Batu Gajah: Seorang remaja wanita yang bekerja sambilan di sebuah resort, di sini, terkejut dan ketakutan apabila punggung serta payudaranya diramas secara tiba-tiba oleh seorang rakan sekerja, ketika leka membasuh pinggan.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang Ahad lalu itu, mangsa, 19, menjerit dan melarikan diri, sebelum meminta bantuan daripada seorang pengurus resort yang membantu mangsa membuat laporan polis.
Ketua Polis Daerah Batu Gajah Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abd Latif berkata, siasatan mendapati, suspek adalah warga Myanmar yang juga rakan sekerja mangsa, manakala mangsa pula adalah remaja tempatan yang bekerja sambilan sebagai tukang cuci di resort terbabit setiap kali ada majlis dijalankan di premis terbabit.
“Berdasarkan laporan, mangsa mendakwa dicabul oleh seorang warga asing, apabila rakan sekerja bertindak memegang punggung dan meramas payudara mangsa ketika dia sedang membasuh pinggan.
“Sebaik dicabul, mangsa bertindak menjerit serta menepis tangan suspek, sebelum melarikan diri dan berjumpa dengan seorang pengurus untuk memaklumkan kejadian itu dan membuat laporan polis,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Menurutnya, susulan itu, polis melakukan tangkapan terhadap seorang lelaki yang dipercayai melakukan perbuatan cabul terbabit keesokannya di kawasan resort sama.
“Lelaki terbabit yang berusia 27 tahun yang dikenali Jasim itu, kini direman dan disiasat mengikut Seksyen 354, Kanun Keseksaan kerana mencabul.
“Suspek juga mempunyai status pelarian Pesuruhjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNCHR),” katanya.
Shaharon berkata, suspek dijangka didakwa di mahkamah esok dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat.