Khamis, 5 Disember 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Rabecca Terkejut Terima Wang Saman Erma Dalam Bentuk Syiling 5 Sen

Posted: 03 Dec 2013 10:25 PM PST


Rabecca telah memenangi kes tuntutan terhadap Erma Fatima apabila Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mengarahkan pengarah dan penerbit itu mengembalikan baki jumlah wang lakonan Rabecca sebanyak RM11,200.
PETALING JAYA: Pelakon Rabecca Nur Al-Islam yang menang saman terhadap Erma Fatima terkejut apabila menerima wang tuntutannya sebanyak RM11,200 dalam bentuk wang syiling 5 sen.
Rabecca, 23, berkata, pihak peguam Erma bersama beberapa pembantu menyerahkan wang tuntutan berkenaan di pejabat peguamnya, Nordin Othman pada petang Selasa yang dimasukkan dalam beberapa bungkusan termasuk sebuah kotak yang terdapat Al-Quran.
"Apa maksudnya itu apabila dia (Erma) membayar wang saman dengan cara begitu? Adakah dia masih tidak berpuas hati dengan kekalahannya di mahkamah? Kenapa dia perlu menghantar kitab Al-Quran kepada saya seolah-olah ingin sindir saya?," katanya yang menghubungi mStar Online di sini pada Selasa.
Pada 8 November lalu, Rabecca berjaya memenangi kes tuntutan terhadap Erma Fatima apabila Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mengarahkan pengarah dan penerbit drama itu mengembalikan baki jumlah wang lakonan Rabecca sebanyak RM11,200 (40 peratus berserta lima peratus faedah) daripada bayaran selain membayar kos guaman kepadanya.
Kedua-dua artis itu sebelum ini pernah bertegang urat apabila Erma selaku pengarah drama Dejavu Di Kinabalu gagal melunaskan baki bayaran lakonan pelakon itu sebanyak 40 peratus sehingga menyebabkan Rabecca memfailkan saman pada 23 Julai 2013.
Foto beberapa bungkusan wang 5 sen yang diterima rabecca daripada pihak Erma.
Dejavu Di Kinabalu diterbitkan oleh Rumah Karya Citra (M) Sdn Bhd sebanyak 28 episod dan disiarkan menerusi slot Akasia di TV3, bermula 18 Jun hingga 31 Julai 2012.
Tambah Rabecca, sekiranya Erma berbuat demikian kerana ingin menimbulkan kemarahannya, perkara itu tidak mungkin akan berlaku.
Sebaliknya, dia akan memulangkan wang tersebut kepada Erma dan meminta penerbit dan pengarah itu membayar wang tuntutannya dengan cara berhemah.
Dalam pada itu, Rabecca mendakwa dia terkejut selepas mendapat tahu Erma cuba mempengaruhi pihak atasan sebuah organisasi media agar tidak menyiarkan apa-apa berita yang mengaitkan mereka berdua berhubung saman berkenaan.
"Saya tak faham kenapa dia perlu berjumpa dengan pihak atasan media tersebut meminta mereka tidak mengeluarkan berita tentang hal berhubung kekalahannya di mahkamah?
"Biarlah... apa tindakannya sekalipun, ia tidak akan menjejaskan saya," tegasnya.

Jozan bakal pentaskan Jozan The Musical

Posted: 03 Dec 2013 10:24 PM PST

JOZAN yang dianggotai oleh Zizan (kiri) dan Johan hanya ketawa apabila didakwa bergaduh. Hakikatnya hubungan mereka baik walaupun jarang bertemu.


WALAUPUN pernah tidak berjumpa selama setahun, Johan dan Zizan masih akrab dan serasi apabila bergabung sama seperti apa yang dilihat oleh masyarakat. Justeru, dakwaan kononnya mengatakan Jozan bergaduh, merupakan satu dakwaan yang dilihat sebagai satu fitnah yang ingin memecah-belahkan kedua pelawak tersebut.
Dakwaan seorang penerbit yang mengatakan Jozan sudah tidak sehaluan beberapa minggu lalu disangkal oleh Johan sekerasnya.
Bagaimanapun, 'kehilangan' Jozan dalam beberapa program seakan-akan menguatkan dakwaan tersebut. Apa yang pasti, Jozan punya alasan kukuh tentang 'ketiadaan' mereka muncul di kaca televisyen.
Ikuti temu bual Kosmo! bersama Johan yang ternyata kesal dengan dakwaan yang sama sekali tidak benar itu.
Kosmo!: Baru-baru ini muncul dakwaan tentang hubungan Jozan retak. Adakah kejutan di Akademi Fantasia 2013 (AF2013) baru-baru ini, merupakan cara Johan ingin berbaik semula bersama Zizan?
JOHAN: Kejutan tersebut bukan untuk memujuk dan berbaik semula. Namun hakikatnya, kami sudah setahun tidak berjumpa. Sebenarnya tidak timbul isu tentang kami bergaduh. Saya berjumpa dengan pihak Astro untuk beritahu yang saya memang mahu berjumpa dengan Zizan.
Sebenarnya, Zizan juga ada merancang untuk berjumpa dengan saya sewaktu saya bertanding dalam Super Spontan, namun kerana kesibukan dan komitmen terhadap AF2013 ketika itu, dia terpaksa batalkan. Sebab itu, kami akhirnya bertemu dalam final AF 2013.
Adakah ini bermakna, kalian terlalu sibuk dengan hal masing-masing sehingga tiada masa untuk berjumpa?
Dari segi kehidupan peribadi, sebenarnya saya jarang keluar kerana sering luangkan masa bersama keluarga di rumah. Berbeza dengan Zizan. Dia bujang dan bila-bila masa sahaja dia boleh keluar. Begitu juga ketika kami terbabit dalam Maharaja Lawak, saya jarang berjumpa dengan Zizan.
Namun, kami berjaya menghasilkan sesuatu yang baik ketika bersama walaupun jarang berjumpa. Itu yang merapatkan kami berdua kerana saya tahu dia mahu buat apa dan begitu juga sebaliknya. Itulah sebenarnya kekuatan Jozan.

JOZAN memberitahu, mereka bersedia untuk mementaskan lawak mereka di Istana Budaya.


Jika begitu, bagaimana kalian berjumpa untuk membuat latihan atau sebagainya?
Kami sering berkomunikasi melalui telefon. Jika ada mesyuarat dan perjumpaan, kebiasaannya pengurus kami yang akan menguruskan perkara tersebut. Namun, Zizan faham akan keadaan saya yang sudah berkeluarga ini.
Jika ingin dikira berapa kali saya lepak minum bersama Zizan, mungkin dua tahun sekali? Istilah Jozan bergaduh untuk saya adalah perkara yang tidak elok dan saya tahu siapa yang mengeluarkan kenyataan tersebut.
Jadi, mengapa pihak tersebut membuat kenyataan sedemikian?
Mungkin dia tidak puas kerana Jozan tidak mahu bekerjasama dengan pihaknya, itu sahaja. Apabila kami tahu, kami anggap perkara ini remeh. Jozan ketawa dengan apa yang dia kata. Setiap apa yang saya katakan, mewakili Jozan dan begitu juga Zizan. Kami mengeratkan hubungan kami dengan cara kami tersendiri. Bukan dengan menunjuk di khalayak, itu bukan cara kami.
Adakah anda tidak akan bekerjasama dengan pihak tersebut?
Saya tidak suka layan gosip dan kritikan orang. Bukan saya yang keluarkan kenyataan Jozan sudah berpecah tetapi pihak tersebut. Kami hanya ketawa apabila perkara tersebut sampai ke telinga kami. Bagaimanapun, kami tidak akan menyimpan dendam serta masih menghormatinya sebagai seorang yang telah lama dalam industri. Ini kerana, industri kita kecil, pusing-pusing akan jumpa orang yang sama juga.
Anda tidak pernah terfikir untuk berjumpa dan membalas kenyataan tersebut?
Itu bukan cara Jozan. Selagi dia tidak mengganggu keluarga dan punca rezeki saya, tiada masalah dan begitu juga Jozan. Secebis pun tidak memudaratkan reputasi Jozan pada hakikatnya. Itu merupakan percakapan kosong kerana sebelum ini juga ada cerita seumpama ini keluar. Namun, kami hanya biarkan ia berlalu pergi. Apabila kita menutup aib orang, Allah akan menutup aib kita kelak, insya-Allah.
Mungkin boleh ceritakan perancangan Jozan selepas ini?
Selepas ini mungkin kami bakal menerbitkan teater Jozan The Musical pada tahun depan di Istana Budaya. Bukan kerana ingin bersaing, namun kerana ingin memberi hadiah kepada peminat yang telah lama merindukan gabungan kami berdua di atas pentas. Mungkin kerana itu, kami kurang muncul di khalayak kini kerana ingin beri peminat rindu dan tidak bosan dengan kami.


Fizo tak tahan dikritik

Posted: 03 Dec 2013 10:23 PM PST

  •  Fizo Fizo kembangkan bisnes Hot Burger ke Selatan dan Utara.

LUMRAH sebagai selebriti, setiap perkara yang dilakukan, sering menjadi perhatian masyarakat khususnya peminat.
Malah, kecanggihan teknologi kini mampu menjadikan peminat lebih dekat dengan selebriti kesayangan mereka dengan adanya laman sosial seperti, Twitter, Instagram dan Facebook.

Apa sahaja yang dimuat naik selebriti, pasti dapat ditonton sebilangan pengikut di laman sosial.

Pun begitu, tidak semua yang berada dalam senarai pengikut adalah mereka yang betul-betul menyokong selebriti itu, malah tidak kurang juga yang menjadikan laman mikro sebagai platform menjatuhkan kredibiliti artis itu.

Malah, pelakon yang baharu mendirikan rumah tangga pada 10 November lalu, turut terkena tempias.

Menurut Fizo Omar, sejak akhir-akhir ini dia menyedari bahawa ada segelintir pengikut laman sosial, Facebook, kerap mengkritik, menghina dirinya serta keluarga dan menjadikan medan itu sebagai tempat perbalahan sesama sendiri.

Menerusi tulisannya, Fizo tampil menegur tindakan pengikutnya yang gemar menjadi 'keyboard warrior'.

"Tak faham betul la, sejak akhir-akhir ni, asal 'upload' apa-apa gambar pasti ada yang komen dan mengutuk malah ada yg menghina saya dan keluarga, malah gambar berpeluk mesra bersama adik kandung sendiri pun jadi isu.

"Saya sebenarnya boleh terima teguran dari anda semua sebab saya pun manusia biasa yang tak pernah lari dari kesilapan tapi, kalau nak menegur bukan memalukan sesiapa di laman sosial yang boleh dilihat berjuta orang. Lebih baik kalau teguran
pendapat di berikan secara 'inbox' dan tidak ditulis di 'wall' atau komen digambar supaya semua orang dapat baca dan saling bergaduh," ujarnya dalam status dikemas kini.

Tambah Fizo, dia tidak kisah sekiranya ada yang datang menegur, namun biarlah dengan niat yang baik.

"Untuk makluman semua, laman sosial saya dibuat untuk keluarga, kawan-kawan dan pengikut bagi mengikuti perkembangan saya dan tempat saya berkongsi kenangan serta mendekatkan diri dengan peminat.

"Kepada 'haters', terima kasih di atas komitmen secara percuma.  Daripada anda menambah dosa, lebih baik buat benda berfaedah. Apa-apa pun, sokongan daripada anda semua amatlah saya hargai," jelasnya lagi.

Norman Hakim Utamakan Persiapan Sekolah Anak

Posted: 03 Dec 2013 10:22 PM PST


PETALING JAYA: Pelakon Norman Hakim mengakui sebagai bapa keperluan anak-anak untuk menghadapi persekolahan akan diberi keutamaan setiap kali semester baharu bermula.
Norman atau nama sebenarnya Mohamed Norhakim Zaidon, 37, berkata, dia akan memperuntukkan sejumlah bajet dalam memberi semangat kepada anak-anaknya memulakan sesi persekolahan.
"Selain Hari Raya dan bercuti, persiapan untuk masuk persekolahan juga antara yang perlu diambil kira kerana ia dapat memberi semangat untuk mereka ke sekolah.
"Biarpun ada baju atau kasut yang boleh dipakai lagi tapi kebiasaannya mereka mahu yang baharu untuk ke sekolah. Pada saya itu adalah lumrah bila jadi bapa, keperluan untuk diri kita sudah jatuh nombor tiga dan kita bekerja pun adalah untuk mereka," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran drama Vector 58, di Hotel Royale Bintang, di sini, Selasa.
Jelas Norman, ketiga-tiga anaknya hasil perkahwinan bersama pelakon Abby Abadi iaitu Mohamed Danish Hakim, 10, Marissa Dania Hakim,8, dan Maria Danisha Hakim, 5 sudah bersekolah.
Biarpun sibuk bekerja, dia tidak pernah mengabaikan dan mengambil sikap sambil lewa terhadap kepentingan pelajaran anak-anaknya.
"Mereka bersekolah di sebuah sekolah swasta, kebiasaannya memang sampai petang sebab ada sekolah tahfiz sekali sebelah petang.
"Bagi saya sebagai bapa bukan hanya beri keperluan pendidikan tetapi penting untuk ambil tahu dan bertanya kepada mereka sendiri tentang masalah di sekolah," katanya.
Sementara itu, Norman yang membawa watak bekas perisik dalam drama Vertor 58menganggap cabaran utama adalah untuk berimaginasi bertarung dengan robot.
"Drama ini merupakan lakonan pertama saya yang perlu berimaginasi untuk berlawan dengan sesuatu yang tidak ada depan mata.
"Ia satu pengalaman yang baik untuk saya dan bekerja dengan tenaga produksi baharu yang sangat komited dengan kerja mereka," katanya.
Selain itu, tambah Norman, dia kini sibuk dengan penggambaran drama Gerak Khasmusim baharu.
Vertor 58 akan disiarkan setiap Sabtu bermula 7 Disember pada pukul 5.30 petang di TV9.

'Vektor 58' Bukti Kebolehan Pengarah Tempatan Terhadap Fiksyen

Posted: 03 Dec 2013 10:19 PM PST


Salah satu babak dalam drama Vertor 58.
PETALING JAYA: Pengarah drama Vektor 58, Roshfaizal Ariffin mengakui drama aksi sains fiksyen itu akan mengubah persepsi masyarakat yang sering memandang rendah terhadap kebolehan anak tempatan.
Roshfaizal berkata, drama berkonsepkan makhluk asing dan robot ini digarap dengan penuh ketelitian disamping menitik-beratkan penghasilan terbaik daripada aspek teknik pengimejan berkomputer (CGI).
"Masyarakat negara ini masih lagi tidak yakin tentang drama berkonsep sains fiksyen jika ia dibuat oleh anak tempatan, namun jika orang luar mereka boleh terima.
"Pada saya ia mungkin kerana negara ini masih kurang lagi menghasilkan drama atau filem seperti itu. Saya percaya lama kelamaan masyarakat akan boleh terima genre seperti ini," katanya ketika ditemui pada sidang media pelancaran drama bersiri terbaharu Vertor 58, di Hotel Royale Bintang, di sini, Selasa.
Sebanyak 40 peratus babak robot dalam drama ini menggunakan teknik pengimejan berkomputer
Drama 13 episod ini akan disiarkan pada setiap Sabtu, pukul 5.30 petang bermula 7 Disember ini di TV9.
Tambah Roshfaizal, drama ini turut mengambil masa yang agak panjang dalam proses pembikinannya bagi memberikan hasil terbaik.
"Kami mengambil masa agak lama iaitu sejak 2009 lagi. Ini kerana proses CGI memerlukan ketelitian bukan sesuatu kerja yang mudah.
"Boleh dikatakan 40 peratus drama ini menggunakan teknik CGI dan cabaran utama pada pelakon ialah untuk membayangkan berlakon bersama robot di hadapan mereka," katanya.
Pelakon Ain Satar dalam babak bersama robot yang juga makhluk asing.
Drama ini turut membariskan pelakon seperti Norman Hakim, Fazlina Ahmad Daud, Kamarulzaman Taib, Ain Satar, Ku Mohd Amirul dan Nor Intan Baizura.
Vertor 58 mengisahkan seorang remaja bernama Lia lakonan Ain Satar yang bertemu dengan makhluk asing yang telah hilang ingatan akibat kemalangan semasa mendarat di bumi.
Lia mengambil keputusan untuk membantu mengembalikan semula ingatan makhluk asing tersebut. Makhluk asing yang diberi nama Arif itu turut menjadi buruan beberapa makhluk asing lain yang ingin bertarung dengannya.

Gelaran 'Datuk' bikin peminat seberang terkejut

Posted: 03 Dec 2013 10:17 PM PST

  • RossaRossa

SATU  pengiktirafan yang besar buat artis dari Indonesia, Rossa atau nama sebenarnya Sri Rossa Roslaini Handiyani, apabila menerima pingat Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk daripada Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang ke-83 di Balairung Seri, Istana Abu Bakar, dua minggu lalu.
Pengiktirafan itu sekali gus menjadikan pelantun Ayat- Ayat Cinta itu sebagai artis pertama dari Seberang yang menerima gelaran tersebut.
Malah akui Rossa, berita itu turut memberi kejutan buat seluruh peminat serta media di sana.

"Ramai yang bertanya saya mengenai gelaran itu. Jadi setiap kali bertemu media dan peminat, saya harus menjelaskan kepada mereka.

"Saya sempat berseloroh, gelaran 'Datuk' itu sama seperti penyanyi kesayangan mereka 'Datuk Siti Nurhaliza' dan juga 'Datuk Shiela Majid'.
"Ternyata mereka memang terkejut kerana dalam ramai- ramai penyanyi Indonesia yang mencipta nama di sini, saya yang dipilih menerima anugerah ini," kata penyanyi yang berasal dari Sumendang, Indonesia ini.
Turut menyandang gelaran kebangsawanan di negara kelahirannya, 'Kanjeng Masayu Tumenggung' dari Keraton Surakarta pada tahun 2011, Rossa meluahkan rasa gembira dan bersyukur kerana usaha dan pengorbanannya berulangalik dari Indonesia-Malaysia membawa kejayaan yang besar terhadap karier seninya.
"Semua ini adalah rezeki kurniaan ALLAH SWT dan saya gembira kerana dipilih untuk menerima anugerah ini.
"Ini merupakan pengiktirafan tertinggi dalam hidup yang pernah diberikan kepada saya dan saya amat gembira," kata penyanyi yang berusia 35 tahun ini.
Menyifatkan Malaysia sebagai rumah keduanya, Rossa berazam untuk terus memberi sumbangan dalam industri muzik di negara ini lebih-lebih lagi di negeri Pahang.
"Insya-ALLAH saya akan cuba menguatkan lagi hubungan Indonesia-Malaysia dengan pelbagai agenda muzik selepas ini. Pengiktirafan ini membuatkan saya lebih semangat untuk meneruskan karier dan memperkaya muzik di peringkat Asia," katanya yang merupakan salah seorang daripada 46 penerima gelaran tersebut.

Pilih ahli perniagaan

Tidak terlepas dari kisah peribadinya, bekas isteri kepada pemain drum kumpulan Padi, Yoyo, ini mengakui sedang berteman dengan seorang ahli perniagaan.

Tidak berselindung mengenai hubungan cintanya, Rossa bagaimanapun enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai ahli perniagaan yang dikatakan sedang bertakhta di hatinya itu.

"Saya tak mahu mengulas lanjut, biarlah saya merahsiakannya dulu. Pada masa ini saya masih selesa untuk berkawan sahaja," katanya yang tidak meletakkan sebarang syarat menjalinkan hubungan dengan mana-mana jejaka termasuk yang berasal dari Malaysia.

Menurut Rossa, jejaka itu harus menyayangi dan memahaminya memandangkan dia juga mempunyai anak iaitu Rizky juga perlu diberikan lebih perhatian.

"Saya tidak serik untuk kembali berumah tangga. Tapi saya tidak mahu terburu-buru ke arah itu.

"Saya juga tidak mahu terlalu mencanangkan kisah cinta kami. Cukuplah sekadar saya mengaku hati sudah berpunya. "Kita tunggu "Insya-ALLAH, jika ada jodoh, saya akan maklumkan pada semua," katanya yang ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri Bukan Kerna Aku Tak Cinta, baru-baru ini.


 'Perap' dua tahun

Beralih mengenai perkembangan seninya, Rossa kini mempertaruhkan lagu terbaru nyanyiannya bersama Hafiz Suip, Salahkah yang dijadikan sebagai tema untuk drama Astro Mustika, Bukan Kerana Aku Tak Cinta.
Bukan sahaja merangkap sebagai penyanyi, Rossa turut diberi kepercayaan memilih lagu sendiri.

"Sebaik saja mendapat tawaran tersebut, saya terlebih dahulu meminta skrip drama itu.

"Bila saya sudah memahami jalan ceritanya, barulah saya terus ingatkan lagu ini.

"Lagu ini dah dua tahun saya simpan dan sepatutnya saya berduet dengan Anuar Zain. Tapi nampaknya, ia lebih sesuai di jadikan  lagu tema drama ini," katanya yang memuji lagu ciptaan Charly dari kumpulan Setia Band itu.

Menurut pelantun lagu Atas Nama Cinta Ini, walaupun sudah dua tahun terperap, namun dia yakin lagu tersebut masih relevan digunakan untuk drama tersebut.

"Masing-masing, (Rossa dan Anuar) sibuk dan tidak sempat untuk merakamkannya

"Mungkin selepas ini saya harus mencari lagu lain untuk duet bersama Anuar," kata Rossa yang menyimpan hasrat dan menunggu masa sesuai untuk merakam lagu bersama penyanyi versatil itu.

Puji Hafiz

Dalam pada itu, Rossa turut memuji kemampuan Hafiz membawakan lagu 'Salahkah' itu. Selain memiliki vokal yang mantap, Rossa berkata, Hafiz juga memiliki penghayatan yang sangat baik.
Jelas Rossa, penghayatan yang diberikan Hafiz sama seperti yang didengarnya melalui lagu Muara Hati dan Ombak Rindu yang digandingkan dengan Datuk Siti Nurhaliza dan Adira sebelum ini.

"Ini kali pertama saya bekerjasama untuk lagu tema di Malaysia dan saya sangat kagum dengan Hafiz yang berjaya meraih pelbagai kejayaan dalam bidang muzik.

"Dia bukan saja dapat menyanyikan lagu itu dengan baik, bahkan dia juga mampu memberikan penghayatan serta penceritaan terhadap lagu tersebut," kata Rossa yang tidak menolak untuk bekerjasama lagi dengan artis kelahiran Akademi Fantasi itu.

Sedikit mengenai Bukan Kerana Aku Tak Cinta, drama bersiri terbitan Pena Creative Pictures Sdn Bhd, arahan Jamal Khan ini bakal bersiaran selama 60 episod di Astro Mustika HD, secara eksklusif bermula 9 Disember ini. Drama ini menggandingkan Sharnaaz Ahmad dan Nelydia sebagai peneraju utama.

Peraih temui durian unik

Posted: 03 Dec 2013 10:10 PM PST

  • Peraih temui durian unikMohammad Nayan menunjukkan buah durian aneh yang ditemuinya, semalam.

TELUK INTAN - Seorang peraih buah durian di Simpang Tiga Kampung Belt, Sungai Manik, terkejut apabila menemui sebiji durian aneh, petang semalam.

Mohamad Nayan Samad, 51, berkata, dia sudah  berniaga durian lebih 10 tahun dan kejadian itu adalah kali pertama menjumpai buah yang mempunyai isi di bahagian tengah.

Menurutnya, keanehan durian itu mendapat perhatian seorang pelanggan.

"Secara kebetulan, ketika itu ada pelanggan sedang memilih buah  dan sanggup membelinya dengan harga RM200.

"Namun, saya  tidak berniat untuk menjualnya kerana menganggap ia sebagai durian unik dan sukar ditemui," katanya.

Guru besar ceburi bidang ternakan lebah kelulut

Posted: 03 Dec 2013 10:08 PM PST

  • Guru besar ceburi bidang ternakan lebah kelulutOthman menunjukkan kotak ternakan lebah madu kelulut yang diusahakannya.

BIDOR - Bermodalkan RM2,800, seorang guru besar sebuah sekolah di sini, bersama rakan kongsinya mengusahakan ternakan lebah kelulut.

Othman Md Ali, 56, berkata, dia tertarik untuk menternak lebah itu setelah diberikan sebotol madu lebah kelulut oleh seorang rakan yang merupakan usahawan menternak lebah bagi mengubati penyakit batuk dihidapinya.

Menurutnya, setelah beberapa hari minum madu itu, batuk yang dialami beransur  sembuh.

"Saya terus tertarik untuk menjadi usahawan lebah kelulut dan sebagai permulaan saya bersama rakan kongsi menternak serangga itu di dalam tujuh kotak.
"Kini kami mempunyai 300 kotak yang mampu menghasilkan kira-kira 40 kilogram sebulan," katanya.

Othman berkata, madu berkenaan dijual dengan harga RM150 sebotol dan pendapatan diterima setiap bulan adalah antara RM5,000 hingga RM6,000.

"Madu ini dijual di pekan Bidor kepada rakan dan peminat madu lebah kelulut yang kini menjadi pelanggan tetap.

"Saya menjalankan perusahaan ini sendiri tanpa bantuan mana-mana agensi kerajaan atau swasta tetapi kini saya berusaha mendapatkan khidmat nasihat Fama, Jabatan Pertanian, Sirim, Mardi dan  Jabatan Perdagangan  Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna Korporat," katanya.

10 premis makanan terima gred A

Posted: 03 Dec 2013 10:01 PM PST

  • 10 premis makanan terima gred AMahendra (berdiri, lapan kiri) bersama pengusaha premis makanan daerah Lipis pada Majlis Pelancaran Program 1Daerah 1Lokaliti.

KUALA LIPIS - Sebanyak 10 daripada 25 premis makanan di daerah ini berada dalam keadaan bersih telah diberikan gred A berdasarkan pemeriksaan yang dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pahang.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Keselamatan dan Kualaiti Makanan Jabatan Kesihatan negeri, Mahendra Abdul Manaf berkata, hasil pemeriksaan itu juga sebanyak 15 premis makanan telah diberikan gred B.

"Berdasarkan pada statistik dan pemeriksaan yang kita lakukan, 10 premis telah berjaya memperoleh markah melebihi 90 sekali gus melayakkan mereka memperoleh gred A.

"Bagi premis yang mendapat kategori B, bukanlah bermakna ia kekal sebaliknya boleh diteruskan ke tahap yang lebih baik jika pembersihan dilakukan berterusan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Program 1 Daerah 1 Lokaliti ke Arah Premis Makanan Gred A dan Halal @ Lipis di Dewan Residen di sini, kelmarin.

Hadir sama Penolong Pengarah Unit Pengurusan Halal Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Noridzuan Abd Manan; Ketua Cawangan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepeng-gunaan (PPDNKK) Jerantut, Che Hanafi Mamat dan wakil Pegawai Kesihatan daerah, Mohd Maher Ibrahim.

Mahendra berkata, daripada 25 premis berkenaan juga sebanyak 9 buah premis memiliki sijil halal sah yang semuanya dikeluarkan Jaip.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan pengusaha makanan di negeri ini mengubah mentaliti dalam memajukan perniagaan, termasuk keperluan memiliki sijil halal dalam perniagaan mereka.

"Ketika ini, kebanyakan pengusaha tidak berminat untuk memiliki sijil halal dengan alasan hanya melakukan perniagaan kecil dan selaku orang Islam, produk mereka tidak harus diragui," katanya.

Menurutnya, ini secara tidak langsung akan merugikan mereka sedangkan pengusaha lain, terutamanya dari kalangan bukan bumiputera sanggup bersaing untuk mendapatkan sijil halal demi memantapkan perniagaan dengan berusaha memenuhi segala kriteria.

"Justeru, saya mahu pengusaha-pengusaha ini (kaum Melayu) sentiasa memandang ke depan jika ingin maju dalam perniagaan mereka.

"Mungkin hari ini mereka hanya berniaga di sekitar kawasan kampung dan negeri ini namun, siapa tahu suatu hari nanti produk mereka mampu menembusi pasaran luar negara," katanya.

10 kerani bank dakwa tertekan

Posted: 03 Dec 2013 09:56 PM PST

  • 10 kerani bank dakwa tertekanMohd Affendi (tiga, kiri) mewakili kakitangan bank menyerahkan memorandum kepada Ahmad (empat, kiri), kelmarin.

KOTA BHARU - Seramai 10 kerani salah sebuah bank di Jalan Sultan Yahya Petra dan cawangannya di Jalan Padang Garong, di sini mengalami tekanan setelah mendakwa mereka dipaksa berpindah ke negeri lain tanpa mengikut perjanjian.

Pengerusi Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) Cawangan Kelantan,  Mohd Affendi Husain, berkata, ada dalam kalangan mereka sudah bekerja dengan bank berkenaan sejak penubuhan bank di negeri ini 17 tahun lalu.

"Kami mengambil kata sepakat membawa isu ini kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob bagi memaklumkan perkara ini dan mengharapkan beliau dapat bertindak sebagai perantara terhadap permasalahan ini.

"Pemindahan tempat kerja ini dipanggil 'penghuban dan pemusatan' untuk memusatkan  operasi pungutan kepada tiga lokasi di Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Johor Bahru.

"Disebabkan penghuban dan pemusatan ini, 10 daripada 50 pekerja kerani bank dari seluruh negara ditukarkan lokasi, malah mereka terpaksa meninggalkan keluarga dengan kos sara hidup tinggi, berpindah jauh dari tempat asal, sedangkan di dalam perjanjian (CA), pertukaran tidak boleh dilakukan tanpa persetujuan pekerja itu," dakwanya semasa Majlis Penyerahan Memorandum Kakitangan Bank di pejabat Menteri Besar, di sini, kelmarin.

Beliau mendakwa, kakitangan terbabit pernah diberi taklimat pada Februari lalu dan surat pertukaran lokasi diberikan pada Jun lalu, namun ia ditangguhkan kepada September.

Bagaimanapun, kata beliau, penangguhan dilakukan sekali lagi pada November lalu dan terkini surat diberikan pada 27 November lalu yang mengarahkan mereka supaya melaporkan diri pada 2 Disember ini (kelmarin), namun mereka masih enggan berpindah.

"Kami pernah membawa masalah ini kepada Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia, Kementerian Sumber Manusia dan bantahan pernah dilakukan dengan 500 ahli NUBE turun berpiket di wisma bank tersebut di Kuala Lumpur," katanya.

Sementara itu, Ahmad berkata, kerajaan Kelantan bersimpati dengan apa yang berlaku kepada kakitangan bank tersebut dan akan mengambil tahu mengikut keupayaannya.

"Kita simpati di mana perkara seperti ini hendaklah dibincangkan dan ada persatuan untuk kebaikan kedua-dua pihak memandangkan bank adalah institusi kewangan serta tempat mencari rezeki.

"Kebajikan dan kepentingan pekerja harus diutamakan dan saya mengharapkan masalah ini dapat diselesaikan sebaik mungkin," katanya.

Formula tiga cerita Kolumpo

Posted: 03 Dec 2013 09:32 PM PST


KARYAWAN yang terlibat dengan pembikinan filem Kolumpo bergambar selepas usai tayangan perdana filem tersebut di e@Curve, Mutiara Damansara, Selangor minggu lalu.


FILEM Sepi dan Cinta arahan Kabir Bhatia sebelum ini pernah menggunakan format tiga cerita dalam satu filem. Tradisi itu kini diteruskan oleh tiga pengarah yang bergabung tenaga menghasilkan filem antologi yang diberi judul Kolumpo.
Kisah tiga rumpun masyarakat berbeza iaitu Melayu, Cina dan imigran India yang ditonjolkan oleh Bront Palarae, Sheikh Munasar dan Rozi Izma selaku pengarah bertiga secara dasarnya memerlukan pemikiran selari untuk menjalinkan tiga kisah berbeza.
Hal itu diakui sendiri oleh Bront yang baru pertama kali mengarahkan sebuah filem pendek. Bront menghasilkan kisah kelompok imigran dari India yang berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mencari rezeki.
"Kolumpo dihasilkan menerusi sebuah perbincangan dan demokrasi terpimpin antara tiga pihak iaitu saya, Sheikh Munasar dan Rozi Isma yang masing-masing sudah mempunyai tema serupa iaitu kisah berkaitan kota raya Kuala Lumpur.
"Jadi, saya merasakan adalah lebih baik untuk kami menggabungkan ketiga-tiga kisah menarik itu untuk diterjemahkan dalam bentuk filem. Maka, terhasil Kolumpo yang telah dibikin dua tahun lalu," ujarnya yang ditemui di majlis pratonton filem Kolumpo di e@Curve, Mutiara Damansara, Selangor minggu lalu.
Tambah Bront, uniknya Kolumpo kerana filem itu memberikan jiwa dari sudut golongan marhaen yang menetap di Kuala Lumpur.
Kisah imigran India dijayakan berkesan oleh pelakon utamanya, Ezad Jazmin yang melakonkan watak Rahul bersama pelakon legenda, Mano Maniam dan Radhi Khalid.
Sementara itu, kisah pergolakan perasaan seorang gadis Cina terhadap kehidupan peribadi dan keluarganya dipertontonkan oleh karakter Gienna yang dilakonkan oleh Nell Ng berpadu tenaga dengan lakonan wanita penghidap Alzhemier, Nek Wok, lakonan Ruminah Sidek.
Kisah ketiga pula dijayakan oleh kolaborasi pelakon baharu, Amirul Ariff bersama Sharifah Amani yang menceritakan perubahan landskap hidup seorang remaja lelaki yang bergelut dengan identiti dirinya sendiri.
Kata Sheikh Munasar, penggambaran filem Kolumpo yang mengambil masa lebih tiga minggu itu tidak berdepan kekangan memandangkan proses praproduksi telah dilaksanakan terlebih awal.
"Kami bertiga sudah lama kenal antara satu sama lain dan setiap peringkat kami akan berbincang untuk seimbangkan jalan cerita malah kami tidak sentiasa memandang serius sudut teknikal dan elemen-elemen kecil yang sering diabaikan apabila membikin filem," jelasnya.
Malah, ketiga-tiga pengarah turut menitik beratkan faktor sensitiviti apabila filem itu membabitkan tiga kaum berbeza iaitu Melayu, Cina dan India.
"Filem Kolumpo memerlukan pembabitan berbilang bangsa jadi kami perlu menggunakan dialog yang relevan. Setiap seorang antara kami akan memantau satu sama lain agar tidak terlepas pandang perkara-perkara yang boleh mendatangkan isu kemudian hari," tambahnya.
Kolumpo terbitan Grand Brilliance Sdn. Bhd. turut membabitkan beberapa penampilan khas antaranya Sofi Jikan, Sabri Yunus, Rosnah Mat Aris, Azhan Rani, Nadia Aqilah, Sara Ali, Farid Kamil, Remy Ishak dan Namron.
Filem itu akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula esok.


Menangis mengenangkan pekerjaan lama

Posted: 03 Dec 2013 09:29 PM PST



KENANGAN lama yang menerjah masuk di kotak fikiran, mengalirkan isyarat pada hati dan seterusnya menyebabkan air mata pelakon jelita Christina Suzanne tumpah tatkala ditemu bual media usai menggenggam trofi kemenangan sebagai Pelakon Wanita Terbaik Filem (menerusi filem KIL) pada Anugerah Skrin 2013 (ASK2013) minggu lalu.
Bukan satu kemenangan kecil tetapi Christina berjaya mengetepikan nama-nama besar seperti Nora Danish (Mencari Cinta), Nadia Aqilah (Zaiton Ceritaku), Lisa Surihani (SAM) dan Jojo Goh (29 Februari) untuk dinobatkan sebagai terbaik pada majlis yang bersiaran secara langsung di Stadium Melawati, Shah Alam, Selangor itu.
Hakikatnya, pelakon berusia 27 tahun itu juga tidak menyangkakan kemenangan tersebut. Dia juga tidak pernah meletakkan dirinya sebagai artis kerana beranggapan lakonan adalah satu cabang pekerjaan untuk dirinya memperoleh pendapatan.
"Saya menangis sebab teringat pekerjaan lama saya. Saya pernah bekerja di pusat komputer (cyber cafe), menjadi pelayan dan juga pramugari.
"Mungkin ramai yang fikir jadi pramugari satu pekerjaan yang glamor seperti berlakon tetapi sebenarnya tidak. Saya kena buat macam-macam termasuk mencuci tandas kapal terbang," ujarnya sambil mengesat air mata yang tumpah.

CHRISTINA memberitahu, selepas dinobatkan sebagai Pelakon Filem Wanita Terbaik dalam ASK 2013, banyak pihak mula memberi perhatian kepadanya.


Dia kemudia menambah: "Mengingatkan kembali perkara itu membuatkan saya rasa sebak. Lebih-lebih lagi dengan apa yang saya dapat sekarang. Saya tidak meletakkan harapan untuk menang sebabnya saya tercalon dengan empat pelakon yang sudah lama dalam industri. Tambahan pula, filem KIL juga tidak mendapat sambutan yang begitu menggalakkan pada saat ia ditayangkan".
Bagaimanapun, dia gembira dan bersyukur hasil kerjanya dan juga filem tersebut diiktiraf pengiat seni tempatan.
Christina yang bakal berkahwin pada 22 Januari 2014 itu juga mengakui terkejut mendapat perhatian luar biasa selepas namanya diumumkan sebagai pemenang. Sedangkan, selama ini dia tidak pernah meraih perhatian sebegitu, malah tidak pernah berasakan diri sebagai selebriti.
"Tiba-tiba orang beri perhatian pada saya. Sebelum ini tidak ada siapa yang peduli tentang saya," jelasnya yang mula dikenali menerusi program realiti terbitan Datuk Rosyam Nor iaitu Pilih Kasih musim kedua.
Watak pembantu
Biarpun tidak berjaya masuk ke peringkat akhir program tersebut, rezeki Christina dalam bidang lakonan tetap ada selepas disunting oleh pengarah Erma Fatima membintangi drama Dia Bukan Maryam.
"Saya bermula dengan watak-watak pembantu agak lama. Namun, selepas itu saya memperoleh kepercayaan membawakan watak utama pula dalam drama Bicara Hati dan KIL," ulasnya.
Disoal sama ada kemenangannya itu disebabkan rezeki perkahwinan yang bakal berlangsung tidak lama lagi, Christina mengakui hakikat tersebut.
Ungkapnya, kahwin adalah benda yang baik dan dituntut dalam Islam, dan dia percaya rezeki yang dianugerahkan Allah itu kepadanya.
UJAR Christina, sikap demand dirinya bergantung kepada khidmat tawaran yang diberikan.


Hadiah buat ibu
Pelakon berasal dari Johor Bahru itu juga memberitahu, dia ingin menghadiahkan kemenangannya tersebut buat ibunya.
Semuanya kerana berkat sokongan dan kata-kata nasihat yang diberikan ibunya.
"Saya mahu hadiahkan kemenangan ini pada ibu. Sewaktu saya beritahu dia ingin terlibat dalam bidang seni, dia pesan agar saya pandai menjaga diri. Jangan ada gosip bukan-bukan.
"Tetapi, bila saya mula berlakon, kami sudah jarang sekali berbual bersama. Kadang-kadang saya balik penggambaran ibu sudah tidur dan kadang-kadang ibu hendak bersembang saya sudah penat dan tidak begitu mengendahkannya.
Namun, keesokannya saya akan meminta maaf padanya (ibu) kerana bersikap macam itu," ceritanya lagi.
Mengulas mengenai bayaran yang akan dikenakan selepas beroleh kemenangan tersebut, Christina menolak untuk bersikap demanding.
Katanya, perkara itu bergantung pada berapa lama masa penggambaran yang diambil atau jika memerlukannya berlakon di luar negara.

Lelaki tabur wang kertas ditangkap

Posted: 03 Dec 2013 09:23 PM PST


PULUHAN keping wang kertas bertaburan di atas pentas ketika sebuah kumpulan membuat persembahan di pasar raya Mall of America di Bloomington pada Jumaat lalu. Gambar kanan Vorobyov.


BLOOMINGTON, Amerika Syarikat - Seorang lelaki, Serge Vorobyov menaburkan puluhan keping wang kertas berjumlah AS$1,000 (RM3,215) dari tingkat empat pasar raya Mall of America di sini pada Jumaat lalu.
Dia kemudian ditangkap polis dan didakwa melakukan perbuatan yang tidak senonoh kerana tindakannya itu boleh menyebabkan orang ramai cedera kerana merebut wang tersebut.
Vorobyov turut menyiarkan rakaman video yang menunjukkan dia membuang wang itu.
Lelaki berkenaan memberitahu di laman sosial itu bahawa dia kini dilanda krisis perceraian dengan isterinya menyebabkan perbuatan tersebut dilakukan.
Vorobyov menganggap nasibnya pada tahun depan akan bertambah baik selepas dia membuang wang itu ketika sebuah band sedang membuat persembahan.
Lelaki itu yang berusia 29 tahun menyatakan tujuannya berbuat demikian untuk mewujudkan perasaan gembira dalam kalangan orang ramai.
Selain bercerai, dia juga gagal dalam perniagaan mengangkut kereta dengan trak.
Dia turut menyatakan perasaan gembiranya dengan perbuatannya itu.
Ketika menceritakan tentang perceraian itu, lelaki berkenaan memberitahu: "Saya tidak mempunyai banyak wang untuk membeli banyak barang. Saya kini mengharungi perceraian yang dahsyat. Dia (isterinya) turut mengambil kucing kami. Dia enggan memberitahu di mana kucing itu kini."
Polis berkata, Vorobyov melakukan perbuatan itu sebagai salah satu cara untuk memujuk bekas isterinya kembali kepadanya.


Pengunjung buta dibenarkan sentuh artifak

Posted: 03 Dec 2013 09:21 PM PST


SEORANG pemuda cacat penglihatan menyentuh sebuah pasu yang terdapat di Muzium Penn.


PHILADELPHIA, Amerika Syarikat - Para pengunjung buta dibenarkan memegang artifak-artifak yang dipamerkan di Muzium Penn di sini sejak bulan lalu.
Program khas itu membenarkan golongan tersebut merasa dengan tangan artifak yang berusia ribuan tahun seperti keranda pada zaman firaun.
Tujuan kebenaran itu diberikan adalah untuk membantu para pengunjung buta mengalami pengalaman yang sama seperti manusia normal.
Sebelum ini, para pengunjung buta tidak dibenarkan menyentuh artifak yang dipamerkan itu.


Cara baharu tarik pembaca

Posted: 03 Dec 2013 09:19 PM PST



BEROPERASI sejak 15 tahun lalu, Readers Paradise di Ampang Point, Ampang, Selangor menjadi tumpuan warga kota untuk mendapatkan bahan-bahan bacaan.
Gedung tersebut menawarkan perkhidmatan sewaan buku dan antara judul buku yang banyak disewa oleh para pembaca ialah novel berbahasa Melayu dan Inggeris.
Dengan keadaan kedai yang semakin sempit dengan 20,000 buah buku pelbagai judul itu, pemiliknya, Khadijah Abdul Hamid, 54, menjadi tidak keruan. Apabila pembaca memulangkan buku-buku yang dipinjam, tiada ruang untuk menyimpan buku-buku itu.
Ditambah pula, setiap keluaran terbaharu novel tempatan dan antarabangsa, Khadijah akan membeli lima buah buku judul yang sama untuk diletakkan di kedainya bagi memenuhi permintaan pelanggan.
Lambakan buku di kedainya menyebabkan Khadijah berusaha sedaya-upaya mencari jalan untuk melupuskan buku-buku yang masih baik itu.
"Saya mula menyertai Jualan Buku But Kereta Perbadanan Kota Buku (PKB) di Perpustakaan Negara, Kuala Lumpur sejak enam bulan lalu. Sepanjang acara ini, sambutan daripada pengunjung di gerai Readers Paradise amat menggalakkan," ujarnya ketika ditemui semasa jualan buku but kereta anjuran PKB baru-baru ini.
Menurut Khadijah, acara tersebut merupakan platform terbaik untuknya menjual judul novel baharu dan lama kepada pembaca.
Tanpa memerlukan meja, Khadijah yang dibantu oleh anaknya yang hanya meletakkan kira-kira 200 judul novel di atas karpet dan tikar di belakang but kereta miliknya.
Setiap novel dijual pada harga RM5 dan kebanyakan pelanggannya terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat yang minat membaca.
Walaupun murah jika dibandingkan dengan harga pasaran, novel yang dijual masih dalam keadaan baik tanpa sebarang cacat cela. Setiap buku dibalut dengan plastik bagi menjamin kualiti untuk dijual kepada pembaca.

KHADIJAH menunjukkan beberapa judul novel klasik yang dijual di gerai Readers Paradise.


"Selain menjual buku, saya juga berpeluang memberi maklumat mengenai gedung Readers Paradise kepada pembaca. Saya juga akan memberi cadangan kepada pembaca mengenai judul-judul novel yang bersesuaian dengan minat dan umur mereka.
"Kebanyakan pembaca yang hadir ke program ini meminati novel-novel bahasa Melayu. Ada yang mencari naskhah daripada penulis terkenal, tidak kurang pula yang meminati karya penulis baharu. Pembaca mempunyai banyak pilihan novel sepanjang acara ini berlangsung," jelasnya.
Antara nama penulis novel lama dan baharu yang menjadi pilihan pembaca pada jualan buku but kereta Readers Paradise ialah Sharifah Abu Salim, Abdul Rahim Awang dan Siti Rosmiza.
Tambah pendapatan
Menurut Khadijah, novel lama bertajuk Pulang dan Boneka hasil nukilan Abdul Rahim Awang merupakan antara judul yang mendapat perhatian mereka yang meminati karya penulis itu.
Beliau berjaya mengurangkan jumlah buku di kedainya selain dapat menambah pendapatan sehingga RM300 sepanjang menyertai program tersebut.
"Selain menjual, saya dan rakan-rakan peniaga lain bertukar-tukar membeli buku antara satu sama lain. Suasana itu berbeza dengan perniagaan di kedai.
"Urus niaga di kedai berlangsung antara pelanggan dan pembaca. Tetapi di sini, saya dapat bertukar-tukar pendapat mengenai industri buku walaupun kami bukanlah penerbit buku di syarikat penerbitan," ujarnya.
Readers Paradise menjadi tumpuan penggemar buku terpakai di acara itu. Pada harga yang murah, pembaca dapat membeli lebih sebuah novel lama dan baru untuk dibawa pulang.
Selain Readers Paradise, dianggarkan sebanyak 15 buah kereta terlibat dengan acara bulanan PKB itu.
Jualan Buku But Kereta PKB dianjurkan sejak setahun lalu dengan menjadikan kawasan tempat letak kenderaan Perpustakaan Negara sebagai lokasi utama.
SETIAP urus niaga di Jualan Buku But Kereta anjuran PKB dijalan secara santai bagi memudahkan peniaga dan pembeli.


Pembacaan puisi
PKB juga tidak mengenakan sebarang caj untuk tapak perniagaan kepada peniaga yang ingin membuka gerai di situ. Aktiviti yang dianjurkan pada setiap hujung bulan ini juga merupakan matlamat terbesar PKB iaitu sebagai pusat sehenti bagi menghimpunkan kegiatan industri buku yang melibatkan pembaca, penulis dan penerbit.
Acara pembacaan puisi daripada pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi dan penggiat seni tempatan juga merupakan pengisian yang mewarnai sepanjang acara itu.
Seorang pengunjung, Mohd. Nazim Abdul Aziz, 41, memberitahu, acara Jualan Buku But kereta merupakan platform terbaik untuk memupuk minat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia.
Menurut kakitangan awam di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang yang sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Terbuka Malaysia itu, dia amat gembira dengan usaha yang dilakukan oleh pihak PKB dalam usaha untuk memberi ilmu mengenai industri penerbitan tempatan.
"Kunjungan saya ke Perpustakaan Negara untuk mengadakan perbincangan pelajaran dengan rakan-rakan lain. Jualan Buku But Kereta ini telah menarik perhatian saya dan keluarga. Di sini, saya juga berpeluang membeli pelbagai judul novel dan buku-buku lain untuk anak-anak.
"Saya jarang mendengar dan mengunjungi acara-acara seperti ini. Kebiasaannya, saya akan membawa keluarga terus ke kedai-kedai buku. Bagi saya, acara ini merupakan cara baharu untuk menarik pembaca membeli buku lebih-lebih lagi di Perpustakaan Negara ini," ujarnya yang berasal dari Kuantan, Pahang.
Menurutnya, kepelbagaian bahan bacaan seperti buku-buku agama, novel, rujukan kanak-kanak dan buku terpakai yang dijual semasa acara itu merupakan tarikan utama untuk pengunjung di acara itu.
Sementara itu, seorang lagi peserta yang terlibat dalam Jualan Buku But Kereta PKB, Siti Aminah Mohd. Said, 35, berkongsi cerita, setiap buku yang dijual akan diberi potongan harga sehingga 20 peratus sepanjang acara itu.
Menurut pemilik penjual buku menerusi akaun Facebook, Al-Qawwiy Online Bookshop itu, diskaun itu merupakan tawaran istimewa hanya kepada pengunjung di acara tersebut.

WAKIL daripada syarikat penerbitan mendeklamasikan sajak dan puisi dengan penuh semangat sekali gus menarik perhatian pengunjung.


Promosi karya
"Sepanjang tiga bulan saya menyertai acara ini, saya membawa kira-kira 200 buah buku untuk dijual dan kebanyakan habis dijual. Jualan Buku But Kereta merupakan satu langkah bijak PKB untuk membantu penjual buku mempromosikan hasil karya penulis tempatan," ujarnya.
Antara novel daripada syarikat penerbitan yang dijual oleh Al-Qawwiy Online Bookshop di acara itu ialah Fajar Pakeer, Kaki Novel, Idea Kreatif, Lovenovel dan Buku Fixi.
Kebiasaannya, kereta Perodua Kelisa biru miliknya merupakan pengangkutan utama untuk membawa ratusan novel itu ke Jualan Buku But Kereta.
Menurutnya, kombinasi pelbagai judul buku dan syarikat penerbitan tempatan yang dijual mampu memberikan gambaran bahawa industri buku di negara ini kepada pengunjung.
"Menerusi acara ini, pengunjung sering bertanya mengenai buku-buku keluaran terbaharu kepada saya. Kebanyakan daripada mereka membeli dan merupakan peminat buku-buku tempatan. Acara ini juga merupakan medan perkongsian ilmu sesama insan," ujarnya yang turut dibantu oleh suami, Abdul Halim Mamat, 35.
Antara judul buku yang dijual oleh Al-Qawwiy Online Bookshop yang mendapat permintaan hangat daripada pengunjung ialah Awek Pisang Goreng, Lafaz Cinta Di Jari Manis Isteri Untuk Disewa dan Suamiku Mr. Blind.


Denmark negara paling bahagia

Posted: 03 Dec 2013 09:18 PM PST

GEOGRAFI Denmark kini adalah kesan peperangan kira-kira 400 tahun lalu.


MEREKA adalah rakyat yang paling banyak berhutang di dunia, hidup dalam persekitaran musim sejuk yang gelap dan berpanjangan serta mempunyai jangka hayat hidup yang lebih pendek berbanding beberapa negara Mediterranean.
Bagaimanapun sejak empat dekad lalu, rakyat Denmark secara berturut-turut meletakkan diri mereka sebagai rakyat paling bahagia di muka bumi ini.
Warga asing yang menetap di negara itu mempunyai beberapa teori mengapa negara itu sentiasa gembira. Ia termasuklah polisi yang menyamaratakan, kekayaan sejarah dan sikap yang lebih mudah berpuas hati berbanding masyarakat lain.
"Anda boleh menjadi seorang ahli politik yang berstatus tinggi atau pengarah di sini walaupun kamu hanya golongan orang biasa," kata Josephine Hoegh, seorang wanita dari Filipina yang berpindah ke negara Scandinavia itu sejak empat dekad lalu.
Berpuas hati
Bagaimanapun, rakyat negara itu lebih keliru dengan dakwaan kebahagiaan mereka yang adakalanya dirujuk sebagai satu jenaka kerana pada hakikatnya keadaan tidak seindah yang digambarkan, apabila Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi melaporkan mereka merupakan pengguna ketiga terbesar antikemurungan dalam kalangan Kesatuan Eropah.
Denmark memegang gelaran negara paling bahagia di dunia bermula pada tahun 1973, apabila satu kaji selidik Kesatuan Eropah mendapati rakyatnya berpuas hati dengan kehidupan mereka berbanding beberapa penduduk negara lain.
Pada tahun ini, negara itu mendahului senarai Laporan Kebahagiaan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sungguhpun ia berhadapan dengan krisis ekonomi yang paling buruk dalam sejarah selepas Perang Dunia Kedua.
Dalam kajian tahunan itu, responden telah diminta untuk menilai keadaan kehidupan mereka dari skala sifar ke-10, iaitu angka tertinggi melambangkan keadaan terbaik. Denmark mencapai mata purata 7.693.
"Salah satu perkara terpenting yang membuatkan rakyat Denmark gembira ialah jaminan hidup dan negara ini mempunyai jaminan kewangan yang tinggi," kata Meik Wiking, Pengarah Institut Penyelidikan Kebahagiaan sebuah kumpulan pemikir Denmark yang sentiasa berusaha meningkatkan kualiti kehidupan rakyatnya sama ada di dalam atau luar negara.
DENMARK adalah negara yang perlu melalui tempoh musim sejuk yang amat panjang.


Contohnya, kata beliau, terdapat sokongan sekiranya rakyat negara itu kehilangan pekerjaan, kewujudan hospital lengkap yang memberikan rawatan apabila sakit dan sebagainya.
Walaupun Denmark mencatatkan jumlah cukai paling tinggi daripada keseluruhan ekonomi di dunia, tetapi rakyatnya menghargai jaringan jaminan sosial yang dapat mereka nikmati sebagai pulangan, termasuk subsidi penjagaan kanak-kanak dan insurans pengangguran yang memberi jaminan 80 peratus pendapatan untuk tempoh dua tahun sekiranya mereka kehilangan pekerjaan.
Kebajikan rakyat
Sungguhpun kerajaan terpaksa mengurangkan beberapa manfaat rakyat, termasuk geran pelajar dan insurans pengangguran selama empat tahun, tetapi Denmark masih muncul sebagai antara negara yang paling baik dalam menjaga hal-hal kebajikan rakyat berbanding negara-negara lain.
Mengulas lanjut, Wiking berkata, teras kedua kebahagiaan ialah tahap kepercayaan yang tinggi antara masyarakat walaupun terhadap individu yang tidak dikenali.
Katanya, ia boleh disebabkan oleh kesan sampingan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan yang dikuatkan dengan isu rasuah yang rendah.
"Kami percaya institusi demokrasi yang diamalkan melindungi kami dan kerajaan mahukan yang terbaik untuk rakyat," ujar beliau.
Polisi kebajikan Denmark tidak begitu berbeza berbanding negara-negara Nordic lain, tetapi tinjauan-tinjauan yang dilaksanakan mendapati negara itu mencatatkan angka tertinggi berbanding negara jiran dalam aspek hubungan sosial.
"Masyarakat Denmark lebih bersifat padu dalam hubungan sosial yang kukuh berbanding negara-negara Scandinavia lain," jelas Wiking.
Negara itu juga mempunyai bilangan pertubuhan dan kelab yang banyak dengan keahlian sering kali menjangkaui batasan kelas. Misalnya, di sebuah kelab catur, seorang ketua eksekutif syarikat boleh bermain dengan seorang pekerja kedai biasa.
Satu lagi penjelasan mengenai tahap kesejahteraan rakyat itu boleh ditemui dalam lipatan sejarah.
Denmark merupakan sebuah kuasa besar Eropah antara abad ke-13 dan 17. Namun laman web rasmi negara itu menyatakan saiz dan pengaruh yang dikecapi hari ini merupakan hasil paksaan pelepasan tanah, peperangan dan kekalahan di medan tempur kira-kira 400 tahun lalu.
Selain itu, Yayasan Rockwool menyatakan bahawa secara purata rakyat negara itu hanya bekerja selama 33 jam seminggu.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines