Khamis, 19 Disember 2013

Remaja tidak mengaku rogol gadis bawah umur



KUALA TERENGGANU - Seorang remaja dihadapkan di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, atas tuduhan merogol seorang gadis bawah umur, tahun lalu.

Bagaimanapun, remaja tersebut yang berusia 19 tahun, dari Kampung Losong Hj Mat Shafie, di sini, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas tuduhan di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan kerana merogol itu.

Dia mengaku tidak bersalah melakukan perbuatan terkutuk itu terhadap mangsa yang ketika kejadian berusia 15 tahun sebulan di sebuah rumah di Taman Kuala Ibai, Jalan Tok Adis, di sini, pada 29 September 2012, jam lebih kurang 3.30 petang.

Dengan itu, dia mengaku tidak bersalah melakukan kesalahan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan, jika disabitkan kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah remaja itu direkodkan, Hakim Azhar Othman menetapkan 29 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk lantikan peguam serta membenarkan dia diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin.

Azhar turut mengenakan syarat agar remaja itu tidak boleh sesekali mengganggu saksi dan sekiranya arahan itu tidak dipatuhi, kebenaran ikat jamin dibatalkan serta-merta. - SH


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines