Isnin, 16 Disember 2013

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik

Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik


Nelydia suka cerita fantasi

Posted: 15 Dec 2013 04:13 AM PST

ADEGAN mesra di antara Nelydia dan pasangannya Sharnaaz dalam drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta mendapat pelbagai reaksi termasuklah daripada kekasihnya, Qi Razali.


"PEREMPUAN itu ibaratnya pakaian buat lelaki, menghangatkan di musim hujan, meneduhkan disaat kemarau."
Begitulah antara bait indah yang dipetik daripada filem Sang Kiai yang sesuai untuk menggambarkan hubungan pelakon yang sedang menyulam cinta dengan Qi Razali.
Wanita yang dimaksudkan, Nelydia Senrose merupakan pelakon yang membintangi drama bersiri Bukan Kerana Aku Tak Cinta yang diadaptasi daripada novel karya E-Man Sufi.
"Watak Mastura yang dilakonkan kali ini berbeza daripada karakter yang pernah saya lakonkan sebelum ini. Dia dilihat sangat berani dan tidak pernah mengenal erti putus asa untuk memikat hati seorang lelaki.
"Amat mencabar membawa watak gedik untuk memikat hati lelaki tapi hakikatnya perangai gedik itu tidak berhasil. Namun, pada pertengahan cerita dia berubah dan mencari cinta yang halal untuknya.
NELYDIA SENROSE bakal muncul dalam filem Cinderella yang akan ditayangkan pada 19 Disember nanti.


"Sebelum menerima watak ini, saya telah membaca novel dan tertarik dengan jalan cerita yang disampaikan, tidak bosan dan teruja untuk mengetahui kisah selanjutnya. Saya berharap lakonan saya kali ini akan memberikan pengajaran kepada semua penonton," ujar Nelydia yang pertama kali digandingkan bersama Sharnaaz Ahmad dalam drama tersebut.
Sementara itu, filem pertama Nelydia arahan sutradara Ahmad Idham yang bertajuk Cinderella akan ditayangkan pada 19 Disember ini.
"Saya menerima sesuatu watak itu jika saya mampu untuk melakukannya kerana saya tidak mahu merosakkan karakter yang saya lakonkan.
"Alhamdulillah, pertama kali memegang watak utama dalam filem Cinderella saya telah menerima respons positif dari pelbagai pihak. Ini sudah membuatkan saya berasa gembira dengan penampilan pertama saya di layar perak," katanya.


Hafiz Suip Rangkul Album Terbaik AIM 20

Posted: 15 Dec 2013 04:11 AM PST


Hafiz merangkul tiga anugerah pada AIM20. 
BUKIT JALIL: Malam kemuncak Anugerah Industri Muzik ke-20 (AIM 20) menyaksikan penyanyi Hafiz Suip menggondol tiga anugerah termasuk Album Terbaik pada acara yang diadakan di Stadium Putra Bukit Jalil di sini, malam Sabtu.
Menerusi album Luahan Hati Anak Seni, penyanyi berusia 23 itu turut menerima anugerah Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki) menerusi lagu Bahagiamu Deritaku dan Rakaman Album Terbaik.
Anugerah Sri Wirama AIM 2013 diberikan kepada Pengasas syarikat penerbangan tambang murah Air Asia, Tan Sri Dr Tony Fernandez atas jasa beliau dalam membangunkan industri muzik tempatan selama 20 tahun.
Penyanyi Shila Amzah pula dipilih sebagai penerima Anugerah Kembara AIM 2013 atas kejayaannya mengharumkan nama Malaysia di luar negara.
Shila menerima Anugerah Kembara AIM20. 
Kedua-dua anugerah itu disampaikan oleh Pengerusi RIM, Norman Abdul Halim dan Jawatankuasa Penganjur AIM 20, Rosmin Hashim.
Shila turut menyampaikan dua buah lagu iaitu Zheng Fu dan Masih Aku Cinta pada malam itu.
Dalam pada itu, lagu ciptaan sepenuhnya oleh penyanyi yang sedang mencipta nama di Amerika Syarikat, Yuna berjudul Lelaki menggondol dua anugerah iaitu Lagu Pop Terbaik dan Lagu Terbaik.
Manakala penyanyi Anuar Zain dan Dayang Nurfaizah memenangi kategori Persembahan Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik Di Dalam Lagu hasil kolaborasi menerusi lagu Sedetik Lebih.
Dayang turut diumumkan sebagai penerima trofi kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita) menerusi lagu Seandainya Masih Ada Cinta.
Lagu Bila Resah yang dipersembahkan kedua-dua penyanyi itu turut dipilih sebagai pemenang dalam kategori Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu.
Artis Baru Terbaik pada tahun ini diterima oleh penyanyi indie, Alex Subryn.
Sementara itu, Amy Search masih membuktikan keunggulannya apabila menerima anugerah Lagu Rock Terbaik menerusi Di Bawah Gerbang Skaea.
Pemenang album terbaik pada AIM 19, Salam Musik pada tahun ini membawa pulang trofi Lagu Hip Hop Terbaik manakala kolaborasi di antara Goldfish dan Blink telah melayakkan mereka untuk menerima anugerah Lagu Inggeris Tempatan Terbaik.
Celoteh Aznil dan Nabil berjaya memukau penonton. 
AIM 20 dihoskan oleh Datuk Aznil Nawawi dan Nabil Ahmad.
Acara pada malam itu turut diserikan oleh persembahan mantap daripada Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Rossa, Ning Baizura, Afgan, Najwa Latif, Aizat Amdan, Hafi, Zainal Abidin, Mas Idayu, Jay Jay, Datuk Khadijah Ibrahim dan Dayangku Intan.
Siti turut menghiburkan penonton pada majlis itu.
Ia disiarkan secara langsung di Astro Ria (104) dan Astro Maya HD (135).
Berikut adalah senarai penuh pemenang AIM 20:
1. Album Terbaik
Luahan Hati Anak Seni - Hafiz Suip
2. Lagu Terbaik
Lelaki - Yuna
3. Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki)
Hafiz Suip - Bahagiamu Deritaku
4. Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita)
Dayang Nurfaizah - Seandainya Masih Ada Cinta
5. Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Berkumpulan)
Saujana - Salam Atasmu
6. Lagu Pop Terbaik
Lelaki - Yuna
7. Persembahan Vokal/Duo Kolaborasi Terbaik Di Dalam Lagu
Anuar Zain & Dayang Nurfaizah - Sedetik Lebih
8. Kulit Album Terbaik
Penglipur Lara - Hazama
9. Rakaman Album Terbaik
Luahan Hati Anak Seni - Hafiz Suip
10. Video Muzik Terbaik
#1 - Pretty Ugly & Altimet
11. Lagu Pop Etnik Terbaik
Pahlawan Zafana - Ihab Ismail
12. Lagu Nasyid Terbaik
Mawar Berdarah - Rabbani
13. Lagu Inggeris Tempatan Terbaik
In The House - Goldfish & Blink Feat Altimet & ZE!
14. Lagu Hip Hop Terbaik
Aku Pelat - Salam Muzik Feat Zion Dread
15. Video Muzik Terbaik
Pretty Ugly Feat Altimet (Perez Oldskool)
16. Lagu Rock Terbaik
Di Bawah Gerbang Skaea - Amy Search
17. Lagu Bahasa Melayu Terbaik Yang Dipersembahkan Oleh Artis Luar Negara
Hilang Naluri - Once
18. Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu
Bila Resah - Anuar Zain & Dayang Nurfaizah
19. Anugerah Sri Wirama - Tan Sri Dr Tony Fernandez
20. Anugerah Kembara - Shila Amzah
21. Artis Baru Terbaik - Alex Subryn

Peranti cincin pintar

Posted: 15 Dec 2013 04:08 AM PST

  • Smarty RingSmarty Ring

SEORANG jurutera dari Chennai, India, Ashok Kumar mengilhamkan sebuah peranti berteknologi tinggi dipanggil cincin pintar atau Smarty Ring.

Cincin keluli tahan karat ini boleh dihubungkan pada telefon pintar melalui Bluetooth dengan menggunakan aplikasi khusus.

Kumar berkata, cincin ini dilengkapi skrin LED boleh memberi isyarat terhadap, panggilan telefon, emel, faks dan boleh digunakan sebagai alat kawalan jauh.

"Ia boleh berhubung dengan peranti Android atau IOS. Kini, anda lebih bebas tanpa perlu memegang telefon sepanjang masa," katanya, dipetik dari laporan DailyMail.

Menurutnya, jangka hayat cincin ini mampu bertahan 24 jam selepas dicas dan bakal berada di pasaran April tahun depan pada harga 167 pound (RM880).

Kintang Kintung Bersiaran Pukul 9 Malam

Posted: 15 Dec 2013 04:07 AM PST


Antara babak dalam sketsa Kintang Kintung
PETALING JAYA: Program bual bicara Kintang Kintung kembali menemui penonton di TV3 dan bersiaran pada pukul 9 malam dengan pelbagai pengisian yang lebih menarik.
Pengurus Besar Kumpulan, TV3 & tv9, waktu siaran baharu yang diawalkan daripada pukul 11 malam ke 9 malam dilihat lebih sesuai untuk tontonan seisi keluarga.
"Kita mahu program ini ditonton oleh seisi keluarga dan pukul 9 adalah waktu yang sangat tepat.
"Pada musim ini banyak membincangkan tentang topik kemasyarakatan dan etika hidup yang sebelum ini diambil mudah," katanya.
Achey dan beberapa peserta Bintang Mencari Bintang menceriakan program ini.
Program ini akan dikendalikan oleh juara Bintang Mencari Bintang iaitu Achey dan sifunya, Harun Salim Bachik.
Program 13 episod ini akan menampilkian dua sketsa komedi dan tetamu undangan akan berkongsi pengalaman mengenai topik yang dibincangkan.
Antara topik yang diketengahkan seperti buli, poligami, pekerja asing, bomoh, kopochi, dan kahwin campur.
Kintang Kintung turut dimeriahkan dengan kehadiran bekas finalis program Bintang Mencari Bintang pada setiap episod mingguan.
Program ini akan bersiaran setiap Ahad bermula 15 Disember pukul 9 malam di TV3.

Kelainan produk jadi tarikan

Posted: 15 Dec 2013 04:06 AM PST

  • Kelainan produk jadi tarikan  Norhayati bersama kuih bakar tradisi Kelantan yang dujualnya di pasar tani sekitar Selangor.

SIAPA sangka menjual kuih bakar tradisional Kelantan seperti akok, cara berlauk dan bingka pulut mampu membantu menjana pendapatan.

Bermodalkan RM4,500 ketika memulakan operasi perniagaannya pada 1997 dengan menggunakan hanya peralatan khas dipanggil koya-obar, kini Norhayati Yaacob, 55, telah memiliki lima buah peralatan itu dengan bermodalkan RM20,000 dan sehingga kini dia berupaya menjual kuih muihnya sekitar Selangor di Putrajaya, Bangi, Kajang dan Shah Alam.

"Saya memang minat berniaga, dengan minat itulah saya nekad berusaha meningkatkan jualan kuih bakar ini.

"Tidak susah berniaga kuih bakar ini cuma memerlukan modal banyak untuk mendapatkan peralatan memasaknya," katanya yang merupakan salah seorang pemenang 50 idea terbaik Program Gigih.

Menurutnya, keistimewaan kuih bakar miliknya adalah kerana ia dijual ketika panas pada harga berpatutan iaitu RM1 bagi tiga biji kuih.

 Katanya, selain menjualnya di pasar tani, kuih tradisi itu juga dijual untuk tujuan tempahan bagi kuantiti yang banyak.

Dengan usaha gigih bekerja sepenuh masa mengusahakan jualan kuih warisan itu, Norhayati mampu membantu keluarganya dengan menjana pendapatan purata RM3,00 sebulan.

Sementara itu, usaha penternak ayam kampung, Noor Azam Mohd Sohor, 33,  menghasilkan baja haiwan yang berupaya menggalak tumbesaran, selain efektif dalam menghindari penyakit juga suatu pencapaian membanggakan.

Dihasilkan pada 2011 di bawah syarikat Norafina Enterprise yang beroperasi di Teluk Intan, produk keluarannya itu mula dipasarkan di pasar tani sekitar Perak dan telah menembusi pasaran Brunei secara atas talian.

"Pendedahan sebagai peserta di Institut Kemajuan Ternakan Ayam di Johor Bahru membawa kepada penemuan terbaru dalam penjagaan dan penternakan haiwan yang kini mula popular di kalangan pemilik ayam kampung, kucing dan burung kakak tua.

 "Selain mampu meningkatkan mutu ternakan dan menghindari penyakit, keberkesanan produk menggunakan campuran sisa makanan seperti kelapa, daun pandan, jagung sawit dan ibu gula ini boleh dikesan seawal tiga hari penggunaan," katanya.

Upin & Ipin produk terbaru Emas Sri Pinang

Posted: 15 Dec 2013 04:05 AM PST

  • Upin & Ipin produk terbaru Emas Sri PinangKehadiran maskot Upin & Ipin bersama pemilik suara latar Upin & Ipin, Asyiela Putri Azhar (kanan) memeriahkan suasana majlis pelancaran.

KUALA LUMPUR - Pengusaha barang kemas, Emas Sri Pinang, semalam memperkenalkan produk terbaru Cherita Charms Emas 22K Upin & Ipin yang di reka khas buat si cilik.

Pengurus Jualan Runcitnya, Aisah Ali berkata, ini adalah kolaborasi pertama antara syarikat itu dengan pihak Les' Copaque.

"Seperti yang kita tahu, ikon Upin & Ipin ini adalah amat popular di kalangan generasi muda bukan kerana aksinya sahaja tapi disebabkan nilainya.

Sehubungan itu, kami ingin mengabadikan ikon ini dalam bentuk emas agar ianya sentiasa kekal sama seperti nilai emas dan dari situlah kerjasama ini bermula," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran produk terbarunya, di sini, semalam.

Katanya, kerjasama ini juga bertujuan untuk mendidik generasi muda supaya menghargai emas yang bukan sahaja boleh dijadikan sebagai perhiasan malah pelaburan untuk masa depan.

"Memandangkan nilai emas sentiasa kekal, kerjasama ini juga mampu beri pendedahan kepada generasi muda untuk menghargai emas kerana pelaburan ini amat menguntungkan untuk masa hadapan mereka," katanya.

Koleksi pertama Cherita Charms Emas 22K Upin & Ipin ini, terdiri daripada karakter Upin & Ipin sendiri, tulisan nama Upin & Ipin serta bentuk seketul paha ayam yang merupakan makanan kegemaran ikon tersebut.

'Nasib baik sempat undur'

Posted: 15 Dec 2013 03:59 AM PST

  • 'Nasib baik sempat undur'Tanah runtuh menghalang laluan anggota ke Kompleks Radar Skuadron 322 TUDM Bukit Ibam.

ROMPIN - "Nasib baik saya sempat undur kereta. Kalau tidak, saya nyaris maut ditimpa tanah runtuh itu".

Demikian kata Laskar Udara Kanan, Azar Azami, 30, iaitu saksi kejadian tanah runtuh di Kilometer 9 Jalan Bukit Pemandang, Bukit Ibam, dekat sini, Ahad lalu.

Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 6.45 petang ketika dia dalam perjalanan ke Kompleks Domestik Skuadron 322 TUDM Bukit Ibam.

"Kejadian berlaku agak pantas, pada mulanya kelihatan pokok balak menggelongsor laju dan diikuti bongkah batu serta tanah lumpur memenuhi laluan terbabit.

"Timbunan tanah setinggi kira-kira tiga meter merintangi jalan tersebut sekali gus menghalang anggota skuadron menjalankan tugasan harian di Kompleks Radar Skuadron 322 TUDM Bukit Ibam," katanya.

Katanya, kejadian dipercayai berpunca akibat hujan berterusan lebih seminggu yang menyebabkan aliran air bawah tanah meningkat menjadikan struktur tanah di kawasan tersebut tidak stabil.

Azar berkata, kawasan tanah runtuh ini juga adalah satu-satunya laluan antara kompleks domestik dengan kompleks radar.

"Kejadian itu telah menyekat penghantaran bekalan makanan kepada petugas di Kompleks Radar Skuadron 322 selain menyebabkan dia bersama sembilan anggota lain terperangkap di Kompleks Domestik Skuadron 322," katanya.

Turut hadir memantau tempat kejadian, Pegawai Memerintah Skuadron 322 TUDM Bukit Ibam, Leftenan Kolonel Md Rizam Ahmad TUDM dan wakil Jabatan Kerja Raya (JKR) Rompin.

Md Rizam berkata, kerja membersihkan tanah runtuh tidak dapat dimulakan walaupun jentera berat ditempatkan di sini berikutan gelinciran tanah masih berlaku sekali gus memungkinkan runtuhan susulan.

Sementara itu, Penyelia tapak, Wan Mohd Firdaus Wan Abdul Rashid, 24, memaklumkan sasaran awal mereka adalah membuka jalan sementara untuk memudahkan petugas di kompleks radar menjalankan tugas.

Menurutnya, JKR Rompin mengarahkan kontraktor dari YP Maintenance untuk membersihkan tanah runtuh setelah penilaian awal dibuat.

"Kerja pemulihan semula cerun yang runtuh akan mengambil masa kira-kira dua minggu dengan menggunakan jengkaut dan dua lori pengangkut untuk membuka laluan awal.

"Setelah laluan awal dibuka, kami akan menambah beberapa jentera berat bagi mempercepat kerja pembersihan," katanya.

Siti Nurhaliza jadi nenek

Posted: 15 Dec 2013 03:55 AM PST

  • Siti Nurhaliza

DATUK Siti Nurhaliza dan suaminya, Datuk Khalid Mohd Jiwa, telah pun selamat menimang cucu pertama mereka, pada Khamis lalu.

Berita itu telah dikongsikan oleh besan mereka, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin menerusi laman Twitter beliau.

Diberi nama Ayden, bayi tersebut merupakan hasil perkahwinan anak mereka, Anas Zawawi dan Nasha Alyssa pada Disember tahun lalu.

Apa pun, tahniah kepada Siti yang sudah bergelar nenek!

Nooraida akui Adi Putra romantik

Posted: 15 Dec 2013 03:53 AM PST


AMIRUDDIN OSMAN mendakwa siasatan polis berhubung skandal Adi Putra bersama isterinya, Nooraida Abdul Mutalib (kiri) sebagai tidak telus.


EPISOD yang mengaitkan pelakon sensasi, Adi Putra dengan dakwaan skandal dan penyebaran gambar lucah dengan seorang wanita berstatus isteri orang masih belum berakhir.
Sehari selepas Adi menegaskan pada sidang satu sidang akhbar bahawa dia bebas daripada sebarang tuduhan, pihak pengadu tampil dengan dakwaan siasatan kes itu tidak telus.
Ekoran tidak berpuas hati dengan keputusan siasatan, pengadu, Amiruddin Osman, 56, bersama isterinya, Nooraida Abdul Mutalib, 30, membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur kelmarin.
Laporan dibuat kepada Bahagian Tatatertib Bukit Aman itu bagi menuntut siasatan dijalankan ke atas seorang pegawai penyiasat (IO) yang bertugas di Balai Polis Taman Universiti, Skudai, Johor Bahru.
"Saya berpendapat bahawa penyiasatan yang dilakukan tidak telus dan tidak profesional atau dianggap berat sebelah. Saya menuntut kes ini dibuka semula," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Hotel Concorde, Kuala Lumpur itu.
Amiruddin yang merupakan seorang ahli perniagaan mendakwa siasatan tidak telus kerana pegawai penyiasat itu didakwa menuntutnya menarik balik laporan polis yang dibuat pada 29 Ogos lalu di Skudai ketika isterinya dipanggil untuk memberi keterangan.
Dia juga menerima sekeping gambar daripada sahabatnya yang menunjukkan pegawai berkenaan bergambar dengan Adi dalam keadaan mesra ketika pelakon tersebut hadir memberi keterangan semasa soal siasat dijalankan.
INILAH wajah Nooraida Abdul Mutalid, wanita yang didakwa oleh suaminya sebagai menerima dan membalas mesej berbaur lucah bersama Adi Putra.


Menurut Amiruddin, gambar tersebut dipercayai dirakam di dalam kawasan Balai Polis Taman Universiti, Skudai.
Pada 25 September lepas, Amiruddin turut mempersoalkan pegawai itu kerana gambar-gambar dan butiran peribadi isterinya dipercayai dibocorkan oleh 'orang dalam'.
Amiruddin juga menyifatkan siasatan itu berat sebelah kerana pegawai berkenaan memberi layanan baik terhadap Adi apabila dia sanggup ke lokasi program pelakon itu semasa di Johor walaupun jarak tempat itu dari balai polis di Skudai kira-kira 15 kilometer.
"Alasan yang diberikan oleh IO adalah Adi tiada kenderaan untuk ke balai polis. Saya nampak pegawai polis ini berat sebelah," ujar Amiruddin yang telah berumah tangga dengan Nooraida selama 10 tahun.
Pada 2 Disember lalu, polis mengumumkan bahawa kes terbabit diklasifikasikan sebagai tiada tindakan selanjutnya (NFA).
Menurut Amiruddin, pihak polis memberitahunya bahawa kes itu diklasifikasikan sebagai NFA atas faktor suka sama suka, dia masih belum menerima dokumen siasatan lengkap.
Ketika disoal sebab dia masih mahu meneruskan siasatan kes itu, Amiruddin menjawab bahawa dia berpegang kepada kebenaran.
"Saya percaya perkara ini benar. Saya sebagai seorang suami berani membuat laporan polis supaya keadilan dapat dibela," katanya.
Dalam pada itu, di celah kehangatan sidang akhbar tersebut, Nooraida yang sebelum ini tidak bersuara akhirnya mengaku bahawa dia meminati Adi kerana menyifatkan aktor itu seorang yang romantik selepas diasak soalan pemberita.
"Pada mulanya saya cuma hantar ucapan ketika Adi pergi umrah itu sahaja. Saya memang minat dia (Adi). Saya terus layan mesej sebab dia romantik jadi saya memang teruja," akui Nooraida.
ADI PUTRA


Dalam perkembangan berkaitan, Amiruddin mendakwa pernah berbual dengan individu yang dipercayai Adi Putra menerusi telefon dan meminta bertemu dengan bintang filem Haq itu di Johor Bahru bagi menyelesaikan skandal berkenaan.
Namun, Amiruddin mendakwa Adi, 32, enggan bertemunya hingga menyebabkan dia membuat laporan polis pada awal September lalu.
Ketika ditanya sama ada pihaknya gentar jika Adi memfailkan saman, Amiruddin menjelaskan, dia dan pasukan peguamnya mengalu-alukan tindakan tersebut.
Peguam Amiruddin, Muhammad Hasif Hasan berkata, pihaknya akan merayu keputusan NFA itu dan berpendapat Seksyen 498 Kanun Keseksaan lebih sesuai berbanding Seksyen 509 Kanun Keseksaan dengan kesalahan yang dilakukan.
Menurut Muhammad Hasif, pihaknya percaya cara siasatan yang dikendalikan memiliki ciri-ciri tidak telus dan tidak ada integriti selain menyoal Nooraida dengan sejumlah soalan tidak relevan.
"Kami akan menulis surat kepada Timbalan Pendakwa Raya di Putrajaya dengan laporan bahawa kami telah membuat satu lagi laporan terhadap IO kes ini.
"Pihak kami akan menghantar satu surat memohon kepada Timbalan Pendakwa Raya agar melihat kembali kes ini dan melihat kembali peruntukan seksyen yang agak relevan dalam kes ini," tegasnya.


Farawahida langkah bendul

Posted: 15 Dec 2013 03:52 AM PST




PERSIAPAN sudah lengkap, pelamin juga sudah tersergam. Inai raja sehari juga sudah tersedia menunggu masa hendak dicalitkan di hujung jari.
Esok bakal menjadi hari yang paling membahagiakan buat wanita bermata bundar, Farawahida Razali, 28. Zaman bergelar wanita solo sudah boleh dilupakan kerana esok, penyanyi yang popular dengan lagu Tanpamu itu bakal bergelar isteri orang.
Memilih lelaki yang dikenalinya sejak lapan tahun lalu, Abdul Shukur Mohd. Zain sebagai bakal suami, mereka akan dinikahkan sekitar pukul 10 pagi esok bertempat di Sentosa Villa Resort, Taiping, Perak.
"Bohonglah kalau saya kata langsung tidak merasa debaran. Semasa sibuk memastikan semua persiapan, perasaan itu tidak terasa sangat, tetapi semasa hendak masuk tidur, mulalah bermacam persoalan masuk kepala.
"Tapi mujurlah, urusan persiapan pelamin, fotografi, videografi, dekorasi hantaran serta pengurusan majlis nikah dan sanding saya ini dikendalikan perancang perkahwinan, jadi lega rasanya," ujar Farawahida.
Tidak mahu majlis pernikahan dan perkahwinan mengambil masa yang panjang, Farawahida juga akan melangsungkan majlis persandingan pada hari yang sama. Majlis resepsi perkahwinannya akan berlangsung pukul 8 malam bertempat di Dewan Majlis Perbandaran Taiping, Perak.
BARU-BARU ini kisah perkahwinan Farawahida menjadi berita sensasi kerana mendapat tajaan bernilai RM500,000.


"Seronoknya buat kenduri di kampung halaman apabila ibu bapa sendiri menguruskan hal jemputan. Jumlah tetamu jemputan rasanya sekitar 3,000 orang tetapi kehadiran terpulang kepada kelapangan orang. Buat kenduri di kampung juga tidak boleh had jemputan, harap dapat jumpa semua saudara dan kenalan esok," ujar Farawahida yang merupakan anak keempat daripada enam beradik itu.
Sebelum ini, majlis perkahwinan Farawahida pernah menjadi isu panas apabila menerima tajaan sebanyak RM500,000.
"Kenyataan itu datang daripada perunding perkahwinan. Ikutkan bajet memang saya mampu nak keluarkan duit RM500,000, lagi pun bapa saya sudah cakap tak mahu membazir dengan persiapan yang beria-ria. Tapi jumlah itu merangkumi penajaan oleh pengurus perkahwinan dan saya menerima dengan besar hati," ujar Farawahida yang mengeluarkan duit sendiri untuk kos jamuan jemputan.
Sederhana namun masih terasa kemeriahannya, Farawahida sebenarnya mempunyai dua orang adik yang belum berkahwin, malah kakaknya, Suhana Miza, 30, juga masih bujang.

PASANGAN ini berkenalan sejak lapan tahun lalu.


"Kiranya, saya ini akan langkah bendul. Ada juga saudara-mara yang mahu amalan memberi hadiah kepada kakak apabila si adik terlebih dahulu berkahwin. Setakat ini tiada apa yang diputuskan. Kakak saya tiada masalah dalam soal ini, soal jodoh tidak boleh dipaksa-paksa. Saya tak mahu berjanji apa-apa, daripada pihak saya sendiri, mungkin ada sesuatu untuk kakak nanti," katanya yang mendoakan agar kakaknya pula akan dipercepatkan jodoh.
Bercerita tentang perkahwinan dan permulaan fasa baharu kehidupannya, Farawahida berkata, dia tetap akan meneruskan karier nyanyian walaupun sudah bergelar isteri.
"Bakal suami juga bekerja di Kuala Lumpur, jadi insya-Allah tiada masalah akan timbul," katanya yang turut berkongsi gambar-gambar praperkahwinan yang dirakamkan bersama Shukur.
"Bakal suami seorang yang pemalu bab-bab bergambar, untuk gambar-gambar itu pun, puas saya memujuknya supaya beri kerjasama dan kongsi bersama media. Tapi dia juga sangat memahami kerjaya saya sebagai penyanyi. Saya pilih dia sebab kualiti yang ada pada dirinya. Dia kuat berusaha untuk membaiki taraf hidup," tambah Farawahida.


Kembara indah Liyana Jasmay

Posted: 15 Dec 2013 03:51 AM PST



PERWATAKANNYA masih seperti Liyana Jasmay yang dikenali bertahun-tahun dahulu. Senyum dan tawanya masih sama. Sosok genitnya juga masih belum menampakkan banyak perubahan walaupun di dalam rahimnya, sedang mengandung cahaya mata pertama.
Ya, wanita yang dahulunya gadis lincah itu sudah berumahtangga dan kini kehamilannya sudahpun mencecah empat bulan. Sekitar lima bulan lagi, dia dan Fathuddin Mazlan yang bernikah pada Februari lalu bakal bergelar ibu bapa. Biasa kedengaran tapi itu bukan sekadar panggilan, tetapi sebuah fasa baharu yang selama ini mengulit hidupnya selama 27 tahun.
"Bila sudah mengandung, banyak pula rasa dan perasaan tidak selesa. Bila saya meluahkan kepada mama, mama cuma cakap sebab itulah syurga itu di bawah kaki ibu, anak tak boleh derhaka kepada ibu, nanti masuk neraka," lentur Liyana seraya tertawa sambil diperhatikan sang ibu, Habsah Simpon yang setia menemani pergerakan si anak bongsunya itu.
Cuma ada sedikit perbezaan, Liyana yang sebelum ini ada keletahnya itu agak bersahaja. Bukan tidak bermaya tapi darjah kelincahan menurun mungkin disebabkan alahan kehamilan yang dialami.
Ralit bercerita tentang situasi hidup yang sedang berubah, kata Liyana, kesibukan promosi yang selalu pulang ke Kuala Lumpur menimbulkan rindu dan ingatan buat suami yang kerap ditinggalkan di Kota Kinabalu, Sabah.
"Di sini (Kuala Lumpur) saya ada ramai ahli keluarga, tapi dia (suami) seorang diri di sana. Kasihan juga, tapi sekejap sahaja. Januari nanti saya akan balik semula ke Sabah, di sana kami baru pindah ke rumah baharu. Siap ada bilik khas untuk mama dan papa. Senanglah mereka nak bertamu nanti," katanya ketawa merangka-rangka aturan hidup menjelang kehadiran orang baharu, Mei tahun depan.
Terheret berbicara tentang keluarga dan kehidupan, bekas penyandang anugerah Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-22 itu teruja berkongsi soal kerja berbanding kehidupan bahagia yang sedang ditatang. Biarpun sudah mengambil keputusan untuk berehat tanpa sebarang penggambaran sehingga tempoh bersalin, Liyana kini sibuk mempromosikan filem terbaharu lakonannya, Papadom 2.
"Rasanya Papadom 2 sebuah filem yang meninggalkan kesan istimewa untuk saya. Terlalu banyak perasaan dan nilai kehidupan serta kekeluargaan dalam filem itu.
"Rasanya, berbaloi menunggu selama tiga tahun untuk menyaksikan tayangan filem ini. Lagu tema nyanyian Shahmeen Shah sendiri sudah cukup ekspresif inikan pula ceritanya," katanya yang menang anugerah terbesar dalam karier lakonannya menerusi watak Maisara dalam Papadom edisi pertama.
WATAK Miasara lakonannya dalam Papadom 1 mengangkat nama Liyana sebagai Pelakon Wanita Terbaik. Sekarang, Maisara muncul lagi dalam Papadom 2 dengan karakter yang lebih dewasa dan matang.


Kahwin lelaki tua
Kembali menghidupkan karakter Miasara, jika dalam Papadom yang pertama Liyana membawakan watak Miasara yang masih di alam kampus, dalam Papadom 2, karakter itu berkembang membawa Miasara masuk ke alam pekerjaan. Sisi keremajaan Miasara juga berubah.
"Untuk filem ini, Miasara masih juga seperti dahulu, masih berada bawah kawalan bapanya selama 24 jam. Sekarang Miasara sudah masuk alam pekerjaan dan mula hendak berkahwin. Konfliknya apabila ayah Miasara tak sanggup melepaskan anak kesayangannya kepada lelaki lain. Konflik pilih menanti dan paling penting Miasara mahu berkahwin dengan lelaki jauh berusia daripadanya," jelas Liyana.
Dari satu sisi yang lain, Liyana menyifatkan Papadom 2 sebagai pengisian emosi dan kasih sayang yang cukup hebat antara anak dan bapa. Paling utama, kisah Miasara dan Saadom itu menjadi kisah semua orang yang menonton. Itu magis yang jarang-jarang dapat dirasai dalam kerja lakonan dana naskhah-naskhah komersial.
"Naskhah seperti Papadom jarang ada, isu kekeluargaan yang begitu. Biasanya kisah cinta, aksi atau komedi. Seronoknya menjadi Miasara apabila ia mengingatkan penonton terhadap bapa masing-masing. Begitu juga Saadom. Ia seperti cerminan dan impaknya refleks kepada penonton. Saya percaya ada ramai Miasara dan Saadom di luar sana," ujar Liyana mengakui semakin menghargai kasih sayang ibu bapanya usai penglibatan dalam jenama Papadom.
Tambah Liyana lagi: "Saya percaya ramai kaum bapa sukar untuk melepaskan anak perempuan mereka yang mahu berkahwin. Perasaan yang sama juga barangkali dirasai oleh bapa saya sebelum ini. Mereka mahukan yang terbaik untuk anak. Saya sendiri sangat manja dengan bapa. Berlakon Papadom menjadi satu penghormatan buat saya."
LIYANA JASMAY percaya kehidupan seorang wanita itu sangat indah. Bermula sebagai anak kecil, remaja, dewasa menjadi isteri dan ibu ialah satu anugerah yang cukup mahal.


Refleksi diri
Tidak hanya Papadom dan Maisara yang diharapkan boleh menjadi cerminan kepada khalayak, Liyana sendiri melihat dirinya di sebalik nama Miasara.
"Kembara hidup seorang gadis, membesar, belajar, bercinta, berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri merupakan satu kembara yang sungguh indah. Saya bersyukur kerana dilahirkan dalam semua keluarga yang sering menyokong hidup saya.
"Saya sendiri sedang dalam fasa dan kembara itu. Apabila mengetahui bahawa dalam perut saya ini orang baharu yang bakal lahir, perkara paling mengujakan ialah persoalan bagaimana hendak menjaga dan melalui hari-hari dengannya. Semoga Tuhan akan melancarkan segala-galanya. Sebab itu Papadom sangat tinggi nilai sentimentalnya terhadap saya," luah Liyana sambil mengusap perutnya yang sudah berisi itu.
Beraksi bawah arahan pengarah berjiwa besar seperti Afdflin Shauki dan bekerjasama dengan ramai pelakon hebat seperti Khir Rahman, Rizman Ruzaini, Adlin Aman Ramlie, Dira Abu Zahar serta ramai lagi juga memberikan banyak kepuasan kepada wanita kelahiran Kuantan itu.
Tidak hanya mematangkan jiwa seninya, cabaran menggalas watak Miasara juga menghadirkan persepsi berbeza.
"Berlakon filem yang memerlukan banyak pergerakan fizikal macam filem aksi atau seram lain situasinya berbanding watak dalam filem yang bersifat drama macam Papadom. Ia soal yang kena diluahkan menerusi ekspresi dan paling penting, lakonan itu tidak kelihatan sebagai lakonan tapi orang percaya.
"Itu yang susah. Rantaian emosi kena solid dan kena sampai ke jiwa, barulah lakonan itu jadi indah di mata penonton. Sebab itu juga saya mahu suami saya menonton filem berkenaan. Lagi pun dia kenal dan lihat saya berlakon pun menerusi watak Miasara daripada filem Papadom yang pertama," cerita Liyana sambil memberitahu bapanya Jasmay juga tidak ketinggalan menyokong Papadom.
Tambahnya: "Bapa tidak datang semasa pratonton filem, dia pemalu. Tapi, dia janji mahu memenuhkan satu panggung menonton Papadom 2 bersama kawan dan kenalan dia. Mungkin itu cara dia menunjukkan sokongan terhadap saya."
Berkongsi perjalanan ke arah menjadi wanita yang sempurna, punyai anak dan keluarga bahagia, Liyana tidak pernah membuang cinta untuk menghasilkan penerbitan karya drama dan filem. Ilmu yang ditimba ketika mengikuti pengajian filem di New York mahu dibuktikan menerusi hasil kerja. Jiwa seninya tetap mekar bersama senyuman dan kehidupan baharu yang terbentang. Selepas Papadom 2, tahun 2014, dia juga bakal muncul dengan sebuah lagi filem bergenre aksi berjudul Tokan.


Emas pengubat kecewa Praveen

Posted: 15 Dec 2013 03:49 AM PST

PRAVEEN meraih pingat emas dalam acara dressage individu semalam sekali gus mengubati kekecewaannya selepas gagal dalam acara berpasukan kelmarin.


NAY PYI TAW, Myanmar - Atlet ekuestrian negara, Praveen Nair Mathavan tidak berdepan masalah menjinakkan kuda yang bernama Sen Win Mal untuk memenangi pingat emas dalam acara dressage individu semalam.
Pada aksi di Pusat Ekuestrian Wunna Theikdi itu, Praveen, 16, turut memberikan arahan yang baik kepada Sen Win Mal untuk mencatat mata kedua terbaik keseluruhan dalam acara berpasukan.
Praveen mencatat 67.405 peratus bagi mengenepikan dua atlet Indonesia, Velentino Lumentah yang meraih perak (66.432%) manakala seorang lagi Ferry Wahyu Hadiyanto meraih gangsa (64.108%).
Pingat emas itu berjaya mengubat kekecewaan Praveen yang gagal membantu pasukan memenangi sebarang pingat alam acara dressage berpasukan kelmarin.
Pelajar Sekolah Antarabangsa Nexus Putrajaya itu berkata, dia gembira dengan prestasi Sen Win Mal walaupun itu adalah kuda pinjaman yang disediakan oleh tuan rumah kerana pada temasya kali ini atlet tidak membenarkan menggunakan kuda sendiri.
"Sebelum acara ini bermula, kami telah mencuba pelbagai kuda sesama sendiri. Jadi saya pilih kuda ini kerana ia sesuai dengan saya. Saya mengambil masa dua hari untuk melatihnya dan kami berjaya menyesuaikan diri dengan baik," katanya.
Praveen yang membuat penampilan pertama pada Sukan SEA gembira dengan kejayaan membantu persatuan melepasi sasaran dua emas.
Sekiranya berjaya meraih satu lagi pingat emas, ia dianggap bonus walaupun mereka tidak berada dalam sasaran 40 emas yang diletakkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada temasya kali ini.
Ketika ditanya bagaimana dia boleh terlibat dengan sukan ini, Praveen berkata, ibu bapanya sudah menggalakkan dia menyertai acara ini sejak usia 10 tahun lagi sebagai salah satu aktiviti di luar sekolah.
"Saya ingin menghadiahkan pingat emas ini kepada kedua-dua ibu bapa dan jurulatih saya, Chris Ladvrook dari New Zealand yang sudah enam tahun bersama saya," katanya.
Selepas ini, Praveen akan menunggu peluang untuk disenaraikan bagi Sukan Olimpik Remaja tahun depan dan keputusannya akan diketahui pada Oktober depan.


Bayi baru lahir ditinggal atas jalan

Posted: 15 Dec 2013 03:45 AM PST

BAYI perempuan yang baru dilahirkan ditemui penduduk dalam keadaan bogel dan dilapik dengan sehelai sarung bantal.


KUALA LUMPUR – Seorang bayi perempuan dipercayai baru lahir ditemui selepas ditinggalkan di belakang sebuah rumah teres dua tingkat di Jalan BK 4/6, Bandar Kinrara dekat Puchong semalam.
Kehadiran bayi seberat 3.4 kilogram itu disedari oleh pemilik rumah berkenaan, Haslinda Madun, 55, selepas terdengar tangisan kanak-kanak pada pukul 12.10 tengah malam dari kawasan lorong belakang rumahnya.
Wanita itu yang curiga kemudian pergi ke belakang dan ternampak ada bayi ditinggalkan dalam keadaan bogel serta bertali pusat yang dilapikkan dengan sehelai sarung bantal di atas jalan.
"Pada mulanya saya dengar bayi menangis pukul 8.45 malam (kelmarin), namun saya sangka ia (tangisan) datang dari rumah jiran yang membuka pusat jagaan kanak-kanak.
"Tidak lama kemudian, bunyi (tangisan) itu makin kuat menyebabkan saya tergerak hati untuk membuat pemeriksaan sebelum ternampak seorang bayi bogel tertiarap di lorong belakang," katanya di sini.


Siam Paragon paling popular di Instagram

Posted: 15 Dec 2013 03:42 AM PST


PUSAT beli-belah Siam Paragon di Bangkok dipilih sebagai lokasi paling popular di Instagram tahun ini.


BANGKOK - Pusat beli-belah dan kompleks hiburan Siam Paragon di sini merupakan tempat paling popular di Instagram tahun ini, kata pengarah eksekutif laman perkongsian gambar dan video berkenaan, Kevin Systrom kelmarin.
Seramai 150 juta pengguna di seluruh dunia dan sekitar 55 juta gambar dimuat naik di laman web berkenaan pada setiap hari.
Kelmarin, laman perkongsian gambar itu mendedahkan gambar, lokasi, bandar raya dan tanda hashtag paling popular sepanjang 2013
Bintang pop, Justin Bieber mengungguli kategori gambar paling digemari tahun ini apabila memperoleh lebih 1.5 juta 'like' di Instagram.
Penyanyi dari Kanada itu turut mempunyai lebih 12 juta pengikut di laman perkongsian gambar tersebut.
Foto paling popular itu menunjukkan Bieber bergambar bersama aktor kulit hitam Hollywood, Will Smith.
Kategori lokasi paling popular pula menjadi milikSiam Paragon.
Tempat kedua bagi kategori sama menjadi milik Times Square manakala Disneyland California menduduki tempat ketiga dalam senarai itu.
Ikon kebanggaan Perancis, Eiffel Tower di Paris yang sebelum ini merupakan antara lokasi pelancongan popular bagaimanapun terkeluar daripada senarai Instagram tahun ini.
Kategori bandar paling popular pula diungguli oleh New York di Amerika Syarikat manakala Bangkok berada di tempat kedua dalam Instagram.


Bina mercu tanda dunia guna pencungkil gigi

Posted: 15 Dec 2013 03:41 AM PST


REPLIKA mini menara Eiffel yang diletak sebelah sebatang kayu pencungkil gigi.


NEW YORK - Seorang artis seni halus di Amerika Syarikat menghasilkan pelbagai replika binaan terkenal di dunia dengan menggunakan hanya pencungkil gigi, lapor akhbar Daily Mirror kelmarin.
Steven Backman, 47, yang berasal dari kota raya ini terlebih dahulu akan memotong batang pencungkil gigi menggunakan pisau cukur. Dia kemudian mencantumkan bilah-bilah halus itu menjadi pelbagai binaan mercu tanda terkenal.
Antara mercu tanda yang dihasilkan termasuk Tower Hill, Menara Eiffel, kapal Titanic, White House dan sebuah Istana Cinderella daripada Walt Disney.
Hasil reka ciptanya yang menakjubkan ini mengambil tempoh masa beberapa hari untuk disiapkan.
Setiap satu binaan yang dihasilkannya dijual pada harga sekitar AS$1,000 (RM3,193).
Selain itu, Backman juga pernah membina Jambatan Golden Gate pada tahun 1980 dengan menggunakan 30,000 pencungkil gigi.
Menurutnya, dia mempunyai tangan yang sangat stabil dan mata yang tajam untuk menghasilkan binaan tersebut.


Teknologi EM hilangkan bau busuk

Posted: 15 Dec 2013 03:38 AM PST



PERJALANAN dari Kuala Lumpur ke Puncak Mutiara Cafe yang terletak di Kampung Pelet, Bukit Mertajam, Pulau Pinang dirasakan sangat berbaloi apabila kru Jurnal dihidangkan dengan pemandangan indah restoran ala resort tersebut.
Sangkaan restoran tersebut seperti sebuah kandang kambing yang diselubungi bau yang kurang menyenangkan ternyata meleset. Sebaliknya kebersihannya boleh dibanggakan malah suasananya begitu menenangkan.
Selain restoran dan pusat ternakan kambing, kawasan berkonsepkan agropelancongan seluas lima hektar milik Mutiara Kristal Corporation Sdn. Bhd. itu juga mempunyai sebuah pusat ternakan haiwan, kolam memancing dan dusun buah-buahan.
Menurut pemiliknya, Datuk Abd. Halim Ahmad, penggunaan teknologi mikroorganisma efektif (EM) iaitu sejenis bakteria baik yang membantu mengurangkan bau di kandang kambing. Pihaknya juga sangat mementingkan tahap kebersihan kandang dengan melakukan kerja pembersihan sebanyak dua kali sehari.
Beritahu beliau, cecair EM akan dicampurkan ke dalam air minuman binatang ternakan manakala semburan di sekitar kawasan kandang dilakukan seminggu sekali.
"Saya bermula dengan menternak kambing pada tahun 2004. Selepas dua tahun, kami membesarkan lagi perniagaan dengan membuka sebuah restoran.
"Idea ini sebenarnya datang daripada pelanggan yang mahukan sebuah restoran dibuka untuk mereka beristirahat dan menjamu selera tanpa perlu ke lokasi lain selepas selesai melakukan urusan jual beli kambing.
"Apabila difikirkan kembali, tidak salah kita membuka sebuah pusat sehenti yang menyediakan pelbagai kemudahan kepada pelanggan," ujarnya sambil memberitahu, ada pelancong dari luar negara yang secara berseloroh mahu tidur di kandang kambing itu kerana persekitarannya yang bersih.
Tambah Abd. Halim, pada awal pembukaannya, sebanyak empat buah pondok ditawarkan kepada pelanggan yang datang dalam kumpulan kecil.
Ujarnya, restoran yang boleh memuatkan sehingga 1,600 tetamu pada satu-satu masa itu menawarkan lebih 200 menu makanan dan minuman.
"Bermacam-macam jenis hidangan dapat disediakan sama ada makanan ala kampung, Thai, Barat mahupun Cina. Begitupun, menu berasaskan daging kambing adalah yang paling digemari di sini.
"Kami juga akan menyediakan menu baharu pada setiap bulan bagi memberikan pilihan kepada pelanggan," katanya yang turut menawarkan menu telur burung unta mengikut musim.

PENGGUNAAN mikroorganisma efektif membantu mengurangkan bau di restoran yang terkenal dengan pusat ternakan kambing ini.


Kolam memancing
Jelasnya, keunikan kawasan itu terletak pada pusat ternakan kambing yang sememangnya sudah terkenal di daerah itu.
"Disebabkan keunikan itu jugalah, kami menamakan setiap pondok makan di restoran ini berdasarkan nama baka kambing seperti Boer, Jamnapari, Dopper, Faral, Kalahari, Saanen dan Kadjang.
"Terdapat 200 buah pondok dan pelanggan boleh memilih untuk menjamu selera di pondok, di tepi kolam renang atau di dewan yang dikhaskan untuk majlis tertentu seperti perkahwinan, sambutan hari lahir atau majlis makan malam," ujarnya sambil memberitahu, lingkungan harga menu makanan dan minuman bermula dari RM1 hingga RM600.
Tambahnya, pihaknya memberi tambah nilai kepada kawasan itu kerana selain menjamu selera, pelanggan juga berpeluang melakukan aktiviti lain seperti memancing atau membuat lawatan ke pusat ternakan haiwan.
Beritahu beliau, bermacam-macam jenis ikan seperti baung, patin, rohu, pacu, haruan dan puyu boleh didapati di kolam memancing dengan kadar bayaran RM50 bagi tiga jam memancing.
"Pelanggan dibenarkan memilih sama ada untuk membawa balik hasil tangkapan mereka atau dimasak oleh cef restoran. Caj untuk masakan dikenakan mengikut jenis ikan iaitu antara RM15 hingga RM20.
"Kami juga turut mengadakan pertandingan memancing. Selain itu, pelanggan akan dibawa ke dusun buah-buahan bagi menikmati buah durian, rambutan, sentul, mangga, anggur dan nangka khususnya pada musim buah," ujarnya yang turut menyediakan kemudahan kolam renang dengan kadar bayaran RM8 untuk sekali masuk.

KEMUDAHAN kolam renang turut disediakan dengan kadar bayaran sebanyak RM8 sekali masuk.


Bayar guna kad
Beritahu beliau, melihatkan kesukaran pelanggan membuat bayaran selepas selesai menjamu selera, beliau mewujudkan satu sistem pesanan dan bayaran menggunakan kad.
"Pada awal perniagaan dahulu, kami mengamalkan sistem manual dengan pesanan yang dibuat oleh pelanggan akan dicatat di atas sehelai kertas yang dibahagikan kepada lapan item berlainan.
"Tetapi sejak tahun 2008, kami memakai sistem kad elektronik kerana ia lebih mudah.
"Sistem yang menelan kos pemasangan sebanyak RM100,000 itu merupakan idea isteri saya, Datin Safiah Mat Nasir yang mempunyai latar belakang dalam bidang teknologi maklumat," ujarnya yang dibantu seramai 120 orang kakitangan.
Katanya, pelayan akan mencatatkan pesanan pelanggan dan kemudiannya setiap pesanan makanan dan minuman itu akan direkodkan di dalam kad tersebut. Pelanggan hanya perlu memberikan kad itu kepada juruwang apabila membuat pembayaran.
"Pelayan juga tidak perlu bersusah payah untuk mengingati nombor meja pelanggan kerana menerusi sistem kad ini, setiap pesanan dihubungkan terus kepada bahagian yang terlibat.
KONSEP dapur terbuka diaplikasikan di restoran ini.


"Malah, pelanggan juga hanya perlu menekan butang yang disediakan di setiap ruang makan untuk memanggil pelayan restoran," beritahu beliau yang mengamalkan konsep dapur terbuka bagi membolehkan pelanggan menyaksikan sendiri cara operasi di dapur.
Ujarnya, setiap perniagaan pasti ada cabarannya. Beliau juga tidak terkecuali apabila idea untuk mengetengahkan konsep agropelancongan terbabit menerima pandangan negatif.
"Pada mulanya ada individu yang mempertikaikan lokasi restoran ini tetapi saya tidak mempedulikannya kerana percaya keunikan persekitaran yang ditawarkan.
"Malah, ada juga yang cuba meniru resipi yang kami tawarkan tetapi sudah tentu rasanya berlainan.
"Tetapi saya menganggap itu sebagai satu persaingan yang sihat selagi kita boleh mengekalkan konsep sebenar yang dibawa," tambahnya yang menyediakan kemudahan penghantaran untuk pelanggan yang tinggal di sekitar Kulim, Seberang Perai dan Kepala Batas dengan pembelian minimum sebanyak RM50.
Beritahu beliau, pihaknya juga merancang untuk membangunkan 10 buah inap desa dan zoo mini selain membuka cawangan di Kelantan dan Selangor. Beliau turut bercadang mewujudkan peluang francais.
Seorang pelanggan, Zuraidah Mohamed Isa, 34, memberitahu, beliau berkunjung ke restoran itu sejak tahun 2008 lagi untuk mengadakan majlis istimewa.
"Kawasan ini terkenal dengan pusat ternakan kambing.
"Persekitarannya juga sangat santai dan menyenangkan, malah kesemua menu sungguh istimewa serta jarang diperoleh di restoran lain," ujar ibu kepada empat orang anak ini.


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines