Sabtu, 28 Disember 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Kekasih Larang Berpeluk Antara Sebab Izara Aishah Tangguh Kahwin

Posted: 27 Dec 2013 02:58 AM PST


PETALING JAYA: Pelakon Izara Aishah belum bersedia untuk menamatkan zaman bujangnya disebabkan beberapa syarat yang ditetapkan oleh kekasihnya jika mereka mendirikan rumah tangga.
Izara, atau nama sebenarnya Izara Aishah Hisham 21, berkata, mereka masih berbincang tentang perkara dan syarat-syarat tersebut termasuklah dia perlu kurangkan kemunculannya di televisyen sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin.
"Dia memahami kerja dan kesibukan saya, namun dia tidak mahu saya aktif berlakon dan kerap keluar televisyen selepas berkahwin nanti.
"Dia juga sudah beritahu agar tidak berlakon adegan berpelukan dan perlu balik rumah awal sebelum dia pulang daripada kerja," ujarnya kepada mStar Online.
Kata Izara, disebabkan syarat-syarat itu, dia meminta tempoh selama tujuh tahun untuk aktif berlakon sebelum memutuskan untuk berumah tangga.
Izara turut tidak menolak kemungkinan akan mengundurkan diri daripada bidang lakonan selepas berkahwin kelak.
"Kalau diikutkan, dia mahu berkahwin tiga tahun lagi, tetapi tiga tahun masih terlalu awal bagi saya dan banyak lagi yang saya belum capai dalam industri ini.
"Apa-apa pun bergantung kepada jodoh yang ditetapkan Allah, kami hanya mampu merancang sahaja," katanya yang enggan mendedahkan identiti lelaki tersebut.
Izara turut bersyukur lelaki yang dikenali sejak tujuh tahun itu sentiasa memberi sokongan dan berada di sampingnya dalam apa juga keadaan.

Dakwah menerusi pakaian

Posted: 27 Dec 2013 02:57 AM PST

  • Dianan AmirDianan Amir

SESUAI dengan penampilannya berimej Muslimah, Diana juga tidak ketinggalan dalam urusan perniagaan yang melibatkan pakaian.

Memilih cara dakwah menerusi pakaian, Diana dan suami turut mengusahakan perniagaan pakaian Muslimah, Diana Amir exclusive, (DA'e).

Baru sahaja diperkenalkan pada Ramadan lalu, Diana bersyukur kerana usaha dakwahnya itu turut mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat terutamanya peminat.

"Alhamdulillah, sambutan yang diterima sangat baik dan saya yakin, ianya menepati pilihan dan cita rasa Muslimah.

"Dalam perniagaan ini, saya bukan hanya memfokuskan soal keuntungan, namun saya lebih mementingkan usaha dakwah di mana kita tidak lalai dalam berfesyen sehingga boleh menggadaikan aurat.

"Rekaan DA'e tidak perlu diragui kerana saya percaya, material yang digunakan tidak melekat dan tidak mengikut potongan badan.

Alhamdulillah, bukan sahaja jubah, malah tudung dan selendang juga mendapat permintaan tinggi," katanya yang bakal memperkenalkan rekaan jubah siri kedua pada awal tahun depan.

Laman sosial palsu

Lumrah sebagai selebriti, apa jua yang dilakukan pasti mendapat perhatian daripada masyarakat.

Bukan itu sahaja, malah ada juga individu yang tidak bertanggungjawab cuba mencipta akaun laman sosial palsu semata-mata untuk memberi kepuasan pada diri sendiri.

Tidak terlepas daripada perkara itu, Diana juga turut terpalit dengan beberapa akaun laman sosial, Facebook yang didaftarkan di atas namanya.

"Bukan satu atau dua, banyak juga laman sosial yang menggunakan nama saya. Namun, saya hanya ada satu akaun di Facebook dengan nama, Diana Amir.

"Saya tidak kisah sekiranya akaun Facebook itu dibuat untuk tujuan kebaikan seperti berkongsi ilmu dan tip berguna. Namun, saya dapati, ada yang digunakan sebagai medan menyampaikan berita tidak berfaedah dan ruangan gosip.

"Tolong hentikan kerja-kerja itu kerana ia juga turut menjejaskan kredibiliti saya bagi mereka yang kurang mengenali siapa saya," jelas Diana.

Azam tahun baharu

Memandangkan hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi, tirai 2013 bakal berlabuh, Diana turut mempunyai perancangan mengenai azam tahun baharu.

Katanya, dia berhasrat untuk memperbanyakkan ilmu dengan membaca lebih banyak buku yang ada.

"Sebenarnya, saya banyak beli buku namun sehingga kini masih tak sempat membacanya dek kekangan masa.

"Insya-ALLAH, saya berazam untuk membacanya pada tahun hadapan kerana sebagai manusia, kita tidak boleh sunyi daripada belajar dan terus mencari ilmu.

"Ilmu yang ada itu tidak akan cukup kerana ia perlu dipertingkatkan dari masa ke semasa," katanya.

Geng Lawak Bakal Gegarkan Tahun Baharu 2014 Di PICC

Posted: 27 Dec 2013 02:56 AM PST


Kumpulan Jambu iaitu Yus (kiri) dan Tauke
PETALING JAYA: Satu persembahan lawak yang dikenali Geng Lawak @PICC akan diadakan sempena sambutan Tahun Baharu 2014 di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dekat sini pada 31 Disember ini.
Pengurus Komunikasi Korporat PICC, Norshafrina Samsuri berkata, seramai lapan orang pelawak akan bergabung membentuk tiga kumpulan dalam persembahan selama dua jam sebelum tibanya tahun baharu.
Pelawak-pelawak berkenaan terdiri daripada Kumpulan Jambu yang dianggotai Tauke dan Yus, Osama (Os dan Isma Alif), SYJ (Shuk, Yassin dan Jihan) manakala Kuah Jenhan dan Sabri Yusus pula adalah pengacara.
"Buat pertama kali dalam sejarah, pentas yang gah dan sebesar Dewan Plenari, PICC menganjurkan acara pementasan sebegini di mana ia akan dimeriahkan dengan pementasan lawak jenaka secara duduk dan berdiri bergilir gilir selama dua jam," katanya kepada mStar Online dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini pada Khamis.
SYJ dianggotai oleh Yassin (dari kiri), Jihan dan Shuk
Norshafrina berkata, persembahan yang akan bermula pada pukul 9 malam itu adalah kemuncak kepada acara yang akan bermula pada sebelah pagi di pusat konvensyen tersebut seperti bazar dan gerai jualan.
Jelasnya, selesai persembahan lawak yang dijangka kira-kira pukul 11 malam, orang ramai boleh menyertai sesi ramah mesra dengan barisan pelawak berkenaan sebelum acara 'countdown' tahun baharu 2014 di satu lokasi lain di pusat konvensyen itu.
"Penganjuran Sambutan Tahun Baru 2014 @PICC yang turut diselitkan dengan acara hiburan ini adalah sebagai langkah pertama untuk menjadikan PICC sebagai salah sebuah lokasi utama acara hiburan seperti pementasan teater, 'talk show' serta konsert artis tempatan mahupun antarabangsa.," katanya.
Tiket-tiket bagi menyaksikan persembahan berkenaan dijual dengan harga RM85, RM125, RM155 dan RM205. Ia boleh didapati dengan melayari www.ticket2u.biz atau hubungi 03-88876000

Fazley Tidak Melenting Lagu Kek Ciptaannya Dipersendakan

Posted: 27 Dec 2013 02:55 AM PST


Fazley Yaakob
SHAH ALAM: Penyanyi dan pakar motivasi Datuk Fazley Yaakob menganggap tindakan segelintir pihak yang memperlekehkan lagu baharunya berjudul Chocolate Cake sebagai salah satu publisiti kepada lagu tersebut.
Fazley, 34, berkata, dia sedar lagu tersebut sukar untuk diterima oleh masyarakat tempatan, namun dia percaya ia akan menjadi perhatian kerana keunikannya.
"Saya sudah menjangkakan perkara ini akan terjadi selain ramai yang mengkritiknya dan bercakap negatif tentang lagu ini. Perkara-perkara itu saya anggap sebagai publisiti kepada lagu tersebut.
"Secara tidak langsung orang ingin mendengar dan mengkaji liriknya walaupun dalam masa yang sama mereka mentertawakannya," katanya ketika ditemui pada sidang media pelancaran lagu Chocolate Cake, di Restoran The Sumbs, di sini, pada Khamis.
Jelas Fazley, lagu tersebut juga tersenarai antara beberapa lagu seperti Havoc (Joe Flizzow), Aduh (Ajai) dan Pengodam Jiwa (Adam) yang sukar diterima, namun menjadi perbualan dan bahan carian di laman-laman sosial.
Chef Terry, Fazley dan Ray sedang menilai kek coklat yang dihias beberapa artis dan penyampai radio EraFM.
Katanya, apa juga tanggapan masyarakat sama ada baik atau buruk terhadap sesebuah karya itu, ia tetap memberi kesan promosi lagu tersebut.
"Maklum balas di radio sangat baik, apabila ia mendapat permintaan pendengar selepas dua minggu di siarkan berbanding lagu saya sebelum ini memerlukan masa lebih sebulan," katanya.
Bercerita tentang lagu tersebut, Fazley berkata, dia mendapat idea daripada seorang chef ketika belajar tentang masakan di Le Cordon Blue Paris di Perancis.
Katanya, kek dan manisan melambangkan kisah percintaan pasangan kekasih di negara tersebut.
"Ketika saya belajar di sebuah sekolah masakan di Paris, chef tersebut menyuruh saya menulis lagu tentang kek coklat.
"Chef tersebut meminta agar resipi kek coklatnya dimasukkan ke dalam lirik lagu itu," katanya yang turut menolak dakwaan kekurangan idea dalam menghasilkan lirik sehingga menggunakan resipi masakan dalam lagu tersebut.
Sementara itu, Fazley berkata, pihaknya dalam perancangan untuk mengalih bahasa lagu berkenaan kepada bahasa Perancis untuk cuba memasuki pasaran negara itu.

Selebriti kongsi azam baharu

Posted: 27 Dec 2013 02:54 AM PST

  • Selebriti kongsi azam baharu

PEJAM celik, pejam celik, 2013 semakin menghampiri penghujungnya. Bermakna tahun 2014 akan menyusul selepas ini dengan 1001 cerita.

Biasanya saban tahun, pada tarikh 1 Januari, ramai antara kita termasuk juga para selebriti pasti mempunyai azam baharu untuk dilunaskan sehingga penghujung tahun.

Pelbagai perancangan dan strategi akan diatur untuk memastikan azam yang diimpi berjaya dicapai.

Namun tidak kurang juga, ada terpaksa melupakan azam mereka kerana mustahil untuk digapai dan tidak kurang pula yang membawa azam tahun ini ke tahun hadapan.

Oleh itu, Zass mendekati beberapa selebriti popular tempatan untuk mengetahui apa azam mereka bagi tahun 2014.

Alhamdulillah impian saya untuk menimang cahaya mata termakbul tahun ini. Jadi untuk tahun 2014, saya berharap akan menjadi seorang individu dan ibu yang baik. Buat peminat saya, saya bakal menerbitkan single saya bulan hadapan." - Eira Syazira
Tahun 2013 adalah tahun yang baik buat saya kerana banyak azam saya telah berjaya dilunaskan. Jadi saya berharap tahun 2014 akan menjadi tahun yang cemerlang buat saya kerana banyak perancangan yang telah saya buat seperti pelancaran single dan filem arahan saya.

Terima kasih kepada semua yang menyokong dan membantu saya berdiri dalam industri seni ini." - Sofi Jikan

Azam saya adalah untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Selain itu, saya berharap diberi peluang untuk mencuba watak yang lebih mencabar buat saya, supaya dapat mengembangkan
lagi bakat dalam bidang lakonan." - Ramona Zam Zam

Saya hanya mempunyai perancangan untuk bekerja lebih keras bagi menyara keluarga pada tahun depan dan berharap masalah di dalam industri seperti isu cetak rompak dapat diatasi pada 2014.

Selain itu, saya berharap menjadi seorang ayah yang dapat menerapkan anak-anak dengan keseimbangan nilai keagamaan dan duniawi." - Fauzi Nawawi

Saya tidak menjangkakan 2013 ini merupakan tahun yang cukup bermakna buat saya kerana berjaya merangkul anugerah pelakon pembantu terbaik dan juga menjadi seorang ibu.

Untuk 2014, azam saya ialah memberi yang terbaik dalam lakonan dan yang paling penting matlamat saya hendak kurus."

Ayu Raudhah Cuti Berlakon Kerana Hamil

Posted: 27 Dec 2013 02:54 AM PST


Ayu Raudhah terpaksa berehat seketika daripada dunia lakonan kerana sedang hamil anak keduanya.
PETALING JAYA: Pelakon Ayu Raudhah terpaksa melupakan bidang lakonan buat sementara waktu selepas disahkan hamil anak keduanya empat bulan lalu.
Ayu, 28, berkata, buat masa ini dia akan memberikan tumpuan kepada kandungan dan rumah tangganya bersama pemain bola sepak kebangsaan, Zaquan Adha Abd. Radzak dan anak sulung mereka Muhammad Aisy Qaiser yang kini mencecah usia sembilan bulan.
"Sejak mengandung anak pertama lagi saya sudah tidak berlakon dan semakin seronok menjadi ibu dan suri rumah. Jadi tentang lakonan itu buat masa ini saya ketepikan dulu kerana keluarga adalah keutamaan.
"Tambahan pula anak pertama masih menyusu badan jadi sukar untuk saya membahagikan masa di antara keluarga dan kerjaya," katanya kepada mStar Online.
Walau bagaimanapun begitu kata Ayu, dia mengakui rindu untuk kembali ke set penggambaran dan pengundurannya daripada bidang lakonan hanya bersifat sementara.
Jelas Ayu, dia akan kembali berlakon selepas kelahiran anak kedua namun tidak terburu-buru untuk berbuat demikian.
"Insya-Allah kalau ada rezeki lepas pantang nanti saya akan kembali berlakon tetapi jika tiada tawaran pun tidak mengapa," ujarnya.
Sementara itu, Ayu berkata, kandungan keduanya ini tidak mengalami sebarang masalah atau pun alahan namun suaminya yang mengalami alahan teruk pada awal dia mengandung.
"Saya sebenarnya tidak sedar saya mengandung dan hanya perasan apabila tidak datang haid dan ingatkan ia perkara biasa kepada ibu yang menyusu badan.
"Apabila disahkan doktor saya hamil, kami berdua sangat gembira dan ia adalah rezeki daripada Allah," katanya yang menginginkan anak perempuan.

Ellie Suriati Arah Filem Kedua Jika Skrip Sebaik 'Penanggal'

Posted: 27 Dec 2013 02:53 AM PST


Ellie Suriati bersama suaminya, Azri Iskandar.
PETALING JAYA: Pelakon dan pengarah Ellie Suriati Omar mencari naskhah setanding dengan filem pertama arahannya iaitu Penanggal untuk kembali mengarah karya kedua.
Ellie menjelaskan dia perlu berhati-hati untuk mencari naskhah sesuai kerana dia sedar harapan besar diletakkan atas bahunya selepas kejayaan filem pertamanya itu.
"Saya hanya akan kembali mengarah sekiranya ada naskhah yang setanding atau lebih baik berbanding Penanggal kerana filem pertama saya itu telah meletakkan penanda aras tinggi buat saya.
"Apabila ia berjaya mendapat perhatian penonton saya sedar bahawa perlu lakukan sesuatu yang lebih baik daripada sebelum ini," jelasnya kepada mStar Online.
Dalam perkembangan sama, Ellie berkata, dia bersikap memilih terhadap filem yang bakal diarahkan bukan kerana sikap tinggi diri tetapi semata-mata mahu memberikan karya terbaik kepada penonton.
"Tiada niat saya untuk mula meninggi diri atau 'demand' tetapi sekadar ingin menghidangkan filem berkualiti kepada penonton sekali gus dapat meningkatkan mutu industri perfileman tanah air," ujarnya.
Jelasnya lagi, dia sentiasa terbuka menerima kritikan bagi memperbaiki teknik pengarahannya pada masa hadapan.
"Saya masih orang baharu sebagai pengarah dan sedia untuk menerima kritikan dan pada masa sama saya ingin memberikan yang terbaik dan bukan sekadar filem kosong," jelasnya.
Sementara itu, Ellie terharu apabila diberitahu Penanggal mendapat kutipan sebanyak RM2.5 juta sepanjang dua minggu ditayangkan.
Kata Ellie, kejayaan tersebut bukan atas usahanya sahaja sebaliknya ia adalah atas kerja keras semua krew dan pelakon yang menjayakan filem berkenaan.
"Ia adalah saat paling indah untuk saya sebagai pengarah baharu dan pada masa sama bangga kerana semua usaha keras kami sebagai satu kumpulan akhirnya membawa pulangan," katanya.
Penanggal ditayangkan pada 28 November lalu.

Rockers 90-an ubati kerinduan

Posted: 27 Dec 2013 02:51 AM PST

  • Rockers 90-an ubati kerinduan

BIARPUN industri hiburan kini dibanjiri dengan kehadiran artis-artis baru, ia belum tentu dapat menenggelamkan aura artis-artis lama terutamanya rockers yang popular sekitar 90-an.

Justeru bagi mengubati kerinduan peminat tegar irama rock, Fuh Network dan Ibar Group membawakan sebuah konsert yang bakal dibarisi oleh artis-artis rock seperti Kris, Sejati, Putra dan Masa Scarecrow.

Konsert Rocker Apa Khabar II, akan diadakan di Tapak Pesta Pulau Pinang pada 30 Disember ini, bermula jam 8.30 malam.

Ia sebahagian langkah awal promosi kepada konsert Rockers Apa Khabar 1 yang akan bersiaran di Radio Televisyen Malaysia pada 4 Januari ini.

Pengarah Fuh Network, Zamrudul Ahmar Mohd Ruslan@Zack Masa Scarecrow berkata, artis yang dipilih akan mengembalikan nostalgia menerusi lagu popular era 90-an seperti Bila Bunga Dipetik Orang (Sejati), Kain Cinta Putih (Putra), Tiara (Kris) dan Patahnya Sayap Malam (Masa Scarecrow).

Selain itu katanya, konsert tersebut turut menampilkan sebuah kumpulan rock cilik, M-7 yang menampilkan kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun untuk pembukaan konsert serta kemunculan istimewa, Group Sabahan Rockers.

"Bagi mengenang kembali era Rock 90-an, Group Sabahan Rockers dan artis akan tampil berpakaian rock dan pengunjung akan merasai mereka kembali berada pada era 90-an," katanya.

Zack berkata, pengunjung juga boleh mendengar siaran konsert ini melalui web www.fuhfm.com, manakala untuk aplikasi tune in radio boleh layari http://tunein.com/radio/Fuh-FM-s191935/ dan juga like di fanpage mereka di www.facebook.com/fuhfm.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Ibar Group, Megat Syafnir Farree@Neil berkata, di tapak konsert itu turut diadakan penjualan baju-T istimewa Rockers Apa Khabar II dan pengunjung yang hadir turut berpeluang bergambar bersama artis.

MTUC saran elaun sara hidup RM300 sebulan

Posted: 27 Dec 2013 02:49 AM PST

  • Khalid Atan

PETALING JAYA - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC)  hari ini mencadangkan elaun sara hidup (Cola) RM300 sebulan diberi kepada 10 juta pekerja sektor swasta memandangkan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Presiden MTUC, Khalid Atan memberitahu Bernama adalah penting bagi kerajaan untuk memperkenalkan peraturan tentang Cola itu kepada sektor swasta kerana hampir lima juta pekerja di sektor itu kini memperoleh upah hanya kira-kira RM30 sehari, iaitu setakat melepasi garis kemiskinan RM870 sebulan.

Pada masa ini gaji minimum pekerja di Semenanjung ditetapkan RM900 dan bagi pekerja di Sabah dan Sarawak RM800.

Khalid berkata, MTUC sedang merangka strategi untuk membantu meringankan beban pekerja.

Dalam tempoh sementara ini beliau mencadangkan agar syarikat membantu menyediakan subsidi makanan dan penginapan untuk pekerja, dan pekerja pula akan membantu syarikat meningkatkan produktiviti, untuk menjadikan situasi menang-menang.

Khalid berkata, MTUC amat bimbang tentang kesan serta-merta peningkatan kos pengangkutan, makanan dan persekolahan terutama bagi kumpulan pekerja berpendapatan rendah.

Beliau memberi jaminan, MTUC sebagai pertubuhan pekerja yang bertanggungjawab, tidak akan melakukan demonstrasi jalanan menuntut hak mereka, tetapi lebih suka kepada rundingan aman. 

Air mata Mike Tyson di Taman Raudhah

Posted: 27 Dec 2013 02:43 AM PST

  • Air mata Mike Tyson di Taman RaudhahTyson ketika mengerjakan umrah di Makkah.

"ANGKAT kotak tu!" jerkah sekumpulan remaja lelaki.

Kanak-kanak lelaki berusia 8 tahun akur mengikut arahan. Setiap anak tangga dipijak dengan berat hati. Tiba di atas bumbung bangunan kosong itu, baru dia sedar terdapat burung merpati di dalam kotak itu. Timbul rasa kagum terhadap haiwan berbulu putih dan terus menyukainya.

Tapi seorang daripada mereka mengambil merpati itu dan mematahkan lehernya sehingga ia terkulai mati. Bukan itu sahaja, dia juga menerima tumbukan bersama merpati itu pada mukanya.

Bagaikan harimau yang sedang tidur dikejutkan, kanak-kanak itu Mike Tyson atau nama sebenarnya Michael Gerard sudah tidak tahan dibuli anak jiran yang nakal itu, lalu memukul pembulinya berkali-kali. Sejak itu, sikap Tyson yang pendiam dan pemalu, berubah menjadi berani dan liar untuk sesuaikan diri kehidupan sosial di Brooklyn, kawasan yang baru dia sekeluarga berpindah.

Kenakalan Mike Tyson ketika zaman kanak-kanaknya yang juga dipengaruhi faktor keluarga kurang stabil menyebabkan dia keluar masuk penjara juvana. Pelatih tinju terkenal, Cus D'Amato tertarik dengan bakat Mike Tyson untuk dilatih menjadi peninju profesional. Pada 6 Mac 1985, beliau bertanding secara profesional di Albany, New York dan menang pada setiap pusingan pertama bagi 16 perlawanan.

Tanggal 22 November 1986, Tyson berusia 20 tahun meraih gelaran juara kelas berat apabila dapat menjatuhkan pihak lawannya, Trevor Berbick. Ini menjadikan beliau sebagai juara dunia berat termuda di dunia.

Kerjaya Tyson terjejas apabila dibabitkan dengan kes jenayah seksual terhadap peserta Miss Black America 1991, Desiree Washington pada 10 Februari. Beliau dijatuhkan hukuman dipenjarakan selama tiga tahun.

Belajar Islam di penjara

Berita Tyson dimasukkan penjara di Indiana menjadi tumpuan umum. Tatkala itu terdetik di hati sukarelawan, Muhammed Sadiq berkata, 'mungkin ALLAH dah rancang untuk Tyson belajar dengannya tentang Islam'.

Muhammed pernah memberi nasihat yang berbekas di hati Tyson: "Walaupun anda di dalam penjara, tetapi dunia di luar sana adalah penjara yang sebenar. Ia adalah mudah mengamalkan Islam di dalam penjara berbanding di dunia yang penuh dugaan dan godaan, mampu membelenggu kita yakni perlu mencari perlindungan melalui Islam."

Bagi Tyson, masuk penjara tidaklah seburuk disangka. Malah beliau dapat mengenali Islam, belajar al-Quran. berpuasa ketika Ramadan, mempelajari agama itu lebih mendalam serta mengamalkannya di sana.

Selepas keluar penjara pada 1995, Tyson mengumumkan keislamannya yang dipelajari selama di penjara dan nama barunya, Malik Abdul Aziz. Selepas menjadi Muslim, Tayson dilihat lebih lebih tenang, bersederhana dan menghormati.

Pada November 1996, beliau kembali beraksi di gelanggang tetapi dikalahkan Evander Holyfield. Insiden Tyson menggigit telinga Holyfield pada pertarungan Jun 1997 menyebabkan beliau didenda sebanyak RM9.9 juta. Kehidupan Tyson diuji lagi apabila mengalami bankrap dan kariernya semakin malap sehingga memaksanya untuk bersara pada 2005.

Pada 2 Julai 2010, menjadi detik bersejarah buat Tyson apabila pertama kali menjejakkan kaki ke Tanah Suci untuk mengerjakan umrah yang diatur CDA, dengan ditemani presidennya, Shazad Mohammad. Pada masa sama kehadiran beliau turut menjadi tarikan pengunjung di sana. Beliau berharap peminat membiarkannya bersendirian untuk menjalani ibadah dengan penuh penghayatan.

Doa setiap hari

Bertubuh gagah, berwajah serius dan tangkas di gelanggang, tetapi bila Tyson dengan hanya berpakaian ihram di berada di Taman Raudah, Masjid Nabawi Madinah, hatinya mula meruntun. Selepas 10 tahun memeluk Islam, barulah beliau menjadi tetamu ALLAH.

"Saya tidak dapat menahan air mata apabila mendapat tahu saya berada di dalam satu daripada taman syurga.

"Insya-ALLAH, ALLAH akan merahmati saya untuk berada di jalan yang benar," katanya yang berada di Taman Raudhah beberapa jam untuk bersolat, mengaji al-Quran dan berzikir.

Beliau akui sangat takutkan ALLAH kerana banyak kesalahan dalam hidup dan mengenangkan neraka kerana dosanya. Oleh itu beliau berdoa memohon ampunan ALLAH setiap hari.

Menurut Shahzad, Tyson menangis lebih setengah jam ketika berdiri di depan makam Rasullah SAW untuk mengucapkan salam sambil mengangkat tangan.

Di Tanah Suci, Tyson turut terpesona dengan kawanan merpati dan sempat memberi makan kepada haiwan kesukaannya itu. Ini mengimbas kenangan ketika usianya 10 tahun, sanggup mencuri wang untuk membeli merpati menjadi peliharaannya.

Tyson mempunyai lapan anak melalui tiga perkahwinan. Anak perempuannya, Exodus, 4, meninggal dunia pada 2009. Kini Tyson menjalani kehidupan berkeluarga bersama isterinya, Lakiha Spicer, dan anak-anaknya di Las Vegas.

"Saya kini gembira bersama keluarga. Tidak perlu keluar ke mana-mana lagi. Setiap hari saya menunggu anak pulang dari sekolah," katanya.

Puluhan cedera diserang pirana

Posted: 27 Dec 2013 02:41 AM PST

  • Puluhan cedera diserang piranaPirana spesies palometas

BUENOS AIRES - ARGENTINA. Seramai 70 termasuk lebih 20 kanak-kanak cedera akibat diserang secara tiba-tiba oleh sekumpulan ikan pirana di Sungai Parana berhampiran bandar Rosario, Rabu lalu.

Menurut agensi berita Telam, seorang budak perempuan berumur tujuh tahun turut kehilangan salah satu jarinya dalam insiden tersebut.

Jurucakap kerajaan tempatan, Ricardo Biasatti menyifatkan kejadian itu sebagai jarang berlaku.

"Serangan ganas tersebut dipercayai berlaku kerana sisa sampah sarap yang ditinggalkan nelayan di kawasan itu telah menarik perhatian ikan karnivor spesies palometas terbabit," katanya yang dipetik dari DailyMail.

Pada 2008, kira-kira 40 orang dilaporkan cedera akibat diserang spesies akuatik pemakan daging tersebut dalam satu kejadian menggemparkan di negara itu.

Fikir luar kotak

Posted: 27 Dec 2013 02:38 AM PST



KEBERANIAN memperanakkan kepercayaan diri. Kepercayaan memperanakkan enthusiasm (semangat) buat pelakon dan juga pengarah, Jehan Miskin.
Tidak kecewa jika menjadi mangsa suntingan Lembaga Penapis Filem (LPF), Jehan nekad menghasilkan drama bersiri What If musim kedua dengan lebih brutal pada bulan Ogos tahun depan.
"Saya tidak risau buat sesuatu yang mencabar diri. Saya lebih risau tidak dapat beri apa yang penonton mahukan.
"Apa yang saya peroleh menerusi Twitter, rata-rata ramai penonton What If tertarik dengan kisah brutal yang dipaparkan di setiap episod siri What If.
"Dari situ saya dapat tahu penonton suka pada sesuatu yang gila," ungkap Jehan mengenai drama seram dan suspen 13 episod, What If yang mengisahkan beberapa cerita berlainan pada setiap episod.
Kemahuan penonton itu membuatkan Jehan ingin hasilkan What If musim kedua dengan lebih ganas dan gila.
Jelas, musim pertama What If banyak babak yang dipotong LPF. Sebagai pembikin karya, Jehan akui tugasnya adalah memberikan apa yang penonton mahukan.
Malah, pelakon dan pengarah berusia 34 tahun itu juga tidak menghalang LPF memotong babak-babak dalam dramanya kerana itu adalah tugas mereka.
"Saya jumpa ramai pengkarya yang sudah malas hendak menghasilkan filem brutal sebab sudah melabur beribu ringgit tetapi babak tersebut akhirnya dipotong.
"Saya cuma fikir positif sahaja. Mana tahu ada babak-babak yang kita buat tidak dipotong. Saya akan buat selagi ia tidak melanggar nilai-nilai agama," luahnya ketika ditemui pada sesi temu bual secara eksklusif pelantikannya sebagai jurucakap produk minyak wangi, jenama Romano.
Musim kedua What If yang akan memulakan penggambaran sekitar bulan Mac 2014, masih mengekalkan Josiah Hogan sebagai watak utama manakala watak pelakon Tony Yusoff dikembalikan dalam What If 2 dengan watak lebih besar.
JEHAN bakal muncul menerusi filem Apokalips


Isu besar
Jehan yang pernah mengarah untuk telefilem, dokumentari dan video korporat juga bakal menghasilkan satu lagi drama siri selepas What If 2.
Bukan cinta, aksi atau seram, drama Jehan itu akan memaparkan isu besar yang berlaku di Malaysia.
"Selepas What If, saya akan buat satu lagi siri mengenai masalah yang berlaku sekarang. Mungkin saya nampak itu sebagai masalah tetapi orang lain nampak perkara itu biasa," jelasnya yang akui sentiasa melakukan nashkah luar dari kotak pemikiran manusia.
Siri yang masih belum mempunyai tajuk itu akan dilakonkan oleh satu nama besar dalam industri lakonan tempatan.
Terikat dengan pembikinan drama bersiri juga menjadikan Jehan tidak lagi muncul di kaca TV.
Kali terakhir muncul menerusi drama bersiri Awan Dania, bagaimanapun Jehan tidak menolak jika ada watak dan jalan cerita drama bersiri yang bagus untuknya.
"Ramai peminat di Twitter yang bertanya bila saya mahu berlakon drama semula. Bukan saya tidak mahu berlakon.
"Sebenarnya, berlakon dalam sebuah drama siri memerlukan masa penggambaran selama tiga bulan. Jika saya terima tawaran berlakon bagaimana dengan syarikat saya, Mastermind Group?
"Disebabkan itu saya cuma ambil tawaran berlakon telefilem, filem dan program seperti Fear factor Selebriti sahaja tetapi jika ada watak menarik, saya akan buat," katanya yang bakal muncul menerusi filem arahan Mamat Khalid iaitu Apokalips X.
Mengulas mengenai wataknya dalam Apokalips X pula, pelakon berasal dari Pulau Pinang itu memberitahu, dalam filem tersebut dia membawa watak Kala Jengking .
Jelas Jehan lagi, filem yang memaparkan kehancuran Kuala Lumpur itu banyak memaparkan babak berlawan. Begitupun, Mamat Khalid juga ada menyelitkan nilai-nilai murni dalam filem itu.
JEHAN di samping Jade bersama produk Romano.


Anak
Antara berlakon dan mengarah, Jehan bagaimanapun memilih yang kedua.
"Lain kepuasannya bila kita jadi pengarah berbanding berlakon. Kepuasannya macam dapat anak," kongsi Jehan lagi.
Terlanjur bercerita tentang anak pula, Jehan yang bernikah dengan wanita Korea iaitu Julie Camelia Rhee pada 4 Mei lalu juga mengakui masih merancang untuk mempunyai cahaya mata.
"Kami baru berkahwin enam bulan. Tidak merancang untuk dapatkan anak dalam masa terdekat. Kami gembira hidup berdua buat masa ini," ujarnya yang bakal pergi berbulan madu kali kedua selepas ke pulau Maldives pada bulan Ogos lalu.
Sunyi seketika tanpa sebarang kontroversi selepas berkahwin, bagaimanapun sekitar bulan Ogos lalu, Jehan berdepan dengan dugaan apabila memuat naik sekeping gambar memakai rantai di laman sosial Instagramnya.
Ramai pengikut Instagramnya menuduh Jehan memakai rantai berlambang salib, sedangkan kata Jehan, loket itu adalah lambang pengakap.
Bagaimanapun, selepas Jehan menjelaskan mengenai loket tersebut, masih ramai pengikut yang tidak berpuas hati. Lantaran itu, dia mengambil keputusan akan memadam komen tersebut atau menghalang pengikut tersebut terus akses dalam Instgramnya.
"Saya jawab pasal isu rantai itu secara berhemah tetapi ada segelintir yang masih tidak puas hati. Saya anggap mereka itu haters saya. Paling saya tidak suka apabila peminat dan haters saling bergaduh dalam Instgram saya.
"Disebabkan itu, saya ambil keputusan block mereka (haters) daripada IG saya," luahnya yang akan berhati-hati selepas ini dalam memuat naik gambar di IG.


Awie mahu buka restoran

Posted: 27 Dec 2013 02:37 AM PST

AWIE bakal terbabit dengan beberapa projek seni mega sepanjang tahun 2014.


DI SEBALIK kerjaya seninya yang terus berkembang sepanjang tahun 2013, terdapat beberapa isu sensasi yang turut membelenggu penyanyi dan pelakon Ahmad Azhar Othman atau Awie.
Jika awal tahun ini ramai yang mengecam tindakannya membuka kelab malam, Malai Rock Station di Ipoh, Perak baru-baru ini dia terpalit pula dengan kontroversi yang membabitkan dirinya sudah jatuh muflis.
Awie yang ditemui semasa majlis pelancaran KL Bike Week 2013 berkata, dia tidak mahu melayan sebarang cerita yang tersebar. Sebaliknya, tumpuannya sekarang ini lebih terarah kepada karier memandangkan dia akan terbabit dengan beberapa projek besar pada tahun hadapan.
Kosmo!: Apakah perkembangan terbaharu anda sekarang?
AWIE: Sejurus habis pementasan teater Supermokh di Istana Budaya pada bulan lepas, saya meneruskan kerja-kerja rakaman untuk album baharu saya bersama kumpulan Wings yang akan dilancarkan pada bulan Februari tahun depan.
Album tersebut diberi judul, Penakluk Kosmos dan terdapat sebanyak 11 buah lagu baharu. Proses rakaman di lakukan di Pulau Langkawi, Kedah dan saya bersama ahli Wings yang lain berada di sana selama dua minggu.
Apakah yang membuatkan Wings secara tiba-tiba menghasilkan album baharu?
Salah satu sebabnya kami sudah lama tidak muncul dengan album yang terakhir kira-kira 11 tahun lalu menerusi Naga Keramat. Selain itu, kami percaya Wings masih lagi mempunyai ramai peminat termasuk generasi sekarang.
Mengikut perancangan awal, album ini sepatutnya dihasilkan pada tahun lalu. Bagaimanapun, ketika itu saya masih belum ada mood untuk menyanyi semula serta terbabit dengan banyak projek lain.
AWIE tenang memberikan jawapan terhadap beberapa isu kontroversi yang pernah melanda dirinya.


Selain album baharu, apakah projek lain pada tahun depan?
Pada bulan Mac 2014, saya bakal mengadakan sebuah konsert solo di Istana Budaya dan dua bulan selepas itu berkemungkinan besar saya akan membintangi sebuah filem. Kemudian pada bulan September pula, saya akan kembali menjayakan pementasan teater.
Baru-baru ini anda telah dikaitkan dengan isu muflis. Adakah isu berkenaan memberi impak terhadap kerjaya seni anda?
Kalau boleh saya tidak mahu ulas apa-apa mengenai isu ini. Sekalipun benar saya muflis atau tidak, saya rasa perkara tersebut bukanlah satu dosa besar atau menjadi najis kepada sesiapa yang mengalaminya.
Selain isu muflis, ada yang mengatakan operasi kelab malam Malai Rock Station yang anda buka kini sudah ditutup. Adakah perkara itu benar?
Malai Rock Station masih lagi beroperasi seperti biasa sehingga sekarang. Sebenarnya, saya sudah merancang untuk membuka sebuah restoran yang menghidangkan masakan dari Indonesia kerana menggemari beberapa jenis masakan dari negara tersebut.
Setakat ini, saya masih lagi mencari lokasi yang sesuai, sama ada di Kuala Lumpur atau Ipoh. Namun begitu, restoran saya itu akan menggunakan nama yang sama iaitu Malai Rock Station.
Anda dikenali seorang penggemar motosikal berkuasa tinggi seperti Harley Davidson. Adakah anda tidak pernah merancang untuk membuka kedai yang menjual aksesori motosikal berkuasa tinggi?
Sekitar tahun 90-an dahulu saya pernah membuka sebuah kedai aksesori yang diberi nama Highway Hawk dan diuruskan oleh seorang rakan memandangkan saya sangat sibuk berlakon dan menyanyi. Akhirnya, saya telah ditipu dan mengalami kerugian yang sangat besar iaitu sebanyak RM100,000.


Seluk saku pelakon popular

Posted: 27 Dec 2013 02:35 AM PST

JADI TUMPUAN PENJENAYAH... Emma Maembong berjanji akan lebih berhati-hati selepas menjadi mangsa penyeluk saku.


KUALA LUMPUR – Hajat pelakon popular, Emma Maembong untuk membeli- belah pada malam Krismas lalu terbantut apabila dia kerugian RM5,000 selepas beg duit dan telefon bimbit miliknya dilarikan penyeluk saku dalam kejadian di aras bawah pusat beli-belah Lot 10 di Jalan Bukit Bintang di sini kelmarin.
Kosmo! difahamkan, pelakon drama Kau Yang Terindah berusia 21 tahun tersebut dipercayai menjadi mangsa sindiket seluk saku didalangi warga asing yang sering melakukan aktiviti jahat di premis beli-belah di kawasan segitiga emas itu.
Berdasarkan kes-kes terdahulu, modus operandi sindiket tersebut terbahagi kepada tiga iaitu menyeluk saku ketika keadaan sesak, menoreh beg mangsa dan berpura-pura pengsan.


Cincin berlian dijumpai di dalam Tabung Derma

Posted: 27 Dec 2013 02:29 AM PST


BAWAH: BENTUK CINCIN berlian yang disumbangkan oleh penderma misteri misteri berkenaan.


MIAMI, Florida - Seorang wanita di Florida mendermakan sebentuk cincin berlian berharga AS$3,500 (RM11,535) untuk tabung badan kebajikan, Salvation Army, lapor sebuah akhbar baru-baru ini.
Ia merupakan tahun keempat agensi kebajikan tersebut menerima sumbangan serupa yang diberikan oleh penderma misteri berkenaan.
Penderma itu juga akan membuat panggilan telefon pada setiap tahun untuk memberi maklumat mengenai lokasi cincin tersebut diletakkan.
Pada tahun ini, cincin itu ditemui dibungkus menggunakan sekeping kertas kuning bersama sekeping nota di dalam sebuah tin kutipan derma di luar sebuah pusat beli-belah di sini kelmarin.
"Pada setiap tahun wanita misteri itu akan menelefon dan berkata, awak mungkin perlu memeriksa salah tabung derma di sesebuah lokasi," kata seorang anggota badan kebajikan berkenaan, Mejar Linda Payton.
Setakat ini, tabung kebajikan tersebut telah menerima dua bentuk cincin berlian, beberapa ketul emas dan wang kertas AS$100 (RM329) sejak empat tahun lalu.


Keistimewaan Genius Aulad

Posted: 27 Dec 2013 02:26 AM PST



SEAWAL usia tiga tahun, anak-anak di pusat pendidikan prasekolah, Genius Aulad sudah dididik mengenali huruf-huruf hijaiyah dan kisah-kisah para Rasul dan nabi.
Anak-anak kecil yang diibaratkan seperti kain putih ini telah dicorakkan dengan ibadah-ibadah asas yang dituntut oleh agama Islam seperti amalan solat, berpuasa dan bacaan doa-doa ringkas dalam kehidupan seharian.
Istimewanya, walaupun membawa imej sebagai sebuah pusat pendidikan prasekolah berkonsepkan Islam, Genius Aulad tetap menitikberatkan keperluan menguasai bahasa Inggeris yang dilihat penting pada hari ini.
Pengasasnya, Datin Paduka Zaliza Alias berkata, Genius Aulad ditubuhkan pada tahun 2000 untuk memperkasakan anak-anak Muslim Generasi Y masa kini.
"Perkara-perkara asas tentang ajaran Islam seperti Rukun Islam dan Iman perlu diterap daripada usia seawal tiga tahun kerana pada ketika ini ingatan mereka lebih kuat serta mengalami proses pembelajaran berterusan.
"Bagaimanapun, perkara-perkara ini diajar dalam bahasa Inggeris selepas melihat kepentingannya sebagai bahasa perantara dalam dunia yang semakin moden ini.
"Ia sekali gus membenarkan anak-anak ini terus maju ke persada dunia," katanya ketika ditemui Pesona baru-baru ini.
Pendidikan interaktif
Tambah Zaliza, Genius Aulad tidak mengamalkan pendidikan secara teori, sebaliknya mengajar dalam bentuk interaktif dan aktiviti di luar kelas yang menyeronokkan dan dipercayai mampu menarik minat pelajar.
Antara aktiviti yang dilakukan termasuk menyanyi beramai-ramai, melukis dan mewarna serta bermain sambil belajar. Kaedah ini dikatakannya lebih berkesan daripada pembelajaran terus menggunakan papan putih.

PELAJAR-PELAJAR Genius Aulad didedahkan dengan cara pembelajaran yang menyeronokkan di dalam dan luar kelas.


Tambahnya, pada setiap bulan silibus pembelajaran akan bertukar mengikut tema yang telah dipersetujui guru-guru di rangkaian pusat pendidikan itu.
"Setiap bulan kami menyediakan tema yang berlainan. Sebagai contoh, tema Januari adalah berkebun.
"Jadi, guru-guru akan membawa dan mengajar anak-anak ini di luar kelas tentang peralatan berkebun, cara menanam pokok serta menjaganya," jelas beliau.
Zaliza memaklumkan, sehingga kini Genius Aulad mempunyai 4,000 pelajar di hampir 40 buah cawangan di seluruh negara termasuk Kuala Lumpur, Selangor, Seremban, Melaka, Johor, Perak dan Kedah
Konvokesyen
Pada bulan November lalu, hampir 2,000 daripada para pelajar ini diraikan dalam Majlis Konvokesyen ke-13 Genius Aulad yang berlangsung di Menara Telekom, Kuala Lumpur.
Mengangkat tema keamanan dan kemanusiaan, majlis konvokesyen itu berlatarbelakangkan suasana di sebuah stesen kereta api.
Bukan sekadar meraikan 'graduan' Genius Aulad yang akan memasuki sekolah rendah pada tahun hadapan, upacara itu dimeriahkan dengan persembahan para pelajar mengenai tokoh-tokoh ilmuwan Islam.
Persembahan-persembahan menghiburkan oleh para pelajar berusia 4 hingga 6 tahun dari lapan cawangan sekitar Lembah Klang itu melibatkan penceritaan, iringan lagu dan tarian yang turut dilengkapi dengan hiasan pentas yang menarik.
Menurut Zaliza, majlis konvokesyen tersebut telah dilakukan secara berperingkat mengikut cawangan-cawangan Genius Aulad di seluruh negara hampir sebulan sebelum ini dan dijayakan oleh barisan guru-guru prasekolah tersebut.
"Keunikan konvokesyen atau ihtifal kali ini ialah reka pentas yang disediakan para guru terlibat diperbuat daripada bahan-bahan kitar semula seperti botol plastik, tong sampah rosak, bekas air dan surat khabar lama.
"Tujuan penggunaan bahan-bahan ini ialah untuk mendedahkan para pelajar kami tentang keupayaan sesuatu bahan untuk diguna semula sebagai suatu yang menarik dan berguna," jelasnya.

MAJLIS Konvokesyen ke-13 Genius Aulad di Menara Telekom mengangkat tema keamanan dan kemanusiaan.


Salah seorang ibu pelajar yang hadir menyaksikan konvokesyen tersebut ialah Rosmah Mahmud, 47. Menurutnya, majlis tersebut adalah kali yang keempat diraikan beliau sekeluarga.
"Tiga orang anak saya sebelum ini mendapatkan pendidikan awal di Genius Aulad dan hari ini saya memberi sokongan kepada anak keempat saya, Wan Muhd. Shaghir Wan Maizul Khar yang berusia 6 tahun.
"Saya berterusan menghantar anak-anak di sini selepas melihat kebolehan mereka membaca sejak berusia 6 tahun lagi. Mereka bukan sahaja fasih berbahasa Inggeris, malah yang paling utama adalah keupayaan mengetahui surah-surah ringkas serta bacaan doa," katanya.
Pemantapan pembelajaran
Sementara itu, anak ketiga Rosmah, Wan Ainil Naim Wan Maizul Khar, 10, berkata, semasa di Genius Aulad, dia bukan sahaja menimba ilmu di dalam kelas, tetapi juga melalui lawatan-lawatan luar kelas yang dianjurkan sekolah berkenaan.
"Saya pernah dibawa ke kilang roti; Taman Wawasan, Putrajaya dan taman tema Kidzania di Petaling Jaya.
"Pengalaman itu memberi saya dan rakan-rakan peluang untuk melihat dengan lebih dekat dan memahami apa yang diajar guru di sekolah. Ini termasuk cara-cara pembuatan roti," katanya.
Berusia 13 tahun dengan satu jenama yang kian dikenali, Zaliza berkata, memiliki 40 cawangan mungkin dianggap satu perkembangan yang perlahan oleh sesetengah pihak.
Namun demikian, tegasnya, ia adalah sebagai langkah berjaga-jaga memandangkan Genius Aulad tidak mementingkan kuantiti tetapi kualiti produk yang dihasilkan.
"Individu-individu yang ingin membuka perniagaan francais sekolah ini juga perlu menjalani kursus selama setahun sebelum diluluskan untuk membuka cawangan di kawasan yang dikehendaki.

ADIK Mohammad Danish Arif Azras Fitri, 5, merakamkan potret konvokesyennya.


"Selain itu, kami memastikan setiap kelas hanya mempunyai 15 hingga 20 pelajar bagi memastikan tumpuan dapat diberikan kepada dan daripada pelajar," jelasnya.
Mengulas lanjut tentang pencapaian Genius Aulad, Zaliza memberitahu, pusat pendidikan prasekolah itu telah dilantik sebagai pencerita dan penganjur festival penceritaan untuk rangkaian kedai buku terkemuka, MPH, selama tiga tahun berturut-turut.
Pusat pendidikan itu juga menerima Anugerah Perniagaan Sepanjang Tahun oleh akhbar The Star dan dinobat sebagai Prestasi Perniagaan Terbaik oleh Perbadanan Usahawan Nasional Bhd. untuk tiga tahun berturut-turut iaitu bagi tahun 2009, 2010 dan 2011.
Dalam pada itu, Genius Aulad turut melancarkan sebuah album kanak-kanak berjudul `We're Brothers and Sisters' di Perth, Australia pada May 2010.
Album tersebut telah diedarkan diseluruh Australia serta United Kingdom (UK) dan dipilih sebagai lagu tema kanak-kanak untuk Islamic Relief Worldwide, UK.


Bahana ketagihan laman sosial

Posted: 27 Dec 2013 02:23 AM PST

MASYARAKAT perlu berhati-hati dalam berkongsi gambar-gambar peribadi di laman sosial agar tidak disalah guna oleh pihak tidak tertentu.


SETIAP kali berada di restoran, kita dapati manusia kini begitu sibuk menuliskan sesuatu di telefon pintar mereka berbanding dengan berbual dengan teman yang berada di depan mereka.
Kelihatan trend ini berlaku di mana-mana sahaja, malah ketika memandu sekalipun pengguna jalan raya tetap mengirim dan menerima mesej. Ia berlaku kepada semua orang, tanpa mengenal umur, jantina dan bangsa.
Mutakhir ini, simptom tersebut diklasifikasikan sebagai satu bentuk penyakit ketagihan baharu yang dinamakan sebagai Social Networking Sites Addiction atau Ketagihan Laman Rangkaian Sosial. Seperti penyakit ketagihan yang lain, ketagihan ini juga memberi implikasi yang teruk kepada psikologi dan emosi manusia.
Sehingga tahun 2012, pengguna Facebook di seluruh dunia dikatakan telah mencecah 900 juta orang dan 500 juta daripadanya mengakses laman sosial berkenaan melalui telefon pintar.
Di Malaysia sahaja, kita dikatakan salah satu pengguna terbesar Facebook dengan anggaran 13 juta pengguna.
Perubahan teknologi dan fungsi telefon mudah alih pada hari ini telah memberi kesan terhadap kegilaan manusia mengakses pelbagai aplikasi jaringan sosial.
Punca penceraian
Ironinya, telefon bimbit kini tidak lagi kerap digunakan sebagai alat untuk manusia berbual, sebaliknya telah berubah menjadi 'mesin taip' untuk manusia berkongsi emosi dengan sahabat mereka di serata dunia.
Walaupun ada kebaikannya, tetapi adakalanya berkongsi emosi dengan sahabat maya ini juga boleh menyebabkan hal buruk berlaku. Kajian di Amerika Syarikat menunjukkan bahawa satu perlima daripada kes penceraian yang direkodkan adalah disebabkan oleh penggunaan Facebook.
Kajian-kajian juga menunjukkan bahawa masa yang banyak diluangkan untuk melayari Facebook boleh menyebabkan pasangan berasa cemburu. Semua ini adalah permulaan buruk kepada keharmonian rumah tangga.
Bayangkan, manusia kini berkongsi segala cerita kehidupan, daripada aktiviti memasak, membeli-belah hingga masalah rumah tangga di laman-laman sosial. Perbuatan ini seolah-olah menggambarkan semua perkara itu bukan lagi privasi buat mereka.
KEKERAPAN melayari laman sosial di peranti pintar boleh menyebabkan seseorang itu ketagih. - Gambar hiasan


Hal ini, hakikatnya membuka kepada pintu bahaya. Ini kerana, tidak semua rakan maya ini mempunyai watak atau personaliti yang sama dalam dunia realiti.
Kajian-kajian menunjukkan bahawa pengguna media sosial biasanya 'melakonkan' watak-watak yang diinginkan. Ia diistilah sebagai selective self-presentation atau peragaan diri terpilih.
Ia boleh dilakukan dengan meletakkan gambar yang menunjukkan kemewahan atau menulis status seperti mereka manusia terpelajar.
Semua ini tidak bermakna bahawa mereka cuba untuk melakukan penipuan. Bagaimanapun, secara psikologiknya, manusia cenderung untuk menampilkan imej manusia budiman demi menjaga status mereka.
Berbeza dengan perbualan melalui telefon atau interaksi bersemuka, manusia juga biasanya membaca mesej yang ditulis berpandukan penilaian imaginasi.
Ayat seperti Saya suka awak mungkin ditafsirkan dengan pelbagai makna. Pembaca mungkin membacanya sebagai Saya cintakan awak walaupun mungkin itu bukanlah seperti yang dimaksudkan dalam mesej tadi. Ia bergantung kepada siapa yang menulisnya dan siapa pula yang membacanya.
Kewujudan pelbagai ikon emosi yang disertakan dalam aplikasi dalam talian ini juga memberikan kesan psikologi kepada manusia. Walaupun ia dalam bentuk yang ringkas, namun manusia cenderung menafsirkan ikon-ikon ini berdasarkan persepsi yang mereka harapkan.
Permainan emosi
Sekiranya kenalan mereka ialah seseorang yang akrab dan kerap berkomunikasi secara maya, ikon love mungkin akan ditafsirkan secara berlainan jika dibandingkan sekiranya ikon yang sama dikirimkan oleh ahli keluarga atau oleh kenalan sesama jantina.
Permainan emosi inilah yang kemudiannya menyebabkan hubungan yang pada mulanya hanya bersifat teman biasa bertukar menjadi semakin erat. Permainan emosi ini melibatkan semua manusia tanpa mengira darjat, status atau pangkat.
Ia mungkin tidak menjadi masalah sekiranya hubungan ini berlaku dalam kalangan anak muda yang masih bujang. Tetapi, ia akan mencetuskan musibah yang besar apabila ia melibatkan mereka yang sudah berumahtangga.
Sebab itulah, pengguna media rangkaian sosial perlu berhati-hati. Ia perlu dibataskan dengan perkongsian maklumat yang mustahak sahaja dan jangan sampai penggunaan medium ini menjadi beban baharu kepada kehidupan mereka.
Jangan juga dibiarkan penggunaan medium ini secara keterlaluan menjejaskan tanggungjawab rumah tangga dan masyarakat.
Dalam satu kajian di Amerika Syarikat, apabila ditanya kepada seorang ibu muda mengapa beliau tidak memberikan perhatian terhadap kerja sekolah anak-anaknya, wanita itu menjawab : "Saya seorang penagih. Saya akan 'hilang' dalam dunia Facebook."
Walaupun kajian tersebut dilakukan di Amerika Syarikat, tetapi kita mungkin menemui hal yang sama di Malaysia.
Justeru, berpada-padalah apabila menggunakan media sosial ini. Ia mungkin menjadi sahabat yang berguna jika kita bijak memanfaatkannya, tetapi juga sahabat durjana sekiranya kita tidak tahu mengendalikannya.


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines