Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik |
- Rozita Gayakan Barang Kemas RM11 Juta Pada Malam Berinai
- Tenang tanpa kontroversi
- Gosip Bercumbuan Calar Hati Keluarga - Tasha Shilla
- Skandal Isteri Orang, Adi Putra Jumpa Media Esok
- Selepas Syiling 5 Sen Erma Beri Rabecca Wang RM1 Pula
- Ramli Sarip Buat Konsert Untuk Bantu Teman
- Finalis ANTM 20 Mahu Kembang Kerjaya Di Asia
- Ramona Zamzam kena pukul?
- Azad - Eira kerja keras demi keluarga
Rozita Gayakan Barang Kemas RM11 Juta Pada Malam Berinai Posted: 11 Dec 2013 04:44 AM PST SHAH ALAM: Pelakon Rozita Che Wan tampil menawan apabila menggayakan barangan kemas tajaan Habib Jewels bernilai RM11 juta sempena malam berinai yang berlangsung di Dewan N'Dah Shah Alam di sini, malam Selasa. Rozita atau lebih mesra dengan sapaan Che Ta, 40, memasuki dewan kira-kira pukul 9 sambil menggayakan kebaya moden berwarna ungu gelap rekaan Rizman Ruzaini ditemani bakal suaminya aktor Zain Saidin, 29. Pelakon drama Kiah Pekasam itu menggayakan barangan kemas pertama delima terdiri daripada tiara berlian, dua bentuk cincin, sepasang anting-anting labuh, rantai leher dan dua pasang rantai tangan bernilai RM6.5 juta. Duduk di atas pelamin yang dihiasi bunga putih, Rozita dan Zain turut memakai inai tajaan My Beautiful Henna. Selepas selesai majlis berinai, pasangan tersebut menukar persalinan kedua dari rona putih rekaan Bianco Mimosa. Pada sesi kedua itu Rozita turut menggayakan set berlian merangkumi sebentuk tiara, cokar mutiara kuning dan berlian, dua bentuk cincin berlian kuning, sepasang anting-anting labuh serta dua pasang rantai tangan berlian lebar bernilai RM5 juta. Seramai 200 orang tetamu hadir yang terdiri daripada ahli keluarga terdekat, media dan rakan-rakan artis antaranya Datuk Aznil Nawawi, Ayu Raudhah, Sharifah Shahora dan Mazlan Pet Pet. Sementara itu, anak sulung kepada Rozita, Ammar Effendy, 17, gembira ibunya bakal mengakhiri zaman jandanya dan berharap kebahagiaan tersebut kekal ke akhir hayat. "Tiada apa yang lebih penting dari melihat ibu gembira dan Uncle Zain juga saya lihat seorang yang bertanggungjawab dan baik hati," katanya. Pasangan itu akan dinikahkan pada malam Rabu di Pusat Konvensyen Setia City di sini selepas solat Maghrib. | ||
Posted: 11 Dec 2013 04:43 AM PST TERKEJUT seketika apabila melihat perubahan diri pelakon Tiz Zaqyah ketika bertemu dengannya semasa majlis pelancaran program kesedaran mencegah kanser, May Cares For You 2 yang berlangsung di Giant Hypermarket, USJ 1, Subang Jaya baru-baru ini. Manakan tidak, ketika membuat kemunculan dalam majlis berkenaan sebaik sahaja namanya diumumkan oleh pengacara, kelihatan susuk tubuh badannya yang semakin berisi sekarang, tetapi masih kekal jelita. Apabila ditanya mengenai perkara tersebut kepada empunya diri, pemilik nama sebenar Siti Zaqyah Abdul Razak itu lantas tertawa dan tidak menafikan sedang melalui pertambahan berat badan. "Memang ramai menegur perubahan fizikal saya yang kini semakin berisi, malah ada beberapa orang pengarah yang meminta supaya saya menurunkan berat badan supaya tidak menjejaskan kerjaya saya. "Tidak dinafikan ia agak memberi tekanan apabila mendapat banyak teguran, tetapi saya enggan terlalu memikirkan sangat sehingga membuat fikiran saya menjadi bertambah kusut," ujarnya. Mengakui tidak pernah mengambil berat tentang pengambilan makanan, Tiz beranggapan bahawa perkara yang lebih penting adalah mempunyai keyakinan yang tinggi apabila berada di depan kamera serta bersyukur dengan keadaannya sekarang. Berkenaan dengan kisah dirinya yang kurang diperkatakan serta jarang dikaitkan dengan cerita kontroversi sejak kebelakangan ini, pelakon itu merasakan ia merupakan satu petanda yang cukup positif. Tidak kisah apabila cerita mengenai dirinya jarang dipaparkan di dada-dada akhbar atau majalah, dia melihat keadaan tersebut membuatkan dirinya dapat memberi sepenuh tumpuan kepada kerjaya lakonannya. "Saya berasa cukup tenang sekarang kerana tidak perlu menjawab pelbagai persoalan apabila timbul sesuatu cerita mengenai diri saya. "Adakalanya berasa penat juga untuk melayan setiap pertanyaan yang diajukan, terutamanya yang membabitkan kisah peribadi. "Apabila kisah peribadi saya lebih menjadi tumpuan, seolah-olah orang lupa terhadap pekerjaan saya sebagai pelakon. Saya lebih gemar kalau dikenali ramai kerana produk yang bermutu dan mendapat sambutan penonton," jelasnya. Menurut Tiz, dia juga sangat berpuas hati dengan perjalanan kariernya sepanjang tahun ini memandangkan tawaran yang tidak henti-henti serta setiap drama bersiri lakonannya seperti Sebenarnya Saya Isteri Dia dan Jodoh Itu Milik Kita begitu diminati ramai. "Secara jujurnya, saya merasakan tahun ini adalah yang terbaik buat diri saya sepanjang bergelar pelakon. Selain karier yang semakin berkembang, saya jarang dikaitkan dengan gosip dan keadaan sedemikian cukup menyenangkan diri saya," ujarnya. Sementara itu, bercerita lebih lanjut mengenai projek terbaharunya sekarang, pelakon yang baru pulang dari New York, Amerika Syarikat untuk menjalani penggambaran telemovie Oh! My English bulan lalu berkata, selepas ini dia akan terbabit dengan drama bersiri berjudul Chef. Jelasnya, drama bersiri sepanjang 60 episod itu akan menampilkan dirinya bersama Aaron Aziz dan seorang pelakon terkenal dari Filipina iaitu Jericho Rosales dan akan memulakan penggambaran dalam tempoh terdekat. Berlakon teater Biarpun sudah tampil agak cemerlang di kaca televisyen dan layar perak, Tiz menyatakan dia menanam impian untuk tampil di pentas teater dan berharap ia bakal direalisasikan pada tahun 2014. Menurut pelakon yang mula dikenali ramai menerusi drama bersiri Nur Kasih itu, sebelum ini dia pernah menerima tawaran berlakon teater, tetapi terpaksa ditolak lantaran jadual kerja yang tidak mengizinkan. "Sebagai seorang pelakon, saya merasakan ia adalah suatu langkah yang paling berkesan untuk mengasah lagi bakat lakonan yang sedia ada serta cabaran yang dilalui juga nyata jauh berbeza. "Tidak kisah sama ada pementasan teater berskala kecil atau besar kerana apa yang lebih penting ialah pengalaman yang dilalui itu pastinya lebih berharga untuk perkembangan karier saya," ulasnya mengenai impian yang sudah terpendam sejak sekian lama itu. Selain berhasrat mahu berlakon teater, pelakon cantik itu juga menyatakan bahawa pada tahun hadapan dia mahu kembali berlakon filem setelah kali terakhir tampil di layar perak pada 2012 menerusi filem Cinta Kura-Kura. "Pada tahun ini saya memang lebih banyak tampil dalam drama bersiri membabitkan episod yang panjang serta penggambaran yang dilakukan pula mengambil masa selama beberapa bulan. "Itu adalah salah satu faktor yang menyebabkan saya tidak terlibat dalam penggambaran filem sekarang. Mungkin saya akan kurangkan berlakon drama bersiri yang panjang dan bersedia menerima sebarang tawaran lakonan untuk filem pula," ujarnya. Enggan terburu-buru Meskipun menyatakan keengganannya untuk bercerita tentang hal-hal yang bersifat peribadi, Tiz tetap terbuka dan sudi bercerita mengenai perkembangan terkini hubungannya dengan kekasih yang dikenali sebagai Daniel Haziq. Menurut Tiz, buat masa ini hubungan mereka berdua masih lagi berjalan seperti biasa, namun masih belum ada lagi sebarang perancangan untuk mendirikan rumah tangga. "Dengan pelbagai cerita membabitkan masalah rumah tangga serta penceraian yang dialami banyak pasangan membuatkan saya seperti agak takut pula untuk berkahwin sekarang. "Lagipun saya enggan terburu-buru melalui fasa alam perkahwinan dan tidak meletakkan sebarang sasaran untuk berkahwin dalam tempoh tertentu. Kalau sudah ditakdirkan jodoh saya dengan kekasih, pastinya kami akan tetap berumah tangga," ujar pelakon yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-25 pada 25 Oktober lalu. Jelasnya, dengan kesibukan dirinya dan kekasih ketika ini membuatkan masing-masing mahu lebih fokus terlebih dahulu kepada kerjaya dan akan memberitahu kepada umum sekiranya mereka sudah bersedia untuk berkahwin. | ||
Gosip Bercumbuan Calar Hati Keluarga - Tasha Shilla Posted: 11 Dec 2013 04:43 AM PST PETALING JAYA: Pelakon Tasha Shilla berkata tuduhan kononnya dia bersikap kurang sopan apabila bercumbuan dengan individu bernama Hans di sebuah kafe hotel terkemuka telah mencalarkan hati keluarganya. Tasha atau nama sebenarnya Natashasheila Abdul Razak, 26, berkata, walaupun ibu dan ayahnya tidak menunjukkan perasaan sedih di depannya, namun dia tahu gosip tersebut pasti membuatkan kedua-dua mereka berasa sedih. "Ibu dan ayah mana yang tidak sedih apabila anak mereka digosipkan dengan perkara-perkara memalukan? "Sudahlah sebelum ini ada berita kononnya saya ditangkap khalwat. Sekarang pula, saya dikatakan bercumbuan di khalayak ramai. "Walaupun mak dan ayah tahu cerita sebenar, tetapi mereka terpaksa berdepan pelbagai persoalan daripada rakan-rakan dan saudara. Mujurlah mereka faham dan percayakan saya," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini pada Selasa. Pada 4 Disember lalu, sebuah akhbar melaporkan Tasha bercumbuan dengan Hans di sebuah kafe hotel terkemuka. Bagaimanapun Tasha menafikan sekeras-kerasnya perkara itu yang disifatkannya sebagai tidak masuk akal apabila melakukannya di tempat awam lebih-lebih lagi ketika menghadiri majlis rasmi. Sementara itu, pelakon yang popular menerusi drama Cinta Bertamu Di Abu Dhabi ini menyifatkan sikapnya yang mudah mesra dan tidak melenting membuatkan ada segelintir pihak sengaja mengambil kesempatan mengada-adakan cerita buruk mengenainya. "Saya seorang yang tidak mudah melenting dengan apa-apa isu yang timbul. Tetapi janganlah 'provoke' saya dengan cerita-cerita rekaan sendiri. Kalau nak cakap isu ini telah mencalarkan nama saya, rasanya gosip sebelum ini lagi teruk. "Tapi sampai bila gosip-gosip buruk sebegini mahu berterusan? Selagi saya boleh tahan, saya tahan. Tetapi bagaimana dengan mak dan ayah? Jangan sampai saya terpaksa mengehadkan kemesraan saya bersama orang sekeliling saya," tuturnya. Dalam perkembangan lain, Tasha bakal sibuk dengan penggambaran drama Dinginnya Sahara bersama aktor Afiq Muiz di Bandung, Indonesia pada pertengahan bulan ini. Manakala pada tahun depan, Tasha akan bergandingan bersama Nazim Othman menerusi drama Gerimis Salju, di mana penggambarannya akan dijalankan di Korea Selatan. "Alhamdulillah, setakat ini gosip-gosip buruk tidak pernah menjejaskan kerjaya saya. "Saya percaya apabila mempunyai disiplin dalam kerja, kita akan mendapat kepercayaan daripada penerbit," ujarnya yang juga terlibat dengan klip video kumpulan baharu iaitu Bendang. | ||
Skandal Isteri Orang, Adi Putra Jumpa Media Esok Posted: 11 Dec 2013 04:41 AM PST PETALING JAYA: Pelakon Adi Putra yang didakwa mempunyai skandal dengan isteri orang akan memberi penjelasan berhubung perkembangan isu itu kepada pihak media pada malam Khamis (malam esok). Adi atau nama sebenarnya Mohamed Hadi Putera, 32, berkata, isu tersebut yang sudah pun menjadi kes polis akan diperjelaskan menerusi sebuah sidang media khas di Pusat Dagangan Dunia Putra pada pukul 8 malam. "Saya akan mengadakan sidang media khas menjelaskan segala-galanya berhubung kes (skandal) tersebut," katanya ringkas menerusi mesej yang dikirimkan melalui aplikasi sosial 'WhatsApp' kepada mStar Online di sini, petang Rabu. Adi bagaimanapun enggan mengulas panjang berhubung sidang media itu sebaliknya meminta pihak media hadir bagi mendapatkan penjelasannya. Pada 5 September lalu, Adi dikatakan saling berbalas mesej dan bertukar gambar lucah dengan seorang wanita yang berusia 30 tahun walaupun baru seminggu berkenalan Adi dikatakan berkenalan dengan wanita terbabit menerusi laman sosial Instagram dan kemudian mereka kerap berbalas mesej melalui WhatsApp sejak 29 Julai lalu. Suami kepada wanita itu mengesan hubungan mereka selepas dia terbaca SMS (khidmat pesanan ringkas) ketika berada di sebuah restoran makanan segera di Jalan Skudai-Pontian, awal Ogos lalu sehingga mendorongnya membuat laporan polis. Difahamkan pihak polis telah merampas telefon bimbit milik mereka untuk dihantar ke makmal untuk tindakan selanjutnya. Bagaimanapun Adi Putra dalam sebuah akhbar sebelum ini menafikan dia menggunakan pengaruh golongan VIP untuk menutup kes berkenaan. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan. | ||
Selepas Syiling 5 Sen Erma Beri Rabecca Wang RM1 Pula Posted: 11 Dec 2013 04:40 AM PST PETALING JAYA: Selepas dikejutkan dengan penerimaan wang syiling 5 sen berjumlah RM11,200, Rabecca yang menang saman terhadap Erma Fatima menerima pula wang kertas RM1 dengan jumlah yang sama daripada pengarah drama itu. Rabecca, 27, berkata, dia menerima wang itu melalui pejabat peguamnya iaitu Nordin Othman pada pukul 10 pagi Selasa selepas dia bertindak memulangkan syiling 5 sen yang diterimanya sebelum ini. "Tidak mengapa, jika cara itu dapat memuaskan hati insan bernama Fatimah Rahmad (Erma), saya reda. "Hanya Allah sahaja yang dapat membalas segala-galanya, syukur Alhamdulillah," kata Rabecca menerusi pesanan khidmat ringkas (SMS) yang dikirimkan kepada mStar Onlinepada Selasa. Pada 8 November lalu, Rabecca berjaya memenangi kes tuntutan terhadap Erma Fatima apabila Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mengarahkan pengarah dan penerbit drama itu mengembalikan baki jumlah wang lakonan Rabecca sebanyak RM11,200 (40 peratus berserta lima peratus faedah) daripada bayaran selain membayar kos guaman kepadanya. Kedua-dua artis itu sebelum ini pernah bertegang urat apabila Erma selaku pengarah drama Dejavu Di Kinabalu gagal melunaskan baki bayaran lakonan pelakon itu sebanyak 40 peratus sehingga menyebabkan Rabecca memfailkan saman pada 23 Julai 2013. Bagaimanapun pihak peguam Erma bersama beberapa pembantu menyerahkan wang tuntutan berkenaan menggunakan wang syiling 5 sen di pejabat Nordin yang dimasukkan dalam beberapa bungkusan termasuk sebuah kotak yang terdapat Al-Quran. Namun, pihak Rabecca pula memulangkan wang tersebut kepada Erma dan meminta penerbit dan pengarah itu membayar wang tuntutannya dengan cara berhemah iaitu tidak menggunakan syiling. Sementara itu, tambah Rabecca, dia menerima wang tersebut dengan hati yang terbuka kerana enggan memanjangkan lagi isu tersebut. Dia juga tidak mahu lagi dikaitkan dengan Erma sebaliknya ingin memberi fokus terhadap kerja amal di mana dia akan berada di Kuantan, Pahang pada petang Rabu (hari ini) bagi membantu mangsa-mangsa banjir. "Saya akan bertolak ke Kuantan pada pagi Rabu untuk membantu dan berjumpa dengan mangsa-mangsa banjir. Doakan yang baik-baik ya," ujarnya. | ||
Ramli Sarip Buat Konsert Untuk Bantu Teman Posted: 11 Dec 2013 04:39 AM PST KUALA LUMPUR: Atas rasa prihatin terhadap rakan seperjuangan yang mengalami kesulitan hidup, Datuk Ramli Sarip bakal mengadakan konsertnya, Blues Buat Teman Tour 2014 pada 19 Januari 2014 bagi membantu teman-temannya itu. Mereka adalah Yazit (Search), Hamid (Black Dog Bone) dan balu kepada Allahyarham Samad Mian (Lefthanded). Ramli, 61, berkata, hatinya mula terdetik untuk mengadakan konsert selepas terlihat foto Samad dan terus merancang ingin mengumpul dana bagi membantu mengurangkan beban rakan-rakan seperjuangannya itu. "Konsert ini merupakan satu penghargaan buat para pemuzik yang pernah terbabit dalam rakaman album Alive (2000) di Synchrosound Studio, Petaling Jaya. "Ia sebagai satu dedikasi kepada Allahyarham Samad serta Yazit dan Hamid yang menghadapi masalah kesihatan. "Saya mula terfikir mengadakan konsert ini selepas melihat gambar-gambar lama saya bersama mereka dan selepas setahun merancang, Alhamdulillah ia akan dilaksanakan pada tahun depan di 10 buah lokasi seluruh negara," katanya. Ramli ditemui pada majlis sidang media konsert Blues Buat Teman Tour 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini pada Selasa. Turut hadir barisan pemuzik yang terlibat dengan konsert berkenaan iaitu Man Kidal sebagai gitaris, Tom Anuar (dram) Fauzie Zain (Bass), Roza Rasul (Keyboard) dan Paang Zaman (perkusi). Tambah Ramli, dia merancang untuk menyumbangkan kesemua wang tiket kepada tiga rakannya itu dan bersyukur apabila pemuzik-pemuzik serta kru konsert tersebut setuju dengan cadangan itu. "Alhamdulillah, apabila niat kita baik, semuanya dipermudahkan. "Kalau nak tahu konsert ini tiada penaja dan kami adakan konsert ini bagi mengumpul dana tanpa memikirkan wang gaji sendiri. Bukan saya sahaja, tetapi seluruh produksi dan pemuzik sanggup berkorban untuk mengumpulkan dana," ujarnya. Dalam pada itu, sebuah lagu Blues Buat Teman juga akan dihasilkan dan akan dipersembahkan pada konsert jelajah tersebut. Konsert jelajah itu akan bermula di Hard Rock Cafe di sini pada 19 Januari 2014, diikuti dengan sembilan negeri lain iaitu Sarawak (14 Februari), Sabah (16 Februari), Pulau Pinang (23 Februari), Perak (1 Mac), Terengganu (7 Mac), Kelantan (8 Mac), Melaka (14 Mac), Johor (28 Mac) dan Singapura (29 Mac). Untuk keterangan lanjut, hubungi 013-2633938 | ||
Finalis ANTM 20 Mahu Kembang Kerjaya Di Asia Posted: 11 Dec 2013 04:38 AM PST KUALA LUMPUR: Lima finalis program realiti America's Next Top Model musim ke-20 (ANTM 20) berhasrat untuk mengembangkan kerjaya model mereka di Asia selepas rancangan itu tamat. Chris Hernandez, Cory Hindorff, Jourdan Miller, Marvin Cortes dan Renee Bhagwandeen berkata, mereka melihat pasaran untuk model dari Amerika Syarikat di Asia sangat besar selain menyenangi penduduknya yang ramah dan merendah diri. "Kami berpeluang menjalani penggambaran ANTM di Bali, Indonesia dan sangat teruja dengan keindahan Asia. "Malaysia adalah negara kedua yang kami lawati dan jatuh cinta dengan keramahan dan kebaikan masyarakat berbilang kaum di sini. "Kami merancang untuk mengintai peluang di Asia kerana yakin boleh mengembangkan kerjaya di rantau ini, " kata Marvin mewakili rakan-rakannya kepada mStar Online. Mereka ditemui ketika melawat ke butik Guess dan sesi bertemu peminat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, Selasa. Lima finalis tersebut berada di Kuala Lumpur untuk meraikan kerjasama di antara jenama Guess dan America's Next Top Model yang akan diadakan di The Butter Factory di sini. Tambah Jourdan, pasaran di Amerika Syarikat terhadap model berkulit putih dan berambut perang sangat terhad kerana persaingan tinggi dan mereka sedar tidak akan berjaya jika hanya mengharapkan pasaran di negara sendiri. "Jika model dari Asia pergi ke Amerika mereka akan mendapat tempat kerana kelainan yang ada pada mereka dan begitu juga sebaliknya," ujarnya. Dalam pada itu, Chris memberitahu, pengalaman memasuki pertandingan tersebut adalah paling berharga buatnya dan rakan-rakan kerana mendapat tunjuk ajar daripada supermodel terkenal, Tyra Banks. Jelas Chris, program itu telah mengubah diri mereka yang sebelum ini ada di antaranya datang daripada keluarga miskin dan tidak mempunyai pekerjaan. "Saya sendiri tidak pernah menyangka berpeluang melawat Malaysia dan mengenali keindahan budaya di negara ini. Pengalaman berada di ANTM benar-benar mengubah hidup kami semua," jelasnya. Dalam pada itu, kelima-lima peserta top 5 ANTM 20 itu berpeluang menaiki tren Transit Aliran Ringan (LRT) dari stesen Kelana Jaya menuju ke KLCC selepas ke udara di Red FM pada sebelah pagi. Sepanjang perjalanan, mereka mengambil peluang beramah mesra dengan penumpang-penumpang LRT sebagai salah satu aktiviti Random Act of Kindness yang dianjurkan oleh Red FM. "Aktiviti ini sangat menyeronokkan kerana selain berpeluang berbuat baik kepada masyarakat, kami dapat mendekati masyarakat Malaysia yang begitu ramah dan baik. "Kedatangan kami disambut dengan meriah dan tidak sangka ramai mengenali kami di sini," kata Cory. Random Act of Kindness Red FM adalah acara bulanan di mana penyampainya JJ dan Lil Kev akan berkongsi aktiviti yang sarat dengan mesej untuk menggalakkan amalan murni. Turut serta dalam lawatan itu adalah penyampai radio Red FM seperti Lil Kev, Joanne Kam, Papi Zak, Mynn Lee dan Fiqrie. Chris, Cory, Jourdan, Marvin dan Renee adalah lima finalis ANTM 20 yang buat pertama kalinya pada musim terbaharu ini menampilkan model lelaki dalam persaingan merebut gelaran juara. | ||
Posted: 11 Dec 2013 04:35 AM PST MINGGU ini Mizz Lahar hendak cerita mengenai pelakon Ramona Zamzam. Teman Mizz Lahar, Sophie D'rama bersua dengan pelakon drama Cinta Jannah itu yang semakin berseri-seri dan cantik di sebuah majlis hiburan. Rupa-rupanya Ramona dikatakan sedang bahagia menyulam cinta dengan jejaka Palestin yang sudah menetap di Malaysia bertahun-tahun lamanya. Khabarnya juga, hidup Ramona kini bahagia dengan kehadiran kekasih baharu itu. Mizz Lahar gembira dengan perkembangan positif Ramona itu. Sebelum ini, Ramona dikatakan kecewa sehingga membawa hati ke luar negara apabila bekas kekasih mengambil keputusan berkahwin dengan seorang pelakon popular. Sebenarnya, ada cerita lain yang ingin Mizz Lahar kongsikan mengenai Ramona. Akibat penangan watak antagonis Damia yang dilakonkan Ramona dalam drama Cinta Jannah, dia dikatakan dipukul oleh seorang mak cik ketika dia keluar dari satu lokasi di Damansara. Sudahlah diherdik, Ramona juga khabarnya dicubit. Kasihan pula Mizz Lahar dengar cerita tersebut. Mungkin lakonan Ramona sebagai wanita penggoda suami Jannah (lakonan Nelydia Senrose) Izaryl (Aeril Zafrel) begitu berkesan. Disebabkan itu mak cik tersebut terbawa-bawa bila bertemu dengan Ramona. Mizz Lahar: Khabarnya Puteri Sarah yang pernah dikaitkan dengan Syamsul Yusuf sudah berhenti berlakon sekarang ini. | ||
Azad - Eira kerja keras demi keluarga Posted: 11 Dec 2013 04:32 AM PST Bersyukur kerana mereka masih menjadi pilihan pengarah dan penerbit tempatan, pasangan ini turut menceburi bidang perniagaan online, Ayra Closet, yang menjual pakaian, cermin mata serta aksesori sebagai pendapatan sampingan. Meskipun sibuk dengan agenda masing-masing, baik Azad mahupun Eira, tetap mengutamakan keluarga dan satu-satunya cahaya mata mereka yang kini sedang membesar di depan mata. Jelas Eira, walau sesibuk mana sekalipun, dia tetap akan memastikan suami dan anaknya terurus dengan baik serta mendapat perhatian yang secukupnya. "Walaupun saya sibuk, namun saya tetap utamakan suami dan anak, namun, jika jadual saya terlalu padat, saya serahkan Amarra kepada Azad jika dia lapang. "Sekarang, Amarra semakin membesar dan saya mahu dia dijaga dengan baik. Dia seorang anak yang tidak banyak kerenah. Namun, saya dan Azad sudah berbincang ingin mengambil pembantu nanti. "Tetapi kami akan sentiasa pastikan Amarra tak dibiarkan berdua dengan pembantu. Mesti akan ada saya atau Azad bersama kerana kami sangat risau sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini," katanya. Dalam pada itu, Azad memberitahu, dia sangat bahagia dengan kehidupan rumah tangganya. Memuji sikap Eira yang sentiasa memahaminya, Azad berkata, sebagai suami dia cuba memberikan kebahagiaan dan keselesaan buat isteri serta anaknya yang tersayang. Bagi Azad, merekalah orang yang paling utama dalam hidupnya dan dia sedar berapa pentingnya dia mengatur jadual kerja dengan baik supaya dapat meluangkan masa bersama keluarga. "Eira banyak menyokong dan merupakan isteri yang sangat bertanggungjawab. Walaupun dia juga sibuk, dia tetap mengutamakan saya dan anak. "Sejujurnya saya sangat gembira dan bahagia kerana mempunyai isteri seperti Eira. Lagi pula dia semakin cantik dan saya semakin sayang padanya," ujar Azad sambil berseloroh. Hero Tamil Kolumpo Meskipun bukan hero kegemaran ramai, namun Azad tetap bersyukur kerana sehingga kini bakatnya masih dipandang. Terbaru, dia memegang watak utama menerusi filem Kolumpo arahan Bront Palare sebagai Rahul yang merupakan pendatang asing dari India. Menerusi filem ini, dia terpaksa belajar bahasa Tamil dengan dialek yang sangat pekat dan berbeza sebutannya dengan bahasa biasa diguna pakai oleh masyarakat India di negara ini. "Bayangkanlah, memegang watak ini adalah cabaran besar bagi saya. Sungguhpun saya tau sedikit bahasa India, tapi saya masih tidak boleh menguasainya. Bagaimanapun, saya mencuba sehinggalah saya dapat membawa watak itu," katanya yang banyak belajar bahasa Tamil melalui seorang guru bahasa dari India. Menurut pelakon yang banyak menghidupkan watak komedi ini, dia bersyukur kerana melalui Bront Palare membuka peluangnya untuk memegang watak utama walaupun menyahut cabaran memegang watak hero Tamil. "Bront nampak kewibawaan saya untuk memegang watak hero. Apa pun, saya sangat bertuah bekerjasama dengannya. Dia seorang yang unik. Walaupun tugas melakonkan watak itu agak berat bagi saya. Tapi saya sanggup menggalasnya," katanya. Dalam pada itu, menyentuh mengenai lakonannya menerusi filem lain, Azad mengakui dia sudah selesai penggambaran untuk 14 buah filem yang dijangka ditayangkan sekitar tahun depan. "Saya amat gembira dengan hasil kerja keras ini. Semua ini adalah rezeki daripada ALLAH untuk isteri dan anak saya di sisi sekali gus sentiasa memberi sokongan kepada saya," katanya. Dalam pada itu, Azad turut meluahkan rasa gembira kerana peminatnya semakin bertambah menerusi laman sosial miliknya. Bagi Azad, itu adalah petanda positif terhadap karier seninya dan membuatkannya lebih bersemangat untuk bekerja lebih keras serta memberikan yang terbaik dalam industri seni. "Alhamdulillah, peminat banyak menyokong dan menerima kami sekeluarga. Ternyata mereka suka cara lakonan saya dan Eira. Bahkan mereka dapat menerima kami dengan baik dalam bidang seni sehingga ke hari ini. "Saya berharap mereka tidak akan pernah berhenti untuk menyokong serta memberikan kami peluang lagi mewarnai dunia seni," katanya. Eira lebih selektif Berbeza dengan Azad, Eira Syazira yang lebih dekat dengan watak air mata. Lakonannya yang berkesan mampu membuatkan penonton terheret sama dengan wataknya itu. Meskipun banyak muka-muka baharu menghiasi kaca TV, namun ia tidak menjadi penghalang buat ibu kepada seorang cahaya mata ini terus beraksi di depan lensa. "Saya bersyukur kerana masih lagi terima tawaran dan masih menjadi pilihan pengarah drama. "Walaupun, saya tidak mendapat tawaran berlakon filem namun, saya banyak terima tawaran berlakon drama. Alhamdulillah, ia sekali gus tidak membuatkan saya hilang dalam dunia seni tanah air. "Namun, saya agak selektif dan tak mahukan skrip last minit dan tiada jadual penggambaran. Ia susah, kerana saya dah berkeluarga," katanya yang bakal memulakan penggambaran dua buah drama pada Januari depan. Rakam single pertama Pernah mencuri perhatian dengan beberapa lagu tema untuk drama bersiri sebelum ini, Eira bakal muncul dengan single pertamanya tidak lama lagi. Lagu berjudul 'Tersedar Aku' hasil ciptaan komposer Indonesia, iaitu Panji Sakti bakal menjalani rakaman di Bandung pada Januari 2014. Teruja akhirnya dapat muncul dengan single sendiri, Eira berkata, Tersedar Aku, akan menjadi buah tangan yang bermakna kepada peminat yang sentiasa menyokongnya selama ini. "Saya selalu tampil dengan OST, dan akhirnya lagu-lagu tu tak ke mana. Jadi Insya-ALLAH, dengan keluarnya single ini, ia akan menjadi siulan dan diterima peminat-peminat saya yang sering menantikan lagu daripada saya," katanya yang mengakui nyanyian juga merupakan minat utamanya. |
You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |