Jumaat, 13 Disember 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Zain Saidin & Rozita Che Wan Bergelar Suami-Isteri

Posted: 12 Dec 2013 05:44 AM PST


Zain sah bergelar suami kepada Rozita hanya dengan sekali lafaz. 
SHAH ALAM: Dengan sekali lafaz, pelakon Zain Saidin, 29, kini sah menjadi suami kepada aktres Rozita Che Wan, 40, di Gazebo Setia City Convention Centre, di sini.
Majlis berlangsung kira-kira pukul 9.10 malam Rabu.
Pasangan itu dinikahkan oleh Ketua Pendaftar Nikah Negeri Selangor, Ustaz Alwi Parman.
Rozita diwalikan oleh adiknya, iaitu Roshidi Che Wan.
Pelakon itu menerima sembilan dulang hantaran yang diisi di dalam peti termasuk mas kahwin berjumlah RM9,300, sebentuk cincin bernilai RM93,000 dan wang hantaran sebanyak RM23,000.
Rozita mencium tangan suaminya selepas upacara membatalkan air sembahyang.
Hantaran yang dibawa turut mengandungi telekung dan sejadah, set minyak wangi, beg tangan, sepersalinan kain, kasut, sirih junjung, telefon bimbit dan cincin.
Manakala pihak lelaki pula menerima sebanyak sembilan peti hantaran berupa baju Melayu, kemeja-T, kasut, beg dan tali pinggang, sirih junjung, set minyak wangi, gelang tangan dan jam serta cincin.
Pada majlis tersebut, Zain atau nama sebenarnya Mohamad Zain Mohd Saidin yang memakai baju Melayu warna krim masuk ke dewan lebih awal dan diikuti oleh Rozita kira-kira pukul 8.30 malam.
Rozita menggayakan kebaya moden berwarna sama rekaan Man Kajang.
Wanita itu kemudian disarungkan cincin pertunangan oleh ibu Zain iaitu Siti Aishah Abdullah sebelum majlis akad nikah bermula.
Suasana majlis pernikahan Zain dan Rozita di Shah Alam, Selangor.
Pada majlis itu Rozita turut menggayakan barangan kemas pertama delima terdiri daripada tiara berlian, dua bentuk cincin, sepasang anting-anting labuh, rantai leher dan dua pasang rantai tangan bernilai RM6.5 juta tajaan Habib Jewels.
Sementara itu Zain berkata, dia gembira akhirnya dia menjadi suami kepada Rozita dan berharap agar perkahwinan mereka akan mekar sehingga ke akhir hayat.
"Selama ini kami susah senang bersama. Walaupun masing-masing sibuk dengan karier, Alhamdulillah, kami akhirnya disatukan juga.
"Harap-harap tiada lagi gosip berkaitan dengan kami selepas ini," selorohnya.
Seramai 200 tetamu termasuklah keluarga dan rakan media menghadiri majlis akad nikah bertemakan ala taman itu.
Zain menyarungkan cincin ke jari manis isterinya, Rozita.
Antara selebriti yang hadir ialah Tasha Shilla, Nur Fathia, Ayu Raudhah, Mazlan (Pet Pet), kakak Zain iaitu Sasha Saidin, Micheal Ang dan Azza (Elite).
Majlis persandingan kedua-dua mempelai akan diadakan pada Jumaat ini di Grand Ballroom, Pusat Konvensyen Setia City pada pukul 8 malam.
Sementara itu, Astro Ria menerusi saluran 104 merupakan penyiar rasmi bagi majlis akad nikah dan persandingan kedua-dua pengantin itu.
Rozita yang merupakan seorang janda mempunyai dua orang anak iaitu Aniq Ezzra, 15, dan Ammar Effendy, 17, hasil perkahwinan terdahulu dengan Azuar Effendy Zulkafly, 41, pada 26 Ogos 1995.
Pasangan itu bercerai pada 8 Mei 2003.

Wanita Dikaitkan Dengan Skandal Adi Putra Dedah Kes Esok

Posted: 12 Dec 2013 05:43 AM PST


Adi Putra
PETALING JAYA: Ketika pelakon Adi Putra, 32, mengambil peluang untuk mengadakan sidang media berhubung skandalnya dengan isteri orang pada malam Khamis (malam ini) wanita tersebut pula akan membuat sidang media serupa pada Jumaat (esok).
mStar Online dimaklumkan, wanita berusia 30 tahun itu akan ditemani suaminya dan seorang peguam untuk mendedahkan perkembangan terbaharu berhubung siasatan kes berkenaan.
Sidang media itu akan diadakan di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada pukul 4 petang.
Terdahulu Adi Putra akan mengadakan sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Khamis kira-kira pukul 8 malam.
Adi diberitakan akan menjelaskan perkembangan kes berkenaan termasuklah kononnya dia tidak bersalah.
Pada September lalu Adi atau nama sebenarnya Mohamed Hadi Putera Halim didakwa menjalinkan skandal dengan isteri orang dan aktor itu disiasat polis selepas suami wanita berkenaan iaitu seorang ahli perniagaan dari Johor membuat aduan.
Akhbar melaporkan, pelakon KL Gangster itu didakwa saling berbalas mesej dan bertukar gambar lucah dengan wanita terbabit yang berusia 30 tahun walaupun baru seminggu berkenalan.
Pelakon itu dikatakan berkenalan dengan wanita terbabit menerusi laman Instagram dan kemudian mereka kerap berbalas mesej melalui aplikasi WhatsApp sejak 29 Julai lalu sehinggalah perbuatan berkenaan dihidu suami wanita itu.
Bagaimanapun selepas tiga bulan kes berkenaan senyap, timbul pula gosip mendakwa kononnya Adi telah menggunakan pengaruh orang kenamaan bagi menutup kes tersebut.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Dua Anak Dedah Rahsia Zain Saidin 'Tawan' Cik Ta

Posted: 12 Dec 2013 05:42 AM PST


Aniq (kiri) dan Ammar gembira ibu mereka, Rozita Che Wan akhirnya berkahwin dengan Zain Saidin.
PETALING JAYA: Anak sulung aktres Rozita Che Wan iaitu Ammar Effendy, 17, mendedahkan bapa tirinya iaitu pelakon Zain Saidin bijak memujuk ibunya terutama sekali apabila berlakunya perselisihan faham.
Ammar berkata, Zain akan bercakap menggunakan dialek Kedah setiap kali mahu memujuk Rozita dan petua itu mampu membuat ibunya tersenyum disebabkan dialek Zain itu berbunyi agak pelik.
"Uncle (Zain) memang pandai pujuk mommy (Rozita) guna dialek Kedah. Kelakar bunyinya apabila 'mat saleh celup' berbahasa begitu.
"Dia bukan sahaja pandai mengambil hati mommy tetapi juga saya dan adik (Aniq Ezzra, 15). Uncle selalu bawa kami main bola dan tengok wayang," katanya.
Ammar ditemui selepas majlis pernikahan Rozita atau nama sebenarnya Rozita Che Wan, 40, dan Zain, 29, di Gazebo Setia City Convention Centre, di sini pada malam Rabu.
Pada majlis akad nikah itu, kedua-dua pasangan sah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz.
Zain pandai memikat hati Rozita.
Rozita menerima sembilan peti hantaran termasuk mas kahwin berjumlah RM9,300, sebentuk cincin bernilai RM93,000 dan wang hantaran sebanyak RM23,000.
Pihak lelaki juga turut membalas dalam jumlah yang sama.
Ammar dan Aniq merupakan anak Rozita hasil perkahwinan terdahulu Rozita dengan Azuar Effendy Zulkafly, 41. Mereka berpisah pada 2003.
Dalam pada itu, Aniq pula berkata, ibunya mula memberitahu mengenai perancangan perkahwinan mereka empat bulan lalu dan berita itu membuatkan dia dan abangnya gembira.
"Sebelum itu, mommy membawa kami bercuti di Genting Highlands dan memperkenalkanUncle kepada kami.
"Tetapi masa itu dia tak cakap apa-apa kerana mommy ini kalau nak tahu, seorang perahsia. Dah lama selepas itu barulah mommy terangkan pada kami.
"Mula-mula rasa peliklah juga, maklumlah Uncle kan lebih muda dari mommy. Tetapi melihat kesungguhan Uncle terhadap mommy membuatkan kami selesa dan pada masa sama mereka tidak mengabaikan saya dan abang," ujarnya yang masih tidak tahu apakah panggilan paling sesuai buat Zain sekarang ini.
Ditanya adakah mereka tidak sabar untuk menerima adik baharu, seloroh Ammar: "Kan saya dah ada adik dah. Tetapi bolehlah juga, dapat adik kacukan."

Pemilik Asal 'The Hobbit' Saman Warner Bros

Posted: 12 Dec 2013 05:41 AM PST


Harvey Weinstein
WARNER Bros, pemilik studio Hollywood mendakwa penerbit bersaudara Bob dan Harvey Weinstein cuba untuk menulis semula sejarah perjanjian antara kedua-dua pihak apabila mereka menyaman studio berkenaan untuk memperoleh sebahagian daripada keuntungan daripada penayangan trilogi filem The Hobbit.
Weinstein bersaudara itu telah memfailkan saman ke atas New Line Cinema dan Time Warner dengan tuntutan sebanyak RM242 juta dalam bentuk ganti rugi kerana mendakwa studio berkenaan telah menjadikan filem tersebut kepada tiga siri tetapi mereka hanya dibayar keuntungan daripada sebuah filem The Hobbit. sahaja.
"Kes ini adalah berkenaan dengan sikap tamat dan tidak berterima kasih," demikian menurut Weinsteins bersaudara dalam kenyataan saman mereka di mahkamah New York, sebagaimana yang dipetik oleh majalah hiburan Variety.
Weinsteins bersaudara sebelum ini adalah pemilik studio Hollywood iaitu Miramax dan mereka telah melabur RM32.3 juta dalam membentuk jalan cerita The Hobbit apabila New Line membeli hak penciptaan ke atas filem tersebut pada 1998 dan bersetuju untuk membayar 5 peratus daripada keuntungan filem berkenaan kepada dua bersaudara itu.
Bagaimanapun Warner Bros dalam satu kenyataan balas menegaskan bahawa Weinsteins bersaudara sepatutnya lebih teliti ketika mereka menjual Miramax kepada New Line Cinema dan Warner Bros dahulu.
Jurucakap Warner Bros, Paul McGuire menjelaskan apa yang berlaku adalah kesilapan Weinsteins bersaudara sendiri dan kesilapan itu adalah kesilapan yang paling besar dalam sejarah Hollywood.
Gambar memperlihatkanMartin Freeman (kiri)dan John Callen dalam satu adegan "The Hobbit: The Desolation of Smaug."
"Lima belas tahun dahulu Miramax, yang dimiliki oleh Weinstein bersaudara ini telah menjual hak cipta The Hobbit kepada New Line Cinema. Perjanjian penjualan itu dengan jelas menyatakan yang mereka berhak untuk berkongsi keuntungan ke atas filem The Hobbit yang berjaya mengutip keuntungan sehingga RM32.3 bilion di pawagam diseluruh dunia.
"Tetapi mereka sendiri yang bersetuju untuk menerima bayaran hanya daripada hasil pembikinan filem yang pertama mengenai trilogi The Hobbit dan itu sahaja hak yang mereka ada iaitu ke atas pembikinan filem yang pertama. Ia termaktub di dalam perjanjian kami," jelas McGuire.
Pertelingkahan berhubung isu perundangan dan hak milik filem ini muncul ketika sekuel kedua The Hobbit: The Desolation of Smaug, akan muncul di pawagam menjelang sambutan Krismas ini.
Tahun lalu filem pertama dari siri The Hobbit dengan judul An Unexpected Journey telah berjaya membuat kutipan pecah panggung di seluruh dunia.
Kisah terakhir daripada trilogi ini dengan judul The Hobbit: There and Back Again dijangka masuk panggung pada Disember 2014 iaitu setahun dari sekarang.
Ketiga-tiga filem tersebut diarahkan oleh Peter Jackson, seorang pengarah yang berasal dari New Zealand.

Mama Rina (AF6) Jual Kereta, Naik Bas Cari Rezeki

Posted: 12 Dec 2013 05:40 AM PST


Mama Rina memberitahu terpaksa menaiki bas sekiranya mempunyai undangan nyanyian dari Kohor Baharu ke Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR: Bekas peserta program Akademi Fantasia musim ke-6 (AF-6) Hairina Abd Halim mengakui berasa terkilan apabila tidak lagi mendapat undangan nyanyian sejak setahun lalu.
Hairina atau lebih mesra dengan sapaan Mama Rina, 50, berkata, akibat keadaan itu dia terpaksa menjual keretanya kerana tidak mampu melunaskan ansuran bulanan.
"Sekarang ini jika ada apa-apa undangan saya akan menaiki bas dari Johor Baharu ke Kuala Lumpur kerana tidak lagi mempunyai kereta.
"Undangan nyanyian juga tidak serancak dahulu malah sejak setahun lalu saya tidak lagi menerima sebarang tawaran nyanyian," katanya kepada mStar Online.
Mama Rina ditemui selepas majlis memperkenalkan enam peserta akhir pertandingan Bintang Nostalgia di Angkasapuri di sini, Rabu.
Acara itu bakal berlangsung pada 16 Disember ini di Auditorium Perdana, Angkasapuri pukul 9 malam. Ia bakal disiarkan menerusi TV1.
Mama Rina ketika membuat persembahan dalam rancangan Akademi Fantasia musim keenam pada tahun 2008.
Mama Rina merupakan seorang ibu tunggal dan peserta paling tua menyertai AF-6 pada tahun 2008 ketika usia 45 tahun.
Dalam perkembangan sama, nenek kepada dua orang cucu ini berkata, istilah berputus asa tidak pernah wujud dalam dirinya biarpun karier nyanyiannya semakin malap.
Jelasnya, bidang nyanyian sudah sebati dalam dirinya dan akan terus berusaha selagi diterima peminat.
"Hampir tiga puluh tahun saya menyanyi dan ia tidak akan dilupakan begitu sahaja.
"Biarpun terpaksa mengharungi pelbagai cabaran tetapi saya tidak akan berputus asa selagi ada peminat," ujarnya.
Penyanyi berusia 50 tahun ini tidak pernah berputus asa walaupun namanya semakin malap.
Sementara itu, bercakap mengenai penyertaannya dalam pertandingan Bintang Nostalgia 2013, Mama Rina menjelaskan dia mahu menggunakan platform tersebut untuk memperkenalkan kembali namanya.
Bagaimanapun katanya, lagu-lagu nostalgia yang menjadi pertaruhan menerusi pertandingan itu turut menarik minatnya untuk mencuba.
"Sebelum ini saya sudah membawakan pelbagai genre lagu seperti rock, balada dan tradisional tetapi lagu-lagu nostalgia belum pernah saya cuba.
"Selain ingin memperkenalkan kembali nama dalam bidang nyanyian saya mahu mencabar diri dengan muzik-muzik nostalgia," katanya.
Bagaimanapun kata Mama Rina, dia tidak mengharapkan gelaran juara namun bersyukur jika ia menjadi miliknya.
Juara pertandingan itu akan membawa pulang hadiah wang tunai RM13,000 manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing diberikan RM9,000 dan RM7,000.
Manakala sagu hati akan menerima wang tunai bernilai RM3,000.

YouTube Jadi Panduan Nabil Ahmad Kendalikan AIM-20

Posted: 12 Dec 2013 05:39 AM PST


Nabil bakal bergandingan dengan Aznil Nawawi di AIM20 pada Sabtu ini. 
PETALING JAYA: Pengacara Nabil Ahmad mengambil inisiatif menonton semula Anugerah Industri Muzik ke 20 (AIM-20) yang pernah dianjurkan sebelum ini sebagai persiapan mengendalikan acara tahunan berprestij itu yang bakal berlangsung pada Sabtu ini di Stadium Putra, Bukit Jalil, dekat sini.
Nabil atau nama sebenarnya Ahmad Nabil Ahmad, 29, berkata, dia perlu membuat persiapan rapi terutamanya mengenai informasi dan perkembangan dunia muzik hiburan tempatan secara lebih terperinci kerana ingin dilihat pada sudut berbeza sebagai seorang pengacara.
"Sebelum ini saya banyak mengendalikan majlis-majlis korporat yang lebih formal berbanding AIM. Apabila diberi peluang mengacarakan AIM20 pada Sabtu ini saya ingin menunjukkan sisi lain saya sebagai pengacara kepada penonton.
"Dan kerana itu , saya perlu membuat persiapan sebaik-baiknya, dengan menonton anjuran AIM terdahulu di YouTube, mengkaji pengacaranya mengendalikan majlis.
"Risau juga dibuatnya kerana saya bergandingan dengan Datuk Aznil Nawawi dan dia sudah biasa dengan acara-acara sebegini. Cuma saya harap rujukan ilmu yang saya buat cukup agar kami mempunyai keserasian yang tersendiri," katanya kepada mStar Online.
Anugerah berprestij itu akan disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria pada pukul 8.30 malam.
Tambah Nabil dia juga risau kerana tidak dapat menjalani raptai pada Jumaat ini kerana terlibat dengan pertandingan program Maharaja Lawak Mega 2013 (MLM 2013) yang berlangsung di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dekat sini.
Dalam pada itu mengenai MLM, dia tidak menyangka penyertaannya secara solo dalam program itu berjaya memikat hati penonton apabila kebanyakan mereka memberi respons positif terhadap persembahan lawaknya itu.
"Pada minggu pertama, saya terkejut juga apabila mendapat tepukan gemuruh daripada penonton sejurus selepas persembahan. Saya sangka, lawak saya mungkin tidak akan menjadi pada minggu pertama, lebih-lebih lagi saya solo, tidak macam yang lain, mereka berkumpulan.
"Bagaimanapun, apabila sudah sampai ke minggu keempat ini, semangat saya jadi lain, saya ingin membuktikan bahawa melawak secara solo juga boleh menghiburkan penonton.
"Alhamdulillah penonton sudah faham dengan konsep lawak 'stand upper'. Ia lebih memudahkan saya untuk menarik hati penonton dengan lawak-lawak yang disampaikan di MLM 2013," tuturnya.

Artis 70-an & 80-an Dalam Bintang Nostalgia 2013

Posted: 12 Dec 2013 05:38 AM PST


Enam peserta akhir Bintang Nostalgia 2013 yang terpilih untuk berentap pada 16 Disember ini.
KUALA LUMPUR: Artis terkenal era 70-an dan 80-an akan memeriahkan pertandingan akhir Bintang Nostalgia 2013 apabila mereka digandingkan dengan finalis pertandingan itu yang bakal berlangsung di Auditorium Perdana, Angkasapuri pada 16 Disember ini.
Pengarah Radio RTM, Dr Nawiyah Rita Che Lah berkata, enam artis iaitu Azlina Aziz, Hail Amir, Siti Fairuz, Ibnor Riza, Nassier Wahab dan Musli Ramlee telah bersetuju untuk digandingkan dengan peserta berkenaan.
"Kesemua peserta akan diberi dua tugasan dan pada tugasan kedua mereka akan berduet dengan artis-artis yang kami pilih sebagai kelainan pada pertandingan ini.
"Kami akan menentukan siapakah artis yang bakal berpasangan dengan peserta mengikut kesesuaian vokal masing-masing," katanya kepada mStar Online.
Nawiyah ditemui pada majlis memperkenalkan enam peserta akhir pertandingan itu di Angkasapuri di sini, Selasa.
Dr Nawiyah Che Lah
Enam peserta yang berjaya ke peringkat akhir adalah Asiah Supiah, Jamiah Lambed, Alias Ariffin, Shamsiah Mohd Said, Rizal Ahmad dan bekas pelajar Akademi Fantasia musim keenam (AF-6) iaitu Hairina Abd Halim (Mama Rina).
Bintang Nostalgia 2013 akan disiarkan secara langsung di TV1 pada pukul 9 malam.
Dalam pada itu, Nawiyah berkata, sambutan terhadap pertandingan itu amat menggalakkan apabila hampir 1,000 peserta tampil untuk uji bakat yang dianjurkan oleh stesen radio Klasik FM.
Bagaimanapun, hanya 18 peserta terpilih untuk bertanding pada peringkat separuh akhir sebelum memilih enam terbaik untuk ke peringkat akhir.
"Populariti Klasik FM telah memberi kesan kepada bilangan peserta yang hadir dan kami menganggap ia satu kejayaan besar buat program ini," katanya.
Nassier Wahab
Menjelaskan tentang pemilihan peserta akhir, Nawiyah menjelaskan kualiti vokal para peserta adalah kriteria utama yang dilihat barisan juri selain mempunyai karisma ketika di atas pentas.
Malah katanya, para peserta tidak dibenarkan untuk memilih lagu untuk dinyanyikan sebaliknya ia dibuat oleh panel profesional bagi memberi cabaran kepada kemantapan vokal peserta.
Bintang Nostalgia telah diperkenalkan oleh Klasik FM pada tahun 2008 dan ia terbuka kepada peserta berusia 35 tahun dan ke atas.
Juara pertandingan itu akan membawa pulang hadiah wang tunai RM13,000 manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing diberikan RM9,000 dan RM7,000.
Manakala tempat sagu hati akan menerima wang tunai bernilai RM3,000.

'Bersenam kalau nak langsing'

Posted: 12 Dec 2013 05:37 AM PST

  • 'Bersenam kalau nak langsing'Cristina Suzanne

NAMA Cristina Suzanne Stockstill barangkali bukanlah asing bagi sesetengah peminat industri seni.

Apatah lagi, sejak akhir-akhir ini, figura yang pernah menggunakan nama Kris Cempaka di awal pembabitannya ini sudah membuktikan kehadirannya bukan boleh di pandang enteng.

Bukan sahaja membuktikan keberkesanan lakonannya menerusi kemenangan bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Kil di Anugerah Skrin 2013, baru-baru ini, Cristina atau mesra di sapa Cris juga dianugerahkan rupa paras yang cukup cantik dan tubuh yang langsing.

Apatah lagi, gadis berusia 28 tahun ini mempunyai darah Pan-Asia, yang pastinya menimbulkan rasa cemburu bagi sesetengah wanita yang mungkin mengimpikan kecantikan dan kelangsingan seperti Cris.

Bagaimanapun, dedah Cris, dia sebenarnya lebih suka dan mengagumi kulit wanita tempatan yang lebih cantik berbanding kulit wanita barat.

Ikuti rahsia penjagaan kecantikan dan kelangsingan bekas pramugari Penerbangan Malaysia (MAS) dan Qatar Airways ini.


Apa pengertian cantik dan sihat bagi anda?

Kecantikan bagi saya adalah pandangan pertama seseorang itu terhadap diri kita meliputi bagaimana cara dia menegur orang, pembawaan dirinya dan bukannya diukur jenama baju yang dipakainya atau solekan yang digayakannya. Manakala kesihatan pula bukan diukur dari jenis ubat yang diambilnya, tetapi gaya hidup yang diamalkannya.

Apa yang penting, untuk hidup dalam keadaan sihat dan sentiasa nampak cantik, bergaullah dengan aura-aura yang positif.


Sebagai selebriti, stamina amat memainkan peranan yang penting, bagaimana cara anda mengekalkan stamina selepas bekerja seharian?

Pertamanya, harus mendapatkan tidur yang cukup, iaitu enam jam dan jangan tidur berlebihan kerana ia akan membuatkan anda lesu. Minum banyak air dan banyakkan bersenam pada waktu pagi.


Antara joging dan gimnasium yang mana menjadi pilihan anda? Kenapa?

Saya lebih suka berjoging di taman sambil menghirup udara yang semula jadi berbanding ke gimnasium, duduk dalam penghawa dingin dan kita menggunakan alatan untuk bersenam. Lebih elok anda bersenam tanpa alatan.

Biasanya saya akan berjoging sebelum matahari naik atau sebelum jam 10 pagi kerana suasana yang lebih nyaman dan orang pun tak ramai.


Selain berjoging, adakah anda amalkan diet untuk menjaga stamina dan kelangsingan?

Tidak. Dalam sehari, saya akan pastikan ambil nasi sekali. Alhamdulillah, mungkin kerana saya selalu bersenam jadi metabolisme badan saya agak tinggi dan makanan yang dimakan tidak sempat di simpan untuk menjadi lemak. Selain itu, minumlah banyak air.


Pernahkah anda mengalami masalah berat badan?

Ya, pernah, ketika itu saya masih bersekolah, kira-kira usia 16 tahun. Berat badan saya pernah mencecah sehingga 60 kilogram (kg). Namun ketika usia saya menginjak ke 18 tahun dan mungkin kerana perubahan hormon, berat badan saya turun sedikit demi sedikit.


Bagaimana pula dengan penjagaan kecantikan? Ada amalkan sebarang petua atau tip?

Memandangkan saya ada darah 'mat saleh' jadi kulit saya senang berkedut berbanding kulit orang Asia yang lebih cantik. Jadi saya selalu memakai krim mata untuk mengelakkan kedut di bawah mata. Manakala yang lain hanya penjagaan biasa sahaja.


Adakah anda gemar meluangkan masa ke spa, salun atau membuat rawatan kuku?

Tidak kerana di rumah saya sudah ada tab mandi, jadi bila kelapangan saya akan berendam dalam tab dengan garam Himalaya. Untuk kuku pula, boleh saya katakan jarang-jarang atau bila perlu sahaja baharu saya buat rawatan kuku. Bagi saya lebih mudah jaga diri sendiri dan tidak perlu membazir untuk membuat rawatan yang kita boleh buat sendiri.


Sesetengah orang gemar bermain permainan minda seperti Saidina, Catur, untuk meredakan tekanan. Bagaimana pula cara anda meredakan tekanan?

Ketika tertekan, saya suka bermain Sudoku dan melukis. Bagi saya lukisan adalah salah satu cara yang baik untuk meredakan tekanan. Walaupun lukisan saya bukanlah seperti gaya pelukis profesional, tetapi permainan warna dalam lukisan itu mampu membuatkan saya berasa lebih tenang.


Apakah aktiviti yang anda gemar lakukan pada waktu lapang?

Saya suka bermain PS3 dan melukis.


Apa perkembangan terkini anda?

Saya buat kerja sampingan sebagai grafik secara bebas. Mulai Januari ini saya akan terlibat dengan pengambaran drama bersiri 26 episod untuk RTM. Selain itu, saya juga sedang menanti tiga filem lakonan saya iaitu CEO, Tujuh dan Jiwanita ditayangkan tahun depan.

Pekerja salon didakwa kelar tangan remaja

Posted: 12 Dec 2013 04:16 AM PST

  • Pekerja salon didakwa kelar tangan remajaPesalah juvana (kiri) dan Nur Azzlaila dikawal polis keluar dari mahkamah sebelum diikat jamin, semalam.

KOTA BHARU - Dua wanita pekerja sebuah salon mengaku tidak bersalah di mahkamah majistret di sini, semalam, atas tuduhan mengelar tangan seorang remaja di Pengkalan Chepa di sini, minggu lalu.

Nur Azzlaila Suzzana Ab Halim, 20, dan rakannya, pesalah juvana berusia 15 tahun, dituduh mengelar tangan Che Nurul Amirah Che Hassan, 17, dengan sebilah pisau lipat menyebabkan mangsa mengalami kecederaan.

Kejadian berlaku di sebuah lorong antara dua blok bangunan dua tingkat di kawasan kilang, antara jam 2.30 dan 3 pagi, 6 Disember lalu.

Pada prosiding itu, kedua-dua tertuduh bagaimanapun menafikannya dan melantik peguam bela bagi prosiding perbicaraan.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tiga tahun, denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nurliyana Md Zukri memohon kes ditangguhkan bagi mendapatkan laporan perubatan mangsa.

Majistret, Nik Habri Muhamad pula membenarkan Nur Azzlaila diikat jamin RM3,000 sementara remaja itu dibenarkan sejumlah RM1,500 masing-masing dengan seorang penjamin. Mereka kemudian menjelaskan jaminan.

Kes berkenaan akan bersambung pada 9 Januari depan.

Neelofa antara Caprice dan Hans Isaac

Posted: 12 Dec 2013 04:12 AM PST

NEELOFA dan Hans dikatakan pergi bersama-sama menonton persembahan konsert Alicia Keys di Singapura baru-baru ini.


BARU-BARU ini, menerusi rancangan hiburan Melodi, rapper Caprice mendedahkan bahawa dia dan Neelofa pernah keluar bersama dan mempunyai hubungan yang istimewa sewaktu sama-sama terlibat dalam pembikinan klip videonya, Dem Girl kira-kira lima tahun lalu.
Terkejut dengan kenyataan tersebut, Neelofa yang ditemui pada majlis Anugerah Cosmopolitan Fun Fearless Fabulous 2013 minggu lalu mengakui tidak berkesempatan untuk menonton rancangan tersebut.
Ikuti temu bual Kosmo! dengan figura yang selesa disapa sebagai Lofa ini yang memberikan komen tentang Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, selain tentang gosip yang mengatakan dia bercuti di Singapura bersama Hans Isaac baru-baru ini.
Kosmo!: Baru-baru ini Caprice ada menyatakan bahawa dia dan Lofa pernah keluar bersama. Adakah kenyataannya itu benar?
NEELOFA: (Dengan nada terkejut) Dia berkata begitu? Sejujurnya, sebelum saya menyertai pertandingan Dewi Remaja dan mula dikenali oleh orang ramai, saya ada terlibat menjayakan sebuah klip video bersamanya. Sejak itu, hubungan kami menjadi rapat.
Adakah perkara itu membuktikan anda pernah menjalinkan hubungan cinta dengan Caprice?
Tidak sama sekali. Saya hanya menganggapnya sebagai teman rapat. Tidak lebih daripada itu. Saya bekerja dengannya dan bersikap profesional.
Caprice turut memberitahu yang anda pasti akan mengangkat telefon jika dia menghubungi anda. Adakah dakwaan itu benar? Jika benar, mengapa dia menghubungi anda?
Tidak dinafikan, dia ada menghubungi saya tetapi hanya sekadar meminta pertolongan untuk diperkenalkan dengan individu yang terlibat dalam industri hiburan. Saya pasti akan menjawab panggilan telefon jika Caprice menghubungi saya kerana saya menganggap dia sebagai kawan. Sebagai seorang teman rapat, saya harus memberikannya sokongan dan pertolongan jika dia memerlukan bantuan.
Baru-baru ini saya ada terbaca mengenai gosip yang mengatakan anda pergi bercuti dengan Hans Isaac di Singapura dan anda juga dilihat bersama-sama menonton konsert Alicia Keys di sana baru-baru ini. Komen?


Maaf, saya tidak mahu komen. Kalau media lain tanya juga saya tidak akan jawab.
Kenapa anda sukar memberi kenyataan mengenai hal peribadi walaupun perkara itu sudah tersebar dan menjadi buah mulut orang?
Saya tidak suka sebab ia adalah hal peribadi saya. Saya tidak kisah apa yang orang cakap.
Anda akan mengikuti pengajian jangka pendek selama sebulan di Los Angeles. Boleh ceritakan sedikit mengenai kursus yang diambil dan kos yang dikeluarkan?
Saya bakal mengikuti pengajian jangka pendek di New York Film Academy di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) bermula 6 Januari sehingga 1 Februari 2014. Jurusan yang dipilih ialah Lakonan Dalam Filem dan kampusnya terletak di dalam Universal Studio, AS. Saya berhabis lebih kurang RM20,000 untuk tempoh pengajian tersebut.
Adakah anda berhasrat mengikuti pengajian pendek itu setelah mendapat kritikan negatif mengenai teknik lakonan anda yang dianggap masih lemah?
Tidak sama sekali. Bagi saya, peluang menuntut ilmu ketika masih muda perlu digunakan sebaik mungkin. Saya belum berkahwin dan masih bujang, justeru tiada sebab saya mensia-siakan masa yang ada ketika ini untuk menimba ilmu.
Bagaimana pula dengan lakonan dan bidang pengacaraan?
Penggambaran Nona musim ini sudah habis. Saya akan mula penggambaran untuk musim terbaharu pada tahun depan. Program MeleTOP juga akan masuk musim kedua. Setakat ini, saya tidak terikat dengan mana-mana drama dan filem kerana mahu memberi fokus terhadap kursus sebulan yang bakal saya jalani itu.
Sebenarnya, jika diikutkan saya akan menjalani penggambaran filem muzikal berjudul Sinaran arahan Osman Ali pada bulan Disember ini tetapi ia ditangguhkan pada bulan Mac 2014.
Jadi, apakah perkembangan terkini anda?
Saya bakal muncul dengan filem adaptasi novel karya Ahadiat Akashah berjudul Pilot Cafe. Filem arahan Osman Ali itu menampilkan pelakon seperti Fahrin Ahmad dan Izzara Aisyah. Dalam filem tersebut, saya memegang watak Sharmila. Pilot Cafe bakal ditayangkan pada awal tahun depan.
Tahniah atas pelantikan anda sebagai duta LINE. Boleh kongsikan sedikit mengenai rangkaian aplikasi komunikasi tersebut?
Sebenarnya, selain saya, pelakon Fizo Omar, Nazim Othman dan Zizan Razak juga adalah duta LINE dan sudah mempunyai akaun rasmi LINE.
Buat masa ini, LINE telah membina sebuah kedai sementara (pop-up store) jenama itu di hadapan Tokyo Street, pusat beli-belah Pavilion, Kuala Lumpur selama sebulan itu (2 Disember 2013 hingga 2 Januari 2014), sebagai inisiatif LINE untuk menjual barangan mereka selain melakukan beberapa tawaran promosi termasuk percuma patung kepala LINE bagi 300 pelanggan yang membeli lebih daripada RM200 produk LINE.
Kenapa anda menerima tawaran LINE, adakah disebabkan bayaran lumayan yang diterima?
Saya terima kerana ia boleh membawa nama saya ke tahap global.


Beri peluang pada diri

Posted: 12 Dec 2013 04:10 AM PST

KAKA tetap menganggap bidang nyanyian merupakan cabang seni yang menjadi pilihan utama dirinya.


WALAUPUN baru dua tahun menjejak kaki ke dalam industri muzik tempatan, namun Kaka tidak mahu membataskan dirinya hanya dalam satu bidang sahaja.
Ternyata, wanita berusia 24 tahun ini sentiasa memberi peluang kepada diri untuk mencuba sesuatu perkara yang baharu.
Buktinya, Kaka atau nama yang diberi, Nor Atiqa Noor Azraff bakal terlibat dalam teater lakonan sulungnya berjudul Bukan 404.
Menariknya di dalam teater tersebut, biar ia kemunculan perdananya, Kaka diberi peluang memegang watak utama bernama Mira.
Selain teruja ingin mempertontonkan bakatnya dalam bidang yang pertama kali diceburinya ini, Kaka juga seronok melakukan latihan dan menganggap ia sebagai satu tawaran yang serius.
"Apa yang boleh saya katakan, pertama kali berlakon teater, ia merupakan pengalaman yang sangat menyeronokkan.
"Sebenarnya pada masa yang sama, saya sendiri menimba banyak pengetahuan daripada semua yang terlibat kerana saya memang tidak mempunyai asas lakonan dan berlakon.
"Lebih daripada itu, apabila dapat bekerja dengan pengarah yang sangat disegani dalam industri teater ini, saya rasa berbesar hati.
"Justeru, saya anggap tawaran yang diberikan ini sebagai sesuatu yang serius kerana mungkin Raja Azrey nampak 'sesuatu' dalam diri saya dan apa kemampuan saya," bicara Kaka menjawab soalan pertama tentang keberaniannya menerima tawaran bermain di gelanggang teater.
Tambahnya, banyak perkara yang mampu dipelajari daripada latihan teater yang dilakukan.
Antaranya ialah teknik mengawal pernafasan serta pergerakan di atas pentas yang menurut gadis ini boleh diguna pakai untuk bidang nyanyian.
Tidak sukar
Setelah melalui latihan hampir sebulan cerita Kaka, permulaan bagi dirinya dalam bidang yang masih hijau ini tidaklah terlalu rumit kerana pengarahnya, Raja Azrey mengamalkan sikap keterbukaan.
"Mungkin kerana saya masih baharu dalam bidang ini, cara pengajaran daripada pengarah tidak terlalu berat. Ia membuatkan saya dapat memperoleh pembelajaran itu dengan mudah.
"Justeru, saya rasakan ia tidak sukar, cuma apa yang saya saya pelajari, pelakon perlu ada dalam situasi penceritaan tersebut iaitu bagi saya, penghayatan merupakan satu elemen penting dalam teater," jelas Kaka berkongsi pengalaman.
Kongsinya lagi, untuk bersetuju menerima tawaran ini, dia mengambil masa beberapa hari sebelum memberi jawapan muktamad.
Namun, setelah meminta pendapat daripada rakan-rakan seperjuangan dan pengurusnya, akhirnya Kaka akur dengan peluang yang diberi kepadanya.
"Bila abang Raja beritahu dia nampak 'sesuatu' dalam diri saya, ketika itu saya fikir mungkin saya tidak nampak perkara itu dan saya harus cuba beri peluang kepada diri.
"Saya perlu cuba untuk lakukan perkara ini kerana jika tidak, saya tidak tahu apa kemampuan saya.
"Memang saya fikir panjang dan pengurus saya beritahu saya supaya mencuba kerana banyak perkara yang boleh dipelajari ketika sesi pembelajaran teater.
"Alhamdulillah, setelah hampir sebulan membuat latihan, minat saya terhadap bidang ini mula timbul.
"Saya rasa, pada masa akan datang jika ada peluang lain yang datang, dengan besar hati saya menerimanya" tuturnya.
KARYAWAN teater Bukan 404 (dari kiri), Raja Azrey, Khaty Azean, Kaka dan Boy Iman.


Cabaran
Ditebak persoalan mengenai cabaran bagi dirinya, jelas Kaka, menambah dialog (ad-lib) merupakan cabaran terbesar yang dilaluinya semasa sesi latihan.
Bicaranya, perkara ini menjadi kesukaran buat diri kerana dia tidak mempunyai pengalaman dalam lakonan. Justeru, dia perlu bijak menyesuaikan diri dengan pantas terhadap situasi dalam setiap babak.
Bagaimanapun, untuk mengeluarkan air mata bukan perkara mustahil dan sukar buat wanita kelahiran Klang, Selangor ini.
"Memang ada babak menangis yang perlu saya lakonkan, dan bagi saya ia agak mudah untuk dilakukan. Ini kerana, sewaktu kecil saya punya tabiat yang mana saya gemar duduk di hadapan cermin dan berlakon menangis.
"Jadi, tidak sangka pula, tabiat itu dapat saya guna pakai dalam teater. Ya, tiada masalah untuk saya mengalirkan air mata, cuma saya perlu lebih menghayati babak tersebut supaya penonton juga dapat rasa apa yang saya cuba sampaikan," ungkap Kaka tentang rahsia sewaktu kecilnya.
Perkembangan
Walaupun sibuk dengan bidang baharunya itu, tutur Kaka, nyanyian tetap menjadi keutamaan buat dirinya.
Bercerita mengenai perkembangannya, dia kini sedang sibuk menguruskan single solonya yang diberi judul Terpulanglah.
Tambahnya, jika tiada halangan, single tersebut bakal menemui peminat pada hujung Disember ini.
Bagaimanapun, bukan bidang lakonan dan nyanyian sahaja yang memenuhi jadual karier Kaka, wanita ini juga melibatkan diri dalam bidang pengacaraan.
"Sebenarnya, saya sedang mencuba semua bidang. Walaupun begitu, bidang nyanyian tetap menjadi keutamaan saya.
"Pengacaraan memang minat saya sejak kecil terutama untuk program bercorak travelog atau makan-makan kerana saya rasa ia sesuatu yang menyeronokkan," bicara Kaka yang tidak lokek dengan senyuman sepanjang temu bual berlangsung.
Akhirinya mengenai bidang lakonan pula, perasaan ingin mencuba muncul dalam diri kerana ingin melihat sejauh mana bakatnya mampu pergi.
Jika bagus, mungkin dia akan mencuba lagi dan jika tidak, dia akan berhenti.


Keprihatinan Aaron dan Aaronators FC

Posted: 12 Dec 2013 04:09 AM PST


AARON AZIZ bersama ahli kelab peminatnya, Aaronataors berjaya mengumpulkan banyak barang keperluan untuk diagihkan kepada mangsa banjir di beberapa kawasan di Pahang menerusi Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM).


BANJIR yang melanda kawasan Pantai Timur telah menarik pelbagai lapisan masyarakat di Malaysia untuk terpanggil menghulurkan bantuan.
Begitu juga dengan golongan artis yang mengambil inisiatif untuk sama-sama meringankan beban mangsa.
Ini termasuklah aktor Aaron Aziz bersama kelab peminatnya, Aaronataors FC. Atas dasar keprihatinan dan kemanusiaan, kelab peminat Aaronators FC telah mengadakan acara amal untuk memberi sumbangan kepada mangsa banjir.
Acara amal yang mengumpulkan hampir 300 ahli kelab tersebut telah mendapat kerjasama pihak pasar raya besar Giant, Kota Damansara selain ahli kelab mereka.
Pelbagai barangan harian seperti pakaian, makanan serta barang dapur berjaya dikumpulkan dalam misi tersebut.
Ketika acara amal berlangsung, Aaron juga tidak ketinggalan untuk berbelanja bagi memberi sokongan terhadap program yang dijalankan kelab peminatnya.
"Tiada kos yang besar diperlukan kerana kami semua guna wang sendiri. Acara ini sebenarnya ialah kami menjemput ahli untuk membeli-belah bersama Aaron. Justeru, hasil beli-belah tersebut akan disumbangkan kepada yang memerlukan.
"Namun, ia terpulang kepada kemampuan masing-masing berapa banyak yang ingin mereka sumbangkan.
"Ini merupakan inisiatif kami untuk membantu mereka yang memerlukan sumbangan," jelas Aaron tentang program yang digelar 'acara troli' ini yang dinama- kan Projek Banjir Aaronators ini.
Tambahnya, ini merupakan hasil idea bersama dia dan kelab peminatnya yang sangat menyokong bukan sahaja karier, malah prihatin dengan kejadian semasa.
Bicara aktor tersebut, mereka memang sering melakukan aktiviti amal seumpama ini, malah ini merupakan projek amal ketiga yang diadakan oleh mereka.
"Pertama kali melakukan aktiviti seumpama ini ialah pada bulan Ramadan tahun ini.
"Pada waktu itu, kami telah membantu seorang wanita daif dan uzur. Jadi, kami beri sumbangan kepadanya dalam bentuk sampul raya dan barangan rumah.
"Selepas itu, kami buat acara amal troli iaitu kami berbelanja dan sumbangkan kepada dua buah yayasan anak-anak yatim," jelasnya yang agak terkejut dengan kehadiran pihak media.
Mengenai barangan yang diderma, tutur pengurusnya, Diyana Halik, yang juga merupakan isteri kepada pelakon tersebut berkata, ia akan dihantar ke peja- bat Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM).
"Kami akan hantar barang ke sana dan terpulang kepada PBSMM ingin agihkan barangan tersebut. Namun, apa yang kami dapat tahu bahawa ia akan di hantar di beberapa daerah di Pahang seperti Kuantan, Pekan serta Temerloh," jelas Diyana.
Selain pihak pasar raya besar Giant, Kota Damansara, Aaronators FC juga menggembleng tenaga bersama stesen radio Era FM dan juga kumpulan duo, Sleeq juga turut kelihatan memberi sumbangan dan sokongan terhadap program tersebut.


Rabecca guna duit dibayar Erma bantu mangsa banjir

Posted: 12 Dec 2013 04:07 AM PST

INILAH gambar-gambar menunjukkan barang-barang yang dibeli oleh Rabecca untuk disedekahkan kepada mangsa banjir. 
Ia dimuat naik dalam Instagram pelakon itu.


KUALA LUMPUR - Pelakon Rabecca Nur Al-Islam yang menang kes saman ke atas Erma Fatima menggunakan wang yang dimenanginya untuk membantu mangsa banjir di Kuantan, Pahang.
Rabecca, 23, berkata, wang sebanyak RM11,200 yang dibayar oleh pengarah filem itu dengan menggunakan not RM1 sebanyak 11,200 keping dihantar ke pejabat peguamnya kelmarin.
"Peguam saya telah menghubungi saya dan memberitahu mengenai wang tersebut. Saya kemudian meminta peguam saya supaya menghantar terus wang itu ke bank dan dimasukkan ke dalam akaun saya.
"Setelah wang tersebut diperoleh, saya terus mengajak beberapa orang rakan untuk membeli-belah di pasar raya Giant di Bukit Antarabangsa dan Mydin di Subang Jaya. Kami membeli pelbagai barangan keperluan seperti biskut dan air untuk diagihkan kepada mangsa banjir di Kuantan," kata artis itu ketika dihubungi Kosmo! semalam.


11.12.13 jadi pilihan berkahwin

Posted: 12 Dec 2013 04:02 AM PST



SEBAHAGIAN daripada pasangan yang mendirikan perkahwinan pada tarikh istimewa 11.12.13 
di Jalan Duta, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Tarikh 11 Disember 2013 atau 11.12.13 semalam menjadi pilihan kepada kebanyakan pasangan di negara ini untuk mendaftarkan perkahwinan mereka.
Sebanyak 73 pasangan bukan Islam telah memilih tarikh istimewa itu sebagai hari mendaftarkan perkahwinan di Kuala Lumpur semalam.
Sebanyak 30 pasangan berbuat demikian di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jalan Duta di sini.
Bakinya mendaftar di cawangan JPN di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, Pusat Transformasi Bandar (UTC) Sentul dan UTC Kuala Lumpur.
Pengarah JPN, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Norehan Abdullah memberitahu, pihaknya telah menerima permohonan untuk mendaftarkan perkahwinan pada tarikh itu sejak enam bulan lalu.
"Pasangan yang mendaftar hari ini (semalam) terdiri daripada kaum Cina, India, Sikh dan warga asing," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.


Jambatan beralun bakal dibina di China

Posted: 12 Dec 2013 03:57 AM PST



JAMBATAN ini bakal menjadi jambatan beralun terbesar di dunia yang diilhamkan oleh tiga arkitek tempatan di China.


CHANGSHA - Ekoran bosan dengan jambatan konvensional sedia ada, sepasukan arkitek di China merancang untuk membina sebuah jambatan berbentuk gelombang terbesar di dunia.
Sebuah akhbar melaporkan, struktur gelombang itu akan dibina sebagai jambatan pejalan kaki merentasi Sungai Limbungan Raja Naga di sini, dalam wilayah Hunan di selatan China.
Reka bentuk prasarana tersebut dihasilkan oleh firma arkitek yang berpangkalan di Beijing dan Amsterdam, NEXT Architects.
"Reka bentuk jambatan yang bersilang itu adalah berdasarkan prinsip cincin Mobius," kata jurucakap NEXT Architects, Michel Schreinemachers di laman web firma itu.
"Ia juga menyerupai sejenis simpulan tali yang merupakan hasil seni masyarakat dahulu kala di China," tambahnya.


Nilai sentimental untuk OKU

Posted: 12 Dec 2013 03:54 AM PST



JARI-JEMARI halusnya meraba-raba titik-titik kecil yang timbul di permukaan kad yang dipegang. Perlahan-lahan dia cuba memahami ucapan yang disampaikan oleh pengirim dalam bentuk yang sangat dihargainya iaitu tulisan Braille.
Sebuah senyuman manis dilemparkan Siti Huraizah Ruslan, 30, yang hilang deria penglihatannya sejak zaman kanak-kanak.
Siti Huraizah disahkan oleh doktor mengalami trakoma ataupun jangkitan bakteria pada kedua-dua belah matanya ketika berusia tujuh tahun. Bagaimanapun, dia masih boleh melihat warna-warna terang dalam keadaan yang samar-samar.
Menurutnya, kad ucapan Braille yang diterima sangat istimewa bagi dirinya kerana itulah pertama kali dia menerima kad seumpamanya.
"Sebelum ini, saya dan rakan-rakan lain yang senasib akan mencetak sendiri kad Braille apabila menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri atau ulang tahun kelahiran. Namun, ia tidaklah secantik kad ini kerana kami hanya menggunakan kertas tebal biasa.
"Saya sangat terharu apabila ada pihak yang tidak melupakan golongan seperti saya dan sanggup bersusah payah menghasilkan kad ucapan dengan frasa yang sungguh bermakna," katanya ketika ditemui.
Anak sulung daripada empat beradik itu hanya mampu tersenyum dan berpuas hati dengan kad Braille yang dipegangnya sambil menambah dia sebenarnya seorang yang mementingkan nilai sentimental.
"Saya lebih menghargai ucapan dalam bentuk kad, berbanding khidmat pesanan ringkas (SMS) atau e-mel.
"Kad ini akan kekal dalam simpanan dan mudah untuk dicari, tetapi ucapan dalam bentuk SMS atau e-mel terpaksa dibuang apabila ruang mesej penuh," jelasnya ketika ditemui.
SITI HURAIZAH terharu membaca kad ucapan yang dihasilkan khas untuk Orang Kelainan Upaya seperti dirinya.


Kad yang dicetak Tang's Art di Kepong itu bukan sahaja menggembirakan hati Siti Huraizah, malah mereka yang normal.
Menurut Pengasas Tang's Art, Hung Huei Hua, kad Braille atau dot 2 dot itu telah dilancarkan tahun lalu sebagai antara inovasi syarikatnya dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua golongan masyarakat.
"Kad dot 2 dot ini boleh digunakan oleh sesiapa sahaja.
"Kepada mereka yang celik, kami turut melampirkan garis panduan mempelajari tulisan Braille. Jadi, kad ini bukan sahaja dapat mengembirakan hati insan yang teristimewa, malah ia adalah salah satu bentuk pendidikan yang boleh diaplikasikan oleh orang ramai," katanya.
Tambah beliau, kad tersebut juga merupakan salah satu program tanggungjawab sosial korporat yang dijalankan oleh syarikatnya.
"Lima peratus daripada keuntungan jualan kad ini akan didermakan kepada Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB).
Buka minda
Seorang guru Bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan Bangsar, Zulkarnain Ismail, 26, berkata, secara tidak langsung kad itu turut membantu membuka pemikiran rakyat Malaysia.
"Inilah pertama kali saya melihat kad untuk mereka yang cacat penglihatan.
"Selain menggembirakan mereka, ia turut mengandungi mesej yang sangat penting iaitu mewujudkan kesedaran tentang peluang dan ruang yang perlu diberikan kepada golongan ini," katanya.
Zulkarnain memberitahu, kad Braille tersebut juga sesuai dijadikan contoh terbaik untuk golongan belia terus menghasilkan produk-produk yang boleh dimanfaatkan oleh semua golongan.
"Mungkin selepas ini golongan Y boleh menciptakan botol air, kerusi atau apa-apa sahaja yang membantu melancarkan kehidupan seharian golongan istimewa ini," katanya ketika ditemui.

TEKNOLOGI audio digunakan sebagai alat bantu pembelajaran dan komunikasi untuk golongan cacat penglihatan.


Mengulas mengenai kad ucapan Braille itu, Huei Hua berkata, pelbagai persiapan harus dilakukan sebelum mencetak kad tersebut.
"Kami telah meminta tunjuk ajar daripada pihak MAB untuk memastikan kad ini mencapai standard yang diperlukan.
"Antara perkara yang ditekankan ialah jarak antara titik-titik, ketebalan kertas dan dakwat yang digunakan.
"Dakwat berwarna yang digunakan pada kad ini juga diperbuat daripada bahan semula jadi. Ia sebagai langkah berjaga-jaga kemungkinan ada dakwat yang keluar dan melekat pada jari golongan istimewa ini," jelasnya.
Tang's Art menawarkan 16 jenis corak dengan frasa yang diilhamkan daripada mereka yang cacat penglihatan.
Antara kata-kata hikmah yang dicetak ialah "kehilangan cita-cita adalah lebih teruk daripada kehilangan deria penglihatan anda."
Ujar Huei Hua, sehingga kini, sebanyak 30,000 kad Braille telah dicetak dan diedarkan dalam pasaran tempatan.
"Kad ini telah dijual di 33 buah kedai buku dan hadiah di seluruh negara.
"Antaranya, di Art Workshop di Paradigm Mall, Petaling Jaya; Gemini Flower and Gift di Ampang, Selangor; Cecily's Fashion di Sandakan, Sabah; Book Etc di Shah Alam dan Constance Trading di Kuching, Sarawak. Kad ini dijual pada harga RM5.90 sekeping," katanya.
Pos Malaysia
Dalam pada itu, menurut Huei Hua, pihaknya akan menjalankan kerjasama dengan Pos Malaysia sebagai sebahagian daripada pengedar.
"Ia masih dalam perbincangan kami, namun secara lisan Pos Malaysia telah bersetuju untuk meletakkan kad Braille di cawangan utama mereka di 10 negeri di dalam negara.
"Selain kad ini, pembalut hadiah, kotak hadiah dan beg kertas menarik juga akan dijual bersama," katanya.
Bersama-sama untuk memajukan golongan orang cacat penglihatan, pihak MAB turut memberikan sokongan padu dengan mempromosikan kad tersebut.

HUE HUA menunjukkan kad braille yang boleh dimanfaatkan oleh golongan cacat penglihatan dan celik.


Menurut Penolong Pengurus Bahagian Pendapatan Jualan MAB, Ramdas Nayar, pihaknya menyasarkan golongan siswa siswi di Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
"Baru-baru ini kami berjaya menjual kira-kira 300 keping di Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU).
"Kami juga menerima sambutan menggalakkan daripada pelajar Universiti Putra Malaysia sempena majlis Hari OKU Peringkat Antarabangsa pada pada 3 Disember lalu," katanya.
Ramdas berkata, tanggungjawab mewujudkan komuniti yang saksama perlu dipupuk daripada barisan pelapis baharu di universiti.
"Di MAB, kami mempunyai alat-alat bantu seperti jam bercakap, pencetak elektronik Braille bercakap, pengukur suhu badan bercakap dan pengukur tekanan darah bercakap. Tetapi, kesemua barang-barang ini di beli dari syarikat lain di luar negara.
"Jadi, ini antara bentuk pendedahan awal yang diberikan kepada bakal pemimpin negara ini bagi membentuk diri mereka supaya lebih berinovasi dalam menghasilkan produk-produk serta perkhidmatan yang dapat dimanfaatkan oleh semua golongan masyarakat," katanya.


Persiapan kahwin di hujung jari

Posted: 12 Dec 2013 03:53 AM PST



SETIAP wanita mengidamkan satu majlis perkahwinan yang lancar dan meriah dengan menyarungkan busana anggun sari sang pereka, pelamin dihias indah dengan kuntuman bunga segar dan disempurnakan dengan kehadiran tetamu yang dijamu santapan menyelerakan.
Kesemua persiapan bagi hari bersejarah itu perlu dilakukan secara teliti kerana kelalaian kecil mungkin mampu mencacatkan kelangsungan majlis idaman tersebut.
Bayangkan, beberapa jam sebelum acara bersanding diadakan, pengantin dikejutkan dengan berita perkhidmatan katering terlupa ditempah. Pasti kalut jadinya.
Jika dahulu, segala persediaan tersebut dilakukan secara gotong-royong bersama ahli keluarga dan bantuan jiran tetangga, namun situasi berbeza pada hari ini ekoran kekangan masa dan lokasi bersesuaian yang terhad, khususnya di kawasan-kawasan bandar.
Disebabkan itu, agak sukar bagi bakal pengantin melakukan sendiri segala persiapan. Malah, ada antara keperluan pada hari bersejarah itu perlu dilakukan sekurang-kurangnya dalam tempoh setahun lebih awal seperti tempahan dewan majlis.
"Perkara paling kritikal untuk ditempah adalah dewan besar untuk majlis persandingan. Saya mengambil masa yang lama untuk mencari lokasi yang sesuai," ujar bakal pengantin, Nuratieqah Muhammad, 22, yang akan melangsungkan perkahwinan pada Mac tahun depan.
Dia menambah, segala persiapan perlu dilakukan awal bagi mengelakkan tidak mendapat lokasi atau khidmat katering yang dimahukan.
PERSIAPAN perkahwinan memerlukan perancangan yang rapi bagi memastikan kelancaran majlis.


Maklumat lengkap
Selaras dengan kemajuan teknologi hari ini, kebanyakan bakal pengantin mengambil jalan mudah dengan mencari maklumat di laman web dan sosial memandangkan penggiat industri perkahwinan menggunakan internet sebagai salah satu medium promosi.
"Tidak dinafikan, penggunaan internet memudahkan saya dalam persiapan perkahwinan. Sebagai contoh, dalam laman Facebook terdapat banyak akaun yang diwujudkan oleh jurusolek, syarikat katering, pengusaha butik dan perkara-perkara lain yang berkaitan," ujar Nuratieqah.
Kesedaran terhadap kepentingan teknologi maklumat masa kini telah memberi idea kepada Azmierul Che Mat, 22, untuk mewujudkan satu laman web yang membantu pasangan pengantin membuat persiapan majlis berkahwinan mereka iaitu iKahwin.my.
Laman web itu mengumpulkan semua kategori penting sesuatu majlis perkahwinan secara percuma kepada pengunjung.
"Jika sebelum ini pasangan pengantin perlu mencari satu per satu maklumat perniagaan berkaitan di laman web atau sosial berbeza tetapi menerusi iKahwin.my, kesemua maklumat tersedia dalam satu portal," ujar Azmierul ketika ditemui Infiniti baru- baru ini.
Portal iKahwin.my memberikan maklumat terperinci kepada pengguna, terutamanya dari segi harga pakej-pakej yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat berkaitan.
"Melalui senarai harga-harga yang terdapat dalam portal ini, pengguna dapat melakukan perbandingan sebelum melakukan tempahan. Ini dapat membantu mereka menguruskan perbelanjaan bagi majlis tersebut dengan lebih baik," katanya.

TULANG belakang iKahwin.my, Charmaine (kiri) dan Azmierul.


Demi terus menarik perhatian pengguna, portal tersebut turut menyediakan satu blog khas dalam pautan laman utama yang berkongsi pelbagai maklumat berguna kepada bakal pengantin seperti petua dan nasihat rumah tangga daripada pakar-pakar motivasi.
"Terdapat juga pautan yang memberikan panduan perbelanjaan perkahwinan. Ia turut disertakan kalkulator elektronik bagi memudahkan bakal pengantin mengatur perbelanjaan mereka," jelas Pengarang Urusan iKahwin.my, Charmaine Nash.
Tambahnya, kalkulator elektronik itu direka khas dengan senarai semak keperluan yang wajib dalam sesebuah perkahwinan. Bakal pengantin hanya perlu memasukkan amaun yang ditetapkan dan kalkulator itu akan menjumlahkan semua perbelanjaan terlibat.
Kesahihan maklumat
Bagi pengiklan di iKahwin.my, mereka diberikan platform perniagaan yang lebih meluas. Ia berikutan daripada permintaan pengguna muda yang mencari maklumat menerusi laman web.
"Kebanyakan bakal pengantin adalah dalam lingkungan usia 20-an yang aktif dalam penggunaan internet. Disebabkan itu, penggiat industri perkahwinan perlu mengambil peluang ini, khususnya bagi individu atau syarikat-syarikat baharu," kata Azmierul.
Bagi memastikan pengguna mendapatkan maklumat tepat, pihak pengurusan pemasaran iKahwin.my akan bertemu sendiri para pengiklan.
"Kami akan meminta mereka untuk memberikan maklumat tepat seperti alamat lengkap, nombor telefon dan pautan laman sosial, Facebook atau laman web rasmi," jelasnya.
Selain itu, harga-harga bagi setiap pakej juga perlu disertakan bagi memudahkan pengguna membuat perancangan perbelanjaan perkahwinan mereka.
"Namun, terdapat pengiklan yang tidak mahu berkongsi harga bagi pakej-pakej tersebut tetapi kami menasihatkan mereka untuk meletakkan anggaran kos sebagai rujukan pengguna," katanya.

PORTAL iKahwin.my mengumpulkan semua kategori penting sesebuah majlis perkahwinan termasuk penyedia perkhidmatan kad jemputan dan hantaran. - Gambar hiasan


Setiap pengiklan juga perlu menyediakan sekurang-kurangnya lima keping gambar berkualiti. Jika tiada gambar tersebut, pihak penyedia portal akan membantu menyediakan foto-foto menarik kepada mereka.
"Ia menjadi kemestian dalam portal kami memandangkan terdapat pengiklan yang tidak mempunyai foto berkualiti. Ia menyulitkan pengguna untuk mendapat gambaran awal perkhidmatan yang diberikan pengiklan," jelasnya.
Selain mengambil foto, pihak portal juga membantu pengiklan dalam membuat laman sosial atau web mengikut keperluan pakej.
Sejak diwujudkan pada Januari 2013, iKahwin.my mempunyai lebih 500 pengiklan dan bakal meningkat dua kali ganda pada tahun depan berdasarkan peningkatan trafik pengunjung setiap bulan.
"Lima bulan sebelum ini, kami hanya menerima sekitar 100 sehingga 200 kunjungan sahaja. Sekarang, jumlah trafik meningkat kepada 15,000 sebulan," jelas Azmierul.
Rancangan
Setakat ini, kebanyakan pengiklan adalah sekitar Lembah Klang tetapi terdapat juga pengusaha dari Kedah dan Johor.
Perkembangan positif tersebut memberi peluang kepada iKahwin.my untuk mencari pengiklan dari seluruh Malaysia.
"Selain itu, kami bercadang untuk menerbitkan majalah dalam talian yang memberi fokus kepada dunia perkahwinan. Intipati majalah itu dapat dijadikan panduan kepada pengguna tanpa perlu membeli naskhah dalam bentuk salinan keras," katanya dengan penuh optimis.
Dalam masa terdekat, ujarnya, iKahwin.my merancang untuk mengadakan festival perkahwinan di lokasi-lokasi strategik yang bakal disertai oleh pengiklan-pengiklan portal tersebut.


Potensi bisnes hasil laut

Posted: 12 Dec 2013 03:48 AM PST


PUTEH menunjukkan pilihan ikan kering yang dijual di premisnya.


JIKA anda telah melewati simpang masuk ke Pekan Pasir Penambang, Kuala Selangor, perhatikan betul-betul papan tanda di sebelah kanan yang memaparkan lokasi Kompleks Pusat Gerai Pasir Penambang.
Biarpun lokasinya terpisah daripada kawasan pekan Pasir Penambang, kompleks tersebut juga menawarkan aneka produk hasil laut setanding dengan lot-lot kedai menjual hasil laut di pekan itu.
Sudah menjadi kebiasaan, kalau bertandang ke Kuala Selangor pada hari bekerja pasti keadaannya kelihatan lengang berbanding hujung minggu. Rata-rata yang datang pada waktu tersebut ialah pelanggan tetap yang mahu membeli-belah dengan tenang.
Antara barisan lot kedai, paling menarik perhatian di kompleks tersebut ialah sebuah kedai di bahagian tepi yang menggabungkan tiga buah premis menjadi sebuah lot yang besar.
Melihat saiznya sebegitu sudah pasti pilihan barangan jualan bukan setakat banyak tetapi pelbagai termasuk yang bergantungan di atas siling.
Pelanggan
Ketika kunjungan Kosmo!, pemiliknya, Puteh Saidin, 63, dan isteri, Rohmah Yusof kelihatan sedang melayan pelanggan yang membelek ikan kering. Biarpun suasana kedai tidak ramai pengunjung tetapi pelanggan datang silih berganti.
"Kebanyakan yang datang pada hari biasa merupakan pelanggan berulang," kata Puteh sambil disambut dengan senyuman isterinya yang sedang membungkus ikan kering.
Puteh menawarkan hampir kesemua jenis produk hasil laut termasuk ikan kering yang jika dibilang satu persatu boleh mencecah angka 44.
"Bagaimanapun, bidang perikanan segar ini tidak mesra industri kerana jika cuaca tidak baik, para nelayan tidak turun ke laut sekali gus bekalan akan berkurangan.
"Jika air laut mati, nelayan juga tidak dapat membawa naik ikan pada kuantiti banyak," katanya.
Berbanding perniagaan hasil makanan laut kering, ia boleh dipastikan sentiasa mempunyai stok seperti yang berjaya dilakukan Puteh dalam memastikan produk sentiasa cukup di kedainya tanpa mengira musim.

HASIL laut yang dijual di Kompleks Pusat Gerai Pasir Penambang ini dijamin bersih dan segar.


Bekalan stok
Ekoran itu, Puteh mempunyai sebuah peti sejuk besar untuk simpanan stok sekali gus dapat memastikan stok bekalan sentiasa mencukupi setiap waktu.
Bekalan stok produk tidak terhad daripada pembekal di Kuala Selangor malah Puteh mendapatkannya daripada pembekal dari seluruh tanah air terutamanya dari Kedah dan Kelantan.
Puteh juga mencari sendiri pembekal tersebut bagi memastikan kesemua produk yang dijual di kedainya halal dan bersih dengan melihat sendiri cara pembuatan, bahan yang digunakan dan tempat pembuatan.
"Memang makanan berasaskan hidupan laut ini hukum asalnya halal tetapi cara penyediaan dan tempat dibuat sangat penting untuk diteliti," tegasnya.
Mengulas mengenai industri ikan segar dan kering di Kuala Selangor, Puteh yang telah berniaga sejak berusia 50 tahun berkata, ia sangat berpotensi untuk terus berkembang sejak Tan Sri Abu Hassan Omar menjadi Menteri Besar Selangor lagi.
Katanya, Kuala Selangor merupakan lokasi terakhir yang mempunyai industri sebegitu jika diteliti dari arah utara sehingga ke selatan.
Maka, kalau mahu kembangkan industri ikan kering di pantai negeri Johor dan Melaka pun amat bertepatan.
Puteh turut menjual secara pukal kepada pembekal-pembekal atau peniaga dari Pahang dan Johor.
Di kedai Puteh juga terdapat kelengkapan bahan masakan yang sesuai dimasak bersama ikan kering seperti sos dan rempah campuran.


Penghubung baharu Pulau Pinang

Posted: 12 Dec 2013 03:47 AM PST

UJIAN lampu hiasan sepanjang Rentang Navigasi Utama Jambatan Kedua Pulau Pinang ini turut diserikan dengan pertunjukan bunga api.


DARI pesisir pantai Queensbay, Jambatan Kedua Pulau Pinang yang kini siap sepenuhnya kelihatan telah bersedia untuk dibuka kepada orang ramai. Struktur mega yang bakal menjadi ikonik terbaharu Pulau Mutiara ini hanya menanti kelulusan daripada Kementerian Kerja Raya yang dijangka diperoleh hujung bulan ini.
Jambatan sepanjang 24 kilometer (km) itu menghubungkan Batu Kawan di tanah besar dan Batu Maung di pulau. Pembinaannya adalah bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di Jambatan Pulau Pinang biarpun telah dinaik taraf menjadi tiga lorong.
Sebelum ini, Pulau Pinang telah dihubungkan dengan jambatan pertama iaitu Jambatan Pulau Pinang yang pembinaannya dimulakan pada 1982 dan siap tiga tahun kemudian dengan kos sebanyak RM850 juta.
Jambatan sepanjang 13.5 km itu dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 13 Ogos 1985 menghubungkan Pulau Pinang melalui Lebuh Raya Jelutong di Gelugor dengan tanah besar di Seberang Jaya.
Projek pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang adalah usahasama antara China Harbour Engineering Company (CHEC) Ltd. dan UEM Builders Bhd. yang dilaksanakan sejak tahun 2008. Ini merupakan projek kerajaan pertama yang mendapat pinjaman kewangan daripada kerajaan China.
Pinjaman berjumlah AS$300 juta (RM1 bilion) itu diberikan oleh sebuah bank republik bagi membiayai 20 peratus daripada keseluruhan kos pembinaan jambatan tersebut yang menelan belanja RM4.5 bilion.
Walaupun jumlahnya tidak banyak berbanding kos keseluruhan, tetapi signifikan yang lebih besar ialah termeterainya kerjasama antara kedua-dua negara bagi projek berskala besar.
Selain menjadi jambatan terpanjang di Asia Tenggara, ia juga adalah jambatan terpanjang di dunia yang mengaplikasikan penggunaan Gegelung Getah Redaman Tinggi (HRDB).
Konsep binaan ini berkeupayaan menahan gegaran gempa bumi berukuran 8.2 skala richter dengan pusat pada kira-kira 300 km. Binaan menaranya pula dilindungi besi, berbanding Jambatan Pulau Pinang sedia ada yang dilindungi pulau buatan.

JAMBATAN kedua ini berkeupayaan menahan gegaran gempa bumi berukuran 8.2 skala richter.


Amat kuat
Difahamkan, kabel jambatan ini amat kuat yang digunakan bagi menampung berat dek jambatan. Jambatan Kedua Pulau Pinang turut menyediakan lorong khas untuk motosikal selain atas faktor keselamatan.
Pada 30 April lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi pemimpin pertama negara menggunakan laluan Jambatan Kedua Pulau Pinang dari Batu Maung di bahagian pulau ke Batu Kawan di Seberang Perai Selatan.
Beliau tiba di rentang tuju (bahagian tengah) utara jambatan terpanjang di Asia Tenggara itu kira-kira pukul 3.15 petang dengan diiringi bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Perdana Menteri kemudiannya diberi penerangan ringkas berhubung kerja-kerja akhir pembinaan jambatan tersebut sebelum beramah mesra bersama kakitangan JKSB sambil menikmati minum petang.
Najib bersama rombongan kemudian menaiki kenderaan untuk menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sekolah Menengah Kebangsaan Permatang Tok Labu, Kepala Batas.
Ketika ditemui pemberita, Najib memberitahu Jambatan Kedua Pulau Pinang adalah hadiah kerajaan Persekutuan kepada rakyat negeri itu.
"Kita harap bila projek ini siap, ia dapat membantu menjana pertumbuhan ekonomi Pulau Pinang dan kita juga harap pemimpin di negeri ini bertindak lebih proaktif untuk menarik lebih ramai pelabur," ujar beliau.
Dalam pada itu, gemerlapan limpahan cahaya di Jambatan Kedua Pulau Pinang buat pertama kali disaksikan ribuan warga negeri ini semasa ujian lampu hiasan yang dilakukan JKSB pada malam menjelang kemerdekaan 30 Ogos lalu.
Semasa ujian ini, lampu hiasan sepanjang Rentang Navigasi Utama Jambatan Kedua Pulau Pinang dipasang selama enam jam bermula pukul 9 malam sehingga pukul 2 pagi, dan diserikan dengan pertunjukan bunga api.
Bagaimanapun, di sebalik kemegahannya, Jambatan Kedua Pulau Pinang telah tercalit episod duka.
Tanjak penyambung jalan sepanjang kira-kira 50 meter di susur keluar jambatan ini di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu menghala ke Batu Maung runtuh.
Tragedi yang berlaku kira-kira pukul 7.15 malam pada 6 Jun lalu menghempap sebuah kereta mengorbankan seorang lelaki, Tajuddin Zainal Abidin, 45, manakala tiga termasuk dua buruh asing pula cedera akibat terkena serpihan runtuhan.

JAMBATAN Lake Pontchartrain, Amerika Syarikat ini merupakan jambatan terpanjangdi dunia iaitu sepanjang 38.4 km.


Runtuhan berkenaan adalah sebahagian daripada tanjak atau ramp di bawah kerja-kerja pembinaan dalam pakej 3A yang giat dijalankan.
Selamat
Jambatan ini disahkan selamat setelah melepasi ujian beban berat selama tiga hari melibatkan 17 buah treler dengan jumlah berat keseluruhan ialah kira-kira 595 tan ditempatkan di sepanjang 240 meter jarak utama itu.
Ujian itu dilakukan oleh CHEC Construction (M) Sdn. Bhd., anak syarikat China Harbour Engineering Co. (CHEC) dan kontraktor dilantik untuk Pakej 1 projek pembinaan Jambatan Pulau Pinang Kedua.
Pengarah Urusan JKSB, Datuk Dr. Ismail Mohamed Taib berkata, siri-siri ujian beban itu adalah yang pertama dikendalikan di Malaysia dan Asia Tenggara sebelum ia boleh diperakui untuk perkhidmatan dan dibuka kepada orang ramai.
"Ujian beban itu dijalankan di jambatan kabel 475 meter bagi menentukan kapasiti beban jambatan siap bersamaan dengan yang telah diramalkan oleh teori dan seterusnya menentu ukur model pengiraan," kata beliau.
Ismail berkata, ujian itu amat penting bagi memastikan jarak utama itu dibina mengikut spesifikasi reka bentuk dan menentu ukur struktur sebenar berbanding yang diramalkan oleh teori.


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines