Sabtu, 14 Disember 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Adi Putra Lega, Kes Skandal Dengan Isteri Orang Gugur

Posted: 13 Dec 2013 03:36 AM PST


Adi Putra (dua dari kanan) bersama isterinya, Aida dan para peguam.
KUALA LUMPUR: Pelakon Adi Putra berasa lega apabila bebas daripada sebarang dakwaan berhubung kes skandal dengan wanita berstatus isteri orang pada September lalu.
Adi atau nama sebenarnya Mohamed Hadi Putera Halim, 32, berkata, pihak peguamnya memaklumkan keputusan siasatan rasmi polis sejak empat bulan lalu telah diklasifikasikan sebagai 'no further action' (NFA) atau tiada tindakan lanjut sekali gus membuktikan dia tidak bersalah.
"Pihak peguam saya telah menerima keputusan rasmi daripada pihak polis pada 2 Disember lalu berhubung keputusan hasil siasatan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan kes ini diklasifikasikan sebagai tiada tindakan selanjutnya.
"Ini jelas bermaksud tiada apa-apa pertuduhan ke atas diri saya dan ia telah selesai," katanya pada sidang media khas yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini kira-kira pukul 8.30 malam Khamis.
Adi turut ditemani isterinya Aida atau Zuhaidah Yusof, 38, dan juga tiga orang peguamnya iaitu Mohd Daud Ismail, Zamri Idrus dan Muhammad Abd Kadir.
Adi Putra
Pada September lalu Adi atau nama sebenarnya Mohamed Hadi Putera Halim didakwa menjalinkan skandal dengan isteri orang dan aktor itu disiasat polis selepas suami wanita berkenaan iaitu seorang ahli perniagaan dari Johor membuat aduan.
Akhbar melaporkan, pelakon KL Gangster itu didakwa saling berbalas mesej dan bertukar gambar lucah dengan wanita terbabit yang berusia 30 tahun walaupun baru seminggu berkenalan.
Pelakon itu dikatakan berkenalan dengan wanita terbabit menerusi laman Instagram dan kemudian mereka kerap berbalas mesej melalui aplikasi WhatsApp sejak 29 Julai lalu sehinggalah perbuatan berkenaan dihidu suami wanita itu.
Bagaimanapun selepas tiga bulan kes berkenaan senyap, timbul pula gosip mendakwa kononnya Adi telah menggunakan pengaruh orang kenamaan bagi menutup kes tersebut.
Dalam perkembangan sama, Adi berkata, dia tidak mahu lagi dikaitkan dengan kes tersebut dan menganggap ia telah selesai.
Bagaimanapun kata Adi, sekiranya ada pihak yang cuba mengaitkannya dengan niat menjatuhkan reputasinya sebagai selebriti dia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan mahkamah.
Adi Putra (kanan) tenang menjawab soalan wartawan sambil diperhatikan salah seorang peguamnya.
"Saya tidak teragak-agak sekiranya ada pihak yang menggunakan media cetak atau elektronik semata-mata untuk merosakkan kerjaya saya selepas ini," katanya.
Tambah Adi, dia bersyukur doa daripada ibu, isteri dan para peminatnya telah membuktikan dia tidak bersalah.
Sepanjang kes itu disiasat Adi sentiasa tenang walaupun namanya telah tercalar teruk akibat kejadian itu.
"Saya tenang sepanjang tempoh ini dan ia tidak menggagu saya sebenarnya kerana sokongan dan doa daripada orang-orang terdekat dengan saya.
"Kerjaya dan kehidupan peribadi juga tidak terganggu dan ia sebenarnya menguatkan diri saya," jelasnya.
Sementara itu, mengulas mengenai tindakan wanita yang dikaitkan dengan isu skandalnya itu yang akan membuat sidang media pada Jumaat, Adi berkata, dia tidak mempunyai sebarang hak untuk menghalang pihak berkenaan.
Namun kata Adi, dia mungkin akan mendapatkan perintah injunksi daripada mahkamah untuk menghalang pihak tersebut daripada terus memburukkannya.
"Ini adalah pengakhiran daripada saya dan sekiranya masih ada perkara berbangkit yang cuba memburukkan saya, saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan," ujarnya.

'Lady Yusry' Akaun Instagram Baharu Lisa Surihani Elak Penyamar

Posted: 13 Dec 2013 03:35 AM PST


Lisa antara selebriti yang mempunyai pengikut tertinggi di laman sosial.
PETALING JAYA: Pelakon Lisa Surihani mengambil keputusan menukarkan nama profil di Instagram miliknya iaitu 'Lisa Surihani23' kepada 'Lady Yusry' ekoran muncul satu akaun di laman sosial itu yang menyamar sebagai dirinya.
Menurut Lisa, 27, kewujudan akaun iaitu 'Lisa Surihani24' telah mengelirukan peminatnya apabila pemilik akuan berkenaan menuduh akaun Instagram sebenar milik Lisa adalah palsu dan telah digodam.
Lisa menjelaskan bahawa akaun terbaharunya kini ialah Lady Yusry
"Saya bersimpati dengan individu (Lisa Surihani24) yang terpaksa memperdaya orang lain untuk mendapatkan pengikut (followers) dengan mempergunakan nama saya.
"Siapa pun anda, saya amat berharap anda mendapat pengikut memandangkan itu apa yang anda hendak lakukan, cuma saya meminta anda menggunakan nama sendiri," tulisnya menerusi akaun Instagram miliknya pada malam Khamis.
Sementara itu, Lisa juga memaparkan kenyataan akaun palsu berkenaan yang menuduh akaun asli miliknya sebagai hacker (penggodam).
Kenyataan daripada pemilik akaun palsu Lisa Surihani24 yang mendakwa akaun sebenar Lisa adalah palsu.
Menurut kenyataan pemilik akaun palsu itu: "Jangan ikut 'Lisa Surihani23' yang merupakanhacker! ini (Lisa Surihani24) adalah akaun saya sebenar, akaun pertama saya telah digodam, sila ikut saya di sini dan terima kasih."
Dalam pada itu, Lisa turut memuat naik sebuah video di Instagram bagi menjelaskan perkara itu dan membuktikan akaun tersebut adalah miliknya.
Lisa merupakan antara selebriti yang aktif dan mempunyai pengikut tertinggi di laman sosial.
Sehingga kini, Lisa memiliki sebanyak 2.6 juta pengikut di Facebook, Twitter (1.6 juta) dan Instagram (458,000).

Cinderella Hanya Ditayang Di Pawagam, Elak Cetak Rompak

Posted: 13 Dec 2013 03:33 AM PST


Ahmad Idham memberitahu keputusannya itu sebagai usaha untuk memperjuangkan industri filem tempatan.
PETALING JAYA: Pengarah dan penerbit filem Ahmad Idham Ahmad Nadzri mengambil keputusan untuk menayangkan karya terbaharunya iaitu Cinderella, hanya di pawagam sahaja bermula 19 Disember ini.
Idham berkata, ianya merupakan satu langkah drastik yang perlu diambil, bagi memperjuangkan industri filem tempatan yang kini bergelumang dengan masalah cetak rompak.
"Saya perlu mengambil langkah pencegahan, dan ini merupakan mekanisme yang diambil untuk melihat keberkesanan langkah pencegahan tersebut.
"Industri cetak rompak mengaut keuntungan lebih besar, berbanding industri perfileman kita sendiri dan kerana itu, kita harus mengambil langkah cukup drastik, untuk membendung gejala ini," kata Idham menerusi kenyataan yang di e-melkan kepada mStar online di sini pada Khamis.
Cinderella dibintangi oleh Fizo Omar dan Nelydia Senrose.
Tambah Idham, kebiasaannya, sesebuah filem yang sudah selesai ditayangkan di pawagam selepas dua atau tiga minggu, akan ditayangkan di platform lain seperti cakera padat video (DVD) mahupun siaran televisyen berbayar di mana pada ketika itu, penerbit filem mula berhadapan dengan masalah cetak rompak.
Dalam pada itu, Idham turut mengambil langkah berjaga-jaga dengan meletakkan kod-kod tertentu bagi setiap salinan filem yang dihantar ke pawagam dan ia boleh mengesan dari mana sumber cetak rompak berkenaan diperoleh.
Dengan kos sebanyak RM 1.5 juta, Cinderella yang akan mula ditayangkan pada 19 Disember ini, dijangka mendapat sambutan dari peminat filem genre romantik, yang akan mengulangi kejayaan filem-filem terdahulu.
Dibintangi Fizo Omar, Nelydia Senrose, Kamal Adli, Erin Malek dan ramai lagi, filem terbitan ke-11 syarikat Excellent Pictures itu akan ditayangkan di 60 pawagam seluruh Malaysia.

Pesta Muzik Planet Eupe Terbesar Di Utara Tanah Air

Posted: 13 Dec 2013 03:32 AM PST


Yuna bakal memeriahkan Pesta Muzik Planet Eupe yang akan diadakan pada 1 Mac depan.
KUALA LUMPUR: Pesta Muzik Planet Eupe yang bakal diadakan di Sungai Petani, Kedah pada 1 Mac 2014 menjadi festival muzik terbesar di Utara Malaysia menggabungkan barisan artis tempatan dan antarabangsa.
Pengarah Urusan Eupe Corporation Berhad, Datuk Beh Huck Lee berkata, pemilihan negeri itu sebagai tapak acara adalah sebagai salah satu usaha mengubah landskap budaya dan muzik di negara ini yang kebanyakannya tertumpu di Kuala Lumpur.
"Tujuan kami mengadakan konsert ini untuk membuka lembaran baharu negeri di utara sebagai salah satu tempat yang bukan sahaja kaya dengan budaya tetapi juga mampu menarik pelancong luar dengan pelbagai aktiviti seperti konsert yang bakal diadakan.
"Usaha ini juga sebagai salah satu langkah untuk memperkenalkan negeri di utara pada peta dunia dengan penganjuran konsert bertaraf antarabangsa ini," katanya kepada mStar Online ketika ditemui pada sidang media konsert itu di Hotel Hilton di sini, Khamis.
Pesta Muzik Planet Eupe akan diadakan di Taman Air Carnivall Eupe, Cinta Sayang Resort bermula pukul 6 petang.
Barisan artis yang bakal terlibat seperti Wang Lee Hom, Yuna, Najwa Latif, U-KISS dan Jeannie Hseih.
Buat pertama kali sebuah festival muzik diadakan secara besar-besaran di Kedah.
Manakala artis Cina tempatan turut memeriahkan acara seperti Orange Tan, Da.Mon.Ster, KahJun dan Mint G.
Tambah Beh, pihaknya menyasarkan penonton dari negeri-negeri di utara iaitu Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis untuk menghadiri konsert tersebut namun berharap ia turut disertai oleh penonton dari negeri lain di Malaysia.
Pihak Eupe Corporation Berhad juga merancang untuk menjadikan pesta ini sebagai acara tahunan sekiranya ia mendapat sambutan menggalakkan daripada penonton.
"Biarpun konsert ini diadakan di utara tanah air namun kami turut menyasarkan hadirin akan hadir dari seluruh Malaysia kerana sambil menonton persembahan artis mereka juga boleh melancong ke Kedah yang terkenal dengan pelbagai keunikan," ujarnya.
Dalam pada itu, Beh tidak menafikan kemunculan kumpulan K-Pop iaitu U-KISS adalah sebagai salah satu tarikan kepada pengunjung terutamanya di kalangan remaja yang meminati muzik daripada Korea Selatan.
Tambahnya lagi, pemilihan Yuna juga dibuat sebagai salah satu penghormatan buat penyanyi yang sedang mencipta nama di Amerika Syarikat itu bagi memberi inspirasi kepada peminat dan pengunjung.
Kedatangan Lee Hom cukup dinanti-nantikan oleh peminat.
"Wang Lee Hom mempunyai peminat cukup besar di Malaysia dan kami yakin dia dapat menarik pengunjung dan begitu juga U-KISS yang menjadi fenomena di kalangan peminat muzik K-Pop.
"Semua barisan artis terutama daripada luar negara cukup menyokong pesta ini dan berjanji akan memberikan persembahan bertenaga kepada penonton," katanya.
Sementara itu, Beh berkata, pihaknya menyasarkan lebih 20,000 pengunjung akan memenuhi tapak konsert itu nanti yang turut mempunyai pelbagai aktiviti lain sebelum acara utama bermula.
Kata Beh, pada hari itu juga akan diadakan pertandingan pemilihan peserta daripada Malaysia untuk mewakili negara dalam Kejohanan Tarian Antarabangsa Hip Hop yang akan diadakan di Las Vegas, Amerika Syarikat.
Tiket untuk menyaksikan konsert ini serendah RM90 (berdiri), RM190 (berdiri), RM290 (tempat duduk bernombor) dan RM390 (tempat duduk bernombor).
Peminat boleh mendapatkan tiket di Cinta Sayang Resort dan melalui laman web TicketCharge iaitu www.ticketcharge.com.my atau menghubungi 03-9222 8811 atau 04-6459 811.
Maklumat lanjut mengenai konsert boleh melayari www.planetEUPE.com danwww.facebook.com/PlanetEUPE.

Tertarik bacaan Al-Fatihah

Posted: 13 Dec 2013 03:32 AM PST

  • Tertarik bacaan Al-FatihahAzman Khor bersyukur dengan kehidupannya sebagai seorang Muslim. Kanan: Azman Khor bersama isteri (belakang, tengah) dan empat daripada 10 anak mereka.

JITRA - Meskipun dibesarkan dalam keluarga yang kuat pegangan agama nenek moyangnya, namun, jiwanya masih terasa kosong dan perlu diisi bagi memenuhi ruang dalam nalurinya.

Selepas melihat kepercayaan nenek moyangnya itu tidak dapat diikuti, jiwanya mula mencari-cari hinggalah beliau berpindah bersama bapanya dari Kuala Lumpur ke Kemaman, Terengganu bergaul dengan rakan baru yang kebanyakan berbangsa Melayu.

Di sinilah kehidupan Azman Khor Abdullah, 57, mula berubah apabila tinggal di sebuah perkampungan Melayu yang banyak mengubah corak kehidupannya.

"Pada masa itu umur saya baru 10 tahun dan kehidupan banyak dipengaruhi oleh adat istiadat orang Melayu.

"Di kampung ini juga saya bertemu dengan seorang rakan baik, Noor Faiz Ahmad Din hingga keluarganya itu sudah seperti keluarga saya sendiri," katanya.

Minta rakan baik tulis Surah Al-Fatihah

Menurutnya, kehidupan dan kepercayaan keluarga Noor Faiz itu turut menarik minatnya untuk mempelajari ilmu agama.

"Hinggalah pada suatu hari ketika saya pergi ke rumah kawan saya itu terdengar ibunya membaca al-Quran dalam surah Al-Fatihah hingga menyebabkan hati saya tertarik dengan bacaan itu dan meminta Noor Faiz menulis bacaan itu ke dalam buku kecil.

"Semenjak itu saya mula mempelajari dan membaca Al-Fatihah secara tersembunyi daripada bapa dan sering membawanya ke mana sahaja. Walaupun saya tidak faham makna ayat itu tetapi jiwa saya sangat tenang dan terus mahu mempelajari tentang agama Islam," katanya.

Azman Khor berkata, surah Al-Fatihah itu sangat sedap didengar dan jika dihayati ia ada kekuatannya sendiri hingga sukar untuk diterjemahkan tentang kemanisan pada ayat-ayat surah berkenaan.

Ambil keputusan masuk Islam

Bagaimanapun usahanya menghafal ayat itu dapat dikesan oleh bapanya apabila buku itu hilang dari simpanannya dan dia telah dihantar pulang semula ke Kuala Lumpur hingga tamat pelajarannya.

"Walaupun sudah pulang ke Kuala Lumpur dan mula bekerja sebagai kerani akaun di sebuah syarikat swasta tetapi semangat untuk belajar tentang Islam tidak pernah terpadam dalam jiwa saya hinggalah pada 1980 saya mengambil keputusan untuk mengucap dua kalimah syahadah di sebuah masjid dan memeluk Islam.

"Selepas memeluk Islam, semangat untuk mempelajari Islam sangat membuak-buak hinggalah saya berhijrah ke Derang Pokok Sena, sebuah pusat pengajian agama dan tinggal di situ  serta bertemu jodoh dengan isteri saya, Nor Sakinah Vanitha Abdullah," katanya yang kini membuka kedai makanan Cina Muslim di Bandar Baru Darul Aman.

Katanya, penghijrahan itu memberi kehidupan baru dalam hidupnya dan turut bersyukur kerana di samping mendalami agama, dia juga dapat membina keluarga sendiri dan mampu mendidik keluarganya mengikut acuan Islam.

Keluarga sudah terima penghijrahan
Ditanya tentang penerimaan keluarganya, dia berkata, mereka sudah mengetahui mengenai minatnya terhadap Islam sejak kecil lagi dan kini mereka menghormati keputusannya memeluk Islam.

"Bapa saya Khor Jin Yew sudah lama tahu tentang minat saya terhadap Islam. Walaupun pelbagai halangan dilakukannya, akhirnya dia mengizinkan asalkan saya menjadi seorang insan yang baik terhadap agama dan masyarakat.

"Walaupun kini bapa saya sudah tiada tetapi sebagai abang sulung daripada lima beradik, mereka tetap menghormati malah setiap kali hari raya mereka pernah juga menghantar duit kepada anak-anak untuk membeli pakaian," katanya kepada Sinar Harian.

Azman Khor berkata, dia kini sungguh gembira dengan kehidupannya, malah turut  bersyukur kepada ALLAH kerana menganugerahkan anak seramai 10 orang bagi memeriahkan hidupnya sebagai Muslim.

Splash Party MH eratkan hubungan peminat dan artis

Posted: 13 Dec 2013 03:31 AM PST

  • Splash Party Media Hiburan penuh keseronokan

MAJALAH hiburan popular Media Hiburan (MH) terbitan Kumpulan Media Karangkraf, dengan kerjasama Marry Brown dan Sunway Lagoon  menganjurkan program Splash Water 2.0, Selalu lalu.

Buat kali kedua Splash Party anjuran Media Hiburan kembali menemui peminat dan pembaca. Kali ini aktiviti telah diadakan di Taman Tema Air Sunway Lagoon.

Editor majalah Media Hiburan,  Meen Tahrin, yang juga selaku ketua program kali ini berkata, aktiviti seumpama ini di adakan bagi tujuan menghargai peminat dan juga pembaca MH yang selama ini tak pernah jemu memberi sokongan.

"Sebelum ini program seumpama ini pernah dibuat di Bukit Cahaya Seri Alam. Kali ini, kami mahukan lokasi yang lebih menarik dengan pelbagai program agar setiap peserta yang hadir menikmatinya dengan gembira," katanya.

Meen berkata, lebih ramai artis turut dijemput hadir bagi memeriahkan majlis dan meluangkan masa bersama peminat.

"Setiap aktiviti yang dijalankan sepanjang program ini akan disertai oleh artis dan peminat. Jadi peminat dapat mendekati dan beramah mesra dengan artis yang hadir.

"Kami agih-agihkan artis dan peminat dalam satu kumpulan kecil yang diwakili seramai 5 orang, dalam satu kumpulan akan ada seorang atau dua orang artis.

"Hasilnya kami melihat wujudnya satu ikatan yang baik antara peminat dan artis ini. Dengan itu kami berpuas hati kerana usaha kami berjaya," katanya.

Dalam program itu pelbagai aktiviti dijalankan untuk memberi keseronokan dan kepuasan kepada peserta  seperti menaiki Vuvuze bersama artis, mencari harta yang tersembunyi, perlumbaan gelongsor air dan banyak lagi.

"Program kali ini adalah antara program yang berjaya mendapat sambutan hangat daripada peminat dan pembaca majalah Media Hiburan," katanya.

Antara artis yang hadir memeriahkan program ini ialah Zoey Rahman, Dafi, Daus AF, Maulana, Alif AF, Nas Adila, Alif Hadi, Alam Wakaka, Amar Baharin, Zara Zya dan Aman Nassim.


Perlu diteruskan
Pelakon drama Love U Mr Arrogant, Zara Zya yang turut hadir menjayakan program kali ini berkata, program seumpama ini harus dikekalkan kerana sedikit sebanyak memberi ruang dan peluang peminat mendekati artis.
"Saya seronok turut serta dalam program ini sebagai salah seorang yang turut menjayakan aktiviti ini.
"Program seumpama ini merapatkan hubungan saya dengan peminat dan berterima kasih kerana sudi menjemput saya turut serta," katanya.
Bagi Alam Wakaka ketika ditemui semasa program itu, mengakui sangat terhibur dengan program anjuran MH itu.
"Saya begitu sibuk dengan kerja, namun saya sempat menghadirkan diri semata-mata untuk peminat.
"Walaupun sekejap saja dapat datang, saya sempat berjumpa dengan peminat dan menghiburkan mereka," katanya.

Anding ikon bina badan?

Posted: 13 Dec 2013 03:29 AM PST

  •  AndingAnding

NAMA Anding Indrawani bukanlah asing dalam industri seni. Malah sejak penglibatannya dalam program realiti Akademi Fantasia sejak 2004, anak muda ini semakin menjadi perhatian pengarah dengan membintangi beberapa drama dan juga program pengacaraan.
Meskipun masih belum popular mahupun setanding rakan seangkatannya, namun pelakon dan penyanyi kelahiran Sarawak ini masih aktif dalam dunia hiburan seni tanah air dan tidak membuatkan dia hilang dari industri ini.

Terbaru, Anding dilihat sering ke gimnasium dan berkongsi tip membina badan dengan peminat menerusi laman sosialnya. Menyangkal dakwaan segelintir pihak bahawa dia sengaja mengeksploitasi perkara itu, Anding yang pernah menjadi jurulatih
peribadi di sebuah pusat gimnasium, berkata, dia bukan mahu berbangga dengan kelebihan tersebut, namun ramai remaja yang bertemunya mahu menjadikannya sebagai ikon sekali gus mengimpikan penampilan sepertinya.

"Saya bukan nak berlagak dengan susuk badan saya, dan ia bukan cara saya untuk memperagakan badan kepada orang, tapi saya mahu ia menjadi inspirasi kepada anak muda.

"Saya gembira apabila mereka melahirkan perasaan mahu menjadikan saya sebagai idola mereka. Semua adalah hasil untuk menjadikan seseorang itu sihat selain memberikan penampilan yang segar untuk dapatkan tubuh yang sasa," kata Anding yang tidak mahu perkara itu dijadikan isu berikutan banyak memuat naik susuk badannya di Twiter.

Drama online, travelog
Perkembangan terbaru, Anding bakal muncul menerusi drama Dan Calonnya Adalah... yang akan disiarkan menerusi web Tonton mulai 12 Disember ini. Drama 13 episod itu turut dibintangi Faralyna yang juga sebagai teraju utama.

Selain itu, Anding akan menjalani penggambaran program travelog terbitan RTM berjudul Krik Krik, musim ketiga di Eropah dan Afrika pada penghujung Disember ini sehingga Januari tahun hadapan.

Menurut Anding, walaupun ramai yang tidak tahu kemunculannya melalui program travelog itu, namun dia percaya banyak perkara yang dapat diambil melalui slot yang dipaparkan melalui rancangan itu.

"Walaupun karier saya agak perlahan tapi saya sangat gembira apabila dengan apa yang saya buat sekarang. Selagi ALLAH SWT memberikan saya rezeki dalam bidang ini saya akan teruskan", ujarnya.

Beralih kepada bidang nyanyian, menurut Anding, dia masih merindui nyanyian melalui teater muzikal.

Walaupun masih belum mendapat lagu terbaik untuk dijadikan sebuah single, namun pelakon yang pernah terlibat dalam pementasan Teater Muzikal Chow Kit Road! terbitan Masa kini Theatre Company dengan memegang watak utama sebagai Ilham ini
masih menunggu skrip muzikal terbaru.

"Saya sangat mencintai dunia teater yang berbentuk muzikal, kerana saya suka menyanyikan lagu secara spontan begitu dan dapat menjiwai karakter seperti yang saya bawa sebelum ini," katanya yang pertama kali memegang watak utama di pentas Istana Budaya.

Dipukau 'Uncle Lim' dalam pasar raya

Posted: 13 Dec 2013 03:25 AM PST

  • Dipukau 'Uncle Lim' dalam pasar rayaNor Hidayah menunjukkan laporan polis dan cetakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dibuat susulan insiden itu.

REMBAU – Seorang peniaga kerugian ratusan ringgit selepas anak sulungnya dipercayai dipukau oleh seorang lelaki berusia 50-an yang mengekori anaknya itu untuk membeli barangan runcit di sebuah pasar raya di Chembong, dekat sini, 9 Disember lalu.

Dalam kejadian kira-kira 7.30 malam itu, lelaki itu yang memperkenalkan diri sebagai 'Uncle Lim' datang ke kedai peniaga berkenaan di Medan Selera Chembong untuk menempah 21 bungkus nasi goreng.

Menurut peniaga berkenaan, Norfizah Nayan, 45, ketika itu, dia tidak mengesyaki lelaki terbabit berniat jahat memandangkan kedainya sering dikunjungi pekerja kilang dan pekerja kontrak bagi membungkus makanan.

"Pada masa itu, anak saya, Nor Hidayah Nazeri, 16, yang mengambil tempahan. Lelaki terbabit menyatakan ingin membungkus makanan selama dua hari di kedai saya. Malah, dia menyatakan bosnya akan turun dalam tempoh masa sejam untuk makan ikan siakap dan pelbagai jenis buah-buahan di kedai saya.

"Oleh kerana tempahannya agak banyak, anak sulung saya, Lily Dianna Nazeri, 23, pergi ke pasar raya terdekat bersama adik saya, Norhayati Nayan, 41, untuk membeli makanan tambahan," katanya.

Norfizah berkata, semasa berada di pasar raya berkenaan, anaknya itu terperanjat apabila lelaki terbabit juga berada di pasar raya dan beria-ria mengambil pelbagai jenis barangan sebelum dimasukkan ke dalam troli mereka.

Menurutnya, lelaki terbabit mengambil enam karton 100 plus dan Redbull; 30 bungkus kacang; 30 biji oren; 60 biji epal; dua ekor ikan siakap dan lain-lain lagi.

"Lelaki terbabit bertanyakan jumlah duit yang dimiliki anak saya ketika itu selain bertanyakan sama ada dia mempunyai duit dalam akaun bank atau tidak. S

emasa berada di kaunter, anak saya juga tidak sedar bila lelaki terbabit mengambil duit RM400 daripadanya.

"Selepas itu, lelaki terbabit menyuruh anak saya pergi ambil tisu, sementara adik saya pula diarahkan ambil pisang. Sebaik kembali ke kaunter, lelaki terbabit sudah tiada dan anak saya tersedar ketika ingin menjelaskan bayaran di kaunter," katanya yang membuat laporan di Balai Polis Rembau sejurus kejadian.

Katanya, sejak lebih tujuh tahun berniaga di lokasi berkenaan, pengalaman dipukau oleh lelaki yang kelihatan seperti warga emas itu adalah pengalaman pertama dan anaknya juga trauma.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mizan Md Dom mengesahkan kejadian itu.

Jumpa telur dalam telur

Posted: 13 Dec 2013 03:22 AM PST

  • Jumpa telur dalam telurTelur yang ditemui dalam telur yang dipecahkan peniaga.

TAMPIN – Seorang peniaga di Gerai Majlis Daerah Tampin (MDT) Taman Gunung Mas Repah terkejut apabila mendapati terdapat telur kecil di dalam telur yang dipecahkannya pada malam Isnin lalu.

Peniaga berkenaan, Masnora Saad, 42, berkata, ketika itu, dia ingin memasak pesanan nasi goreng kampung yang diterima dan mula berasa pelik apabila terdapat telur sebesar saiz sudu teh kecil di dalam telur yang dipecahkan.

"Akak tak pernah lihat keunikan seperti ini. Kalau kuning telur kembar tu akak dah biasa jumpa tapi kalau telur dalam telur inilah yang pertama kali. Pada masa itu, akak fikir ada kulit telur tetapi selepas diteliti ianya merupakan telur bersaiz kecil dengan kulit yang agak lembik.

"Apabila telur berkenaan dipecahkan ia tetap mempunyai kuning telur walaupun agak kecil," katanya.

Peneroka terkejut jumpa bom

Posted: 13 Dec 2013 03:20 AM PST

  • Peneroka terkejut jumpa bomBom yang masih aktif telah dijumpai Suliman.

FELDA KEPIS - Seorang peneroka yang sedang menjalankan kerja-kerja meracun di kebun getah di Felda Kepis, dekat sini terkejut setelah menemui sebutir bom jenis 'air drop' di kawasan berkenaan.

Bom tersebut dipercayai tinggalan Perang Dunia Kedua itu dijumpai Suliman Madimon, 59, kira-kira jam 8.30 pagi, semalam.

Menurut Suliman, dia tidak menyangka objek besi yang pada awalnya disangka ekzos motosikal jenis Srambler itu rupa-rupanya sebutir bom yang masih aktif.

"Sedang sibuk meracun di lereng bukit, saya terpijak objek keras lalu tergelincir tetapi ketika itu saya tidak syak apa-apa kerana saya fikir itu hanyalah besi biasa atau ekzos motosikal.

"Tak sangka pula itu sebenarnya bom. Nasib bom itu tidak meletup ketika saya bawa ia ke pejabat Felda Kepis," katanya ditemui semalam.

Tambah Suliman, dia hanya menyedari objek yang sudah berkarat itu sebutir bom selepas dimaklumkan oleh rakan-rakan di pejabat berkenaan.

"Rakan-rakan memberitahu bahawa objek itu mungkin sebutir bom dan saya terus menghubungi Pondok Polis Batu 10, dekat sini untuk tindakan lanjut," katanya.

Sementara itu Pengurus Felda Kepis, Mohd Ruslan Suli, 50, berkata, pada awalnya dia menyangka bom itu adalah sebutir bom mortar setelah melihat sendiri objek itu.

"Anggota polis dari Balai Polis Dangi tiba di pejabat untuk memeriksa objek tersebut dan meletakkannya di tempat yang rata dengan kawalan ketat demi keselamatan penduduk.

"Penemuan ini merupakan sejarah buat kami kerana belum pernah sesiapa di felda ini menjumpai bom sejak ia dibuka pada 1978. Oleh itu kita mohon agar peneroka melaporkan kepada pihak pejabat atau polis sekiranya terjumpa objek yang pelik ketika berada di kebun.

"Kita juga nasihatkan mereka agar berhati-hati ketika melakukan kerja-kerja membersihkan kawasan kebun," katanya.

Sinar Harian difahamkan, bom tersebut telah dimusnahkan oleh unit pemusnah bom Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Seremban kira-kira 1.40 petang semalam, di kawasan kebun dengan jarak satu kilometer dari tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superitendan Azmi Abdul Rahim turut menasihati orang ramai yang menjumpai bom lama supaya tidak memindahkan bom berkenaan kerana risikonya amat tinggi hingga boleh mengancam nyawa.

Che Ta-Zain saling melengkapi

Posted: 13 Dec 2013 03:16 AM PST

  • Che Ta-Zain saling melengkapi

"AKHIRNYA saya bergelar isteri kembali," itulah antara kata-kata aktres cantik, Rozita Che Wan, setelah selamat diijabkabulkan pada malam Rabu lalu, di Setia City Convention Centre, Shah Alam.

Tidak perlu menduga gelojak jiwa dan kegembiraan Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta, ini kerana ia dizahirkan melalui raut wajah dan senyumannya.

Tampil anggun dengan mengenakan busana mewah berkonsepkan kebaya moden berona putih, Che Ta jarang sekali melepaskan pandangan daripada terus menatap suaminya itu.

Menurut Che Ta, setelah hampir 10 tahun bergelar ibu tunggal, dia akan kembali menjalani tugas sebagai isteri dan menguruskan satu keluarga lengkap.

"Alhamdulillah, tiada langsung perasaan gemuruh ketika saat diijabkabulkan kerana sebelum ini saya sedaya upaya mengosongkan jiwa dan fikiran untuk saat ini.

"Tiada apa-apa yang ketara akan berubah dalam kehidupan saya selepas ini, mungkin yang berubah hanyalah masa bekerja dan waktu bersama keluarga.

"Soal menguruskan rumah tangga atau menyediakan hidangan untuk keluarga, itu sudah menjadi rutin saya kerana ia memang dipraktikkan kerana ada anak-anak," katanya yang sah bergelar isteri Zain hanya dengan sekali lafaz sahaja.

Che Ta yang berwalikan adik lelakinya, Roshidi Che Wan dinikahkan Ketua Pendaftar Nikah Negeri Selangor, Ustaz Aluwi Parman.

Dalam pada itu, pelakon Kiah Pekasam ini, menerima sembilan peti hantaran termasuk mas kahwin berjumlah RM9,300, sebentuk cincin bernilai RM93,000 dan wang hantaran sebanyak RM23,000.

Selain itu, peti hantaran yang lain turut mengandungi telekung dan sejadah, set minyak wangi, beg tangan, sepersalinan kain, kasut, sirih junjung, telefon bimbit dan cincin.

Manakala pihak lelaki pula menerima sembilan peti hantaran berupa baju Melayu, kemeja-T, kasut, beg dan tali pinggang, sirih junjung, set minyak wangi, gelang tangan dan jam serta cincin.

Pada majlis itu, Che Ta turut menggayakan barangan kemas pertama delima terdiri daripada tiara berlian, dua bentuk cincin, sepasang anting-anting labuh, rantai leher dan dua pasang rantai tangan bernilai RM6.5 juta tajaan Habib Jewels.

Sebelum majlis akad nikah berlangsung, ibu Zain, Siti Aishah Abdullah, terlebih dahulu menyarungkan cincin pertunangan mereka.

Antara selebriti yang hadir termasuk Tasha Shilla, Nur Fathia, Ayu Raudhah dan suami, Zaquan Adha, Mazlan (Pet Pet), Sasha Saidin, Micheal Ang serta Azza (Elite).

Majlis resepsi pula akan diadakan pada Jumaat ini di Grand Ballroom, Setia City Convention Centre pada jam 8 malam.

Zain mundar-mandir

Jika Che Ta memilih untuk mengosongkan fikiran untuk berhadapan detik indah itu, Zain atau nama sebenarnya, Mohamad Zain Mohd Saidin, sukar melepaskan rasa berdebar.

Walaupun riak wajahnya tenang, namun seribu satu perasaan bergelumang dalam hati jejaka kacukan ini. Malah, sebelum majlis berlangsung, Zain dilihat berjalan mundar mandir di luar dewan bagi menghilangkan rasa gemuruh.

Pun begitu, akui Zain, dia cuba untuk tidak memikirkan perkara yang tidak sepatutnya agar kelancaran majlis berlangsung dengan baik.

"Berdebar tu, memang ada. Namun, ia bercampur dengan rasa teruja. Masa akad nikah, saya tak rasa apa-apa lagi, namun ketika menunaikan solat sunat syukur, saya mula rasa tersentuh.

"Malah, saya sedar, tanggungjawab sebagai suami dan bapa bukanlah sesuatu yang mudah. Namun, saya bersedia menggalas tugas itu bersama-sama isteri dan anak-anak nanti.

"Selama ini, kami susah senang bersama. Diharapkan selepas ini tiada lagi kontroversi yang mengaitkan kami. Malah, saya juga akan jadi suami dan bapa yang bertanggungjawab dalam memastikan maruah keluarga kami terbela," katanya yang berharap perkahwinan mereka kekal hingga ke akhir hayat.

Hasrat tak tertunai?

Sebelum ini, Che Ta berhasrat untuk mengadakan majlis pernikahan mereka dengan berkonsepkan dalam taman.

Malah, pengacara rancangan wanita, Primadona ini, turut memilih gazebo di lokasi itu untuk majlis akad nikah.

Namun, setelah memikirkan banyak perkara termasuk soal keselamatan, Che Ta terpaksa membatalkan hasratnya untuk berada di sana.

"Pada awalnya, saya nak sangat kahwin di gazebo itu kerana pemandangannya sangat cantik dan bertepatan dengan konsep tema dalam taman.

"Namun, setelah memikirkan aspek keselamatan, cuaca dan beberapa perkara lain, saya akur. Malah, saya sangat gembira kerana dekorasi dalam taman di transformasi dalam suasana yang cukup indah.

"Malah, saya sendiri rasa macam berada di gazebo itu," katanya yang mengakui terpaksa mengehadkan bilangan jemputan untuk mengelakkan masalah yang boleh mengganggu kelancaran majlis

Anak-anak panggil 'Pa'

Walaupun Che Ta memiliki dua anak lelaki, Aniq Ezzra, 15, dan Ammar Effendy, 17, hasil perkahwinan terdahulu, namun ia bukanlah halangan besar untuk Zain menyesuaikan diri.

Menurut Zain, walaupun hanya bergelar bapa tiri, namun dia menganggapnya mereka sama seperti anak sendiri.

"Saya selesa bersama mereka dan begitu juga mereka. Pada awalnya saya risau juga untuk mendampingi mereka kerana masing-masing sudah dewasa.

"Namun, saya cuba mengenali mereka dengan berkongsi hobi dan kegemaran seperti menonton wayang dan bola sepak. Jadi, mereka senang bercerita dan kongsi minat degan saya.

"Sebelum ini, mereka panggil saya 'uncle'. Namun, kini mereka mula belajar memanggil saya dengan panggilan 'Pa'," kata pelakon Oh My English ini.

Bertanya mengenai cahaya mata, baik Zain mahupun Che Ta, masing-masing menyerahkan perkara itu kepada Yang Maha Kuasa.

"Saya tak kisah ada ke tak ada selepas ini kerana saya dah ada anak segera," kata Zain sambil ketawa kecil.

Sama seperti Zain, Che Ta juga tidak terlalu terdesak untuk memiliki cahaya mata buat masa terdekat ini.

"Kalau boleh, buat masa terdekat ini, saya tak terfikir lagi untuk memiliki cahaya mata. Namun, segalanya adalah ketentuan rezeki dari Allah SWT.

"Kalau cepat pun kami terima dan kalau lambat pun tak apa," katanya yang bakal terbang ke Italy pada 16 September ini untuk berbulan madu.

Tegur pemakaian Che Ta

Berjanji untuk menjadi pembela kepada isterinya yang sering menjadi mangsa individu yang skeptikal, Zain mengakui banyak perkara yang orang luar tidak tahu mengenai isterinya.

Menurut Zain, dia bersedia memikul tanggungjawab sebagai suami kepada Che Ta walaupun pelakon ini dilabel sebagai, High-Maintenance Artist.

"Saya kenal siapa isteri saya. Ramai orang luar yang sering bersangka buruk kepadanya tanpa mengenali siapa dia (Che Ta).

"Saya akui, dia memang memiliki cita rasa tinggi, namun tidak pernah pula dia menyusahkan saya dengan pelbagai permintaan yang melampau.

"Malah, dia akan berusaha sendiri untuk mendapatkan apa yang dia mahukan tanpa menyusahkan sesiapa. Jadi, tak baik bersangka buruk," tegas Zain.

Selain itu, Zain juga turut berjanji menggunakan kuasa veto sebagai suami untuk menegur penampilan isterinya.

"Sebagai suami, saya akan jaga dia elok-elok malah masing-masing perlu menjaga kehormatan dan maruah. Saya juga akan tegur pemakaian jika tidak bersesuaian.

"Soal pakai tudung, saya memang tak paksa. Cuma, kalau dulu dia pakai singkat, saya akan tegur suruh pakai labuh sikit.

"Mengenai urusan kerja pula, saya nasihatkan dia untuk tidak bekerja lebih keras lagi kerana kami sama-sama bekerja. Saya lebih suka kalau dia buat telefilem sahaja, namun dia sayang nak tinggalkan bidang pengacaraan seperti Primadona," katanya yang kembali bekerja pada pertengahan Januari depan untuk siri Oh My English 3.

Sementara itu, Che Ta juga turut memberitahu akan kembali ke lokasi penggambaran pada awal Januari ini.

Ayu Raudhah hamil anak kedua

Posted: 13 Dec 2013 03:12 AM PST

AYU RAUDHAH kini hamil empat bulan. Dia mempunyai seorang anak lelaki, Aisy Qaiser, yang baru berusia sembilan bulan.


KALI terakhir Ayu Raudhah beraksi di depan kaca televisyen adalah sekitar bulan Ogos lalu untuk telefilem Aidifitri berjudul Tiba Masanya bergandingan bersama Azhan Rani dan Ezlisa Loy.
Bagaimanapun, adik kepada pelakon Rozita Che Wan itu kembali menyepi dan hanya memperuntukkan waktu menguruskan rumah tangganya bersama suami, Zaquan Adha dan anak lelakinya, Muhammad Aisy Qaiser yang berusia sembilan bulan.
Bertemu wanita ini pada majlis pernikahan selebriti Rozita Che Wan dan Zain Saidin di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam, Selangor baru-baru ini, Ayu menjelaskan dia sedang berehat untuk memberikan tumpuan terhadap keluarga.
Dalam pada itu, Ayu atau nama sebenarnya Raudhah Che Wan, 29, berkongsi berita gembira bahawa dia kini hamil anak kedua yang sudah empat bulan dalam kandungan. Ikuti temu bual bersama pelakon ramah ini:
Kosmo!: Adakah Ayu merancang untuk berhenti daripada dunia lakonan dan terus menguruskan keluarga?
AYU RAUDHAH: Sebenarnya, saya tidak pernah berniat untuk berhenti. Bagaimanapun, buat masa sekarang saya akan memberikan tumpuan untuk keluarga dan membesarkan anak saya terlebih dahulu. Lagipun, ketika terlibat dengan penggambaran pada bulan Ogos lalu, saya terpaksa meninggalkan dia dan berulang-alik setiap hari dari Kuala Lumpur ke Seremban, Negeri Sembilan. Kasihan juga untuk produksi yang terpaksa mengikut jadual penggambaran saya yang tidak boleh meleret sampai lewat malam.
Mungkin Ayu ada perancangan untuk membesarkan keluarga?
Ya, Alhamdulillah saya sekarang sedang hamil empat bulan. Jantina anak belum tahu lagi, tapi saya berharap kali ini agar dapat anak perempuan memandangkan anak sulung saya lelaki. Ini rezeki Allah, saya dan suami tidak pernah merancang untuk mendapatkan zuriat dalam masa terdekat.
Ada Ayu mengalami alahan sepanjang beberapa bulan awal kandungan?
Saya tidak tahu pun pada mulanya saya hamil sehinggalah kitaran haid saya berhenti pada bulan pertama. Saya kemudian membuat pemeriksaan di klinik. Sewaktu hamil anak pertama, saya mengalami alahan, tapi kali ini tiada yang ekstrem atau benda pelik-pelik berlaku kepada saya. Bagaimanapun, saya kira ia beralih kepada suami saya kerana dia yang mengalami muntah-muntah dan pening-pening.
AYU memberitahu, suaminya, Zaquan Adha mengalami alahan muntahdan pening-pening sepanjang dia hamil.


Bagaimanakah reaksi mentua anda apabila dimaklumkan bakal mendapat seorang lagi cucu?
Terkejut, tapi mereka gembira. Seperti kata orang tua-tua, beranak ramai-ramai ketika muda kerana apabila sudah tua tidak perlu fikir banyak perkara, cuma tinggal membesarkan anak-anak.
Komen anda apabila timbul desas-desus kembar suami anda, Aidil Zafuan sudah ada kekasih baharu selepas bercerai. Adakah anda sendiri pernah berjumpa dengan individu itu atau mungkin orang dalam industri hiburan?
Saya tidak mahu komen, maaf. Bukan serik tapi saya tidak mahu apa-apa kenyataan keluar daripada mulut saya. Sejarah lalu pun sudah banyak mengajar saya. Kadang-kadang kita tidak berniat negatif tapi apabila keluar kenyataan orang anggap sebaliknya.
Beralih kepada majlis pernikahan kakak anda, Rozita Che Wan dan Zain Saidin. Sebagai insan paling rapat dengan Rozita apakah yang dapat anda simpulkan tentang mereka?
Majlis ini adalah yang paling dinanti-nantikan sebab semua tahu dia seorang yang popular dan kaya, tapi tiada kebahagiaan dalam rumah tangga. Sebelum berkahwin kami rapat, tapi apabila saya mendirikan rumah tangga dia menjadi sunyi dan mencari pasangan yang sesuai. Saya tumpang gembira untuk pasangan Rozita dan Zain.
Sepanjang mengenali Zain Saidin, apakah peribadi Zain yang anda fikir telah mampu mencairkan hati Rozita?
Zain seorang yang bersungguh-sungguh dan akan dapatkan Kak Ta (Rozita) walau apa cara sekali pun. Walau apa orang kata, dia tetap menerimanya dengan hati terbuka. Sebenarnya kami sekeluarga tidak tahu bila mereka mula bercinta sehingga Kak Ta memberitahu kami dia mahu berkahwin dengan Zain. Apabila terlalu banyak gosip mengaitkan dia dengan ramai lelaki, kami sekeluarga menjadi lali dan tidak ambil pusing.
Adakah perkahwinan Rozita dan Zain lambang kejayaan terhadap semua tohmahan yang dilemparkan sebelum ini?
Ya, kejayaan dan dugaan. Apabila berkahwin masalah tidak dapat selesai secara total. Perjalanan masih jauh dan saya berharap mereka lebih kuat. Orang sekeliling tidak akan berpuas hati.


Kolumpo ujian pertama Amirul

Posted: 13 Dec 2013 03:11 AM PST



SOALAN pertama penulis apabila kali pertama bertemu dengan pelakon bernama Amirul Ariff Abdul Wahab pada majlis tayangan perdana filem Kolumpo baru-baru ini berkisar mengenai pertalian darah dengan Johan As'ari.
Sekali imbas wajah Amirul persis Johan, adakah mungkin kalian berdua bersaudara?
Dalam nada gementar, barangkali kerana baru pertama kali dikerumuni petugas media, Amirul menjawab sambil berseloroh: "Rambut sama hitam tapi hati lain-lain, macam mana mahu terangkan sebab ini kuasa Tuhan. Mungkin saya individu ketujuh yang seiras Johan."
Bagaimanapun, tegas Amirul, 25, dia enggan disamakan dengan pelakon itu kerana bimbang faktor itu akan menjadi stereotaip dan peminat menganggap dia cuba menumpang populariti Johan atas dasar berwajah seiras.
"Saya tidak kisah disamakan dengan Johan tapi apabila terlalu ramai yang menegur saya dan menyamakan saya dengannya, saya naik rimas!
"Johan seorang pelakon yang bagus tapi saya tidak mahu dibayanginya dan boleh terjejas kerjaya serta karier saya apabila sering dibandingkan," tambahnya.
Kejutan budaya
Terpanggil untuk membuat temu bual lanjut bersama anak jati Subang Jaya, Selangor itu, Amirul memanjangkan kisah perjuangan sulungnya dalam industri hiburan tempatan.
"Asalnya saya bukan pelakon. Saya seorang krew produksi filem dan biasa terbabit dalam kerja-kerja belakang tabir seperti pereka pencahayaan dan jurukamera.
"Kemudian, dua tahun lalu saya dipaksa oleh teman baik saya untuk menghadiri sesi uji bakat bersama Sheikh Munasar untuk watak Hafidd dalam filem Kolumpo.
BERADA di samping Sharifah Amani dalam filem Kolumpo, gandingan Amirul dan Sharifah Amani mendapat pujian.


"Kata mereka, disebabkan saya malu apabila berdepan dengan kamera saya menepati piawaian karakter yang mereka cari dan syukur Alhamdulillah saya terpilih," ujarnya yang kini masih lagi bertugas sebagai tenaga produksi belakang tabir.
Pelajar lulusan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dalam bidang perfileman itu mengakui sedang cuba menyesuaikan diri dalam atmosfera baharu dunia lakonan dan populariti yang perlahan-lahan mendakapnya.
"Perkara pertama yang saya belajar apabila memasuki industri hiburan adalah memasukkan diri dalam kelompok masyarakat semasa dan menyesuaikan dengan keadaan.
"Tapi, kelemahan saya ialah saya tidak tahu bagaimana cara untuk masuk ke dalam masyarakat, rasa janggal dan tidak yakin.
"Seperti sekarang, saya perlu menyelenggara jadual harian sendiri, hadir ke sesi temu ramah, menguruskan sesi fotografi dan banyak lagi urusan menanti. Sebab itu saya akan gemuruh kalau berdepan dengan terlalu ramai orang.
"Saya seorang pekerja filem, jadi secara lumrahnya saya seorang yang kasar. Tapi apabila memasuki industri saya perlu berlembut, saya dalam proses belajar," katanya yang menyifatkan karakter Hafidd hampir sama dengan peribadinya.
Daripada tiga buah cerita berbeza yang dipersembahkan dalam filem Kolumpo, Amirul memainkan peranan utama dalam kisah enigma seorang remaja lelaki mencari identiti dirinya sehingga bertemu dengan seorang gadis bernama Siti Nur Hayy (Sharifah Amani) yang telah mengubah perspektif pemikirannya secara total.
Kualiti hero
Rencah hidup Amirul baru bermula. Dia berpegang pada prinsip yang dipelajarinya di Aswara. Dia cuma props kepada sesebuah karya filem atau drama yang hanya menggerakkan jalan cerita.
"Tonggak utama adalah penceritaan, tidak penting sebenarnya seseorang pelakon itu. Mungkin ramai yang tidak bersetuju dengan pandangan saya tapi bagi saya kejayaan pelakon bergantung pada kejayaan jalan cerita filem," jelasnya.
Ditanya adakah Amirul banyak mendapat bimbingan daripada bapanya yang merupakan pengkritik filem terkenal tempatan, jawab Amirul, dia lebih banyak mendapat ilmu berkenaan bidang perfileman secara kendiri.
"Untuk belajar mengenai filem, saya perlu banyak tengok filem dan banyak membaca. Mujurlah di rumah saya ada perpustakaan mini yang mengumpulkan pelbagai koleksi filem milik ayah saya.
AMIRUL masih belajar menyesuaikan diri dengan bidang lakonan.


"Kalau dulu ketika zaman persekolahan saya seorang budak nakal tapi senakal-nakal saya biasanya saya akan meluangkan masa di ruang kecil di rumah saya untuk membaca bersendirian," kata anak kepada pengkritik filem Abdul Wahab Hamzah itu.
Amirul mengakui dia tidak mempunyai kualiti hero sebuah drama tapi interpretasi hero pada pandangannya lebih merujuk pada kualiti bakat berlakon.
"Saya tiada kualiti seorang hero yang biasanya badan berotot atau mempunyai wajah tampan. Tapi bagi saya, adanya atau tiada seseorang hero bukan faktor utama asalkan mampu menyampaikan jalan cerita," kata Amirul.
Sebagai seorang pelakon yang terdahulu memasuki industri menerusi kerja belakang tabir, Amirul tetap berjaga-jaga perihal kontroversi.
Ujarnya, sama ada sedar atau tidak dia perlu mempersiapkan diri untuk berdepan kontroversi.
Katanya: "Bersedia atau tidak, kontroversi akan tetap datang apabila sampainya waktu. Saya harap pada ketika itu saya boleh menanganinya dan cuba sedaya upaya untuk mengelak kontroversi. Itu sangat tidak bagus dan boleh mendatangkan masalah mental!"


Ultra FM guna lima selebriti jadi deejay

Posted: 13 Dec 2013 03:10 AM PST


Fizi, Mon Ryanti, Sharifah Shahirah, Jimmy Shanley dan Mamat menjadi peneraju Ultra FM yang berfrekuensi melalui gelombang 101.3 FM.


STESEN radio tempatan berkembang lagi dengan kehadiran satu lagi stesen baharu yang dikenali sebagai Ultra FM yang berfrekuensi melalui gelombang 101.3FM.
Hanya beroperasi sekitar Lembah Klang, Ultra FM menampilkan lima selebriti terkenal tanah air iaitu Jimmy Shanley, Mamat Sepah, pelakon Mon Ryanti, pelawak Sharifah Shahira dan pendatang baharu Fizi.
Menurut Pengurus Saluran Ultra FM, Mira Sakhia Shamsuddin, pemilihan penyampai dibuat berdasarkan pengalaman mereka dalam bidang tersebut dan juga kemampuan dalam menghiburkan pendengar.
"Sebagai stesen radio baharu, pembabitan selebriti-selebriti tersebut dilihat mampu membantu stesen radio Ultra FM menarik perhatian pendengar.
"Sebagai contoh, pemilihan Jimmy dan Mamat untuk kendalikan segmen Ultra 6-10 yang ke udara setiap hari pukul 6 hingga 10 pagi. Jimmy memang seorang penyampai radio manakala Mamat seorang pelawak.
"Kerjasama kedua-duanya mampu menceriakan pendengar, malah pada masa sama memberi pendedahan terkini mengenai isu semasa," ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran stesen radio berkenaan di Hotel Concorde, Kuala Lumpur.
Bercerita lebih lanjut, Mira memberitahu, Ultra FM merupakan radio di bawah syarikat Copyrite Laureate Sdn. Bhd.
"Ia mula beroperasi sejak bulan Mac lalu dan kontinya bertempat di sebuah lot kedai di Jalan Pahang, Kuala Lumpur," katanya lagi.
Disoal adakah pemilihan Mamat dibuat berdasarkan kecenderungan stesen radio lain yang menggunakan pelawak sebagai penyampai sejak kebelakangan ini, Mira berkata, dia lebih tertarik dengan keinginan Mamat menjadi penyampai radio.
Bukan itu sahaja, Mira juga memberitahu, Mamat mempunyai pengalaman sebagai penyampai radio bersama Sepah di sebuah stsen radio lain sebelum ini.
Sementara itu, akui Mamat atau nama sebenarnya Mohd. Noor Murad, dia memang sukakan muzik dan sudah lama menyimpan impian menjadi penyampai radio.
Bagaimanapun, jelas Mamat, dia tidak mahu menyaingi Jimmy kerana sedar pengacara itu jauh berpengalaman daripadanya.
"Atas pengalaman yang pernah saya raih sebelum ini sebagai penyampai radio bersama Sepah, saya gunakan sebaiknya dalam Ultra FM bersama Jimmy pula.
"Jimmy lebih suka berbincang isu semasa. Jadi saya cuba melawakkan atau meredakan isu yang dimainkan Jimmy. Namun, jika ia melibatkan isu-isu yang besar saya akan lebih berhati-hati ketika melawak," tuturnya.
Menampilkan konsep yang pelbagai dari segi muzik yang disajikan kepada pendengar, Ultra FM berusaha memenuhi cita rasa semua golongan merangkumi peminat muzik lama, baru, dangdut, malar segar (evergreen) yang bersesuaian matlamat Ultra FM mencintai segala genre muzik.


Seni 'berkawan' artis dan wartawan

Posted: 13 Dec 2013 03:09 AM PST


DATUK Siti Nurhaliza merupakan contoh selebriti yang bijak mengawal emosi terhadap semua jenis berita yang ditulis tentang dirinya.


USIA pembabitan saya sebagai wartawan dan penulis hiburan hanya 10 tahun. Masih terlalu mentah berbanding banyak wartawan dan penulis hiburan lain yang ada di Malaysia. Maka, wartawan senior lebih banyak ragam atau pepatah orang tua, lebih banyak makan garam daripada saya yang kerdil ini tentang dunia hiburan tempatan kita.
Apa yang cuba saya sampaikan kali ini ialah tentang situasi yang selalu dilalui oleh para wartawan dengan artis yang perlu mereka tangani membabitkan sikap, pekerjaan dan kebijaksanaan mereka berkomunikasi serta mengawal emosi.
Pada pemerhatian saya, golongan artis terbahagi kepada beberapa kategori. Pertama, ada yang benar-benar masuk ke dalam industri hiburan untuk menjadi pelaku seni. Mereka melakukan kerja dengan penuh antusias, ikhlas, jujur dan segala yang dilakukan berpandukan keghairahan sebenar terhadap dunia seni.
Golongan kedua, mereka yang terjebak menjadi anak seni. Ia selalu terjadi apabila mereka secara tiba-tiba ditawarkan untuk menjadi pelaku seni kerana dilihat punya potensi boleh berlakon atau menyanyi dan selebihnya boleh jual sebab punya nilai komersial.
Golongan ketiga pula, jadi artis sebab ingat dunia hiburan ini penuh glamor, boleh popular dan mengumpul duit segera.
Sama ada artis datang daripada golongan pertama, kedua atau ketiga, pada puncaknya, misi mereka adalah untuk diberitakan. Ini kerana hanya melalui cara diberitakan baru mereka boleh mula bergerak kerja dan seterusnya menjana ekonomi masing-masing.
Malangnya, ada segelintir artis yang tidak bijak untuk menangani kehidupan sebagai artis apabila hal peribadi mereka menjadi buruan.
Pada beberapa kitaran masa juga, hal keburukan mereka digosipkan. Dan pada kebanyakan masa, hal karier mereka dilaporkan dengan meluas tanpa sistem kontra iklan atau bayaran.
Maaf cakap, tapi dewasa ini banyak artis kita cepat melenting, sekali gus menunjukkan kebijaksanaan mereka yang agak terhad sehingga tidak dapat membezakan bahawa berita yang bakal dilaporkan bersifat gosip atau bersifat pemberitaan.
Contohnya, ada seorang artis wanita yang pada saya sumbangannya dalam dunia hiburan kita tidak sebesar mana, tapi jika tercuit sikit, sikapnya kalah singa. Lucunya, kadangkala hal yang membuat dia jadi singa, dia sendiri tidak faham, seperti kerja wartawan yang perlu melaporkan sesuatu kejadian yang memerlukan semua fakta lengkap untuk diberitakan, namun wartawan diherdik pula kononnya hal kain dalam pun mahu dikorek sama.
Begitu juga dengan seorang artis lelaki yang pembabitannya yang baru setahun jagung sudah mula rimas apabila dihujani pelbagai soalan yang bukan bersifat peribadi pun.
Dan tak kurang juga, banyak artis yang suka menyalahkan wartawan sebagai salah lapor, sedang realitinya mereka kadang terlupa. Ketika ditemu bual, mereka teruja dan ghairah bercakap semua perkara, tetapi apabila laporan keluar, mereka memaki hamun wartawan yang kononnya kurang cerdik, sedangkan pada masa yang sama mereka terlupa untuk membalikkan cermin kepada diri sendiri.
Pengalaman saya berhadapan dengan artis, yang suka saya ambil contoh iaitu Datuk Siti Nurhaliza. Siti Nurhaliza ialah artis yang tidak pernah dimakan emosi saat dirinya ditimpa dengan pelbagai gosip liar dan fitnah.
Ya, saya tahu, bohong kalau dia tidak melepaskan kemarahannya, namun ia bukan di hadapan umum, jauh sekali mengherdik wartawan. Selalunya, dengan cara paling berhemah beliau minta bantuan agar gosip atau fitnah yang dibuat dihentikan.
Malah, tidak pernah beliau mengeluh rimas saat dirinya masih terus diberitakan walau selepas 18 tahun menjadi anak seni.
Pendek kata, saya kira, sebenarnya inilah seni bagaimana berhadapan dengan sesama manusia.
Bagi artis, jangan cepat melatah, sementara wartawan juga bertanggungjawablah dalam penulisan dan fakta.
Sebab pada akhirnya, antara kita memang saling memerlukan. Walaupun pada hari ini artis menghamun wartawan dan kemudian wartawan menghentam mereka semula, tapi esok lusa bertemu semula.


S.O.G tak rasis

Posted: 13 Dec 2013 03:06 AM PST


SEKUMPULAN Orang Gila (S.O.G) terdiri dari kiri: Nazrin, Riko, Adek dan Amsyar. Mereka teruja kerana pertama kali bersaing menerusi kategori Artis Baru Terbaik pada Anugerah Industri Muzik ke-20 (AIM 20) yang akan berlangsung esok.


KEHADIRAN band-band muzik beraliran metal bukanlah sesuatu yang baharu dalam industri hiburan tanah air.
Ada yang bergerak secara sendiri dan ada juga yang bernasib baik dilamar untuk bernaung di bawah bumbung syarikat-syarikat rakaman tempatan.
Meskipun kurang menonjol menerusi media arus perdana, bakat dan intipati seni yang diketengahkan oleh mereka masih mendapat perhatian banyak pihak sama ada dari dalam atau luar negara.
Lima orang anak muda yang menggelarkan diri sebagai Sekumpulan Orang Gila (S.O.G) iaitu Nazrin, 24, Riko, 21, Amsyar, 16, Adek, 24 dan Qayyum, 20, tidak pernah berputus asa dalam mengetengahkan karya-karya mereka yang berentak post-hardcore ke peringkat yang lebih tinggi.
"Kami mula bermain muzik sejak di bangku sekolah lagi. Nama Sekumpulan Orang Gila pula tercetus kerana sifat agresif kami ketika membuat persembahan.
"Walaupun mengetengahkan muzik post-hardcore dan vokal menjerit, elemen-elemen muzik Melayu seperti rebana, seruling dan gesekan biola tetap ada dalam lagu-lagu ciptaan kami.
"Secara ringkasnya, evolusi yang berlaku dalam muzik kami berjalan seiring dengan kematangan kami ketika menulis lagu," ujar Nazrin yang juga bertindak sebagai ketua kumpulan S.O.G.
Idola
Sudah menjadi adat bagi setiap penyanyi memasang angan-angan untuk menghasilkan lagu dan berduet dengan idola pilihan mereka.
Membuktikan bahawa angan-angan mereka bukanlah sekadar impian kosong, S.O.G berjaya menghasilkan sebuah single bertajuk 40% Disco bersama ahli kumpulan Issue, Tyler Carter dan Michael Bohn dari Amerika Syarikat.
"Mereka mencari rakan kolaborasi secara rawak menerusi status akaun Twitter. Sejurus selepas membaca pengumuman tersebut, kami terus mencuba nasib dengan memberikan respons kepada mereka.
S.O.G berharap mereka mempunyai peluang besar untuk diberi peluang mempamerkan karya secara lebih meluas dalam industri hiburan tempatan.


"Tidak lama selepas itu, mereka ada menghantar e-mel dan bersetuju untuk bekerjasama menghasilkan lagu dengan kami," beritahu Nazrin atau nama sebenarnya Raja Nazrin Shah Raja Azaham.
Tambah Nazrin, proses rakaman lagu tersebut mengambil masa selama lima bulan dan segala urusan dijalankan melalui beberapa balasan e-mel.
"Mengikut perancangan awal, kami mencipta keseluruhan lagu lengkap dengan lirik dan mereka hanya memasukkan vokal ketika proses rakaman.
"Tetapi, disebabkan lagu tersebut dicipta sepenuhnya dalam bahasa Inggeris, kami memberikan kepercayaan kepada mereka untuk mengubahnya sedikit. Lagipun bahasa Inggeris adalah bahasa utama mereka," ujar Nazrin lagi.
AIM 20
Rezeki S.O.G tidak terhenti setakat kolaborasi tersebut. Pada 14 Disember ini, mereka bakal berentap dalam Anugerah Industri Muzik ke-20 (AIM 20) setelah tercalon dalam kategori Artis Baru Terbaik menerusi lagu Sumpah Pendekar.
Di sebalik pencalonan tersebut, tersirat kontroversi menerusi lagu Sumpah Pendekar yang melibatkan pertelingkahan fahaman mengenai isu perkauman.
"Pada asalnya, lagu ini diberi judul 1Melayu dan liriknya mengandungi nasihat-nasihat yang melibatkan kaum Melayu di Malaysia.
"Tetapi, ada pihak yang salah tafsir menyebabkan kami dilabel sebagai rasis. Justeru, setelah bernaung di bawah Universal Music Malaysia, pihak syarikat meminta agar lirik lagu tersebut diubah supaya dapat diterima oleh semua lapisan masyarakat," ujarnya yang memberikan kepercayaan kepada komposer M. Nasir untuk mengubah lirik lagu tersebut supaya lebih bersifat umum dan puitis.
Mengulas mengenai pencalonan tersebut, S.O.G ternyata begitu teruja ketika mendapat tahu mengenai penglibatan dalam AIM 20 tersebut.
"Kami tidak pernah menyangka bakal berentap dalam AIM 20, apatah lagi disenaraikan sebagai lima yang terbaik menerusi kategori Artis Baru Terbaik.
"Kalah atau menang bukanlah perkara utama. Apa yang penting muzik kami mendapat perhatian penggiat seni muzik tanah air sekaligus membuka peluang untuk terus berkarya pada masa akan datang," ujar Nazrin.


Racun dalam minyak kitar semula

Posted: 13 Dec 2013 03:05 AM PST

ORANG ramai tidak harus memandang mudah nasihat pakar kesihatan mengenai bahaya penggunaan minyak masak terpakai. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - Dua pakar pemakanan menasihatkan orang ramai supaya tidak menggunakan minyak masak kitar semula lebih daripada tiga kali kerana dikhuatiri ia telah bertukar menjadi racun akrolein yang boleh mengakibatkan kanser.
Pakar Pemakanan dan Dietetik Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Profesor Dr. Fatimah Arshad berkata, kebiasaannya minyak kitar semula yang sudah bertukar kehitaman akibat proses oksidasi itu turut mengandungi karsinogen iaitu zat kimia yang menjadi punca kanser.
"Jika pengguna terdedah dalam tempoh jangka masa panjang dengan minyak masak yang sudah tercemar itu, risiko untuk mereka diserang penyakit kanser adalah amat tinggi,"' katanya kepada Kosmo! semalam.
Fatimah berkata, orang ramai seelok-eloknya menggunakan minyak masak sebanyak tiga kali sahaja untuk menggoreng makanan.


Bangkai penyu belimbing terdampar di pantai

Posted: 13 Dec 2013 03:03 AM PST


FARID (duduk di kiri) bersama rakan-rakan melihat bangkai penyu yang ditemui terdampar di Pantai Kelulut, Kuala Semerak, Pasir Puteh kelmarin.


PASIR PUTEH – Misteri bau bangkai busuk yang mengganggu para pengunjung beberapa buah chalet di pusat peranginan Laguna Semerak dan penghuni asrama Kolej Islam Sains dan Teknologi di sini terungkai dengan penemuan seekor penyu yang sudah mati di pantai Pantai Kelulut, Kuala Semerak dekat sini kelmarin.
Penyu belimbing dengan berat dipercayai lebih 250 kilogram dan sebahagiannya sudah reput dan berulat itu ditemui pukul 5 petang oleh tujuh remaja ketika mereka bersiar-siar di pantai tersebut.
Seorang daripada remaja itu, Farid Rakman, 18, berkata, sebelum menemui bangkai penyu itu, dia dan rakan-rakan tidak tahan dengan bau busuk sebaik tiba di pantai itu.


Tikus panggang digemari di Vietnam

Posted: 13 Dec 2013 03:00 AM PST

TIKUS dicucuk dengan dengan batang kayu sebelum dipanggang.


HANOI - Sebuah restoran di ibu kota Vietnam di sini menawarkan hidangan istimewa tikus panggang yang dicucuk pada kayu seperti kebab.
Daging haiwan perosak itu dianggap makanan istimewa di selatan Vietnam dengan semakin ramai penduduk Vietnam menggemarinya.
Menurut seorang pemburu tikus, haiwan itu banyak terdapat di sekitar Delta Merah dan di tebing Sungai Mekong terutamanya ketika musim menuai padi.
"Makanan istimewa ini dimakan oleh petani ketika musim menuai," katanya.
Menurut pemburu tikus tersebut, petani-petani akan menangkap tikus untuk dijual ke pasar.
Harga pasaran daging tikus di negara berkenaan adalah antara AS$4 (RM12.90) hingga AS$5 (RM16.20) sekilogram.


Arab Saudi lubuk rezeki PATI

Posted: 13 Dec 2013 02:58 AM PST



MEMBINA kerjaya sebagai pengurus undang-undang di Jeddah, Arab Saudi selama lebih lima tahun memberi pelbagai cabaran buat Yunos Abdul Rahman.
Lelaki berusia 35 tahun dari Johor Bahru, Johor itu menganggap perbezaan bahasa dan budaya merupakan kekangan terbesar dalam menjalankan tugasan harian di syarikat usaha sama Malaysia dan Arab Saudi.
Baginya, pekerja yang terlibat dalam sektor kerajaan Arab Saudi amat menghormati pekerja dan pelancong dari negara lain terutama Malaysia walaupun mempunyai kekangan dalam berkomunikasi.
Namun, lambakan pekerja buruh asing dari Indonesia, Pakistan, Bangladesh dan Filipina yang mencari rezeki di Arab Saudi itu bukan satu fenomena baru. Kebanyakan pekerja asing itu juga mempunyai masalah untuk berkomunikasi dengan penduduk tempatan.
"Di Jeddah, saya tinggal di Sharbatli iaitu sebuah taman perumahan yang tertutup di daerah itu. Kebanyakan pengawal keselamatan, pemandu teksi, buruh kasar dan pembantu rumah di sini terdiri daripada pekerja asing.
"Saya jarang mendengar pekerja-pekerja asing menimbulkan masalah di negara ini. Mereka bekerja di bawah syarikat-syarikat kecil yang menjadi penaja untuk bekerja di sini. Tanpa tajaan itu, mereka dikira sebagai pendatang asing tanpa izin (PATI) di Arab Saudi," ujarnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Menurutnya, kejadian rusuhan pekerja asing di Riyadh pertengahan November lalu merupakan antara peristiwa yang menggemparkan rantau Arab itu.

PENDATANG asing Filipina mendirikan khemah di tepi jalan besar berhampiran konsulat mereka di Jeddah.


Rusuhan
Pada masa yang sama, pekerja asing di Jeddah turut mengadakan rusuhan berskala kecil untuk menyatakan rasa tidak puas hati terhadap pihak polis ekoran tindakan penghantaran mereka ke negara asal selepas tempoh pengampunan.
Rusuhan di Riyadh itu mengorbankan dua nyawa. Ratusan PATI terpaksa menyerah diri selepas pasukan keselamatan mengepung kawasan kejiranan di Riyadh.
Seminggu selepas tamat tempoh pengampunan selama tujuh bulan, PATI yang terdiri daripada golongan lelaki, wanita dan kanak-kanak akan dipindahkan dengan bas ke pusat perhimpunan sebelum dihantar pulang ke negara asal mereka.
Akhbar Arab News melaporkan, rusuhan itu telah mengorbankan seorang warga Arab Saudi dan seorang pekerja yang tidak dikenali manakala 68 yang lain mengalami kecederaan.
Pihak polis telah menahan seramai 561 perusuh yang melontar batu dan menghalang jalan-jalan sempit di sekitar Riyadh. Mereka juga mengancam keselamatan orang ramai dengan mengacukan pisau, merosakkan lebih 100 buah kereta dan premis-premis di situ.
Pihak polis memberitahu, perusuh yang terdiri daripada PATI juga telah campur tangan dalam rusuhan di Manfuhah.
Daerah Manfuhah, Riyadh merupakan kediaman bagi PATI terutamanya dari timur Afrika.
Pihak polis Arab Saudi memberitahu, PATI di Manfuhah diberi peluang untuk datang kembali ke pusat pemindahan semasa proses penghantaran balik sedang diatur.
Pihak berkuasa mula memerangi beribu-ribu orang PATI berdasarkan tempoh tamat tarikh pengampunan mereka. Proses tersebut dilakukan untuk mengesahkan status mereka di negara itu.
Mereka dianggap sebagai PATI kerana tinggal di negara itu melebihi tempoh lawatan. PATI juga mencari pekerjaan sebagai pembantu kedai dan pembantu buruh harian untuk individu yang menggaji mereka.

PEKERJA asing membawa barangan mereka untuk dihantar ke pusat pengumpulan di Riyadh.


Mereka diwajibkan mempunyai penaja rasmi untuk menaja pekerjaan mereka sepanjang bekerja di negara itu. Tanpa tajaan daripada syarikat, mereka dianggap sebagai pendatang asing tanpa izin.
Dianggarkan seramai sejuta PATI dari Bangladesh Filipina, India, Nepal, Pakistan dan Yemen mengambil peluang semasa proses pengampunan bagi meninggalkan negara itu.
Sementara itu, hampir empat juta PATI berjaya mencari pekerjaan dengan penaja yang sanggup menggaji mereka.
Walaupun dibayar rendah, pekerjaan pembantu rumah dan pekerja sektor binaan merupakan tawaran menarik kepada pendatang dari Asia dan negara-negara Arab lain untuk bekerja di negara itu.
Kadar pengangguran
Arab Saudi mempunyai kadar pengangguran lebih 12.5 peratus walaupun negara itu kaya dengan minyak dan gas.
Pakar ekonomi Arab Saudi menegaskan, ketibaan pekerja haram ke Arab Saudi memberi manfaat yang besar dalam jangka masa panjang.
Namun, kerajaan Arab Saudi merasakan peningkatan pembayaran kos untuk buruh akan melonjak kerana kekurangan pekerja harian.
Kementerian Tenaga Buruh pula memberitahu, pihaknya sentiasa menerima permohonan daripada PATI yang ingin mendapatkan status sah bekerja di negara itu. Namun, pihak kerajaan akan mengenakan denda bagi mereka yang telah melewati tarikh pengampunan pada 3 November lalu.
Menurut pakar hartanah, selepas ribuan ekspatriat pulang ke negara masing-masing, banyak kawasan perumahan kini kosong.
Disebabkan perkara itu, jumlah bayaran sewa juga berkurangan sebanyak 15 peratus.
Pakar-pakar juga menyarankan pemaju supaya menggunakan peluang itu untuk mengubah suai rumah dan pangsapuri terutamanya di kawasan popular bagi memenuhi permintaan dan keperluan rakyat.

RAKYAT Ethiopia berkumpul di Manfuhah sementara menunggu masa untuk dihantar pulang ke negara asal.


Pertambahan jumlah ekspatriat dan pekerja asing di negara itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini ternyata telah meningkatkan permintaan unit-unit kediaman terutama di kawasan popular.
Peniaga hartanah Arab Saudi, Fuad Boqari, berkata pemilik hartanah mula mengubah suai dan memperbaharui kediaman untuk memenuhi keperluan golongan pendapatan rendah. Mereka membelanjakan 50 peratus daripada pendapatan untuk membayar sewa setiap bulan.
Pengerusi Jawatankuasa Penilaian Hartanah, Dewan Perniagaan dan Industri Madinah, Jamal Farghal memberitahu, golongan ekspatriat Arab Saudi tidak akan menjejaskan premis-premis dan pusat perniagaan komersial yang digunakan untuk melindungi mereka.
"Jumlah pendapatan mungkin akan terjejas terutama di premis-premis. Bagaimanapun, keadaan itu tidak menjejaskan kedai-kedai komersial di pusat bandar kerana mereka bekerja di bawah pelabur yang tertakluk kepada undang-undang pekerja," jelasnya.
Pakar hal ehwal pajakan, Samer Al-Jeilani memberi tumpuan kepada nasib individu yang berpendapatan rendah di negara itu.
Menurutnya, mereka yang berpendapatan bulanan bawah RM2,578 (SAR3,000) didapati sukar untuk membayar sewa tahunan yang dianggarkan bernilai RM8,555 hingga RM12,832.


Jangan tunggu masalah jadi rumit

Posted: 13 Dec 2013 02:57 AM PST



MALU adalah perasaan yang menyelubungi seorang penjawat awam apabila menyedari dia mengalami ejakulasi pramatang (PE).
Dia hanya berjumpa doktor selepas dipujuk oleh isterinya beberapa kali kerana khuatir masalah itu akan menjadi serius apabila usianya meningkat.
Menurut Razif Abu Bakar, 35, masalah itu berlaku selepas dia jarang 'bersama' isterinya kerana mereka tinggal berjauhan.
"Saya sudah berkahwin selama lapan tahun dan tidak pernah menghadapi masalah ketika bersama isteri. Namun, sejak bertugas di luar daerah lima bulan lalu saya tinggal berasingan dengannya.
"Dalam tempoh sebulan saya akan pulang ke rumah antara dua hingga tiga kali untuk berjumpa dengannya. Kualiti masa yang ada kami gunakan sebaik mungkin dan pada ketika itulah saya mula menyedari masalah ini," jelasnya.
Razif akhirnya mengambil keputusan berjumpa doktor kerana enggan masalah itu menjadi semakin serius pada masa akan datang.
Razif berkata, dia turut bimbang jika perkara itu menjadi semakin rumit sehingga menjurus kepada keretakan rumah tangganya.
"Sebelum berjumpa doktor, saya mencari maklumat dalam internet dan membaca beberapa artikel berkenaan PE.
"Dari situ saya tahu bahawa PE boleh mengganggu gugat keharmonian keluarga sehingga menyebabkan penceraian. Saya tidak mahu perkara seperti itu berlaku pada kami," jelasnya.
Atas saranan doktor, Razif menjalani terapi fizikal untuk mengatasi masalah yang dihadapinya.

PIL penenang turut digunakan sebagai rawatan melambatkan proses ejakulasi.


Lebih berkesan
"Saya memilih rawatan tersebut kerana ia lebih berkesan dan tidak perlu bergantung kepada ubat-ubatan.
"Isteri juga memberi sokongan dengan mengikut saya berjumpa doktor kerana terapi fizikal memerlukan bantuan daripada pasangan," jelasnya.
Mengulas mengenai PE, Pakar Perunding Kanan Urologi, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Prof. Dr. Zulkifli Md. Zainuddin berkata, seseorang itu boleh dikategorikan menghidap PE jika tempoh ejakulasi kurang seminit.
"Tempoh purata normal bagi seseorang itu mencapai ejakulasi ialah 5.4 minit. Jika proses ejakulasi berlaku terlampau awal atau kurang seminit, seseorang itu dikatakan menghidap PE dan dia gagal mengawal pancutan air mani," katanya.
PE berbeza dengan mati pucuk atau erectile dysfunction (ED). PE terbahagi kepada dua kategori. Kategori pertama ialah lelaki yang mengalami masalah ini sejak pertama kali melakukan hubungan seks, dikenali sebagai PE primer.
Sementara lelaki yang tiba-tiba mengalami masalah ini selepas beberapa lama melakukan hubungan seks dikategorikan sebagai PE sekunder.
Bagaimanapun, menurut Zulkifli, PE boleh dirawat dengan beberapa kaedah.
"Pesakit boleh diberi rawatan topikal iaitu krim sapu seperti SS krim atau gel lignocaine yang membantu mengebaskan alat sulit.
"Bagaimanapun, kaedah yang terbaik ialah terapi fizikal. Ini dapat membantu meningkatkan pengawalan ejakulasi, namun kaedah ini memerlukan kerjasama pasangan," katanya.
Masalah di ranjang
Antara rawatan lain yang pernah diberikan kepada pesakit termasuklah pengambilan pil.
"Dahulu doktor akan memberi pil penenang atau selective serotonin re-uptake inhibitors (SSRI) bagi membantu melambatkan proses penghantaran neuro serotonin, lalu menjadikan seseorang itu berasa seronok. 
PE adalah masalah ejakulasi lelaki yang berlaku selepas seminit bersama pasangan.


Jadi, seseorang itu tidak akan mencapai klimaks dalam tempoh masa yang singkat.
"Namun, pil tersebut mempunyai kesan sampingan seperti mengantuk dan kerosakan buah pinggang. Hari ini, terdapat pil baharu yang diperkenalkan seperti pil priligy. Ia hampir tidak mempunyai kesan sampingan," katanya.
Menurut Zulkifli, tidak ramai yang mengetahui masalah di ranjang berpunca daripada PE. Menurut kajian sebuah syarikat farmasi, Menarini Asia Pasifik (Menarini), 95 peratus lelaki Malaysia pernah mendengar mengenai PE, manakala sebanyak 51 peratus menyedari mereka menghidap PE tetapi malu berjumpa doktor.
Sementara itu, seorang suri rumah, Royaha Ismail, 27, memberitahu suaminya yang mengalami masalah PE agak malu untuk mendapatkan rawatan.
"Saya telah memujuknya beberapa kali untuk berjumpa pakar sakit tuan, namun dia (suami) tetap berdegil dengan alasan malu berkongsi masalah itu.
"Saya akur dan mengambil inisiatif berjumpa doktor untuk mendapatkan khidmat nasihat mengatasi masalah tersebut," katanya.
Hasil kajian terbaharu Menarini menunjukkan hanya 16 peratus pesakit yang berjumpa doktor, manakala sebanyak 49 peratus memilih untuk berkongsi dengan teman-teman.
Sementara itu, kira-kira 49 peratus lelaki Malaysia tidak mengetahui tentang adanya rawatan untuk PE.


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines