SUNGAI PETANI - Seorang gadis berusia 16 tahun sanggup menggunakan alasan bapanya sakit lumpuh ketika diminta menghubungi waris akibat dicekup bersama teman lelaki di sebuah taman rekreasi, di sini, kira-kira jam 11.15 malam kelmarin.
Seorang lagi gadis berusia 18 tahun ditemui dalam keadaan berbalut selimut kerana didapati tanpa seurat benang ketika serbuan dilakukan di sebuah rumah tumpangan di sekitar bandar ini kira-kira jam 3 pagi semalam.
Itu antara situasi yang berlaku ketika operasi cegah maksiat dilakukan anggota penguatkuasa Pejabat Agama Daerah Kuala Muda yang bermula tengah malam kelmarin sehingga awal pagi semalam.
Rondaan di kawasan panas
Pegawai Agama Daerah Kuala Muda, Sheikh Radzi Abd Mutalib yang mengetuai operasi berkata, operasi dijalankan 16 anggota penguatkuasa itu turut mendapat kerjasama daripada Pejabat Agama Daerah Yan dan Pejabat Agama Daerah Kulim.
Menurutnya, rondaan dilakukan di kawasan ‘panas’ selain tempat rekreasi dan rumah tumpangan sekitar Sungai Petani.
Sementara itu, Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah Kuala Muda, Zaiferi Zainul Abidin berkata, tinjauan ke lokasi panas dekat sebuah taman rekreasi menemui beberapa pasangan kekasih yang berkelakuan tidak sopan termasuk duduk berdua-duaan dalam keadaan gelap.
Menurutnya, alasan yang digunakan seorang gadis berusia 16 tahun dengan mengatakan bapanya terlantar akibat lumpuh semata-mata bertujuan mahu meraih simpati penguatkuasa selain mahu ‘melepaskan diri’ dari dikenakan tindakan.
“Perempuan itu yang dicekup bersama kekasihnya berusia 18 tahun ditemui dalam keadaan mencurigakan di sebuah kerusi dalam taman rekreasi terbabit,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, alasan itu hanyalah rekaan semata-mata kerana bapa yang dimaklumkan lumpuh pada mulanya telah tampil bagi memberi keterangan setelah dihubungi pejabat agama.
Menurut Zaiferi, selain pasangan terbabit, dua lagi pasangan turut dikenakan tindakan sama apabila mereka diberi amaran dan saman ketika ditemui dalam keadaan mencurigakan dekat Jeti Semeling.
"Tindakan dilakukan mengikut Seksyen 5 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (Kedah) 1988 iaitu melakukan perbuatan atau kelakuan tidak sopan di tempat awam waktu siang dan malam.
"Sekiranya disabitkan kesalahan, hukuman denda sebanyak RM1,000 atau penjara selama enam bulan atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan," katanya.
Menurutnya, sekurang-kurangnya 10 pasangan kekasih yang ditemui turut diberi amaran oleh penguatkuasa agama.
Memadu kasih di rumah tumpangan
Sementara itu, katanya, operasi diteruskan ke rumah tumpangan sekitar pusat bandar yang turut menjadi tumpuan pasangan kekasih melampiaskan nafsu.
Katanya, serbuan ke atas sebuah bilik pada jam 2.45 pagi semalam mendapati pasangan kekasih masing-masing berusia 23 tahun sedang bermadu kasih dalam bilik berkenaan.
“Difahamkan, kedua-duanya baru sahaja selesai menghadiri sebuah majlis keramaian yang diadakan pada malam tadi (semalam) sebelum salah seorangnya berasa sakit kepala dan letih.
“Keadaan itu dijadikan alasan mereka yang menetap di Pulau Pinang kerana tidak dapat pulang dan bermalam di rumah tumpangan terbabit,” katanya.
Menurut Zaiferi, serbuan ke atas bilik berikutnya mendapati seorang gadis berusia 18 tahun menutupi keseluruhan badannya dengan kain selimut kerana dipercayai berada dalam keadaan bogel.
“Pasangan kepada kekasih berusia 23 tahun ini dikatakan bekerja sebagai nelayan dan menetap di sempadan Pulau Pinang juga memberi alasan baru pulang dari majlis keramaian sama,” katanya.
Hasil siasatan selanjutnya mendapati sebuah bilik yang dihuni pasangan kekasih remaja turut diserbu.
“Kami menunggu hampir 10 minit sebelum pintu dibuka setelah amaran keras diberikan beberapa kali,” katanya.
Menurutnya, apabila disiasat, seorang wanita berusia 22 tahun berasal dari Tikam Batu berada di dalamnya, turut ditemui, kekasihnya berusia 29 tahun dikatakan berasal dari Pulau Pinang.
Hasil pemeriksaan lanjut dalam bilik pasangan berkenaan turut menemui berus serta ubat gigi yang baru dibeli dalam beg plastik dipercayai digunakan pasangan terbabit.
Menurutnya, laporan polis berhubung ketiga-tiga pasangan dibuat di Balai Polis Sungai Petani sebelum kesemuanya dibawa ke pejabat agama untuk tindakan selanjutnya.
Tindakan tersebut dilakukan mengikut Seksyen 9 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (Kedah) 1988 iaitu bersekediaman, bersekedudukan, berkurung, bersembunyi atau bersama wanita bukan mahram.
Hukuman denda RM2,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya atau ditahan di rumah kebajikan selama tiga tahun boleh dikenakan sekiranya didapati bersalah.
Pantau anak, bawa sijil nikah
Sementara itu, Radzi menasihatkan ibu bapa atau penjaga memantau pergerakan anak-anak terutama remaja agar tidak terjebak dalam perbuatan maksiat.
Beliau berkata, bagi pasangan yang sudah bernikah, mereka diminta agar sentiasa membawa sijil pernikahan bagi mengelakkan dikenakan tindakan.
“Ketika serbuan dilakukan, turut menjumpai pasangan berkahwin yang menghuni rumah tumpangan, bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi apabila kedua-duanya tidak membawa sijil nikah,” katanya.
Menurutnya, keadaan lebih rumit apabila penguatkuasa terpaksa mengambil tindakan sebelum membuat carian atau pemeriksaan pendaftaran perkahwinan di pejabat agama terlibat.