berbanding format 135mm, namun ia bergantung kepada berapa besar ukuran yang dicetak.
Kebanyakan tempahan yang saya terima ialah mengambil gambar keluarga sama ada di rumah pelanggan atau di studio sendiri.
Pada kebiasaannya, jika penggambaran dijalankan sebelum bulan puasa atau seminggu sebelum hari raya, saya sememangnya sibuk mengalahkan peniaga kedai baju Melayu memandangkan pelanggan mahu gambar siap lengkap berbingkai sehari sebelum raya.
Lebih teruk lagi, terdapat segelintir pelanggan yang ingin meletakkan kapsyen nama ahli-ahli keluarga mereka. Perkara seperti itu menuntut masa yang banyak kerana perlu mencetak gambar selain membuat salinan filem bromida untuk kapsyen.

KEIKHLASAN semasa bergambar amat perlu untuk mendapatkan foto terbaik.


Selepas proses pencetakan gambar, pemilihan bingkai gambar merupakan satu lagi usaha yang menuntut kreativiti bagi menonjolkan kesan gambar yang diambil.
Dalam hal ini, pemilihan bingkai perlu dilakukan secara teliti kerana jika bingkai lebih menonjol daripada gambar, maka hilanglah kredibiliti seseorang jurufoto apabila tersilap memilih bingkai.
Secara tidak langsung, gambar yang diambil itu tidak diberi perhatian. Bagaimanapun, saat paling manis dalam hidup saya sebagai jurufoto ialah apabila semua gambar yang dibingkaikan itu diletakkan di satu sudut paling istimewa di rumah pelanggan.
Wajah kegembiraan
Mengambil gambar untuk hari raya, para pelanggan perlu mengenakan baju Melayu dan baju kurung kerana ia satu kemestian untuk menonjolkan suasana hari raya.
Ketika itu, keadaannya tidak seperti hari ini. Semua hendak sedondon. Zaman saya dulu, asalkan ada baju Melayu dan songkok bagi lelaki manakala bagi perempuan ada kebaya, baju kurung dan selendang, ia sudah memadai.

KUASA sebuah senyuman amat penting untuk menghasilkan gambar yang menarik.


Sebab itu kalau kita melihat kembali gambar-gambar ibu bapa kita tahun 1960 walaupun kelihatan gayanya seolah-olah kaku tetapi cuba anda perhatikan secara terperinci wajah mereka ada kejujuran dan keikhlasan apabila bergambar.
Gambar sekarang, kita lihat seperti gembira tetapi hakikatnya jika diteliti secara halus, tampak wajah kegembiraan mereka penuh dengan kepalsuan atau dibuat-buat.
Sebenarnya, semasa merakam suasana hari raya, anda harus mencari perasaan yang jujur dan ikhlas itu.
Dalam pada itu, latar belakang juga memainkan peranan penting kerana jurufoto studio biasanya menggunakan latar belakang putih bagi menggambarkan hati budi subjek yang dirakam.
Malah, segelintir jurufoto studio lebih gemar menggunakan kanvas sebagai latar belakang yang membawa maksud artistik subjek yang hendak dibawa dalam fotografi.
Akhir kata, anda perlu mengeluarkan wajah-wajah jujur dalam setiap syot penggambaran dari pelbagai sudut sama ada latar depan atau belakang sebelum gambar diambil. Selamat mencuba!
Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua pembaca ruangan ini. Maaf zahir dan batin.

Pakaian senada serikan Aidilfitri

Posted: 06 Aug 2013 07:26 PM PDT




KELETIHAN menempuh perjalanan jauh dan kesesakan jalan raya bagaikan hilang apabila selamat sampai ke kampung halaman.
Wajah ibu, bapa, datuk atau nenek menyambut kepulangan anak-anak dan cucu-cucu kesayangan mencambahkan suasana ceria menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Apabila berkumpul beramai-ramai untuk berkongsi cerita, pelbagai ragam dapat disaksikan. Apatah lagi, masing-masing sibuk membuat persiapan terakhir sebelum menyambut ketibaan 1 Syawal.
Begitu juga dengan Mimi Azura Ali, 37, sekeluarga yang menetap di Klang, Selangor pulang beraya ke kampung suaminya yang terletak di Johor Bahru, Johor.
Perasaan gembira pulang beraya ke kampung suami, Azhan Edil, 37, semakin terserlah dengan kehadiran enam adik-beradik suami dan anak-anak mereka. Paling menarik, sambutan hari raya tersebut semakin ceria apabila setiap keluarga memakai warna sedondon.
"Pada tahun lalu, kami sekeluarga memakai pakaian serba biru manakala adik-beradik suami juga berpakaian sedondon tetapi warna berbeza. Apabila berkumpul beramai-ramai setiap keluarga mudah dikenali berdasarkan warna baju yang dipakai.
"Suasana terasa cukup meriah, bahagia dan setiap keluarga kelihatan serasi," kata Mimi yang memberitahu minat pakaian sedondon itu dipraktikkan oleh ibunya sejak dia kecil.
Selepas berkenalan dengan suami, pakaian sedondon itu turut menjadi pilihan setiap kali datangnya hari raya. Pemilihan warna tema setiap tahun ditentukan sendiri oleh Mimi.
"Suami hanya mengikut tema yang ditetapkan dan setakat ini pelbagai warna telah kami gayakan tetapi warga kegemaran kami sekeluarga ialah biru.
"Keluarga sebelah suami sebelum ini tidak mempraktikkan baju sedondon tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ia seakan-akan satu kemestian," katanya yang bekerja di sebuah butik pakaian di Shah Alam, Selangor.
Mimi juga sanggup membelanjakan ratusan ringgit untuk sepasang baju kurung moden. Dianggarkan kos yang dibelanjakan untuk membeli pakaian warna sedondon untuk keluarga termasuk dua anak lelaki dan seorang perempuannya mencecah RM1,500.

BEBERAPA pekerja bertungkus-lumus menyiapkan tempahan pakaian raya para pelanggan. - Gambar hiasan


Rasa teruja
"Baju kurung moden paling mahal pernah saya beli berharga RM899, baju Melayu suami RM250 manakala anak-anak dalam lingkungan RM300. Namun, ia terasa cukup berbaloi dan seronok kerana kami nampak serasi, mudah dikenali bahkan menerima pujian. Jika tidak memakai pakaian sedondon pada hari raya terasa janggal pula," katanya yang memilih warna ungu lembut untuk Aidilfitri tahun ini.
Sementara itu, Penerbit dan Juruhebah di Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM FM), Mona Jasman, 37, mengakui teruja setiap kali memakai pakaian sedondon pada Hari Raya Aidilfitri.
Menurut Mona, budaya memakai pakaian sedondon itu hanya dipraktikkannya selepas berkahwin sejak 15 tahun lalu.
"Sebelum ini, saya tinggal bersama keluarga di Mesir selama 25 tahun dan kami tidak pernah memakai pakaian sedondon pada hari raya. Selepas berkahwin dan berpindah ke Malaysia, suami, Yazid Daud, 37, mahu kami pakai pakaian sedondon.
"Pemilihan warna dari dulu sampai sekarang suami yang tentukan. Saya hanya mengikut pilihannya dan kadangkala kami berbincang tema pakaian tahun berikutnya ketika melihat pakaian sedondon orang lain," kata Mona warna kegemaran keluarganya ialah hijau.
Mona yang juga mengendalikan rancangan bahasa Arab di radio Ikim.FM berpendapat, pakaian warna sedondon menyerlahkan keserasian, menonjolkan imej keluarga dan mudah dikenali ketika berkunjung ke rumah saudara-mara atau rakan-rakan.
Bercerita tentang kenangan pakaian sedondon, ibu kepada lima anak itu berkata, pada tahun 2005, pakaian yang ditempah hanya siap pada malam raya kerana tukang jahit kedai tersebut berhenti kerja lalu pemiliknya terpaksa bertungkus-lumus menyiapkan pakaian tersebut.

MONA (tiga dari kiri) teruja menggayakan pakaian sedondon bersama keluarga kerana ia sesuatu yang baharu kepadanya.


Menurutnya, dia lebih gemar menempah berbanding membeli pakaian siap.
"Walaupun tema kami hanya sama dari segi warna tetapi kami lebih suka menempahnya. Kami pernah sekali membeli pakaian siap, tetapi di Singapura kerana tertarik dengan rekaannya.
"Tahun ini, tema pakaian kami ialah warna merah hati dan ia ditempah ketika kami berkunjung ke Bandung, Indonesia beberapa bulan lalu dengan kos kira-kira RM2,000," katanya.
Pemilik Butik Saidatulnisa, Saidatulnisa Aminuddin, 50, mula menerima tempahan untuk baju raya sejak awal tahun.
Menurut beliau, untuk menempah pakaian sedondon, pihaknya menerima lebih 50 tempahan malah sesetengah pelanggan telah pun mengambil pakaian mereka. Purata tempahan pakaian sedondon yang diterimanya ialah lima helai bagi sesebuah keluarga.

TIGA beradik Muhd. Hazriq Darwish Azhan, 3, (dari kiri) Muhd. Zizry Qhuzairy, 6, dan Nur Ummairah Batrisyah, 4, bergaya dengan pakaian sedondon.


Mengukuhkan hubungan
"Pakaian sedondon kini menjadi trend masyarakat di Malaysia. Pakaian sedondon bukan sahaja digayakan pada hari raya malah ketika menghadiri atau melangsungkan majlis perkahwinan.
"Pelanggan saya terdiri daripada pelbagai peringkat umur dan latar belakang. Kebanyakan yang menempah pakaian sedondon merupakan golongan muda berusia antara 20 hingga 40 tahun," katanya ketika ditemui di butiknya di Jalan Plumbum P 7/P, Seksyen 7, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Saidatulnisa menjelaskan, para pelanggan memilih pakaian sedondon untuk kelihatan sehati sejiwa, mengukuhkan hubungan dan nampak cantik bila bersama.
Selain menyediakan perkhidmatan tempahan pakaian dan menjahit manik, butik tersebut turut menjual pakaian sedia pakai. Pada tahun ini, Butik Saidatulnisa menyediakan sebanyak 1,000 helai baju Melayu sedia pakai selain pakaian baju kurung moden sekali gus memudahkan orang ramai memilih warna berdasarkan tema masing-masing.
Pada tahun ini, warna yang menjadi pilihan kebanyakan pelanggannya ialah ungu lembut, merah jambu pudar, hijau zamrud dan biru tiffany. Harga bagi sepasang baju di butik tersebut dijual antara RM249 hingga RM1,500. Mereka yang berminat boleh layari www.facebook.com/ ButikSaidatulnisa.

Amalan sunah di Aidilfitri

Posted: 06 Aug 2013 07:25 PM PDT

AMALAN menziarah kubur boleh dilakukan pada hari raya untuk mengenang mereka yang telah pergi.


HARI Raya Aidilfitri merupakan hari yang penuh dengan kegembiraan bagi seluruh umat Islam. Ini kerana pada hari itu segala keampunan dan rahmat daripada Allah diberikan kepada umat Nabi Muhammad SAW.
Hari yang mulia ini merupakan hari kemenangan umat Islam yang telah menumpaskan godaan nafsu sehingga mereka berjaya menamatkan perjuangan melakukan ibadah puasa, solat tarawih, tadarus al-Quran dan ibadah-ibadah yang lain.
Menjelang Aidilfitri umat Islam bagaikan bayi yang baru dilahirkan oleh ibu mereka dalam keadaan fitrah dan bersih daripada segala dosa. Aidilfitri juga hari merayakan kebesaran Tuhan dan hari mentauhidkan keesaan-Nya.
Maka di mana-mana kita lihat rata-rata umat Islam menyambut dan merayakan Aidilfitri dengan gema takbir yang membesarkan Allah dan tahlil mentauhidkan-Nya. Kebesaran Allah dapat dilihat melalui rahmat dan maghfirah-Nya pada bulan Ramadan dan anugerah lailatulqadar yang cukup istimewa.
Sebelum kedatangan Islam, orang-orang jahiliah dahulu juga menyambut hari raya mereka dengan cara yang tersendiri. Mereka meraikannya dengan berbagai-bagai kemaksiatan seperti minum minuman keras dan menyembah patung berhala.
Setelah kedatangan Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW, hari raya itu diganti dengan Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha. Rasulullah bersabda: "Dahulu kalian mempunyai dua hari yang kalian melakukannya untuk bersenang-senang dan sungguh Allah telah menggantikan kedua-duanya dengan yang lebih baik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha."
Solat Aidilfitri buat kali pertama disyariatkan pada tahun pertama Hijrah, namun Rasulullah baru dapat melakukannya pada tahun kedua Hijrah. Hukum mendirikan solat sunat ini menurut Mazhab Syafie dan Mazhab Maliki sunat muakad yakni sunah yang tidak pernah ditinggalkan oleh Rasulullah.

UMAT Islam perlu menghiasi malam raya dengan alunan takbir yang memuji kebesaran Ilahi sempena meraikan kemenangan berpuasa pada bulan Ramadan.


Ibnu Abbas meriwayatkan sebuah hadis yang bermaksud: "Apabila datang Hari Raya Aidilfitri, para malaikat berbondong-bondong turun ke atas permukaan bumi dan berdiri di sebuah tempat sambil berkata yang dapat didengari oleh seluruh makhluk ciptaan Allah kecuali manusia dan jin: 'Wahai umat Nabi Muhammad! Keluarlah kalian menuju kepada Tuhan Yang Maha Pemurah dan mengampuni daripada segala dosa, apabila mereka bergerak dan berada di tempat solatnya, Allah berfirman kepada para malaikat-Nya: 'Wahai para malaikatku! Apakah balasan bagi seorang hamba yang telah menyelesaikan pekerjaannya? Para malaikat menjawab: 'Wahai Tuhan dan Pemimpin kami, selayaknya baginya untuk diberikan ganjaran. Allah berfirman: 'Saksikanlah oleh kalian! Sesungguhnya Aku memberi pahala bagi mereka yang berpuasa dan solat. Reda serta ampunan-Ku untuk mereka, berlalulah, kalian telah Aku ampuni."
Ketika meraikan hari raya, kita hendaklah melakukan dan meninggalkan beberapa perkara yang telah diterangkan oleh Rasulullah seperti:
* Diharamkan berpuasa pada Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha
Seperti yang disebutkan oleh Rasulullah: "Sesungguhnya dilarang berpuasa pada dua hari raya, iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha." – Riwayat Bukhari dan Muslim.
* Membersihkan diri dan mandi sebelum pergi ke masjid
Sa'id bin Jubair berkata: "Sunah-sunah Eid itu ada tiga perkara, berjalan kaki ketika menuju ke masjid, mandi sebelum solat dan makan setelah waktu Subuh."
Imam Nawawi mengatakan: "Seluruh ulama bersepakat sunahnya mandi sebelum solat Aidifitri."

DISUNATKAN memakai pakaian baharu bagi menzahirkan kesyukuran atas nikmat yang diperoleh.


* Makan beberapa biji kurma dalam jumlah ganjil sebelum ke masjid
Sebelum ke masjid untuk mendirikan solat sunat Aidilfitri, kita digalakkan makan terlebih dahulu manakala pada Hari Raya Aidiladha, disunatkan tidak makan sebelum ke masjid. – Riwayat Bukhari
* Bertakbir pada waktu terbenamnya matahari iaitu masuk waktu solat Maghrib hingga keluarnya imam menuju ke mimbar pada keesokan hari
Banyak riwayat daripada Nabi Muhammad dan perkataan para sahabat yang memerintahkan untuk menghiasi malam hari raya dengan bertakbir kepada Allah. Muhammad bin Syihab al-Zuhri berkata: "Kami sentiasa bertakbir sejak melangkahkan kaki menuju ke masjid sehingga keluarnya imam."
Selain itu, malam Hari Raya Aidilfitri merupakan waktu yang paling baik untuk berdoa. Imam Syafie pernah mengatakan: "Ada lima malam yang doa seorang hamba itu cepat dikabulkan oleh Allah iaitu malam Hari Raya Aidilfitri, malam Hari Raya Aidiladha, malam Jumaat, malam awal Rejab dan malam Nisfu Sya'aban."
* Mengucapkan tahniah kepada sesama saudara Muslim
Dianjurkan kita mengucapkan tahniah sesama kaum keluarga dan rakan seagama kerana telah berjaya melaksanakan ibadah selama sebulan pada bulan Ramadan. Pengucapan selamat ini telah mula dilakukan sejak zaman sahabat.
* Memakai pakaian yang bagus atau baharu
Jika berkemampuan, pakailah pakaian yang baik dan elok serta memakai minyak wangi sebagai penghormatan pada hari yang mulia ini. Ia merupakan tanda syukur dengan memperlihatkan nikmat yang telah diberikan oleh Allah.
* Disunatkan untuk solat Aidilfitri berjemaah
Pada pagi Syawal, kaum lelaki, wanita, orang musafir dan kanak-kanak disunatkan mengerjakan solat sunat Aidilfitri. Bagi wanita yang haid, mereka boleh duduk di luar masjid.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines