Halaman Blog Gambar-Gambar Menarik Dan Pelik |
- 'Siapa Kata Saya Dan Hans Bermusuh?' - Afdlin Shauki
- Air Zamzam Penawar Kandungan Linda Hashim
- Tiada Lawak Basi Dalam 'Lawak Ke Der 3'
- IB Angkat Pop Yeh-Yeh Pada Konsert Januari 2014
- Cara Sherry Ibrahim jaga kesihatan
- Tuntut cimpanzi status 'manusia'
- Tawaran penangguhan pelanggan terjejas banjir
- Kemaman bagaikan pulau
- Pengemis 'berani mati', sanggup gadai nyawa
- Pretty Ugly dulu dan sekarang
- Cico selesa status duda
- Os tak puas hati dengan juri
- Pengarah, jangan semborono
- Angin kencang landa England, Jerman
- Raja Thai gesa rakyat bersatu
- Warga AS jadi wanita pertama beli Ford Mustang keluaran 1964
- Lebih 40 ekor paus terdampar
- Buat terjunan peringati rakan yang terkorban
- Rawat penduduk pedalaman Brazil
- Gedung khazanah seni, warisan negara
- Mahu kekalkan identiti Pasar Seni
- Solidarity Grub bantu orang miskin
- Rana Aswad buah tangan Farah
- Resipi kerabu bawa Iskandar ke Afrika Selatan
- Menjadi tetamu pasangan Arab
'Siapa Kata Saya Dan Hans Bermusuh?' - Afdlin Shauki Posted: 05 Dec 2013 04:18 PM PST PETALING JAYA: Pelakon dan pengarah Afdlin Shauki menafikan laporan dia tidak lagi bertegur sapa dengan rakan baiknya, Hans Isaac dan menganggap cerita berkenaan sebagai mengarut. Afdlin berkata, dia juga pelik bagaimanakah cerita berkenaan boleh timbul sedangkan tuduhan itu tidak pernah terjadi. "Saya dan Hans telah berkawan sejak kami bersekolah. Jika kami bergaduh pun ia hanya melibatkan tentang kerja dan selebihnya kami sangat rapat sehingga ke hari ini. "Cerita yang mengatakan kami bergaduh adalah mengarut sama sekali," katanya kepadamStar Online. Minggu lalu, sebuah akhbar melaporkan Afdlin kononnya berjauh hati dengan sikap Hans yang tidak membantunya ketika dia berada dalam keadaan susah selain kumpulan Boboi tidak dijemput menyertai pementasan Lawak Ker Der 3 (LKD3) di Istana Budaya. Menjelaskan hal berkenaan, Afdlin berkata, dia tidak dapat memberikan komitmen kepada pelawaan Hans untuk terlibat dalam LKD3 kerana terlibat dalam beberapa projek lain. Jelas Afdlin, Hans juga memahami mengenai situasi itu dan tidak pernah timbul sebarang isu tentang hal tersebut. "Takkan la hanya kerana saya tidak dapat menyertai Lawak Ker Der! saya dituduh bermusuh dengan Hans. Sebenarnya jadual kerja kami benar-benar padat, itu sahaja," jelasnya. Lawak Ker Der 3 sedang dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya bermula Rabu lalu sehingga Ahad ini. Ia menampilkan Harith Iskander, Douglas Lim, Kuah Jenhan, Nabil dan kumpulan Jambu. Dalam pada itu, Afdlin berkata, dia masih belum bersedia untuk mengarah filem selepas menghasilkan Papadom 2 dua tahun lalu. Katanya, senario industri perfileman yang disifatkan sebagai tidak sihat membuatkan dia tidak berani untuk mengambil risiko. "Tindakan itu bukan bererti saya merajuk atau ingin bersara daripada dunia pengarahan cuma industri perfileman kita hari ini seperti tiada masa depan. "Saya tidak berani untuk mengambil risiko dengan mengarahkan filem buat masa ini tetapi jika ada karya yang baik mungkin saya akan lakukan," katanya. Papadom 2 menampilkan barisan artis seperti Liyana Jasmay, Khir Rahman, Hans Isaac, Johan (Raja Lawak), Vanidah Imran, Scha Al-Yahya, Riezman Khuzaimi dan Pete Teo. Ia bakal ditayangkan di pawagam bermula 12 Disember depan. | |||
Air Zamzam Penawar Kandungan Linda Hashim Posted: 05 Dec 2013 04:17 PM PST PETALING JAYA: Pelakon Linda Hashim mengamalkan petua meminum air zamzam pada setiap hari yang diibaratnya sebagai penawar untuk menjaga kandungann sejak disahkan mengandung pada Julai lalu. Linda, 29, berkata, keinginan tersebut membuatkan suaminya yang juga pelakon Beego terpaksa menempah dua botol masing-masing beratnya 10 liter air zamzam pada setiap bulan. "Sejak mengandung hanya air zamzam sahaja yang mampu buat saya hilang dahaga. Biarpun rasa air zamzam agak payau namun saya rasa puas selepas meminumnya. "Oleh kerana agak sukar untuk ditemui, Beego sudah buat tempahan setiap bulan di sebuah kedai iaitu dua botol air yang mana setiap botol kandungannya ialah 10 liter," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Khamis. Selain itu, Linda berkata, dia lebih gemar mengambil buah-buahan dan kismis bagi menjaga kandungan yang kini sudah berusia lima bulan. Linda juga bersyukur biarpun pertama kali melalui pengalaman mengandung dia tidak menghadapi banyak masalah atau sebarang alahan seperti sesetengah wanita lain malah masih boleh melakukan aktiviti harian seperti biasa. "Alhamdulillah, semuanya saya jalani dengan mudah ketika mengandung. Tiada banyak ragam atau alahan. Semua makanan boleh saya makan. Hanya Beego sahaja yang susah hati melihat keadaan saya dan terlalu mengambil berat soal pemakanan saya. "Dia tidak benarkan saya makan makanan ringan dan yang berasa masam," katanya. Sementara itu, Linda berkata, dia belum melakukan sebarang persiapan untuk menyambut kelahiran bayi kerana masih terlalu awal. Katanya, kawan-kawan rapat dia turut teruja untuk membelikan barang-barang keperluan bayi yang bakal lahir itu. Ditanya tentang kandungan tersebut, kata Linda, imbasan pertama yang dilakukan oleh doktor mendapati jantina bayinya adalah perempuan. "Kawan-kawan saya meneka bayi ini lelaki selepas melihat kepada pembesaran perut saya, tapi melalui imbasan pertama, doktor kata ia perempuan," ujarnya. | |||
Tiada Lawak Basi Dalam 'Lawak Ke Der 3' Posted: 05 Dec 2013 04:14 PM PST KUALA LUMPUR: Persembahan 'stand-up comedy' dalam Lawak Ke Der 3 yang dipentaskan buat kali ketiga berjaya menghiburkan penonton yang menyaksikan persembahan tersebut di Panggung Sari, Istana Budaya, di sini. Pengarah pementasan itu, Hans Isaac, berkata, formula yang digunakan kali ini dilihat menjadi apabila gabungan pelawak-pelawak yang dipilih dapat memberi persembahan terbaik. "Setiap mereka ada karakter tersendiri dan mampu menyampaikan persembahan dengan cara masing-masing. "Daripada awal lagi sudah saya ingatkan supaya tidak membawa lawak yang sudah digunakan di atas pentas ini," katanya ketika ditemui selepas selesai persembahan Lawak Ke Der 3, di Istana Budaya, pada malam Rabu. Teater Lawak Ke Der3 mula dipentaskan pada Khamis lalu hingga Ahad ini yang dibarisi pelawak terkenal seperti Harith Iskander, Nabil Ahmad, Douglas Lim dan kumpulan Jambu (Yus dan Taukey). Dalam pada itu, Hans berkata beberapa kelemahan yang dilihat pada malam pertama terutamanya daripada segi penggunaan masa akan diperbaiki pada malam seterusnya. Tambahnya lagi, beberapa lawak yang dikenal pasti kurang menjadi juga tidak akan diulangi pada malam-malam yang lain. Persembahan yang bermula pada pukul 9 malam itu dibuka dengan celoteh dan nyanyian lagu Havoc dan What Did The Fox Say daripada Nabil yang turut bertindak sebagai pengacara. Pada pementasan kali ini Nabil banyak membawa penonton kepada lawak yang dekat dengan audiens seperti kehidupan alam rumah tangganya dan program kegemaran ketika zaman kanak-kanak dan perihal masyarakat kota. Kemunculan Jambu pula dengan sketsa bermain catur turut mencuit hati penonton, biarpun kurang berdialog namun lawak yang cuba disampaikan mampu diterima. Sementara itu, kemunculan Douglas Lim pula mendapat perhatian penonton yang tidak henti-henti ketawa dan bertepuk tangan. Douglas yang jarang kelihatan di televisyen dilihat tampil dengan memberikan lawak-lawak segar dengan cara penyampaian yang mudah difahami. Lawak yang berkisarkan tentang senario semasa seperti Ubat Kuat, Ahlong, Polis, Ahli Politik dan populariti Awie memecahkan suasana dewan dengan gelak tawa penonton. Kemunculan pelawak utama Harith Iskander yang ditunggu-tunggu turut berjaya mencuit hati dengan lawak zaman persekolahannya. Tiket menyaksikan Lawak Ke Der 3 dijual pada harga RM46, RM96, RM176, RM196 dan RM356. Ia boleh dibeli secara dalam talian menerusi www.ticket2u.biz atau boleh didapati di kaunter Box Office, Istana Budaya. | |||
IB Angkat Pop Yeh-Yeh Pada Konsert Januari 2014 Posted: 05 Dec 2013 04:13 PM PST KUALA LUMPUR: Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) akan memberi suntikan baharu kepada irama Pop Yeh Yeh yang popular pada era 60-an menerusi Konsert OTM Bersama Bintang pada Januari 2014. Pengarah muzik OTM, Yazid Zakaria berkata, adalah tidak mustahil muzik tradisional digabungkan dengan Pop Yeh Yeh malah hasilnya nanti akan memberikan kejutan kepada penonton. "Mungkin bagi sesetengah orang melihat gabungan muzik tradisional dan Pop Yeh Yeh tidak sesuai tetapi sebenarnya ia dapat memberikan kelainan. "Bagaimanapun kita tidak akan ubah identiti asal iramanya kerana itu adalah tarikan utama," katanya kepada mStar Online. Konsert OST Bersama Bintang bakal menampilkan empat nama besar era 60-an iaitu Datuk Jeferydin, Datuk A Rahman Hassan, Datuk L. Ramlie dan A. Halim. Ia bakal diadakan di Panggung Sari Istana Budaya pada 24 hingga 26 Januari 2014. Dalam perkembangan sama, Yazid berkata, hampir 30 buah lagu bakal dipersembahkan pada malam itu nanti dengan dibahagikan kepada beberapa segmen. Jelas Yazid lagi, selain menyanyikan lagu-lagu popular mereka, kesemua penyanyi akan digandingkan dalam sebuah persembahan Medley. "Lagu-lagu popular era itu yang bukan nyanyian asal mereka turut dipersembahkan pada malam itu nanti," ujarnya. Sementara itu Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani berkata, pihaknya sedang mencari seorang penyanyi wanita untuk bersama-sama menyerikan konsert itu nanti. Pihaknya juga sudah menyenaraikan beberapa nama namun masih belum membuat keputusan muktamad mengenainya. Sementara itu, A. Halim ketika ditemui berkata, dia terharu dan berbesar hati apabila pihak Istana Budaya sudi menjemput artis veteran seperti mereka untuk mengadakan persembahan di pentas berprestij itu. Katanya, jemputan itu juga membuktikan masih ada peminat muzik Pop Yeh Yeh yang ingin melihat persembahan mereka. "Kali terakhir kami membuat persembahan di Istana Budaya kira-kira dua tahun lalu dan saya ingatkan itu adalah kali terakhir. "Tidak sangka kami dijemput sekali lagi untuk mengadakan persembahan. Saya secara peribadi sangat terharu dan berterima kasih," katanya. Tiket Konsert OTM Bersama Bintang dijual pada harga serendah RM30 hingga RM250. Untuk keterangan lanjut mengenai konsert berkenaan dan tempahan tiket boleh menghubungi 03 8775 4666 / 03 4026 5520 atau layari www.redtix.airasia.com. | |||
Cara Sherry Ibrahim jaga kesihatan Posted: 05 Dec 2013 04:12 PM PST
Biarpun ketika itu namanya sedang mekar di lapangan seni, Sherry Ibrahim atau nama sebenarnya, Syarizad Ibrahim nekad untuk kembali bergelar pramugari. Namun, seandainya sudah tertulis jodoh dan rezekinya di lapangan seni, Sherry akhirnya akur untuk kembali biarpun sebenarnya dia hanya sekadar 'singgah' dan membintangi drama Teduhan Kasih. Tapi ternyata, tuah lebih memihak kepadanya dalam bidang seni dan membuatkan nama Sherry kembali menjadi perhatian. Tidak hanya bakatnya yang menjadi perhatian, personaliti dirinya sebagai seorang pramugari membuatkan Sherry sentiasa kelihatan mudah dan cantik. Bukan sahaja kehalusan kulit, bahkan Sherry juga mempunyai rambut yang cukup dicemburui oleh golongan wanita di luar sana. Justeru, pasti ramai yang tertanya-tanya, bagaimanakah cara Sherry menjaga kecantikan kulit dan wajahnya. Sejak bilakah anda mula menitik beratkan soal penjagaan kecantikan, kesihatan dan kecergasan? Hendak kata terlalu awal, tidak juga. Terlalu lambat pun tidak juga. Seingat Sherry, sejak usia belasan iaitu 16 tahun, Sherry sudah mula menitikberatkan soal penjagaan diri. Sebagai selebriti, semestinya anda kerap kali bersolek. Bagaimana menjaga kulit agar kekal dan cantik? Mungkin ada rutin atau petua yang boleh dikongsi bersama. Sherry jenis yang jarang bersolek seandainya tidak terlibat dengan penggambaran atau sesi fotografi. Bagaimanapun, jika perlu bersolek, Sherry akan pastikan menyapu make up base yang bagus sebelum itu. Selepas sampai sahaja di rumah Sherry akan terus membersihkan solekan dan memastikan tidak dibawa sehingga tidur. Sherry juga aplikasikan toner dan night serum. Tip yang Sherry amalkan bagi mendapatkan kulit yang cantik ialah mengamalkan tidur yang cukup. Mesti cukup 8 Jam! Bagaimana pula dengan penjagaan kesihatan? Ada yang mengamalkan pengambilan vitamin atau suplemen tertentu? Sudah tentu! Sherry akan pastikan mengambil vitamin C. Selain itu Sherry juga minum Evening Primrose Oil yang diamalkan sejak usia 16 tahun lagi. Untuk kecantikan serta kesihatan rambut pula, Sherry memilih Fish Oil. Menyentuh soal kecergasan, adakah anda selalu ke gimnasium atau mengamalkan senaman tertentu di rumah? Sherry akan sentiasa pergi ke gimnasium sekiranya mempunyai waktu terluang atau merasakan badan kurang cergas. Terus terang, Sherry bukannya kaki gimnasium dan selalu ke sana. Bagaimanapun, di rumah, Sherry selalu mengamalkan 'sit up' sekurang-kurangnya 100 kiraan sehari. Bagaimana anda mengekalkan bentuk badan sedia ada? Ada mengamalkan petua pantang larang? Sherry juga sama seperti orang lain yang ada kalanya berat badan naik. Jika itu berlaku, Sherry akan terus melakukan diet sendiri iaitu tiada pengambilan karbohidrat selama sebulan. Selain itu, Sherry juga mengelakkan makanan berminyak. Memiliki rambut panjang dan lurus yang cantik, adakah anda selalu ke salun? Sherry merupakan duta Hairkunst Saloon yang terletak di The Curve. Setiap bulan Sherry mendapatkan rawatan rambut. Di rumah pula Sherry mempunyai dua syampu berbeza. Selain itu, Sherry juga gemar menggunakan Argan Treatment Oil dan Argan Oli Hairmask yang digunakan sekali sebulan. Bagi mengelakkan rambut gugur, Sherry akan mengambil sebiji suplemen setiap hari. Pasti banyak tip kecantikan yang dikutip sepanjang bergelar pramugari, mungkin boleh kongsikan? Banyak minum H20. Sherry pula jenis tak suka minum air kosong dan Sherry akui ia satu kelemahan. Jadi, sebagai ganti, Sherry akan minum air teh hijau bersama madu. Tidak dinafikan krew kabin mempunyai pelbagai tip, antaranya menyapu yogurt ke muka sebelum masuk tidur terutamanya selepas melalui penerbangan yang panjang. Apa pendapat anda tentang permainan minda seperti Saidina, Sahiba, Chess? Adakah ia dapat melepaskan tekanan? Ya! Walaupun ia berkonsep menguji minda, namun pada masa yang sama, ia sering kali mengundang gelak tawa bersama teman. Sebabnya, masing-masing pasti tidak berpuas hati seandainya hartanah yang diidamkan sudah dibeli. Ia boleh digambarkan seperti masa bermanfaat bersama kawan-kawan. Antara dunia lakonan dan dunia awan biru, mana sebenarnya yang lebih dekat dengan anda? Jujur bagi Sherry, kedua-duanya dekat. Karier Sherry bermula sebagai krew kabin dan sudah berkecimpung dalam bidang itu selama 7 setengah tahun. Sherry rasa cukup bertuah kerana berpeluang berkhidmat dengan dua syarikat penerbangan bertaraf 5 bintang iaitu MAS dan Qatar Airways. Dunia lakonan pula memberikan cabaran yang berlainan. Jadi keduanya begitu dekat dihati Sherry. Hanya kata syukur mampu Sherry ungkapkan. Persamaan ada antara keduanya ialah menuntut kesabaran, kerjasama dan kerja keras. Akhir sekali, boleh kongsikan mengenai kerjaya lakonan Sherry? Jika tiada aral melintang, peminat boleh saksikan lakonan terkini melalui drama terbaru Sherry padaDisember ini. Selain itu, Sherry turut terlibat dalam beberapa projek akan datang. Nantikan sahaja. Profil: Nama: Syarizad Ibrahim Tarikh Lahir: 3 April 1983 Tempat Lahir: Petaling Jaya, Selangor. Pekerjaan: Aktress, model, pengacara TV Keringgian: 162cm / 1.62m Berat: 49 kg Lakonan: Teduhan Kasih, Dunia Baru, Cinta Tak meter, Renjis, Lara Rindu Mahsuri, Cinta untuk Ain, Biru Cinta De Laguna dan lain-lain. | |||
Tuntut cimpanzi status 'manusia' Posted: 05 Dec 2013 04:08 PM PST Ketua Pertubuhan Hak Haiwan, Steven Wise memohon supaya cimpanzi digelar Tommy diberikan status tersebut dan berhak diberi kebebasan 'fundamental.' "Kami mohon mahkamah memberikan hak otonomi dan haiwan itu berhak menentukan hidupnya sendiri," katanya. Menurutnya, tuntutan itu dikemukakan lengkap dengan bukti saintis. Sementara itu, pemilik Pusat Perlindungan Gloversville, Patrick Lavery berkata, Tommy ditempatkan di sebuah bilik, lengkap dengan permainan dan rutin hidupnya menyerupai manusia. "Tuntutan itu tidak munasabah dan perlu dikaji. Amat mustahil jika cimpanzi diberi status hak menyerupai manusia," katanya dipetik BBC. | |||
Tawaran penangguhan pelanggan terjejas banjir Posted: 05 Dec 2013 04:06 PM PST Menurut bank itu, penangguhan pembayaran juga diberi kepada pelanggan perbankan perniagaan, perbankan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan perbankan pengguna bagi tempoh Disember 2013 hingga Mei 2014. Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank Datuk Abdul Farid Alias berkata penangguhan itu juga meliputi pelepasan caj bagi pelanggan bank berkenaan yang ingin mendapatkan gantian bagi kad ATM, buku cek dan buku pas yang musnah akibat banjir. "Kami harap penangguhan ini akan mengurangkan kebimbangan mereka tentang komitmen kewangan tambahan yang terpaksa dipikul ketika menghadapi saat-saat sukar ini. Kami bersimpati dengan mereka yang terjejas oleh banjir dan faham mereka juga bimbang tentang perkara lain ketika ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. Bagi pemegang kad kredit yang terjejas pula, Abdul Farid berkata Maybank juga akan menimbang permintaan mereka bagi mendapatkan pelepasan bagi caj bayaran lewat dan permohonan untuk meningkatkan had kredit masing-masing bagi tempoh ini. Katanya Etiqa, cawangan insurans kumpulan itu pula telah mengagihkan beg khas dikenali sebagai 'beg panik' kepada penduduk di 13 kampung di Kemaman, Terengganu, untuk melindungi dokumen penting mereka seperti sijil kelahiran, pasport dan polisi insurans ketika banjir. "Etiqa juga akan bekerjasama dengan Majlis Perbandaran Kuantan untuk membeli dan mengagihkan barangan keperluan asas seperti makanan dan air kepada mangsa banjir di pusat pemindahan," kata Abdul Farid. Pelanggan boleh mendapatkan maklumat lanjut tentang program bantuan bencana ini dengan menghubungi hotline 1-300-88-6688 atau mengunjungi cawangan Maybank terdekat di kawasan masing-masing. | |||
Posted: 05 Dec 2013 03:58 PM PST
Bencana banjir kali ini juga disifatkan sebagai banjir yang luar biasa dan paling buruk dalam sejarah kerana kawasan yang tidak pernah tenggelam seperti di Felda Cerul, Bandar Cheneh Baru dan Kampung Mak Chili turut dilimpahi air bah. Kampung yang paling awal tenggelam secara keseluruhan ialah Kampung Air Putih dan Kampung Teladas di Dun Air Putih iaitu kira-kira jam 10 malam tadi. Air yang melimpah di Taman Chukai Utama sejak lewat petang kelmarin juga mengakibatkan bekalan elektrik di bandar Chukai dan kawasan kampung sekitar termasuk Kampung Fikri, Dusun Nyior, Pengkalan Pandan dan Kuala Kemaman terpaksa diputuskan secara berperingkat sejak pagi semalam. Keadaan jalan di Taman Chukai Utama yang menempatkan pelbagai premis bank, pasar raya, kedai dan pejabat yang terpaksa ditutup menjadikan bandar sesak kerana hanya laluan Jalan Sulaimani ke Jalan Jakar boleh digunakan oleh pengguna jalan raya. Pejabat pasukan penyelamat turut tenggelam Lebih teruk, Pasukan Bomba dan Penyelamat Chukai yang sibuk dengan kerja membantu mangsa banjir juga berdepan keadaan sukar apabila balai mereka di Taman Chukai Utama turut ditenggelami air. Situasi sama turut dihadapi Pasukan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kemaman apabila pejabat mereka di Kuarters Kerajaan, Jalan Air Putih, turut ditenggelami lebih 1 meter menyebabkan seramai 20 anggotanya yang bertugas terpaksa dipindahkan. Puluhan kenderaan terapung Paling menyedihkan, gara-gara air naik dengan cepat ramai penduduk di sekitar Jalan Air Putih, Chukai tidak sempat mengalihkan kenderaan menyebabkan puluhan kenderaan kelihatan terapung dan hanyut ketika tinjauan dilakukan Sinar Harian. Mangsa banjir dari Jalan Petaling, Kampung Mak Chili, Norzilawati Mansor, 36, berkata, banjir yang melanda daerah ini kali ini sangat luar biasa kerana kawasan penempatannya sebelum ini tidak pernah dinaiki air walaupun pada banjir tahun lalu yang disifatkan sebagai paling buruk dalam tempoh 30 tahun. "Saya sekeluarga sangat takut apabila lihat air naik dengan cepat. Air mulai naik pada jam 3 pagi tadi (semalam) dan ketika keluar dari rumah tadi air dalam rumah sudah separas betis," katanya yang dibantu oleh JPAM ketika berpindah keluar dari rumah bersama ibun, lima anak dan adik beradiknya kira-kira jam 2 petang. Felda Cerul kali pertama kali bah Sementara itu, ibu Norzilawati, Aishah Mohamad, 53, dari Felda Cerul yang datang membantu anaknya berpindah berkata, tidak pernah dalam sejarah Felda Cerul banjir tetapi semalam tanah rancangan Felda itu turut banjir. "Makcik datang bantu anak berpindah tapi pada masa sama makcik diberitahu rumah di Felda Cerul juga turut dinaiki air. Semua barang di dalam rumah tidak sempat diselamatkan kerana tak jangka air akan naik di situ," katanya. Dalam pada itu, Fatimah Salleh, 45, berkata, kawasan hadapan rumah ibunya di Kampung Mak Chili Paya ditenggelami air separas pinggang. "Rumah ibu saya yang dihuninya dengan bapa dan tiga ahli keluarga lain adalah rumah papan dan tinggi, tetapi rumah masih dinaiki air separas buku lali. Ia menunjukkan banjir kali ini sangat buruk. "Sejak duduk di sini pada 1983, banjir tidak pernah masuk ke dalam rumah dan ini merupakan banjir yang sangat luar biasa. Seakan tak percaya banjir buruk sebegini berlaku sekarang," katanya sambil memberitahu ibunya berpindah di Masjid Batu 2 ½ Kampung Mak Chili. Dalam perkembangan sama, Ahli Parlimen Kemaman merangkap Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek turut meninjau keadaan banjir dan melawat pusat pemindahan sambil menghulurkan bantuan. | |||
Pengemis 'berani mati', sanggup gadai nyawa Posted: 05 Dec 2013 03:53 PM PST
Aktiviti salah seorang wanita itu dilihat terganggu apabila dia bertindak memalingkan mukanya dan berselindung di sebalik lori yang berhenti di lampu isyarat merah selepas menyedari tindakan wartawan cuba mengambil gambarnya. Sementara seorang lagi rakannya dilihat sedang berjalan menghampiri lampu isyarat selepas kenderaan mulai kosong di persimpangan itu. Persimpangan itu telah dijadikan mata pencarian peminta sedekah berkenaan sejak beberapa tahun lalu malah pernah beberapa kali bertukar lokasi di persimpangan lampu isyarat berhampiran kuil Batu Caves dan sekitar Selayang. Perkara tersebut pernah dilaporkan media sebelum ini, namun tidak langsung menjejaskan aktiviti mereka. Selain membahayakan nyawa sendiri, tindakan peminta sedekah itu turut menjejaskan keselamatan pengguna lain termasuk penunggang motosikal yang berkemungkinan tidak menyedari kehadiran mereka. Singgah dari kereta ke kereta Keadaan sama dapat dilihat di kawasan lain sekitar ibu kota antaranya Jalan Tun Razak, Jalan Abdullah dan Jalan Bangsar. Mereka pergi dari satu kereta ke kereta lain menagih simpati menggunakan isyarat memerlukan duit untuk makan. Senario itu dilihat 'dimonopoli' pengemis dipercayai warga asing yang kini menggunakan pendekatan berbeza bagi memperolehi wang dengan mudah. Sebelum ini mereka menjadikan jejantas sebagai tempat meraih simpati juga kedai makan dan kini di tepi jalan yang dipenuhi pengguna kenderaan pula. Walaupun dilihat bukan menjadi masalah besar tetapi jika dibiarkan berterusan akan menjadi perkara yang sukar dibendung pada masa akan datang. Seorang pekerja swasta, Asmarizan Jusoh, 26, berkata, peminta sedekah mengganggu konsentrasi pemandu selepas mereka mengetuk cermin kereta sewaktu memberhentikan kereta di persimpangan lampu isyarat. "Keadaan akan menimbulkan kemarahan terutamanya ketika waktu sesak selain perlu berhati-hati dengan penunggang motosikal yang gemar menyelit dalam masa sama mengelak peminta sedekah yang berjalan di antara kenderaan. "Pihak berkuasa diminta memantau dan mengawal lalu lintas di kawasan tersebut sekurang-kurang menakutkan peminta sedekah untuk meneruskan aktiviti mereka," katanya kepada Sinar Harian, semalam. Prihatin tidak bertempat Fara Nurul Amirah Mustafa, 26, pula berkata, sama ada aktiviti itu berselindung di sebalik sindiket atau sebaliknya tidak menjadi keutamaan, tetapi sikap masyarakat kita yang prihatin tidak bertempat dipersoalkan. "Aktiviti tersebut berterusan sehingga kini disebabkan disokong oleh pengguna yang memberikan wang sehingga ia diambil kesempatan oleh pihak luar. "Sekiranya ingin memberikan bantuan berilah melalui saluran yang betul supaya bantuan dapat diberikan kepada individu yang benar-benar memerlukan," katanya. Nur Hazwani Aziz, 27, berkata, kehadiran peminta sedekah menimbulkan persoalan, mengganggu pemandu sehingga membolehkan mereka hilang fokus selepas tindakan memaksa segelintir daripada mereka. "Saya amat memohon supaya pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan tidak memandang remeh permasalahan ini kerana dibimbangi boleh merebak ke kawasan lain. "Aktiviti tersebut jika tidak dibendung bukan hanya mencemar imej negara tetapi turut menyamai situasi di Indonesia apabila kawasan jalanan dijadikan tempat untuk meminta sedekah," katanya. | |||
Posted: 05 Dec 2013 03:51 PM PST LANGKAH Pretty Ugly bermula sejak tahun 1997. Secara sedar ataupun tidak, sudah 16 tahun band itu berpaut pada dahan-dahan seni yang tumbuh mekar seiring revolusi muzik saban tahun. Single Diari Seorang Lelaki mempopularkan band yang dianggotai oleh Raizan Zainal Abidin (Neves), Mohammad Raziz Zainal Abidin (Jay), Nik Muhd Histami Nik Mohd Din (Net) dan Ikhwan Ajwad Rawyani (Juad) itu suatu ketika dulu. Bagaimanapun, bintang Pretty Ugly semakin malap tahun demi tahun. Ibaratnya tiada lagi bisa untuk menangkap halwa telinga pendengar dan tidak ada formula ampuh untuk terus memantapkan jenama mereka. Mengulas tentang situasi itu, ujar vokalis band Pretty Ugly, Neves, mereka berkembang bersama kelompok peminat yang kini sudah beralih fasa kehidupan tapi sebenarnya masih mampu mencuri hati kelompok remaja. "Band Pretty Ugly sudah berusia 16 tahun dan pastinya pendengar pada zaman kemunculan kami sudah beralih tangga usia. "Bagaimanapun, kami adalah band yang mencipta lagu yang tidak terlampau muda atau tua. Kami di pertengahan! "Kelompok pendengar masih sama dan semakin bertambah setiap masa, cuma kami adalah band yang menggunakan formula sama seperti band baharu tapi bezanya adalah kami muncul lebih awal," katanya berteman Jay dan Juad ketika hadir ke sesi fotografi di Studio Utusan baru-baru ini. Loncatan gemilang Neves mengakui Diari Seorang Lelaki merupakan had kegemilangan maksimum yang mampu Pretty Ugly gapai dan usaha untuk mencari single sebaik lagu itu berdepan pancaroba yang tidak bertepi. "Ada pun sebuah single genre hard rock, Gabra (Rock Bebeh!), yang mendapat maklum balas kurang memberangsangkan. Itu pun ketika album EP terakhir bersama KRU Studios tujuh tahun lalu. "Malangnya, langkah promosi single ketika itu agak perlahan dan pada masa sama satu persatu band baharu mulai dibentuk. "Memang benar langkah untuk naik semula dan mendapat tempat di hati peminat adalah paling sukar," getusnya. Ditanya adakah anggota band Pretty Ugly pasif memperjuangkan album setelah dilancarkan kerana masing-masing sudah mempunyai latar belakang karier lain selain bidang seni, celah Jay, itu bukan faktor perdana. "Karier masing-masing masih sama seperti lima tahun lepas dan selepas album Darabkan Sejuta dilancarkan pada tahun 2011 sambutan tetap kurang menggalakkan. "Malah, kami kecewa kerana lagu kami kurang diputarkan di radio dan itu menjadi punca utama kenapa Pretty Ugly semakin hilang seri. "Sifirnya, pendengar akan beli album apabila sesebuah lagu itu menjadi hit setelah sering kali diputarkan di radio. Kami pun pelik kenapa lagu kami jarang diputarkan," luahnya. Persaingan Sementara itu, melihat perkembangan pesat band-band baharu yang dianggotai ahli yang lebih muda, Pretty Ugly melihat senario itu satu rentetan perjuangan lepas. "Ini adalah satu persaingan yang bagus, tercipta mereka disebabkan perjuangan band-band sebelum ini. Kami adalah band pertama yang memecahkan tradisi tahun 2001 yang mencipta lirik moden dalam lagu. "Sebelum itu semua lirik moden adalah berbahasa Inggeris dan band-band tempatan ketika itu tidak berani mengunakan bahasa pasar yang sempoi, pelik tapi bombastik," tambah Juad. Dia mengakui, pendengar tempatan tidak gemarkan perubahan dan mahu mengekalkan konsep sama. Kerana itu katanya, ramai peminat yang masih mahukan Pretty Ugly mencipta lagu seperti single hit Diari Seorang Lelaki. Bagaimanapun, mereka memuji sesetengah band yang tampil bersama eksperimen baharu tapi berjaya mencuri tumpuan pendengar, contohnya Hyper Act yang tampil dengan mood dan genre segar. Pernahkah Pretty Ugly dibayar murah untuk sesebuah persembahan dan meletakkan kedudukan band itu sekadar di pinggiran? Jelas Neves, soal bayaran tidak seharusnya dijadikan jenaka kerana hidup mati sesebuah band bergantung pada kekerapan persembahan dan penghargaan penganjur melalui jumlah bayaran. "Jika tidak mampu membayar, jangan anjurkan acara! Perkara bayaran rendah kepada band-band lama tidak seharusnya berlaku melainkan projek itu untuk membantu pelajar sekolah atau universiti. "Malah, kami tidak memandang faktor bayaran pun sekiranya ada institusi pendidikan menjemput kami untuk membuat persembahan kerana golongan pelajar dan remaja lebih senang didekati dan lebih menghargai usaha muzik kami. "Biasanya, selepas membuat persembahan bersama mereka kami akan lebih puas dan sekali gus mendapat kelompok peminat baharu serentak," katanya. Cabaran AIM Tuah tahun 2013 menjanjikan harapan yang cerah buat Pretty Ugly yang turut tercalon dalam kategori Muzik Video Terbaik, Anugerah Industri Muzik ke-20 (AIM 20). Kata Neves, muzik video lagu #1 (disebut Nombor Satu) itu dibikin bersama Altimet dengan kos bernilai lebih RM15,000. Maka, sejajar dengan keringat dan nilai yang dilaburkan, mereka meletakkan harapan tinggi. "Muzik video ini dihasilkan berkonsepkan MTV (muzik televisyen), jadi hasilnya memang akan pelik, lebih banyak grafik dan adakalanya tidak logik. "Selebihnya kami fokuskan sinematografi dan jalan cerita berdasarkan lirik lagu itu tapi pada masa sama penonton masih mampu mencerna dan memahaminya. "Istimewanya lagu ini kerana ia dicipta untuk menyuntik semangat cintakan tanah air tanpa mengira bangsa, agama dan kepercayaan politik serta mengajak rakyat Malaysia bersatu-padu," jelas Neves mengenai muzik video yang telah diarahkan oleh Perez Oldskool. Muzik video #1 bakal berentap bersama empat calon lain dalam kategori sama iaitu Dwihati (Aizat Amdan ft. Yuna), Tanpamu (Amir Jahari), Jauh Ke Syurga (Ana Raffali) dan Fearless Hearts (Mr. Fluff). | |||
Posted: 05 Dec 2013 03:49 PM PST ENAM tahun menyepi daripada industri hiburan tempatan, nama Cico Harahap masih belum terpinggir sepenuhnya. Jika ditaip namanya di alam maya, pasti pelbagai cerita negatif muncul mengaitkan nama anak tunggal kepada penyanyi terkenal Uji Rashid itu. Cico atau nama sebenarnya Ezzaq Farrouq Harahap Jamaludin, 36, tidak pantas melatah, malah cuba sebaiknya menjawab dakwaan yang dilemparkan terhadapnya termasuk kononnya berparti liar di sebuah bar di Pulau Perhen- tian, Terengganu. Ikuti temu bual bersama Cico yang ditemui di set penggambaran drama bersiri Jiwa di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur baru-baru ini. Kosmo!: Menerusi beberapa keping gambar Cico yang tersebar di internet, adakah benar tuduhan menyatakan Cico sering berparti liar? CICO HARAHAP: Saya bekerja sebagai jurulatih skuba di Pulau Perhentian dan pada waktu malam pula mengutip tin di beberapa buah bar di sepanjang pantai. Jadi, dalam pada saya tengah kutip tin, kebetulan ada pula peminat yang mahu bergambar bersama saya. Saya penuhi permintaan mereka tapi tidak disangka pula gambar itu yang tersebar dan keluarlah cerita yang negatif mengenai diri saya. Saya reda saja. Adakah Cico tertekan apabila cerita sebegini tersebar dan sekali gus menjejaskan nama anda? Saya tidak tertekan pun sebab suatu ketika dulu ibu saya pernah melalui pelbagai cabaran yang lebih dahsyat dan berpuluh-puluh kali ganda lebih teruk berbanding saya tapi dia masih berdiri sebagai Uji Rashid. Saya tidak marah ataupun sedih dan Alhamdulillah saya masih diberikan tawaran berlakon hingga hari ini. Cico lebih dikenali dengan imej dan cerita negatif, bagaimanakah anda mengatasi situasi itu? Saya pernah muda dan macam-macam cerita negatif keluar mengenai diri saya selama bertahun-tahun. Namun, itu yang menyebabkan saya bertambah kuat dan saya tidak pernah rasa mahu berhenti berlakon. Cerita negatif tidak membawa saya kemana-mana, lebih baik fokus kepada kerjaya. Bercakap mengenai dunia lakonan, setelah sekian lama menghilangkan diri kenapa sekarang baru kembali? Kebetulan sekarang musim tengkujuh, maka semua aktiviti berkaitan laut diberhentikan seketika. Pada masa yang sama, Kabir Bhatia menawarkan kepada saya untuk berlakon dalam drama Jiwa bersama pelakon-pelakon hebat seperti Kamal Adli, Remy Ishak dan Faizal Hussein. Syukur Alhamdulillah. Lagipun sekarang sudah ramai pelakon, berilah mereka peluang. Sudi kongsikan peranan Cico dalam drama Jiwa ini? Saya menjadi sahabat baik kepada Iskan- dar (lakonan Remy Ishak) bernama Zul yang akhirnya berubah karakter pada saat- saat akhir. Saya terima tawaran ini kerana wataknya berwarna-warni dan ini sejujur- nya comeback saya dalam dunia seni. Beralih pada perkembangan peribadi Cico, khabarnya anda kini sudah tidak lagi bersama isteri anda (Nur Fuziani Abdullah atau Elle). Benarkah? Ya, kami sudah tiga tahun bercerai. Sebelum ini saya lebih senang untuk tidak menghebahkan mengenai perkara ini kepada orang ramai. Saya merupakan bapa tunggal kepada seorang anak perempuan, Rindu Nur Fitrah. Mungkinkah selepas tiga tahun bercerai, Cico akan kembali mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat? Saya belum terfikir lagi buat masa sekarang. Saya memang ada berkenalan dengan seorang wanita tapi tidak pasti dia adalah calon yang sesuai untuk dijadikan isteri dan ibu kepada anak saya. Apa-apa pun, saya selesa dengan kehidupan saya bersama anak saya sekarang dan dia pun sering menemani saya ke set penggambaran. | |||
Posted: 05 Dec 2013 03:48 PM PST RANCANGAN realiti komedi popular, Maharaja Lawak Mega 2013 (MLM 2013) sudah memasuki minggu ketiga pertandingan dan persaingan kian rancak antara 14 kumpulan untuk merebut gelaran juara. Berlangsung penuh megah di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Jumaat lalu memberi pelbagai emosi kepada penonton tatkala kebanyakan peserta memberi persembahan yang cukup padu sesuai dengan tema mingguan yang berkonsepkan cinta. Tirai lawak dibuka dengan persembahan kumpulan Zero yang dianggotai oleh tiga beradik dari Sabah, Sharif Kadil Doli Sharif (Atu), Mohd. Syaiful dan Sharif Kunal. Walaupun hanya jangka waktu yang singkat untuk membuat persembahan, lawak mereka dapat dirasai oleh juri sehingga diberi pujian yang menggalakkan oleh Datuk Yusuf Haslam. Pentas komedi itu diteruskan dengan lawak jenaka berkonsepkan Bollywood hasil garapan SYJ, kumpulan yang terdiri daripada Shuk, Jihan Musa dan Yassin, sekali gus membuatkan juri tetap, Nora Danish memberi komen positif terhadap persembahan mereka. Disusuli dengan persembahan mendatar daripada kumpulan Boboi yang menggunakan konsep yang sudah 'basi' walaupun pengkritik tetap dari Singapura, Sheikh Haikal memberi komen ala kadar dengan menyatakan idea yang cuba ditonjolkan agak menarik. Kumpulan meningkat naik, Wala dan Comey terus menggamatkan pentas itu dengan persembahan unik masing-masing. Wala yang dianggotai oleh Wan dan Lopz menggunakan konsep segar dalam menyampaikan jenaka sesuai dengan tema cinta manakala Comey yang dianggotai oleh Ropie dan Suhaimi Yusuf turut menonjol dan mendapat komen yang positif daripada pengkritik tetap. Walaupun mendapat sorakan penonton, kumpulan 'pilihan' MLM 2013, Sepahtu tampil mengecewakan pada minggu ini kerana mesej bersahaja yang dilakukan mengundang rasa bosan manakala persembahan kumpulan Bocey dan Shiro berjaya mencuri perhatian juri dan penonton di dewan MBSA pada malam itu. Persembahan yang rancak bertukar hambar apabila jenaka yang cuba ditawarkan oleh kumpulan Kucai, Mamu dan Osama gagal dibeli oleh juri tetap dan penonton hanya mampu memberikan sorakan 'kasihan' kepada mereka kerana mutu yang dipersembahkan oleh mereka tidak mencapai standard gelanggang MLM. Malam itu diteruskan dengan persembahan ceria oleh kumpulan sensasi, Jambu dan kumpulan yang diterbangkan khas dari seberang, Saywho. Kedua-dua kumpulan tersebut tampil hangat dan berjaya mengundang gelak tawa yang ikhlas daripada penonton, sekali gus mendapat pujian pengkritik tetap. Figura yang sangat dinantikan pada malam itu, Nabil mengakhiri MLM 2013 untuk minggu ketiga dengan memberi dimensi berbeza terhadap tema cinta secara tidak langsung mengulangi sorakan padu yang diterima pelawak serba boleh asal Negeri Sembilan pada minggu lalu. Seperti yang dijangka, kumpulan Kucai, Mamu dan Osama terpaksa menduduki tempat tiga terbawah sebelum pengacara MLM 2013, Datuk AC Mizal mengumumkan kumpulan Osama yang dianggotai oleh Mr. Os dan Isma Alif serta Mamat, Munir dan Arin yang menjadi ahli untuk kumpulan Kucai terpaksa disingkirkan. Merasakan pasukan mereka menjadi mangsa keadaan, Kucai yang diwakili bekas anggota kumpulan Sepah, Mamat tegas menyatakan, lawak yang ditampilkan oleh mereka sudah cukup bagus. "Kami sudah melakukan sehabis baik, bagaimanapun peminat tetap tidak memberikan sokongan tidak seperti kumpulan lain yang memberi persembahan menyimpang daripada tema cinta mendapat pujian juri," ujar Mamat yang reda ketika ditemui selepas persembahan berakhir. Menurut Munir, adat pertandingan ada menang dan ada kalah, yang penting Kucai sudah berusaha yang terbaik dan mereka terima segala keputusan. Kumpulan Osama yang terdiri daripada pelawak senior, menyifatkan kegagalan mereka sudah dijangka dan mengakui tidak meletakkan harapan yang tinggi dalam MLM kali ini. Pelawak terkenal era 80-an, Mr. Os menyatakan, cita rasa penonton kini jelas berbeza daripada dulu. "Saya kurang berpuas hati dengan ulasan yang diberikan oleh juri kerana saya mengharapkan komen yang jujur daripada mereka terhadap semua kumpulan. "Sebagai orang seni yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang ini, saya tetap berbangga kerana masih boleh bersaing dengan pelawak-pelawak muda di pentas MLM 2013," ujar Os lagi yang menegaskan akan tetap bergandingan dengan Isma Alif untuk persembahan mendatang. Secara keseluruhannya, pengkritik tetap, Yusuf Haslam menyifatkan ada penurunan dari segi kualiti yang cuba di- tonjolkan oleh para peserta pada minggu ini. "Saya mengakui populariti sesebuah pasukan dan individu yang menjadi aras kepada sorakan dan undian penonton tetapi perkara ini tidak pernah mempengaruhi juri untuk menilai persembahan jenaka mereka. "Walaubagaimanapun, saya menyukai persembahan Wala yang dilihat meningkat naik dari minggu ke minggu dan saya sendiri terkena dengan 'mainan' mereka," kata pengarah tersohor negara itu lagi. MLM 2013 bersiaran setiap hari Jumaat, pukul 10 malam bermula 15 November lalu di Astro Warna dan Mustika HD juga boleh disaksikan menerusi Astro-on-the-go. | |||
Posted: 05 Dec 2013 03:45 PM PST BENAR, karya atau sesebuah naskhah itu merupakan suatu seni. Dan seni, sifatnya tidak mempunyai kalkulatif yang spesifik untuk diterjemahkan sebagai elok atau tidak elok. Ia bergantung banyak kepada selera, pemahaman seseorang dan subjektif. Namun, jangan ambil kesempatan terhadap seni yang dinilai sebagai sukar untuk dikira, maka lahirlah banyak karya atau naskhah yang hampir tidak boleh diterima akal dibikin pada abad ini. Masakan tidak, pada zaman teknologi serba canggih, merakam visual juga sudah tidak perlu menggunakan kamera berformat besar tetapi boleh dirakam hanya dengan kamera DSLR serta lambakan contoh syot atau pembikinan sesebuah karya yang boleh diambil guna, masih juga terdapat produksi yang tidak menaik taraf standard pembikinan karya mereka. Seharusnya pada zaman serba moden, dengan banyak khalayak yang tidak mempunyai pendidi- kan formal mampu menghasilkan sebuah karya yang elok, sepatutnya pemegang status pengarah yang berada pada carta tertinggi dalam organisasi orang belakang tabir perlu lebih hebat daripada penghasil amatur. Saya bukan graduan filem atau punya kelulusan tentang kerja balik tabir. Bagaimanapun, saya meletakkan diri saya sebagai seorang penonton yang mahu menonton sebuah karya yang sekurang- kurangnya tidak dibikin dengan semborono. Sebagai salah seorang penonton televisyen, saya mahu bercakap tentang kebanjiran drama di tele- visyen yang disadur melalui naskhah atau novel yang laris di pasaran. Dewasa ini, menyadur atau adaptasi menjadi satu trend di mana-mana negara sekali pun. Budaya itu juga jelas dilihat di negara kita dan setiap televisyen mempunyai drama saduran tersendiri yang mencapai rating cukup tinggi. Menyadur semula tidak salah. Membikin karya yang divisualkan juga tidak salah. Bagaimanapun, yang menjadi sedikit mengganggu jiwa ialah bagaimana sesebuah naskhah itu diterjemah dalam visual yang kualitinya rendah. Rendah dari segi syot. Rendah dari segi penataan cahaya. Rendah dari segi konti. Rendah dari segi pelakon. Rendah dari segi props dan rendah dari segi terlalu berusaha membikin drama di dalam drama yang dihasilkan. Minta maaf tapi drama saduran terkini yang saya tahu memang hangat dan dinanti setiap hari, Playboy Itu Suami Aku adalah contoh rendahnya kualiti sebuah karya yang mempunyai jutaan penonton setiap hari. Saya tidak merendahkan kemampuan pengarah tetapi yang cuba saya katakan di sini ialah jangan bersikap semborono dengan mengarah sebuah saduran yang laris di pasaran sebagai sebuah novel dengan beragam imaginasi pembaca dan kemudian diterjemahkan dalam sebuah naskhah yang kualitinya mengecewakan. Ia agak menyedihkan buat penikmat karya tegar, malah agak membahayakan penggiat filem yang baru mula berkecimpung untuk terbabit dalam arena ini. Syot-syot di dalam drama ini cukup lemah. Lakonan hero dan heroinnya juga keras seperti kayu. Ya, mereka orang baharu, harus diberi peluang, namun seharusnya seseorang yang mahu berada di hadapan kamera perlu mempersiapkan diri sebaik mungkin kerana mereka akan dinilai oleh khalayak. Tidak cukup itu, solekan dan penggunaan rambut palsu, terlalu bersifat sinetron. Satu lagi yang ingin saya sentuh tentang isi naskhah yang disampaikan. Ia menjadi semakin klise apabila kisah kahwin paksa atau berkahwin dengan orang yang kita benci dan kemudian jatuh cinta ditayangkan berturut-turut atau terlalu hampir. Contohnya drama Setia Hujung Nyawa, I Love You Mr. Arragont dan terkini Playboy Itu Suami Aku. Adakah hanya naskhah cinta sebegini yang layak disadur dan ditayangkan kepada khalayak? Jika memang hanya ini sahaja pilihan yang ada, adunlah dengan cantik dan rasa klise itu tidak terlalu memualkan kerana saya percaya semua orang seni itu kreatif. Jangan jatuhkan martabat pembikin karya atau drama sedia ada yang dibikin teliti dengan bajet yang rendah. Jangan sama tarafkan karya kita dengan sinetron Indonesia yang selalu dipersenda kerana terlalu drama. Bertanggungjawablah dengan karya anda kerana selain mencerminkan kredibiliti anda, ia juga menjadi cermin industri pada masa akan datang. Buat stesen televisyen pula, jangan terlalu ghairah mengejar rating sehingga melupakan tentang kualiti. Ya, barangkali jika beranggapan karya hanya satu bentuk hiburan, fikirlah juga bahawa kita tidak mahu sebuah hiburan hingusan. | |||
Angin kencang landa England, Jerman Posted: 05 Dec 2013 03:40 PM PST LONDON - Angin kencang menjejaskan pengangkutan awam dan tenaga elektrik terputus di Scotland manakala pantai England diancam banjir semalam. Beberapa pegawai meteorologi menyatakan, ribut terkuat dalam tempoh beberapa tahun mungkin akan melanda benua Eropah. Pihak berkuasa Britain memberi amaran, peningkatan paras air laut yang dianggap paling besar dalam tempoh lebih 60 tahun mungkin berlaku di England. Perdana Menteri United Kingdom, David Cameron turut mengadakan mesyuarat bagi membincangkan strategi untuk berdepan dengan ribut itu. Dalam kejadian itu, seorang terbunuh ketika angin kencang bergerak selaju 225 kilometer sejam melanda beberapa bahagian di Scotland. Menurut sebuah syarikat membekalkan tenaga elektrik, SSE, lebih 80,000 buah rumah terputus bekalan elektrik. Bilangan rumah yang terputus bekalan elektrik itu akan meningkat kerana beberapa batang pokok akan tumbang dan mengenai talian elektrik. Semua perkhidmatan pengangkutan awam di Scotland digantung selepas pukul 8 malam waktu tempatan. Pihak berkuasa di Pelabuhan Hamburg, Jerman turut mengeluarkan amaran awam tentang angin tersebut. Menurut pakar-pakar ramalan cuaca, angin tersebut mungkin sekuat ribut dan menyebabkan banjir yang pernah berlaku di Hamburg pada tahun 1962 sehingga mengakibatkan 315 orang terkorban. Semua penerbangan di lapangan terbang di Hamburg dibatalkan kerana angin kencang. Perkhidmatan feri di utara Jerman juga tidak bergerak di beberapa buah pelabuhan. | |||
Posted: 05 Dec 2013 03:39 PM PST BANGKOK - Pemerintah Thailand, Raja Bhumibol Adulyadej menggesa rakyat negara itu bekerjasama untuk mewujudkan kestabilan selepas perhimpunan penunjuk perasaan antikerajaan berakhir tiga hari lalu. Raja Bhumibol bertitah sempena hari keputeraan baginda yang ke-86 tahun di sebuah istananya di sini semalam ketika para penunjuk perasaan bersedia untuk melancarkan tunjuk perasaan baharu anti-Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra. Yingluck dituduh para penunjuk perasaan itu menjadi boneka abangnya, Thaksin Shinawatra yang juga bekas Perdana Menteri Thailand yang digulingkan dalam satu rampa- san kuasa tentera pada tahun 2006. Thaksin kini hidup dalam buangan dan beliau akan dihukum penjara dua tahun kerana kesalahan rasuah jika kembali semula ke Thailand. Para penunjuk perasaan itu menduduki beberapa bangunan kerajaan sebelum mereka menghentikan tunjuk perasaan buat seketika bagi menghormati hari keputeraan raja tersebut. Raja Bhumibol bertitah, negaranya pernah menikmati keamanan bagi tempoh yang lama kerana setiap penduduk bekerjasama mengekalkan kestabilan. Ucapan baginda itu disiarkan di televisyen. Sebarang keganasan dan kekacauan yang berla-ku semasa cuti umum hari keputeraan raja tersebut akan dianggap sebagai tanda tidak hormat ke atas pemerintah Thailand itu. Sebuah potret besar raja itu didirikan di Monumen Demokrasi dekat Istana Besar di sini. Namun, para penunjuk perasaan itu berikrar akan kembali semula di jalanan bagi meminta Yingluck meletakkan jawatan. "Esok (hari ini) kami akan melakukan tunjuk perasaan," kata seorang penunjuk perasaan yang hanya mahu dikenali sebagai Khieu. Menurutnya, tunjuk perasaan itu akan berterusan sehingga Yingluck meletakkan jawatan. | |||
Warga AS jadi wanita pertama beli Ford Mustang keluaran 1964 Posted: 05 Dec 2013 03:38 PM PST PARK RIDGE, Illinois - Seorang warga Amerika Syarikat (AS), Gail Wise dipercayai sebagai wanita pertama di dunia yang memiliki kereta Ford Mustang keluaran syarikat Ford. Wise membeli kereta dua pintu tersebut pada 15 April 1964 semasa berumur 22 tahun dan ketika dia bekerja sebagai seorang guru. Dia membeli kereta tersebut di Chicago, dua hari sebelum presiden syarikat Ford iaitu Lee Iacocca memperkenalkan model itu dalam satu pameran. Kereta itu kini masih digunakan oleh Wise dan suaminya, Tom. Bagaimanapun, kereta tersebut tersimpan di dalam garaj rumah mereka pada tahun 1979 selama 27 tahun sebelum ia menjalani pembaikan dan pemulihan. | |||
Posted: 05 Dec 2013 03:37 PM PST TAMAN NEGARA EVERGLADES, Florida - Sebanyak 10 ikan paus pandu mati selepas terdampar di kawasan laut cetek di sini kelmarin. Menurut beberapa pegawai hidupan liar dan Taman Negara Everglades, lebih 40 ekor ikan paus tersebut turut terdampar di kawasan yang cetek itu. Para anggota penyelamat berusaha untuk menolak ikan paus tersebut ke kawasan laut dalam. Menurut seorang jurucakap taman itu, Linda Friar, puluhan ikan paus itu pada mulanya dilihat berada di kawasan berkenaan pada petang Selasa lalu dekat Teluk Mexico. Pihak Pentdabiran Kelautan dan Atmosfera Kebangsaan menyatakan, satu bedah siasat akan dilakukan bagi menentukan punca ikan paus tersebut terdampar. "Pada kebiasaannya, ikan paus pandu kerap terdampar. Ikan paus itu cenderung berenang di kawasan cetek," kata Friar. Usaha untuk menyelamat ikan paus itu masih berterusan sehingga pagi semalam. Ikan paus pandu itu berenang dalam kumpulan yang mengandungi 25 hingga 30 ekor haiwan tersebut. Berat badan ikan paus pandu dewasa ialah 1,000 hingga 3,000 kilogram. Ikan paus pandu betina sepanjang 3.7 meter manakala ikan paus jantan 5.5 meter. | |||
Buat terjunan peringati rakan yang terkorban Posted: 05 Dec 2013 03:36 PM PST ELOY, Arizona - Sekumpulan juruterbang dari beberapa buah negara membuat formasi di udara di sini kelmarin. Mereka terjun dari sembilan buah pesawat sebelum membuat formasi menarik di ruang udara bandar itu. Terjunan itu dibuat tiga hari selepas dua penerjun terkorban gara-gara berlanggar sesama sendiri di udara. Beberapa peserta terjunan berkata, terjunan beramai-ramai tersebut adalah cara terbaik untuk memperingati dua penerjun yang telah meninggal dunia itu. | |||
Rawat penduduk pedalaman Brazil Posted: 05 Dec 2013 03:33 PM PST MAIS MEDICOS atau "lebih banyak doktor" merupakan satu program yang diwujudkan kerajaan pimpinan Presiden Dilma Rousseff bagi memenuhi kekosongan dalam sistem kesihatan Brazil menggunakan tenaga doktor asing, terutamanya dari Cuba. Tidak hanya dilihat sebagai penyelesaian kepada masalah kekurangan doktor di Brazil, usaha tersebut telah mewujudkan gelombang sokongan besar untuk melanjutkan tempoh pemerintahan Rousseff ke penggal kedua dalam pilihan raya tahun hadapan. Langkah untuk mengambil bahagian dalam program doktor untuk dieksport yang dimulakan bekas pemerintah Cuba, Fidel Castro menjadi keutamaan Rousseff setelah kerajaannya menerima bantahan hebat daripada rakyat berhubung isu rasuah, pengangkutan awam yang teruk, pelajaran dan perkhidmatan kesihatan yang menggegarkan seluruh Brazil pada bulan Jun lalu. Dalam tempoh beberapa minggu selepas lebih sejuta warga Brazil turun ke jalanan untuk melakukan protes kepada pihak pemerintah, wanita itu melancarkan Mais Medicos untuk menggaji lebih ramai doktor. Brazil menandatangani perjanjian bertempoh tiga tahun untuk membawa ribuan doktor dari Cuba supaya berkhidmat di kawasan miskin dan pedalaman-lokasi bukan pilihan bagi doktor-doktor tempatan. Di bawah satu perjanjian yang memberikan Cuba pulangan bernilai 225 juta dolar Amerika (RM723.6 juta) setahun, ribuan doktor warga Cuba dihantar ke pusat kesihatan di kampung dan wilayah miskin, merentasi kawasan timur laut Brazil yang sering diancam kemarau dan tidak memiliki doktor residen. Wilayah Bahia, yang terletak di kawasan timur Brazil dapat membuka semula pusat kesihatan mereka yang sebelum ini ditutup akibat kekurangan kakitangan. Penduduk Jiquitaia, sebuah perkampungan desa yang di kawasan pedalaman Bahia tidak lagi perlu menempuh perjalanan sejauh 46 kilometer untuk bertemu doktor. Skim baharu "Ini merupakan anugerah daripada tuhan," kata seorang pekerja ladang, Deusdete Bispo Pereira selepas diperiksa oleh Dania Alvero, seorang doktor dari Santa Clara, Cuba setelah mengadu sakit pada dada. "Semua orang gembira kerana dia (Alvero) ada di sini. Kami bimbang kalau-kalau dia akan dihantar keluar," katanya. Warga emas dan wanita mengandung memenuhi pusat kesihatan tersebut untuk diperiksa Alvero, sama seperti rakan setugas senegaranya, seorang pakar dalam bidang perubatan pencegahan. "Terdapat pelbagai jenis penyakit di sini, sesetengah daripadanya pernah saya lihat menerusi buku, misalnya penyakit kusta yang tidak lagi wujud di Cuba," katanya dalam bahasa Sepanyol dan Portugal yang bercampur-campur. Cuba telah mengeksport doktor ke luar negara untuk tempoh berdekad lamanya. Pada peringkat permulaan, ia adalah bagi membantu negara-negara membangun atas dasar ideologi. Doktor dihantar buat pertama kalinya oleh Fidel Castro sebagai satu bentuk percaturan dalam Perang Dingin dari Algeria dan Etiopia sehingga Angola dan Nicaragua. Bagaimanapun selepas terjebak dalam krisis ekonomi akibat keruntuhan Kesatuan Soviet, Castro merancang skim baharu iaitu doktor untuk minyak dengan kerjasama bekas pemerintah Venezuela, Hugo Chavez pada tahun 2000. Pelan yang digelar Barrio Adentro itu melibatkan penghantaran lebih daripada 30,000 rakyat Cuba untuk bekerja dalam sektor kesihatan di kawasan miskin dan setinggan di Caracas dan bandar-bandar lain di Venezuela. Ia memberi Chaves sokongan politik yang kuat dan dibayar dengan penghantaran minyak ke Cuba. Gaji maksimum Meskipun sebahagian besar daripada pendapatan menjadi kepunyaan kerajaan, doktor-doktor Cuba tetap berbesar hati untuk bekerja di luar negara kerana gaji yang diperoleh mereka masih jauh lebih besar berbanding negara asal. Gaji maksimum seorang doktor bersamaan dengan RM160 sebulan. "Kami tidak dibayar gaji yang tinggi di negara kami, namun kami di sini bukan untuk wang. Kami di sini untuk membantu negara kami yang miskin," kata Lisset Brown yang bekerja di sebuah pusat kesihatan kejiranan di Ceilandia, kawasan setinggan terbesar di ibu negara Brazil, Barsilia. Ketibaan 12 orang doktor Cuba telah meringankan beban hospital Celandia dan memperbaiki kredibiliti sistem kesihatan, kata seorang jururawat tempatan, Tania Ribeiro Mendonca. "Rakyat melihat bahawa kerajaan telah melakukan sesuatu," katanya. Cuba hari ini mempunyai lebihan doktor yang ramai. Menurut Bank Dunia, ia memiliki nisbah doktor berbanding populasi yang tertinggi di dunia pada nisbah 6.7 dalam 1,000 orang berbanding Brazil yang memiliki nisbah 1.8 doktor daripada 1,000 orang. Kadar tersebut bagaimanapun lebih tinggi di kawasan bandar dan digemari doktor tempatan seperti Sao Paolo dan Rio de Janeiro iaitu empat orang doktor dalam 1,000 orang. Persatuan doktor di Brazil pada mulanya cuba menghalang kedatangan rakan sekerja mereka dari Cuba, yang dilihat sebagai usaha untuk menghakis kepentingan dan standard perubatan mereka. Pada ketibaan awal kontinjen doktor Cuba di lapangan terbang Fortaleza di bahagian utara Brazil pada Ogos lalu, sekumpulan doktor tempatan yang tidak berpuas hati menjerit "Hamba!" kepada mereka. Bagaimanapun doktor tempatan terpaksa memperlahankan nada mereka apabila tinjauan pendapat awam memberitahu majoriti daripada rakyat Brazil menyokong usaha untuk menggaji rakyat asing disebabkan kekurangan doktor tempatan, meskipun masih wujud keraguan berhubung tahap kelayakan doktor dari Cuba. Satu tinjauan yang dijalankan pada bulan November lalu menunjukkan 84.3 peratus daripada responden menyokong program Mais Medicos, meskipun hanya 66 peratus yang yakin bahawa doktor asing benar-benar layak untuk pekerjaan tersebut. "Kami tidak menentang kedatangan doktor asing. Mereka boleh datang dari Rusia, England, Cuba atau Bolivia, namun kelulusan mereka mesti dinilai terlebih dahulu dan kerajaan tidak melakukan perkara tersebut," jelas Florentino Cardoso, Ketua Persatuan Perubatan Brazil. Layanan tidak adil Cardoso, seorang pakar bedah kanser mengadu bahawa Rousseff telah memberi tanggapan buruk kepada doktor tempatan dengan mengaitkan mereka kepada pelbagai kekurangan dalam sistem kesihatan Brazil. Meletakkan lebih banyak doktor di kawasan terpencil katanya, tidak akan mengakhiri masalah kekurangan dana perubatan di kawasan bandar. Bagi membolehkan doktor asing bekerja di Brazil, pentadbiran Rousseff melangkah piawaian normal untuk membenarkan doktor asing berkhidmat bagi tempoh tiga tahun meskipun ijazah mereka tidak disahkan oleh pihak berkuasa tempatan iaitu satu proses yang memakan masa bertahun-tahun lamanya. Undang-undang bagaimanapun mengatakan mereka hanya boleh memberi perkhidmatan kesihatan asas. Setelah tewas pada peringkat awal, doktor tempatan kini memfokuskan kritikan kepada apa yang mereka gelar sebagai layanan yang tidak adil kepada rakan sekerja mereka. Tidak seperti doktor dari negara lain, doktor Cuba tidak dibenarkan untuk membawa keluarga mereka ke Brazil, kerajaan Cuba mendakwa hal tersebut adalah untuk memastikan mereka kembali ke Cuba. Doktor Cuba juga hanya memperoleh sebahagian kecil daripada 10,000 reais (RM13,600) sebulan yang dibayar Brazil untuk setiap peserta program. Pegawai kesihatan perbandaran di Bahia memberitahu, mereka menyediakan tempat tinggal percuma kepada doktor Cuba, yang dibayar sebanyak 800 reais (RM1,090) sebulan secara tunai di Brazil, manakala 1,200 reais (RM1,600) lagi diberikan kepada keluarga mereka di Cuba, sementara 8,000 reais (RM10,900) selebihnya diperoleh kerajaan Cuba, dibayar menerusi Pan-American Health Organization. Berbanding doktor asing lain yang boleh bekerja di mana-mana tempat lain di Brazil setelah tempoh kontrak tiga tahun mereka tamat, doktor Cuba hanya boleh memilih untuk kembali ke Cuba atau memohon untuk menyertai program Mais Medicos sekali lagi. "Kami telah menghapuskan perhambaan untuk satu jangka masa yang lama, namun hal ini seakan-akan serupa. Ia bukan cara terbaik untuk memperbaiki sistem kesihatan di Brazil," kata Eleuses Paiva, seorang doktor dan juga ahli kongres dari sebuah parti yang menyokong kerajaan campuran Rousseff. | |||
Gedung khazanah seni, warisan negara Posted: 05 Dec 2013 03:32 PM PST SETIAP hari selepas tamat sesi persekolahan pada sebelah pagi sekitar dua dekad lalu, Sharifah Radzieh Tuan Ismail akan dibawa ke Pasar Seni oleh ayahnya yang mengusahakan perniagaan kraftangan tradisional, Tuah KTC di Kuala Lumpur. Anak sulung daripada enam beradik yang mesra dengan panggilan Diana itu sudah menganggap destinasi persinggahan pelancong dari dalam dan luar negara itu sebagai rumah pertamanya kerana sebahagian kehidupannya bermula di Pasar Seni sejak dia berusia dua tahun. Kehidupannya yang berlatar bangunan ikonik tersebut juga menyebabkan anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini arif dengan selok-belok dan setiap penjuru di lokasi berkenaan. Jika ada masa terluang, Diana akan membantu ayah dan ibunya menguruskan perniagaan yang dibawa dari Kelantan ke ibu kota sejak tahun 1981. Tanya sahaja mengenai mana-mana lokasi di setiap penjuru Pasar Seni pasti Diana dapat menceritakan kisah silamnya dengan panjang lebar. Jelasnya, ruang di tingkat bawah bangunan bersejarah tersebut dahulunya banyak kosong dan para pengunjung tidak mempunyai banyak pilihan kerana jumlah premis tidak bercambah seperti sekarang. Selain suasana yang sunyi, Diana menyifatkan susun atur perniagaan di Pasar Seni pada waktu tersebut kurang tersusun dan tidak menarik. Bicara wanita lulusan Pengurusan Perniagaan dari Management and Science University (MSU) itu lagi, orang ramai pernah melontarkan pelbagai persepsi negatif terhadap mercu tanda hebat ini sebagai kawasan hitam kerana lokasinya menjadi sarang penyeluk saku dan penagih dadah sekitar dua dekad lalu. Namun, sejak pengurusan baharu, Central Market Sdn. Bhd. mengambil alih operasi Pasar Seni pada tahun 2004, banyak perubahan dilakukan terutama dari aspek dekorasi bangunan, keselamatan dan keselesaan kepada para pengunjung. Pengunjung juga tidak perlu bimbang mengenai soal keselamatan kerana kawasan Pasar Seni dipantau ketat oleh pengawal keselamatan dan diawasi televisyen litar tertutup (CCTV) sepanjang masa. "Jika sebelum tahun 2004, imej Pasar Seni seperti pasar biasa tetapi, sekarang keadaan sudah berubah sebab banyak bahagian telah dinaik taraf dan peluang pekerjaan semakin bertambah. "Kedai-kedai sekarang dihias cantik dengan dekorasi tradisi pelbagai budaya," katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini. Walaupun kewujudan pusat beli-belah moden di Kuala Lumpur bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan, Pasar Seni tetap memiliki aura tersendiri kerana produk-produk yang ditawarkan berbeza daripada tempat lain. Ambil alih Diana menganggap Pasar Seni ini sebuah lokasi tarikan pelancongan yang istimewa sejajar dengan pengiktirafannya sebagai gedung khazanah kesenian dan warisan negara yang unggul di Malaysia. "Saya berbangga kerana menjadi sebahagian daripada Pasar Seni dan sudah sebati dengan persekitarannya kerana saya telah berada di sini selama 24 tahun," katanya. Di sebalik kisah lampau yang melatari hidupnya, Diana yang kini berusia 26 tahun diberi amanah oleh bapanya untuk menguruskan lapan buah kedai dan satu kios serta dibantu 15 kakitangan di Pasar Seni. "Saya mengambil alih perniagaan kraftangan ini daripada bapa ketika berumur 22 tahun selepas menamatkan pengajian. "Perniagaan ini dibawa oleh ayah saya dari Kelantan dan mula bertapak di Pasar Seni sejak tahun 1989. Ia merupakan kedai pertama keluarga kami di Pasar Seni," jelasnya yang kini bertindak sebagai Pengurus Tuah KTC. Syarikat Tuah KTC menawarkan produk kraftangan tradisional seperti perak, piuter, hasil ukiran kayu, mengkuang, wau, congkak, batik dan pelbagai lagi hasil seni dari Kelantan selain menawarkan produk antik yang diperoleh dari Malaysia dan rantau Asia. Pelbagai acara dianjurkan sempena sambutan ulang tahun Pasar Seni ke-125 pada hari ini. Antara aktiviti menarik yang diadakan adalah ialah pameran gambar-gambar lama dan baharu berkaitan monumen bersejarah itu di Galeri Annexe, Central Market Annexe yang bermula dari 25 November lalu hingga 8 Disember ini. Turut berlangsung sempena ulang tahun tersebut ialah Festival Makanan Warisan Malaysia yang bermula pada 4 Disember hingga 8 Disember ini di Pasar Seni. Sementara itu, Pheng Kian Kok yang merupakan seorang pelukis dan antara penghuni terawal Pasar Seni memberitahu, minat melukis sejak di bangku sekolah rendah menyebabkan dia berada di bangunan ikonik itu hingga hari ini. Mengimbau penglibatannya sebagai seorang pelukis, Kian Kok berhijrah ke Kuala Lumpur kerana menyangka ibu negara pada waktu itu sudah memiliki sebuah pusat seni lukis bagi mengembangkan bakatnya. Namun, Kuala Lumpur ketika itu tidak memiliki fasiliti khas untuk para artis seni mencurah bakat seperti yang terdapat di negara-negara Eropah. Selepas kecewa dengan keadaan itu, dia memohon pekerjaan lain dan berkhidmat di Jabatan Kerja Raya (JKR) di bahagian kejuruteraan di Mahameru, Kuala Lumpur selama tujuh tahun. Kian Kok yang kini berusia 59 tahun mula jatuh cinta dengan Pasar Seni selepas dia menyertai program Sunday Art Market sekitar Oktober 1985 secara sambilan. "Saya terlihat satu artikel di akhbar pada tahun 1985 mengenai pasar basah nak ditukarkan kepada pasar budaya. Inilah tempat saya sebenarnya kerana saya suka melukis sejak darjah satu," ujar bapa kepada tiga cahaya mata itu. Menurut lelaki yang peramah dan suka ketawa itu lagi, Sunday Art Market memberi peluang kepada para pelukis tempatan menjual karya masing-masing tanpa perlu membayar sewa tapak berhampiran pintu utama Pasar Seni. Selepas beberapa bulan menjual hasil lukisan di bawah panas terik, Kian Kok mendapat satu kios berdekatan pintu belakang di dalam bangunan Pasar Seni pada tahun 1986. Disebabkan minat yang mendalam terhadap lukisan, pelukis cat minyak kelahiran Kuah, Langkawi itu sanggup meninggalkan pekerjaannya di Jabatan Kerja Raya semata-mata ingin mencapai cita-cita sebagai seorang pelukis sepenuh masa. Selepas 27 tahun berkarya di situ, Kian Kok kini memiliki dua premis di bangunan Annexe yang terletak di belakang bangunan Pasar Seni. Katanya, inisiatif Central Market Sdn. Bhd. memindahkan semua pelukis ke bangunan Annexe kira-kira lima tahun lalu merupakan idea yang bijak kerana kawasan di bahagian belakang Pasar Seni sebelum diambilalih oleh pengurusan baharu umpama hidup segan mati tak mahu. "Mula-mula kita risau juga untuk dipindahkan kerana kita sudah biasa di dalam Pasar Seni selama 20 tahun dan masa itu kita kelam-kabut takut pengunjung tak datang sebab kita tahu tempat itu sunyi. "Sebelum ini mana ada orang datang di depan bangunan Annexe tetapi, kita mula sedar usaha pihak pengurusan melakukan perubahan dengan pelbagai promosi dan tarikan menarik telah memeriahkan suasana di bangunan Annexe," ujarnya yang pernah bekerja dengan seorang hartawan Arab dari Abu Dhabi, Emiriyah Arab Bersatu. | |||
Mahu kekalkan identiti Pasar Seni Posted: 05 Dec 2013 03:31 PM PST KHA SENG GROUP mengambil alih pengurusan Pasar Seni pada tahun 2004. Menerusi syarikat Central Market Sdn. Bhd. sejumlah RM10 juta dilaburkan untuk kerja-kerja naik taraf bangunan bersejarah itu. Dengan tempoh pajakan selama tujuh dekad, Kha Seng mempunyai perancangan besar untuk mengekalkan Pasar Seni sebagai kawasan tarikan pelancong utama di ibu kota selain menyokong operasi perniagaan penyewa dan menawarkan produk menarik buat pengunjung. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Kha Seng, Aaron Soo ketika ditemui begitu berbangga dengan pencapaian Pasar Seni di bawah pengurusan kumpulannya setakat ini. Pasang surut "Kini Pasar Seni boleh dikatakan sudah berjaya, kadar sewaan bagi kira-kira 360 unit lot kedai dan kios di sini ialah sekitar 99 peratus dan kami memperoleh antara 70,000 sehingga 80,000 pengunjung setiap minggu. "Ia merupakan tempat yang unik dan mesti dikunjungi di Kuala Lumpur. Ini memberikannya satu kelebihan yang tidak dapat ditandingi pusat beli-belah lain. "Pasar Seni boleh dikatakan tidak mempunyai pesaing, tidak ada tempat yang boleh memberikan tawaran serupa seperti Pasar Seni," katanya. Meskipun merupakan sebuah kawasan yang istimewa dan berpotensi besar, Pasar Seni tidak pernah terlepas mengalami pasang surutnya, sama ada dari segi perniagaan, kebersihan mahupun tanggapan pelancong dan dan tempatan. Pernah satu ketika dahulu ia dianggap sebagai kawasan yang memiliki kadar jenayah tinggi, selain bermasalah dari segi kebersihan. Soo berpendapat, perkara utama yang menjadi kunci untuk membezakan Pasar Seni sekarang berbanding ketika 'zaman gelapnya' ialah pengurusan yang jauh lebih baik dan teratur. Jelasnya, bukan saja Pasar Seni, bagi mana-mana bangunan atau pusat beli-belah lain sekali pun, pengurusan yang terancang dan baik akan menentukan jatuh bangun sesebuah kawasan. "Meskipun sudah berusia, pengunjung boleh melihat sendiri fasiliti seperti lif masih beroperasi dengan baik, manakala keadaan lantai, tandas dan persekitaran Pasar Seni kini jauh lebih kemas berbanding sebelumnya," katanya ketika ditemui. Menurut Soo, cabaran terbesar dalam menguruskan bangunan bersejarah itu ialah memelihara keadaan dan mengekalkan struktur asalnya. "Kami membelanjakan kira-kira RM1 juta sehingga RM2 juta setahun hanya untuk proses penyelenggaraan, seperti memperbaiki bumbung atau lantai yang pecah. "Kawasan tanah yang menjadi tapak Pasar Seni ini agak berlumpur, sesuai dengan nama Kuala Lumpur. Pergerakan tanah kerap berlaku di sini. "Kadangkala, terdapat jubin yang pecah dan perlu diganti, namun disebabkan usianya yang lama, jubin daripada jenis yang sama sudah tidak dihasilkan lagi. Sesetengah jubin di sini boleh dianggap sebagai antik. "Sebagai langkah penyelesaian, kami terpaksa mengambil kepingan jubin yang sama di lantai Pasar Seni, bezanya ia berada di kawasan yang sedikit tersorok, misalnya di bawah almari untuk menggantikannya," kata Soo. Menyentuh mengenai visi dan perancangan Kha Seng Group untuk memastikan Pasar Seni kekal relevan pada tahun-tahun mendatang, Soo menjelaskan Pasar Seni hanya perlu mengekalkan identitinya yang sedia ada untuk terus menjadi kawasan tumpuan pengunjung. Promosi budaya "Konsep Pasar Seni sedia ada sebagai pusat untuk mempromosikan kebudayaan, kesenian, warisan dan kraftangan harus dikekalkan. Kadang-kadang kita memang perlu membawakan konsep-konsep baharu sesuai dengan kehendak semasa. Misalnya, fenomena minuman Bubble Tea yang melanda baru-baru ini dan Pasar Seni pun sebenarnya turut sama menawarkan minuman tersebut. "Bagaimanapun, 70 peratus daripada ruang runcit Pasar Seni akan diperuntukkan kepada penawaran utamanya yang melibatkan perniagaan berunsurkan kesenian dan kebudayaan. Hanya 30 peratus diberi untuk fasiliti sokongan seperti kedai makan dan lain-lain," katanya. Soo turut memberitahu bahawa pihaknya kini sedang merancang dua projek utama yang dijangkakan dapat meningkatkan daya tarikan Pasar Seni kepada pelancong dan pengunjung tempatan. "Kami berhasrat untuk menarik semula penghibur jalan ke Pasar Seni. Kami masih memiliki ruang untuk digunakan dan akan menyediakan kemudahan seperti kanopi untuk berlindung daripada hujan dan panas. "Selain itu, kami juga sedang berusaha untuk menjemput Datuk Mohd. Nor Khalid, yang lebih dikenali sebagai Lat untuk menghasilkan mural bertemakan sejarah Kuala Lumpur pada tembok sungai yang menghadap Pasar Seni," katanya. | |||
Solidarity Grub bantu orang miskin Posted: 05 Dec 2013 03:30 PM PST SETIAP pagi pada waktu kemuncak di sebuah kedai roti di Belgrade, Lidija Milanovic membeli dua croissant sebagai sarapan tetapnya. Tetapi, dia hanya mengambil satu manakala sekeping lagi diberikan pada mereka yang tidak berkemampuan membelinya. Di Serbia, sebuah negara yang terjejas teruk akibat krisis ekonomi, tiga anak muda yang berwawasan telah melancarkan satu laman web untuk membantu golongan miskin. Ia menyeru rakyat negara tersebut untuk membeli makanan perpaduan tambahan yang kemudian akan ditawarkan kepada mereka yang memerlukan. "Adalah sesuatu yang hebat apabila seseorang telah menemui cara yang mudah untuk membantu orang ramai tanpa menghabiskan banyak masa dan tenaga," kata Milanovic, seorang ahli perniagaan wanita berusia 37 tahun yang mengetahui tentang inisiatif itu di rangkaian sosial. Selongkar tong Seorang pelajar sekolah tinggi, Jovana Bogavas yang beratur di belakang Milanovic tertanya-tanya apa yang berlaku. Selepas mendengar penerangan mengenai projek yang dipanggil Solidarity Grub (Solidarna Klopica) itu, dia terus membuat keputusan untuk menyertainya. "Ini satu idea yang sangat menarik. Di kawasan kejiranan ini, saya selalu melihat ramai orang menyelongkar tong sampah untuk mencari makanan. Namun, saya rasa tidak selesa untuk menawarkan bantuan kepada mereka. Inilah cara yang terbaik untuk melakukannya," ujar Bogavas. Statistik menunjukkan bahawa 9.2 peratus daripada 7.2 juta penduduk Serbia hidup dalam kemiskinan dengan pendapatan kurang daripada satu euro (RM4.40) sehari. Hampir satu perlima daripada populasi tersebut memperoleh kurang daripada RM17.50 sehari. Bagi kanak-kanak, jumlah yang hidup dalam kemiskinan mutlak meningkat kepada 12.2 peratus dan 6.2 peratus menderita akibat pemakanan tidak seimbang. Solidarity Grub telah dimulakan pada bulan April oleh tiga pekerja di portal internet Kioskpages.com, satu laman dalam talian yang menawarkan katalog, perkhidmatan dan promosi istimewa. Mereka mengatakan, satu video dalam talian mengenai rakyat Itali yang memberi kopi kepada gelandangan menjadi inspirasi untuk menjayakan program tersebut. "Kami suka idea tersebut, tapi kami mahu menawarkan lebih banyak. Jadi, kami pilih makanan," ujar koordinator program, Nina Milos, 24. Trio tersebut pada mulanya menghubungi kedai-kedai roti memandangkan mereka mahu lebih ramai orang menyertainya kerana harga produk pastri agak berpatutan. Setakat ini, sebanyak 60 kedai roti telah menyertai projek itu. Lebih mengejutkan di negara yang mencatat kadar pengangguran sehingga 24 peratus, tindakan tersebut telah tersebar luas dan mendapat respons memberangsangkan. "Projek ini berjaya kerana ia tidak memerlukan banyak penglibatan peribadi dan kosnya sangat minimum. Malah, hasil pengalaman sebelum ini menunjukkan individu yang berpendapatan rendah memberi respons pantas dan kuat untuk projek sebegini. "Mereka dapat membayangkan diri sendiri berada dalam situasi sedemikian," terang pakar psikologi, Anika Stojanovic. Di kedai roti tempat Milanovic membeli sarapan paginya, jurujual Silvija memberitahu, projek tersebut sangat berjaya. Poster iklan "Pada mulanya, saya tidak percaya dengan projek ini. Tetapi, hari demi hari semakin ramai yang meninggalkan makanan mereka untuk orang lain," katanya sambil meletakkan makanan tersebut di dalam bakul di depan tingkap agar dapat dilihat oleh mereka yang kelaparan. Poster di tingkap juga menunjukkan iklan bahawa kedai roti tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif Solidarity Grub. Bagaimanapun, antara cabaran yang mereka hadapi ialah untuk menyebarkan maklumat berkenaan kepada golongan sasaran yang tidak mempunyai akses internet. Sehubungan itu, pihak penganjur telah mengatur promosi besar-besaran mengenai projek itu di dalam akhbar dan menjalin kerjasama dengan rangkaian rumah perlindungan serta kumpulan sokongan. Mereka turut merayu kepada penduduk setempat untuk menyampaikan maklumat itu kepada golongan gelandangan di kawasan kejiranan masing-masing. Bagi Mirjana, ibu kepada tiga anak yang hanya bergantung kepada pendapatan suaminya sebagai buruh telah melihat laporan mengenai Solidarity Grub di televisyen dan gembira dengan perkara tersebut. "Keluarga saya selalu kelaparan dan ada hari-harinya kami langsung tidak makan. Kini, kami memperoleh sekurang-kurangnya satu makanan setiap hari," tutur Mirjana. Sementara itu, bagi Milos, projek berkenaan merupakan sumber kebanggaan mereka. "Hidup tidak mudah di Serbia. Apabila masyarakat menunjukkan perpaduan seperti itu, ia benar-benar layak dipuji. Itu perkara terbaik yang telah berlaku kepada saya." | |||
Posted: 05 Dec 2013 03:28 PM PST TREND terkini yang menyaksikan perniagaan dalam talian muncul bak cendawan tumbuh selepas hujan membuatkan Farah Alwani Johari, 26, tidak mahu ketinggalan untuk turut serta. Tambahan pula, ilmu yang diperoleh sewaktu mengikuti Diploma Pengurusan dari Kolej Pusat Teknologi dan Pengurusan Lanjutan (PTPL) Ampang ingin dimanfaatkan sebaiknya. Justeru, gadis muda yang mesra disapa Farah ini mengambil peluang bekerjasama dengan kakaknya, Sinar, 39, dalam mengusahakan jenama Rana Aswad yang menawarkan koleksi jubah moden dan kontemporari berkualiti tinggi sejak tahun 2010. "Sebenarnya sejak kecil saya sering membantu emak menjual nasi lemak di sekolah. Sebanyak 20 hingga 30 bungkus nasi lemak saya bawa di dalam beg dan kemudian dijual pada kawan-kawan kaum Cina. "Kemudian, apabila meningkat remaja, saya mula meminati dunia fesyen. Jadi keputusan untuk memulakan perniagaan ini amat bertepatan. Malah, laporan kajian di luar negara yang meramalkan industri fesyen Muslim global akan berkembang pesat dan bernilai melebihi AS$96 bilion (RM308 bilion) turut menjadi pendorong untuk menceburi bidang ini," cerita Farah ketika ditemui Kosmo! di pejabatnya di Bukit Indah, Ampang baru-baru ini. Selain itu, sebagai wanita Farah juga memahami keperluan wanita lain dalam aspek penampilan khususnya pemakaian. Faktor kualiti, rekaan, keselesaan serta perincian pasti menjadi keutamaan bagi kebanyakan kaum Hawa. Maka dengan itu, lahirlah Rana Aswad yang kini telah pun mencecah usia tiga tahun penubuhannya. Memulakan perniagaan dengan modal sebanyak RM10,000, anak jati Kuala Lumpur ini sudah boleh tersenyum dengan kejayaan yang dimiliki sekarang. Terbaharu, Farah dan kakaknya berpeluang menyertai Forum Ekonomi Dunia Islam (WIEF) Ke-9 yang berlangsung di United Kingdom (UK) pada penghujung bulan Oktober lalu. Buat julung-julung kalinya forum antarabangsa itu dianjurkan di sebuah negara bukan Islam. Lebih mengujakan ialah sifat keterbukaan negara berkenaan yang amat menggalakkan usahawan-usahawan Muslim untuk menjalankan perniagaan di sana sekali gus merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi di UK. Diterima pengguna "Forum itu benar-benar membuka mata dan membakar semangat kami. Insya-Allah, kami akan gunakan ia sebaik mungkin untuk mengintai peluang perniagaan dan kolaborasi di peringkat antarabangsa. "Kami harap Rana Aswad mampu menjadi platform atau hab kepada pelbagai aktiviti lain yang bakal dikelolakan bersama pelanggan termasuk program komuniti untuk masyarakat setempat," ungkap Farah. Meskipun masih terlalu hijau dalam bidang ini dan berdepan pelbagai cabaran, sukar untuk menafikan bahawa jenama Rana Aswad semakin meniti di bibir masyarakat terutama pelanggan setia mereka. "Pada awalnya, memang sukar untuk mendapatkan pelanggan kerana kami tidak dikenali. Malah, cabaran utama ialah dari segi pemasaran. "Tetapi Alhamdulillah, setiap cabaran dilalui dengan berhati-hati dan dianggap sebagai tiupan semangat untuk mengharungi hari-hari mendatang. Bagi saya, setiap hari banyak perkara baru yang dipelajari dan ia sentiasa mengujakan," terang Farah sambil memberitahu Rana Aswad mempunyai pelanggan tetap bukan sahaja dari Malaysia bahkan sejauh UK, Australia dan Paris. Potongan longgar Menggunakan pelbagai jenis fabrik seperti sifon, likra, kapas lembut dan quilt yang diimport dari Guangzhou, Korea, Vietnam dan Indonesia, rekaan jubah Rana Aswad terkenal dengan kemasan jahitan serta potongan yang menepati cita rasa pelanggan. Antaranya seperti koleksi Rana Elaiza, Jezraa, Faye, Sophiena dan Dianne yang sering menjadi pilihan pelanggan. Selain itu, kebanyakan jubah tersebut mempunyai potongan yang longgar menjadikan wanita tampil sopan apabila memakainya. Ditanya tentang rekaan fesyen Muslimah yang semakin banyak di pasaran namun tidak menepati kehendak syariah, Sinar mengakui perkara tersebut agak mengecewakan. "Apabila bercakap tentang pakaian yang menepati kehendak syariah, ia memerlukan kefahaman dan kepercayaan tentang landasan yang ditetapkan oleh Islam itu sendiri. Penilaian yang bijak harus dilakukan oleh pengusaha pakaian dalam mengetengahkan fesyen Muslimah yang bersesuaian. "Fitrah wanita sentiasa inginkan sesuatu yang cantik. Apatah lagi, wanita zaman ini kebanyakannya bekerjaya dan memerlukan mereka sentiasa berpenampilan kemas. "Namun, sebagai seorang Islam, kita harus sentiasa beringat untuk bersederhana dan bersopan dalam pemakaian. Jadi, tugas kami sebagai pengusaha pakaian adalah untuk mencari titik keseimbangan antara nilai komersial terhadap koleksi yang ditawarkan dan landasan yang ditetapkan agar ia tidak keterlaluan dan berlebihan," terang Sinar mengenai isu tersebut. Tambah ibu kepada tiga cahaya mata itu, jenama Rana Aswad membekalkan seleksi pakaian yang sopan dengan rekaan jubah-jubah moden yang sesuai dipakai oleh setiap lapisan masyarakat dan ia bukan khusus pada wanita Islam sahaja. "Jangan diletakkan batasan hanya kerana kami menggayakan ia dengan tudung atau selendang dan dianggap untuk golongan tertentu iaitu wanita Islam semata-mata. "Tidak, sebaliknya kami turut mengalu-alukan pelanggan bukan Islam yang berminat untuk menggayakan pakaian sopan dalam kehidupan mereka sehari-hari," tutur Sinar sambil menegaskan pihaknya sentiasa berusaha untuk memperbaiki kelemahan dari semasa ke semasa. Untuk perancangan jangka panjang, Rana Aswad bakal membuka butik di kawasan yang lebih strategik seperti Shah Alam dan beberapa cawangan lain dalam tempoh lima tahun akan datang. Sementara itu, pelanggan setia Rana Aswad, Mahidawati Mahraf, 33, mengakui koleksi jubah yang ditawarkan sangat istimewa. Tambahan pula, sebagai seorang ustazah di Sekolah Kebangsaan Agama Bintulu, Sarawak, Mahidawati lebih gemar menyarung jubah dan tampil sopan di khalayak. "Saya mula mengenai jenama tersebut kira-kira tiga tahun lalu melalui internet. Sejak itu, saya terus menjadi pelanggan setia mereka. Hingga kini, sudah lebih 40 pasang jubah Rana Aswad termasuk koleksi terawal telah saya miliki. "Apa yang pasti, rekaan jubah Rana Aswad sesuai untuk semua lapisan masyarakat. Biasanya, setiap rekaan saya akan beli beberapa warna. Ia sangat berkualiti dan saya selesa apabila memakainya," tutur Mahidawati ketika di hubungi Kosmo!. | |||
Resipi kerabu bawa Iskandar ke Afrika Selatan Posted: 05 Dec 2013 03:27 PM PST RIAK wajah mereka jelas menunjukkan debaran untuk menyediakan hidangan istimewa menggunakan ketuhar baharu daripada syarikat LG Electronics (LG). Kelima-lima finalis Pertandingan Chef Amatur Tempatan berdiri cemas di hadapan stesen memasak masing-masing yang telah disusun rapi dengan peralatan asas memasak. Antara yang disediakan termasuklah bahan-bahan masakan, peralatan memasak seperti pisau, sudip, pengisar makanan, dapur gas dan sebagainya selain perkakas utama acara, ketuhar gelombang mikro lampu pemanas arang keluaran LG. Dengan kiraan satu, dua dan tiga oleh pengacara majlis, peserta terus bergerak lincah menyediakan hidangan berdasarkan ramuan yang telah disediakan. Segala gerak-geri menunjukkan kesungguhan untuk dinobatkan sebagai juara pertandingan, sekali gus melayakkan diri mewakili Malaysia di Kejohanan LG Home Chef di Afrika Selatan pada 4 Disember lalu. Kejohanan LG Home Chef yang kini memasuki edisi keenam memberi peluang kepada chef-chef amatur di seluruh dunia menunjukkan kemahiran kulinari masing-masing. Bagi peringkat tempatan, penganjuran Pertandingan Chef Amatur Tempatan bermula pada 16 September sehingga 1 November lalu dan berjaya menarik sebanyak 40 penyertaan dari seluruh negara. Gunakan ketuhar LG Namun, hanya lima peserta peringkat akhir dipilih berdasarkan penghantaran resipi-resipi menarik yang boleh disediakan. Syaratnya, mereka perlu menggunakan ketuhar gelombang mikro lampu pemanas arang keluaran LG di laman rasmi syarikat perkakasan elektrik dan elektronik berkenaan. Menurut Pengarah Urusan LG Electronic (M) Sdn. Bhd. (LG Malaysia), HK Kwon, tahun ini merupakan kali pertama Malaysia menghantar seorang wakil untuk menyertai kejohanan tersebut. "Selain berentap dengan peserta-peserta lain, wakil negara juga berkesempatan untuk merasai pengalaman melihat budaya dan sajian makanan negara lain di seluruh dunia," katanya ketika merasmikan pusingan akhir Pertandingan Chef Amatur Tempatan di pasar raya besar Giant Subang Jaya, Selangor baru-baru ini. Kwon menambah, pemilihan wakil negara adalah berdasarkan pemarkahan tertinggi yang dikutip sepanjang pertandingan. "Antara faktor yang diambil kira termasuklah persembahan sajian, resipi, masakan yang mempromosikan gaya hidup sihat, teknik masakan dan kesesuaian penyediaan sajian menggunakan ketuhar gelombang mikro," jelasnya. Dengan markah keseluruhan sebanyak 464, seorang penolong pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Terengganu, Muhd. Iskandar Ishak telah dinobatkan sebagai juara Pertandingan Chef Amatur Tempatan. Menurut Muhd. Iskandar, 28, dia tidak sangka sajian dada ayam sumbat kerabu yang direkanya sendiri mampu meraih markah tinggi berbanding peserta lain. "Hidangan ini adalah cetusan ilham daripada aneka sajian yang saya tonton dalam rancangan masakan di saluran Asian Food Channel. "Saya mengolah resipi dengan menggabungkan elemen Asia dan Barat. Kerabu menjadi pilihan saya kerana ia merupakan makanan tradisional kaum Melayu di Malaysia," ujarnya sambil memaklumkan hidangan yang dihasilkan turut mengambil kira khasiat makanan. Selain hidangan utama yang terdiri daripada pelbagai jenis sayur-sayuran, hidangan yang ditampilkan turut menggunakan daun pegaga, buah tomato dan kobis ungu yang dijadikan sos. Mengulas lanjut kemenangannya, Muhd. Iskandar memberitahu, dia sangat teruja untuk menjejakkan kaki ke Afrika Selatan dan mewakili negara dalam bidang masakan yang cukup diminatinya. Gaya masakan "Sebelum ini saya pernah memasuki dua pertandingan memasak pada tahun 2005 dan 2010, namun ini adalah kemenangan pertama saya. Saya belum pernah ke luar negara walaupun ke negara jiran seperti Indonesia dan Singapura. "Jadi, melawat negara jauh seperti Afrika Selatan adalah hadiah terbesar yang pernah saya terima dan saya tidak sabar untuk ke sana dan menyaksikan gaya masakan peserta-peserta lain dari seluruh dunia," katanya. Hidangan-hidangan lain yang disediakan finalis terdiri daripada ayam percik gulung, ayam masak mangga, ikan panggang dengan sos krim dan ayam panggang percik. | |||
Posted: 05 Dec 2013 03:26 PM PST KEHIDUPAN di Madinah berkisar kepada Universiti Taibah iaitu tempat bekerja dan Masjid Nabawi. Alhamdulillah, hampir setiap bulan kami mengunjungi Mekah menunaikan umrah. Sesekali saya dijemput untuk menyampaikan kuliah di Jeddah, Jubail dan Yanbo' di Arab Saudi. Secara umum, kami sekeluarga tidak mempunyai ramai kawan dalam kalangan penduduk tempatan. Namun setelah lebih dua tahun bermukim di sini, hampir sepanjang tahun kami menerima tetamu terutama dari Malaysia yang mahu berziarah dan melawat kami sekeluarga ketika mereka menunaikan haji atau umrah. Inilah kawan atau kenalan baharu yang muncul dalam hidup kami sekeluarga. Penghormatan Melayani tetamu Allah merupakan satu penghormatan yang tidak dapat kami tolak. Malah, secara terbuka saya mempelawa khalayak pembaca buku dan rakan Facebook untuk berkunjung ke rumah kami berdasarkan beberapa peraturan mudah. Pertama, kami hanya boleh menerima empat atau lima tetamu pada setiap malam. Kedua, mereka perlu mendengar tazkirah yang ingin saya sampaikan sebelum dijamu makanan yang dimasak oleh isteri. Ketiga, ia bergantung waktu senggang kami sekeluarga. Secara keseluruhannya, kami bergembira menerima tetamu dan ia bukanlah satu perkara membebankan. Hakikatnya, kami mahu memuliakan tetamu Allah seperti satu hadis riwayat Muslim, 'Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah beliau memuliakan tetamunya.' Kami juga mahu menjadikan rumah sebagai taman syurga dengan mengadakan majlis ilmu yang boleh dimanfaatkan oleh tetamu. Namun kisah Nabi Ibrahim meraikan tetamunya yang diceritakan Allah SWT melalui terjemahan ayat 24-27 surah Adz-Zariyat mengaitkan kami dengan adab melayani tetamu. "Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal tetamu Ibrahim yang dimuliakan? Tatkala mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata: 'Salam sejahtera kepadamu!', Ibrahim menjawab: 'Salam sejahtera kepada kamu!' (sambil berkata dalam hati): 'Mereka ini orang yang tidak dikenali.' "Kemudian ia masuk mendapatkan ahli rumahnya serta dibawanya keluar seekor anak lembu gemuk (yang dipanggang). Lalu dihidangkannya kepada mereka sambil berkata: 'Silakanlah makan." Namun prinsip memuliakan tetamu ini telah cuba kami amalkan sejak berada di Malaysia dalam konteks yang berbeza. Kenapa tidak? Ia sebahagian daripada sifat mereka yang beriman kepada Allah dan hari akhirat. Namun kami mahu memuliakan tetamu agar mereka dapat menghampirkan diri kepada Allah. Misalnya, jika mereka berkunjung ke rumah, bila masuk waktu solat akan saya ajak mereka ke masjid untuk sama-sama solat berjemaah. Itu pun jika mereka tidak dihadiahkan dengan jamak dan qasar. Tidak pula saya terpaksa meninggalkan keutamaan solat berjemaah di masjid kerana melayani tetamu. Sebaliknya, biarlah tetamu pula dapat merasai apa yang sepatutnya dilakukan oleh seorang Muslim walau di mana saja mereka berada. Anak-anak saudara lelaki atau sesiapa sahaja yang bermalam di rumah akan saya kejut untuk solat Subuh di masjid. Ia tidaklah terlalu sukar untuk dilakukan jika berpaksi kepada prinsip melakukan sesuatu semata-mata kerana Allah. Namun minggu lalu kami pula telah dimuliakan sebagai tetamu. Sungguh, kami dimuliakan sebagai tetamu mengikut adat dan budaya Arab. Abu Salleh dan isteri merupakan pasangan Arab tempatan yang baru kami kenali. Itupun kerana Abu Salleh fasih berbahasa Melayu Indonesia. Beliau menegur kami ketika menunggu penerbangan pulang Jeddah-Madinah. Ringkasnya, saya mengajak beliau dan isteri bertandang ke rumah untuk menikmati makanan Malaysia. Benarlah, makanan mempercepatkan proses hubungan antara manusia walaupun asalnya berlainan daerah, budaya dan adat resam. Mereka terkejut dengan cara orang Malaysia melayani tetamu walaupun baru dikenali. Ketika beredar beliau berulang-kali menyebut: "Aku mahu bawa kamu sekeluarga ke kampung. Rumah ibu aku di gunung. Udaranya dingin. Kita lihat bulan dan bintang." Benar, beliau bersungguh. Hampir setiap dua hari beliau menghubungi saya supaya bersetuju untuk ke kampungnya. Akhirnya kami tiba di perkampungan Arab bernama Musaygeed lebih kurang 100 kilometer dari Madinah. Di lokasi inilah, Baginda SAW berehat seketika sebelum meneruskan perjalanan ke Badar bagi menghadapi kaum Musyrikin. Udara segar Rumah Abu Salleh terletak di kaki gunung. Penduduknya tidak sampai 1,000 orang. Rumah-rumah ala Arab (rumahnya tidak pernah siap) sudah banyak ditinggalkan. Anak-anak meninggalkan kampung halaman berhijrah ke kota. Masya-Allah, dua hari di sini kami menikmati udara gunung yang sungguh segar. Kami berjalan kaki ke masjid untuk menunaikan solat Subuh. Kemudian beliau memaksa saya, isteri dan anak memanjat bukit batu di sebelah rumah. Sayup pemandangan melihat pemandangan kampung yang mendamaikan. Benar cerita orang. Tradisi bangsa Arab sememangnya berbangga menerima tetamu. Tambah-tambah lagi tetamu dari luar yang sanggup bertandang ke rumah mereka di kampung. Ia tergambar melalui hidangan makanannya, bahasa tubuh dan tutur kata. Buktinya, kami hanya bercadang untuk tidur semalam tetapi terpaksa akur dengan kata-kata beliau: "Jika kamu pulang kita putus saudara." Tetamu menjadi saudara. Hakikatnya, kami sekeluarga damai di sini. Di kaki gunung ini kami membayangi kesukaran perjuangan Baginda SAW yang telah memberi manfaat kepada kita semua. Bertemu lagi minggu hadapan. Salam hormat dari Madinah. |
You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |