Sabtu, 10 Ogos 2013

LIGA BOLASEPAK MALAYSIA

LIGA BOLASEPAK MALAYSIA


PBNS ambil langkah pulihkan pasukan

Posted: 08 Aug 2013 09:50 PM PDT

Sumber: Sinar Harian & Bernama

PERSATUAN Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) akan mengambil langkah drastik untuk membina semula pasukan Negeri Sembilan walaupun bersaing dalam Liga Perdana musim depan.

Presidennya Datuk Seri Mohamad Hasan berkata ini kerana PBNS mempunyai matlamat untuk melonjakkan semula skuad Rusa ke persaingan Liga Super.

Beliau berkata beberapa pemain profesional yang menunjukkan aksi secara ala kadar dalam saingan Liga Super musim ini akan dilepaskan dan diganti dengan beberapa pemain baru.



Langkah penyusunan skuad itu turut melibatkan pengambilan jurulatih baharu dan pengurus pasukan sepenuh masa, katanya kepada pemberita selepas majlis rumah terbuka Aidilfitri kerajaan Negeri Sembilan di perkarangan bangunan Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Beliau berharap beberapa langkah yang akan dilakukan itu akan memastikan pasukan Negeri Sembilan dapat membawa cabaran yang kuat dalam kancah Liga Perdana musim depan dalam usaha melonjak semula ke dalam Liga Super musim berikutnya.

Mohamad juga tidak menolak kemungkinan beliau menjadi pengurus pasukan bagi memastikan matlamat ini tercapai.

"Jika saya jadi pengurus pasukan, saya akan melantik seorang penolong pengurus sepenuh masa supaya sebarang masalah dapat dibawa kepada jawatankuasa pengurusan untuk tindakan segera," katanya.

Beliau berkata sebelum ini banyak masalah pemain tidak disampaikan kepadanya dan ini mengakibatkan masalah pemain tidak selesai sehingga pencapaian pasukan terjejas.

Mengenai kempen Piala Malaysia musim ini yang bermula 20 Ogos ini, beliau berkata peluang Negeri Sembilan agak tipis memandangkan tiga lagi pasukan pantai timur iaitu Kelantan, Pahang dan Terengganu yang bersaing dalam Kumpulan C adalah pasukan yang kuat.

"Untuk Piala Malaysia musim ini, saya kira peluang kita agak tipis, tambahan pula kita tidak ada perubahan (pemain) dalam pasukan kita," katanya. - Bernama

Halang Barca berpesta gol

Posted: 08 Aug 2013 07:26 PM PDT

Sumber: Harian Metro

Kelana Jaya: Tumpuan peminat tempatan pasti terarah kepada benteng pertahanan dalam mengekang jentera serangan FC Barcelona yang terkenal dengan corak permainan pantas serta hantaran pendek dalam aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu nanti.

Ramai menjangkakan jaringan besar akan dicatat kelab gergasi dunia itu yang tampil buat kali pertama di Kuala Lumpur seperti kejayaan mereka membelasah kelab terkemuka Brazil, Santos FC 8-0 dalam aksi persahabatan merebut Trofi Joan Gamper awal bulan ini.



Jadi aksi menentang Barcelona mahu dijadikan tonggak senior pertahanan negara, Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak sebagai medan membuktikan persiapan mereka untuk menghadapi perlawanan kelayakan Piala Asia 2015 berada dalam landasan tepat walaupun menerima kecaman dan kritikan pelbagai pihak sebelum ini.

"Moral kami memang tertekan kerana ramai yang membuat kritikan namun kami tetap akan memberikan aksi terbaik. Kami pergi ke Jepun bukan untuk bercuti tapi bekerja, orang yang tidak nampak sendiri apa kami jalani di sana boleh membuat pelbagai cerita, itu hak masing-masing tapi bagi saya ia pengalaman berguna," kata tonggak pertahanan tengah Johor Darul Takzim itu.

Skuad negara berkunjung ke Tokyo sebelum ini dengan menentang tiga kelab Jepun, namun tewas semua perlawanan sehingga menimbulkan rasa kurang senang pemerhati bola sepak tempatan.

"Tiada yang meramalkan skuad negara akan menang (menentang Barcelona), Santos pun boleh tewas dengan 8-0, tapi kita akan cuba memberikan yang terbaik dan tidak akan mudah mengalah. Cuma saya berharap kami tidak dibolosi dengan terlalu banyak gol.

"Pada sesi latihan jurulatih (Datuk K Rajagobal) banyak memberikan penekanan kepada corak permainan padat, beliau tidak mahu kita terlalu berpecah kerana ia akan memberi ruang kepada lawan mencipta gerakan dan serangan berbahaya," katanya.

Mengenai Barcelona, Aidil berkata, corak permainan kelab tu sememangnya laju dan susah untuk kehilangan bola namun mereka akan cuba menampilkan aksi terbaik.

Sementara itu seorang lagi pertahanan negara, Mohd Asraruddin Putra Omar menjelaskan semua bahagian perlu berfungsi seperti diarahkan kerana lawan mempunyai jentera serangan terbaik di dunia.

"Kami cuba boleh mengekang apa yang cuba mereka lakukan selain mengurangkan kesilapan," kata pertahanan Selangor itu.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines