Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik |
e-Book tingkat prestasi pelajar Posted: 23 Dec 2013 05:10 PM PST HASLINAH HUSSIN, 12, bergenang air mata menahan sebak sebaik menerima keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Bunga, Kuala Terengganu, Terengganu yang diumum pada 14 November lalu. Tanpa disedari air mata membasahi pipi anak bongsu pengawal keselamatan itu. Pelajar tersebut menangis bukan kerana meraih keputusan cemerlang tetapi tidak dapat menahan kesedihan kerana gagal melakar keputusan yang membanggakan ayahnya, Hussin Ibrahim, 63, yang datang menemaninya. Menjadi calon tercorot sekolah itu dengan memperoleh keputusan 1A, 3B dan 1C, kesedihan jelas terpancar pada raut wajah Haslinah. Abjad-abjad tertera pada slip keputusan dilihat berkali-kali sebelum memberanikan diri untuk ditunjukkan kepada ayahnya yang setia menemaninya sejak pagi lagi. Bagaimanapun, raut wajah Hussin sama sekali tidak menunjukkan sebarang reaksi amarah. Dengan perlahan-lahan, naluri seorang ayah memujuk puteri bongsunya itu supaya tidak tertekan dengan keputusan diperoleh. Lantas membiarkan anaknya bersama rakan lain sambil dia duduk di satu sudut memerhatikan gerak-geri mereka. Peningkatan pelajaran Pengawal keselamatan itu menjelaskan, dia tidak menaruh harapan tinggi terhadap anak bongsu daripada lima beradik itu yang hanya mencatat keputusan sederhana dalam pelajaran. "Ada A dan semua mata pelajaran lulus sudah sudah memadai. Ini kerana dia hanya menunjukkan peningkatan dalam pelajaran sejak dua tahun ini. "Anak saya ini perlu diajar berkali-kali sebab dia sukar memahami dan jika dia dapat lulus pun merupakan satu pencapaian yang sangat baik," katanya ketika ditemui baru-baru ini. Biarpun menyedari anaknya memerlukan usaha berlipat ganda untuk berjaya, dia tetap menghantar puteri bongsunya menimba ilmu di sekolah. Akui Hussin, anaknya itu bukan tergolong dalam pelajar pintar tetapi demi masa depan anaknya dia tetap menghantar ke sekolah. "Dia seorang pelajar yang sederhana tetapi saya tetap ingin dia menuntut ilmu di sekolah setiap hari. Kena ajar banyak kali baru dia boleh faham tapi anak saya ni memang rajin," katanya sambil mengukir senyuman. Jelasnya, dia menyerahkan kepada pihak sekolah memberi ilmu pengetahuan kepada anaknya kerana tidak mempunyai latar belakang pendidikan tinggi. Bagaimanapun, dia memberitahu, sejak dua tahun kebelakangan ini, prestasi anaknya semakin baik. "Saya perasan perubahan ini berlaku sebaik sahaja sekolah memberi e-Book (buku elektronik) dan mulakan sekolah maya pada tahun 2011. "Saya tidak begitu memahami penggunaan teknologi itu tetapi apa yang dapat lihat, setiap kali peperiksaan dijalankan, sudah kurang tanda merah pada buku rekodnya. "Ini bermakna perubahan yang dilakukan pihak sekolah membuahkan hasil dalam meningkatkan prestasi pelajar-pelajar sekolah," ujarnya. Menurut Hussin yang setia menemani anaknya sepanjang peperiksaan berlangsung, ketika menduduki UPSR baru-baru ini, anaknya terkena keracunan makanan dan banyak kali muntah sepanjang hari pertama. "Sepanjang tiga hari peperiksaan berlangsung keadaan anak saya semakin baik tetapi keadaan kesihatan mengganggu tumpuannya ketika menduduki peperiksaan," katanya. Cerita Hussin, anaknya mungkin mendapat markah lebih baik sekiranya keadaan kesihatannya tidak terjejas ketika peperiksaan. "Kesemua mata pelajaran lulus sudah cukup baik kerana kalau tengok dia muntah hampir setiap lima minit sekali ketika menjawab peperiksaan memang kami jangka dia akan gagal. "Alhamdulillah keputusan yang diperoleh tidak begitu mengecewakan," katanya. Pupuk minat Dalam pada itu, Haslinah mengakui bahawa dia bukan seorang pelajar pintar tetapi pengenalan kelas maya dan pemberian e-book membakar semangat untuk belajar. Dia menjelaskan guru-guru di sekolah banyak membantu dengan mempelbagaikan kaedah pembelajaran meningkatkan kefahaman para pelajar. Salah seorang daripada tiga calon SK Paya bunga yang memperoleh keputusan semua A dalam UPSR baru-baru ini, Muhammad Naim Najmi Hazre, 12, berkata, kelas maya dan e-book banyak membantunya. "Saya berasa seronok untuk belajar dan mudah memahami apa yang diajar oleh guru," katanya. Jelasnya, pembelajaran secara interaktif dengan menggunakan imej video dan lagu untuk mata pelajaran tertentu seperti sains menyebabkan mereka lebih mudah faham. Faham pelajaran "Dulu cikgu perlu melukis atau tunjuk imej semasa di dalam kelas. Justeru, kami perlu membayangkan sendiri bagaimana rupa sebenar objek ditunjukkan tetapi sekarang guru hanya perlu tunjuk video dengan imej lebih cantik. "Ia menyebabkan para pelajar lebih mudah memahami pembelajaran di dalam kelas malah tidak membosankan," katanya. Seorang lagi pelajar memperoleh keputusan 5A, Nurul Fatin Athirah Mohd. Fauzy, 12, memberitahu, penggunaan teknologi itu banyak membantunya. "Saya rasa seronok belajar di sekolah ini dan setiap hari saya tidak sabar untuk menjejakkan kaki ke sekolah," ujarnya. Salah seorang guru sekolah berkenaan, Zulkifli Maliki, 53, memberitahu, para pelajarnya mula menunjukkan minat kerana seronok dengan cara pembelajaran baharu yang diguna pakai itu. "Pada masa yang sama mereka lebih fokus dan memberi tindak balas dengan apa yang diajarnya dan pelajar secara tidak langsung tidak banyak bermain dalam kelas," katanya. Pada awal pelaksanaan kelas maya pada 2011, Zulkifli menambah, guru-guru berdepan sedikit masalah dengan sistem digunakan tetapi selepas mengikuti beberapa kursus, mereka mampu menggalas tanggungjawab diamanahkan dalam mendidik pelajar menggunakan teknologi. "Tidak sukar sebenarnya kalau kita pandai menggunakan teknologi malah murid kelihatan lebih seronok belajar. "Pada masa sama, para guru akan menjadi lebih bersemangat untuk mengajar apabila para pelajar menunjukkan minat terhadap pembelajaran," katanya. Sementara itu, Guru Besar SK Paya Bunga, Rohaya Ibrahim, 56, memberitahu, sekolah tersebut sangat kecil dan hanya mempunyai 84 orang dengan hanya satu kelas untuk setiap darjah. "Saya datang ke sekolah ini pada tahun 2010 dan sudah dimaklumkan mengenai sekolah ini mempunyai pelajar kurang berdisiplin. "Memang betul apa yang dikata sebab hendak tengok kelas penuh setiap hari memang susah dengan kira-kira 70 peratus pelajar gagal hadir setiap hari," katanya ketika ditemui sempena lawatan beberapa kakitangan Intel ke sekolah tersebut baru-baru ini. Kebanyakan pelajar sekolah tersebut terdiri daripada golongan berpendapatan rendah. Bahkan, ada antara mereka menjadikan sekolah tersebut tempat untuk meninggalkan anak-anak sementara mereka keluar bekerja. Tiada harapan "Ada ibu bapa yang datang dari Gong Badak dan kerja di Stesen Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan mereka hanya hantar anak ke sekolah sebab tidak mahu anak mereka merayau tidak tentu hala," katanya. Jelasnya, apabila pihak sekolah berbincang mengenai prestasi akademik anak mereka yang kurang memberangsangkan, mereka seperti tidak kisah. Menurut Rohaya, ibu bapa pelajar terbabit hanya memberitahu bahawa anak mereka sudah tidak ada harapan untuk jadi pandai tanpa meminta pihak sekolah melakukan sesuatu untuk mengubah keadaan tersebut. Jelasnya, ada juga ibu bapa yang bawa anak mereka keluar bekerja sehingga pukul 2 atau 3 pagi setiap hari menyebabkan anak mereka gagal hadir ke sekolah. "Kebanyakan ibu bapa pelajar di sini merupakan penjaja dan setiap hari mereka akan bawa anak bersama sehingga awal pagi. "Kesudahannya mereka gagal untuk bangun pagi dan kejutkan anak ke sekolah walaupun rumah mereka hanya di belakang sekolah ini," katanya sambil menunjukkan beberapa buah rumah yang kelihatan usang yang terletak selang beberapa meter dari pagar sekolah tersebut. | ||
Posted: 23 Dec 2013 05:09 PM PST SEJURUS pintu Pillay's Hair Studio dibuka, kelihatan enam kerusi menghadap cermin berserta beberapa peralatan keperluan rawatan dan dandanan rambut tersusun rapi. Selain itu, terdapat juga sebuah almari pameran yang mempamerkan aksesori seperti kalung atau chokar, gelang tangan dan hiasan lain berkonsep India. Di bahagian tengah salon, terlihat beberapa kotak yang disusun secara bertingkat. Kotak paling atas telah separuh terbuka, menampakkan kandungannya yang berupa kalendar Selebriti India Malaysia 2014. Di atas meja juga terdapat sebuah kalendar yang sama. Pemilik salon itu, S. Pillay Asbalan, 22, tersenyum lebar menyambut kehadiran wartawan dan jurugambar Kosmo! bersama seorang wanita jelita, Jasmin Michael. Jasmin yang merupakan seorang artis Tamil terkenal di Malaysia juga merupakan duta salon berkenaan. Pillay kemudiannya meminta Jasmin menandatangani kalendar itu sebelum menyampaikannya kepada kami sebagai tanda penghargaan. "Kalendar ini mungkin kelihatan biasa bagi sesetengah pihak tetapi ia istimewa kerana memaparkan wajah-wajah selebriti India tempatan yang terkenal," katanya. Kalendar tersebut juga begitu bermakna kepada Pillay kerana memaparkan hasil kerja dandanan rambut dan solekannya. "Idea awal hanya untuk mendandan dan menyolek selebriti untuk rakaman foto sambutan Deepavali bagi majalah Tamil keluaran November lalu, tetapi Jasmin tampil dengan idea penerbitan kalendar kerana tempoh hayatnya lebih lama. "Lagipun, ia akan mendekatkan peminat dan artis India tempatan menerusi imej dandanan dan solekan serta pakaian yang cantik," katanya. Sejak mula dijual bulan lalu, kalendar tersebut telah mencatatkan jualan sebanyak lebih 2,500 naskhah. Seni dandanan Bercerita tentang dandanan rambut, Pillay yang memiliki sijil dandanan rambut dari Universiti Limkokwing dan diploma di Kolej Clipso memberitahu, dia amat menitikberatkan peraturan-peraturan asas mendandan. "Dandanan rambut merupakan satu seni yang mempunyai peraturan-peraturan tertentu. Setiap kali saya didatangi pelanggan, saya perlu menilai beberapa perkara sebelum memulakan dandanan. "Contohnya, jika pelanggan merupakan golongan profesional seperti pegawai bank atau peguam yang mahu mewarna rambut mereka, hanya warna-warna tertentu yang akan disyorkan agar tidak menggugat profesionalisme mereka," jelasnya. Pillay menambah, bagi pelakon pula, dandanan rambut yang 'selamat' dilakukan supaya ia tidak mengganggu lakonan artis terlibat. Bukan itu sahaja, reka bentuk leher baju dan aksesori yang dikenakan pelanggan juga mempengaruhi gaya dandanan yang dibuat," katanya. Pendandan yang berdarah kacukan Hindustan di sebelah ibu dan Tamil di sebelah bapanya ini terdedah dalam bidang berkenaan ekoran pengaruh ibu yang turut menjalankan perniagaan kecantikan di Bahau, Negeri Sembilan. "Ia bermula semasa saya belajar di tingkatan empat. Selepas sesi sekolah tamat, saya akan menemani ibu di salon. "Saya memberi perhatian bagaimana ibu melayan, membuat rawatan muka, rambut, mendandan dan menyolek wajah pelanggan. Sejak itu, minat dalam bidang ini mula bercambah," katanya sambil memaklumkan ibunya, Binodhini, 51, masih menguruskan Raani Saloon di Bahau. Minat yang disemai itu terus berkembang apabila Pillay dan beberapa rakan berpakat mengikuti kursus dandanan rambut selepas tamat persekolahan. Setelah tamat pengajian di peringkat diploma, bintangnya mula bersinar apabila ditawarkan bekerja oleh majikan tempat dia menjalani latihan amali di Kuala Lumpur. "Kemampuan saya berbahasa Mandarin dan kemahiran yang saya miliki membuka peluang untuk saya terus bekerja di salon tersebut. "Di sana saya banyak didedahkan dengan teknik dan gaya dandanan rambut Barat. Saya juga terlibat dalam pameran jalanan dan berpeluang mendandan rambut selebriti tempatan termasuk Amber Chia," ujar anak bongsu daripada dua adik-beradik itu. Rezeki Ketika bekerja di salon berkenaan, rezeki Pillay semakin murah apabila ditawarkan pekerjaan sampingan sebagai pendandan rambut untuk sebuah projek filem Tamil tempatan, Ops Kosa Dappa: The Final Dappa arahan K. Anan. "Saya agak bertuah kerana berjaya menembusi industri hiburan tempatan sebagai pendandan rambut profesional. Disebabkan filem tersebut merupakan satu projek besar, nama saya cepat dikenali ramai selebriti termasuk Jasmin. "Ekoran itu, saya memutuskan untuk berhenti kerja dan membuka salon sendiri awal tahun ini. Saya terpaksa bekerja keras untuk memperkenalkan jenama Pillay's Hair Studio kepada orang ramai termasuk mempromosikannya menerusi laman-laman sosial sosial, melibatkan diri dalam projek filem Tamil tempatan dan mengambil Jasmin sebagai duta," jelasnya. Beliau beranggapan pemilihan Jasmin merupakan langkah terbaik yang pernah dilakukannya kerana ia berjaya menarik kedatangan ramai pelanggan ke salonnya. Tambahan pula, katanya, pelakon wanita versatil itu mempunyai sisi rupa yang menawan selain memudahkan eksperimen dandanan rambut atau solekan diaplikasi pada wajahnya. Rancangan Bercakap lanjut mengenai impian masa hadapan, Pillay merancang untuk mengadakan satu acara ramp walk yang melibatkan pertunjukan fesyen, dandanan rambut dan solekan. Dia juga berharap untuk diberi peluang bekerjasama dengan pereka fesyen tempatan dan pendandan rambut antarabangsa . "Matlamat jangka panjang saya adalah untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang yang sama di United Kingdom. Saya mahu mengikut jejak pensyarah saya, Karthik atau lebih dikenali Mr. Tee yang menjadi pendandan rambut profesional di negara berkenaan," katanya. | ||
Posted: 23 Dec 2013 05:07 PM PST SEJAJAR dengan visi syarikat bagi menyokong kehidupan lebih sihat dan kediaman yang bersih, pengeluar penyembur serangga perosak Shieldtox, Reckitt Benckiser (RB) telah menjayakan program gotong-royong bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap bahaya demam denggi. Program yang diadakan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, Kuala Lumpur itu merupakan program kemasyarakatan berkonsep pendidikan yang menghiburkan. Kira-kira 2,400 penduduk terlibat dalam gotong-royong tersebut yang turut diselangi acara menarik seperti pertandingan mencari harta karun, melukis, mewarna, perlawanan sepak takraw dan pertunjukan kebudayaan. Pihak Jabatan Kesihatan turut menyampaikan ceramah ringkas berkenaan kawalan haiwan perosak. Gotong-royong yang bermula pada awal pagi itu menyaksikan kerjasama penduduk dan sukarelawan membersihkan sampah sarap dan longkang yang tersumbat bagi memastikan tiada air yang bertakung. Sebanyak 30 beg sampah berjaya dikumpulkan sepanjang gotong-royong yang berjalan selama dua jam itu. "Kesihatan yang baik adalah kunci kebahagiaan. Maka visi kami adalah menyediakan penyelesaian inovatif bagi membolehkan orang ramai memiliki kediaman yang menggembirakan dan menjalani kehidupan yang lebih sihat. "Denggi bukan sahaja mengganggu kehidupan, malah turut menjejaskan orang di sekeliling kita. "Masyarakat perlu mengambil langkah berjaga-jaga dan memastikan persekitaran sentiasa bersih dan selamat. "Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan dan masyarakat setempat dalam program komuniti yang bermakna ini," ujar Pengarah Pemasaran RB, Abhishek Chuckarbutty. Seorang pelukis profesional turut melukis mural pada dinding yang bertemakan Shieldtox Melindungi Tanpa Keraguan bagi menunjukkan betapa pentingnya mencegah nyamuk aedes daripada membiak. Kes denggi meningkat Berdasarkan laporan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat, kira-kira 2.5 bilion atau 40 peratus daripada populasi dunia hari ini tinggal di kawasan berisiko denggi. Ia merupakan penyakit endemik di lebih 100 negara di Asia, Amerika dan Afrika. Pertubuhan Kesihatan Sedunia pula menganggarkan sebanyak 50 hingga 100 juta jangkitan dilaporkan setiap tahun termasuk 500,000 kes denggi berdarah dan 22,000 kematian dengan majoriti melibatkan kanak-kanak. Mengikut laporan yang dipetik daripada laman web Kementerian Kesihatan Malaysia pula, terdapat peningkatan kes denggi bagi tempoh Januari hingga November tahun lalu berbanding tahun-tahun sebelumnya iaitu sebanyak 11,486 kes dengan 61 kematian dilaporkan di negara ini. "Ramai orang masih tidak tahu bagaimana nyamuk aedes membiak. Ia boleh membiak walaupun dalam sedikit air bertakung," dedah Chuckarbutty. Beliau turut mengingatkan orang ramai agar memainkan peranan masing-masing dalam mencegah pembiakan nyamuk aedes dengan membersihkan longkang yang tersumbat dan membuang air di dalam baldi, pasu bunga dan bekas penyiram pokok. Orang ramai juga perlu membersihkan dulang atau bekas takungan yang diletakkan di bawah unit pendingin hawa bagi mengelakkan ia menjadi tempat pembiakan nyamuk. Turut hadir pada acara tersebut ialah Timbalan Pengarah Jabatan Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Komuniti, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Naquib Rahman. RB juga mengumumkan pelaksanaan beberapa lagi projek komuniti di seluruh negara dalam masa yang terdekat. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web www.rb.com/my-sg. |
You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |