Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik |
- Kemuncak pencapaian Hafiz
- Hanez Suraya tetap teruskan saman
- Rizal Ahmad Juara Bintang Nostalgia 2013
- Nora Danish Tersinggung 'Tuduhan' Kumpulan Boboi
- Tak Ada Artis Popular, Filem Tetap Laris - Pengarah 'Laki-Laki'
- Didie Alias lembut hati beri Fizz Fairuz duit
- Farawahida bergelar isteri
- Bendera Bangladesh terbesar di dunia
- Kasut tumit tinggi coklat dijual
- Nicky kini ibu lima anak
- Hero inspirasi kucing jalanan
- Perkahwinan budaya Jovian, Nina Sabrina
- Selera Cina-Thai pikat pelanggan
Posted: 17 Dec 2013 04:45 AM PST KEJAYAAN demi kejayaan telah diraih oleh anak muda kelahiran bumi Sarawak ini. Selepas dinobatkan sebagai juara rancangan pencarian bakat popular, Akademi Fantasia musim ketujuh beberapa tahun yang lalu, Hafiz Suip, 23, seperti enggan berhenti menambah jumlah anugerah dan pengiktirafan menambah portfolio pencapaiannya dalam bidang muzik. Sabtu lalu, penyanyi berbintang Pisces ini sekali lagi mencipta sejarah tersendiri selepas buat julung kalinya berjaya mengungguli Anugerah Industri Muzik ke-20 (AIM 20) dengan membawa pulang tiga anugerah iaitu Album Terbaik, Rakaman Album Terbaik dan Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki). Bagaimanapun, kejayaan yang diterima oleh Hafiz sedikit sebanyak memberikan impak terhadap hasil kerjanya pada masa akan datang. Meraih pelbagai anugerah menuntut pelbagai usaha untuk mengekalkan skala persembahan agar jangkaan penggemar dapat dipenuhi. Anugerah sebagai motivasi Menjadi kurang enak jika pengiktirafan yang diberikan tidak setimpal dengan apa yang peminat harapkan. Akui Hafiz, apa yang diterima setakat ini memberikannya motivasi dalam memberikan yang terbaik pada masa akan datang. "Setelah memenangi banyak anugerah, saya perlu lebih fokus terhadap kerjaya. Saya juga jadikan segala pengiktirafan yang diterima sebagai cabaran untuk masa akan datang. "Bayangkan setelah menerima anugerah-anugerah ini, saya membuat persembahan seperti melepaskan batuk di tangga. Pasti kemenangan saya akan dipertikaikan. Lebih banyak kemenangan yang kita kecapi, lebih tinggi jangkaan orang terhadap kita," ujar Hafiz yang menerima ketiga-ketiga anugerah tersebut menerusi album keduanya, Luahan Hati Anak Seni. Pelantun lagu Bahagiamu Deritaku itu turut menegaskan, apa yang penting adalah minat yang mendalam terhadap apa yang dilakukan. "Saya percaya dengan niat yang betul dan keikhlasan ketika bekerja. Setiap pekerjaan yang dilakukan haruslah didahului dengan minat. Jika kita tahu apa yang kita lakukan, maka apa yang diusahakan akan berhasil," ujarnya lagi. Berkongsi kemenangan Ditebak dengan soalan mengenai kejayaan besarnya pada malam itu, Hafiz berkata, apa yang diterimanya bakal dikongsikan dengan orang lain. "Kemenangan saya pada malam ini bukan sahaja untuk karier saya dalam bidang nyanyian, malah saya turut ingin berkongsinya ini dengan calon-calon lain yang turut sama memperjuangkan seni muzik. "Saya juga ingin berkongsi trofi-trofi kemenangan saya ini dengan para peminat yang tidak putus-putus memberikan sokongan kepada saya. Tetapi trofi ini biar saya simpan di rumah," seloroh jejaka yang pernah terkenal dengan imej rambut afronya suatu ketika dahulu. Jaga suara Sepanjang bergelar penyanyi, kualiti suaranya sering mendapat perhatian ramai. Ketika menyanyikan lagu Ku Akui pada Anugerah Juara Lagu 27, Hetty Koes Endang yang diundang sebagai juri jemputan pada ketika itu berdiri sepanjang dia melakukan persembahan. Hasilnya, dia dipilih sebagai penerima anugerah Vokal Terbaik pada malam itu. Pada AIM20, vokal Hafiz sekali lagi diiktiraf menerusi lagu hitnya, Bahagiamu Deritaku. Tidak begitu menerapkan penjagaan khusus terhadap jagaan vokal, Hafiz berkata, dia hanya mengamalkan pengambilan air masak yang secukupnya setiap hari selepas bangun daripada tidur. "Saya tidak berpantang dalam memilih makanan. Cuma, arwah nenek ada berpesan, air masak sangat bagus untuk kesihatan. Selain baik untuk vokal, air masak juga dikatakan baik untuk tubuh badan. Justeru, setiap kali selepas bangun tidur, saya akan meminum segelas air masak sebelum bersarapan," katanya. Selain itu, Hafiz turut berkongsi petua pelik yang dipelajarinya ketika berada di Jakarta bagi untuk mengubati sakit kerongkong. "Kicap pekat dan air perahan limau. Itu adalah resepi orang-orang di sana untuk mengubati sakit kerongkong. Setelah mencuba, ternyata cara tersebut memang berkesan," ujarnya sambil tersenyum. Kerjasama dengan nama besar Kekerapan kolaborasi antara Hafiz dan nama-nama besar bukanlah asing bagi para peminat. Awal tahun ini, dia muncul dengan single bertajuk Muara Hati bersama penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza. Beberapa bulan kemudian, Hafiz meluaskan legasi duetnya dengan Datuk Rossa menerusi lagu Salahkan. Teruja dengan setiap kolaborasi yang dijayakannya, ujar Hafiz, peluang yang ada perlu dicapai jika mahu meluaskan sayap ke peringkat yang lebih tinggi. "Secara jujur saya memang meminati Siti Nurhaliza. Mendapat peluang berduet dengannya merupakan peluang yang tidak akan saya lepaskan. Sementelah, dia merupakan idola saya dalam bidang nyanyian. "Ketika diberi tawaran untuk menyanyi dengan Rossa pula, saya tidak berfikir panjang. Rossa juga merupakan figura yang prominen dalam industri hiburan di Indonesia. Lagipun, peluang ini turut membuka pintu bagi saya untuk mengembangkan karier di sana," katanya. Kurus bersebab Sejak beberapa bulan yang lalu, penampilan fizikal Hafiz sedikit berbeza. Tubuhnya yang dulu sedikit berisi kelihatan susut dan imejnya pula lebih bergaya dengan potongan rambut baharu. Akui Hafiz, sebagai seorang penghibur, dia harus mementingkan penampilan serta penjagaan kesihatan bagi memberikannya lebih keyakinan ketika melakukan persembahan. "Saya mengamalkan diet yang seimbang serta sering pergi ke gim untuk melakukan senaman kardio. Tujuan saya menguruskan badan bukan kerana tuntutan kerjaya semata-mata. "Ibu dan bapa saya penghidap diabetes. Tidak mustahil saya juga akan mendapat penyakit yang sama pada masa akan datang. Jadi, mungkin risiko menghidap penyakit itu dapat dikurangkan jika saya mengamalkan diet dan cara hidup yang seimbang," ujarnya lagi. | ||
Hanez Suraya tetap teruskan saman Posted: 17 Dec 2013 04:44 AM PST
Namun jelas Hanez, dia bukanlah sengaja mahu mengheret perkara ini jika ia terjadi buat pertama kali, namun setelah diberi amaran dan permohonan maaf dibuat, pengurusnya itu masih berkelakuan sama dan kali ketiga berlaku, dia mengambil keputusan untuk menggunakan khidmat undang-undang bagi mendapat keadilan. "Saya sebenarnya tidak berani untuk mengulas lanjut mengenai kes ini tetapi apa yang penting, kes ini masih berjalan dan kita akan mempunyai tarikh untuk sebutan kes ini. "Dek kerana kejadian ini, saya susah percayakan orang dan kejadian ini banyak memberikan pengajaran buat saya supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah untuk mempercayai seseorang itu," katanya yang ditemui pada majlis pelancaran AuraWhite & AuraMen di KL Sentral, kelmarin. Hanez berkata, biarpun serik untuk mempercayakan orang dan kini sudah mempunyai PA baharu, namun dia tidaklah berdendam dengan PA sebelum ini. "Kami sudah berkawan lama, saya sudah anggap dia macam keluarga dan boleh dikatakan dia amat rapat dengan saya kerana kami selalu ke mana-mana bersama-sama. "Saya tidak berdendam dengan dia (bekas pengurus peribadinya). Cuma saya sedih, orang yang saya pernah percaya dulu buat saya macam ni. Saya rasa tak patut dia buat saya macam ini (fitnah)," jelasnya. Pada 18 November lalu, Hanez memfailkan saman terhadap bekas pembantu peribadinya, Mohd Fairus Mohd Lazim di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur. Aktres Love You Mr Arrogant itu mendakwa dia telah difitnah dan diaibkan Fairus menerusi laman sosial seperti Instagram menerusi akaun 'DashaSultan' dan Twitter menerusi akaun 'Dasha_Sultan'. Tambah Hanez, sebelum ini Fairus ada berjumpanya dan mahu menyelesaikan perkara tersebut di luar mahkamah. Namun kehadiran Fairus tanpa peguamnya menyukarkan keadaan. "Dia ada datang jumpa saya dan minta selesai di luar mahkamah. Tapi dia datang tak bawa peguam. Jadi tak boleh lah nak selesaikan perkara ni. Bagi saya kalau dia minta maaf dengan begitu saja, saya bimbang dia akan mengulangi perbuatannya lagi nanti," katanya. Sambung kontrak Dalam pada itu, ditanya mengenai hubungannya dengan bekas kekasihnya, Awi Rafael, Hanez berkata, biarpun tidak lagi berhubungan, namun dia tetap menjadi penyokong karier bekas kekasihnya itu. "Saya tahu dia ada misi dan visi yang tersendiri untuk berjaya dalam industri seni. "Biar pun kami tidak lagi berhubung, namun saya tidak berdendam apatah lagi bermusuh dengan dia. Saya juga akan tetap menjadi peminatnya dan penyokongnya seperti sebelum ini," ujarnya yang menegaskan masih belum menemui kekasih. Sementara itu, Hanez berkata, dia telah bersetuju untuk menyambung setahun lagi kontraknya sebagai Duta AuraWhite. Katanya, produk tersebut amat bersesuaian dengan kulitnya dan dia juga menggunakan AuraWhite setiap hari. "Bila ditanya adakah saya sudi untuk menyambung kontrak untuk setahun lagi, saya rasa tiada masalah kerana saya percaya dengan produk ini," katanya. | ||
Rizal Ahmad Juara Bintang Nostalgia 2013 Posted: 17 Dec 2013 04:43 AM PST KUALA LUMPUR: Peserta Rizal Ahmad merangkul tempat pertama dalam pertandingan akhir Bintang Nostalgia 2013 yang berlangsung di Auditorium Perdana Angkasapuri di sini, Isnin. Rizal, 39, yang berasal daripada Klang membawa sebuah lagu berjudul Rayuan Maut yang dipopularkan oleh Tiar Ramon dan lagu duet Sejiwa bersama penyanyi Azlina Aziz. Pemenang membawa pulang wang tunai RM 13,000 berserta trofi dan sijil. Rizal turut memenangi persembahan terbaik dan membawa pulang RM1,000. Sementara itu, tempat kedua dimenangi oleh Jamiah Lambet, 54, dengan membawa lagu Bintang Malam daripada Saloma dan Juwita Ku Sayang bersama Musli Ramli. Jamiah membawa pulang wang tunai bernilai RM 9,000 berserta trofi dan sijil. Manakala tempat ketiga dimenangi oleh peserta Hairina Abdul Halim, 50, dan membawa wang tunai RM7,000 bersama trofi dan sijil. Hadiah disampaikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Dan Multimedia, Datuk Dr Rothiah Omar. Pertandingan akhir turut disertai oleh Asiah Dupah, Alias Arifin, dan Shamsiah Mohd Said. Pertandingan Akhir Bintang Nostalgia merupakan anjuran Radio Klasik yang dianjurkan setiap dua tahun sekali dan terbuka kepada peserta berusia 35 tahun ke atas. | ||
Nora Danish Tersinggung 'Tuduhan' Kumpulan Boboi Posted: 17 Dec 2013 04:43 AM PST KUALA LUMPUR: Pelakon Nora Danish tersinggung terhadap Boboi apabila kumpulan lawak itu seolah-olah merendahkan fungsi juri Maharaja lawak Mega yang berlangsung pada Jumaat lalu. Nora atau nama sebenarnya Nora Danish Mohd Hanif, 31, berkata, Boboi yang dianggotai oleh Afdlin Shauki dan Harun Salim Bachik tidak sepatutnya mempersoalkan kredibiliti juri yang tidak mempunyai pengalaman berlawak tetapi dilantik mengadili acara itu. "Ketika Boboi membuat persembahan tersebut, saya serta barisan juri lain terkejut dan wajah kami masing-masing terus berubah. "Jujurnya saya tersinggung dengan Boboi. Saya serta juri-juri lain sayangkan mereka tetapi rasanya mereka tidak patut membuat lawak menyindir sedemikian," katanya. Nora ditemui pada pelancaran sebagai duta produk Sure White Beauty Plus dan C-Glow Factor di Flora Terrace, di sini pada Isnin. Selain Nora Danish, juri tetap program itu ialah Datuk Yusof Haslam, Luna Maya (Indonesia) dan Syed Haikal (Singapore). Rancangan tersebut disiarkan secara langsung pada setiap hari Jumaat pukul 10 malam di Astro Warna. Tambah pelakon filem Bencinta itu, para peserta perlu faham bahawa pihak Astro memilih juri MLM untuk memberi komen berdasarkan sisi pandangan mata mereka sebagai seorang penonton. Bagaimanapun Nora Danish berkata, dia juga faham, para peserta memerlukan juru profesional agar kritikan yang diberi dapat memperbaiki lagi mutu persembahan pada episod seterusnya. "Saya rasa, pihak Astro perlu menerangkan kepada para peserta MLM sebab-sebab kami dipilih. Mungkin ada sesetengah pihak yang tidak berapa jelas. Saya sayangkan Afdlin dan Harun kerana mereka adalah 'otai' dalam industri ini. "Cuma kalau boleh janganlah membuat lawak menyindir kami sebegitu," ujarnya. Sementara itu, Afdlin yang dihubungi mStar Online pula berkata, Nora tidak sepatutnya berasa hati dengan persembahan Boboi kerana sindiran tersebut tidak ditujukan kepada sesiapa. "Menjadi perkara normal dalam bidang lawak apabila seseorang pelawak itu menyindir dalam persembahan mereka. Bagi pelawak, mereka faham dengan situasi tersebut. "Kenapa mereka (juri) tidak anggap persembahan itu hanyalah komedi semata-mata?" soalnya. | ||
Tak Ada Artis Popular, Filem Tetap Laris - Pengarah 'Laki-Laki' Posted: 17 Dec 2013 04:41 AM PST PETALING JAYA: Pengarah filem Ollyn Khadry menyifatkan ketiadaan pelakon-pelakon popular dalam karya terbaharunya iaitu Laki-Laki tidak akan menjejaskan tarikan orang ramai bagi menyaksikan filem tersebut. Ollyn atau nama sebenarnya Ahmad Rusli Mohamed Khadry berkata, barisan pelakon utamanya iaitu Angah (Raja Lawak), Zul Suphian, Adey Syafrien, Mie (Raja Lawak) dan Azriel Ismail sudah cukup membuatkan para penonton terhibur. "Filem ini dihasilkan pada tahun 2011 di mana ketika itu kami memang merancang untuk mengambil pelakon yang dah ada nama. Namun karakter yang diberikan tidak sesuai dengan mereka. "Kemudian selepas membuat uji bakat khas, lima pelakon inilah yang dipilih kerana mereka serasi dengan watak masing-masing. Saya rasa tidak perlulah nama popular untuk melariskan filem. Kerana melihat gelagat mereka sahaja dalam Laki-Laki sudah membuatkan penonton terhibur," katanya kepada mStar Online. Laki-Laki mengisahkan lima lelaki iaitu Abu (Angah), Razak (Zul), Jerry (Adey), Samad (Mie) dan Azman (Azriel) yang sedang berhadapan dengan pelbagai masalah mengikuti sebuah program motivasi untuk membantu menaikkan semangat mereka semula. Bagaimanapun mereka terlibat dalam satu tragedi kapal terbang terhempas sehingga masing-masing terdampar di sebuah pulau kecil. Keegoan masing-masing membuatkan mereka sering bergaduh namun, lama-kelamaan mereka mula bekerjasama bersatu untuk hidup di pulau tersebut. Sementara itu, Ollyn berkata, walaupun Laki-Laki sebuah filem ringan, terdapat pelbagai cabaran yang dilalui sepanjang penggambaran dijalankan. "Filem ini dirakamkan di sebuah pulau kecil di Pulau Pangkor. Bukan mudah kerana ia melibat air pasang surut. "Saya bersama kru terpaksa duduk di atas batu ketika penggambaran kerana air laut dah naik. Mujurlah tidak sukar untuk saya mengendalikan pelakon-pelakon kerana mereka sudah tahu peranan masing-masing," ujarnya. Laki-Laki terbitan Metrowealth Pictures (MIG) akan ditayangkan bermula 19 Disember ini. | ||
Didie Alias lembut hati beri Fizz Fairuz duit Posted: 17 Dec 2013 04:39 AM PST BIARPUN pelakon Fizz Fairuz mengambil keputusan keluar daripada kumpulan Apa Kasih Toq (AKT) selepas tiga minggu berentap di pentas Liga Lawak Superstar (LLS), Didie Alias mendedahkan, pelakon drama Nur Kasih itu tetap mendapat bahagiannya (duit) selepas mereka memenangi tempat kedua pada pertandingan akhir yang berlangsung di Hulu Klang, Ahad lalu. Kumpulan Apa Kasih Toq yang memperoleh ahli baharu iaitu Syafiq Kyle berjaya membawa pulang wang berjumlah RM75,000 manakala juara Liga Lawak Superstar pada malam itu iaitu kumpulan OMG (Sathia, Anas Riduan dan Akim Ahmad) memperoleh hadiah wang tunai berjumlah RM250,000. "Fizz akan dapat duit sebab dia adalah peserta awal kumpulan Apa Kasih Toq," ujar Didie ketika ditemui usai pertandingan tersebut. Mengulas lanjut, kata Didie, bagaimanapun ia terpulang kepada budi bicara Syafiq untuk menyerahkan berapa banyak bahagiannya kepada Fizz nanti. Kumpulan Apa Kasih Toq yang dianggotai oleh pelakon Didie, Fizz dan Kamal Adli berdepan dengan cabaran apabila Fizz mengambil keputusan keluar daripada kumpulan tersebut pada minggu ketiga. Fizz mendakwa dirinya disingkir oleh ahli kumpulannya, namun ada sumber yang mengatakan Fizz bertindak demikian kerana mendapat jemputan oleh pihak Rafflesia menyaksikan perlawanan Liga Inggeris di antara kelab Cardiff City menentang Manchester United (MU) di Cardiff, Wales, United Kingdom. Sementara itu, Syafiq mengakui tertekan mengambil alih tugas Fizz sebagai feeder dalam kumpulan itu. "Sudah tentu saya tertekan sebab saya kena menyesuaikan diri dengan ahli kumpulan Apa Kasih Toq yang jauh berpengalaman. Mujur, Didie, Kamal dan juga Fizz memberi sokongan dan tunjuk ajar," ulasnya lagi. Dalam pada itu, mengulas mengenai kejayaan kumpulan OMG, Sathia memberitahu, duit kemenangan sebanyak RM5,000 akan disalurkan kepada mangsa banjir, manakala RM10,000 pula akan disalurkan kepada rumah anak yatim. "Baki duit tersebut pula akan dibahagikan kepada ahli-ahli kumpulan OMG. Duit yang saya peroleh pula akan digunakan sempena perkahwinan anak kedua yang bakal berlangsung pada 15 Februari nanti," ungkapnya yang berharap dapat melangkah jauh selepas kemenangan OMG itu. Mengulas mengenai program Liga Lawak Superstar yang menguji minda dan kecerdikan pelakon-pelakon itu, Afdlin Shauki pula memberitahu, kemungkinan besar syarikat miliknya, Vision Works Sdn. Bhd. merancang untuk mengadakan musim kedua program tersebut. Pada pusingan separuh akhir kedua Liga Lawak Superstar, kumpulan Aku Diandra (Ilya, Qazeem Nor dan Sheera Iskandar) telah diumumkan sebagai pemenang tempat ketiga dan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM50,000. Kumpulan Aku (Bell Ngasri, Hairi Safwan dan Idzham Ismail) diumumkan sebagai tempat keempat sekali gus membawa pulang wang tunai RM25,000. Bagi pusingan akhir Liga Lawak Superstar, kumpulan OMG dan Apa kasih Toq dikehendaki melakukan lima jenis permainan iaitu Mengecut, Penyanyi Berkepala Tiga, Awal & Akhir dan Karaoke Uncle. Pemenang dipilih berdasarkan 50 peratus markah juri profesional, 30 peratus undian Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) dan 20 peratus lagi juri awam di studio. Liga Lawak Superstar dihoskan oleh Afdlin dan Adibah Noor. Juri profesional pula terdiri daripada Ida Nerina, Vanidah Imran dan Adlin Aman Ramli. | ||
Posted: 17 Dec 2013 04:37 AM PST TAIPING - Semalam merupakan hari paling bahagia buat penyanyi bermata bundar, Farawahida apabila sah dinikah dengan jejaka pilihannya, Abdul Shukur Mohd. Zain. Dengan sekali lafaz, Farawahida Razali, 28, yang popular dengan lagu Tanpamu sah menjadi isteri kepada usahawan, Abdul Shukur, 29. Pasangan tersebut dinikahkan oleh Naib Kadi Air Kuning, Imanuddin Zakaria dengan disaksikan keluarga kedua-dua belah pihak pada pukul 10.30 pagi. | ||
Bendera Bangladesh terbesar di dunia Posted: 17 Dec 2013 04:28 AM PST DHAKA - Seramai 27,117 sukarelawan mengangkat jubin semasa berdiri untuk menghasilkan bendera Bangladesh terbesar di dunia di sini semalam. Kebanyakan sukarelawan tersebut terdiri daripada pelajar mengangkat jubin berwarna hijau dan merah itu berdiri dalam bentuk segi empat. Bentuk bendera Bangladesh tersebut akan kelihatan jika gambar sukarelawan yang mengangkat jubin itu dirakamkan dari tempat tinggi. Acara itu diadakan sempena Hari Kemerdekaan Bangladesh. Negara ini merdeka selepas memenangi peperangan dengan Pakistan selama sembilan bulan pada tahun 1971. | ||
Kasut tumit tinggi coklat dijual Posted: 17 Dec 2013 04:26 AM PST TOKYO - Sepasang kasut tumit tinggi yang diperbuat daripada coklat dan mempunyai hiasan daun keemasan telah dijual kepada orang ramai di sini. Kasut tumit tinggi itu yang dipamerkan di pasar raya Seibu dijual pada harga AS$122 (RM395) bermula semalam. | ||
Posted: 17 Dec 2013 04:24 AM PST DENGUSANNYA laju menyerkap ke pendengaran pengunjung di Taman Safari Bukit Gambang (TSBG), Kuantan, Pahang. Seluruh badan terpejong seketika tatkala mendengar ngauman sepasang pak belang dan mak belang yang menyedari ada jemputan tidak diundang hadir ke istananya. Sosok kenderaan bercorak harimau bintang yang dinaiki pengunjung seperti sudah biasa dilihat oleh haiwan tersebut. Kedua-dua harimau itu terus bersenda tanpa mempedulikan kenderaan yang memasuki wilayahnya. Berbeza sungguh bentuk tubuh Nicky, harimau betina yang pernah mencuri tumpuan orang ramai lapan tahun lalu jika dibandingkan keadaannya kini. Nicky kelihatan bertenaga, tegap dan sihat. Sebelum ini, Nicky yang ditempatkan di Zoo Melaka menjadi mangsa penyeludupan haiwan liar dari Pahang nyaris menjadi menu eksotik sebuah restoran Cina terkemuka di Kuala Lumpur. Nicky bagaimanapun telah diselamatkan oleh Pesuruhjaya Tinggi Perdagangan Malaysia ke Papua New Guinea, Datuk S. H Foo. Ditangkap Foo menyedari mengenai anak harimau itu melalui perbualan rakan-rakannya yang memberitahu bahawa Nicky telah ditangkap oleh penduduk kampung di Rompin, Pahang untuk dijual ke restoran yang menjual makanan eksotik. Beliau mengambil keputusan membeli anak harimau berkenaan dengan sejumlah harga yang dirahsiakan dan menyerahkannya ke Jabatan Perlindungan Hidupan Liar (Perhilitan) Melaka sebelum ia diberi kepada pengurusan Zoo Melaka pada 11 Ogos 2005. Dalam tempoh kurang seminggu berada di Zoo Melaka, Nicky sekali lagi menggemparkan kakitangan zoo tersebut apabila ia dilaporkan hilang. Namun, selepas 62 jam, Nicky yang berumur tiga bulan ketika itu ditemui semula di kawasan semak berhampiran sangkar tempat kuarantin harimau belang di zoo itu. Selepas di tempatkan di zoo tersebut, Nicky menjadi tumpuan orang ramai dan tarikan zoo untuk melihatnya dari dekat. Pengurus TSBG, Shahrul Hizal Hamid berkata, Nicky dipindahkan ke TSBG dari Zoo Melaka bersama pasangan kelaminnya iaitu Dido sejak bulan Disember tahun lalu. "Harimau ni macam manusia juga, kalau berpindah mesti berpasangan. Kita tak boleh pisahkan salah seekor dan dipasangkan dengan harimau yang lain. "Sebenarnya, Nicky sudah lima kali melahirkan anak tetapi hanya lima ekor yang hidup. Secara fitrahnya, harimau betina terdorong untuk makan anak sendiri sebaik dilahirkan," jelasnya ketika ditemui di TSBG baru-baru ini. Menurut Shahrul Hizal, sepanjang tempoh bunting, harimau betina berasa anaknya selamat berada di dalam perut. Jadi, haiwan tersebut memakan anak yang dilahirkan kerana menyangka anak tersebut berada dalam bahaya jika dibiarkan hidup di luar badan si ibu. Sementara itu, rutin hidup Nicky diisi dengan jadual diet yang seimbang dan berdisiplin. Nicky akan diberi makan selama enam hari berturut-turut dan baki sehari lagi dijadualkan untuk berpuasa. Diet yang disediakan untuk Nicky ialah dua ekor ayam sehari selama lima hari, dua kilogram daging pada hari keenam dan Nicky perlu berpuasa pada hari ketujuh. Jadual pemakanan tersebut perlu dipatuhi bagi memastikan tubuh badan Nicky kekal cergas. "Haiwan yang dibela di zoo berbeza dengan haiwan liar di hutan. Harimau di hutan hidup aktif kerana keluar berburu untuk mendapatkan makanan berlainan dengan harimau yang dipelihara. "Harimau di sini kurang bersenam untuk latihan kecergasan. Jadi, amalan berpuasa bagi haiwan liar adalah perkara biasa," ujarnya. Setakat ini, empat ekor anak Nicky daripada kelahiran lalu ditempatkan dalam kandang secara berasingan. Anak-anaknya yang diberikan nama Tam, Ten, Walker dan Johny sudah mencecah umur sembilan bulan. Seekor lagi anak Nicky daripada kelahiran kali keempat ditempatkan di Sungkai, Perak. Ia merupakan satu-satunya anak Nicky dan Dido yang berjaya hidup daripada kelahiran tersebut. Pembantu Renjer, Mohd. Rafizan Ghazali, 28, berkata, beliau bertanggungjawab untuk memastikan kawasan persekitaran tempat tinggal anak-anak Nicky bersih dan jadual pemakanan dilakukan secara teratur. "Saya beri mereka makanan seperti ayam, daging, susu formula dan vitamin. Selain itu, kesemua anak harimau akan dibawa keluar dari kandang untuk berlatih berjalan bagi menguatkan otot kaki dan membiasakan diri dengan manusia. "Latihan melompat atas kerusi pula dilakukan bagi menguatkan tulang anak harimau. Waktu tidur mereka pula adalah selama lapan jam sehari," kata lelaki yang baru bergelar renjer sejak Mac lalu. Anak-anak Nicky akan berada dalam jagaan nurseri selama 12 bulan sebelum boleh dilepaskan ke persekitaran hutan di TSBG. Keempat-empat anak Nicky yang tinggal bersama sejak kecil boleh tinggal bersama sehingga dewasa jika mereka sudah terbiasa hidup bersama. Difahamkan, sebanyak 23 harimau baka Malayan termasuk Nicky dan Dido ditempatkan di safari yang berkeluasan 55.84 hektar itu. Pernahkah anda terfikir bagaimana haiwan peliharaan seperti kucing dan anjing patuh pada tuannya? Konsep yang sama digunakan ke atas haiwan pemakan daging seperti harimau iaitu melalui pemberian makanan dan bau badan penjaga. Harimau dapat mengecam orang yang memberinya makan dan tidak mengancam keselamatan si penjaga. Penjaga harimau juga mengamalkan kaedah menyapu peluh badan mereka pada harimau supaya haiwan tersebut mengenali siapa penjaganya. Selain diberi makanan yang mencukupi, Nicky akan diberikan ubat cacing setiap suku tahun bagi menyingkirkan parasit dalam ususnya. Jika ada luka pada badan pula, Nicky hanya diberi rawatan semburan antibiotik. | ||
Posted: 17 Dec 2013 04:23 AM PST PEMERGIAN kucing kudung bernama Hero pada 24 November lalu akibat penyakit leukemia meninggalkan kesan yang mendalam kepada pencinta haiwan di negara ini. Siapakah boleh melupakan kekejaman yang dilakukan ke atasnya oleh makhluk yang bergelar manusia? Hero kehilangan dua kaki hadapan setelah dipotong oleh individu kejam hanya gara-gara kucing malang itu 'mencuri' ikan mentah di sebuah restoran di Semenyih, Selangor lapan tahun lalu. Laman Facebook Kakimotong Fan Club dilimpahi dengan kata-kata takziah dan semangat kepada pemilik Hero atau lebih dikenali dengan Papa Hero, Mohd. Hairey Yahya. Teladan Satu-persatu ucapan di laman tersebut dibaca, Kosmo! tertarik dengan kisah yang dikongsikan oleh pemilik akaun Facebook, Nazirah Kay yang mungkin boleh dijadikan teladan kepada pembaca. "Semalam, mak cerita pasal orang kampung mendera kucing kerana makan ayam. Adakah patut dia ikat leher kucing itu dan gantung pada pokok? "Bila orang kampung tegur, dia ajak bergaduh dan dia ambil dawai dan cucuk leher kucing itu sampai mati. Selepas mati, dia biarkan sahaja berulat di pokok tersebut. "Tapi, Allah bayar tunai pada dia (orang tersebut) kerana tekaknya sakit dan tidak boleh menelan walaupun sudah dibedah. Suara sudah macam kucing," ujarnya. Satu lagi kisah yang dikongsikan Mira Amifa tidak kurang menyayat hati. Seekor kucing telah mencuri lauk yang akan dijual seorang peniaga pada keesokan harinya. Akibat perasaan geram, peniaga terbabit memberi makanan percuma yang telah dibubuh racun kepada semua kucing di kampungnya. Ekoran kejadian tersebut, terdapat beberapa ekor kucing mati setiap hari hingga menyusahkan orang kampung untuk mengutip dan menanam kesemua kucing berkenaan. Tidak lama kemudian, peniaga terbabit ditimpa penyakit misteri dan meraung seperti kucing dalam kesakitan ketika dia sedang nazak. Sementara itu, pesara kerajaan, Fatimah Ab. Rashid, 59, berkata, beliau mengenali Hero melalui media sejak tahun 2011. Manja "Saya berusaha menghubungi Papa Hero melalui akaun Facebook miliknya lalu membuat temu janji untuk berjumpa. Luluh hati sehingga menitiskan air mata tatkala kali pertama menemui Hero. "Selepas pertemuan itu, keluarga kami menjadi rapat dan saling berkunjung ke rumah masing-masing," ujarnya ketika ditemui di Sydney, Australia baru-baru ini. Bagi Fatimah, sifat Hero yang amat manja menyentuh hati sesiapa yang berpeluang berjumpa dengan kucing berjiwa kental itu. Hero disifatkan amat berhati-hati dengan orang lain mungkin disebabkan trauma akibat dizalimi manusia. Raut wajahnya mampu menerbitkan rasa belas kasihan biarpun individu tersebut tidak suka terhadap kucing. Sepanjang mengenali Hero, Fatimah melihat Hero menunjukkan perasaan sayang ke atas 'adik-adik' kucing terbiar lain yang ada di rumah Mohd. Hairey. Ketika mula-mula mendapat tahu tentang ketiadaan Hero yang pergi buat selama-lamanya, dia tidak berhenti mengalirkan air mata. "Sebelum ini, saya sudah diberitahu bahawa Hero tidak sihat dan dimasukkan ke wad. Tidak sangka begitu cepat dia pergi dan saya amat terkilan kerana tidak sempat menemuinya buat kali terakhir. "Hanya tiga perkataan yang boleh menggambarkan apa yang terjadi kepada Hero iaitu 'manusia yang zalim'," ujarnya dalam nada kesal. Tambah Fatimah, aura yang ada pada kucing jalanan bernama Hero yang dizalimi secara fizikal sangat dan berjaya menyatukan rakyat Malaysia. Media merupakan perantara yang memainkan peranan besar dalam persepaduan tersebut kerana berjaya menonjolkan semangat juang Hero yang cekal. Hero telah menjadi inspirasi kepada orang ramai yang sebelum ini tidak mahu ambil peduli perihal kucing jalanan. Ketika ini, Mohd. Hairey merupakan orang paling terkesan dengan kehilangan Hero. Dia menjaga kucing malang itu seperti anaknya sendiri sehingga ramai kenalan Mohd. Hairey memanggilnya dengan nama Papa Hero. "Ramai yang bersimpati dengan apa yang menimpa Hero. Namun, apa yang orang ramai tidak tahu ialah Hero sebenarnya sumber inspirasi kepada diri saya dan pencinta haiwan yang lain. "Hero disifatkan sebagai penggerak kepada saya dan kawan-kawan untuk meneruskan usaha menyelamatkan haiwan yang teraniaya dan tidak bernasib baik," ujar Papa Hero ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini. Terkini, Papa Hero sedang bergiat aktif dalam menggerakkan satu pertubuhan bukan kerajaan yang didaftarkan secara rasmi di bawah nama Pertubuhan Aktivis Haiwan (HERO) pada 6 Disember lalu. Mereka yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai pertubuhan tersebut boleh ke akaun Facebook, Pertubuhan Aktivis Haiwan - HERO. | ||
Perkahwinan budaya Jovian, Nina Sabrina Posted: 17 Dec 2013 04:20 AM PST DEWAN utama Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur padat dengan jemputan yang kemas berpakaian tradisional Melayu. Tambah unik apabila hadirin yang hadir dari Indonesia tampil dalam persalinan klasik Jawa. Lelaki lengkap berkemeja (beskap) dan songkok (blangkon) manakala perempuan bergaya elegan bersama busana berteras batik. Tetamu acara itu sahaja sudah menjemput pesona, belum lagi melihat dua individu yang diraikan, pasti memukau. Sambil menanti ketibaan raja sehari, seisi dewan melirik tajam gugusan dekorasi yang digubah istimewa sempena resepsi persandingan pereka fesyen terkemuka tempatan, Jovian Mandagie bersama Nina Sabrina Ismail Sabri, anak sulung kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Meskipun ia adalah persandingan kedua (resepsi pertama diadakan pada malam 14 Disember 2013), perincian majlis tetap dirapi sempurna, bermula daripada hiasan dalaman, susun atur meja, pelamin dan pentas hiburan. Tumpuan teralih ke pusat dewan saat pengacara, Adibah Noor mengumumkan ketibaan mempelai perempuan, Nina Sabrina. Gemalai gerak penari-penari Gadung Melati mengiringi setiap langkah Nina Sabrina. Pengantin wanita berusia 26 tahun itu kemudiannya duduk penuh sopan di atas pelamin, wajahnya ditutup kipas tangan berwarna putih. Cantuman budaya Lantas, pahlawan hati Nina Sabrina tampil di tengah-tengah keramaian. Jovian, 27, yang dipimpin ibu bapanya mengorak teruja menuju ke pelamin. Namun tidak sah jika perkahwinan Melayu tanpa 'tol', hentian singkat yang perlu dilepasi pengantin lelaki. Pantun dijawab, usikan diterima, teka-teki diselesaikan lantas halangan terakhir Jovian iaitu tol ketujuh menyaksikan interaksi simbolik antara pengantin lelaki itu bersama bapa mertuanya, Ismail Sabri. Ismail Sabri mengeluarkan keris yang disisip pada sampingnya lalu diserahkan kepada menantunya. Upacara itu menjadi perlambangan kepada penyerahan anak perempuan kepada suami selepas halal bergelar pasangan hidup. Istiadat persandingan Jovian dan Nina Sabrina secara telusnya adalah rangkuman budaya dua negara. Adat Melayu dan Jawa yang mewakili Malaysia dan Indonesia dicantum bijak dari sudut pakaian, dekorasi, hidangan dan hiburan. Malah, penari-penari tradisional pada upacara itu turut diterbangkan khas dari Bali. Adat penyerahan keris itu misalnya, diambil daripada kebudayaan orang Terengganu. Paparan tarian Johor dan Melaka turut diselitkan bagi mewakili nilai Malaysia. Begitu juga aturan hiburan, penyanyi dari dua negara itu dipertemukan di atas satu pentas. Ning Baizura yang dipilih menjadi wajah identiti negara, lunak mengalun lagu tradisional dan moden buat santapan telinga hadirin. Iringan muzik asli Indonesia pula membawa tetamu ke tengah lantai dewan untuk menari dan berhibur beramai-ramai atas nama serumpun. Betapa indah garapan sebuah majlis perkahwinan yang bertulangkan budaya ketimuran. Seperti persandingan di Indonesia, begitu jua adat yang dipinjam Jovian dan Nina Sabrina. Tidak ada upacara merenjis seperti resepsi orang Melayu di sini. Pengantin bersama ahli keluarga hanya berdiri di atas pelamin menyambut salam dan ucapan selamat daripada hadirin yang beratur panjang menanti giliran. Busana Paling istimewa apabila Jovian dan Nina Sabrina membuat keputusan untuk menggabungkan senarai jemputan daripada kedua-dua belah pihak. Perhimpunan keluarga besar dua mempelai itu berjaya membentuk suasana persaudaraan yang erat. "Majlis perkahwinan adalah hari bagi menyatukan setiap ahli keluarga. Ia adalah detik istimewa meraikan cinta," lembut tutur Nina Sabrina menyusun bicara. Mengimbas majlis pernikahan pasangan itu pada 11 Disember lalu di Muzium Diraja Istana Negara Lama, Kuala Lumpur ramai yang memuji persalinan serba sederhana dua mempelai tersebut. Menurut Jovian, busana semua resepsi diilhamkan oleh pasukan perekanya. Mengaku sedikit tertekan dengan jangkaan orang sekeliling, Jovian yang bertindak sebagai perancang utama rekaan persalinan bagi majlis perkahwinannya hanya mahukan yang terbaik untuk isteri dan dirinya. "Selalu saya reka baju kahwin orang, sekarang bila saya kahwin, sudah tentu saya ingin hasilkan rekaan paling sempurna," seri pengantin terlihat jelas pada wajah Jovian ketika ditemui Stailo usai majlis persandingan. Untuk majlis akad nikah, Jovian cuba menghidupkan karakter ringkas Nina Sabrina dengan menekankan idealisme romantik dan manis pada persalinan mereka. Kesamaan Nina Sabrina seperti seorang puteri juga mendorong Jovian memilih konsep kayangan sempena acara memateri cinta itu. Lazim dikenali sebagai pereka gaya avant garde, Jovian bagaimanapun menolak konsep tersebut pada setiap resepsi perkahwinannya. Tiada dres sarat atau baju Melayu bersongket penuh. Bak kata Nina Sabrina: "Kami berdua inginkan busana yang tidak akan lapuk ditelan zaman. Maksudnya, bila kami tua dan tengok kembali foto-foto perkahwinan, pakaian ini masih relevan dan ada nilai merentas zaman." Sehari sebelum persandingan 15 Disember lalu, telah berlangsung resepsi serupa di lokasi yang sama. Namun konsep dekorasi termasuk pelamin bagi dua hari itu adalah berbeza 100 peratus. Begitu juga pakaian, persandingan pertama menyaksikan Jovian dan Nina Sabrina memilih songket Brunei sebagai latar utama persalinan. Suntikan elemen fusion pula diimbangi sempurna menjadikan ia antara busana yang masyhur dijadikan rujukan. Jovian juga banyak bermain dengan teknik liptan (draping) bagi menghasilkan busana Nina Sabrina. Bersiram Persandingan kedua pula memaparkan dua set persalinan. Pada awal acara, Nina Sabrina menyarungkan kebaya Jawa yang dihasilkan dengan cantuman fabrik eksklusif iaitu satin duchess dan renda Perancis. Bagi acara memotong kek dan tarian pertama, Jovian muncul tampan dalam tuksedo putih yang dipadankan bersama celana dan tali leher kupu-kupu hitam. Nina Sabrina pula memukau pandangan apabila memilih untuk mengenakan gaun kembang rona perak dengan perincian bunga dan dedaunan berwarna emas. Bagi memenuhi saranan si ibu, Any Silvana Salim yang berasal dari Indonesia, Jovian mengadakan acara bersiram, berinai dan khatam al-Quran secara serentak. Ketiga-tiga acara itu dilaksanakan dua hari sebelum majlis pernikahan. Nina Sabrina memberitahu, acara bersiram sebelum berkahwin juga dilakukan di beberapa tempat di Malaysia dengan tujuan menaikkan seri pengantin. Antaranya ialah di Perak yang juga kampung halamannya. "Kalau dalam adat Melayu, perempuan perlu berkemban ketika bersiram tetapi kerana saya tidak mahu kelihatan seksi, saya memilih pakaian orang Jawa," kongsi Nina Sabrina yang memakai pelapik dada berasaskan bunga melur pada acara bersiram. Pada sebelah malamnya pula, Jovian dan Nina diraikan dalam upacara berinai berkonsep Arab dan disudahi dengan majlis khatam al-Quran. Sementara itu, masih ada satu lagi resepsi persandingan antara Jovian dan Nina Sabrina di Bera, Pahang. Mengikut perancangan awal, ia sepatutnya diadakan pada minggu depan tetapi mungkin ditunda ke bulan Januari depan ekoran bencana banjir. | ||
Selera Cina-Thai pikat pelanggan Posted: 17 Dec 2013 04:19 AM PST KOMBINASI sajian Cina dan Thailand yang dipertaruhkan Restoran Jade, Hotel Perdana, Kota Bharu, Kelantan merupakan salah satu langkah untuk memikat selera para pelanggannya. Ternyata hotel tersebut membuat pilihan yang tepat memperkenalkan menu tersebut apatah lagi negeri Kelantan bersempadan dengan Thailand tentunya ia bersesuaian dengan selera komuniti Siam atau masyarakat pelbagai kaum di negeri ini yang semakin sebati dengan cita rasa negara jiran itu. Hotel Perdana Kota Bharu yang baru beroperasi baru-baru ini mengumumkan untuk mempromosikan hidangan Cina-Thai sebagai sajian teras di Restoran Jade hotel berkenaan sempena pembukaan restoran itu. Pengurus Pemasaran dan Komunikasi, Nik Adura Zuliana Datuk Nik Abdul Rashid berkata, pelbagai pilihan hidangan ditawarkan secara ala carte termasuk pat pau ayam kukus, daging singto longhai (Daging Singa Menangis), udang goreng dua rasa, ikan goreng lima rasa, tomyam dan sayur campur istimewa. Menu pilihan Katanya, hidangan ayam goreng bawang tanpa tulang, sup sirip ikan yu dengan isi ketam dan ikan kukus ala Siam dan ikan kukus dengan potongan mangga turut menjadi menu pilihan ramai. Di samping itu katanya, mi tom yam makanan laut serta minuman tembikai susu dengan sagu juga disediakan bagi memenuhi cita rasa pelanggan. "Dalam menyediakan semua hidangan, Cef Eh Bau bersama pasukannya, Eh San Eh Rong, Alimi Che Ibrahim dan Chong Tak Sang dipertanggungjawabkan bagi menyedia hidangan tersebut," katanya sempena promosi makanan Cina-Thai di Restoran Jade, Hotel Perdana Kota Bharu baru-baru ini. Menurutnya, Cef Eh Bau yang berketurunan Siam dari Tumpat, Kelantan mempunyai pengalaman tiga dekad dalam penyediaan makanan di restoran. "Antara hidangan lain yang ditawarkan ialah ayam goreng tanpa tulang yang dibalut dengan madu, ikan siakap goreng Taman Jade, tiram pancake, makanan laut Pacific serta goreng cendawan dan kerang boleh dinikmati apabila menjamu selera di hotel ini," katanya. Tambahnya, semua hidangan yang disediakan menggunakan bahan segar yang diperoleh dari sekitar negeri ini bagi mengekalkan rasa asli masakan. Pelanggan katanya, boleh membuat tempahan tiga meja dalam bilik khas atau di kawasan restoran terbuka yang boleh menampung sehingga 100 orang. Restoran ini mendapat pengikitirafan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). |
You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |