Selasa, 10 Disember 2013
Rogol Kawan Adik
Angkara gagal kawal nafsu dan bertindak merogol sahabat adik sendiri, seorang buruh dihukum penjara 14 tahun dan tiga sebatan oleh mahkamah sesyen
Kota Bharu: Seorang buruh menangis selepas dijatuhi hukuman penjara 14 tahun dan tiga sebatan di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, selepas didapati bersalah merogol seorang remaja perempuan berusia 13 tahun.
Hakim Mohd Yusoff Yunus membuat keputusan itu terhadap tertuduh, Mohd Khairul Anuar Sulaiman, 22, yang berasal dari Melor, di sini, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didapati merogol mangsa berusia 13 tahun dan empat bulan dengan tiada kerelaannya di kawasan hutan di Kampung Kubang Laka, Melor, di sini, pada jam 4.30 petang, 7 Oktober 2010.
Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 30 tahun serta boleh dikenakan sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya Asmah Azhari mengendalikan kes pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Zubairi Salleh.
Mengikut fakta kes, mangsa sebelum kejadian ke rumah rakannya jam 2 petang di kampung terbabit untuk membuat kerja rumah dan sebaik tiba, tertuduh yang juga abang kepada rakannya turut berada di rumah.
Ketika mangsa hendak pulang menaiki basikal pada jam 4.30 petang, tertuduh tiada di rumah itu, namun mangsa terserempak dengannya di kawasan hutan bersemak dan menahannya di situ.
Tertuduh kemudian menarik mangsa ke dalam hutan dan mengugut serta mencekiknya selain berkata, ‘Nak hidup atau mati?’ dan mangsa menjawab, dia mahu mati sebelum dirogol serta ditinggalkan di hutan terbabit.
Mangsa mencari jalan keluar hingga sampai di tepi jalan dan pulang ke rumah kakaknya sebelum menceritakan kejadian itu.
Kakaknya membuat laporan polis dan mangsa dibawa menjalani pemeriksaan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) dan tertuduh ditangkap pada hari sama.
Berita dari: HM